Archive | Bienda RSS feed for this section

Gerai Metro Di Lumut Esok

25 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

SELEPAS kejayaan Karnival Jomheboh di Ayer Keroh, Melaka dan Kuantan, Pahang, kemeriahan penganjuran Jomheboh diteruskan lagi minggu ini dengan memilih lokasi yang lebih menarik iaitu di pangkalan TLDM di Lumut, Perak.

Seperti penganjuran sebelumnya, pelbagai aktiviti menarik disediakan di gerai akhbar harian bahasa Melayu nombor satu tanah air, Harian Metro/Metro Ahad (HM/MA).

Antara aktiviti disediakan di Gerai HM/MA ialah kuiz 18 tahun Harian Metro, pertandingan untuk kanak-kanak, Mini Personaliti Harian Metro, jualan akhbar, cenderahati, kuiz, uji bakat Metro Idol dan Metro Idol final yang bakal menawarkan hadiah wang tunai kepada peserta.

Barisan artis undangan yang bakal menyemarakkan acara ialah bintang yang digilap daripada program realiti TV Akademi Fantasia (AF) iaitu Aizat AF5, Zila AF4, Amylea (AF3), Wana (My Star LG) dan penyanyi dan pemuzik era 90an, Awang dari kumpulan BPR.

Mereka akan menghiburkan pengunjung serta pembaca setia HM dengan rangkaian lagu popular masing-masing khusus buat warga Lumut yang pastinya tidak sabar menyaksikan artis pujaan dari dekat.

Aizat yang pertama kali membuat persembahan di gerai HM/MA akan menyampaikan lagu daripada bingkisan albumnya sendiri iaitu Fikirlah, Hanya Kau Yang Mampu dan Lagu Kita.

Bintang AF3 yang baru tersingkir dari minggu kesembilan pentas One In A Million (OIAM), Amylea Azizan pula menghiburkan pengunjung dengan lagu seperti I’m Yours (Jason Mraz), Dia (Sheila Majid) dan Akan Tiba (Alif OIAM). Seorang lagi rakan seperjuangan mereka dalam AF, Zila atau Zila Saeron pula menyampaikan tiga lagu dan antaranya lagu duet dengan tunangnya, Along daripada kumpulan Cham (Raja Lawak 2), Jika Kau Kekasih yang pernah dipopularkan Bienda. Dua lagi lagu dirahsiakan untuk memberikan kejutan buat pengunjung nanti.

Wana yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music pula menyampaikan lagu, Semuanya ada di sini, Ku Telah Jatuh Cinta dan Nakal.

Manakala Awang BPR yang sudah tiga kali muncul di gerai HM menghiburkan pengunjung dengan rangkaian lagu seperti Gaza Merintih, Putar Roda Hidup, Walaupun Nyawa Hilang, Kau Dijiwaku dan lagu popular BPR, Dari Sinar Mata.

Eksekutif Penjenamaan HM, Zurani Abdullah atau Bond, berkata, gerai HM/MA dibuka dua hari seawal jam 10 pagi hingga 9 malam.

 

 

“Selain mengadakan pelbagai aktiviti menarik bersama persembahan nyanyian daripada artis undangan, kami juga menyediakan barangan jenama HM untuk dijual pada hari itu. Antaranya, kemeja-T berkolar, beg sandang, topi, yang semuanya dijual pada harga berpatutan.

“Lebih menarik apabila kami turut menyediakan perkhidmatan membuat mock-up muka depan Harian Metro kepada pengunjung dengan bayaran RM5 sahaja.

“Pembaca setia akhbar ini diminta tidak melepaskan peluang mengabadikan wajah mereka dalam mock-up muka depan HM,” katanya.

Bond berkata, pengunjung juga diberi peluang menunjukkan bakat berdansa di gerai HM/MA.

“Peserta yang berjaya juga dapat membawa pulang hadiah cenderahati eksklusif dari HM/MA.

Tidak ketinggalan, penampilan maskot HM/MA, Nabilo bersama naib juara Metro Idol di Bukit Jalil, Disember 2007 Lena,” katanya.

Kata Bond lagi, sejak gerai HM dibuka di Karnival Jomheboh, sambutan yang diterima daripada pengunjung serta pembaca setia HM cukup memberangsangkan.

“Ia dapat dilihat menerusi penyertaan orang ramai yang memberi sokongan padu dalam setiap aktiviti diadakan. Begitu juga dengan pertandingan karaoke Metro Idol serta pencarian mini Gadis Metro. Pihak kami mengharapkan pertandingan ini juga bakal menggilap bakat baru dalam kalangan warga Lumut nanti.

“Pertandingan itu juga menawarkan sejumlah hadiah wang tunai lumayan sebagai ganjaran. Bagi pertandingan karaoke Metro Idol, hadiah wang tunai disediakan sebanyak RM1,000, manakala, Pencarian Gadis Metro pula menawarkan RM300.

“Pada penganjuran kali ini juga, kami mensasarkan lebih 20,000 pengunjung akan membanjiri gerai HM/MA nanti dan jumlah itu akan bertambah pada penganjuran akan datang,” katanya.

“Apa yang penting, pengunjung serta pembaca setia akhbar ini berasa gembira dan dialu-alukan setiap kali mereka berkunjung ke gerai HM. Malah, pada masa sama, acara ini dapat dijadikan platform untuk pengunjung menjalinkan hubungan lebih akrab dengan akhbar yang menjadi pilihan dan kegemaran ramai masa kini,” katanya.

Hadir sama menceriakan acara itu nanti, Pengarang Hiburan HM, Adam Salleh.

Apapun, semua warga Lumut diminta datang beramai-ramai ke gerai HM hari ini dan esok untuk sama-sama berkongsi kemeriahannya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Advertisements

Perjalanan Hidup Bienda

10 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

MENJADI impiannya sejak sekian lama, untuk merakamkan suara secara duet bersama ibu tercinta.

