Archive | Dia Fadila RSS feed for this section

'Didikan' SPM Mantapkan 3 Pengacara

28 Apr

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
PENYAMPAI menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan program dikendalikan berjaya. Bagi tiga penyampai program Selamat Pagi Malaysia (SPM), Nor Iesyatirradiah Sanny Toh atau Iesya, Edlynna Hanie Abu Hamid (Hanie) dan Hisham Salleh, mereka berpendapat tugas mengacara memberi cabaran mendalam apatah lagi diberi kepercayaan mengendalikan program secara langsung.

Berbanding dua pengacara senior, Hisham menganggap dia bertuah kerana lebih setahun berkhidmat bersama RTM sudah mendapat peluang keemasan menemu bual Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara eksklusif menerusi program Nota Serah Tugas Perdana Menteri.

Katanya, kesempatan itu dimanfaat sebaik mungkin dan menjadi antara pengalaman berharga yang sukar dilupakan.

“Saya mendapat peluang mengendalikan dua program khas bersama Perdana Menteri baru termasuk program dokumentari Eksklusif Bersama Perdana Menteri. Ketika mula ditawarkan peluang ini, saya juga terfikir sama ada orang baru seperti saya layak mengambil cabaran besar ini.

“Gemuruh tetap ada, tetapi saya menganggap ini cabaran yang perlu saya pikul. Seperti yang kita ketahui pelantikan Perdana Menteri baru ini adalah sejarah pada negara dan saya juga melihat tanggungjawab kali ini juga menjadi sejarah kepada diri sendiri.

“Mengenai kedua-dua program khas itu, saya bersyukur kerana segalanya berjalan lancar. Malah, Perdana Menteri juga memberi kerjasama yang baik dan program itu berjaya disempurnakan.

“Sebelum menyertai SPM, saya pernah menimba pengalaman berlakon. Melalui agensi bakat yang saya sertai, RTM kemudian panggil saya hadiri uji bakat sebagai penyampai. Kini, saya bertanggungjawab mengendalikan program SPM dan Biz Malaysia. Terdahulu, saya pernah mengacara program Isu@1, Bicara Siswa dan Dari Parlimen.

“Pada saya, pengalaman menjadi pengacara adalah suatu yang sangat bernilai kerana bukan semua pengacara mendapat peluang seperti yang saya peroleh.

“Dalam menimba lebih banyak pengalaman baru, saya bersikap terbuka, bersedia menerima apa jua arahan daripada pihak atasan dan memberikan hasil kerja yang terbaik,” katanya.

Hisham, 28, berasal dari Miri, Sarawak turut menilai tanggungjawab mengacara sebagai penghormatan kepada diri. Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ini mula menunjukkan minat mengacara sejak peringkat sekolah menengah hingga universiti.

 

 

Katanya, beza pengalaman sebelum ini, dia tidak mengacara depan kamera, tetapi kali ini makin mendalami bidang pengacaraan secara profesional.

Pasangan penyampai Hisham, Hanie yang bertugas bersama pada Rabu dengan tema Seni Dan Budaya, turut berkongsi pengalaman menarik apabila mula berkecimpung dalam bidang pengacaraan sejak usia 16 tahun.

Katanya, selepas menyertai Pertandingan Bintang Gala 2 bersama penyanyi Nur Fatimah, Dia Fadila dan Azharina Azhar, dia mendapat peluang mengacara program kanak-kanak, Bintang Kecil pada 1999.

Di sebalik pengalaman mengacara, Hanie, 27, juga mempunyai bakat menyanyi yang diwarisi daripada ibunya, Datuk Yusni Hamid. Selain berbakat mengacara dan menyanyi, dia juga pernah berlakon dalam beberapa drama TV seperti Mahligai Gading, Gendang Kencana dan Spanar Jaya.

Antara tiga bidang seni yang diceburi, Hanie mengatakan mahu seimbang dan bergerak seiring.

Katanya, pengalaman mengacara SPM lebih serius kerana banyak memfokuskan isu semasa.

“Dulu, mengacara lebih santai hinggakan saya terpaksa ambil masa setahun untuk sesuaikan diri. Selain SPM, saya juga mengacara program Fitrah Kasih.

“Pada kesempatan masa lapang, saya turut mendapat peluang mengajar aspek praktikal mengenai penampilan depan kamera terhadap beberapa anggota kerajaan. Hingga kini, saya masih menyanyi, tetapi fokus utama tetap pada pengacaraan,” katanya.

Bagi Iesya, 26, pengalaman di SPM sejak 2004 banyak mengajarnya lebih berani di depan kamera dan mempertingkat kemahiran diri. Seperti Hanie, dia mengakui bertuah kerana SPM membantu promosi dirinya sebagai penyanyi.

Bakal tampil dengan single baru, Semanis Janji pada penghujung bulan ini, dia turut mengendalikan program pelancongan, Hujung Minggu Malaysia (HMM).

“Untuk bahagikan masa antara dua kerjaya ini bukan susah kerana saya hanya mengambil peluang membuat persembahan pada hujung minggu. Berbanding SPM yang menjemput tetamu di studio, saya berpeluang melancong ke destinasi menarik menerusi HMM.

“Kedua-duanya memberi keseronokan kepada saya dalam menimba pengalaman mengacara. Bersama SPM, sebenarnya saya gembira kerana program itu banyak membantu mempromosikan saya hingga dikenali di Singapura.

“Menjelang Hari Ibu bulan depan, saya sudah mendapat tawaran untuk persembahan dan akan terbabit dengan program Sensasi TV di negara itu.

“Baru-baru ini, saya juga mendapat empat tawaran berlakon, tetapi terpaksa ditolak kerana jadualnya bertindan dengan masa mengacara. Jika ada kesempatan, saya masih berminat untuk berlakon, tetapi buat masa ini, komitmen saya tertumpu pada mengacara dan nyanyian,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Advertisements

Setia Dengan Ipod Nano

22 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

Sama seperti tajuk lagu popularnya Aku Masih Setia, Dia Fadila tetap setia bersama ipod Nano merah jambu yang dibelinya tiga tahun lalu.


iPOD Nano berwarna merah jambu menjadi teman setia Dia apabila kebosanan.

TUGAS sebagai pensyarah muzik di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara) dan penyanyi popular memerlukan Dia Fadila banyak berkomunikasi dengan menggunakan telefon bimbit pada satu-satu masa.

Bukan sahaja berhubung dengan pelajar dan pensyarah lain, sebaliknya wanita berusia 25 tahun itu juga akan menggunakan alat telekomunikasi untuk memudahkan perjalanan kerjaya seninya sebagai artis.

Itu hakikat yang tidak mampu disangkal oleh Dia sendiri atau nama sebenarnya Nur Nadia Fadila Abu Bakar. Bagi Dia, alat telekomunikasi seperti telefon bimbit memainkan peranan penting dalam kehidupannya yang sentiasa dilingkari kesibukan kerja.

Pelontar suara untuk lagu Andai dan Aku Masih Setia itu berkata, dia cukup mementingkan penggunaan telefon bimbit. Jika sehari alat komunikasi itu tidak berada di sisinya, aktiviti seharian seperti tidak lengkap.

“Telefon bimbit menjadi perantara untuk saya bercakap perkara rasmi dengan pelajar dan pensyarah semasa berada di Aswara.

“Kalau ada pelajar tidak memahami pelajaran yang saya ajar dalam kelas, mereka boleh terus menghubungi saya untuk bertanyakan soalan.

“Sama halnya berkomunikasi dengan tenaga pengajar di Aswara. Lantaran itu, bagi saya telefon bimbit tidak kira yang mahal atau pun yang murah, ia sangat penting dalam komunikasi hari ini,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi yang diadakan di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kerana kepentingan sebagai gajet perhubungan dan memudahkan aktiviti harianlah, Dia tidak teragak-agak untuk mempunyai dua buah telefon bersamanya pada setiap masa.

Bukan hendak berlagak, sebaliknya Dia mengakui menggunakan dua buah telefon bimbit lebih menyenangkan kerjanya. Dua gajet canggih itu adalah daripada jenama Motorola.

“Sebenarnya telefon bimbit ini tidak dibeli sendiri oleh saya, tetapi merupakan hadiah semasa saya memenangi pertandingan di Festival Melodi Emas Asean yang berlangsung di Vietnam pada tahun 2008.


TIGA gajet yang sentiasa dibawa di dalam beg tangan Dia Fadila.

“Yang seronoknya, ia nampak eksklusif kerana saya jarang lihat ia digunakan oleh orang lain,” akui Dia sambil tersenyum.

iPod elak bosan

Selain telefon bimbit, gajet lain yang perlu ada dalam tas tangan Dia adalah iPod Nano miliknya yang berwarna merah jambu.

Banyak kepentingan iPod kalau hendak diikutkan, ungkap Dia, apabila perihal gajet canggih yang berharga RM900 itu dibangkitkan.

Wanita peramah dan rendah diri itu berkata, iPod yang dibelinya sejak tiga tahun lalu di Damansara menjadi gajet terpenting untuk mengisi rasa kebosanannya.

“iPod sangat penting untuk saya mendengar lagu apabila berasa boring. Ia boleh digunakan pada bila-bila masa dan tidak kira tempat sekalipun.

“Gajet ini begitu serasi dengan diri saya. Sebelum satu-satu persembahan bermula, biasanya saya akan duduk diam di belakang pentas untuk mengkaji dan memahami lirik lagu yang ingin dinyanyikan.

“Apabila sudah menjiwai lagu-lagu itu, barulah saya berasa seronok dan teruja menyanyi di pentas,” ungkapnya yang belum bercadang membeli model iPod terbaru di pasaran kerana adiknya sudah memiliki sebuah iPod Touch.

Kosmo

'Populariti Nombor Dua'

22 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

NAMANYA mungkin tidak sepopular Siti Sarah, Misha Omar atau Azharina Azhar, namun penyanyi Dia Fadila tetap bersyukur dengan pencapaiannya sepanjang 10 tahun bergelar anak seni.

Malah, Dia atau nama sebenarnya, Nur Nadia Fadila Abu Bakar, Artis Baru Wanita Terbaik, Anugerah Planet Muzik (APM) 2005 ini sudah mampu tersenyum kerana mempunyai hala tuju sebagai anak seni dan pada masa sama, bakat seninya juga mendapat pengiktirafan di luar negara.

“Ada orang bertanya kenapa bakat saya tidak diiktiraf di negara sendiri? Jawapan saya mudah saja, anugerah dan pengiktirafan di sini dinilai dari segi populariti dan bukannya bakat seseorang artis.

“Apapun, saya tidak kisah orang kata nama saya tidak popular seperti artis muda lain. Terus terang, saya menceburi bidang seni untuk menonjolkan bakat sedia ada dan melihat bakat saya sebagai satu bisnes untuk meningkatkan pendapatan sekali gus menyara keluarga.

“Soal populariti pula jatuh nombor dua kerana saya tidak mahu nama saja popular, tapi hakikatnya ‘poket kosong’.

