Archive | Anugerah Industri Muzik RSS feed for this section

Dengarnya… Pop Shuvit Jelajah Filipina

29 Apr

Oleh Normah Becok

Pop Shuvit

PADA ketika kumpulan Pop Shuvit dan peminat mereka berdebar-debar menantikan keputusan Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-16 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu ini, Cik Normah mendapat khabar kumpulan berkenaan akan menjelajah Filipina pada penghujung bulan ini, serta awal Mei depan.

Pengurusan kumpulan terbabit dan YZ International dalam e-mel mereka kepada rakan Cik Normah memberitahu, kumpulan berkenaan akan muncul dalam persembahan di SM City Santa Rosa, Laguna, bersama Slapshock pada 29 April.

Kemudian, mereka bersama-sama beberapa kumpulan antarabangsa lain akan muncul dalam Pulp Summer Slam pada 30 April, di Stadium Amoranto, Quezon City. Ia dikatakan festival muzik terbesar di Filipina, dengan kehadiran kira-kira 50,000 penonton setiap tahun.

Akhir sekali, kumpulan terbabit akan beraksi di SM Baliuag, Bulacan, sekali lagi bersama Slapshock pada 2 Mei. Apabila diteliti, tarikh akhir persembahan mereka sama dengan tarikh penganjuran AIM16. Maknanya, ketika acara itu berlangsung nanti, tak adalah Pop Shuvit di dalam dewan.

Apa-apa pun, Cik Normah ucapkan tahniah buat kumpulan ini sebab mereka memang bertapak di luar negara. Kalau sebelum ini mereka sudah melihat pemasaran album serta mengadakan persembahan di Jepun, kini, negara Asia lain pun mereka sudah jelajahi. Itulah, Cik Normah memang percaya, kalau kita memang bagus dan rajin pula berusaha, tentu rezeki ada di mana-mana, termasuk di luar negara.

Berita Harian

Advertisements

Penantian Tujuh Tahun

29 Apr

>>Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
DIBARISKAN bersama penyanyi popular lain untuk memeriahkan pentas Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) dianggap satu satu penghormatan besar buat Chakra Sonik dan Goldkardz.

Ibarat pepatah, kecil tapak tangan nyiru ditadahkan, begitulah perumpamaannya apabila Chakra Sonik yang dianggotai Jegethesan (Jack), Mariyappan (Viveck) dan Vijay (J.brawl) diberi peluang mengadakan persembahan untuk satu segmen khas pada malam kemuncak AIM16 pada 2 Mei ini.

Jegethesan berkata, peluang itu sudah ditunggu selama tujuh tahun iaitu sejak mereka mula terbabit dalam industri muzik tempatan.

Katanya, peluang mengadakan persembahan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dianggap jauh lebih berharga berbanding pencalonan diterima.

“Pada kami ini saja peluang terbaik untuk memperkenalkan diri kepada peminat industri muzik tempatan. Sebelum ini kami pernah diberikan ruang mengadakan persembahan di pentas Anugerah Era dua tahun lalu. Bagaimanapun kami menganggap AIM16 lebih berprestij kerana ia mewakili semua penggiat muzik tanah air.

“Album yang kami hasilkan berkonsepkan hip-hop dalam bahasa Tamil, tetapi ramai tidak tahu sepanjang tujuh tahun pembabitan kami dalam industri muzik tempatan ini, Chakra Sonik turut menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu.

“Antara lagu kami pernah mendapat tempat seperti Ulik Mayang-‘Sang Puteri’, dan ia kami persembahkan di malam Anugerah Era. Ia turut diterima baik pendengar tempatan apabila stesen popular itu sering memainkannya.

“Menarik apabila dalam menghasilkan lagu rakyat Terengganu itu, kami turut menggabungkan ia dengan muzik Hindustan dan instrumen Jawa.

“Usaha kami tidak terhenti di situ dan seterusnya kami menghasilkan pula Lagu Hebat. Bagaimanapun, sambutan diterima tidak sehebat Ulik Mayang-‘Sang Puteri’ dan hanya beberapa stesen seperti X-Fresh.FM memutarkan lagu itu.

“Kami benar-benar berharap dengan persembahan bakal diadakan akan memberi impak, sekali gus mengingatkan peminat tempatan terutama Melayu terhadap kumpulan Chakra Sonik,” katanya.

