Archive | Berita Harian RSS feed for this section

Mesti Tonton: Alice Bentuk 3D Lebih Hidup

6 Mar

Alice In Wonderland versi terbaru mengetengahkan lebih banyak watak

Filem: Alice In Wonderland
Genre: Fantasi, Pengembaraan, Buatan Semula
Pengarah: Tim Burton
Pelakon: Johnny Depp, Helena Bonham Carter, Mia Wasikowska, Anne Hathaway, Alan Rickman, Crispin Glover, Michael Sheen, Stephen Fry, Christopher Lee
Tayangan: Mulai 11 Mac.

APABILA Tim Burton mengumumkan dirinya bakal mengarahkan Alice In Wonderland tidak lama dulu, tentu saja pengikut setia pengarah terbabit tertunggu-tunggu bagaimanakah filem itu akan kelihatan apabila siap kelak. Kini, saat yang dinanti-nantikan itu sudah pun hampir tiba apabila Alice In Wonderland versi 2010 menjengah pawagam negara ini mulai 11 Mac.

Burton amat terkenal dengan penghasilan filem bercorak gelap seperti Beetlejuice, Edward Scissorhands, The Nightmare Before Christmas, Batman, Batman Returns, Sleepy Hollow, Planet Of The Apes dan Charlie And The Chocolate Factory.

Kaya dengan karakter pelik, dunia penuh dengan makhluk serta tumbuhan menakjubkan, cerita yang agak gelap, Burton menukar bentuk persembahan Alice ke alam lebih dewasa walaupun masih kukuh dengan elemen hiburan untuk penonton muda.

Kisah bermula dengan Alice Kingsley, yang kini berusia 19 tahun, menghadiri sebuah majlis keraian di sebuah ladang besar Victoria sejurus selepas kematian bapanya.

Ketika berada di ladang berkenaan, Alice asyik terpandang arnab putih memakai kot pendek serta membawa jam poket. Kerana terkejut apabila dilamar tiba-tiba, Alice berlari menenangkan diri, sambil mengikuti jejak si arnab tadi. Dia terjatuh ke dalam lubang yang dalam, membawanya ke sebuah dunia dikenali sebagai Wonderland oleh penghuninya.

Dia pernah berkunjung ke dunia itu 10 tahun lalu, namun sudah pun melupakannya sama sekali. Di situ, dia diberitahu bahawa dia sajalah yang mampu menyembelih Jabberwocky, seekor naga yang sering menyerang penduduk Wonderland, di bawah pemerintahan Red Queen.

Alice yang pada mulanya berasakan, dia bukanlah calon sebenar yang dibawa turun ke dunia bawah tanah itu, lama-kelamaan mula menyedari tanggungjawab dipikul. Bersama-sama rakan yang ditemui sepanjang pengembaraan, Alice berusaha membantu penduduk Wonderland keluar daripada kezaliman pemerintahan wanita terbabit.

Lebih bermakna, kali ini Burton mempersembahkan Alice dalam bentuk lebih canggih, 3-D. Lalu, visual yang dipaparkan kelihatan lebih hidup dan menarik. Apatah lagi di dunia Wonderland, begitu banyak karakter yang di luar imaginasi kita dapat disaksikan. Hasilnya, menonton Alice In Wonderland yang terbaru bagai memberikan keseronokan berganda. Bukan saja kita dapat menjelajah kembali ke dunia fantasi yang begitu popular sejak berdekad lama, sebaliknya penonton turut bergembira dengan visual yang menakjubkan.

Alice di tangan pelakon baru, Mia Wasikowska, tidaklah mengecewakan. Lakonannya tidak berlebihan, tetapi mampu menyuntik sedikit rasa. Persembahannya banyak mengingatkan kita kepada aktres Gwyneth Paltrow, apabila dari awal filem sampai ke penamat, ekspresi wajah yang tidak banyak berubah ditunjukkan mereka berdua. Sebaliknya, sekujur wajah yang redup dapat dilihat sepanjang filem berputar.

Johnny Depp pula dilihat kurang menyerlah, mungkin kerana sifat semula jadi wataknya atau tenggelam dek solekan tebal di wajah. Cuma Helena Bonham Carter yang memegang watak Red Queen boleh dikira cukup menghiburkan. Berbeza dengan gaya lakonannya sebelum ini, sebagai pemerintah yang garang, pengucapannya menerusi filem ini lebih kasar tetapi kelakar.

Sebuah filem yang harus ditonton penggemar karya Burton dan Alice In Wonderland, filem yang menggabungkan aksi sebenar dengan animasi ini hiburan yang sarat dengan elemen menakjubkan, lawak, aksi serta visual yang gah. Pada masa sama, Burton menyuntik sedikit emosi menerusi beberapa watak di dalamnya, bagi membolehkan karyanya ini turut terisi dengan rasa.

