Archive | Azmeer RSS feed for this section

Usia Bukan Penghalang

29 Jan

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Badri

Bintang My Starz LG, Badri mahu ikut jejak langkah Faizal Tahir dan Anuar Zain

NAMANYA mula dikenali tatkala menyertai program pertandingan nyanyian kelolaan TV3, My Star LG, pada 2007. Walaupun tidak memenangi pertandingan itu, tetapi Badri Ibrahim tetap mengatur langkah dalam dunia seni, setapak demi setapak, untuk bergelar penyanyi berjaya.

Bermula agak lambat iaitu pada usia 28 tahun, namun Badri tidak menjadikannya sebagai halangan untuk muncul artis cemerlang. Bagi lelaki yang sudah pun bergelar suami ini, usia dan status seseorang artis kini bukan lagi menjadi kayu pengukur kepada kejayaan seseorang penyanyi.

“Ramai juga penggiat seni kita hari ini yang bermula agak lewat. Faizal Tahir umpamanya menyertai One In A Million ketika usianya 27 tahun. Kerjayanya memuncak dua tahun kemudian. Begitu juga dengan Anuar Zain apabila dia melakukan kemunculan semula. Lihat di mana mereka sekarang? Pada usia 30-an, mereka muncul penyanyi lelaki yang dihormati ramai,” katanya ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini.

Hakikat itu menguatkan lagi azam dan semangat penyanyi ini untuk turut mengorak langkah maju sebagaimana dua penyanyi popular tadi. Katanya, asalkan seseorang penyanyi mampu tampil bersama produk yang hebat, pasti peminat tetap memberikan perhatian. Cara seseorang artis memasarkan diri, serta kreativiti tinggi yang dimiliki, pasti bisa membantu penyanyi terbabit melonjakkan nama dalam bidang seni.

Justeru, Badri tidak tergesa-gesa semata-mata memastikan dirinya muncul dengan album. Katanya, biarlah lambat, asalkan dia berupaya mendapatkan lagu terbaik untuk dirakam.

“Begitupun, tidak bermakna saya akan mengambil masa sehingga lima atau enam tahun untuk membikin sepenuhnya album sulung. Ketika ini pun, sebanyak empat lagu sudah pun dirakam. Single pertama saya, Selamanya, juga sudah diperdengarkan di radio. Sayang sekali ia tidak begitu mendapat perhatian apabila terpaksa bersaing hebat dengan Sampai Syurga dendangan Faizal,” katanya.

Apatah lagi apabila lagu itu sendiri dicipta oleh Audi dan Faizal, dua insan yang turut menghasilkan Sampai Syurga. Lalu, bunyinya juga seakan-akan lagu popular Faizal yang berjaya melangkah ke final Anugerah Juara Lagu Ke-23, baru-baru ini.

Tidak mahu beralah, Badri kini memasang impian melihat single kedua, Bagaikan Roda, yang turut dicipta Audi Mok manakala lirik oleh Rafidah 3R untuk menjulang namanya. Lagu berkenaan turut terpilih sebagai lagu tema rancangan Jom Ronda siaran TV3.

“Harap-harapnya, dengan tersiar single kedua, peminat akan terus mengingati saya sebelum saya muncul dengan album penuh. Jika lama-lama tidak mempunyai sebarang lagu baru, orang ramai juga akan mula lupa pada seseorang penyanyi. Lebih-lebih lagi penyanyi yang baru hendak bertapak, seperti saya,” katanya.

Menurut jejaka peramah ini, selain Audi, dia juga bakal merakamkan lagu ciptaan Azmeer dalam masa terdekat. Katanya, setelah mencuba lagu gubahan Audi yang banyak dipengaruhi muzik moden, ilham cipta Azmeer pula bakal menguji keupayaannya dalam menyanyikan rentak lebih kemelayuan.

Pada saat dia berusaha memahat nama sebagai seorang penyanyi, Badri sebenarnya tidak pernah mengabaikan kerjanya di jabatan korporat sebuah syarikat gergasi negara ini. Jelasnya, dia amat beruntung apabila majikan cukup memahami minat mendalamnya terhadap dunia muzik.

“Pesan ketua saya, asalkan tidak menjejaskan kerja, dia tidak kisah seandainya saya juga ingin mengejar kejayaan dalam seni. Saya faham, siapalah yang hendak mendengar rungutan kakitangan lain, sekiranya prestasi saya merosot apabila asyik memberikan perhatian kepada nyanyian?

“Saya sendiri tidak terfikir untuk berhenti kerja pada ketika ini. Apatah lagi, sudah begitu lama saya bekerja dengannya. Dia seorang ketua yang paling memahami,”ῠujar Badri yang mengakui kepenatan apabila terpaksa mengimbangi waktu antara kerja harian dan karier muzik.

Namun dia tidak kisah walaupun sering kali tercungap-cungap apabila terpaksa berkejar ke sana ke mari, melakukan dua perkara pada masa yang sama kerana menyedari nyanyian juga bidang yang cukup dicintai. “Ia penat yang menyeronokkan,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas pencalonan awalnya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Badri melahirkan kegembiraan apabila akhbar popular ini turut mengiktiraf produk dan kehadirannya dalam persada seni.

Penyanyi ini berasakan, anugerah sedemikian meninggalkan impak cukup besar kepada seseorang artis. Paling tidak, katanya, peminat akan lebih mengenali seseorang artis baru apabila penyanyi atau pelakon terbabit disenaraikan hingga ke peringkat akhir.

“Saya amat berharap, tahun ini saya akan dapat bersama-sama artis lain memeriahkan acara kemuncak di Genting Highlands, April nanti. Ia bakal menjadi pengalaman pertama saya di ABPBH,” kata Badri yang kini banyak menjayakan persembahan majlis korporat.

