Archive | Amy Mastura RSS feed for this section

Anita, Stacy Gegarkan ABPBH2008!

11 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Gabungan baru dan lama menghangatkan persembahan di malam kemuncak anugerah ke-22 ini

KELINCAHAN penghibur berusia 57 tahun, Anita Sarawak di pentas sentiasa memukau. Tenaga serta aura luar biasa yang dimiliki penyanyi hebat ini sentiasa menyalur kehangatan yang sukar diungkapkan dengan perkataan.

Biar bersilih ganti penyanyi datang dan pergi, Anita kekal di hati pencinta bakatnya dan berdiri selesa dalam liga yang tersendiri.

Tidak tercabar, tiada tandingan membuatkan nama yang begitu sinonim dengan lagu rancak seperti Tragedi Buah Epal dan Akhirnya Kini Pasti selain sentuhan balada antaranya Cintamu Muzik Di Hatiku dan Asmara terus mekar dalam sanubari pencinta seni.

Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Arena Of Stars, Genting Highlands, malam esok sekali lagi menyenaraikan nama Anita sebagai antara penghibur yang bakal menghangatkan siaran dipancarkan secara langsung menerusi TV3 itu.

Menyuntik kelainan selain meraikan kehebatan aksi dua bintang berbeza era, Anita yang membuka tirai persembahan dengan Akhirnya Kini Pasti akan ditemani Stacy yang membawakan lagu terbarunya, Gagap.

Bertarung kreativiti dan kekuatan koreografi, kedua-dua penyanyi hebat ini akan menghangatkan pentas dengan gerak tari memukau digarap istimewa untuk kemuncak ABPBH 2008.

Seperti kata Stacy, mengadakan persembahan pada kemuncak acara hiburan berprestij seperti ABPBH 2008 sememangnya menjadi impian terutama untuk penyanyi yang sedang bertapak sepertinya.

“Latihan dibuat sekitar dua minggu kerana saya mementingkan kesempurnaan setiap kali menaiki pentas. Biarpun sudah biasa membawakan lagu Gagap, latihan tetap dipergiatkan kerana saya perlu mencari kelainan untuk acara berprestij seperti ABPBH 2008,” katanya.

Selaras dengan objektif penganjuran ABPBH 2008 yang mengiktiraf penggiat seni pelbagai cabang hiburan, peranan peminat yang selama ini menjadi tunggak pemacu industri juga tidak dipinggirkan.

Justeru persembahan yang dirangka memenuhi kehendak serta kepelbagaian cita rasa kelompok pencinta seni berbeza usia dan kegemaran.

Aspek utama yang ditekankan pada ABPBH 2008 adalah sajian lagu menghiburkan, mencakupi kepelbagaian genre yang membentuk acuan kepada industri hiburan.

Keistimewaan lain yang dijangka memberi warna pada malam kemuncak ABPBH 2008 ialah gabungan kumpulan rock generasi baru, Kristal bersama tiga penyanyi terkenal era 60-an, Datuk A Rahman Hassan, L Ramlie dan Jefrydin.

Gandingan mereka dijangka meledakkan lagi kehangatan ABPBH 2008 apabila bersatu membawakan medley popular seperti Ayahku Kahwin Lagi, Kenanganku dan Tak Mengapa.

“Elemen menarik ini mampu memberi warna kepada perjalanan ABPBH 2008, malah dijangka membangkitkan kejutan kerana jarang gandingan seperti ini dibawa dalam acara hiburan yang menerima liputan meluas”, kata Pengerusi Pengelola ABPBH 2008 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah.

Jamal, Siti, Faizal Tahir merancakkan suasana ABPBH2008

Membariskan nama terbaik, popular serta terkini, acara gemilang itu turut mengiktiraf kehebatan bakat muda seperti Aizat, Farah Asyikin, Faizal Tahir dan Hujan apabila diberi ruang mempamerkan kelebihan mereka di pentas ABPBH 2008.

Setiap mereka akan mempersembahkan lagu popular dan lebih istimewa, buat pertama kali Faizal memperdengarkan secara eksklusif single terbaru yang sedang hangat mendapat putaran radio, Bencinta.

Edisi terbaru ABPBH kata Hanizam, memberi penghormatan kepada pelapis industri kerana mereka ialah penerus legasi yang dicetuskan oleh penggiat seni terdahulu.

“Tiada yang lama maka tiada yang baru. Dalam gemerlapan kerdipan bintang yang diraikan, ABPBH 2008 tidak sesekali meminggirkan mereka yang berjasa serta memberi sumbangan kepada pembangunan industri.

“Peranan mereka sentiasa dikenang ABPBH dan kerana itu slot persembahan dirangka untuk memberi kepuasan kepada semua,” katanya.

ABPBH 2008 juga bakal menyaksikan persembahan istimewa daripada penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza yang mempersembahkan lagu terbaru dipetik daripada produksi Lantera Timur, Di Taman Teman.

Satu segmen khas juga disediakan menyaksikan gandingan penyanyi seperti Jamal Abdillah, Sarah Raissuddin, Ayu (OIAM) dan Diddy yang mempersembahkan medley lagu popular sepanjang zaman.

ABPBH 2008 bakal digamatkan dengan gabungan dua pengacara kreatif, Adlin Aman Ramlie dan Sharifah Shahira yang diberi tanggungjawab berat untuk menerajui program selama dua jam setengah itu.