“Jika ramai artis lain mengadu undangan persembahan semakin berkurangan, saya pula sebaliknya. Dalam kemelut ekonomi global, undangan persembahan tidak pernah putus diterima termasuk di luar negara. Saya juga ada kerja dan terbabit dengan pelbagai projek setiap hujung minggu.

“Selain itu, saya sudah tiga kali menjayakan persembahan untuk stesen TV di Vietnam. Terbaru, saya akan jayakan persembahan di sana sekali lagi hujung bulan ini,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Dia yang juga pemenang tempat kedua, Bintang Gala 2 1999 (Golden Teen Search) anjuran RTM berpeluang berkongsi ilmunya dengan peserta Bintang RTM 2009.

“Saya diundang menjadi penasihat vokal Pertandingan Bintang RTM 2009. Mungkin, ilmu saya ini tidak sebanyak mana, tapi berusaha memberikan yang terbaik kepada semua peserta yang juga bakat baru yang ingin mencari tapak di persada seni tanah air,” katanya. Lebih memberangsangkan, pada usia 25 tahun, Dia bergelar pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sejak September lalu.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik (Persembahan), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini juga mengajar vokal dan diction lyric (sebutan lirik) dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Jerman, Perancis dan Itali di Aswara.

 

 

“Saya memang bercita-cita menjadi pensyarah vokal sejak kecil dan impian itu akhirnya tercapai jua.

Sejak awal pembabitan dalam bidang seni saya memang sudah sediakan pelan B kerana saya sedar, industri hiburan kita kecil dan tidak seperti di Hollywood.

“Pada masa sama, bidang nyanyian juga ada pasang surutnya. Justeru, saya yakin keputusan untuk menjadi pensyarah dan menyambung pengajian dalam bidang muzik ini tepat sebagai jaminan masa depan,” katanya.

Sekalipun sudah bergelar pensyarah sepenuh masa di Aswara, cinta Dia pada kerjaya nyanyian tidak pernah surut.

“Saya masih aktif menyanyi cuma mungkin orang tidak tahu kerana tidak ada publisiti dan nama saya juga tidak dikaitkan dengan kontroversi.

“Setakat ini, kerjaya nyanyian tidak terjejas kerana saya hanya mengajar dari jam 7.30 pagi hingga jam 5.30 petang setiap hari. Pada waktu malam dan hujung minggu, saya fokus pada kerjaya nyanyian pula,” katanya.

Bagaimanapun, Dia mengakui pada mulanya dia berasa malu dan janggal berhadapan dengan pelajar yang sebaya dengan usianya dalam kelas.

“Ada juga pelajar yang tidak boleh terima kerana usia saya sebaya mereka dan pada masa sama bergelar artis pula.

“Saya juga jadi tumpuan dalam kelas dan ada peminat yang ingin bergambar dan mengambil tanda tangan termasuk memegang rambut saya.

“Namun, saya berusaha meyakinkan mereka dengan kredibiliti saya dan menjadi diri sendiri. Lama kelamaan, pelajar boleh terima dan menghormati saya sebagai pensyarah mereka,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Dia berkata, dia ingin menempa nama seperti idolanya, penyanyi, pengkritik dan pensyarah vokal, Syafinaz Selamat.

“Saya berazam untuk berjaya sepertinya dalam kerjaya yang diceburi. Bagi melengkapkan ilmu sedia ada, saya juga akan menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang muzik pada Julai nanti. Insya-Allah, selepas itu, saya bercadang menyambung pengajian peringkat ijazah kedoktoran pula nanti,” katanya.

Mengenai album pula, penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music ini mempertaruhkan bingkisan album kompilasi terbarunya, Terbaik Dariku yang sudah menjengah pasaran awal tahun ini.

Album ini menampilkan 10 lagu yang juga dua lagu baru iaitu Satu Ruang dan Jat Da Da Da.

Satu Ruang adalah lagu yang dipetik menerusi filem Selamat Pagi Cinta yang dilakonkan Sharifah Amani dan Nur Fazura. Manakala Jat Da Da Da adalah lagu baru yang dicipta komposer dari Thailand.

Lagu lain ialah rangkaian lagu lagu popularnya antaranya Aku Masih Setia, Andai, Na Na Na…. Kataku, Tangisan Marhaenis yang juga lagu duet dengan Hattan, 14 Februari, Tiada Lagi Cinta, Tentang Cinta Ini (duet bersama Andy Flop Poppy), Tunggu Lalu, Takkan Terista dan Tiga Tahun. Ditanya mengenai teman istimewa pula, Dia mengakui hatinya sudah berpunya.

“Teman lelaki saya hanya orang biasa dan kami sudah berkawan selama dua tahun. Insya-Allah, jika ada jodoh, kami akan berkahwin tahun depan.

“Kalau nak diikutkan keluarga terutama ibu ingin melihat saya berumah tangga secepat mungkin, tapi banyak perkara yang perlu kami selesaikan terlebih dulu. Teman istimewa juga banyak menyokong saya dari belakang sejak dulu lagi,” katanya.

Profil

Nama Sebenar: Nur Nadia Fadila Abu Bakar

Tarikh Lahir: 23 September 1984

Asal: Selangor

Kerjaya: Penyanyi, pengacara dan pensyarah vokal di Aswara

Status: Bujang

Album: Dia (2004), Na Na Na Kataku (2007) dan kompilasi Dia Fadila Terbaik Dariku

Pengacaraan: Bintang RTM dan Hitz 1.

Akademik: Ijazah Sarjana Muda Muzik (Persembahan), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Pencapaian: Artis Baru Wanita Terbaik di APM 2005, Juara Kategori Pop, Festival Melodi Emas Asean

2008 yang berlangsung di Ho Chin Minh, Vietnam pada 16 Oktober 2008.

Lagu Popular: Aku Masih Setia, Andai, Tangisan Marhaenis (duet bersamaHattan).

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Jelajah Terakhir Tetap Gamat

10 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
DENGAN kapasiti boleh memuatkan 5,000 penonton, nyata mereka yang bertuah dan terpilih saja berpeluang menyaksikan acara kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) yang akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, 12 April ini.

Justeru, dengan kewujudan siri jelajah ABPBH yang mendekati peminat dan pembaca setia akhbar Berita Harian di setiap pelosok negeri, memberi ruang serta peluang kepada mereka yang berada luar Kuala Lumpur untuk bertemu, beramah mesra dan berhibur bersama artis kesayangan secara dekat.

Petang Ahad lalu, menjadi saksi betapa program ini begitu dinanti-nantikan ribuan peminat yang mula membanjiri pusat beli-belah Klang Parade, seawal jam 1 tengah hari walaupun majlis hanya dimulakan sekitar 2.30 petang.

Walhal, dalam keadaan hujan lebat kebelakangan ini, barangkali penonton mempunyai alasan untuk menikmati hujung minggu bersama keluarga di rumah.

Namun, itu tidak berlaku kerana setiap kali siri jelajah ABPBH dianjurkan peminat sanggup mengharungi apa juga rintangan semata-mata mahu merebut peluang yang diadakan setahun sekali ini.

Masih segar dalam ingatan ketika mengikuti siri jelajah ABPBH2006 dua tahun lalu. Kebanyakan pekan di Johor dinaiki air akibat banjir.

Namun, apa yang mengejutkan ketika program itu diadakan di Pasir Gudang dan Johor Bahru, jumlah penonton yang membanjiri lokasi penganjuran tidak kurang daripada 6,000 penonton.

Perkara sama berlaku di Klang, walaupun keadaan cuaca tidaklah seteruk Johor walaupun hanya hujan lebat, penonton yang datang bukan saja terdiri daripada remaja yang menjadi kelompok utama penggemar hiburan sebaliknya acara ini turut disertai kanak-kanak dan warga emas.

Mereka hadir dengan satu matlamat, enggan melepaskan peluang menyaksikan acara setahun sekali menghimpunkan selebriti popular yang juga calon akhir untuk bertanding pada malam kemuncak nanti.

Apatah lagi, Klang menjadi destinasi terakhir promosi jelajah selepas Sungai Petani, Kedah, Batu Pahat, , Pasir Gudang, Johor, Kuantan dan Kuala Terengganu yang dilancarkan sejak sebulan lalu.

 

 

Program yang bermula sekitar jam 2 petang hingga 7 malam itu menyediakan pelbagai acara hiburan antaranya persembahan nyanyian, kuiz dan drama spontan yang menghiburkan sekali gus mencapai matlamatnya untuk mendekatkan peminat dengan artis pujaan mereka.

Pelakon berwajah comel yang juga calon akhir Pelakon Filem Wanita Popular yang baru melancarkan album singlenya, Liyana Jasmay turut mengambil kesempatan menyampaikan lagu Aku Tak Percaya Cinta.

Sebelum itu, juara Akademi Fantasia musim enam (AF6), Stacy membuat persembahan. Dia membawakan lagu Gagap manakala Ayu membawakan lagu Hanya Di Mercu.

Sebagai pendatang baru, Stacy mampu berbangga dengan kejayaannya menerima dua pencalonan, Artis Baru Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular begitu juga Ayu OIAM yang terpilih sebagai finalis Artis Baru Wanita Popular.

Persembahan diteruskan lagi dengan persembahan, Adam yang tersenarai dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular. Pemuda berasal dari Sabah itu menampilkan persembahan bertenaga melalui lagu Robot dan Benar Benar.

Manakala, pemenang tempat ketiga AF6, Nubhan yang tercalon dalam kategori Artis Baru Popular/Penyanyi Lelaki Popular menghiburkan penonton menerusi lagu Jatuh Cinta (Mata) dan lagu yang melonjakkan namanya, Ada Untukmu.

Acara pentas terus dikuasai seorang lagi calon Penyanyi Wanita Popular, Elyana yang menyampaikan dua lagu Kalis Rindu dan Tak Tercapai Akalmu.

Suasana yang sedia meriah bertambah gamat apabila Mawi naik pentas dengan ‘imej berambut’. Pemenang Anugerah Bintang Paling Popular tiga tahun berturut-turut (2005 hingga 2007) yang sekali lagi berjaya menempatkan diri dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular menyampaikan lagu daripada album barunya, Ya Salam dan Tercipta Untukmu.

Acara yang berlabuh kira-kira jam 6.40 petang itu, diakhiri dengan persembahan Faizal Tahir yang dicalonkan dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular. Pemilik suara jantan ini mengalunkan vokal hebatnya menerusi tiga lagu iaitu Cuba, Sampai Syurga dan Gemuruh yang disertai semua calon akhir ABPBH2008 secara akustik.

Mengikut perancangan, Aizat dan kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) sepatutnya melakukan persembahan. Bagaimanapun, ia terpaksa dibatalkan saat akhir apabila penerbangan mereka dari Tawau, Sabah mengalami kesulitan hingga terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang sebelum kembali semula ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Wajah glamor yang turut memeriahkan penutupan siri jelajah promosi ABPBH2008 ialah Saiful Apek (Pelakon Filem Lelaki Popular/Pelakon Komedi Lelaki Popular), Nurul Alis (Pengacara TV Popular), Noorkhiriah (Pelakon Komedi Wanita Popular) dan Vanidah Imran (Pelakon Filem Wanita Popular)

Tentunya bagi mereka yang pertama kali mengikuti siri jelajah ABPBH 2008 teruja dapat menyertai acara ini.

Contohnya, Kenchana Dewi yang tercalon dalam kategori Artis Komedi Wanita Popular, Aaron Aziz (Pelakon TV Lelaki Popular), Amyza Adnan (Pelakon Komedi Wanita Popular), Ashraf Muslim (Pelakon TV Lelaki Popular) Zizan (Artis Komedi Lelaki Popular), Stacy, Ayu OIAM dan Aiman yang berjaya menempatkan diri untuk dua kategori, Artis Baru Lelaki Popular dan Penyanyi/Artis Nasyid Popular.

Kata Kechana Dewi yang cukup ‘sporting’, selepas pulang daripada mengikuti siri jelajah ABPBH2008 di Sungai Petani, dia dihimpit perasaan rindu dan tidak sabar kembali menjayakan program di destinasi seterusnya.

“Persahabatan yang terjalin antara artis sesama artis, artis dengan peminat dan artis dengan media adalah saat manis yang sukar dilupakan. Saya dapat kawan baru melalui pembabitan dalam siri jelajah ini.

“Wartawan yang dulunya saya geruni kini menjadi sahabat. Paling mengharukan, apabila mendapat tahu rupanya saya juga ada ramai peminat Melayu,” katanya.

Program lima jam itu dikendalikan Along Raja Lawak bergandingan dengan tiga penyampai Hot FM yang juga calon akhir kategori Penyampai Radio Lelaki dan Wanita Popular, Kieran, Sharifah Aleya dan Fara Fauzana yang turut berjaya memboloskan diri dalam kategori Pengacara TV Wanita Popular.

Pujian harus diberikan kepada Aleya kerana walaupun hamil, tidak menghalangnya memeriahkan acara itu sekali gus menghargai peminat yang mengundinya.

Sebelah pagi, sekitar jam 11 pertandingan akhir Bintang Idola Berita Harian (BIBH) diadakan sekitar jam 11 pagi

yang menyaksikan lapan peserta dipilih melalui Zon Utara, Selatan, Timur dan Lembah Klang, berentap untuk meraih gelaran juara keseluruhan.

Kelantangan suara gadis berusia 20 tahun, Nazatul Farahin Mohd Hussin, dari Sungai Petani, Kedah dan mewakili Zon Pantai Timur, membawa tuah apabila muncul juara yang bukan saja menawarkan wang tunai RM2,000 berserta set barang kemas Rafflesia The Pearl Centre.

Bahkan, Nazatul diberi peluang muncul melakukan persembahan pada malam kemuncak ABPBH2008 di Arena Of Stars, Genting Highlands, pada 12 April ini.

Nazatul membawakan lagu Mama Ku Ingin Pulang yang pernah dipopularkan Allahyarhamah Nike Ardilla dan Anggapanmu (Ziana Zain) tidak menyangka dipilih sebagai juara.

“Sewaktu mengikuti uji bakat BIBH di Zon Utara, saya menduduki tempat kedua. Enggan mengalah saya sekali lagi mengikuti uji bakat di Zon Pantai Timur dan muncul juara. Jadi, saya sama sekali tidak menyangka pertandingan akhir ini akan terpilih sebagai juara keseluruhan. Mungkin ini hikmah di sebalik usaha berganda.

“Takut sebenarnya hendak membuat persembahan pada malam kemuncak ABPBH, tapi saya cuba lakukan yang terbaik,” katanya.

Nazatul yang menewaskan lapan peserta menerima saingan sengit daripada Nurul Syazwanie Mohd Basri, 15, yang menduduki tempat kedua. Dia yang mempertaruhkan lagu Hanya Di Mercu (nyanyian Ayu One In A Million) dan Andai (Dia Fadila). Syazwanie membawa pulang wang tunai RM1,000.

Sementara , Farlyana Mohamad, 16, menduduki tempat ketiga yang menawarkan hadiah wang tunai RM500. Semua lapan peserta yang bertanding akan merakamkan album kompilasi yang diterbitkan komposer terkenal, Julfekar yang turut bertindak selaku juri pada pertandingan itu.

Julfekar berkata, Nazatul mempunyai suara yang bagus dan lantang, bagaimanapun penampilan dan personalitinya perlu dipertingkatkan.

“Dia kena mengikuti kelas ketrampilan diri jika mahu menjadi artis kerana suara saja tidak cukup untuk menjadi artis. Namun, juri sebulat suara memilihnya kerana kami mahu menonjolkan bakatnya,” katanya.

Selain Julfekar, persembahan peserta diadili Pengerusi Pengelola ABPBH2008, Hanizam Abdullah; pemain bass Sweet Charity, Rosli Mohalim dan pengarah muzik tersohor, Ramli MS.

Hadiah disampaikan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Mustapa Omar.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Respirasi Muzik: Dia Dendangkan Lagu Ciptaan Komposer Thailand

10 Feb

Rap
Album: Terbaik Dariku
Artis: Dia Fadila

LAMA menghilang kerana tumpuan pada pelajaran dan tugas baru selaku pensyarah vokal di Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA), penyanyi Dia Fadila kembali dengan album kompilasi Terbaik Dariku.

Penyanyi berasal dari Shah Alam, Selangor ini antara penyanyi muda berbakat besar. Malah kemampuannya terbukti apabila memenangi Anugerah Planet Muzik (2005), kategori Artis Baru Terbaik Wanita dan juara kategori Pop Asian Golden Melodies Festival yang berlangsung di Vietnam tahun lalu.

Bagaimanapun menyentuh mengenai pembabitannya sebagai artis rakaman ternyata tuah tidak pernah berpihak kepadanya.

Menilai pembabitannya dalam industri muzik, Dia Fadila banyak mendendangkan lagu yang baik tetapi belum cukup untuk menyerlahkan vokalnya.

Selaku syarikat rakaman tempat Dia bernaung, Warner Music Malaysia turut mencuba pelbagai jalur lagu dimuatkan dalam dua album dihasilkan sebelum ini bagi mencari kesesuaian.

Bagi meneruskan kelangsungan Dia dalam industri muzik, Warner menghimpunkan beberapa lagu dianggap baik untuk dimuatkan dalam Terbaik Dariku dengan dua lagu baru.

Bagaimanapun menerusi album ini Dia mendendangkan lagu ciptaan komposer luar dari Thailand Chetta Yoroteak, Jat Da Da Da yang melodinya lebih bersahaja dan satu lagu balada, Satu Ruang, yang turut dijadikan runut bunyi untuk filem Selamat Pagi Cinta.

Menilai nyanyiannya dalam dua lagu ini mungkin di situlah kekuatan penyanyi yang bakatnya dicungkil daripada program bakat baru di RTM ini, bahawa Dia tidak perlu terlalu mencuba sebaliknya nyanyian bersahaja lebih memberi kelebihan kepadanya untuk menonjolkan.

Antara lagu lain yang turut dimuatkan di dalam album ini termasuklah single dari album pertamanya yang berjaya memperkenalkan nama Dia dalam persada muzik tempatan, Aku Masih Setia.

Lagu duet bersama penyanyi rock Hattan, Tangisan Marhaenis ciptaan M.Nasir memberikan cita rasa berbeza. Tidak ketinggalan turut ditampilkan lagu duetnya dengan penyanyi utama kumpulan Flop Poppy, Andy iaitu Tentang Cinta Ini.

Harian Metro

Aku Masih Setia

4 Feb

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Biarpun agak sibuk sebagai pengajar, Dia Fadila tidak mengetepikan kerjaya nyanyian yang diceburi sejak usia 16 tahun

TUAH dan masa untuk penyanyi, Dia Fadila, 24, yang baru saja melakar jaya Oktober lalu di Festival Melodi Emas Asean 2008 yang berlangsung di Bandaraya Ho Chin Minh, Vietnam untuk terus menyerlah di bumi sendiri belum terbukti lagi. Bukan tidak pernah berusaha dan jauh sekali berputus asa, cuma belum rezeki Dia untuk terus membuktikan keupayaan sebenarnya.

Mula mencambahkan minat menyanyi sejak di usia 16 tahun, khabar indah mendekatinya apabila dapat muncul dengan album sulung berjudul ‘Dia’, tiga tahun selepas itu.

Ketika itu, Dia mula diingati dengan lagu Aku Masih Setia dan seterusnya pada tahun 2004, penyanyi tampil dengan album kedua, Na Na Kataku. Namun, ketika album kedua hendak diterbitkan, kontrak rakamannya bersama Warner Music tamat dan ditambah dengan beberapa masalah lain, album itu bagaikan terus ‘mati’ begitu saja.

Ketika itu, hanya keredaan yang mengiringi perjalanan seni Dia. Demi menebus kesilapan pihak syarikat rakaman naungannya itu, Dia diberi kesempatan terindah untuk terus menyambung kontrak selama setahun lagi bersama Warner dan atas kesungguhan yang dijelmakan, Dia sudah pun mempunyai album ketiga berjudul Terbaik Dariku sejak 13 Januari lalu yang memuatkan 10 buah lagu dan dua daripadanya adalah lagu baru berjudul Satu Ruang dan Jat Da Da Da.

Kini, Dia Fadila sedang rancak mempromosikan lagu single terbarunya berjudul Satu Ruang ciptaan komposer yang juga penyanyi dari seberang, Yunika dan terbaru Jat Da Da Da. Seperti Dia yang mengharap bukan satu tapi lebih banyak ruang untuk terus dikenali, lagu ini juga secara kebetulan hampir menyamai kisah peribadinya.

“Melalui perkenalan atas kawan, Dia yang mengesyorkan syarikat rakaman untuk ambil lagu dari Indonesia. Kebetulan Yunika adalah artis Warner Music Indonesia yang popular pada 1997. Satu Ruang menceritakan mengenai hati seorang kekasih yang tidak ingin dipujuk lagi. Biarpun sudah berpisah, dalam hatinya masih ada ruang untuk cinta lain.

“Dan hanya kebetulan lagu ini menyerupai apa yang dialami Dia sendiri. Sebenarnya lagu ini diilhamkan daripada kisah kawan baik Yunika. Apabila Dia mendengar melodi dan liriknya, tanpa diduga ia seperti terkena dengan batang hidung sendiri. Syukur juga lagu ini turut menjadi lagu tema filem Selamat Pagi Cinta tahun lalu,” kata Dia sambil tersenyum manja sewaktu bersama Hip dalam satu sesi fotografi.

Bagaimanapun baki lapan lagu yang dimuatkan adalah lagu yang dipetik daripada albumnya yang terdahulu. Biarpun tidak dapat muncul dengan sepenuhnya menampilkan lagu baru, Dia Fadila tidak menganggap album ini sebagai kompilasi.

Malahan, Dia akur dengan kehendak pasaran yang tidak menentu dan harus bersyukur masih berpeluang muncul dengan buah tangan baru untuk halwa telinga pendengar muzik dan peminatnya.