INFO: PENYANYI ini turut merakamkan sebuah lagu duet bersama Nur Fatima. Lagu berkenaan diharapkan dapat diketengahkan pada musim Aidilfitri nanti berikutan liriknya yang menyentuh soal kepulangan ke desa.

BADRI meletakkan bentuk muziknya di tengah-tengah antara gaya muzik Faizal Tahir dan Anuar Zain.

DIA berazam untuk mempopularkan single demi single nyanyiannya sepanjang 2009.

MY Star LG ialah satu-satunya program pertandingan realiti disertai Badri. Dia menyertai rancangan itu kerana menyedari kehadiran sekumpulan pemuzik terkemuka yang mengiringi pesertanya.

BADRI berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu mengembangkan industri muzik tanah air yang semakin suram ketika ini. Katanya, syarikat korporat kelihatan lebih berminat menaja artis luar negara berbanding penyanyi tempatan.

MENGELUARKAN sendiri belanja menerbitkan album, Badri berkata, hanya artis yang benar-benar inginkan kejayaan dalam seni sanggup bersusah-payah berbuat demikian apabila tidak banyak syarikat rakaman yang kini sanggup menyediakan peruntukan bagi penerbitan album penyanyi naungan mereka.

Berita Harian

Saingan Sebenar Antara MUH, Faizal Tahir: Juri

20 Jan

Rap
KEMENANGAN Meet Uncle Hussain (MUH) untuk Lagu Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) kelmarin mencipta sejarah buat majlis anugerah itu.

KEMENANGAN Meet Uncle Hussain (MUH) untuk Lagu Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) kelmarin mencipta sejarah buat majlis anugerah itu.

Mereka adalah juara berkumpulan kelima yang menang selepas Estranged pada tahun lalu, Spider (2004), Mega (1991) dan Search (1989).

Pada AJL23 kali ini, saingan sengit untuk Lagu Terbaik lebih dirasai antara MUH dengan Faizal Tahir.

Seramai lapan juri profesional yang menilai persembahan kali ini ialah komposer Helen Yap, Hashridz Hashim (Acis), Mohariz Yaakup, penyanyi Adibah Noor, Hazami, Felow Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Wan Zawawi Ibrahim, Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Saharudin Musthafa dan Ketua Juri, Azhar Abu Bakar (Azmeer).

Kata Azmeer, juri sukar membuat pilihan antara MUH dan Faizal untuk keputusan Lagu Terbaik pada AJL23. Walaupun MUH berjaya menang Lagu Terbaik dan kategori pop rock, tetapi kategori Vokal Terbaik yang dimenangi Faizal turut di saing hebat vokalis MUH, Nor Azlan Roslee atau Lan.

“Juri sepakat memilih MUH sebagai juara Lagu Terbaik kerana persembahan mereka bagus. Mereka memperjuangkan muzik yang dinilai baru dan segar di samping mempunyai vokal terbaik serta penampilan di pentas yang mantap.

“Walaupun lagu Sampai Syurga nyanyian Faizal menang tiga anugerah, tetapi markah untuk Lagu Terbaik berdasarkan susunan melodi, lirik, vokal dan persembahan terbaik. Berbanding Faizal, MUH lebih menyerlah dan layak untuk diumumkan sebagai pemenang.

“Bagi pihak juri, kami sukar membuat keputusan juara keseluruhan kerana 70 peratus persembahan penyanyi pada AJL23 ini memang bagus. Bagaimanapun, untuk kategori Vokal Terbaik, saingan sengit berlaku antara Faizal dengan Lan.

“Kedua-duanya mempunyai vokal mantap. Juri berpendapat tidak ramai penyanyi yang mempunyai kebolehan menyanyi seperti Faizal dan Lan.

“Beza markah antara mereka sebenarnya tidak berapa jauh. Namun, Faizal mempunyai kelebihan kerana apa yang kita lihat, persembahannya mampu membuat bulu roma penonton meremang dan penampilannya di pentas juga menghiburkan.

“Pada kami, jika lagu itu berjaya memukau penonton, penyanyi itu layak diumumkan sebagai pemenang Vokal Terbaik,” katanya.

Mengulas persembahan Farawahida yang dipilih memenangi kategori etnik kreatif, ia disifatkan unik kerana menyelitkan instrumen muzik erhu yang dimainkan dengan baik.

Malah, Farawahida turut membuat persembahan dengan yakin di samping penari kebudayaan Cina.

“Persembahan Farawahida bersama instrumen muzik erhu menarik perhatian juri. Kami melihat aspek lain dalam etnik kreatif seperti fusion moden yang dapat menarik perhatian penonton dianggap satu kelebihan.

“Untuk memilih pemenang, kami melihat faktor instrumen yang dimainkan secara langsung mampu memberi kelainan,” katanya.

Harian Metro

Sayap Lebar MUH

20 Jan

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT & FERIDE HIKMET ATAK
hiburan@kosmo.com.my


BUKAN menggantang asap, mengukir langit sebaliknya gema dan laungan arus muzik indie semakin berisi dan menampakkan jeriji yang tajam.

Cengkaman mereka semakin menusuk, merasuk dan bukan lagi sekadar ikutan penganut fanatik mereka semata-mata bahkan suara mereka semakin menjelajah ke minda para sifu dan cendekiawan muzik arus perdana.

Malam kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke-23 Ahad lalu, sebenarnya bukan lagi kebangkitan tetapi satu resolusi kepada revolusi yang telah dicetuskan kumpulan band indie pertama berjaya menerobos persada AJL tahun lalu, Estranged yang berjaya merangkul trofi Juara Lagu menerusi Itu Kamu.

Bayangan kemenangan Meet Uncle Hussein (MUH) dengan Lagu Untukmu di Stadium Putra, Bukit Jalil itu memang sudah diramalkan.

