Archive | Ally Iskandar RSS feed for this section

Ketawa Kerana 'Kasihan'

11 Feb

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

SUASANA lucu ketika Ally ditemani dua tetamu undangan,
Jamali Shadat dan Afdlin Shauki.

Datuk Jamali Shadat berpendapat kebanyakan pelawak hari ini ketandusan idea ketika buat persembahan

LAWAK memang dipersembahkan bagi membuatkan orang ketawa. Bagaimanapun, ada juga ketikanya apabila orang ramai tetap ketawa, tetapi bukan kerana kelakarnya persembahan berkenaan, sebaliknya kerana kasihan pada lawak yang tidak menjadi.

Justeru, seseorang pelawak tidak boleh muncul di pentas dengan kepala yang kosong. Sebaik-baiknya mereka tampil bersama idea yang sudah pun difikirkan sebelum itu. Setidak-tidaknya itulah pandangan pelawak veteran, Datuk Jamali Shadat, yang turut disokong pelakon komedi terkenal masa kini, Afdlin Shauki.

Muncul sebagai tetamu rancangan bual bicara Ally, kendalian Ally Iskandar baru-baru ini, Jamali berasakan kebanyakan pelawak hari ini tidak mempunyai idea yang baik sebelum muncul pada sesuatu persembahan.

“Akibatnya, lawak yang dipersembahkan itu kelihatan merapu. Ada masanya, dia berjaya membuat orang ketawa, tetapi mereka sebenarnya ketawa kerana kasihan,” ujar Jamali tatkala membincangkan isu lawak pada rancangan minggu keenam program berkenaan.

Kata lelaki yang mempunyai pengalaman kira-kira 40 tahun dalam dunia lawak itu, kebanyakan lawak pada zamannya dulu adalah lawak bersahaja, tetapi bukan ‘saja-saja’. Setiap lawak yang dibuat mempunyai matlamatnya sendiri.

Manakala Afdlin pula berkata, dia berlawak mengikut keadaan dan apabila penonton ketawa mendengar lawaknya, ia bermakna jenaka itu boleh mereka kenali.

“Bagi saya, lawak ialah komentar sosial yang cuba kita ketengahkan. Begitupun, bukan bererti tugas pelawak adalah untuk memberikan mesej berguna kepada masyarakat. Kita tetap seorang penghibur, namun menerusi lawak itulah mesej terbabit disalurkan. Lalu, janganlah lawak yang disampaikan itu lawak kosong. Jangan sekadar suka-suka saja, biar ada benda di dalamnya,” tegas Afdlin.

Dia turut berpegang kepada kesesuaian sesuatu tema atau bahan lawak dengan tempat dia mempersembahkan jenaka berkenaan. Seandainya dia mengadakan persembahan untuk kanak-kanak, lawaknya lebih bercorak gerak badan atau gaya, manakala penonton dewasa pula mungkin lebih menghargai lawak situasi atau berdasarkan dialog dituturkan.

Afdlin memberitahu, sejak kecil lagi dia memang suka menghiburkan orang. Mungkin kerana itu, lawaknya hari ini senang menangkap perhatian khalayak.

“Namun, sebagai pelawak, kita mempunyai tanggungjawab. Seboleh-bolehnya, biarlah lawak yang kita berikan itu mampu membuatkan penonton membuka minda mereka kepada sesuatu yang mungkin tidak pernah mereka fikirkan,” katanya yang memang dikenali dengan lawak situasi, sebagaimana dapat dilihat menerusi beberapa filem komedi arahannya sebelum ini.

Menyentuh lawak yang menggunakan fizikal seseorang sebagai bahan jenaka, Afdlin berkata, dia sering kali juga menggunakan saiz badannya yang besar itu sebagai bahan lawak. Begitu juga dia ‘mengutuk’ orang lain apabila membuat jenaka.

“Lalu ada orang bertanya, apakah orang yang dikutuk atau dikenakan oleh saya itu tidak marah? Mereka tidak terasa dengan lawak saya apabila golongan yang dikenakan itu terdiri daripada kenalan saya sendiri. Pada masa yang sama, kita juga kenalah bersedia apabila orang lain mengutuk kita pula,”ῠjelasnya.

Bagi Jamali, sesetengah pelawak memang dikurniakan keadaan fizikal yang membolehkan peminat ketawa hanya dengan melihat bentuk badan atau mukanya.

“Lalu, pada ketika itu, tidak perlulah dia hendak membuat lawak yang keterlaluan. Janganlah sampai buat lawak ketuk kepala atau tertonggeng terbalik. Ia bukan lagi lawak namanya,” kata Jamali yang cukup dikenali bersama lawak Si Atan.

Kedua-duanya juga bersetuju seseorang pelawak tidak patut menggunakan topik sensitif seperti isu perkauman sebagai bahan jenakanya. Kata Jamali, jika boleh, dia cuba mengelakkan daripada mempersendakan sesuatu kaum, manakala Afdlin pula menggesa pelawak agar lebih peka supaya tidak terlepas daripada batasan yang sewajarnya.

“Orang ramai akan lebih menghargai kita apabila kita membuat lawak yang dekat dengan mereka. Lawak yang tidak keterlaluan serta mempunyai elemen kebenaran selalunya lebih disukai semua golongan,” kata Jamali yang pernah memenangi pertandingan Bakat TV pada 1971.

Pada pertanyaan bagaimana dia sentiasa tampil dengan idea kelakar, Afdlin berkata, dia melihat dirinya sebagai penyedia kandungan.

“Dengan cara itu, kita akan sentiasa memerhatikan persekitaran serta perlu sentiasa membaca bagi mendapatkan bahan. Apa-apa saja sebenarnya boleh menjadi sumber kepada lawak kita, cuma ia perlu dirangka supaya kelak menjadi jenaka yang menghiburkan,” ujar Afdlin yang mengaku, bilik air ialah antara tempat paling banyak memberikannya idea.

Afdlin dan Jamali turut berkongsi pandangan sama, bakat adalah cukup penting bagi seseorang yang ingin menjadikan dunia lawak sebagai karier.

“Namun, jika bakat itu tidak disertakan dengan keinginan untuk menghiburkan orang, ia tidak akan menjadi juga,” tegas Afdlin yang menggesa pelawak generasi baru untuk mempelajari cara berlawak menerusi persembahan pelawak lama, di samping sentiasa membaca bagi menambahkan himpunan idea.

