Archive | Cat Farish RSS feed for this section

Ifa Penat, Salwa Kejar Masa

3 Apr

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
KEHADIRAN artis menjayakan persembahan dan aktiviti di gerai Harian Metro/Metro Ahad (HM/MA) ternyata mencuri tumpuan di Karnival Jomheboh TV3 yang diadakan di Padang MPK2 Kuantan, Pahang minggu lalu.

Pengunjung yang hadir bukan saja dihiburkan dengan nyanyian daripada artis jemputan malah berpeluang mengambil bahagian dalam setiap aktiviti dianjurkan. Selain mendapatkan cenderamata ekslusif di gerai akhbar harian bahasa Melayu nombor satu.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan di gerai HM/MA sepanjang dua hari karnival berlangsung juga tidak pernah menghampakan pengunjung yang membanjiri gerai sejak jam 8.30 pagi. Kemunculan artis undangan seperti Ifa Raziah, Salwa Abdul Rahman, Rafidah Ibrahim (Fida) dan Mohd Ali Ismail (Ali XPDC) ternyata menarik perhatian pengunjung.

Ifa yang menyertai program berkenaan bersama HM/MA buat kali kedua selepas Jomheboh di Melaka bulan lalu, gembira dengan sambutan diterima daripada pengunjung.

“Saya gembira kerana diberi ruang sekali lagi oleh penganjur untuk menghiburkan pengunjung di gerai HM/MA. Memang sambutan di gerai HM/MA di Kuantan cukup hebat. Walaupun penat, saya seronok kerana dapat memeriahkan program ini.

“Hari pertama mengadakan persembahan memang penat. Kebetulan pula pada sebelah petang saya terpaksa bergegas ke sesi latihan Hits 1 sebelum kemuncaknya pada malam itu.

“Peminat sentiasa memberi sokongan amat baik ketika menjayakan persembahan dan aktiviti. Pada saya program seperti ini memberi ruang kepada artis untuk lebih dekat dengan peminat. Ia juga sebagai penghargaan kepada peminat yang sebelum ini jarang bertemu dengan artis,” katanya.

Ifa menyampaikan single terbarunya, Panas ciptaan Cat Farish dan lirik Adeep Fabulous Cat serta Ketahuan yang dipopularkan kumpulan dari Indonesia, Matta.

Di samping menyanyi, Ifa turut mengadakan pertandingan menari dan sketsa membabitkan pengunjung. Antara sketsa yang mendapat perhatian pengunjung membabitkan gelagat isteri mengandung ditinggalkan suami kerana mahu ke Jomheboh.

Kata Ifa, akhbar HM/MA sememangnya dikenali dan menjadi pilihan ramai. Justeru, dia tidak menolak menyokong seterusnya menyertai aktiviti yang diadakan pada masa akan datang.

 

 

“Dalam memeriahkan program diadakan, penganjur perlu bijak menampilkan artis. Bukan ditujukan kepada saya saja sebaliknya saya mahu berkongsi pandangan ini secara umum.

“Setiap artis yang menjayakan persembahan di setiap gerai Jomheboh kena pandai menarik perhatian dan menghiburkan pengunjung. Tidak kira mana-mana artis sekalipun,” katanya.

Salwa pula mengakui terharu dengan sambutan yang diberikan pengunjung. Katanya, pengalaman menyertai gerai HM/MA cukup menyeronokkan buatnya.

“Saya gembira kerana melihat sambutan yang positif daripada pengunjung. Mereka yang hadir bukan saja sama-sama menyanyi, menari dan merakamkan persembahan yang disampaikan artis.

“Walaupun sudah lama tidak muncul menjayakan persembahan, saya dapat lihat maklum balas pengunjung menunjukkan saya masih mempunyai peminat.

“Situasi ini cukup baik untuk proses come back saya. Sebelum ini saya banyak menghabiskan masa menjayakan persembahan majlis korporat tertentu dan diadakan secara tertutup di hotel atau dewan tertentu. Begitupun, selepas menjayakan persembahan secara terbuka ini saya dapat merasai kelainannya.

“Secara tidak langsung, saya dapat mempromosikan lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan. Selain memaklumkan mengenai single terbaru, Kerana Kamu yang dimuatkan dalam album kompilasi Anugerah,” katanya yang menyampaikan lagu Jangan Tenung-Tenung dan Samba Riang.

Bagi Fida yang juga baru pertama kali menyertai program itu, turut berkongsi perasaan sama apabila berpeluang menyampaikan lagu di gerai HM/MA. Lebih manis, kehadirannya ibarat sirih pulang ke gagang memandangkan pernah mempunyai pengalaman menuntut ilmu di negeri Pantai Timur itu.

“Tidak dinafikan memang banyak kenangan manis yang dilalui sepanjang menuntut dalam jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Shah Putra, Kuantan sekitar 2004. Tambah seronok apabila dapat turut serta dalam program ini. Sambutan yang diberikan pengunjung juga begitu menggalakkan.

“Malah ada yang terkejut apabila melihat persembahan saya. Masih ramai yang tidak tahu saya boleh menyanyi. Penampilan ini juga mungkin sebagai pengenalan dan pendedahan untuk muncul dengan lagu single tidak lama lagi,” katanya.

Juara Pertandingan Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene itu menyanyikan lagu Nilai Cinta dan lagu duet bersama Ali XPDC, Dua Insan pada hari pertama manakala lagu Wajah yang dipopularkan Jaclyn Victor serta Bukan Cinta Biasa (Datuk Siti Nurhaliza).

Sepanjang dua hari berada di gerai berkenaan, Fida yang juga pengacara Riwayat Kamil di Astro merasai bahang sebenar sambutan karnival itu.

Sementara itu, Ali XPDC berterima kasih kepada penganjur kerana memberi peluang kepada artis untuk menjayakan persembahan. Dia yang acap kali menyertai program Jomheboh menyampaikan beberapa lagu seperti Semangat Yang Hilang, Sakina, Hidup Bersama, Apa Nak Di Kata selain Bunga Angkasa.

