Archive | Dayang Nurfaizah RSS feed for this section

Tomok Belum Selamat

27 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

TIGA wajah yang memburu ganjaran lumayan OIAM iaitu Tomok, Esther dan Aweera.

TIGA nama mengesahkan tempat ke acara kemuncak One In A Million (OIAM) di Stadium Malawati, Shah Alam, Jumaat ini iaitu Tomok, Esther dan Aweera.

Bagaimanapun, pengesahan itu belum melegakan mereka apabila produksi OIAM masih berteka-teki mengenai peluang siapa yang layak merangkul hadiah lumayan ditawarkan iaitu RM1 juta. Berdasarkan format musim kedua, hanya dua peserta layak ke final.

Penerbit Eksekutif OIAM, Sunil Kumar, berkata undian menentukan jumlah finalis beraksi pada final OIAM boleh dilakukan menerusi laman web rasmi pertandingan itu: http://www.8tv.com.my/oiam.

“Kalau undian peminat cenderung memilih tiga peserta bertanding di final, pengiraan undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dikira sejak Jumaat lalu akan menentukan siapa sebenarnya dua peserta muncul pada malam kemuncak nanti.

“Jadi, penonton diingatkan meneruskan sokongan kepada peserta kegemaran dengan menghantar undian SMS,” jelas Sunil.

Malam penentuan OIAM di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Jumaat lalu memperlihatkan ketiga-tiga finalis berusaha keras mencuri perhatian peminat menerusi persembahan bertemakan Minggu Pilihan Juri dan Peminat.

Sekali pun sentiasa memberi persembahan mengujakan dan konsisten setiap minggu, peluang Tomok atau nama penuhnya, Shah Indrawan Ismail, 24, untuk bergelar juara sukar diramalkan.

Berdasarkan rekod lalu, peluang peserta yang berpengalaman sebagai artis rakaman untuk mara dan menjulang kejuaraan sering dinafikan.

Musim pertama menyaksikan Dayang Nurfaizah tersingkir selangkah menjelang acara kemuncak OIAM. Jejak Dayang dituruti Sarah Raissuddin yang terpaksa akur undian peminat tidak berpihak kepadanya, sebaliknya dua nama baru iaitu Ayu dan Shila diberi kepercayaan penonton untuk meneruskan cabaran mereka.

Bagaimana pula dengan nasib Tomok? Hanya masa menentukan kerana ketika persaingan penentuan Jumaat lalu, undian penonton lebih berpihak kepada Esther atau Elizabeth Applunius Chin dan Aweera atau Nasharul Aweera Noriyissham.

Esther selesa dengan 32.4 peratus undian, manakala Aweera mengekori dekat dengan 31.6 peratus sedangkan Tomok hanya 24.2 peratus. Seandainya tuah tidak berpihak kepadanya, Tomok tidak perlu kecewa kerana dia keluar bermaruah.

Seperti kata pengkritik tetap OIAM, Syafinaz Selamat yang ditemui pada sidang media selesai persembahan, siapa yang bakal dinobatkan sebagai juara OIAM nanti sememangnya layak menerima gelaran itu.

Perjalanan panjang Nine

BUKAN perkhabaran mengejutkan, malah penyingkiran pemuda berusia 27 tahun yang memiliki nama penuh, Zulqarnain Jaafar atau Nine sememangnya sudah dijangka.

Lama berada pada kedudukan goyah dan Jumaat lalu, penantian Nine terjawab apabila dia menjadi peserta kesembilan meninggalkan OIAM.

“Saya tidak pernah menjangka akan sampai ke Top 4,” kata vokalis kumpulan Coco yang cenderung kepada genre rock ini.

Dihimpit pelbagai kontroversi dan cerita panas, namun itu bukan penyebab Nine tersingkir. Sebaliknya dia akur, kejanggalan beraksi solo membuatkan persembahannya terumbang-ambing sepanjang pertandingan.

“Mungkin itu juga antara faktor penyumbang namun saya sudah cuba memberikan yang terbaik. Sukar untuk saya bertahan sampai ke tahap ini kerana kesemua 12 peserta hebat dan berbakat besar,” katanya.

Mengulas penyingkiran Nine, Syafinaz berkata, pemuda itu kehilangan magis yang dibawanya ketika mula menyertai uji bakat OIAM.

Nine katanya, seorang yang kelakar, spontan serta menghiburkan malangnya semua elemen itu hilang apabila dia berdiri di pentas OIAM.

