Archive | Diana Naim RSS feed for this section

Johor Buzz: Ina Comes Into Her Own

20 Nov

GLITTERING KENDURI: Suhaimi Saad and Nor Diana Naim at their wedding reception in Sungai Ara on Sunday.
GLITTERING KENDURI: Suhaimi Saad and Nor Diana Naim at their wedding reception in Sungai Ara on Sunday.

SHE was once known as the fiancee to Akademi Fantasia 3 heartthrob and singer Mawi but these days, actress Ina Naim is making headlines of her own.

The 23-year-old, whose real name is Nor Diana Mohd Naim, was resplendent in a violet bridal gown as she and husband Mohd Suhaimi Saad, 27, held a reception at her village of Felcra Sungai Ara during the weekend.

It seemed like every villager in Sungai Ara had turned out at the couple’s glittering kenduri, which was held at a community hall that was packed with relatives, friends and neighbours who turned out in droves to wish them well.

Ina had said four months ago that she was looking forward to have her first child with Suhaimi, a member of nasyid group In-Team.

Ina, who has two singles to her name – Duhai Hati and Lukisan Hati – had just completed filming a drama series titled Air Mata Maria.

Powered by New Straits Times

Ina Naim Nikah 12 Ogos

11 Jul

KUALA LUMPUR 10 Julai – Penyanyi Ina Naim atau nama sebenarnya Nor Diana Naim mengesahkan akan menamatkan zaman bujangnya dengan bekas anggota kumpulan In-Team, Mohd. Suhaimi Saad pada 12 Ogos ini.

Menurut bekas tunang penyanyi lelaki popular, Mawi, majlis akad nikah bakal berlangsung di rumahnya di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor.

“Ina buat perkara yang wajib dahulu. Majlis kahwin pula akan diadakan pada akhir tahun ini. Insya-Allah selepas hari raya nanti.

“Ina juga mungkin tidak bersanding. Sekadar majlis sederhana untuk kaum keluarga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Ina, 23, dan Mohd. Suhaimi, 27, mengikat tali pertunangan pada 6 Jun lalu dengan hantaran sebanyak RM10,000.

Persandingan

Menurut Ina, dia tidak melangsungkan majlis nikah dan persandingan pada hari yang sama kerana mahu menjaga perasaan banyak pihak.

“Malah Ina perlu membuat persediaan rapi terlebih dahulu,” ujarnya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Duhai Hati dan Rebah itu turut ditanya perasaannya yang akan bergelar isteri dalam tempoh sebulan lagi.

“Salah satunya perasaan Ina sekarang ialah takut. Tanggungjawab semakin banyak apabila sudah bergelar isteri.

“Ina juga perlu menjaga tatasusila sebagai isteri dan nama baik suami,” katanya.

Namun Ina berkata, dia dan Mohd. Suhaimi belum lagi menghadiri kursus kahwin memandangkan mereka sibuk dengan karier masing-masing.

Powered by Utusan Malaysia

“Doakan Suhaimi Dan Ina Bahagia”

17 Jun

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

Ramai berkata, mereka terkejut tiba-tiba mendengar berita Nordiana Md. Naim, 23, atau Diana Naim mengikat tali pertunangan dengan bekas anggota kumpulan Inteam – Suhaimi Saad, 27, pada 6 Jun lalu.

Tetapi apa yang hendak terkejut? Ini perkara biasa dan berlaku juga kepada orang lain. Bertunang, putus tunang ataupun berkahwin atau bercerai adalah perkara biasa yang berlaku dalam hidup kita. Cumanya mereka adalah artis. Itu saja.

Bagaimanapun berita itu tidaklah sehebat kisah putus tunang antara Mawi dan Ina tahun lalu.

Kisah itu juga tidak sehebat bagaimana Ina terpaksa mengharungi hidup sebagai insan yang ditinggalkan orang yang disayangi ketika kekasihnya itu berada di puncak mahligai.

Sehinggakan Ina terpaksa meluahkan kisah benar hidupnya di dalam buku Catatan Duka Diana Naim.

Percaya atau tidak, apa yang berlaku itu bagaikan lakonan di pentas dunia. Mawi bercinta dengan Ina, mengikat tali pertunangan dan akhirnya putus di tengah jalan. Seperti sebuah drama ‘kisah benar’ yang dilakonkan oleh mereka sahaja.

Tetapi kita perlu percaya dan menerima hakikat, ‘drama’ itu adalah satu ujian untuk mereka menempuh satu kekuatan baru.

Dan ‘drama’ itu juga telah membuatkan Ina yang pernah diguris pedih menemui bakal suaminya yang sudah diikat dengan ikatan pertunangan pada 6 Jun lalu.