Ia diserikan dengan kehadiran nama seperti Rozita Che Wan, Ayu Raudhah, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Mawi & Ekin, Lisa Surihani, Farid Kamil, Fizo Omar, AG, Kieran, Zizie Ezette, Nora Danish, Que Haidar & Linda Jasmine, Maya Karin, Eizlan Yusof, Amy Mastura, Norish Karman dan Umie Aida sebagai penyampai trofi.

Berita Harian

Calon Bintang Popular?

10 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff & Serimah Mohd Sallehuddin
bhnews@bharian.com.my

SITI dan Saerah akan menggayakan busana Rizman dan Ruzaini pada malam kemuncak ABPBH 2008.

Lebih sedekad di persada seni, masih ramai peminat sayangkan Siti

UNTUK mengekalkan kedudukan sebagai penyanyi wanita disukai ramai bukanlah mudah. Paling tidak, setiap kali album dikeluarkan, perlu ada lagu yang benar-benar memikat hati peminat atau pendengar.

Tidak cukup dengan itu, imej dan pekerti yang baik harus juga dipertahankan. Selebihnya, mungkin faktor nasib memainkan peranan. Sekurang-kurangnya itulah kata kebanyakan artis yang sudah lama memakan garam.

Bagaimanapun wanita jelita dari Kuala Lipis ini sudah membuktikan, dia mampu melakukannya selama lebih sedekad iaitu sejak 1996. Malah sejak tahun itu sehingga hari ini, belum ada penyanyi wanita yang mampu menggugat kedudukan istimewanya dalam dunia seni. Ramai juga penyanyi wanita lain yang dikatakan bakal menjadi pengganti, tetapi wanita bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ini kekal berkuasa di persada seni.

Bukan di kalangan penyanyi wanita saja namanya dijulang, bahkan penyanyi ini pernah menguasai kedua-dua dunia lelaki dan wanita buat beberapa lama sehingga kehadiran bintang Akademi Fantasia, Mawi. Sejak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1996 sehingga ABPBH 2001, Siti menjulang trofi Bintang Popular sebanyak lima kali. Dia sekali lagi merampas kedudukan itu daripada Rosyam Nor (ABPBH 2002) dan Saiful Apek (ABPBH 2003) pada ABPBH 2004.

Tentunya pencapaian yang bukan kecil untuk seseorang artis mengungguli takhta Bintang Paling Popular sebanyak enam kali. Sehingga kini, dalam sejarah 21 kali penganjuran ABPBH, hanya wanita bersuara lunak ini yang berupaya melakukannya.


SITI akan membuat persembahan, manakala Saerah akan menyampaikan trofi.

Bukan sekadar itu saja, kerana beliau turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjulang trofi Penyanyi Wanita Paling Popular selama 11 tahun berturut-turut. Sejak ABPBH 1996, dia belum pernah melepaskan trofi itu ke tangan penyanyi wanita lain. Bukan kehendaknya, namun peminat bagai sukar sekali hendak menidakkan kemampuan Siti menguasai undian yang diberi.

Tahun ini, mampukah penyanyi yang baru saja muncul dengan album Lentera Timur itu mengekalkan anugerah yang sama apabila pencabar baru seperti Stacy, Mila dan Elyana turut bersaing?

Usah dilupa pada Jaclyn Victor yang pernah menewaskan Siti pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-14 dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik. Tentunya persaingan yang dikira sengit, menyaksikan peminat penyanyi baru dan lama ini cuba menentukan siapakah antara mereka lebih masyhur di persada muzik negara.

Siti sendiri, seperti tahun-tahun sebelumnya, tidak pernah meletakkan harapan yang menggunung setiap kali namanya dicalonkan ke peringkat akhir anugerah itu, yang menyerahkan kuasa ke tangan peminat sepenuhnya.

“Setiap kali Siti dicalonkan sehingga ke peringkat Top 5, setiap kali itulah Siti melihatnya sebagai tanda kepercayaan diberikan peminat kepada Siti. Siti sendiri tidak boleh hanya duduk berdiam diri apabila peminat meletakkan harapan di bahu Siti. Maknanya, Siti perlu bekerja keras untuk memastikan karier Siti sentiasa mahu ke hadapan dan peminat sendiri mendapat kepuasan daripada hasil kerja Siti lakukan.

“Menerusi ABPBH, peminat diberi peluang sepenuhnya untuk memilih artis popular kesukaan mereka. Begitupun, peminat hari ini amat bijak kerana mereka tidak memilih begitu saja.

“Apa saja pilihan dilakukan, ia berteraskan hasil kerja kita sepanjang tahun berkenaan. Lalu, sebagai penyanyi bertanggungjawab, kita harus sentiasa ada keinginan untuk terus memantapkan kerjaya, bukan hanya untuk peminat malah untuk kebaikan industri seni itu,” ujar Siti ketika ditemui sewaktu menjayakan persembahan Sirah Junjungan – Tahajud Cinta di Istana Budaya, baru-baru ini.

Siti tidak lupa untuk berterima kasih kepada peminat yang nyata tidak henti-henti menghulurkan sokongan padu kepada dirinya, dalam apa juga situasi yang dihadapi.