“Memang masih ramai yang meminati dan mengingati lagu-lagu XPDC. Malah saya kerap kali diajukan mengenai pembentukan semula kumpulan. Walaupun masih bersama Empire, peminat tetap mengenali lagu-lagu daripada XPDC dan Terra Rosa.

“Menerusi persembahan dengan konsep gerai ini, artis dapat lebih dekat dengan peminat. Sebelum ini, peminat hanya dapat melihat persembahan artis di atas pentas sebaliknya pula menerusi program ini,” katanya.

Disamping itu pengunjung turut dihiburkan dengan penampilan istimewa naib juara Metro Idol di Bukit Jalil, Disember lalu, Fira dan juara Metro Idol Kuantan, Nurizati (Ezzaty) Mohd Rashid.

Antara aktiviti disediakan di gerai HM/MA ialah kuiz 18 tahun Harian Metro, pertandingan untuk kanak-kanak, Mini Personaliti Harian Metro, jualan akhbar, cenderahati, kuiz dan Metro Idol.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Advertisements

Bukan Lagi Winnie Kok

30 Mar

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Guna nama baru selepas berjaya kembangkan kerjaya seni di Indonesia

PERTAMA sekali, impiannya untuk muncul dengan album berbahasa Melayu sudah pun terlaksana. Keduanya, album berkenaan bukan hanya dipasarkan di Malaysia, malah terlebih dulu memasuki pasaran negara jiran, Indonesia.

Selepas memiliki tiga album Mandarin, Winnie K memang mengidamkan sebuah album Melayu penuh. Sebelum ini, dia hanya pernah muncul bersama single Melayu berjudul Kau Dan Aku ciptaan Ajai. Menyambung usaha yang dimulakan dengan single berkenaan, Winnie mengorak langkah yang panjang, sehingga terhasilnya album sulung Melayunya.

Awal tahun lalu, album Kau Ada Di Mana sudah dilancarkan di Jakarta dan baru-baru ini, album yang dibungkus semula itu dilancarkan pula secara rasmi di Kuala Lumpur, hampir lapan bulan selepas ia mula dipasarkan di negara sendiri.

Menggabungkan pencipta dari kedua-dua negara, seperti Ajai, Tam Spider, Cat Farish, Dewiq dan Yudis Dwikorana, album yang diusahakan Winnie nampaknya menggamit perhatian Trinity Optima Productions dari Indonesia. Syarikat yang sama turut menaungi penyanyi tersohor Rossa dan kumpulan Ungu.

Pada majlis pelancaran album terbabit, Winnie sempat berkongsi pengalamannya sepanjang berada di negara seberang bagi mengembangkan karier seninya. Daripada sedutan klip yang ditayangkan, jelas sekali penyanyi ini akhirnya berjaya membolosi ruang kemunculan di kaca televisyen negara terbabit.

Bukan sekadar menyanyikan lagu sendiri, Kau Ada Di Mana, yang menjadi single pilihan pada beberapa kemunculan, malah Winnie turut dilihat berduet dengan beberapa nama besar termasuk Sheila On 7.

“Semua ini tidak pernah terfikir oleh saya – untuk mempunyai album Melayu penuh, menyaksikannya dipasarkan di Indonesia dan membuat kemunculan di kaca televisyen utama negara berkenaan. Jika tidak kerana usaha keras syarikat rakaman saya di sana, belum tentu saya saya mampu dapat berasakan semua pengalaman itu. Saya berasa cukup bertuah dikurniakan semua ini,” katanya.

Sebelum dipasarkan di Indonesia, Winnie sebenarnya sudah menyiapkan tujuh lagu di Malaysia. Produk itu kemudian dibawanya ke sana yang seterusnya menarik minat Trinity. Seterusnya beberapa lagu dari komposer negara itu dirakam, termasuk Kau Ada Di Mana oleh Dewiq.

Bagi versi bungkusan semula ini, album terbabit turut menyenaraikan lagu ciptaan Tam Spider, Di Taman Magis, serta versi minus one Kau Ada Di Mana.

“Lagu Di Taman Magis tidak dimuatkan dalam album pasaran Indonesia kerana liriknya agak sukar untuk difahami peminat sana,” kata Winnie sambil menegaskan, dia tidak akan kembali menggunakan nama Winnie Kok untuk mana-mana album akan datang, sebaliknya menganggap jenama Winnie K lebih mudah diterima.

Berita Harian

Penyertaan Album AIM16 Makin Merosot

30 Mar

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hemtro.com.my

Rap
JUMLAH album yang dipertandingkan untuk Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-16 (AIM16) semakin merosot apabila tahun ini hanya 50 penyertaan diterima.

Walaupun sebelum itu penyertaan dikatakan menggalakkan namun perkara itu hanya berlaku selepas beberapa kategori baru diwujudkan. AIM 16 dijadualkan berlangsung pada 2 Mei, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jam 8.30 malam.

Penganjur pertandingan Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi) menerima hampir 700 penyertaan membabitkan kategori baru iaitu Lagu Terbaik dalam setiap genre.

Perkembangan itu benar-benar membimbangkan beberapa pertubuhan yang menjaga kepentingan industri muzik tempatan antaranya Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) mahupun Akademi sendiri.

Sewaktu sidang akhbar mengumumkan calon lima terbaik AIM16, berlangsung di Concord Hotel baru-baru ini, Pengerusi PAIMM, Datuk Aziz Bakar menjelaskan, walaupun banyak penyertaan diterima tetapi mutu kebanyakan lagu dihantar berada di tahap rendah. Tambahan pula piawaian ditetapkan Akademi sudah semakin meningkat kerana ia sudah 15 kali diadakan.

“Perkembangan ini amat menakutkan, dan beberapa pertubuhan dan persatuan bimbang sekiranya perkara ini berlanjutan kita sudah tidak akan ada lagi industri dalam bidang muzik.

“Waktu sama kami faham sebagai penggiat kebanyakan syarikat rakaman, pencipta lagu, penulis lirik, pemuzik, jurutera muzik mahupun penyanyi sendiri tidak berani hendak melabur dalam jumlah besar apabila menghasilkan album.

