Archive | Cyberita RSS feed for this section

Salah Sebut Perkataan Maknanya Jauh Beza

4 May

Oleh
Mohd Gani Ahmad

NANYANG WALK, akhir November 2008, dalam adegan main peranan peserta ‘Kursus Tatabahasa dan Pengajarannya’, Cikgu Diyana, berlakon sebagai sesetengah orang yang berasal dari daerah Kota Medan, Sumatera Utara.

Perkataan: betul, benar dan besar; semua bunyi huruf vokal ‘e’ pepetnya atau ‘e’ tandanya disebut dengan sebutan ‘e’ taling.

Penyebutan beliau itu mengingatkan saya akan penyebutan jiran, anak-anak gadis di belakang rumah, di Tiban III, Kijang, Batam.

Mereka sering berdoa beramai-ramai dengan suara yang agak lantang setiap Ahad pagi. Antara wacana mereka yang masih saya ingat:

‘…Kami benar-benar bertobat (taubat) tidak akan mengulangi segala kesalahan, kesilapan, kelalaian dan kecuaian kami yang lalu.

‘Ampuni setiap dosa dan ketelanjuran kami itu, wahai Tuhan Yang Maha Esa, Yang Maha: Pengasih, Penyayang dan Pemurah…’

Semua vokal ‘e’ disebut dengan sebutan ‘e’ taling dan bukan ‘e’ pepet atau ‘e’ tanda sebagaimana yang semestinya sebutan bahasa Melayu baku dan Indonesia yang umum.

Hari Selasa, ketika mengikuti Kuliah Duha, ustaz yang mengajar kami juga menyebut perkataan pegang dengan sebutan vokal ‘e’ pepet dengan sebutan ‘e’ taling.

Kali ini, marilah kita sembangkan penyebutan kosa kata yang mengandungi huruf vokal ‘e’.

Penyebutan mereka tidak selaras dengan sebutan yang ditentukan dalam Daftar Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia, 1991.

Menurut hukum penyebutan baku, huruf ‘e’ melambangkan dua bunyi: ‘e’ taling dan ‘e’ pepet atau ‘e’ tanda.

Sila sebut kekata yang mengandungi ‘e’ taling yang berikut dengan nyaring supaya lebih mengesankan: enak, elok, esok, peka, endah, ekonomi, ekstra, Geylang, bebek, pepes, besen, lesen, pesek, pengsan dan perak.

Kemudian, sila sebut kekata yang mengandungi ‘e’ pepet yang berikut dengan nyaring dua kali; sekali dalam sebutan ‘e’ taling dan sekali lagi dalam sebutan ‘e’ pepet/tanda atau yang baku: perintah, emak, empuk, esa, beduk, Seletar, besar, resah, kesat, pesat, pekak, pejal, pekat, ketat, ketuk, kesan dan ketar.

Sila baca dua kali, sekali dalam sebutan baku dan sekali lagi dalam sebutan ‘e’ taling peribahasa yang berbentuk pantun yang maksudnya dijadikan judul esei ini, kemudian carilah maknanya:

Contoh beberapa perkataan yang harus dibezakan sebutan ‘e’ taling dan ‘e’ pepetnya. Jika disebut salah, maka maknanya akan jauh berbeza.

Kosa kekata ini dikategorikan sebagai homograf, hurufnya serupa tetapi sebutan dan maknanya berbeza:

Sepak dengan sepak:

Sepak, dengan ‘e’ taling, bermakna tendang, ketis, terajang – gerakan kaki.

Mereka bermain sepak takraw di gelanggang.

Sementara sepak dengan ‘e’ pepet pula bererti gerakan tangan – memukul dengan telapak tangan atau menempeleng.

Kanak-kanak yang kena sepak itu pun menangis.

Perang dengan perang:

Perang dengan ‘e’ pepet, ertinya pertempuran antara dua pihak atau kumpulan yang bermusuhan dengan menggunakan senjata.

Perang saudara antara mereka telah berakhir pada 1945. Perang dengan ‘e’ taling bermakna warna yang merah kehitam-hitaman atau kekuning-kuningan.

Anak-anak muda sekarang gemar berambut perang.