“Peminat tidak perlu risau seandainya rezeki tidak menyebelahi Siti pada kali ini. Begitu juga sekiranya Siti sekali lagi menaiki pentas menerima trofi, kerana perkara paling penting ialah Siti akan terus memberikan sumbangan dalam dunia seni,” kata penyanyi Di Taman Teman ini.

Pada acara kemuncak ABPBH 2008 yang akan berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands, 12 April ini, isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini tentunya akan menaiki pentas utama di hadapan ribuan peminat yang dijangka memenuhi arena. Untuk mengatakan dia menaiki pentas menerima trofi, pasti masih terlalu awal. Yang pasti, Siti akan berada di atas pentas untuk menghiburkan penonton dengan persembahannya.

Selain Siti, bakal menggegarkan Arena of Stars dengan persembahan mereka ialah Anita Sarawak, Jamal Abdillah, Faizal Tahir, kumpulan Kristal, Hujan, Aizat, Siti Sarah, Stacy, Farah Asyikin, Diddy, Ayu Damit, L Ramlee, Jeffrydin dan Datuk A Rahman Hassan.

“Maaflah, Siti belum boleh bercerita mengenai konsep persembahan dan lagu yang akan didendangkan nanti kerana semua itu masih pada peringkat perbincangan lagi,” katanya yang turut menerima ‘kejutan’ tersendiri apabila suami tercinta muncul tiba-tiba sewaktu berlangsungnya sesi fotografi.

Peluang Saerah untuk menyerlah

SEBAGAIMANA kakaknya, Saerah juga akan menaiki pentas ABPBH 2008. Bukan sebagai penyanyi buat persembahan, sebaliknya dia dan seorang lagi kakaknya, Saida, diberikan amanat sebagai penyampai anugerah pada malam penuh gemilang itu.

“Tentu sekali peluang yang diberikan penganjur ini satu pengalaman yang bererti buat saya kerana inilah kali pertama saya ke pentas untuk menyampaikan anugerah sebagai artis.

“Ia peluang yang begitu dihargai kerana ramai lagi artis berharap dapat mengambil bahagian dalam acara sebesar ini. Jadi, saya amat berbangga apabila artis baru seperti saya dan Saida terpilih,” kata Saerah.

Pada malam kemuncak ABPBH 2008 itu nanti, bukan hanya Saida dan Saerah yang akan menyerikan majlis sebagai penyampai trofi. Mereka akan disertai barisan selebriti lain seperti AG Hot FM, Amy Mastura, Ayu Raudhah, Eizlan Yusoff, Farid Kamil, Fizo Omar, Kieran, Lisa Surihani, Lis Dawati, Fauzi Nawawi, Mawi, Ekin, Maya Karin, Nora Danish, Norish Karman, Que Haidar, Linda Jasmine, Rozita Che Wan, Umie Aida dan Zizie Ezette.

Menyentuh perkembangan kerjaya muziknya, wanita peramah ini berkata, dia kini dalam proses menyiapkan album duo bersama Saida, yang diterbitkan oleh syarikat rakaman SNP Sdn Bhd.

“Mengikut perancangan, album kami akan berada di pasaran sekitar Jun ini. Ia bakal memuatkan lapan lagu, dengan masing-masing mempunyai dua lagu secara solo. Tiga lagi lagu dirakam secara duet, manakala sebuah lagu akan menyaksikan kami tiga beradik,” katanya.

Berita Harian

Anuar Zain Tak Mahu Tamak

6 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Biarlah dianggap cerewet asalkan hasilnya memuaskan hati

KETELITIAN dalam mencari yang terbaik untuk setiap hasil karyanya sering disalahertikan hingga ada beranggapan penyanyi kacak, Anuar Zain sebagai seorang yang cerewet dan sukar untuk dipuaskan.

Biar apa juga tafsiran, penyanyi berusia 39 tahun ini tidak gusar meminggirkan tanggapan yang kurang senang dengan ketelitiannya itu.

Melihat perkataan cerewet itu dalam konotasi positif, Anuar berkata, ia berkait dengan keinginan mahu memberikan yang terbaik kepada penggemarnya.

Kata penyanyi lagu Lelaki Ini itu, sebagai pengkarya dia perlu memainkan peranannya supaya khalayak menghargai apa yang dipersembahkan seterusnya mendokong perjalanan kariernya nyanyiannya supaya berpanjangan.

“Saya melihat itu sebagai penghargaan kerana saya mahu cemerlang dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Jadi mengapa perlu orang lain berasa hati kerana saya punya peranan untuk mengangkat karya kita di tahap lebih tinggi.

“Saya mungkin boleh berlebih kurang dengan memberi produk separa matang tetapi akhirnya yang bakal dipersalahkan adalah diri sendiri.

“Disebabkan itu saya kurang faham mengapa dikatakan cerewet sedangkan saya cuma berusaha memberikan yang terbaik kepada penggemar,” tepis Anuar mengenai tanggapan yang sering dilemparkan kepadanya setiap kali menghasilkan album terbaru.

Lelaki berbintang Aquarius ini menyelar sikap sesetengah pengkarya tempatan yang pantas melemparkan tanggapan negatif terhadapnya sedangkan mereka tidak pernah cuba memberikan ciptaan untuk dinilai.

