Archive | Bintang Pop RSS feed for this section

Berkorban Demi Fantasi Siti

19 Dec

Fizo Omar
Fizo Omar
PENAMAT 2010 yang cukup indah buat Fizo Omar. Selepas berada di lokasi penggambaran filem Kongsi (terbitan Metrowealth, MIG) dan seterusnya Hello (Nusan Bakti Corporation Sdn Bhd), buat pertama kalinya tuah dan rezeki datang menyapanya ke pentas teater.

Anak muda berusia 25 tahun ini diberi dua watak, sebagai Ketua Lipas dan Putera Raja dalam teater muzikal Siti Di Alam Fantasi yang pernah dua kali dipentaskan sebelum ini dan akan menemui khalayak teater di Panggung Sari, Istana Budaya mulai 22 hingga 31 Disember.
Jualan tiket pementasan bersempena musim sekolah itu difahamkan cukup menggalakkan. Malah sejarah di Istana Budaya pernah membuktikan teater kanak-kanak sebegitu mendapat sambutan yang cukup hebat. Diarahkan Aminah Rahpor, teater itu juga buat pertama kalinya menggandingkan Fizo dengan Liyana Jasmay yang memegang watak Siti (sebelum ini Amy Mastura)
Menurut jejaka bernama penuh Wan Hafizol Wan Omar itu, demi teater terbabit, dia melepaskan tawaran sebuah filem, drama dan mengacara.

“Memang saya terpaksa berkorban demi teater ini. Tapi tak mengapa. Setidak-tidaknya berakhir penantian saya untuk bergelar pelakon teater. Harapnya teater ini bukan yang pertama dan terakhir buat saya. Moga 2011 dan tahun mendatang akan terus membuka peluang saya mengasah bakat di dalam medium teater.

“Tambah pula saya dapat menjejaki pentas berprestij Istana Budaya. Sewaktu tawaran ini diterima, saya sedang sibuk melunaskan baki penggambaran filem Hello. Panggilan itu datang daripada orang kuat Istana Budaya, Abang Jo (Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani),” katanya yang ditemui B’Pop minggu lalu dalam sesi fotografi lengkap dengan pakaian Putera Raja.

Selain Liyana Jasmay dan Fizo, teater ini turut menampilkan Johan Raja Lawak, Ebby Yus, Vanida Imran, Umie Aida, Ziela Jalil, Mas Muharni dan ramai lagi. Sebelum teater ini, Fizo pernah digandingkan dengan nama besar seperti Erra Fazira, Fauziah Nawi, Datuk Jalaluddin Hassan dan Zulhuzaimy.

“Apa yang saya boleh katakan, dia (Liyana) seorang yang cukup berbakat. Watak dan karakternya sangat menjadi. Dia memang boleh saya katakan seorang anak seni yang asli. Dia boleh menari, menyanyi dan berlakon. Populariti yang diraihnya seiring dengan bakat semula jadi yang dimilikinya. Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada teater ini.

“Cuma cabaran besar buat saya ialah untuk menari dan menyanyi. Dua bidang ini memang bukan makanan saya. Tapi sedikit demi sedikit, saya cuba membiasakan diri. Kalau nak tengok saya nyanyi lagu berentak rock & roll kenalah datang tengok. Secara keseluruhannya ada 13 buah lagu yang akan berkumandang sepanjang pementasan ini,” katanya yang akan genap tiga tahun di dalam arena seni pada penghujung tahun ini.

Dalam perkembangan lain, nama jejaka yang mula berlakon di dalam drama Elit arahan Rashid Sibir itu turut tersenarai dalam pencalonan awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 untuk dua kategori, Pelakon TV Lelaki dan Pelakon Filem Popular. Dua tahun sebelumnya, Fizo pernah berada dalam Top 5, Artis Baru Popular (ABPBH 2008) dan Pelakon TV Lelaki Popular (ABPBH 2009).

Bagaimanapun untuk kategori Artis Baru Popular, Fizo tewas di tangan Nabil Raja Lawak manakala untuk Pelakon TV Lelaki Popular, ia menjadi milik Remy Ishak. Ikutkan Fizo mahu namanya tersenarai lagi tahun ini sekali gus mencipta rekod tersenarai tiga tahun berturut-turut. Namun melihat kepada saingan tahun ini, dia tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi.

“Persaingan sengit juga tahun ini. Malah kebangkitan muka baru seperti Shah Jaszle dan Sharnaaz Ahmad juga dilihat berpotensi memberi saingan kepada pelakon sedia ada. Begitu juga dengan Shaheizy Sam dan Remy Ishak. Tapi ikutkan tahun lalu, saya sendiri terkejut nama saya tersenarai. Untuk tahun ini, saya mengharapkan kejutan yang sama.

“Soal nak menang itu letak ke tepi. Apa yang lebih penting, jika tersenarai dalam Top 5 ABPBH, saya berpeluang mengikuti siri jelajah sekali gus bertemu peminat yang acap kali diadakan. Tahun lalu saja, semua lokasi saya ikut.

Berdasarkan pengamatan saya, jika ada produk di TV dalam tempoh pencalonan awal ini berlangsung, ia dapat menjadi nilai tambah untuk melobi peminat,” katanya yang berlakon drama Siti Kelembai dan Jersi 9 tahun ini.

Info menarik Fizo Omar

• Dalam pementasan Siti Di Alam Fantasi, Fizo ada empat babak. Katanya, dia banyak belajar mengenai pergerakan dan ruang di dalam teater itu.

• Aminah Raphor pernah menjadi emak kepada Fizo ketika mereka sama-sama membintangi filem Andartu Terlampau. Filem terbabit filem sulungnya sebelum Kongsi dan Hello.

• Difahamkan Fizo akan terbabit dengan sebuah filem lagi bersama Nusan Bakti . Bagaimanapun, ia masih belum dapat disahkan.

• Sudah membintangi lebih 30 buah drama dan telefilem.

• Untuk mengikuti perkembangannya boleh memasuki fanpagenya di facebook, http://www.facebook.com/fofanpage atau twitter @fizoomar. Peminatnya di fanpage hampir mencecah 250,000 orang. Malah menurut Fizo, peningkatan jumlah itu disebabkan drama Siti Kelembai yang disiarkan di TV3 dan TV9 baru-baru ini.