Berita Harian

Dengarnya…: Dayang Ke Peringkat Antarabangsa

24 Apr

SUDAH lama Cik Normah merindui gemersik nyanyian penyanyi dari Kuching, Sarawak, Dayang Nurfaizah. Ada beberapa lagu terbaru nyanyiannya seperti Luka yang berkumandang di corong radio, namun entah kenapa, sengat lagu itu tidak sekuat ketika Dayang mempopularkan Seandainya Masih Ada Cinta, Hembusan Asmara dan beberapa lagu lain.

Cik Normah rindu Dayang menyanyikan semula lagu balada seperti itu. Sesekali tiada salahnya Dayang kembali menoleh ke belakang. Cik Normah percaya peminat masih menyokong Dayang kerana keunikan suara dan penyampaiannya yang tersendiri.

Cuma satu yang Cik Normah ingin memuji ialah kesungguhan Dayang untuk membawa karier nyanyiannya ke peringkat lebih tinggi.

Terbaru Dayang merakamkan single Lately, di mana projek ini menggabungkannya bersama 35 penyanyi berbakat daripada lima benua dan dipasarkan serentak dalam bahasa berbeza.

Cetusan idea daripada Global One Music ini akan dipasarkan di seluruh dunia, malah gabungan suara Dayang dan penyanyi terkenal lain dapat didengar menerusi single itu yang turut dirakamkan dalam versi ‘multimix’.

Lately versi Dayang memperlihatkan gadis bersuara serak dan lantang itu bekerjasama dengan Daly dari kumpulan hip hop popular, Ahli Fiqir. Daripada apa yang Cik Normah dengar single itu akan mula dimainkan Mei ini.

Artis antarabangsa yang turut serta dalam projek yang membawa slogan “Tiada pasport, tiada visa, tiada politik – hanya muzik” ini termasuk Ruth Sahanaya (Indonesia) dan Sonu Nigam (India).

Berita Harian

Kekangan Bajet Tak Sekat Kreativiti

21 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

PAIMM lebih selektif dalam pemilihan senarai artis untuk serikan majlis pada 2 Mei

SEMUA pihak bebas memberikan pandangan dan kritikan namun apa yang termampu mereka lakukan adalah merencanakan konsep persembahan terbaik biarpun menghadapi kekangan bajet yang ketat.

Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson, berkata Anugerah Industri Muzik (AIM) 16 cuma menyediakan lapan slot persembahan sekali gus mendesak mereka supaya lebih selektif dalam pemilihan senarai artis untuk menyerikan acara itu.

Katanya, menyusun senarai persembahan untuk acara besar seperti AIM16 bukan sesuatu yang mudah kerana sulit untuk meramalkan apa yang akan berlaku nanti.

“Ia sama seperti membikin sebuah album yang mengerah kerja keras dan titik peluh serta kreativiti anak seni tetapi apabila menjadi sebaliknya, mereka dihentam dan segala penat lelah yang dicurahkan tidak dihargai.

“Sama seperti AIM16, kami cuba memberikan yang terbaik untuk acara ini atas kapasiti yang ada kerana kami sendiri sukar meramalkan bagaimana hasilnya nanti,” kata Jennifer yang ditemui pada sidang media pengumuman artis yang membuat persembahan dan penyampai trofi untuk malam kemuncak AIM16, baru-baru ini.

Jennifer berkata, industri hiburan negara ketika ini dilambakkan dengan penganjuran pelbagai acara anugerah dan tanpa disengajakan mencetuskan persaingan antara satu sama lain untuk muncul terbaik di penilaian mata khalayak.

Akuinya, dia menyanjung kekuatan produksi Anugerah Juara Lagu Ke-23 yang berjaya menghasilkan sebuah penerbitan terbaik.

“Semua memberikan pandangan dan membuat penilaian, namun kami hanya mampu mencuba sedaya upaya atas segala kemampuan yang ada,” katanya.

Jumlah slot yang kecil tetapi memancing keinginan ramai penggiat muzik untuk turut serta membuatkan Jennifer dan tenaga produksi AIM16 menetapkan kriteria tertentu dalam menentukan barisan artis yang terpilih untuk membuat persembahan.

AIM16 kata Jennifer, mengutamakan artis yang mempunyai produk sebagai kelangsungan untuk mereka meneruskan usaha dalam membina karier dan berdiri matang dalam industri muzik.

“Kita mempunyai ramai artis yang berbakat besar dan melahirkan produk yang baik tetapi kurang diberi perhatian oleh stesen radio dan peminat.

“Justeru, AIM16 memberi peluang ini kepada mereka untuk memperkenalkan bakat seperti mana kesempatan diberikan kepada Dayang Nurfaizah dan Misha Omar yang menyerlah selepas memberikan persembahan terbaik pada malam kemuncak AIM dulu.

