Archive | Anuar Zain RSS feed for this section

Pakej Berbaloi

29 Mar

Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my

Rap
SEHINGGA artikel ini siap ditulis Rabu lalu, secara puratanya suhu persembahan Minggu Setiausaha yang diadakan saban April tidak memperlihatkan kerancakan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

Penganjurannya bagaikan lebih berhati-hati, kesan simbahan kemerosotan ekonomi global yang semakin dirasai mereka yang terbabit di dalam industri seni Malaysia. Malah, melihatkan senarai tahun ini hanya penghibur gred A yang dipilih.

Datuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Faizal Tahir, Krisdayanti dan Ning Baizura setakat ini yang mengesahkan tarikh dan lokasi persembahan mereka bulan depan.

Pun begitu, dalam situasi ekonomi yang disifatkan gerhana ini, harga ‘satu kepala’ untuk menghadiri Minggu Setiausaha barangkali masih boleh dikategorikan tinggi sehingga mencecah RM580++.

Namun bagi peminat setia artis pilihan, mereka tentu ‘alah membeli, menang memakai’ kerana kepuasan harus diutamakan. Seperti untuk persembahan Krisdayanti dan Siti di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade masing-masing pada 21 dan 22 April ini, harga bermula dengan RM280 sehingga RM580++.

Menurut Pengurus Siti, Rozie Razak, harga ditetapkan oleh pihak penganjur tetapi secara keseluruhan ia membabitkan pembabitan pengalaman artis dan nama mereka untuk menarik peminat menghadiri majlis makan tengah hari itu.

“Dalam Minggu Setiausaha, nama artis memainkan peranan penting bagi penganjur menarik minat penonton untuk berhibur dengan majlis anjuran mereka.

“Sebenarnya harga ditawarkan itu berdasarkan harga pasaran semasa. Mungkin nampak mahal, tetapi ia berbaloi dengan majlis istimewa yang diadakan setahun sekali ini.

“Ia bukan soal nyanyian semata-mata, tetapi peminat dapat menyaksikan artis mereka dengan lebih dekat lagi, malah makanan dan hadiah turut disediakan. Semuanya dalam satu pakej!” kata Rozie yang juga kakak ipar Siti.

Rozie mengakui kesan ekonomi dunia turut tempias kepada Minggu Setiausaha. Bagaimanapun, Siti ‘berani’ untuk muncul di pentas Minggu Setiausaha ini kerana sudah dua tahun beliau ‘bercuti’.

 

 

“Selama dua tahun itu ramai peminat menghubungi kami bertanyakan persembahan Minggu Setiausaha. Sebab itu kami yakin untuk kembali,” katanya mengenai acara anjuran Hotel Quality itu.

Manakala Anita Sarawak yang bakal memanaskan pentas Pusat Konvensyen Sime Darby pada 7 April ini bersependapat dengan Rozie kerana persembahan Minggu Setiausaha bukan sekadar hiburan nyanyian, malah lebih daripada itu.

“Inilah peluang peminat untuk bertemu lebih dekat dengan artis pujaan mereka. Bagaimanapun, persembahan ini perlu kita lihat secara keseluruhan dalam satu pakej – nyanyian, muzik, interaktif, hadiah dan hiburan secara amnya.

“Jadi Kak Nita rasa tidak mahal dengan harga yang ditetapkan penganjur kerana mereka menawarkan lebih daripada yang peminat jangkakan,” katanya yang memilih tema warna hitam dan perak.

Kak Nita tidak bersendirian di pentas berkenaan kerana ditemani Faizal Tahir, jadi peminat penyanyi lelaki ‘Superman’ itu turut berkongsi hiburan sebumbung. Pada harga RM280 dan RM480 itu, peminat dijangka puas dengan persembahan mereka.

Menariknya, selain hadiah ‘meriah’ daripada penaja, termasuk set bilik tidur bernilai RM18,000 sumbangan Empire Classic Furniture, tujuh set mutiara Rafflesia bernilai RM10,000 setiap satu dan Silvana Ultimate, penghibur lincah itu turut menyumbang barangan peribadinya bernilai RM30,000.

Bagaikan satu kemestian, penganjuran Minggu Setiausaha menyediakan buah tangan. ‘Door gift’ dan hadiah cabutan bertuah bergantung kepada ‘kepandaian’ penganjur mencari penaja, termasuk pakej percutian dan tiket penerbangan ke destinasi luar negara.

Begitu juga dengan minggu persembahan Anuar Zain yang akan diadakan dua hari selepas Kak Nita di tempat sama (9 April) di mana penganjur membekalkan sekurang-kurangnya 10 cabutan bertuah yang merangkumi hadiah pakej percutian ke Bali, Bangkok dan Singapura serta beberapa barangan penajaan lain.

Tidak dinafikan, setiap kali Anuar menaiki pentas Minggu Setiausaha, dewan dipenuhi peminat. Sanggup meninggalkan meja dan makanan demi mendekati Lelaki Ini yang nyata memiliki aura tersendiri.

Jadi mereka tidak kisah untuk mengeluarkan RM398, RM448 atau RM498 dari poket masing-masing untuk menyaksikan jejaka bujang berusia 38 tahun ini mempersembahkan (antaranya) Lelaki Ini, Kau Bungaku, Cintaku dan Keabadian Cinta.

