Archive | David Arumugam RSS feed for this section

Kompilasi Terbaik Lagu-Lagu Alleycats

14 Jul

KOMEN: Sebelum ini memang terdapat banyak lagu popular Alleycats yang telah diterbitkan semula dalam pelbagai album kompilasi.

Bagaimanapun, album kompilasi ini yang mengandungi tiga buah cakera padat (CD) dan sebuah cakera padat video (VCD) merupakan yang terbaik pernah diedarkan di pasaran.

Ini kerana, boleh dikatakan 99 peratus lagu-lagu popular Alleycats sejak album kedua mereka pada 1978 berjudul Terima Kasih sehinggalah album Rasa (2006) dimuatkan dalam album ini.

Album pertama Alleycats merupakan satunya-satunya album yang dirakamkan dalam bahasa Inggeris tetapi kurang mendapat sambutan para peminat mereka.

Lagu-lagu wajib yang tidak dapat dipisahkan daripada Alleycats antaranya berjudul Sampaikan Salam Cintaku, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Kerana, Senyumlah Kuala Lumpur, Berita Dari Rantau dan Hingga Akhir Nanti.

Turut ditampilkan ialah lagu-lagu yang jarang diperdengarkan, misalnya lagu Sindrom Kotaraya, Mewangi, Rasa, Berjuta Batu, Angan-Anganku, Suratan dan Setelah Bertahun.

Album ini juga menampilkan tiga buah lagu yang dirakamkan semula dengan diberi nafas baru iaitu lagu Senandung Semalam, Hanya Kita Yang Tahu dan Suara Kekasih.

Menerusi lagu Senandung Semalam, David Arumugam telah berduet dengan kumpulan Kristal di mana lagu ini kedengaran lebih rock terutamanya daripada segi bunyi yang lebih berat dan alunan suara Lan yang lantang.

Namun, melalui Suara Kekasih, David yang berduet dengan Saleem, Ezad dan Zamani pula telah menjadikan lagu ini menjadi lebih ballad berbanding versi asalnya.

Jay Jay yang turut dijemput berduet dengan David menerusi lagu Hanya Kita Yang Tahu pula hanya meneruskan kesinambungan lagu asalnya yang masih tebal dengan elemen pop dan ballad.

Sementara itu, versi VCD pula menampilkan empat buah lagu popular Alleycats dalam bentuk muzik video serta sebuah petikan rockumentari yang mengisahkan perjalanan seni mereka.

Judul Album: Ulang Tahun Ke-40 1968 – 2008

Artis: Alleycats

Konsep Muzik: Pop dan Pop Rock

Terbitan: Universal Music Sdn. Bhd.

Utusan Malaysia

Advertisements

Malam Kenangan Bersama Alleycats

7 Jul

Oleh HARYATI KARIM


IRAMA yang masih segar dan segera membangkit nostalgia, Alleycats tiada dua.

BERBISA dan unggul, itulah yang dapat diungkapkan tatkala menyaksikan sendiri persembahan kumpulan Alleycats di Istana Budaya pada Konsert Senandung Semalam bersama Alleycats baru-baru ini.

Sungguhpun bukan lahir dan membesar dengan lagu kumpulan legenda ini, tetapi tiada alasan yang harus diberikan untuk tidak terhibur dengan persembahan yang berdurasi hampir dua jam itu.

Diakui, walaupun kumpulan ini sudah kehilangan salah seorang tunggak utamanya iaitu Loganathan Arumugam (Loga) yang meninggal dunia tahun lalu akibat kanser paru-paru, tetapi perjuangan kumpulan ini masih diteruskan.

Menurut abang Loga, David Arumugam, walaupun adiknya tiada lagi di sisinya sewaktu beraksi, semangat perjuangan seperti dulu masih menebal dalam dirinya.

Semangat itu jelas kelihatan dalam diri David yang masih tidak jemu-jemu menghiburkan peminat kumpulan ini, biarpun uban sudah memutih di kepala.

Dalam pada itu, selain persembahan bersahaja David selaku vokalis utama kumpulan Alleycats, pengganti mendiang Loga iaitu Gerard Abisheganadan juga tidak mengecewakan penonton.

Persembahan di Istana Budaya ini, sebenarnya umpama ujian pertama buat Gerard, kerana dia dilihat masih lagi malu-malu ketika diminta untuk menyanyi oleh David.

Sementelah, ramai juga penonton yang tidak mengetahui kewujudan Gerard selaku pengganti Loga terkejut dengan kelunakan suaranya saat dia mendendangkan lagu Only You dan Jika Kau Bercinta Lagi.

Kiranya memang tepatlah pilihan mediang Loga yang sebelum detik-detik kematiannya menyampaikan ‘wasiat’ supaya Alleycats mengambil Gerard sebagai anggota baru menggantikannya.

