Archive | Amy Mastura RSS feed for this section

Info TV: TV2 Perkenal Slot Sinema Ahad@2 Mulai Mac

26 Feb


SLOT Sinema Ahad @ 2 akan disiarkan setiap Ahad jam 10.30
malam menerusi TV2 bermula 1 Mac.

DALAM usaha memberikan kepuasan kepada khalayak penonton setia salurannya termasuk terbitan tempatan mahupun negara serumpun Indonesia, RTM menerusi TV2, akan memperkenalkan slot baru.

Slot Sinema Ahad@2 yang akan memulakan siarannya mulai Mac ini bakal membariskan filem hebat tempatan dan Indonesia seperti Jatuh Cinta Lagi, Puteri Impian 2, Jangan Panggil Aku Cina dan Lang Buana

Ia bermula dengan filem Jatuh Cinta Lagi yang akan disiarkan pada 1 Mac lakonan penyanyi terkenal, Krisdayanti di samping pelakon Gary Iskak, Cornelia Agatha dan Endhita. Filem ini mengisahkan Lila yang menaruh kepercayaan bahawa lelaki yang dikenalinya bernama Andre bukanlah lelaki yang boleh dipercayai. Dia menjadi hilang sabar dan tidak mempercayai lelaki yang baginya hanya tahu mengambil kesempatan terhadap wanita. Sementara Andre pula tidak berminat mahu berurusan dengan orang yang mementingkan diri dan wanita yang tidak ada unsur jenaka dalam dirinya.

Tanpa diduga, mereka terpaksa bekerjasama dalam menyelesaikan kes perceraian penyanyi kelab dangdut terkenal dengan suaminya. Andre berpihak di sebelah suami penyanyi itu yang mahu menuntut hak penjagaan anaknya berusia tujuh tahun, manakala Lila pula di pihak penyanyi itu. Lalu mereka mengaturkan strategi masing-masing dan tanpa diduga terbit perasaan cinta di hati masing-masing yang sukar untuk dinyatakan antara mereka berdua.

Pada 8 Mac pula, filem Puteri Impian 2 menyusul yang dibintangi pelakon Amy Mastura, Cico Harahap, Aliah Lee, Azri Iskandar, Sarimah dan Azman Hassan.

Filem arahan Aziz M.Osman mengisahkan Nora, bekas gadis kilang yang menolak lamaran kerabat diraja, Tengku Faizal. Tengku Farid, adik Tengku Faizal tersinggung apabila Nora menolak cinta abangnya. Dia bertekad untuk membersihkan kembali nama baik keluarganya serta membawa Nora ke pangkuan abangnya. Sementara itu, Nora masih menaruh harap kepada Zul, jurukamera stesen televisyen yang dikenalinya. Tetapi Zul mula menjalinkan hubungan dengan Lisa.

Begitu pun kepada peminat setia filem Indonesia, usah ketinggalan meluangkan masa menonton Jangan Panggil Aku Cina yang akan disiarkan pada 15 Mac.

Filem yang popular sekitar tahun 2003 ini adalah hasil skrip Viva Westi yang pastinya mampu menghiburkan penonton dengan plot ceritanya yang menarik sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Filem komedi Lang Buana yang dilakonkan oleh anggota kumpulan Senario bakal disiarkan pada 22 Mac yang akan membawa kita ke zaman abad ke-19.

Tetapi kisah yang dipaparkan berkaitan dengan masyarakat Malaysia hari ini. Ia mengisahkan tiga orang pemuda bernama Gunung, Daik dan Bercabang yang melarikan diri daripada menjadi hamba abdi kepada Orang Kaya Seri Bentan. Mereka bertiga berhenti di sebuah kota bernama Lang Buana di pinggir sebuah sungai. Setibanya di kota itu, mereka disambut meriah kerana disangka putera raja yang dapat menyelamatkan kota itu daripada serangan Sang Nira. Terperangkap oleh keadaan, ketiga pemuda berkenaan terpaksa menyamar menjadi putera raja dan merangka taktik peperangan bagi memperkuatkan benteng pertahanan Lang Buana.

Slot Sinema Ahad @ 2 akan disiarkan setiap Ahad jam 10.30 menerusi TV2 bermula 1 Mac.

Berita Harian

Gaya Sederhana, Sikap Humor

11 Feb

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

‘Happy’ buah tangan terbaru Amy Mastura untuk peminat bagaikan kena dengan dirinya

TAHUN ini masuk 16 tahun artis bertubuh kecil molek, Amy Mastura melayari hidup sebagai selebriti. Merenung dan menyelak laluan panjang ibu kepada dua anak ini, ternyata Amy masih bertahan merentasi graf naik turun dalam dunia yang penuh cabaran.

Amy antara penyanyi yang kalis gosip liar dan kontroversi, malah setiap hayunan langkahnya masih kemas dan tiada sangsi dek pemerhati di luar sana.

Isteri kepada Alvin Tham Sufian hadir ke Balai Berita dengan gaya sederhana namun ada aura menawan yang dapat disingkap. Sikap rendah diri dan sisi humornya masih tebal hingga mampu membuatkan sesiapa yang mendekati atau mengenalinya, mampu tersenyum gembira. Bagaikan kena dengan judul album ketujuhnya berkonsepkan pop, Happy menjadi buah tangan baru dijangka berada di pasaran Februari ini.

Cuba memanfaatkan kipas meja yang kebetulan ada di dalam studio, pelbagai aksi dan mimik muka cuba dilakukan penyanyi yang dikenali dengan lagu Jawapan Kasih dan Meniti Hari ini. Semudah bacaan A hingga Z dan seiring dengan pengalamannya, namakan saja gaya yang diingini, Amy mampu merealisasikan dengan rambutnya mengerbang cantik dihembus angin. Riuh studio gara-gara ketawa pengacara Apa-Apa Aje musim terbaru di TV3 ini menggantikan pengacara asal, Sheila Rusly.

