Archive | Awie RSS feed for this section

Rosyam Terbitkan Pilih Kasih

7 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

ROSYAM bersama pengacara Pilih Kasih iaitu Reza Mohamed, Raja Azura serta hos Jurnal Harian, Pasha.

Program realiti TV cungkil bakat baru dalam bidang lakonan

PENGALAMAN lebih dua dekad, selain merangkul pelbagai pengiktirafan terbaik dan popular, profil seni aktor berwibawa, Rosyam Nor diperkasakan bersama misi baru menerusi program realiti, Pilih Kasih.

Idea menerbitkan program Pilih Kasih itu lahir ekoran kesedaran untuk memberi ruang dan peluang selain menjadi batu loncatan kepada pencinta dunia lakonan untuk mengasah dalam seni lakon.

Awalnya, aktor yang dijulang sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang ini merancang untuk menerbitkan filem romantik komedi, Kekasih.

Bagaimanapun, selepas membuat penelitian bersama pengarah, Bade Azmi terhadap pasaran serta sambutan penonton yang semakin suram, lahir idea untuk menerbitkan program realiti itu.

“Program ini untuk industri. Selama ini, peminat sering merungut setiap kali menekan punat televisyen atau ke pawagam, mereka akan menonton wajah yang sama. Malangnya kita tidak mempunyai ramai pelakon yang mempunyai keserasian seperti yang dimiliki gandingan Erra Fazira dan Awie. Begitu juga gandingan saya dan Rita Rudaini yang jelas disenangi penonton.


TENAGA kerja berpengalaman menjadi nadi yang memperkasakan Pilih Kasih.

“Seseorang pelakon perlu ada bakat untuk digilap menjadi hebat. Menerusi program Pilih Kasih, kami menyediakan peluang kepada mereka yang berbakat tetapi tidak mempunyai ruang mengetengahkannya supaya tampil dan mencuba kemampuan,” katanya.

Menerusi program realiti yang ditangani nama berpengalaman seperti Rohani Yousoff dan Erma Fatima sebagai tenaga pengajar, kesemua bakat terpilih akan dilatih untuk menjadi anak seni yang serba boleh dan memenuhi kriteria untuk diketengahkan ke layar perak.

Program realiti Pilih Kasih, kata Rosyam, turut mendedahkan kepada orang luar profesion sebagai pelakon adalah satu bidang pekerjaan yang baik dan memberi impak sekiranya dilakukan di atas landasan betul dan ikhlas.

“Program ini dibarisi tenaga penerbitan berpengalaman luas dalam segala aspek merangkumi filem, drama, dokumentari dan video untuk memenuhi spesifikasi dan piawaian rancangan realiti berkualiti,” katanya.

Pengisian program Pilih Kasih memperlihatkan peserta didedahkan mengenai realiti sebenar menjadi anak seni dengan menyempurnakan tugasan di bawah pengawasan pengarah berpengalaman seperti Along Kamaruddin dan Amy Maziah.

Peserta juga didedahkan dengan kelas lakonan drama muzikal yang dipimpin Erma Fatima sebagai tugasan kedua mingguan dan akan diadili setiap minggu ketika Malam Perdana.

“Kami turut mencari individu yang berkebolehan menyanyi dan menari selain mempertaruhkan bakat lakonan sebagai asas utama program ini,” katanya.

Pelakon dan pengacara berusia 42 tahun ini berkata, Pilih Kasih menyediakan kemudahan pusat seni lakon bagi melahirkan bakat terlatih dan berwibawa.

Meskipun tempoh latihannya singkat, Rosyam yakin program itu akan menjadi perintis ke arah mengangkat martabat seni lakon di negara ini.

“Saya mengalu-alukan mereka yang berminat, selain ahli kelab teater, seni lakon dan badan kesenian seluruh negara supaya bangun menyahut cabaran ini.

“Pelakon tambahan juga disyorkan menghadiri uji bakat untuk mengembangkan kemampuan yang selama ini terhad disebabkan kekangan watak,” katanya.

Cara penyingkiran berbeza

BIARPUN mengikut asas program realiti lain yang menyandarkan nasib peserta kepada undian penonton, cara penyingkiran peserta yang kurang bernasib baik dalam Pilih Kasih mengetengahkan corak yang berbeza.

Keputusan mutlak penyingkiran berada di tangan penerbitnya iaitu Rosyam sendiri kerana ia bertujuan mendidik penonton supaya tidak mensia-siakan bakat yang berpotensi untuk menyinar di persada lakonan.