Kini, hasratnya itu tercapai malah, paduan suara antara Nor Razlinda Razli, 24, atau Bienda dengan ibunya yang juga penyanyi dangdut, Sheeda, dapat didengari menerusi lagu Usah Kau Tanya yang dimuatkan dalam bingkisan album terbarunya diberi nama Bienda…Kenaliku.

Kata Bienda, lagu itu mengisahkan perjalanan hidup mereka sejak kecil hingga dewasa. Bahkan akuinya lagu itu antara paling mencabar pernah dirakamkan sehingga pelbagai versi dinyanyikan.

“Memang susah hendak menyanyikan lagu ini, entahlah mengapa. Yang pasti saya dan mama sudah merakamkan lagu ini dalam pelbagai versi dan hasil didengar nanti adalah yang terbaik dapat kami persembahkan.

“Mungkin, cara mama menyanyi kedengaran dangdut sementara saya pula lebih kepada Arab, itu membuatkan proses rakaman lagu ini agak mencabar. Apapun, saya gembira dapat bekerjasama sama dengan mama kerana sudah lama mengimpikan peluang ini.

“Saya pasti, mana-mana artis pun yang mempunyai ibu atau bapa dalam kalangan penyanyi akan melakukan perkara sama seperti saya buat sekarang. Lagipun, antara tujuan merakamkan lagu duet ini adalah untuk memenuhi impian peminat,” katanya.

Merancang menghasilkan album duet pada mulanya, bagaimanapun Bienda mengubah pendirian memandangkan album solonya sudah lama tidak melewati pasaran.

Mengenai kemunculan imej Bienda dan ibunya nanti dalam pembikinan video klip lagu yang dijadikan single kedua itu, gadis cantik ini nampaknya sudah bersedia, tetapi mual serta enggan menghiraukan segala tohmahan dilemparkan kepada ibunya.

“Cakaplah apa pun yang mereka hendak cakap. Saya tidak kisah kerana apa yang saya tahu sepanjang saya sakit, mamalah orang yang menjaga siang dan malam.

“Peduli apa dengan kata orang jika perkara yang mereka perkatakan itu tidak membawa faedah. Sebelum kita menilai seseorang, kita perlu nilai diri sendiri dulu, apakah kita baik dan sudah sempurna?

 

 

“Orang mengata dia macam-macam, tapi saya lihat rezekinya semakin hari bertambah murah bahkan undangan persembahannya lebih banyak daripada saya,” akuinya.

Bienda tidak menafikan dalam Islam, seorang wanita akil baligh wajib menutup aurat, namun biarlah penghijrahan itu dilakukan dengan ikhlas sama ada oleh ibunya atau sesiapa pun.

“Mama saya pernah luahkan hasrat bertudung suatu hari nanti dan masa itu dia sudah tidak mahu menyanyi lagi. Saya menyokong kata-katanya.

“Seperkara yang saya mahu orang tahu walaupun saya bertudung dan mama tidak, tetapi percaya atau tidak dia tidak pernah tinggal solat melainkan ada alasan tertentu. Sedangkan saya terkadang terlupa lebih-lebih jika terlalu sibuk.

“Zaman sekarang kita tidak boleh menilai orang daripada cara berpakaian kerana banyak kes menggemparkan membabitkan wanita bertudung seperti khalwat.

“Beginilah. Soal dosa dan pahala, siapalah kita untuk menyebut apatah lagi menghukum seseorang kerana yang paling layak hanyalah Yang Maha Esa.

“Walaupun mama saya tidak bertudung, dikenali sebagai penyanyi dangdut, dia tetap ibu saya, yang melahirkan dan membesarkan saya. Justeru, saya sebagai anak perlu menghormatinya,” katanya.

Berhubung kesihatannya, Bienda yang menghidap jantung berlubang dan menjalani pembedahan tahun ini, disahkan pulih sepenuhnya.

Kembali bersemangat merencanakan karier seninya, pemilik bersuara merdu ini yang mula menyanyi sejak usia belasan tahun dengan menganggotai kumpulan nasyid Solehah, mengharapkan sinar yang lebih baik melalui percubaan album solo terbarunya.

“Kalau ikutkan selepas pembedahan, saya sudah kembali bekerja, namun pergerakan sedikit terbatas kerana bimbang jika terlalu lasak boleh memudaratkan kesihatan.

“Bagaimanapun selepas disahkan sihat, saya kembali rancak berlakon dan memenuhi undangan nyanyian. Pada Januari lalu misalnya, saya memberi tumpuan 100 peratus pada proses rakaman album baru.

“Ikutkan, proses pembikinannya sudah siap sejak tahun lalu. Namun, disebabkan keadaan kesihatan yang turut memberi sedikit kesan kepada suara, menyebabkan saya dan produser album ini, abang Yasin sepakat membuat semula rakaman lagu.

“Alang-alang kos pembikinan album ini ditanggung sepenuhnya oleh saya, biarlah hasilnya terbaik. Lega rasanya, semuanya sudah siap termasuk fotografi kulit album baru-baru ini,” katanya.

Bertindak selaku penerbit eksekutif, album yang menampilkan Yasin selaku produser dan komposer termasuk Edrie Hashim ini memuatkan lapan lagu. Empat daripadanya lagu baru iaitu Kenaliku, Fatarmogana dan Usah Kau Tanya.

Manakala, Mimpi Laila dendangan Yasin yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu 2001 dirakamkan semula dan diberi nafas baru.

Selain itu, Bienda juga memuatkan kembali lagu Syurga Neraka (ditulis oleh Edrie) yang pernah disampaikan bersama Amy Search dan Youm Wara Youm dinyanyikan bersama Akbar termasuk Penantian yang pernah melonjakkan namanya.