2009 menjadi permulaan yang baik kepada wanita kelahiran Ipoh ini apabila rezeki tidak pernah putus singgah ke dalam diari hidupnya. Dia antara penyanyi wanita era 90-an yang masih dianggap mekar di hati peminat, malah ada saja perkembangan terbaru yang ingin dikongsinya, tidak kira sama ada dalam bentuk lakonan, pengacaraan TV dan lakonan. Menyentuh mengenai lakonan, drama terbaru lakonannya, Kasut Tumit Tinggi sudah mula disiarkan di Astro Prima (saluran 105) sejak 22 Januari lalu.


WAJAH ceria Amy terus melekat di hati peminat.

Drama 13 episod bergenre komedi romantik dan diarahkan Low Ngai Yuen (bekas pengacara program 3R) menggandingkan Amy dengan pelakon hebat seperti Norish Karman dan Nanu Baharudin termasuk bakat baru, Juliana Evans. Terbabit sama di dalam drama yang memakan masa tidak sampai sebulan itu, menjadi satu pengalaman berharga buatnya.

“Ini kali pertama saya berlakon di bawah arahan Low Ngai Yuen dan produksi Double Vision. Menimba pengalaman di produksi berbeza membolehkan saya mengutip banyak ilmu buat bekalan di dada. Apa yang saya dapat katakan satu kelainan dapat berlakon di dalam produksi ini. Saya juga tidak berdepan dengan masalah, malah komitmen pelakon yang terbabit juga menyenangkan.

“Bekerja dengan pengarah (Low Ngai Yuen), dia jenis yang pantas bekerja, tegas dan dia tahu apa yang inginkan. Dia bijak mengawal tahap lakonan setiap pelakon dan memudahkan kepada kita sebagai pelakon untuk memberikan apa yang diingininya. Paling menyeronokkan lagu single pertama saya Langkah Di Hatimu,” katanya ringkas dan drama 13 episod ini boleh ditonton pada setiap Khamis jam 10 malam.

Bakal menginjak usia 38 tahun pada 10 Mei ini, bidang nyanyian kini bukan lagi keutamaan sebaliknya ia diseimbangkan dengan apa saja punca rezeki yang boleh diusahakannya. Kalau dulu sewaktu berjaya muncul dengan album sulung, memang iya, dunia nyanyian sudah memadai buatnya. Namun seiring dengan peredaran masa dan peningkatan kos sara hidup, dia perlu bijak mencuri peluang yang ada di depan mata.

Bersyukur dengan apa yang dilalui

KATA Amy, apa yang diceburinya kini dilakukan atas paksi minat dan suka. Pada tahapnya kini, elemen populariti mungkin bukan segala-galanya, sebalik ia adalah bonus jika masih ada pihak yang menghargai bakat seninya. Katanya lagi, apa yang dilakukan kini atas dasar tanggungjawab dan sumber mata pencarian.

“Saya bersyukur dengan apa yang saya lalui. Kalau ada peluang baru di depan mata, kenapa tidak saya mencabar diri mencubanya. Apa yang bakal berlaku di kemudian hari, tiada di dalam gambaran mata kasar saya. Semuanya sudah ditetap Yang Maha Esa. Begitu juga kisahnya, sewaktu saya diberi peluang mengacarakan Apa Apa Aje bersama Shamsul Ghau Ghau. Saya amat berterima kasih kepada pihak pengurusan TV3 yang menawarkan tugas ini.

“Ia adalah satu cabaran besar apabila diberi tanggungjawab mengambil alih daripada hos asal Sheila Rusly yang memang diakui cukup bagus orangnya. Saya berharap tidak dibandingkan dengannya, Sheila ada caranya tersendiri dan begitu juga dengan saya. Selagi orang memberi kepercayaan untuk kita melakukan kerja, saya akan cuba melakukan sebaik mungkin.

“Di zaman ini juga banyak tawaran berlakon yang kunjung tiba kepada saya. Syarikat produksi juga semakin berkembang dan stesen TV banyak memberi peluang kepada saya. Sama halnya, apabila pihak Sony BMG Music masih berminat untuk membikin dan mengedar album terbaru saya. Ia umpama rahmat bermakna untuk saya terus mensyukuri nikmat kurniaan Tuhan,” katanya yang bakal muncul dengan filem Hopperz dijangka pada tahun ini.

Membelek episod rumah tangganya di samping suami dan dua anak, Adriana dan Adalia, alhamdulillah bahagia masih erat mendakap kehidupannya. Diusik pertanyaan mengenai hasrat menambah bilangan anak, pintas Amy Mastura sambil berseloroh, anak ketiga belum ada di dalam senarai carta. Masih comel di usia yang hampir larut, Amy tidak mempunyai petua tertentu sebaliknya melalui aturan hidup ini sebagaimana yang sudah ditentukan Tuhan.

“Tiada apa-apa rahsia, mungkin apa yang saya hanya terus bergembira seadanya. Semua manusia di dalam dunia ini akan jadi tua juga pada akhirnya. Itu pasti dan tidak boleh dielak. Ia satu ketetapan yang pasti.

“Gaduh-gaduh manja itu biasalah dalam kehidupan berumah tangga. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula kita manusia biasa Alhamdulillah, sesibuk mana saya sekalipun, masa dengan anak-anak tetap ada. Setidak-tidaknya kalau saya dapat hantar Adriana ke sekolah, sudah memadai dan menyejukkan hati saya,” katanya yang sentiasa mengalu-alukan kehadiran bakat baru sekali gus memeriahkan persada seni.

SEPINTAS: Amy Mastura

Nyanyian: Terapi hiburan yang bercambah di dalam zon minat dirinya.

Sikap: Janji gembira

Lakonan: Membolehkan dirinya berasakan bagaimana menjadi diri orang lain dengan tuntutan watak yang diberi.

Impian 10 tahun: Masih di sini, terus berada di dalam industri yang dicintai sejak sekian lama.

Nana: Pengurus kepada dirinya, seperti diari bergerak, operator, penunjuk arah jalan dan pendek kata, kalau tiada Nana, sesat jalanlah jawabnya (usik Amy Mastura).