 

 

Bagi kumpulan Goldkartz yang dianggotai pasangan adik-beradik, Ranjit Kaur dan Sukhjit Singh Gill, mereka mahu menggunakan peluang mengadakan persembahan di malam AIM16 itu untuk memperkenalkan muzik urban Bangra kepada pendengar tempatan.

“Itulah konsep album yang kami hasilkan dan pada saya bagus apabila penganjur AIM16 menampilkan Goldkartz bersama Chakra Sonik dan Man Jiang Hong kerana secara tidak langsung ia mencerminkan masyarakat majmuk yang turut mewarnai industri muzik tempatan,” kata Ranjit.

Walaupun berhadapan masalah apabila syarikat rakaman Maestro Records yang mengedarkan album mereka ditutup, Goldkartz menganggap pencalonan di AIM16 dan juga peluang membuat persembahan sebagai satu rahmat.

“Sejak Maestro ditutup saya tidak tahu perkembangan lanjut album kami. Bukan tidak mahu ambil tahu tetapi saya tidak berkesempatan bertanyakan perkembangannya.

“Lagipun pada saya ia bukan masalah kerana lagu berkonsepkan urban Bangra cukup luas pasarannya. Ia amat popular di Kanada dan Britain.

“Sekarang ini kami sedang melakukan perbincangan untuk membawa album kami ke pasaran luar,” katanya yang turut menampilkan lagu Bangra Melayu, Identiti Mu.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Wanita Dan Emas

29 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Barang perhiasan bakal menyerikan penampilan Salamiah, Atilia, Syafinaz dan Hunny Madu

WANITA dan perhiasan sememangnya cukup intim. Bagai tidak sah apabila seseorang wanita tidak menyukai barang kemas atau perhiasan. Pendek kata, tidak lengkap penampilan mereka jika tidak diserikan dengan sebentuk cincin, seutas rantai mahupun sepasang subang.

Empat penyampai trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-16, Salamiah Hassan, Atilia Haron, Syafinaz Selamat dan Hunny Madu turut mengakui kecintaan mereka terhadap barang kemas, terutama yang diperbuat daripada emas, berlian atau permata.

Pada kemunculan mereka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu ini, empat wanita terkenal ini bakal melengkapkan penampilan dengan barangan perhiasan daripada Fa’iq Jewels yang berpangkalan di Bangsar Shopping Centre (BSC), Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, mereka berkunjung ke kedai barangan perhiasan berkenaan, untuk memilih sendiri aksesori sesuai dengan gaun pilihan masing-masing. Ketika semuanya terpesona dengan gemerlap emas dan kilauan berlian Fa’iq, mereka sempat berkongsi cerita mengenai minat terhadap barang kemas serta koleksi peribadi.

Kata Salamiah, dia memang menyukai barangan perhiasan yang diperbuat daripada emas, mutiara dan batu permata berharga. Dia sendiri mempunyai koleksi yang dianggap cukup bernilai lagi sentimental, seperti batu zamrud dan pertama yang berada dalam simpanannya buat sekian lama.


EMPAT selebriti ini terpesona dengan barang perhiasan Fa’iq Jewels.

“Batu zamrud itu umpamanya, dihadiahkan oleh ibu saya. Saya turut menyimpan seutas cincin berlian yang cukup lama usianya. Barangan seperti itu, semakin lama usia, semakin tinggi nilainya,” kata penyanyi veteran berkenaan yang turut mengubah suai bentuk barang kemasnya untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

Jika ke kedai emas pula, kata penyanyi bersuara lunak ini, pastinya dia akan menuju ke bahagian jualan cincin terlebih dulu, di samping meneliti subang gantung yang turut menjadi hiasan pilihan.

Sama seperti ibunya, penyanyi Atilia sukakan koleksi subang dan cincin. Begitupun, sejak akhir-akhir ini, minatnya terhadap gelang tangan semakin menjadi-jadi.

“Dalam koleksi saya, paling banyak disimpan tentulah subang. Apabila kita menggayakan rambut yang di sanggul, hiasan itu akan lebih menyerlah,” ujar wanita yang mengaku boleh membeli barang kemas di mana-mana saja, asalkan ada koleksi yang memikat hatinya.


GAYA Syafinaz dengan perhiasan pilihannya.

