Archive | David Arumugam RSS feed for this section

Batuk Tak Jejas Aura Anuar

11 Apr

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

SETIAP kali tiba Minggu Setiausaha yang diraikan setahun sekali pada April, Pusat Konvensyen Sime Darby terus menjadi tumpuan kerana di situlah kebanyakan artis hebat dan terkenal membuat persembahan meraikan bos dan setiausaha.

Tahun ini Anuar Zain mengadakan persembahan Minggu Setiausaha di sana dan seperti dijangka, dewan utama di pusat konvensyen itu pasti penuh. Bagaikan satu bonus kepada mereka apabila setahun sekali dapat menyaksikan persembahan eksklusif daripada penyanyi hebat seperti Anuar.

Beberapa hari sebelum itu, Anita Sarawak dan Faizal Tahir muncul membuat persembahan di sana dan mendapat sambutan di luar jangkaan sehingga meja dan kerusi terpaksa ditambah.

Sebagaimana saban tahun peminat tidak sabar untuk melihatkan kelincahan Anita beraksi di pentas dengan celotehnya yang mencuit hati, begitulah juga dengan Anuar yang mempunyai aura dan keistimewaan tersendiri pada mata peminatnya.

Pada acara tertutup seperti itulah peminat bukan saja dapat mendengar kemantapan lontaran suaranya menyanyikan lagu popularnya malah hubungan antara artis dengan peminat terjalin lebih erat, dekat dan mesra. Ini kerana dalam suasana persembahan seperti itu sajalah mereka diberi peluang mendekati, bergambar, menyanyi dan menari bersamanya.

Melihatkan sambutan hangat penonton terhadap Anuar, ternyata dalam kegawatan ekonomi sekarang masih ada lagi ruang untuk sesetengah artis terus mencari rezeki dalam bidang mereka meskipun ada yang bersungut tiada jemputan membuat persembahan pentas.

Itulah yang dinamakan tuah. Terbukti kehebatan dan populariti Anuar masih sukar digugat. Dalam keadaan diri yang tidak begitu sihat apabila sesekali Anuar melepaskan batuknya, namun demi memenuhi harapan peminat dia terus melontarkan suaranya dengan menyanyikan lebih 15 lagu, Permataku, Suria dan Siara, Bidadari, Hanya Kau Yang Mampu (Aizat), Careless Whisper, Jerat (Harvey Malaiholo), Selalu Bersamamu (Tompi), Lelaki Ku, Kain Pelikat, Kau Bunga Cintaku, Ketulusan Hati, Tinggalkan Aku, Mungkin, Keabadian Cinta, Sesucinya Cintamu dan Terimakasih Cinta (Afgan).

Penonton yang pada mulanya kelihatan pasif bagaimanapun, pada pertengahan persembahan kelihatan agak agresif dan tidak melepaskan peluang berjoget dengannya. Anuar yang saban tahun membuat persembahan pada Minggu Setiausaha sudah ‘masak’ benar dengan sambutan dan tingkah peminat terhadapnya.

Kemahuan mereka yang ingin mendekatinya dilayan dengan baik sehingga Anuar yang mengerti betapa sanjungan mereka terhadapnya tidak pernah padam dengan senang hati mengizinkan seorang peminat menyarungkan kemeja-T ke tubuhnya. Untuk tidak mengecewakan harapan tetamu yang ingin beramah mesra dengannya, Anuar juga pergi dari meja ke meja untuk mendekati mereka.

Pada persembahan yang mengambil masa hampir sejam itu, Anuar begitu menghayati persembahannya tanpa terlalu banyak bercoloteh kerana dia faham mereka datang untuk berhibur. Anuar juga mendedikasikan nyanyiannya khusus untuk peminat yang datang dari Muar, Johor.

 

 

Seawal pagi rombongan itu bertolak dari sana semata-mata untuk melihat Anuar beraksi di pentas. Peluang seperti itu datang setahun sekali dan pastinya ia tidak boleh dilepaskan begitu saja.