Berita Harian

Dengarnya… Macam-Macam Cara Promosi Lagu

5 Mar

Oleh Normah Becok

SEKARANG ini macam-macam cara dilakukan syarikat rakaman untuk mempromosikan penyanyi mereka. Tidak lama dulu, ada artis yang berkurung dalam rumah kaca, ada juga penyanyi yang naik pesawat ringan, manakala sebahagiannya mengajak rakan media menghadiri majlis pelancaran di tempat yang tidak dijangkakan.

Penyanyi Azlan & The Typewriter juga punya cara tersendiri untuk mempromosikan album sulungnya, Peta Minda, yang dijangka berada di pasaran tidak lama lagi. Ketika ini, Lan dikatakan bersiap sedia untuk mempromosikan single keduanya berjudul Gerak Hati.

Sebagai langkah promosinya, syarikat yang menaungi penyanyi itu, Satu Music, dengan kerjasama U.O.X (X-Pax) menganjurkan peraduan mencipta dan mengarahkan video muzik rasmi penyanyi terbabit.

Dengarnya, antara lain peraduan itu memerlukan peserta mencipta sebuah konsep, idea dan papan cerita video muzik, dan hantarkan penyertaan itu ke Satu Entertainment.

Antara hadiah yang ditawarkan termasuk pemilihan video si juara sebagai video rasmi Lan, wang tunai RM20,000 (untuk ahli U.O.X) dan RM10,000 (untuk bukan ahlinya). Turut disediakan sebagai hadiah ialah album yang ditandatangani sendiri penyanyi itu, serta sijil daripada Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC).

Idea yang dicurahkan ke atas papan cerita itu hendaklah dihantar selewat-lewatnya pada 12 Mac manakala penyerahan video pula pada 12 April. Maklumat lanjut mengenai peraduan itu boleh didapati dengan melayari laman web http://www.fuseasia.com/mov.

Berita Harian

Kalau Ada Jodoh…

5 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini bercakap soal hati, lelaki dan calon suami

“ADA jodoh, adalah. Tiada jodoh tak mengapa. Ia rahsia Tuhan. Kak Pah sentiasa reda dengan keadaan hidup. Soal hati ini biarlah ia menjadi rahsia antara Kak Pah dengan Tuhan. Hanya Allah saja yang maha mengetahui apa yang terbaik buat Kak Pah,” ungkap Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini kala dirinya diusik dengan soal hati, lelaki dan perkahwinan ketika Hip bertamu di kediaman mewahnya di Petaling Jaya baru-baru ini.

Pertemuan Hip kali ini berbeza misi kerana penyanyi berusia lingkungan 50-an yang mesra disapa Kak Pah itu diajak berbicara menyentuh persoalan hidup yang sememangnya sesuatu yang klise. Tetapi barangkali ia perlu dilalui wanita sepertinya yang bergelar ibu tunggal kepada seorang insan bernama Aliff berusia 27 tahun.

Pernah melalui dua fasa perceraian dalam hidupnya, penyanyi Seri Dewi Malam ini dilihat begitu senang hidup berdikari meneruskan legasi seninya yang sudah menerjah lebih empat dekad. Akuinya yang sudah 14 tahun hidup solo, beliau selesa menikmati kehidupannya kini.

“Kak Pah menjalani kehidupan yang sangat tenang dan gembira. Tapi kalau nak cakap sempurna itu, Kak Pah tak berani menterjemahkannya. Kalau setakat nak cakap lengkap hidup Kak Pah dengan kehadiran seorang lelaki bergelar suami, itu bukan definisi sempurna bagi Kak Pah.

“Terma sempurna itu terlalu subjektif. Kak Pah jalani hidup tanpa takut dengan bayang-bayang sendiri. Tapi tipulah kalau Kak Pah cakap perjalanan hidup ini tak pernah sunyi. Ada masa dalam keadaan bersendirian, Kak Pah terfikir alangkah indah saki baki hidup ini ditemani lelaki bernama suami.

“Tetapi harus Kak Pah tekankan perasaan itu hadir pada masa dan ketika. Bukannya selalu. Benar, kalau perasaan itu singgah, sejujurnya Kak Pah rasa sedih. Kak Pah pernah terfikir, kalau Aliff sudah berkeluarga nanti. Kak Pah tak mahu menyusahkan dia dan bakal menantu. Kak Pah harus memikirkan untuk berpisah dengannya,” kata Kak Pah sambil menguntum senyum penuh makna sekali gus menyerlah deretan gigi putih bersihnya.

Apa yang diungkapkan Kak Pah ternyata naluri kewanitaannya untuk mencari kebahagiaan atau dalam erti kata sebenar untuk berkahwin lagi memang ada. Seperti wanita lain, Kak Pah juga mempunyai cita rasa yang sama dalam mencari bakal suami. Ironinya, mencari lelaki idaman bukan semudah mengganti baju.

