Archive | Azwan Ali RSS feed for this section

Hebatnya Beca Pok Loh

13 Apr

Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
haradianshah.hamdan@kosmo.com.my

Apakah yang membuatkan beca seberat lebih 100 kilogram dan sarat dengan pelbagai hiasan itu cukup istimewa?


PENUMPANG yang menaiki beca Pok Loh, mengisi masanya dengan berkaraoke sambil bersiar-siar di bandar Kuala Terengganu, Terengganu.

DENGAN tambahan aksesori dan pelbagai peralatan seberat lebih 100 kilogram pada beca miliknya, Abdullah Muhamad, 53, pernah dianggap tidak waras.

Beca yang dibeli sekitar tahun 70-an itu sudah tidak kelihatan seperti beca-beca lain yang beroperasi di bandar Kuala Terengganu.

Kombinasi warna kuning dan merah menjadikan beca itu kelihatan garang. Malah, ia satu-satunya beca yang seolah-olah seperti sedang menyertai perarakan kenderaan berhias kerana sarat dengan bunga plastik.

Beca itu umpama sebuah rumah kecil bergerak. Kenderaan penumpang tiga roda itu juga dilengkapi pemain video cakera padat, set karaoke, sistem pembesar suara, televisyen kecil dan kipas angin.

Kesemua peralatan tersebut dipasang untuk kemudahan penumpang dan berfungsi dengan kuasa daripada dua biji bateri.

Tempat duduk penumpang juga mengalami pengubahsuaian apabila dilapik dengan kain songket, manakala payung pengantin dan puluhan lampu kecil berwarna-warni turut dipasang pada beca.

Becanya juga unik kerana mampu mengeluarkan lima jenis bunyi haiwan melalui hon seperti ayam, kambing, lembu, anjing dan kuda.

Keistimewaannya tidak hanya pada aksesori berharga lebih RM2,000, tetapi juga mereka yang pernah menggunakan khidmat becanya.


HIASAN yang bercorak kenegerian pada beca Pok Loh.

Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Pok Loh memberitahu, becanya pernah dinaiki oleh beberapa pembesar dan selebriti tanah air.

Antaranya termasuklah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo.

Di kalangan selebriti popular pula termasuklah Noraniza Idris, Mustafa Kamal, A.R Badul, Azean Irdawaty dan Azwan Ali.

Sebagai tanda pengesahan bahawa tokoh kenamaan terbabit pernah menaiki beca tersebut, nama mereka dicetak di bahagian depan beca.

Walaupun ada kesilapan ejaan pada beberapa orang nama pemimpin, namun Pok Loh tidak kisah asalkan orang tahu penumpang yang dimaksudkannya.

“Semua hiasan ini saya buat sendiri sejak lebih setahun lalu. Saya buat sikit-sikit bila dapat idea. Adakalanya saya menghias beca sampai pukul 3 pagi,” kata bapa kepada empat anak itu hasil perkahwinannya dengan Sharifah Pakwe, 37.

Mencari rezeki dengan mengayuh beca di sekitar pusat bandar Kuala Terengganu, Pok Loh mengakui ada di kalangan rakan-rakannya menganggap dirinya ‘gila’.

Menurut Pok Loh, hiasan luar biasa tersebut membawa ‘rezeki tambahan’ kerana ramai penumpang terutama pelancong asing lebih berminat menaiki becanya.


KOTAN klasik yang terdapat pada beca ini digunakan oleh Pok Loh untuk menyimpan barangan peribadinya.

“Kadang-kadang pelancong hanya bergambar di depan beca dan kemudiannya hulur duit tanda penghargaan kepada saya,” kata anak kelahiran Kampung Tanjung Kapor, Kuala Terengganu itu.

Menceritakan sejarah becanya Pok Loh memberitahu, dia membeli kenderaan itu selepas kecewa dengan sikap beberapa pengayuh beca yang memilih penumpang, enggan membawa sayur dan ikan yang dibelinya.

Beca tersebut dibeli pada harga RM230 dengan berat asalnya adalah 100 kilogram. Bagaimanapun, beratnya meningkat sekali ganda selepas ditambah aksesori.

Menurut Pok Loh, becanya dipasang alat power booster ciptaan pereka tempatan, Zulkifli Harun. Dengan alat tersebut, becanya mempunyai keupayaan kuasa tujahan semasa mendaki kawasan berbukit dan ketika mahu memulakan perjalanan.

Walaupun dikenali sebagai beca VIP, ia bukan tiket untuk Pok Loh mengenakan tambang mahal kepada penumpangnya.

“Biasanya saya tak pernah tetapkan bayaran tambang sebaliknya saya serahkan kepada budi bicara penumpang,” jelasnya yang keluar mencari rezeki dari pukul 10 pagi hingga 7 malam setiap hari.

Bagaimanapun, untuk perjalanan di sekitar pusat bandar Kuala Terengganu, tambang yang dikenakan antara RM5 hingga RM20.