Seorang komposer terkenal, Johan Nawawi ketika menjurikan peringkat separuh akhir Muzik-Muzik Oktober lalu juga pernah memikirkan perkara yang sama, cuma keputusan panel juri yang diketuai oleh komposer ternama Azmeer menjadi keputusan muktamad yang tidak perlu lagi dipersoalkan.

“Saya sifatkan elemen melodi dan susunan muzik Lagu Untukmu oleh MUH telah mengalahkan semua karya lain. Semangat pentas MUH juga mampu menaikkan bulu roma kami semua. Jika boleh buat para juri terpukau, saya kira itu faktor yang sangat kuat untuk melayakkan mereka jadi juara.

“Sebenarnya susah untuk para juri menetapkan keputusan, sehingga berlaku sedikit perbalahan di antara kami sama ada hendak memilih lagu MUH atau Faizal Tahir kerana kedua-dua lagu nyanyian mereka sama hebat, tapi akhirnya kami sepakat memilih Lagu Untukmu sebagai Juara Lagu,” tegas Azmeer dalam sidang akhbar selepas acara berlangsung.

Sebagai penjulang trofi Juara Lagu, MUH yang diwakili Taja, Bakri, Alan, Afat, Bakri dan Babab, mereka sendiri seperti tidak percaya, penantian dua tahun untuk Lagu Untukmu beraja di panca indera semua membuahkan hasil.

Alan mengakui, saingan terdekat Lagu Untukmu pastinya Kalis Rindu dan Sampai Syurga, tetapi selepas diumumkan juara Pop Rock, harapan untuk menang Juara Lagu semakin tinggi dan kemenangan yang datang satu pengumuman mengejutkan buat mereka.

“Macam kata Audi Mok, kalau dua penulis bergabung untuk satu lirik, karya itu akan jadi lebih kuat, sama juga macam kami yang bergabung tiga kepala untuk hasilkan Lagu Untukmu, ini yang menambahkan keyakinan kami.

“Sekarang indie dah jadi trend, kami harap peluang akan lebih terbuka untuk MUH bukan setakat konsert sahaja tapi majlis korporat. Kami sendiri rasa kalau tak menang AJL pun mungkin kami akan sedikit tertekan sebab pertandingan ini secara tak langsung melibatkan pemuzik indie yang lain juga,” jelas Taja, komposer serta pemain gitar MUH.


WAJAH-WAJAH penakluk AJL23. Semoga pentas gemilang AJL tidak ditinggal mereka pada masa akan datang.

Untuk hari esok, perancangan MUH siap terbentang. Mereka dalam proses menghasilkan dua lagi single terbaru dan bakal bekerjasama dengan sebuah produksi filem untuk album runut bunyi filem berkenaan.

Sekalipun Estranged yang mempertaruhkan lagu Yang Pernah tidak mengulangi kemenangan tahun lepas, kejayaan rakan seangkatan MUH ini mungkin satu pembahagian yang adil buat mereka, tanda muzik kelompok indie kian marak.

Faizal undur diri selepas AJL23

Kejutan dibuat MUH tetapi hatrik AJL23 tetap milik Faizal Tahir yang mencipta aura penuh gemilang dengan lagu Sampai Syurga. Kena benar dengan judul lagu itu sendiri, Sampai Syurga lagu ciptaan Audi Mok dan lirik tulisan Faizal sendiri ini meraih kejayaan yang bukan kecil anak.

Tiga anugerah termasuklah juara kategori Balada, Persembahan dan Vokal Terbaik, Faizal sebenarnya mengaut tiga perempat jumlah keseluruhan prestij yang ditawarkan AJL kali ini.

Rata-rata memuji tenaga lontaran Faizal malam Ahad lalu dan kreativiti yang dibikinnya juga mungkin kali pertama dipersembahkan artis tempatan ketika beraksi di pentas. Tidak lagi buka baju sebaliknya Faizal dipakaikan baju dan didandan rapi oleh team kreatif yang difantasikannya ketika menyampaikan lagu Sampai Syurga.


AKSI ligat Stacy di pentas cukup mengagumkan.

Berlawanan dengan MUH yang semakin tebal semangat, Faizal sebaliknya seperti berpatah arang berkerat rotan. Dia tidak lagi mahu pentas nyanyian menjadi menyambung jejaknya.

Ketika namanya ‘teratas’, Faizal seperti keliru dan katanya, mahu bersara. Selepas AJL23 juga, Faizal akan mula bercuti panjang, mungkin berbulan-bulan sebelum memulakan ‘dunia barunya’.

“Saya mahu tumpukan perhatian untuk kerja-kerja belakang tabir, walaupun tidak sebagai penyanyi namun saya masih ingin memberikan sumbangan terhadap industri muzik, itu hasrat saya sejak dulu lagi.

“Saya cuma mahu berehat, sama ada selepas bercuti panjang nanti saya akan kembali sebagai penyanyi atau orang belakang tabir saya masih belum tahu lagi,” tegas Faizal dalam nada serba salah.

Bukan merajuk atau kecewa dengan senario industri yang dilewati, sebaliknya Faizal cukup gembira dan seronok menjadi anak seni sejak dua tahun lalu walaupun dia sendiri pernah terhukum dek salah percaturan.

“Jangan ingat saya merajuk, saya sangat gembira dengan karier yang banyak membuahkan rezeki kepada saya dan keluarga.

“Cuma saya jenis yang mementingkan keluarga. Umur dah 31, anak pun dah nak masuk empat. Mereka sedang membesar dan saya tak mahu anak-anak banyak melihat saya di kaca TV lagi,” jelas Faizal dalam riak bersahaja walaupun meraih kemenangan besar.


