Archive | Berita Harian RSS feed for this section

Analisis Undian ABPBH 2009

10 Mar

JADUAL artis memang selalu padat terutama mereka yang sudah masuk kategori popular. Lebih padat jika masuk pula senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Jadi tidak hairanlah jika agar sukar mendapatkan komitmen mereka dalam menjayakan sesi siri jelajah ABPBH2009. Bukan isu asing kerana saban tahun senario ini bagaikan diulang tayang.

Tetapi lazimnya juga, artis yang menghormati usaha Berita Harian dalam menganjurkan sebuah majlis untuk memartabatkan penggiat seni tanah air akan sedaya upaya memastikan mereka dapat turut serta dalam sebarang promosi yang disediakan. Ini termasuklah siri jelajah promosi yang diadakan untuk mendekatkan calon Top 5 dengan pembaca Berita Harian serta pelbagai sesi fotografi dengan penaja ABPBH.

Berita Harian memang senang hati dengan sikap dan komitmen artis sebegini terutama mereka yang ikhlas dan senang hati menghulurkan kerjasama itu. Bukan tiada impak siri jelajah promosi ABPBH atau sebarang fotografi itu kerana undian setiap artis yang muncul di lokasi road tour boleh dilihat peningkatannya. Misalnya, hujung minggu lalu ABPBH berada di Village Mall, Sungai Petani, Kedah.

Undi paling ketara naik mendadak bagi artis yang sebelum ini undian mereka agak perlahan berbanding calon Top 5 yang lain. Misalnya, undian untuk Meet Uncle Hussain & Black dalam kategori Penyanyi Duo/Kumpulan Popular naik mendadak dan semakin kejar mengejar undi dengan Bunkface dan Hujan.

Nampaknya, tanpa Lan sebagai vokalis, sokongan terhadap Meet Uncle Hussain tidak pernah pudar. Peminat dan penyokong setia Adam & Stacy serta 6ixth Sense perlu lebih agresif kalau mahu melihat mereka bersaing dalam kategori ini.

Kemunculan Rozita Che Wan di Sungai Petani juga turut mengubah senario undian dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular. Kalau selama ini, Rozita dilihat sukar didekati peminat, ternyata kehadirannya pada siri jelajah ABPBH2009 mengubah persepsi itu. Peminat sudah mula membuka mata seterusnya meletakkan undian dalam kategori ini tidak lagi tertumpu kepada calon pilihan iaitu Scha Alyahya dan Tiz Zaqyah.

Perkara sama juga berlaku kepada Isma bagi kategori Artis Baru Wanita Popular. Jika selama ini, masih ada peminat tertanya-tanya siapa Isma sebenarnya, tetapi apabila bakat muda ini turun pandang, keadaan mula berubah. Undinya dalam kategori juga sudah menunjukkan kelainan. Isma mula diberi perhatian untuk menjadi pencabar utama kepada Tiz, Yuna mahupun Putri Mardiana.

Hal yang sama juga berlaku kepada Akim. Jelas sekali kehadiran Akim di Sungai Petani membuatkan undiannya dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular berubah secara mendadak. Mungkin kerana kemesraannya ketika bersama peminat ketika itu menyebabkan kedudukan undiannya semakin baik.

Perkembangan semasa juga turut mempengaruhi pola pengundian. Publisiti filem V3: Samseng Jalanan sedikit sebanyak mengubah kedudukan undian Farid Kamil bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular. Begitu juga dengan Lisa Surihani yang undiannya semakin menunjukkan peningkatan untuk memberi cabaran sengit kepada kedudukan Liyana Jasmay, Maya Karin dan Diana Danielle dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular.

Kontroversi Nabil yang menghadapi kes saman memberi impak agak ketara. Peminat bersimpati dengan nasibnya. Ini jelas membantu undian Nabil sebagai tanda sokongan moral kepada pelakon dan bekas raja lawak ini dalam kedua-dua kategori yang menyenaraikan namanya iaitu Pengacara TV Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular.

Kemunculan Ally Iskandar sebagai pengacara Top Host di TV3 menjadikan persaingan dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular semakin terbuka. Dengan Aznil mula turun padang untuk sesi jelajah ABPBH2009 di Sungai Petani, Kedah minggu lalu, manakala Nabil pula dilanda kontroversi menjadikan kedudukan undian antara mereka semakin rancak.

Kedudukan undi Raja Azura dalam kategori Pengacara TV Wanita Popular menunjukkan peningkatan amat positif. Ini mungkin hasil daripada kemesraannya bersama peminat di Sungai Petani minggu lalu. Ini membuatkan kategori pengacara TV wanita menyaksikan persaingan tiga penjuru iaitu antara Raja Azura, Fara Fauzana dan Sarimah Ibrahim.