Ditanya mengenai barang kemas paling berharga, tanpa ragu-ragu Atilia mendedahkan, seutas rantai jed yang diberikan ibunya ketika dia berusia lapan tahun ialah koleksi paling bernilai buatnya.

“Saya pasti berada dalam masalah besar sekiranya rantai ini hilang,” katanya sambil disulam ketawa manja.

Beli tidak pilih tempat

BAGI Syafinaz, dia juga tidak memilih tempat untuk membeli barang kemas atau aksesori. Pernah pada satu ketika, dia berkunjung ke sebuah pusat-beli belah di Bangkok pada awal pagi. Di situ, dia terpandang aksesori yang memikat hatinya dan tanpa berfikir panjang, barang berkenaan menjadi miliknya beberapa minit kemudian.

Syafinaz yang meminati berlian sebenarnya mempunyai pengalaman buruk apabila bercerita mengenai barang perhiasan.

“Saya mempunyai sebuah kantung yang banyak menyimpan cincin, subang dan gelang. Saya menyimpan aksesori terbabit di dalam kantung bagi memudahkan urusan penjagaan. Selalunya, saya memang akan sentiasa memeriksa kantung itu, untuk memastikan barang kemas terjaga dengan sempurna.

“Sayangnya, ada satu ketika, saya terlupa memeriksa bekas simpanan itu untuk tempoh dua minggu lamanya. Apabila saya ingin berbuat demikian, semuanya sudah hilang!” cerita Syafinaz yang enggan memikirkan sangat mengenai kerugian dialaminya itu, bagi mengelakkan kesedihan.

Kini, dia sedikit demi sedikit cuba mengumpul semula barangan berkenaan.

Penyampai radio Fly FM yang baru muncul dengan album single, Hunny Madu pula mengaku lebih gemar membeli baju dan barangan perhiasan diri di luar negara, bagi mengelakkan berlakunya persamaan dengan milik orang lain.

Sesekali terbang ke Indonesia atau Thailand, dia pasti pulang dengan beg yang sarat. Tidak berkira mengenai harga, yang penting dia memiliki barangan yang cantik dan berbeza.

“Manakala bagi aksesori pula, saya sukakan sesuatu yang agak besar dan jelas kelihatan. Contohnya, jika memakai gelang, biar ia nampak di tangan,” kata Hunny yang turut menggemari kasut edisi terhad.

Dalam bergaya, katanya, dia lebih suka tampil dengan suatu kelainan. Justeru, aksesori yang melengkapkan gayanya juga perlulah berbentuk lebih moden dan terkini. Namun begitu, wanita ini memberitahu, dia berasakan dirinya belum sampai ke tahap untuk mengumpul barang kemas daripada emas, sebaliknya lebih gemarkan aksesori yang diperbuat daripada platinum.

Berita Harian

Penyeri Karpet Biru

27 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

KARAKTER tiga pengacara popular, Sazzy Falak (Sazzy), Nazrudin Habibur Rahman (Naz) dan Awal Ashaari (Awal) mempunyai tiga persamaan – ceria, suka berceloteh dan mempunyai perwatakan gila-gila.

Justeru, gandingan mereka bertiga sebagai hos memang tepat untuk menyemarakkan lagi acara permaidani biru (Live From The Blue Carpet), Anugerah Industri Muzik yang ke-16 (AIM16) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei ini.

Acara permaidani biru ini akan disiarkan secara langsung menerusi Saluran Ceria Anda, ntv7 selama setengah jam bermula jam 8.30 malam.

Dalam sesi fotografi bersama Rap yang diatur ntv7 di Sri Pentas, Jumaat lalu, keserasian tiga pengacara berbakat besar ini, Sazzy, Naz dan Awal begitu terserlah.

Malah, sesi fotografi eksklusif yang bermula sejak jam 11 pagi dan berakhir kira-kira jam 2 petang juga tidak membosankan dengan telatah Sazzy, Naz dan Awal yang masing-masing begitu mencuit hati dan menceriakan suasana.

Lebih menarik, mereka bertiga sempat bergaya dan bergambar bersama kereta mewah Bufori yang berharga setengah juta ringgit dan bakal menjadi kenderaan yang membawa mereka bertiga berarak ke acara permaidani biru itu nanti.

Menjadi bunga yang diapit dua kumbang, sudah pasti penampilan Sazzy paling mencuri tumpuan pada acara permaidani biru itu nanti.