Lalu, tidak hairan, Kak Pah begitu cerewet dalam soal terbabit. Sambil berseloroh, Kak Pah memberitahu mungkin kerana sikapnya itu, jodoh lambat sampai kepadanya. Mustahil tiada lelaki Melayu yang tidak mahu mendekatinya atau agaknya jodohnya kali ini dengan orang luar. Semuanya tidak mustahil.

Ketika dilontarkan dengan soalan nakal itu, Kak Pah hanya mampu mengukir senyum kerana beliau sendiri tidak mampu menilik masa depan. Tetapi pintanya tanpa bermaksud membelakangkan kuasa Tuhan, jangan dihantar jodoh yang sudah bergelar suami orang.


SELEPAS 14 tahun hidup solo, biduanita negara sedar soal jodoh itu bukan di luar bidang kuasanya.

“Kak Pah mencari lelaki dan suami yang boleh bergelar sahabat baik. Kak Pah suka lelaki yang bijak, menawan, menjaga kesihatan dan penampilan, tinggi, penyayang. Bab rupa paras itu terpulang kepada mata yang memandang. Kalau ada susunan gigi yang cantik itu satu bonus.

“Selain itu, mempunyai sisi humor, berjiwa sensitif dan paling mustahak dia tahu tanggung jawabnya sebagai suami. Biarpun Kak Pah sudah hidup selesa, tak perlulah lelaki itu bergelar jutawan. Cukuplah dia lelaki sejati yang tahu peranannya. Kak Pah juga sukakan lelaki yang pembersih dalam setiap inci dirinya.

“Yang suka mengembara pun okey. Mungkin kriteria yang Kak Pah cari terlalu tinggi. Tapi siapa tahu, suatu hari nanti, Kak Pah akan bertemu jodoh lagi. Kita tak mampu menjangka kuasa Tuhan. Mungkin pada satu tahap, Kak Pah perlu berkompromi dalam soal mencari suami tetapi biarlah ada relevannya,” kata Kak Pah yang menafikan beliau seorang yang ‘high maintenance’ dan apa yang dinikmatinya kini ialah hasil usaha kerasnya.

Sibukkan diri

ENGGAN terus membiarkan dirinya dibuai perasaan dan gejolak hatinya yang dilanda kesepian, Kak Pah bijak menyibukkan dirinya. Dalam setahun, tempoh 10 bulan itu Kak Pah memastikan dirinya sibuk dengan kerjaya seni dan baki dua bulan lagi diisi dengan aktiviti berfaedah seperti bercuti di luar negara atau berehat di rumah.

“Setidak-tidaknya, dalam tempoh dua bulan itu, Kak Pah boleh mengisi masa lapang dengan keluarga dan kawan-kawan. Kalau Kak Pah bekerja secara automatiknya perasaan sunyi itu akan terhakis. Setiap minggu juga, kalau berkelapangan Kak Pah akan mengadakan makan malam bersama kawan.

“Kak Pah pula jenis suka memasak dan mencuba resipi baru. Kak Pah memang suka menjamu kawan-kawan. Selalunya, sesi makan-makan ini kami wujudkan tema biar seiring dengan makanan dan busana yang dipakai. Menu berubah setiap masa. Sesekali dengan menu masakan Melayu, Itali, barbeku dan ada kalanya, kami makan malam romantik dilimpahi cahaya lilin,” kata Kak Pah yang tidak gemar keluar rumah melainkan perlu menyelesaikan kerja dan menghadiri acara tertentu.

Jangan angkuh dengan kejayaan

PERBUALAN petang itu turut berlanjutan mengenai harapan dan jangkaan Kak Pah di dalam bidang seni. Bagi Kak Pah pada tahapnya kini, beliau tidak takut untuk melalui hari mendatang termasuk hari kematian. Katanya, setiap kali bangun meneruskan kehidupan, kita sebenarnya membuat persiapan untuk ke arah itu (kematian).

“Bonus bagi kita semua, jika masih tegar meneruskan kehidupan. Kak Pah sudah melalui segala-galanya selama ini. Pelbagai kemungkinan boleh jadi pada masa mendatang. Kak Pah hanya berdoa untuk diri sendiri, keluarga, sahabat dan musuh supaya dijauhkan penyakit yang tiada ubatnya.

“Kak Pah sudah buat apa yang disukai selama ini. Kak Pah bersyukur masih dikurniakan kekuatan tenaga dan memiliki suara untuk menghiburkan orang. Bergelar artis bukan perkara mudah. Jangan menjadikan tiket artis untuk mengumpan kesenangan cara mudah.

“Setiap hari ialah proses pembelajaran. Kak Pah sentiasa berpegang kepada pepatah Inggeris berbunyi, the biggest room in the world is the room for improvement. Kak Pah sendiri tak sempurna, sentiasa mencari jalan melakukan kebaikan. Merendah diri itu perlu ada supaya kita tak rasa hanya diri kita saja yang terbaik,” tegas Kak Pah.