Jamali pula melahirkan kesediaan untuk membantu generasi pelawak baru sekiranya mereka melahirkan keinginan untuk mendapatkan ilmu daripada golongan pelawak veteran sepertinya.

Berita Harian

Advertisements

Dengarnya…: Ally Nafi Bercinta Dengan Elyana

6 Feb

Oleh Normah Becok

ANTARA personaliti TV3 yang masih bujang dan kerap menjadi tumpuan media kerana statusnya itu ialah Ally Iskandar. Cik Normah sendiri berkenan dengan sikap Ally yang peramah dan berbakat pula dalam pengacaraan. Tetapi, Cik Normah ni sekadar berkenan ‘gitu-gitu’ sajalah. Tak adalah sampai hendak jadi kekasih dia. Ah, malulah!

Baru-baru ini, Cik Normah terbaca sebuah ruangan gosip yang mengatakan kononnya si pengacara popular itu kini akrab ala-ala bercinta dengan penyanyi yang tidak suka memakai kasut, Elyana.

Lalu, ada jugalah spy Cik Normah yang menyibuk bertanya sana-sini, betulkah Ally intim dengan penyanyi muda belia itu? Yalah, setahu Cik Normah, Elyana kini berkawan rapat dengan seorang jejaka yang jauh lebih berusia daripadanya. Sudah lama jugalah penyanyi Kalis Rindu itu berkawan dengan lelaki tadi.

Siasat punya siasat, Cik Normah dikhabarkan, Ally pun sekadar berkawan dengan penyanyi berkenaan. Sebelum ini, Ally dikatakan tidak rapat dengan Elyana kerana menganggap penyanyi itu sombong. Elyana juga tidak bersahabat baik dengan Ally dengan alasan sama, pengacara itu sombong. Jadi, kedua-duanya tidak rapat kerana tersilap menilailah ya?

Namun, apabila Elyana dan Ally sama-sama terbabit dalam Anugerah Juara Lagu Ke-23 dan Elyana sendiri menjadi tetamu rancangan Ally, mereka mula akrab. Apatah lagi Ally dan Elyana pernah belajar di sekolah yang sama di Shah Alam. Jadi, ada jugalah benda yang mereka hendak borakkan apabila berjumpa.

Cik Normah juga dikhabarkan, kononnya buat masa ini Ally tidak mahu bercinta dengan sesiapa. Katanya, susah hendak mencari wanita yang benar-benar faham kedudukannya sebagai personaliti TV yang sentiasa menjadi perhatian orang. Jadi, dia ala-ala mahu bebas daripada ikatan cinta, sebaliknya memberikan tumpuan kepada program kendaliannya yang kian mendapat tempat di kalangan penonton TV3.

Berita Harian

Koleksi Terkini Harga Rendah

4 Feb

Rap
KEMELUT yang berlaku di bumi Palestin turut mendapat perhatian Casa Impian Holdings Sdn Bhd (Casa Impian) apabila turut memeriahkan jualan amal dan lelong sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 Untuk Gaza, Sabtu lalu.

Dalam majlis yang berlangsung di Amcorp Mall, Petaling Jaya itu, Casa Impian menampilkan koleksi menariknya merangkumi pelbagai aksesori dekorasi dan peralatan dapur. Antaranya jam dinding, cermin hiasan, kole serba guna, penyepit dan pisau dengan pelbagai warna.

Pengarah Urusan Casa Impian, Datin Noorlinda Abd Talib turut turun padang menjual barangan itu dengan semangat mengumpul sebanyak mungkin dana untuk membantu insan dalam kesengsaraan di Semenanjung Gaza.

Apa yang menarik, pendekatan digunakan ialah jual dan derma sebagai etika beramal Casa Impian. Malah barangan yang dijual adalah koleksi terbaru tetapi dengan harga rendah.

Noorlinda berkata, sambil menderma pembeli juga boleh merebut peluang ini mendapatkan barangan terkini Casa Impian.

“Walaupun barangan jenama Casa Impian ini adalah koleksi terbaru untuk 2009, harga yang ditawarkan tetap rendah sejajar konsep jualan amal dianjurkan.

“Meskipun nama Casa Impian tidak sepopular artis dan selebriti yang hadir memberi sokongan tetapi populariti program dekor Casa Impian di TV3 berjaya menarik ramai pengunjung untuk membeli barangan Casa Impian.

“Malah kehadiran pengacaranya, Faizal Ismail menghangatkan lagi suasana di tapak jualan Casa Impian,” katanya.

Selain Faizal, artis dan selebriti lain turut singgah untuk membantu dan menjual di tapak jualan Casa Impian, Ally Iskandar, Chef Redzuawan Ismail (Chef Wan), Chef Florence, Sharifah Amani, Sharifah Aleya, Misha Omar, Nabil, Rosyam Nor dan Ikwan (Bong).

“Kami turut mempromosikan barangan terkini Casa Impian iaitu peralatan dapur yang terdiri daripada warna ceria seperti pemukul dan pemotong telur, pengasah pisau dan pembuka botol.

“Sumbangan Casa Impian ini adalah tanggungjawab sosial syarikat dalam membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin dari kekejaman rejim Zionis.

“Keceriaan yang kami bawakan ini sememangnya bersesuaian acara diadakan apabila pengunjung begitu bersemangat dengan wajah ceria tampil untuk menderma,” katanya.

Di karnival jualan amal itu juga, Casa Impian melelong barang jualannya. Paling mendapat perhatian dan menjadi rebutan, set cawan bersama piring yang dijual hanya dengan harga RM2. Selain harga murah dan cantik, ia juga boleh digunakan sehari-hari.

Walaupun ada di antara barangan yang dilelong itu terdiri daripada barangan terbaru koleksi Casa Impian, demi membantu rakyat Palestin, Casa Impian prihatin dan teruja untuk membuat lelongan demi amal.

Casa Impian menerusi jualan aksesori dekorasi dan peralatan dapur berjaya mengumpul dana mencecah RM4,000. Kutipan itu diserahkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza.

Harian Metro

Jualan Kek Laris

3 Feb

Oleh Fadzlena Jafar
fadzlena@bharian.com.my

EJA (kiri) mengajak orang ramai membeli kek untuk disumbangkan kepada Tabung NSTP Untuk Gaza.