“Cuma untuk perkhidmatan bersiar-siar selama sejam, saya kenakan bayaran sebanyak RM30,” katanya yang mendapat antara 10 hingga 20 penumpang setiap hari.

Kosmo

Setengah Juta Tonton Kelab Pop

16 Mar

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
SEJAK disiarkan, program game show, Kelab Pop berjaya menarik perhatian ramai.

Selain mencatat jumlah penonton yang meningkat, program yang dikendalikan Reza Mohamed turut mencuri perhatian setiap selebriti tempatan untuk mengambil bahagian.

Program yang diadakan dengan tujuan hiburan bermaklumat itu hanya disertai golongan selebriti dan dijalankan secara berkumpulan.

Musim kedua program disiarkan setiap Rabu jam 9 malam menerusi Astro Ria (Saluran 104) bermula 20 Mei ini.

Bagi mengekalkan reputasi program berkenaan beberapa pembaharuan dilakukan seperti perubahan set dan beberapa jenis permainan baru.

Antara yang menjadi tarikan ialah lagak seorang gadis Inggeris yang menyanyi lagu Melayu dengan cara tersendiri mengikut apa yang didengar daripada alat pendengar.

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata pihaknya menerima maklum balas positif daripada selebriti yang ingin mengambil bahagian dalam program berkenaan begitupun kesibukan memenuhi aktiviti seni sedikit sebanyak menghalang pembabitan mereka.

“Sebenarnya kami buka penyertaan ini kepada semua selebriti. Bukan hanya pelakon dan penyanyi, malah kami turut mempelawa jurumekap artis dan pihak media juga turut terbabit dalam program ini.

“Program ini sekadar hiburan untuk peserta dan penonton yang menyaksikannya.

“Walaupun program ini diilhamkan mengikut format dari Jerman, Pop Club namun kami sudah melakukan beberapa perubahan selain mementingkan pengisian hiburan dan kandungan yang sesuai dengan penonton tempatan,” katanya.

 

 

Program berkenaan adalah antara himpunan program game show menarik yang diterbitkan Astro bermula Bolos, seterusnya Jangan Lupa Lirik.

Musim pertama siaran program berkenaan mencatat lebih 513,000 jumlah penonton setiap kali disiarkan.

Jumlah berkenaan tersenarai antara tertinggi bagi program game show.

Menurut Khairul, pihaknya tidak bercadang untuk menawarkan hadiah wang tunai atau trofi khas sebagai ganjaran kepada pemenang untuk musim baru ini.

“Kami masih mengekalkan hadiah trofi kepada pemenang. Setiap peserta hanya perlu melalui satu episod permainan. Tanpa perlu menyertai peringkat saringan atau membabitkan peringkat akhir.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan akan mengadakan program berkenaan di pusat beli-belah jika sambutan mendapat sambutan lebih memberangsangkan,” katanya.

rogram game show hiburan diketuai Penerbitnya, Sazilatul Ahamad menampilkan pelbagai segmen antaranya soal & jawapan, pop berantai, CD Rosak, runut bunyi, budak baru belajar, goreng kaw kaw, versi versus, sekalijehit!, biar betul dan suara buluh kasap yang dijalankan secara kumpulan yang membabitkan tiga individu.

Selain itu, permainan baru membabitkan buskers, tiru macam saya dan Mr Saxophone. Artis yang terbabit dalam program musim ini antaranya Accapan, Mr Os, Ebby Yus, Louisa Chong, Kenchana Devi, Nora Danish, Sherry Ibrahim, Nana, Nila Kurnia, Fara Fauzana, Intan Ladyana, Ezlynn, Ilyaka, Ifa Raziah, Roslan Shah, Lana Nordin, Fazura, Nabila, Liyana Jasmay, Raja Farah, Fauziah Gous, Nubhan, Aizat dan Ayu (One In A Million).

Turut serta Ahmad Karsan, Amyza Adnan, Yasmin Hani, Azwan Ali, Ropi Cecupak, Enot, Ferhad, LnJ RL, Talam RL, Sasha, Andy Flop Poppy, Lan Meet Uncle Hussein, Zahida Rafik, Zizie Izette, Abby Abadi, Linda Onn, Amy Mastura, Norish Karman, Sazzy Falak, Farouk Hussein, Mawi, Ekin, Khai, Rosma, Fazli Zainal dan Anita Baharom.

Harian Metro

ABPBH08: Nama-Nama Popular Gagal Ke Final

19 Feb

Teks oleh Thani Hasbullah

KUALA LUMPUR, 19 FEB 2008:  Senarai Top 5  Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08) yang diumumkan semalam memperlihatkan ramai artis popular seperti Dafi, Shiela Rusly, Raja Azura, Iqram Dinzley, Lisdawati, Azwan Ali dan Fouziah Gous tidak tersenarai ke final.

Penyertaan muka-muka baru pula menyaksikan artis berbakat seperti Riz, Scha, Nubhan, Stacy dan Lisa Surihani manakala rocker senior, Amy Search bakal mencabar Mawi dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular.
 