“Inisiatif memuatkan semula lagu terdahulu wajar dipuji dan usaha mengetengahkannya semula adalah satu peluang bagi menghargai karya yang tidak diketahui peminat. Dia tak anggap lapan lagu ini sebagai lagu lama cuma ia tidak berpeluang dimainkan di radio mahu pun TV sebelum ini.

“Sayang juga kalau dibiarkan begitu saja dan apa salahnya Dia rakamkan semula untuk berkongsi dengan semua orang,” katanya yang turut melelong pakaian dan kasut di karnival jualan dan lelong amal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 bagi mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza pada 31 Januari lalu.

Mahu lanjut pengajian peringkat di UK

MENGENAI hasratnya untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang persembahan vokal moden dan juga jazz di United Kingdom yang pernah ditulis di ruangan Dengarnya Oleh Normah Becok, Dia Fadila tidak menafikan cerita itu, cuma ia masih dalam peringkat perancangan.

Biarpun sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam tahun lalu, niatnya untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi wajar dipuji.

“Dia masih melihat pendidikan sebagai antara elemen penting untuk sebuah masa depan yang terjamin. Begitu juga dengan dunia nyanyian dan pengacaraan yang amat Dia cintai. Kalau dapat diseimbangkan dua perkara (nyanyian dan seni) ini juga satu perkara yang baik. Ia sebagai jaminan untuk masa depan, tapi ketika ini semuanya masih dalam perbincangan dan perancangan,” katanya.

Sejauh mana kesibukan penyanyi ini melayani permintaan bergelar selebriti, Dia kini harus membahagi masa sebaik mungkin di antara tuntutan kerjanya sebagai penyanyi dan pensyarah. Setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 7.30 pagi ke 4.30 petang, Dia Fadila harus fokus sebagai pensyarah.

Memiliki kerjaya yang menjamin masa depan kini dan ditambah dengan kerjaya nyanyian, Dia kini sudah mampu mengumpul aset antaranya seperti rumah dan kereta. Bahkan, penyanyi ini mengaku jika boleh mahu menamatkan zaman bujang, andai jodoh datang cepat.

“Alhamdulillah, Dia semakin seronok dengan tugas sebagai pensyarah. Sekarang ini, Dia hanya memberi tumpuan kepada kerja pensyarah dan penyanyi kerana tawaran mengacara semakin berkurangan kebelakangan ini. Tak dinafikan memang rindu untuk kembali mengacara. Tapi kalau diberi peluang, nak jadi pengkritik pula. Dia pernah diundang menjadi pengkritik pertandingan Idola Kecil di TV9.

“Kalau boleh, Dia tidak mahu berbicara terlalu mendalam mengenai kisah peribadi. Apa yang boleh dikatakan kehidupan cinta Dia sangat membahagiakan.

“Si dia pun berusia 29 tahun dan hubungan kami terjalin sejak setahun yang lalu. Kami masih dalam peringkat mengenali hati budi dan belum pasti apa yang bakal terjadi di kemudian hari,” ungkap Dia yang masih merahsiakan siapa gerangan jejaka idaman hatinya.

Sepintas Dia Fadila

Beg: Satu kemestian buat dirinya kerana ia sekali gus menonjolkan keperibadian.

Kasut: Meningkatkan keyakinan diri dan apabila menyarungkan kasut tumit tinggi, ia secara automatik membuatkan yakin kepada dirinya.

Nyanyian: Darah daging dan keghairahannya. Sekalipun, tidak bergelar penyanyi, mungkin akan melakukan kerja yang berkaitan.

Pensyarah: Satu tugas mulia seperti seorang guru. Ia tanggungjawab yang berat dan apabila ilmu yang ada dikongsi dengan pelajarnya, ia sangat dirahmati.

Tuah: Setiap orang ada tuah masing-masing. Yang pasti, sebagai manusia biasa kita kena sentiasa berusaha dan bersabar.

Info Dia Fadila

Menerusi pertandingan Festival Melodi Emas Asean 2008, Dia mengungguli Juara Kategori Pop dengan membawakan lagu I’m Telling You yang pernah dipopularkan oleh Jennifer Hudson dalam filem Dream Girls.

Bukan setakat itu saja, Dia turut berjaya mendapat tempat kedua menyanyikan lagu Joget Kenangan Manis dendangan asal Allahyarham Sudirman Haji Arshad bagi kategori lagu Tradisional.

Dia dan kekasih hatinya berkongsi minat melalui medium yang sama iaitu muzik.

Profil

Nur Nadia Fadila Abu Bakar

Usia: 24 tahun

Asal: Selangor

Kerjaya: Penyanyi dan pengacara.

Album: Dia (2004) dan Na Na Na Kataku (2007)

Pengacaraan: Bintang RTM dan Hitz 1.

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Persembahan Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Pencapaian: Artis Baru Wanita Terbaik di APM 2005.

Lagu Popular: Aku Masih Setia, Andai, Tangisan Marhaenis (duet bersama Hattan).

Berita Harian

Dimensi Baru Jazz

2 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

SYAFINAZ mempersembahkan dua ciptaan Jimmy Boyle iaitu Gema Rembulan dan Jauh-Jauh.

RTM buktikan muzik ciptaan tempatan hebat apabila diangkat menerusi A Jazz Tribute To Malaysian Songs

SELAIN untuk mengembalikan kegemilangan jazz Orkestra RTM, persembahan A Jazz Tribute To Malaysian Songs yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, 24 Januari lalu turut membantu mengangkat ciptaan tempatan ke peringkat antarabangsa dengan suntikan dimensi baru untuk genre muzik itu.