Anuar berkata, sesetengah pencipta lagu gusar menyerahkan karya mereka kepadanya kerana bimbang akan ditolak sedangkan dia tidak pernah meletakkan sebarang standard atau kriteria tertentu dalam sesuatu ciptaan.

“Saya cuma mahukan ciptaan yang baik. Hanya itu. Saya turut memberikan tawaran kepada komposer tempatan, malangnya hingga hari ini belum mendapat apa-apa maklum balas. Tetapi apabila saya bekerjasama dengan komposer Indonesia ada yang melenting dan marah, sebaliknya mereka tidak berbuat apa-apa untuk membantu saya.

“Saya selesa bekerja dengan komposer luar kerana mereka lebih terbuka menerima pandangan dan pantas memberikan apa yang saya mahukan,” katanya yang baru mempunyai dua lagu, satu daripadanya ciptaan komposer tempatan, Kieran Kuek dan Indonesia, Nico Ajibandi untuk album terbarunya.

Pemilik nama penuh, Shahrul Anuar Zain ini berkata, apa yang penting karya yang dihasilkan harus menyentuh hati pendengar dan dia tidak pernah terfikir untuk mencari pengiktirafan pada majlis anugerah.

“Tidak mengapa jika album saya tidak layak dicalonkan untuk Anugerah Industri Muzik atau Anugerah Juara Lagu kerana apa yang penting, lagu nyanyian saya harus menyentuh hati pendengar,” katanya.

Bersyukur ketelitian dalam penghasilan album solo ketiga memberinya jualan selesa dengan lebih 31,000 salinan, Anuar berkata, dia cuba mencari nuansa baru dalam pembikinan album keempatnya.

Mengharapkan album itu dapat diimbangi antara sentuhan balada dan pantas, namun Anuar berkata, kebanyakan komposer cenderung memberikan ciptaan perlahan kepadanya.

Sesuatu yang pasti kata anak kelahiran Merlimau, Melaka ini, album itu akan memuatkan 10 ciptaan baru yang memberi kepuasan kepada penggemar yang lama mendambakan lagu terbaru daripadanya.

“Tenaga yang dicurahkan tetap sama sekali pun saya cuma merakamkan album mini. Jadi lebih baik saya memberikan album penuh.

“Sejak dulu lagi kita sering dimomokkan dengan idea album tidak boleh jual tetapi saya percaya kepada rezeki. Jika kita memberikan produk yang bagus, Insya-Allah, pendengar akan membeli biarpun mengambil masa untuk dipasarkan,” katanya yang tidak meletakkan sasaran bila album itu akan menemui peminat.

Sentiasa positif dalam merencana karier nyanyiannya, Anuar berkata, kebelakangan ini dia mula memperlahankan kemunculannya di khalayak kerana merancang untuk mengadakan sebuah konsert besar.

“Saya tidak tahu bila akan menjadi kenyataan, namun saya berharap ia dapat dilaksanakan tidak lama lagi. Saya sentiasa positif dalam apa yang dilakukan,” katanya mengenai usaha yang dicetuskan sejak tiga tahun lalu.

Kembali menjayakan Minggu Setiausaha

ANDAI tahun lalu Anuar menolak segala keseronokan menjayakan persembahan eksklusif sempena Minggu Setiausaha, April ini dia bersedia apabila bekerjasama dengan Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara untuk acara itu.

Akuinya, dia agak cerewet dalam persembahan di Kuala Lumpur kerana merancang untuk menjayakan sebuah konsert tidak lama lagi.

Katanya, dia tidak terdesak untuk menerima pelbagai tawaran diajukan kepadanya, sebaliknya cuma memilih untuk mengadakan persembahan di Pusat Konvensyen Sime Darby kerana ingin memberikan kepuasan kepada peminat.

“Kalau menerima tawaran lain pun, saya memilih untuk menjayakan persembahan di luar Kuala Lumpur. Saya tidak mahu disebabkan tamak, saya tidak sempat membuat persiapan rapi dan sudahnya semua yang datang tidak mendapat kepuasan. Itu yang saya cuba elakkan.

“Saya tidak percaya dengan prinsip menerima apa saja ketika masih diterima. Rezeki Tuhan itu di mana-mana. Saya mahu bertahan untuk jangka masa yang lama,” katanya.

Anuar berkata, persembahan pada 9 April itu nanti akan memperdengarkan himpunan lagu dipetik daripada album yang pernah dihasilkannya.

“Selain itu saya juga akan menyanyikan beberapa lagu daripada penyanyi lain. Cuma setiap kali mengadakan persembahan, peminat tetap mahukan saya menyanyi lagu daripada album terdahulu.

“Bentuk dan rangka persembahan sudah direncana namun semuanya bergantung kepada suasana pada hari acara. Saya cuma mahu berkongsi saat manis bersama mereka yang datang pada hari itu,” katanya yang akan diiringi Alwyn Santiago yang bertindak sebagai pengarah muzik.