• Tiket menyaksikan Siti Di Alam Fantasi boleh dibeli pada harga RM30, RM50 dan RM150. Untuk pertanyaan, boleh hubungi box-office (03-40265558) atau layari http://www.ticket2u.biz atau http://www.istanabudaya.gov.my.

• Penghargaan lokasi dan busana: Istana Budaya

Bintang Pop

Rosyam Salahkan Tenaga Pengajar?

19 Dec

Tidak puas hati prestasi 16 peserta Pilih Kasih musim kedua

ROSYAM Nor ‘mengamuk’ lagi. Kali ini bukan sebab soal bisnesnya tetapi lebih kepada program Pilih Kasih musim kedua yang sudah pun membuka tirai pada Sabtu lalu di Auditorium Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang. Suasana lebih tegang apabila suara lantang Rosyam Nor, pelakon terkenal merangkap penerbit rancangan realiti itu, menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepada kesemua 16 peserta Pilih Kasih itu.
Difahamkan aktor popular itu sangat kecewa dengan persembahan mereka yang seperti biasa menjalani latihan setiap minggu untuk monolog, drama dan teater bersama tiga pengarah terkenal yang berbeza iaitu Hamzah Tahir, Aziz M. Osman dan Erma Fatima.
Baginya ketiga-tiga tenaga pengajar inilah yang bertanggungjawab untuk membentuk dan mencungkil bakat yang ada pada setiap peserta. Jika bagus persembahan yang ditunjukkan, maka baguslah pengajarannya dan jika sebaliknya, ini menunjukkan kecacatan yang ada pada cara pengarah ini dalam mendidik peserta ini.

‘Saya amat tidak berpuas hati dengan persembahan mereka dan ketiga-tiga pengarah ini patut memainkan peranan untuk mendidik mereka dengan lebih baik.

Dalam melahirkan bakat baru yang berkualiti, tenaga pengajar perlu memainkan peranan masing-masing dengan sebaiknya dan bukan hanya mengajar sambil lewa.

“Peserta Pilih Kasih ini ibarat kain putih yang perlu dicorakkan dengan acuan yang betul dan pengarah inilah yang perlu melakukan yang terbaik untuk mendidik mereka sampai mereka menguasai segala-galanya dengan baik,” tegasnya.

Sekalipun tidak berpuas hati dengan prestasi peserta, Pentas Pertama Pilih Kasih musim kedua turut dikejutkan dengan suatu keputusan yang tidak diduga daripada Rosyam Nor dengan mengumumkan bahawa tiada penyingkiran dibuat.

‘Pada pendapat saya, kesemua peserta ini berada di paras yang sama dari segi persembahan mereka. Walaupun sudah dimaklumkan dengan kedudukan tiga paling bawah melalui khidmat pesanan ringkas pada minggu ini, saya berpendapat kesemua 16 peserta ini sama saja.

‘Keputusan ini juga dibuat atas dasar untuk memberi peluang sekali lagi kepada semua peserta untuk mempertingkatkan lagi usaha dan mutu persembahan mereka untuk minggu akan datang. Program ini diperkenalkan untuk melahirkan bakat baru yang bagus dan bukan hanya untuk menyingkirkan peserta ini satu-demi satu,” katanya.

Minggu pertama Pentas Pilih Kasih 2 turut menyaksikan kesemua peserta cuba memberi persembahan yang terbaik dalam tiga segmen yang berbeza iaitu monolog, drama dan teater. Namun, adakah sejarah Pilih Kasih musim pertama akan berulang dengan diungguli peserta lelaki?

Melalui persembahan Pentas Pilih Kasih yang pertama Sabtu lalu dapat dilihat bahawa peserta lelaki lebih menyerlah berbanding peserta wanita. Di dalam persembahan teater berjudul Setan Punya Ali yang dipersembahkan malam itu, kelihatan dengan jelas peserta lelaki lebih menonjol.

INFO:

Mereka yang berminat untuk menonton Pilih Kasih secara langsung, datanglah ke Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang setiap Sabtu untuk sama-sama menyaksikan kehebatan peserta Pilih Kasih ini dalam menonjolkan bakat lakonan mereka.

Cenderahati dan cabutan bertuah juga disediakan untuk semua penonton yang datang ke auditorium dan hadiah yang menarik menanti penonton.

Bintang Pop

Reza Bakal Pengacara AF9?

19 Dec

Bersyukur rezeki di bidang pengacaraan semakin murah

TAHUN lalu, jejak kelahiran Sibu, Sarawak ini bergandingan dengan Raja Azura mengendalikan program kebanggaan Rosyam Nor, Pilih Kasih. Tapi untuk Pilih Kasih musim kedua bersiaran 11 Disember lalu, Reza bersendirian tanpa ditemani sesiapapun berbanding musim lalu dia mengemudi program itu bersama Raja Azura.
Jangan ditanya sebab ketiadaan pengacara stesen radio nombor satu itu dalam program Pilih Kasih tahun ini kerana Reza tidak ada jawapannya, lalu meminta ditanya saja kepada pihak produksi. Apa yang lebih utama buat pemilik bernama penuh Syaiful Reza Mohamed itu ialah untuk menggalas tanggung jawab mengacarakan Pilih Kasih sebaik mungkin.
“Saya berterima kasih dan bersyukur kerana masih dikekalkan untuk meneruskan mandat sebagai pengacara Pilih Kasih 2. Bagi saya tak kisahlah mengacara bersendirian atau berdua kerana masing-masing memberikan keghairahan tersendiri.

“Tapi kalau mengacara secara solo mungkin lebih banyak kerja berbanding bergandingan. Keterujaan saya juga lebih untuk musim kedua ini. Alhamdulillah rating musim pertama juga membanggakan dan harapnya yang kedua ini juga akan memberi dimensi baru untuk arena seni kita,” kata Reza yang pernah mengacarakan program Katakau dan Kelab Pop.

Selain bergelar pengacara dan bekerja di konti radio, Reza memberitahu dunia nyanyian masih tetap di hati. Sekalipun tidak berpeluang atau bermimpi menghasilkan sebuah album, si petah berbicara ini masih memenuhi undangan membuat persembahan bersama Astro dan syarikat tertentu.