Ramai pengunjung datang membeli sambil menderma

KESUDIAN beberapa hotel terkemuka di Kuala Lumpur menyumbangkan kek untuk dijual pada karnival amal ABPBH Untuk Gaza yang berlangsung di Buzz-R, Tingkat 3, Amcorp Mall, di Petaling Jaya, Sabtu lalu berbaloi apabila semuanya habis dijual dalam waktu singkat dan berjaya mengumpul RM4,519.

Walaupun harga kek yang dijual agak mahal, iaitu RM10 bagi sepotong, pengunjung tetap bermurah hati membeli dengan niat untuk menderma bagi membantu rakyat Palestin, lebih-lebih lagi apabila dimaklumkan semua kutipan akan disalurkan terus ke Tabung Untuk Gaza NSTP.

Antara hotel yang menyumbang kek bagi acara berkenaan ialah Hotel Istana, Hotel Renaissance, Hotel Berjaya Times Square, Hotel Palace of Golden Horses, Hotel Nikko, Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, Hotel Grand Millennium dan Prince Hotel and Residences.

Paling awal tiba ialah Hotel Istana yang diwakili Pengarah Komunikasi Pemasarannya, Hasma Ahmad dengan menyumbangkan 10 kek iaitu kek coklat, kek pisang, kek lobak, kek kurma dan keju mandarin diikuti Hotel Renaissance yang menyumbangkan enam kek coklat.

Hotel Berjaya Times Square, Hotel Grand Millennium, Prince Hotel and Residences dan Hotel Nikko menyumbangkan kek coklat, manakala Hotel Palace of Golden Horses dengan kek lobak yang dihias menarik.

Sebagai kelainan, Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur yang diwakili Pengarah Operasinya, Peter Padman dan Pengurus Komunikasi Pemasaran, Tengku Hana Fira Tengku Muzani dan menyumbangkan 500 kek cawan yang comel dan paling menarik semuanya laris dijual dalam masa sejam.

Malah, Hasmah; Pengurus Perhubungan Awam Hotel Renaissance Kuala Lumpur, Nor Aizan Hamid; Pegawai perhubungan Awam Hotel Palace of Golden Horses, Lydia Mohd Noor bersama Chef Ezal dan wakil Hotel Berjaya Times Square, Chef Khairil Azar Badur, Chef Nordin Abdullah dan Eksekutif Perhubungan Awamnya, Julian Arthur turut membantu penganjur yang tidak menang tangan menjual kek.

Bagi memeriahkan acara itu, beberapa selebriti tampil membantu menjual jkek, malah mewajibkan peminat yang hendak bergambar dengan mereka untuk membeli sekurang-kurangnya sepotong kek.

Sebaik melihat kelibat selebriti pertama yang hadir memeriahkan acara jualan kek, Fauziah Ghouse dan Eja, pengunjung datang menyerbu bagi merakamkan gambar bersama artis kesayangan mereka.

Kedatangan penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza yang sudi membantu menjual kek menyebabkan suasana kelam kabut apabila peminatnya berpusu-pusu hendak merakam gambarnya sehingga hampir menyebabkan meja kek ditolak.

Malah, orang ramai sanggup mengeluarkan duit membeli kek coklat sumbangan Hotel Prince yang dipotong sendiri Siti menyebabkan tidak sampai 10 minit kek berkenaan habis dijual.

Personaliti TV3, Azizah Ariffin, Maria Tunku Sabri, Ally Iskandar dan turut menggamatkan suasana dengan menarik orang ramai untuk membeli kek sambil menderma.

Turut hadir membantu menjual kek ialah perunding acara, Bill Bora yang banyak membantu acara berkenaan selain selebriti seperti Ainul Aishah, Farawahida, Iqram Dinzly, Diana Danielle, Wan Sharmila, Liyana Jasmay, Intan Ladyana, Kamal Adli, Fizo Omar dan Zizan Nin.

Berita Harian

Gaun Anita Dibida Paling Tinggi

2 Feb

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

PENGANJURAN karnival jualan amal dan lelong, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH 2008) Untuk Gaza yang berlangsung di Bazz-R, Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya, kelmarin, berjaya menghimpunkan lebih 100 selebriti popular tanah air dengan satu misi iaitu untuk kemanusiaan sejagat.

Objektif program ini juga untuk mengumpul dana bagi disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) yang ditubuhkan sejak 6 Januari lalu.

Selain sanggup turun padang seawal jam 10 pagi, rata-rata selebriti popular itu bermurah hati untuk melelong sebahagian barangan koleksi peribadi kesayangan mereka semata-mata menjayakan misi yang cukup mulia ini.

Antara artis yang sanggup membuka gerai sehari suntuk seawal jam 10 pagi lagi ialah superstar terkenal, Anita Sarawak. Anita bukan saja ditemani suaminya, Mahathir Abdullah, malah dibantu pemandu peribadi yang hadir bersama anak perempuannya.

Ketika ditemui, Anita berkata, dia memang tidak asing dengan program amal seperti itu sejak bergelar anak seni.

“Saya dan suami memang teruja untuk jayakan karnival amal ini sejak awal lagi. Inilah masanya artis dan peminat bersatu untuk menjayakan program amal membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman tentera Israel.

“Mungkin baju dan kasut ini koleksi berharga yang disimpan sejak dulu tetapi bagi saya ia sekadar barangan saja. Apa salahnya saya menjual sebahagian koleksi ini untuk membantu golongan yang lebih memerlukan seperti rakyat Palestin?” katanya.

Kata Anita lagi, dia sangat gembira kerana sebahagian besar baju dan kasut yang juga koleksi peribadinya habis dijual pada karnival amal itu.

“Selain menjual barangan, saya sempat bergambar dengan peminat sekali gus ia mendekatkan diri dengan mereka yang sanggup datang dari jauh.

“Pada masa sama, saya cukup bangga melihat pembabitan ramai artis muda yang sama-sama prihatin dengan nasib rakyat Palestin itu. Saya berharap karnival amal seperti ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya. Pada petang itu, Anita berjaya mengumpul jumlah keseluruhan RM8,000. Pada acara lelongan, sepasang gaun labuh miliknya dibida dengan harga paling tinggi dengan harga RM4,000 oleh tukang masak terkenal Chef Wan dan sepasang baju berharga RM800 pula dibeli pengacara Fara Fauzana.