Happy: Judul album ketujuhnya yang mengandungi 10 buah lagu menampilkan komposer seperti Panji, Lah VE, Goh Boon Hoe dan Andry. Lima lagu yang dimuatkan adalah hasil ciptaan Amy Mastura sendiri iaitu Langkah Hatimu, Happy, Ini Kasihku, Dingin Malam dan Mencapai Bintang. Cuma lagu Mencapai Bintang saja menggunakan lirik nukilan pengurusnya, Nana.

PROFIL:Amy Mastura

Tarikh Lahir: 10 Mei 1971Keluarga: Anak bongsu dua beradik.Diijab kabulkan dengan Alvin Tham Sufian pada 30 Jun 2000 di kediaman keluarganya di Ipoh, Perak dan bersanding di Dewan Bandaraya Ipoh pada 1 Julai 2000.Mempunyai dua cahaya mata Adriana, 7 dan Adalia, 3.Bertugas sebagai pramugari di MAS selama lima tahun.Duta bijirin kesihatan, Quaker Oat, jam Omega, produk Leno dan pusat kesihatan Slim WorldMenjuarai pertandingan Asia Bagus yang ketiga pada 1993 di Jepun Pernah mewakili Malaysia dalam Asian Pop Queen Festival 1994 di Jepun.

Kejayaan:Meraih anugerah Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada 1995.Pernah berduet dengan Tommy Page di dalam lagu The Best Part.Bekas VJ MTV Syok.Pernah menjadi model Shiseido Pureness, Aiwa, Adidas, Omega, Axion Spring Fresh dan Lux.Merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik FFM14 pada 1999.Pernah berduet dengan Glenn untuk lagu Dengarkanlah.Memenangi kategori Pop Rock untuk lagu Bintang Hati dalam Juara Lagu 2000.

Solekan: Hadthim Thai (012-3205686)

Berita Harian

Keluhan Hati Erma Fatima

5 Feb

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


ERMA sanggup pergi ke Palestin untuk menghulurkan bantuan walaupun perang sedang meletus.

PADA wajahnya jelas ada riak kekecewaan. Selepas diselidiki, rupa-rupanya pengiat seni tanah air yang dikenali dengan nama Erma Fatima sedikit terkilan dengan sikap karyawan seni tanah air.

Dia sebenarnya kecewa dengan sambutan golongan artis terhadap upacara solat hajat yang diadakan sempena Doa Buatmu Palestin baru-baru ini.

Upacara tersebut sepatutnya disertai ramai penggiat seni di Malaysia yang bukan sedikit jumlahnya, namun yang hadir hanya kira-kira 100 orang termasuk tetamu kenamaan, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafei Apdal.

“Saya amat gembira dengan perjalanan malam Doa Buatmu Palestin selama dua hari berturut-turut, cuma saya kurang berpuas hati dengan upacara solat hajat yang dibuat di lobi Istana Budaya.

“Sepatutnya solat hajat itu disertai oleh lebih ramai karyawan seni. Perkara ini amat menyedihkan saya. Yang saya lihat turut serta dalam solat hajat itu ialah Linda Onn dan Rabbani.

“Entahlah, saya tidak tahu ke mana perginya artis-artis lain termasuk generasi muda,” luah Erma hampa.


RABBANI juga tidak ketinggalan memberi sokongan seratus peratus untuk majlis amal ini.

Melupakan seketika kedukaan yang dialami, Erma menjelaskan, dia berterima kasih kepada golongan selebriti yang turut meluangkan waktu menghadiri acara Doa Buatmu Palestin.

“Bayangkan, artis-artis yang hadir membuat persembahan tidak diberikan sebarang bayaran apatah lagi wang sagu hati, tetapi mereka tetap datang untuk membabitkan diri dalam majlis amal.

“Tiada sebarang keluhan kerana mereka beranggapan soal bayaran tidak menjadi keutamaan,” tambah Erma yang bertindak selaku Pengerusi Doa Buatmu Palestin.

Diadakan selama dua hari, bermula pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam, setiap waktu terisi dengan pelbagai aktiviti seperti solat hajat, karnival jualan, mengaji, berzikir, selawat, bacaan puisi, konsert Palestin serta pameran.

Sebanyak 100 buah gerai dibuka di pekarangan Laman Santai yang juga disertai oleh artis-artis seperti Awal Ashaari, Rebecca Nur Islam, Maya Karin, Umie Aida, Linda Onn, Julia Ziegler, Enot, Rubiah Suparman, Ayati Tasrip dan lain-lain.

Artis yang terbabit dalam lelongan amal pula terdiri daripada Aleeza Kassim, Amy Mastura, Erra Fazira, Fazli Zainal, Fahrin Ahmad, Nur Fazura, KRU, Liyana Jasmay, Melissa Saila, Umie Aida, Zahida Rafik, Rosyam Nor dan Vanidah Imran.

Majlis turut diserikan dengan persembahan artis seperti Rabbani, Fazli Zainal, Betty Banafe, Aqasha, Salwa Abdul Rahman, Sarah Raisuddin, Ezlynn, Siti Fairuz, Noryn Aziz, Raihan, Jamal Abdillah dan Ramli Sarip.


TIGA pendeklamator puisi kebangsaan, (dari kiri), Tengku Khalidah Tengku Bidin, Leftenan Kolonel Radzi Abdul Hamid dan ASP Rosebaini Kassim mendeklamasikan sajak mereka sambil diiringi petikan gitar, Asman Hashimie Abdullah.

Pereka-pereka fesyen tempatan seperti Albert King, Jovian Mandagie, Micheal Ong, Calvin Thoo, Radzuan Radziwill dan lain-lain turut hadir membuat jualan di gerai masing-masing.

“Semua hasil keuntungan barang yang dijual di gerai artis-artis dan sumbangan pengunjung dimasukkan terus ke dalam dana Tabung Kutipan Palestin.

“Pada hari pertama acara ini diadakan, saya telah mengutip derma sebanyak RM50,000. Dicampurkan dengan malam seterusnya, sumbangan keseluruhan yang diperoleh dianggarkan hampir mencecah RM100,000.