“Sekarang ini proses untuk menghasilkan sebuah album termasuk promosi dan pemasaran memerlukan modal mencecah RM150,000, tetapi pulangan yang diterima hanyalah sekitar RM40,000 hingga RM60,000.

“Penggiat bertuah kerana sekarang mereka masih boleh bergantung kepada pasaran dalam bentuk digital iaitu muat turun muzik ke telefon bimbit memandangkan jualan dalam bentuk fizikal iaitu cakera padat dan album sangat perlahan dan tidak membantu.

“Bagi memastikan kerugian ditanggung tidak besar, kebanyakan penggiat menggunakan kos sangat rendah untuk menghasilkan lagu dan ia secara tidak langsung mempengaruhi mutu album dihasilkan. Sekiranya perkara ini berterusan akhirnya industri muzik tempatan akan mati,” katanya.

 

 

Bagi menangani perkara itu, Aziz secara peribadi berasakan sudah tiba masanya pihak kerajaan membantu industri dengan menyediakan dana khas bagi membantu para penggiat dalam berkarya.

“Seperti juga dalam bidang lain iaitu perdagangan, keusahawanan dan pertanian industri muzik juga perlu modal rangsangan untuk menggerakkannya, oleh itu saya amat mengharapkan apa yang saya ketengahkan ini akan mendapat perhatian.

“Permohonan membabitkan dana ini akan dilaksanakan bersama semua persatuan yang bernaung dibawah industri muzik. Mekanisma belum ditetapkan tetapi andai ia diberikan, dana ini boleh disalurkan kepada Majlis Muzik Malaysia (MMM) sebagai badan induk.

“Dana ini boleh digunakan para penggiat yang mahu menghasilkan album dan kita mungkin tidak memberikan sepenuhnya sebaliknya ia bergantung kepada keperluan penggiat itu sendiri.

“Modal untuk menghasilkan album mungkin harus dikeluarkan sendiri oleh penyanyi ataupun penerbit dan dana pula digunakan untuk memasarkan atau mempromosikan karya dihasilkan,” katanya.

Di majlis pengumuman calon lima terbaik AIM16, kumpulan Estranged yang sebelum ini mengungguli Anugerah Juara Lagu tahun lalu menerusi single mereka Itu Kamu mendominasi pencalonan dalam lapan kategori.

Kumpulan ini menerima pencalonan daripada album Inggeris dihasilkan Remain Unknown. Membanggakan apabila dua lagu Melayu dimuatkan dalam album itu turut dicalonkan dalam Lagu Rock Terbaik.

Datuk Siti Nurhaliza pula yang mempertandingkan album berkonsepkan etnik kreatif dan tradisional Lentera Timur menerima tujuh pencalonan, dan lagu pop dendangannya menjadi runut bunyi drama Spa-Q 2 Pada Cintanya turut dicalonkan dalam kategori Susunan Muzik terbaik.

Timbul kekeliruan dalam kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik apabila lagu dendangan kumpulan Pop Shuvit, Marabahaya dipertandingkan sekali lagi atas alasan dialih bahasa. Begitu juga dengan Vokal Terbaik Lelaki/Wanita apabila ada yang dicalonkan lebih daripada satu lagu.

Menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul Ketua Jawatankuasa Penganjuran AIM16, Jennifer Thomson berkata Marabahaya selain dialih bahasa, rakamannya juga baru terutama membabitkan susunan muziknya.

“Perkara ini sudah saya jelaskan kepada juri sewaktu penilaian dilakukan. Keputusan sama ada ia layak atau tidak mereka sendiri yang harus memutuskannya.

“Walaupun ada yang menolak Marabahaya dipertandingkan tetapi waktu sama masih ada juri memberikan markah kepada lagu itu. Secara tidak langsung apabila diaudit ia memiliki markah tinggi dan dicalonkan.

“Mengenai ada artis mendominasi kategori vokal apabila ia mempertandingkan single, kami akui perkara ini. Ini kali pertama ia dilakukan dan perlaksanaannya sudah tentu akan ada kelemahan. Kami akan memperbaikinya pada tahun akan datang.

“Pihak Akademi sendiri sudah nampak perkara seperti ini akan berlaku apabila single dipertandingkan dalam vokal. Kami sudah nyatakan kepada wakil syarikat rakaman sendiri agar menghantar satu lagu untuk kategori itu tetapi ada antaranya berkeras mahu menghantar sepuluh lagu terdapat dalam album dihasilkan artis mereka,” katanya.

Berikut adalah senarai penuh pencalonan AIM16.

Artis Baru Terbaik
1) Hujan
2) Joe Flizzow
3) Malique
4) Meet Uncle Hussain
5) Suki

Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Lelaki)
1) Aizat – Lagu Kita
2) Bob AF2 – Cinta Terhalang
3) Reshmonu – Doa Untuk Dia
4) Reshmonu – Sayu
5) Ritan (Deja Voodoo Spells) – Rock ‘N’ Roll

Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Perempuan)
1) Ayu – Hanya Di Mercu2) Dina – Sejauh Ini
3) Shila – Memori Tercipta
4) Siti Nurhaliza – Di Kayangan Kita
5) Siti Nurhaliza – Di Taman Teman

Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album
1) AJAI dan Marsha – Sayang
2) ALL One – Bilal bin Rabah
3) Pop Shuvit – Marabahaya
4) Rabbani – Bila Nur Melimpah Di Hati
5) Raihan – Assubhu Bada

Kulit Album Terbaik
1) Hawa – Nikki
2) President – Joe Flizzow
3) Transit – Altered Frequency
4) Satu – Ferhad
5) Remain Unknown – Estranged

Rakaman Album Terbaik
1) Remain Unknown – Estranged
2) Finally/Akhirnya – Suki
3) Satu – Ferhad
4) Adam 3 – Adam
5) Harapan – Reshmonu

VIDEO MUZIK TERBAIK
1) Hanya Di Mercu – Ayu
2) Sampai Syurga – Faizal Tahir
3) Mati Hidup Kembali – Butterfingers
4) 1000 Tahun (Mahu Hidup) – Butterfingers
5) Oh Anok Anok – Reshmonu