Walaupun Gerard tidak sesekali boleh memadam ingatan peminat Alleycats terhadap Loga, apa yang pasti kewujudannya sedikit sebanyak telah melengkapkan lagi perjalanan kumpulan ini.

HATTAN merasakan undangan buatnya muncul bersama Alleycats sebagai satu penghormatan.

Persembahan pada hari pertama memang hebat, segah nama mereka tetapi ia sedikit terjejas dengan gangguan sistem audio.

Namun, sebagai penghibur profesional, David bijak sekali mengawal tumpuan penonton malam itu.

Saat David melontarkan suaranya untuk lagu pertama iaitu Senandung Semalam, penonton yang memenuhi panggung Istana Budaya malam itu mula bersorak gembira, tanda lagu kegemaran mereka dinyanyikan.

Ada yang turut menyanyi bersama David, dan ada juga yang dilihat terdiam sambil tersenyum, mungkin alunan lagu itu telah membuatkan mereka mengimbau nostalgia lama waktu zaman muda-muda dulu.

Sesungguhnya, lagu-lagu mereka masih hidup dalam diri setiap mereka yang hadir malam itu.

Tidak cukup dengan lagu itu, didendangkan pula barisan lagu seperti, Layang-layang Terputus, Hingga Akhir Nanti, Luka Lama Terguris Kembali, Andai Aku Pergi Dulu, Seribu Bintang dan banyak lagi yang kesemuanya berjumlah hampir 20 buah lagu.

JACLYN VICTOR

Sesekali, David bercanda dengan penonton, dengan menceritakan sejarah penglibatan mereka dalam industri hiburan tanah air.

“Kami nyanyi di banyak tempat, termasuk di Hong Kong, Taiwan, Indonesia, dan kami masa kami bekerja di Hong Kong kami telah rakamkan album pertama (Terima Kasih) di sana.

“Ketika itu kami tidak tahu kami sangat popular di Malaysia. Bila pulang ke Malaysia baru tahu lagu kami sangat popular di radio, dan ya, saya sedar yang kami popular (ketawa),” ujar David saat berbicara dengan penonton.

Dalam bicaranya lagi, malah David turut berterima kasih, kerana menurutnya, sepanjang empat dekad bergelumang dalam dunia seni, inilah kali pertama dia dan rakan-rakannya diberi peluang untuk beraksi di pentas yang cukup berprestij itu.

Apabila melihat jarum jam yang ketika itu sudah pun menunjukkan pukul 10.30 malam, rasanya seperti terlalu cepat waktu berlalu. Belum cukup rasanya diri dihiburkan pada malam yang cukup bermakna itu.

Dalam tidak sedar, ramai yang turut bertepuk tangan dan menyanyi kecil mengiringi lagu terakhir yang di sampaikan David, sebuah lagu rancak yang pastinya sangat mesra dengan rakyat Malaysia, tidak lain dan tidak bukan Sampaikan Salam.

Nyata, tidak sia-sia menghadirkan diri dicelah ribuan peminat setia Alleycats dan melihat sendiri aksi kumpulan legenda yang tiada tolok bandingnya ini.

Mungkin di masa akan datang, harus dipanjangkan lagi konsert seumpama ini kerana khabarnya ramai juga yang kecewa kerana tidak sempat menonton konsert yang diadakan selama tiga hari ini.


BIAR Loga sudah tiada, vokal David masih berjaya menghilangkan kerinduan terhadap Alleycats.

Selain kumpulan Alleycats, malam itu diserikan dengan persembahan Jacyln Victor dan Hattan yang mengatakan pemilihan mereka dalam memeriahkan konsert ini merupakan satu penghormatan.

Bukan mereka berdua sahaja kerana pada malam berikutnya, penonton turut dihiburkan dengan kelunakan suara penyanyi Adibah Nor dan Liza Hanim.

Kosmo

Mas Idayu Terus Berahsia

6 Jul

Oleh NIEZAM ABDULLAH Solekan E’SHAM (012-2869864)

Mas Idayu

DI Indonesia penyanyi dangdut yang pernah melakar kontroversi iaitu Inul Daratista pernah dikecam gara-gara geleknya yang boleh ‘mengancam’ jiwa raga rakyat negara itu.

Ini kerana aksi gelek Inul yang dipanggil goyang gerudi dianggap sebagai keterlaluan dan berunsur lucah.

Malah penyanyi itu pernah diharamkan untuk muncul di pentas persembahan di Bandung tidak lama dulu gara-gara penampilannya yang dianggap berahi.

Di Malaysia, Mas Idayu salah satu contoh penyanyi dangdut yang berani.

Goyangnya walaupun tidak sehebat Inul ‘menggerudi’ mata penonton-penontonnya tetapi kemunculan Mas Idayu tentu akan mendapat perhatian.

