Archive | Awal Ashaari RSS feed for this section

Kongsi Pentas Rai Setiausaha

28 Apr

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
MINGGU Setiausaha yang disambut sepanjang bulan ini bukan saja dijayakan penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti yang mengadakan persembahan di Pusat Konvensyen Dan Pameran Matrade, Jalan Duta, 21 April lalu.

Malah minggu lalu juga dibanjiri beberapa lagi artis dari seberang menjayakannya di Hotel Istana, Kuala Lumpur, 22 April.

Bukan sekadar empat penyanyi muda, Rio Febrian, Delon, Ello dan Irwansyah menjadi pilihan penganjur malah tiga pelakon, Samuel Rizal, Putra Ariffin serta Didi Riyadi.

Mereka digandingkan dengan penyanyi dan pelakon tanah air ketika acara permaidani merah menggayakan sut rekaan Lord’s Tailor bersama Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Aqasha, Awal Ashaari, Fizow Omar, Iqram Dinzly, Ashraf Muslim, Adi Putra dan Nazril Idrus.

Mereka juga berkongsi pentas secara duet bersama Jaclyn Victor, Siti Sarah dan Shila serta menjayakan sketsa bersama setiausaha. Betapa eratnya hubungan artis dua negara dalam satu majlis yang begitu meriah dapat disaksikan.

Walaupun setiap tetamu membayar RM290 dan RM350 setiap seorang untuk hidangan masakan Padang dan santapan mata bersama artis kacak serta terkenal, difahamkan, artis yang membuat persembahan pada hari itu tidak menerima bayaran.

Tujuh artis Indonesia yang datang dibayar dengan publisiti dan promosi sepanjang empat hari mereka berada di Kuala Lumpur. Banyaklah sesi fotografi dan pertemuan bersama media diatur penganjur dengan kerjasama syarikat rakaman Sony BMG Music dan Warner Music.

Untuk jejaka kacak yang melayan peminat di Grand Ballroom pula dibayar dengan sut Lord’s Tailor berharga RM3,500 hingga RM5,000 manakala penyanyi dibayar dengan peluang berkongsi pentas artis Malaysia dengan Indonesia.

Delon yang dicungkil bakatnya daripada program realiti Indonesian Idol 2004, berduet dengan bintang Malaysian Idol, Jaclyn Victor menerusi lagu popular Celine Dion dan Andrea Docelli, The Prayer; Siti Sarah duet dengan Ello (I Feel Good) manakala Irwansyah dengan Shila (One In A Million) melalui lagu duet Irwansyah dengan Acha Septriasa, My Heart. Delon juga muncul solo melalui lagu Adinda, Ello (Masih Ada) dan Irwansyah (Camelia).

Azharina Azhar pula berpeluang memperkenalkan dua single terbarunya, Rasa dan Rawan manakala Delon, Rio, Ello dan Irwansyah berpeluang bertemu wartawan Malaysia untuk promosi album terbaru mereka edaran Sony BMG Music dan Warner Music.

 

 

Untuk tiga pelakon Indonesia pula, mereka dibayar dengan publisiti dan peluang bertemu produser tanah air untuk mengintai peluang berlakon di negara ini. Bagi Samuel, nama dan wajahnya sudah dikenali peminat di sini menerusi lakonannya dalam Eifel…I’m In Love dan filem tempatan, Sayang You Can Dance, tetapi Putra Ariffin dan Didi agak asing di sini.

Jaclyn yang anggun dengan gaun merah koleksi peribadi rekaan Bill Keith juga berpeluang menyanyi dengan Rio Febrian. Petang itu juga menyaksikan pertemuan kali pertama Jaclyn dengan Rio di pentas besar seperti Minggu Setiausaha untuk lagu duet mereka, Ceritera Cinta yang dirakamkan pada 2006.

Jac berkata, sebelum ini mereka bertemu untuk rakaman klip video lagu itu manakala menyanyi bersama hanyalah untuk acara kecil anjuran majalah hiburan sebelum ini.

Katanya, masa rakaman lagu itu juga diadakan berasingan kemudian apabila lagu itu berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik kategori balada. Rio tidak dapat memberi kerjasama lalu tempatnya digantikan Lah VE.

“Tapi kami pernah bertemu menjayakan video klip lagu itu. Dia seorang yang peramah dan baik dan saya gembira dapat berkongsi pentas dengannya hari ini,” kata Jac.