Album Pop Etnik Terbaik
1) Khazanah Pujangga – Syura
2) Lentera Timur – Siti Nurhaliza
3) Selagi Ada Rindu – Shafie Ahmad
4) Zapin Suri – Haziq

Lagu Pop Etnik Terbaik
1) Di Kayangan Kita – Siti Nurhaliza
2) Di Taman Teman – Siti Nurhaliza
3) Dirgahayu – Ramlah Ram
4) Nafas Cahaya – Misha Omar
5) Zapin Suri – Haziq

Album Nasyid Terbaik
1) Allah Habeebi – Mawi
2) Istimewa Tiada Dua – Nice
3) Nasyid Nostalgia Memori The Zikir – Nazrey Johani
4) Nostalgia Nadamurni – Rabbani
5) Setia – Wildan

Lagu Nasyid Terbaik
1) Allah Habeebi – Mawi
2) Bila Nur Melimpah Di Hati – Rabbani
3) Kemuliaan Al-Quran – In Team
4) Serulah Namanya – Mawi
5) Teman Hakiki – Mawi

Album Rock Terbaik
1) Bongkar – Kristal
2) Hujan – Hujan
3) Keamanan – Nrocinu
4) Kembali – Butterfingers
5) Modern Minimals Glamour – The Times

Lagu Rock Terbaik
1) 1000 Tahun (Mahu Hidup) – Butterfingers
2) Aurora – Estranged
3) Bila Aku Sudah Tiada – Hujan
4) Dugaannya – Hujan
5) Yang Pernah – Estranged

Album Pop Terbaik
1) Alyah – Alyah
2) Arus Qudus – Yassin
3) Harapan – Reshmonu
4) Misha Omar – Misha Omar
5) Percubaan Pertama – Aizat

Lagu Pop Terbaik
1) Cinta Adam dan Hawa – Misha Omar
2) Dingin – Ziana Zain
3) Ketentuan – Ramlah Ram
4) Lagu Kita – Aizat
5) Sampai Di Sini – Misha Omar

Lagu Hip Hop Terbaik
1) Bergerak – Joe Flizzow
2) Isabella – Joe Flizzow
3) Mengapa Harus Bercinta – Jow Flizzow
4) Mentera Beradu – Malique feat. M.Nasir
5) Ok – Malique feat. Cat Farish

Album Inggeris Terbaik
1) Dark Sun Big Rain – Karen Nunis Blackstone
2) President – Joe Flizzow
3) Remain Unknown – Estranged
4) Take Five With Juwita Suwito at Avanti – Juwita Suwito
5) Tapestry Of Life – Shal Sagan

Lagu Inggeris Tempatan Terbaik
1) All Around My World – Joe Flizzow
2) Dances Of The Spirit – Estranged
3) In No Time – Estranged
4) KL Streets – Malique Feat. Lah
5) Marabahaya – Pop Shuvit

SUSUNAN MUZIK DALAM LAGU
1) Pada Cintanya – Siti Nurhaliza
2) Tiada Maaf – Daniel Lee
3) Aurora – Estranged
4) Di Taman Teman – Siti Nurhaliza
5) Bukan Mimpi – Farhan.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

10 Finalis Meriahkan Terengganu

18 Mar

Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

Rap
TIDAK keterlaluan jika dikatakan siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08) di Mydin Mall, Kuala Terengganu minggu lalu adalah yang terbaik dalam siri jelajah anugerah berprestij itu setakat ini.

Sepuluh finalis yang menyertai siri jelajah ke ibu negeri yang terkenal dengan jolokan bandar raya warisan pesisir air itu bukan saja berpeluang bertemu peminat dengan lebih dekat dan mengadakan persembahan menghiburkan mereka.

Malah lebih bermakna apabila mencipta sejarah baru dengan menaiki bot menyusuri pesisir Sungai Terengganu untuk melawat Taman Tamadun Islam (TTI), sekali gus menjadi lokasi tunggal membabitkan lawatan.

Sebelum itu, finalis yang menginap di Sumai Suite Hotel, dibawa menaiki ‘bas bandar’ yang hanya terdapat di Terengganu menuju Pulau Duyong untuk menaiki bot ke TTI yang terletak di Pulau Wan Man.

Kemeriahan jelas terpancar di wajah finalis apabila ada antara mereka yang berkunjung ke Terengganu kali pertama kagum dengan keindahan bandar raya itu yang begitu pesat membangun tetapi pada masa sama masih mengekalkan tradisi warisannya.

Sebaik tiba di TTI yang berkonsepkan ‘edutainment’, finalis dibawa melawat 21 monumen terkenal di dunia Islam yang terdapat di sana.

Pengunjung yang menyedari kehadiran 10 finalis terdiri daripada Riz (Akademi Fantasia 6), Adam (Akademi Fantasia 2), Aiman (Akademi Nasyid), Ayu (One In A Million), Diana Danielle, Sheila Mambo, Kenchana Dewi, Nubhan (Akademi Fantasia 6), Faizal Ismail, Zizan (Raja Lawak) dan kumpulan The Fabuluous Cats tidak melepaskan peluang beramah mesra dan bergambar kenangan dengan mereka.

Finalis Artis Komedi Wanita Popular, Kenchana Dewi, berkata peluang melawat TTI membuka lembaran baru dalam hidupnya memahami Islam dengan lebih mendalam lagi selain menikmati keindahan seni bina tamadun Islam sejak zaman berzaman.

“Siri jelajah ke Terengganu kali ini berbeza dengan dua lokasi yang saya kunjungi sebelum ini. Ia satu idea bagus apabila membawa finalis berkunjung ke tempat sebegini dalam suasana santai. Bagi saya, ia satu bentuk penghargaan apabila kita diraikan dalam bentuk istimewa daripada yang lain.

“Walaupun saya ada peminat tersendiri, tetapi tidak menyangka begitu ramai mengenali saya di Terengganu. Kemesraan ditunjukkan mereka benar-benar mengujakan saya, bukan saja golongan kanak-kanak malah orang tua pun turut bergambar dengan saya,” katanya yang akan turut menyertai siri jelajah lokasi lain sekiranya sesuai dengan masanya.