IDEA ‘comel’ daripada Elyana.

Ditanya waraskah dia dan tidakkah satu kerugian buatnya kerana menarik diri dari persada seni suara ketika nama sedang memuncak?

Dalam senyum tawar, Faizal menjawab: “Taklah. Cuma saya ingin membelok sisi lain dalam kehidupan. Ya, saya sangat waras ketika ini. Selepas bercuti panjang nanti, tengoklah sama ada saya kembali menyanyi atau tidak.”

Dengan duit kemenangan sebanyak RM32,000 yang bakal dikongsi bersama Audi Mok, Faizal juga tidak teragak-agak untuk menyalurkan sebahagian wang kemenangan itu untuk dana bantuan Palestin.

Apa jua jalan karier yang ingin disambung Faizal selepas ini, itu pilihan muktamad dirinya. Jangan kenyataan ini sekadar bahan cerita untuk mengelak daripada skeptikal segelintir pihak, bahawa kemenangan hatriknya ini adalah ada kaitan dengan agenda Media Prima yang melahirkan dan menjadi penaung Faizal Tahir ketika ini.

Tidak tercicir daripada senarai pemenang AJL23 ialah Farawahida yang mencuri perhatian juri apabila lagu nyanyiannya, Persoalan Cinta (ciptaan Julfekar dan Izza Rosley dan lirik oleh Ku Seman Ku Hussein) dipilih sebagai juara kategori Etnik Kreatif.

Sering dianggap sebagai kategori ‘kecil’ namun Farah tidak mahu dirinya terlepas daripada pandangan juri.

“Sebab itu saya tampilkan konsep persembahan tarian Cina kerana lagu itu sendiri ada elemen oriental. Saya berhabis-habisan untuk persembahan kerana tak mahu penyertaan yang pertama kali ke AJL ini dilihat sekadar biasa, tapi saya tak fikirkan soal kemenangan,” katanya yang pertama kali mengukir nama sebagai antara pemenang di AJL.


ZIANA pulang tanpa anugerah walaupun mencuba sepenuh hati.

Selain persembahan tarian Cina daripada Farawahida, keseluruhan bentuk dan idea persembahan peserta final AJL23 tiada yang mengecewakan. Terutama Stacy yang begitu energetik ketika mempersembahkan lagu Aku Stacy.

Penyanyi Ziana Zain sendiri tidak mahu kalah dengan kehadiran artis-artis muda, namun mungkin disebabkan faktor usia dan terlalu lama menyepi dari pentas AJL, Ziana seperti terjerat dalam vokal sendiri.

Persembahan pembukaan daripada One Nation Emcees serta penutup daripada tiga nama besar, M. Nasir, Jamal Abdillah dan Jaclyn Victor yang diselang-selikan dengan tiga suara generasi cilik pula satu suntikan semangat seni yang berhasil dilaksanakan krew penerbitan AJL kali ini. Mungkin ini antara persembahan AJL yang akan dikenang sebagai antara yang terbaik walaupun gangguan sistem bunyi sedikit mengganggu konsentrasi.

Kosmo

Lagu Misha Sesuai Untuk Abby-Norman-Memey?

23 Dec

KL, 23 DIS 2008:  Murai Batu adalah antara orang yang seronok apabila melihat album solo terbaru Misha Omar muncul di pasaran.  Maklumlah dah lama sangat tunggu macam buah tak gugur, akhirnya gugurlah buah itu dan gembira kerana buahnya sedap dan manis.

Cuma yang tak puas, lagu-lagu baru tak banyak dimuatkan, sebaliknya beberapa lagu-lagu yang dah pernah kita dengar macam Ku Seru, Sembunyi dan Nafas Cahaya. Kiranya macam album separuh kompilasi.

Tapi dalam banyak-banyak lagu, Murai Batu jatuh cinta sangat dengan lagu Cinta Adam Dan Hawa ciptaan Azmeer & Arwah Loloq. Melodi, susunan muzik, senikata dan vokal Misha sungguh berkesan di hati Murai Batu sampai jadi ketagih dan gian untuk mendengarnya berulang kali.

Bagi Murai Batu, Cinta Adam Dan Hawa adalah karya masterpiece barisan penciptanya serta penggubah lagu Ramli MS yang memantau pembikinan album itu. Gesekan strings lagu itu boleh buat jantung Murai Batu luruh sekejap!

Yang sensasinya, ketika mendengar sebuah lagu balada dalam album itu berjudul Sampai Di Sini ciptaan Ajai & Slen, fikiran Murai Batu tiba-tiba terus melayang kepada kemelut hidup Norman Hakim, Abby Abadi dan Memey!

Maklumlah, antara liriknya berbunyi: “Biarlah ku yang merasai… kesan pilu dalam hati … seandainya engkau mahu bersama dia…   Selamat tinggal kasih, ucapkan perpisahan, biarlah cinta ini menjadi kenangan…”

Entahlah, mungkin juga secara kebetulan lagu itu mengisahkan tentang kasih sayang terputus kerana adanya orang ketiga. Kalau begitu, ia pun sesuai sangat ditujukan kepada Nora Danish dan bekas suaminya, bukan?

Apapun, Murai Batu harap album baru Misha itu akan sukses. Sekarang ni kan musim artis-artis top di sana-sini nak keluar album baru macam Datuk Siti, Mawi, Britney Spears (dah keluar pun), Whitney Houston dan U2.

MURAI BATU:  Misha pun dah buka braces pada barisan giginya itu. Ada perubahan tak korang tengok?

 

Murai

A Golden Effort

26 Aug

One Nation Emcees comprising (from left) Kozae, Jojoe, Mimie and Zydee with their trophies and mock cheque.
One Nation Emcees comprising (from left) Kozae, Jojoe, Mimie and Zydee with their trophies and mock cheque.