Ning Baizura juga dikenali sebagai penghibur yang disegani. Isteri kepada Omar Shariff Christopher Layton Dalton ini cuba menarik peminatnya ke Pullman Putrajaya Lakeside, Putrajaya bagi memeriahkan Minggu Setiausahanya pada 23 April nanti.

Pastinya pada harga RM180 dan RM200 untuk seorang, ‘kuasa’ Ning mampu menjemput dan memeriahkan acara berkenaan. Bersama penaja termasuk Jamu Mak Dara serta sumbangan tiket penerbangan, melengkapkan lagi pakej Minggu Setiausaha Ning.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Gosip Liar 'Bunuh' Anith

27 Mar

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
BELUMPUN menempuh realiti sebenar dunia artis, namun nama Anith Aqilah Sulaiman Lim atau Anith, 17, dikaitkan dengan pelbagai cerita kurang enak.

Sepanjang perjuangannya menerusi program realiti sensasi terbitan 8TV, One In A Million (OIAM), peserta paling muda ini dikatakan bermusuhan dengan seorang peserta program itu, Pija yang tersingkir pada minggu keempat.

Mereka dikatakan berebut teman lelaki selain sikap keanak-anakan Anith kurang disenangi kebanyakan peserta selain dituduh bermulut celupar.

Barangkali segala kisah negatif yang membabitkannya, memberi kesan terhadap kedudukan Anith dalam OIAM sehingga diumumkan tersingkir pada konsert kelima.

Gadis yang memperoleh 5A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini, adalah peserta keempat tersingkir selepas Ayu, Han dan Pija yang semuanya adalah peserta wanita.

Penyingkiran gadis mirip wajah Datuk Siti Nurhaliza dan Intan Ladyana itu melenyapkan peluangnya untuk merebut hadiah wang tunai bernilai RM1 juta.

Ia juga menyelamatkan kedudukan lima peserta lelaki Shah Indrawan Ismail (Tomok), 24,

Zulqarnain Jaafar (Nine), 27, Ridzuan Sharifuddin (Rizu), 19, Aweera Noriyissham (Aweera), 18, dan Simon Christopher (Simon) serta tiga peserta wanita Esther Chin (Esther), 21, Fify Ahmad Murshaidi, (Fify), 19, dan

Amylea Azizan (Amylea), 23.

Anith yang dinilai penonton menerusi persembahan lagu Mungkin daripada Anuar Zain pada konsert minggu keempat, ketika sidang media mengakui sedih dengan keputusan itu.

 

 

Bahkan, dia yang sepatutnya memperdengarkan lagu Kerna Kamu dipopularkan Faizal Tahir pada minggu kelima tidak menafikan satu sebab penyingkiran itu berpunca dari gosip liar yang tersebar.

“Sedih, terkejut dalam masa yang sama boleh terima dengan keputusan itu. Selepas ini saya merancang untuk melanjutkan pelajaran pun begitu, minat menyanyi akan diteruskan dan saya akan terus mencari peluang.

“Berhubung penyingkiran ini ada kaitan dengan gosip yang tersebar, saya rasa mungkin kerana sedikit sebanyak kontroversi menjejaskan nama baik saya, sekali gus penonton lebih tertumpu pada gosip berbanding melihat bakat saya,” katanya.

Syafinaz Selamat selaku juri tetap berkata, keputusan itu tidak mengejutkan langsung kerana jika dinilai dari sudut persembahan Anith tidak banyak menunjukkan peningkatan.

“Kami tahu Anith mempunyai suara yang sedap, tetapi dari segi persembahan Anith tidak banyak menunjukkan perubahan berbanding persembahan lain.

“Tiada yang istimewa mengenai persembahan Anith kerana dia tidak menunjukkan kredibilitinya dalam mengubah sesebuah lagu itu menjadi lagunya sendiri. Mungkin faktor usia dan pengalaman membuatkan Anith agak ketinggalan,” katanya.

Selain Syafinaz dan Paul Moss yang bertindak sebagai juri tetap, konsert malam itu turut menampilkan penyanyi berpengalaman Jay Jay sebagai juri undangan.

Selepas, dua persembahannya sebelum ini mendapat komen kurang memberangsangkan Esther akhirnya kembali merampas imuniti daripada penerima sebelum ini, Tomok.

Gadis kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini pernah menjadi peserta pertama yang memperolehi imuniti pada minggu kedua menerusi lagu Better In Time dendangan Leona Lewis.

Keputusan itu diumumkan juri tetap, Syafinaz Selamat dalam program yang disiarkan secara langsung menerusi 8TV, jam 9.30 malam dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu.

Semua juri sepakat memilihnya berdasarkan beberapa kriteria, peningkatan vokal, kreativiti dan persembahan energetik ketika membawakan lagu I Won’t Go Home Without You dari Maroon 5.

Sebagai penerima imuniti, Esther terselamat daripada menerima undian khidmat pesanan ringkas (SMS) keluar pada minggu hadapan.

Bagi Esther, penganugerahan imuniti itu memang mengejutkan kerana dia berpendapat ketujuh-tujuh peserta lain membuat persembahan yang bagus.