Senarai finalis terbabit diumumkan pada sidang media ABPBH08 di Unity Ballroom, Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa ABPBH08, Puan Hanizam Abdullah, berkata setiap nama artis yang tersenarai atau sebaliknya adalah pilihan mutlak pembaca kerana Berita Harian hanya menyediakan platform kepada peminat untuk membuat undian.

“Seperti tahun pertama penganjuran ABPBH lagi, semua pemenang ditentukan oleh peminat 100 peratus. Berita Harian tidak ada sebarang niat atau agenda terlindung dalam menganjurkan majlis berprestij ini,” katanya.

Hanizam bagaimanapun mengingatkan semua pembaca Berita Harian supaya memangkah calon pilihan mereka yang dirasakan betul-betul layak sahaja dan jangan sekali-kali memangkah sebab mengagak artis itu akan jadi pilihan ramai.

“Kita pilih pembaca terbaik berdasarkan slogan paling hebat dan bukan kerana undian yang tepat. Perkara ini penting sekiranya peminat mahu mendapatkan keputusan yang tidak dijangka. Kalau tidak, setiap tahun keputusannya tidak akan berubah kerana ia didorong oleh tekaan tepat atau terikut-ikut dengan pilihan orang lain.

“Tapi kalau seseorang artis itu sememangnya sangat popular, semua orang akan tetap memangkahnya,” kata Hanizam.

Katanya, borang undian final mula disiarkan dalam Berita Harian serta Berita Minggu bermula hari ini hingga 3 April 2009.

Sementara itu kata Hanizam, buat pertama kalinya, anugerah itu akan memperkenalkan program sampingan iaitu pertandingan nyanyian Bintang Idola Berita Harian yang diadakan di setiap lokasi siri konsert jelajah ABPBH 2008. 

Konsert jelajah berkenaan bertujuan memberi peluang kepada pembaca akhbar Berita Harian dan Berita Minggu beramah mesra dan bertemu lebih dekat dengan finalis ABPBH 2008. Lokasi itu adalah Sungai Petani, Kedah (27 & 28 Februari 2009), Kompleks Pusat Bandar, Pasir Gudang, Johor (7 & 8 Mac 2009), Mydin Mall, Kuala Terengganu, Terengganu (13 & 14 Mac 2009), Kuantan Parade, Kuatan, Pahang (21 & 22 Mac 2009), Batu Pahat Mall, Batu Pahat, Johor (28 & 29 Mac 2009) dan Klang Parade, Klang, Selangor (3,4 & 5 April 2009).

Selain itu, penganjur juga terus menganjurkan Peraduan Gemilang Bersama Bintang (GBB) yang telah diperkenalkan sebelum ini. Selain Hanizam, turut hadir pada majlis semalam ialah Penaung Jawatankuasa Pengelola ABPBH08, Dato’ Manja Ismail dan ramai finalis terbabit.

SENARAI 5 FINALIS ABPBH 2008

Pengacara TV Lelaki Popular

1) AC Mizal
2) Ally Iskandar
3) Aznil Nawawi
4) Faizal Ismail
5) Faizal Tahir

Pengacara TV Wanita Popular

1) Abby Fana
2) Cheryl Samad
3) Fara Fauzana
4) Juliana Evans
5) Nurul Alis

Penyampai Radio Lelaki Popular

1) AG
2) Aznil Nawawi
3) Faizal Ismail
4) Kieran
5) Khairil Rashid

Penyampai Radio Wanita Popular

1) Abby Fana
2) Fara Fauzana
3) Leeya
4) Linda Onn
5) Nana

Artis Komedi lelaki Popular

1) AC Mizal
2) Afdlin Shauki
3) Nabil
4) Saiful Apek
5) Zizan

Artis Komedi Wanita Popular

1) Amyza Aznan
2) Kenchana Dewi
3) Noorkhiriah
4) Ruminah Sidek
5) Sheila Mambo

Artis Baru Lelaki Popular

1) Aiman
2) Fizzow Omar
3) Nabil
4) Nubhan
5) Riz

Artis Baru Wanita Popular

1) Ayu OIAM
2) Lisa Surihani
3) Sari Yanti
4) Scha
5) Stacy

Penyanyi/Artis Nasyid Popular

1) Aiman
2) Akhil Hayy
3) Hijjaz
4) Rabbani
5) Raihan

Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular

1) Estrangged
2) Fabulous Cats
3) Hujan
4) M Nasir & Malique
5) Meet Uncle Hussain