“Kami tetap menghormati undian penonton, cuma dua peserta yang mendapat peratusan undian terendah akan berdepan dengan saya untuk dipertimbangkan sebelum penyingkiran seorang peserta yang lemah dibuat.

“Bagaimanapun, elemen kejutan sebagai gimik program tetap diterapkan kerana ia menjadi antara perencah yang memberi tarikan kepada Pilih Kasih,” katanya.

Suatu janji Rosyam, nasib finalis Pilih Kasih tidak akan terabai selepas tamat pengajian kelak kerana dia merangka pelbagai peluang untuk mereka.

Mereka bakal menjadi wajah baru untuk mengisi pelbagai slot penerbitan drama dan filem yang semakin berkembang.

“RTM sendiri bakal melancarkan 13 lagi saluran, sekali gus memperlihatkan keperluan penerbitan lebih banyak drama serta program televisyen. Industri tidak selamanya harus bersandar kepada wajah sedia ada, jadi kehadiran bakat baru ini mengisi ruang itu. Saya percaya peluang untuk mereka bertapak adalah cerah berdasarkan kepada potensi besar dalam industri lakonan,” katanya.

Mengekalkan format seperti program realiti lain, Pilih Kasih akan memaparkan aktiviti harian pelajar menerusi Jurnal Harian yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat selama setengah jam.

Tayangan Perdana pula memaparkan pertarungan peserta untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam pertandingan itu setiap hujung minggu.

Menerusi slot selama 90 minit itu, penonton disajikan dengan tiga segmen iaitu Filem Pendek yang memaparkan hasil lakonan setiap peserta menerusi tayangan drama bersiri selama 10 minit

Peserta juga diberi skrip untuk menjayakan segmen teater dan mempersembahkannya secara langsung, selain menunjukkan bakat menerusi lakonan monolog sekali gus menilai tahap kemahiran lakonan mereka.

Persembahan peserta akan menerima kritikan daripada Rosyam dan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah.

Program Pilih Kasih yang memulakan siarannya pada 25 Mei ini menyatukan Raja Azura dan Reza Mohamed sebagai pengacara, manakala Jurnal Harian pula dikendalikan bakat baru, Pasha Abdul Rahim.

INFO: Uji bakat

DIADAKAN di lima zon berbeza selama lima minggu dan terbuka kepada bakat berusia 18 hingga 35 tahun. Sesi uji bakat bermula dari jam 10 pagi hingga 8 malam. AEON Bukit Indah, Johor Bahru – 11 April Kompleks Terminal One, Seremban – 12 April KB Mall, Kota Bharu – 18 April Berjaya Megamall, Kuantan – 19 April One Borneo, Kota Kinabalu – 26 dan 26 April Queensbay Mall, Pulau Pinang – 2 Mei Plaza Alam Sentral, Shah Alam – 3 Mei The Spring, Kuching – 9 dan 10 Mei

Berita Harian

Rizu Mahu Hasilkan Album

6 Apr

>>Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
SELAMA enam minggu seorang peserta program realiti, One In A Million musim ketiga mendapat imuniti yang memberi kelebihan terselamat dari penyingkiran. Namun, pada saingan minggu ketujuh yang lalu, juri profesional, Syafinaz Selamat memaklumkan tiada lagi imuniti diberikan.

Ini bermakna, enam peserta yang masih bertahan berdepan dengan risiko sama rata untuk disingkir pada konsert minggu seterusnya. Bagaimanapun, peserta Muhammad Ridzuan Sharifuddin atau Rizu diumumkan sebagai peserta tersingkir pada minggu lalu. Kata Rizu, dia terbuka untuk menerima keputusan itu biarpun segelintir peminat mahu melihat dia mara ke akhir.

“Saya sudah katakan pada diri, saya akur dengan keputusan jika tersingkir. Namun, apa yang saya harapkan agar rakan saya yang lain terus berjuang. Perancangan selepas ini, saya mahu hasilkan album sendiri yang tertangguh sejak enam tahun lalu.

“Bagi saya, komen juri membuatkan saya mencari diri sendiri dan saya temuinya di sini,” katanya.