“Kedua-dua lagu itu tidak pernah dimuatkan dalam album saya sebaliknya dalam album Amy Search berjudul Ikon. Manakala Youm Wara Youm sepatutnya dimuatkan dalam album saya yang lalu. Bagaimanapun, Akbar mahukan lagu itu dimuatkan dalam albumnya.

“Produser kami, Yasin juga setuju dengan idea itu memandangkan album Akbar dilancarkan dulu sebelum saya. Sayangnya, ia kedua-dua lagu kurang mendapat publisiti walaupun muziknya bagus.

“Saya tidak mahu membazir dan memilih kedua-dua lagu berkenaan untuk dimuatkan ke dalam album baru saya. Untuk, kedengaran lebih segar dengan memenuhi cita rasa pendengar beberapa elemen dimasukkan manakala Penantian kali ini dihasilkan dalam bentu remix.

“Saya bersyukur dan berterima kasih sangat kepada abang Yasin kerana memberi saya kebebasan 100 peratus untuk memilih lagu, menentukan ‘stail’ muzik dan imej yang di ingini.

“Tidak lupa juga terima kasih kepada Jakel yang sudi menaja kain termasuk Arma yang mereka konsep pakaian ala ‘cleopatra’ semata-mata memenuhi imej yang saya inginkan untuk album ini,” katanya.

Mengikut perancangan awal, album berjudul Bienda…Kenaliku sepatutnya dilancarkan atau berada di pasaran penghujung bulan ini.

Bagaimanapun, dengan pelbagai penganjuran acara berprestij antaranya Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) dan Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-16 (AIM16), dia terpaksa menganjakkan kepada satu tarikh lain yang tidak dapat dipastikan.

“Bagi penggiat seni tanah air, bulan ini boleh dianggap musim majlis penganugerahan. Justeru, saya tidak mahu pelancaran diadakan pada waktu terdekat ini. Berita mengenainya boleh tenggelam dek acara besar itu.

“Lagipun, semua benda sudah siap tinggal lagi tarikh untuk melancarkannya saja belum diputuskan. Kebetulan pula, sebelum rakaman album ini dibuat saya ada merakamkan lagu duet baru, Jiwa Sengsara bersama Yasin menerusi album Kompilasi Pop Etnik.

“Sepatutnya, album ini dilancarkan awal, tetapi entah kenapa dilancarkan agak lewat. Mungkin ia ada kaitan dengan kemelesetan ekonomi sekarang. Jadi, saya rasa eloklah pendengar ‘familiar’ dengan lagu itu dulu apatah lagi ia dipilih sebagai single pertama.

“Kemudian, barulah saya menyusul dengan lagu baru daripada album baru. Insya-Allah, album ini akan menemui peminat dan majlis pelancaran diadakan bulan depan,” katanya.

Menerajui drama bersiri 26 episod, Uda dan Dara yang kini rancak bersiaran selama satu jam di TV9 setiap Jumaat pada jam 9.30 malam, bakat lakonan Bienda mula diperkatakan ramai hinggakan dihujani pelbagai tawaran.

“Banyak tawaran yang diterima khususnya drama dan telemovie. Ada yang sudah dipersetujui, tetapi tarikh ditukar saat akhir lalu bercanggah pula tarikh undangan persembahan saya yang dipersetujui lebih awal. Jadi, terpaksalah saya tolak tawaran itu,” katanya.

Dilantik sebagai duta Dunia Herbs 1 April lalu bagi mempromosikan rangkaian produk yang dikhususkan buat remaja seperti losen badan dan set penjagaan kulit,

Bienda yang beberapa bulan mencuba produk itu sangat teruja dengan perubahan yang dialami.

“Selepas pembedahan jantung, badan saya naik mendadak kerana selera makan bertambah. Sekadar mencuba pada mulanya, tidak sangka krim sapu dan makanan sampingan keluaran Dunia Herbs bertindak dengan pantas dan hasilnya cukup menakjubkan.

“Saya kehilangan lima kilogram dalam tempoh tiga bulan. Cuma kalau hendak dibandingkan dengan bentuk badan asal sebelum sakit, fizikal sekarang sedikit berisi,” katanya.

>Profil

NAMA: Nor Razlinda Razli

PANGGILAN: Bienda

UMUR: 23 Tahun

KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik

ASAL: Kota Bharu, Kelantan

KERJAYA: Penyanyi dan pelakon

ALBUM: Bienda ‘Unik’ dan sebuah album yang belum berjudul

Filem: Kayangan, Budak Kelantan

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Mula Cipta Fenomena

26 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Yuna yang popular dengan lagu Dan Sebenarnya dapat perhatian penganjur persembahan akustik

PERCUBAAN yang bermula sekadar suka-suka akhirnya menjadi satu penanda aras apabila muzik yang diperjuangkannya sejak dua tahun lalu menjadi perhatian dan serius diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Bermula daripada memuat turun lagu ciptaannya sendiri di dalam laman mencari kenalan popular di Myspace Music, anak tunggal berbakat besar bernama Yuna ini mencipta keajaiban yang cukup tersendiri.

Melalui medium Myspace itu, pemilik nama sebenar Yunalis Zarai, 22, mula mencipta rangkaian bagi mereka yang gemar berinteraksi secara maya. Tuah tidak hanya berhenti di situ, kehadiran Yuna menarik minat penganjur dan promoter untuk mengundangnya membuat persembahan akustik dan gig.

Dalam sekelip mata, gadis bertudung ini mula mencipta fenomena. Berpaksi kepada pegangan berani dan sentiasa percaya kepada impian, Yuna pantas meledak apabila lagu nyanyiannya berjudul Dan Sebenarnya mula menjadi siulan ramai. Atas desakan rakan juga membuatkan penulis cuba menghubunginya melalui Myspace untuk mendapatkan Yuna dalam sebuah sesi fotografi yang diaturkan minggu lalu.