 

 

Menjelang tengah hari kemudian, finalis dibawa ke lokasi utama Mydin Mall untuk menghadiri majlis perasmian yang disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Wan Abd Hakim Wan Mokhtar.

Turut hadir, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail; Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah; Pengarah Urusan Mydin Mall Kuala Terengganu, Murad Ali Mydin dan Pengurus Residen Sumai Suite Hotel, Ismail Mat Saleh.

Walaupun hujan, ia tidak menghalang lebih 5,000 pengunjung memeriahkan acara yang dikendalikan gandingan mantap Ismahalil Hamzah, Faizal Ismail dan Zizan Raja Lawak sebagai pengacara. Pentas persembahan diserikan lagi dengan nyanyian daripada finalis, Riz AF6, Adam AF2, Aiman, Ayu OIAM, Nubhan AF6 dan kumpulan The Fabuluous Cats.

Pada majlis itu turut diumumkan pemenang Pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH) yang dijuarai peserta dari Kedah, Noor Nazanil Farahan Mohd Hussin, 20. Tempat kedua, Mohd Azfar Shuhaimi, 18, dari Dungun, Terengganu dan ketiga, Tuan Izat Izzuddin Tuan Abd Aziz dari Kuala Berang, Terengganu.

Biarpun persembahan berlangsung dalam hujan, ia tidak menghalang kumpulan The Fabuluous Cats turun pentas menyanyi lebih dekat dengan peminat.

Kata ketuanya, Cat Farish, siri jelajah ini bertujuan mendekatkan diri dengan peminat, justeru artis perlu mengambil inisiatif turun gelanggang sekiranya peminat berasa jauh dengan mereka.

“Saya tidak mahu ada ‘batasan’ antara artis dengan peminat. Jadi saya sanggup turun basah bersama peminat kerana program ini diadakan untuk mereka,” katanya yang menyanyikan tiga lagu iaitu Papa Jahat, Bawaku Terbang dan Slot Akasia.

Aiman yang popular dengan lagu Dusta Berkalang pula menyifatkan sambutan diterima di negeri kelahirannya itu amat memberangsangkan kerana dia juga julung kali diberi peluang mengadakan persembahan di khalayak ramai.

“Saya teruja sangat kerana berpeluang mengadakan persembahan di negeri sendiri. Walaupun hujan, masih ramai yang setia menyaksikan persembahan artis kesayangan mereka.

“Mengenai pencalonan dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular, memang saya terkejut dan tidak sangka sama sekali. Walhal saya belum lagi ada album dan hanya dikenali menerusi Akademi Nasyid.

“Begitupun, saya bersyukur dengan pencalonan ini dan jujur saya katakan tidak berharap sangat untuk menang,” katanya yang mengundang semua finalis menikmati makan malam di rumahnya di Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu pada malam kedua siri jelajah itu.

Bagi finalis termuda, Diana Danielle yang sering menjadi usikan sepanjang siri jelajah itu pula berkata, dia seronok sangat dapat berkunjung ke Terengganu buat pertama kali dan tidak menyangka mempunyai ramai peminat di sini.

Katanya, ruang sebegini memberi nilai tambah buat artis mengeratkan hubungan mesra dengan peminat. Sekiranya mempunyai kelapangan, dia berhasrat berkunjung lagi ke Terengganu dalam masa lebih lama.

“Daripada senarai finalis yang hadir kali ini, kebanyakannya penyanyi dan hanya segelintir saja pelakon. Begitupun, ia bukan halangan untuk kami memberikan komitmen terbaik kepada penganjur meskipun tidak menyanyi di pentas.

“Siri jelajah ABPBH08 ke Terengganu ini memang hebat kerana finalis bukan saja dilayan mesra oleh kru dan penganjur, malah dibawa menaiki bot menyusuri Sungai Terengganu dan melawat TTI yang memberi pengalaman baru dalam hidup saya,” katanya yang akan mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada 19 Mac.

Sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur, finalis sempat berkunjung ke Rumah Sejahtera Taman Bahagia, Bukit Payung, Kuala Terengganu untuk beramah mesra dengan orang tua yang menghuni rumah berkenaan. Pada majlis itu juga, turut disumbangkan barangan keperluan harian bagi membantu meringankan beban ditanggung mereka.

Hujung minggu ini, siri jelajah ABPBH08 akan berkunjung ke Kuantan Parade, Kuantan sebelum disusuli Batu Pahat Mall, Batu Pahat, Johor pada 28 dan 29 Mac serta Klang Parade, Klang pada 3 hingga 5 April. Kemuncak ABPBH09 akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang pada 12 April ini.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

MUH Enggan Terlalu Yakin

9 Mar

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
MAMPUKAH Lagu Untukmu dendangan Meet Uncle Hussein (MUH) mempertahankan ‘gelaran’ sebagai Lagu Terbaik di Pertandingan Akhir Hits 1 musim 6 yang akan diadakan di Auditorium Darul Makmur, Kuantan Pahang pada 28 Mac nanti, sekali gus mengulangi kejayaan mereka awal tahun ini di Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23).

Segalanya berkemungkinan apatah lagi, Lagu Untukmu nukilan gitaris kumpulan ini iaitu Taja terbukti diiktiraf dalam anugerah berprestij seperti AJL selain mengungguli satu lagi kategori iaitu lagu terbaik Pop Rock.

Meskipun, ramai pihak meletakkan harapan yang tinggi terhadap mereka namun MUH enggan terlalu yakin atau memandangkan rendah kredibiliti pesaing lain.

Pemilik suara unik yang juga vokalis MUH, Nor Azlan Roslee atau Lan, 26, berkata, meskipun Pertandingan Akhir Hits 1 satu penganugerahan yang lebih kecil berbanding AJL namun, ia tetap sebuah acara yang istimewa buat MUH.

“Menang di AJL satu pengalaman yang cukup bagus dan bermakna kepada kami. Kalau di AJL, lutut rasa goyang hendak buat persembahan di Hits 1 ini kami lagi takut sebabnya ia membabitkan banyak peserta berkumpulan yang mempunyai kelebihan dan skil masing-masing. Antara mereka juga otai dalam industri misalnya kumpulan Search.