Dalam perkembangan lain, nama Reza turut dikatakan antara calon yang bakal mengemudi Akademi Fantasia musim kesembilan. Bagaimanapun Reza, enggan memberi komen lanjut terhadap perkara yang belum pasti. Cuma yang boleh disahkan Reza ialah mengenai program Katakau yang bakal disambung pada tahun depan.

“Mengenai AF9 itu saya ada mendengar ura-ura saja. Tapi saya sendiri belum pasti kesahihannya. Kalau betul dan ada rezeki, saya bersyukur. Lagipun, itu juga tanda saya memberi sokongan kepada program yang pernah mencungkil bakat saya,” kata Reza yang pernah menyertai Akademi Fantasia musim ketiga.

Lima tahun membabitkan diri dalam dunia penyiaran di stesen radio ERA, lelaki berusia 32 tahun ini terus tegar meneruskan survivalnya. Sekalipun datang pelbagai dugaan dan kontroversi yang memalit namanya, Reza hanya mampu bersabar kerana semua itu dianggap lumrah yang perlu ditelan.

Malah hingga kini orientasi dirinya juga masih menjadi tanda tanya. Kata Reza, perkara sebegitu hanya subjektif dan tidak boleh dinilai dengan mata kasar. Sebagai manusia biasa, Reza hanya mampu menjawab persoalan yang diaju.

“Pelbagai dugaan yang saya sudah lalui. Saya hanya mampu membiarkan saja tanpa langsung menjadi kudis. Saya lebih tahu siapa diri saya. Bunyi macam klise, tapi orang di luar boleh terus menghakimi saya. Cuma saya tak nafikan persoalan orientasi diri saya itu sering mengundang teka-teki.

“Apabila orang terus bertanya mengenai perihal itu, saya akan beri jawapan yang sama. Terimalah saya seadanya. Pada satu peringkat, ia jadi menyakitkan hati. Tapi tak apalah, saya tak boleh halang orang daripada terus berkata-kata,” katanya yang mengendalikan segmen Petang ERA bersama Adi Fashla.

Profil

Nama penuh: Syaiful Reza Mohamed

Nama komersial: Reza Mohamed

Tarikh lahir: 25 Ogos

Tempat lahir: Lau King Howe Hospital, Sibu, Sarawak

Zodiak: Virgo

Bintang Pop

Music Mapping Tema AJL25

19 Dec

TV3 terjemah perjalanan muzik tempatan dalam majlis anugerah pada 9 Januari

MUSIC Mapping menjadi tema yang dipilih dalam meneruskan kelangsungan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-25 pada 9 Januari depan. Signifikannya ia menterjemahkan transisi dan perjalanan muzik di negara kita sejak dulu hingga sekarang. Lebih dua dekad penganjurannya, AJL menjadi sebuah acara yang dinanti-nantikan.
Saban tahun anugerah yang menjadi kebanggaan stesen TV3 dan Media Prima Berhad itu terus menjadi pencetus aliran muzik di negara kita. Malah ia turut menjadi satu tradisi pemecah revolusi seni dengan kebangkitan pelbagai generasi dan genre muzik.
Tahun ini, sekali lagi mandat sebagai hos akan dipikul Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar. Dalam 14 penyertaan finalis AJL-25 kali ini, Faizal Tahir menjadi peserta tunggal yang mempertandingkan dua buah lagu iaitu Hanyut dan Selamat Malam.

Sejak kebelakangan ini juga ada yang meramal Faizal Tahir bakal diangkat untuk kategori yang menjadi rebutan ramai iaitu Juara Lagu. Tetapi jangan diperkecilkan finalis lain yang tidak mustahil akan memberikan kejutan sekali gus disaksikan penonton TV3 di rumah dan di Stadium Putra Bukit Jalil.

Kehadiran Yuna yang mencipta fenomena kebelakangan ini termasuk meraih anugerah berprestij di negara kita tidak wajar dipandang sepi. Begitu juga dengan finalis lain seperti Black, Ana Raffali, Adira, Stacy, Shahir, API, Hujan, Meet Uncle Hussain, Bunkface, Hafiz dan Tomok.

Malah saat ini juga sudah tersebar mengenai artis yang bakal membuat persembahan selingan pada malam itu. Salah satu yang kedengaran ialah persembahan mewakili tiga zaman iaitu Datuk Sharifah Aini, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza. Jika benar bagai dikata, ia pastinya antara yang bakal mencuri limelight pada malam itu.

Harus diingat, 14 buah lagu yang dipertandingkan diadili dengan 70 peratus daripadanya dinilai lebih awal dan 30 peratus pula diukur pada prestasi persembahan yang ditunjukkan finalis pada malam kemuncak. Begitu juga untuk kategori Vokal dan Persembahan Terbaik yang turut dinilai pada malam persembahan.

AJL-25 bakal dipancarkan secara langsung di TV3 pada jam 9 hingga 11.30 malam. Acara Red Carpet akan diadakan pada jam 7.30 malam sebelum acara kemuncak berlangsung dan boleh ditonton secara maya di laman sesawang, http://www.tv3.com.my/ajl25. Ia turut mendapat tajaan Hotlink.

Pertandingan Tiru Gaya Pemenang AJL juga diadakan dan boleh diketahui dengan melayari laman portal rasmi AJL-25. Mereka yang berminat boleh menghantar klip video menarik, kreatif dan berpeluang untuk memenangi wang tunai RM5,000 di samping mendapat undian terbanyak.

Acara ground event akan diadakan pada sebelah siang di Stadium Putra Bukit Jalil bermula jam 3 petang anjuran Hot FM yang bertindak sebagai stesen radio rasmi AJL-25. Pertandingan Pop Kuiz AJL juga diadakan dan terbuka kepada orang ramai dengan ganjaran hadiah menarik kepada pemenang.

Giliran Artis Membuat Persembahan AJL-25

1) Cinta Sempurna, Yuna (ciptaan dan lirik oleh Yuna)

2) Berlari, Tomok (Tomok, Shazee Ishak)

3) Pelita, API (Loque)

4) Kebahagiaan Dalam Perpisahan, Shahir (Edry Abdul Halim)

5) Drama King, Meet Uncle Hussain menampilkan Black (Taja, Tun Teja)

6) Noktah Cinta, Hafiz (Ajai, Shah Qalam)

7) Tolong Ingatkan Aku, Ana Raffali (Ana Raffali)

8) Selamat Malam, Faizal Tahir (Audi Mok, Faizal Tahir)

9) Ku Ada Kamu, Adira (Edry Abdul Halim)

10) Ekstravaganza, Bunkface (Sam Bunkface, Bunkface)

11) Sofea Jane, Black (Sham Kamikaze, Iswandy, Farril)

12) Hanyut, Faizal Tahir (Audi Mok, Faizal Tahir)

13) Jahat, Stacy (Edry Abdul Halim)

14) Mencari Konklusi, Hujan (Noh Hujan)

Hadiah AJL-25

‘ Juara Lagu memenangi trofi dan wang tunai RM35,000

‘ Naib Juara, trofi dan wang tunai RM15,000

‘ Tempat ketiga, trofi dan wang tunai RM12,000

‘ Persembahan dan Vokal Terbaik masing-masing bakal memenangi trofi dan wang tunai RM10,000

Trivia AJL

Penulis lirik, Habsah Hassan adalah penulis lirik yang paling banyak mempunyai pencalonan lagu dalam AJL.

M Nasir adalah satu-satunya komposer, penulis lirik dan penyanyi yang masih terus bertanding di AJL sejak tahun 1990

Setelah juara 1990, Aishah kembali Juara dengan lagu Cinta Beralih Arah pada tahun 1995. Setelah 12 tahun menyepi, Aishah kembali tahun ini, AJL 22. Kali ketiga, adakah Aishah akan menjadi Juara sekali lagi?

TV3 memperkenalkan tiga kategori, Irama Malaysia, Pop Kreatif, Rock bermula tahun 1992.

Lokasi AJL yang menjadi gelanggang kepada artis dan penggubah tanah air beradu bakat pernah diadakan di Dewan San Choo di Wisma MCA; Auditorium Besar Angkasapuri RTM; Sri Pentas Dua; Dewan Bandaraya Shah Alam; Dewan Merdeka, PWTC; dan Stadium Putra Bukit Jalil.

Antara pengacara-pengacara yang pernah menjayakan AJL ialah Abas Bakar, Karim Muhammad, Noor Kumalasari, Azwan Ali, Charmaine Augustine, Aznil Nawawi, Fauziah Ahmad Daud, Melissa Saila, Najib Ali, Rina Khan, Intan Rozila, Normala Samsuddin, Sarimah Ibrahim, Aidiel Abu Ghaffar, ND Lala, Salleh Yaakob, Kelvin Ong, Zalina Azman, Shamsul Ghau Ghau, Anne Hamid, Ary Malik, Intan Suraya, Fara Fauzana dan Amy Mastura

Anugerah Vokal Terbaik hanya mula dipertandingkan mulai tahun 2002 iaitu mulai AJL 17

Kumpulan Exist menjadi band yang paling kerap ke AJL dengan 4 penyertaan menerusi Untukmu Ibu (1992), Anugerah (1994), Julia (2002) dan Percayakan Siti (2004)

Endang S Taurina satu-satunya penyanyi luar negara yang pernah bertanding dalam AJL iaitu lagu Sangkar Emas pada 1991.

Antara artis yang mempunyai 2 pencalonan dalam sejarah AJL ialah Siti Nurhaliza (kategori Balada, Kau Kekasihku & Nian di Hati), Noraniza Idris (Kategori Irama Malaysia/Etnik Keratif, Tinting & Ngajat Tampi), Amy Mastura (Kategori Pop Rock, Bintang Hati & Sha Na Na), Jaclyn Victor (Kategori Balada, Gemilang & Wajah) dan Faizal Tahir (Kategori Balada, Mahakarya Cinta & Kasih Tercipta)

Hanya dua artis saja yang pernah memenangi AJL sebagai pengubah lagu, penulis lirik dan penyanyi iaitu M Nasir dengan lagu Andalusia 1999 dan Yassin dengan lagu Mimpi Laila 2001.

Aishah menjadi pelopor bagi penyanyi yang memperkenalkan persembahan dengan menggunakan ‘props’ pada 1990 dengan lagu Janji Manismu. Aishah menggunakan meja, lampu, gambar dan sebuah beg besar.

Hanya tiga saja penyanyi veteran yang pernah menyertai AJL iaitu Allahyarhammah Rosiah Chik, M Daud Kilau dan Aspalela Abdullah.

Siti Nurhaliza, artis paling kerap layak ke AJL bermula dari 1996 sehingga 2003. Malah Siti mengungguli rekod dengan layak ke AJL bagi 8 tahun berturut-turut. Bilangan lagu yang dinyanyikan Siti Nurhaliza juga yang terbanyak layak ke AJL dengan 17 buah lagu bagi 8 tahun.

Liza Hanim menjadi penyanyi pertama yang dinobatkan sebagai Vokal Terbaik pada 2002 iaitu dengan lagu Gelisah Mimpi

Selama 11 tahun berturut-turut (1986 hingga 1996) Juara Lagu dimenangi lagu daripada genre Balada saja. Namun 1997, Ghazal Untuk Rabiah memecahkan monopoli lagu balada ini. Lagu nyanyian M Nasir dan Jamal Abdillah ini di golongkan dalam kategori Etnik Kreatif. Bermula dari situ, lagu Etnik Kreatif mula bersinar. Cindai (Juara Lagu 1998), Hati Kama (1999), Balqis (2000) dan Mimpi Laila (2001).

Allahyarham Sudirman memenangi Anugerah Persembahan Terbaik pada AJL 1987 dengan keadaan set yang gelap dan pemetik api saja menerusi lagu Merisik Khabar.

Lagu Sinaran nyanyian Ratu Jazz, Sheila Majid terkandas pada peringkat separuh akhir tahun 1987. Sejak itu, Sheila tidak mencalonkan lagi lagu nyanyiannya.