Malah, menerusi capaian laman web Youtube, suara dan wajah Yuna lantas dikenali dan menjadi sebutan. Selepas lagunya mula berkumandang di stesen Fly FM dan Hot FM, mula ramai yang tertanya-tanya siapakah dirinya di sebalik suara dan imej bertudung yang jarang sekali lahir menerusi cabang indie.

Kalau ada sekalipun, industri seni tempatan merentasi arus perdana pernah melahirkan artis wanita bertudung seperti Waheeda, Bienda dan Salima, sekadar menyebut beberapa nama.

Temu janji sesi fotografi bersamanya akhirnya direalisasikan, itu pun selepas Yuna kembali dari membuat persembahan Mosaic di Singapura dan kebetulan lapang daripada kesibukan jadual kuliahnya.

Pertemuan pertama dengan Hip, Yuna hadir dengan gaya lazimnya yang dilabel sebagai identitinya. Cukup sekadar menyarung jeans potongan ‘skinny’, kasut sukan, jaket dan tudung berwarna-warni, dia ditemani ibu dan rakannya, Paan.

Gitar berwarna putih menjadi peneman kala lensa kamera mula dipetik. Jika dulu, dia hanyalah gadis dan pelajar biasa, tapi kini siapa tahu hanya dengan sedikit magis, dia mula diterima ramai.


YUNA membuat persembahan Mosaic di Singapura, baru-baru ini.

“Saya tidak menyangka akhirnya semuanya menjadi begini kerana dulu apa yang saya perjuangkan tidak lebih daripada berkongsi rasa muzik dengan orang lain. Saya mula menulis lirik seawal usia 14 tahun, malah saya akui dulu saya bukannya arif dalam bidang komposisi lagu. Beberapa tahun kemudian, saya bermain gitar, itu pun belajar sendiri. Saya mula merakamkan lagu diiringi gitar dan kemudiannya dimuat turun ke dalam komputer riba.

“Mulanya saya gentar dan wujud pandangan skeptikal, mampukah gadis bertudung yang bergerak secara bebas seperti saya boleh diterima. Macam-macam bermain dalam minda, malahan, saya pernah diejek sewaktu kali pertama membuat persembahan. Dengan imej saya yang sebegini, mungkin ada yang memandang lain macam.

“Saya harus berfikiran positif, lupakan perkara negatif yang mungkin mendorong saya daripada tidak terus berkarya. Saya lakukan ini semua bukan kerana glamor mahupun wang ringgit, ia adalah hobi dan keghairahan saya. Saya juga belum layak untuk berada di arus perdana kerana masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya di awal bicara.

Simpan 30 lagu ciptaan sendiri

SELAIN gitar, Yuna turut berkebolehan bermain piano dan bidang yang diceburinya kini turut mendapat galakan ibu bapa tersayang.

Ungkap Yuna, dia mula bertudung sejak berusia 19 tahun dan mempunyai lebih 30 buah lagu yang dicipta sendiri. Memperjuangkan muzik pop rock, Yuna pernah menghasilkan album EP memuatkan empat lagu berbahasa Inggeris dan sebuah lagu Melayu. Khabarnya juga sudah ada syarikat rakaman tempatan dan luar negara yang mula berhasrat untuk menyunting Yuna.

Album itu dibikin menggunakan modal duit bapanya dan lagu Deeper Conversation menjadi single pertaruhannya. Lagu itu mula dimainkan di Fly FM dan kebetulan Hunny Madu mengenalinya sebagai kawan. Bahkan penyampai radio Fly FM itu yang mula memutarkan lagu itu. Sehingga kini, suaranya mula dikatakan mirip penyanyi Norah Jones dan Colbie Caillat.

“Bukan semua lagu saya berentak perlahan dan melankolik. Mungkin apabila ada yang mendengar lagu Deeper Conversation, mereka mengandaikan suara saya persis penyanyi luar negara. Hakikatnya saya memperjuangkan muzik pop rock dan rata-ratanya lagu yang dihasilkan berkait dengan pengalaman diri sendiri dan cerita kawan.

“Saya tak adalah jiwang sangat, biasa-biasa saja. Tipu kalau saya cakap saya tak pernah mengalami fasa bercinta dan kecewa, pengalaman lumrah itu saya salurkan ke dalam muzik. Album EP saya selalunya dijual sewaktu saya membuat persembahan dan turut dijual di beberapa stor muzik terpilih.

“Alhamdulillah, jualan album EP berjaya dijual sebanyak 2,000 cetakan. Dengan hasil jualan itu, saya sedang merancang untuk membikin album penuh memuatkan sekitar 10 lagu. Dua daripadanya dalam bahasa Melayu, manakala selebihnya dalam bahasa Inggeris.

“Sebahagian daripada keuntungan jualan ini juga saya kembalikan semula kepada bapa saya di atas modal awal yang dilaburkannya,” kata Yuna sambil memberitahu lagu Dan Sebenarnya turut diputarkan di Cats FM dan stesen radio di Melaka.

Mahu jadi peguam

SEJAK kecil, cita-citanya mahu bergelar peguam mengikuti jejak bapanya yang bekerja di syarikat guaman. Dunia nyanyian hanya datang tanpa dipinta dan Yuna mengikuti jejak seperti Allahyarham Sudirman dan pelakon Lisa Surihani yang memilih bidang undang-undang dalam masa yang sama, mengasah bakat sebagai anak seni.

“Saya masih ada keinginan untuk bergelar peguam suatu hari nanti, cuma ketika ini saya ketepikan dan seimbangkan ia dengan nyanyian. Ke depan nanti, saya juga bersedia untuk mencipta lagu kepada mana-mana artis yang ingin menggunakan khidmat saya,” katanya yang berminat menulis lagu untuk projek dokumentari contohnya untuk filem pendek indie berjudul The Value Of My Sanity.