Apapun, kehadiran penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan Juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani atau Mawi paling mencuri tumpuan pengunjung di karnival jualan amal itu.

Siti tiba pada acara amal itu kira-kira jam 11 pagi turut membantu artis popular lain menjual kek sumbangan beberapa hotel terkemuka di ibu kota.

Pada lelongan amal pula, Siti berjaya menjual dua jaket koleksi peribadinya iaitu berwarna putih dengan harga RM500 dan jaket jeansnya pula dengan harga RM400 kepada peminat dalam tempoh setengah jam saja.

Ketika ditemui Siti berkata, barangan yang dijual itu adalah antara koleksi baju kesayangannya sepanjang bergelar anak seni.

“Sibuk macam mana sekalipun, artis perlu memainkan peranan masing-masing untuk terbabit dalam program amal seperti ini.

“Selain karnival ini, saya juga terbabit dengan konsert amal untuk membantu penduduk Palestin di Istana Budaya pada malam Sabtu lalu dan jualan lelong amal anjuran pelakon dan pengarah berkaliber, Erma Fatima.

“Sebenarnya, saya bukan terbabit dengan program amal untuk membantu penduduk Palestin saja tetapi program amal lain anjuran pelbagai pihak di negara ini,” katanya.

Pasangan pengantin baru popular, Mawi dan Nora’asikin Rahmat atau Ekin pula tiba pada jam 4 petang.

Mawi dan Ekin yang berpakaian warna sedondon menjual aiskrim Wall’s Fantasia yang laris dibeli peminat yang berpusu-pusu di gerai bintang popular itu termasuk mengambil peluang bergambar dengannya bersama isteri.

Ia penampilan pertama Mawi dan Ekin di khalayak ramai selepas kembali dari percutian bulan madu mereka di Korea, baru-baru ini.

Selain menjual aiskrim, Mawi juga menjual beberapa bingkisan album baru yang dikepilkan bersama kad kahwinnya dengan harga RM26 kepada peminat.

Pada acara lelongan amal pula, Mawi menjual kasutnya jenama Salvatore Ferragamo yang dibeli ketika dia menjayakan program Langkah Mawi di London dengan harga RM280 dan sepasang jeans Guess yang dibeli di Los Angeles, Amerika Syarikat dengan harga RM250.

Kata Mawi, selepas karnival itu, dia terbabit dengan konsert amal kemanusian pada sebelah malam di Istana Budaya pula.

“Agenda seni saya memang padat dan pada masa sama, saya dan isteri baru kembali daripada berbulan madu. Namun, demi kemanusiaan sejagat, kami tetap meluangkan masa berganding bahu bersama artis lain menjayakan program ini.

“Pada masa sama, saya sangat berharap sokongan peminat berterusan sekalipun sudah berkahwin,” katanya.

Pengacara nombor satu tanah air, Aznil Nawawi berjaya menjual jaket yang juga koleksi peribadi yang digayakan ketika Anugerah Skrin 2007 dengan harga RM320.

“Ia antara jaket kesayangan yang saya simpan sebagai kenangan. Maklumlah, saya menampal sendiri batu permata yang kecil di bahagian atas baju untuk disesuaikan dengan tema pada malam itu.

“Jaket itu cukup bermakna kerana saya bukan sekadar menjadi penyampai, malah membawa pulang trofi pada malam acara berprestij itu. Justeru, jaket itu mempunyai nilai sentimental buat saya. Namun, untuk membantu menjayakan karnival amal ini, saya sanggup menjualnya kepada peminat,” katanya.

Selain acara karnival ini, Aznil turut terbabit dalam acara Malam Puisi Palestin yang dianjurkan sebelum ini.

Kata Aznil lagi, sejak kembali dari mengerjakan iabadat haji jiwanya lebih dekat dengan program kebajikan untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

“Mungkin saya wajah eksklusif Astro selama 10 tahun, tapi saya harap tiada sempadan untuk buat program amal anjuran stesen TV lain selepas ini,” katanya.

Pelakon Siti Shahrizah atau Eja berkata, dia juga tidak ingin melepaskan peluang menjayakan acara amal itu.

“Saya tidak berfikir dua kali apabila dihubungi penganjur untuk menyertai acara ini. Bagi saya inilah masa yang tepat untuk artis turun padang memberi sokongan pada acara amal seperti ini.

“Separuh hari menjual kek itu bagaikan tidak terasa apabila melihat ia habis dibeli pengunjung. Jika nak diikutkan harga sepotong kek RM10 ini mahal tetapi ramai yang membelinya tanpa berfikir panjang semata-mata untuk menyumbang kepada penduduk Gaza,” katanya.

Sebelum ini Eja pernah menjayakan program amal anjuran Mount Kinabalu Charity Climb yang meraih kutipan RM1 juta tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun, berkata, acara karnival yang bermula jam 10 pagi hingga 6 petang itu ternyata berjaya mencapai objektif seperti diharapkan.

“Selain menarik lebih 10,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat, karnival jualan amal ini juga berjaya mengumpul lebih RM64,000 sehingga jam 7 malam,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang; Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) merangkap Penaung ABPBH2008, Datuk Manja Ismail; Timbalan Pengarang Kumpulan BHSB, Mustapa Omar, Pengarang Hiburan Berita Harian merangkap Pengerusi ABPBH2008, Hanizam Abdullah dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh.

Selain gerai artis, lelongan amal dan jualan kek yang ditaja hotel di sekitar Lembah Klang, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Farawahida, Aizat, Nabil, Atilia, Nita, Zahid, Meet Uncle Hussain, Winnie K, Dafi, Anis Aneesa, Faizal Tahir, Sarah Raisuddin, Saida, Saerah dan Betty Banafe.

Artis lain yang turut hadir menyemarakkan acara ini ialah Rosyam Nor, Erra Fazira, Linda Onn, Sarimah Ibrahim, Fahrin Ahmad, Scha, Farah Diana Annuar, Diddy, Nubhan, Nur Fatima, Chef Wan, Sharifah Amani, Liyana Jasmay, Diana Danielle, Intan Ladyana, Fizo Omar, Kamal Adli, Iqram Dinzly.

Tidak ketinggalan, pereka fesyen Amir Luqman, personaliti TV3, Ally Iskandar, Maria Tunku Sabri, Azizah Ariffin dan ramai lagi.