Untuk persembahan enam peserta yang masih tinggal, hanya tiga peserta mendapat komen positif juri berdasarkan persembahan yang ditunjukan. Peserta yang pernah mendapat dua kali imuniti iaitu Tomok berjaya menghiburkan penonton dengan lagu popular Rihanna, Umbrella. Dua juri sependapat persembahan Tomok mempunyai elemen kejutan hingga Paul membayangkan peserta ini sudah menempah tempat ke akhir.

Kata Syafinaz, persembahan Tomok makin mengujakan pada setiap minggu dan berjaya mengawal vokal dengan baik. Sungguhpun persembahan Tomok menarik perhatian juri tetapi Syafinaz berpandangan semua peserta masih mempunyai peluang untuk ke akhir dan menjadi juara.

Bagi peserta Amylea yang menyampaikan lagu Somewhere Only We Know (Keane), persembahannya kali ini mempunyai peningkatan. Kata Syafinaz, Amylea menunjukkan kebolehan menyusun lagu mengikut cara sendiri. Malah, Syafinaz pula memilih penyanyi ini agar layak ke akhir nanti. Paul turut menyukai persembahan Amylea dari aspek nyanyian mahupun penampilan.

Turut mendapat pujian juri adalah peserta Esther yang mendendangkan lagu Sweet About Me nyanyian asal Gabriela Cilmi. Paul berkata persembahan Esther kali ini menghiburkan dengan kekuatan vokal dan berpontensi untuk ke akhir. Syafinaz pula menganggap Esther sebagai satu fenomena yang membuatkan penonton mengakui kehebatan yang dimiliki peserta dari Kota Kinabalu, Sabah ini.

Untuk persembahan Nine dengan lagu Cinta Gila (Grey Sky Morning), mendapat kritikan pedas daripada Paul yang tidak menyukai cara persembahan peserta ini termasuk mempersoalkan cara peserta ini menggunakan gitar dengan betul. Namun, Syafinaz memberi kata semangat dan menganggap persembahan ini adalah paling baik yang pernah diberikan Nine.

Nasib juga tidak menyebelahi peserta Aweera dan Simon apabila persembahan mereka dikatakan menyamai penyanyi asal. Aweera memilih lagu popular Awie, Di Penjara Janji manakala Simon mempersembahkan lagu Livin’ On A Prayer (Bon Jovi). Kata Syafinaz, Aweera masih mempunyai kelebihan pada suara tetapi perlu memberi kelainan pada persembahan.

 

 

Bagaimanapun, Aweera yang sebelum ini menunjukkan sikap tidak hadir ke kelas latihan menyatakan dia mengalami masalah ketahanan diri. Mengenai persembahan kali ini, dia mahu melodi asal lagu itu dikekalkan walaupun juri berulang kali menyatakan pada setiap minggu, persembahan perlu berbeza dari penyanyi asal.

Bagi Simon pula, dia memilih lagu berkenaan kerana minat dan menjadikan Bon Jovi sebagai idola. Biarpun, komen juri yang melihat persembahannya kurang menjadi tetapi dia percaya ada perbezaan dari aspek persembahan.

“Saya gembira dengan persembahan malam ini walaupun komen juri sebaliknya. Setiap masa, saya belajar untuk memberi persembahan lebih baik dan kehadiran pengajar dan juri banyak membantu,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Perihal Nama Anak Erra Fazira

3 Apr

[
Tonton video ]

KL, 3 APRIL 2009:  Wah… tentu Erra Fazira dan suaminya, Engku Emran sekarang tidak lena tidur melayan keletah buah hati pengarang jantung mereka, Engku Aleesya.

Miss Propa tumpang seronok apabila dapat tahu Erra selamat melahirkan Aleesya, baru-baru ini. Lebih seronok lagi apabila bayi itu dilahirkan dalam keadaan sihat dan wajahnya mirip ibunya yang juga seorang primadona filem Melayu.

Agak-agaknya bilalah Erra akan sedia buat sesi fotografi bersama Aleesya untuk tatapan pengunjung setia portal murai.com.my?  Yang Murai Batu tahu, baby Erra & Emran itu memang comel sangat. Hai, tengoklah siapa ayah dan ibunya – pasangan kacak dan cantik gitu?

Menariknya, ada pula peminat yang perasan nama anak Erra hampir-hampir sama dengan nama anak Awie & Arni Nazira. 
Nama anak Awie & Arni ialah Puteri Aleeya sementara Erra & Emran pula Engku Aleesya. Yang tak ada cuma huruf ‘s’ saja. Bagi Miss Propa, ini mungkin satu kebetulan.