Kenangan lama terimbau semula apabila Anuar menyanyikan lagu Kain Pelikat yang pernah mempopularkan namanya ketika masih belasan tahun. Waktu itu dia menyanyikan lagu itu bersama Ellina Razak. Lagu itu tentu saja meninggalkan nostalgia kepada peminat yang membesar bersama lagu itu. ‘Sportingnya’ Anuar melayan setiap tetamu yang datang membuatkan ada yang keberatan untuk meninggalkan dewan tersergam indah itu sehingga memaksa Anuar membuat kemunculan kali kedua dan menyanyikan beberapa lagu lagi.

Penyanyi sehebat Anuar juga tiada halangan menyanyikan lagu popular penyanyi lain apabila dia memilih menyanyikan lagu Aizat, Hanya Kau Yang Mampu.

Sebelum itu, tirai persembahan diceriakan dengan celotah Dee yang terkenal dengan wataknya sebagai Cik Timah. Mengenakan gaun rona hijau fesyen kemban, Dee mengajak lima bos dan tetamu lelaki yang hadir mengambil bahagian dalam permainan meniru gaya artis terkenal iaitu R Azmi, Sudirman, Datuk M Daud Kilau, David Arumugam dan Anuar Zain.

Kemunculan lima peserta itu di pentas mengundang ketawa penonton kerana bukan saja dipakaikan kostum menyerupai kelima-lima artis itu tetapi juga diiringi lagu popular mereka.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Ada VIP Mahu Taja Album

3 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

TIADA istilah bersara dalam hidup Raja Pop unggul tanah air, Jamal Abdillah sejak menghambakan diri dalam bidang seni sejak 30 tahun lalu.

Malah, bekas Juara Bintang RTM 1979 yang mencecah usia 50 tahun ini mengakui dia akan terus menyanyi selagi diterima peminatnya.

“Menyanyi adalah cara saya meluahkan perasaan termasuk ketika berhadapan dengan apa saja masalah atau dugaan hidup sejak bergelar anak seni.

“Saya juga bersyukur dalam krisis ekonomi global dan kegawatan pasaran album ketika ini, syarikat rakaman Warner Music masih memberi sepenuh kepercayaan untuk saya tampil dengan album penuh tahun ini,” katanya.

Terus terang, kata Jamal, dia juga tidak pernah terfikir untuk mencari syarikat rakaman lain kerana sudah selesa dengan Warner Music sejak dulu lagi.

“Kehidupan saya juga dari dulu sampai sekarang lebih mudah di bawah pengurusan mereka. Kalau bertukar syarikat rakaman, saya perlu berhadapan dengan kerenah birokrasi syarikat baru. Justeru, lebih baik saya fokus pada satu syarikat rakaman saja sampai bila-bila pun,” katanya.

Tidak tidak cukup dengan itu, Jamal juga antara penghibur tempatan yang sering diundang membuat persembahan makan malam untuk golongan kenamaan atau VIP.

“Saya difahamkan ramai VIP yang membesar dengan lagu saya dari dulu sampai sekarang. Maklumlah, saya mula menyanyi pada 1979 dan ketika itu mereka masih menuntut di kolej dan universiti di luar negara.

“Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah juga tahu mengenai lagu Seroja yang saya dendangkan ketika membuat persembahan yang dihadiri olehnya sebelum ini.

“Tidak dinafikan, memang ada pihak VIP yang berminat untuk menaja album saya sebelum ini dan mereka juga sebenarnya peminat saya juga,” katanya.

 

 

Terkini, legasi anak seni versatil yang dilahirkan pada 7 Mei 1959 – sama tarikh lahir dengan Raja Pop Dunia, Michael Jackson – diteruskan dengan kemunculan bingkisan album terbarunya yang juga album ke-20 bersama Warner Music, Tak Hilang Cinta yang menjengah pasaran tempatan pada 16 April nanti.

Selain muncul dengan album baru, tahun ini, Jamal juga merancang mengadakan konsert secara besar-besaran, berjudul Kembara Seni (Seniman) Jamal Abdilah buat peminat setianya pada 5 hingga 9 Ogos nanti di Istana Budaya.

“Saya akan menyampaikan rangkaian lagu popular dari dulu hingga kini dengan iringan orkestra bagi mengubat kerinduan peminat selama ini.