Local act One Nation Emcees did Malaysia proud at the recently-concluded Gang Starz contest. DENNIS CHUA writes.

ON the very day when the Beijing Olympics came to a close with host China deemed the overall winner, TV3’s annual “Asean Pop Olympics” or Gang Starz heralded host Malaysia’s first “gold medal”.

Crowd favourite One Nation Emcees, a Kedah-Sabah hip-hop/pop act affectionately called Malaysia’s answer to Black Eyed Peas, emerged as the second annual winner of Gang Starz, beating fellow home team Akasia, Indonesia’s D’Reborn and the Philippines’ 3.5 and Paragon Child.

During the finals at Stadium Malawati, Shah Alam at 9pm on Sunday, the energetic group comprising Kedahan beauty Shamimi Amalina Norhisham (Mimie), 21, and Sabahans Fareezan Murtaza (Kozae), 25, Norzaidi Edris (Zydee), 26, and Hasan Baias (Jojoe), 32, clearly impressed all the four judges.

Permanent judges Ajai and Sheikh Haikel as well as guest judges Syafinaz Selamat and Filipino producer Audi Gemora gave them 35 stars (or points), the highest score for the evening, while fans delivered them the lion’s share of Short Messaging Service (SMS) votes.
The charismatic quartet not only took home the grand prize of US$100,000 (RM320,000) and a recording contract, but also a four-day/three-night holiday in Bali, awarded to the most popular group in terms of SMS votes.

Lead vocalist Mimie, who joined the group this year, said its victory was for all Malaysians.

“We thank all our fans in Malaysia and Asean. We had a great time and made a whole new bunch of friends,” she said, adding that the other four finalists gave them a tough fight, especially Indonesia’s D’Reborn.

Group leader Kozae, who formed the group with Zydee four years ago and recruited Jojoe in 2006, said: “Our trainers and advisers, especially Azmeer, pushed us hard to come this far. We’d like to dedicate this victory to them.”

Media Prima Bhd group chief executive officer for television networks Datuk Seri Farid Ridzuan said One Nation Emcees received 40 per cent more SMS votes than its nearest contender.

“The group clearly showed us it was the crowd favourite for the evening. Together with the other four finalists, it has set high standards of performance for its successors,” he said, adding that the show was likely to be back next year.

One Nation Emcees and its competitors performed in two sets each.

For its first act, the winning team sang a medley of Give It To You, Kuda Hitam, Madu Dan Racun and Don’t Phunk With My Heart.

Its stylish, energetic dance moves complete with leap-frogging acts had the crowd roaring and cheering.

Sheikh Haikel and Gemora praised the group’s creativity in fusing traditional pop and hip-hop, while Ajai hailed it as a truly Malaysian and Malay hip-hop sound.

Syafinaz praised Mimie for her strong vocals and described her as the “show stealer” of the evening. However, she advised the quartet to improve its overall vocal prowess.

The group’s second set was a collaboration with pop yeh-yeh king Jeffrydin which featured his hits Mas Mona and Kenanganku.

Sheikh Haikel, Ajai and Gemora described the performance as spot-on while Syafinaz described it as “strange but very entertaining”.

All-boy group Paragon Child comprising Rainner Melgarejo, 24, Jerwin Nicomedezi, 18, and Julius Lacandula, 20, failed to “blaze” in its first set, a collaboration with Ezlynn featuring Hi Hi Bye Bye and Hips Don’t Lie.

All four judges felt that the group “held back” too much and allowed the Ipoh-born singer and former Mentor host to shine.

Rainner, Julius and Jerwin redeemed themselves in their second set, singing a medley of Sayang Sayang, Seribu Tahun, It’s Gonna Be Me and Impossible Dream.

Syafinaz said the trio clearly shined in ballads, with group leader Rainner possessing the best vocals.

All-girl trio 3.5 sang two duets, Ceritera Cinta and Endless Love with Abdullah “Lah” Ahmad of V. E.

Sheikh Haikel found the singers Stephanie Lazaro-Bainbridge, 28, Sherylad Deza Virgen, 27, and Jellica Mateo, 24, a “little nervous” but hailed their great on-stage chemistry with Lah, whom Gemora likened them to Jim Carrey at certain stages of the duets.

Stephanie, Sherylad and Jellica also performed commendably in their second set, singing Survivor, Power Of Love, Deja Vu and Proud Mary.

However, Syafinaz and Ajai cautioned them about “screaming” too much.

The sole Indonesian group D’Reborn comprising siblings Christy Marian Marcelona, 23, and Raymond Colliam Loke, 22, and their close pals Alex Nubatonis, 23, and Daniel Tomodok, 28, had a slightly “messy” start in the eyes of the judges.

The group which performed Because Of You, Taman Rashidah Utama and Roman Picisan in its first set was described by Syafinaz as “rather nasal” and “too controlled”.

However, it impressed the judges in its second set, a duet with Dayang Nurfaizah that consisted of the songs Seandainya Masih Ada Cinta, London Bridge and Baby Boy.

Sheikh Haikel said the group’s performance went “up one notch” and he and Syafinaz agreed that Dayang brought out the best in the quartet.

Finally, the other Malaysian group Akasia comprising Suria Ramlan, 26, Siti Halijah Dolah, 27, Noorhafizah Sulaiman, 20, Nurul Ahmad, 25, and Ezdianie (Nanie) Omar, 22, appeared to have found its identity in both sets.

Performing Layar Batuta, Salam Terakhir, Destinasi Cinta and Joget Siapa Dia in its first set, the all-girl quintet was criticised by Syafinaz and Ajai for lacking intensity despite its vocal harmony.