Dengan wang hantaran sebanyak RM10,000, rombongan pihak lelaki telah bertolak dari Triang, Pahang menuju ke Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor untuk memeterai janji antara Ina dan Suhaimi.

Tanpa persiapan yang rapi, rombongan lelaki hanya sempat singgah di sebuah pekan kecil untuk membeli barang-barang hantaran ke rumah Ina.

‘‘Kami tidak membuat persediaan rapi. Segala-galanya dilakukan dengan tiba-tiba apabila keluarga saya bercadang melawat keluarga Ina.

‘‘Sehari sebelum bertolak, keluarga saya berkata apa salahnya kalau diteruskan majlis pertunangan itu,’’ kata Suhaimi menjelaskan kenapa pertunangan mereka diadakan secara mengejut.

Rombongan lelaki hanya membawa lima dulang hantaran yang antaranya buah-buahan, manisan, cincin pertunangan dan persalinan sementara sebelah perempuan membalas dengan sembilan dulang hantaran.

Majlis itu cukup sederhana, kata Ina. Dia dan Suhaimi tidak berhasrat menyembunyikan perkara itu malah syarikat rakamannya Hijjaz Records sendiri tidak mengetahuinya sehinggalah ia tersebar di Internet.

Ina juga penah berjanji sebelum ini tidak akan menyembunyikan majlis pertunangannya kepada umum sekiranya ia terjadi. Dan sebagai bukti pada Isnin lalu satu sidang media diadakan bagi memaklumkan perkara berkenaan.

Mengakui pernah kecewa dengan kisah lalu namun Ina bagaikan tidak percaya cincin pertunangan disarung di jari manisnya buat kali kedua.

Pertemuan yang singkat di antara Suhaimi dan Ina semasa jejaka itu mengajar Ina latihan vokal dalam program Hits 1 menjadi punca terjalinnya hubungan itu.

‘‘Alhamdulillah, Ina senang berkawan dengan dia (Suhaimi). Latar belakang agamanya yang agak tinggi menyebabkan Ina merasakan dia layak untuk membimbing Ina menjadi seorang isteri yang baik,’’ katanya.

Menurut Ina, pertunangan yang dijalinkan dengan Suhaimi ini memberi kekuatan kepadanya melupakan kisah lalu dan yang pasti dia tidak akan terus rebah dalam kehancuran cinta lamanya.

Suhaimi pula menganggap Ina seorang diva kerana popularitinya selepas kisah percintaan dengan Mawi menjadi sensasi.

Namun perasaannya untuk menjadikan Ina sebagai isteri kerana melihat kekuatan Ina menempuh dugaan hidup selepas pertunangannya dengan Mawi putus di pertengahan jalan.

‘‘Saya dapati Ina seorang cukup tabah dan kuat menempuh dugaan itu walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan terhadapnya.

‘‘semangat itu membuatkan saya menjadi bertambah sayang terhadap Ina dan berhasrat untuk mengambilnya sebagai isteri,’’ kata jejaka lulusan Bahasa Arab dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini.

Selain menyanyi Suhaimi menjadi guru Bahasa Arab di Sekolah Al-Irsyad, Kuantan Pahang. Dia tidak menghalang Ina meneruskan kerjaya dalam bidang seni sebaliknya akan memikirkan sesuatu selepas mereka menjadi suami isteri pada bulan Disember nanti.

*Akan simpan album Mawi

Masih ingat lagi antara barang kenangan milik Mawi yang dituntut semasa rombongan memutuskan pertunangannya dengan Ina ialah sebuah album?

Album yang menyimpan koleksi gambar-gambar kenangan Mawi itu disimpan oleh Ina sebagai tanda kasih sayang cinta mereka di alam percintaan tidak lama dulu.

Mengenai album itu kata Ina, dia ingin menyimpannya sebagai kenangan dan tidak berhasrat memulangkannya kepada Mawi.

‘‘Biarlah Ina simpan album itu. Ia ada kenangan yang tersendiri. Ina mahu simpan,’’ terang Ina.

Namun hasrat itu Ina masih belum memaklumkannya kepada Suhaimi sebaliknya berharap bakal suaminya itu tidak menghalangnya. Apa yang ada di dalam album itu, hanya menjadi rahsia Ina dan siapa yang melihatnya sahaja.

Apa yang penting, mudah-mudahan pertunangan Ina dan Suhaimi ini akan berakhir dengan baik dan aman bahagia sehingga ke jenjang pelamin.