Ditanya mengenai bagaimana dia mampu menghasilkan lagu yang cukup puitis, insan kreatif ini berkata semuanya berlaku tanpa diduga. Katanya, waktu malam selalunya menjadi ruang yang mana cetusan inspirasi terus berkembang.

“Apabila tak dapat lelapkan mata, tiba-tiba akan teringat satu situasi atau bayangan keadaan. Bermula dari satu baris ayat, ia dikembangkan dengan alunan muzik mahupun tanpa melodi. Waktu memandu juga ada kalanya saya tak semena-mena boleh timbul idea mencipta lagu,” katanya mengakhiri perbualan.

PROFIL: Yuna

Nama sebenar: Yunalis Zarai
Komersial: Yuna
Usia: 22 tahun
Tarikh lahir: 14 November 1986
Tempat lahir: Alor Setar, Kedah
Hobi: Menonton filem
Idola: Fiona Apple (penyanyi luar negara yang pernah dikenali sekitar 1990).
Pendidikan: Masih menuntut dalam tahun akhir di UiTM Shah Alam dalam ijazah Undang Undang
Emel: yunaroomrecords@gmail.com

INFO: Pandangan Yuna

Bertudung: Menjadi sebahagian daripada tuntutan hidup dirinya dan akan kekal dengan cara begini

Pendidikan undang-undang: Kursus ini banyak mengajar dirinya bagaimana untuk serius dalam kehidupan kerana hampir sepanjang masa, dia mengakui tidak terlalu serius.

Indie: Artis ‘independent’ yang tidak terikat dengan sebarang label, yang menjayakan muzik secara sendiri (Do It Yourself) dan kebelakangan ini penerimaan terhadap terma ini sudah mula dipandang luas. Indie bukan sejenis jalur muzik, sebaliknya ia hanyalah kelompok atau budaya sesebuah perjuangan.

Dunia seni: Sangat rumit dan sukar difahami. Kena bekerja keras untuk betul-betul berjaya.

Berita Harian

Cinta Futsal

20 Mar

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

BUKAN mahu menunjuk atau bermegah dengan mengadakan sidang akhbar mengumumkan secara terperinci detik bersejarahnya yang bakal berlangsung pada 29 Mac ini.

Sebaliknya pelakon dan pengacara Haryati Hamzah atau Yatt, 28, berpendapat ia jalan terbaik dan juga mahu berlaku adil kepada semua media kerana kesuntukan masa membuat persiapan menjelang majlis perkahwinan mereka itu.

Butik pengantin Lynda Rahim di Taman Dagang, Ampang menjadi lokasi sidang berkenaan.

Kata Yatt, dia juga mengambil kesempatan itu mengedarkan kad undangan majlis pernikahan dan persandingannya dengan jejaka pilihan hati, Abdul Mutalib Abdul Shukor, 28, atau lebih dikenali sebagai Talib yang juga pengurus di Sports Planet, Ampang kepada semua wakil media yang hadir untuk sama-sama meraikan hari bahagianya nanti.

“Saya rasa ia cara terbaik memandangkan saya sibuk membuat persiapan. Waktu sama saya ingin perkenalkan bakal suami saya.

“Saya mula mengenalinya empat tahun lalu, tetapi ketika itu hanya kawan biasa. Lama kelamaan keserasian itu datang dengan sendirinya. Talib seorang yang cukup memahami dan tidak pernah mengongkong minat saya pada bidang seni.

“Saya tertarik dengannya hingga setuju menerima lamarannya kerana Talib menerima diri saya seadanya. Pada awal persahabatan dulu, Talib memang berasa cemburu apabila melihat saya bergaul dengan rakan artis lelaki.

“Kini dia sudah faham ia sekadar tugas semata-mata. Apa yang penting dalam hubungan ialah kesetiaan dan saling percaya antara satu sama lain.

“Dia juga tidak pernah meletakkan sebarang syarat kepada saya selepas berkahwin. Apa yang penting, saya tidak melanggar batasan sebagai isteri.

“Dengan restu diberikan itu, saya akan meneruskan kerjaya seni seperti biasa selepas berkahwin. Saya juga sudah bercuti sebulan lebih awal untuk membuat persiapan kahwin.

 

 

“Buat masa ini, saya masih mempertimbangkan dua tiga tawaran berlakon daripada pihak produksi,” katanya.

Sementara itu, Talib berkata, dia memilih Yatt kerana dia wanita yang mempunyai prinsip, bertanggungjawab dan mengutamakan keluarga dalam segala hal.

Yatt juga berbeza sama sekali dengan persepsi awalnya pada golongan artis zaman sekarang.

Katanya, dia diperkenalkan dengan Yatt menerusi seorang rakan ketika Yatt menjadi pengacara Selamat Pagi Malaysia pada akhir 2004.

“Kami mula berkawan rapat kerana masing-masing mempunyai hobi yang sama iaitu bermain futsal. Yatt juga sering bermain futsal di tempat saya bekerja di Sports Planet.

“Kami berkawan biasa selama enam bulan dan selepas itu barulah hati saya terbuka untuk menjadikannya teman istimewa. Selepas dua tahun berkawan, kami terus mengikat tali pertunangan awal Februari lalu,” katanya.

Tambah Yatt, pada masa sama dia juga ingin memperkenalkan penaja utama sekali gus perancang majlis perkahwinan mereka dan juga barisan penaja lain yang sudi menaja dari solekan hinggalah kepada kad undangan pada majlis perkahwinannya nanti.

“Apa yang penting, saya ingin semua orang yang saya sayang terutama keluarga, sahabat handai, peminat dan pihak media sama-sama meraikan majlis perkahwinan kami ini,” katanya.