Cyberita

Komunikasi Bawa Bahagia

3 May

Oleh
Salma Semono

Apabila suami anda bercakap pasal ‘A’ dan anda pula menerimanya sebagai ‘B’, maka nantikanlah pertelingkahan antara anda berdua.

Begitu juga dengan ibu bapa dan anak-anak.

Kalau si ibu marah-marah, sesetengah anak merungut antaranya begini:

‘Alaa… mak aku tu memang gitu. Tak tahu nak beri nasihat cara baik. Asyik nak marah saja.’

Anak yang memahami cara penyampaian ibu dalam menyampaikan nasihat begini, insya-Allah tidak akan menimbulkan masalah berpanjangan.

Sebab si anak tahu, apa yang disampaikan oleh ibunya itu adalah satu nasihat walaupun secara marah-marah.

Doktor Farminah Hasan, seorang kaunselor, memberikan contoh-contoh di atas untuk menggambarkan tentang pentingnya kemahiran berkomunikasi dalam menjaga kebahagiaan rumah tangga.

‘Sebaiknya suami isteri dan ibu bapa belajar cara-cara berkomunikasi yang berkesan.

‘Insya-Allah dengan cara ini, mereka boleh menikmati kebahagiaan dalam rumah tangga.

Dr Farminah yang kini mempunyai klinik kaunseling sendiri di Batu Pahat, Johor, berkata demikian dalam satu temu bual di pameran Food and Hotel Asia (FHA) di sini minggu lalu.

Dalam pameran itu, beliau, mantan kaunselor di sekolah-sekolah menengah di Malaysia, mempromosikan ubat-ubatan homeopati dan minyak kelapa dara daripada syarikatnya, Farminah Bio-Plus Industries & Consultants Sdn Bhd.

Beliau berasa bimbang melihat keadaan hidup hari ini apabila kes-kes keluarga berpecah belah semakin meningkat.

Ini semua ada kaitannya dengan gaya hidup, katanya.

‘Ada anggota keluarga yang tidak berkomunikasi kerana terlalu sibuk.

‘Masing-masing sibuk hendak memajukan diri, menguruskan perniagaan, sibuk dengan urusan kerja dan anak-anak pula sibuk dengan persekolahan mereka.

‘Ini semua menyebabkan anggota keluarga kurang masa untuk berkomunikasi, untuk bersama-sama santai di rumah atau untuk saling mencurahkan kasih sayang.

‘Kalau suami isteri, ibu bapa dan anak-anak boleh bercakap dengan bahasa yang menyampaikan rasa kasih sayang dan saling memahami, mereka akan berasa puas dengan diri sendiri dan hidup menjadi selesa.

‘Tidak kurang pentingnya ialah hidup yang berasaskan pegangan agama.

‘Oleh sebab itu, saya dapati lebih mudah membuat kaunseling dengan orang-orang Islam yang ada pegangan agama berbanding dengan yang tidak mengamalkannya.

‘Klien saya bukan terdiri daripada yang beragama Islam saja. Ramai juga yang bukan Islam, terutama semasa saya menjadi kaunselor di sekolah-sekolah menengah,’ katanya.

Kenapa pegangan agama penting?

Sebab seseorang yang mengalami tekanan jiwa, katanya, kalau ikhlas dan reda dengan masalah yang dihadapinya, dia mudah faham punca masalah dan mudah bagi kaunselor membantunya mencari jalan keluar.

Beliau, yang mengikuti pengajian homeopati hingga peringkat ijazah doktor falsafah (PhD), tertarik kepada bidang itu setelah mendapati bahan rawatan tersebut membantu mempermudah proses kaunselingnya.

Selain itu, syarikatnya turut menghasilkan beberapa jenis makanan tambahan (supplement) melalui teknologi sains hayat.

‘Semua bahan yang digunakan dalam produk saya terdiri daripada bahan-bahan asli dan menurut syarat-syarat pendaftaran ubat-ubatan di Malaysia yang begitu ketat.

‘Semua produk mesti ada sijil-sijil tertentu sebelum boleh dipasarkan termasuk sijil syarikat, makmal, ujian nutrisi, ujian kimia, tanda halal Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (Jakim) dan pengilang-pengilang Malaysia dan antarabangsa.