Malah dia berjaya membawa trade mark tersendiri dengan teknik memegang ‘microphone’ keatas yang jarang dilakukan artis lain. Itulah kelainan Mas Idayu.

Lama tidak muncul, tiba-tiba tuan punya nama Masidayu Mesnin ini mencipta kisah panas.

Bukan panas aksi geleknya di pentas tetapi kemunculannya dengan Ella dan David Arumugam dalam konsert sempena kejohanan bola sepak Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam yang dijadual malam ini mendapat bantahan.

Melihat tindakan itu agak keterlaluan tetapi beliau menerima ujian tersebut dengan pemikiran positif.

Cuma Ayu mengharapkan masyarakat tidak mudah melabelkan artis hanya membawa masalah dan keruntuhan moral.

Sebaliknya golongan itu turut berperanan membantu dalam melakukan kerja-kerja amal serta menyampaikan mesej yang baik kepada golongan belia.

Lama menghilang sesekali muncul penuh dengan kontroversi. Tetapi bukan itu yang dimahukan Ayu sebaliknya sakit hati melihat pandangan sesetengah pihak yang gemar memandang serong terhadap golongan artis.

Dan hari ini kemunculan semula Ayu bukan untuk suka-suka sebaliknya mempunyai matlamat mengubat kerinduan peminat yang sudah lama menantikan albumnya.

Sudah bersedia Ayu boleh dianggap seorang artis yang banyak menyimpan rahsia diri. Beliau tidak mudah untuk menceritakan apa-apa perkara yang dianggap sensitif.

Koreklah macam-macam sekali pun kalau beliau berkata tidak, maka jawapannya tetap tidak.

Selama ini umum sudah mengetahui Ayu sudah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka. Berita itu sudah lama orang perkatakan tetapi sukar untuk mendengar penjelasan daripada mulut Ayu sendiri.

Susah sangatkah nak beritahu kahwin? Susah sangatkah nak cakap sudah ada anak?

Itulah cakap-cakap orang apabila penyanyi dan pelakon ini bertindak tidak mahu komen mengenai kisah peribadinya.

Tetapi selama mana ia boleh menyimpan rahsia itu? Sehinggalah apabila Ayu dan Aman berpisah, barulah dia dilihat mula bersedia untuk menceritakan status dirinya sendiri.

Selama ini bukan mahu berselindung tetapi wanita berusia 36 tahun ini mempunyai alasannya tersendiri kenapa berita perkahwinannya lebih 10 tahun itu terpaksa disimpan.

“Saya mahu menghormati pihak-pihak tertentu yang tidak membenarkan kami mendedahkan perkahwinan kami. Sebab itulah saya tidak banyak mengulas mengenai status diri saya tak lama dulu,” katanya.

Dan hari ini kata Ayu, tanyalah apa saja mengenai status dirinya dan pasti dia akan mengaku dan sudah bersedia menjawab apa juga perkara yang menjadi tanda tanya peminat-peminatnya.

Kisah-kisah dulu ada sebabnya. Kahwin adalah satu perkara yang dituntut dan berita itu perlulah dikongsi bersama.

Cuma alasan dan sebab-sebab yang perlu dipatuhi membataskan beliau untuk bercerita secara terus terang.

“Kami berkahwin dulu pun buat diam-diam, bila bercerai takkan kita nak hebohkan satu dunia. Kalau orang tanya, saya akan bercakap secara jujurlah,” jelasnya

Tetap berkawan baik Tanpa mahu menyebut bila, Ayu mengaku dia dengan Aman sudah berpisah.

Menganggap sudah tiada jodoh, akui wanita ini hubungannya dengan bekas suami tetap baik apatah lagi mereka mempunyai seorang anak perempuan iaitu Dayini yang kini berusia 10 tahun.

Sedih dengan perpisahan yang berlaku, sebagai orang yang sudah membina mahligai bahagia, tentu sahaja mengharapkan agar hubungan itu kekal berpanjangan.

Tetapi apakan daya kerana sudah ditakdirkan jodoh itu tiada, jalan terbaik adalah memutuskan hubungan tanpa ada sebarang permusuhan.

“Walaupun saya dan Aman bukan suami-isteri lagi tetapi saya gembira kerana kami tetap berkawan baik apatah lagi kami berkongsi kasih sayang yang sama iaitu anak,” katanya.

Mengakui selepas sekian lama hidup sebagai suami isteri, ada kalanya terasa sunyi apabila tiada seseorang di sisi.

Sebagai wanita yang pernah menjadikan lelaki bernama suami sebagai tempat bergantung kata Ayu sesekali datang perasaan sedih apabila mengimbas indahnya hidup berumah tangga.