Penyanyi lelaki Popular

1) Adam
2) Aizat
3) Amy Search
4) Mawi
5) Nubhan

Penyanyi Wanita Popular

1) Elyana
2) Jaclyn Victor
3) Mila
4) Siti Nurhaliza
5) Stacy

Pelakon Filem Lelaki Popular

1) Farid Kamil
2) Que Haidar
3) Rosyam Nor
4) Rusdi Ramli
5) Saiful Apek

Pelakon Filem Wanita Popular

1) Erra Fazira
2) Liyana Jasmay
3) Maya Karin
4) Sharifah Amani
5) Vanida Imran

Pelakon TV lelaki Popular

1) Aaron Aziz
2) Aqasha
3) Ashraf Muslim
4) Fahrin Ahmad
5) Rosyam Nor

Pelakon TV Wanita Popular

1) Abby Abadi
2) Diana Danielle
3) Dynas
4) Fasha Sandha
5) Rita Rudaini
 

Murai

Borak Paknil: Junjung Kasih Tuanku

8 Feb

paknil@hmetro.com.my

Rap
AMPUN Tuanku! Patik ingin merafak sembah menjunjung kasih atas pengurniaan Bintang Kebesaran Johan Mahkota Wilayah (Darjah Yang Mulia Mahkota Wilayah Pangkat Keempat) kepada patik sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara pada 2 Februari lalu.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih buat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique atas pencalonan nama saya bagi kurniaan bintang itu.

Alhamdulillah, rezeki pengiktirafan ini menjadi petanda kerja-kerja dan pencapaian Paknil turut dipantau oleh kerajaan. Selama ini, Paknil fikirkan orang akan mengambil mudah akan kerjaya sebagai pengacara dan juga penggiat di bidang penyiaran ini.

Tak pernah pula terfikir bahawa kerja Paknil akan diiktiraf dan diangkat sebegini rupa sejak Paknil buat keputusan untuk bergiat secara aktif di dalam bidang penyiaran.

Memang Paknil keliru ketika membuat keputusan 19 tahun lalu untuk terjun ke bidang ini. Yalah, Paknil berkelulusan ekonomi. Apabila terjebak ke dunia penyiaran, sedikit sebanyak rasa rugi tidak mempraktikkan apa yang Paknil pelajari di Universiti Malaya.

Rupa-rupanya rezeki Paknil memang di sini dan cepat Paknil jatuh cinta dengan bidang ini. Atas rasa cinta pada tugas inilah Paknil tidak pernah rasa penat dan terlintas untuk mengubah haluan kerjaya.

Sedari awal Paknil merasakan inilah tempat Paknil dan alhamdulillah, sepanjang perjalanan kerjaya Paknil di bidang ini, tidak pernah sekalipun Paknil rasa menyesal.

Bermula sebagai wartawan penyiaran di TV3, Paknil terus mencari ilmu seolah-olah bekerja sambil belajar di stesen TV swasta pertama negara itu. Tak pernah kenal apa itu hujung minggu. Tak pernah tahu apa itu balik awal. Janji kerja kena selesaikan dan tak boleh sambung esok!

Itulah resam Paknil bekerja. Paknil akan selesaikan kerja hari ini juga. Menyimpan kerja sampai esok, maknanya membusutlah lagi tanggungjawab yang menanti.

Suhaimi Sulaiman, Fuad Rahman, Zalina Azman, Wee Yu Li, Noraini, Khatijah Buyong, antara kawan sekerja yang banyak membimbing, terutama di bilik berita TV3. Terima kasih semua.

Sekejap betul waktu berjalan. Dari Fifi (anak sulung Paknil) berusia satu tahun, kini umurnya dah 19 tahun, begitu jugalah usia pembabitan Paknil dalam bidang penyiaran.

Suka atau tidak, Azwan Ali adalah rakan baik Paknil masa mula-mula membabitkan diri dalam bidang glamor ini. Dia yang banyak memperkenalkan Paknil akan asam garam dunia hiburan ketika itu. Yang hak tetap hak. Yang batil tetap batil.

Apa yang berlaku pada hubungan baik ini biarlah ia menjadi rahsia kami. Paknil mahu terus bergerak ke depan tanpa mahu menoleh lagi. Paknil rasa Azwan pun macam itu juga. Paknil tak perlu menjawab lagi soalan mengenai ini dan tidak akan terbakar juga jika direnjis minyak. Insya-Allah!

Banyak pengalaman yang Paknil kutip di sepanjang jalan kerjaya Paknil. Dihina, dicerca, diketawakan, diperlekehkan dan diambil ringan, tetapi tentunya diseimbangkan dengan yang manis. Diiktiraf, diangkat, dijulang, dipuji dan dihargai.

Paknil berdoa pujian manis itu tidak menjadi racun yang bisa akhirnya. Biarlah kesudahan episod kerjaya Paknil disudahi dengan babak indah saja. Itulah doa Paknil.

Menjelang November 2009, Paknil akan memanjat usia 47 tahun. Banyak lagi yang Paknil nak sumbangkan pada tempat tumpah darah Paknil. Mungkin tak seberapa yang boleh Paknil lakukan, tetapi Paknil tetap ingin memberi.

Terbaru pada Disember lalu, di majlis penganugerahan Anugerah TV Asia, Paknil tersenarai antara pengacara pilihan juri untuk memenangi Anugerah Pengacara Hiburan Terbaik Asia! Alhamdulillah dan bersyukur sangat atas pemberian-Nya. Tak pernah terlintas rupa-rupanya boleh berdiri sama tinggi dengan yang lain di pentas Asia.