Bagi Delon, kesempatan menjayakan Minggu Setiausaha dianggap peluang keemasan untuk berkenalan dengan masyarakat di sini sekali gus memperkenalkan album barunya, Perasaanku yang diedarkan di Malaysia penghujung bulan ini.

Selain duet dengan Jac, Delon atau nama sebenarnya, Alexander Liaw Dalon Thamrim, 31, menyampaikan lagu daripada album Perasaan, Adinda.

Katanya, Adinda istimewa kerana ia lagu lama Titiek Puspa yang dirakamkan semula dengan muzik baru yang lebih segar.

“Saya bangga dapat merakamkan semula lagu Titiek Puspa yang dianggap legenda di Indonesia. Gubahan muziknya dilakukan Tohpati supaya menjadi lebih enak didengar.

“Sebenarnya bukan mudah untuk saya mendapat izin merakamkan semula lagu itu, tetapi atas bantuan orang kuat Sony Music Indonesia, segalanya menjadi mudah. Saya juga bangga apabila Titiek Puspa memuji hasilnya.

“Untuk salam perkenalan di sini, saya pilih lagu ini kerana muziknya ada sentuhan Melayu. Saya juga sedar kurang dikenali di sini dan berharap kunjungan ini memberi pendedahan kepada semua.

“Sepanjang berada di sini, jadual harian saya padat dengan sesi bertemu wartawan. Malah saya berpeluang menghadiri majlis ulang tahun TV9 di Sunway Lagoon,” katanya.

Sementara itu Ello atau nama sebenarnya, Marcello Tahitoe baru saja melancarkan album keduanya, Realistis/Idealis di Indonesia Februari lalu dan untuk pasaran Malaysia sejak 24 Mac lalu. Rio Febrian mempertaruhkan album Aku Bertahan manakala Irwansyah album Soliter.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Selamba, Meriah Dan Menghiburkan

28 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

WAJAH kacak dan jelita artis yang terbabit menjayakan Minggu Setiausaha di Hotel Istana, baru-baru ini.

Kemunculan sekumpulan lelaki terpilih dalam pelbagai cabang dunia hiburan memeriahkan acara Minggu Setiausaha

DEWAN Grand Ballroom Hotel Istana dihias indah dengan bunga-bungaan segar menandakan ada acara istimewa sedang berlangsung. Di luar dewan kelihatan sekumpulan jejaka yang kelihatan segak menyarung tuksedo sambil kerlipan cahaya lensa tidak henti-henti menyimbah wajah mereka.

Senyuman tidak henti-henti menghiasi wajah mereka. Ada ang dikenali dan ada juga pertama kali dilihat. Namun satu perkara yang dikongsi lelaki-lelaki ini adalah mereka yang berjaya mencipta nama dan populariti menerusi bakat yang dimiliki.

Lebih menarik acara hari itu bukan saja menghimpunkan pelakon, penyanyi dan model dari Malaysia tetapi juga membabitkan selebriti dari negara seberang. Itulah kelainan yang ditampilkan Hotel Istana untuk persembahan Minggu Setiausaha tahun ini.

Bukan saja menyatukan dua negara malah hidangan yang disajikan juga berkonsepkan cita rasa Indonesia iaitu makanan Padang yang cukup terkenal di Sumatera Barat. Andai kebanyakan hotel lain selesa menampilkan seorang penyanyi untuk menghiburkan penonton namun acara ini membariskan ramai penyanyi hebat yang memiliki vokal tersendiri.

Terbuai keasyikan mendengar alunan vokal Faizal Tahir yang berduet bersama pemenang pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH), Nazatul Farihin yang menyampaikan lagu Cuba. Walaupun baru pertama kali digandingkan bersama, dua penyanyi ini kelihatan serasi dan tidak nampak kekok di atas pentas.


KALI kedua Jaclyn dan Rio bergandingan menyanyikan lagu Ceritera Cinta.

Mengulangi kejayaan yang pernah dilakar Nazatul sewaktu membuat persembahan sulung di pentas berprestij Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2008), 12 April lalu, ujian kedua ini dilalui gadis dari Sungai Petani ini dengan jayanya terutama apabila membabitkan lontaran suara ketika menyanyikan bahagian bernada tinggi.

Sebutir lagi bintang yang sememangnya menyinar di persada hiburan, Azharina meneruskan persembahan single terbarunya berjudul, Rawan sebelum pentas di ambil alih Rio Febrian yang menyampaikan lagu yang diangkat dari album terbarunya iaitu Aku Bertahan.