“Kalah atau menang belakang kira, yang penting MUH mahu memberikan persembahan terbaik kepada semua peminat yang mengundi dengan menampilkan persembahan yang berbeza.

“Mungkin kami akan buat sesuatu yang sebelum tidak dapat lakukan di AJL. Kali ini juga, anggota MUH tidak akan memakai topeng,” katanya.

Temubual sama, Lan sempat mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menerima aliran muzik mereka sekali gus membuka mata dan minda mereka sehingga menjadikan muzik yang diperjuangkan kumpulan bebas seperti MUH satu hiburan untuk golongan bawahan hinggalah kelompok atasan.

Pertandingan Hits 1 musim 6, kali ini menyaksikan sembilan finalis yang mana enam daripadanya adalah kumpulan termasuk peserta solo wanita iaitu Ifa Raziah yang mempertaruhkan lagu ciptaan Cat Farish, Panas dan peserta solo lelaki Daniel Lee (Tiada Maaf) serta duo, Edrie Hashim dengan penampilan khas, Hattan menerusi lagu Cinta Si Rama Rama.

Selain MUH, kumpulan yang bertanding adalah 6ixth Sense yang bersandarkan lagu Tanpa, Pop Shuvit (Marabahaya), Hujan (Bila Aku Sudah Tiada), Search (Nyata dan Maya) yang digantikan oleh Projek Pistol dan Puteri Cinta Hati (Kristal).

Persembahan bagi kategori Lagu Terbaik Hits 1 yang menawarkan RM25,000, tempat kedua (RM20,000) serta Persembahan Terbaik Hits 1 akan dinilai juri profesional terdiri daripada mereka yang arif dalam bidang muzik. Manakala, Lagu Paling Popular Hits 1 bernilai RM10,000 ditentukan peminat melalui undian SMS.

Juara Lagu Terbaik Hits 1, tahun lalu dimenangi komposer, Azlan Abu Hassan dan penulis lirik, AD Samad menerusi lagu Ketentuan yang disampaikan Ramlah Ram.

Pada sidang media yang diadakan di Auditorium P Ramlee, Wisma Radio, Angkasapuri, Rabu lalu, Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Abu Bakar Ab Rahim, memaklumkan, kumpulan atau penyanyi yang memenangi Persembahan Terbaik Hits 1 tidak perlu berkongsi wang kemenangan dengan komposer dan penulis lirik sebagaimana tiga kategori lain yang disenaraikan.

“Persembahan Terbaik Hits 1 hanya akan diberikan kepada penyanyi atau kumpulan yang bertanding bukan komposer ataupun penulis lirik kerana sebagai penganjur melihatnya ia sebagai usaha dan kreativiti hasil dari inisiatif peserta sendiri,” katanya.

Pada sidang media itu, beliau turut menjelaskan pemilihan Auditorium Darul Makmur, Kuantan Pahang, sebagai lokasi pertandingan selain penarikan diri salah seorang peserta.

“Berdasarkan pengalaman RTM sebelum ini menerusi sebuah pertandingan yang diadakan di lokasi yang sama, jelas sekali ia mendapat sambutan lebih daripada 1,000 penonton sehingga ada penonton tidak dapat duduk.

“Itu sudah cukup membuktikan peminat di luar Kuala Lumpur begitu dahagakan serta mengharapkan pelbagai acara hiburan serta konsert dianjurkan di negeri mereka. Kebetulan saya difahamkan kelengkapan sistem bunyi di sana yang terbaik dimiliki RTM.

“Dalam menyediakan apa yang diperlukan mereka, RTM turut menggunakan peluang ini sebagai usaha untuk memperkenal dan mendekatkan program RTM dengan orang ramai.

“Berhubung penarikan diri seorang peserta iaitu Ziana Zain, saya dimaklumkan penyanyi itu sedang mengandung. Kami ada berbincang dengan komposer lagu Dingin iaitu Azlan Abu Hassan untuk menggantikan Ziana dengan penyanyi lain ekoran masalah kesihatannya namun, Azlan tidak mahu ia dinyanyikan penyanyi lain dan bersetuju menarik diri,” katanya.

Serba-sedikit mengenai Hits 1 kendalian Nabila Huda dan E’one ini, ia adalah rancangan pertandingan carta lagu Melayu yang di adaptasi dari Carta Radio Muzik fm setiap minggu. Lagu yang mendapat undian tertinggi peminat layak dicalonkan dalam rancangan Hits 1 dengan menggunakan video klip.

Harian Metro

Akademi Fantasia Kembali Lagi

5 Mar

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serimah@bharian.com.my

DUA puluh calon yang bertuah terpilih menyertai Akademi Fantasia musim ketujuh.

Astro janji bawa perubahan lebih menarik daripada musim lalu

TIDAK sabar menanti apakah bentuk transformasi yang kononnya bakal berlaku kepada Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7). Program realiti TV sensasi itu akan kembali menemui penonton menerusi Astro Ria, Sabtu ini.

Semoga Satu Transformasi Besar Bakal Berlaku yang dijanjikan oleh Astro dalam AF musim ini tidak sekadar janji kosong. Janji serupa bukan tidak pernah diungkap, apatah lagi sejak beberapa musim yang lalu tatkala gelombang AF tidak begitu terasa seperti musim pertama hingga ketiga.

Selepas dua minggu mengumumkan barisan tenaga pengajar, Astro mengatur sidang media mengumumkan barisan pelajar yang bakal mewarnai AF kali ini. Hiasan dewan untuk majlis ini saja cukup gah, memberi memberi gambaran awal kesungguhan Astro dalam membawakan transformasi atau angin baru AF musim ini.

Keterujaan untuk mengetahui siapakah 20 calon awal yang dipilih mula pudar apabila satu persatu nama mereka diperkenalkan. Pertama, vokal mereka ketika menyanyikan dua baris lagu untuk memperkenalkan diri tidak berjaya membuatkan hati tertarik. Ini mungkin tidak adil untuk menilai mereka hanya dengan dua baris lagu, namun pengalaman masa lalu cukup membuktikan andaian itu tidak pernah tersasar.

