Archive | Ashlee Simpson RSS feed for this section

Pete Wentz Takut Dibunuh

4 Mar


PETE WENTZ

PETE WENTZ kini diserang fobia apabila sering membayangkan dirinya akan mati dibunuh. Anggota band Fall Out Boy itu mengakui mengalami ketakutan yang amat sangat dengan isu kematian, sehinggakan dia enggan membuka pintu depan kediaman kerana bimbang orang yang membunyikan loceng pintu rumahnya mungkin mahu membunuhnya.

Suami bintang pop, Ashlee Simpson yang pernah cuba membunuh diri pada 2005 itu memberitahu majalah Britain, Live: “Saya enggan membuka pintu rumah kerana sangat yakin bahawa ada seseorang yang sedang menanti untuk membunuh saya.

“Saya pernah terfikir suatu hari nanti saya akan membunuh sahabat terdekat atau saudara-mara, tetapi sekarang perasaan itu menjadi sebaliknya. Saya pula yang mungkin mati dibunuh!”

Tambahnya: “Sebab itu saya tidak akan sama sekali membuka pintu rumah jika ada yang membunyikan loceng. Kalau saya tak buka pintu, ia akan mengurangkan risiko untuk saya mati dibunuh.”

Dalam pada itu, Wentz juga mengakui dia mengalami masalah kecelaruan minda tetapi ia agak terkawal selepas berkahwin dengan Ashlee dan dengan kelahiran anak lelaki mereka, Bronx.

“Saya akui mengalami masalah kecelaruan minda sebelum ini. Tapi sekarang ini keadaan saya bertambah baik. Selepas berkahwin dan menjadi bapa, saya akhirnya menemui titik sempurna kehidupan. Ia mengajar saya erti kesabaran. Ia juga mengajar saya supaya tidak berasa berdosa untuk menjadi bahagia,” ujarnya.

Kosmo

Advertisements

Lachey Pertahankan Bekas Isteri

5 Feb


JESSICA dan Nick pernah bergelar suami isteri.

IKATAN mereka sebagai suami isteri sudah lama putus. Namun, itu tidak menghalang penyanyi Nick Lachey daripada mempertahankan bekas isterinya, Jessica Simpson apabila meraih kritikan media berhubung isu berat badannya baru-baru ini.

Lachey menyifatkan kritikan media tersebut sebagai tidak masuk akal. Jessica menjadi bahan berita hangat selepas foto dirinya membuat persembahan pada sebuah konsert di Pembroke Pines, Florida pada 25 Januari lalu yang menunjukkan tubuhnya sedikit berisi berbanding biasa.

Adik Jessica, penyanyi Ashlee Simpson kemudian melahirkan kemarahan terhadap laporan media tersebut menerusi blognya.

Kini, Lachey yang bercerai dengan Jessica pada 2006 turut campur tangan. “Saya fikir laporan media mengenai berat badan Jessica agak melampau dan tidak masuk akal. Tidak semua laporan yang ditulis media benar dan boleh dipercayai,” tegasnya kepada Contactmusic.

Tambahnya: “Saya hanya mendoakan yang terbaik buat Jessica.”

Kosmo

Marah Akhbar Lapor Berat Badan Jessica

29 Jan


BERAT badan Jessica Simpson jadi bahan laporan akhbar.

LOS ANGELES: Selebriti Ashlee Simpson-Wentz berkata orang ramai sepatutnya membiarkan kakaknya, Jessica yang juga seorang penyanyi dan pelakon, bersendirian.

“Saya berasa muak dengan tajuk akhbar berhubung berat badan kakak saya,” tulis Ashlee, 24, dalam blognya selepas gambar Jessica, 28, di majlis tahunan Chili Cookoff anjuran Radio 99.9 Kiss Country di Pembroke Pines, Florida disiarkan Ahad lalu.

Di bawah tajuk, “Sejak bila berat badan wanita menjadi tajuk berita pilihan,” Ashlee berkata: “Seminggu selepas Presiden Barack Obama mengangkat sumpah jawatan dan dengan harapan meninggi untuk negara kita, saya mendapati amat memalukan dan satu penghinaan kepada semua wanita untuk membaca mengenai berat badan atau bentuk badan mereka.”

Tambahnya lagi: “Semua wanita datang dengan badan, saiz dan bentuk berbeza dan hanya kerana anda selebriti, seharusnya tiada standard berbeza.”

Penyanyi dan aktres itu berkata, beliau tertanya-tanya jika orang ramai akan membuat kenyataan serupa kepada isteri, anak perempuan, ibu, nenek atau rakan mereka. – Agensi

Berita Harian

Kurus Terlampau

18 Sep


OBSES dengan bentuk badan yang kurus sudah diketahui umum sebagai satu perkara yang sinonim dengan golongan selebriti Hollywood. Mereka sering memikirkan pelbagai cara untuk menguruskan badan.

Ada yang menggunakan cara sihat seperti bersenam tetapi ada juga mengamalkan diet cara melampau supaya dapat tampil kurus selalu.

Tidak kira apa caranya, minggu ini mari kita melihat cerita diet Eva Mendes, Mariah Carey, Ashlee Simpson dan David serta Victoria Beckham yang mahu mengekalkan bentuk badan mereka yang dikatakan terlalu kritikal.

Pertarungan gim Eva Mendes

Selalu tampil seksi, Eva Mendes memberitahu bahawa dia sebenarnya sentiasa bergelut untuk mengekalkan bentuk badannya.

Aktres Ghost Rider ini mengaku bahawa dia tidak menyukai apabila aktres lain memberitahu bahawa mereka tidak perlu memikirkan mengenai apa yang mereka makan kerana dia perlu banyak berusaha untuk mengekalkan berat badannya.


EVA MENDES

“Ada seketika saya memberikan alasan kepada diri saya supaya tidak pergi ke gim dan ia bagaikan satu pertarungan. Apabila saya mendengar ada aktres yang menyatakan mereka tidak perlu menjaga pemakanan, saya ingin menerkam mereka kerana saya selalu bergelut dengan isu ini.

“Ia adalah satu masalah yang selalu menganggu saya. Maka saya perlu sentiasa memastikan makan sayur-sayuran serta buah-buahan dan bersenam,” katanya.

Eva juga mendedahkan bahawa dia berasa tertekan untuk mengurangkan berat badan tetapi tekad untuk tidak terkongkong dengan pandangan orang ramai mengenai bentuk badannya.

“Saya bukannya seperti kebanyakan gadis di luar sana. Saya orang Cuba. Jadi saya mempunyai pinggul dan punggung yang agak menonjol. Dan saya juga ingin kekal dengan bentuk badan seksi,” tambah Eva

Hamil hancurkan bentuk badan – Mariah

Penyanyi seksi, Mariah Carey bertegas untuk tidak mengandung kerana dia tidak mahu berat badannya meningkat. Dia yang baru muncul dengan album baru, E=MC² juga sering menunjukkan bentuk badannya yang kurus dalam pakaian ketat baru-baru ini.

Mariah yang berasa yakin dengan bentuk badan baru ini dilaporkan tidak bergegas untuk menambah ahli keluarga dengan suaminya, Nick Canon kerana bimbang beratnya akan meningkat dan usahanya menguruskan badan akan disia-siakan.


MARIAH CAREY

Menurut satu sumber kepada majalah National Enquirer, “Mariah sentiasa diusik mengenai bila dia akan mengandung. Namun, dia hanya akan membalas dengan pandangan yang menjengkelkan dan memberitahu mengenai bentuk badan barunya dan betapa susahnya dia perlu bekerja keras untuk menguruskan badannya.

“Maka dia tidak mahu mengandung dan menghancurkan bentuk badannya. Dia kini sedang menikmati hidupnya dan tidak mahu mengubahnya atas sebarang alasan.

“Dia akan menjalankan konsert selama sebulan untuk membantu kanak-kanak yang kebuluran di seluruh dunia tetapi memiliki anak sendiri bukan impiannya.”

Motivasi jean Ashlee Simpson

Isteri kepada Pete Wentz, Ashlee Simpson telah membeli enam pasang jean bersaiz kosong sebagai motivasi kepada dirinya untuk menguruskan badan.

Dia yang sedang mengandungkan anak pertama dilaporkan berasa risau kerana berat badannya yang semakin meningkat dan membeli jean bersaiz kecil itu supaya dia boleh kekal fokus.


ASHLEE SIMPSON

Menurut satu sumber kepada majalah National Enquirer, “Ashlee menangis semasa bertemu dengan doktor awal Ogos lalu apabila berat badannya dilihat meningkat lagi.

“Dia kemudian terus menuju ke kedai Planet Blue untuk membeli enam pasang jean bersaiz kosong. Dia tidak dapat memakainya sekarang tetapi berharap jean itu mampu membuatkan dia berjaga-jaga dengan pemakanannya.”

Bukan sahaja membeli jean sebagai motivasi diri, Ashlee juga telah melakukan rejim senaman yang ketat supaya beratnya badannya tidak meningkat secara mendadak.

Berat badannya yang sudah meningkat sebanyak 20 paun (sembilan kilogram) amat membimbangkan dia dan Ashlee telah mengupah jurulatih, Mike Alexander untuk membantunya.

Tambah sumber itu, “Dia masih berharap supaya dia boleh membataskan berat badannya daripada meningkat melebihi 35 paun (15.8 kilogram). Jadi dia melakukan senaman berisiko rendah seperti Pilates.”

Pasangan Beckham musnahkan diri?

Sungguhpun pemain bola sepak terkemuka dunia, David Beckham mempunyai bentuk badan yang ideal, dia juga mempunyai perasaan takut dirinya akan bertukar menjadi gemuk, botak dan tua.

David yang mempunyai tiga orang anak bersama Victoria terlalu bimbang dia akan kehilangan penampilannya dan sedang melakukan apa sahaja untuk mengekalkan rupa parasnya seperti sekarang.

“David telah menjadi ‘gila’ kerana berasa tidak yakin. Dia kerap memberitahu Victoria bahawa dia takut akan menjadi gemuk dan tua. Maka dia telah pergi ke gim setiap hari untuk beberapa jam. Dia tidak boleh tahan apabila memikirkan dirinya akan menjadi gemuk dan tua,” kata satu sumber.

Namun, isterinya tidak begitu risau dengan suaminya yang semakin tua. Malah dia mendapati suaminya itu terlalu paranoid. Akan tetapi Victoria sendiri juga melakukan diet ketat untuk mengekalkan berat badannya yang kurus itu.

Apabila Victoria memberitahu bahawa dia mengidam makanan, pembantunya memahami maksud bekas anggota kumpulan Spice Girls ini yang hanya mahu memakan makanan dalam kuantiti kecil.


PASANGAN David Beckham dan Victoria.

Mereka menempah sebuah restoran mewah dan memesan beberapa hidangan dalam jumlah sedikit yang semuanya dimasak tanpa minyak, sos, mentega atau garam.

Senarai hidangan pelik itu hanya mengandungi 302 kalori, jauh lebih rendah berbanding 1,000 kalori yang disyorkan untuk seorang ibu dengan tiga anak seperti Posh.

Ketika berada di restoran berkenaan, wanita itu tidak menjamah ikan tuna yang dihidangkan sebagai pembuka selera dan udang untuk hidangan utama. Tetapi dia meminum empat gelas champagne yang sudah diketahui umum mengandungi 523 kalori.

“Dia telah melakukan diet yang melampau dan saya tidak akan mengesyorkan diet seperti itu kepada sesiapa pun. Ia terlalu cerewet dan obsesi dan bertambah buruk dengan pengambilan alkohol,” kata seorang pakar pemakanan, Dr. Ian Campbell ketika diminta mengulas mengenai tabiat makan Posh.

Malah bagi memastikan semua makanan mematuhi syarat, semua makan diperiksa sebelum dijamah. Itulah obses Victoria yang dilihat sedang memusnahkan dirinya yang semakin kurus.

Kosmo

Ashlee Simpson Bersedia Timang Anak

31 Aug

PENYANYI jelita, Ashlee Simpson tidak sabar menimang anak yang sedang dikandungnya. Cahaya mata tersebut hasil daripada perkahwinan dengan personaliti Fall Out Boy, Pete Wentz, dijangka lahir pada akhir tahun ini. Pasangan muda tersebut sudah menyiapkan segala kelengkapan bayi untuk menyambut kehadiran anak pertama dalam keluarga mereka.

“Saya telah menyiapkan sebuah bilik bayi dan segala kelengkapan. Saya dan suami tidak sabar untuk menjadi ibu dan ayah,” tutur adik penyanyi cantik, Jessica Simpson ini.

Selain kehamilannya, Ashlee juga berasa bahagia, kerana memiliki suami yang sangat prihatin dan sangat mencintainya. Tidak ketinggalan, ibu dan nenek Ashlee turut mengambil berat tentang kandungannya kerana mereka tahu Ashlee belum berpengalaman menjadi seorang ibu.

Walaupun waktu kelahiran anak Ashlee dan Pete semakin hampir, mereka belum ada nama untuk calon bayi yang akan lahir tersebut.

Utusan Malaysia

Musim Artis Kahwin

5 Jun


HARRISON FORD dan Calista Flockhart.

Cinta antara mereka ada yang sudah lama terjalin, dan ada juga di antara pasangan yang baru sahaja berputik cinta mereka. Namun, disebabkan cinta mendalam, mereka membuat keputusan untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan ikatan perkahwinan.

Mungkin tahun ini merupakan tahun bertuah, ramai di antara pasangan selebriti Hollywood memilih untuk melangsungkan perkahwinan mereka.

Sepanjang Mei tahun ini sahaja, Ashlee Simpson dan Pete Wentz berkahwin di kediaman ibu bapa Ashlee yang terletak di Los Angeles. Tarikhnya ialah pada 17 Mei lalu.

Jessica Alba yang sedang mengandung juga berkahwin dengan pasangannya, Cash Warren, 31, dalam satu majlis rahsia pada 19 Mei lalu.

JUSTIN TIMBERLAKE dan Jessica Biel.

Selepas ini, ramai lagi pasangan selebriti yang menyimpan hasrat untuk mendirikan rumah tangga.

Dengan menolak ke tepi beberapa pasangan selebriti sejenis yang dikatakan turut kemaruk untuk berkahwin seperti hos program temu bual popular Ellen DeGeneres dan pasangannya, aktres Portia de Rossi serta aktres bermasalah, Lindsay Lohan yang kononnya juga mahu berkahwin dengan deejay, Samantha Ronson, berikut adalah antara beberapa pasangan Hollywood yang sedang di ambang perkahwinan.

Harrison Ford dan Calista FlockhartMereka telah bercinta selama enam tahun sejak pertama kali bertemu pada majlis anugerah Golden Globe 2002. Harrison Ford, 65, dan Calista Flockhart, 43, kini ingin mengukuhkan lagi hubungan cinta mereka dengan ikatan perkahwinan.

Ford dan Flockhart dilaporkan akan berkahwin pada musim panas ini. Ford yang pernah bercerai sebanyak dua kali sebenarnya berasa berat hati untuk bergelar suami buat kali ketiga.

Namun, dia baru-baru ini telah memberitahu Flockhart dia telah bersedia untuk menjadikan Flockhart isterinya.

“Harrison memberitahu dia akan berkahwin dengan Calista sebaik sahaja dia habis urusan promosi filem terbaru Indiana Jones,” kata satu sumber kepada majalah National Enquirer.

Ford dan Flockhart dipercayai sudah merancang satu majlis perkahwinan sederhana yang dijangka hanya akan disertai oleh keluarga dan rakan rapat.

Aktor ini mempunyai empat orang anak hasil perkahwinan sebelum ini. Dia juga membantu Flockhart untuk membesarkan anak angkat Flockhart, Liam, 7.

Ford berharap untuk menjadi bapa angkat kepada Liam tetapi Flockhart memberitahu bahawa mereka perlu berkahwin terlebih dahulu.

ANGELINA JOLIE dan Brad Pitt.

“Harrison begitu menyayangi Liam seperti anak kandungnya. Harrison adalah satu-satunya ayah yang Liam kenali.

“Cuma satu perkara yang perlu dilakukan oleh Harrison sekarang adalah berkahwin dengan saya. Selepas itu, dia boleh menjadi bapa angkat Liam,” kata bekas pelakon Ally McBeal itu.

Angelina Jolie dan Brad PittSelepas melahirkan anak pertama, Shiloh, 2, aktres yang panas dengan berita misteri kelahiran anak kembarnya, Angelina Jolie dan pasangannya, aktor Brad Pitt akhirnya telah membuat keputusan untuk berkahwin dalam masa terdekat ini.

Pasangan popular itu dilaporkan bakal mengikat tali perkahwinan dalam majlis sederhana dengan kehadiran keluarga dan kawan terdekat.

“Angelina dan Brad tidak akan membuat banyak perancangan. Majlisnya ringkas di kawasan luar Villa Maryland iaitu rumah jutawan Microsoft, Paul Allen di Perancis. Mereka kini menetap di sana sementara sedang mencari rumah.

“Angelina mahu semua anaknya, Maddox, 6, Pax, 4, Zahara, 3, dan Shiloh, 2, untuk menghadiri majlis ini. Maddox dan Pax akan terlibat dalam ikrar perkahwinan mereka,” kata salah seorang kawan rapat mereka.

Ibu bapa Pitt yang mengunjungi mereka di Perancis baru-baru ini telah mencadangkan supaya mereka berkahwin dalam masa terdekat. Mereka dikatakan sangat teruja apabila Angelina akhirnya bersetuju untuk mengahwini Brad.

“Ibu bapa Pitt terlalu gembira apabila Angelina akhirnya bersetuju dengan idea perkahwinan. Mereka telah mengambil masa yang lama untuk menerima Angelina.

MARIAH CAREY dan Nick Cannon.

“Dia (Angelina) juga benci dilihat sebagai wanita yang mencuri Brad (daripada Jennifer Aniston). Namun, itu semua adalah sejarah lampau dan dia kini sudah bersedia untuk mengorak langkah baru dalam hidupnya,” ujar satu sumber kepada majalah Grazia.

Justin Timberlake dan Jessica BielJustin Timberlake mungkin mempunyai ramai kekasih sebelum ini termasuk Britney Spears tetapi hubungannya dengan aktres Jessica Biel dilihat serius apabila dia dikhabarkan bercadang untuk berkahwin dengan Biel.

Aktres yang popular dengan filem I Now Pronounce You Chuck And Larry ini juga dikatakan sudah mengandung, memandangkan dia baru-baru ini telah berhenti mengambil minuman beralkohol.

“Justin sudah berusia 27 tahun dan sudah berfikir untuk berkahwin dan mendapatkan anak. Buat kali pertama dalam hidupnya dia mempunyai perasaan untuk mendirikan rumah tangga.

“Dia begitu gembira bersama Jessica. Mereka jarang menghabiskan masa bersama baru-baru ini kerana Justin sibuk bekerjasama dengan kolaborasi lagu bersama Madonna.

“Itu yang membuatkan Jessica yakin bahawa Justin adalah lelaki yang sempurna baginya,” kata satu sumber.

Ada juga laporan yang mendedahkan bahawa penyanyi SexyBack ini bercadang untuk menerbangkan keluarga dan rakannya secara eksklusif ke pulau Mustique, West Indies miliknya yang berkeluasan 1,400 ekar untuk majlis perkahwinannya itu.

JAKE GYLLENHAAL dan Reese Witherspoon.

Ini supaya tiada paparazzi atau wartawan yang dapat mengganggu perkahwinan mereka.

“Kos untuk menerbangkan semua kawan dan keluarganya ke pulau Mustique adalah sangat mahal tetapi semuanya berbaloi untuk Jessica,” jelas satu sumber kepada akhbar The Sun.

Jake Gyllenhaal dan Reese WitherspoonPasangan ini bertemu di lokasi penggambaran Rendition tahun lalu dan telah berbicara mengenai perkahwinan serta bersedia untuk menguatkan lagi hubungan mereka.

“Mereka sudah bercerita mengenai perkahwinan. Malah rasanya mereka kini sudah bertunang. Mereka ingin menghabiskan sisa hidup bersama,” beritahu satu sumber.

Witherspoon yang mempunyai dua orang anak bersama bekas suaminya, Ryan Phillippe ingin berkahwin sebelum dia berpindah ke rumah Jake.

“Ini satu hubungan yang serius. Tetapi Reese seorang yang konservatif dan tradisional. Dia tidak mahu ‘memalukan’ anak-anaknya,” kata seorang rakan Witherspoon kepada majalah OK!.

Pasangan ini dilaporkan bercadang untuk membina sebuah rumah di sebidang tanah yang terletak di California dengan nilai AS$6 juta (RM19.5 juta).

Mereka juga kelihatan begitu intim semasa menjamu selera di restoran Hominy Grill, Selatan Carolina.

Menurut seorang pengurus restoran, Brandy Mangum, “Mereka sangat mesra dan kelihatan manis bersama. Mereka adalah pasangan yang sempurna.”

Sungguhpun begitu, jurucakap Jake menafikan bahawa aktor ini bercadang untuk berkahwin dengan Reese.

Mariah Carey dan Nick CannonMereka sebenarnya sudah berkahwin tetapi Mariah Carey dan Nick Cannon bercadang untuk berkahwin sekali lagi.

Perkahwinan pertama pasangan ini dijalankan secara sederhana di Barbados awal bulan ini.

Perancangan untuk majlis kahwin buat kali kedua itu pula dikatakan telahpun dibuat dan kali ini kosnya mencecah AS$4 juta (RM12.9 juta).

“Ia (majlis perkahwinan kali kedua) akan berlangsung di bandar New York dalam masa enam minggu lagi. Dia inginkan lebih 2,000 tetamu.

Bajetnya adalah melebihi AS$4 juta (RM12.9 juta) dan dia akan diiringi sekurang-kurangnya 14 pengapit,” kata satu sumber.

Mariah berkahwin dengan Nick selepas bercinta dengan selama sebulan selepas pasangan ini bertemu dalam set penggambaran klip video lagu terbaru Mariah, Bye Bye.

Selepas majlis itu, Mariah juga memberitahu dia sudah bersedia untuk mendapat anak dengan Nick. “Itulah tujuan berkahwin. Saya ingin memiliki anak bersama dan membesarkan mereka.”

Kosmo

Artis Gila Bedah

6 Mar

MERUBAH wajah menjadi cantik melalui pembedahan plastik. Trend ini sebenarnya sudah sangat popular di negara luar terutamanya Korea dan Jepun.

Percaya atau tidak, golongan ibu bapa remaja Jepun mahupun Korea malah sehingga sanggup menghadiahkan wang untuk anak-anak mereka melakukan pembedahan kosmetik sebagai hadiah hari jadi.

Dan di Hollywood senario ini begitu berleluasa walaupun ada yang menyokong tindakan ini dan ramai juga yang membangkangnya.

Tidak kira untuk mengubah wajah atau mengekalkan rupa paras muda, pembedahan plastik bagaikan sudah menjadi budaya hidup terutamanya kepada golongan selebriti walaupun menyedari risikonya.

Kini, pembedahan plastik bukan lagi perkara yang dirahsiakan atau memalukan. Michael Jackson dan penyanyi yang sudah bergelar nenek, Cher, adalah dua contoh popular yang ‘menghalalkan’nya menerusi pengaruh mega mereka.

Bukan sahaja artis, tetapi mereka yang berkait dengan artis juga turut kemaruk dengan pembedahan plastik.

Ibu penyanyi Kanye West, Donda West sebagai contohnya, membuat kejutan apabila meninggal dunia November tahun lalu akibat pembedahan plastik.

Minggu ini, disingkap beberapa kisah menarik artis Hollywood yang pernah menjalani pembedahan kosmetik dan suntikan botox serta kolagen untuk tujuan kecantikan.

Hidung baru Ashlee Simpson

ADIK Jessica Simpson, Ashlee Simpson memberikan pelbagai alasan apabila dilihat ‘memiliki’ hidung baru pada Mei, 2006.

Pembedahan itu sangat ketara tetapi dia hanya membisu tanpa sebarang kenyataan media, sehinggalah membuat pengakuan dalam majalah Harper Bazaar.

ASHLEE SIMPSON

Bijak bermain kata-kata, Ashlee menegaskan, “Ia (pembedahan plastik) adalah pilihan peribadi. Saya percaya jika seseorang itu memilih untuk melakukan pembedahan, ia adalah untuk dirinya sendiri dan bukan untuk orang lain.”

Rahsia kulit Teri Hatcher

PADA usia 43 tahun, aktres yang popular menerusi drama bersiri, Desperate Housewives ini masih kelihatan menawan.

Hatcher sebenarnya tampak muda 10 tahun daripada usia sebenarnya.

“TERI HATCHER

Gambarnya selalu menunjukkan kulitnya yang berseri-seri tanpa sebarang kedutan. Apakah rahsia kepada kecantikan kulit Hatcher?

Pada tahun 2006, dalam satu temu bual bersama majalah Glamour, Hatcher mengaku dia mendapatkan bantuan daripada doktor.

“Sebelum ini saya pernah menggunakan botox serta kolagen tetapi telah berhenti selama setahun. Kini saya berpendapat adalah biasa untuk hidup dengan muka berkedut dan tidak cuba untuk kelihatan seperti berusia 25 tahun,” jelasnya.

Secara umum, penggunaan botox hanya mampu bertahan selama tiga bulan. Selepas itu, garisan dan kedut akan muncul semula. Namun, apa menjadi tanda tanya ialah bagaimana Hatcher mengekalkan kecantikan wajahnya sekarang ini sedangkan dia mendakwa sudah berhenti menggunakan botox selama setahun.

Pengakuan telus Cindy

RAMAI yang hairan bagaimana supermodel Cindy Crawford mampu menjaga dan mengekalkan kecantikan pada usia 42 tahun. Mungkin artis seperti Ashlee Simpson dan Teri Hatcher menafikan mereka melakukan pembedahan kosmetik, tetapi Cindy bagaimanapun mengaku pernah mendapatkan bantuan pakar.

CINDY CRAWFORD

Ibu kepada dua anak ini memberitahu majalah Gala bahawa ubat dan losyen tidak lagi boleh membantu. “Saya tidak mahu menipu diri sendiri.

“Pada sesetengah usia, krim muka mungkin boleh membantu tetapi bagi mengekalkan kualiti elastik, saya perlukan suntikan vitamin, botox dan kolagen. Saya terhutang budi kepada pakar kosmetik yang membantu saya.”

Rose McGowan hilang watak

AKTRES jelita, Rose McGowan gagal dalam uji bakat filem Speed Racer pada September lalu kerana pihak penerbit khuatir peminat aktres jelita ini tidak dapat mengenalinya selepas dia menjalani pembedahan kosmetik.

“Pihak studio berpendapat Rose agak sukar untuk dikenali dan risau apabila filem ini mula ditayangkan, peminat mungkin tidak lagi mengenalinya,” lapor akhbar Daily News.