Rio turut berduet bersama penyanyi bersuara lantang dari Malaysia, Jaclyn Victor menyanyikan lagu Ceritera Cinta. Penyanyi lain yang turut memukau penonton menerusi persembahan mereka termasuklah Naib Juara Indonesian Idol, Delon, Irwansyah, Siti Sarah dan Ello.

Acara meriah yang dikendalikan dua pengacara berpengalaman iaitu Afdlin Shauki dan AC Mizal ini turut diselang selikan dengan sesi bermesra bersama penonton.


FAHRIN menunjukkan aksi ‘Sehati Berdansa’ bersama pasangannya.

Kalau sudah namanya persembahan Minggu Setiausaha, pastinya kebanyakan tetamu yang hadir adalah golongan Hawa.

Untuk permainan pertama yang dinamakan Sehati Berdansa, setiap selebriti yang diundang di pentas, perlu mencari pasangan untuk menari bersama mereka berdasarkan genre lagu yang berkumandang. Sesi ini memang melucukan kerana ada di antara pasangan malang itu memang tidak boleh menari. Sudahnya ada di antara mereka main ‘belasah’ saja asalkan ada pergerakan.

Pada acara kedua pula, setiap pasangan perlu melakonkan aksi klip video untuk lagu yang dimainkan. Ini juga membuatkan tetamu yang hadir ‘pecah perut’ menahan gelak menyaksikan aksi selama pasangan berkenaan menghidupkan watak masing-masing.

Pun begitu, tidak dapat dinafikan kemampuan pasangan Afdlin dan AC menghidupkan acara dengan lawak jenaka mereka yang selamba sewajarnya mendapat pujian. Sikap gila-gila serta dialog spontan kedua-dua mereka juga banyak membantu.

Medan promosi diri di Malaysia

PELUANG yang terbentang di depan mata tidak harus dibiarkan begitu saja. Justeru, apabila ditawarkan untuk membuat persembahan sempena Minggu Setiausaha di Malaysia, perkara itu disambut oleh artis Indonesia yang terbabit dengan segala senang hati.

Malah, mereka melihat perkara itu dalam erti kata yang lebih luas kerana menerima tawaran itu bererti mereka memberi peluang untuk penggemar muzik di Malaysia menikmati hasil kerja mereka.

“Rasa teruja kerana selain membuat persembahan saya juga berpeluang mempromosikan muzik saya di sini. Mungkin selepas ini saya akan menjayakan showcase saya sendiri buat peminat, siapa tahu,” kata Rio yang pernah berduet bersama Erra Fazira menerusi lagu Nada Cinta.

Pendapat itu turut disokong Ello yang menyifatkan kemunculan mereka itu sebagai salam pengenalan buat peminat di negara ini.

“Saya memang sudah lama ingin ke Malaysia kerana saya tahu saya juga mempunyai peminat di sini. Jadi kesempatan ini saya akan gunakan sebaiknya untuk mendekatkan diri bersama mereka ,”ujar jejajak kacak ini.

Antara selebriti yang turut memeriahkan majlis ini adalah Awal Ashaari, Fahrin Ahmad, Aqasha, Kamal Adli, Fizo, Farid Kamil, Samuel Rizal, Ashraf Muslim, Iqram Dinzly, Didi Riyadi dan Ariffin Putra.

Berita Harian

Penyeri Karpet Biru

27 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

KARAKTER tiga pengacara popular, Sazzy Falak (Sazzy), Nazrudin Habibur Rahman (Naz) dan Awal Ashaari (Awal) mempunyai tiga persamaan – ceria, suka berceloteh dan mempunyai perwatakan gila-gila.

Justeru, gandingan mereka bertiga sebagai hos memang tepat untuk menyemarakkan lagi acara permaidani biru (Live From The Blue Carpet), Anugerah Industri Muzik yang ke-16 (AIM16) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei ini.

Acara permaidani biru ini akan disiarkan secara langsung menerusi Saluran Ceria Anda, ntv7 selama setengah jam bermula jam 8.30 malam.

Dalam sesi fotografi bersama Rap yang diatur ntv7 di Sri Pentas, Jumaat lalu, keserasian tiga pengacara berbakat besar ini, Sazzy, Naz dan Awal begitu terserlah.