[Klik di sini untuk menonton video Miss Propa]

Murai

Arni Pilih Bekas Rakan Sekolah Sebagai Suami

1 Apr


Arni Nazira

KUALA TERENGGANU: Bekas pelakon dan penyanyi berstatus ibu tunggal, Arni Nazira Anuar, 31, akan melangsungkan perkahwinan keduanya dengan seorang ahli perniagaan di negeri ini, Jumaat depan.

Arni Nazira yang juga bekas isteri penyanyi kumpulan Wings, Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie, memilih bekas rakan sekolahnya, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar, 32, sebagai teman hidup.

Majlis akad nikah pasangan itu akan diadakan di Masjid Negeri, manakala majlis perkahwinan pihak lelaki akan diadakan di kediaman Wan Mohd Hazrie di Jalan Kamaruddin, di sini, pada Sabtu, sehari selepas akad nikah.

Majlis persandingan Arni akan diadakan di Anjung Pantai, Kampung Seberang Takir pada Ahad.

Arni berkata, bekas suaminya Awie serta isteri, Rozana Misbun turut diundang untuk menghadiri majlis perkahwinannya, tetapi tidak pasti sama ada pasangan berkenaan akan datang atau tidak.

“Walaupun sudah berpisah, hubungan Arni dengan Awie tetap baik apatah lagi dua anak hasil perkahwinan kami iaitu Puteri Aleeya Antasha 9, dan Puteri Aleefa Antasha, 7, kini di bawah jagaan Awie.

“Kami sering berhubung antara satu sama lain dan Awie juga sering bertanya khabar mengenai Arni, malah dia juga mendoakan kebahagiaan rumah tangga yang akan dibina,” katanya.

Arni yang dilahirkan di Kuantan, Pahang pada 12 Julai 1978 dan pernah popular dengan lagu Cinta Antara Benua bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai status bakal suaminya.

“Apa yang Arni dapat katakan, bakal suami adalah bekas rakan sekolah dan sentiasa memberi dorongan semangat ketika tercetusnya kontroversi mengenai perbicaraan kes penjagaan anak.

“Perkahwinan Arni juga direstui Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha,” katanya.

Berita Harian

Mentor Pilih Sendiri Anak Didik

16 Mar

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

Rap

JIKA dua musim sebelum ini, artis yang memikul tanggungjawab sebagai tenaga pengajar program realiti Mentor di TV3 perlu mendidik peserta selepas dipilih juri, kini kelainan ditampilkan apabila ‘sifu’ pula turun padang memilih sendiri anak murid paling layak mendapat tunjuk ajar mereka.

Barisan mentor yang menggalas tanggungjawab sebagai tenaga pengajar untuk musim ketiga ini terdiri daripada Jaclyn Victor, Mas Idayu, Lah Ahmad, Adibah Noor, Ajai dan Awie yang diberi kuasa seratus peratus untuk menentukan sendiri anak didik berdasarkan kelayakan dan kualiti ditetapkan mereka tanpa sebarang pengaruh pihak luar.

Uji bakat yang akan diadakan di Theatrette, Sri Pentas dari jam 10 pagi hingga 5 petang pada 14 Mac hingga 4 April dijadikan sebagai pengukur sejauh mana komitmen serta kesungguhan peserta untuk belajar.

Penerbit Mentor 3, Muhamad Suffian Isa, berkata program Mentor musim terbaru ini menampilkan pelbagai kelainan dengan yang paling ketara uji bakat peserta akan dinilai oleh mentor mengikut ciri ditetapkan mereka.

“Perubahan ini dibuat berdasarkan pengalaman musim pertama dan kedua apabila ketika kita mencari peserta, mentor tidak bersama menyebabkan mereka yang terpilih ada yang tidak menepati ciri-ciri dikehendaki tenaga pengajar.

“Hendak membawa semua mentor ini ke lokasi berbeza uji bakat pula sesuatu yang mustahil kerana mereka terikat dengan kesibukan kerjaya masing-masing menyebabkan kita menetapkan Sri Pentas sebagai tempat uji bakat diadakan sekali gus menguji komitmen peserta,” katanya dalam sidang media untuk memperkenalkan enam mentor baru bagi musim ketiga di Sri Pentas, kelmarin.