“Mungkin kerana persembahan saya adalah yang terakhir menjadikannya lebih menonjol dan meriah. Disebabkan itu saya mendapat imuniti. Saya sama sekali tidak sangka sebab minggu lepas saya mendapat komen yang kurang baik dari juri,” katanya.

Peserta lain yang turut menonjol malam bertemakan Opposites Attract yang mewajibkan peserta wanita menyanyikan lagu lelaki manakala lelaki membawakan lagu wanita, semestinya Amylea.

Dengan lagunya I’m Yours yang dipopularkan Jason Mraz. yang baru saja menjayakan konsert di Stadium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini. Termasuk Nine dengan lagunya Karma (Cokelat) serta Rizu (Mercy/Duffy).

Manakala, persembahan Tomok melalui lagu Gantung (Melly Goeslow) mendapat kritikan juri kecuali Jay Jay begitu juga Fify (Pria Terhebat/Sheila On 7) dan Simon (When You’re Gone/Arvil Lavigne).

Sementara, Aweera pula mengundang kekeliruan apabila memilih untuk mendendangkan lagu Tiada Lagi yang pernah dipopularkan Mayang Sari dan Amy Search.

Aweera menjelaskan: “Walaupun lagu ini pernah dinyanyikan Amy Search, tetapi ia sebenarnya adalah lagu asal Mayang Sari.”

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Anith Peserta Keempat Disingkir OIAM

21 Mar


Anith Sulaiman Lim

SHAH ALAM: Impian Anith Sulaiman Lim untuk merebut hadiah wang tunai bernilai RM1 juta terkubur semalam apabila namanya diumumkan peserta keempat disingkirkan daripada program realiti One In A Million (OIAM).

Peserta berusia 17 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur itu yang mendendangkan lagu Mungkin daripada Anuar Zain gagal memikat hati penonton apabila berada pada kedudukan paling bawah daripada sembilan peserta yang masih berentap dalam pertandingan itu.

Dengan penyingkirannya, kini hanya tinggal lapan peserta saja lagi iaitu Amylea Azizan (Amylea), 23; Shah Indrawan Ismail (Tomok), 24 ; Zulqarnain Jaafar (Nine), 27; Ridzuan Sharifuddin (Rizu), 19; Aweera Noriyissham (Aweera), 18; Simon Christopher (Simon), 25; Esther Chin (Esther) dan 21, Fify Ahmad Murshaidi, (Fify) 19.

Keputusan penyingkiran dibacakan pengacara rancangan, Awal Ashaari dan Marion Caunter yang disiarkan 8TV secara langsung dari Sri Pentas 2.

Berita Harian

Dendang Secara Medley

21 Mar

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
PERSEMBAHAN konsert minggu pertama peserta Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) minggu lalu mendapat kritikan negatif kerana kurang memberangsangkan.

Bagi menarik kembali kepercayaan penonton terhadap rancangan yang disiarkan di Astro Ria itu, pihak produksi cuba memberikan kelainan dengan peserta kehendaki mendendangkan dua lagu secara medley di konsert kedua yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, 9 malam ini.

Pelajar lelaki yang mendapat pujian kerana mempersembahkan Lagu Kita nyanyian asal Aizat dengan baik minggu lalu Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz) diberikan cabaran mendendangkan Cinta Ini Membunuhku (D-Masiv) dan Toyol (Allahyarham Sudirman Arshad).

Sementara peserta lelaki lain seperti Mohd Yazid Ibrahim (Yazid) menyanyikan lagu Lelaki ini (Anuar Zain) dan Fikirlah (Aizat), Khairil Azam Pilus (Aril), Benar-Benar (Adam) dan Robot (Adam) dan Mohd Qhauhd Abdul Rashid (Qhaud) menyanyikan lagu asal Spider, Bila Nak Saksi juga Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussein).

Dua lagi peserta lelaki, Mohd Rashidi Mohamad Isa (Sidi) menyanyikan lagu Selamat Ulang Tahun Sayang (Imran Ajmain) dan Kukoo (Ferhad), Ahmad Sobri Hasmuni, Akan Tiba (Aliff) dan Ada Untukmu (Nubhan) juga Afiq Hakim Ahmad (Akim) menyanyikan Satu (Dewa 19) dan Buronan Cinta (The Lima).

Pelajar wanita turut diberikan lagu yang bakal mencabar kemampuan vokal dan ada antara mereka menyanyikan lagu dipopularkan penyanyi lelaki seperti Siti Aishah Bujang (Aishah) dengan Faizal Tahir (Coba) dan Gila oleh Mila sementara Zuzafrini Zulkifli (Rini) akan menyanyikan lagu Kiblatku oleh Hazami dan Aku Sindarela dipopularkan Amylea.

Peserta wanita lain seperti Rubisa Tiasin (Rubisa) menyanyikan Dingin (Ziana Zain) dan Gagap (Stacy), Claudia Fay Geres (Claudia) bakal menyanyikan lagu kedua-duanya dendangan asal Datuk Siti Nurhaliza, Ku Mahu dan Wanita.