“Bagi mereka yang tidak terpilih, AIM tetap menyokong malah apabila tiba masanya mereka juga akan meraih peluang yang sama,” katanya.

Dalam ketelitian itu, Jennifer berkata, pengulangan barisan artis yang menyerikan slot persembahan AIM16 tidak dapat dielakkan kerana mereka impak yang besar kepada dunia hiburan sepanjang tahun lalu.

Faizal Tahir, Meet Uncle Hussain dan Hujan katanya ialah antara barisan artis yang memberi impak besar kepada industri muzik sepanjang tahun lalu.

Tambah Jennifer, meskipun industri hiburan ketika ini dibanjiri ramai kumpulan muzik baru yang mempunyai potensi besar di mata peminat namun mereka terpaksa berhati-hati apabila membabitkan persembahan di kaca televisyen.

Katanya, persembahan secara langsung di depan peminat dan beraksi di kaca televisyen adalah dua perkara berbeza serta menuntut ketelitian yang mendalam.

“Di kaca televisyen, setiap kesilapan dapat dikesan dengan jelas dan kami tidak mahu kerana kegagalan pertama, mereka terus dihukum dan dihentam selama-lamanya.

“Kami pernah melalui situasi ini apabila mengundang kumpulan indie berpengaruh untuk beraksi di AIM tetapi apabila gagal menyerlah di kaca televisyen, mereka teruk dikritik,” katanya.

Jennifer turut memuji artis tempatan berbangsa Cina dan India yang menunggu penuh sabar untuk meraih ruang beraksi pada acara kemuncak tahunan itu.

“Penghargaan mereka terhadap acara ini berbeza. Kesungguhan serta kesabaran mereka cukup kami hargai dan kerana itu, sejak beberapa tahun lalu kami mengundang mereka untuk turut sama,” katanya.

AIM16 yang akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei ini kembali menyatukan Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Adibah Noor sebagai pengacara.

Pengekalan tiga nama berkenaan sebagai teraju utama AIM16 kata Jennifer adalah kerana keserasian mereka dengan gaya dan perjalanan acara anugerah muzik itu.

“Tidak dinafikan pengacara menjalankan tanggungjawab yang berat kerana imej dan cara pembawaan AIM16 berada di tangan mereka. Ketiga-tiga pengacara ini sudah faham dengan perjalanan AIM yang tidak terlalu serius namun mempunyai imej dan prestijnya yang tersendiri,” katanya.

AIM16 diserikan dengan persembahan daripada Chakrasonic, Faizal Tahir, Goldkartz, Hujan, Joe Flizzow, Man Jiang Hong, Meet Uncle Hussain, Misha Omar, M Nasir, Datuk Sheila Majid serta penyanyi Indonesia, Rossa.

Sementara itu, penyampai anugerah pula terdiri daripada Aizat, Atilia, Camelia, Dafi, Hunny Madu, Jaclyn Victor, Leya, Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz.

“Persembahan barisan artis akan diiringi kumpulan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik, Ramli MS. Komitmen yang sentiasa diberikan artis bakal menyajikan sebuah lagi persembahan menarik untuk dinikmati semua,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM16, Rosmin Hashim berkata, kemuncak AIM16 menyajikan beberapa kejutan menerusi gandingan persembahan yang mengujakan penonton.

“Apa yang dapat saya katakan, barisan artis yang terpilih itu mencerminkan perjalanan industri muzik sepanjang 2008 apabila kehadiran mereka memberi impak dan warna kepada dunia hiburan negara,” katanya.

AIM16 mempertandingkan 29 kategori, namun hanya 17 kategori disampaikan pada malam kemuncak manakala selebihnya diserahkan kepada pemenang sebelum acara bermula.

Berita Harian

Bersatu Cintakan Budaya Negara

6 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

JKKN lancarkan 1,371 aktiviti serlahan seni bermula Julai

LEBIH 313 aktiviti seni budaya berteras ke arah mengukuhkan perpaduan kaum diberi penekanan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam Serlahan Seni ’09, sekali gus merealisasikan misi kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab seni, budaya dan warisan di peringkat antarabangsa.

Setiausaha Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Datuk Dr Muzahet Masruri berkata, program yang diperkenalkan menjadi wadah pembentukan masyarakat Malaysia yang bersatu dan cintakan seni budaya.