Tambah Kak Pah lagi, setiap insan yang bergelar artis harus ingat, semuanya bukan sekadar bermodalkan bakat atau rupa sebagai bonus, sebaliknya perlu disertakan dengan jiwa yang tulus, komitmen yang besar dan tahu matlamat sebenar berada dalam industri.

“Tak perlu juga ada istilah skeptikal yang mengatakan seseorang artis itu naik kerana jasa seseorang. Bagi Kak Pah setiap orang mempunyai habuan masing-masing. Tak timbul soal kenang budi atau tidak. Cuma kita jangan angkuh dengan kejayaan yang diterima.

“Cuma kita harus ingat, kita sebenarnya saling bergantung di antara satu sama lain. Sebagai contoh peranan media dengan artis. Pada akhirnya semua berbalik kepada soal situasi menang-menang. Paling penting kita perlu berhati-hati kerana penipuan mahupun dengki itu sentiasa ada di mana-mana,” katanya yang sudah masak dengan selok belok dunia hiburan.

SEPINTAS Syarifah Aini

Lelaki yang tak digemari: Kak Pah tak suka lelaki yang suka berkepit dengannya 24 jam, ke hulu ke hilir bersama. Lelaki itu tak perlu menjadi pengawalnya. Tak suka lelaki yang berbadan besar tapi berjiwa kecil. Tak suka lelaki yang cepat buruk sangka, kuat cemburu dan tak berfikiran terbuka.

Jualan meja persembahan Up Close And Personal With Datuk Sharifah Aini pada 17 April ini di Hotel Concorde sangat memberangsangkan. Kak Pah juga merancang permainan rahsia yang akan dilaksanakannya pada hari terbabit. Tetamu dan peminat yang akan hadir juga berpeluang untuk makan malam istimewa bersamanya dengan menjawab soalan pada acara itu. Kak Pah juga mendapat permintaan untuk berduet dengan tetamu. Untuk yang berminat membeli meja boleh menghubungi pihak Lime Event di talian, 019-3488054 atau 012-9332373. Ataupun emelkan pertanyaan ke limeevent@gmail.com

Mengakui dirinya masih menjalani terapi ‘cleanerholic’ kerana sukakan kebersihan sepanjang masa. Bukan hanya kebersihan diri tapi juga dalam soal yang membabitkan rumah.

Sangat sentimental jiwanya. Kak Pah suka mendengar lagu mengikut mood yang dirasainya. Di rumahnya sudah terkumpul 7 ribu cakera padat yang tersimpan di bilik buku dan pejabat mininya. Jika memilih untuk mendengar lagu klasik, artis pilihannya seperti Josh Groban dan Luciano Pavaroti.

Teringin bertemu dengan personaliti popular Hollywood, Oprah Winfrey kerana itu impiannya sekian lama. Kak Pah memandang Oprah sebagai inspirasinya malah sudah mengikuti perkembangan Oprah sejak lebih 20 tahun. Kak Pah gemar menonton program bual bicaranya. Bagi Kak Pah, Oprah sangat bijak, sensitif dan hatinya cantik. Apabila memandang Oprah, Kak Pah secara jelasnya boleh mengaitkan wanita berkulit hitam itu dengan dirinya kerana Kak Pah juga mudah terasa hati terhadap orang yang kurang bernasib baik, sebagaimana Oprah. Dalam simpanan, Kak Pah mempunyai empat buah buku autobiografi bukan rasmi mengenai Oprah.

Berita Harian

Cinta Que

5 Mar

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Calon Top 5 ABPBH2009 akui kehadiran Tengku Ratu banyak mengubah persepsi mengenai hidup

TIDAK lama dulu, pelakon Que Haidar atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 31, tidak berapa menggemari kanak-kanak. Dan, ia bukanlah perkara luar biasa. Kanak-kanak dilihat sesetengah individu sebagai suka membuat bising, comot dan tidak mendengar kata.

Namun, lama-kelamaan sikap itu berubah juga akhirnya. Que sendiri mengaku, berlaku perubahan dalam dirinya sebelum dia berkahwin dengan pereka tari terkenal, Linda Jasmine. Tanggapannya pada kanak-kanak nyata sudah mula berubah.

“Agaknya, apabila seru sudah sampai, sikap kita pun mula berubah. Ibu saya (Rahmah Hussein, 57) sendiri terkejut dan berbangga dengan perubahan yang ketara dalam diri saya. Daripada lelaki yang kurang menggemari kanak-kanak, saya akhirnya menjaga sendiri anak saya,” cerita Que.

Que berkata demikian tatkala ditemui pada majlis memperkenalkan puteri sulungnya, Tengku Ratu Haidar, yang kini berusia empat bulan. Ratu dilahirkan secara pembedahan di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Ampang, pada 26 Oktober tahun lalu.