Peserta yang pernah menghasilkan album Nas Adila Mohd Dan menyanyikan lagu Merawat Cinta Luka (Liza Hanim) dan Asyik (Amelina), Nurfazelah Mohd Tahil (Zizi), Sembilu (Ella) dan Wonder Women (Mulan Jameela) juga Ismaliza Ismail mendendangkan lagu Jat Da Da Da (Dia Fadilla) dan Hello (Farah Asyikin).

Selepas ditiadakan minggu lalu, untuk konsert minggu kedua penonton setia akan dapat menyaksikan persembahan Menuju Puncak.

Bagi memberikan sedikit kelainan ia akan diadakan pada permulaan konsert.

 

 

Minggu ini juga pastinya penyingkiran pertama akan dilakukan dan Edrie Hashim, Datuk Khatijah Ibrahim dan Adlin Aman Ramlie bertindak selaku pengkritik tetap.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Tomok, Nine Jelas Bersinar

17 Mar

Oleh Elrafaei Sapi

Rap
BIARPUN dikenali sebagai penyanyi sebelum ini, rezeki tidak berpihak pada Norafizah Mohammad Yassin atau Pija apabila tersingkir pada konsert keempat program realiti One In A Million musim ketiga, Jumaat lalu.

Pija, yang juga juara program realiti Mentor musim pertama, dikatakan memiliki vokal mantap, nyata gagal memikat hati penonton yang mengundi menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Juri tetap, Paul Moss dan Syafinaz Selamat berpendapat penyingkiran Pija adalah lumrah program realiti TV yang meletakkan keputusan di tangan penonton untuk memilih peserta kegemaran mereka.

Pija, yang sepatutnya menyampaikan lagu Satu Harapan nyanyian asal Jaclyn Victor pada malam itu, menyatakan dia terpaksa akur dengan keputusan dibuat penonton.

“Saya sudah cuba memberikan persembahan terbaik pada setiap minggu, tetapi saya tidak boleh buat apa-apa apabila penonton bertanggungjawab dalam menentukan kedudukan peserta menerusi SMS,” katanya.

Rakan Pija, Amylea, yang juga finalis Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), masih meneruskan cabaran dengan menyampaikan lagu popular kumpulan Estranged, Yang Pernah pada konsert minggu ini.

Namun, dia dikritik kerana persembahan tidak konsisten antara genre jazz dan rock.

Komen Syafinaz, Amylea perlu menentukan arah tuju genre yang sesuai dengan dirinya.

“Kita bukan mahu mencari penyanyi yang boleh menyanyi pelbagai genre lagu, tetapi penyanyi itu perlu pastikan satu genre yang sesuai dengan diri dan buat yang terbaik. Saya bukan tidak suka dengan cara Amylea, tetapi dia harus perbaiki masalah itu,” katanya.

Pemenang imuniti minggu ketiga, Aweera, turut berhadapan masalah ketika menyanyikan lagu kumpulan Sofaz, Janjiku. Persembahan kali ini menampakkan dia seperti lupa lirik pada permulaan lagu.

 

 

Bagaimanapun, Aweera menafikan dia lupa lirik, tetapi menghadapi masalah kerana tidak dengar muzik ketika membuat persembahan.

Namun, dia tetap kecewa kerana gagal memberikan persembahan baik kali ini.

Komposer Fauzi Marzuki yang turut hadir sebagai juri jemputan menasihatkan Aweera menjiwai lagu dengan mendalam untuk memberikan persembahan lebih baik pada masa akan datang.

Bagi peserta Esther dan Fify, pemilihan lagu ciptaan komposer Aidit Alfian gagal menyerlah kehebatan masing-masing.

Esther menyampaikan lagu popular Datuk Siti Nurhaliza, Dialah Di Hati manakala Fify dengan Kalis Rindu (Elyana). Persembahan kedua-dua penyanyi itu dikritik seperti mengikut gaya penyanyi asal.

Namun, kegagalan mereka itu bukan atas kesilapan sendiri, tetapi Aidit terlebih dulu memberi nasihat kepada kedua-dua penyanyi ini agar tidak terlalu mengubah melodi lagu asal. Syafinaz memberi teguran kepada komposer itu kerana sepatutnya peserta diberi lebih kebebasan untuk menyampaikan persembahan mengikut cara sendiri.

Nyata, kelemahan pada persembahan Amylea, Aweera, Esther dan Fify memberi peluang pada Tomok untuk menyerlah dengan persembahan lagu La La La Kerjalah, nyanyian asal kumpulan Meet Uncle Hussain.

Tomok berjaya membawa lagu itu dengan gaya sendiri yang berbeza dengan versi asal.

Paul menyatakan Tomok berjaya mengubah rentak lagu asal mengikut cara sendiri manakala Syafinaz menyifatkan persembahan Tomok menyeronokkan.

Fauzi juga menyukai persembahan Tomok, tetapi memberi nasihat agar lebih berhati-hati pada aspek pitching atau nada suara.

Untuk persembahan Nine dengan lagu Aku Dan Kamu, vokalis kumpulan Coco ini turut diminati tiga juri kali ini. Paul berkata, Nine mampu menyampaikan lagu itu dengan menarik walaupun Fauzi berpendapat Nine masih belum menampakkan cara nyanyian sendiri.

Syafinaz pula memuji persembahan Nine sebagai berjaya menarik perhatian ramai peminat wanita.