Paling menarik jumlah undian antara Enot, Didie Alias dan Kenchana Dewi dalam Artis Komedi Wanita Popular yang saling bersaing antara satu sama lain. Walaupun setakat ini, Kechana masih mendahului undi, jumlah undiannya masih diekori dengan rapat oleh Enot dan Didie.

Jadi, kehadiran artis yang terbabit mendekati peminat dalam siri jelajah promosi ABPBH2009 peringkat kedua di Kemaman, Terengganu pada hujung minggu ini mungkin sekali lagi menyebabkan kedudukan jumlah undian boleh berubah secara dramatik.

INFO: Berikut analisis undian sebahagian daripada kategori dalam ABPBH2009 sehingga 7 Mac Aizat dan Faizal Ismail masih kekal saling bersaing sengit bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular. Walaupun undian Mawi juga meningkat tetapi belum dapat mengejar kedudukan Aizat dan Faizal. Sesuatu perlu dilakukan oleh peminat Mawi. Begitu juga dengan Adam.

Nampaknya kedudukan Datuk Siti Nurhaliza melebarkan jarak jumlah undiannya untuk Penyanyi Wanita Popular. Hasrat peminat Stacy untuk mengejar Siti masih sukar. Tapi belum terlambat kerana masih ada masa lagi untuk terus mengundi.

Penyanyi Nasyid Popular – Undian ke atas kumpulan Hijjaz semakin meningkat walaupun sebelum ini banyak tertumpu kepada Rabbani. Hijjaz perlu menggiatkan lagi promosi dan publisiti. Mengekori rapat ialah Raihan dan In-team.

Pelakon TV Lelaki Popular – Apabila Fizz Fairuz dan Fizo Omar menyertai siri jelajah promosi di Sungai Petani, sudah ada peningkatan undi. Mungkin peminat sudah mula mengenali mereka dengan lebih dekat. Adakah ini boleh menyebabkan kedudukan Aaron Aziz dan Fahrin Ahmad tergugat?

Penyampai Radio Wanita Popular – Peminat Linda Onn nampaknya sudah mula buka mata. Undian terhadapnya meningkat meninggalkan calon pilihan Fara Fauzana. Walaupun Fara mempunyai peminat Facebook yang tinggi, tapi dari aspek undian ABPBH ini, masih belum mengatasi Linda Onn. Abby Fana masih mengintai ruang dan boleh membuat kejutan pada saat akhir.

Penyampai Radio Lelaki Popular – Perbezaan jumlah undian antara Aznil Nawawi dan Faizal Ismail amat kecil. Walaupun Faizal menjadi pendahulu kategori ini, tetapi jumlah undinya belum selamat.

Berita Harian

Advertisements

Dengarnya…: Zizan Nikah Hani 19 Mac

10 Mar

LAGI mengenai kisah kahwin. Nampaknya macam musim orang kahwin pula. Umie Aida nak bernikah di Makkah. Sebelum itu, Cik Normah ada cakap pasal Hasnul Rahmat bernikah dengan gadis Indonesia.

Kali ini, Cik Normah nak ucapkan tahniah kepada aktor Zizan Nin yang akan bernikah dengan personaliti bertudung yang juga wartawan penyiaran dan penyampai berita Bahasa Malaysia Edisi 7 di saluran ntv7, Fazilah Hani Datuk Harun (Hani).

Majlis pernikahan Zizan dan Hani dijangka berlangsung selepas solat Asar atau Isyak pada 19 Mac ini di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Majlis resepsi atau bahasa orang biasa, acara kenduri yang berkonsep perkahwinan dalam taman akan berlangsung jam 8 malam di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak keesokan harinya.

Cik Normah tengok sepadan sungguh Zizan dengan Hani. Mesti kalau anak mereka lahir nanti comel belaka. Nampaknya cerita yang pernah Cik Normah kongsi dalam ruangan ini sebelum ini menjadi kenyataan. Ia bukan cerita kosong sebaliknya berisi.

Malah pada 20 Mac ini juga majlis persandingan anak lelaki kesayangan Julie Dahlan, Muhammad Hairi Harmi akan diadakan. Hairi dan isterinya Nur Hafizah Yazid akan bersanding di Tanjong Ipoh, Negeri Sembilan. Mereka bertunang dan bernikah pada 18 Disember tahun lalu di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang.

Nampaknya usia bukan alasan yang menghalang penyatuan dua hati ini. Hairi berusia 34 tahun manakala isterinya berusia 20 tahun. Cik Normah bagaimanapun minta maaf kerana tak dapat hadir untuk kedua-dua majlis ini kerana perlu pulang ke kampung sebelah suami kerana ada majlis kenduri perkahwinan juga.

Berita Harian

Dengarnya…: Gadis Indonesia Pilihan Hasnul

10 Mar

SUDAH lama Cik Normah tak dengar khabar mengenai pelakon Hasnul Rahmat. Cik Normah mula mengenali pelakon ini sejak dia mula berlakon filem KL Menjerit.

Selepas itu, pelakon kelahiran Singapura ini ada berlakon dalam beberapa filem seperti Paloh, Lang Buana, Rock, Gangster dan Maut.

Kemudian, cerita mengenai Hasnul senyap saja. Entah kenapa, tak taulah.

Sekarang Cik Normah sudah jarang nampak kehadirannya di majlis hiburan. Mungkin juga Hasnul sibuk dengan kerja lain kot! Tak kisahlah, asalkan Hasnul berjaya dalam kerja yang dilakukannya.

Cik Normah malas nak memeningkan diri sendiri pasal orang lain. Tapi dalam senyap-senyap itu, ada pihak memberitahu pasal Hasnul. Cik Normah berterus terang saja mengenai khabar terbaru pelakon itu.

Dalam diam, rupa-rupanya, Hasnul akan bernikah dengan wanita dari Indonesia. Cik Normah diberitahu seorang teman, majlis pernikahan mereka akan diadakan di Jakarta pada 13 Mac ini. Cik Normah difahamkan wanita pilihan Hasnul itu bergelar pensyarah seni. Mereka juga banyak berkongsi minat yang sama.

Mereka sudah lama kenal dan memutuskan untuk menamatkan zaman bujang pada tahun ini. Baguslah benda yang baik buat apa nak sorok. Betul tak? Teman Cik Normah beritahu lagi majlis persandingan sebelah pengantin lelaki akan diadakan di Singapura. Nampaknya Hasnul tak buat majlis di Kuala Lumpur.

Tak apalah, Cik Normah nak ambil kesempatan ini mendoakan semoga jalinan perkahwinan antara Hasnul dan bakal isterinya itu akan diberkati Tuhan. Dimurahkan rezeki selalu dan dikurniakan cahaya mata yang sihat. Mungkin lepas ini, kalau ada masa boleh Cik Normah suruh teman sepejabat bertanya khabar terbaru Hasnul.

Berita Harian

Fragmen: Radio RTM Perlu Disegarkan Semula

10 Mar

Oleh Zainuri Misfar

KETIKA ini kita difahamkan semua stesen radio sedang bertungkus lumus menyajikan persembahan terbaik masing-masing kerana satu kaji selidik untuk mencari radio popular dikalangan pendengar sedang dilakukan.

Pastinya kita menunggu apakah HotFM mampu mengekalkan kedudukan sebagai stesen radio nombor satu? Adakah Era mampu merampas semula kedudukan sebagai radio nombor satu? Bolehkan Sinar FM memperbaiki kedudukannya selepas tergelincir di tempat ketiga dalam kaji selidik yang lalu?

Bagaimana pula kedudukan stesen radio RTM, terutama radio peringkat nasional seperti Klasik Nasional, MuzikFM, AiFM, TraxxFM dan Minnal FM serta Asyik FM? Menerusi kaji selidik Nielsen pada Oktober 2009, daripada 10 stesen radio yang menjadi pilihan utama pendengar, empat daripadanya radio di bawah naungan RTM.

Nampaknya, radio RTM perlu menerima hakikat mereka masih ketinggalan. Kalau berdasarkan kajian Nielsen yang lalu, kedudukan terbaik daripada radio RTM ialah daripada radio negeri iaitu di tempat kelima di belakang Hot FM, Era, Sinar FM dan Thr. Bagi radio peringkat nasional, stesen radio Klasik Nasional di tempat kelapan, diikuti dengan Muzik FM (kesembilan).

Memang tidak dinafikan RTM sudah melakukan banyak perubahan terhadap stesen radio masing-masing. Pada 1 April 2005, di bawah Program Penjenamaan Semula RTM, kesemua 32 stesen radio RTM telah bertukar nama.

Kini selepas lima tahun, kesan daripada program penjenamaan itu seolah-oleh belum dapat memberikan satu impak yang benar-benar meninggalkan kesan kepada pendengar.

Bukanlah kita kata tidak ada perubahan. Tidak juga kita hendak bermaksud radio RTM tidak bagus langsung. Memang ada yang baik dari segi pengisian dan persembahannya. Tapi rasanya, aura radio RTM tidak cukup kuat untuk bersaing dengan stesen radio lain.

Nama yang diberikan kepada sesetengah stesen radio itu juga bagaikan satu bebanan besar untuk dipikul. Misalnya, nama MuzikFM. Nama muzik itu sendiri membawa pengertian cukup luas. Adakah dengan nama Muzik FM, maka peranan radio ini hanya memainkan muzik saja? Kenapa tidak ada cerita dan perkembangan pemuzik, penyanyi atau industri muzik tempatan dan antara bangsa. Apa pula skop muzik yang hendak disiarkan. Ketika ini, gaya persembahan Muzik FM tidak banyak berbeza dengan radio swasta lain, malahan sentiasa cuba mengejarnya walaupun masih tidak kesampaian.

Radio Klasik Nasional boleh menjadi kebanggaan RTM. Memang betul Klasik Nasional mempunyai himpunan lagu klasik secara eksklusif, tetapi ia tidak bermakna radio ini sudah berada pada kedudukan selesa. Sinar FM menjadi pesaing hebat kerana persembahan dan penyusunan lagu-lagu retro yang baik. Bahkan Sinar FM secara perlahan-lahan sudah mula mengumpulkan koleksi lagu-lagu lama sehingga ke era tahun 60-an. Mungkin suatu masa nanti radio ini boleh siarkan lagu klasik tahun 50-an.

Sudah agak lama rangkaian radio utama RTM ketinggalan dan kurang mendapat perhatian pendengar, terutama generasi baru.Radio RTM seperti ‘terbiar’ saja. Kita tidak nampak ada usaha dan perancangan secara agresif serta teratur untuk meletakkan radio RTM setanding dengan stesen radio lain. Kelibat radio RTM langsung tidak menghadirkan rasa gerun kepada stesen radio lain.

Sudah tiba masanya radio RTM mengembalikan kegemilangannya seperti yang pernah dikecapi pada era sebelum kemunculan radio swasta.

Hakikat yang perlu diterima ialah Program Penjenamaan Semula radio RTM perlu disemak dan dikaji semula. Sejauh mana nasihat dan pandangan daripada perunding penjenamaan radio pada waktu itu memberi kesan kepada pencapaian radio RTM setakat ini.

Untuk mendapat aura, radio RTM memerlukan produk yang baik. Produk yang bagus itu merangkumi corak persembahan stesen radio dan penampilan personalitinya iaitu barisan penyampai atau juruhebah yang ada ketrampilan.

Produk itu tidak semestinya baru. Tidak juga perlu menukar semua yang ada, yang sudah dikenali, terkenal dan kukuh tetapi dibubarkan semata-mata untuk membina jenama atau program baru.

Mewujudkan segmen baru memang mudah, tetapi untuk menjadikan satu jenama yang kukuh bukan kerja senang. Ia mengambil masa lama. Jika salah langkah, yang dikendong keciciran, manakala yang dikejar tak dapat.

Sewajarnya beberapa program lama, terutama di radio Klasik Nasional seperti Panggung RTM, Lagu Popular Minggu Ini (LPMI) boleh dikekalkan tetapi diperbaiki, dipulihkan dan diberikan imej atau wajah baru yang lebih segar dan menarik.

Radio RTM juga ketandusan personaliti atau juruhebah pelapis yang berkaliber, yang boleh ‘dijual’ dan seterusnya membawa imej serta nama stesen radio yang diwakilinya. Kalau dulu, kita ada Zainal Din Zainal, Noramin, Tengku Mariam atau Kak Yong, Fauziah Zakaria, Prema, Richard La Faber, Fly Guy sehinggalah kepada Zazmie Zain, Noraini Ibnu, Mariamah Tijo dan Sallehudin Haji Ramlan. Mereka masing-masing mempunyai identiti sendiri. Tetapi kini mereka sama ada sudah bersara, berhenti atau bertukar ke bahagian lain.

Sejajar dengan perkembangan semasa, radio RTM memerlukan personaliti atau wajah baru yang segar serta popular dan seterusnya menjadi nadi penting atau anchor kepada setiap stesen radio mereka bertugas. Sekiranya mereka berbakat, apa salahnya diketengahkan sebagai pengacara untuk pelbagai program TV terbitan RTM kerana ini menjadi serampang dua mata.

Dalam pada itu, kita dapati semua laman web radio RTM terlalu daif. Kandungannya bukan saja langsung tidak menarik, tetapi juga hampir semua laman web radio RTM ini seperti tidak pernah dikemas kini. Adakah ia disebabkan radio RTM atau Jabatan Penyiaran dan kementerian sudah kekurangan kakitangan pula?

Radio RTM tidak perlu berasa malu untuk melihat dan meniru sikit gaya serta corak persembahan di stesen radio lain tapi masa yang sama masih boleh kekalkan identiti sendiri. – zainuri@bharian.com.my

Berita Harian

ABPBH: Santai Di Pantai Merdeka

10 Mar

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Finalis ABPBH2009 melepak di pusat percutian yang diberi wajah baru

HEMBUSAN bayu laut yang dingin serta pemandangan menarik Gunung Jerai dan Tanjung Dawai menyambut kedatangan rombongan finalis, media dan krew Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 yang menginap di Pantai Merdeka Beach, Kota Kuala Muda, Kedah. Biarpun rombongan itu tiba kala angka jam sudah pun melewati angka 12 malam, namun rasa penat akibat perjalanan jauh hilang sebaik saja kaki memijak lokasi pelancongan yang baru setahun lalu beroperasi dengan wajah baru itu. Deru angin yang bagaikan mengusap dan membelai wajah menambahkan lagi kesegaran kepada mereka yang pada awalnya dihambat rasa mengantuk. Sejuknya, hingga sampai ke tulang hitam.

Selepas menerima kunci bilik, masing-masing bergegas menuju ke chalet melepaskan lelah. Terasa beruntung kerana chalet yang didiami rombongan ini berhadapan dengan laut. Kelihatan masih ada beberapa tetamu yang menginap di hotel ini menjalankan aktiviti memancing.

Bunyi ombak di pantai dan sesekali kedengaran kicauan burung membuatkan Pantai Merdeka Resort sesuai dijadikan tempat bercuti dan menenangkan fikiran. Memetik kata-kata finalis kategori Pelakon Komedi Wanita Popular, Kenchana Dewi, tempat ini memang sesuai untuk bercuti bersama suami. Hanya mereka berdua, tanpa diganggu sesiapa.

Suasananya yang santai dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan membuatkan lokasi percutian di sini juga semakin popular di kalangan pengunjung dalam dan luar negara.

Ini diakui Pengarah Pantai Merdeka Resort, Zulkhpli Nayan yang memberitahu penginapan yang mula beroperasi pada Februari tahun lalu, menjanjikan satu pengalaman indah kepada pengunjungnya.

“Sebelum syarikat Zubina Jubilee Sdn Bhd mengambil alih pengurusan kawasan ini, tak dinafikan tempat ini kurang mendapat sambutan. Namun, selepas Sultan Kedah meminta saya menguruskan kawasan pelancongan itu ditambah mendapat restu dan sokongan dari Majlis Perbandaran Sungai Petani, kami mula membaik pulih kawasan pelancongan ini.

“Untuk tujuan itu, ia membabitkan kos RM5.1 juta. Modal itu dikongsi dengan kerjasama Kementerian Pelancongan. Selepas berwajah baru, saya lihat ada kemajuan dari segi bilangan pengunjung yang datang menginap di sini,” kata Zulkhpli yang juga seorang kontraktor.

Berkonsepkan tropikal, Pantai Merdeka Resort juga menjanjikan keselesaan kepada pengunjung dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegunaan mereka.

“Kami ada menyediakan pakej untuk seminar, persidangan, hari keluarga, bulan madu, kerja berpasukan dan kem motivasi, selain pakej perkahwinan dan bulan madu dengan harga yang berpatutan.

“Selain itu, terdapat juga aktiviti lasak seperti meredah hutan, bola tampar pantai, futsal, aerobik dan menawarkan khidmat bot untuk ke Tanjung Dawai,” jelasnya sambil memberitahu kebersihan dan keselamatan adalah dua aspek yang amat diutamakan untuk keselesaan pengunjung.

Pantai Merdeka Resort mempunyai 50 unit bilik penginapan, dua dorm dan sebuah kafe iaitu Bayu Beach Cafe.

“Ada konsep selerak (buffet) dan juga hidangan ala-carte (pesanan). Kami menyediakan hidangan BBQ jika ada permintaan daripada pengunjung. Disebabkan bilik yang ada terhad, kami bercadang untuk menambahkan lagi tempat penginapan selain menambah kemudahan lain seperti pusat karaoke khusus untuk pengunjung yang gemar menyanyi,” katanya.

Jika tiada aral melintang, ujar Zulkhpli syarikatnya itu juga akan membuka sebuah hotel di Terminal Lapangan Terbang Bayan Lepas.

Menurut Zulkhpli lagi, lokasi pelancongan itu akan dirasmikan oleh Sultan Kedah, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 26 April depan.

“Lokasi pelancongan ini memang dekat dengan hati baginda kerana ia menyimpan nostalgia sewaktu baginda muda-muda dulu. Istimewanya, baginda mempunyai chalet sendiri di sini iaitu chalet DiRaja yang terletak menghadap pantai.

“Baginda beberapa kali menginap di situ. Insya-Allah, pada 26 april depan, Baginda akan mencemar duli, merasmikan pusat pelancongan ini,” ujarnya.

Mengenai kesudian mereka bekerjasama dengan ABPBH 2009 apabila menaja penginapan rombongan finalis, media dan juga krew, Zulkhpli mengakui pengaruh besar pada anugerah tahunan itu mampu memberikan promosi terbaik untuk Pantai Merdeka Beach Resort.

“Sebagai sebuah acara yang glamor, ABPBH mempunyai ramai pengikut. Secara tidak langsung, apabila kami bekerjasama dengan acara sehebat ini, ia juga adalah satu cara promosi yang terbaik buat kami.

“Lagipun, sebagai lokasi pelancongan yang baru dibuka, kami mahu rakyat Malaysia tahu bahawa Pantai Merdeka Resort sudah berwajah baru. Membabitkan diri bersama ABPBH, saya rasa adalah langkah terbaik untuk merealisasikan hasrat itu,” katanya.

Bagi mereka yang ingin merasakan sendiri kedamaian serta keindahan Pantai Merdeka Resort, bolehlah melayari laman web http://www.merdekabeachresort.com ataupun menghubungi talian 04.4377555 atau 0174787589.

Berita Harian

Program Hati Lelaki Di TV3 Setiap Rabu

8 Mar

TERBARU menerusi jenama Inspirasi Wanita di TV3, program bual bicara Hati Lelaki yang menyelami hati golongan lelaki dari masalah peribadi, persoalan kekeluargaan dan juga pengakuan berani seseorang lelaki sudah bermula siarannya setiap Rabu, sejak 3 Mac lalu jam 11 pagi.

Program bual bicara yang disiarkan selama 30 minit ini dihoskan oleh Abby Fana, seorang pengacara TV yang tidak asing lagi.

Konsep program ini menghalakan kepada kehidupan lelaki dan memberi ruang buat itu lelaki untuk meluahkan isi hati mereka mengenai sesuatu topik.

Bual bicara Hati Lelaki juga menukar perspektif penonton agar dapat menghayati isi hati seorang anak dan adik lelaki, abang, ayah, suami seterusnya teman lelaki.

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar berkata, berbeza dengan program bual bicara yang kebanyakannya menjurus kepada hal ehwal wanita, Hati Lelaki lebih fokus kepada paparan luahan hati lelaki bertujuan mendidik masyarakat memahami isi hati kaum Adam.

“Sekiranya ini terlaksana, ia diharap dapat mengelak salah tanggapan terhadap lelaki dan jangan terlalu mudah menghukum mereka. Cara ini juga dapat memperkukuh dan merapatkan interaksi di kalangan keluarga dan masyarakat agar mendapat persefahaman bersama.

“TV3 berharap inisiatif program ini menerima sambutan yang baik dari penonton khususnya golongan wanita dan golongan lelaki amnya kerana Hati Lelaki adalah lebih peribadi yang membabitkan masalah dalam diri lelaki serta mampu menyentuh hati nurani penonton,” katanya.

Selama 13 episod, Abby Fana akan membincangkan topik bersama tetamu undangannya di studio yang berinspirasi “lelaki” untuk mewujudkan suasana yang santai dan lebih tenang.

Program tersebut turut menggunakan kamera tersembunyi bagi memudahkan tetamu untuk meluahkan rasa hatinya kepada pengacara tanpa kehadiran pihak ketiga.

Pelbagai topik akan diutarakan dalam Hati Lelaki LELAKI antaranya menyelami perasaan lelaki yang ditinggalkan isteri, lelaki yang terperangkap dengan jiwanya sendiri, suami yang berhadapan dengan isteri kayu tiga dan pelbagai masalah lagi.

Berita Harian

'Gempak' Habis!

8 Mar

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Hampir 5,000 peminat banjiri Village Mall dalam siri pertama jelajah promosi ABPBH 2009

ANDAI pilihan raya yang berlangsung setiap lima tahun sekali mempunyai tempoh tersendiri untuk setiap calonnya berkempen, apa kurangnya dengan finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009.

Dan ruang yang diberikan menerusi siri jelajah promosi ABPBH 2009 yang bermula Sabtu lalu di Village Mall, Sungai Petani Kedah adalah cara paling berkesan buat finalis untuk merubah pola pengundian terhadap mereka.

Tidak dinafikan, saban tahun, inilah masanya untuk mana-mana finalis yang bertanding merebut peluang keemasan ini untuk bertemu dan beramah mesra bersama peminat yang selama ini menjadi tonggak kejayaan mereka.

Sejak awal lagi, Village Mall sudah sesak dengan kunjungan peminat yang tidak sabar-sabar untuk melihat artis pujaan mereka dengan lebih dekat lagi. Ada yang datang dari sekitar kawasan berdekatan dan ada juga yang sanggup memandu beratus kilometer. Semua itu sanggup dilakukan demi artis kesayangan mereka.

Biarpun pada awalnya rombongan ini ada sedikit perasaan gusar bersarang di hati memandangkan pada masa yang sama terdapat acara hiburan lain yang berlangsung di Pulau Pinang, namun kebimbangan itu hilang sama sekali sebaik saja melihat limpahan hampir 5,000 pengunjung yang memenuhi ruang legar pusat beli belah itu.


MAWI dan Akim turut memeriahkan jelajah di Sungai Petani.

Riak wajah teruja jelas terpancar di wajah nama yang menyertai acara ini kerana tidak menyangka kehadiran mereka disambut penuh meriah. Kerlipan cahaya dari lensa kamera yang tak henti-henti menyimbah wajah mereka berserta laungan nama setiap finalis bagaikan pembuka kata, tanda menghargai kedatangan mereka.

Biarpun keadaan ketika itu tidak begitu selesa, namun setiap salam yang dihulurkan, disambut dengan penuh keikhlasan dan senyuman tidak pernah lekang dari bibir setiap finalis.

Acara yang berlangsung sejak awal pagi itu dimulakan dengan pertandingan akhir pencarian Bintang Idola Berita Harian (BIBH).Usai acara yang sudah pun memasuki musim kedua itu, barulah siri promosi dijalankan. Seperti biasa, finalis akan diberi kesempatan untuk naik ke atas pentas dan melakukan pelbagai aktiviti yang boleh merapatkan hubungan antara artis dan peminat.

Memang seronok melihat artis sesekali turun padang berjumpa peminat. Ada saja idea mereka untuk mengenakan peminat. Apatah lagi yang menjadi dalang adalah Raja Azura atau lebih akrab disapa Kak Engku serta disokong oleh Along Raja Lawak dan penyampai Hot FM, Suraya yang bertindak sebagai pengacara, tentunya penonton tidak kering gusi dengan telatah dan jenaka yang mereka tonjolkan.


RIBUAN penonton yang memenuhi Village Mall terpukau dengan persembahan Akim.

Menjadikan acara petang itu lebih gamat apabila peminat turut sporting dan tak kisah untuk turut sama melayan permintaan artis pujaan mereka. Ada yang kena berlakon dan ada juga yang kena menyanyi. Malah peminat juga diuji dengan soalan kuiz yang mudah membabitkan acara anjuran akhbar Berita Harian itu.

Pendek kata, suasana di pusat beli belah itu memang ‘gempaq’ dengan aksi artis dan pelbagai ragam peminat yang diundang di atas pentas.

Bukan saja berpeluang untuk merakamkan foto kenangan dan mendapatkan tanda tangan mereka, peminat bertuah juga dapat eronda-ronda sekitar bandar Sungai Petani menaiki kereta Nissan X-Trail 2.0L dan Nissan Grand Livina 1.6L tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.

Teruja dan puas

TERIKAT dengan jadual persembahan yang ketat serta berada di lokasi penggambaran yang tidak tentu masa membuatkan ruang untuk mendekati peminat bagaikan tidak wujud dalam kehidupan sesetengah finalis. Bak kata Kenchana Dewi yang namanya dicalonkan untuk kategori Pelakon Komedi Wanita Popular, menyertai siri promosi ABPBH 2009 ini bagaikan satu kemestian kerana itulah saja caranya untuk dia bertemu peminat yang selama ini banyak menyokong kerjaya lakonannya.

“Masa kita banyak dihabiskan di lokasi. Apabila sesekali dapat mengikuti siri promosi ABPBH, saya rasa seronok kerana dapat bertemu dengan peminat. Berbanding tahun lalu, saya memang tak akan melepaskan peluang untuk turut serta siri promosi ini. Cuma kali ini, saya terikat dengan tawaran berlakon. Keputusan menyertai acara ini pun saya buat saat akhir apabila jadual penggambaran dibatalkan,” kata pelakon yang mula meledak menerusi drama bersiri Puteri.

Pendapat Kenchana itu turut disokong pelakon muda yang semakin meningkat, Fizo Omar yang namanya tersenarai sebagai Pelakon TV lelaki Popular.

“Bukan saja bertemu peminat tetapi juga membangkitkan nostalgia buat saya. Dulu, sewaktu belajar di Perlis, saya ada datang ke Sungai Petani. Jadi, rombongan ini beri kesempatan saya untuk melihat bandar Sungai Petani yang banyak berubah,” katanya.

Keseronokan yang sama turut dikongsi finalis Pelakon TV lelaki Popular, Fizz Fairuzz yang melihat siri promosi ABPBH 2009 membuka ruang untuk dirinya lebih mendekati peminat. Biarpun ini kali pertama Fizz menyertai acara seperti ini, namun jejaka yang namanya meletup sejak membintangi drama Nur Kasih tetap tidak kekok dengan suasana baru itu.

Ketika artis lain sedang sibuk membuat persembahan, Fizz di belakang pentas sempat juga melakukan sesi menandatangani autograf dengan peminat dan bergambar kenangan bersama peminat.

Ruang untuk melobi

SIBUK bagaimanapun, hati peminat perlu dijaga kerana merekalah yang akan menentukan corak pengundian seperti yang dikatakan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2009 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah.

“Artis sebenarnya perlu memanfaatkan ruang yang diberi untuk melobi undian. Memanglah penyertaan mereka dalam setiap siri promosi ini tidak menjanjikan sebarang kemenangan tetapi tidak mustahil kehadiran mereka itu memberi impak yang besar dalam pola pengundian mereka kerana peminat menghargai usaha setiap artis yang sanggup melupakan seketika kerja semata-mata untuk bertemu dengan mereka yang selama ini begitu setia menyokong kerjaya seseorang artis itu,” katanya.

Dek menghargai peminat juga, finalis Pengacara TV Lelaki Popular dan Penyampai Radio Lelaki Popular, Aznil Nawawi turut bermurah hati mempersembahkan lagu popularnya berjudul Profesor Klon. Sempat juga pengacara serba boleh ini memanggil empat orang penonton termasuk seorang peminat cilik untuk menyertainya di atas pentas untuk memakai topeng sambil catwalk di atas pentas.

Berlangsung selama empat jam, siri promosi kali ini juga menarik anak jati Johor yang pernah tiga kali dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Mawi untuk turun padang. Walaupun terbabit dalam acara lain, namun Mawi tetap meluangkan masa untuk bersama-sama menjayakan acara ini.

Tidak melepaskan peluang untuk bersama pada acara yang meninggalkan momen indah kepada semua finalis Meet Uncle Hussain, Rozita Che Wan, Akim, Isma AF, Didie Alias dan juga Enot.

INFO: Corat-coret Rombongan artis dan media ke Sungai Petani ini mendapat layanan cukup istimewa dari staf serta pemandu Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd, yang juga penaja pengangkutan untuk ABPBH 2009.

Sebelum tiba di Merdeka Beach Resort, rombongan dari Kuala Lumpur singgah sebentar di restoran makanan segera Radix Fried Chicken di Bandar Laguna Merbuk untuk menikmati makanan malam.

Biarpun hanya menyatakan persetujuan di saat akhir, namun kehadiran pelakon Kenchana Dewi dan juga Akim AF7 tetap menghangatkan siri promosi ABPBH 2009.

Hanya empat orang artis saja yang menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani dan mereka adalah Fizo Omar, Fizz Fairuz, Kenchana Dewi dan juga Isma AF.

Sewaktu menginap di Merdeka Beach Resort, sempat juga Fizo dan Fizz memancing di laut berdekatan. Khabarnya, banyak jugalah hasil tangkapan mereka pagi itu.

Didie Alias dan Enot bagaikan pasangan kembar siam apabila tidak boleh berenggang walau ke manapun. Di mana ada Didie, disitulah ada Enot berada dan begitulah sebaliknya.

Siri promosi itu memberi kesempatan kepada Fizz untuk menjual poskad yang tertera wajahnya dan setiap pembeli berpeluang mendapatkan tandatangannya dan juga bergambar kenangan.

Setiap penonton yang dipanggil ke atas pentas akan diberi cenderahati seperti payung, karung barangan kemas dan T-Shirt tajaan Habib.

Ikan pekasam menjadi buah tangan paling istimewa yang di bawa balik artis dan media yang menghadiri siri promosi ini.

Makan malam yang disediakan di Restoran D’Jetty 8 Beradik sedap belaka dan terletak di Jeti Semeling, Sungai Petani Kedah.

Berita Harian