Archive | Anugerah Planet Muzik RSS feed for this section

'Populariti Nombor Dua'

22 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

NAMANYA mungkin tidak sepopular Siti Sarah, Misha Omar atau Azharina Azhar, namun penyanyi Dia Fadila tetap bersyukur dengan pencapaiannya sepanjang 10 tahun bergelar anak seni.

Malah, Dia atau nama sebenarnya, Nur Nadia Fadila Abu Bakar, Artis Baru Wanita Terbaik, Anugerah Planet Muzik (APM) 2005 ini sudah mampu tersenyum kerana mempunyai hala tuju sebagai anak seni dan pada masa sama, bakat seninya juga mendapat pengiktirafan di luar negara.

“Ada orang bertanya kenapa bakat saya tidak diiktiraf di negara sendiri? Jawapan saya mudah saja, anugerah dan pengiktirafan di sini dinilai dari segi populariti dan bukannya bakat seseorang artis.

“Apapun, saya tidak kisah orang kata nama saya tidak popular seperti artis muda lain. Terus terang, saya menceburi bidang seni untuk menonjolkan bakat sedia ada dan melihat bakat saya sebagai satu bisnes untuk meningkatkan pendapatan sekali gus menyara keluarga.

“Soal populariti pula jatuh nombor dua kerana saya tidak mahu nama saja popular, tapi hakikatnya ‘poket kosong’.

“Jika ramai artis lain mengadu undangan persembahan semakin berkurangan, saya pula sebaliknya. Dalam kemelut ekonomi global, undangan persembahan tidak pernah putus diterima termasuk di luar negara. Saya juga ada kerja dan terbabit dengan pelbagai projek setiap hujung minggu.

“Selain itu, saya sudah tiga kali menjayakan persembahan untuk stesen TV di Vietnam. Terbaru, saya akan jayakan persembahan di sana sekali lagi hujung bulan ini,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Dia yang juga pemenang tempat kedua, Bintang Gala 2 1999 (Golden Teen Search) anjuran RTM berpeluang berkongsi ilmunya dengan peserta Bintang RTM 2009.

“Saya diundang menjadi penasihat vokal Pertandingan Bintang RTM 2009. Mungkin, ilmu saya ini tidak sebanyak mana, tapi berusaha memberikan yang terbaik kepada semua peserta yang juga bakat baru yang ingin mencari tapak di persada seni tanah air,” katanya. Lebih memberangsangkan, pada usia 25 tahun, Dia bergelar pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sejak September lalu.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik (Persembahan), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini juga mengajar vokal dan diction lyric (sebutan lirik) dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Jerman, Perancis dan Itali di Aswara.

 

 

“Saya memang bercita-cita menjadi pensyarah vokal sejak kecil dan impian itu akhirnya tercapai jua.

Sejak awal pembabitan dalam bidang seni saya memang sudah sediakan pelan B kerana saya sedar, industri hiburan kita kecil dan tidak seperti di Hollywood.

“Pada masa sama, bidang nyanyian juga ada pasang surutnya. Justeru, saya yakin keputusan untuk menjadi pensyarah dan menyambung pengajian dalam bidang muzik ini tepat sebagai jaminan masa depan,” katanya.

Sekalipun sudah bergelar pensyarah sepenuh masa di Aswara, cinta Dia pada kerjaya nyanyian tidak pernah surut.

“Saya masih aktif menyanyi cuma mungkin orang tidak tahu kerana tidak ada publisiti dan nama saya juga tidak dikaitkan dengan kontroversi.

“Setakat ini, kerjaya nyanyian tidak terjejas kerana saya hanya mengajar dari jam 7.30 pagi hingga jam 5.30 petang setiap hari. Pada waktu malam dan hujung minggu, saya fokus pada kerjaya nyanyian pula,” katanya.

Bagaimanapun, Dia mengakui pada mulanya dia berasa malu dan janggal berhadapan dengan pelajar yang sebaya dengan usianya dalam kelas.

“Ada juga pelajar yang tidak boleh terima kerana usia saya sebaya mereka dan pada masa sama bergelar artis pula.

“Saya juga jadi tumpuan dalam kelas dan ada peminat yang ingin bergambar dan mengambil tanda tangan termasuk memegang rambut saya.

“Namun, saya berusaha meyakinkan mereka dengan kredibiliti saya dan menjadi diri sendiri. Lama kelamaan, pelajar boleh terima dan menghormati saya sebagai pensyarah mereka,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Dia berkata, dia ingin menempa nama seperti idolanya, penyanyi, pengkritik dan pensyarah vokal, Syafinaz Selamat.

“Saya berazam untuk berjaya sepertinya dalam kerjaya yang diceburi. Bagi melengkapkan ilmu sedia ada, saya juga akan menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang muzik pada Julai nanti. Insya-Allah, selepas itu, saya bercadang menyambung pengajian peringkat ijazah kedoktoran pula nanti,” katanya.

Mengenai album pula, penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music ini mempertaruhkan bingkisan album kompilasi terbarunya, Terbaik Dariku yang sudah menjengah pasaran awal tahun ini.

Album ini menampilkan 10 lagu yang juga dua lagu baru iaitu Satu Ruang dan Jat Da Da Da.

Satu Ruang adalah lagu yang dipetik menerusi filem Selamat Pagi Cinta yang dilakonkan Sharifah Amani dan Nur Fazura. Manakala Jat Da Da Da adalah lagu baru yang dicipta komposer dari Thailand.

Lagu lain ialah rangkaian lagu lagu popularnya antaranya Aku Masih Setia, Andai, Na Na Na…. Kataku, Tangisan Marhaenis yang juga lagu duet dengan Hattan, 14 Februari, Tiada Lagi Cinta, Tentang Cinta Ini (duet bersama Andy Flop Poppy), Tunggu Lalu, Takkan Terista dan Tiga Tahun. Ditanya mengenai teman istimewa pula, Dia mengakui hatinya sudah berpunya.

“Teman lelaki saya hanya orang biasa dan kami sudah berkawan selama dua tahun. Insya-Allah, jika ada jodoh, kami akan berkahwin tahun depan.

“Kalau nak diikutkan keluarga terutama ibu ingin melihat saya berumah tangga secepat mungkin, tapi banyak perkara yang perlu kami selesaikan terlebih dulu. Teman istimewa juga banyak menyokong saya dari belakang sejak dulu lagi,” katanya.