Turut mendapat perhatian juri dan penonton di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam adalah Simon yang menyanyikan lagu Generasiku.

Kata Syafinaz, persembahan Simon lebih agresif berbanding minggu sebelumnya dan Fauzi menyukai cara tersendiri peserta ini.

Bagaimanapun, peserta Ridzuan atau Rizu yang mendendangkan lagu Cinta, dinasihatkan Syafinaz agar lebih fokus pada nada tinggi dan rendah. Begitu juga dengan Anith yang mempertaruhkan lagu Anuar Zain, Mungkin dianggap Syafinaz satu percubaan yang berani.

Fauzi pula memberikan penekanan pada pitching manakala Paul berharap penyanyi ini masih di sini pada minggu seterusnya.

Harian Metro

ABPBH2008: Hikmah, Padah Kontroversi

12 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Artis berkongsi pendapat mengenai pencalonan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008

TAHUN lalu menyaksikan ramai kebangkitan dan kekuasaan nama besar seperti Rozita Che Wan, Fouziah Gous, Elly Mazlein, Farahdhiya, Remy Ishak, Scha, Sariyanti, Lisa Surihani, Ashraf Muslim, Wan Sharmila, Kamal Adli, Fizo Omar, Yatt, Stacy, Liyana Jasmay, Elyana, Aizat, Nabil Raja Lawak, Ayu OIAM, Iqram Dinzly termasuk gelombang kumpulan indie seperti Meet Uncle Hussain, Hujan, Estranged dan Bunkface.

Antara wajah baru yang disebut ini terus kukuh meneruskan legasi seni mereka dan membuktikan kuasa peminat terus unggul melayakkan mereka disenaraikan sebagai calon top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008. Aktor Rosyam Nor yang dicalonkan dalam dua kategori, Pelakon Filem serta TV Popular sendiri mengakui angkatan bintang baru ini sebagai bukti industri masih mempunyai pelapis.

Namun tidak semua yang dianggap cukup meledak pada tahun lalu mampu memboloskan diri ke senarai akhir ABPBH 2008. Apakah belum cukup bagus buat nama di atas untuk tersangkut mana-mana kategori atau prestasi lakonan mereka biasa saja? Barangkali kontroversi yang dianggap menjadi asam garam dunia hiburan belum cukup kuat memastikan nama mereka terus gah.

Dan tidak semestinya juga kalau tidak tercalon mereka tidak bagus sebenarnya. Ia adalah sesuatu perkara yang agak subjektif untuk dirungkaikan. Mungkin juga peminat mereka terlepas pandang untuk menandakan nama mereka di borang yang disediakan.

Elemen kontroversi atau gosip biar perit untuk ditelan tidak boleh dinafikan menjadi ramuan untuk terus kekal popular. Baik atau buruk, ia tetap publisiti yang membuatkan nama sesetengah bintang tanah air diingati. Buktinya kalau diperhatikan dalam kategori Pelakon TV Popular, calon akhirnya seperti Abby Abadi, Rita Rudaini dan Diana Danielle memang tidak pernah lekang daripada kontroversi.


EMPAT bintang yang hadir dengan personaliti berbeza, Yatt, Iqram, Diana Danielle dan Fouziah Gous.

Bagi si cantik manis, Diana Danielle, graf pembabitan seninya mula tercalar penghujung November tahun lalu apabila kisah cintanya dengan Syamsul Yusof mula diperkatakan. Diana yang mendakwa dirinya dikasari Syamsul akhirnya berlanjutan menjadi kes polis.

Kontroversi itu cukup memanaskan namanya, malah pelakon yang sedang menjalani penggambaran filem Magika arahan Edry Abdul Halim ini tidak menafikan yang mungkin faktor kontroversi itu menjadi penyumbang kepada namanya diundi peminat hingga layak menjadi finalis ABPBH 2008.

“Secara logiknya, saya mengiyakan kontroversi itu sedikit sebanyak menjadi alasan untuk pembaca Berita Harian melakukan pertimbangan dalam mengundi saya. Apa juga alasan, saya bersyukur peminat masih menyokong saya dari belakang. Kali pertama bersaing di pentas ABPBH, saya tidak sangka dan bersyukur disenaraikan.

“Sebagai selebriti atau manusia biasa sekali pun, kita sebagai manusia pasti akan sentiasa diduga. Mungkin juga lepas ini patut diwujudkan kategori Pelakon Paling Kontroversi. Peminat pun mempunyai kuasa untuk menentukan siapa pilihan yang mereka suka,” katanya yang dijadualkan menyertai Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) 19 Mac ini.


FOUZIAH akur rezeki kurniaan Tuhan.

Kata Danielle lagi, dia tidak beriya-iya sangat melakukan persiapan apatah lagi sedang sibuk di lokasi penggambaran Magika memegang watak heroin bernama Ayu dan digandingkan dengan Mawi.

“Apa yang saya harus biasakan ialah dari segi mental iaitu untuk meninggalkan mama, adik angkat (Halley Hayden), kawan dan dunia seni buat sementara waktu,” katanya yang akan muncul di Mydin Mall Sabtu ini kerana menjayakan siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008.

Mengenai Mawi, kata Danielle mulanya dia menyangkakan suami kepada Ekin itu sombong. Tapi hakikatnya akui Diana, Mawi sangat ‘cool’.