Perpisahan itu mungkin ada hikmahnya tersendiri ujar Ayu, takkan dia mahu menanggung kesedihan itu setiap hari sebaliknya perlu meneruskan hidup seperti biasa.

Ditanya adakah kemungkinan dia dan Aman akan berbaik semula, menurut wanita ini segala-galanya diserahkan kepada Yang Maha Kuasa.

Jika itu yang ditakdirkan, tentu saja Ayu akan menerimanya kerana mereka mempunyai anak yang perlu diberi kasih sayang sepenuhnya.

“Kalau Allah menemukan semula jodoh kami, kita tidak boleh menolaknya. Apa yang penting hubungan kami sebagai kawan itu tetap baik kerana Dayini,” jelas beliau.

Kisah-kisah panas Ayu dikenali seorang yang bercakap lepas. Tetapi itulah dirinya. Dia menjadi dirinya sendiri.

Sudah lama orang bercakap Ayu gemar mengambil seorang lelaki menjadi pengurusnya.

Sejak hampir enam tahun lalu, Uzae merupakan pengurus yang setia dengannya.

Ada yang berkata entah-entah Ayu bercinta dengan pengurusnya sendiri.

Ketawa dan menafikan dakwaan itu, ujar beliau sebagai perempuan, dia lebih suka bekerja dengan lelaki.

Bukan ada tujuan lain sebaliknya lelaki dianggap Ayu seorang yang lebih mudah berurusan berbanding jika dia menggajikan kaum sejenisnya untuk bekerjasama.

“Ambil manager lelaki lebih mudah. Kalau orang perempuan ni, dia tengok kita bersolek nak cantik, dia pun akan buat benda yang sama untuk lebih cantik daripada kita.

“Begitu juga kalau kita ada kerja-kerja di luar, apa akan jadi kalau kereta rosak tengah malam? Kalau pengurus lelaki mesti dia ada kekuatan untuk menjaga keselamatan kita berbanding perempuan,” katanya.

Kekal 1001 Kali terakhir Mas Idayu muncul dengan albumnya pada tahun 2002 dengan lagu Hasrat Perindu. Selepas itu beliau terus senyap tetapi bukan bererti beliau mahu mengundurkan diri dalam dunia seni.

Hari ini Ayu membuktikan bahawa dia masih diminati dan lagu-lagu dangdutnya sebelum ini mempunyai kekuatan untuk kembali mengangkat namanya.

Album kompilasi Kekal 1001 memperlihatkan kesungguhan Ayu untuk terus membuktikan dangdut yang menjadi ‘makanannya’ selama ini masih mempunyai pengaruh.

Mempertaruhkan dua lagu baru iaitu Dengar Dengarkan dan Goda-Godaan, Kekal 1001 yang keseluruhannya menampilkan 16 buah lagi hits beliau selama ini membawa kelainan dari segi vokalnya.

Berbeza dengan suaranya sebelum ini, ujar Ayu kematangannya selama ini tidak merakamkan album cuba diterjemah di dalam album tersebut.

Kenapa Kekal 1001? 1001 adalah gabungan tarikh lahirnya iaitu 10 Januari dan tentu saja Mas Idayu hanya ada satu dalam seribu.

”Saya menganggap setakat ini Mas Idayu hanya ada saya seorang sahaja. Sebab itulah saya memberikan tajuk album ini 1001,” katanya.

Menampilkan muzik yang dianggap lebih moden, album edaran Warner Muzik ini dihasilkan atas bajet menggunakan wang titik peluhnya yang disimpannya selama ini.

Bertuah kerana memiliki studio rakaman sendiri iaitu Suara Production Mas Idayu, kos merakamkan dua single tersebut walaupun tidak menelan belanja yang besar sebaliknya ia berkualiti.

Utusan Malaysia

Nostalgia Empat Dekad Alleycats

4 Jul

IRAMA yang didendangkan penyanyi utama kumpulan Alleycats, David Arumugam di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini mencetus momen yang sungguh mendamaikan.

David yang membawa penonton mengembara bersamanya pada Konsert Senandung Semalam Bersama Alleycats menjadikan konsert itu bukan sekadar hiburan hujung minggu semata-mata.

Sebaliknya, kembara seni David pada malam penuh nostalgia itu merupakan manifestasi terhadap bukti kejayaan sebuah kumpulan yang diterajui oleh penyanyi bukan Melayu merentasi semua kaum di Malaysia.

Bukan sehari dua masa diambil oleh David bersama mendiang adiknya, Loga serta rakan-rakan pemuziknya yang lain untuk memasyhurkan lagu-lagu Melayu.

Sebaliknya, selepas lebih 40 tahun berkelana bermain muzik di kelab-kelab malam di banyak negara luar, merakamkan berpuluh-puluh album, mengadakan beribu-ribu persembahan, karya-karya Alleycats akhirnya diberi peluang menakluki pentas prestij di Malaysia, Istana Budaya.