‘Setakat ini, sudah lapan produk saya yang mempunyai sijil pendaftaran tersebut termasuk produk Pintar Bahasa, Pintar Matematik dan Sains serta Pintar Khas.

‘Di bawah produk Bio-plus, ada Bio-plus antiresdung, antasma, antirokok dan antidiabetik, penjagaan keanggunan wanita dan tenaga lelaki. Semua saya rumus sendiri,’ katanya.

Cyberita

KERANA GOSIP

30 Apr

Soalan: Gosip apa mengenai Rozita Che Wan yang menyebabkan beliau mahu tinggalkan dunia hiburan buat selamanya?

APABILA wanita jelita seperti Rozita Che Wan membuat pengumuman akan tinggalkan dunia hiburan tahun depan, ia mengundang lebih banyak tanda tanya.

Pertama, kerana beliau bukan lama dalam industri ini, tapi boleh dianggap orang baru juga kerana kehadirannya belumlah lama. Beliau baru muncul dalam setahun dua, malahan lakonannya pun belum boleh dikategorikan banyak. Beliau sekadar berlakon drama, kebanyakan drama bersiri yang dibuat untuk siaran televisyen.

Kedua, beliau mempunyai masa depan yang baik dalam dunia filem kerana bakat lakonannya boleh dianggap baik. Jika dibandingkan dengan sesetengah pelakon jelita baru yang ada, lakonan Rozita lebih hidup lagi berbanding ramai yang lain yang berlakon macam tunggul kayu.

Ketiga, dari segi publisiti, Rozita termasuk dalam kelas artis yang tidak kurang publisiti, malahan, beliau sentiasa menjadi tumpuan media. Beliau pandai bergaya dan sentiasa berjaya mencuri tumpuan jurugambar, dan Rozita jarang sekali menghampakan mereka apabila diminta memberikan gaya yang pelbagai. Itulah sikapnya yang sentiasa disenangi pihak media.

Lalu, mengapa perlu bersara? Sudah hampir sebulan saya cuba membuat janji temu dengannya, tetapi jadualnya sentiasa padat. Pernah sekali ketika dihubungi, beliau memberitahu akan ke Jakarta, Indonesia. Jika tidak keluar negara, beliau akan sibuk shooting drama.

‘Memang saya tengah sibuk, sekarang ini berada di Melaka untuk penggambaran drama bersiri,’ katanya mengenai drama 26 episod berjudul Cikgu Kamisah Kerbi.

Beliau memberitahu, sehingga Julai, jadualnya dipenuhi dengan shooting dan kebanyakannya melibatkan drama bersiri. Sememangnya tawaran, kata beliau, datang terlalu banyak sehinggakan tidak dapat ditampung tangan dibuatnya.

Kalau sedang laris seperti pisang goreng panas, mengapa perlu mengucapkan selamat tinggal?

‘Bosanlah. Rasanya saya tidak tahan dengan cakap-cakap orang. Saya tahu, memang ini harga yang perlu dibayar bila sudah jadi artis, tapi kalau selalu jadi mangsa tohmahan lama-lama jadi bosan,’ ujarnya membuka selembar keresahan hati.

Tapi, bukankah itu asam garam dalam dunia artis, apa lagi apabila sudah popular?

‘Betul, tapi sampai tidak ada privacy dibuatnya. Apa yang saya buat serba tak kena, tindak-tanduk kita semuanya seperti tidak betul pada pandangan masyarakat,’ keluhnya.

Contohnya?

‘Misalnya benda yang saya tidak buat, orang kata saya buat. Nama saya tercalar. Walau apa pun yang saya lakukan, persepsi orang terhadap ibu tunggal seperti saya selalunya negatif. Apabila orang kata apa yang kita tidak buat, saya jadi kecewa,’ kata Rozita.

‘Saya masih boleh telan semuanya, tetapi kalau sampai anak sendiri pun jadi mangsa tohmahan dan gosip liar, saya jadi kecewa dan malu,’ cerita Rozita yang mempunyai dua orang anak hasil perkahwinannya yang lalu.