“Ini kali pertama kami digandingkan bersama dan saya sendiri agak segan untuk menegurnya. Tapi lama-lama, sudah okey,” ungkap Diana yang kali pertama bertemu Mawi secara berdepan sewaktu ABPBH tahun lalu sambil berkata ‘Hai’.

Ditanya mengenai perancangannya untuk bergelar penyanyi dan melebarkan sayap ke negara seberang, Diana memberitahu yang segala proses itu hanya dapat direalisasikan selepas dia selesai mengikuti PLKN.

“Projek nyanyian itu akan jadi kenyataan. Saya sendiri tidak tahu lanjut mengenainya kerana mama yang menguruskan segala-galanya,” katanya yang bakal muncul dengan filem Bohsia, Kecoh Betul dan Stamp.

‘Soal tercalon atau tidak bersifat subjektif’

BERALIH kepada Iqram Dinzly, namanya juga antara yang sering menarik perhatian media kerana kisah hubungan dengan Fouziah Gous. Biar berkali-kali menafikan kisah itu, ia terus diperdebatkan hingga mengundang jelak di hati beberapa pihak. Dalam situasi itu, mereka bagai terperangkap dan berada dalam dilema apabila hubungan itu dikatakan hanya alasan untuk meraih publisiti murahan.

Iqram juga gagal tercalon untuk kategori Filem atau TV dalam ABPBH 2008. Menurut Iqram yang dihubungi ketika sedang menjalani penggambaran drama Matahari arahan Feroz Khan mengisi slot Akasia TV3, kegagalan ini dilihat daripada sudut yang lebih positif.

“Saya tidak boleh kata keputusan muktamad senarai ABPBH 2008 sebagai tidak adil atau sebaliknya kerana rezeki ini sudah termaktub. Soal tercalon atau tak, bersifat subjektif. Saya jadikan ia sebagai cabaran untuk terus bekerja keras dan memperbaiki kelemahan yang ada.

“Paling saya gembira, rakan saya, Ashraf Muslim berjaya disenaraikan dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular. Itu satu kejayaan di atas usaha kerasnya selama ini. Saya menyokongnya dan tak dinafikan drama Puaka Niyang Rapik dan Renjis menjadi tiket untuk dia terus dikenali di kaca TV,” kata Iqram yang lakonannya kini boleh ditonton di TV3 menerusi drama Rempit VS Impak Maksima menggantikan drama Pepaya untuk slot Aksi. Iqram juga akan muncul dalam slot Cerekarama TV3 untuk drama Derhaka Neraka.

Tak lemahkan semangat

BAGI teman baiknya, Fouziah Gous yang sedang menjalani penggambaran sitkom Nana Tanjung bagi siaran TV9, dia melihat kegagalannya sebagai lumrah kehidupan. Jika tahun lalu, dia pernah tersenarai dalam kategori Artis Baru Wanita Terbaik yang dimenangi Mila, tahun ini pelakon Spa Q 2 ini berada dalam senarai awal kategori Pelakon TV Wanita Terbaik.

“Saingan pelakon TV memang amat sengit dan saya sendiri tak boleh nafikan kekuatan yang sudah melayakkan diri dalam kategori ini. Saya akur dengan situasi ini dan ia bukanlah isyarat yang boleh terus melemahkan semangat saya. Apabila bersaing dalam kategori lain bermakna saya berdepan dengan cabaran yang lebih besar.

“Tidak semestinya apabila kita berada di atas, maka kita akan terus berada di situ. Hidup ini ibarat putaran roda, sekejap di atas, sekejap di bawah. Rezeki adalah kurniaan Tuhan dan kita sebagai hamba-Nya perlu berusaha untuk mencapai titik keseimbangan dalam kehidupan,” katanya yang tidak tersenarai sebagai calon awal bagi kategori Filem kerana kebanyakan filem lakonannya ditayangkan 2009.

Kahwin April, Yatt tak berharap

SEMENTARA itu, pelakon, model dan pengacara TV, Haryati Hamzah atau lebih dikenali dengan nama komersial Yatt dia melihat entiti populariti sebagai perkara yang subjektif. Malah dia yang dicalonkan untuk beberapa kategori awal seperti Pelakon TV Popular dan Pengacara TV Popular tidak langsung berharap untuk berada di senarai akhir top 5.

Menurut Yatt yang dijangka melangsungkan perkahwinan April ini dengan tunangnya, Abdul Mutalib Abdul Shukor, dia mempunyai pandangan berbeza mengenai perihal popular. Kini, Yatt sedang melunaskan rakaman kerja akhirnya sebagai pengacara program 4C musim kedua di RTM 2 sebelum berehat terus bagi memberi tumpuan kepada persiapan akhir menjadi raja sehari.

“Melihat senarai pencalonan awal yang ramai di hati Yatt terdetik mengatakan persaingan memang amat sengit. Untuk mengisi lima ruang finalis akhir itu bukan sesuatu hal yang mudah dan kalau berjaya, bersyukurlah ada rezeki. Bagi Yatt sejauh mana terma popular atau populariti itu mampu mengangkat nama artis ia terpulang kepada cara penerimaan dan sokongan peminat. Jika popular sekalipun, tapi kalau bakat tak ada pun tiada gunanya juga.