Profil

Nama Sebenar: Nur Nadia Fadila Abu Bakar

Tarikh Lahir: 23 September 1984

Asal: Selangor

Kerjaya: Penyanyi, pengacara dan pensyarah vokal di Aswara

Status: Bujang

Album: Dia (2004), Na Na Na Kataku (2007) dan kompilasi Dia Fadila Terbaik Dariku

Pengacaraan: Bintang RTM dan Hitz 1.

Akademik: Ijazah Sarjana Muda Muzik (Persembahan), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Pencapaian: Artis Baru Wanita Terbaik di APM 2005, Juara Kategori Pop, Festival Melodi Emas Asean

2008 yang berlangsung di Ho Chin Minh, Vietnam pada 16 Oktober 2008.

Lagu Popular: Aku Masih Setia, Andai, Tangisan Marhaenis (duet bersamaHattan).

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

MUH Berehat Selepas Menang

17 Apr

>>Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
PENGARUH band indie (bergerak bebas) tempatan yang semakin meluas dalam industri muzik tanah air turut menaikkan nama dan populariti, kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) apabila mengungguli kategori Penyanyi Berkumpulan/ Duo Popular, Anugerah Bintang Popular, Berita Harian (ABPBH) 2008 yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highland, baru-baru ini.

Selepas Nabil Raja Lawak, Mawi, Datuk Siti Nurhaliza dan Aznil Nawawi, MUH menduduki tempat kelima yang mendapat undi tertinggi untuk merebut gelaran Bintang Paling Popular, ABPBH 2008 dengan meraih sebanyak 11,784 undi.

Dalam acara berprestij itu, MUH juga mengetepikan saingan terdekatnya dalam kategori berkenaan yang juga rakan seperjuangan dalam muzik indie iaitu Estranged dan Hujan.

Lebih bermakna, kemenangan itu menjadikan MUH lebih akrab dan bersatu hati untuk sama-sama memperjuangkan muzik yang dipelopori mereka di persada seni tanah air.

Menurut vokalis MUH, Nor Azlan Roslee atau Lan, 26, selepas Lagu Untukmu muncul sebagai Lagu Terbaik, Anugerah Juara Lagu ke-23 dan Lagu dan Persembahan Terbaik Hit 1 di Pertandingan Akhir Hits 1 musim keenam terbitan RTM baru-baru ini, dia sudah menjangkakan mereka meneruskan kecermelangan itu dalam ABPBH 2008 pula.

“Kami bersyukur, muzik kami terus mendapat tempat dihati peminat di luar sana yang bersusah payah mengundi sekaligus tetap setia menyokong perjuangan muzik kami.

“Anugerah ini cukup bermakna kerana ia satu pengiktirafan orang dalam industri seni kepada band kami.

Nampaknya, tahun ini benar-benar membawa tuah dan rezeki buat kami. Kami juga menunggu selama sembilan tahun untuk menempa nama dan kejayaan dalan industri seni tanah air.

“Kejayaan yang kami kecapi hari ini semuanya kerana hasil kerja keras kami secara berkumpulan kerana setiap anggota MUH memainkan peranan masing-masing.

“Saingan terdekat kami pada ABPBH 2008 ialah band Hujan yang mempunyai ramai pengikut di kalangan band indie tempatan. Kalau kami tidak menang malam itu, sudah pasti trofi itu berpihak kepada Hujan,” katanya.

 

 

Bagaimanapun, kata Lan, selepas kemenangan di ABPBH 2008, mereka memutuskan untuk berehat seketika dari industri seni tanah air.

“Kami bukan nak bersara atau berpecah sebaliknya untuk berehat seketika. Selepas kejayaan demi kejayaan dikecapi bersama, sampai masanya kami bercuti untuk menenangkan minda dan fikiran pula. Pada masa sama, untuk mencari idea baru untuk bingkisan album baru kami nanti.

“Sebab itu, kalau orang tanya mengenai album baru, jawapan saya masih sama, kami perlu berehat untuk mendapat idea baru.

“Terus terang, masing-masing memerlukan ruang untuk diri sendiri dan bercuti selepas penat bekerja. Saya tidak pasti kami akan bercuti berapa lama, mungkin sebulan atau beberapa bulan bergantung pada keadaan.

“Kami tidak akan bercuti ke tempat yang sama sebaliknya setiap anggota kumpulan ini ingin berehat seketika dan memberi fokus pada komiten dalam kehidupan masing-masing,” katanya.

Ditanya mengenai gosip terbaru dia akan meninggalkan MUH untuk bergerak secara solo, Lan segera menafikannya.

“Saya tidak terfikir pun untuk bergerak secara solo. Kalau ada peluang yang bagus pun untuk buat solo, saya akan berfikir banyak kali untuk berbuat demikian.

“Apa yang boleh saya katakan sekarang, kami masih bersama sebagai satu kumpulan dan MUH masih wujud dalam industri muzik tanah air.

“Pada masa sama, saya juga tidak mahu MUH dikenali sebab gosip dan kontroversi kerana gosip yang dikaitkan dengan saya banyak tidak betul.

“Contohnya, cerita negatif saya dikatakan sering tidak muncul ketika menjayakan persembahan bersama MUH sebelum ini?. Memang, saya akui pernah datang lambat ketika buat persembahan bersama MUH sebelum ini tetapi gosip yang mengatakan saya tidak datang langsung untuk jayakan persembahan itu tidak betul.

“Sebelum ini, banyak cerita negatif dikaitkan dengan saya seperti masalah disiplin, lupa diri dan sekarang cerita saya nak keluar dari MUH pula?

“Saya akui gosip dan populariti semakin menaikkan populariti MUH tetapi cerita negatif juga boleh menjejaskan nama baik saya dan nama band MUH.

“Apapun, saya anggap cerita negatif itu adalah sebahagian asam garam dunia seni dan ia perbuatan orang yang ingin menjatuhkan nama baik saya dan MUH. Apa yang penting, kontroversi dan cerita negatif itu tidak akan mematahkan semangat saya untuk meneruskan perjuangan bersama MUH,” katanya.

MUH yang ditubuhkan awal 2001 sudah tujuh tahun memperjuangkan muzik indie.

Selain Lan, MUH dianggotai Nik Mustaza Nik Mustapha (Taja/gitaris), 29 dan Mohd Fathi Mohd Darwis atau (Afat/bassist), 28. MUH turut menampilkan dua pemuzik undangan iaitu Mustafal Bakri dan Azhar Abdul Razak (gitaris kedua).

Antara lagu popular mereka yang mendapat tempat di hati peminat ketika ini ialah Lagu Untukmu, La La La Kerjalah dan Pari-Pari Di Bawah Angin. Sebelum ini, MUH pernah diiktiraf sebagai Kumpulan Baru Terbaik pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2008.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Anuar Zain Tak Mahu Tamak

6 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Biarlah dianggap cerewet asalkan hasilnya memuaskan hati

KETELITIAN dalam mencari yang terbaik untuk setiap hasil karyanya sering disalahertikan hingga ada beranggapan penyanyi kacak, Anuar Zain sebagai seorang yang cerewet dan sukar untuk dipuaskan.

Biar apa juga tafsiran, penyanyi berusia 39 tahun ini tidak gusar meminggirkan tanggapan yang kurang senang dengan ketelitiannya itu.

Melihat perkataan cerewet itu dalam konotasi positif, Anuar berkata, ia berkait dengan keinginan mahu memberikan yang terbaik kepada penggemarnya.

Kata penyanyi lagu Lelaki Ini itu, sebagai pengkarya dia perlu memainkan peranannya supaya khalayak menghargai apa yang dipersembahkan seterusnya mendokong perjalanan kariernya nyanyiannya supaya berpanjangan.

“Saya melihat itu sebagai penghargaan kerana saya mahu cemerlang dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Jadi mengapa perlu orang lain berasa hati kerana saya punya peranan untuk mengangkat karya kita di tahap lebih tinggi.

“Saya mungkin boleh berlebih kurang dengan memberi produk separa matang tetapi akhirnya yang bakal dipersalahkan adalah diri sendiri.

“Disebabkan itu saya kurang faham mengapa dikatakan cerewet sedangkan saya cuma berusaha memberikan yang terbaik kepada penggemar,” tepis Anuar mengenai tanggapan yang sering dilemparkan kepadanya setiap kali menghasilkan album terbaru.

Lelaki berbintang Aquarius ini menyelar sikap sesetengah pengkarya tempatan yang pantas melemparkan tanggapan negatif terhadapnya sedangkan mereka tidak pernah cuba memberikan ciptaan untuk dinilai.

Anuar berkata, sesetengah pencipta lagu gusar menyerahkan karya mereka kepadanya kerana bimbang akan ditolak sedangkan dia tidak pernah meletakkan sebarang standard atau kriteria tertentu dalam sesuatu ciptaan.

“Saya cuma mahukan ciptaan yang baik. Hanya itu. Saya turut memberikan tawaran kepada komposer tempatan, malangnya hingga hari ini belum mendapat apa-apa maklum balas. Tetapi apabila saya bekerjasama dengan komposer Indonesia ada yang melenting dan marah, sebaliknya mereka tidak berbuat apa-apa untuk membantu saya.

“Saya selesa bekerja dengan komposer luar kerana mereka lebih terbuka menerima pandangan dan pantas memberikan apa yang saya mahukan,” katanya yang baru mempunyai dua lagu, satu daripadanya ciptaan komposer tempatan, Kieran Kuek dan Indonesia, Nico Ajibandi untuk album terbarunya.

Pemilik nama penuh, Shahrul Anuar Zain ini berkata, apa yang penting karya yang dihasilkan harus menyentuh hati pendengar dan dia tidak pernah terfikir untuk mencari pengiktirafan pada majlis anugerah.

“Tidak mengapa jika album saya tidak layak dicalonkan untuk Anugerah Industri Muzik atau Anugerah Juara Lagu kerana apa yang penting, lagu nyanyian saya harus menyentuh hati pendengar,” katanya.

Bersyukur ketelitian dalam penghasilan album solo ketiga memberinya jualan selesa dengan lebih 31,000 salinan, Anuar berkata, dia cuba mencari nuansa baru dalam pembikinan album keempatnya.

Mengharapkan album itu dapat diimbangi antara sentuhan balada dan pantas, namun Anuar berkata, kebanyakan komposer cenderung memberikan ciptaan perlahan kepadanya.

Sesuatu yang pasti kata anak kelahiran Merlimau, Melaka ini, album itu akan memuatkan 10 ciptaan baru yang memberi kepuasan kepada penggemar yang lama mendambakan lagu terbaru daripadanya.

“Tenaga yang dicurahkan tetap sama sekali pun saya cuma merakamkan album mini. Jadi lebih baik saya memberikan album penuh.

“Sejak dulu lagi kita sering dimomokkan dengan idea album tidak boleh jual tetapi saya percaya kepada rezeki. Jika kita memberikan produk yang bagus, Insya-Allah, pendengar akan membeli biarpun mengambil masa untuk dipasarkan,” katanya yang tidak meletakkan sasaran bila album itu akan menemui peminat.

Sentiasa positif dalam merencana karier nyanyiannya, Anuar berkata, kebelakangan ini dia mula memperlahankan kemunculannya di khalayak kerana merancang untuk mengadakan sebuah konsert besar.

“Saya tidak tahu bila akan menjadi kenyataan, namun saya berharap ia dapat dilaksanakan tidak lama lagi. Saya sentiasa positif dalam apa yang dilakukan,” katanya mengenai usaha yang dicetuskan sejak tiga tahun lalu.

Kembali menjayakan Minggu Setiausaha

ANDAI tahun lalu Anuar menolak segala keseronokan menjayakan persembahan eksklusif sempena Minggu Setiausaha, April ini dia bersedia apabila bekerjasama dengan Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara untuk acara itu.

Akuinya, dia agak cerewet dalam persembahan di Kuala Lumpur kerana merancang untuk menjayakan sebuah konsert tidak lama lagi.

Katanya, dia tidak terdesak untuk menerima pelbagai tawaran diajukan kepadanya, sebaliknya cuma memilih untuk mengadakan persembahan di Pusat Konvensyen Sime Darby kerana ingin memberikan kepuasan kepada peminat.

“Kalau menerima tawaran lain pun, saya memilih untuk menjayakan persembahan di luar Kuala Lumpur. Saya tidak mahu disebabkan tamak, saya tidak sempat membuat persiapan rapi dan sudahnya semua yang datang tidak mendapat kepuasan. Itu yang saya cuba elakkan.

“Saya tidak percaya dengan prinsip menerima apa saja ketika masih diterima. Rezeki Tuhan itu di mana-mana. Saya mahu bertahan untuk jangka masa yang lama,” katanya.

Anuar berkata, persembahan pada 9 April itu nanti akan memperdengarkan himpunan lagu dipetik daripada album yang pernah dihasilkannya.

“Selain itu saya juga akan menyanyikan beberapa lagu daripada penyanyi lain. Cuma setiap kali mengadakan persembahan, peminat tetap mahukan saya menyanyi lagu daripada album terdahulu.

“Bentuk dan rangka persembahan sudah direncana namun semuanya bergantung kepada suasana pada hari acara. Saya cuma mahu berkongsi saat manis bersama mereka yang datang pada hari itu,” katanya yang akan diiringi Alwyn Santiago yang bertindak sebagai pengarah muzik.

INFO: Anuar Zain Nama Penuh: Shahrul Anuar Zain Tarikh Lahir: 15 Februari 1970 Asal: Kampung Simpang Merpati, Melaka Makanan Kegemaran: Berubah-ubah mengikut selera Minuman Kegemaran: Teh Tarik Warna kesukaan: Perang, biru, kelabu & merah Penyanyi Kegemaran: Ziana Zain, Dayang, Siti Nurhaliza, Whitney Houston Pelakon Kegemaran: Julia Roberts, Amy Mastura, Ellie Suriati Wanita Pilihan: Seseorang yang menerima dirinya sebagai Shahrul Anuar bukan Anuar Zain Visi Anuar : Mengembangkan karier seni ke peringkat lebih tinggi Pencapaian: Vokal Lelaki Pilihan (Anugerah Era 2005), Penyanyi Lelaki Paling Popular (Anugerah Planet Muzik 2005), Penyanyi Lelaki Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2004), Penyanyi Lelaki Paling Popular (Anugerah Planet Muzik 2004), Vokal Lelaki Pilihan (Anugerah Era 2003), Penyanyi Baru Lelaki Terbaik dan Penyanyi Lelaki Terbaik (Anugerah Industri Muzik 1999) Tempahan untuk persembahan makan tengah hari bersama Anuar Zain boleh dibuat dengan menghubungi 03-20893688 atau 3668.

Berita Harian

Shahira Teruja Dipilih Pengacara

19 Mar

>>Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

KEHANGATAN Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08) semakin terasa apabila penganjur mengumumkan nama artis yang bakal mengacarakan acara berprestij itu, kelmarin.

Turut diumumkan pada majlis sidang akhbar ABPBH08 di Grand Salon, Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan itu barisan artis yang akan menyampaikan anugerah dan melakukan persembahan.

Selepas beberapa tahun ABPBH menggandingkan pengacara wanita, tahun ini dua nama tidak asing dalam industri seni tempatan, Sharifah Shahira dan Adlin Aman Ramlie dipilih untuk mengemudi acara terbesar itu.

Sebelum ini, isteri pelakon Ijoy Azhari itu pernah mengendalikan acara sama bergandingan dengan Raja Azura dua tahun lalu manakala tahun lalu Raja Azura digandingkan dengan Fauziah Ahmad Daud. Raja Azura juga pernah digandingkan dengan Anita Sarawak.

Sementara Adlin sudah membuktikan kemampuannya mengendalikan acara besar ketika mengacarakan Anugerah Skrin akhir tahun lalu digandingkan dengan Nurul Syuhada.

Ditemui sebaik acara selesai, Shahira yang kini mengandung tiga bulan mengakui teruja apabila sekali lagi menerima tawaran daripada penganjur untuk mengendalikan ABPBH08.

“Ini kali pertama saya bekerja dengan Adlin. Walaupun pertama kali digandingkan, rasanya kami tidak akan menghadapi masalah kerana Adlin juga berpengalaman.

“Selaku pengacara, saya akan cuba menjadi diri sendiri dan selebihnya memastikan acara berjalan lancar dan mengikut skrip diberikan. Cuma saya harap jangan berlaku kesilapan.

“Maklum saja, saya ini kuat latah, bimbang nanti terlepas cakap. Begitupun, perkara itu selalunya menjadi bahan lawak kepada penonton kerana ia keluar secara spontan,” katanya.

Shahira yang akan menggayakan baju ciptaan Michael Shu pada malam kemuncak pada 12 April nanti, tidak ditemani Adlin ketika sidang media berlangsung.

 

 

Sementara itu beberapa penyanyi popular sudah memberi pengesahan akan menghangatkan lagi pentas ABPBH08 yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highland, Pahang seperti Datuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Faizal Tahir, Jamal Abdillah serta penyanyi muda sedang meningkat naik seperti Aizat, Diddy, Siti Sarah, Ayu, Farah Asyikin dan Stacy. Pada majlis itu, Faizal juga muncul dengan imej baru berambut pendek.

Bagi Farah Asyikin, dia menganggap peluang mengadakan persembahan pada malam ABPBH08 sebagai medan terbaik untuk mengetengahkan bakatnya kepada umum.

“Saya akan mendendangkan lagu single pertama daripada album baru, Hello. Dengan peluang diberikan ini, saya mahu memberikan persembahan terbaik.

“Sebelum ini ramai orang mengenali saya menerusi lagu didendangkan, tetapi jarang melihat persembahan yang saya lakukan. Antaranya persembahan di majlis penganugerahan yang pernah saya buat di Anugerah Planet Muzik.

“Begitupun saya berasakan impak bakal diperoleh daripada persembahan dilakukan di ABPBH08 lebih besar kerana ia menjadi tumpuan dan menghimpunkan warga seni dari semua cabang,” katanya.

Turut menarik perhatian apabila penganjur turut mengumumkan segmen persembahan lagu 60-an dan untuk itu penggiatnya seperti Datuk A Rahman Hassan, Jeffrydin dan L.Ramlee diberi penghormatan untuk bersama-sama menggegarkan pentas ABPBH08.

Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Siapa Bilang Aku Tak Sayang, L.Ramlee terharu apabila penganjur ABPBH08 menghubunginya untuk mengadakan persembahan bersama rakan seangkatan seperti Jeffrydin dan Rahman Hassan.

“Saya benar-benar terkejut kerana dijemput mengadakan persembahan pada majlis besar. Apatah lagi irama 60-an jarang diketengahkan dalam acara seperti ini. Pada saya, apabila mereka menjemput saya ia satu penghormatan,” katanya.

Pada waktu sama, penyanyi yang kini sudah 12 tahun pencen dan menetap di Kepala Batas, Pulau Pinang belum memutuskan lagu popularnya yang mana bakal didendangkan nanti.

Ramai artis popular turut dijemput menyampaikan trofi kepada pemenang 16 kategori dipertandingkan pada malam bertemakan Sentuhan Tenun itu termasuk pasangan pengantin baru, Que Haidar / Linda Jasmin, Mawi/ Ekin dan Lis Dawati bersama Fauzi Nawawi.

Turut disenaraikan, Saidah, Sairah, Maya Karin, Zizie Ezette, Lisa Surihani, Farid Kamil dan Fizo Omar. Majlis gemilang ABPBH08 akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio rasmi, Hot FM bermula jam 9 malam.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Jadi Diriku

18 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Tujuh tahun terbabit dalam dunia seni, Misha Omar masih selesa untuk bersederhana

KILAUAN populariti yang melimpahkan cahaya kepada Misha Omar sejak tujuh tahun lalu tidak membataskan gadis bertubuh kecil, namun berjiwa kental untuk menikmati segala kebebasan sebagai seorang insan.

Akur namanya disanjung, wajahnya dikenali setiap kali sepasang kakinya dibawa melangkah namun dalam kilauan membawa sepotong nama komersial sebagai Misha Omar tidak akan sesekali melupakannya kepada Samihah @ Aisah Omar.

Antara Misha dengan Samihah @ Aisah, dua nama yang mempunyai personaliti berbeza, namun bersatu dalam tubuh pemilik suara lunak yang menjadi igauan pemujanya sejak melancarkan kerjaya seninya pada 2002.

Tujuh tahun yang mengenalkan Misha kepada segala macam bentuk perjalanan hidup – manis, pahit, senyum dan tangis, semuanya bersatu menjadikan dirinya manusia yang matang menempuh badai serta duri rintangan.

Mungkin dulu jiwa Misha tidak seteguh hari ini, namun daripada cubaan yang mencengkam, dia bangun dan cuba berdiri untuk terus memacu atas kelebihan yang diberikan Tuhan kepadanya.

Kurniaan bakat dan populariti yang terus bertahan tidak mungkin dipunyai orang lain, namun anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan pada 6 Januari 1982 ini memiliki keistimewaan yang barangkali dicemburui mereka yang pernah menempuh ranjau pengalaman sepertinya.

Empat tahun menyepi tanpa album terbaru, aturan perjalanan seni Misha dilihat mendatar dan itu terbukti apabila kelibatnya beransur sunyi daripada paparan media terutama media cetak.

Mengulas mengenai hal itu, Misha matang memberikan jawapan. Mudah pegangannya, setiap aturan kehidupan manusia disusun indah oleh Maha Pencipta.

Dia hanya melaluinya dengan reda serta tenang kerana percaya segala kesabaran akan terbalas dengan kurniaan yang indah jika berjaya menghayatinya.

“Mengapa perlu saya memberatkan kepala memikirkan perkara yang saya sendiri tidak mempunyai jawapannya? Saya perlu realistik meniti perjalanan sebuah kehidupan yang ada naik dan turunnya.

“Saya jalani semuanya seperti biasa, biarpun ada masanya saya juga tewas dengan dugaan. Namun, saya cuba kumpulkan semula kekuatan supaya apa yang diusahakan menjadi kenyataan.

“Jujur saya tidak mengimpikan untuk terbang terlalu tinggi kerana bimbang sekali tergelincir, sukar untuk saya bangun dan meraih semula kepercayaan khalayak. Itu cukup menakutkan.

“Sudahnya saya bersederhana dalam segala hal, namun itu tidak bermakna saya tidak berusaha untuk mempertingkatkan kemampuan diri. Saya tidak mahu selamanya menjadi Misha yang dikenali umum ketika melakar nama menerusi Bunga-Bunga Cinta.

“Seperti artis lain, saya juga melalui proses naik turun dan daripada situ saya mengenal pasti di mana kekurangan lantas mengingatkan diri supaya tidak mengulanginya. Itulah proses kehidupan,” katanya bersyukur peminat masih mengingati, malah namanya terus meniti di bibir biarpun album terbarunya mengambil masa panjang untuk disiapkan.

Impak yang dibawakan Misha menerusi sentuhan Azmeer untuk Cinta Adam dan Hawa dimuatkan dalam album studio ketiga yang mengangkat namanya sebagai judul membentangkan hawa selesa kepada penyanyi ini.

Biarpun masih belum sempat mempromosikan album itu secara meluas, Misha mampu menghela nafas lega kerana single yang menjadi kesinambungan selepas memperkenalkan Nafas Cahaya, Sembunyi dan Jawapanmu pantas mendaki carta lagu popular stesen radio tempatan.

Dalam situasi pasaran yang perlahan, Misha tidak mengeluh biarpun terpaksa menanti lama untuk melihat album ketiganya itu berada di pasaran.

Percaturan berani yang dibuat syarikat rakamannya, Sony Music Entertainment membuahkan hasil membanggakan apabila semua single itu diterima baik peminat, tanpa mempertikai atau membandingkannya dengan apa yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Saya menaruh harapan tinggi untuk melihat album ini berjaya. Disebabkan itu, saya sedia menanti lama kerana mahu memastikan produk yang diberikan berkualiti sekali gus memulihkan semula kepercayaan khalayak terhadap kualiti muzik tempatan.

“Bohong jika penantian panjang itu tidak membuatkan saya resah. Namun saya sentiasa memujuk diri kerana sesuatu yang baik dan berkualiti tidak akan datang sekelip masa.

“Ia menuntut kesabaran, ketelitian dan perancangan yang baik. Itu yang kami lakukan dan alhamdulillah, percaturan kami berhasil biarpun ada di antara impian tidak menjadi kenyataan,” katanya girang dengan perkembangan positif album memuatkan enam lagu baru, selain petikan lagu popular daripada runut bunyi yang pernah dijayakannya.

Celaru imej?

HAMBURAN tawa berpanjangan, sesekali mengerutkan dahi seakan tidak percaya kerana ‘kegilaannya’ memotong pendek rambut sedikit demi sedikit turut menjadi bahan perdebatan peminat di laman sosial.

Dek keghairahan itu, Misha dilabel masih tercari-cari identiti serta keliru imej yang dimahukan sedangkan perkara itu tidak sepatutnya terjadi untuk penyanyi berpengalaman sepertinya.

Diaju mengenainya, penyanyi yang baru menyempurnakan penggambaran drama bersiri 20 episod, Julia Juli Bintang Tiga yang akan menghiasi slot Legenda siaran TV3 tidak lama lagi itu berkata, apa yang dilihat peminat hari ini adalah dirinya yang sebenar.

Sekali pun sering tampil feminin dan menawan di pentas, namun diri Misha sebenar ialah seorang yang terlalu bersederhana.

Dia rimas jika kerap disolek tebal malah pakaian hariannya cukup sekadar mengenakan baju T dan denim. Dek keselesaan itu juga membuatkan dia dikecam kerana jarang tampil bergaya

Sedangkan sebagai artis dia perlu sentiasa dilihat cantik dan menarik biarpun di luar bidang tugasannya.

“Tuntutan sebagai artis terlalu berat namun tubuh kecil saya tidak mampu menggalas semua tanggungjawab itu. Memang saya ingin puaskan hati semua pihak namun saya juga perlu memikirkan keselesaan diri.

“Saya cuma menjadi diri sendiri. Di pentas, saya memang Misha Omar, namun apabila bersantai saya kembali sebagai Samihah @ Aisah. Saya tidak mahu disebabkan terlalu menjaga imej dan penampilan, saya kehilangan harga sebuah kebebasan kerana saya juga berhak menikmatinya.

“Semua tuntutan itu hanya membuatkan saya alpa dan tidak berpijak di bumi nyata, sedangkan sebagai insan biasa saya juga tidak terlepas daripada diuji.

“Jadi, biarlah saya jujur menjadi diri sendiri daripada berpura-pura dan akhirnya memakan diri,” katanya puas dapat menunaikan janji yang tertunda untuk sesi fotografi ini gara-gara kesibukan di lokasi penggambaran sebelum ini.

Info:

Nama Penuh: Samihah @ Aisah Omar

Nama Komersial: Misha Omar

Tarikh Lahir: 6 Januari 1982

Kerjaya: Penyanyi, pelakon dan pengacara

Album: Misha (2002), Aksara (2004) dan Misha Omar (2008)

Filem: Gerak Khas dan Main-Main Cinta

Program: Skrin Video

Pencapaian:

Finalis Bintang RTM (Bintang RTM 2001)

Anugerah Artis Harapan (Anugerah Era 2003)

Anugerah Emas Festival Muzik Shanghai (Festival Muzik Shanghai 2003)

Anugerah Vokal Terbaik (Anugerah Juara Lagu 2003)

Juara Lagu (Anugerah Juara Lagu 2003)

Anugerah Artis Wanita Baru Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003)

Anugerah Artis Wanita Baru Pilihan (Anugerah Media Hiburan 2003)

Anugerah Lagu Terbaik (Anugerah Media Hiburan 2003)

Anugerah Vokal Wanita Terbaik (Anugerah Era 2004)

Juara Lagu Balada (Pulangkan – Anugerah Juara Lagu 2004)

Anugerah Vokal Terbaik (Anugerah Juara Lagu 2004)

Finalis ‘Top 5’ Artis Pilihan Malaysia (Anugerah MTV Asia 2004 – 2005)

Finalis ‘Top 5’ Artis Wanita Popular (Anugerah Planet Muzik 2004 – 2005)

Juara Hitz 1 (Anugerah Hitz 1 RTM 2004) & Juara Lagu Hitz 1 (Anugerah Hitz 1 RTM 2006)

Persembahan Terbaik (Anugerah Hitz 1 RTM 2006)

Persembahan Terbaik (Anugerah Hitz 1 RTM 2007)

Solekan: Chomel (012-6841591)

Berita Harian

'Jadilah Diri Sendiri'

11 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

BAKAT seni yang dimiliki Faizal turut menyemarakkan industri hiburan tempatan.

Pesanan Faizal Tahir, Suki, Ayu dan Shila kepada peserta One In A Million

BARANGKALI ramai pernah meragui kemampuan sebenar bintang yang dicungkil menerusi program realiti terutama apabila melihat populariti pantas yang dicipta namun akhirnya tenggelam lantaran tidak mampu membawa gelombang baru dalam industri hiburan.

Bagaimanapun, pandangan sempit itu kian terhakis apabila satu demi satu bintang yang dicungkil menerusi pertandingan itu bangun membuktikan kemampuan mereka.

Kemaraan mereka juga menyemarakkan industri muzik yang lesu apabila menebarkan pelbagai idea segar, sekali gus menyuntik harapan dengan membina platform baru yang mengesankan.

Antara contoh paling jelas ialah kebangkitan Faizal Tahir. Mengakhiri perjuangan dalam One In A Million (OIAM) musim pertama dengan meraih tempat kedua, namun hari ini namanya mara ke puncak dengan pelbagai pengiktirafan.

Merentas pelbagai cabaran, malah saat namanya mula mendaki populariti dia diuji dengan dugaan hebat namun semua pengalaman itu dibayar dengan pengiktirafan yang membanggakan.


Suki

Berkongsi pengalaman dengan tiga lagi bintang yang juga dicungkil menerusi OIAM iaitu Ayu, Suki dan Shila, sesi fotografi yang diatur khas oleh 8TV mengajak khalayak mendekati semula laluan awal mereka.

Kata Faizal, perkara asas yang akan membuat khalayak tertarik adalah keupayaan seseorang peserta menjadi penghibur apabila beraksi di pentas, bukan hanya penyanyi semata-mata.

Baginya ramai penyanyi di luar, namun untuk mencari mereka yang mempunyai karisma atau aura yang boleh memancing perhatian peminat adalah sesuatu yang sukar terutama dalam bidang seni suara.

“Peminat sentiasa dahagakan sesuatu yang berbeza dan itu yang perlu kita berikan. Di luar lebih ramai penyanyi yang mempunyai mutu suara jauh lebih baik berbanding saya, namun apa yang ingin peminat saksikan ialah keberanian.


SHILA (kiri) dan Ayu.

“Itu yang saya cuba berikan dan hari ini, saya melihat semangat itu turut dibawa oleh kumpulan seperti Hujan, Meet Uncle Hussain dan Bunkface selain Aizat. Keberanian membawa mereka melangkah jauh dalam industri.

“Pesan saya, peserta cuma perlu menjadi diri sendiri dan usaha mencuba terlalu keras untuk menarik perhatian khalayak. Itu penting untuk mendapat tempat di hati peminat,” katanya menitip pesanan kepada peserta OIAM yang bakal berentap bermula pertengahan Februari ini.

Dua tahun dalam industri, Faizal dilihat meniti laluan yang cukup selesa namun baginya, situasi itu tidak sesekali membuatkan dia pantas berasa sudah mencapai segala yang diimpikan.

Ruang selesa yang dinikmati tidak sesekali melekakannya bahkan kata Faizal, kejayaan dikecapi mendorong dirinya untuk terus berusaha melakukan pembaharuan dan tampil dengan idea mantap.

“Penghargaan diterima adalah dorongan dan bukan meletakkan diri seseorang itu pada kedudukan stabil atau selesa. Saya sebenarnya membawa tanggungjawab lebih besar dalam industri, membuatkan saya ingin mencuba dan terus mencuba kerana pada dasarnya saya belum berjaya sepenuhnya.

“Dalam nyanyian mungkin khalayak sudah mengenali siapa Faizal Tahir namun saya harus berani untuk lebih meneroka.

“Atas sebab itu, saya mahu terus mendalami aspek penciptaan lagu kerana dalam produksi album kedua nanti saya mahu lebih terbabit dan fokus,” katanya.

PROFIL: Faizal Tahir
Nama Penuh: Ahmad Faizal Mohammad Tahir
Tarikh Lahir: 26 Oktober 1978
Profesion: Penyanyi, penulis lagu dan pengacara
Album: Aku.Muzik.Kamu
Pencapaian: Anugerah Planet Muzik 2008: Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular; Anugerah Industri Muzik 15: Persembahan Vokal Terbaik dalam Album (Lelaki), Artis Baru Terbaik, Album Rock Terbaik dan Album Terbaik dan Anugerah Juara Lagu 23: Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik dan Juara Kategori Balada untuk lagu Sampai Syurga.

Suki kejar masa

MASIH di bangku sekolah ketika menyertai OIAM, meletakkan Suki dalam kekalutan dan itu memberikan cabaran yang sangat besar kepadanya.

Setiap hari, masa seakan mengejar membuatkan gadis kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini perlu bijak mengatur jadual.

“Tekanannya cukup hebat namun semua itu akan dapat diatasi jika kita fokus dan mempunyai disiplin yang tinggi. Sehingga sekarang saya terus diburu masa, terutama selepas kembali belajar secara online di Kolej Muzik Berklee,” kata Suki yang tidak berhenti mengejar cita-citanya selepas muncul juara pertama OIAM.

Paling penting kata Suki atau nama sebenarnya, Low Sook Yee, adalah jangan membiarkan diri terganggu dengan apa yang berlaku di persekitaran.

“Saban minggu melihat rakan kita tersingkir membuatkan kita berada dalam tekanan. Namun, peserta perlu kuatkan semangat dan bertanya diri, untuk apa berdiri di pentas OIAM?

“Saya dulu pernah terbawa dengan apa yang saya baca di internet membuatkan saya tidak dapat memberikan persembahan terbaik. Ketika itu saya cukup tertekan namun apabila difikirkan semula, saya sebenarnya tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.

“Daripada situ, saya berusaha mengatasi kelemahan dan belajar menerima segala kritikan,” katanya.

PROFIL: Suki
Nama Penuh: Low Sook Yee
Nama Komersial: Suki
Tarikh Lahir: 11 Disember 1989
Asal: Seremban, Negeri Sembilan
Album: Finally/Akhirnya
Pencapaian: Juara musim pertama OIAM dan Artis Harapan, Anugerah Industri Muzik Ke-15.

OIAM bina keyakinan diri Ayu

PANDANGAN yang sama juga diluahkan Norayu Damit atau Ayu yang melihat perjalanan sepanjang OIAM membina keyakinan dirinya, malah mematangkan dirinya menempuh kehidupan.

Gadis berusia 19 tahun dari Putatan, Sabah ini mengakui, ketika pertandingan dia tidak meletak harapan tinggi untuk menang sebaliknya cuma berusaha memberikan yang terbaik untuk dinilai penonton.

“OIAM banyak mengubah pemikiran Ayu yang dulu langsung tidak mempunyai keyakinan akan mampu menempuh hidup sebagai anak seni.

“Memang pada awal Ayu terasa hati dengan teguran dan kritikan namun Ayu cekalkan diri kerana kejayaan tidak akan datang bergolek. Alhamdulillah, keberanian Ayu menerjah segala halangan itu memberikan ruang yang semakin selesa dalam bidang nyanyian,” katanya.

Nasihat Ayu, apa juga kritikan diberikan perlu diterima dengan terbuka dan paling penting, sentiasa berusaha mengatasi kelemahan dan tidak mengulangi kesilapan.

“Kritikan diberi kerana mereka mahu kita menjadi lebih baik, jadi untuk apa perlu berkecil hati? Andai dalam pertandingan jiwa tidak kuat, bagaimana mahu menempuh gelombang di luar yang lebih besar dan kejam?

“Prinsip itu yang sentiasa Ayu sematkan dalam diri dan ia membuat Ayu semakin kuat,” katanya.

Lebih penting kata penyanyi yang sinonim dengan lagu Hanya Di Mercu, adalah disiplin kerana ia memainkan peranan besar dalam menentukan kejayaan seseorang.

Transformasi Shila

MEMULAKAN langkah sebagai penyanyi pada usia sembilan tahun membuatkan Nur Shahila Amir Hamzah atau Shila agak pasif dan kurang berkeyakinan untuk bergaul kerana semuanya ditentukan mereka yang lebih berpengalaman.

Namun segala keistimewaan itu seakan dibawa pergi apabila Shila menyertai OIAM, membuatkan dia terpaksa berdikari mengatur laluan yang ingin dituju.

“Untuk menggali ilmu, kita perlu berani membuatkan Shila tidak gentar untuk melakukan kesilapan kerana dari situ, Shila memperbaiki kelemahan dan berusaha mengatasinya.

“Apa saja kritikan yang dilemparkan, Shila letakkan di tepi kerana jika terlalu memikirkan ia hanya akan merosakkan langkah. Shila cuba fokus sepanjang pertandingan, membuang segala perasaan negatif dan alhamdulillah, kepuasan akan terserlah apabila kita mampu memberikan sesuatu yang di luar jangkauan,” katanya.

OIAM kata Shila, sebenarnya membuka ruang kepadanya untuk meluahkan ekpresi diri dengan cara tersendiri tanpa perlu takut kritikan.

Keberanian itu juga kata gadis berusia 18 tahun, membuatkan otaknya sentiasa ligat berfikir kerana tidak mahu terus berada pada liga selesa.

“Mungkin dulu Shila lebih teragak-agak untuk melakukan sesuatu, sentiasa berfikir apakah apa yang dibuat akan diterima tetapi sekarang Shila semakin berani mengambil risiko.

“Satu yang Shila pegang, buang sifat cemburu kerana rezeki setiap kita sudah tertulis. Apa yang penting adalah berusaha dan jangan hanya berserah kepada takdir kerana itu tidak akan membawa kita ke mana-mana,” katanya.

PROFIL ShilaNama Penuh: Nur Shahila Amir Hamzah
Tarikh Lahir: 13 Ogos 1990
Asal: Kuala Lumpur
Album: Sha-hila dan runut bunyi 5 Jingga
Anugerah: Tempat kedua Anugerah Bintang Kecil

Tempat Kedua, tempat kedua One In A Million Musim ke- 2 dan Anugerah Emas dan Lagu Terbaik pada Penang Shanghai World Star Quest 2008.