Mengikut perancangan, majlis pernikahan Yatt dan Talib akan berlangsung di rumah keluarga pihak perempuan di Seremban 2, Negeri Sembilan.

Manakala majlis persandingan berkonsep moden, kontemporari dan tradisional serta bertemakan Cinta Kami bagi pihak lelaki dan perempuan diadakan serentak di Dewan Seri Endon, Presint 10, Putrajaya pada 4 April.

Pasangan ini sepakat memilih mas kahwin RM80.80 sen kerana mereka dilahirkan pada tahun sama iaitu pada 1980. Pihak lelaki akan menghantar lima dulang hantaran dan dibalas tujuh oleh pihak perempuan. Bagaimanapun, mereka sepakat merahsiakan jumlah wang hantaran kerana ia hanya untuk pengetahuan keluarga masing-masing.

Berbanding artis muda lain, Yatt yang baru empat tahun berkecimpung dalam bidang seni dan pernah berlakon dalam drama Kaber Hero Kaber Zero, Bella, filem Impak Maksima dan Kecoh Betul nampaknya cukup bertuah kerana ditaja dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki pada majlis perkahwinannnya nanti.

Katanya, semua penaja adalah mereka yang pernah bekerjasama dengan saya sepanjang empat tahun bergelar insan seni dan mereka menaja atas dasar persahabatan yang sedia terjalin itu.

“Tidak ketinggalan, kawan rapat kami sendiri yang bermurah hati menaja kad undangan sekali gus sama-sama meraikan majlis kami ini,” katanya.

Barisan penaja ialah butik Linda Rahim (menaja baju dan hiasan majlis persandingan), D&D Beauty House (pelamin akad nikah, rawatan kecantikan dan spa), Butik Pesona Anggun (hiasan majlis nikah), Den Wahab dan Udaimatunnur (persalinan majlis pernikahan), Amy Janz dan Fiza Zainudin (solekan) dan Saddiq Solutions (kad jemputan).

Selain itu, Chef Zainal Tanjung Puteri (kek perkahwinan), My Aroma dan KK Cleaning Services (cenderahati), Kickstart Gymnastic (persembahan), Skin Basic (rawatan pelansingan badan) dan Seri Keningau Catering (penaja bersama untuk katering).

Majlis persandingan mereka nanti bakal dihiburkan persembahan artis tempatan yang juga rakan baiknya sendiri seperti Bienda, Fazli Zainal dan Elly Mazlein. Pengacara majlis pula ialah pelakon Serina Redzuawan.

>Profil

NAMA SEBENAR: Haryati Hamzah

TARIKH LAHIR: 13 April 1980

TEMPAT LAHIR: Muar, Johor

PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi Massa dan Pengajian Media.

KERJAYA: Model, pengacara dan pelakon.

DRAMA: Nasi Lemak Kukus, Rencong, Kaber Hero Kaber Zero, Hidayah,

Bella dan Ritma Kolej

FILEM: Impak Maksima dan Kecoh Betul

E-EMEL: yatgwenz@yahoo.com.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

RTM Aktifkan Muzik Tempatan

18 Mar

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

PROGRAM berkonsep muzikal sering kali menarik perhatian ramai sama ada ia siaran di televisyen mahupun radio.

Kini, program muzikal tidak hanya terhad pada persembahan artis menerusi konsert semata-mata, sebaliknya tertumpu pada klip video dan persembahan acara khusus di studio.

Dalam usaha memberi hiburan terbaik kepada penonton, stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil inisiatif memperkenalkan saluran baru yang memberi alternatif pada punca hiburan sedia ada.

Saluran baru yang dikenali Muzik Aktif dilancarkan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Membawa tagline Segalanya Muzik, saluran ini memberi tarikan berbeza menerusi pengisian kandungan apabila hanya memaparkan persembahan artis tempatan seratus peratus menerusi klip video atau konsert.

Menariknya, penonton berpeluang menyaksikan saluran ini selama 24 jam tanpa henti dan ia hanya disiarkan menerusi rangkaian baru di Astro – saluran 180.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Penyiaran, Abu Bakar Ab Rahim berkata, RTM berkeyakinan melancarkan saluran berkenaan selepas ia mendapat respons positif daripada penonton ketika ia mula menjalani proses percubaan untuk projek Pendigitalan Penyiaran RTM pada 1 September 2006.

Ketika itu, percubaan dilakukan selama lima jam sehari untuk tempoh enam bulan membabitkan 1,000 responden menerusi dekoder digital baru RTM.

Katanya, saluran Muzik Aktif antara agenda baru RTM yang mendapat sambutan baik daripada penonton yang mahu ia diteruskan.

Justeru, sejak Mac 2007 hingga kini saluran berkenaan masih menjalani proses eksperimen iaitu ujian dalaman untuk aspek pembangunan aplikasi interaktif.

 

 

“Saluran ini suatu berbeza yang pernah ditonton di RTM apabila ia mengetengahkan konsep muzik Malaysia. Maksudnya, saluran ini hanya menyiarkan persembahan muzikal daripada karya tempatan.

“Walaupun ada lagu yang dinyanyikan penyanyi luar negara, tetapi jika ciptaannya adalah komposer tempatan, ia masih layak untuk disiarkan menerusi saluran baru ini.

“RTM berharap Muzik Aktif ini dapat dijadikan platform terbaik untuk komposer mahupun penyanyi mempromosikan lagu mereka. Saluran ini juga sebenarnya adalah satu daripada tujuh saluran digital baru selain saluran Kanak-Kanak & Remaja, Wilayah, Sukan, Berita, Drama dan Filem.

“RTM turut merancang untuk memasukkan program lain seperti Fenomena Seni dan Santai@1 ke dalam saluran Muzik Aktif pada masa akan datang.