Malah, sesi fotografi eksklusif yang bermula sejak jam 11 pagi dan berakhir kira-kira jam 2 petang juga tidak membosankan dengan telatah Sazzy, Naz dan Awal yang masing-masing begitu mencuit hati dan menceriakan suasana.

Lebih menarik, mereka bertiga sempat bergaya dan bergambar bersama kereta mewah Bufori yang berharga setengah juta ringgit dan bakal menjadi kenderaan yang membawa mereka bertiga berarak ke acara permaidani biru itu nanti.

Menjadi bunga yang diapit dua kumbang, sudah pasti penampilan Sazzy paling mencuri tumpuan pada acara permaidani biru itu nanti.

“Saya memang menanti peluang untuk terbabit dalam acara berprestij seperti AIM16. Maklumlah, saya sudah lama tidak buat acara permaidani merah. Kali terakhir, saya menjadi hos permaidani merah sempena Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) pada 2007,” katanya.

Selain KLIFF, Sazzy pernah menjadi hos permaidani merah sempena seperti Anugerah Era (2004/06) dan Festival Filem Malaysia (2005/06).

Sekalipun berpengalaman sebagai hos acara permaidani merah, Sazzy masih bimbang untuk menjadi hos permaidani merah sempena AIM16.

 

 

“Siapa yang tidak bimbang kerana ini kali pertama saya menjadi hos permaidani merah untuk AIM16. Justeru, saya meminta tip daripada suami, Nazril Idrus yang pernah menjadi hos permaidani merah pada AIM 2007. “Saya juga banyak membuat kajian mengenai perkembangan terkini artis yang dicalonkan termasuk perkembangan industri seni tanah air sekarang.

“Saya juga mendapat tip daripada program Live From The Red Carpet menampilkan gandingan hos Ryan Seacrest dan Juliana yang disiarkan menerusi saluran hiburan E! Entertainment Televisyen (Astro 712),” katanya.

Apapun, kata Sazzy, dia lega apabila digandingkan dengan dua pengacara berpengalaman seperti Naz dan Awal.

“Awal berpengalaman luas sebagai hos permaidani merah dalam acara hiburan berprestij termasuk AIM dan Naz pula cukup berpengalaman sebagai pengacara dalam program yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

“Saya berasa lebih mudah bekerja dengan pengacara yang bagus kerana masing-masing sudah tahu apa yang perlu dilakukan di pentas nanti. Pada masa sama, kami akan bersaing antara satu sama lain untuk memberikan yang terbaik pada acara itu nanti.

“Saya juga pernah bekerja dengan hos yang tidak berpengalaman dan terpaksa menutup banyak kelemahannya bagi memastikan acara itu tidak membosankan penonton,” katanya.

Bagi Naz, peluang julung kalinya menjadi hos permaidani biru sempena AIM16 begitu bermakna buat dirinya.

“Ini kali pertama saya diberi tugas sebagai hos acara hiburan berprestij seperti AIM16.

Sebelum ini, saya pernah hadir ke AIM untuk memberi semangat kepada kawan rapat sejak di bangku sekolah, Damian (VE) yang menang anugerah dalam AIM untuk lagu Anak Ayam.

“Justeru, apabila diberi peluang menjadi hos pula, saya sangat teruja untuk memberikan yang terbaik pada acara ini nanti,” katanya.

Naz yang dikenali menerusi program The Breakfast Show (ntv7) pernah bergandingan dengan pelakon Nur Fazura sebagai hos Anugerah Skrin TV3 berkata, ini kali pertama dia bergandingan dengan Sazzy dan Awal dalam acara hiburan berprestij seperti AIM16.

“Sazzy dan Awal memang tidak asing dalam acara permaidani merah. Justeru, saya akan meminta tunjuk ajar daripada mereka berdua nanti.

“Kami juga diberikan tugas sama rata saja dan tidak timbul isu, Sazzy dan Awal membayangi saya atau sebaliknya,” katanya.

Naz berkata, mereka juga tidak mempunyai skrip yang khusus kerana semuanya akan dilakukan secara spontan saja.

“Apapun persediaan tetap dibuat membabitkan senarai pencalonan artis dan komposer yang bertanding kali ini. Kami juga diberi peluang menemu bual VIP yang diundang, calon yang bertanding, calon komposer dan ramalan siapa yang menang kali ini serta pereka fesyen terbabit.

“Bagi memastikan acara ini berjalan lancar, kami bertiga akan duduk berbincang untuk bertukar fikiran sebelum majlis anugerah berlangsung nanti,” katanya.