“Senario yang Yatt perhatikan di Malaysia memang ada sesetengah artis yang popular tapi bakat dipertikaikan. Sebaliknya ada yang berbakat tapi boleh dibilang dengan jari. Kalau ada yang popular bukan kerana bakat itu mungkin sudah tertulis rezeki begitu. Ada juga yang kurang menyerlah dan menerima publisiti tapi drama berlambak-lambak di TV.

“Sebagai contoh, Yatt melihat pelakon Liyana Jasmay sebagai berbakat dan popular. Dia antara calon yang boleh dibanggakan dan bertuah. Yatt sendiri tidak mengejar populariti dan kalau dianggap popular, itu satu bonus,” katanya yang akan mula mengedarkan kad kahwin tidak lama lagi.

Pandangan bintang yang menyerlah pada 2008 namun gagal disenaraikan sebagai calon akhir ABPBH 2008

Rozita Che Wan:

“Mungkin gosip yang mengaitkan saya dengan golongan VIP hingga dicop menjadi perampas dan pemusnah rumah tangga orang lain antara faktor yang membuatkan peminat tidak mengundi saya. Ini hanya kebarangkalian dan apabila tercetus kisah itu, peminat tak mengundi saya. Mungkin juga saya tidak popular di kalangan peminat dan hanya dikenali di kalangan wartawan,” seloroh pelakon yang akhirnya memberitahu akan berlakon dengan drama 13 episod Tiga Janda terbitan Metrowealth siaran Astro.

Dafi:

“Jika tahun lalu, Dafi menang kategori Artis Baru Lelaki Terbaik dan Dafi bersaing dengan nama-nama baru. Tahun ini, daripada mula lagi Dafi lihat senarai pencalonan awal kategori Penyanyi Lelaki Popular, persaingannya memang sengit. Paling Dafi terkejut sebab nama besar seperti Anuar Zain dan Faizal Tahir tidak berada di senarai akhir kategori itu,” katanya yang baru dimaklumkan kenapa Faizal Tahir tidak disenaraikan kategori itu dan hanya layak sebagai finalis kategori Pengacara TV Lelaki Popular menerusi program Gang Starz yang dihoskannya. Untuk pengetahuan semua, sepanjang tahun lalu, tiada lagu baru yang dihasilkan Faizal Tahir, lalu penyanyi ini memang tidak layak langsung untuk berada dalam pencalonan awal kategori itu.

Farahdhiya:

“Saya ada perhatikan senarai akhir kategori yang dipertandingkan ABPBH 2008 pada 12 April nanti. Tak dapat dinafikan ada beberapa kategori menyaksikan artis yang layak lebih cenderung kepada kisah kontroversi berbanding bakat mereka. Ini realiti dan saya tidak boleh berbuat apa-apa dengan hal ini kerana pada akhirnya peminat yang menentukan,” kata Farahdhiya yang sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Kejar untuk RTM.

Elly Mazlein:

“Mungkin rezeki untuk Elly belum sampai lagi. Jika bukan tahun ini, siapa tahu tahun-tahun mendatang, ia akan menyebelahi Elly. Sebagai pelakon, Elly tak boleh mengesahkan yang Elly boleh masuk ke peringkat akhir kerana di Malaysia ini ramai bakat yang hebat dan tidak dapat disangkal lagi,” katanya manja.

Berita Harian

Bintang Idola Berita Harian: Gelagat Peserta Undang Tawa

3 Mar

Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my

HANIZAM (dua dari kanan) bersama pemenang dan finalis Bintang idola Berita Harian zon Utara sempena Jelajah aBPBH 2008 di Village mall, Sungai Petani, kelmarin.

Vokal mantap Nurlida Ab Rahman pikat juri, sekali gus dinobatkan sebagai Juara Bintang Idola bagi zon Utara

PELBAGAI ragam dan karakter ditampilkan 10 peserta yang menyertai pertandingan akhir Bintang Idola Berita Harian (BIBH) bagi siri pembukaan Jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di pusat beli belah Village Mall, Sungai Petani, Sabtu lalu.

Boleh dikatakan mutu vokal serta persembahan yang ditampilkan semua peserta tidak mengecewakan dan mereka layak untuk dipilih menaiki pentas akhir pada siri pembukaan jelajah ABPBH 2008 itu bagi mempersembahkan bakat nyanyian kepada pengunjung.

Paling mengejutkan apabila seorang anak muda bernama Syamsyul Anuar Ismail memiliki suara yang mirip suara Lan daripada Kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH). Kemunculan Syamsyul yang terpilih untuk berentap di final BIBH Sungai Petani benar-benar menggamatkan suasana.

Bagaimanapun, Syamsyul yang sudah pastinya mendendangkan lagu Lagu Untukmu yang menjulang nama MUH gagal memikat hati juri kerana pertandingan ini bukanlah untuk mencari klon sesiapa tetapi lebih bersandarkan kepada kekuatan vokal yang tersendiri.