Kedua-dua anaknya lelaki. Yang kecil berusia 12 tahun dan tinggal bersamanya, manakala yang sulung 14 tahun, adalah pelajar Maktab Rendah Sains Mara dan menetap di asrama.

Menurut Rozita, anak-anaknya juga tertekan dengan segala gosip tentang ibu mereka. Malahan, seringkali anaknya akan pulang untuk bertanya tentang cerita-cerita negatif tentang ibu mereka.

‘Mereka kata, kawan-kawan suruh tanya, betul ke gosip itu dan gosip ini. Saya memang kasihankan anak-anak kerana mereka juga tertekan di sekolah dengan macam-macam soalan dari kawan-kawan.

‘Kadang-kadang ada yang saya tidak sempat baca, tapi anak saya akan tanya. Mummy apa cerita ni? Dan saya tanya balik, Cerita apa? Saya dapat bayangkan perasaan anak-anak, sudah tentu seperti saya mereka kecewa dan malu… tapi apakan daya…’ katanya.

‘Kerana itulah saya rasa, jalan yang paling baik adalah dengan meninggalkan dunia hiburan kerana selagi saya jadi artis, selagi itulah saya terpaksa berdepan dengan semua ini,’ katanya sambil menegaskan beliau memilih tahun depan untuk merealisasikannya (bersara).

‘Saya hanya boleh buat tahun depan dan bukan tahun ini kerana saya sudah terikat dengan kontrak dengan beberapa production house. Jadi, saya perlu selesaikan semua kerja sebelum berhenti sepenuhnya,’ katanya yang mahu beralih ke dunia perniagaan produk kecantikan.

Dan, sekalipun ramai yang mengaitkan keinginan untuk bersara itu dengan kemungkinan beliau akan menamatkan zaman janda, Rozita masih enggan mengiyakannya.

Namun, sekalipun beliau bersara dari dunia lakonan, belum tentu lagi beliau dapat melarikan diri dari menjadi bahan usikan dan gosip. Hakikatnya, beliau akan sentiasa menjadi perhatian apatah lagi beliau sebagai wanita jelita yang masih belum berpunya.

Macam-macam boleh berlaku. Ada lapan bulan lagi menjelang tahun hadapan dan banyak perkara yang boleh terjadi. Siapa tahu mungkin beliau akan berkahwin dalam tempoh itu atau mungkin beliau ubah fikiran dan tidak jadi ucap selamat tinggal kepada dunia lakonan.

Memang sudah jadi lumrah, orang cantik selalu jadi perhatian, seperti semut mengundang gula. Cuma Rozita kena banyak belajar jadi tabah dan tenang bila berdepan dengan gosip. Gosip akan hanya menjadi gosip. Pokoknya, jika ia tidak benar, ia akan mati dengan sendiri. Namun, ada kalanya gosip juga seperti pohon, jika ditiup angin, pastinya akan bergoyang jua.

Cyberita

Tenung Tajam Saja Matikan Degupan Jantung Sang Kambing

29 Apr

Oleh
Mohsin Mohd Said

HANYA dengan mendengar judul filem ini, The Men Who Stare At Goats, anda pasti sudah terasa agak tertarik untuk menontonnya. Biasanya, dalam industri filem masa kini, judul sesebuah filem itu memberi penonton satu bayangan apakah inti filem tersebut.

Namun, bagi filem ini, ia merupakan satu wahana yang akan membakar keinginan penonton untuk mencungkil rahsia sebenar filem ini.

Seperti yang telah dibayangkan oleh judul filem ini, filem ini dihasilkan berdasarkan sebuah buku The Men Who Stare at Goats (2004), hasil karya penulis, Jon Ronson.

Hasil daripada usaha penyelidikan John Sergeant, buku ini sebenarnya ingin mendedahkan rahsia tentera Amerika Syarikat dalam menggunakan teknik- teknik peperangan yang lebih bersifat mistik atau dari satu sudut pandangan yang lain, menggunakan kaedah paranormal.

Pengarah, Grant Heslov, berjaya menyatukan pelakon veteran dan juga muka baru dalam menjayakan filem komedi ini. Bukan itu sahaja, unur-unsur komedi yang Grant cuba ketengahkan di sini adalah sesuatu yang lebih bersifat intelektual.