In its second set, which comprised a medley of Ting Ting, Dondang Dendang and Hatinya Tak Tahan performed together with ethnic pop queen Noraniza Idris, the quintet was praised by all of the judges for giving its best performance.

The 13-programme Gang Starz 2 began on May 11.

The process for determining the winners remained the same as last year – 50 per cent was based on the judges’ marks and the remaining half on viewers’ SMS votes.

Hosted by award-winning rocker Faizal Tahir of One In A Million fame and award-winning television and radio personality Fara Fauzana Mohd Fadzil of Hot FM and Melodi fame, it also saw performances by guest artistes Matta and Season One champion The Lima, both from Indonesia.

The contestants’ team of advisers comprised composer and lyricist Azhar Abu Bakar (or Azmeer), singer Damien Seet of V.E. and choreographer Sazlan Mat Adnan.

The concert was televised live over TV3.

More than 10,000 people attended the event.

Azmeer said One Nation Emcees had been one of the most consistent groups in the contest and had a strong chance of winning from the start.

He said Paragon Child and D’Reborn were also outstanding competitors, despite occasional hiccups in some of their weekly Sunday concerts at the Shah Alam City Council.

New Straits Times

Gang Starz Siapa Jadi Pilihan?

24 Aug

Oleh WANDA IDRIS

ONE Nation Emcees, Akasia, D’Reborn, Paragon Child dan 3.5 – lima kumpulan, masing-masing dari Malaysia, Indonesia, Filipina akan berentap malam ini untuk menjadi yang terbaik dan seterusnya membolot hadiah berjumlah AS$100,000. Ini merupakan jumlah wang tunai paling lumayan pernah ditawarkan oleh sebuah program realiti terbitan tempatan.

Siapakah yang layak menjadi juara musim kedua Gang Starz? Adakah kumpulan dari Indonesia akan sekali lagi berjaya mengungguli pertandingan ini selepas kumpulan The Lima? Atau apakah musim ini kemenangan akan berpihak kepada kumpulan One Nation Emcees yang selalu tampil dengan persembahan penuh bertenaga?

Mungkin juga Paragon Child yang dianggotai oleh remaja comel dengan genre R&B akan memberi saingan bersama-sama Akasia dan 3.5 yang jelita?

Semuanya bergantung kepada persembahan yang ditampilkan pada malam ini yang akan disiarkan secara langsung di TV3 Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pukul 9 malam.

Dibandingkan musim pertamanya tahun lalu, finalis Gang Starz tahun ini nampaknya perlu bersaing sengit memandangkan jurang markah yang tidak jauh berbeza antara satu dengan lain.

Justeru agak sukar membuat ramalan terhadap kumpulan mana yang mampu membawa pulang wang kemenangan serta peluang rakaman album.

Perkara ini turut diakui penasihat vokal, Azmeer yang memberitahu, kelima-lima kumpulan yang berjaya ke peringkat akhir itu mempunyai harapan yang sama untuk bergelar juara.

“Tahun ini bukan macam tahun lalu yang kita nampak ada jurang antaranya finalis. Tahun ini standard kualitinya meningkat menyukarkan kita untuk meramal siapa juaranya.

“Apa yang pasti, siapa yang kreatif dengan penampilan persembahan yang mantap mempunyai peluang cerah untuk menang,” kata Azmeer pada sidang akhbar Gang Starz akhir, Selasa lalu.

Sememangnya, pada persembahan akhir nanti, setiap kumpulan bukan sahaja dikehendaki mempamerkan kolaborasi keharmonian vokal antara ahli kumpulan malah perlu kreatif dalam membuat susunan muzik bagi lagu yang dipilih.

Ia menjadi sebahagian unsur kreativiti yang akan dinilai oleh juri pada malam akhir yang memberikan 50 peratus markah kepada markah keseluruhan.

Selain itu gerak tari persembahan yang ditampilkan oleh setiap kumpulan juga memberi kelebihan untuk menerima undian daripada peminat yang mewakili separuh daripada jumlah permarkahan.

Justeru, suara, rupa dan kualiti seorang bintang akan dinilai malam ini oleh para juri dan peminat dalam usaha mencari yang terbaik untuk bergelar juara.

“Apa yang dimahukan pada persembahan itu nanti tentunya kelainan dari segi kreativiti mencorakkan sesebuah lagu yang dipilih mengikut identiti kumpulan masing-masing,” tambah Azmeer.

Dikatakan tiga kumpulan – One Nation Emcees, D’Reborn dan Paragon Child mempunyai harapan yang cerah pada pertandingan akhir malam ini memandangkan persembahan bertenaga yang ditonjolkan pada saban minggu.

Selain persembahan yang konsisten, masing-masing juga sering menerima pujian juri malah Shamimi Amalina Norhisham (Mimi) daripada One Nation Emcees mengakui, kumpulannya yang dikatakan pesaing rapat D’Reborn dan Paragon Child menjanjikan persembahan terbaik pada malam final nanti. Apalagi kerana kedua-dua kumpulan itu mempunyai tahap energi yang sama dalam persembahan dengan kumpulan One Nation Emcees.

Namun tegas Mimi, pembabitan kumpulan Akasia dan 3.5 juga tidak boleh diperlekehkan memandangkan keserasian keharmonian vokal antara anggotanya biarpun genre mereka berbeza.

“Kerana itu malam final nanti, kami hanya mahu memikirkan soal memberikan persembahan terbaik, menonjolkan muzik kami dan selebihnya, mahu gembira di atas pentas.

“Kalau nak dikatakan peluang, saya rasa kelima-lima kumpulan mempunyai peluang sama rata. Pun begitu, kami akui, semangat juang kami adalah 200 peratus untuk bersaing dengan kumpulan dari Indonesia dan Filipina yang selama ini terkenal dengan kehebatan vokal mereka,” kata Mimi.