“Apa yang istimewa, saya tampilkan konsep baru dalam konsert ini. Saya juga akan buat sketsa dalam persembahan nanti. Contohnya, jika saya buat persembahan lagu Seniman Menangis, saya akan selitkan babak lakonan di dalamnya.

“Artis yang diundang dalam konsert saya juga mereka yang terbabit secara tidak langsung dengan kerjaya seni atau pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini seperti Datuk David Arumugam (Alleycats), Ogy Ahmad Daud dan komposer veteran Datuk Ahmad Nawab.

“Selain itu, diselitkan juga dengan temubual bersama tokoh terkenal seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi pandangannya mengenai saya,” katanya.

Jamal ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya Tak Hilang Cinta di Red Box, The Gardens, MidValley, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Artist & Repertoire Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad.

engenai album barunya itu, Jamal berkata, ia mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

“Proses pemilihan lagu dibuat dengan teliti kerana saya ingin pastikan album ini memuaskan hati saya sendiri dan pada masa sama yang terbaik buat peminat. .

“Dalam keadaan sekarang, saya juga tidak kisah buat perubahan dari segi muzik yang diketengahkan kerana saya perlu mengikut aliran muzik terkini terutama untuk menawan hati peminat baru,” katanya.

Jamal berkata, album barunya itu menampilkan kelainan daripada yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

“Buat julung kalinya, saya akan bekerjasama dengan penerbit baru yang belum pernah menerbitkan album saya sebelum ini, Shah. Penerbit bersama lain ialah komposer Eddie Marzuki dan Adnan Abu Hassan.

“Tak Hilang Cinta mempertaruhkan Apa Lagi sebagai single pertama saya. Apa yang menarik ialah rentak funk yang belum pernah saya terokai sebelum ini dengan menampilkan sentuhan komposer baru yang meningkat naik, Rohunaim.

“Tiga lagi lagu ciptaan Rohunaim ialah Tak Hilang Cinta Di Dunia, Ku Sejiwamu dan Waktu Kerinduan (lagu/lirik),” katanya.

Album baru itu turut menampilkan dua lagu ciptaan Adnan iaitu Cinta Dua Darjat dan Kembara Yang Indah (lirik Faris). Sebagai kelainan buat peminat, Jamal juga bekerjasama dengan Daly dari Ahli Fiqir dalam lagu berbentuk medley, Terpesona Dusta.

Tidak ketinggalan, tiga lagu ciptaan Jamal sendiri iaitu Di Mana Akhirnya, Keindahan Mimpi dan Akulah Kekasihmu (ciptaan Jamal/Ad Samad). Sepanjang bernaung di bawah payung Warner Music, Jamal sudah menghasilkan sebanyak 19 album sejak 1980.

Antaranya, Perpisahan Tanpa Relamu (1980), Derita Cinta (1981), Hatiku Luka Kembali (1982), Layang-layang (1983), Mati Hidup Semula (1986), Untukmu (1988), Sepi Seorang Perindu (1989), Seniman Menangis dan Sendiri (1990), Jamal (1991), Penghujung Rindu (1994), Suratan Kasih (1996), Penawar Kasih (1997), Samrah Mentari (1998), Segala Cinta (2002), Raja Pop Kompilasi (2003), Aku Penghibur (2005), Raja Cinta-kompilasi (2006) dan Live Istana Budaya (2007).

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

RTM Aktifkan Muzik Tempatan

18 Mar

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

PROGRAM berkonsep muzikal sering kali menarik perhatian ramai sama ada ia siaran di televisyen mahupun radio.

Kini, program muzikal tidak hanya terhad pada persembahan artis menerusi konsert semata-mata, sebaliknya tertumpu pada klip video dan persembahan acara khusus di studio.

Dalam usaha memberi hiburan terbaik kepada penonton, stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil inisiatif memperkenalkan saluran baru yang memberi alternatif pada punca hiburan sedia ada.

Saluran baru yang dikenali Muzik Aktif dilancarkan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Membawa tagline Segalanya Muzik, saluran ini memberi tarikan berbeza menerusi pengisian kandungan apabila hanya memaparkan persembahan artis tempatan seratus peratus menerusi klip video atau konsert.