Malah melihat pula beberapa wajah yang pernah menyertai program realiti lain bukan terbitan Astro, sekali lagi terdetik apakah itu peralihan baru yang dijanjikan Astro? Apakah kita sudah ketandusan bakat baru yang bagus sehingga terpaksa mengitar semula pesertanya?


KHAIRUL MIZAN (kanan) bersama Penerbit Eksekutif, Sooraj Nair,
dan Ketua Unit Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh
pada majlis memperkenalkan peserta awal AF7.

Nama pelajar atau peserta seperti Abraham Edwin Dugot (AB) pernah menyertai One In A Million, Khairil Azam Pilus (Aril) pernah mencuba nasib di dalam program Gangstarz dan Rubisa Tiasin (Rubisa) daripada program My Starz LG. Apakah Astro cuba untuk mengambil formula tahun lalu apabila menobatkan Stacy sebagai juara AF musim ke-6.

Selain peserta program realiti, 20 calon awal itu turut menyenaraikan penyanyi yang sudah memiliki album Nas Adila Mohd Dan. Kita nantikan tranformasi yang dijanjikan kerana sebelum ini penyanyi berasal dari Johor Bahru ini pernah mengubah hala tuju muziknya dari irama Malaysia kepada muzik rancak sentuhan Cat Farish, namun dia masih lagi di takuk lama.

Pengurus saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata, transformasi sentiasa dilakukan dalam AF setiap kali program itu disiarkan. Bagaimanapun, katanya, perubahan ini tidak hanya berlaku kepada pelajar tetapi tenaga pengajar, format juga pasukan penerbitan.

“Kita perlu beri mereka peluang. Mungkin terlalu awal menilai bakat pelajar. Tirai Akademi Fantasia pada 7 dan 8 Mac ini akan lebih memperkenalkan peserta dengan lebih mendalam. Dalam jangka masa dua hari itu, mereka akan cuba menonjolkan diri yang sebenar.

“Semua 20 calon awal ini adalah yang terbaik daripada 9,000 orang yang datang uji bakat. Kami sendiri kagum dengan sambutan yang cukup menggalakkan terhadap program ini. Angka itu adalah yang tertinggi dan ia meningkat sebanyak 33 peratus daripada musim lalu.

“Ujian saringan kali ini juga lebih ketat. Kita mahu pelajar tahun ini mempunyai mutu vokal yang tinggi. Kriteria utama yang menjadi pilihan kami adalah peserta yang boleh menyanyi dan memiliki nada suara menarik, yang paling penting mereka tidak pekak nada,” katanya.

Walaupun Astro membuka penyertaan kepada rakyat Singapura, tetapi tidak ada peserta dari negara jiran itu terpilih. Menjelaskan perkara itu, Khairul Mizan berkata, pemilihan bukan dibuat berdasarkan negeri, negara atau umur sebaliknya kepada kemampuan vokal peserta.

Menurutnya, dia tidak mahu jika ada yang mempersoalkan mengenai bilangan peserta yang kebanyakan berasal dari negeri tertentu kerana pemilihan memang dibuat berdasarkan ‘siapa yang terbaik’.

“Mungkin orang akan melihat dan mempersoalkan kenapa peserta AF kali ini banyak dari negeri tertentu. Perkara itu bukan disengajakan, kita tidak ada kuota untuk negeri ataupun umur. Apa yang kita cari ialah peserta yang terbaik,” katanya lagi.

Ramai peserta sudah berkahwin

MUNGKIN inilah yang dikatakan benar-benar ingin kelainan menyebabkan Astro lebih terbuka mendedahkan status pelajar AF7. Ia adalah satu sejarah baru program ini apabila enam calon awalnya sudah berkahwin.

Peserta yang paling berusia dan bapa kepada dua anak ialah Kelana Ayu berasal dari Bintulu, Sarawak berusia 40 tahun. Seorang lagi peserta lelaki yang sudah berumah tangga ialah Mohd Rashidi Mohamad Isa, 27, berasal dari Ipoh, Perak. Bagaimanapun Rashidi masih belum dikurniakan cahaya mata.

Peserta wanita yang memegang status isteri pula Ismaliza Ismail berusia 30 tahun yang juga ibu kepada lima orang anak. Isma, isteri kepada penyanyi kumpulan 2 by 2, Zulkifli Majid dan juga kakak kepada penyanyi Tomok yang kini berperang dalam One In A Million.

Tidak ketinggalan berjaya menempatkan diri dalam pusingan awal ialah isteri kepada pelakon, Ezani Nazariff, Lizda Nuryanti Abidin, 27 tahun dari Tawau, Sabah. Turut bergelar ibu ialah bekas peserta My Starz LG, Rubisa, ibu kepada seorang cahaya mata.

Khairul Mizan berkata, status dan usia bukan benteng penghalang untuk peserta membina kerjaya dalam dunia nyanyian kerana AF sudah membuktikan dengan kejayaan pelajarnya mengubah taraf hidup mereka.

“Mengambil pelajar berusia bukanlah satu masalah. Mereka juga diterima peminat, Mama Rina adalah salah contohnya. Dia kini tidak lagi menyanyi di kelab seperti dulu, malah kehidupannya berubah setelah dia menyertai AF,” katanya.

Kita nantikan sejauh mana strategi Astro akan berjaya supaya peminat tidak ada lagi pandangan skeptikal terhadap janji manis yang ditaburkan Astro selama ini.