“Usaha memperkenalkan saluran dan program baru ini dianggap penting sebagai langkah untuk penonton mendapatkan siaran digital RTM sepenuhnya pada 2012 nanti,” katanya.

Untuk saluran Muzik Aktif, sebanyak 10 program disediakan iaitu Aktif@Pagi bermula jam 7 pagi hingga 9 pagi diikuti Hits Aktif (9 pagi hingga 12 tengah hari), Muzikal Aktif (12 tengah hari hingga 3 petang), Ritma (3 petang hingga 7 malam), Gema Nurani (7 malam hingga 8 malam), Prima Aktif (8 malam hingga 11 malam), Ritma (11 malam hingga 2 pagi), Irama Santai (2 pagi hingga 5 pagi) dan Gema Mentari (5 pagi hingga 7 pagi) manakala Hidayah pula disiarkan selama sejam pada setiap Jumaat, jam 1 tengah hari.

Pada majlis pelancaran saluran itu yang diadakan baru-baru ini, ia turut dimeriahkan dengan acara permaidani merah dan persembahan ramai artis popular seperti Datuk Dr Ahmad Nawab, Datuk DJ Dave, Datuk David Arumugam, Jeffrydin, Man Kidal, Ning Baizura, Mas Idayu, Waheeda, Akhil Hayy, Bienda, Ali Mpire, Azharina Azhar, Dia Fadila, Aizat dan kumpulan Meet Uncle Hussain.

Persembahan lebih dua jam berkenaan dihoskan penyanyi Izwan Pilus bersama Sazzy Falak.

Harian Metro

Tunggu Waktu Sesuai Naik Pelamin

7 Jan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

YATT bakal bergelar
isteri pada 2009.

Yatt akui belum sedia berkongsi tarikh hari bahagia bersama tunangnya, Abdul Mutalib

SUDAH ada yang membisikkan ke telinga, pelakon dan pengacara jelita, Haryati Hamzah atau Yatt, 28, akan menamatkan zaman solo dengan tunangnya, Abdul Mutalib Abdul Shukor pada April 2009.

Jika ada yang masih ingat, ruangan Dengarnya Oleh Normah Becok pernah menulis mengenai kisah itu. Bagaimanapun, Yatt yang ditemui Hip baru-baru belum mampu memberi kata putus mengenai tarikh hari bahagianya.

Menurut Yatt, gara-gara tulisan Cik Normah di dalam ruang itu, dia dihujani panggilan daripada kenalan dan saudaranya untuk bertanyakan kesahihan cerita itu. Apabila direnung kembali, Yatt mengakui agak terkejut bagaimana kisah itu boleh dihidu Cik Normah.

Bagaimanapun Yatt tidak menafikan yang 2009 bakal menjadi saksi dia bakal diijabkabulkan dengan tunangnya.

Bukan bermaksud ingin berselindung mengenai tarikh hari perkahwinannya, tetapi mohon Yatt penuh tulus, dia berharap supaya pendiriannya dihormati kerana bimbang terlalu awal untuk dihebahkan tarikh sebenar kepada umum. Tambah Yatt lagi, apabila sudah mendapat tarikh yang ditetapkan, dia akan memaklumkan perkara itu kepada rakan media.

“Selain ingin menjadi manusia yang berguna kepada diri sendiri dan keluarga, nampaknya Yatt akan bergelar isteri kepada Mutalib tidak lama lagi. Jangan risau, kalau sudah sampai waktunya, Yatt pasti akan beritahu rakan media. Buat masa ini, baik Yatt mahupun tunang, kami hanya menunggu waktu yang sesuai. Kalau umum terlalu awal, gusar juga kalau yang dirancang tidak menjadi.

“Buat masa ini biarlah kami sama-sama kumpul duit untuk masa depan yang lebih baik. Saya berkahwin dengan orang biasa saja dan bukannya dengan VIP. Insya-Allah, saya akan kurangkan sedikit aktiviti pada awal 2009 untuk memberi tumpuan serba sedikit untuk membuat persiapan kahwin. Sebab hal itu, Yatt terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon drama sebab ia mengambil masa yang lama.

“Yatt hanya pertimbangkan berlakon telefilem dan Insya-Allah pertengahan Januari nanti, Yatt akan bergandingan dengan Fahrin Ahmad mengacarakan sebuah program santai secara langsung membabitkan sukan dan selebriti di RTM. Program itu akan dipancarkan secara langsung,” kata Yatt yang bakal mengacarakan program 4C (Ceria, Cantik, Cergas, Cita Rasa) buat musim kedua.

Menyedari status dirinya dan tunang, Yatt tidak mengimpikan majlis perkahwinan yang terlalu besar. Yang penting, ia ditanggung halal dan tak perlu berhutang dengan sesiapa pun. Lebih suka segala-galanya dibayar secara tunai, Yatt menerima dengan tangan yang terbuka mana-mana pihak yang sudi menaja termasuklah Butik Lynda Rahim, Taman Dagang, Ampang.

Mengenai dugaan semasa bertunang, Yatt memberitahu cabaran paling besar datang dalam dirinya dan Mutalib. Dikurniakan susuk tubuh montok dan raut wajah jelita, pasti godaan akan datang singgah dan mampu membuatkan diri wanita kelahiran Muar, Johor ini leka. Namun, atas kekuatan cintanya terhadap Mutalib, semuanya dilalui dengan begitu kental dan jauh sekali untuk menduakan cinta hatinya.

“Setiap godaan dan dugaan ini, saya dan dia harus tepis dengan sebaik mungkin bimbang boleh melukakan hati masing-masing. Pokok pangkal terletak di dalam diri kita dan saya harus ingat nawaitu saya menyertai bidang seni hanya untuk mencari rezeki dan dijauhkan daripada sikap lupa diri,” katanya yang sudah empat tahun membabitkan diri di dalam dunia seni.