Harian Metro

Atas Nama Kemanusiaan

25 Jan

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

SEBAHAGIAN daripada artis yang akan turut serta dalam ABPBH 2008 untuk Gaza di Amcorp Mall.

Penggiat seni berkumpul di Bazz-R, Tingkat 3, Amcorp Mall Petaling Jaya untuk jual, lelong barangan peribadi kutip dana Tabung NSTP Untuk Gaza

MEREKA datang dari pelbagai latar belakang dalam bidang seni. Ada penyanyi, pelakon, komposer, penulis lirik, pereka fesyen dan penerbit namun perbezaan itu bukanlah menghalang untuk mereka bersatu dan berganding bahu bagi membantu mereka yang memerlukan atas nama kemanusiaan sejagat.

Dan pada 31 Januari ini bertempat di Bazz-R, Tingkat 3, Amcorp Mall Petaling Jayaaz, niat murni mereka itu dibuktikan apabila mereka turut serta membabitkan diri dalam karnival amal anjuran Kumpulan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) bersempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 yang bakal kembali memeriahkan industri hiburan tanah air 12 April 2009.

Menjanjikan pelbagai aktiviti menarik, karnival amal yang dianjurkan untuk mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza itu menyajikan acara seperti sesi jualan dan lelongan barangan eksklusif dan edisi terhad milik artis, sesi bergambar dan menandatangani autograf serta jualan kek yang akan disumbangkan hotel terkemuka.

Bukan itu saja malah pengunjung pusat beli belah itu juga berpeluang menyaksikan persembahan artis yang akan menyanyikan lagu bertemakan keamanan, kemanusiaan dan anti peperangan bersesuaian dengan tujuan karnival ini diadakan iaitu bagi membantu rakyat Palestin yang menderita akibat kekejaman tentera Israel.

Pada majlis pelancarannya di Balai Berita, Bangsar petang Khamis lalu, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun berkata walaupun ABPBH2008 bersifat hiburan namun itu tidak bermakna mereka tidak boleh terbabit dalam hal yang berkait rapat dengan soal kemanusiaan ini.

“Bagi Berita Harian aktiviti ABPBH tidak tertumpu kepada soal hiburan semata-mata dan dengan pembabitan golongan artis dalam aktiviti ini kami yakin ia akan memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa artis juga mempunyai hati dan perasaan seperti orang lain,” ujar Hishamuddin mengenai acara yang idea untuk menghasilkannya dicetuskan antara NSTP dan superstar Anita Sarawak itu.

Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang; Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) merangkap Penaung ABPBH2008, Datuk Manja Ismail; Pengarang Hiburan Berita Harian merangkap Pengerusi ABPBH2008, Hanizam Abdullah serta barisan artis yang akan terbabit dalam karnival itu seperti Anita Sarawak dan suami, Mahathir Abdullah, kumpulan Meet Uncle Hussain, Farawahida, Farah Annuar, Julfekar, Aizat, Diddy, Nubhan dan Nur Fatima.

Walaupun acara ini anjuran bersama ABPBH 2008 namun menurut Hishamuddin, mereka yang tidak tercalon juga boleh menyertai acara itu kerana ia terbuka buat semua.

“Bukanlah satu kesalahan kalau semua artis dan personaliti popular, sama ada yang tercalon atau tidak dalam ABPBH diajak terbabit dengan aktiviti sosial dan kemanusiaan kerana apa yang penting adalah sumbangan yang diberikan itu sekurang-kurangnya mampu meringankan beban yang ditanggung.

“Contohnya dua tahun lalu ketika dalam siri jelajah promosi di Johor, rombongan ABPBH yang terdiri daripada beberapa pelakon, penyanyi dan personaliti popular singgah melawat mangsa banjir di Muar dan Batu Pahat. Mereka meredah banjir menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir.

“Kehadiran artis popular ini sedikit sebanyak menghiburkan mereka yang mungkin tertekan apabila kehidupan terjejas akibat banjir dan kita harap perkara yang sama juga dirasai rakyat Palestin nanti,” ujar Hishamuddin positif.

Sejak ditubuhkan 6 Januari lalu, Hishamuddin berkata jumlah kutipan Tabung NSTP Untuk Gaza mencecah RM4 juta dan mereka tidak meletakkan sebarang sasaran kutipan pada hari itu.

“Pada hari karnival berlangsung kami tidak mengehadkan jumlah kutipan, sebaliknya mahu memperoleh sebanyak mungkin hasil derma. Kutipan berakhir pada 7 Februari sebelum ia dihantar kepada Wisma Putra,” katanya.

Sementara itu, Hanizam berkata walaupun perancangan dibuat di saat-saat akhir namun acara amal itu tetap mendapat sokongan artis popular untuk turut serta dalam karnival itu.

“Seramai 24 artis popular sudah memberikan pengesahan menjayakan karnival itu. Mereka bersama kami melelong barangan milik peribadi kepada peminat yang hadir. Malah membanggakan apabila Anita Sarawak menjual barangan miliknya,” katanya.

Pada majlis itu kumpulan Meet Uncle Hussain turut memperdengarkan lagu terbaru mereka yang dicipta berdasarkan mangsa peperangan di Semenanjung Gaza berjudul Putihnya Lukisan. Lagu itu juga bakal dinyanyikan kumpulan berkenaan pada hari berlangsungnya nanti karnival berkenaan.

Bongkar gerobok demi program amal

JIKA ada pembaca yang teringin untuk menggayakan pakaian yang pernah tersarung di tubuh Anita atau lebih akrab di sapa Kak Nita, pastikan temu janji pada 31 Januari kerana pada tarikh itu, Anita akan menjual serta melelong pakaian dan juga aksesori miliknya seperti tas tangan dan juga kasut.

”Kak Nita dan Abang Mahathir nanti akan bongkar gerobok untuk melihat mana-mana pakaian yang akan Kak Nita lelong pada hari itu. Antaranya pakaian yang pertama kali Kak Nita pakai masa membuat persembahan di Caesar’s Palace, Las Vegas.

“Setiap pakaian yang hendak di lelong, harga bidanya bergantung kepada nilai sentimental yang ada pada pakaian itu,” cerita Kak Nita ramah.

Bagi pakaian yang hendak dijual, Kak Nita turut menyarankan supaya artis meletakkan sendiri nilai harga pakaian berkenaan bagi memudahkan pembeli.