“Saya memang menanti peluang untuk terbabit dalam acara berprestij seperti AIM16. Maklumlah, saya sudah lama tidak buat acara permaidani merah. Kali terakhir, saya menjadi hos permaidani merah sempena Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) pada 2007,” katanya.

Selain KLIFF, Sazzy pernah menjadi hos permaidani merah sempena seperti Anugerah Era (2004/06) dan Festival Filem Malaysia (2005/06).

Sekalipun berpengalaman sebagai hos acara permaidani merah, Sazzy masih bimbang untuk menjadi hos permaidani merah sempena AIM16.

 

 

“Siapa yang tidak bimbang kerana ini kali pertama saya menjadi hos permaidani merah untuk AIM16. Justeru, saya meminta tip daripada suami, Nazril Idrus yang pernah menjadi hos permaidani merah pada AIM 2007. “Saya juga banyak membuat kajian mengenai perkembangan terkini artis yang dicalonkan termasuk perkembangan industri seni tanah air sekarang.

“Saya juga mendapat tip daripada program Live From The Red Carpet menampilkan gandingan hos Ryan Seacrest dan Juliana yang disiarkan menerusi saluran hiburan E! Entertainment Televisyen (Astro 712),” katanya.

Apapun, kata Sazzy, dia lega apabila digandingkan dengan dua pengacara berpengalaman seperti Naz dan Awal.

“Awal berpengalaman luas sebagai hos permaidani merah dalam acara hiburan berprestij termasuk AIM dan Naz pula cukup berpengalaman sebagai pengacara dalam program yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

“Saya berasa lebih mudah bekerja dengan pengacara yang bagus kerana masing-masing sudah tahu apa yang perlu dilakukan di pentas nanti. Pada masa sama, kami akan bersaing antara satu sama lain untuk memberikan yang terbaik pada acara itu nanti.

“Saya juga pernah bekerja dengan hos yang tidak berpengalaman dan terpaksa menutup banyak kelemahannya bagi memastikan acara itu tidak membosankan penonton,” katanya.

Bagi Naz, peluang julung kalinya menjadi hos permaidani biru sempena AIM16 begitu bermakna buat dirinya.

“Ini kali pertama saya diberi tugas sebagai hos acara hiburan berprestij seperti AIM16.

Sebelum ini, saya pernah hadir ke AIM untuk memberi semangat kepada kawan rapat sejak di bangku sekolah, Damian (VE) yang menang anugerah dalam AIM untuk lagu Anak Ayam.

“Justeru, apabila diberi peluang menjadi hos pula, saya sangat teruja untuk memberikan yang terbaik pada acara ini nanti,” katanya.

Naz yang dikenali menerusi program The Breakfast Show (ntv7) pernah bergandingan dengan pelakon Nur Fazura sebagai hos Anugerah Skrin TV3 berkata, ini kali pertama dia bergandingan dengan Sazzy dan Awal dalam acara hiburan berprestij seperti AIM16.

“Sazzy dan Awal memang tidak asing dalam acara permaidani merah. Justeru, saya akan meminta tunjuk ajar daripada mereka berdua nanti.

“Kami juga diberikan tugas sama rata saja dan tidak timbul isu, Sazzy dan Awal membayangi saya atau sebaliknya,” katanya.

Naz berkata, mereka juga tidak mempunyai skrip yang khusus kerana semuanya akan dilakukan secara spontan saja.

“Apapun persediaan tetap dibuat membabitkan senarai pencalonan artis dan komposer yang bertanding kali ini. Kami juga diberi peluang menemu bual VIP yang diundang, calon yang bertanding, calon komposer dan ramalan siapa yang menang kali ini serta pereka fesyen terbabit.

“Bagi memastikan acara ini berjalan lancar, kami bertiga akan duduk berbincang untuk bertukar fikiran sebelum majlis anugerah berlangsung nanti,” katanya.

Berbanding Naz dan Sazzy, ini kali kedua Awal diberi peluang menjadi hos untuk AIM. Tahun lalu, Awal bergandingan dengan penyampai Hot FM, Tini sebagai hos permaidani merah AIM15.

“Saya pernah bergandingan dengan Sazzy ketika acara permaidani merah, Anugerah Era sebelum ini dan Naz pula baru kali pertama.