INFO: Anuar Zain Nama Penuh: Shahrul Anuar Zain Tarikh Lahir: 15 Februari 1970 Asal: Kampung Simpang Merpati, Melaka Makanan Kegemaran: Berubah-ubah mengikut selera Minuman Kegemaran: Teh Tarik Warna kesukaan: Perang, biru, kelabu & merah Penyanyi Kegemaran: Ziana Zain, Dayang, Siti Nurhaliza, Whitney Houston Pelakon Kegemaran: Julia Roberts, Amy Mastura, Ellie Suriati Wanita Pilihan: Seseorang yang menerima dirinya sebagai Shahrul Anuar bukan Anuar Zain Visi Anuar : Mengembangkan karier seni ke peringkat lebih tinggi Pencapaian: Vokal Lelaki Pilihan (Anugerah Era 2005), Penyanyi Lelaki Paling Popular (Anugerah Planet Muzik 2005), Penyanyi Lelaki Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2004), Penyanyi Lelaki Paling Popular (Anugerah Planet Muzik 2004), Vokal Lelaki Pilihan (Anugerah Era 2003), Penyanyi Baru Lelaki Terbaik dan Penyanyi Lelaki Terbaik (Anugerah Industri Muzik 1999) Tempahan untuk persembahan makan tengah hari bersama Anuar Zain boleh dibuat dengan menghubungi 03-20893688 atau 3668.

Berita Harian

Comel Kisah Sebenar Remaja

6 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
KISAH remaja mencari identiti diri antara paparan menarik dalam drama bersiri komedi sebanyak 13 episod, Comel terbitan Ace Motion Pictures Sdn Bhd yang menemui penonton TV3 bermula 1 April lalu.

Penerbit dan pengarah drama ini, Aziz M Osman berkata, pihaknya yakin drama itu mendapat sambutan penonton kerana karektor yang dibawa Comel mewakili segelintir remaja di luar sana.

“Sebenarnya, setiap kali buat drama atau sitkom, saya pastikan ia sesuai sebagai bahan hiburan untuk seisi keluarga.

“Justeru, saya tampil dengan kisah Comel yang juga ikon remaja terbaru yang mengadaptasi kehidupan dengan menyuntik nilai positif dan jati diri yang kukuh dalam dirinya,” katanya.

Aziz berkata, idea untuk menghasilkan cerita Comel berdasarkan watak sebenar Chomel, remaja yang bekerja dengan produksinya sendiri.

“Chomel bekerja di bahagian belakang tabir produksi saya, sejak setahun lalu. Saya sudah melihat bakat besarnya ketika dia berlakon dalam drama bersiri terbitan saya, Romeo sebelum ini.

“Dalam Romeo sebelum ini, Chomel bawa watak yang tidak kurang penting dan saya juga puas dengan prestasi lakonannya itu,” katanya.

Aziz berkata, dia berharap drama bersiri Comel memberi gambaran sebenar dunia remaja kepada masyarakat.

“Mungkin ramai yang tidak faham dengan alam remaja itu sendiri dan menyalahkan golongan itu semata-mata bila

mereka terbabit dengan gejala yang tidak baik atau menjadi remaja pemberontak.

 

 

“Perkara itu berlaku kerana ada jurang yang memisahkan golongan remaja dan orang dewasa. Hakikatnya, remaja menjadi sedemikian kerana pengaruh persekitaran.

“Bagi saya, jika kita tidak boleh mengawal mereka, tiada salahnya kita sendiri masuk dalam dunia remaja dan menyelami jiwa mereka untuk membimbing ke jalan betul.

“Saya pernah melalui zaman remaja dan mempunyai beberapa anak remaja yang semakin membesar. Justeru, saya akui bukan mudah mendidik anak remaja pada zaman sekarang. Apatah lagi, ibu bapa moden sibuk bekerja untuk menyara kehidupan dan tidak banyak masa bersama mereka di rumah. Justeru, tidak benar pandangan yang mengatakan remaja dulu lebih baik dari sekarang kerana cabaran mendidik remaja sekarang jauh lebih besar,” katanya.

Mengenai pembikinan drama bersiri itu, Aziz berkata, dia dan rakan kongsi yang juga bekas isterinya, Nur Aliah Lee (Vee) bekerja keras menyiapkan drama bersiri itu seperti direncanakan.

“Penggambaran Comel sudah berakhir dua minggu lalu. Dari segi pemilihan pelakon pula, kami putuskan bersama dengan pihak stesen TV3.

“Selain Comel, saya juga terbabit dengan projek Kisah Kaisara musim baru dan Bong untuk musim keenam dan ketujuh. Setakat ini, semua drama dan sitkom terbitan saya mendapat sambutan menggalakkan. Contohnya, Bong mencatat rating mencecah hampir 1 juta penonton sejak bersiaran,” katanya.

Aziz ditemui di majlis pelancaran drama bersiri Comel di Sri Pentas, TV3, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, pelakon utama drama bersiri ini, Chomel atau nama sebenarnya, Noor Hanis Farhana Shaharudin, 23, berkata, dia tidak ada masalah bekerja dengan Aziz kerana sudah mengenalinya ketika bekerja di bahagian produksinya dulu.

“Saya juga tahu cara dia bekerja kerana pernah menimba pengalaman watak pembantu dalam sitkom Puteri, Romeo dan Bong terbitan produksinya sebelum ini.

“Sebagai pelakon baru, sudah pasti saya tidak ingin sia-siakan kepercayaan yang diberikan Aziz. Pada peringkat awal, saya tidak sangka Aziz akan memberikan saya watak utama Comel kerana saya masih baru dalam bidang seni. Apapun, watak Comel juga tidak jauh bezanya dengan diri saya dan tiada masalah untuk saya merealisasikannya sebaik mungkin,” katanya.