Mengenai kononnya artis bermata cantik ini sudah mula tamak dan menimbulkan masalah di beberapa lokasi penggambaran.

Sambil berseloroh, Yatt menetapkan resolusinya pada 2009 untuk menjadi pelakon yang tamak. Bagi Yatt, tidak berkudis langsung dirinya diperkatakan sedemikian kerana dia yakin dia bukan seperti yang dimaksudkan,

“Cakap belakang dan tuduhan itu semuanya tidak berasas. Perkataan tamak itu sendiri membawa maksud yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Saya tidak melihat situasi itu berlaku, tapi sebagai manusia biasa sekalipun, saya harus merebut peluang yang ada kerana dunia seni adalah mata pencarian, periuk nasi saya,” katanya bersungguh-sungguh.

PROFIL: Yatt Nama: Haryati Hamzah. Lahir: 13 April 1980 di Muar, Johor. Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi Massa dan Pengajian Media. Kerjaya: Model, pengacara dan pelakon. Drama: Nasi Lemak Kukus, Rencong, Kaber Hero Kaber Zero, Hidayah, Bella dan Ritma Kolej. Filem: Impak Maksima dan Kecoh Betul. E-mel: yatgwenz@yahoo.com. Facebook: Taip saja nama Yatt Haryati di kotak carian laman web ini.

INFO: Pernah mengacarakan program Joran Ria, Smart G, 4C, Selamat Pagi Malaysia dan karpet merah Festival Filem Malaysia yang ke-21.

Filem Kecoh Betul menjadi filem kedua lakonannya selepas Impak Maksima

Rapat dengan beberapa nama rakan artis seperti Irma Hasmie, Sherry Ibrahim, Atie AF1 dan Scha.

Bakal muncul dengan sebuah tele filem, Nujum Temberang lakonannya dengan Fizz Fairuz dan Bienda.

Berita Harian

Kenali Gaya: Raja Sehari Anggun Bertudung Labuh

21 Dec

Bakal pengantin jangan jadikan jubah dan bertudung labuh sebagai batasan untuk bergaya pada hari bahagia

Soalan

SAYA akan melangsungkan perkahwinan pada Februari depan. Masalahnya, saya adalah seorang wanita yang sentiasa mengenakan jubah dan bertudung labuh. Bagaimanapun, pada hari istimewa saya nanti, saya teringin untuk kelihatan cantik walaupun dalam persalinan jubah dan tudung labuh. Untuk rujukan, tinggi saya 159 sentimeter (sm) dan berat 48 kilogram (kg).

Shafizawati Nazirrudin, melalui emel.

Jawapan

WALAUPUN berjubah dan bertudung labuh, bakal pengantin tidak seharusnya menjadikan ia sebagai batasan untuk bergaya pada majlis bahagia mereka.


Ismail Abdul Rahman

Kini, butik pengantin muslimah sudah banyak terdapat di serata tempat bertujuan memenuhi kehendak wanita bertudung. Oleh itu kebijaksanaan memilih pereka fesyen tentunya menjamin anda tampil anggun bak raja sehari tanpa perlu menukar gaya tudung.

Biasanya untuk pengantin muslimah, saya akan lakarkan jubah labuh fesyen berpotongan longgar tanpa jahitan ‘dart’ yang boleh memperlihatkan bentuk tubuh mereka.

Kelainan jubah hanya ditekankan di bahagian lain misalnya potongan lengan yang dibuat berlapis menggunakan renda Perancis berlapikkan sutera sifon. Sebagai pilihan, anda boleh pilih untuk mengenakan renda Perancis atau sutera sifon sebagai bahan asas jubah itu nanti.

Bezanya renda Perancis tentunya akan membuatkan gaya tampak mewah tapi pilihan sutera sifon berkualiti juga tidak kurang menarik malah ia tentu tampak cantik pada tubuh anda yang berukuran normal.

Jubah dibuat terbuka di depan seperti potongan kebaya tapi dipotong labuh sehingga menutupi kaki. Di bahagian dalam jubah, padanan kain kembang berpotongan A-line menyerlahkan keindahan busana.

Untuk kelainan, kain kembang payung boleh dipotong tiga keping di bahagian belakang. Kesannya boleh terlihat dramatik persis puteri.

Teliti lakaran di mana ia kelihatan sarat namun perhatikan penggunaan kain renda Perancis hanya di bahagian lengan dan dalam baju membuatkan gaya terlihat seimbang. Bahagian lain dibuat menggunakan sutera sifon dan dijahit perincian manik bagi menampak kemewahan rekaan.

Ikatan tudung sangat penting untuk wanita muslimah kerana mereka pastinya tidak selesa jika merubah gaya bertudung lain daripada kebiasaan mereka. Di Butik Syahirah, kami boleh menggayakan ikatan tudung untuk pengantin bertudung labuh tanpa perlu menanggalkan tudung mereka.

Pemakaian anak tudung sepadan tatahan manik pada baju juga boleh membiaskan pesona pengantin. Jangan lupa lengkapkan persalinan dengan pemakaian layah labuh berpotongan A-line.

PROFIL

Ismail Abdul Rahman

Usia: 39 tahun

Asal: Teluk Intan, Perak

Pendidikan: Diploma Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam

Profesyen: Pereka fesyen dan pemilik Butik Pengantin Syahirah

Antara selebriti yang pernah mendapatkan khidmat butik pengantin milik Ismail ialah Erra Fazira, Ina Naim, personaliti televisyen, Fenda; Bienda dan Waheeda.

Untuk mendapatkan khidmat Ismail, boleh berkunjung ke No 5, Jalan Bunga Kertas 1B/2, Bukit Sentosa, Rawang atau hubungi 013-3707945 atau 03-60215946.

INFO

Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian