Archive | Anugerah Skrin RSS feed for this section

Penyeri Karpet Biru

27 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

KARAKTER tiga pengacara popular, Sazzy Falak (Sazzy), Nazrudin Habibur Rahman (Naz) dan Awal Ashaari (Awal) mempunyai tiga persamaan – ceria, suka berceloteh dan mempunyai perwatakan gila-gila.

Justeru, gandingan mereka bertiga sebagai hos memang tepat untuk menyemarakkan lagi acara permaidani biru (Live From The Blue Carpet), Anugerah Industri Muzik yang ke-16 (AIM16) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei ini.

Acara permaidani biru ini akan disiarkan secara langsung menerusi Saluran Ceria Anda, ntv7 selama setengah jam bermula jam 8.30 malam.

Dalam sesi fotografi bersama Rap yang diatur ntv7 di Sri Pentas, Jumaat lalu, keserasian tiga pengacara berbakat besar ini, Sazzy, Naz dan Awal begitu terserlah.

Malah, sesi fotografi eksklusif yang bermula sejak jam 11 pagi dan berakhir kira-kira jam 2 petang juga tidak membosankan dengan telatah Sazzy, Naz dan Awal yang masing-masing begitu mencuit hati dan menceriakan suasana.

Lebih menarik, mereka bertiga sempat bergaya dan bergambar bersama kereta mewah Bufori yang berharga setengah juta ringgit dan bakal menjadi kenderaan yang membawa mereka bertiga berarak ke acara permaidani biru itu nanti.

Menjadi bunga yang diapit dua kumbang, sudah pasti penampilan Sazzy paling mencuri tumpuan pada acara permaidani biru itu nanti.

“Saya memang menanti peluang untuk terbabit dalam acara berprestij seperti AIM16. Maklumlah, saya sudah lama tidak buat acara permaidani merah. Kali terakhir, saya menjadi hos permaidani merah sempena Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) pada 2007,” katanya.

Selain KLIFF, Sazzy pernah menjadi hos permaidani merah sempena seperti Anugerah Era (2004/06) dan Festival Filem Malaysia (2005/06).

Sekalipun berpengalaman sebagai hos acara permaidani merah, Sazzy masih bimbang untuk menjadi hos permaidani merah sempena AIM16.

 

 

“Siapa yang tidak bimbang kerana ini kali pertama saya menjadi hos permaidani merah untuk AIM16. Justeru, saya meminta tip daripada suami, Nazril Idrus yang pernah menjadi hos permaidani merah pada AIM 2007. “Saya juga banyak membuat kajian mengenai perkembangan terkini artis yang dicalonkan termasuk perkembangan industri seni tanah air sekarang.

“Saya juga mendapat tip daripada program Live From The Red Carpet menampilkan gandingan hos Ryan Seacrest dan Juliana yang disiarkan menerusi saluran hiburan E! Entertainment Televisyen (Astro 712),” katanya.

Apapun, kata Sazzy, dia lega apabila digandingkan dengan dua pengacara berpengalaman seperti Naz dan Awal.

“Awal berpengalaman luas sebagai hos permaidani merah dalam acara hiburan berprestij termasuk AIM dan Naz pula cukup berpengalaman sebagai pengacara dalam program yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

“Saya berasa lebih mudah bekerja dengan pengacara yang bagus kerana masing-masing sudah tahu apa yang perlu dilakukan di pentas nanti. Pada masa sama, kami akan bersaing antara satu sama lain untuk memberikan yang terbaik pada acara itu nanti.

“Saya juga pernah bekerja dengan hos yang tidak berpengalaman dan terpaksa menutup banyak kelemahannya bagi memastikan acara itu tidak membosankan penonton,” katanya.

Bagi Naz, peluang julung kalinya menjadi hos permaidani biru sempena AIM16 begitu bermakna buat dirinya.

“Ini kali pertama saya diberi tugas sebagai hos acara hiburan berprestij seperti AIM16.

Sebelum ini, saya pernah hadir ke AIM untuk memberi semangat kepada kawan rapat sejak di bangku sekolah, Damian (VE) yang menang anugerah dalam AIM untuk lagu Anak Ayam.

“Justeru, apabila diberi peluang menjadi hos pula, saya sangat teruja untuk memberikan yang terbaik pada acara ini nanti,” katanya.

Naz yang dikenali menerusi program The Breakfast Show (ntv7) pernah bergandingan dengan pelakon Nur Fazura sebagai hos Anugerah Skrin TV3 berkata, ini kali pertama dia bergandingan dengan Sazzy dan Awal dalam acara hiburan berprestij seperti AIM16.

“Sazzy dan Awal memang tidak asing dalam acara permaidani merah. Justeru, saya akan meminta tunjuk ajar daripada mereka berdua nanti.

“Kami juga diberikan tugas sama rata saja dan tidak timbul isu, Sazzy dan Awal membayangi saya atau sebaliknya,” katanya.

Naz berkata, mereka juga tidak mempunyai skrip yang khusus kerana semuanya akan dilakukan secara spontan saja.

“Apapun persediaan tetap dibuat membabitkan senarai pencalonan artis dan komposer yang bertanding kali ini. Kami juga diberi peluang menemu bual VIP yang diundang, calon yang bertanding, calon komposer dan ramalan siapa yang menang kali ini serta pereka fesyen terbabit.

“Bagi memastikan acara ini berjalan lancar, kami bertiga akan duduk berbincang untuk bertukar fikiran sebelum majlis anugerah berlangsung nanti,” katanya.

Berbanding Naz dan Sazzy, ini kali kedua Awal diberi peluang menjadi hos untuk AIM. Tahun lalu, Awal bergandingan dengan penyampai Hot FM, Tini sebagai hos permaidani merah AIM15.

“Saya pernah bergandingan dengan Sazzy ketika acara permaidani merah, Anugerah Era sebelum ini dan Naz pula baru kali pertama.

“Sekalipun baru kali pertama bergandingan, saya tidak bimbang kerana Naz sangat profesional ketika bekerja. Naz juga pengacara berpengalaman dan dia juga sudah lama berkecimpung dalam bidang pengacaraan,” katanya.

.Awal berkata, dia memang menanti peluang untuk terbabit dalam AIM16.

“Saya sudah 10 kali menjadi hos permaidani merah dalam acara hiburan berprestij dalam industri hiburan tanah air.

“Justeru, apabila diberikan kepercayaan untuk menjadi hos buat kali kedua, saya pastikan prestasi saya lebih baik berbanding dulu,” katanya.

Mengenai kombinasi mereka bertiga, Awal berkata, ia menampilkan kelainan dan variasi dalam acara AIM16.

“Anugerah Era juga menampilkan gabungan empat artis sebagai hos acara permaidani merah sebelum ini.

“Acara ini tidak terlalu rasmi dan kami juga menemu bual artis mengikut situasi majlis ketika itu. Apa yang boleh kami janjikan pada peminat, ia adalah malam menyeronokkan buat semua orang. Ia bukan saja meriah tapi penuh dengan informasi buat penonton,” katanya.

>Profil

NAMA: Sazzy Falak

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 10 Mac 1980

STATUS: Berkahwin

SUAMI: Nazril Idrus

KERJAYA: Pengacara, pelakon dan ahli perniagaan syarikat Sinclair Falak Sdn Bhd.

PROGRAM: Beat TV, Ria Sentral

ANTARA DRAMA: Doa Kamalia, Goda, Kami, Gol & Gincu, Kerana Karina (drama

online)

ANTARA FILEM: Gol & Gincu, Jin Notti

>Profil

NAMA: Nazrudin Habibur Rahman

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 9 November 1978

STATUS: Berkahwin

ISTERI: Sheahnee Iman Lee

KERJAYA: Pengacara dan pelakon

PROGRAM: The Breakfast Show (ntv7), My Aussie Adventure dan Celebrity Karaoke

ANTARA DRAMA: Ghost musim pertama dan kedua.

Profil

NAMA PENUH: Ahmad Awaluddin Ashaari

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 6 Ogos 1981

KERJAYA: Pelakon, pengacara, model dan ahli perniagaan (pemilik Butik fesyen online DNA celebrityStyle bersama Dynas Mokhtar)

PROGRAM: Beat TV, Teh Tarik & Cabaran Tariking F&N 2006, Sensasi, One In A Million, Sehati Berdansa dan Generasi Y (TV1)

FILEM: Diva, Diva Popular, Impak Maksima, Malaikat Maut, Apa Kata

Hati, I’m Not Single dan Syurga Cinta.

DRAMA: Drama: Cinta Medik, Impak Maksima The Series & A Time For Us (usaha sama Malaysia – Filipina)

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Advertisements

'Saya Masih Di Takuk Lama'

25 Apr

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

JARANG nampak kelibat Janet Khoo, 36, bukan bererti dia tidak aktif berlakon lagi tetapi dia tidak mahu menjual cerita murahan demi meraih publisiti daripada wartawan.

Dia juga menafikan tidak mahu melakonkan watak wanita muslimah kerana baginya watak itulah yang memberi tuah kepadanya sehingga menang Anugerah Pelakon Komedi Wanita Terbaik pada Asian Television Awards ke-11 (2007) di Singapura.

Janet menang kerana keberkesanan lakonannya dalam drama bersiri Mat Dom Teksi arahan Roslan Hussain. Drama itu turut mengungguli kategori Drama Komedi Terbaik, Anugerah Skrin ke-8.

Sebulan lalu, dia baru selesai penggambaran drama 26 episod, Seharum Kenanga, terbitan Bright Networks dan sekarang sibuk di lokasi projek khas Astro drama 50 episod, Kecuali Cintamu.

“Saya aktif berlakon dan tiada masalah pegang watak wanita solehah jika ada tawaran. Dalam Seharum Kenanga, saya jadi wanita solehah bernama Dania dan bertudung. Watak Dania memberi semangat kepada saya. Di luar lokasi pun, saya ‘pegang’ ketabahan dan kekuatan yang ada pada Dania untuk menempuh cabaran hidup.

“Pada mulanya, Dania adalah pelakon popular, kemudian berkahwin tetapi nasibnya berubah selepas menjadi mangsa ragut dan mengalami kecacatan sehingga tidak dapat berjalan. Duka Dania bertambah apabila suami menduakannya.

“Tiada salahnya jika saya terus pegang watak wanita solehah. Begitu pun, saya tidaklah mahu terikat pada satu watak saja dan perlu mempelbagaikan perwatakan supaya penonton tidak jemu. Saya hairan kenapa orang cakap saya tidak mahu pegang watak wanita muslimah lagi.

“Selepas Seharum Kenanga, saya berlakon dalam telefilem arahan Along Kamaludin bersama Haliza Misbun. Mungkin orang kurang perasan kehadiran saya dalam industri kerana kurang cerita saya keluar dalam akhbar.

“Biasanya saya bertemu wartawan pada majlis hiburan. Ketika itu, baru ada wartawan menemu bual kerana saya memang jenis tidak tahu menghubungi wartawan semata-mata untuk bercerita perkara remeh seperti kucing hilang dan sebagainya.

“Saya tidak berkecil hati jika tidak mendapat perhatian wartawan asalkan membuat kerja dengan baik, rezeki saya dalam bidang seni tetap ada. Paling utama orang dalam industri tahu saya masih ada di sini,” katanya.

 

 

Kepada mereka yang ingin melihat sisi lain lakonan Janet, saksikan persembahannya dalam Kecuali Cintamu sebagai Vivian Thang yang berpura-pura baik dengan Ruby Sujak (Haleeda).

Watak Vivian sangat komplikated di mana di belakang Ruby, dia menjalin hubungan sulit dengan suami Ruby iaitu Effendy Sulaiman (Aman Shah).

Bercerita mengenai anugerah yang diterima, jelas Janet, selama 15 tahun itulah penghargaan tertinggi pernah diterimanya.

“Dalam tempoh yang agak panjang itu, saya gembira dengan pengalaman bekerja dan dapat membawakan watak berbeza. Pengalaman bekerja sebagai artis sangat menarik yang tidak mungkin dapat dilalui orang biasa. Saya dapat menjiwai watak menjadi orang lain dan dapat memperbaiki diri sendiri untuk menjadi manusia lebih baik.

“Saya tidak mengejar glamor dan kalau bercakap dari segi bayaran, ia tidak setimpal dengan pengalaman yang ada. Anugerah yang dapat pun tidak banyak membantu kerjaya saya. Jika ada produser rasa berbaloi mengambil saya berlakon, bayaran tinggilah sikit. Saya juga tidak mendapat motivasi daripada penggiat seni tanah air.

“Masih ingat lagi ketika mula melangkah dalam bidang ini melambung angan-angan ingin pegang watak itu dan ini. Bermacam watak idaman tergambar di ruang mata tetapi apabila sudah berada dalam bidang ini, tak ke mana pun. Masih berada di takuk sama. Saya yakin pelakon baru yang hendak bertapak sekarang pun bercakap mengenai watak impian mereka. Tetapi apabila dah lama dalam dunia lakonan, mereka akan tahu hakikat sebenar.

“Sekarang saya rasa niat mereka yang ingin menyertai dunia lakonan pun sudah berubah. Mereka mengejar glamor, ingin menaikkan status diri dan mencari kemewahan. Saya memang teringin hendak pegang anugerah dalam negara tetapi motivasi saya ke arah itu tidak membara seperti dulu lagi.

“Watak yang diberikan sama saja. Ada produser dan pengarah yang mementingkan rupa paras, bukannya bakat pelakon. Mereka lebih senang menjaga periuk nasi sendiri daripada membantu memartabatkan bakat artis tempatan. Akhirnya lahirlah artis yang sekadar mencari populariti dan kemudian menggunakan kelebihan yang ada memikat lelaki kaya. Mereka yang sebenarnya berbakat diketepikan begitu saja.

“Jadi berbalik kepada drama Kecuali Cintamu, saya gembira dapat terbabit dalam produksi itu kerana ia sebahagian daripada projek khas Astro mencari bakat baru menerusi program realiti Anak Wayang. Saya harap mereka yang berjaya nanti dapat bekerja dengan seikhlas hati,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Que Tolak Tawaran Luar KL

21 Apr

Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com

Rap
Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 sudah seminggu berlalu, namun bagi pelakon dan pengantin baru, Que Haidar, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk membawa pulang trofi Pelakon Filem Lelaki Popular di majlis kemuncak anugerah di Arena Of Stars, Genting Highlands, baru-baru ini.

Malah, ketika menanti detik pengumuman itu, Que, suami kepada pereka tari, Linda Jasmine, sangat yakin keputusan itu tidak akan berpihak kepadanya.

Dalam kategori yang dianggap cukup kuat, Que berkata semua ini adalah rezeki selepas berkahwin dan seterusnya membuktikan usaha kerasnya sekian lama akhirnya membawa tuah.

“Saya amat bersyukur dengan kemenangan ini. Nampaknya, rezeki saya selepas berkahwin semakin melimpah-ruah.

“Saya anggap kemenangan ini sebagai rezeki anak sulung yang bakal lahir nanti,” kata Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar.

Que, selepas bertahun-tahun mencuba, akhirnya berjaya menewaskan sifunya dalam bidang lakonan, Rosyam Nor yang mengungguli gelaran itu selama tujuh kali sejak 1997, namun tidak pernah berasakan dirinya begitu hebat kerana memenangi anugerah itu.

“Setiap yang tercalon mempunyai populariti tersendiri dan tidak semestinya timbul isu tak popular jika gagal memenangi pencalonan berkenaan.

“Lagipun, bukan mudah untuk mempertahankannya pada masa akan datang kerana semuanya bergantung kepada kepercayaan peminat.

“Bagaimanapun, saya akan terus melakukan yang terbaik kerana inilah sumber rezeki saya,” kata Que yang sebelum ini pernah memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama di Anugerah Skrin dan Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia ke-19 pada 2006.

Bercerita mengenai kehidupan peribadinya, nyata Que tidak sabar untuk bergelar seorang ayah dan mengakui kehidupannya sekarang ini semakin bahagia bersama isteri dan Qalif Khan (anak Linda hasil perkahwinan pertamanya).

 

 

“Kehidupan rumah tangga saya sangat membahagiakan. Saya juga bersyukur kerana isteri sangat memahami jadual kerja saya walaupun dia dalam keadaan mengandung ketika ini.

“Sebagai suami, saya akan sentiasa memberi sokongan kepadanya dengan sentiasa berada di sampingnya.

“Disebabkan itu, saya terpaksa menolak tawaran berlakon di luar Kuala Lumpur kerana ingin memastikan setiap hari saya mesti pulang ke rumah,” katanya.

Mengenai perkembangan terbarunya, kata Que, mulai Jun ini dia akan menjalani penggambaran filem ‘Romance’ yang diadaptasi daripada novel ‘Lagenda Budak Setan’ dan antara pelakonnya ialah Farid Kamil dan Lisa Surihani.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Terima Kasih Peminat!

14 Apr

Oleh: Farihad Shalla Mahmud & Zaidi Mohamad
bhnews@bharian.com.my

AZNIL dan Mawi saling mengucapkan tahniah di atas kejayaan masing-masing dalam ABPBH 2008.

Status dan kontroversi seseorang artis tidak mempengaruhi undian dalam ABPBH 2008

Aznil Haji Nawawi (Pengacara TV Lelaki Popular)

SELEPAS lima tahun berturut-turut menang, ingatkan ada angin perubahan, rupa-rupanya tidak. Nampaknya saya masih diperlukan. Harapan saya, Faizal Tahir yang tersenarai sebagai finalis dapat meneruskan perjuangannya dalam bidang pengacaraan supaya bidang ini lebih pelbagai dengan ramai muka baru.

Fara Fauzana (Pengacara TV Wanita Popular & Penyampai Radio Wanita Popular)

JANGANLAH disebabkan kemenangan ini, saya digeruni semua pihak. Ini semua rezeki. Cuma saya tak nafikan angka tiga kali berturut-turut menyebabkan kemenangan saya nampak begitu cantik.

Rosyam Nor (Pelakon TV Lelaki Popular)


FARA FAUZANA (kanan) bersama rakan penyampai radio dari kiri; AG, Kieran, Leya, Linda Onn dan Nana.

KALAU ada pelakon yang layak menggantikan saya, orang itu adalah Aaron Aziz. Dia mempunyai karisma dan berbakat besar dalam bidang lakonan.

Datuk Siti Nurhaliza (Penyanyi Wanita Popular)

KEMENANGAN ini membuatkan saya rasa sebak kerana tidak berkongsi kegembiraan bersama arwah abah. Selalunya kalau saya menang, dia akan telefon saya untuk mengucapkan tahniah. Tapi itu semua hanya tinggal kenangan.

Faizal Ismail (Penyampai Radio Lelaki Popular)


MAYA KARIN tetap diminati walaupun penampilannya dalam filem tidak banyak.

BUKAN mudah untuk mencapai kedudukan ini. Saya terpaksa bermula dari bawah. Bermula dari budak skuad promosi hinggalah menjadi penyampai. Selama 10 tahun dalam bidang ini, tahun kelapan barulah saya nampak permata dalam kerjaya saya ini.

Mawi (Penyanyi Lelaki Popular)

SAYA tidak pernah percaya bahawa status seseorang artis itu mampu mempengaruhi fikiran peminat. Syukur walaupun sudah bergelar suami, peminat masih mahu mengundi saya

Meet Uncle Hussain (Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular)

KAMI tak nafikan, kontroversi sebenarnya mampu menaikkan populariti seseorang artis. Ibaratnya seperti batu loncatan. Tapi bagi kami, kalau boleh biarlah kami dikenali dan popular atas produk yang berkualiti dan bukannya kerana kontroversi semata-mata

Maya Karin (Pelakon Filem Wanita Popular)

NAMPAKNYA selepas dua tahun, saya kembali memegang trofi ini. Mungkin ini berkat filem lakonan saya yang kerap ditayangkan di TV sebelum ini. Apapun, saya lebih yakin bahawa walaupun status saya kini sudah berubah, saya masih ada peminat yang setia bersama saya.

Que Haidar (Pelakon Filem lelaki Popular)

APABILA berlakon, saya tak pernah fikirkan anugerah. Saya mahu buat yang terbaik dan menghasilkan karya yang berkualiti. Kalau kerja kita bagus, anugerah akan datang dengan sendiri.

Rabbani (Penyanyi/Artis Nasyid Popular)

ALHAMDULILLAH ini kali kelapan kami berjaya mengekalkan kemenangan di dalam kategori ini. Sebelum ini pun sewaktu kali kelima hingga keenam menang, kami sendiri tak berasa ralat jika tahun seterusnya ia bukan lagi menjadi milik kami tapi alhamdulillah rezeki terus kuat berpihak. Apa yang paling penting kehadiran kami ke majlis ABPBH ini sebagai tanda sokongan kepada Berita Harian. Kami yakin irama nasyid tidak akan terus berkubur kerana ia tetap sesuai dengan fitrah masyarakat dan bukan hanya untuk golongan tertentu saja.

Stacy (Artis Baru Wanita Popular)

MULANYA saya sendiri tak yakin bahawa trofi ini menyebelahi saya kerana saingan calon lain memang begitu sengit. Harapnya hayat saya akan terus relevan sampai bila-bila dan kalau boleh sampai tua pun saya nak menari seperti Anita Sarawak.

Noorkhiriah (Artis Komedi Wanita Popular)

SAYA ingin memohon maaf kerana tidak dapat hadir kerana masalah yang tidak dapat dielakkan. Ini anugerah kedua yang saya terima selepas Pelakon Pembantu Drama Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin 2007.

Dynas (Pelakon TV Wanita Popular)

SYUKUR saya sekali lagi dimurahkan rezeki untuk menerima anugerah ini buat kali kedua. Terima kasih kepada peminat dan pembaca Berita Harian yang terus utuh menyokong saya. Semua ini akan terus menjadi azimat untuk saya terus melayari dunia seni.

Berita Harian

Adlin Mengikut Gaya Sendiri

11 Apr

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my

Adlin

Menanti tugasan sebagai pengacara ABPBH2008 dengan penuh debaran

LAGAK selambanya ketika mengacarakan Anugerah Skrin (ASK 2008) November lalu bersama-sama Nurul Syuhada, membuka laluan baru kepada Adlin Aman Ramlie membina nama sebagai hos anugerah.

ukan calang-calang pengacara yang memperoleh peluang berdiri di pentas berprestij yang disaksikan jutaan penonton. Tugas yang digalas menjadi hos anugerah mungkin kelihatan mudah tetapi kemampuan pengacara untuk membuatkan penonton terus melekat di kaca televisyen itulah yang akan menguji kredibiliti seseorang pengacara.

Adlin sudah pun membuktikan kredibilitinya pada ASK 2008 yang lalu, dan kini sekali lagi kemampuannya bakal diuji apabila dia dipertanggungjawab mengendalikan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Ahad ini.

Ramai yang percaya Adlin mampu menggalas tugas yang pernah dipegang Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Raja Azura sejak beberapa tahun lalu, namun anak kepada pelakon veteran Ruminah Sidek dan Allahyarham AR Tompel tetap menyimpan debaran apatah lagi bakal bekerja buat pertama kalinya dengan Sharifah Shahira.

“Setakat ini saya masih belum mengetahui lagi keserasian dengan Sharifah Shahira kerana kami belum pernah berkerja sama. Apa yang akan cuba saya lakukan adalah untuk bertenang dan cuba sedaya upaya menjadi fleksible supaya perjalanan pada malam itu nanti menjadi lancar.

“Saya juga akan berusaha untuk menjadikan kombinasi antara saya dan Shahira nampak menarik pada malam itu nanti. Bagi saya tugas ini cukup menyeronokkan kerana saya dapat bergelumang dalam satu bidang yang baru.

Memang tidak dinafikan ASK 2008 membuka ruang untuk saya melangkah setapak lagi dalam kerjaya seni, mungkin penganjur dan peminat mahu melihat sesuatu yang baru,” katanya.

Menurutnya, mereka mungkin ingin melihat lenggok pengacara lain dan mahu memberi ruang kepada lebih ramai pengacara baru seperti dirinya untuk diketengahkan lagi.

“Saya yakin penonton ABPBH sebelum ini sudah serasi dengan corak pengacara terdahulu. Saya tidak dapat menidakkan kehebatan pengacara terdahulu, namun saya akan berusaha untuk memastikan tanggungjawab sebagai hos ABPBH yang pertama kali saya galas itu dapat dilunaskan dengan baik,” kata Adlin yang bakal menggayakan sut sentuhan pereka fesyen, Michael Shu.

Kerjaya Adlin sebagai pengacara bukanlah baru tetapi dia pernah mengacarakan program Jangan Tidur di TV3. Rancangan yang ke udara pada sebelah malam itu dijangka bakal menemui penonton dengan musim terbaru tidak lama lagi.

Walaupun profesyen pengacara sudah lama tersenarai dalam profilnya, namun Adlin tetap merasakan perbezaan antara mengendalikan program rakaman dan anugerah dan beranggapan pembabitannya masih lagi baru serta masih perlu banyak belajar untuk memantapkan lagi gaya persembahannya.

Pengacara itu bagaimanapun berjanji akan menjalankan tanggungjawab diberikan dengan sebaiknya dengan menjadi dirinya sendiri tanpa perlu meniru gaya mana-mana pengacara sebelum ini.

Berita Harian

Shahira Teruja Dipilih Pengacara

19 Mar

>>Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

KEHANGATAN Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08) semakin terasa apabila penganjur mengumumkan nama artis yang bakal mengacarakan acara berprestij itu, kelmarin.

Turut diumumkan pada majlis sidang akhbar ABPBH08 di Grand Salon, Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan itu barisan artis yang akan menyampaikan anugerah dan melakukan persembahan.

Selepas beberapa tahun ABPBH menggandingkan pengacara wanita, tahun ini dua nama tidak asing dalam industri seni tempatan, Sharifah Shahira dan Adlin Aman Ramlie dipilih untuk mengemudi acara terbesar itu.

Sebelum ini, isteri pelakon Ijoy Azhari itu pernah mengendalikan acara sama bergandingan dengan Raja Azura dua tahun lalu manakala tahun lalu Raja Azura digandingkan dengan Fauziah Ahmad Daud. Raja Azura juga pernah digandingkan dengan Anita Sarawak.

Sementara Adlin sudah membuktikan kemampuannya mengendalikan acara besar ketika mengacarakan Anugerah Skrin akhir tahun lalu digandingkan dengan Nurul Syuhada.

Ditemui sebaik acara selesai, Shahira yang kini mengandung tiga bulan mengakui teruja apabila sekali lagi menerima tawaran daripada penganjur untuk mengendalikan ABPBH08.

“Ini kali pertama saya bekerja dengan Adlin. Walaupun pertama kali digandingkan, rasanya kami tidak akan menghadapi masalah kerana Adlin juga berpengalaman.

“Selaku pengacara, saya akan cuba menjadi diri sendiri dan selebihnya memastikan acara berjalan lancar dan mengikut skrip diberikan. Cuma saya harap jangan berlaku kesilapan.

“Maklum saja, saya ini kuat latah, bimbang nanti terlepas cakap. Begitupun, perkara itu selalunya menjadi bahan lawak kepada penonton kerana ia keluar secara spontan,” katanya.

Shahira yang akan menggayakan baju ciptaan Michael Shu pada malam kemuncak pada 12 April nanti, tidak ditemani Adlin ketika sidang media berlangsung.

 

 

Sementara itu beberapa penyanyi popular sudah memberi pengesahan akan menghangatkan lagi pentas ABPBH08 yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highland, Pahang seperti Datuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Faizal Tahir, Jamal Abdillah serta penyanyi muda sedang meningkat naik seperti Aizat, Diddy, Siti Sarah, Ayu, Farah Asyikin dan Stacy. Pada majlis itu, Faizal juga muncul dengan imej baru berambut pendek.

Bagi Farah Asyikin, dia menganggap peluang mengadakan persembahan pada malam ABPBH08 sebagai medan terbaik untuk mengetengahkan bakatnya kepada umum.

“Saya akan mendendangkan lagu single pertama daripada album baru, Hello. Dengan peluang diberikan ini, saya mahu memberikan persembahan terbaik.

“Sebelum ini ramai orang mengenali saya menerusi lagu didendangkan, tetapi jarang melihat persembahan yang saya lakukan. Antaranya persembahan di majlis penganugerahan yang pernah saya buat di Anugerah Planet Muzik.

“Begitupun saya berasakan impak bakal diperoleh daripada persembahan dilakukan di ABPBH08 lebih besar kerana ia menjadi tumpuan dan menghimpunkan warga seni dari semua cabang,” katanya.

Turut menarik perhatian apabila penganjur turut mengumumkan segmen persembahan lagu 60-an dan untuk itu penggiatnya seperti Datuk A Rahman Hassan, Jeffrydin dan L.Ramlee diberi penghormatan untuk bersama-sama menggegarkan pentas ABPBH08.

Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Siapa Bilang Aku Tak Sayang, L.Ramlee terharu apabila penganjur ABPBH08 menghubunginya untuk mengadakan persembahan bersama rakan seangkatan seperti Jeffrydin dan Rahman Hassan.

“Saya benar-benar terkejut kerana dijemput mengadakan persembahan pada majlis besar. Apatah lagi irama 60-an jarang diketengahkan dalam acara seperti ini. Pada saya, apabila mereka menjemput saya ia satu penghormatan,” katanya.

Pada waktu sama, penyanyi yang kini sudah 12 tahun pencen dan menetap di Kepala Batas, Pulau Pinang belum memutuskan lagu popularnya yang mana bakal didendangkan nanti.

Ramai artis popular turut dijemput menyampaikan trofi kepada pemenang 16 kategori dipertandingkan pada malam bertemakan Sentuhan Tenun itu termasuk pasangan pengantin baru, Que Haidar / Linda Jasmin, Mawi/ Ekin dan Lis Dawati bersama Fauzi Nawawi.

Turut disenaraikan, Saidah, Sairah, Maya Karin, Zizie Ezette, Lisa Surihani, Farid Kamil dan Fizo Omar. Majlis gemilang ABPBH08 akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio rasmi, Hot FM bermula jam 9 malam.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Borak Lokasi: Jurukamera Perlu Baca Skrip

5 Mar

Rap
MENGHASILKAN babak dan visual menarik dalam filem, drama mahupun telefilem, Azhar Mohamad, 39, atau dikenali sebagai Boe berpendapat, jurukamera juga perlu meneliti skrip. Dengan ini, mereka bukan saja dapat menghayati jalan cerita, bahkan memberi ‘mood’ sesuai dengan satu-satu babak.

Katanya, penghayatan itu perlu supaya jurukamera tahu apa yang patut mereka lakukan, sudut mana yang cantik, babak apa yang relevan dengan skrip serta penggunaan cahaya sesuai.

“Perkara ini juga perlu dilakukan seluruh tenaga produksi yang terbabit kerana apabila mereka memperoleh penghayatan, hasil kerja mereka juga dapat dirasai penonton,” katanya.

Kali kedua bekerjasama dengan Temenggong Pictures, Boe sebelum ini terbabit dengan penggambaran drama Anak Ikan Si Pari Pari.

Bagaimanapun, sahabat lama Fairuz Loy ini menyifatkan Ku Mohon sebuah telefilem yang banyak bermain dengan ekspresi pelakon.

“Untuk kerja kamera tiada masalah walaupun penggambarannya di buat di hospital kerana saya menggunakan lensa ‘wide angle’ yang membolehkan sesuatu ruang tampak lebih luas sekali gus menghasilkan gambar yang menarik.

“Melihat dari mata kasar, ruang seperti bilik yang digunakan untuk penggambaran agak sempit. Namun, dengan lensa ‘wide angle’ penonton akan terpedaya dan menyangkakan ia bilik besar.

“Lebih memudahkan tugas jurukamera, visual jarak dekat dan jauh boleh diambil meskipun masih berada di posisi atau tempat sama,” katanya.

Selain penggunaan lensa wide angle, drama ini turut memberi penekanan pada penataan cahaya untuk menyokong sesuatu babak sekali gus ‘suasana’ yang cuba digambarkan dapat dirasai penonton.

“Saya sangat berhati-hati apabila bermain dengan cahaya. Ada sesetengah drama saya lihat cahaya bulan pun boleh masuk ke dalam rumah dan ini sangat tidak logik.

“Jadi untuk drama ini, apa yang cuba saya lakukan adalah memberikan ‘mood’ yang tepat pada sesuatu babak. misalnya adegan ketika Julia sedang solat. Saya bermain dengan cahaya suram supaya dapat menyokong dan membangkitkan rasa kesedihan dialaminya sebagai mualaf yang mendalami Islam tanpa bimbingan suami dan keluarga mentua,” katanya.

Membabitkan diri dalam bidang videografi sejak 1991, Boe bermula dari bawah sebagai penggulung kabel sebelum mengikuti khusus videografi anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Beberapa tahun kemudian, hasil kerjanya melalui telefilem Semarai arahan Allahyarham Azhar Zainal Abidin mendapat pengiktirafan di Anugerah Skrin 97/98 apabila memenangi Anugerah Videografi Terbaik.

Telefilem yang ditayangkan melalui slot Cerekarama yang mengisahkan ‘haruan makan anak’

ini dibintangi pelakon handalan Nasir Bilal Khan, Wan Maimunah dan ia juga drama pertama dibintangi Ifa Raziah.

Terdahulu, sebelum penggambaran Ku Mohon dijalankan, Boe terbabit dengan penggambaran drama terbitan RTM, Namaku Bukan Set Sukor adaptasi dari kisah Marian yang terperangkap di Korea. Ia ditayangkan untuk slot Panggung RTM.

“Ini juga drama yang memberi kepuasan kepada saya kerana diberi kebebasan untuk berkarya,” katanya.

Harian Metro