“Tiada yang lebih membahagiakan saya dengan jumlah wang yang diperoleh untuk tempoh dua hari.

“Saya bersyukur sangat sebab rancangan bagi menjayakan Doa Buatmu Palestin bersama-sama artis lain, berjaya menampakkan hasil yang membanggakan,” tutur Erma teruja.

Buktikan artis turut prihatin

Sebenarnya Erma terpanggil untuk turut menjadi sukarelawan membantu rakyat Palestin yang dizalimi Zionis ekoran gurauan seorang teman.

Teman yang dimaksudkannya ialah Datuk Shazally Ramli yang menegaskan kepada Erma bahawa golongan artis tidak memiliki kekuatan untuk menjadi sukarelawan membantu penduduk Palestin.

Tidak menganggap gurauan itu sekadar satu usikan nakal, sebaliknya ia jadi pembakar semangat buat Erma untuk direalisasikan kepada khalayak bahawa selebriti juga mampu mempamerkan sumbangan jika diperlukan.


JAMAL mendendangkan lagu Seroja dengan penuh emosi.

Menurut Erma, pada awalnya dia terkejut dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom itu kononnya golongan artis sekadar melihat begitu sahaja konflik di Gaza tanpa dapat memberikan apa-apa sumbangan termasuk menjadi sukarelawan Malaysia ke Semenanjung Gaza.

“Saya sedar bukan senang untuk jadi seorang sukarelawan. Apabila sampai sahaja di negara itu, sudah pasti kita sendiri akan berasa terkejut melihat situasi sebenar.

“Berhadapan dengan realiti melihat insan termasuk kanak-kanak yang terbunuh dan cedera parah, kita tidak mampu untuk berdepan dengan situasi genting itu.

“Saya percaya tidak semua selebriti mementingkan diri, sebaliknya saya memiliki beberapa sahabat yang teruja untuk mengambil bahagian sebagai sukarelawan ke Semenanjung Gaza.

“Saya tidak terguris dengan kata-kata Shazally, sebaliknya saya anggap ia sebagai cabaran terbesar untuk saya membuktikan artis juga boleh menjadi sukarelawan,” kata Erma semasa ditemui pada majlis itu.

Bukan calang-calang sumbangan, sebaliknya ia memerlukan sepenuh kekuatan mental dan fizikal apatah lagi mendalami perkara baru yang melibatkan soal korban nyawa dan insan mengalami cedera parah.

Mengimbas detik dia diusik oleh Shazally, Erma berkata, tokoh korporat itu sengaja mahu menyakat dirinya setelah dia menguar-uarkan tentang karnival kebajikan yang ingin dilaksanakan.

Barangkali naluri Erma yang penuh sifat kemanusiaan dan kesejagatan, terus tersentuh dengan usikan daripada rakan.

Lantaran itu, Erma mengambil keputusan untuk menubuhkan ‘tentera’ khas yang merupakan sukarelawan artis.

“Untuk permulaan, saya akan melatih jawatankuasa Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan.

“Mereka yang bakal dilatih ini tidak hanya terhad membantu mangsa serangan Israel di Gaza, sebaliknya berperanan untuk memberi pertolongan jika ada bencana alam di negara sendiri.

“Saya akan cuba mendapatkan khidmat doktor pakar untuk melatih pasukan sukarelawan saya tentang langkah-langkah yang betul bagi memberi pertolongan cemas dan bantuan kepada mangsa yang terlibat dalam kekejaman di Gaza.

“Mudahlah sedikit kalau sudah ada sukarelawan sendiri yang dapat hulurkan bantuan pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan keadaan,” tegas Erma.

Ditanya masa yang sesuai untuk pasukan sukarelawan artis ditubuhkan, lekas sahaja jawab Erma: “Saya bakal melaksanakan perkara ini dalam tempoh terdekat.

“Saya mahu buang persepsi masyarakat tentang artis yang dikatakan hanya tahu jadi ‘penyeri’ jika menghadiri upacara berkaitan kebajikan ataupun sukarelawan.”

Bukan gila publisiti

Bukan hanya mencari sukarelawan untuk dilatih, sebaliknya Erma sendiri menjadi orang pertama yang menawarkan diri bergelar sukarelawan.

“Saya sanggup pergi ke sana menghulur bantuan walaupun waktu itu wilayah itu sedang berperang,” jelas Erma.

Mungkin ada yang berpendapat Erma hanya tahu mencanang dan beranggapan kata-katanya tidak lebih sebagai omongan kosong.


LAGAK Erra sewaktu mahu melelong koleksi baju miliknya.

Erma bagaimanapun pasrah dan akur dengan penilaian negatif manusia lain yang suka merendah-rendahkan dirinya.

“Jika masih ada sesetengah pihak yang mendakwa saya suka bercakap lebih, saya tidak tahu apa lagi hendak dikatakan kepada mereka.

“Cuba bagi bukti yang kukuh. Apa yang pernah saya cakap sebelum ini yang tidak direalisasikan?

“Saya berupaya menubuhkan Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia yang punya fungsi tersendiri dalam industri seni.

“Banyak perkara sudah saya lakukan dalam hidup ini. Lantas, tiada istilah saya hanya pandai cakap tanpa mengaplikasikan setiap pertuturan saya.

“Saya tidak gila publisiti murahan atau ingin dikenali sebagai individu yang suka cakap lebih, sebaliknya ini adalah tanggungjawab saya untuk mencari orang yang boleh menjadi sukarelawan.

“Kalau saya hendak publisiti, saya boleh laksanakan dalam pengarahan saya. Jadi tidak timbul langsung saya hendak publisiti,” luah Erma dalam lontaran suara yang cukup tenang.

Erma mengakui, kalau dalam tahun 2009 masih belum terbentuknya kumpulan sukarelawan, maka wartawan berhak melabelkan dia sebagai individu yang suka cakap berlebihan.

Kosmo

Primeworks Tak Sekat Rezeki Nabil

28 Jan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

ANTARA selebriti yang terbabit memeriahkan slot Senda Pagi.