Menariknya, penonton berpeluang menyaksikan saluran ini selama 24 jam tanpa henti dan ia hanya disiarkan menerusi rangkaian baru di Astro – saluran 180.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Penyiaran, Abu Bakar Ab Rahim berkata, RTM berkeyakinan melancarkan saluran berkenaan selepas ia mendapat respons positif daripada penonton ketika ia mula menjalani proses percubaan untuk projek Pendigitalan Penyiaran RTM pada 1 September 2006.

Ketika itu, percubaan dilakukan selama lima jam sehari untuk tempoh enam bulan membabitkan 1,000 responden menerusi dekoder digital baru RTM.

Katanya, saluran Muzik Aktif antara agenda baru RTM yang mendapat sambutan baik daripada penonton yang mahu ia diteruskan.

Justeru, sejak Mac 2007 hingga kini saluran berkenaan masih menjalani proses eksperimen iaitu ujian dalaman untuk aspek pembangunan aplikasi interaktif.

 

 

“Saluran ini suatu berbeza yang pernah ditonton di RTM apabila ia mengetengahkan konsep muzik Malaysia. Maksudnya, saluran ini hanya menyiarkan persembahan muzikal daripada karya tempatan.

“Walaupun ada lagu yang dinyanyikan penyanyi luar negara, tetapi jika ciptaannya adalah komposer tempatan, ia masih layak untuk disiarkan menerusi saluran baru ini.

“RTM berharap Muzik Aktif ini dapat dijadikan platform terbaik untuk komposer mahupun penyanyi mempromosikan lagu mereka. Saluran ini juga sebenarnya adalah satu daripada tujuh saluran digital baru selain saluran Kanak-Kanak & Remaja, Wilayah, Sukan, Berita, Drama dan Filem.

“RTM turut merancang untuk memasukkan program lain seperti Fenomena Seni dan Santai@1 ke dalam saluran Muzik Aktif pada masa akan datang.

“Usaha memperkenalkan saluran dan program baru ini dianggap penting sebagai langkah untuk penonton mendapatkan siaran digital RTM sepenuhnya pada 2012 nanti,” katanya.

Untuk saluran Muzik Aktif, sebanyak 10 program disediakan iaitu Aktif@Pagi bermula jam 7 pagi hingga 9 pagi diikuti Hits Aktif (9 pagi hingga 12 tengah hari), Muzikal Aktif (12 tengah hari hingga 3 petang), Ritma (3 petang hingga 7 malam), Gema Nurani (7 malam hingga 8 malam), Prima Aktif (8 malam hingga 11 malam), Ritma (11 malam hingga 2 pagi), Irama Santai (2 pagi hingga 5 pagi) dan Gema Mentari (5 pagi hingga 7 pagi) manakala Hidayah pula disiarkan selama sejam pada setiap Jumaat, jam 1 tengah hari.

Pada majlis pelancaran saluran itu yang diadakan baru-baru ini, ia turut dimeriahkan dengan acara permaidani merah dan persembahan ramai artis popular seperti Datuk Dr Ahmad Nawab, Datuk DJ Dave, Datuk David Arumugam, Jeffrydin, Man Kidal, Ning Baizura, Mas Idayu, Waheeda, Akhil Hayy, Bienda, Ali Mpire, Azharina Azhar, Dia Fadila, Aizat dan kumpulan Meet Uncle Hussain.

Persembahan lebih dua jam berkenaan dihoskan penyanyi Izwan Pilus bersama Sazzy Falak.

Harian Metro

David, Khatijah Dianugerah Datuk

13 Feb

Oleh Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my

DAVID bersama Khadijah selepas menerima pingat Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan, semalam.

PEKAN: Penyanyi kumpulan Alleycats, David Arumugam, 58, dan Khatijah Ibrahim, 49, menganggap pengurniaan anugerah Datuk sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang ke-78, semalam adalah pengiktirafan atas sumbangan mereka kepada industri muzik tempatan.