Drama bersiri sebanyak 13 episod Comel menemui penonton TV3 mulai 1 April, setiap Rabu jam 10 malam. Comel juga dibintangi Aziz M Osman (Aben), Amy Mastura (Joji), Zami Ismail (Aki), Farouk Hussin (Borhan), Wan Nur Azlin (Maria), Erin Malik (Myra) dan Keifli (Aiman).

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Amy Utamakan Anak

3 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
SESIBUK manapun dengan aktiviti seni, penyanyi, pelakon dan pengacara Amy Mastura tetap mengutamakan keluarga melebihi segalanya. Malah, kata isteri Alvin Tham Sufian dan ibu kepada dua anak ini, dia tidak menyerahkan tugas menjaga anak seratus peratus kepada pembantu rumah.

Kata Amy, dua anaknya, Adriana, 8, dan adiknya, Adalia, 4 masih kecil dan sebagai ibu, dia perlu memastikan perkembangan anaknya di rumah dan sekolah sepanjang masa.

“Saya jugalah yang mengambil dan menghantar mereka dari sekolah setiap hari. Sibuk manapun saya di lokasi penggambaran program atau drama, saya tetap menjenguk mereka di rumah setiap hari bagi memastikan hubungan saya dan anak-anak erat selepas seharian mereka bersama pembantu rumah,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama bersiri Comel untuk TV3 di Sri Pentas, baru-baru ini.

Ibu muda ini tetap bersyukur kerana rezekinya dalam bidang seni tidak pernah putus sampai sekarang.

“Saya rebut apa saja peluang yang datang depan mata. Malah sepanjang tahun lalu, saya banyak menerima tawaran berlakon.

“Antaranya drama bersiri Kasut Tumit Tinggi dan Lima Jingga yang di siarkan di Astro. Sebenarnya, penggambaran drama itu dibuat tahun lalu tetapi baru disiarkan sekarang.

“Kasut Tumit Tinggi mula disiarkan di Astro Prima (saluran 105) sejak 22 Januari lalu. Drama 13 episod bergenre komedi romantik itu diarahkan Low Ngai Yuen.

“Ia juga menggandingkan saya dengan Norish Karman dan Nanu Baharudin termasuk bakat baru, Juliana Evans. Selain itu, filem Hopperz terbitan Grand Briliance Sdn Bhd.

“Dalam drama Comel pula, saya bawa watak ibu kepada watak utama Comel (lakonan pelakon baru Nor Hanis). Wataknya tidak susah kerana saya juga wanita berstatus ibu. Dalam cerita ini saya ibu yang mencintai alam sekitar.

“Selain lakonan, saya juga berpeluang mengembangkan bakat sebagai pengacara dalam program Apa-Apa Aje yang bersama Shamsul Ghau Ghau yang bersiaran di TV3, sejak awal tahun,” katanya.

 

 

Mengenai perancangan membesarkan lagi keluarga sedia ada, Amy, 38, atau nama sebenarnya, Amy Mastura Suhaimi berkata, buat masa ini, dia dan suami tidak bercadang untuk menambah bilangan anak.

Katanya, cukuplah dengan kehadiran dua cahaya mata comel yang mengikat kasih sayang mereka dan menceriakan mereka sekeluarga.

Dalam kerjaya, Amy juga sudah bersedia dari aspek mental dan fizikal jika diri sudah tidak diterima lagi satu hari nanti.

“Maklumlah, hidup kita bagaikan roda. Mungkin hari ini kita diatas, esok atau lusa mungkin kita dibawah pula,” katanya.

Lebih bermakna, Amy juga tampil dengan bingkisan album terbarunya bagi mengubat kerinduan peminat tahun ini.

“Dalam krisis ekonomi global sekarang, saya bersyukur kepada Tuhan kerana masih berpelung muncul dengan album baru. Album saya yang juga album ketujuh ini berjudul Happy di bawah terbitan Sony BMG Music.

“Saya gembira kerana dapat bekerjasama dengan kawan-kawan lama dalam album ini seperti komposer Panji, Lah VE dan Goh Boon Hoe. Album yang mengandungi sepuluh lagu ini juga menampilkan sentuhan komposer Indonesia, Putra Andre dan Shrek serta masih mengekalkan identiti saya yang dulu.

“Apa yang menarik, dalam lagu Fiesta ciptaan Lah (VE), saya tampilkan kanak-kanak bermain instrumen dari bahan kitar semula iaitu Yawa.

“Lima lagi lagu yang dimuatkan adalah hasil ciptaan sendiri iaitu Langkah Hatimu, Happy, Ini Kasihku, Dingin Malam dan Mencapai Bintang. Hanya satu lagu saja, Mencapai Bintang yang liriknya ditulis pengurus saya, Nana.

“Lebih menarik, syarikat rakaman juga menyelitkan pertandingan yang menawarkan hadiah RM2,000 kepada mereka yang membeli album saya ini,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

ABPBH 2008: Gabungan Artis Lama, Baru Di Pentas ABPBH 2008

19 Mar


SEBAHAGIAN artis yang akan menjadi penyampai anugerah pada ABPBH 2008.