Beliau berkata, walaupun setiap mentor mempunyai latar belakang muzik berlainan namun pemilihan peserta tidak semestinya mengikut aliran muzik itu kerana program itu bukan untuk melahirkan klon setiap mentor sebalik seorang penyanyi yang mempunyai kerektor tersendiri di bawah asuhan tenaga pengajar.

“Kita juga memberi kelonggaran dengan mentor boleh memilih protege sama ada solo atau berkumpulan.

“Dari sudut penilaian pula, 50 peratus adalah daripada juri profesional, 30 peratus menerusi undian sistem khidmat ringkas (SMS) dan baki 20 peratus daripada juri awam di studio.

“Mereka yang terpilih untuk menjadi juri awam adalah daripada golongan semi profesional dan ia mungkin terdiri daripada kumpulan pelajar muzik atau wartawan,” katanya.

 

 

Menurutnya, apa yang diharapkan menerusi Mentor 3 adalah TV3 mampu melahirkan protege yang mampu memberi impak kepada industri muzik di bawah asuhan dan didikan mentor masing-masing.

“Jadi kita harap peserta perlu cukup bersedia, berkebolehan dan memberi komitmen seratus peratus walaupun di peringkat uji bakat, malah kami juga boleh menerima peserta yang sebelum ini pernah menyertai program realiti lain jika dia memenuhi senarai kelayakan ditetapkan mentor,” katanya.

Protege yang layak menyertai Mentor 3 perlu memenuhi beberapa syarat seperti berusia antara 17 dan 25 tahun, memiliki bakat, vokal mantap dan pakej, mampu menambat hati mentor pilihan mereka, tidak terikat dengan sebarang kontrak dan memberi sepenuh perhatian terhadap program Mentor.

Peserta yang menghadiri uji bakat perlu membawa kad pengenalan, gambar berukuran pasport dan 4R serta minus one lagu yang bakal dipersembahkan kepada mentor.

Uji bakat yang dikendalikan Jaclyn Victor akan diadakan pada 14 Mac, diikuti Mas Idayu (15 Mac), Lah Ahmad (21 Mac), Adibah Noor (22 Mac), Ajai (28 Mac) dan Awie (4 April).

Sementara itu, beberapa mentor yang ditemui menyatakan harapan masing-masing untuk melahirkan protege yang terbaik untuk industri musik tanah air.

Jaclyn berkata, antara kelayakan ditetapkannya adalah seseorang yang sentiasa mahu belajar, berpenampilan dan mempunyai vokal baik.

“Saya sendiri masih baru dalam bidang ini, tetapi saya akan berusaha memberi tunjuk ajar terbaik kepada protege yang saya akan pilih nanti,” katanya.

Adibah Noor pula menetapkan beberapa syarat tambahan antaranya sekurang-kurangnya tamat belajar sekolah menengah, fasih berbahasa Melayu dan Inggeris serta serba boleh dalam semua genre lagu.

“Saya mahu seseorang yang betul-betul berbakat dan tidak berangan atau berpura-pura. Saya mahu mencari seorang protege yang boleh dibentuk dan dicorak serta berketrampilan,” katanya.

Menurutnya, dia menerima tanggungjawab sebagai tenaga pengajar untuk program Mentor kerana ia adalah platform terbaik baginya untuk mencari seorang anak didik.

Awie pula menetapkan untuk memilih protege di kalangan wanita saja dengan matlamat untuk melahirkan pelapis ratu rock, Ella.

“Tetapi saya bukan mencari seorang yang hanya boleh menyanyi Rock, malah dia juga boleh menyanyikan lagu asli. Apa yang penting saya dapat membentuk keyakinan dalam dirinya.

“Selepas Ella, kita tengok memang tiada penyanyi wanita yang mampu mencapai tahapnya, jadi saya berharap dapat mencari seseorang mampu mencari pelapis ratu rock,” katanya.

Program Mentor 3 akan ditayangkan bermula 19 April ini setiap Ahad jam 9 hingga 10.30 malam manakala konsert mingguan Mentor bermula 3 Mei ini, Jurnal Protege pula disiarkan setiap Ahad jam 5.30 hingga 6 petang yang menyorot aktiviti protege bersama mentor serta Jurnal Mentor pula setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.28 malam.

Harian Metro

Belasungkawa Mohd Arzmy Mohmad (1954 – 2009): Tak Sempat Anjur Bulan Solat

6 Mar

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

Rap
MUNGKIN tidak ramai mengenali Mohd Arzmy Mohmad, 55, kerana beliau bukan artis tetapi di kalangan karyawan seni, lelaki bertubuh besar dan mesra senyuman itu sememangnya cukup dikenali.