David atau nama sebenarnya Thiagarajan K R Arumugam, dan penyanyi popular era 1980-an, Khatijah menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Sultan Pahang adalah antara 140 penerima pingat dan darjah kebesaran di Balairung Seri Istana Abu Bakar, di sini, semalam.

David menganggap darjah kebesaran itu hadiah paling manis buatnya selepas bergelumang selama 40 tahun dalam bidang seni suara.

“Saya menganggap kurniaan darjah kebesaran ini bukan untuk saya seorang, tetapi juga mendiang adik saya, Loganathan, ahli kumpulan, peminat dan media.

“Saya bersyukur dan gembira atas gelaran ini…terima kasih yang tidak terhingga,” katanya ketika ditemui selepas istiadat pengurniaan pingat dan darjah kebesaran sempena keputeraan Sultan Pahang, di sini.

Turut menemani beliau ialah isteri, Sabrina Clyde, 51; ibunya, Meenambal Arumugam, 83,

Sementara itu, Khatijah yang popular dengan lagu Doa Buat Kekasih, Ku Pendam Sebuah Duka, Potret dan Ku Sangka Siang Kiranya Malam, berkata anugerah itu amat bermakna pada dirinya.

“Ia satu pengurniaan yang besar ertinya dalam hidup saya selain pengiktirafan sumbangan dan jasa saya dan industri muzik keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, adinda Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, Tengku Noor Ashikin Sultan Abu Bakar mendahului senarai 140 penerima pingat dan darjah kebesaran sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-78, semalam.

Tengku Noor Ashikin menerima pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Istiadat bermula jam 10 pagi itu diteruskan dengan pengurniaan darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada lima individu, termasuk tiga daripadanya menteri Kabinet.

Penerima SSAP ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed, Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Pengarah Urusan Malaysia Steel Works (KL) Bhd, Tai Hean Leng.

Tiga lagi dikurnia darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk iaitu bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd Zin dan Pengarah Besar Felda, Datuk Ahmad Tarmizi Alias.

Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk turut dikurniakan kepada lapan penerima, antaranya Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan Kementerian Kewangan, Datuk Fauziah Yaacob; Timbalan Pengerusi Amanah Saham Mara Bhd, Datuk Kamaruddin Mohammed; dan Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd Shariff.

Berita Harian

Artis Malaysia Cemerlang Di Luar Negara

27 Dec

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
MENYOROTI kejayaan sepanjang tahun ini, persada hiburan tempatan masih menunjukkan peningkatan pada pencapaian anugerah artis tempatan walaupun pasaran muzik belum menunjukkan perubahan positif pada jualan album. Berbeza dengan muzik, filem tempatan terus rancak ditayangkan di pawagam.

Tahun ini sebanyak 26 filem tempatan menemui penonton bermula dengan filem Jarum Halus arahan Mark Tan sekadar mencatat pulangan RM8,197 diikuti Kala Malam Bulan Mengambang (RM554,000), Cuci (RM2.04 juta), Dunia Baru The Movie (RM2.29 juta), Anak (RM1.2 juta) hingga terbaru Cicakman 2: Planet Hitam sebanyak RM2.7 juta. Bersama Cicakman 2: Planet Hitam yang masih ditayangkan, filem baru arahan James Lee, Histeria mula menemui penonton pada 18 Disember lalu manakala Brainscan: Aku & Topi Ajaib arahan Ahmad Idham pada 25 Disember lalu.

Melihat pencapaian bidang hiburan secara terperinci, tiga bidang dijadikan contoh terbaik untuk mengukur kecemerlangan iaitu pencapaian artis di peringkat antarabangsa, majlis anugerah dan pengiktirafan darjah kebesaran daripada kerajaan.

Naib juara program realiti One In A Million musim kedua, Nurshahila Amir Amzah atau Shila mencatat sejarah selepas memenangi anugerah emas pada Penang Shanghai World Star Quest (PSWSQ) yang diadakan di Pulau Pinang, hujung April lalu.

Shila, 18, yang menyampaikan lagu Memori Tercipta dinilai tujuh juri profesional.

Bermula dari situ, Shila menerima lamaran produksi antarabangsa, Disney Channel untuk merakam lagu dan video klip duet bersama pelakon popular Hannah Montana, Miley Cyrus.

