Archive | Dayang Nur Camelia RSS feed for this section

Dunia Camelia

21 Nov

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Camelia

Gaya dan wajah wanita kelahiran Kuching ini pernah memikat hati jurugambar di Paris ketika berada di kota fesyen itu

TIADA siapa yang mampu menidakkan kecantikan penyanyi yang cukup sinonim dengan gelaran ikon fesyen dan ‘fashionista’ ini, apatah lagi dia pernah disenaraikan sebagai antara wanita tercantik di dunia. Setiap keping gambar yang mengabadikan wajah wanita kelahiran Kuching, Sarawak ini begitu mempesonakan dan menambat hati.

Gaya dan liuk lintuk Dayang Nur Camelia Abang Khalid, bagaikan peragawati hebat, namun celah Camelia dalam nada bergurau, dia tidak cukup tinggi untuk mempertimbangkan hasrat bergelar model.

Lalu tidak hairanlah, tidak semena-mena dan paling membuai hatinya hingga kini apabila kejelitaan semula jadi Camelia mampu menambat minat seorang jurugambar bernama Luc Furnol yang sudi mengambil gambarnya sebanyak tiga kali ketika berada di kota fesyen, Paris.

Sayangnya, menurut Camelia, jurugambar itu sudah pun meninggal dunia.

Itu menjadi antara kenangan paling indah pernah tersemat di dalam hidup pemenang kategori Selebriti Wanita Paling Bergaya Anugerah Stail EH! 2008 ini. Ketiga-tiga gambar itu dibingkaikan dan menjadi hiasan di kediamannya.

Mungkin tuah Camelia kerana dianugerahkan raut wajah menawan diimbangi dengan akal yang bijak, lalu bukanlah sesuatu yang asing dia sering dilamar sebagai jurucakap mempromosikan produk dan kempen kecantikan.

Terbaru, Camelia kini bergelar duta dan jurucakap Innershine Prune Essence selama dua tahun. Bertemunya awal November lalu di kediaman yang didiaminya sejak hampir tiga tahun lalu, Hip jelmakan Camelia dalam dua sisi berbeza.

Paling istimewa, Camelia menunjukkan sisi maskulinnya menerusi gaya rock chic dengan solekan sederhana melalui padanan topi fedora. Hiasan dalaman rumahnya termasuk koleksi lukisan yang melatari kediamannya menjadi ruang bereksperimentasi.

Bercerita mengenai produk kecantikan dalaman itu, Camelia didekati pihak itu sejak Julai lalu. Lucunya, kata Camelia, ibu dan sanak-saudaranya yang terlebih dulu menggunakan produk itu dan Camelia pernah mencubanya.


Biarpun bergaya sempoi,
kejelitaan Camelia tetap
terserlah di kediamannya.

“Saya mencuba produk itu (Innershine Prune Essence) sebelum puasa dan terbukti ia sangat berkesan, memberi tenaga dan menyegarkan. Tak sangka, tiba-tiba saya dihubungi Maggie Abang Saufi (pengurusnya) memaklumkan yang pihak itu berminat untuk menjadikan saya sebagai jurucakap. Kalau ibu saya sendiri menggunakannya, kenapa tidak saya menggunakannya juga sebagai makanan tambahan,” ungkapnya ringkas.

Hati wanita berusia 34 tahun ini tidak pernah ralat apabila ramai pihak yang lebih mengagumi dirinya sebagai sosialit fesyen yang hebat bergaya, berbanding kerjayanya sebagai penyanyi. Percaya kepada prinsip muzik dan fesyen saling memerlukan dan berdiri di satu paksi yang sama, Camelia yakin ia adalah satu perkara organik dan semula jadi.

Bagaimanapun, bukan bermakna Camelia ingin terus melupakan kerjaya nyanyiannya kerana bidang ini masih menjadi keutamaan dan keghairahannya yang tidak pernah ada batasan.

Menurut Camelia, dia sedang mengusahakan ‘sesuatu’ tapi belum mahu berbincang lanjut mengenainya. Ia satu kejutan Camelia buat semua.