Ini adalah kerana, setiap adegan lucu sebenarnya merupakan satu sindiran terhadap dunia realiti. Ia memerlukan perhatian yang agak tajam untuk memahami mesej yang tersurat.

Bob Wilton (Ewan McGregor), wartawan Ann Arbour, berjaya menemu ramah seseorang lelaki, Gus Lacey (Stephen Root), yang mengaku mempunyai suatu kuasa akal yang luar biasa. Akan tetapi, Wilton mempunyai satu anggapan yang dia hanyalah seorang yang kurang siuman.

Namun begitu, semuanya berubah apabila Wilton pergi ke Kuwait untuk menyiasat perang Iraq. Wilton berjaya menemui seorang anggota tentera khas, Lyn Cassady (George Clooney), yang juga merupakan salah seorang pelopor bagi satu pasukan tentera khas yang dikenali sebagai New Earth Army.

Pasukan khas ini menggunakan kaedah yang dianggap luar biasa dan banyak menggunakan kuasa paranormal untuk menjalankan operasi-operasi mereka. Antara kebolehan mereka adalah menembusi tembok, meletupkan awan dan yang paling menarik, mematikan degupan jantung seekor kambing hanya dengan tenungan mata.

Kumpulan pasukan khas yang diterajui Bill Django (Jeff Bridges), yang menjelajah seisi Amerika dalam tahun 1970-an untuk memperhalusi kaedah-kaedah peperangan sebenarnya bermula apabila dia ditembak di medan perang Vietnam.

Pada tahun 1980-an, Django berjaya mendidik dua askar, Larry Hooper (Kevin Spacey) dan juga Lyn Cassady, yang dianggap sebagai yang terbaik.

Namun, persaingan antara mereka berdua berjaya menghasilkan api kebencian yang meluap-luap. Persaingan itu sebenarnya berpunca daripada perbezaan pendapat terhadap falsafah pasukan mereka. Lynn berpendapat bahawa mereka harus lebih fokus dalam kebolehan mereka untuk mendatangkan kebaikan kepada dunia, manakala perhatian Larry pula lebih tertumpu kepada anasir-anasir mistik.

Wilton dan Lynn terpaksa menempuh pelbagai cabaran sewaktu mengharungi satu opersai di Iraq dimana mereka harus berdepan dengan lambaian ajal yang sentiasa menghampiri mereka.

Akhirnya, mereka diselamatkan sebuah firma penyelidikan yang sebenarnya dimiliki Larry. Larry yang memulakan syarikat penyelidikannya terutama terhadap penggunaan kuasa akal yang luar biasa. Selain itu, dia juga mendapat khidmat Djangjo, kini seorang kaki botol dan juga menghadapi masalah kemurungan.

Wilton berjanji yang dia akan mendedahkan kisah ini bagi tatapan sedunia tanpa meninggalkan sedikit kesan sejarah mengenai pasukan khas Djangjo demi keselamatan mereka.

Kesudahan filem ini amat menarik.

Di pejabatnya, Wilton biasa menguasai kuasa akalnya sendiri, dan dia berjaya menembusi tembok pejabat itu.

Cyberita

Mesej Tajam

29 Apr

Skrip pentas arahan
Zizi Azah sentuh isu kaum hawa

Oleh
Haryani Othman

GIRL power (kuasa wanita)!

Itulah dua perkataan yang tergiang-giang di dalam fikiran saya setelah menonton pementasan Teater Ekamatra, Heart(h).

Kenapa Girl Power?

Kerana pementasan ini dijayakan oleh enam wanita yang mengkagumkan. Heart(h) adalah hasil tulisan dan arahan Zizi Azah Abdul Majid, arahan dibantu oleh Fezhah Manan dan dilakonkan oleh Karen Tan, Shida Mahadi, Nur Suhaili Safari Wijaya dan Molizah Mohd Mohter (Moli).

Heart(h) mengisahkan pertemuan empat wanita – seorang ibu hamil, seorang bekas banduan, seorang aktivis NGO dan seorang wanita bekerjaya yang bertemu di atas jambatan yang memisahkan Syurga dan Neraka.

Mereka yang mati pada tahun-tahun yang berlainan perlu bekerjasama untuk merentas jambatan.