SESUATU acara penganugerahan belum tentu berjaya sepenuhnya jika ia tidak dikendalikan oleh hos berkaliber. Bukan saja pengacara perlu bijak mengawal perjalanan majlis, malah dengan suntikan jenaka spontan, acara pasti berlangsung dengan lebih sempurna.

Secara tradisi, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sentiasa mengetengahkan pengacara yang mampu menghidupkan keadaan. Tidak kira lelaki mahupun wanita, sering kali pengacara anugerah ini menyerlahkan kehebatan mereka di pentas tatkala memikul beban yang bukan kecil.

Nama seperti Fauziah Ahmad Daud, Raja Azura, Anita Sarawak, Salih Yaakob dan Sharifah Shahira sememangnya agak sinonim dengan penganjuran anugerah berprestij ini. Mereka pengacara yang cukup dikenali dengan kemampuan menghidupkan suasana dengan gaya penyampaian serta lawak menggeletek jiwa.

Pengacara itu juga sudah tentu berdebar-debar setiap kali berada di pentas utama. Maklum saja, bukan sekadar penonton di arena yang menyaksikan setiap kelakuan mereka, malah jutaan penonton di rumah turut memberikan perhatian. Lalu, profesional mana sekalipun seseorang pengacara, pasti ada sekelumit rasa gementar apabila mereka berdiri di depan khalayak.

Shahira yang terpilih mengendalikan acara kemuncak ABPBH 2008 di Arena of Stars Genting Highlands pada 12 April ini tidak terkecuali. Akui wanita cantik ini, walaupun sudah sekian lama bergelar pengacara, malah kali kedua mengendalikan ABPBH, dia masih lagi tidak dapat menghilangkan debaran di dada terutama apabila diberi kepercayaan mengacarakan anugerah sebesar anjuran Berita Harian ini.

Begitupun, pelakon ini tetap menyahut cabaran yang diberikan, dengan menganggapnya sebagai penghormatan cukup tinggi untuk dirinya.


TIGA penyanyi veteran yang akan menghiburkan penonton pada malam kemuncak, dari kiri; A Rahman Hassan, L Ramlee dan Jeffrydin.

Pada acara gilang-gemilang bertemakan Sentuhan Tenun itu nanti, Shahira akan berpasangan dengan pelakon Adlin Aman Ramlie. Gandingan mereka pastinya membuatkan peminat ternanti-nanti acara kemuncak, apatah lagi ABPBH 2008 menjadi acara pertama kedua-dua insan popular ini disatukan sebagai pengacaranya.

Apakah nanti Shahira mampu menangkis ‘serangan’ Adlin menerusi jenakanya? Apakah juga dia berjaya memintas lawak spontan si lelaki yang baru saja menjadi tunangan pelakon Emelda Rosmila? Sama-sama kita tunggu acara kemuncak ABPBH 2008 yang akan berlangsung beberapa minggu dari sekarang.

Selain pengacara, tentu sekali artis yang bakal mengadakan persembahan pada malam gemilang itu juga menjadi tumpuan. Jika barisan artisnya kurang memberangsangkan, tentulah peminat berfikir dua kali sama ada untuk terus menonton rancangan berkenaan atau berpindah ke saluran lain.

Justeru, ABPBH sentiasa menampilkan penyanyi atau penghibur terbaik untuk memastikan peminat sentiasa melekat di saluran sama setiap kali ABPBH berlangsung. Formula yang dilihat cukup mengesankan kerana setiap kali berlangsungnya anugerah ini, setiap kali itulah rekod rating tontonan diperbaharui.


KUMPULAN Kristal antara artis yang bakal menggegarkan Arena of Stars, 12 April ini.

Kali ini, sekumpulan penyanyi popular, gandingan baru dan lama, disenaraikan penganjur untuk menghangatkan lagi majlis anugerah.

Penyanyi hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Jamal Abdillah, Siti Sarah dan kumpulan Kristal sudah semestinya menjanjikan persembahan yang tidak akan dilupakan peminat. Tidak cukup dengan nama besar itu, diundang sama ialah angkatan baru seperti Faizal Tahir, Hujan, Stacy, Aizat, Diddy, Farah Asyikin dan Ayu OIAM.

Lebih menarik, ABPBH 2008 tidak melupakan penyanyi yang terlebih dulu memeriahkan industri muzik tanah air. Lalu, peminat akan bergoyang sama dengan irama merdu dendangan Datuk A Rahman Hassan, Jeffrydin dan L Ramlee. Tentu sekali gabungan persembahan yang amat menarik bakal berlaku pada acara kemuncak nanti.

Tidak lengkap majlis anugerah tanpa kemunculan penyampai yang menghiasi pentas. Pada edisi ke-22 ini, sekali lagi senarai selebriti yang panjang disediakan penganjur untuk menyerikan lagi acara. Mereka mewakili pelbagai bidang seni seperti lakonan, nyanyian, pengacaraan dan penyampaian radio.

Penyampai anugerah kali ini terdiri daripada AG Hot FM, Amy Mastura, Ayu Raudhah, Eizlan Yusoff, Farid Kamil, Fizo Omar, Kieran, Lisa Surihani, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Mawi, Ekin, Maya Karin, Nora Danish, Norish Karman, Que Haidar, Linda Jasmine, Rozita Che Wan, Saida, Saerah, Umie Aida dan Zizie Ezette.