Yang pastinya kata Ina, dia akan mengundang rakan-rakan artis menghadiri majlisnya nanti dan tentu juga Mawi akan dijemput sama menyaksikan hari yang bahagia dalam hidup dia dan Suhaimi itu.

Powered by Utusan Malaysia

10,000 Terpukau

30 May
RAMAI peminat naik ke atas pentas untuk menari bersama Ramlah Ram.

MEMANG meriah! Dua perkataan tepat menggambarkan Konsert Pancaindera Mingguan Malaysia yang diadakan di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di Perak, malam Sabtu lalu.

Buktinya, kira-kira 10,000 penonton menyerbu kawasan lapang taman tema popular itu sejak awal petang lagi walaupun hujan lebat turun sebelum itu.

Tepat pukul 9 malam, konsert berkenaan memulakan tirai dengan persembahan pasangan hos, Roslan Shah dan Haiza menerusi himpunan lagu-lagu Allahyarham Sudirman dan gelek dangdut.

Seterusnya, acara memotong kek meraikan sambutan ulang tahun ke-10 BMLR oleh Pengurus Besar BMLR, Jasmi Osman, Pengurus Kumpulan Hotel dan Resort MK Land, Anuar Yang Ghazali bersama kakitangan BMLR serta artis-artis popular yang menjayakan konsert berkenaan.

Dan konsert yang ditunggu-tunggu akhirnya terlaksana apabila artis-artis popular tanah air antaranya Ella, Dayang Nurfaizah, Elyana, Ramlah Ram, Diana Naim, Faizal AF4, Rosma AF1, Bob AF2 dan Fiq (Mentor) membuat persembahan mereka.

Corat-coret

*Rombongan bas yang membawa artis dari Kuala Lumpur ke BMLR hanya melibatkan Fiq dan Ina Naim kerana selebihnya lebih selesa berkereta sendiri.

*Ratu rock, Ella memaklumkan dia akan sampai sekitar pukul 8 malam kerana menghadiri konvokesyen anak buahnya di UiTM, Shah Alam.

*Hujan lebat sekitar pukul 2 petang mengundang rasa bimbang kepada penganjur. Namun cuaca kembali panas dan baik sejam kemudian sehinggalah konsert berakhir.

*Sesi artis bertemu peminat pada pukul 5 petang sesak dengan orang ramai sehingga menyaksikan adegan tolak-menolak dan tidak terkawal.

*Pentas konsert menjadi bahan usikan kerana dihiasi dengan segala jenis pokok dan daun serta kelihatan seperti khemah askar. Siap ada jaring di atas bumbung konsert itu.

*Ramai artis yang pulang selepas konsert berakhir kerana mempunyai aktiviti pada pagi Ahad. Lalu, kes tumpang kereta berlaku di kalangan mereka. Antaranya Ina Naim yang menumpang kereta Rosma.

*Ina kelihatan sibuk bergayut di telefon bimbitnya sebelum konsert bermula. Apabila ditanya, katanya, ada masalah keluarga. Namun yang musykil, raut wajah kelihatan berseri-seri ketika bergayut.

*Malam malang Haiza. Pertama dia hampir tersungkur kerana tersalah pijak tangga pentas. Kedua, jaring di atas pentas terputus lalu jatuh ke atasnya. Ketiga, ada serangga yang suka menghinggap di badannya.

*Fiq bertuah apabila seorang peminat menyanyikan hampir keseluruhan lagu Tiga Malam Tanpa Bintang yang dipersembahkannya. Namun awas Fiq, vokal peminat tersebut mendapat pujian ramai.

*Seorang peminat lelaki terlampau seronok dapat berjumpa dengan Ramlah Ram. Ceritanya, sudah bertahun hendak jumpa Kak Ramlah.

*Ella memang menjadi tumpuan penonton malam itu. Tindakan beraninya yang turun di celah-celah penonton menyebabkan dia diserbu. Akibatnya, pasukan Rela bekerja keras mengawal keadaan.

Powered by Utusan Malaysia

Konsert Pancaindera Hibur Ribuan Penonton

27 May

Oleh: ANGELINA SINYANG

TAIPING 26 Mei – Konsert Pancaindera Mingguan Malaysia yang diadakan di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di sini malam ini berlangsung dalam suasana meriah apabila berjaya menarik kehadiran kira-kira 10,000 penonton.

Konsert berkenaan dimulakan dengan acara memotong kek meraikan sambutan ulang tahun ke-10 BMLR iaitu taman tema air yang popular di Perak.

Acara memotong kek pada pukul 9 malam itu disertai oleh Pengurus Besar BMLR, Jasmi Osman; Pengurus Kumpulan Hotel dan Resort MK Land, Anuar Yang Ghazali bersama kakitangan BMLR serta artis-artis popular yang dijemput menjayakan konsert berkenaan.