Dalam perjalanan itu, barulah mereka tahu mengapa mereka diketemukan: Iaitu untuk menjawab soalan-soalan peribadi yang tidak dapat mereka huraikan ketika mereka hidup. Soalan-soalan yang hanya boleh dijawab oleh orang lain.

Sekali lagi Zizi menikam para penonton dengan ketajaman mesej dalam bahasanya. Skrip yang menyentuh isu-isu kaum hawa seperti feminisma, cinta dan perasaan, penderaan hati dan fikiran, kecurangan dan juga naluri dan tanggungjawab sebagai isteri, anak dan ibu.

Walaupun secara keseluruhannya, isu-isu dan mesej- mesej yang diketengahkan cukup perit untuk ditelan, Zizi ada menyelitkan beberapa dialog yang mencuit hati, yang membuat penonton terbahak- bahak ketawa!

Apatah lagi dengan lakonan selamba Karen Tan apabila beliau membawa watak seorang penagih dadah.

Watak utama Karen ialah sebagai seorang warga Malaysia yang menjadi warga Singapura pada usia 40 tahun, yang memilih untuk tidak berkahwin setelah cinta sejatinya meninggal dunia.

Beliau juga membawa watak Aman, seorang penagih dadah dan suami kepada watak Mastura, yang dibawa oleh Moli. Kalau mahu berbual tentang persembahan Karen Tan dalam membawa watak-wataknya, tidak cukup ruang nampaknya!

Emosi dan perasaan setiap watak jelas dipaparkan bukan hanya dengan tutur kata tapi juga dengan gerakkan badan dan nada suara yang menarik penonton ke dalam dunia watak-watak itu.

Kekuatan lakonan Karen Tan ditingkatkan lagi dengan lakonan mantap Shida Mahadi, Nur Suhaili Safari Wijaya dan Moli.

Shida mempunyai tenaga dan stamina yang amat sihat. Walaupun watak utama yang dibawanya sebagai Nora amat aktif daripada mula hingga akhir, beliau tidak kehilangan fokus atau suara. Amat konsisten!

Syabas! Suhaili pula berkesan sebagai Intan, seorang wanita era 50-an yang tampak tertib dan taat kepada suaminya yang tidak menghiraukannya, cukup dengan nada suara ala Saadiah.

Penonton sekali lagi dihidangkan dengan suara merdu Suhaili dalam Heart(h).

Moli pula, walaupun sudah lama ‘bercuti’ daripada berlakon, masih lagi ada umph!

Perwatakkan beliau sebagai seorang ibu dan isteri yang kehilangan anak akibat kelalaian sendiri menyentuh hati para penonton. Namun begitu, ada kalanya, Moli kelihatan lelah diatas pentas. Tetapi ia tidak menjejas persembahan beliau.

Dari segi arahan, Zizi dan Fezhah boleh dikatakan satu yang baik. Arahan selaras dengan wirasa cerita dan tidak meleret dengan aduan dan rungutan walaupun isu-isu yang diketengahkan berat. Set dan rekaan lampu juga menambahkan rasa mistik dalam cerita ini.

Nampaknya, di bawah naungan sekumpulan artistik yang baru, Teater Ekamatra akan mengegarkan lagi arena teater Melayu tanah air.

Saya harap Teater Ekamatra akan terus mementaskan cerita-cerita yang dekat di hati kita.

Cyberita

10 Syarat Hias Rumah

29 Apr

MENGHIAS rumah memang boleh memeningkan kepala. Sebelum anda membuka majalah-majalah untuk mendapatkan idea, pertimbangkan 10 syarat asas ini:

Usah tambah hiasan di dalam rumah anda kecuali ia sesuatu yang berguna dan cantik di mata anda.

Misalnya, tong sampah di bilik tidur anda memang berguna, tetapi ia tidak semestinya yang hodoh berwarna hitam. Sebaliknya, pilih yang lebih menawan atau cantikkannya lagi agar sepadan dengan hiasan di dalam bilik tidur anda.

Pilih tiga hingga lima warna secocok untuk barang-barang yang terdapat di rumah anda, termasuk benda-benda biasa seperti alas kaki dan tuala.