Program Ewah-Ewah dapat rating tinggi, kembali bersiaran 2 Februari

JUARA Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad nampaknya semakin menguasai program terbitan Primeworks Studios di bawah dua stesen Kumpulan Media Prima Berhad, TV3 dan TV9. Antara program itu adalah Melodi, Studio Nabil, Pondok Pondok dan terbaru Ewah Ewah.

Bekas mat despatch ini semakin murah rezeki diundang sebagai pelawak, pelakon dan pengacara. Ewah Ewah antara program yang pertama kali disiarkan selama dua hari sewaktu Aidilfitri tahun lalu, malah mendapat sambutan hingga dipanjangkan selama 13 minggu bermula 2 Februari ini mengekalkan dua pengacara asalnya termasuk Nabil dan Raja Azura.

Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar, biarpun Nabil mengikat kontrak dengan Primeworks Studios, pelakon filem Sifu & Tongga ini masih mempunyai kebebasan mencari rezeki di tempat lain.

“Kami tahu, Nabil antara yang begitu sibuk memenuhi jadual seninya. Bagaimanapun, kami telah memperuntukkan sekian waktu untuk dia menguruskan jadualnya termasuk menjalani rakaman dengan program terbitan Primeworks Studios. Keutamaan masih untuk Primeworks Studio tetapi dia bebas untuk mencari rezeki di mana-mana.

“Mengenai Ewah Ewah, kami mendapat rating yang tinggi sewaktu dua hari disiarkan pada raya pertama dan kedua. Atas maklum balas itu, kami membikin sambungannya dengan pengisian yang lebih mantap menampilkan gandingan selebriti dan orang biasa sebagai peserta. Program ini diterbitkan tiga pengarah iaitu Leo Rauf Makmur, Saifulizzam Mohd Lizah dan Nurhul Huda Khalid,” katanya sewaktu ditemui selepas majlis pelancaran slot Senda Pagi di Capital Studio, Taman Perindustrian Tago baru-baru ini.

Selain Ewah Ewah diterbitkan Che Rozaini Ahmad sepanjang lima musim bersiaran, program Apa-Apa Aje yang sudah bersiaran selama lima musim dan drama komedi ringan arahan Adam Hamid berjudul Berek turut dimuatkan dalam slot Senda Pagi bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Idea menggunakan Senda Pagi adalah daripada pasukan penjenamaan TV3 sendiri untuk golongan suri rumah dan pekerja syif. Ia seiring dengan 25 tahun usia siaran TV3 menawan hati penonton, lalu langkah memperkenalkan slot ini umpama sebuah nafas baru demi kepuasan penonton setia.

“Fokus slot ini menjadi landasan terbaik kepada penonton untuk berhibur selain mendapatkan informasi dalam gaya penyampaian yang bersahaja dan topik semasa berkaitan isu keluarga dan rumah tangga. Program Apa Apa Aje mengetengahkan pelbagai isu yang mungkin ada kalanya dilihat berat tetapi disampaikan dengan cara bersahaja dan ringan.

Selain hos baru Amy Mastura yang menggantikan hos asal, Sheila Rusly, isi kandungan musim terbaru ini masih berpaksikan kepada dua suara golongan lelaki dan wanita.

“Apa Apa Aje antara program yang mendapat rating purata sekitar 700,000 untuk tontonan sebelah pagi selepas Malaysia Hari Ini dan program kartun untuk kanak-kanak. Begitu juga drama 13 episod Berek yang memaparkan kehidupan suri rumah bersuamikan polis yang tinggal di berek polis. Gelagat pelakon seperti Sharifah Shahira, Ani Mayuni, Hamidah Wahab, Norseha, Kefli, Roy Azman, Kaza, Riezman Khuzaimi dan ramai lagi pastinya menjadi kombinasi terbaik memulakan siaran 29 Januari ini,” katanya lagi.

Menjawab kepada persoalan mengenai pemilihan Amy Mastura sebagai hos di samping Shamsul Ghau Ghau sekali gus menggantikan Sheila Rusly, kata Che Rozaini, semuanya dilakukan demi satu suntikan baru. Lumrah apabila berlaku pertukaran pelbagai spekulasi akan timbul mengandaikan itu dan ini.

“Kami memang tiada masalah dengan Sheila Rusly, malah selama ini dia antara yang menghidupkan program ini. Pertukaran hos adalah sesuatu yang biasa dalam kalau diimbas kembali sebelum Shamsul Ghau Ghau, Azli Senario yang pertama digandingkan dengan Sheila Rusly. Shamsul tidak ditukar kerana masih baru lagi dengan program ini.

“Pemilihan Amy dilakukan secara telus melalui proses uji bakat membabitkan empat hingga lima orang lagi selebriti. Akhirnya pihak kami berasakan dia yang paling layak apatah lagi dia juga seorang ibu kepada dua anak. Amy juga mempunyai kekuatan tersendiri dan bijak bercoleteh,” kata Che Rozaini.

INFO: Senda Pagi

Bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Apa Apa Aje disiarkan setiap hari Isnin dan Khamis jam 10 pagi yang turut menampilkan selebriti seperti Din Beramboi dan Danny X Factor yang masing-masing mengendalikan segmen Cuaca AAA dan Tanya Si Kecil

Ewah Ewah adalah ‘variety game show’ yang disiarkan mulai 2 Februari ini setiap Isnin hingga Rabu jam 11 pagi. Dipecahkan kepada beberapa segmen seperti Permainan Pusingan 1, Cabaran Penonton, Permainan Pusingan 2, Pusingan Bonus dan Persembahan Penutup.

Drama 13 episod, Berek disiarkan mulai 29 Januari ini setiap Khamis jam 11 pagi.

Berita Harian

Sisi Maskulin Juliana Evans

22 Jan

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

“Memilih kasut diumpamakan macam kita memilih teman atau pasangan hidup. Kita harus mencari kasut yang bersesuaian, berkualiti dan selesa dengan kaki sendiri” – Juliana


TRANSISI seorang wanita yang ingin membawakan watak kelelakian bukannya satu perkara mudah. Jika cukup bijak mengolah watak kaum lelaki yang sinonim dengan perwatakan kasar, maka impaknya bakal kelihatan semula jadi.