Mana tidaknya, Mohd Arzmy bertugas sebagai orang penting dalam melahirkan penyanyi di syarikat rakaman terkenal, EMI (M) Sdn Bhd yang melahirkan nama-nama besar dunia hiburan. Antaranya Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Datuk Sharifah Aini, Hail Amir, Uji Rashid, KRU, Ella, Fauziah Latiff, Awie, Amok, Cromok, Butterfingers dan Rabbani.

Kreativitinya dianggap unik sehingga menjadi identiti seseorang artis itu seperti Amok dengan imej bertopeng malah kumpulan itu berjaya dijadikan ikon Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) manakala Amy Search pula ikon bulan dakwah.

Beliau juga disifatkan seorang tegas tetapi mesra, mampu melihat potensi seseorang artis, kreatif, serius dengan tugas dan berani memperkenalkan idea baru. Di kalangan karyawan dan rakan media, beliau dikenali sebagai seorang yang mesra dan mudah didekati.

Bagaimanapun, bekas Ketua Operasi Bahagian Domestik EMI itu meninggal dunia jam 11 malam kelmarin, akibat serangan sakit jantung. Beliau pengsan ketika mengadakan mesyuarat di Hotel Flamingo, Ampang dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang berkejar ke tempat selepas dihubungi.

Sehingga akhir hayatnya, Allahyarham yang bergerak sebagai freelancer penganjuran majlis, masih memperjuangkan industri hiburan tempatan kerana mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan projek mengenai perkembangan beberapa artis. Pastinya pemergian arwah satu kehilangan besar kepada industri muzik yang ketika ini masih tenat.

Bagi Pengarah Urusan RPSB merangkap vokalis Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, jasa Allahyarham cukup besar kepada Rabbani sepanjang 11 tahun bergiat dalam dunia hiburan.

“Arwah yang berusaha membawa Rabbani ke EMI dan menaikkan nama kumpulan ini menerusi pelbagai idea yang dicurahkan sehingga kami dikenali dengan idea terbaru arwah, duet bersama Amy Search.

“Memang tidak terhitung jasanya kepada kami. Malah arwah boleh dianggap seorang bapa kepada kami kerana sentiasa menjaga kebajikan kami malah pencetus kepada kemunculan Rabbani,” katanya.

Katanya, perkara paling tidak dapat dilupakan ialah cadangan Allahyarham untuk menganjurkan Bulan Sembahyang sebagai satu usaha dakwah.

“Tiga hari lalu semasa pelancaran Bulan Dakwah di Kota Bharu, Kelantan, arwah merancang membuat koloborasi antara Amy Search dengan Rabbani untuk menganjurkan Bulan Sembahyang.

“Kami merancang mengemukakan kertas cadangan itu kepada kerajaan dalam masa terdekat tetapi Allah lebih menyayangi arwah,” katanya.

Anggota kumpulan Cromok, Tarmizi Mokhtar atau Miji berkata, Allahyarham disifatkan seorang yang berani kerana mahu mengambil kumpulan ‘heavy metal’ seperti mereka sebagai artis EMI.

“Arwah mendekati kami sebaik pulang dari Australia sekitar 1992 lalu dan pada pertengahan 1993, kami melancarkan album sulung di Malaysia iaitu Forever In Time.

“Beliau ketika itu memang terkenal sebagai seorang yang berpengalaman kerana pernah bekerja dengan beberapa artis terkenal. Namun keberanian serta keyakinannya terhadap kumpulan Cromok yang membawa muzik metal sehingga terkenal menyebabkan saya amat menghormatinya,” katanya.

Tambah Miji, komitmen Allahyarham dalam memperjuangkan industri muzik sukar dicari ganti.

Katanya, arwah memang tegas kerana mahukan yang terbaik dan tahu apa yang dikehendaki daripada artisnya.

Miji turut hadir di Rumah Mayat, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) semalam. Jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Melayu Ampang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang, petang semalam.

Dilahirkan pada 25 Februari 1954 di Pulau Pinang, arwah meninggalkan isteri, Asma’ Mohammad, 43, dan dua anak, Alia Amalina, 19 dan Al-Aiman, 17.