Terima kasih kepada Astro, tempat Paknil bernaung, kerana mencalonkan Paknil untuk kategori itu melalui rancangan Jangan Lupa Lirik. Sekali lagi jawapan Paknil (mungkin dianggap klise), masa buat rancangan itu hanya inginkan yang terbaik untuk penonton bukan untuk juri anugerah.

Ini semua bonus dalam kerja Paknil. Namun bagi Paknil, bonus paling utama ialah apabila kerja kita mendapat keberkatan-Nya. Mendapat perhatian ramai dan menerima sokongan tak berbelah bagi daripada keluarga tersayang.

Paknil tebalkan saja telinga pada komen negatif di laman forum Internet yang mempersoalkan kredibiliti dan kemampuan Paknil apabila dianugerahkan darjah bintang kebesaran.

Kita ukur baju di badan sendiri. Dan kadangkala tukang ukurnya adalah orang lain. Orang lain itu pula biarlah yang arif. Siapalah Paknil nak memperlekehkan kerja orang dan begitu juga harap janganlah memperlekehkan kerja dan tanggungjawab Paknil.

Bagi Paknil, kata-kata negatif itu juga adalah vitamin yang Paknil telan untuk terus bertahan. Paknil telan saja kutukan pahit mereka sebab bila difikirkan balik, penawar racun pun pahit!

Cuma harapnya mereka yang mencerca Paknil jangan sampai mengaibkan keluarga Paknil. Satu-satunya yang Paknil tidak akan gadaikan untuk kejayaan Paknil. Seperti mana Paknil pernah katakan sebelum ini, perasaan mereka Paknil dahulukan. Itu saja permintaan Paknil.

Sebagaimana ada manisnya dalam perjalanan kerjaya Paknil, begitu juga ada manisnya dalam kenangan kehidupan Paknil sebagai anak jati Kuala Lumpur.

Dilahirkan dan dibesarkan di No 22, Lorong Keramat Dalam 3, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Jalan Raja Muda, Sekolah Menengah Jalan Temerloh dan di Sekolah Tinggi Setapak, Kuala Lumpur. Juga mendapat pendidikan di Fakulti Ekonomi Universiti Malaya, juga di Kuala Lumpur.

Dari jalan tanah merah di depan rumah Paknil satu ketika dulu dan kini berjiran dengan Menara Berkembar Kuala Lumpur. Paknil akan terus tersenyum dan mengelamun mengenangkan kembali zaman kanak-kanak dan remaja Paknil sebagai warga kota asal.

Izinkan Paknil menyebut antara nama yang menghiasi zaman cerita sejarah kenangan Paknil – Uli, Noin, Ayot, Tinat, Bobok, Apek, Ani Gedek, Nani, Ros, Charlie, Cha’ar, Kodin, Didu, Bro, Mi Goreng, Puyu, Gedik, Toyol, Wak Bari, Lek Yem, Wak Jarmin, Makcik Melati, Kak Enon, Abang Rahim, Nenek Jara, Chin, Syawal, Ano dan ramai lagi!

Mereka juga antara nama yang akan Paknil terus semat tanda dan bukti Paknil tak akan pernah lupa asal-usul Paknil. Angkatlah setinggi mana sekalipun. Sanjunglah ke hujung mana dunia sekalipun! Di lorong kecil dan di kampung tengah kota itulah sebenarnya si polan ini bermula.

Tidak akan mampu kemuncak populariti, kecanggihan teknologi, darjah kebesaran, anugerah kemenangan, pangkat dan darjat yang dapat menukar waima melupuskan fakta sejarah bahawa Aznil Haji Nawawi a.k.a Anil a.k.a Konel adalah anak jati Kuala Lumpur! Wassalam.

Harian Metro

Azwan Lancar Perang Dengan Wartawan!

6 Feb

[
Tonton video ]

KL, 6 FEB 2009:  Entahlah, Miss Propa pun tak tahu apa nak cakap lagi. Perang di Tebing Gaza sudah reda, tapi  perang baru pula meletus dalam industri hiburan tempatan.

Ia tentang pengacara propa, Azwan Ali yang telah melancarkan perang dengan sekumpulan editor dan wartawan hiburan. Bukan saja kata mengata di belakang tetapi juga menulis dengan lancang, kesat, pedas atau kata orang sekarang, berani mampus dalam blognya.

Malah ada pula beberapa wartawan yang Azwan sampai tak mahu maafkan dunia akhirat. Amboi, marah sungguh Azwan sampai bertindak over dan nekad macam gitu sekali. Dendam jenis apa tu?

Dengan perang yang telah dilancarkan Azwan itu, dia juga telah bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan digam. Ya, Azwan berkata dia rela menjadi the next Fasha Sandha!

Bagi Miss Propa, apa yang Azwan hendak buat, itu adalah haknya tapi Azwan sendiri dah besar panjang dan sudah boleh memikirkan kesan daripada tindakannya yang keterlaluan itu. 