Berbanding Naz dan Sazzy, ini kali kedua Awal diberi peluang menjadi hos untuk AIM. Tahun lalu, Awal bergandingan dengan penyampai Hot FM, Tini sebagai hos permaidani merah AIM15.

“Saya pernah bergandingan dengan Sazzy ketika acara permaidani merah, Anugerah Era sebelum ini dan Naz pula baru kali pertama.

“Sekalipun baru kali pertama bergandingan, saya tidak bimbang kerana Naz sangat profesional ketika bekerja. Naz juga pengacara berpengalaman dan dia juga sudah lama berkecimpung dalam bidang pengacaraan,” katanya.

.Awal berkata, dia memang menanti peluang untuk terbabit dalam AIM16.

“Saya sudah 10 kali menjadi hos permaidani merah dalam acara hiburan berprestij dalam industri hiburan tanah air.

“Justeru, apabila diberikan kepercayaan untuk menjadi hos buat kali kedua, saya pastikan prestasi saya lebih baik berbanding dulu,” katanya.

Mengenai kombinasi mereka bertiga, Awal berkata, ia menampilkan kelainan dan variasi dalam acara AIM16.

“Anugerah Era juga menampilkan gabungan empat artis sebagai hos acara permaidani merah sebelum ini.

“Acara ini tidak terlalu rasmi dan kami juga menemu bual artis mengikut situasi majlis ketika itu. Apa yang boleh kami janjikan pada peminat, ia adalah malam menyeronokkan buat semua orang. Ia bukan saja meriah tapi penuh dengan informasi buat penonton,” katanya.

>Profil

NAMA: Sazzy Falak

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 10 Mac 1980

STATUS: Berkahwin

SUAMI: Nazril Idrus

KERJAYA: Pengacara, pelakon dan ahli perniagaan syarikat Sinclair Falak Sdn Bhd.

PROGRAM: Beat TV, Ria Sentral

ANTARA DRAMA: Doa Kamalia, Goda, Kami, Gol & Gincu, Kerana Karina (drama

online)

ANTARA FILEM: Gol & Gincu, Jin Notti

>Profil

NAMA: Nazrudin Habibur Rahman

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 9 November 1978

STATUS: Berkahwin

ISTERI: Sheahnee Iman Lee

KERJAYA: Pengacara dan pelakon

PROGRAM: The Breakfast Show (ntv7), My Aussie Adventure dan Celebrity Karaoke

ANTARA DRAMA: Ghost musim pertama dan kedua.

Profil

NAMA PENUH: Ahmad Awaluddin Ashaari

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 6 Ogos 1981

KERJAYA: Pelakon, pengacara, model dan ahli perniagaan (pemilik Butik fesyen online DNA celebrityStyle bersama Dynas Mokhtar)

PROGRAM: Beat TV, Teh Tarik & Cabaran Tariking F&N 2006, Sensasi, One In A Million, Sehati Berdansa dan Generasi Y (TV1)

FILEM: Diva, Diva Popular, Impak Maksima, Malaikat Maut, Apa Kata

Hati, I’m Not Single dan Syurga Cinta.

DRAMA: Drama: Cinta Medik, Impak Maksima The Series & A Time For Us (usaha sama Malaysia – Filipina)

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Cabaran, Debaran Dua Penerbit

27 Apr


DUA wanita muda yang memikul tanggungjawab sebagai penerbit acara kemuncak AIM16.

BAGI peminat dunia seni tanah air, tumpuan kali ini tentunya kini beralih pula kepada acara kemuncak AIM16 yang bakal berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur, Sabtu ini ini, selepas berhibur dengan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 pada 12 April lalu.

Berbeza dengan ABPBH 2008 yang menghimpun selebriti dalam pelbagai cabang seni, AIM16 mengumpulkan insan seni terbaik dalam bidang muzik.

Daripada penyanyi, pencipta lagu, penerbit sehingga pereka kulit album, masing-masing berdebar menantikan keputusan 29 anugerah yang bakal diumumkan pada acara yang dijangka berlangsung dalam keadaan penuh kemeriahan.

Penerbit program AIM16, Shazalina Zainal Aznam dan penerbit acara permaidani biru, Shannen Lee Siew Fong, ialah antara insan yang turut berdebar setiap kali tibanya acara terbabit.