INFO: Peserta awal AF7

AKIM (Afiq Hakim Ahmad, 18, Johor Bahru, Johor)

AB (Abraham Edwin Dungot, 26, Ranau, Sabah)

OBRI (Ahmad Sobri Hasmuni, 24, Johor Bahru, Johor)

KELANA (Kelana Ayu, 40, Bintulu, Sarawak)

ARIL (Khairil Azam Pilus, 24, Kuala Lumpur)

QHAUD (Mohd Qhauhd Abdul Rashid, 25, Selangor)

SIDI (Mohd Rashidi Mohammad Isa, 27, Ipoh, Perak)

YAZID (Mohd Yazid Ibrahim, 22, Johor Bahru,Johor)

FAEZAH (Alpaezah Manaf, 20, Keningau, Sabah)

CABBY (Cabrine Blaire Bernard Solibun, 20, Kota Kinabalu, Sabah)

CLAUDIA (Claudia Fay Geres, 24, Kuching, Sarawak)

ISMA (Ismaliza Ismail, 30, Kuala Lumpur)

LIZDA (Lizda Nuryanti Abidin, 27, Tawau, Sabah)

RUBISA (Rubisa Tiasin, 23, Kota Marudu, Sabah)

ADILA (Nas Adila Mohd Dan, 23, Johor Bahru, Johor)

ZIZI (Nur Fazelah@Zizie Mohd Tahil)

AISHAH (Siti Aishah Bujang, 18, Kuching, Sarawak)

RINI (Zuzafrini Zulkifli, 26,Kajang, Selangor)

HAFIZ (Mohd Hafiz Mohd Suip, 19, Kuching, Sarawak)

AMIM (Abdul Hamim Suleiman, 21, Johor Bahru, Johor)

Berita Harian

Rezeki Ketiga Dina

1 Mar

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

Rap

BENAR kata orang – saiz bukan ukuran. Kalau sudah berbakat, pasti rezeki terhampar depan mata. Buktinya, naib juara Malaysian Idol 2 ini bukan saja bisa memanjangkan kariernya sebagai penyanyi dan pelakon, bahkan turut bertugas sebagai penyampai radio di stesen radio popular, Era.

Sebagai permulaan, dia diberi tugas mengendalikan segmen Carta Era bersama Nana bermula 4 Januari lalu. Sebulan mencatat prestasi cemerlang, dia kemudian diberi peluang mengelolakan segmen sendiri dari jam 2 hingga 6 petang setiap Ahad.

Akui Dina, tugas baru yang digalas paling mencabar kerana ia bukan saja menuntut banyak penyelidikan, malah dia perlu bijak berinteraksi dengan pemanggil kerana lain orang lain tahap pemikirannya.

“Kali pertama mengendalikan segmen 2 hingga 6 petang, saya panik. Kelam kabut dibuatnya sampai tersalah tekan butang. Mujur Adifashla memantau kerja saya, dialah yang banyak membantu.

“Meskipun pening di konti, saya seronok melayan kerenah pemanggil. Dari situ saya sedar, menjadi deejay memerlukan kita pantas dalam tindakan mahupun pemikiran.

“Kerjaya ini turut menuntut saya melakukan penyelidikan, banyak membaca dan tahu perkembangan isu semasa,” katanya ketika bertandang ke Metro Ahad, baru-baru ini.

Jelas pelantun lagu Malu Tapi Mahu ini, sedari kecil dia memang suka bercakap, tapi langsung tidak menjangka tabiat itu membawa tuah dalam hidupnya.

Bahkan, kata Dina, dia tidak pernah terfikir bergelar penyanyi dan pelakon. Apa yang ada dalam genggamannya kini diperoleh secara kebetulan.

“Saya tidak menyedari bakat saya jika orang tidak mencungkilnya. Menyanyi misalnya, saya tidak tahu saya boleh menyanyi hinggalah usia 16 tahun. Bakat lakonan pula dicungkil oleh Cat Farish dan Ahmad Idham manakala deejay, pengurusan Era yang melamar saya.

“Apapun, keutamaan saya pada nyanyian kerana ia memberi lebih kepuasan. Lakonan pula ada kelebihan tersendiri di mana saya dapat ramai kawan baru. Deejay pula mencabar mentaliti, malah kerjaya ini buat saya berfikir secara lebih intensif,” katanya yang menyambut ulang tahun ke-24 pada 7 Februari lalu.

Mengupas lanjut karier di Era, selepas enam bulan tempoh percubaan, Dina akan diserap sebagai penyampai tetap. Setakat ini dia lega pengurusan berpuas hati dengan penyampaiannya, malah menerima maklum balas positif pendengar, peminat dan rakan.

“Saya gembira bila peminat cakap suka dengan cara penyampaian saya. Malah bila ikut skuad Era, ramai ingin tahu kenapa saya jadi deejay. Saya jelaskan, ini satu cabang rezeki selain menyanyi dan berlakon.

“Sebenarnya, seronok jadi deejay kerana selain rapat dengan pendengar, saya dapat jadi orang pertama dengar lagu baru. Jika lagu itu bagus, saya boleh cadangkan ia diperdengarkan di radio,” katanya yang menjadikan Nana dan Adifashla sebagai rujukan ketika bertugas.

Berbicara mengenai karier nyanyian, Dina bakal muncul dengan album single berjudul Satu Untuk Diriku yang turut memuatkan bonus trek Malu Tapi Mahu, Sejauh Ini dan Yall Wit Me.

Menurut pelakon drama Rempit vs Impak Maksima dan filem Jangan Pandang Belakang Congkak ini, dia meletak harapan tinggi terhadap single Satu Untuk Diriku, ciptaan Lah Ahmad. Menariknya, lagu ini turut terpilih sebagai lagu tema untuk siri Hartamas yang kini rancak bersiaran di ntv7.

“Selain Satu Untuk Diriku, saya turut menyanyikan lagu tema untuk siri Rempit vs Impak Maksima berjudul Laju Lampau. Lagu ini mendapat sentuhan Ahli Fiqir dan Supa.

“Ia akan diperdengarkan apabila drama ini dimainkan di televisyen. Ikut perancangan asal, saya akan muncul dengan album penuh Mei depan, tetapi bimbang populariti lagu Satu Untuk Diriku semakin hambar, saya keluarkan dulu album single.

“Album penuh nanti akan diberi judul Dua dan diserikan dengan 12 trek lagu bahasa Melayu dan Inggeris.

“Selain Lah Ahmad dan Supa, saya menggunakan khidmat Sharon Paul, James Baum, Audi Mok, Johan Nawawi dan Imran Ajmain sebagai komposer album berkonsep pop R&B hip hop ini,” kata pemilik syarikat rakaman dan pengurusan Soulful Symphoney serta studio Purple Houz ini.

Harian Metro