Setiap kali anda membeli sesuatu untuk menghias rumah anda, buang atau berikan kepada orang lain beberapa barang lain yang anda tidak perlukan yang sedia ada di rumah anda agar ia tidak kelihatan semak.

Usah beli perkakas rumah yang tidak perlu untuk kehidupan keluarga anda hanya kerana orang lain memilikinya. Misalnya, jika anda tidak tahu membuat kek, usah beli oven pembakar kek.

Simpan apa yang anda sukai di dalam rumah dan buang atau sembunyikan apa yang anda tidak suka dan tidak gunakan, seperti barang perhiasan dari luar negeri.

Anda boleh tiru idea-idea menghias rumah daripada majalah, katalog dan rumah kawan anda. Tetapi, selepas itu, wujudkan hiasan yang melambangkan personaliti anda sendiri, dan buang idea yang akan hanya menyemakkan rumah.

Pilih satu stail hiasan yang anda sukai. Namun, anda tidak perlu pilih sesuatu stail yang khusus seperti stail moden/kontemporari, stail kampung, stail desa dan sebagainya.

Apa yang penting ditanya ialah, adakah anda lebih suka kepada stail yang lembut atau garang, mudah atau kompeks, berwarna-warni atau polos?

Belajar bezakan antara apa yang anda suka dengan apa yang sesuai untuk diri anda.

Trend menghias rumah kerap berubah- ubah. Jadi, ketahuilah apa yang berguna untuk anda untuk jangka panjang.

Jika anda ingin ubah stail hiasan di rumah anda, mulakan secara kecil-kecilan dahulu dengan belanja kecil agar tidak menyesal di kemudian hari.

Jika ada yang kelihatan tidak menarik di rumah anda, ambil gambarnya, telitikannya kembali dan singkirkannya dari pandangan mata jika anda tidak menyukainya lagi.

Cyberita

Mengubat Panau Secara Tradisional

29 Apr

Zaman dulu panau pada Awang Sulung Merah Muda dianggap
indah dan punyai hikmat

Oleh
Noor Hasnah Adam
Penulis Tamu

Pinang muda dibelah empat
Jatuh ke kebun orang Melaka
Panau empat puluh empat
Panau sudah bergelar belaka

‘Di betis tajam belat.
Di pinggang perak berlapis.
Di dada bintang menabur.
Di rusuk siku keluang.
Di belakang lentik padi.
Di lengan semut beriring.
Di tengkuk puyuh berlaga.
Di dagu kumbang berteduh.
Di dahi panau meninjau.
Sebiji panau yang elok tumbuh di lesung, lesung pipit.
Limbar-limbaran dibawa tawa.
Nama panau celak Nabi Adam.’

RANGKAP di atas merupakan sejenis puisi talibun iaitu sejenis puisi tradisional Melayu.

Talibun banyak digunakan oleh tukang-tukang cerita yang sering menceritakan hikayat dan lipur lara tentang kehebatan anak-anak raja.

Penceritaan selalu mengisahkan tentang masalah wira yang mengakibatkan pengembaraan dan melalui pelbagai rintangan tetapi akhirnya wira berjaya mengatasi segala halangan.

Tujuan penceritaan hikayat dan lipur lara oleh para tukang cerita adalah sebagai pengubat duka nestapa dan pelarian daripada rutin seharian. Masyarakat Melayu lama gemar pada cerita-cerita yang menghiburkan dan dapat pula menjadi pengajaran yakni, yang baik dibalas baik, yang jahat dibalas jahat.

PANAU AWANG SULUNG MERAH MUDA

Berbalik pada talibun di atas, talibun itu merujuk kepada kecantikan seorang putera iaitu Awang Sulung Merah Muda dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda.

Masyarakat zaman dahulu memandang tinggi golongan raja.

Raja dianggap manusia yang mempunyai kesempurnaan luar biasa dan mempunyai daulatnya. Rakyat pantang menderhaka dan perlu sentiasa menyanjung tinggi rajanya.

Justeru jika ada sedikit pun kecacatan atau keburukan pada fizikal seorang raja, gambaran yang diberikan tetap indah.