Kali pertama Anuar Zain muncul untuk AJL bukan sebagai penyanyi tetapi muncul dalam persembahan Siti Nurhaliza menerusi lagu Jerat Percintaan, AJL 1996. Anuar Zain ketika itu berdiri di belakang kerusi dengan tangannya di ikat. Lagu itu turut dinobatkan sebagai Juara Lagu biarpun hakikatnya Datuk Siti Nurhaliza pada awalnya ingin menarik diri kerana sedang berdepan dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Pada 2001, TV3 untuk kali pertama tampil dengan gagasan baru melalui AJL. Dengan tema ‘Terbaik Dari Malaysia Ke Pentas Dunia’ hasrat TV3 untuk membawa muzik tempatan ke mata dunia luar baru bermula.

AJL 1998, Ziana Zain berentap dengan adiknya Anuar Zain. Ziana Zain lagu, Puncak Kasih dan Anuar pula Bila Resah.

Hot FM adalah stesen radio rasmi yang ketiga menyiarkan secara langsung AJL

selepas THR dan ERA

Bintang Pop

Sorotan 2010: Bollywood Terus Cemerlang

19 Dec

Sepuluh artis ini paling berpengaruh dan meninggalkan impak

INDUSTRI perfileman Bollywood dipenuhi lautan bakat besar, namun hanya segelintir kecil yang berjaya memecah gelombang bergelora untuk memahat nama pada kedudukan selesa di layar perak.
Bersilih ganti bakat baru muncul sekali gus mencipta kejayaan luar biasa yang membanggakan Bollywood namun nama ini kekal dalam senarai bintang paling cemerlang sepanjang 2010.
Pencapaian gemilang yang meletakkan mereka dalam senarai Top 5 bintang Bollywood paling berpengaruh sepanjang 2010 impak daripada populariti, rekod filem pecah panggung serta konsistensi persembahan di layar lebar.

TOP 5 AKTOR PALING BERPENGARUH

Amir Khan

AKTOR berkaliber ini mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon lelaki berwibawa menerusi persembahannya dalam filem terbaru, Three Idiots yang mencatat kutipan pecah panggung.

Saban tahun Amir meyakinkan peminatnya dengan himpunan filem terbaik dan mampu mencipta fenomena, selain memiliki daya tarikan komersial.

Dikenali sebagai seorang yang mementingkan kesempurnaan, Amir meletakkan sepenuh kesungguhan dalam setiap peranan yang dimainkannya untuk muncul meyakinkan di layar perak.

Shah Rukh Khan

DIKENALI sebagai King Khan, Shah Rukh Khan diakui antara permata berharga pernah dilahirkan oleh industri perfileman Bollywood.

Popularitinya mencetuskan histeria kepada pelbagai generasi pencinta filem Hindi, malah kemampuannya terus diasah dalam setiap produksi yang dibintanginya.

Filem terbarunya, My Name Is Khan muncul sebagai filem blockbuster sepanjang zaman selain mendapat ulasan terbaik dalam negara dan di luar negara.

Filem itu dialih suara dalam pelbagai bahasa untuk ditayangkan di negara asing. Mungkin ada yang melihat dirinya bukan aktor versatil namun karismanya di layar perak membuatkan Shah Rukh Khan selesa dalam kelas tersendiri.

Akshay Kumar

KARIER lakonannya berputar hampir dua dekad dan Akshay Kumar diakui antara aktor versatil dalam industri perfileman Bollywood.

Selain filem aksi, karisma lakonannya juga dipertontonkan dalam genre drama dan komedi. Kunci kejayaan Akshay adalah kerja keras, selain keberaniannya mencipta kelainan dalam setiap produksi yang dijayakan.

Akshay juga diakui sebagai seorang aktor yang berani mengambil risiko dan kini diakui sebagai raja filem komedi sebenar menerusi lakonannya dalam filem seperti Khatta Meetha dan Houseful.

Ajay Devgan

PENDAKIANNYA ke puncak populariti tidak terlalu pantas tetapi Ajay Devgan bertahan dalam senarai aktor hebat Bollywood.

Dua filem terbarunya, Golmal 3 dan Once Upon A Time In Mumbai mencatat kejayaan luar biasa di panggung. Dia antara contoh artis yang tidak terlalu bergantung kepada publisiti dan pengiktirafan.

Tanpa kedua-dua elemen itu, Ajay membuktikan keampuhan bakatnya yang berterusan untuk meletakkannya dalam kelompok terbaik Bollywood.

Salman Khan

BRAT Khan itu gelaran diberikan kepadanya. Berdekad dalam industri, biarpun pernah cuba dijatuhkan oleh kritikan yang menghentam namun Salman Khan akan bingkas bangkit umpama juara.

Filem lakonannya sentiasa mencatat kutipan tertinggi pada hari pembukaan dan namanya terus popular di India dan luar negara.

Dua filem terbarunya, Wanted dan Dabaang mendapat sambutan luar biasa. Salman juga memiliki himpunan filem besar yang bakal menemui penonton untuk dua tahun akan datang.

Filem My Love Story lakonannya bersama Kareena Kapoor adalah antara filem paling dinanti pada 2011.

TOP 5 AKTRES TERBAIK

Deepika Padukone:

EMPAT filem lakonannya menemui penonton pada 2010 dna sebuah lagi, Khelein Hum Jee Jaan Sey menyusul pada bulan ini.

Filem Housefull menerima sambutan memberangsangkan manakala Karthik mendapat ulasan yang positif selain mengaut kutipan yang selesa.

Mungkin Lafangey Parindey tidak mencatat kutipan pecah panggung tetapi lakonannya menerima pujian daripada pengkritik.

Deepika baru tiga tahun menembusi industri perfileman, namun sudah meraih kepercayaan untuk menonjolkan kekuatan bakatnya selain membintangi filem komersial yang mendapat sambutan hebat.

Kareena Kapoor

MENGAKUI dirinya sebagai aktres nombor satu, keyakinan Kareena Kapoor meletakkan namanya di hati peminat selain menjadi pilihan penerbit dan pengarah filem.

Dilahirkan dalam keluarga berpengaruh dalam industri perfileman Bollywood, Kareena ialah sepupu kepada Ranbir Kapoor, pelakon yang sedang mencipta nama ketika ini.

Tidak meniti jalan pintas, Kareena menempuh laluan berliku untuk membuktikan kekuatan bakatnya. Kareena membuktikan kehebatannya membawakan watak pelacur dalam Chameli.

Dari segi komersial, Kareena mempunyai barisan filem yang mendapat sambutan hangat termasuk Golmaal 3.