Namun, McGowan memberitahu bahawa dia perlu menjalani pembedahan plastik pada matanya itu kerana tercedera semasa kemalangan jalan raya awal tahun lalu.

Sisi ‘feminin’ Simon Cowell

ADAKAH juri American Idol, Simon Cowell pernah menjalankan pembedahan plastik dan botox?

Sebelum ini banyak gosip yang menyatakan dia pernah menjalankan proses menegangkan otot dadanya yang mengendur supaya tegap tetapi dia telah menafikan berita itu.


DADA Simon Cowell yang kelihatan tegap (foto kiri) dikatakan hasil pembedahan kosmetik berbanding dadanya yang mengendur sebelum pembedahan (foto kanan).

“Tidak. Semua itu tidak benar. Saya tidak pernah menjalani pembedahan. Tetapi saya pernah menyuntik botox tetapi dengan kadar sederhana. Lagipun setiap lelaki yang saya kenali di bandar ini menggunakan botox,” tegas Cowell.

Aniston bedah dua kali

MENURUT laporan Us Weekly, Jennifer Aniston telah menjalani pembedahan hidung sekali lagi. Dia mengunjungi Dr. Raj Kanodia dan menyatakan pembedahan itu adalah untuk membetulkan hidungnya.

JENNIFER ANISTON

Aniston sebelum ini pernah menjalani pembedahan 12 tahun lalu dan tidak puas hati dengan dengan keputusannya. Dan ada laporan yang menyatakan Aniston juga berkemungkinan besar menjalankan pembedahan payu dara.

Apa yang akan dilakukan olehnya selepas ini? Mungkin suntikan kolagen untuk mendapatkan bibir seksi seperti Angelina Jolie?

Sebenarnya, aktres jelita seperti ini tidak memerlukan pembedahan. Namun, itulah lumrah manusia yang tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki.

Pembedahan Tara Reid gagal

KETIKA berjalan di atas karpet merah sebelum menghadiri parti P. Diddy pada tahun 2004, dres Tara Reid secara tiba-tiba terjatuh dan mendedahkan payu daranya.

“Saya cuma sempat senyum dan kamera tidak berhenti merakamkan insiden tersebut. Apabila saya sedar, saya menangis dan merayu kepada jurugambar supaya tidak menyiarkan gambar itu tetapi tidak berjaya,” imbas Reid yang pernah popular dengan filem American Pie.

Bukannya ‘kemalangan’ sebegini tidak pernah berlaku tetapi Reid sebenarnya baru sahaja menjalani pembedahan plastik yang malangnya gagal.


POTONGAN badan Tara Reid yang sedia ada sudah sempurna (foto berbaju merah) berbanding keadaan badannya menjadi haru-biru (gambar kecil).

Gambar payu dara saya yang ‘rosak’ tersebar di internet dan hidup saya telah musnah kerana dilabelkan sebagai pemilik payu dara terburuk di dunia.

“Saya berjumpa dengan pakar bedah pada tahun 2004 untuk mendapatkan payu dara saiz B dan dia ‘memberikan’ saya saiz C. Saya tidak mahu saiz itu,” jelas Reid.

Selepas pembedahan, Reid kemudian sedar bahawa sebahagian payu daranya telah rosak. “Selepas enam bulan, semuanya telah beransur pulih. Saya tidak pernah terfikir untuk memiliki aset sebegini,” tambah Reid.

Selain pembedahan payu dara, Reid juga pernah menjalani proses kontor (untuk mengembalikan bentuk badan) di klinik yang sama dan tidak gembira dengan keputusannya.

“Perut saya menjadi ‘beralun’ dan kembung. Saya juga menghidap hernia (bonggol besar di sebelah pusat). Disebabkan itu, saya tidak boleh memakai bikini dan kehilangan banyak peluang kerja,” jelas Reid.

Beberapa bulan kemudian, selepas menjalankan penyelidikan, Reid menjalani pembedahan lagi untuk membetulkan kegagalan sebelum ini.

Kosmo