Penyanyi Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila, 24, pula merakam kenangan manis menerusi penyertaan di Festival Melodi Emas Asean 2008 yang berlangsung di Bandaraya Ho Chin Minh, Vietnam selama lima hari bermula 16 Oktober lalu.

Menerusi pertandingan itu, Dia mengungguli juara kategori pop dengan membawakan lagu I’m Telling You yang pernah dipopularkan Jennifer Hudson dalam filem Dream Girls.

Dia juga berjaya mendapat tempat kedua kategori tradisional untuk Joget Kenangan Manis yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad.

Penyertaan kali keempat pada Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-12 yang berlangsung 17

hingga 29 Julai lalu di Los Angeles, Amerika, sekali lagi mencatatkan kenangan manis buat delegasi negara.

Dari penyertaan 39 kategori dan bersaing dengan 41 negara dari seluruh dunia, delegasi negara meraih 27 pingat emas, tujuh perak, dua gangsa dan 15 gelaran Champions Of The World.

Dua penyanyi tempatan, Norazmahwati Abd Aziz atau Noryn Aziz dan Ikhwal Hafiz Ismail (Iqwal) berjaya di peringkat antarabangsa.

Noryn meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gelaran Champions Of The World manakala Iqwal mendapat empat emas dan satu perak.

Atas tiket kemenangan di WCOPA, Noryn dan Iqwal dijemput penganjur menyertai Pertandingan Anugerah Bakat Baru yang diadakan selama empat hari bermula 7 Ogos lalu. Namun, rezeki memihak pada Iqwal yag menang pada pertandingan kedua itu.

Iqwal berjaya mengalahkan lebih 2,000 penyanyi yang menyertai pertandingan itu sebelum enam penyanyi layak ke peringkat akhir.

Untuk majlis anugerah, Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) membuka tirai pada tahun ini sebaik diadakan pada 27 Januari lalu di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mempertandingkan tiga kategori iaitu pop rock, balada dan etnik kreatif, AJL 22 kali ini mengumumkan lagu Itu Kamu nyanyian kumpulan Estranged sebagai juara lagu. Sebelum itu, mereka menang kategori pop rock manakala balada dimenangi lagu Izinku Pergi yang disampaikan Sahri menggantikan penyanyi asal, Kaer Azami.

Kategori Etnik Kreatif memihak pada Nora yang menyanyikan lagu Samudera.

Penyanyi popular Asmawi Ani atau Mawi yang mempertaruhkan lagu Angan Dan Sedar tetap menang anugerah persembahan terbaik. Mawi juga mengulangi kejayaan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) yang diadakan dua bulan selepas itu.

Buat kali ketiga berturut-turut, Mawi mempertahankan gelaran Artis Paling Popular pilihan peminat yang mengundinya menerusi borang undian.

Mawi berjaya mengenepikan pemenang sebelum ini, Datuk Siti Nurhaliza. ABPBH 2007 yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Mac lalu menjadi anugerah berprestij yang mengiktiraf artis tempatan berdasarkan keputusan undian peminat.

Mawi yang melangsungkan pernikahan dengan Norashikin Rahmat (Ekin) pada 20 Disember lalu mengalahkan Anuar Zain, Hazami, Adam dan Faizal Tahir untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Siti juga mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular yang dimenangi sejak 1996.

Kejutan pada malam itu memihak pada Dynaz yang meraih Anugerah Pelakon TV Wanita Popular manakala kategori lelaki menjadi milik Rosyam Nor.

Untuk ABPBH 2007 edisi ke-21 ini, tidak lupa mengiktiraf komposer M Nasir sebagai penerima Anugerah Khas Pencapaian Seumur Hidup.

Dua penyampai Hot FM iaitu Faizal Ismail dan Fara Fauzana digandingkan memenangi anugerah Penyampai Radio Popular.

Fara juga membawa pulang anugerah Pengacara TV Wanita Popular manakala kategori lelaki dimenangi Aznil Nawawi.