Akuinya lagi, apabila sudah tiba waktunya, perasaan kebapaan itu datang dengan sendiri, sebagaimana dia berasakannya tatkala menunggu kelahiran bayi pertamanya bersama Linda. Menerusi perkahwinan pertama, Linda dikurniakan anak lelaki, Qalif Khan, 10.


EIZLAN YUSOF dan keluarga turut memeriahkan majlis memperkenalkan Tengku Ratu di Bora Ombak, baru-baru ini.

“Sewaktu Linda sedang dipersiapkan untuk pembedahan, saya menangis di luar bilik. Saya menangis kerana cukup bersyukur akan bergelar seorang bapa. Apabila doktor mengeluarkan Ratu daripada perut Linda pula, saya berasakan, sayalah yang sepatutnya berbuat demikian. Entah dari mana datangnya segala kekuatan berkenaan sedangkan, sebelum ini saya cukup takut dengan darah.

“Apabila Ratu lahir, saya lihat wajahnya. Saat itu, ada dua perkara yang bermain di minda. Pertama, kalau saya mati pun selepas ini, ia tidak mengapa kerana saya dapat rasa diri saya berada dalam dirinya. Kedua, kehadiran Ratu membuatkan saya ingin hidup lebih lama, untuk menjaga dan membesarkannya,” ujar Que yang bercuti selama tiga bulan untuk memberikan perhatian kepada isteri dan anak yang baru dilahirkan.

Kata Que lagi, menyaksikan sendiri kelahiran Ratu membuatkannya lebih menghargai pengorbanan seorang isteri dan ibu. Katanya, betapa golongan wanita begitu kuat semangat mereka ketika bersabung nyawa melahirkan anak. Kekuatan itu belum tentu wujud dalam diri golongan Adam.

Selepas dijaga selama dua minggu oleh ibunya, Que kemudian menjaga sendiri anak kecil terbabit, di samping mendapat pertolongan pembantu rumah. Katanya, sedikit pun dia tidak kekok untuk memandikan bayinya, menukar lampin, malah menyusukan anak comel yang kini mempunyai berat tujuh kilogram lebih itu.

Sampuk Linda, Ratu seorang bayi yang kuat minum susu. Lalu, katanya secara bergurau, berat yang hanya 2.29 kilogram ketika dilahirkan kini cepat naik.

“Secara dasarnya, Ratu seorang yang peramah dan sukakan keadaan apabila ramai orang berkumpul. Begitupun, ada masanya dia menjadi agak sensitif dan sukar untuk dipujuk. Dia juga kuat membebel dengan nada suara yang tinggi,” kata Linda, sambil Que secara berseloroh menuding jari ke arahnya.

Sambung Que, bayi mereka itu tidak takutkan air ketika dimandi dan cukup mudah untuk dijaga. Kadang kala, Ratu akan tidur semalaman dan akan hanya bangun untuk menyusu keesokan paginya.

Pada majlis itu, walaupun keadaan cuaca agak panas, namun Ratu langsung tidak meragam. Diarak masuk ke dalam dewan utama Bora Ombak oleh ibu bapanya kira-kira jam 4 petang, Ratu memang menjadi tumpuan. Bukan saja comel, malah bayi ini memang tidak punya kerenah.

Lalu, tidak lama kemudian, dia bergilir-gilir diambil oleh rakan artis yang turut hadir menceriakan majlis. Antaranya Mawi dan Ekin, Eizlan Yusof dan Vie Shanti, Adlin Aman Ramlie dan Emelda Rosmila, Sofia Jane dan ramai lagi.

Ingin tambah zuriat

MENURUT Que, dia teringin mempunyai beberapa lagi cahaya mata selepas kehadiran Ratu dalam hidup mereka. Linda juga berkongsi keinginan sama, walaupun dia tahu keperitan melahirkan anak bukan kepalang.

Apatah lagi Linda seorang yang alah kepada ubat penahan sakit.

Bercerita mengenai pengalaman melahirkan Ratu, Linda memberitahu kesakitannya cukup dirasa, terutama selepas ubat bius mula hilang kesannya. Dia terpaksa menghabiskan banyak masa di katil dan saat itu, setiap pergerakan cukup dirasa menyeksakan.

Namun begitu, dia tidak menjadikan alahannya pada ubat penahan sakit sebagai halangan untuk terus mempunyai anak. Cuma, kini dia tidak perlu lagi berkira-kira mahu mendapatkan anak lelaki atau perempuan, kerana kedua-duanya sudah pun dikurniakan Tuhan kepada mereka.

Linda juga mengaku, jika ingin hamil lagi, dia perlu melakukannya segera kerana usianya sendiri kini sudah mencecah 38 tahun. Begitu juga dia perlu berhati-hati kerana selepas dua pembedahan (Qalif dan Ratu), kelahiran berikutnya juga pasti menerusi cara yang sama.

“Jika diikutkan nasihat doktor, saya tidak boleh hamil enam bulan selepas pembedahan. Memanglah kami mahukan anak lagi. Jadi, seawal-awalnya mungkin selepas kami tamat bertugas di Akademi Fantasia musim kelapan nanti,” katanya yang mengaku lebih bersedia untuk bergelar sebagai ibu, berbanding kali pertama melalui pengalaman sama kira-kira 10 tahun lalu.

Ditanya mengenai perancangan masa depan anak-anak, kedua-dua selebriti ini menegaskan betapa mereka mahukan masa depan terbaik buat Qalif dan Ratu.

“Paling penting, kami pastikan kedua-duanya mempunyai simpanan. Daripada hadiah yang diberikan sewaktu hari lahir dan sebagainya, kami ketepikan sedikit untuk masa depan mereka. Kita semua sedar, pendidikan begitu penting untuk anak-anak. Pada masa yang sama, pendidikan moral juga amat kami titik beratkan,” kata Linda.

Que pula menegaskan, seandainya anak mereka ingin menjadi seorang pelakon, dia mahu mereka menjadi pelakon yang jauh lebih baik daripada dirinya.

Berita Harian

Teater Fahami Falsafah Minang

4 Mar

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

BARISAN pelakon Teater Muzikal Teratak Minang.

Langkah Den Wahab dan Istana Budaya perkukuh nilai jati bangsa serumpun

AKHIR-akhir ini Malaysia dan Indonesia sering dibelenggu isu mengenai ketuanan budaya khususnya beberapa budaya yang dibawa bersama suku yang berhijrah ke Tanah Melayu.

Salah faham berlaku mengenai warisan budaya dan ia melampaui batasan sempadan negara terutama negara serumpun Indonesia. Segelintir masyarakat yang tidak faham dan berfikiran negatif menyebabkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia terganggu walaupun bukan di tahap yang serius.

Lantas, pelbagai langkah diambil kerajaan bagi meredakan salah faham antara dua negara ini termasuklah melalui cabang seni yang dilihat lebih halus dan beradab.

Inisiatif syarikat penerbitan Global Network Entertainment Sdn Bhd (GNE) dengan kerjasama Istana Budaya (IB), Teater Muzikal Teratak Minang menjadi perantara terbaik mengangkat kedua-dua budaya negara ini sebagai satu budaya serumpun yang tidak boleh dipisahkan.

Pengarah Urusan GNE, Den Wahab berkata, teater ini merujuk kepada pautan budaya Melayu dan Minangkabau dari Sumatera Barat Indonesia sukar untuk memisahkan apatah lagi memutuskan ketuanan budaya itu.

“Seperti mana yang kita tahu, ketamadunan dulu kala tidak dibatasi garis sempadan negara ini disebabkan penghijrahan manusia dari suatu tempat ke tempat yang lain. Penghijrahan ini membawa bersama adat, budaya, keturunan dan cara hidup yang dipraktikkan dan sukar untuk dipisahkan lagi.

“Teater ini juga bertujuan berkongsi nilai positif dari budaya, pepatah dan falsafah Minang bagi memperkukuhkan nilai jati bangsa serumpun melalui budaya dua hala dengan fokus terhadap satu etnik iaitu Minangkabau,” katanya yang juga bertujuan mengutip dana bagi mengisi Tabung Bencana Gempa Bumi di Padang, Indonesia.

Teater Muzikal Teratak Minang yang akan dipentaskan pada 16 hingga 18 April depan adalah salah satu pengisian yang menghiasi kalendar IB dalam slot Salam Serumpun.

Teater ini adalah cetusan idea Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika kunjungannya ke Padang, Indonesia menghantar bantuan kepada mangsa gempa bumi tahun lalu.

Menurut Den, kesinambungan dari cabaran dan sahutan menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Dr Rais Yatim termasuk Ketua Pengarah IB, Muhammad Juhari Saarani, teater ini akan direalisasikan dengan restu dan sokongan mereka.

“Teater ini berkonsepkan teater moden berunsurkan falsafah dan budaya Minangkabau yang memaparkan kesamaan dalam perbezaan budaya Negeri Sembilan setelah proses evolusi budaya berabad lamanya.

“Ia akan mengambil masa masa selama satu jam 45 minit yang akan diiringi 30 pemuzik secara langsung di bawah pimpinan Pengarah Muzik Pak Ngah. Disamping itu juga, penari dari Artistana IB dan kumpulan Laman Marawa pimpinan Pak Din dari Ulu Beranang serta kumpulan tari Sofyani Group Dance dari Indonesia serta membariskan enam pelakon negara ini dan enam pelakon Indonesia,” katanya.

Pelakon negara ini terdiri daripada Razali Hussin, Ally Noor, Mastura, Ebby Yus, Razali Buyung dan Datin Rosnani Jamil. Sementara pelakon Indonesia seperti Eddy Silitonga, Elly Kasim, Hengky Zubir, Nadia Rosadi, Sanggar Budaya Soyani Dance Group dan Trio Ganto Rio.

“Besarlah harapan kami agar kerajaan Negeri Sembilan dan badan korporat tampil menghulurkan sumbangan bagi memantapkan lagi persembahan teater ini secara tidak langsung membantu kerajaan memperkasakan budaya tempatan,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Pelakon, Razali Hussin berkata, biarpun negeri asalnya Pulau Pinang, namun watak sebagai Uda yang akan menggunakan dialek Negeri Sembilan tidak menghadapi masalah baginya.

“Sebelum ini juga saya pernah melakonkan beberapa watak yang menggunakan dialek Negeri Sembilan dan Insya-Allah saya mampu melakukannya. Dialek Negeri Sembilan dan Minang walaupun sesekali dengar tidak jauh bezanya namun ia tetap mempunyai maksud yang lain dari segi sebutan.

“Namun di dalam teater ini juga saya diminta untuk menyanyi dua atau lebih lagu Minang termasuk menari dan bersilat,” katanya.

Sinopsis

———

Buyung anak kelahiran Padang, Indonesia melahirkan hasrat untuk merantau. Dia bercita-cita mencari rezeki di tanah Malaysia. Perasaan ingin merantau kian membara agar gadis Minang yang dicintai, Siti Nurbahyah dapat disunting. Sebagai tradisi, anak muda Minang disaran agar merantau ke negara orang untuk menimba ilmu, pengalaman supaya pulang nanti menjadi orang yang bertanggungjawab kepada keluarga.

Sesampai saja di Malaysia, Buyung tinggal di rumah bapa saudaranya Pak Wahab adik kepada ibu Buyung. Pak Wahab sudah lama tinggal di negara ini bersama sahabatnya Ujang dan mengusahakan perniagaan sendiri. Buyung membantu perniagaan Pak Wahab. Cinta Buyung kepada Siti Nurbahyah semakin mendalam. Rindunya tidak terkira sehinggalah terzahir berita yang meluluhkan rasa seluruh jiwa apabila Siti Nurbahyah akan dinikahi atas permintaan bapanya. Buyung kehilangan punca, harta yang dikumpul tidak bererti lagi. Lisa gadis tempatan yang sering ditemui di pasar malam setiap hari berjaya membalut cinta luka Buyung.

INFO: Pementasan Teater Muzikal Teratak Minang

Pementasan pada 16 hingga 18 April ini bermula jam 8.30 malam di Panggung Sari Istana Budaya.

Teater ini bakal dilakonkan oleh enam pelakon utama dari Malaysia dan enam Indonesia seperti Razali Hussin, Ally Noor, Mastura, Ebby Yus, Razali Buyung dan Datin Rosnani Jamil. Sementara pelakon Indonesia seperti Eddy Silitonga, Elly Kasim, Hengky Zubir, Nadia Rosadi, Sanggar Budaya Soyani Dance Group dan Trio Ganto Rio.

Teater arahan dan karya Lokman Ghani akan diserikan dengan lebih 20 lagu Minang dan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Pak Ngah.

Tiket mulai dijual bermula 12 Mac ini dengan harga bermula RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150 yang boleh didapati dengan menghubungi Tiket2u 03-4026 5558 atau di Box office Istana Budaya, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Berita Harian

Empat Filem Terbaik Hong Kong Di Ntv7 Sepanjang Mac

3 Mar

SEPANJANG Mac ini, empat filem terbaik Hong Kong iaitu Fate Fighter, Dancing Lion, Seoul Raiders dan The New Option bakal disiarkan menerusi ntv7 setiap Jumaat mulai 5 Mac ini.

Empat filem yang bakal disiarkan jam 10 malam setiap minggu didahului dengan barisan pelakon mantap dan sarat dengan elemen komedi menerusi filem Fate Fighter. Nick Cheung memainkan watak utama sebagai Leung, seorang pemain judi amatur. Berbeza dengan adik tirinya, Yat, Leung seorang yang cukup malang sepanjang hidupnya. Yat kini adalah ikon dalam dunia Kasino, dan digelar Dewa Judi, manakala Leung pula semakin miskin hari demi hari. Tidak pernah kenal erti kalah, Leung berikrar untuk mendapatkan kembali hartanya yang dimiliki oleh Yat dan berkeras untuk menandinginya di meja Kasino. Berjayakah Leung menumpaskan Yat?

Selain itu, ramai yang mengatakan bahawa tarian singa adalah elemen utama dalam sebuah perayaan Tahun Baru Cina kerana ia melambangkan keindahan, budaya dan sejarah asal masyarakat Cina. Menerusi filem Dancing Lion yang akan disiarkan pada 12 Mac ini ia mengisahkan Gai, seorang pengurus yang mempelajari seni tarian singa di bawah tunjuk ajar datuk saudaranya.

Berbekalkan ilmu pemasaran yang dipelajarinya di universiti, Gai dan sahabat karibnya berjaya mencetuskan fenomena dengan mengumpul lebih ramai peminat seni itu. Filem ini turut mempamerkan persembahan tarian singa yang mengagumkan di samping menawarkan aksi yang lain dari lain iaitu elemen moden dalam sesebuah tarian singa tradisional. Filem ini dibarisi pelakon handalan termasuklah Francis Ng, Anthony Wong, Lam Chi Chung serta Teresa Mo.

Seterusnya, berlatarkan kesibukan kota Hong Kong, Seoul Raiders memuatkan kombinasi babak cinta dan aksi hebat seperti mana yang dipaparkan dalam prekuelnya Tokyo Raiders yang dihasilkan pada tahun 2000. Seoul Raiders menyaksikan kembalinya Ejen Lam (Tony Leung Chiu-Wai). Kali ini, Lam harus bergabung tenaga bersama JJ (Shu Qi), seorang pencuri yang memiliki kepakaran dalam mengenalpasti dan menghasilkan wang Amerika Syarikat yang palsu. Sarat dengan aksi mendebarkan dan babak menggelikan hati, Seoul Raiders adalah sebuah filem gergasi yang penuh dengan barisan aktor dan plot yang menarik. Filem yang pernah memenangi Anugerah Filem Asia dan Anugerah Filem Cannes menerusi pelakon Tony Leung dan jelitawan Shu Qi bakal disiarkan pada 19 Mac ini.

Seterusnya, jangan ketinggalan untuk menyaksikan The New Option yang mengisahkan perjalanan seorang pegawai polis bernama Jackie Yue. Walaupun pernah terbabit dalam sebuah operasi yang hampir gagal disebabkan kecuaiannya, Jackie seorang yang kental dan berdedikasi. Sementara itu, Stone (Raymond Wong), rakan karibnya pula berhadapan dengan masalah apabila terpaksa melatih pegawai baru yang bersifat ego dan sombong. Patrick Tam memainkan watak seorang penjenayah yang digeruni lebih-lebih lagi setelah dia cuba untuk mencipta sebuah operasi rompakan besar-besaran. Filem ini akan disiarkan pada 26 Mac bersama pelakon termasuklah Michael Wong Mun-Tak, Shawn Yue, Raymond Wong Ho-Yin, Patrick Tam Yiu-Man, Osman Hung Chi-Kit, Otto Wong Chi-On, Eddie Peng Wai-On, Eric Tse Hoi-Wing dan juga Suki Kwan Sau-Mei.

Berita Harian

Dengarnya… Rahsia Mimi ONE Langsing

3 Mar

Oleh Normah Becok

Mimi

TERKEJUT Cik Normah melihat bentuk badan terbaru vokalis One Nation Emcees, Mimi yang hadir ke sidang media ketiga Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 baru-baru ini. Bukan main sekeping, Cik Normah tengok bentuk badan Mimi.

Teman sepejabat Cik Normah sempat bertanyakan apa rahsia Mimi. Menurut Mimi, selama lapan bulan, dia banyak meluangkan waktu terluang membuat senaman di gimnasium. Patut pun, Cik Normah tengok Mimi makin cantik. Baguslah, Cik Normah puji mereka yang mementingkan kecantikan sebagaimana Cik Normah.

Menariknya semangat Mimi ke gimnasium disertai teman rapat yang juga anggota One Nation Emcees. Siapa lagi, Jojoelah. Kiranya mereka sama-sama memberi semangat bukan dalam soal peribadi, sebaliknya hal yang membabitkan kesihatan.

Selain itu, Cik Normah tengok Noorkhiriah yang selamat melahirkan anak sulungnya juga sudah kembali kurus. Bukan senang sebenarnya nak kurus balik lepas bersalin. Semuanya perlu disertakan dengan usaha jitu. Tak mahu hangat-hangat tahi ayam.

Teman sepejabat Cik Normah yang melahirkan anak sulung juga sudah kembali ke bentuk badan asal yang boleh Cik Normah kategorikan sebagai comel. Tapi sewaktu, dia mula datang kerja memang nampak kurus. Macam-macamlah ubat diet yang dibelinya. Namun Cik Normah harap, jangan ubat itu disimpan sampai boleh buka farmasi.

Lagi satu, kalau nak kurus, Cik Normah nasihatkan supaya jenguk saja pusat kecantikan sehenti La Sense, Slimming Sanctuary yang juga penaja Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009, kerana di situ semuanya ada untuk mencantikkan diri.

Berita Harian