“Sekalipun baru kali pertama bergandingan, saya tidak bimbang kerana Naz sangat profesional ketika bekerja. Naz juga pengacara berpengalaman dan dia juga sudah lama berkecimpung dalam bidang pengacaraan,” katanya.

.Awal berkata, dia memang menanti peluang untuk terbabit dalam AIM16.

“Saya sudah 10 kali menjadi hos permaidani merah dalam acara hiburan berprestij dalam industri hiburan tanah air.

“Justeru, apabila diberikan kepercayaan untuk menjadi hos buat kali kedua, saya pastikan prestasi saya lebih baik berbanding dulu,” katanya.

Mengenai kombinasi mereka bertiga, Awal berkata, ia menampilkan kelainan dan variasi dalam acara AIM16.

“Anugerah Era juga menampilkan gabungan empat artis sebagai hos acara permaidani merah sebelum ini.

“Acara ini tidak terlalu rasmi dan kami juga menemu bual artis mengikut situasi majlis ketika itu. Apa yang boleh kami janjikan pada peminat, ia adalah malam menyeronokkan buat semua orang. Ia bukan saja meriah tapi penuh dengan informasi buat penonton,” katanya.

>Profil

NAMA: Sazzy Falak

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 10 Mac 1980

STATUS: Berkahwin

SUAMI: Nazril Idrus

KERJAYA: Pengacara, pelakon dan ahli perniagaan syarikat Sinclair Falak Sdn Bhd.

PROGRAM: Beat TV, Ria Sentral

ANTARA DRAMA: Doa Kamalia, Goda, Kami, Gol & Gincu, Kerana Karina (drama

online)

ANTARA FILEM: Gol & Gincu, Jin Notti

>Profil

NAMA: Nazrudin Habibur Rahman

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 9 November 1978

STATUS: Berkahwin

ISTERI: Sheahnee Iman Lee

KERJAYA: Pengacara dan pelakon

PROGRAM: The Breakfast Show (ntv7), My Aussie Adventure dan Celebrity Karaoke

ANTARA DRAMA: Ghost musim pertama dan kedua.

Profil

NAMA PENUH: Ahmad Awaluddin Ashaari

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 6 Ogos 1981

KERJAYA: Pelakon, pengacara, model dan ahli perniagaan (pemilik Butik fesyen online DNA celebrityStyle bersama Dynas Mokhtar)

PROGRAM: Beat TV, Teh Tarik & Cabaran Tariking F&N 2006, Sensasi, One In A Million, Sehati Berdansa dan Generasi Y (TV1)

FILEM: Diva, Diva Popular, Impak Maksima, Malaikat Maut, Apa Kata

Hati, I’m Not Single dan Syurga Cinta.

DRAMA: Drama: Cinta Medik, Impak Maksima The Series & A Time For Us (usaha sama Malaysia – Filipina)

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Tiada Pilih Kasih

27 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Artis jarang dapat tempat di radio dan TV berpeluang buat persembahan pada AIM16

TIDAK ada pilih kasih diamalkan oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), ketika menentukan siapakah yang paling layak untuk membuat persembahan pada malam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 (AIM16) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 2 Mei nanti.

Pengurus Besar PAIMM, Jennifer Thompson berkata, dalam memilih barisan artis yang akan membuat persembahan, kriteria utama yang diperlukan adalah mereka mestilah berbakat tetapi sering terlepas pandang untuk membuat persembahan dalam acara seperti itu.

“Kita sebenarnya ada ramai penyanyi atau kumpulan muzik berbakat besar serta melahirkan produk berkualiti tetapi kurang diberi perhatian oleh stesen radio, televisyen dan peminat.

“Jadi pentas AIM16 menjadi tempat untuk mereka menyerlahkan bakat sekali gus menyinar dalam industri hiburan,” katanya kepada Hip.

Katanya, ramai yang membuat tanggapan salah kepada AIM kerana sering melihat acara itu sebagai tempat untuk mempromosikan produk penyanyi dan kumpulan muzik yang baru dalam dunia muzik tanah air.

“Memang benar kami turut memainkan peranan dalam mempromosikan produk artis tetapi dalam hal membuat persembahan, kami sebenarnya lebih selektif dan beberapa kriteria lain juga diambil kira.

“Sebagai contoh walaupun artis itu popular dan diakui mampu membuat persembahan yang hebat di konsert misalnya, namun itu bukanlah jaminan untuk mereka kelihatan hebat di kaca televisyen.