PROFIL: Ayu
Nama Penuh: Norayu Damit
Nama Komersial: Ayu
Tarikh Lahir: 12 Julai 1989
Asal: Putatan, Sabah
Pencapaian: Juara musim kedua OIAM
Lagu: Hanya Di Mercu.

Berita Harian

Jawab, Jangan Tak Jawab!: 'Sudah Banyak Kali Dia Buat Perangai'

11 Feb

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Lan

Gitaris Meet Uncle Hussain, Taja, akhirnya bersuara mengenai ketidakpuasan hati mereka dengan sikap vokalis, Lan

TERCEMAR sudah imej dan reputasi kumpulan yang baru saja lagunya dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-23 yang baru lalu. Semuanya kerana masalah disiplin serta tidak bertanggungjawab membabitkan vokalis mereka, Lan.

Bukan sekali dua, malah sudah banyak kali cerita negatif mengenai sikap vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) ini sampai ke telinga media. Datang lewat ketika persembahan, tidak hadir sesi fotografi, bersikap acuh tak acuh ketika ditemubual dan kerap bertelagah dengan pihak pengurusan adalah antara perkara yang cukup sinonim dengan penyanyi ini.

Biarpun sudah beberapa kali perkara ini dibawa berbincang namun hasilnya tetap sama. Menurut jurucakap serta gitaris kumpulan MUH iaitu Taja, setiap kali mereka bersemuka, perubahan hanya akan berlaku untuk sementara saja. Esok lusa, Lan kembali ke perangai lamanya.

Pun begitu, jelas Taja mereka masih mengharapkan supaya Lan akan berubah suatu hari nanti dan seandainya hasrat itu tidak menjadi kenyataan serta keadaan menjadi semakin genting, tidak mustahil suatu hari nanti nama MUH hanya akan tinggal sejarah.

Hip: Benarkah dakwaan yang mengatakan Lan sering mendatangkan masalah kepada MUH?


TIDAK mustahil satu hari nanti MUH bakal berkubur gara-gara
masalah disiplin vokalisnya, Lan.

Taja: Sebenarnya perkara ini sudah lama berlaku iaitu sejak kami memenangi anugerah Kumpulan Baru Terbaik sewaktu Anugerah Planet Muzik tahun lalu. Masa itu permasalahan antara kami boleh diibaratkan seperti luka kecil saja. Tapi kini ia sudah merebak menjadi tahap kudis dan tak mustahil boleh menjadi barah. Sudah banyak kali dia buat perangai. Tak datang sesi fotografi, sidang media, sesi bertemu peminat dan ada sesetengah persembahan, dia selalu datang lambat. Kadang-kadang, show dah tamat baru nampak batang hidung dia. Tapi apa yang lebih membuatkan kami terkilan adalah kerana kelemahannya untuk berkomunikasi membuatkan kami sering terlepas show yang besar-besar. Kebanyakan penaja korporat ini dia bukan saja mahu kelebihan menyanyi tetapi juga kemahiran dalam berkomunikasi dan melayan pelanggan mereka.

Hip: Jadi disebabkan sikap Lan, MUH kehilangan banyak tawaran?

Taja: Itulah situasi yang kami lalui ketika ini. Disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. Dia memang menghadapi masalah komitmen dan kerana dia, nama kami semua menjadi busuk. Apabila dia kerap datang lewat, tak datang sesi fotografi, saya akui perkara ini memberi masalah kepada semua anggota MUH. Bayangkan Bakri yang hanya menjadi pemuzik undangan dan mempunyai kerja tetap pun boleh memberikan komitmen, inikan pula Lan yang seratus peratus bersama MUH. Bukan kami tak pernah berbincang mengenai perkara ini, tapi setiap kali kami bersemuka, ada saja alasan yang diberinya. Dan dia juga tidak sudah-sudah menyalahkan kami seolah-olah kami yang banyak memberi tekanan padanya.

Hip: Apakah kerana Lan merasakan dia adalah tunggak kejayaan MUH menyebabkan dia mula naik tocang dan berasa hebat?

Taja: Saya tak nafikan yang dia mempunyai vokal yang unik. Tapi untuk dia mengatakan yang dia adalah tunggak atau kerana dia MUH popular atau berjaya di AJL ke-23 yang lalu, itu tidak relevan sama sekali. Kalau hanya ada suara yang menarik atau unik tapi tidak disertakan dengan lagu yang menarik, tak mungkin Lagu Untukmu mampu dijulang sebagai juara. Lagipun, ingin saya jelaskan di sini, sewaktu AJL tempoh hari, suara Lan ada mengalami masalah. Namun disebabkan sokongan penonton yang sangat memberangsangkan maka kesalahan itu tidaklah ketara sangat. Jadi semuanya nampak lancar saja. Begitupun, Azmeer ada memberitahu yang juara malam itu bukan saja terletak dari segi persembahan tetapi juga elemen lain yang terkandung dalam lagu itu.

Hip: Dalam sisipan Metro, Rap Isnin lalu ada menyatakan yang MUH akan mencari anggota lain sekiranya Lan berterusan dengan sikap tidak berdisiplinnya itu. Ulas sikit?

Taja: Setakat ini kami tidak bercadang untuk menyingkirkan Lan seperti mana yang didakwa. Kami masih memberi peluang kepadanya untuk memperbaiki keadaan. Tapi itulah, peluang yang kami beri padanya itu sudah terlalu lama dan tak tahulah sama ada dia boleh berubah atau tidak. Dan seandainya dia tidak juga mahu berubah dan dia mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan ini, kami tidak akan menghalangnya. Sebelum ini pun dia sudah banyak kali memberitahu yang dia memang ingin bergerak secara solo cuma masalah kontrak saja yang membataskan dia untuk berbuat demikian.

Hip: Apakah ini bermakna MUH akan mencari pengganti kepada Lan jika dia undur diri?

Taja: Tidak. Kami tidak akan mencari pengganti Lan. Kalau boleh kami tidak mahu dengan adanya pertukaran anggota, akan berlaku masalah perbandingan vokalis. Lagipun saya fikir biarlah MUH muncul dengan anggota asal. Dan tidak mustahil andai itu menjadi kenyataan (pengunduran Lan), MUH mungkin akan dibubarkan. Biarlah MUH berkubur kerana itu saya rasakan lebih baik.

Berita Harian