Katrina Kaif

PERNAH mencuba untuk menembusi industri perfileman menerusi filem Boom, namanya bagaimanapun menyepi. Katrina Kaif kembali meraih perhatian apabila beraksi di samping Salman Khan.

Biarpun tidak fasih berbahasa Hindi, Katrina tetap menjadi pilihan pengarah. Dia dilabel sebagai maskot bertuah kerana hampir kesemua filem lakonannya mencatat kejayaan.

Gandingannya bersama Salman dan Akhsay (Kumar) sering membawa tuah kepada penerbit filem. Katrina bekerja keras untuk menggilap pertuturannya selain bersungguh dalam setiap filem lakonannya.

Katrina diangkat sebagai primadona filem Bollywood yang sedang mencipta fenomena.

Aishwarya Rai Bachchan

DIKHABARKAN sebagai aktres Bollywood dengan pendapatan tertinggi, Aishwarya Rai ialah wajah sinonim dengan festival filem antarabangsa selain menjayakan kempen iklan di peringkat kebangsaan dan luar negara.

Dia ialah wajah antarabangsa India kerana pernah membintangi filem di Britain dan Amerika Syarikat. Aishwarya pernah muncul dalam program bual bicara bersama Oprah Winfrey selain menerima pelbagai pengiktirafan atas platform berbeza.

Dia ialah ikon dalam industri perfileman Bollywood, penari terbaik selain dikenali sebagai aktres berkaliber. Empat filem lakonannya ditayangkan pada 2010 iaitu Action Replayy, Robot, Raavan dan Guzaarish, kedua terbanyak selepas Deepika.

Kajol

DIA ialah aktres yang disenangi umum, justeru perkahwinan dan gelaran ibu tidak sesekali memadamkan populariti serta karisma Kajol di layar perak.

Kajol memecah kepercayaan karut bahawa aktres Bollywood hanya mampu mencipta kecemerlangan ketika sebelum berkahwin.

Isteri kepada Ajay Devgan itu membuktikan perkahwinan dan menjadi ibu tidak menjejaskan mutu persembahannya sebagai pelakon.

Kajol seorang yang selektif dan hanya menjayakan beberapa filem setahun tetapi setiap satu lakonannya akan mencatat kutipan pecah panggung.

Tiada aktres lain yang mampu mencapai populariti seperti yang pernah diraihnya. Tahun ini, Kajol cemerlang dengan dua filem iaitu My Name Is Khan dan We Are Family.

Bintang Pop

Sorotan 2010: Skandal Seks Ariel Paling Panas

19 Dec

Ariel bersama Luna.
Ariel bersama Luna.
Industri hiburan negara jiran didominasi berita negatif berbanding prestasi, pencapaian

INDUSTRI hiburan Indonesia juga didominasi berita negatif berbanding pencapaian dan prestasi dengan kes video seks membabitkan vokalis Peterpan, Ariel bersama dua wanita, Luna Maya dan Cut Tari menjadi tajuk utama perdebatan.
Menyorot senarai hangat 2010, skandal seks yang menjadi perdebatan umum tidak hanya di negara sendiri malah turut melarat di negara jiran adalah sesuatu yang terlalu berat untuk dibayangkan Ariel.
Pemuzik tampan ini menjadi figura paling diperkatakan apabila rakaman video perlakuan sumbangnya tersebar pada pertengahan Mei lalu.

Biarpun sudah hampir lapan bulan insiden pahit itu berlaku, skandal video seks Ariel terus mengumpan perhatian terutama ketika ini kes itu sedang dibicarakan di Pengadilan Negeri Bandung.

Malang kerana kerja keras dan kejayaan Ariel bersama Peterpan tidak berupaya menyelamatkan cerita peribadinya daripada terus disorot.

Cintanya terhadap Luna Maya yang seharusnya berakhir menjadi dongeng indah, bertukar menjadi mimpi ngeri yang berkesudahan Ariel merengkok dalam kedinginan tembok penjara.

Luna Maya, gadis kelahiran Bali juga tegar berdepan dengan segala kontroversi, malah memilih untuk menghindari wartawan tatkala tampil di mata masyarakat biarpun diasak pelbagai pertanyaan.

Peristiwa itu terjadi saat popularitinya sedang mendaki laju yang akhirnya menghempas nama bersih Luna Maya umpama serangan badai yang dahsyat.

Sekelip mata, karier dan popularitinya menjunam malah produk yang mengangkat namanya sebagai duta juga ditarik balik ekoran insiden video melampau itu.

Turut menerima tempias daripada pengedaran video seks itu ialah Cut Tari, pengacara berlidah tajam yang terpaksa akur menerima takdir tertulis untuknya.

Tari awalnya membantah menjadi bintang di video dewasa itu tetapi akhirnya mengaku dia ialah ‘pemain’ sebenar dalam rakaman itu.

Selama beberapa minggu, namanya menjadi sorotan media apatah lagi, suaminya Yusuf Soebrata setia berdiri di belakangnya tatkala Tari berdepan detik sukar.

Cut Tari melakukan kejutan apabila menangis ketika membuat permohonan maaf kepada rakyat Indonesia termasuk Presiden Susilo Bambang Yudhoyono kerana mencetuskan berita yang menggemparkan itu.

Cut Tari dalam kenyataannya mengaku, tidak mengetahui aksi seksnya bersama lelaki mirip Ariel dirakamkan dan seterusnya menjadi tatapan umum.

Turut menyumbang kepada berita hangat sepanjang 2010 ialah diva Indonesia, Krisdayanti. Andai dulu segala yang disorot adalah berkisar pencapaian dan kecemerlangannya, namun 2010 menyaksikan Krisdayanti atau KD lemas dalam dakapan kontroversi.

Episod perpisahan dengan komposer dan penyanyi, Anang Hermansyah menyumbang kepada kemerosotan populariti KD.

Kisah asmara terlarang dengan pengusaha dari Timor Leste, Raul Lemos yang ketika itu masih suami orang membuatkan KD dicemuh masyarakat.

Sempat berpisah sementara, KD bagaimanapun menjalin semula hubungan dengan lelaki itu dan tanpa silu mempamer kemesraan di depan media.