Sebagai penerbit, Shazalina berasakan cabaran yang menunggu bukan kecil terutama bagi mengendalikan majlis anugerah sebesar AIM16. “Bagaimana agaknya hendak memampatkan penyampaian semua 29 trofi dalam masa dua jam atau dua jam setengah? Kemudian, perlu fikirkan pula di mana klip video rakaman hendak dimasukkan? Adakah pada permulaan persembahan, pertengahan atau penghujungnya?

“Bukan mudah untuk mengekalkan keseronokan penonton selama lebih dua jam AIM disiarkan. Lalu, kami mencari jalan terbaik untuk memasukkan rakaman tadi, mengisi setiap saat siaran langsung dengan kandungan yang bagus,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Begitupun, dia dan Shannen cukup teruja menerbitkan AIM16, berikutan persetujuan stesen penyiar rasmi, ntv7, membenarkan mereka menggunakan lebih banyak kamera pada acara terbabit. Jenis kamera yang enggan mereka dedahkan itu, khabarnya disewa khas bagi memberikan impak lebih hebat kepada penonton.

“Kamera ini tidak digunakan untuk program biasa. Ia hanya bagi majlis anugerah besar. Kami pernah mencubanya tetapi dengan arahan yang berbeza. Kami perhatikan, selepas penggunaannya pada AIM yang lalu, lebih banyak penganjur majlis anugerah menggunakan kamera serupa pada acara mereka,”ῠkata Shannen pula.

Siaran langsung AIM16 akan menyaksikan penggunaan 13 kamera dalam dewan, manakala lima kamera lagi bagi acara permaidani biru.

“Dengan pertambahan kamera, maknanya krew bertugas juga lebih ramai. Tahun ini, 60 krew produksi bertugas memastikan siaran langsung AIM16 muncul paling berjaya pernah diadakan,” kata Shazalina yang cuba menggunakan teknologi terkini apabila tiba ke bab produksi.

Shannen juga tidak sabar menunggu acara permaidani biru, yang menyaksikan ada perbezaan berbanding pada edisi terdahulu.

Pada acara memanaskan badan sebelum bermulanya majlis sebenar, Sazzy Falak, Naz dan Awal Ashaari diberi tanggungjawab sebagai pengacaranya.

“Berbeza dengan kebanyakan acara lain, kami mahukan permaidani yang mengiringi langkah selebriti ke dewan utama berwarna biru. Ia bukan hanya menampakkan kelainan kepada AIM16, malah warnanya juga selari dengan warna korporat penaja kami, Celcom,” kata Shannen sambil memberitahu, acara itu akan disiarkan selama 30 minit, mulai jam 8.30 malam.

Bagi memastikan acara permaidani birunya nampak berprestij, Shannen tidak lupa merujuk kepada acara serupa pada majlis anugerah antarabangsa seperti Anugerah Grammy.

“Penonton di rumah tentunya ingin melihat gaya artis yang hadir pada AIM. Lebih menarik, mereka akan dibawa ke acara permaidani biru dengan kereta Bufori. Di satu sudut lain pula, kami adakan pra-parti Kelab Feel Good untuk tetamu istimewa menikmati minuman serta beramah-mesra sebelum memasuki dewan,” katanya.

Berita Harian

Tomok Tersenarai Tiga Finalis OIAM

25 Apr

SHAH ALAM: Vokalis kumpulan remaja popular, New Boyz, Tomok atau Shah Indrawan Ismail mengesahkan kedudukannya ke acara kemuncak program realiti One In A Million (OIAM) pada 1 Mei nanti.

Pengesahan Tomok sebagai antara barisan finalis OIAM diumumkan pengacara, Awal Ashaari dan Marion Caunter pada konsert mingguan ke-9 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, di sini malam tadi.

Tomok, 24, yang pernah melahirkan lima album bersama New Boyz ialah antara peserta yang konsisten dan sentiasa memberikan kejutan dalam persembahannya sepanjang OIAM berlangsung.

Bagaimanapun, ia bukan jaminan kepada Tomok untuk meraih kejuaraan kerana dia disaingi hebat dua finalis lain, termasuk Elizabeth Applunius Chin atau Esther.

Kekuatan bakat peserta berusia 21 tahun dari Kota Kinabalu, Sabah itu diakui pengkritik profesional, Syafinaz Selamat dan Paul Moss yang memuji persembahannya setiap kali konsert mingguan.