Awang Sulung Merah Muda dikatakan mempunyai banyak panau. Namun panau-panau itu dikatakan indah dan mempunyai hikmat tertentu.

Panau-panau Awang Sulung muda juga dicemburui orang. Setiap gadis dan wanita yang melihat panau-panaunya akan jatuh hati padanya.

Begitulah ‘pandangan dunia’ atau world view masyarakat Melayu lama terhadap seorang raja.

Walau apa pun yang tidak elok pada diri seseorang raja, masyarakat menganggap keganjilan itu sebagai suatu lambang keistimewaan yang luar biasa. Mungkin juga, pujian yang keterlaluan itu merupakan sindiran yang tersirat.

PANAU DEWA MUDA

Bukan Awang Sulung Merah Muda sahaja yang berpanau.

Dalam hikayat Dewa Muda dan Awang Berjambul Lebat, panau pada Dewa Muda juga dianggap sebagai suatu keistimewaan sehingga mempunyai hikmat tertentu. Hikayat yang berasal dari Kelantan atau selatan Siam ini mengisahkan tentang kerajaan di kayangan. Dewi Dewa Dani bersalinkan Dewa Muda. Namun bidan ketujuh telah membuang tembuni Dewa Muda ke laut.

Maka mak si Dewa Dewa yang sedang bertapa di kayangan berasa tidak selesa lalu turun ke laut dan terlihat tembuni Dewa Muda terapung-apung di Sungai Nil.

Tembuni itu kemudian dijelmakan menjadi seorang dewa dan dinamakan Awang Si Jambul Lebat.

Selaput tembuni itu digunakan untuk menjadi rangka wau.

Mak si Dewa Dewa kemudian mengambil panau Dewa Muda untuk dijadikan bunga wau dan bahagian anggota lain Dewa Muda untuk melengkapkan wau itu.

Kononnya semenjak itulah, masyarakat Melayu di Kelantan mula bermain wau.

Dapat dilihat di sini, bagaimana panau yang sebenarnya sejenis penyakit kulit digambarkan mempunyai keindahan tersendiri sehingga dapat digunakan untuk menjadi bunga hiasan yang indah pada wau.

Sehingga kini, wau menjadi permainan tradisional Melayu yang masih digemari.

PANAU PENYAKIT KULIT

Panau sebenarnya merupakan penyakit kulit yang biasa dialami masyarakat. Panau terjadi disebabkan jangkitan kulat dari jenis Genus Malassezia.

Ada beberapa jenis panau yang diberikan nama, mungkin diukur berdasarkan bentuk dan keadaan panau itu.

Jenis-jenis panau itu adalah panau besi, panau bunga, panau lekir, panau mengharung, panau tekukur dan sebagainya.

Panau akan terasa gatal sekiranya tubuh berpeluh. Jika digaru, bahagian yang berpanau akan berdebu.

Panau dapat dilihat dengan jelas kerana warnanya yang lebih cerah daripada warna kulit.

Sekiranya panau terjadi di wajah, wajah akan kelihatan tidak cantik kerana wajah kelihatan bertompok-tompok putih.

Petua orang tua-tua, sekiranya mahu mengelakkan terjadinya panau, jangan terus mandi atau mencuci muka sewaktu tubuh masih berpeluh. Biarkan tubuh dingin sebentar dan barulah mandi atau mencuci muka.

PETUA MERAWAT PANAU

Dalam perubatan tradisional, ada banyak petua untuk mengubati penyakit panau. Antaranya, halia dikatakan boleh digunakan untuk menghapuskan panau.

Caranya, ambil sepotong halia, tumbuk lumat dan kemudian ditempelkan pada bahagian yang berpanau.

Petua kedua, boleh gunakan daun gelenggang yang dicampur dengan kapur lalu digosokkan pada panau.

Petua ketiga, ambil belerang dan tumbuk sehingga halus.

Campurkan dengan perahan limau nipis, gaulkan dan biarkan sedikit berair. Sapukan setiap malam sehingga sembuh.

Petua keempat, ambil lengkuas dan titik/ketuk sehingga sedikit berair tetapi tidak pecah dan hancur. Kemudian sapukan pada panau. Mudah-mudahan panau akan sembuh.

Cyberita