Sejajar dengan perkembangan teknologi semasa, Dr Muzahet berkata, aktiviti kesenian dan kebudayaan dijelmakan dalam pelbagai bentuk program seperti bimbingan seni budaya, keilmuan, semarak dan kecemerlangan seni, perantisan serta penyerlahan seni di luar negara.

“Serlahan Seni ‘09 adalah proses janaan aktiviti seni budaya yang direncanakan JKKN dan menjadi sorotan utama sepanjang 2009.

“Sejumlah 1,371 aktiviti bakal dilaksanakan JKKN di seluruh negara membabitkan pelbagai pertubuhan dan badan kerajaan swasta,” katanya.

Ditemui pada sidang media Serlahan Seni ‘09, beliau berkata, program sepanjang 2009 dirancang selaras dengan penekanan KPKKW ke arah mengukuhkan perpaduan, membabitkan generasi muda serta menyuntik nilai ekonomi menerusi produk seni dan budaya secara komersial.

Turut hadir di majlis ini ialah Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli.

“Sebagai menyokong usaha itu, JKKN menerusi program Pengembangan dan Pengukuhan Seni dan Budaya memberikan penekanan kepada aktiviti membabitkan pelbagai kaum seperti Bintang Irama Malaysia, Festival Tari Kebangsaan dan Negeri, Festival Teater Malaysia, Pusat Seni Setempat dan Program Merakyatkan Seni,” kata Dr Muzahet lagi.

Fokus kepada kanak-kanak, remaja

AKTIVITI sepanjang 2009 juga memberi fokus kepada pembinaan modal insan di kalangan kanak-kanak dan remaja.

Dr Muzahet berkata, aktiviti seperti Kelab Siswa Budaya, Perhimpunan Siswa Merdeka dan Pusat Seni Setempat dilaksanakan membabitkan penyertaan golongan muda, manakala Kursus Seni Budaya dalam pelbagai tahap turut diberikan kepada jurulatih di seluruh negara.

Pelaksanaan Serlahan Seni ‘09 juga bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat kesenian antarabangsa menerusi penganjuran Festival Kuala Lumpur sepanjang Julai 2009, Festival Muzik Kuala Lumpur, Festival Tari, Festival Teater, Siri Teater Tradisional dan Permainan Tradisi Malaysia.

Dr Muzahet berkata, selaras dengan hala tuju KPKKW untuk membangunkan industri seni kreatif, aktiviti yang memberi fokus kepada aspek penyelidikan, pembangunan produk, promosi dan pemasaran dipertingkatkan.

“JKKN akan berusaha membangun dan menambah baik produk seni dan budaya merangkumi Senam Seni, Kumpulan Kesenian Jabatan, Kumpulan Makyung dan Koir Kebangsaan,” katanya.

Program penyerlahan seni dan budaya peringkat antarabangsa juga diberi tumpuan di bawah Serlahan Seni ‘09 dengan membawa produk tempatan ke luar negara.

Antara yang dirangka adalah pertunjukan mak yung di Singapura dan Brunei untuk mengangkat seni persembahan itu ke peringkat global, selain pementasan teater kanak-kanak, Ali Baba yang pernah mendapat sambutan hangat di India dan United Kingdom (UK).

“JKKN akan menghantar tiga koreografer ke UK untuk bersama-sama dengan kumpulan Nusantara London menjelajah negara itu selama tiga bulan dengan membawa persembahan seni serta budaya Malaysia di sana,” katanya.

12 aktiviti utama Serlahan Seni ’09

Program Merakyatkan Seni & Budaya (PMS)
Sebanyak 164 siri PMS bakal diperkenalkan di seluruh negara.

Festival Kuala Lumpur
Berlangsung selama sebulan dari 1 hingga 31 Julai di sekitar Kuala Lumpur.

Festival Muzik Kuala Lumpur
Berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya dari 1 hingga 5 Julai. Tujuh komponen utama iaitu Konsert Lelaki Ini, Konsert Ruhani, Konsert Sounds Of Malaysia, Konsert Ahmad Nawab Goes To Life Centre, Konsert Young Malaysian Band dan Festival Muzik Dunia. Membabitkan Anuar Zain, Sammi Yusof, Samba Sunda, Akhill Hayy, Samuel Dass & Prakash, Jerry Kamit & Friends, Dayang NUrfaizah dan Stacy.

Bintang Asli Remaja
Direalisasikan bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 18 Julai.

Siri Teater Tradisional Malaysia
Diadakan di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur dari 3 hingga 26 Julai ini, merangkumi mek mulung, wayang kulit, bangsawan, mak yung, tari drama, opera Cina dan klasik India.

Tari Malaysia
Diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari 25 hingga 29 Julai ini. Menampilkan enam kumpulan tari terbaik bertanding di peringkat kebangsaan. Komponen Tari Malaysia ini merangkumi persembahan, pertandingan, bengkel, seminar dan showcase.

Permainan tradisi
Berlangsung di Kuala Lumpur dari 6 hingga 9 Ogos ini mengetengahkan permainan tradisional Malaysia seperti gasing, congkak dan wau.

Persidangan Industri Kreatif Seni Budaya
Mengupas isu utama mengenai produk seni, pemasaran dan pengkomersialan dengan pembentangan kertas kerja daripada tokoh utama dalam dan luar negara.

Kahwin! Malaysian Style
Penyediaan pakej perkahwinan memaparkan demonstrasi kepelbagaian adat istiadat perkahwinan ala Malaysia, pakej persandingan dan bulan madu serta memperkenalkan busana dan perhiasan perkahwinan.

Syarahan dan pelancaran buku Tun Sri Lanang

Mak yung Antarabangsa
Persembahan oleh kumpulan perantisan mak yung JKKN iaitu Mak Yung Kijang Emas yang berpusat di Kelantan. Dua siri pementasan dianjurkan iaitu di Singapura pada 2 hingga 6 Jun, manakala Brunei dari 15 hingga 20 Ogos.

Sayembara Puisi dan Syair Merdeka

Berlangsung di Auditorium Tunku Abdul Rahman di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang dari 14 hingga 16 Ogos.

INFO: Tujuh produk kreatif JKKNProgram Bimbingan Seni dan Budaya
Program ini adalah sebagai usaha meningkatkan kemahiran dan keilmuan dalam seni budaya kepada golongan masyarakat dan pelajar. Ia dipertingkatkan menerusi aktiviti kelab seperti Kelab Tunas Budaya, Kelab Giat Budaya dan Kelab Siswa Budaya.

Kumpulan Kesenian Jabatan
Ditubuhkan di seluruh negara ini mempunyai 191 Artis Budaya yang bekerja separuh masa.

Koir Kebangsaan
Dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Koir Kebangsaan untuk remaja berusia 17 tahun ke atas dan Koir Remaja Kebangsaan berusia 6 hingga 16 tahun.

Penyerlahan Seni Budaya ke Luar Negara
Akan diadakan di Penyerlahan Seni Budaya di Edinburgh Arts Festival dari 15 hingga 20 Ogos, Penyerlahan Koreografer dan penari ke United Kingdom serta teater kanak-kanak, Ali Baba juga di United Kingdom.

Penerbitan JKKN
Bertujuan meningkatkan pengetahuan dan pemahaman masyarakat mengenai seni dan budaya menerusi cakera padat, video cakera padat dan buku.

Senam Seni Malaysia
Senaman yang menumpukan gerakan berasaskan elemen tarian seperti joget, inang, zapin serta seni bela diri masyarakat Malaysia.

Pusat Kesenian Setempat
Empat pusat seni setempat ditubuhkan sekitar Kuala Lumpur iaitu Semarak Laman Santai, Semarak Bangsawan, Semarak Pasar Seni dan Semarak Seni Aniversari.

Berita Harian

Novel Tris + CD Dayang Nurfaizah

23 Mar

Oleh Mohd Rashid Yusuf
am@hmetro.com.my

Rap
NOVEL Luka, karya sulung penulis baru mencipta sejarahnya tersendiri apabila ia disertakan dengan cakera padat (CD), dilancarkan di Belum Rainforest Resort di Pulau Banding, Perak, baru-baru ini.

Novel cinta berkenaan, yang sesuai untuk bacaan golongan berusia antara 14 dan 25 tahun, dihasilkan Tris Zainol Abidin, seorang graduan undang-undang dari London School of Economics and Political Science (LSE).

Lebih menarik, penyanyi Dayang Nurfaizah menyampaikan dua lagu latar ketika pelancaran novel berkenaan.

Hadir sama ketika pelancaran itu ialah Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Mustpha Kamal Abu Bakar dan Pengurus Besar kumpulan itu, Mazrita Mazlan.

Ketika ucaptama majlis dihadiri lebih 30 wartawan daripada pelbagai media dan majalah itu, Mazrita berkata, pelancaran Luka dan pemilihan Dayang Nurfaizah sebagai penyanyi latar novel

berkenaan bertepatan serta amat strategik dengan objektif Emkay membangunkan Pulau Banding.

“Dayang Nurfaizah adalah duta pemuliharaan dan pengekalan alam semula jadi bagi Pulau Banding Foundation dan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah.

“Pemilihannya serta kerjasama strategik novel Luka dengan Kumpulan Emkay, amat bertepatan sekali,” katanya.

Mazrita berkata, usaha sama antara novel Luka, Dayang Nurfaizah dan Kumpulan Emkay menjadi satu alternatif baru untuk memberi kesedaran kepada generasi muda supaya lebih mengenali serta prihatin terhadap alam semula jadi.

Katanya, novel Luka juga adalah satu platform baru bagi menarik dan memupuk kembali minat membaca di kalangan golongan muda.

 

 

Beliau berkata, golongan berkenaan akan terhibur dengan novel itu yang mempunyai kelebihannya tersendiri dengan mengarahkan pandangan mereka kepada sesuatu yang positif dan konstruktif berbanding dengan aktiviti kurang produktif.

Mazrita berkata, Kumpulan Emkay turut menaja pembikinan dua video klip bagi lagu Luka dan Losing Me yang dirakamkan sepenuhnya di kawasan Hutan Belum, Temenggor dan di Belum Rainforest Resort Pulau Banding.

Sementara itu, Tris berkata, dia juga pernah menghasilkan lirik lagu berjudul Kata nyanyian Hazami yang muncul sebagai Lagu Pop Terbaik pada Anugerah Juara Lagi 2006.

“Mengenai cerita Luka, saya mendapat ilham menulisnya pada hari jadi saya yang jatuh pada Ramadan enam tahun lalu,” katanya.

Tris berkata, penerbitan Luka turut memuatkan dua lagu dalam cakera padat berjudul Luka (versi bahasa Melayu) dan Losing Me (versi bahasa Inggeris) nyanyian Dayang Nurfaizah.

Katanya, muzik lagu latar itu diharap meninggalkan kesan kepada pendengar dan diharap lagu yang

dimuatkan akan dapat menyentuh perasaan pembaca supaya memberikan penghayatan yang lebih mendalam lagi terhadap novel itu.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Duet 2 R

9 Mar

Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF
izyanliyana.mdarif@kosmo.com.my

Walaupun label Rizman Ruzaini masih baru dalam industri fesyen tempatan tetapi ia sudah mampu memikat hati.


TAMPIL dengan rekaan yang ringkas tetapi penuh ceria dan menggoda.

‘RAMAI yang berpendapat label Rizman Ruzaini Creation, diasaskan oleh seorang pereka, sedangkan pada hakikatnya ia diusahakan oleh kami berdua,” jelas Rizman Nordin, 25, mengenai label Rizman Ruzaini Creations yang dijalankan bersama rakan karibnya, Wan Mohd. Ruzaini Wan Jamil, 25.

Jika pereka lain lebih selesa menguruskan rumah fesyen mereka sendiri, tetapi tidak bagi kedua-dua graduan Ijazah Rekaan Fesyen, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam ini. Mereka saling memerlukan dari segi lakaran, idea dan pengurusan butik.

Jelas Rizman yang dilahirkan di Ayer Hitam, Pulau Pinang, pada mulanya, mereka bergerak secara individu.


BERMULA dari bawah, kini mereka semakin menempa nama mencipta rekaan untuk selebriti popular.

Sehinggalah niat untuk bekerjasama timbul ketika terlibat dalam sesi penggambaran anjuran sebuah majalah.

“Pada waktu itu, saya menyolek wajah penyanyi Pija (Mentor) manakala Ruzaini bertindak sebagai pereka busana. Selesai saja, sesi penggambaran tersebut, Pija bertanyakan kepada Ruzaini, sama ada beliau mempunyai baju yang sesuai dengan tema majlis yang ingin dihadirinya.

“Malangnya, Ruzaini tidak mempunyai busana berkenaan sebaliknya saya yang ada. Bermula dari saat itu, kami berbincang untuk menubuhkan label Rizman Ruzaini Creations,” tambah Rizman yang turut memberitahu bahawa tidak pernah mengalami sebarang kesukaran bekerjasama dengan Ruzaini.

Beliau mengakui, saling memahami, serasi dan memiliki minat serta hasil lakaran fesyen yang sama. Label Rizman Ruzaini Creations yang diasaskan sekitar tahun 2005, menampilkan rekaan yang ringkas dan klasik tetapi mempunyai jalinan gaya yang stailo.

Terang Rizman, pada pengamatannya terdapat dua cara untuk memperkenalkan diri kepada orang ramai.


RIZMAN (kiri) dan Ruzaini dua sahabat karib yang mengasaskan label fesyen Rizman Ruzaini Creations.

Kaedah pertama seseorang pereka itu perlu aktif menyertai pertandingan rekaan fesyen, sekali gus meraih kemenangan.

“Kaedah yang kedua pula, kami (pereka) perlu menaja busana kepada golongan selebriti yang ingin menghadiri majlis formal atau majlis anugerah.

“Tidak sia-sia kami mengamalkan kaedah kedua. Selepas bekerjasama dengan beberapa orang selebriti seperti Yasmin Hani, Dayang Nurfaizah dan Betty Benafe, lama-kelamaan kami mendapat kepercayaan dan tempahan daripada artis yang sudah mempunyai nama besar dalam bidang seni (Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira dan Ning Baizura),” ujar Rizman ketika ditemui Stailo.

Kosmo

Tak Niat Tampil Seksi

6 Feb

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap

JIKA sebut saja nama Dayang Nurfaizah Awang Dowty, pasti penampilannya mencuri perhatian ramai. Ini kerana ada beranggapan gadis hitam manis dari Sarawak itu berimej seksi dan tidak kurang yang menganggapnya ikon fesyen masa kini.

Namun, apa saja yang dikatakan mengenai dirinya walaupun perkara negatif, Dayang tidak pernah melenting atau cepat melatah. Baginya, itu hak masing-masing dan pada Dayang kebanyakan pakaian ‘seksi’ digayakan kerana keselesaan.

Penyanyi yang mula popular dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta berkata, dia tidak kisah apa tanggapan orang mengenai fesyen pilihannya. Baginya, asalkan sesuai dan selesa sudah. Seksi atau tidak, itu penilaian masing-masing.

“Setakat ini, saya tidak pernah berasakan pakaian dipakai seksi. Pada saya, apa yang digayakan biasanya mengikut tema majlis dihadiri. Jadi, apa saja orang hendak cakap mengenai saya seksi, terpulang. Apa yang pasti, ia tidak begitu.

“Saya tidak berniat untuk tampil seksi. Bahkan, bagi saya istilah seksi bukan pada ‘pakaian’ tetapi bagaimana pembawaan imej diri seseorang itu. Dalam soal ini, keluarga saya tidak pernah menegur saya seksi kerana mereka tahu kebenarannya.

“Malah, saya juga bila ada peminat yang menegur diri seksi, lebih senang membiarkan. Saya tidak suka memberi penjelasan kerana jika bersuara itu bermakna ada tindak balas. Maksudnya, saya melayan apa yang mereka kata dan ini tidak bagus,” katanya.

Apapun, Dayang berkata, dia pelik kerana kebanyakan yang memberi komen dirinya seksi datangnya daripada golongan muda sebaliknya peminat yang berusia di kalangan ‘makcik-makcik’ pula memuji penampilannya sangat menarik.

Katanya, atas sebab itu biarlah apa orang hendak mengklasifikasikan fesyen pilihannya. Menurut Dayang, dia malas hendak melayan kerana lebih senang memberi fokus pada karier. Paling penting, bidang nyanyian diceburi masih meraih sokongan.

Ditanya mengenai ke mana dia ‘menghilang’ selama ini, gadis berusia 28 tahun itu berkata seperti biasa, tetap aktif menyanyi. Katanya, jadual nyanyian sangat padat dengan memenuhi persembahan majlis makan malam cuma, sesi fotografi saja tiada.

“Bukan saya ‘melarikan’ diri daripada media tetapi saya lebih suka menghadiri sesi fotografi bersama akhbar atau majalah apabila ada cerita baru. Jadi, sekarang ini saya muncul kerana ada perkembangan pada karier untuk dikongsi bersama peminat.

“Bagi 2009 ini, jadual kerja saya dari Februari hingga April sudah penuh. Jika tiada aral, ‘live’ album yang dirakam ketika sambutan ulang tahun kelahiran di Planet Hollywood, Kuala Lumpur, tahun lalu akan berada di pasaran pertengahan Februari ini.

“Rakaman dibuat dalam video cakera padat (VCD) itu sangat istimewa kerana ia menampilkan lagu popular saya daripada album pertama hingga keenam. Selain itu, saya juga akan menyanyikan lagu untuk novel baru, Luka tulisan Tris Zainal Abidin,” katanya.

Sudah 10 tahun menjadi anak seni, Dayang berkata apa yang menarik minatnya menyanyi lagu Luka dan Losing Me ciptaan khas Tris itu ialah Luka satu-satunya novel pertama di Malaysia mempunyai album runut bunyi. Katanya, ia sungguh hebat.