Turut mara Nasharul Aweera Noryissham atau Aweera. Namun, debaran mereka belum berakhir kerana akan melalui satu lagi proses penyingkiran awal acara kemuncak OIAM nanti.

Hanya dua peserta yang meraih undian SMS tertinggi daripada penonton diberi peluang beraksi peringkat final. Konsert malam tadi juga menyaksikan persembahan terakhir Zulqarnain Jaafar atau Nine apabila peserta kesembilan tersingkir.

Berita Harian

Zon Abie: Selebriti Kita 'Tak Berkira'

25 Apr

Oleh Abie Abdullah

Rap
SIAPA kata artis kita ‘demand’? Tak baik tuduh artis kita bukan-bukan soal bayaran. Bukan saja tidak letak harga, malah bagi khidmat percuma lagi. Semua demi peminat walaupun yang membayar untuk ‘bersama’ mereka itu bukan seringgit dua.

Ini berlaku di Minggu Setiausaha anjuran Hotel Istana dan Lord’s Tailor, Rabu lalu. Pelik bin hairan juga, sebab biasanya, keraian yang diadakan sepanjang April ini adalah bulan untuk artis menambah isi dalam akaun bank masing-masing selain bertemu peminat.

Malah bayaran untuk persembahan makan tengah hari atau malam, bukan sedikit yang dibayar kepada penghibur negara. Tidak cukup artis Malaysia, Kris Dayanti saban tahun tidak terkecuali daripada acara ini. Bukan seribu dua ringgit bayaran artis.

Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Anita Sarawak dan Ning Baizura, bukan kecil anak pengalaman mereka dalam dunia nyanyian, jadi bukan kecil juga jumlah yang harus dibayar buat mereka. Ini bukan soal ‘demand’ tak bertempat tetapi ‘demand’ kerana hak mereka.

Lain pula yang berlaku depan mata saya. Bukan nak mempertikaikan keluhuran hati lebih 20 lelaki yang didatangkan khas untuk menyedapkan mata setiausaha apabila dikatakan mereka berkhidmat percuma selama hampir sehari suntuk di majlis itu.

Situasi itu membuatkan hati saya terdetik, baik sungguh mereka! Tidak hanya mereka, penyanyi yang diundang seperti Jaclyn Victor, Sarah Raisuddin, Azharina Azhar dan Shila ND Lala turut sama membuat ‘amal’.

Walaupun ada antara mereka yang terpaksa mengosongkan jadual daripada rutin kebiasaan di lokasi serta ada yang bergegas dari majlis lain atau ke majlis lain selepas itu, artis ini sangat komited. Mereka menyanyi percuma!

Semua artis wanita mengenakan gaun merah, sesuai dengan tema barangkali. Baju pula rekaan pereka muda, kecuali Jaclyn yang terpaksa membuka almari sendiri. Bagaimana dengan bayaran mekap? Opps, mungkin ada yang taja, baguslah!

Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Aqasha, Awal Ashaari, Fizow Omar, Iqram Dinzly, Ashraf Muslim, Adi Putra dan Nazril Idrus antara yang menjadi tatapan hadirin. Malah artis Indonesia turut dijemput seperti Irwansyah, Ariffin Putra, Samuel Rizal, Ello, Rio Febrian, Delon dan Didi Riyadi.

Puaslah peminat yang rata-ratanya wanita mengabadikan gambar mereka bersama bintang kacak ini. Sebelum majlis bermula, mereka berlegar sekitar muka pintu ‘ballroom’ untuk memberi layanan kepada peminat. Kemudian dipanggil ke dewan, tamat sesi perkenalan di pentas, mereka perlu keluar.

 

 

Keluar ke mana? Sebenarnya kembali ke ruang legar depan pintu masuk dewan tadi. Dah mati kutu, tidak tahu apa nak buat sebab hadirin semuanya sedang menikmati celoteh Adflin Shauki dan AC Mizal selalu pengacara majlis serta ayam goreng garing keras yang menjadi antara menu hidangan Padang untuk makan tengah hari itu.

Sebelum saya dan rakan-rakan masuk ke dewan itu, mula terdengar daripada teman yang membawa artis kerana mereka tidak disediakan kerusi atau meja, jauh sekali untuk sama-sama makan. Detik hati, mungkin penganjur sudah sediakan tempat khas.

Bagaimanapun, pertanyaan hati itu semakin bertambah apabila beberapa artis jantan pemanis majlis mundar-mandir dalam dewan, bagaikan pelayan yang tidak membawa dulang. Senyum tetap di bibir, jauh sekali untuk dibuang daripada tatapan peminat.