Dalam pada itu, Miss Propa menerima banyak maklum balas daripada pengunjung segmen ini tetapi belum berjumpa soalan terbaik dan kreatif untuk memenangi kemeja-T eksklusif murai.com.my. 

Hantarkan apa saja soalan berkaitan dunia hiburan kepada Miss Propa dan Miss Propa akan cuba jawab. Sila hantarkan  kepada webmaster@murai.com.my. Miss Propa… eeeeee Propa-Lah!

[Klik di sini untuk menonton aksi Miss Propa]

Murai

TV3 Pasang Strategi Pukau Penonton

12 Jan

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

DARU JURU; Amrin, Shaziman dan Abdul Mutalib pada Majlis Pelancaran Logo Rasmi Ulang Tahun ke-25 TV3 di Masjid Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

Pihak pengurusan stesen televisyen popular mahu pastikan kandungan, format dan penampilan ikut perkembangan terkini

SETELAH suku abad beroperasi, stesen televisyen TV3 kini boleh berbangga dengan pencapaian cemerlang di dalam bidang penyiaran yang diceburi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin, matlamat mereka kini adalah memastikan kandungan, format dan penampilan harus seiring dengan perkembangan terkini.

Katanya, sebagai stesen televisyen nombor satu negara, pihaknya memasang strategi bagi menambahkan pelbagai program dan aktiviti sebagai meningkatkan saingan bersama stesen televisyen lain.

“Pencapaian cemerlang hingga suku abad ini amat bermakna bagi kami dan atas sebab itu sambutan ulang tahun jubli perak diadakan sebagai tanda kesyukuran stesen televisyen kami. Pelbagai rancangan sudah diatur tahun ini bagi meningkatkan saingan. Kami juga amat berbangga apabila melihat beberapa program kami diikuti stesen televisyen lain.

“Ini menjadikan kami lebih bersemangat untuk meneruskan pelbagai rancangan yang bukan saja berbentuk hiburan malah bual bicara yang bertujuan memberi maklumat kepada penonton setia kami,” katanya ketika ditemui pada majlis Kenduri Kesyukuran dan Doa Selamat Sambutan Jubli Perak TV3 di Masjid Wilayah Persekutuan baru-baru ini.


MAJLIS doa selamat turut diadakan.

Menurut Amrin, majlis yang turut menyaksikan pelancaran logo istimewa TV3 ke-25 dengan tema Inspirasi Hidupku yang dilancarkan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor itu akan digunakan sepanjang tahun ini.

“Tema ini sebenarnya adalah gambaran ilustrasi TV3 yang sentiasa berada di sisi masyarakat tanpa mengira suka dan duka sepanjang 25 tahun.

“Dengan pendekatan itu juga kami akan lebih menumpukan aktiviti luar bersama penonton. Antara program terbesar yang dirancang adalah Kembara TV3 yang menjadi kesinambungan kepada program Jom Heboh.

“Program jelajah Kembara TV3 ini akan ke pekan kecil dan akan melawat ke 25 destinasi sepanjang karnival Jom Heboh. Ini adalah usaha kami untuk mendekati penonton bersama artis dan personaliti kami,” katanya.


ANTARA artis yang hadir memberi sokongan.

Majlis Kenduri Kesyukuran dan Doa Selamat yang diadakan Khamis lalu dimulai dengan solat maghrib diikuti solat hajat untuk penduduk Gaza di Palestin, bacaan Yassin dan doa selamat.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Media Prima, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak.

Antara artis yang hadir memberi sokongan adalah Hijjaz, Ifa Raziah, Azwan Ali, Lidyawati, Anita Baharom, Aziz M Osman, Ahmad Idham, Sharuddin Thamby, Fauziah Nawi, Rozie Rashid, Sabrina Ali dan personaliti TV3.

Pekerja beri komitmen tinggi

SEPANJANG 25 tahun beroperasi, perkembangan stesen televisyen itu turut dirasai pekerjanya yang sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan peningkatan demi peningkatan.

Bagi Sudarnee Shamsuddin, 48, sepanjang 25 tahun berkhidmat bersama TV3 pelbagai suka duka turut dirasai sehingga pernah menolak pelbagai tawaran syarikat lain.

“Saya mula berkhidmat sejak awal penubuhan TV3, bermula di Jalan Liku di Bangsar sehinggalah TV3 berpindah ke Bandar Utama pada tahun 1995.

“Semua perkembangan saya sudah rasai dari pada sebuah pejabat yang kecil dan mempunyai jumlah pekerja yang sedikit sehinggalah ke hari ini di mana pekerja pun sudah susah untuk dikenali.

“Dulu kami seperti sebuah keluarga kerana setiap pekerja mengenali antara satu sama yang lain. Disebabkan hubungan antara kami terlalu rapat membuatkan saya sangat sayang untuk meninggalkan tempat ini walaupun banyak tawaran syarikat lain,” katanya.

Sudarnee yang memulakan jawatan sebagai ketua jurutera di bahagian kejuruteraan TV3 ditugaskan untuk melatih pekerja untuk diserapkan ke semua bahagian.

“Saya adalah salah seorang yang bertanggungjawab memilih pekerja di sini. Bermula di Jalan Liku, Bangsar, pejabat TV3 terus berkembang ke Menara Tun Abdul Razak dan Wisma YPR dan akhirnya ke Bandar Utama.

“Apa yang membuatkan saya terus kekal di sini adalah banyak keistimewaan yang diberikan syarikat kepada pekerja terutama kebajikan pekerja dan rawatan perubatan untuk keluarga.

“Selain itu juga jarak pejabat dari rumah saya sangat dekat dan ia dapat menjimatkan masa saya untuk ke tempat kerja,” katanya yang kini selesa dengan jawatan terkininya sebagai Setiausaha Sulit kepada Pengerusi Media Prima, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak.

Selain itu, Jebat M Roseli, 45 berkata, TV3 sudah menjadi seperti darah dagingnya sendiri kerana memulakan khidmatnya daripada tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam akademik.

“Saya bermula di sini tanpa mempunyai asas yang kukuh bukan saja dari akademik malah pengalaman dalam bidang penyiaran.

“Apa yang dapat saya lihat di sini adalah, TV3 sentiasa memberi peluang kepada setiap pekerja menonjolkan diri untuk meningkatkan mutu kerja. Memang saya tidak mempunyai asas apa-apa di dalam bidang ini dan peluang sentiasa diberi sehinggalah saya selesa dengan jawatan saya sebagai Eksekutif Jurukamera.

“TV3 juga dianggap seperti sekolah saya dan pekerja lain yang mengajar di dalam bidang penyiaran. Banyak pekerja-pekerja yang tidak mempunyai asas bermula di sini dan setelah mendapat pengalaman yang mendalam, mereka mengambil jalan untuk mencuba di stesen televisyen lain dan ada juga yang berani untuk menjalankan kerja sendiri melalui pengalaman yang dikutip di sini,” katanya yang turut pernah mendapat tawaran kerja daripada syarikat lain namun menolak dengan baik kerana terlalu selesa bersama TV3.

Berita Harian

Ombak Hidup Iwan

3 Jan

Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my

Biar sebesar manapun ombak mendatang, anak muda berjiwa kental ini tidak pernah goyah. Begitu metafora hidup Mohd Fairoz Azwan Ali…

PUKULAN ombak besar dan ganas yang menakutkan kebanyakan orang menjadi barang mainan. Lebih tinggi dan ganas pukulan ombak, lebih bersemangat mereka merintanginya.

Begitulah jiwa peluncur. Laut dan pesisiran pantai menjadi lokasi paling digemari kerana di sinilah mereka menguji kehebatan menyusur ombak dengan papan luncur masing-masing.

Biarpun ombak besar di perairan negara datangnya bermusim, ia tetap dinanti si peluncur yang rindukan saat berjemur di bawah terik mentari dan berpesta luncur bersama teman-teman.

Senario ini dapat disaksikan XY-Ikon Lelaki ketika diundang membuat liputan pertandingan luncur antarabangsa, International Surfing Competition-Billabong Pro Am 2008 di pantai Cherating, Pahang, baru-baru ini.

Program anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia melalui Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) Pahang yang masuk kali ketiga ini mendapat sambutan. Ramai tidak mahu ketinggalan menyaksikan peluncur bermain ombak.

Hampir 100 peluncur tempatan dan luar negara mengambil bahagian dalam pertandingan tiga hari itu. Lima kategori dipertandingkan iaitu terbuka lelaki, wanita, junior (bawah 15 tahun), kategori man surfing (35 tahun ke atas) dan body boarding.

XY – Ikon Lelaki juga sempat berbicara dengan seorang peluncur tempatan yang bersaing dalam kategori terbuka lelaki, Mohd Fairoz Azwan Ali.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Iwan, berkongsi kisah hidup peluncur seperti dirinya. Pada pertandingan itu, Iwan mendapat tempat keempat dalam acara terbuka lelaki.

Anak muda berusia 27 tahun ini agak popular di kalangan penggemar aktiviti luncur. Ketika ditemubual, ada saja penyokong menyapa Iwan dan bertanya kedudukannya dalam kategori yang disertainya.

Iwan yang juga anak jati Cherating, menjalani hidup seperti anak muda lain. Dibesarkan dalam suasana pantai, hatinya begitu dekat ombak dan lautan. Kata Iwan, peluncur sepertinya sering bertumpu di pantai Chendor, tidak jauh dari Cherating untuk meluncur.

“Sejak kecil hingga sekarang, pantai menjadi tempat saya menghabiskan masa lapang bersama teman. Boleh dikatakan, pantai dan lautan sudah sebati dengan kehidupan ramai anak muda di sini,” katanya memulakan bicara.

Walaupun sudah 11 tahun berkecimpung dalam aktiviti luncur, kata Iwan, minatnya terhadap sukan luncur masih lagi menebal seperti mengenali papan luncur.

Malah, dalam diam, ada beberapa impian yang mahu dicapai Iwan dalam sukan ini. Ikuti bicara Iwan bersama XY – Ikon Lelaki…

Bagaimana anda diperkenalkan dengan sukan luncur?

Saya diperkenalkan dengan sukan luncur oleh seorang rakan kira-kira 10 tahun lalu. Rakan saya itu adalah antara anak tempatan terawal yang menceburi sukan ini.

Sebelum itu, saya lebih aktif bermain windsurfing. Tapi kos untuk aktiviti ini agak mahal, jadi saya beralih kepada sukan luncur. Kos untuk aktiviti luncur agak murah jika dibandingkan dengan windsurfing. Papan luncur terpakai boleh dibeli pada harga RM500 dan tahan lama.

Adakah sukan luncur sudah terkenal di Malaysia ketika itu?

Populariti sukan luncur ketika itu belum meluas jika dibandingkan dengan negara seperti California dan Hawaii di Amerika Syarikat (AS) mahupun Australia . Peralatan meluncur juga sukar diperoleh dan kami perlu menempah papan luncur dari luar negara yang rekaannya disesuaikan dengan ketinggian tubuh.

Sejak bila anda mula serius dalam aktiviti ini?

Pada mulanya, aktiviti ini hanya dijadikan hobi. Namun, sejak pertandingan luncur mula dianjurkan di peringkat tempatan, saya tertarik menyertainya lantas serius dalam sukan ini.

Pertandingan pertama yang saya sertai adalah pada 2003 dan ketika itu, saya meraih tempat ketiga untuk kategori tempatan. Boleh dikatakan, bila ada saja pertandingan luncur yang dianjurkan, saya akan ambil bahagian.

Sekerap mana anda bermain luncur?

Disebabkan kami hanya dapat meluncur pada musim tengkujuh, kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya. Dalam tempoh antara bulan November hingga Mac, bila saja ada kelapangan, saya akan pergi ke pantai untuk meluncur.

Saya akan turun meluncur lebih kerap bila ada pertandingan yang ingin disertai.

Apa yang menarik minat anda untuk menceburi sukan ini?

Aktiviti air seperti meluncur dapat menenangkan minda dan mengurangkan tekanan. Bagi saya sendiri, perasaan akan menjadi lebih gembira kalau dapat meluncur.

Selain itu, aktiviti ini membuka peluang berkenalan dengan ramai orang, tahu mengenai banyak perkara baru dan bertukar-tukar pengalaman.

Selain sukan luncur, apakah aktiviti lain yang sering anda lakukan?

Bila tidak dapat meluncur di pantai, kami akan bermain bola sepak. Kalau tidak pun kami akan bermain bola tampar atau sukan pantai yang lain. Maklumlah, budak pantai ini, kebanyakan aktiviti tidak dapat lari daripada pantai.

Sepanjang menjadi peluncur, apakah perkara paling menggembirakan anda?

Setiap kali saya memenangi pertandingan luncur. Saya juga paling gembira setiap kali membeli papan luncur baru.

Pernah menempuh pengalaman pahit yang mungkin tidak dapat dilupakan?

Pernah waktu mula-mula belajar meluncur, saya hampir lemas selepas dipukul gulungan ombak besar. Disebabkan panik, saya tidak dapat mengawal keseimbangan badan saya lalu tenggelam timbul serta tertelan air laut dengan banyaknya. Mujur saya selamat.

Adakah peristiwa itu membuatkan anda ingin berhenti dari kegiatan luncur kerana ia berisiko?

Mulanya saya risau tapi minat mengatasi kebimbangan saya. Justeru, saya jadikan perkara ini sebagai pengalaman untuk memperbaiki kemahiran meluncur.

Apa pula impian dan cita-cita anda dalam sukan luncur ini?

Selepas beberapa lama saya meluncur di Malaysia, timbul keinginan meluncur di tempat orang pula. Antara lokasi luncur yang saya ingin pergi adalah di Bali, Indonesia.

Berbeza dengan negara kita, aktiviti luncur di luar negara boleh dilakukan sepanjang tahun. Jadi, tidak hairanlah mereka begitu mahir meluncur dan aktiviti ini berkembang di luar negara. Ombak laut yang lebih mencabar menaikkan semangat saya untuk meluncur di luar negara dan mempelajari pelbagai teknik meluncur.

Bagaimana anda melihat perkembangan sukan luncur tempatan?

Semakin mendapat sambutan ramai dan makin banyak aktiviti membabitkan luncur dianjurkan. Saya berharap, aktiviti sukan luncur tempatan dipergiatkan setanding sukan lain di Malaysia.

Biodata: Nama : Mohd Fairoz Azwan Ali (Iwan) Usia : 27 tahun Tarikh lahir : 21 November 1981 Tinggi : 164 sentimeter (cm) Berat : 52 kilogram (kg)

Berita Harian