“Biarlah apa yang saya sedang usahakan ini menjadi rahsia dulu, hingga ia benar-benar menjadi. Saya tidak mahu cakap selagi ia belum menjadi realiti. Dunia nyanyian masih menjadi nadi kepuasan di dalam kehidupan kerana saya suka berinteraksi dengan penonton dan peminat.

“Tak dinafikan memang saya suka berfesyen dan saya sukakannya. Bukan setakat industri hiburan saja mementingkan gaya dan fesyen, industri lain juga seperti sektor korporat juga ingin nampak hebat. Kalau di permaidani merah sekalipun, orang lebih ingin tahu apa yang dipakai selebriti, berbanding anugerah yang dimenanginya,” katanya yang pernah mengacarakan program Casa Impian.

Tak mahu terpalit kontroversi

MENYUSUR kisah peribadinya, Camelia diakui sangat berahsia orangnya dan seboleh-bolehnya dia tidak mahu membicarakan lanjut soal cinta biarpun kisah cinta yang mengaitkan dengan seorang anak kenamaan yang khabarnya sudah terputus di tengah jalan sebelum ini.

Bijak menangani kontroversi secara ‘diam’ yang sedikit sebanyak melatari kehidupannya, Camelia terus tegar dan kuat mengharungi dugaan dan cabaran kehidupan yang belum tentu hujung pangkalnya.

Ironinya hingga kini Camelia masih terus bersendirian sejak rumah tangga yang dibina bersama Mohd

Ehsan Tun Ahmad Zaidi Edruce, gagal dipertahankan. Mereka berkahwin atas dasar cinta pada 17 Disember 1994 dan bercerai pada 13 November 1999. Biarpun pernah gagal dalam perkahwinan, Camelia tidak pernah menoleh ke belakang lagi dan terus bahagia meniti kehidupan mendatang.

“Saya minta simpang dan dijauhkan daripada cerita kontroversi yang kurang enak. Jika kita melakukan sesuatu yang baik, Insya-Allah ia akan kembali dengan baik juga. Saya lebih selesa membuat hal sendiri daripada terus larut dengan kisah yang tidak berfaedah. Tiada resipi untuk saya terus kekal begini, cuma kita yang menentukan hala tuju perjalanan ini.

“Sebagai manusia biasa, saya yakin kita tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dicapai dan sentiasa ingin melakukan pembaharuan. Saya sendiri ingin meneroka pengalaman dan sisi baru dengan berjumpa orang baru di negara orang.

“Kita yang memberi sari warna dalam kehidupan ini dan semuanya atas ketentuan Yang Maha Esa. Untuk itu kita tidak boleh terus statik dan sentiasa kena rajin berusaha dalam misi mencapai apa juga yang diingini. Saya bersyukur ada keluarga yang sangat menyokong dan merekalah menjadi nadi kekuatan saya. Kedua, ialah kerjaya dan ketiga barulah soal cinta,” ungkap Camelia yang pernah meledak dengan lagu Rindu Padanya.

Melihat kepada susun atur dan letak hiasan di rumah Camelia, ternyata wanita ini cukup mencintai apa juga subjek yang bersifat seni.

Kata Camelia, mungkin dia seorang yang gemar duduk di rumah jika tiada sebarang aktiviti.

“Saya sendiri yang mengubah susun atur dan letak hiasan di rumah ini. Ia memberi saya ketenangan dan kegembiraan yang tidak terkata. Di rumah saya bebas menjadi diri sendiri apatah lagi dengan melakukan kerja mengemas dan menghias rumah.

“Jika kita menghias rumah untuk rasa menarik, demikian juga dengan apa yang kita pakai dan gayakan demi untuk kelihatan hebat,” kata Camelia yang gemar berjamming di studio mini di rumahnya pada masa senggang.

EKSPRESI: Camelia Cinta: Sangat Berkuasa Rumah: Ibarat rumahku syurgaku. Gambar dan lukisan: Luahan peribadinya. Seni: Cinta Tips kecantikan: Jadilah dan sayangilah diri sendiri. Cintailah kehidupan dan sulaminya dengan gelak ketawa.

INFO: Camelia Selain mewakili produk Innershine Prune Essence, Camelia juga dilantik sebagai duta projek perumahan mewah, Ara Hill, yang dibangunkan Sime Darby Property di Ara Damansara, Petaling Jaya. Ditabalkan sebagai Selebriti Wanita Paling Bergaya di majlis Anugerah Stail EH! 2008. Suka melihat negara orang kerana banyak boleh kita pelajari kerana melihat sesuatu yang baru. Menerima Anugerah Essenze Artis Wanita Terbaik pada Majlis Makan Malam Gala Penerbitan Market Source di Pulau Pinang pada tahun 2007. Anugerah itu diberikan oleh majalah berbahasa Inggeris itu.

PROFIL: Camelia Nama Penuh: Dayang Nur Camelia Abang Khalid Umur: 34 tahun Tarikh Lahir: 20 Jun 1974 Asal: Kuching, Sarawak Kerjaya: Penyanyi, Model Iklan, Ikon Fesyen, Hos TV dan Jurucakap Produk Album: Camelia (1997), I,II,III (1998), Memori, Mimpi & Kompilasi (1999), Untukmu (2003) dan Mysticam (2007) Iklan/Produk: L’oreal, Epson, Nescafe, Ara Hill (Sime Darby Property) Program TV: Casa Impian (Astro Ria) Pencapaian Terbaik: Artis Baru Terbaik/Vokal Wanita Terbaik (Anugerah Industri Muzik Malaysia 1998)

Berita Harian

Advertisements

Melakar Beg Baguette Fendi

16 Jul

Oleh ROSMAWATI MION

MARINI Ramlan bersama tas tangan Baguettenya yang menampilkan warna-warna terang umpama bulu merak dan sayap rama-rama.

TAS tangan Baguette oleh Fendi menjangkau usia 10 tahun di pasaran, namun terus melekat di hati penggemarnya.

Meraikan ulang tahunnya, beberapa selebriti dan artis terkenal turut diajak mencuba bakat mencorak tas tangan Baguette edisi terhad yang diperbuat daripada kanvas.

Di Malaysia, Fendi memberi penghormatan kepada dua personaliti iaitu, penyanyi terkenal Camelia atau Dayang Nur Camelia Datuk Abang Khalid dan produser TV3, Marini Ramlanyang sememangnya mempunyai kemahiran dalam seni rekaan.

Bertepatan dengan ulang tahun itu juga, Fendi turut mengetengahkan hasil lakaran Camelia dan Marini bersama lapan lagi personaliti dan artis terkenal seluruh Asia dalam pameran Fendi 10+ di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lapan personaliti tersebut, Carina Lau (pelakon Hong Kong), Chen Ke (pelukis China), Donna Ong (pelukis Singapura), Fann Wong (pelakon, penyanyi dan model Singapura), Eason Chan (artis Hong Kong) Hathairat Charoenchaichana (ilustrator dan pemain gitar Thailand), Raman Hui (juruanimasi Hong Kong) dan Wing Shye (jurugambar Hong Kong).

Pada masa sama, jenama tersebut turut koleksi Baguette dalam sepuluh warna menawan iaitu merah, coklat, biru lembut, kuning, merah samar pekat, merah samar lembayung, kuning, hijau, hitam, putih dan warna keperakan.

Camelia ketika ditemui memberitahu, peluang yang diberikan itu cukup bermakna. Biarpun menyukai dunia fesyen, mencorakkan tas tangan Baguette Fendi, cukup ‘mengerunkan’ kerana beg yang dilakar itu adalah ikon Fendi.

Mencipta dengan tema Bag to Basic – Evolusi bagi Muzik dan Fesyen, Camelia meluahkan impiannya yang ingin bergelar penyanyi sejak kecil menerusi lakarannya.

Camelia memilih lakaran bentuk kaset dan pita perakam kerana waktu kecilnya, penyanyi jelita itu gemar mendengar lagu-lagu daripada kaset sambil membayangkan dirinya yang mendendangkan lagu-lagu tersebut.

“Beg ini mengingatkan saya tentang perkara yang saya sukai dahulu. Sewaktu kecil cukup suka mendengar lagu daripada kaset sehingga timbulnya impian untuk menjadi penyanyi.

“Dan, apabila Fendi mengajak bersama melakar tas tangan ini, terus tercetus ilham untuk membuat bentuk kaset memandangkan muzik adalah minat saya,” katanya.

Rekaan tas tangan Baguette Camelia yang mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan itu menghimpunkan gaya dan status. Ia juga turut mengambarkan karakter nya yang retro, hip, cool dan funky.

Tambah Camelia, sebuah beg juga menceritakan tentang gaya individu terhadap fesyen, penampilan, diri, kerjaya dan aspirasi.

Sementara itu, warna-warna ceria menghiasi ciptaan Marini Ramlan yang berinspirasikan elemen bulu burung merak dan sayap rama-rama.

Bertemakan Fluidity and Movement, Marini menggunakan sinar cat akrilik untuk menyerlahkan keindahan dan keunikan warna-warna bulu burung merak dan sayap rama-rama.

“Setiap malam selama tiga minggu saya akan peruntukkan dua atau tiga jam untuk melakar tas tangan Baguette ini. Visi saya untuk mendapatkan kepuasan menyeluruh melalui Baguette dan kelancaran serta pergerakan menjadi kunci utamanya,” ujar Marini.

Menariknya, andai dibuka Baguette ‘ciptaan’ Marini, mata pasti terpaku memandang tarikan warna-warna hasil serlahan bulu burung merak yang secara tidak langsung memberi satu elemen kejutan buat mereka yang ‘ghairah’ untuk melihat tas tangan itu.

Utusan Malaysia

Camelia Bersama Selebriti Dunia

13 Apr

Oleh WANDA IDRIS

CAMELIA bersama pemain bola sepak Jepun, Hide Nakata.

CAMELIA, namanya tidak sahaja harum di persada nyanyian tetapi turut menjadi perhatian dalam dunia kecantikan khususnya arena fesyen tempatan dan luar negara. Malah anak Sarawak ini antara nama popular tempatan yang sering muncul menghadiri pelbagai acara fesyen bertaraf dunia yang dihadiri selebriti terkenal antarabangsa.

Dia mempunyai persona tersendiri membuatkan insan bernama Dayang Nur Camelia Abang Kahlid ini sering kali menjadi pilihan jenama mewah untuk dipelawa menghadiri acara-acara fesyen tidak kira di dalam mahupun di luar negara.

Terbaru, pada 14 Mac lalu, dia menjadi satu-satunya artis Malaysia yang diterbangkan ke Hong Kong untuk menyaksikan pembukaan butik Louis Vuitton (LV) di Canton Road Maison yang berkeluasan 1,749 kaki persegi dan merupakan butik kedua terbesar dunia selepas butik di Champs Elysee.

Mungkin ramai beranggapan kemunculan seperti itu hanya sekadar untuk bersuka-suka, menyaksikan pembukaan butik dan pertunjukan fesyen dan kemudian berparti.

Pun begitu bagi Camelia yang mesra dipanggil Mimie ini, kemunculannya pada acara-acara sedemikian bukan sekadar bersuka ria dan berkongsi rasa dan minat terhadap seni khususnya fesyen dan hiburan.

Lebih penting, ia menjadi landasan bagi dirinya untuk memperkenalkan diri sekali gus memperluaskan rangkaian perhubungan dengan mereka yang berkongsi cita rasa yang sama terhadap dunia seni fesyen dan muzik.

“Ia bukan tentang fesyen semata-mata tetapi tentang peluasan rangkaian yang tak ternilai harganya. Sebab apabila kita menghadiri acara, kita akan bertemu ramai orang.

“Seperti kemunculan saya di Hong Kong tempoh hari. Saya bukan sahaja bertemu dengan orang kuat Louis Vuitton Asia tetapi seluruh dunia yang berkumpul di sana. Antaranya Ketua Pegawai Eksekutif dunia Louis Vuitton iaitu Yves Carcelle.

“Malah saya juga sempat bertemu dan berkenalan dengan anak kepada pemilik LVMH Bernard Arnault iaitu Antoine Arnault yang turut hadir memeriahkan majlis.