Majlis Anugerah Planet Muzik 2008 pada 20 April pula menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah mencipta sejarah dengan kemenangan lapan anugerah dari 12 anugerah yang dipertandingkan.

Penyanyi popular, Siti Nurhaliza membuktikan kecemerlangan mempertahankan anugerah Penyanyi Wanita Paling Popular untuk kali kelapan berturut-turut meskipun tewas pada Krisdayanti untuk kategori Artis Wanita Terbaik.

Kejayaan manis artis tempatan turut dicatatkan menerusi KRU memenangi anugerah Cipta Planet Muzik, kumpulan Search (Anugerah Khas Planet Muzik), Anuar Zain (Artis Lelaki Terbaik), Farah Asyikin (Artis Wanita Baru Terbaik), Meet Uncle Hussain (Duo/Kumpulan Baru Terbaik) dan Estranged untuk Duo/Kumpulan Paling Popular dan Lagu Paling Popular menerusi Itu Kamu.

Penyanyi yang pernah mencipta kontroversi membuka baju dalam satu konsert, Faizal Tahir bangkit dari penggantungan tiga bulan apabila berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular.

Faizal Tahir sekali lagi mencuri perhatian khalayak selepas menang besar pada Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) yang dipertandingkan pada 3 Mei lalu.

Faizal yang tercalon menerusi album Aku.Muzik.Kamu berjaya meraih empat anugerah iaitu Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Lelaki, Artis Baru Terbaik dan Album Rock Terbaik.

Siti Nurhaliza pula yang tampil dengan album Hadiah Daripada Hati memenangi dua anugerah untuk Album Pop Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik kategori bahasa Malaysia.

Anugerah Lagu Terbaik untuk AIM15 menjadi milik Kaer Azami untuk lagu Izinku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan.

Pada 2 Ogos lalu, Malaysia diberi penghormatan sebagai tuan rumah Anugerah MTV Asia 2008 yang dilangsungkan dari Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang. Hanya satu anugerah dibawa pulang iaitu Artis Pilihan Malaysia yang dimenangi Nicholas Teo yang turut popular di Taiwan.

Nicholas berjaya mengenepi pemenang dulu iaitu Mawi yang pernah menang dua tahun lalu dan Siti Nurhaliza untuk empat tahun berturut-turut sejak 2002. Ternyata kemenangan Nicholas bukan hanya kejutan pada Mawi dan Siti tetapi calon lain seperti Faizal Tahir dan Pop Shuvit.

Bagi karyawan filem pula, Mamat Khalid mencipta sejarah pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 9 Ogos lalu menerusi filem berkonsepkan hitam putih, Kala Malam Bulan Mengambang.

Filem arahan Mamat itu menang lima anugerah iaitu Pengarah Filem Terbaik, Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Rosyam Nor), Penataan Seni Terbaik (Nazrul Ashraff) dan Pereka Kostum/Busana (Nasirah Ramlan).

Pengarah Yasmin Ahmad yang pernah mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Juri pada Anugerah Skrin 2008 yang diadakan pada 7 November lalu.

Yasmin sebelum ini dikenali menerusi filem Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan iklan Petronas di TV.

Anugerah Oskar 7 yang berlangsung pada 15 November lalu menyaksikan Shuhaimi Baba menguasai lima anugerah. Selain anugerah Direktor Filem 2008 Pilihan Juri yang dimenangi untuk tiga tahun berturut-turut, filem arahannya 1957: Hati Malaya berjaya meraih anugerah Aktor Filem 2008 Pilihan Juri menerusi Kamarulzaman Taib, Art Direktor Filem 2008, Sinematografi Filem 2008 dan Melodi Filem 2008 Pilihan Juri (lagu Hati

nyanyian Siti Nurhaliza).

Menutup tirai majlis anugerah tahun ini adalah Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (Kliff2008) yang adakan pada 29 November lalu. Ternyata penganjuran kali kedua ini terus meraih perhatian karyawan antarabangsa apabila Malaysia sebagai tuan rumah.

Sebanyak 191 penyertaan filem cereka diterima dari lima benua, tetapi hanya 22 filem bertanding untuk merebut 16 kategori anugerah.