Bagi pelakon muda, Juliana Sophie Johari Evans atau lebih mesra disapa sebagai Jue, dia cukup bersyukur diberikan peluang menterjemah watak Mai, seorang remaja berusia 17 tahun yang sarat dengan sikap kelelakian.

Menerusi drama komedi romantik terbaru 13 episod, Kasut Tumit Tinggi, anak bongsu daripada tiga orang adik beradik mengaku tidak menghadapi sebarang masalah memegang watak yang dilihat hampir ‘menyerupai’ diri.

“Watak Mai secara keseluruhannya memang tiada persamaan dengan saya, sebaliknya Mai yang agak kasar barulah begitu dekat dan kena dengan jiwa saya.

“Dalam Kasut Tumit Tinggi, Mai merupakan gadis yang keras kepala serta terlalu mementingkan kehidupan ibunya lakonan Nanu Baharudin yang merupakan seorang ibu tunggal.

“Mai beria-ria cari pasangan untuk ibunya yang merupakan penterjemah novel dan popular sebagai penasihat cinta.

“Watak ini memang tidak terjadi dalam kehidupan realiti saya,” jawab Jue spontan terus tertawa manis.

Masih menuntut dalam Ijazah Program Amerika di Institut Help, Damansara, Kuala Lumpur, kata Jue, dia dibesarkan bersama-sama dua orang abang dan sudah pastilah dia terikut-ikut gaya seorang lelaki dalam melayari kehidupan.

“Gara-gara membesar dengan dua orang lelaki, lalu saya turut terbiasa bergaul, malah mudah serasi dengan rakan lelaki yang lain.

“Saya seorang gadis yang kasar dan ganas. Nampak saja saya bertubuh kecil, namun saya boleh buat banyak perkara yang golongan lelaki lakukan.

“Hingga sekarang sifat ke arah lelaki ada dalam diri, tetapi saya masih tidak melupakan sifat feminin,” akui Jue.

Selain Jue dan Nanu, Kasut Tumit Tinggi turut dibintangi oleh Datin Norish Karman, Amy Mastura, Siti Saleha dan Renaldo Scully.

Bakal disiarkan di Astro Prima (saluran 105), drama yang diarahkan oleh pengarah muda, Low Ngai Yuen akan bermula hari ini bermula pukul 10 malam.

Baru ‘gilai’ kasut tumit tinggi

Tidak dinafikan, golongan wanita cukup sinonim dengan kasut tumit tinggi. Bagai tidak lengkap rasanya naluri kewanitaan, tanpa menyarungkan kasut yang mencecah ketinggian sebanyak empat ataupun lima inci.


“MENGAKUI hatinya sudah ditawan oleh seorang lelaki bergelar ahli perniagaan.”

Pantas butir bicara Jue tatkala dilontarkan pertanyaan tentang kasut tumit tinggi. Enggan berselindung, Jue meluahkan personaliti diri yang menyukai kasut tumit tinggi, namun dia tidak gemar memakainya dalam kehidupan seharian.

“Saya boleh dikatakan bukan gadis yang material, hingga ada melebihi 10 pasang kasut tumit tinggi.

“Sebaliknya saya begitu selesa memakai kasut sukan, kasut yang tidak bertumit atau selipar jika hendak ke mana-mana.

“Kasut tumit tinggi tidak saya lupakan, cuma saya enggan memakainya kalau hendak keluar membeli-belah dan bersantai,” jelas Jue yang kini berusia 19 tahun.

Jue bagaimanapun menjelaskan, kasut tumit tinggi menjadi perkara wajib yang perlu ada kepada setiap golongan wanita.

“Saya baru saja bermula memakai kasut tumit tinggi. Pada pendapat saya, si pemakai kasut tumit tinggi biasanya akan berasa lebih berkeyakinan dengan diri yang memiliki fizikal rendah.

“Selepas menjadi artis, saya harus beli lebih banyak kasut tumit tinggi untuk menghadiri sebarang acara penting atau pergi ke sesi fotografi dengan media cetak.

“Tidaklah berbelanja dengan banyak, sebaliknya saya hanya beli mengikut kemampuan dan memastikan ia kelihatan menarik pada pandangan,” dedah Jue yang menggemari rekaan kasut tumit tinggi jenama Aldo, Nine West dan Vincci.

Tidak terkecuali, Jue sempat mengekspresikan relevan kasut tumit tinggi. Terang Jue lagi, kasut jenis itu punya teori dan metafor tersendiri yang sukar dipertikaikan.

“Memilih kasut diumpamakan macam kita memilih teman atau pasangan hidup. Kita harus mencari kasut yang bersesuaian, berkualiti dan selesa dengan kaki sendiri.

“Kalau sudah memiliki kasut yang diidamkan dan betul-betul bermutu, kita akan terus memakainya setiap masa dan situasi.

“Selepas bosan dengan kasut itu, kita menukar pula dengan yang baru. Kasut lama mula dilupakan, malah ada yang terus membuangnya.

“Sama halnya juga dengan manusia. Saya melihat dua aspek ini berkait rapat di antara satu sama lain,” hurai Jue sambil berfalsafah.

Bukan sombong, tetapi pemalu

Melihat raut wajahnya yang sentiasa serius dan tidak mesra dengan orang sekeliling, pasti ramai yang beranggapan Jue merupakan seorang gadis sombong dan memilih kawan.


“SEMAKIN membina nama yang sempurna dalam dunia lakonan.”

Hakikat itu ditepis sama sekali oleh Jue yang mengatakan bahawa empunya diri seorang yang pemalu, malah lambat mesra dengan orang lain.

“Saya pemalu,” jawabnya ringkas sambil tersenyum manis menolak tanggapan yang tidak berasas mengaitkan dirinya penyombong tidak bertempat.

Sambung Jue lagi, kalau dia bertemu dengan individu yang baru dikenali, pastinya dia hanya terdiam tanpa banyak berbicara.