Aksi ciuman KD dan Raul menjadi puncak berita yang sempat menenggelamkan sementara kehangatan kes video seks Ariel.

Perpisahan mereka barangkali membawa rahmat kepada Anang yang tidak kalah menjadi buruan media. Anang yang dulu langsung tidak dipedulikan media, kembali meraih perhatian selepas rumah tangga yang dibinanya selama 10 tahun itu.

Biarpun perpisahan mereka berlaku pada Ramadan tahun lalu, nama Anang terus melonjak apabila membikin album duet bersama penyanyi jelita, Syahrini.

Anang bijak memanipulasi permainan media apabila baru-baru ini membuat keputusan untuk tidak lagi berduet dengan penyanyi seksi itu.

Sebaliknya, dia berpaling kepada anak sulungnya, Aurel sebagai pasangan duet terbaru. Kolaborasi yang masih membangkitkan persoalan, apakah mampu bertahan atau setanding dengan populariti yang pernah dikecapinya ketika bersama bekas isterinya? Cuma masa yang menentukan.

Dian Sastrowardoyo mengakhiri status daranya apabila memilih Indraguna Maulana Sutowo sebagai suami.

Upacara pernikahan pasangan itu berlangsung di Hotel Dharmawangsa, Jakarta Selatan pada 18 Mei lalu disusuli resepsi pernikahan di Ruang Cendrawasih, Jakarta Convention Centre, Senayan, Jakarta pada 22 Mei.

Dian yang berada dalam kelompok selebriti kelas A juga sudah mempersiapkan diri untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan.

Satu lagi pernikahan yang menerima sorotan meluas ialah antara Nia Ramadhani dan Ardie Bakrie. Mereka bertunang pada 17 Oktober 2009 sebelum mengambil keputusan bernikah pada 1 April 2010.

Pernikahan itu menerima liputan luar biasa kerana bapa Ardie ialah antara ahli perniagaan terkaya di Indonesia. Upacara pernikahan mereka turut dihadiri Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang bertindak sebagai saksi.

Kedua pasangan itu memilih Afrika Selatan sebagai destinasi berbulan madu. Pernikahan itu turut menjadi kontroversi apabila cincin perkahwinan yang diisi darah kedua-dua mempelai disahkan haram oleh ulama Indonesia.

Nia juga mengajukan permohonan untuk menukar nama kepada Ramadhania Ardie Bakrie.

Ada apa antara Ahmad Dhani dan Mulan Jameela? Ahmad Dhani ialah antara selebriti yang begitu sinonim dengan kontroversi.

Selain menyumbang idea kreatifnya dalam pembangunan industri muzik Indonesia, dia turut dihimpit kisah hangat apabila dikatakan menjalin hubungan dengan teman duet duo Ratu, Mulan yang dianggotai bekas isterinya, Maia Estianty.

Berita kehamilan Mulan yang hangat dibicarakan pada pertengahan Oktober lalu membuatkan dunia infotainment Indonesia kembali hangat.

Ramai mengesyaki ayah kepada janin itu ialah Ahmad Dhani berdasarkan kedekatan hubungan mereka sebelum ini.

Saat ditanya pengesahan perkara itu, Mulan pantas meninggalkan wartawan tanpa sebarang jawapan pasti. Mulan juga dikaitkan sebagai orang ketiga yang menjadi punca perpisahan Ahmad Dhani dan Maia tidak lama dulu.

Penaung Republik Cinta Management (RCM) itu juga kembali menagih perhatian media apabila Front Pembela Islam (FPI) mengheretnya dalam kes foto berahi Dewi Perssik.

Foto berahi Dewi yang bernaung di bawah pengurusan RCM ditemui dalam akaun Twitter vokalis Dewa itu lantas menjadi bukti kukuh FPI untuk mengheret Ahmad Dhani ke muka pengadilan.

Mungkin dilihat lebih terarah kepada menagih simpati, kisah penderaan yang didakwa Manohara Odelia Pinot.

selepas bernikah dengan kerabat dari Kelantan turut meraih perhatian.

Bagaimanapun, episod simpati itu bertukar menjadi cacian apabila satu persatu isu berkaitan Manohara dan ibunya, Daisy Fajarina terbongkar.

Bintang Pop

Klik: Pahit, Manis Hollywood

19 Dec

Peminat hiburan melihat 2010 tahun membosankan

KIAN mendekati detik akhir, dekad pertama era milenium menyaksikan persada hiburan Hollywood berdepan pelbagai cabaran baru yang menguji keutuhan semangat penggiatnya.
Aliran baru mendominasi industri hiburan, selain gosip hangat yang menjadi rencah memanaskan 2010 dengan pelbagai peristiwa pahit dan manis untuk dikenang.
Barangkali pemerhati industri hiburan Hollywood melihat 2010 sebagai tahun membosankan, namun 2011 yang bakal menjengah dijangka memberi sinar baru untuk lebih menyerlahkan kewibawaannya.

B’POP turut menyorot beberapa catatan yang memberikan impak kepada industri hiburan Hollywood sepanjang 2010.

Penghibur Terbaik: Eminem

Eminem memecah pasaran komersial sebagai rapper sedekad lalu mencetuskan pelbagai kontroversi apabila lirik nyanyiannya berkisar kepada keganasan rumah tangga, jenaka lucah selain mengecam selebriti seperti Christina Aguilera dan Moby.

Pergeseran dengan bekas isteri selain ketagihannya kepada dadah yang menjauhkan dirinya seketika daripada tumpuan umum, Eminem kembali dengan imej bersih bersama album terbarunya, Recovery.

Album itu memperlihatkan sisi kematangannya sebagai seorang penghibur, selain Recovery memperoleh 10 pencalonan untuk Anugerah Grammy yang akan berlangsung Februari depan.

Ia disifatkan pencapaian terbaik diraih seorang penyanyi yang pernah berdepan pelbagai isu kontroversi selepas beberapa tahun menyepi.

Lindsay Lohan dipenjara

Lindsay Lohan ialah contoh bintang remaja yang tewas dengan ujian sebagai selebriti dan terpaksa menerima hakikat populariti di Hollywood membunuh masa mudanya.

Lohan memulakan 2010 dengan catatan hitam, malah episod hidupnya semakin musnah. Mei lalu, Lohan tidak muncul di pengadilan kerana berpesta di Cannes menyebabkan hakim mengeluarkan perintah penangkapan tetapi dibebaskan dengan jaminan.