Wakil tunggal negara, filem Wayang arahan Profesor Hatta Azad Khan hanya memenangi Anugerah Khas Juri manakala karya Saw Tiong Guan bertajuk, G16 G17 mengungguli kategori filem pendek mengatasi saingan enam peserta dari Iran, Australia dan Sepanyol.

Tahun ini, bidang hiburan juga berbangga dengan artis tempatan yang menerima darjah kebesaran daripada kerajaan.

Antara penerima tahun ini adalah Datuk Sheila Majid, Datuk Shuhaimi Baba dan David Arumugam.

Perjuangan seni ratu jazz, Sheila selama 23 tahun lalu dihargai apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Ke-78 pada 24 Oktober lalu.

Sheila, 43, juga adalah isteri pada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hashridz Murshim Hassim atau Acis.

Dalam bercerita soal artis tempatan terima darjah kebesaran, bidang hiburan kecoh seketika selepas aktor Bollywood, Shah Rukh Khan menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakub pada penghujung bulan lalu.

Bagaimanapun, pengarah filem terkenal, Shuhaimi menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) membawa gelaran Datin Paduka.

Shuhaimi, 58, yang pernah mengarah filem Pontianak Harum Sundal Malam antara 95 penerima darjah dan pingat kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraa
n ke-63 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 10 Disember lalu.

Terbaru, pada 18 Disember lalu, anggota kumpulan Alleycats, David Arumugam atau nama sebenar Thiagarajan K R Arumugam menerima pingat Johan Setia Mahkota (JSM) dari Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Harian Metro

David Arumugam Terima Pingat JSM

19 Dec

DIHARGAI...David menunjukkan pingat JSM kepada isterinya, Sabrina<br> Clyde, semalam.
DIHARGAI…David menunjukkan pingat JSM kepada isterinya, Sabrina
Clyde, semalam.

KUALA LUMPUR: Artis veteran, Thiagarajan KR Arumugam, yang lebih dikenali David Arumugam, daripada kumpulan Alleycats antara 285 orang yang menerima darjah dan bintang kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Istana Negara, semalam.

David, yang menerima Johan Setia Mahkota (JSM), vokalis utama kumpulan muzik tempatan terkemuka, Alleycats, ditubuhkan pada 1969 dan memperoleh kemasyhuran serta populariti pada 1970-an.

Empat menerima Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Mereka ialah Datuk Musa Sheikh Fadzir, anggota panel pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Datuk Abdul Rahman Abdul Hamid, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri dari Johor Datuk Ali Mohamed dan Timbalan Presiden St John Ambulans Kawasan Barat Daya Pulau Pinang, Datuk Jamilah Wahab.

Senator Osman Bungsu menerima Johan Mangku Negara (JMN) bersama enam lagi penerima. – Bernama

Harian Metro

David Terima Darjah JSM

18 Dec


TUANKU MIZAN menyampaikan darjah Johan Setia Mahkota kepada David Arumugam pada Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat di Istana Negara, semalam.

KUALA LUMPUR: Artis veteran Thiagarajan K R Arumugam, yang lebih dikenali dengan nama David Arumugam, daripada kumpulan Alleycats, adalah antara 285 orang yang menerima darjah dan bintang kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Istana Negara semalam.

David, yang menerima darjah Johan Setia Mahkota (JSM) adalah vokalis utama kumpulan muzik tempatan terkemuka, Alleycats, yang ditubuhkan pada 1969 dan memperoleh kemasyhuran serta populariti pada 1970-an.

Empat orang menerima Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Datuk Musa Sheikh Fadzir, anggota panel pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Datuk Abdul Rahman Abdul Hamid, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri dari Johor Datuk Ali Mohamed dan Timbalan Presiden St John Ambulans Kawasan Barat Daya Pulau Pinang Datuk Jamilah Wahab.

Senator Osman Bungsu menerima Johan Mangku Negara (JMN) bersama enam lagi penerima.

Seramai 10 orang menerima Johan Setia Mahkota, 46 menerima Kesatria Mangku Negara, 88 menerima Ahli Mangku Negara dan 131 orang menerima Pingat Pangkuan Negara. – Bernama

Berita Harian