“Saya seboleh-bolehnya akan memulakan perbualan dengan orang yang baru dikenali walaupun cuma sedikit.

“Boleh dikatakan saya mudah malu dengan orang lebih-lebih lagi kalau baru kali pertama berjumpa.

“Kalau dua pihak sekadar berdiam diri, saya cuba untuk menegur dan berbual dengan orang yang baru dikenali.

“Paling penting, saya akan memastikan kedua-dua pihak berasa selesa di antara satu sama lain tanpa ada sebarang jurang,” jelas Jue dalam getar suara perlahan.

Dua tahun menyulam cinta

Anak kacukan Melayu di sebelah ibu dan Inggeris di sebelah bapa tidak pernah berselindung tatkala diajak berbual perihal cinta yang menghampiri diri.

Gadis jelita ibarat Jue mana mungkin tidak memiliki cinta. Dengan bergelar status sebagai selebriti, pasti ramai lelaki berpusu-pusu mahu menagih cinta darinya.

“Macam tidak menarik kalau dalam usia sekarang saya tidak memiliki teman lelaki,” sebaris ayat yang terkeluar dari bibir tipis Jue sambil diri tertawa berdekah-dekah.

Jue mengakui dia sebenarnya sudah mempunyai kekasih hati yang sudah dikenalinya sejak dua tahun lalu.

Pemuda bertuah yang berjaya mendampingi hati Jue ialah seorang ahli perniagaan, tiga tahun lebih tua daripada Jue.

“Usia percintaan kami sudah pun memasuki usia dua tahun, malah kami gembira bersama lagi. Namun, saya tidak mahu tergesa-gesa mengubah status hubungan kami.

“Saya masih muda. Kini menjadi masa terbaik untuk kami mengenal hati budi masing-masing,” akui Jue yang enggan mendedahkan nama si teman lelakinya kerana ingin privasi.

Kosmo

Doa Buatmu Palestin Di Istana Budaya

22 Jan

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

ZAHIDA, Erma dan Umie turut memainkan peranan dalam membantu mangsa keganasan Israel di Gaza.

CEBISAN pengharapan yang diberikan masyarakat dunia barangkali memberi sedikit sinar, biarpun itu tidak akan dapat menghakis segala penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin di Gaza kesan kezaliman rejim Zionis sejak 27 Disember lalu.

Bayangan kekejaman itu tidak mungkin terpadam, kesannya akan terus dirasai selagi hayat di kandung badan. Betapa serangan itu meragut segala hak mereka, membuatkan dunia memberontak meminta supaya penderitaan itu dihentikan segera.

Berat mata memandang, namun semuanya tidak akan memberi makna andai tidak bersama menggembleng tenaga menyalurkan bantuan sekadar termampu atas peranan sebagai manusia yang cintakan keamanan.

Sama ada kecil atau besar, ia bukan ukuran kerana apa yang penting nyawa insan tidak berdosa harus segala diselamatkan dan hak kemanusiaan mereka dikembalikan.

Rasa simpati atas apa yang berlaku di Palestin, Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) akan menganjurkan acara amal, Doa Buatmu Palestin bagi mengutip dana untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Bakal berlangsung di Istana Budaya, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 1 dan 2 Februari ini bermula jam 10 pagi, Doa Buatmu Palestin menghimpunkan pelbagai nama dalam industri hiburan bersatu menyatakan pendirian mereka untuk menentang pencabulan hak asasi kemanusiaan itu.

Presiden Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia, Erma Fatima berkata, Doa Buatmu Palestin menjadi manifestasi insan seni yang menjalankan tanggungjawab sosial mereka untuk menyuarakan simpati serta melaungkan slogan keamanan sejagat.

Erma berkata, inisiatif yang dicetuskan itu juga membuktikan insan seni tidak hanya terkurung dalam kepompong kilauan glamor semata-mata, sebaliknya mereka turut prihatin dengan apa yang berlaku di dunia luar.

“Barangkali apa yang kami lakukan ini hanya usaha kecil namun turut membawa misi besar supaya sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan penderitaan mereka yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

“Alhamdulillah, usaha kami mendapat sokongan pelbagai pihak biarpun idea mengenainya baru dicetuskan sekitar seminggu lalu.

“Ini adalah jihad kami anak seni untuk melihat keamanan dijunjung dan dikembalikan kepada mereka yang berhak menikmatinya,” kata Erma yang hadir di Balai Berita bersama adiknya, Umie Aida dan pelakon, Zahida Rafik yang menjadi tunggak utama Doa Buatmu Palestin.

Tidak hanya mahu menjadi mata yang memerhati, Erma berkata, dia bersama beberapa ahli jawatankuasa Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia sedang berunding dengan kementerian berkaitan agar diberi kesempatan untuk menggembleng tenaga membantu mangsa penindasan di Palestin.

Bahkan kata Erma, mereka akan membeli pelbagai keperluan dengan dana yang diperoleh sepanjang dua hari acara amal itu berlangsung dan berusaha untuk menghantarnya sendiri dengan kerjasama badan berkaitan.

“Perkara itu akan kami bincangkan dengan KPKKW dan ini adalah komitmen kami sebagai anggota masyarakat dunia untuk memastikan hak kemanusiaan rakyat Palestin tidak dicabul sewenang-wenangnya,” katanya.

Mengulas mengenai acara sepanjang dua hari Doa Buatmu Palestin berlangsung, Umie berkata, mereka menyediakan pelbagai aktiviti termasuk lelongan amal yang dijayakan selebriti dan pereka fesyen terkenal tempatan, persembahan nyanyian selain pameran serta temu bual bersama rakyat Palestin yang menetap di negara ini.

“Selain mengalu-alukan sumbangan ikhlas semua pihak, kami juga menyeru umat Islam untuk bersama menunaikan solat hajat selepas solat Zuhur dan Maghrib yang akan diimamkan imam jemputan dari Masjid Negara di Istana Budaya pada kedua-dua hari itu,” katanya.

Tambah Umie lagi, acara amal itu akan dijayakan nama terkenal dalam industri hiburan yang turut bersedia menggembleng tenaga dan membantu menambah dana untuk disalurkan kepada mangsa kekejaman di Gaza.