“Malahan, saya sendiri pernah memuji persembahan sebuah kumpulan yang sewaktu menyaksikan konsertnya secara live namun selepas melihat kembali di kaca televisyen, barulah saya dapat lihat kelemahan mereka di sana sini,” jelasnya.

Ketengahkan single terbaik bukan popular

Jennifer berkata apa yang dikatakannya nanti bukanlah berniat untuk menuding jari pada mana-mana pihak cuma sekadar menyatakan rasa kesal kerana sikap skeptikal sesetengah pihak terhadap dunia hiburan yang sebenarnya memberikan kesan tidak sihat terhadap perkembangan industri itu sendiri.

“Kita sering melihat ada sesetengah tempat yang melarang artis membuat persembahan. Ini berbeza dengan artis atau band dari Indonesia yang sering menjelajah dari satu lokasi ke lokasi untuk buat persembahan.

“Ini secara tidak langsung mereka sebenarnya membuat latihan memperbaiki kelemahan. Disebabkan itulah kita sering mendengar atau melihat persembahan yang sempurna daripada mereka kerana mereka berlatih hari-hari iaitu dengan cara membuat persembahan di konsert.

“Dari segi lagu, saya cuba mengelak untuk penyanyi terbabit menyampaikan lagu popular mereka. Mungkin saya melihat single lain yang berpotensi untuk ketengahkan, seperti yang pernah kami lakukan untuk kumpulan Estranged apabila kami meminta mereka menyanyikan lagu Velocity berbanding lagu Itu Kamu,” jelas Jennifer.

Pada malam itu nanti barisan penyanyi atau kumpulan yang akan membuat persembahan terdiri daripada M Nasir, Datuk Sheila Majid, Chakrasonic, Faizal Tahir, Goldkartz, Hujan, Joe Flizzow, Man Jiang Hong, Meet Uncle Hussain, Misha Omar dan Rossa.

Penyampai anugerah pula terdiri daripada Aizat, Atilia,Camelia, Dafi, Hunny Madu, Jaclyn Victor, Leya, Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz. Manakala Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Adibah Noor.

Jennifer menjelaskan bahawa ketelitian dalam memilih artis untuk membuat persembahan bukan atas dasar terlalu menjaga prestij acara itu.

“Alasan sebenar adalah saya tidak mahu artis itu nanti yang terpaksa menerima kecaman dan merosakkan karier mereka sekiranya persembahan mereka gagal malam itu,” jelas sekali gus memperbetulkan tanggapan silap pelbagai pihak.

Persembahan barisan artis malam itu nanti akan diiringi kumpulan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman iaitu Ramli MS.

Berita Harian

MUH Terus Dapat Sorakan

24 Apr


PERSEMBAHAN Meet Uncle Hussain sentiasa dinantikan peminat mereka.

Jelajah promosi AIM16 diteruskan ke lokasi terakhir di Pulau Pinang

ROMBONGAN kempen jelajah promosi sempena Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-16 (AIM16) mendapat sambutan menggalakkan ketika mereka berkunjung ke Village Mall, Sungai Petani, minggu lalu.

Deruan enjin daripada 15 motosikal berkuasa tinggi dari kelab Northern Bikers yang mengiringi perjalanan rombongan artis dari Hotel Seri Malaysia, Sungai Petani ke pusat membeli belah itu ternyata menarik perhatian orang ramai.

Antara barisan penyanyi yang turut serta dalam rombongan jelajah promosi AIM16 adalah kumpulan Hujan, Meet Uncle Hussain, Nrocinu, Wildan, All One dan Dina. Semuanya adalah antara finalis AIM16.

Turut memeriahkan acara di Village Mall ialah penampilan penyampai HotFM, Anne dan Nadia dari FlyFM. Kedua-duanya bertindak selaku pengacara sepanjang acara ini berlangsung.

Sikap mesra peminat menjadikan suasana dalam kompleks membeli belah ini kelihatan meriah, lebih-lebih lagi apabila mereka dapat bertemu sendiri dengan penyanyi atau kumpulan pujaan masing-masing seperti Hujan dan Meet Uncle Hussain.

Selain daripada sesi bertemu peminat muzik, penyanyi atau kumpulan terbabit dalam jelajah ini turut menghiburkan pengunjung dengan gaya tersendiri.