“Watak utama novel itu mengenai diri saya. Tris menjadikan saya sumber inspirasinya dan ia sesuatu yang membuat diri saya amat terharu. Selain itu, Tris juga ada menyumbangkan lagu baru, Pulang untuk album VCD baru saya nanti.

“Saya dengan Tris sudah selalu bekerjasama. Oleh itu, ini adalah penghargaannya pada saya. Bukan itu saja, secara tidak langsung saya membantu mengembalikan minat membaca di kalangan muda yang dilihat kini semakin berkurangan terutama di kalangan anak muda Melayu.

“Jadi, dengan adanya album runut bunyi dihasilkan secara tidak langsung sambil membaca mereka (peminat novel) boleh mendengar lagu. Baru lebih seronok kerana hiburan dan manusia sangat sinonim,” katanya.

Kata Dayang lagi, mengikut perancangan, novel luka itu akan dilancarkan 12 Mac ini. Namun, sebelum itu dia lebih dulu perlu merakamkan dua video klip lagu di Rainforest Resort, Pulau Banding, Hutan Belum, Perak.

Akui Dayang, lokasinya cukup menarik kerana sudah pergi meninjau lokasi itu baru-baru ini.

“Tidak pernah saya sangka, negara ini memiliki hutan yang indah walaupun berasal dari Sarawak. Sepanjang berada di Hutan Belum itu, saya sangat dekat dengan alam semula jadi.

“Pemandangannya cukup indah dan antara yang menarik perhatian di hutan itu sebenarnya mempunyai 10 spesis burung enggang yang sering dikaitkan dengan Sarawak. Saya juga berpeluang melihat bunga Rafflesia kembang dan melawat perkampungan orang asli.

“Namun, hendak memasuki Hutan Belum bukannya mudah. Saya terpaksa melalui beberapa beberapa post tentera untuk pemeriksaan. Selain itu, apa yang lebih memeranjatkan bila mana ada rumah orang asli mempunyai Astro dan kumpulan muzik sendiri.

Katanya dengan pengalaman itu diharapkan dapat memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia bahawa negara kita memiliki alam semula jadi yang indah. Katanya, baru dia sedar kenapa orang luar negara suka datang membuat kajian di sini.

Selain itu, dalam diam Dayang juga dipilih salah seorang daripada 20 artis seluruh dunia terbabit menghasilkan album untuk syarikat antarabangsa, Global One Music yang akan dilancarkan April depan. Pemilihan Dayang atas cadangan penghibur terkenal Indonesia, Ruth Sahanaya.

“Pada mulanya saya ditawarkan menyanyi dua lagu untuk album ini tetapi disebabkan pihak terbabit suka dengan vokal ditampilkan, mereka memberi tiga lagu lagi. Kesemua lagu diberi dinyanyikan dalam bahasa Melayu mengikut negara diwakili.

“Dalam soal ini, saya bersyukur dengan rezeki yang Tuhan beri. Bahkan, sudah menjadi cara saya suka membuat perancangan perlahan tetapi mampu bertahan. Saya tidak mahu tergesa-gesa membuat pengumuman sebelum ada pengesahan,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Dayang lagi, bagi peminatnya yang mahu mengetahui secara lanjut mengenai projek album bersama Global One Music berkenaan, boleh melayari laman web, http://www.globalonemusic.com. Katanya dia gembira dengan apa diperoleh.

PROFIL:

NAMA: Dayang Nurfaizah Awang Dowty

PANGGILAN KOMERSIAL: Dayang Nurfaizah

TARIKH LAHIR: 20 Julai 1981

USIA: 28 tahun

ASAL: Kuching, Sarawak

KARIER: Penyanyi

GENRE LAGU: Pop, R&B

ALBUM: Dayang Nurfaizah (1999), Seandainya Masih Ada Cinta (2001), Di Sini Bermula (2002), Hembusan Asmara (2002), The Best Of Dayang Nurfaizah (2003), Dayang Sayang Kamu (2004), Kasih (2006) & Dayang 2007 (2007)

ANTARA LAGU POPULAR: Seandainya Masih Ada Cinta, Dayang Sayang Kamu, Di Sini Bermula, Erti Hidup, Hakikat Cinta, Ikatan Kita, Jangan Datang Lagi, Kembalilah Sayang & Pintaku Yang Terakhir

ANTARA PENCAPAIAN: Juara Bintang Remaja Asli 1996, Juara Golden Teen Search 1997, Juara Bintang Remaja 1997, Pemenang Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2001 (Seandainya Masih Ada Cinta) & Juara Bintang Penghibur Hiburan Minggu Ini (HMI) 2001.

Harian Metro