Lohan diwajibkan memakai gelang khas, menjalani ujian dadah dan dimasukkan ke pusat pemulihan untuk meredakan ketagihan alkohol.

Lohan dijatuhi hukuman penjara 90 hari dan dilanjutkan 90 hari tempoh pemulihan. Pada 24 Ogos lalu, Lohan dibebaskan.

Hidup Lohan diibaratkan seperti perjalanan sebuah drama panjang yang mengujakan khalayak untuk mengetahui apa kesudahannya.

Sandra Bullock bercerai

Beberapa hari selepas kemenangan pada Anugerah Oscar, malah sempat berterima kasih kepada suaminya atas pencapaian besarnya, Sandra Bullock menerima hukuman berat.

Kecurangan suaminya, Jesse James dengan penari bogel, Michelle McGee terbongkar selepas Bullock mengecap kejayaan sebagai Aktres Terbaik menerusi The Blind Side.

Biarpun skandal bekas suaminya heboh diperdebatkan, Bullock hanya berdiam diri sebelum akhirnya memberitahu dia bergelar ibu tunggal kepada Louise, anak angkatnya dari New Orleans.

Eva Longoria, Tony Parker berpisah

Enggan terus membiarkan dirinya menderita gara-gara sikap suami yang sentiasa berlaku curang, pelakon siri popular, Desparate Housewives, Eva Longoria memfailkan perceraian terhadap Tony Parker.

Rahsia kecurangan Parker terbongkar apabila Longoria menemui ratusan Kiriman Pesanan Ringkas (SMS) mesra daripada Eric Barry, isteri teman kepada bekas rakan sepasukannya di Spurs, Brent Barry.

Ia bukan kali pertama Parker bermain kayu tiga. Lima bulan selepas bergelar suami isteri, Parker menjalin hubungan dengan seorang model Perancis, Alexandra Paressant tetapi dimaafkan Longoria.

Foto bogel Miley Cyrus

Barangkali kanak-kanak yang membesar bersama Disney akan berubah apabila meningkat dewasa. Bintang Hannah Montana, Miley Cyrus juga tidak terlepas daripada tenggelam dalam keseronokan dunia hiburan Hollywood.

Cyrus ialah potret seorang remaja yang hidupnya sarat pemberontakan. Bermula dengan pakaian tidak senonoh yang digayakan sewaktu membuat persembahan, Cyrus ditemui mabuk ketika berada di Madrid.

Tidak lama selepas itu, pemilik album Can’t Be Tamed ini mengejutkan peminat apabila foto bogelnya beredar di dunia maya.

Cyrus kembali menggemparkan peminatnya apabila video gadis berusia 18 tahun itu menghisap rokok di tempat terbuka tersebar.

Perbuatannya itu menyebabkan bapanya terpaksa bertindak dengan memohon maaf di laman Twitter.

Musibah dadah Paris Hilton

Gadis yang gila berpesta itu menggemparkan peminat apabila ditahan polis Afrika Selatan selepas menemui ganja dalam kereta yang ditumpangnya. Hilton bagaimanapun dibebaskan.

Dua minggu selepas itu, nama Hilton sekali lagi menjadi tajuk akhbar apabila anjing pengesan menghidu aroma dadah ketika dia berada di Corcisa.

Sekali lagi, Hilton disoal-siasat namun dibebaskan. Ogos lalu, Hilton ditangkap bersama teman lelakinya, Cy apabila kokain ditemui dalam tas tangannya ketika berhibur di Las Vegas.

Lady Gaga berjuang untuk gay

Lady Gaga sudah membuktikan kewibawaannya untuk diangkat sebagai artis terbaik tahun ini. Dia meraih pencapaian sebagai bintang yang pernah menjulang trofi Anugerah Grammy.

Pada 2010, Gaga menyatakan pendiriannya dan berehat daripada konsert jelajahnya The Monster Ball yang mencatat kutipan tinggi untuk menyertai perhimpunan di Maine untuk pemansuhan polisi terhadap kaum gay, Don’t Ask Don’t Tell.

“Persamaan adalah hak semua insan. Saya berkongsi hubungan yang istimewa dengan peminat dan saya bersuara supaya undang-undang itu diakhiri,” katanya.

Speak Now lakar sejarah Taylor Swift

Taylor Swift mencatat sejarah dalam industri muzik menerusi kelahiran album ketiganya, Speak Now, Oktober lalu. Ia melakar pencapaian terbaik sebagai album pertama mencecah jualan satu juta unit pada minggu pertama dipasarkan selepas Tha Carter III milik Lil Wayne pada Jun 2008.

Album itu juga berada dalam senarai lapan album terlaris sepanjang 2010, selain diumumkan sebagai album country kedua terbesar untuk tahun ini.

Speak Now juga menjuarai pasaran digital sebagai album paling laris, malah penjualannya mengatasi Viva La Vida milik Coldplay yang diedarkan pada Jun 2008.

Dalam galur irama country, Swift memegang rekod penjualan terbesar selepas memadamkan sejarah yang diciptanya menerusi album Fearless.

The Beatles ke dunia digital

Katalog lagu The Beatles akhirnya boleh dimuat turun peminat menerusi iTunes. Sehingga ini, lebih 450,000 peminat membeli album kumpulan popular British itu untuk berada dalam simpanan mereka. Lima lagu yang mencatat jumlah muat turun tertinggi adalah Here Comes The Sun, Come Together, Let It Be, In My Life dan Blackbird.

The Social Network filem terbaik 2010

Filem The Social Network mendedahkan kepada dunia pencipta laman sosial, Facebook, Mark Zuckerberg. Filem yang menceritakan mengenai asal usul penubuhan laman sosial popular itu mendaki tangga pertama pada dua minggu awal ditayangkan.

The Social Network mengumpul kutipan RM526.7 juta di seluruh dunia. Biarpun pengkritik meletakkan The Social Network sebagai filem terbaik 2010 namun pembikinannya tetap menjadi perdebatan.

Mereka yang dekat dengan Zuckerberg menyifatkan filem itu tidak mencerminkan siapa lelaki itu yang sebenar.

Bintang Pop