Ternyata aksi mereka mendapat sambutan sangat memberangsangkan daripada peminat. Kemunculan Meet Uncle Hussain menyanyikan lagu popular mereka iaitu Lagu Untukmu dan La La La Kerjalah menerima sorakan yang cukup meriah daripada peminat. Ini tidak menghairankan kerana kumpulan itu baru dipilih peminat sebagai Kumpulan/Artis Duo Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008).

Sebagai penyeri acara siri Jelajah Promosi AIM16 juga, peminat setempat turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah di atas kesudian mereka untuk turut serta dalam pelbagai acara yang diatur oleh penganjur.

Semua hadiah adalah sumbangan daripada ntv7 sebagai stesen penyiar rasmi selain HotFM dan FlyFM, kedua-duanya menjadi radio rasmi bagi AIM16.

Program jelajah promosi AIM16 turut mendapat tajaan pengangkutan daripada Sinarmas Travel & Tours, manakala Hotel Seri Malaysia pula menjadi penginapan rasmi bagi anggota rombongan ini.

Bagi peminat yang terlepas peluang untuk bersama finalis AIM16 di Sungai Petani, jangan ketinggalan untuk menyaksikan penutup siri jelajah ini di pusat membeli belah QueensBay Mall, Pulau Pinang, esok (25 April) jam 2.30 petang.

Barisan penyanyi dan kumpulan muzik yang bakal muncul di QueensBay Mall nanti ialah Shila (OIAM), Ayu Damit, Alyah, Pak Long, Dina, Nrocinu, Karen Nunis Blackstone, Shal Shagan, Reshmonu, Deja Vodoo Spells, Nice dan Bob.

Malam kemuncak AIM16 akan berlangsung pada 2 Mei 2009 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan disiarkan secara langsung di ntv7 selain boleh diikuti menerusi HotFM dan FlyFM.

Bagi mereka yang berminat untuk menyaksikan AIM16 secara ’live’, tiket boleh didapati dengan harga RM50 setiap satu dan untuk keterangan lanjut boleh menghubungi 0340445388.

Berita Harian

Kekangan Bajet Tak Sekat Kreativiti

21 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

PAIMM lebih selektif dalam pemilihan senarai artis untuk serikan majlis pada 2 Mei

SEMUA pihak bebas memberikan pandangan dan kritikan namun apa yang termampu mereka lakukan adalah merencanakan konsep persembahan terbaik biarpun menghadapi kekangan bajet yang ketat.

Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson, berkata Anugerah Industri Muzik (AIM) 16 cuma menyediakan lapan slot persembahan sekali gus mendesak mereka supaya lebih selektif dalam pemilihan senarai artis untuk menyerikan acara itu.

Katanya, menyusun senarai persembahan untuk acara besar seperti AIM16 bukan sesuatu yang mudah kerana sulit untuk meramalkan apa yang akan berlaku nanti.

“Ia sama seperti membikin sebuah album yang mengerah kerja keras dan titik peluh serta kreativiti anak seni tetapi apabila menjadi sebaliknya, mereka dihentam dan segala penat lelah yang dicurahkan tidak dihargai.

“Sama seperti AIM16, kami cuba memberikan yang terbaik untuk acara ini atas kapasiti yang ada kerana kami sendiri sukar meramalkan bagaimana hasilnya nanti,” kata Jennifer yang ditemui pada sidang media pengumuman artis yang membuat persembahan dan penyampai trofi untuk malam kemuncak AIM16, baru-baru ini.

Jennifer berkata, industri hiburan negara ketika ini dilambakkan dengan penganjuran pelbagai acara anugerah dan tanpa disengajakan mencetuskan persaingan antara satu sama lain untuk muncul terbaik di penilaian mata khalayak.

Akuinya, dia menyanjung kekuatan produksi Anugerah Juara Lagu Ke-23 yang berjaya menghasilkan sebuah penerbitan terbaik.

“Semua memberikan pandangan dan membuat penilaian, namun kami hanya mampu mencuba sedaya upaya atas segala kemampuan yang ada,” katanya.

Jumlah slot yang kecil tetapi memancing keinginan ramai penggiat muzik untuk turut serta membuatkan Jennifer dan tenaga produksi AIM16 menetapkan kriteria tertentu dalam menentukan barisan artis yang terpilih untuk membuat persembahan.