Suasana malam bertambah meriah apabila pihak pengurusan BMLR turut mengadakan pertunjukan bunga api selama kira-kira lima minit.

Suasana meriah semakin dirasai oleh pengunjung apabila seorang demi seorang artis jemputan tampil mengadakan persembahan pada konsert itu yang dihoskan pasangan artis, Roslan Shah dan Haiza.

Antara artis popular yang menjayakan persembahan itu ialah Ella, Dayang Nurfaizah, Elyana, Ramlah Ram, Diana Naim dan empat artis kelahiran program realiti televisyen iaitu Faizal Akademi Fantasia 4 (AF4), Rosma (AF1), Bob (AF2) dan Fiq (Mentor).

Faizal menyanyikan dua buah lagu yang pernah dipopularkan oleh Kumpulan Iklim yang kemudian dirakamkan semula olehnya iaitu Suci Dalam Debu dan Blues Senyum Sokmo.

Diana Naim pula menghiburkan penonton dengan menyampaikan dua buah lagu berjudul Bersarang Di Hati dan Duhai Hati.

Sementara itu, Rosma mendendangkan lagu yang dimuatkan dalam album terbarunya berjudul Joget Cinta Sakti dan dua lagu berentak medley, Bilang Saja dan Cinta Pura-Pura.

Penonton yang setia kemudian dihiburkan pula oleh artis remaja, Elyana yang menyampaikan lagu Diriku Tapak Sulaiman dan Tak Tercapai Akalmu.

Artis rock yang baru meningkat, Fiq mendendangkan dua buah lagu berjudul Tiga Malam dan Kedegilanmu.

Sepanjang konsert berlangsung, beberapa penonton bertuah turut mendapat hadiah istimewa tajaan produk kecantikan Aura Seri bernilai RM10,000.

Konsert yang berakhir pada pukul 11.30 malam itu merupakan sisi jelajah kedua sisipan Pancaindera Mingguan Malaysia sebagai menghargai sumbangan pembaca hingga meletakkan Mingguan Malaysia sebagai akhbar yang paling besar edarannya di negara ini.

Powered by Utusan Malaysia

Konsert Pancaindera Sabtu Ini

20 May

Pembaca Mingguan Malaysia jangan lupa untuk menyaksikan konsert Pancaindera di Bukit Merah Lake Town Resort pada hari Sabtu ini. Hanya ada enam hari saja lagi untuk anda menyaksikan acara hebat oleh para artis yang akan datang membuat persembahan.

Pastikan juga tarikh 26 Mei 2007 dicatatkan di dalam diari dan kosongkan hari tersebut untuk anda sama-sama berhibur bersama kami.

Tentunya kami menjanjikan satu persembahan yang cukup menarik untuk semua pembaca dan peminat Pancaindera.

Dari irama rock, balada dan R&B kami tidak melupakan irama Malaysia untuk dipersembahkan kepada penonton sempena sambutan ulang tahun ke-10 Bukit Merah Lake Town Resort itu nanti. Tentunya bintang-bintang yang cukup hebat bersedia untuk sama-sama mempromosikan Pancaindera kepada anda.

Siapa lagi kalau mereka bukan Ella, Dayang Nurfaizah, Elyana, Fiq dan Ramlah Ram. Tidak ketinggalan Diana Naim, Rosma (AF1), Haziq (AF4), Haiza dan Roslan Shah.

Bukan saja hiburan, yang lebih menarik Aura Seri juga turut menyediakan hadiah barangan bernilai RM10,000 untuk beberapa penonton bertuah sebagai tanda sokongan pembaca terhadap Pancaindera.

Jadilah penonton kami yang sporting untuk membolehkan anda membawa pulang set barangan Aura Seri, Aura Genius, barangan penjagaan kulit dan juga baucar spa.

Malah hadiah-hadiah lain juga disediakan sebagai kenangan yang tidak mungkin anda peroleh di mana-mana persembahan melibatkan artis.

Jangan lupa datang lebih awal bersama keluarga kerana sebelum persembahan hiburan pada sebelah malam, sesi bertemu peminat akan diadakan pada pukul 5 petang.

Dengan membawa keratan di bawah, anda akan diberi keutamaan untuk bertemu para artis di samping dapat bergambar dengan mereka.

Selain itu Bukit Merah Lake Town Resort juga membuka ruang untuk anda berehat di resort itu dengan kadar bayaran daripada RM100 hingga RM700.

Untuk membuat tempahan bilik, jangan keberatan menghubungi talian 05-8908888 dengan segera bagi memudahkan anda merancang percutian dengan sempurna.

Jangan lupa ya! Kita bertemu Sabtu ini. Catatkan 26 Mei 2007 hari untuk anda memeriahkan konsert Pancaindera.

Powered by Utusan Malaysia

Hits 1 Akhir Keputusan Yang Dijangka

1 May

SEPERTI yang diramal, pertandingan akhir Hits 1 yang bersiaran langsung di RTM1 pada malam Jumaat lalu menjadi milik Adibah Noor, Misha Omar dan Mawi.

Malah ia menjadi malam istimewa bagi Adibah yang mempertaruhkan lagu Terlalu Istimewa untuk diangkat sebagai bukan sahaja Lagu Terbaik tetapi turut merangkul kategori Persembahan Terbaik yang membolehkannya membawa pulang sejumlah RM30,000 iaitu masing-masing RM25,000 (Lagu Terbaik) dan RM5,000 (Persembahan Terbaik).

Kemenangan lagu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Adibah itu sendiri mencipta kejayaan berganda bagi mereka apabila awal tahun ini muncul juara Anugerah Juara Lagu Ke-21 (AJL-21).

Namun dalam nada merendah diri, Adibah tetap memberitahu bahawa dia tidak menaruh harapan tinggi untuk memenangi pertandingan yang diasaskan melalui carta lagu Radio Muzik itu.

Malah dia merasakan lagu-lagu Nafas Cahaya, dendangan Misha Omar dan ciptaan sifu M. Nasir serta lirik oleh Loloq dan lagu Bisakah (Aubrey Suwito/Tessh RS) mampu dipilih Lagu Terbaik oleh lima juri profesional iaitu Datuk Wah Idris, penyanyi Nurul, komposer S. Atan, Helen Yap dan diketuai Asnawi Mutaal.

“Lagu-lagu itu adalah lagu-lagu yang bagus,“ kata Adibah ketika ditemui selepas pertandingan itu yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Biarpun mempunyai saingan terdekat namun kata Adibah lagi, platform Hits 1 akhir bukanlah satu persaingan sengit.

“Debarannya tidak seperti di AJL lalu. Malah kami di belakang pentas relaks dan memberi sokongan antara satu sama lain,“ kata Adibah yang muncul solo di pentas persembahan dan menyampaikan surah An-Am dalam bahasa Inggeris sebelum berdendang.

Sementara itu Misha Omar yang gagal ke final AJL-21 boleh berbangga apabila lagu Nafas Cahaya itu berjaya menduduki tempat kedua Lagu Terbaik sekaligus membawa pulang RM20,000.

“Saya telah memberikan yang terbaik dan bersyukur lagu itu berjaya diterima,“ katanya.

Dan Raja SMS, Mawi pula sudah menjangka membawa pulang gelaran Lagu Paling Popular – satu-satunya kategori yang dipilih berdasarkan undian SMS (khidmat pesanan ringkas).

Kala ditanya sampai bila dia mahu bertahan dengan status itu, jelas Mawi, “selagi orang menyebutnya, saya akan menerima dengan hati terbuka.”

Tidak ketinggalan mendapat sorakan sokongan penonton tentunya bekas tunangan Mawi, Diana Naim atau Ina yang berkongsi pentas mempertaruhkan lagu Duhai Hati yang muncul dengan persalinan putih dan diiringi enam anggota koir.

Antara lagu lain yang bertanding pada pertandingan yang diacarakan oleh Beego dan Annahita Bakavoli itu ialah Tanpamu, dendangan Farawahida, Indah Lelapku (Izwan Pilus) dan Jatuh (Adam AF2).

Artis yang mengadakan persembahan pula antaranya A. Halim, Nora, Saleem, Siti Nordiana, Fiq dan Kamal, Hattan, Aris Ariwatan, Dayang Nurfaizah, Ruffedge, Fabulous Cat, Yazer, Hazama dan Jaclyn Victor.

Sekitar Hits 1 Akhir

*Berlaku sedikit masalah teknikal pada speaker sisi pentas yang sedikit sebanyak mengganggu kelancaran pertandingan itu.

*Ketika Misha Omar muncul untuk mengadakan persembahan medley lagu-lagu yang pernah menjuarai Hits 1, kainnya tersangkut pada paku di tangga pentas membuatkan dia tidak boleh bergerak. Tetapi Misha ‘menutupnya’ dengan duduk di tangga sambil membetulkan semula kainnya menyebabkan peminat bersorak.

*Jika Ina tampil putih, Mawi pula memilih hitam dengan konsep persembahan hampir sama iaitu menggunakan koir. Cuma Ina menampilkan fragmen lelaki yang memberinya cinta tetapi kemudian dirampas oleh wanita lain.

*Ina dan Mawi bukan sahaja julung kalinya berkongsi pentas pertandingan malah mereka muncul silih berganti sebagai peserta akhir hits 1 akhir.

*Datuk Siti Nurhaliza tidak hadir pada pertandingan itu dan tempatnya diganti oleh Juwita Suwito, adik kepada pencipta lagunya, Aubrey yang juga seorang penyanyi.

*Jatuh merupakan lagu Adam AF2 yang berjaya ke final Hits 1 buat kali ketiga selepas Terhangat Di Pasaran dan Tak Tahu.

*Adibah Noor, Adam AF2, Mawi dan Ina mendapat tepukan paling gemuruh sepanjang pertandingan berlangsung.

Powered by Utusan Malaysia

Redup Suram Dan Tawa Ria 2006

31 Dec

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

Tahun 2006 menoktahkan lebarannya hari ini dan esok kita semua akan menyambut tahun baru 2007 dengan keazaman baru. 2006 yang berlalu meninggalkan seribu satu macam kenangan indah, pahit dan manis. Dunia hiburan tentunya tidak pernah sunyi dengan segala macam kisah sensasi yang terjadi.

Tahun ini dunia artis dibuka dan ditutup dengan penuh meriah dan warna-warni. Daripada soal perkahwinan sehinggalah kisah-kisah sedih melibatkan perceraian dan kematian.

Kita imbas kembali peristiwa-peristiwa utama yang menarik sepanjang tahun 2006.

Perkahwinan

* 29 Mac

* Syura

Penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 20, mendirikan rumah tangga dengan sepupunya, Mohd. Fadhly Md. Yassin pada 29 Mac di Johor Bahru, Johor. Syura bagaimanapun mengalami keguguran selepas beberapa bulan perkahwinan itu.

* 28 April

* Siti Nordiana dan Mohd. Faizal Yusop

Penyanyi Siti Nordiana Alias, 22, dan pelakon Mohd. Faizal Yusop, 28, berkahwin pada 28 April di Felda Sendayan, Negeri Sembilan. Mereka kemudian mendirikan persandingan untuk penduduk kampung dan peminat di Dewan Felda Sendayan pada 29 April berkonsepkan persandingan dalam taman.

* 29 April

* Nurfarahin Jamsari

Personaliti TV3 – Nurfarahin Jamsari selamat mendirikan rumah tangga keduanya dengan Noor Eddie Putera Noordin, 36, di Keramat, Kuala Lumpur.

Sebelum itu pada 16 Januari, Nurfarahin berpisah dengan suaminya Sheikh Omar Sheikh Anuar dengan talak satu. Hasil perkahwinan pertamanya, Nurfarahin dikurniakan empat orang anak.

* 26 Mei

* Anne Ngasri

Anak kepada pelakon Ngasri Sain – Anne Ngasri, 22, berkahwin dengan Abdul Wafi Hassan di Taman Permai Batu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

* 24 Jun

* Fendi (X-Factor)

Bekas penyanyi kumpulan X-Factor, Fendi mendirikan rumah tangga dengan Wan Intan Nadia Noraman di Keramat, Kuala Lumpur. Sebelum itu Fendi pernah bertunang dengan seorang peguam tetapi hubungan mereka tidak kekal lama.

* 20 Jun

* Nora Danish

Pelakon siri Puteri, Nora Danish, 24, berkahwin dengan Rizal Ashram iaitu anak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Majlis pernikahan mereka diadakan secara eksklusif.

* 15 Julai

* Aleeza Kasim

Pelakon dan model Aleeza Kassim, 35, mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan terkenal Mohd. Fauzi Che Ros, 42. Pernikahan mereka dilakukan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

* 1 Julai

* Ezany

Mohd. Ezany Nizariff, 33, yang popular menerusi drama bersiri Natasha berkahwin dengan gadis dari tawau Sabah – Lidza Nuryanti Abidin, 23. Majlis persandingan mereka diadakan serba sederhana.

* 21 Ogos

* Siti Nurhaliza

Akhirnya desas-desus perkahwinan Siti Nurhaliza Taruddin, 27, terjawab apabila gadis itu berkahwin dengan Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Perkahwinan itu merupakan satu sejarah di dalam dunia hiburan tanah air kerana ia disiarkan secara langsung oleh TV3.

Wang Hantaran yang diterima Siti ialah RM30,000 dan mas kahwin pula RM22,222.22. Persandingan mereka diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 Ogos dan seminggu selepas itu di Dataran Lipis, Pahang. Pada bulan Oktober lalu Siti dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang membawa gelaran Datuk.

* 8 September

* Fiza

Bekas anggota kumpulan Elite yang juga seorang pelakon – Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza, 25, berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin, 26, di Masjid Al-Syarif, Gombak, Selangor. Mereka berkawan selama lima tahun sebelum memilih untuk menjadi suami isteri.

* 4 November

* Ieda (Moin)

Penyanyi Ieda Moin, atau Siti Haidah Abdul Moin, 27, memilih Pengurus Produksi, Mohd. Naquib Idris, 27, sebagai suaminya. Mereka berkahwin di Masjid Al-Rahimah, Kampung Pandan pada 4 November dengan hantaran RM10,000.

* 12 November

* Noorkhairiah

Pelakon Noorkhairiah Ahmad Shapie, 30, mendirikan mahligai bahagia dengan seorang jurutera Azfaizul Ahtan, 29. Mereka selamat bernikah di taman Muhibah, Raub Pahang. Selepas berumahtangga, Noorkhairiah tetap mahu aktif berlakon.

* 18 November

*Bob Azrai

Pelakon Bob Azrai, 38, bernikah dengan Siti Khalifah Alihan, 18, di Masjid Bukit Indah, Ampang. Perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan kedua Bob selepas keruntuhan rumah tangganya dengan pelakon Aida Aris.

* 2 Disember

* Linda Rafar dan Syed Aiman

Pasangan duda dan janda Linda Rafar, 28, dan Syed Aiman, 31, selamat diijabkabulkan di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. Kedua-dua pelakon itu turut mengadakan majlis resepsi di rumah keluarga Linda di Shah Alam dan di hotel Concorde seminggu kemudian.

* 16 Disember

* Aziz Sattar

Pelakon veteran, Aziz Sattar mendirikan rumah tangga ketika berusia 81 tahun dengan peminatnya, Hashimah Delan, 48. Pernikahan mereka dilakukan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

* 19 Disember

* Erema dan Seri Bayu

Tahun 2006 ditutup dengan perkahwinan penulis lirik Seri Bayu dengan penyanyi Erema Awang Mohdad, 23, di Masjid danau Desa, Taman Desa Kuala Lumpur. Biarpun Seri bayu menghidap penyakit saraf namun Erema sanggup menerimanya sebagai suami.

Pertunangan

* 11 Mac

* Haiza

Penyanyi dangdut – Haiza melangsungkan pertunangan dengan pemain hoki sebuah bank – Hanafi Omar di rumah kakak penyanyi itu di Kuala Lumpur.

Kedua mereka berusia 26 tahun dan masih memikirkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan majlis pernikahan. Mereka cuba menyembunyikan pertunangan itu atas atasan ia tidak perlu diheboh-hebohkan. “Takut apa-apa jadi nanti malu…’’ kata Haiza.

* 4 Jun

* Nasha Aziz

Pelakon popular Nasha Aziz atau Noraishah Abdul Aziz, mengikat tali pertunangan dengan pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof di Keramat, Kuala Lumpur. Nasha juga mahu merahsiakan pertunangannya tetapi dapat dihidu juga oleh wartawan.

Pada majlis itu Nasha menerima sebentuk cincin Chopard yang disarungkan oleh bakal ibu mentuanya, Hasnah Hassan.

* 28 Oktober

* Lisdawati dan Fauzi Nawawi

Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2005, Lisdawati mengikat tali pertunangan dengan pelakon Fauzi Nawawi di rumah keluarga Lisdawati di Kualam Lumpur. Mereka merancang mengadakan majlis perkahwinan pada tahun hadapan. Hantaran perkahwinan ditetapkan sebanyak RM21,111.11 dan mas kahwin RM999. Fauzi merupakan seorang duda

Perpisahan

* 7 April

* Noraniza Idris dan Fareez

Pasangan penyanyi dan pelakon ini berpisah selepas 20 tahun berkahwin. Lafaz cerai dilakukan oleh Fareez atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Tajuddin terhadap Noraniza di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur pada 7 April.

* 26 April

* Erra Fazira dan Yusri

Erra Fazira dan Yusry Abd. Halim yang cuba mengelak memperkatakan mengenai rumah tangga mereka akhirnya mengambil keputusan berpisah selepas tiga tahun berkahwin.

Lafaz cerai dilakukan pada 26 April di kediaman Erra di Damansara dan pengesahan cerai tersebut dilakukan pada 16 Jun di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya, Selangor.