Memperjuangkan irama hip hop, selain Mimi, One Nation Emcees turut dianggotai oleh Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae) Mohd. Norzaidi Edris (Zydee) dan Nur Hasan Baias (Jojoe),

Anggota kumpulan Akasia juga bersikap optimis dan menganggap mereka mempunyai harapan yang sama dengan kumpulan lain untuk menang biarpun genre pilihan mereka lebih kepada pop etnik.

Ini kerana kekuatan dan kemantapan vokal dan persembahan yang sekata daripada semua finalis dan sejak berlatih seminggu yang lalu, mereka juga mendapat tips daripada penyanyi jemputan pilihan mereka, Noraniza Idris.

“Seperti kata Azmeer, peluang adalah sama rata dan kami menganggap kami juga mempunyai harapan untuk menang jika rezeki berpihak kepada kami,” kata Siti Halijah Dolah (ET) mewakili teman-temannya Suria Mawarni Ramlan (Suria), Ezdianie Hayatie Omar (Nanie), Nurul Ramadhanis Ahmad Khuzari (Nurul) dan Noorhafizah Sulaiman (Cha).

“Siapa yang tak mahu menang dan saya percaya semua finalis bekerja kuat untuk mendapatkan gelaran juara,” kata anggota Paragon Child, Bagi Paragon Child, Julius C. Lacunda (Julz) pula.

Namun mereka berpendapat, berada di kedudukan apa pun, yang penting, mereka mahu memberikan persembahan mantap dengan menjalani latihan pesat selain menjaga stamina melalui senaman termasuk berjogging dan berenang.

D’Reborn pula mengakui sukar menjangkakan siapa yang mampu menduduki carta teratas pada malam final itu nanti memandangkan markah juri dan peminat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan talian tetap agak rapat antara satu sama lain.

Pun begitu, jika kemenangan berpihak kepada mereka, D’Reborn yang dianggotai oleh Alexander C. Nubatonis (Alex), Daniel Meskers Tomodok (Akung), Marian Marcelona Christy (Christy) dan Raymond Colliam Loke (Monte) telah menyimpan impian untuk mendermakan sebahagian daripada jumlah wang kemenangan kepada Sekolah Menengah Desa Cempaka, Nilai, bagi membantu pelajar kurang upaya di sekolah itu menjayakan projek Smart Agriculture Techno System.

Sementara dalam usaha memberikan persembahan terbaik mereka, tiga jelitawan 3.5 – Stephanie Lazaro-Bainbrigge (Stef), Sherylad B. Deza Virgen (Sharra) dan Jellica Mateo (Jeli) – mengakui sejak berjaya ke peringkat akhir, mereka sudah mula membuat persiapan rapi.

Selain mengadakan latihan yang bersungguh-sungguh, 3.5 juga mula membuat latihan untuk meningkatkan stamina selain menjaga pemakanan masing-masing.

“Ini peluang sekali seumur hidup. Pastinya kita mahu memberikan hanya yang terbaik,” kata Sharra yang mahu mempamerkan kelebihan masing-masing dalam usaha mencari markah penjurian tertinggi daripada juri dan penonton.

Pada malam ini, setiap finalis dikehendaki memberikan persembahan untuk dua buah lagu masing-masing didendangkan bersama kumpulan dan secara duet bersama artis jemputan.

Dalam usaha memberikan karya muzik mantap, One Nation Emcees memilih Datuk Jeffrydin sebagai artis undangan mereka dengan lagu pilihan Mas Mona dan Kenanganku. Bagi mereka, memilih lagu lama untuk diberi susunan muzik berkonsepkan hip hop adalah lebih mudah berbanding lagu-lagu masa kini malah Jeffrydin sendiri merupakan artis pujaan mereka.

“Beliau juga seorang yang sangat optimis selain amat memberikan kebebasan kepada kami dalam usaha memberikan nafas baru kepada lagu-lagunya,” kata Mimi. Bagi persembahan berkumpulan solo pula, One Nation Emcees memilih lagu-lagu Kuda Hitam, Madu Dan Racun serta Don’t Phunk With My Heart.

Paragon Child pula memilih Ezlynn memandangkan artis popular itu adalah antara artis yang mampu menyanyi dan menari dengan baik selain mahu menjadikannya penyeri.

Memilih lagu Hi Hi Bye Bye dan Hips Don’t Lie bagi kolaborasi mereka bersama Elzynn, lagu Seribu Tahun, It’s Gonna Be Me dan Imposibble Dream pula menjadi pilihan bagi lagu berkumpulan.

Lah V.E pula menjadi pilihan 3.5 sebagai artis jemputan dengan memilih lagu-lagu Ceritera Cinta dan Endless Love untuk kategori duet manakala solo berkumpulan pula lagu-lagu Power Of Love, Deja Vu dan Proud Mary.

D’Reborn yang memilih lagu Taman Rashidah Utama dan Roman Picisan untuk kategori berkumpulan solo bakal berkolaborasi dengan Dayang Nurfaizah dengan lagu pilihan Seandainya Masih Ada Cinta, London Bridge dan Baby Boy.

Sementara Akasia yang memilih Noraniza Idris bakal berduet lagu Ting Ting, Dondang Dendang dan Hatinya Tak Tahan dan memilih lagu Salam Terakhir, Destinasi Cintan dan Joget Siapa Dia untuk lagu persembahan berkumpulan.

Sementara itu, penerbit Gang Starz musim ini, Mohamad Suffian Isa memberitahu, talian undian sudahpun dibuka sejak malam 17 Ogos lalu dan bakal ditutup sehingga konsert akhirnya malam ini.

Diacarakan oleh Faizal Tahir dan Fara Fauzana, juri tetap iaitu Ajai dan Sheikh Haikel akan memberikan ulasan dan markah di samping dua dua juri jemputan dari Malaysia dan Filipina.