“Selain itu saya juga berjumpa dengan ramai editor majalah, jurugambar dan pereka fesyen dunia dan sebenarnya perkara-perkara seperti inilah yang menjadikan perjalanan menghadiri acara fesyen satu pengalaman berharga.

“Manalah tahu, melalui pertemuan dan perkenalan seperti itu, saya akan mendapat peluang lain sama ada ditawarkan untuk membuat persembahan nyanyian atau mungkin juga ada jurugambar yang berminat untuk memotret saya,” jelas Camelia.

Katanya lagi, menghadirkan diri di acara-acara bertaraf dunia juga dapat mempertingkatkan semangat dan keyakinan dirinya lebih-lebih lagi kerana berkumpul dengan mereka yang memiliki kecintaan yang sama.

“Mereka mencintai seni, mereka mencintai muzik. Mereka mencipta seni dan mereka mencipta muzik. Itu antara perkara yang menyeronokkan untuk dikongsi bersama,” kata Camelia.

Pada pelancaran pembukaan butik jenama mewah terkenal Perancis itu, Camelia turut berkesempatan bertemu dengan ramai selebriti jemputan dunia antaranya pemain bola sepak dan ikon fesyen Jepun, Hide Nakata, pelakon Indonesia, Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo serta pemenang Anugerah Grammy, Kanye West yang turut mengadakan persembahan selama sejam pada majlis pascapelancaran itu yang berlangsung pada sebelah malamnya.

Turut hadir termasuklah model Hong Kong Qiqi dan suaminya, aktor Simon Yam, Anthony Wong dan Charlie Young serta personaliti TV terkenal Filipina yang juga cucu kepada bekas presiden Ferdinand Marcos iaitu Borgy Manotoc.

Wajah-wajah Malaysia yang hadir pula selain Camelia ialah Pengarah Urusan YTL Corporation Berhad, Tan Sri Francis Yeoh, aktres Datuk Michelle Yeoh dan beberapa pelanggan setia Louis Vuitton tempatan.

“Dan pada perasmian pembukaan butik LV itu, aktor Chow Yun Fatt turut diberi kesempatan mengadakan pameran koleksi foto-foto yang dirakamkannya,” kata Camelia lagi.

Mengenakan persalinan Louis Vuitton dari hujung rambut ke hujung kaki pada acara pembukaan butik, Camelia kemudian menukar persalinan kepada kebaya renda emas yang dikenakan bersama skirt pendek dan tali pinggang besar kala meraikan majlis pascaacara. Kebaya renda indah itu direka oleh teman ibunya bernama Tuti dan pernah digayakan sewaktu majlis perkahwinan adiknya tidak berapa lama dahulu.

Menariknya, kebaya yang digayakan Camelia itu mendapat perhatian ramai sehinggakan Editor majalah Vogue Taiwan bertanyakan kepadanya sama ada baju itu rekaan Marc Jacobs yang juga merupakan pengarah kreatif LV.

“Kebaya itu menarik perhatian ramai. Kanye West sendiri tertarik dengan rekaannya. Buat saya, ia memang sesuatu yang membanggakan. Saya sengaja memilih untuk memakai bersama skirt dan tali pinggang untuk menampakkan kelainan dan kelihatan moden,” jelas Camelia yang mengakui teruja menyaksikan keindahan malam di barat Kowloon ketika menghadiri parti tersebut.

“Ia sebuah acara gilang-gemilang. Persembahannya, kerlipan lampunya memang mengagumkan. Bayangkan, pascaacara pembukaan itu dilangsungkan dalam sebuah khemah yang sebegitu besar yang dibahagikan kepada dua bahagian.

“Layanan mereka juga sungguh mesra dan terasa diri begitu dihargai. Saya benar-benar berbangga dipilih sebagai wakil Malaysia. Bukan tidak pernah menghadiri acara seperti ini malah saya pernah ke Paris atas jemputan. Tapi jemputan ini adalah daripada wakil LV Malaysia sendiri,” katanya.

Powered by Utusan Malaysia