“Biarpun baru dilancarkan, alhamdulillah kami sudah mengutip RM32,000 dalam seminggu menerusi tempahan 100 gerai jualan pada hari itu.

“Dengan publisiti meluas di samping sokongan semua pihak termasuk rakan artis yang bersetuju menjayakan aktiviti itu, kami berharap dapat mengutip sebanyak mungkin untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Umie berkata, antara artis yang akan menjual barangan pada karnival dua hari itu ialah Awal Ashaari, Chef Zam, Jaafar Onn, Linda Onn, Serina Redzuawan, Rubiah Suparman dan Zarina Zainuddin.

Aktiviti juga akan dijayakan pereka terkenal tempatan yang memberikan rekaan mereka untuk dilelong seperti Albert King, Alvin Tay, Azura Mazaruddin, Bill Keith, Iszal (Butik Citra), Calvin Thoo, Jarum Emas, Jovian Mandagie dan Kem daripada Kapas Couture.

Turut menyatakan persetujuan ialah Michael Ong, Riezman Ruzaini, Radzuan Radziwill, Salikin Sidek, Shaiful Bahrim dan Zang Toi.

Artis yang terbabit dalam lelongan amal pula terdiri daripada Aleeza Kassim, Amy Mastura, Awal Ashaari, Betty Banafe, Dynas, Erma Fatima, Erra Fazira, Fazli Zainal, Fahrin Ahmad, Fazura, KRU, Liyana Jasmay, Melissa Saila, Ning Baizura, Que Haidar, Rosyam Nor, Umie Aida, Ummi Nazeera, Vanidah Imran dan Zahida Rafik.

Memeriahkan lagi karnival itu juga diserikan dengan persembahan artis yang dijayakan Rabbani, Fazli Zainal, Betty Banafe, Imran Ajmain, Aqasha, bintang Akademi Fantasia seperti Akma, Rizal, Aidil dan Salima, Salwa Abdul Rahman, Siti Fairuz, Noryn Aziz, Raihan, Jamal Abdillah dan Ramli Sarip.

“Dengan tarikan yang ada, kami berharap aktiviti ini akan menerima kunjungan semua kelompok peminat kerana selain berhibur, kita juga beramal untuk membantu mereka yang ditindas.

“Tidak kira apa juga bangsa, kehadiran kita semua pada hari itu melambangkan rakyat Malaysia bersatu hati dan sebulat suara menolak keganasan dan apa juga tindakan yang mencabuli hak kemanusiaan,” kata Umie.

Info:

Mereka yang ingin menyalurkan bantuan, boleh melakukannya dengan menghulurkan sumbangan menerusi akaun RHB 26233500024847.

Berita Harian

Info TV: Kasut Tumit Tinggi Komedi Romantik Sarat Mesej

12 Jan


DRAMA komedi romantik 13 episod ini menampilkan lakonan mantap pelakon jelita iaitu (dari kiri), Juliana Evans, Nanu Baharudin, Amy Mastura dan Norish Karman.

MEMAPARKAN empat pelakon jelita, Astro melalui slot Astro Megadrama memilih drama komedi romantik berjudul Kasut Tumit Tinggi (KTT) sebagai pilihan utama di awal tahun ini.

Drama komedi romantik 13 episod ini menampilkan lakonan mantap pelakon jelita seperti Nanu Baharudin, Norish Karman, Amy Mastura dan Juliana Evans.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, pemilihan KTT sebagai salah satu daripada barisan drama Astro Megadrama sememangnya tepat kerana selain menghiburkan, mesej mengenai realiti kehidupan juga turut diselitkan.

“KTT akan menyelitkan banyak mesej dan pengajaran yang boleh dijadikan iktibar terutama kepada warga kota. Drama itu mengisahkan mengenai liku kehidupan empat wanita jelita berperwatakan menarik di kotaraya.

“Mereka semua mempunyai banyak persamaan dari segi personaliti tetapi masing-masing mempunyai nasib yang ternyata jauh berbeza dari segi keluarga, cinta dan karier,” katanya.

Drama yang pasti menarik perhatian ramai ini bakal disiarkan menerusi Astro Prima (saluran 105) setiap Khamis, jam 10.00 malam bermula 22 Januari ini.

Sofia lakonan Nanu Baharudin berumur 38 tahun, seorang janda yang romantik bekerja dari rumah sebagai seorang penterjemah novel cinta. Dia popular sebagai penasihat cinta yang memberi nasihat cinta dan perhubungan di ruangan akhbar. Dia seorang yang penyayang dan amat menyayangi anaknya dan sanggup melakukan apa saja untuk memastikan anaknya bahagia.

Watak Mai lakonan Juliana Evans sebagai anak gadis berumur 17 tahun, seorang yang baik hati tetapi bersifat sinis. Hanya dua perkara yang menjadi kesukaannya dalam dunia iaitu ibunya dan cerita penyiasatan. Dia bangga dengan dirinya yang rasional.

Pelbagai kekecohan yang lucu dan menghiburkan berlaku setelah Mai genap berumur 17 tahun apabila Sofia menyatakan hasrat untuk menjalinkan hubungan dengan lelaki kembali. Mai berasa cemburu dan sedih kerana bimbang dengan kehadiran orang baru dalam hidup ibunya. Manakala Sofia pula tersepit di antara perasaan sunyi dan bersalah.

Akhirnya, dua beranak ini membuat perjanjian iaitu mana-mana lelaki yang ingin menjalinkan hubungan dengan Sofia haruslah ditapis dan mendapat kelulusan Mai terlebih dulu. Bagaimanapun, secara diam Mai bertindak lebih cepat dengan cuba menyiasat latar belakang setiap lelaki yang hadir dalam hidup ibunya untuk menilai sejauh manakah keikhlasan mereka.

Sejauh manakah perbezaan ibu dan anak ini dari segi cita rasa dan harapan dalam memilih teman hidup? Berjayakah mereka menemui apa yang dicari?

Berita Harian