“Selepas lebih 40 tahun menyanyi, ini pertama kali kami diundang menyanyi di Istana Budaya,” umum David sebaik memulakan persembahan dengan diiringi tepukan gemuruh peminat-peminat Alleycats.

Persembahan sempena Konsert Senandung Semalam Bersama Alleycats bagi mengutip dana Yayasan Paru-paru Malaysia menghimpunkan generasi peminat seni yang pernah membesar dengan lagu-lagu nyanyian kumpulan itu.

Kecintaan yang menebal dalam diri David terhadap lagu-lagu yang memasyhurkan namanya terpancar pada wajahnya.

David barangkali tidak fasih menguasai bahasa Melayu namun penghayatan beliau terhadap mesej-mesej di sebalik lirik lagu Senandung Semalam, Senyumlah Kuala Lumpur, Seribu Bintang, Jika Kau Bercinta Lagi, Nota Terakhir, Andainya Aku Pergi Dulu dan banyak lagi pada persembahan berkenaan bagaikan membawa audiens melayang bersamanya.

Benarlah kata beberapa penonton yang ada pada malam itu, karya yang baik dan hebat akan sentiasa menjadi bahan rujukan.

Apa yang paling utama juga, ukuran kepada sebuah karya yang baik pula sentiasa dinilai berdasarkan sejauh mana ia mampu bertahan dalam sesuatu masyarakat.

Namun, ada sesuatu dalam diri David yang menyebabkan dia mudah untuk dikenang, dirindui dan disenangi.

Penyanyi terkenal Hattan yang dijemput sebagai penyanyi undangan pada Konsert Senandung Semalam Bersama Alleycats menganggap, kelebihan yang ada pada David ialah keikhlasan dia ketika menyanyi.

“Dia terlalu tulus dan sangat jujur ketika menyanyi,” ringkas Hattan menggambarkan kekagumannya pada seniman legenda itu.

Dan apa yang menyebabkan David cukup bertuah juga kata Hattan ialah, dia berpeluang merakamkan dan mempopularkan irama-irama indah yang sarat dengan nilai sentimental.

“Saya ‘cemburu’ dengan kejayaan mereka merentasi semua kaum pendengar dan peminat muzik di Malaysia.

“Pada saya, Alleycats adalah sebuah kumpulan legenda yang tiada duanya. Saya sangat menghormati mereka,” kata Hattan yang mengakui sangat berbesar hati dapat berganding bahu dengan David pada malam konsert istimewa itu.

Memetik rumusan Hattan berhubung ketulusan David ketika menyanyi, senario yang serupa tergambar pada penyanyi yang berasal dari Pulau Pinang itu.

David menyanyi dan menyanyi. Sesekali, dia berbual dengan audiens. David ada kala dilihat seperti seorang penglipurlara. Celotehnya mengundang tawa penonton.

Namun, ketika melantunkan suara menyanyikan lagu-lagu penuh nostalgia Alleycats, David membawa bersama penonton melayari momen-momen manis yang pernah dicipta oleh Alleycats ketika zaman kegemilangan mereka.

Ya, Alleycats sudah membuktikan mereka masih menjadi idola kepada sekian banyak bakat-bakat muda untuk berjuang secara jujur dan ikhlas dalam bidang nyanyian.

Lagu-lagu Alleycats terus segar dan subur dalam diri setiap daripada kita.

Sayang sekali, pada malam pertama konsert berkenaan, terdapat kecacatan pada sistem bunyi.

Namun, kalau namanya kumpulan berpengalaman, segala kesulitan diatasi dengan kebijaksanaan mereka mengawal pentas.

Ketika berada secara solo di pentas, David tidak perlu risau untuk mendapatkan khidmat penyanyi latar kerana sebilangan besar audiens menyanyi bersama-samanya.

Persembahan David dan Alleycats turut diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Eddie Marzuki.

Selain sebuah konsert nostalgia, Konsert Senandung Semalam Bersama Alleycats juga didedikasikan kepada mendiang Loga yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada Jun tahun lalu.

Konsert berkenaan turut menampilkan Hattan, Jaclyn Victor, Adibah Noor dan Liza Hanim pada malam yang berbeza-beza. – SAHARUDIN MUSTHAFA

Utusan Malaysia

Gemilang Alleycats Berterusan

24 May

Oleh FAIZAL SAHARUNI


PALING mendapat perhatian, Martin muncul dengan gaya rambut ala afro inspirasi daripada idolanya, David Arumugam dan Loga.

DIAM tak diam, sudah 40 tahun kumpulan Alleycats bersenandung dalam industri seni tanah air. Dalam usia mencecah empat dekad itu, grup ini boleh dikatakan kumpulan muzik bukan Melayu yang paling berjaya memikat hati pendengar Melayu.

Lantaran itu, sebuah sebuah pertandingan karaoke, Memori Gemilang Alleycats 40 Tahun diadakan bagi mengenang semula perjuangan Alleycats menebarkan bakat dan minat mereka melagukan karya yang terus diingati hingga ke saat ini.

Dek penangan Alleycats yang punyai profil tersendiri itu, tidak hairanlah seramai 120 peminat memenuhi Red Box Ria, Kuala Lumpur baru-baru ini bagi menyertai pertandingan yang mendapat kerjasama akhbar kompak Kosmo! dan Sinar FM.

Agak mengejutkan apabila seawal 11 pagi pemuja Alleycats mula muncul di pusat karaoke berkenaan untuk mendaftarkan diri.

Masing-masing datang dengan gaya dan stail ala-ala Alleycats yang pastinya menarik tumpuan peserta lain. Peminat Alleycats bukan sahaja terdiri daripada orang-orang lama, tetapi ada juga generasi muda yang datang dengan semangat penuh membara untuk mengambil bahagian mendendangkan lagu idola mereka.

Antara yang menarik perhatian penulis ialah peserta dari Shah Alam, Selangor iaitu Philip Martin A/L Deviddas, 26, yang muncul dengan gaya rambut ‘afro’ persis David Arumugam dan mendiang Loganathan Arumugam.

DAVID ARUMUGAM

Muncul berbaju kemeja hitam dan bercelana panjang dengan rona sama menjadikan Martin yang menyampaikan lagu Derita Seorang Insan benar-benar meraih perhatian ramai.

Ada yang tertawa, terkejut, teruja, malah ada yang tidak segan-silu mengambil gambar bersama Martin sebagai kenangan dek stailnya menyerupai dua tunjang asas Alleycats ini.

“Memang sejak daripada kecil meminati Alleycats. Dalam pada itu, saya juga hafal banyak lagu nyanyian mereka.

“Kalau pergi karaoke pun saya tetap akan nyanyikan lagu-lagu Alleycats. Cukup teruja dengan kumpulan ini apatah lagi bapa saya, Deviddas, 62, banyak bercerita tentang kehebatan Alleycats,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Ditanya tentang rambut afronya itu, Martin pantas memberitahu: “Rambut saya memang asli. Walaupun ramai yang tak percaya, tapi ia memang semula jadi.”

ROZALINA MOHAMAD ROM.

Itulah kelebihan Alleycats yang sukar disaingi. Kurangnya publisiti daripada pihak media cetak dan elektronik tempatan tidak menjadi masalah buat mereka, sebaliknya kumpulan ini berhasil menghimpunkan peminat dari hari ke hari.

Kenyataan ini turut disokong Eksekutif Promosi Universal Music Sdn. Bhd., Rozalina Mohamad Rom yang menganggap Memori Gemilang Alleycats 40 Tahun dilangsungkan sempena 40 tahun Alleycats bergiat dalam bidang seni suara.

“Bukan satu perkara mengejutkan jika dikatakan Alleycats adalah ikon kumpulan muzik bukan Melayu yang punya ramai peminat golongan Melayu.

“Itulah keistimewaan Alleycats. Mereka mempunyai peminat yang berumur 30-an, 40-an dan 50-an yang membesar dengan lagu merdu serta syahdu nyanyian Alleycats.

“Paling mengejutkan apabila ada juga orang muda yang suka dengan lagu malar-segar Alleycats,” kata Rozalina ketika ditemui selepas berakhirnya peringkat separuh akhir pertandingan itu.

ALLEYCATS punya peminat setia yang cukup serasi dengan muzik dan lagu-lagu mereka.

Sambung Rozalina, kelunakan suara David Arumugam dan mendiang adiknya, Loga bisa meruntun jiwa peminat merentasi bahasa dan kaum.

“Gabungan dua beradik bersama teman-teman daripada kalangan bukan Melayu yang menubuhkan Alleycats ternyata mampu bertahan dalam arena muzik memasuki 40 tahun.

“Sebut saja lagu-lagu mereka antaranya Hingga Akhir Nanti, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Gerimis Senja, Seribu Bintang, Jika Kau Bercinta Lagi, Noktah Terakhir dan Layang-Layang Terputus Talinya – semuanya menggamit perasaan.

“Lagu-lagu ini mempengaruhi alam percintaan sebahagian besar pasangan yang sedang enak dilanda cinta dan ia terus menjadi kenangan apabila hubungan yang terjalin itu berakhir di jinjang pelamin,” ungkapnya lagi.

LAGAK salah seorang peserta dalam pertandingan Memori Gemilang Alleycats 40 Tahun.

Berbicara lanjut tentang Memori Gemilang Alleycats 40 Tahun perjalanan pertandingan ini dibahagikan kepada tiga peringkat yang telah ditetapkan.

Ia boleh disertai oleh semua golongan baik lelaki dan wanita. Peserta hanya perlu membeli satu cakera padat Alleycats yang dikeluarkan khas sempena ulang tahun ke-40 Alleycats.

Pusingan pertama dijalankan di Red Box Ria bagi mencari 10 peserta, kemudian 24 Mei ini pula diadakan di Plaza Pelangi, Johor Bahru, Johor bagi mencari 10 lagi peserta.

Seramai 20 orang yang tersenarai ini akan bertanding dalam peringkat akhir Memori Gemilang Alleycats 40 Tahun yang bakal berlangsung di Red Box Ria, KL 31 Mei ini.

Dalam peringkat pertama yang diadakan baru-baru ini, para peserta diadili Arab dan Mujahid manakala pemilihan 10 orang ke peringkat akhir ditentukan penyampai Sinar FM, Abby Fana, Penolong Editor Hiburan Kosmo!, Yusman Awang dan komposer terkenal, Arab.

BUKAN sahaja bijak menghafal lagu, tetapi rambut dan gaya David Arumugam juga berjaya ‘diciplak’ oleh peserta.

Pemenang utama Memori Gemilang Alleycats 40 Tahun bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500 beserta piala dan cenderamata sumbangan Universal Music.

Tempat kedua pula akan menerima RM1,000 bersama piala dan hadiah daripada Universal Music manakala tempat ketiga memperolehi RM800 dengan disertakan piala dan barangan daripada Universal Music.

Hampir setengah hari berada di Red Box Ria menyaksikan ragam dan telatah peminat Alleycats menyertai pertandingan karaoke benar-benar memberi pengalaman berharga yang sukar dilupakan dalam ingatan.

Meskipun lontaran vokal dan bakat para peserta bukanlah sehebat program nyanyian lain, namun mereka berupaya menyanyi dengan baik serta menonjolkan persembahan mantap lagi bertenaga.

Pujian harus diberikan kepada individu yang bertanding. Dengan matlamat sama, mereka datang mencuba nasib sekali gus menunjukkan apresiasi hebat buat Alleycats, salah sebuah kumpulan muzik terhebat dalam sejarah muzik Malaysia. Jumpa anda di Johor Bharu hari ini.

Powered by Kosmo

VCD Karaoke Alleycats

9 May


Rap

KUMPULAN legenda, Alleycats sudah membuktikan ke hebatan apabila bertahan selama lebih 40 tahun di persada seni tempatan.

Bukan satu perkara mudah untuk artis berkumpulan berada di tahap itu. Kecintaan terhadap muzik jelas mengatasi segala-galanya.

Setiap cabaran dan rintangan dihadapi dengan tabah se hingga mereka mampu berada di tahap sekarang.

Mereka sering dijadikan contoh dan idola kepada penyanyi yang baru bertapak. Populariti lagu mereka juga tidak boleh dinafikan.

Kemerduan suara David Arumugam dan adiknya, mendiang Loga meruntun hati peminat merentasi bahasa, bangsa, sempadan geografi dan agama.

Malah, populariti kumpulan itu juga begitu utuh terutama sebagai kumpulan bukan Melayu yang banyak merakamkan lagu Melayu yang meledak di pasaran dan menawan cita rasa peminat muzik tanah air.

Tidak hairanlah lagu mereka menjadi pilihan banyak pe nyanyi yang menyanyikannya semula dengan pelbagai versi muzik berbeza.

Lagu seperti Senandung Semalam, Kisah Kau Dan Aku, Jika Kau Bercinta Lagi dan Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi antara contoh lagu popular kumpulan itu.

Walaupun dirakam semula, versi asal lagu mereka tetap diminati. Album kompilasi kumpulan itu yang diterbitkan semula turut mendapat sambutan menggalakkan.

Ada antara peminat yang menjadikannya sebagai koleksi peribadi karaoke di rumah mahupun pilihan di pusat hiburan. Apatah lagi lagu yang dinyanyikan adalah versi asli karaoke Alleycats.

Menyedari perkara itu, syarikat rakaman Universal Music Malaysia menghasilkan tiga album cakera padat video (VCD) karaoke eksklusif lagu hit, Memori Gemilang Alleycats. Menariknya VCD ini diterbitkan dalam tiga siri berlainan menggunakan judul lagu popular kumpulan itu.

Setiap VCD berkenaan turut dimuatkan karaoke terbaru kumpulan itu yang belum pernah diterbitkan sebelum ini. Namun begitu ada juga muzik video yang pernah dirakam ketika mendiang Loga masih bersama mereka.

VCD karaoke dilabel dengan tiga warna berlainan iaitu kuning untuk siri satu, Senandung Semalam yang berada di pasaran sejak Oktober tahun lalu.