Dalam gelak dek lawak si pengacara, Afdlin sempat menyuruh orang menghantar makanan ke belakang pentas sebab masing-masing kelaparan. Biasalah Afdlin, bijak sungguh gurauannya!

Kasihan melihat artis pemanis majlis itu yang ‘dikoreografikan’ seperti kehilangan arah, saya bersama teman seperti bendul mengajak mereka turut sama menjamu selera yang kebetulan ada tempat kosong di meja kami. Ada yang menolak, tidak kurang juga yang tidak mempedulikan protokol kerana perut makin rancak berkeroncong.

Sememangnya telahan saya meleset mengenai meja, kerusi, makanan dan minuman. Semua itu tidak disediakan kerana tugas mereka hanya memaniskan muka sepanjang majlis berkenaan. Bayaran? Seperti yang saya katakan tadi, mereka pemurah beramal.

Setahu saya, sesetengah majlis amal pun, artis dibayar secara token kalau tidak sepenuhnya. Namun, dalam kes tadi, mereka sudah berpuas hati dengan sepasang persalinan yang diberikan Lord’s Tailor.

Cuma malangnya, ada juga yang terkebil-kebil tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan. Tidak tahu pun mereka perlu hadir untuk Minggu Setiausaha. Lawak sungguh artis kita, nampak sangat mudah dipergunakan mereka yang sememangnya kaki pengguna!

Bukan saja yang datang berseorangan, malah artis yang memasang pengurus juga ‘buta huruf’ pasal majlis ini sehingga mereka tersentak apabila melihat gambar dan nama mereka di dalam akhbar dan kain rentang di hotel berkenaan.

Syabas buat artis ini kerana sanggup beramal sehingga begitu rupa! Cuma kami di Harian Metro tidak sanggup berbuat begitu kerana memikirkan keringat dan periuk nasi masing-masing. Walaupun akhbar sering memberi publisiti untuk golongan ini, bayaran tetap bayaran!

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Dengarnya…: Sukar Cari Pelakon Lelaki Sejati

23 Apr

BUKAN sekali dua Cik Normah dengar fasal industri perfileman tempatan kekurangan pelakon lelaki pelapis yang mantap. Ramai juga produser dan pelakon veteran yang bercakap mengenai hal ini.

Cik Normah pun turut perasan, sukarnya hendak mencari pengganti kepada pelakon utama lelaki sedia ada. Sebab itu, tidak lama dulu, kebanyakan filem tempatan dikuasai sesetengah nama saja seperti Rosyam Nor dan Awie. Kini, muncul pula pelakon seperti Que Haidar, Farid Kamil dan Awal Ashaari.

Bilangan pelakon memanglah ramai, tetapi hendak cari yang benar-benar jantan, bak kata Rosyam, memang agak susah. Tetapi, Cik Normah dengar, dia sempat menamakan beberapa pelakon yang dianggapnya boleh terus maju sebagai pelakon lelaki sejati. Tiga pelakon terbabit ialah Aaron Aziz, Fahrin Ahmad dan Remy Ishak.

Khabarnya, tiga pelakon ini antara aktor yang benar-benar mempunyai kualiti hero Melayu. Pacak saja kamera di sudut mana sekali pun, kejantanan mereka terserlah. Jadi, tak payahlah kru hendak guna tipu helah itu dan ini untuk menampakkan kelelakian pelakon tadi.

Iyalah, badan masing-masing pun tegap, ditambah paras rupa yang kacak, tentulah kamera pun seronok merakam aksi pelakon ini. Mereka pun bukanlah pelakon ‘kayu’. Maknanya, masing-masing boleh beraksi dengan baik di depan kamera. Sebab itulah juga masing-masing menjadi nama yang disebut-sebut di kalangan produser.

Namun Cik Normah dengar, Rosyam masih belum berpuas hati dengan hanya beberapa nama yang ada. Sebab itulah dia terbitkan rancangan Pilih Kasih, yang bakal disiarkan TV2 tidak lama lagi.

Khabarnya, dia hendak cari lebih ramai pelakon yang mantap, disertai dengan pakej menarik. Katanya, kalau sekadar cantik dan kacak, tetapi tak boleh berlakon, hendak buat apa? Agaknya, lebih baik jadi model saja.

Berita Harian