“Kepada mereka yang berminat untuk membeli jangan risau kerana harga yang akan diberikan adalah berpatutan dan bersesuaian dengan nilai asal sewaktu dibeli,” katanya.

Bagi memberikan elemen kelainan pada acara karnival amal itu, penyanyi berkulit hitam manis dan baru saja memenangi kategori Etnik Kreatif sewaktu Anugerah Juara Lagu ke-23 lalu, Farawahida bercadang untuk menjual kari ayam.

“Iyalah, apabila melihat ramai rakan artis yang hendak menjual pakaian dan aksesori mereka, terlintas dalam fikiran untuk menjual kari ayam. Tapi apabila difikirkan kembali sukar juga sebab mungkin jumlah kutipan nanti tidaklah sebanyak mana berbanding jualan baju atau aksesori kerana takkanlah kita hendak jual kari ayam dengan harga mahal.

‘Tengoklah nanti macam mana tapi buat masa ini, inilah idea Fara untuk sama-sama memeriahkan acara karnival ini serta membantu mereka yang amat memerlukan ini,” ujarnya.

Turut terpanggil untuk terbabit dalam acara ini adalah penyanyi tinggi lampai Diddy. Perasaan sedih melihat nyawa yang tidak berdosa terkorban membuatkan Diddy merasa adalah perlu baginya menunaikan tanggungjawab sosial atas nama kemanusiaan.

“Mungkin sumbangan ini tidak seberapa tetapi bagi Diddy itu sudah memadai untuk melunaskan niat Diddy membantu rakyat Palestin meneruskan kehidupan mereka,” tutur Diddy yang akan menjual single terbarunyanya yang berjudul Sudah, nyanyian secara duet bersama Nur Fatima serta album sulungnya pada karnival itu dan kesemua hasil jualan akan diserahkan sepenuhnya kepada Tabung NSTP Untuk Gaza.

Bagi penyanyi jelita Farah Annuar, perasaan simpati yang meluap-luap terhadap mereka yang kehilangan ayah, ibu, suami, isteri, anak dan saudara mara sewaktu peperangan itu turut mendorong dirinya untuk membabitkan diri dalam acara amal itu.

“Farah mungkin akan menjual pakaian yang Fara pakai sewaktu dalam Diari AF. Kebetulan sebelum ini pun memang ramai peminat Fara bertanyakan pakaian itu. Jadi Fara harap peminat Fara dapat datang beramai-ramai ke sana dan Farah akan berada di sana dari jam 12 tengah hari hingga 2 petang” katanya yang juga akan menjual produk Power Root memandangkan dia juga adalah duta kepada produk minuman kesihatan itu.

Turut menyumbangkan koleksi peribadi untuk dilelong pada hari itu adalah penyanyi yang cukup popular dengan lagu Hanya kau Yang Mampu, Aizat. Memandangkan tubuhnya kini semakin mengecil, Aizat bercadang untuk menjual kesemua pakaian yang menyaluti tubuh gempalnya suatu waktu dulu.

“Lagipun pakaian itu masih elok dan disimpan rapi. Selain itu Aizat ingin juga jual mana-mana baju show yang Aizat tak mahu pakai lagi. Harga untuk pakaian ini semuanya bergantung kepada sejarah dan sejauh mana baju itu memberi manfaat kepada pemakai. Tapi jangan risau kerana harganya nanti amat berpatutan.

“Aizat juga akan menjual kesemua barangan permainan Aizat yang memang tak sesuai dengan usia Aizat ini,” katanya mengecam tindakan Israel itu bukan hanya kerana faktor agama dan bangsa tetapi juga atas nama kemanusiaan sejagat.

INFO: ABPBH 2008 untuk Gaza

Tarikh: 31 Januari 2009

Tempat: Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya

Masa: 10 pagi sehingga 6 petang

Antara aktiviti: Jualan barangan peribadi milik artis dan selebriti, lelongan barangan artis dan selebriti, jualan kek yang ditaja hotel di Lembah Klang oleh artis, sesi bergambar artis bersama peminat, nyanyian oleh artis popular.

Antara artis, personaliti dan selebriti yang sudah mengesahkan kedatangan dan pembabitan: Datin Seri Tiara Jacquelina, Anita Sarawak, Rosyam Nor, Ramli MS, Hattan, Faizal Tahir, Ning Baizura, Jaafar Onn, Erra Fazira, Anuar Zain, Mawi, Meet Uncle Hussain, Aizat, Jaclyn Victor, Scha, Fahrin, Eja, Dayang Nurfaizah, Diana Danielle, Stacy, Chef Wan, Serina Redzuwan, Farah Annuar, Diddy, Nikki, Nubhan, Marsha, Zahid, Nita, Nabil Raja Lawak, Adi Putra, Farawahida, Sofaz, Foziah Gous, Ifa Radziah, Ally Iskandar, Maria Tunku Sabri, Azizah Ariffin, Shamsul Ghau Ghau, Eira Shazira, Dafi, Joe Flizzow, Aaron Aziz, Farish Aziz, Zoey, dan ramai lagi.

Tabung NSTP untuk Gaza

Kepada mereka yang prihatin hulurkan sumbangan ikhlas anda ke Bahagian Kewangan NSTP, 31 Jalan Riong, Kuala Lumpur atau menerusi akaun Maybank 514105-320501, atas nama Tabung NSTP Untuk Gaza.

Sumbangan juga boleh diserahkan ke cawangan NSTP di seluruh negara termasuk syarikat bersekutu NSTP iaitu TV3, 8TV, NTV7 dan TV9 serta rangkaian radio miliknya sehingga 7 Februari ini.

Maybank juga menawarkan khidmat berkenaan menerusi cawangannya di seluruh negara, melalui http://www.maybank2u.com, perbankan telefon KawanKu, mesin deposit cek/tunai atau di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Berita Harian

Sedia Turun Padang

23 Jan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Bukan mengajak ke zon peperangan, cuma singgah di Tingkat 3, Amcorp Mall, bantu kumpul dana untuk disalurkan kepada Tabung NSTP Untuk Gaza

ATAS nama kemanusiaan di bawah paksi kehidupan yang fana, terbit rasa kesedaran dan keprihatinan dek pergolakan kemelut kemanusiaan yang berlaku di Semenanjung Gaza, Palestin di kalangan manusia di seluruh dunia yang menyelar kekejaman rejim Zionis.