Begitu juga dengan vokal salah seorang lagi finalis iaitu Mohd Azidi Halim yang mirip suara Anuar Zain. Mendendangkan lagu Lelaki Ini, juri dan penonton begitu terpegun dengan suaranya tetapi malangnya dia tidak menjadi pilihan juri yang terdiri daripada Pengarang Hiburan Berita Harian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Hanizam Abdullah, wartawan portal hiburan murai.com.my, Haswari Ali dan anggota Sweet Charity, Rosli Mohalim.


AKSI mantap nurlida melayakkannya menjadi juara Bintang idola Berita Harian
zon Utara.

Namun kemunculan peserta paling senior iaitu Syed Hussin Syed Ali mendapat tepukan dan sorakan gamat penonton apabila dia tampil dengan pakaian ala jubah sambil mendendangkan lagu Cik Mek Molek yang dipopularkan oleh Datuk M Daud Kilau. Sambil bergelek satu persatu pakaiannya ditanggalkan sekali gus mengundang gelak ketawa penonton yang geli hati melihat telatahnya di pentas.

Namun adat pertandingan hanya satu nama saja yang akan dinobatkan sebagai juara dan peserta terpilih untuk memiliki status itu kali ini adalah Nurlida Ab Rahman, dari Taman Desa Aman Kulim Kedah.

Beliau yang berpengalaman selama enam tahun berkhidmat sebagai Artis Budaya di Majlis Perbandaran Seberang Perai, Pulau Pinang menyanyikan lagu yang dipopularkan oleh Whitney Houston berjudul Saving All My Love berjaya menewaskan sembilan lagi finalis daripada keseluruhan 90 peserta yang menyertai uji bakat bagi siri pertama BIBH.

“Saya hanya melakukan yang terbaik dan menggunakan segala pengalaman yang ada ketika berada di atas pentas. Sebenarnya saya agak gugup ketika nama saya diumumkan tetapi apabila naik saja ke pentas saya terus fokus kepada persembahan dan syukur semuanya berhasil.

“Saya akan membuat persediaan untuk menghadapi cabaran seterusnya untuk berdepan juara siri jelajah ABPBH seterusnya di Klang Parade, Klang, Selangor yang dijadual berlangsung pada 5 April depan.

“Saya akan lakukan yang terbaik kerana matlamat saya selepas ini adalah untuk beraksi di pentas persembahan di ABPBH 2008 di Genting Highlands pada 12 April di hadapan bintang dan penonton di Arena Of Stars,” katanya.

Nurlida, 27, berkata, beliau menyertai pertandingan itu secara tidak sengaja apabila secara kebetulan mengunjungi lokasi penilaian uji bakat ketika sedang bersiar-siar bersama rakannya.

“Didorong oleh rakan saya kemudiannya mengambil keputusan untuk mencuba nasib sebelum terpilih ke peringkat 10 peserta akhir. Selepas terpilih di kalangan 10 peserta saya berazam untuk menjadi juara dan syukur hasrat saya itu dimakbulkan

“Ini adalah pengalaman paling manis dalam hidup saya tambahan pula selepas menang saya dijemput untuk menampilkan persembahan bersama artis finalis ABPBH bagi siri ini.

“Ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk mencipta nama sebagai juara antara juara bagi enam siri jelajah ABPBH 2008 yang bakal berlakngsung selepas ini,” katanya.

Tempat kedua pada pertandingan akhir itu adalah Noor Nazatul Farahin Mohd Hussin diikuti Syaifana Mohamed Subri di tempat ketiga manakala tujuh lagi peserta yang menerima hadiah sagu hati adalah Sharifah Nabilah Syed Zahar, Syed Hussin Syed Ali, Mohd Azidi Halim, Noor Azam Saari, Syamsul Anwar Ismail, Faizal Mohd Hassan dan Mohamed Izwan Mohd Izhar.

Pengerusi Jelajah ABPBH 2008, Shamsaini Salim berkata, BIBH adalah antara program yang diatur oleh penganjur selain pelbagai acara menarik lain seperti peraduan undi dan menang, persembahan penyanyi jemputan, pameran gambar sekitar ABPBH tahun lalu, jualan cenderamata dan cabutan bertuah.

“Sambutan pengunjung terhadap siri jelajah pertama ABPBH 2008 ini sangat memberangsangkan. Malah, jumlah yang mendaftar bagi menyertai sesi uji bakat BIBH begitu baik. Kira-kira 85 penyertaan diterima untuk menyertai BIBH.

“Selain penduduk sekitar Sungai Petani, penyertaan hari ini turut membabitkan peserta dari Pulau Pinang dan Perak. Johan pertandingan pencarian bakat baru nyanyian ini juga berpeluang melakukan persembahan bersama penyanyi yang dipilih nanti selain membawa pulang hadiah dan wang tunai.

“Selepas Sungai Petani pasukan Jelajah ABPBH 2008 akan berkunjung ke Kompleks Pusat Bandar, Pasir Gudang, Johor pada 7 dan 8 Mac; Mydin Mall, Kuala Terengganu pada 13 dan 14 Mac manakala Kuantan Parade, Pahang pada 21 dan 22 Mac.

“Selepas Pahang, pasukan jelajah ABPBH 2008 akan kembali semula ke Batu Pahat Mall, Johor pada 28 dan 29 Mac sebelum siri jelajah terakhir di Klang Parade, Selangor,” katanya.

Berita Harian