Konsert akhir ini juga bakal disiarkan ke Filipina dan Indonesia melalui siaran tertunda dengan dua artis undangan iaitu kumpulan The Lima dan Matta.

Menurut Suffian, setiap peserta final akan diberikan masa selama lima minit setengah untuk setiap persembahan dengan pemilihan artis jemputan adalah atas pilihan finalis sendiri.

Malah lagu-lagu yang bakal dipersembahkan adalah pilihan masing-masing selepas mendapat pandangan daripada penasihat.

“Kita juga berbangga kerana artis jemputan memberikan komitmen terbaik mereka untuk menjayakan latihan bersama peserta akhir,” kata Suffian.

Suffian juga menjelaskan tidak dapat membawakan wakil semua negara bagi menjadi juri pada konsert akhir namun menegaskan juri yang dipilih akan bersifat neutral daripada segi penilaian dan pemarkahan.

Utusan Malaysia

Siapa Juara Gang Starz 2?

22 Aug

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my


LIMA kumpulan yang akan berentap pada konsert akhir Gang Starz 2.

SETELAH empat bulan mengharungi pelbagai rintangan, lima kumpulan iaitu One Nation Emcees, D’Reborn, Paragon Child, 3.5 dan Akasia bakal berentap di pentas akhir Gang Starz musim kedua (Gang Starz 2) Ahad ini.

Berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, kelima-lima mereka harus tampil terbaik bagi merebut hadiah berupa wang tunai sebanyak AS$100,000 (RM325,545).

D’Reborn yang merupakan wakil tunggal Indonesia terpaksa menggalas cabaran besar apabila ditentang hebat oleh masing-masing dua buah kumpulan dari Malaysia serta Filipina.

Malaysia diwakili One Nation Emcees serta Akasia manakala Filipina pula dengan Paragon Child dan 3.5.

Siapa bakal bergelar juara tiada yang tahu namun undian sudah pun dibuka bagi membolehkan orang ramai mengambil bahagian memilih kumpulan berbakat untuk menaiki tangga juara.

Untuk persembahan akhir ini, setiap kumpulan diberi tanggungjawab membuat tiga persembahan iaitu persembahan pengenalan, secara kumpulan dan duet bersama artis jemputan.

Paragon Child contohnya memilih untuk berduet dengan Ezlynn menerusi lagu Hi Hi Bye Bye dan Hips Don’t Lie manakala 3.5 (Lah V.E – Ceritera Cinta/ Endless Love), D’Reborn (Dayang Nurfaizah – Seandainya Masih Ada Cinta/ London Bridge/ Baby Boy), One Nation Emcees (Datuk Jeffrydin – Mas Mona/ Kenanganku) dan Akasia (Noraniza Idris – Ting Ting/ Dondang Dendang/ Hatinya Tak Tahan).

Persembahan kumpulan pula, D’Reborn memilih lagu Taman Rashidah Utama dan Roman Picisan diikuti One Nation Emcees (Kuda Hitam/ Madu Dan Racun/ Don’t Phunk With My Heart), Akasia (Salam Terakhir/ Destinasi Cinta/ Joget Siapa Dia), Paragon Child (Seribu Tahun/ It’s Gonna Be Me/ Imposibble Dream) dan 3.5 (Power Of Love/ Deja Vu/ Proud Mary).

Menariknya, juara Gang Starz musim pertama, The Lima diberi penghormatan membuat persembahan pembukaan di samping kumpulan Matta yang akan menyanyikan dua buah lagu iaitu Jatuh Cinta Lagi dan Ketahuan ketika selingan sebelum pengumuman pemenang.

Menurut Penerbit Gang Starz 2, Mohd. Sufian Isa, bagi juri akhir nanti, pihaknya masih mengekalkan Ajai dan Sheikh Haikel di samping dua lagi juri jemputan dari Malaysia serta Filipina.

“Persiapan telah dilakukan dengan rekaan pentas khas serta layar skrin lebih besar. Untuk itu, kita mengharapkan orang ramai dapat hadir ke Stadium Malawati bagi memeriahkan konsert akhir Gang Starz.

“Konsert akhir ini akan disiarkan ke Filipina dan Indonesia melalui siaran tertunda,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Jelas Mohd. Sufian, untuk konsert akhir, pemilihan lagu dan artis jemputan dilakukan sendiri oleh setiap kumpulan meskipun ia cukup terhad terutama bagi Paragon Child dan 3.5.

“Sungguhpun begitu, menerusi konsert Jom Heboh yang disertai, mereka mampu membuat pilihan bagi artis yang mengadakan persembahan pada konsert berkenaan.

“Latihan bersama artis jemputan berjalan dengan baik dan untuk konsert akhir ini, kita lebih menekankan kreativiti dan bukannya meniru bulat-bulat penyanyi asal,” ujarnya.

Bagi Azmeer yang telah bersama Gang Starz 2 sejak awal lagi pula, kualiti setiap peserta untuk musim ini adalah tinggi.

Justeru, katanya, agak sukar baginya untuk meramalkan siapa yang bakal menjuarai Gang Starz 2.

Sementara itu, Hits berkesempatan menemu bual setiap kumpulan yang akan berentap di pentas akhir Gang Starz 2 ini.

Selain bertanyakan debaran menanti konsert akhir dan persiapan, setiap kumpulan turut ditanya mengenai apa yang akan dilakukan dengan wang sebanyak AS$100,000.

Ada yang ingin menyambung pelajaran, melancong dan menderma, tidak kurang, ada juga menyimpan hasrat untuk menamatkan zaman bujang seperti Daniel Meskers Tomodok atau Akung dari D’Reborn.

Utusan Malaysia