Kesengsaraan mereka di sana menimbulkan marak api kemarahan seluruh rakyat di dunia yang menentang sekeras-kerasnya peperangan, sebaliknya mendambakan sebuah keamanan yang nyata.

Hampir setiap hari laporan di dada akhbar dan laman maya menyentak perasaan kita. Tersentuh dan pilu rasa di hati menyaksikan pertumpahan darah terhadap manusia yang tidak bersalah. Mungkin saja kalau kita mempunyai kuasa dan magis hebat menghentikan darah daripada terus mengalir dan membekukan niat jahat, itu saja jalan terakhir untuk menghalang pakatan Amerika Syarikat dan Israel daripada terus berleluasa mengorbankan nyawa.

Lalu, usaha dan bantuan rakyat Malaysia menerusi medium kerajaan, pertubuhan tertentu mahupun orang perseorangan disambut baik segenap peringkat masyarakat di sini. Umum sudah tahu kepekaan negara kita yang begitu sinonim dengan sikap bermurah hati dan usaha kumpulan The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP) mewujudkan Tabung NSTP Untuk Gaza terus meraih sokongan dan perhatian ramai pihak apabila berjaya membuat kutipan memberangsangkan.

Biarpun tidak sebesar mana bantuan atau derma yang diberi, paling tidak pun ia mampu mengurangkan keperitan yang dialami rakyat di sana. Kesinambungan kepada usaha yang dibangkitkan ini, satu jualan dan lelongan amal membabitkan selebriti di Malaysia diberi nama ABPBH 2008 Untuk Gaza akan diadakan pada 31 Januari ini di Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya bermula jam 10 pagi hingga 6 petang. Hasil jualan ini akan disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza.

Bagi bakat baru yang berpotensi seperti Liyana Jasmay, Juliana Evans, Ainul Aishah, Wan Sharmila, Fizo Omar dan Kamal Adli, dalam tangis mengenang derita penduduk Gaza, mereka bersyukur kerana dilahirkan di bumi tercinta, Malaysia.

Enam bintang muda ini berjanji akan cuba meluangkan masa untuk sama-sama beramal biarpun terikat dengan komitmen kerja sebagai anak seni. Jika mahu melihat selebriti kesayangan anda dengan lebih dekat sambil membeli barangan yang bakal dilelong, pastikan temu janji anda untuk menyerbu Amcorp Mall pada hari itu.

Sentiasa berdoa agar kemelut berakhir

PELAKON genit yang bakal muncul dengan album EP Februari ini antara yang gemar melakukan amal dan melihat usaha NSTP sebagai satu tanggung jawab sosial untuk membantu mereka yang memerlukan. Semestinya sebagai manusia, dia sendiri berasa sedih dan geram dengan apa yang sedang melanda rakyat Palestin.

“Saya sendiri menentang dan membenci peperangan. Kenapa perlu kejahatan sedangkan kita boleh menyelesaikan sesuatu isu dengan cara baik. Peperangan bukan jalan terbaik dan terakhir yang boleh diambil jika tidak timbul perasaan tidak puas hati.

“Apalah sangat dengan sumbangan material yang kita dapat salurkan ke negara itu tapi atas kesedaran, usaha murni yang dibuat oleh Berita Harian melalui ABPBH2008 dan NSTP ini sebagai kebajikan tanpa mengambil kira kepentingan rakyat di negara kita saja, sebaliknya melangkaui negara lain. Selain itu, saya sendiri hanya mampu berdoa memohon supaya kemelut ini akan berakhir.

“Saya sendiri mahu mengikut jejak NSTP melakukan kempen mengatakan tidak kepada peperangan, namun soal masa yang menjadi kekangan. Kalau boleh, saya mahu mengajak rakan artis terbabit sama tanpa rasa berat hati,” katanya Liyana yang akan muncul dengan lagu pertamanya berjudul Tak Percaya Cinta.

“Cubit paha kiri, paha kanan terasa”

BAGI pelakon dan pengacara, Juliana Evans dia menyanjung tinggi inisiatif pihak yang sanggup berusaha untuk membantu mengurangkan beban dan kesusahan. Gadis kacukan ini tidak teragak-agak untuk memberi sokongan tidak kira melalui apa cara sekalipun, lalu acara yang bakal diadakan nanti disambut baik Juliana. Katanya, kita patut bersyukur dengan keamanan dan keharmonian yang dikecapi negara kita.

“Di Malaysia majoriti rakyatnya adalah penduduk beragama Islam dan ibarat mencubit paha kanan, paha kiri juga terasa, apa yang dialami rakyat Palestin turut dirasai kita di Malaysia. Mereka juga saudara Islam kita dan tidak salah kita membantu. Ia tanggungjawab kita bersama,” katanya yang akan muncul dengan drama Kasut Tumit Tinggi di Astro Ria mulai 22 Januari ini.

Tersentuh penderitaan rakyat Gaza

“SAYA sedih dan cukup tersentuh melihat kekejaman yang dilakukan tentera Israel kepada kanak-kanak yang tidak berdosa di Semenanjung Gaza. Saya memang tidak sanggup nak tengok kekejaman yang dilakukan,” kata pelakon dan model, Ainul Aishah mengenai peperangan di Palestin.

Malah setiap hari, Ainul atau mesra dengan panggilan Ain, membaca berita terkini di surat khabar dan melayari internet untuk mengetahui perkembangan pergolakan ini. Menurut pelakon yang mula digilap bakatnya oleh Prof A Razak Mohaideen ini dia memuji usaha NSTP yang melakukan promosi besar-besaran untuk mengumpul bantuan kepada rakyat Palestin.

“Ain sendiri bergenang air mata kerana tidak sanggup melihat penderitaan dan azab yang rakyat Palestin lalui. Isu ini juga sering dibincang Ain bersama keluarga dan teman, sambil mempersoalkan bila ia akan berakhir.

“Sebagai rakyat Malaysia, Ain menyambut baik niat murni NSTP mengelolakan tabung ini. Ia sesuatu yang harus dihargai dan disokong seluruh pelosok masyarakat di negara kita,” ungkap Ainul yang akan ke set penggambaran filem keenamnya berjudul Sari Pulang. Februari ini juga dia akan terbabit dengan penggambaran drama Merah Putih arahan Isma Yusof untuk slot Lagenda TV3. Drama ini mengikut perancangan akan disiarkan April nanti.