Versi ungu untuk siri dua, Suara Kekasih yang diterbitkan pada November lalu manakala hijau untuk siri ketiga, Nota Terakhir berada di pasaran sejak Disember lalu ternyata menampilkan kelainan tersendiri.

Siri VCD berkenaan mengandungi beberapa lagu popular versi karaoke yang dirakam semula seperti Senandung Se malam, Layang Layang Terputus Talinya, Khabar Buat Ibu, Kasih Tak Kesampaian, Suara Kekasih, Senyumlah Kuala Lumpur dan Rasa.

Sementara itu, Universal Music bersama stesen radio, Sinar FM sebagai radio rasmi dengan kerjasama Red Box me ngadakan pertandingan karaoke lagu Alleycats bertempat di Red Box Ria Sogo, Kuala Lumpur pada 17 Mei diikuti cawangan Red Box Pelangi Mall, Johor Bahru pada 24 Mei ini.

Syarat penyertaan cukup mudah. Peserta yang mahu me nyertai cuma perlu membeli satu daripada siri tiga VCD

karaoke, Memori Gemilang Alleycats dengan harga RM18 di premis Red Box seperti tarikh yang ditetapkan.

Mereka juga boleh mengikuti siaran radio Sinar FM untuk perkembangan lanjut mengenai peraduan itu.

Powered by Harian Metro

Populariti Suara Kekasih

28 Mar

LEWAT kebelakangan ini sudah menjadi satu trend di kalangan syarikat-syarikat rakaman mengambil usaha merakamkan semula lagu-lagu lama dalam versi baru.

Dengan menggunakan khidmat artis-artis popular masa kini, formula itu bagaimanapun dilihat memberi manfaat kepada pengusaha-pengusaha syarikat rakaman apabila ia mendapat tempat di stesen-stesen radio tempatan.

Terbaru, lagu Suara Kekasih yang pernah dipopularkan oleh kumpulan pop legenda, Alleycats kini disampaikan dalam versi baru menerusi gabungan suara empat penyanyi tersohor negara, Saleem, Ezad, Zamani dan penyanyi asal itu sendiri, David Arumugam.

Lagu yang kini begitu popular di radio merupakan lagu ciptaan S. Jayaraman. Lagu berkenaan juga mencapai kedudukan lima terbaik dalam pelbagai carta radio di negara ini.

Rakaman semula lagu Suara Kekasih dimuatkan dalam album Hingga Akhir Nanti… (Sebuah Tribute Untuk Alleycats) yang diterbitkan oleh syarikat rakaman Nova Music yang cukup sinonim dengan penerbitan album-album kompilasi yang berinovasi dan berkualiti tinggi.

Selain lagu Suara Kekasih, album Hingga Akhir Nanti itu juga menampilkan rakaman semula 16 lagu-lagu terhebat Alleycats yang disampaikan oleh 13 artis popular termasuk Jamal Abdillah, M. Nasir, Hattan, Awie, Rhamat (Ekamatra) Spider, Slam dan Flop Poppy.

Menurut syarikat rakaman Nova Music, putaran lagu yang tinggi untuk lagu Suara Kekasih di stesen-stesen radio utama negara telah membantu melonjakkan jualan album Hingga Akhir Nanti melebihi 10,000 unit yang melayakkan album tersebut menerima anugerah jualan cakera emas.

Paling mengejutkan, album berkenaan juga berjaya mencapai kedudukan tertinggi di tangga kedua carta jualan album Melayu paling laris.

Sementara itu Ezad (Exists) dan Zamani yang berpeluang bergabung suara dengan David menyifatkan kesempatan yang diberikan oleh Nova Music itu satu penghormatan tertinggi yang pernah mereka kecapi selama bergelar anak seni.

“Kami membesar dengan lagu-lagu Alleycats. Semua lagu-lagu popular Alleycats tersimpul kemas dalam sanubari kami.

“Sebab itulah bila diberi kesempatan sebegini, kami rasa begitu bernasib baik dan mengambilnya dengan penuh tanggungjawab dan berusaha menjadikan rakaman semula lagu Suara Kekasih suatu hasil karya yang boleh dibanggakan agar tidak mengecewakan David dan juga peminat-peminat setia Alleycats,” kata mereka.

Penglibatan Saleem dalam lagu Suara Kekasih juga merupakan satu lagi cabaran kepada dua anak muda ini kerana vokal Saleem juga tidak kurang hebatnya.

Antara lagu lain yang dimuatkan dalam album Hingga Akhir Nanti… (Sebuah Tribute Untuk Alleycats) ialah Gerimis Senja (Saleem), Nota Terakhir (Ezad) dan Luka Lama Terguris Kembali (Zamani).

Powered by Utusan Malaysia