Info:

MAJLIS pengumuman tema, pengacara, penyampai dan artis persembahan ABPBH 2008 berlangsung dalam suasana cukup meriah di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, 17 Mac lalu.

PENGACARA majlis, Faizal Ismail dan Anne Hot FM, memperkenalkan barisan pengacara, penyampai dan artis diperkenalkan kepada wakil media. Sebelum itu, dua selebriti jelita, Nurul Alis (Kiki) dan Diana Danielle memperagakan rekaan songket oleh Zack Ismail dan Calvin Thoo.

DIPERKENALKAN juga ialah barisan pereka fesyen yang akan bersaing sesama sendiri dalam Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH 2008. Pereka terbabit bertanggungjawab menyerlahkan penampilan selebriti lelaki dan wanita pada acara kemuncak di Genting Highlands nanti.

TURUT menjadi perhatian hadirin ialah patung dengan pakaian songket dari Kraftangan Malaysia, yang menghiasi beberapa sudut lokasi majlis.

Berita Harian

Setengah Juta Tonton Kelab Pop

16 Mar

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
SEJAK disiarkan, program game show, Kelab Pop berjaya menarik perhatian ramai.

Selain mencatat jumlah penonton yang meningkat, program yang dikendalikan Reza Mohamed turut mencuri perhatian setiap selebriti tempatan untuk mengambil bahagian.

Program yang diadakan dengan tujuan hiburan bermaklumat itu hanya disertai golongan selebriti dan dijalankan secara berkumpulan.

Musim kedua program disiarkan setiap Rabu jam 9 malam menerusi Astro Ria (Saluran 104) bermula 20 Mei ini.

Bagi mengekalkan reputasi program berkenaan beberapa pembaharuan dilakukan seperti perubahan set dan beberapa jenis permainan baru.

Antara yang menjadi tarikan ialah lagak seorang gadis Inggeris yang menyanyi lagu Melayu dengan cara tersendiri mengikut apa yang didengar daripada alat pendengar.

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata pihaknya menerima maklum balas positif daripada selebriti yang ingin mengambil bahagian dalam program berkenaan begitupun kesibukan memenuhi aktiviti seni sedikit sebanyak menghalang pembabitan mereka.

“Sebenarnya kami buka penyertaan ini kepada semua selebriti. Bukan hanya pelakon dan penyanyi, malah kami turut mempelawa jurumekap artis dan pihak media juga turut terbabit dalam program ini.

“Program ini sekadar hiburan untuk peserta dan penonton yang menyaksikannya.

“Walaupun program ini diilhamkan mengikut format dari Jerman, Pop Club namun kami sudah melakukan beberapa perubahan selain mementingkan pengisian hiburan dan kandungan yang sesuai dengan penonton tempatan,” katanya.

 

 

Program berkenaan adalah antara himpunan program game show menarik yang diterbitkan Astro bermula Bolos, seterusnya Jangan Lupa Lirik.

Musim pertama siaran program berkenaan mencatat lebih 513,000 jumlah penonton setiap kali disiarkan.

Jumlah berkenaan tersenarai antara tertinggi bagi program game show.

Menurut Khairul, pihaknya tidak bercadang untuk menawarkan hadiah wang tunai atau trofi khas sebagai ganjaran kepada pemenang untuk musim baru ini.

“Kami masih mengekalkan hadiah trofi kepada pemenang. Setiap peserta hanya perlu melalui satu episod permainan. Tanpa perlu menyertai peringkat saringan atau membabitkan peringkat akhir.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan akan mengadakan program berkenaan di pusat beli-belah jika sambutan mendapat sambutan lebih memberangsangkan,” katanya.

rogram game show hiburan diketuai Penerbitnya, Sazilatul Ahamad menampilkan pelbagai segmen antaranya soal & jawapan, pop berantai, CD Rosak, runut bunyi, budak baru belajar, goreng kaw kaw, versi versus, sekalijehit!, biar betul dan suara buluh kasap yang dijalankan secara kumpulan yang membabitkan tiga individu.

Selain itu, permainan baru membabitkan buskers, tiru macam saya dan Mr Saxophone. Artis yang terbabit dalam program musim ini antaranya Accapan, Mr Os, Ebby Yus, Louisa Chong, Kenchana Devi, Nora Danish, Sherry Ibrahim, Nana, Nila Kurnia, Fara Fauzana, Intan Ladyana, Ezlynn, Ilyaka, Ifa Raziah, Roslan Shah, Lana Nordin, Fazura, Nabila, Liyana Jasmay, Raja Farah, Fauziah Gous, Nubhan, Aizat dan Ayu (One In A Million).

Turut serta Ahmad Karsan, Amyza Adnan, Yasmin Hani, Azwan Ali, Ropi Cecupak, Enot, Ferhad, LnJ RL, Talam RL, Sasha, Andy Flop Poppy, Lan Meet Uncle Hussein, Zahida Rafik, Zizie Izette, Abby Abadi, Linda Onn, Amy Mastura, Norish Karman, Sazzy Falak, Farouk Hussein, Mawi, Ekin, Khai, Rosma, Fazli Zainal dan Anita Baharom.

Harian Metro