Usaha itu sebenarnya bukan sesuatu yang baru buat Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana ia sudah dipelopori sejak penubuhan awal Orkes Radio Malaya di bawah pimpinan Alfonso Soliano pada 1961.

Namun, selepas 48 tahun berlalu serta merentasi pelbagai cabaran dan perubahan, irama itu dihidupkan semula bersama satu harapan untuk membawa ciptaan tempatan ke peringkat sewajarnya.

Ketika stesen televisyen lain mengambil pendekatan popular untuk meraih perhatian khalayak, RTM menongkah arus dengan membawakan persembahan berbeza menerusi A Jazz Tribute To Malaysian Songs.

Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail berkata, usaha itu bukan sekadar memberi peluang kepada pencinta jazz untuk menikmati keindahan ciptaan tempatan sebaliknya turut mendidik pelajar atau pemuzik dan penggubah baru seterusnya memberi inspirasi kepada mereka dalam membina karya sebagai pemuzik profesional.


SAM TRIGGY menampilkan ketangkasannya bermain gitar menerusi lagu Getaran Jiwa.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk merealisasikan usaha ini namun, alhamdulillah, saya berpuas hati walaupun pada awalnya agak bimbang persembahan ini tidak mendapat tempat memandangkan ia dibuat ketika musim perayaan.

“Tidak seperti persembahan yang menonjolkan penyanyi di barisan depan, A Jazz Tribute To Malaysian Songs mengutamakan kehebatan ciptaan tempatan.

“Saya bangga kerana usaha kami dihargai, malah secara tidak langsung menyatukan pemuzik berpengalaman dan baru untuk lagu ciptaan tempatan terus subur dan mendapat tempat di hati masyarakat,” katanya ketika ditemui selesai persembahan.

Akur untuk merealisasikan impian itu memerlukan keberanian berdepan pelbagai risiko, namun Mokhzani bersedia menyahut cabaran itu atas beberapa sebab.


TIUPAN klarinet Razak Rahman mengalunkan lagu Cendering.

Pertama kata anak kelahiran Perlis yang berkelulusan ijazah dari Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat itu adalah untuk mengembalikan kegemilangan jazz Orkestra RTM selain memperkenalkan lagu tempatan yang dipersembahkan dalam irama jazz.

“Konsert ini juga mengajak masyarakat supaya menghargai karya berkualiti yang diterjemahkan semula oleh komposer lama dan baru untuk mencapai tahap antarabangsa,” katanya.

Konsert A Jazz Tribute To Malaysian Songs yang mengetengahkan variasi persembahan genre jazz memberi penghargaan kepada lagu tempatan pelbagai era menerusi segmen tertentu turut dihadiri Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Lagu rakyat seperti Enjit-Enjit Semut dan Kopi Susu diberi nuansa baru dalam irama jazz menerusi segmen A Jazz Tribute To Folk Songs hasil garapan Datuk Johari Salleh dan Mokhzani.

Konsert selama 90 minit itu turut memberi pengiktirafan kepada hasil karya Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi tiupan trompet solo John Douglas Bourque untuk lagu Pantai Gurauan, diikuti nyanyian Dia Fadila dalam Jelingan Manja yang diberi gubahan berbeza oleh Mohd Asnawi Mutaal.

Jimmy Boyle juga bukan nama asing kerana tokoh jazz kelahiran Pulau Pinang ini turut melahirkan pelbagai karya popular seperti Bahtera Karam, Tanjung Bunga ,Putera Puteri dan banyak lagi.

Ternyata muzik jazz banyak mempengaruhi hasil karyanya dan pada malam itu, ciptaan emasnya diterjemahkan semula anaknya, James Boyle bersama penyanyi Syafinaz dalam lagu Gema Rembulan dan Jauh-Jauh.

Enggan terus bersandar kepada pemuzik sedia ada, barisan pemuzik pelapis juga sedang giat diasuh untuk terus menghidupkan irama jazz di negara ini.

Bertepatan tema iaitu Menghibur, Mendidik dan Menginspirasi, kerjasama antara RTM dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) serta pusat pengajian tinggi lain membantu melahirkan muka baru dalam arena muzik itu.

Ini dapat disaksikan menerusi persembahan lagu tradisional, Cempakasari yang menampilkan Aswara Big Band di bawah pimpinan pensyarah muziknya, Isabella Pek dalam segmen A Jazz Tribute To The Homeland.

Nama Alfonso Soliano juga sinonim dengan irama jazz kerana pemimpin pertama Orkes Radio Malaya ini menyumbang kepada pembangunan industri muzik tempatan.

Pernah mencipta beratus lagu jazz yang kini menjadi peninggalan berharga kepada khazanah muzik tempatan, RTM Jazz Orkestra memberi penghargaan menerusi persembahan instrumental dalam lagu Malam Sabtu Cha Cha gubahan Isabella Pek.

Selain itu, ciptaannya Air Mata Berderai yang digubah semula Ruslan Imam dinyanyikan Dia Fadila serta Gadis Idaman oleh Aswara Jazz Quartet turut dipersembahkan.

Pengaruh lagu berunsur latin jazz semakin mendapat tempat di Malaysia kerana irama yang menggunakan peralatan perkusi banyak membantu menghidupkan suasana.

Kerancakan persembahan diteruskan menerusi irama Latin Nona Maria yang dimainkan pemain seruling dari Jepun, Keiko Nakagawa.

Ciptaan baru juga diperkenalkan menerusi sentuhan Johari dan Mokhzani dalam Eri dan Kini Ku Kembali sekali gus memperlihatkan kesungguhan untuk memastikan irama jazz tidak mati, malah menarik peminat muda menikmati muzik berkualiti.

Berita Harian