Selebriti luang masa untuk aktiviti amal

SEMENTARA itu, Wan Sharmila juga beriya-iya untuk menyertai aktiviti amal yang buat julung kali disertainya. Bagaimanapun, kata Sharmila dia akan cuba untuk memboloskan diri ke sana, andai terikat dengan jadual seni. Seperti rakyat lain, isteri kepada penerbit, Fazli Baharom ini turut menderma.

“Ini antara ikhtiar yang mampu kita lakukan demi keamanan sejagat. Dermalah seikhlas yang mungkin dan tidak kiralah berapa nilai derma yang diberi kerana ia cukup bermakna kepada rakyat Palestin. Kita harus bersyukur berada di Malaysia dan saya sendiri mengharapkan keamanan yang dikecapi kita selama ini akan terus berkekalan. Insya-Allah,” kata Wan Sharmila yang kini drama lakonannya Rona Roni Makaroni sedang ligat disiarkan di Astro Ria.

Turut sama melahirkan pandangan yang sama ialah dua pelakon yang bergandingan di dalam drama terbitan KRU Studios berjudul Bionik, Kamal dan Fizo. Penggambaran drama itu akan berakhir pertengahan Februari ini.

Kata Fizo yang juga adik tiri kepada pelakon Noniswara ini, kesusahan yang dialami negara kita jauh sekali peritnya yang sedang di alami penduduk Gaza. Begitu juga dengan Kamal yang begitu bersemangat dan sanggup untuk ke negara itu dengan harapan dapat membantu rakyatnya. Mereka sendiri ada menderma melalui SMS dan secara berdepan ke tabung yang disediakan.

Info ABPBH2008 Untuk Gaza:

Tarikh: 31 Januari 2009

Tempat: Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya

Masa: 10 pagi sehingga 6 petang

Antara aktiviti: Jualan barangan peribadi milik artis dan selebriti, lelongan barangan artis dan selebriti, jualan kek yang ditaja hotel di Lembah Klang oleh artis, sesi bergambar artis bersama peminat, nyanyian oleh artis popular.

Antara artis, personaliti dan selebriti yang sudah mengesahkan kedatangan dan pembabitan:

Datin Seri Tiara Jacquelina, Anita Sarawak, Rosyam Nor, Ramli MS, Faizal Tahir, Erra Fazira, Anuar Zain, Mawi, Meet Uncle Hussain, Aizat, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Diana Danielle, Stacy, Chef Wan, Serina Redzuwan, Farah Annuar, Diddy, Nikki, Nubhan, Marsha, Zahid, Nita, Nabil Raja Lawak, Adi Putra, Farawahida, Sofaz, Foziah Gous, Ifa Radziah, Ally Iskandar, Maria Tunku Sabri, Shamsul Ghau Ghau, Eira Shazira, Dafi dan ramai lagi.

Info Tabung NSTP Untuk Gaza

Kepada mereka yang prihatin hulurkan sumbangan ikhlas anda ke

Bahagian Kewangan NSTP, 31 Jalan Riong, Kuala Lumpur atau menerusi akaun Maybank 514105-320501, atas nama Tabung NSTP Untuk Gaza.

Sumbangan juga boleh diserahkan ke cawangan NSTP di seluruh negara termasuk syarikat bersekutu NSTP iaitu TV3, 8TV, NTV7 dan TV9 serta rangkaian radio miliknya sehingga 7 Februari ini.

Maybank juga menawarkan khidmat berkenaan menerusi cawangannya di seluruh negara, melalui http://www.maybank2u.com, perbankan telefon KawanKu, mesin deposit cek/tunai atau di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Fizo Omar

Nama asal: Wan Hafizol Wan Omar

Umur: 23 tahun

Tarikh lahir: 19 Julai 1985

Tempat lahir: Kota Bharu, Kelantan.

Emel: who_pjo@yahoo.com

Kejayaan: Tempat kedua Hero Remaja.

Ainul Aishah

Nama penuh: Ainul Aishah Azizun

Tarikh lahir: 16 April 1985

Asal: Kuala Lumpur

Filem: Nana Tanjung 1 dan 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria

Drama: KL Menjerit The Series, Enigma dan Anak Mami

Myspace: http://www.myspace.com/ainulaishah

Juliana Evans

Nama penuh: Juliana Sophie Johari Evans

Tarikh lahir: 5 Julai 1989

Asal: Petaling Jaya, Selangor

Darah campuran: British (bapa) dan Melayu (ibu)

Keluarga: Anak bongsu daripada tiga beradik

Drama: Kami The Series (8TV) dan Kasut Tumit Tinggi (Astro)

Filem: Kami The Movies dan Hooperz

Liyana Jasmay

Nama penuh: Liyana Jasmay

Asal: Kuantan, Pahang

Tarikh lahir: 28 Mac 1988

Kerjaya: Pelakon, pelajar

Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-19

E-mel/facebook: liyana_loves@yahoo.com

Kamal Adli

NAMA: Ahmad Kamal Ahmad Adli

PANGGILAN: Kamal

LAHIR: 16 April 1986 di Pekan Pahang

DRAMA: Impian Sunsilk, Renjis 2 dan Bionik

PROGRAM: Pandanganku Ceritaku (Astro) dan Rentak Juara

Wan Sharmila

Nama penuhnya Wan Sharmila Wan Mohamed. Walaupun tubuhnya kecil tetapi usianya sudah 27 tahun.

Berasal dari Johor Bahru, Johor dan dilahirkan pada 12 Oktober 1981.

Profesionnya ketika ini sebagai pelakon dan pengacara.

Wan Sharmila pernah terbabit dalam Yayasan Warisan Johor dan dia juga adalah bekas penari kepada ratu irama tradisional, Noraniza Idris.

Wan Sharmila juga adalah anak saudara kepada pelakon filem dan drama tidak asing lagi, Wan Maimunah. Malahan Wan Maimunah pernah membantu untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang muzik tetapi pada waktu itu, usianya masih terlalu muda.

Banyak berlakon drama bersiri seperti Kisah Kaisara 1 & 2, Sindarella, Emil Emilda, Bujang Antik, Sutun, Kembali Lagi, Rona Roni Makaroni dan Rebab Tak Bertali.

Penghargaan
Pakaian lelaki: Lord’s Tailor
Pakaian wanita: Hatta Dolmat

Berita Harian