Harian Metro

Peluang Hairie Masih Ada

18 Feb

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
TINDAKAN pelakon Hairie Othman menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita adalah perbuatan tidak bertanggung-jawab sekaligus menyusahkan seluruh tenaga produksi filem Dimensi Cinta yang juga filem pertama terbitan Harian Inovatif Sdn Bhd (HISB).

Dalam pertemuan yang diatur dengannya di Sri Pentas baru-baru ini, Pengarah Eksekutif HISB, Mohd Fairuz Mohd Yusof berkata, pihaknya masih memberi ruang kepada Hairie untuk tampil ke depan memberi penjelasan bagi menyelesaikan perkara itu secara baik.

“Sebenarnya, Hairie sudah menandatangani kontrak untuk berlakon watak utama dalam filem Dimensi Cinta pada 21 Disember tahun lalu. Malah, dia sudahpun mengambil bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus daripada filem berkenaan.

“Kami juga masih memberi peluang kepada Hairie untuk berbincang perkara ini kerana tidak ingin mencemarkan namanya dalam industri perfileman tanah air.

“Bagaimanapun, jika Hairie terus berdiam diri, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Setakat ini, pihak kami sudah membawa perkara itu ke bahagian undang-undang syarikat,” katanya.

Tambah Mohd Fairuz, wang pendahuluan yang diambil itu tidaklah sebesar mana tapi apa yang mereka kesalkan ialah tindakannya menghilangkan diri tidak profesional dan boleh menjejaskan imej syarikat yang baru kali pertama menerbitkan filem.

Hadir sama dalam pertemuan itu, Pegawai Publisis filem Dimensi Cinta, Shila Lama Abdullah. Manakala produser filem ini, Raja Lela tidak dapat hadir pada pertemuan petang itu.

Mengenai pemilihan Hairie, kata Mohd Fairuz, pihaknya menilainya untuk watak utama filem sulung mereka itu berdasarkan bakat besarnya sebagai pelakon.

“Kami melihat lakonannya dalam filem Leftenan Adnan sebelum ini dan kami yakin dia paling layak untuk memegang karekter utama sebagai Imran dalam Dimensi Cinta.

“Ia juga peluang keemasan Hairie untuk menaikkan kembali namanya selepas filem Leftenan Adnan. Malah, ketika kami memberikan skrip filem ini pada peringkat awal, dia juga berminat untuk menjayakan watak Imran dalam filem ini,” katanya.

Mohd Fairuz mengakui pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Hairie sebelum ini. Malah Hairie hadir ketika pra pelancaran filem ini bersama pelakon lain tahun lalu. Namun, selepas majlis pelancaran berkenaan, dia terus menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.

“Pihak kami berusaha menghubungi Hairie menerusi telefon bimbitnya tapi gagal sampai sekarang. Hairie bukan saja tidak menjawab telefon bimbitnya, tapi bahagian uji bakat produksi juga gagal mengesan di lokasi penggambaran drama lakonannya.

“Penggambaran drama ini dijadualkan bermula pada 23 Februari ini dan kami sudah menemui pengganti Hairie untuk membawa watak utama sebagai Imran.

“Pelakon jelita Rozita Che Wan yang disenaraikan pada peringkat awal tidak jadi berlakon dalam filem ini atas sebab tertentu,” katanya.

Majlis pelancaran filem ini akan diadakan jam 4 petang ini di Bukit Kiara Resort. Barisan pelakon filem ini ialah Fahrin Ahmad, Catriona Ross, Eman Manan, Memey, Awie, Scha, Adam AF, Linda Hashim dan Zarina AF.

Filem arahan Eddie Pak ini akan memulakan penggambaran pada 23 Februari ini membabitkan lokasi di Lembah Klang seperti Putrajaya, Kuala Lumpur dan Terengganu. Ia dijangka memakan masa selama 45 hari.

Dimensi Cinta membabitkan kos RM1.8 juta, dibuat secara usaha sama antara produksi HISB dengan syarikat Sunday To Sunday Services Sdn Bhd (STSS). Selain sebagai pengarah Dimensi Cinta, Eddie juga Pengarah Urusan STSS.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman atau Mou antara dua produksi berkenaan dilakukan November lalu.

Dimensi Cinta mengisahkan kegigihan wanita bernama Raja Soffhilea yang melalui pelbagai pahit getir hidup selepas bercerai termasuk didera secara mental dan fizikal. Namun, akhirnya dia muncul sebagai usahawan berjaya.

Harian Metro