AIM16 kata Jennifer, mengutamakan artis yang mempunyai produk sebagai kelangsungan untuk mereka meneruskan usaha dalam membina karier dan berdiri matang dalam industri muzik.

“Kita mempunyai ramai artis yang berbakat besar dan melahirkan produk yang baik tetapi kurang diberi perhatian oleh stesen radio dan peminat.

“Justeru, AIM16 memberi peluang ini kepada mereka untuk memperkenalkan bakat seperti mana kesempatan diberikan kepada Dayang Nurfaizah dan Misha Omar yang menyerlah selepas memberikan persembahan terbaik pada malam kemuncak AIM dulu.

“Bagi mereka yang tidak terpilih, AIM tetap menyokong malah apabila tiba masanya mereka juga akan meraih peluang yang sama,” katanya.

Dalam ketelitian itu, Jennifer berkata, pengulangan barisan artis yang menyerikan slot persembahan AIM16 tidak dapat dielakkan kerana mereka impak yang besar kepada dunia hiburan sepanjang tahun lalu.

Faizal Tahir, Meet Uncle Hussain dan Hujan katanya ialah antara barisan artis yang memberi impak besar kepada industri muzik sepanjang tahun lalu.

Tambah Jennifer, meskipun industri hiburan ketika ini dibanjiri ramai kumpulan muzik baru yang mempunyai potensi besar di mata peminat namun mereka terpaksa berhati-hati apabila membabitkan persembahan di kaca televisyen.

Katanya, persembahan secara langsung di depan peminat dan beraksi di kaca televisyen adalah dua perkara berbeza serta menuntut ketelitian yang mendalam.

“Di kaca televisyen, setiap kesilapan dapat dikesan dengan jelas dan kami tidak mahu kerana kegagalan pertama, mereka terus dihukum dan dihentam selama-lamanya.

“Kami pernah melalui situasi ini apabila mengundang kumpulan indie berpengaruh untuk beraksi di AIM tetapi apabila gagal menyerlah di kaca televisyen, mereka teruk dikritik,” katanya.

Jennifer turut memuji artis tempatan berbangsa Cina dan India yang menunggu penuh sabar untuk meraih ruang beraksi pada acara kemuncak tahunan itu.

“Penghargaan mereka terhadap acara ini berbeza. Kesungguhan serta kesabaran mereka cukup kami hargai dan kerana itu, sejak beberapa tahun lalu kami mengundang mereka untuk turut sama,” katanya.

AIM16 yang akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei ini kembali menyatukan Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Adibah Noor sebagai pengacara.

Pengekalan tiga nama berkenaan sebagai teraju utama AIM16 kata Jennifer adalah kerana keserasian mereka dengan gaya dan perjalanan acara anugerah muzik itu.

“Tidak dinafikan pengacara menjalankan tanggungjawab yang berat kerana imej dan cara pembawaan AIM16 berada di tangan mereka. Ketiga-tiga pengacara ini sudah faham dengan perjalanan AIM yang tidak terlalu serius namun mempunyai imej dan prestijnya yang tersendiri,” katanya.

AIM16 diserikan dengan persembahan daripada Chakrasonic, Faizal Tahir, Goldkartz, Hujan, Joe Flizzow, Man Jiang Hong, Meet Uncle Hussain, Misha Omar, M Nasir, Datuk Sheila Majid serta penyanyi Indonesia, Rossa.

Sementara itu, penyampai anugerah pula terdiri daripada Aizat, Atilia, Camelia, Dafi, Hunny Madu, Jaclyn Victor, Leya, Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz.

“Persembahan barisan artis akan diiringi kumpulan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik, Ramli MS. Komitmen yang sentiasa diberikan artis bakal menyajikan sebuah lagi persembahan menarik untuk dinikmati semua,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM16, Rosmin Hashim berkata, kemuncak AIM16 menyajikan beberapa kejutan menerusi gandingan persembahan yang mengujakan penonton.

“Apa yang dapat saya katakan, barisan artis yang terpilih itu mencerminkan perjalanan industri muzik sepanjang 2008 apabila kehadiran mereka memberi impak dan warna kepada dunia hiburan negara,” katanya.

AIM16 mempertandingkan 29 kategori, namun hanya 17 kategori disampaikan pada malam kemuncak manakala selebihnya diserahkan kepada pemenang sebelum acara bermula.

Berita Harian