* 5 Mei

* Norman Hakim dan Abby

Sesuatu yang mengejutkan apabila pasangan pelakon Norman hakim, 30, dan Abby Abadi, 28, berpisah. Norman melafazkan cerai terhadap Abby pada 5 Mei dan mereka rujuk semula beberapa hari selepas itu. Penyanyi Farahdiaya dikatakan menjadi punca penceraian itu. Abby dan Norman mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan mereka.

* 16 Oktober

* Awie dan Arni Nazira

Penyanyi kumpulan Wings, Awie atau Ahmad Azhar Othman, 38, melafazkan cerai talak satu terhadap penyanyi Arni Nazira, 28, di Mahkamah Rendah Syariah, Kuantan, Pahang. Penceraian itu dikatakan berpunca daripada penyebaran gambar perkahwinan Awie dengan Rozana Misbun di Internet.

Akibat penceraian itu, Awie mendapat hak penjagaan terhadap dua anaknya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 6, dan Puteri Aleefa Antasha, 4.

* 20 Oktober

* Ajai dan Nurul

Pasangan yang popular dengan lagu Serasi Bersama rupa-rupanya tidak serasi apabila Nurul atau namanya Noorul Huda Abdul Wahab, 29, memfailkan permohonan pengesahan cerai dengan Mohd. Faizal Maas, 31, atau Ajai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor.

Nurul mendakwa Ajai melafazkan cerai terhadapnya sebanyak tiga kali pada 2001 dan dua kali pada 2006.

Kembali ke rahmatullah

* 20 Jan

* Rosiah Chik

Penyanyi veteran, Rosiah Chik meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada usia 74 tahun akibat serangan penyakit jantung.

Allahyarham menjadi penyanyi ketika berusia 16 tahun dan merakamkan lebih 200 buah lagu ketika hayatnya. Hasrat beliau untuk mendengar lagu duetnya iaitu Hantaran Hati bersama Bob (Akademi Fantasia 2) tidak kesampaian.

* 7 Februari

* S. Jibeng

Penyanyi popular tahun 60-an S. Jibeng meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kerana sakit jantung dan kencing manis.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas zuhur di Tanah Perkuburan Islam, Kebun Teh.

* 25 Julai

* Hani Mohsin

Pelakon filem dan drama terkenal Hani Mohsin Hanafi, 41, meninggal dunia akibat serangan jantung. Allahyarham pengsan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, ketika sedang menunggu penerbangan ke Alor Star bersama anaknya Hani Karmila, 9.

Beliau juga adalah bekas suami Datin Seri Tiara Jacquelina. Pelakon itu merancang untuk bercuti ke Langkawi semasa kejadian.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Al-Ridzuan, Hulu Klang selepas solat isya sebelum dikebumikan di sebelah pusara ibunya, Hasni Bakar di Tanah Perkuburan Islam Al-Ridzuan, Hulu Klang.

* 10 Oktober

* Seha

Bekas penyanyi kumpulan Freedom, Norsehah Abu Bakar atau Seha (44 tahun) meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur kerana penyakit barah paru-paru.

Beliau meninggal dunia kira-kria pukul 8 pagi di sisi suaminya Azmi Thambi Chik. Hajatnya untuk menemui anak sulungnya Misha Kyrie Lind, 15, yang tinggal bersama bekas suaminya di London tidak kesampaian. Sebaliknya mereka sempat berhubung menerusi e-mel selepas penderitaan Seha disiarkan di akhbar. Seha juga mempunyai seorang anak perempuan berusia 11 tahun iaitu Karissa Iris Lund.

Kejayaan

* 5 Ogos

* Mohd. Faizal Ramly

Jejaka dari Marang, Terengganu – Mohd. Faizal Ramly, 22, menjadi Juara Akademi Fantasia Keempat (AF4) dan sekali gus membolehkan beliau membawa pulang hadiah bernilai RM370,000 termasuk sebuah kereta Toyota Vios serta wang tunai RM20,000.

* 22 September

* Suki

Low Sook Yee atau lebih dikenali dengan nama Suki menjadi juara pertandingan One In A Million anjuran 8TV dan sekali gus melayakkan gadis berusia 17 tahun itu menerima wang tunai RM1 juta.

* 19 November

* Datuk Ahmad Nawab

Komposer terkenal Datuk Ahmad Nawab menerima Anugerah Seniman Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalulail. Beliau turut mendapat hadiah wang tunai RM60,000.

* 3 Disember

* Fiq

Pertandingan Mentor anjuran TV3 memperlihatkan jejaka dari Sabah, Fiq atau nama sebenarnya Mohd. Firdauz Abdul Halim, 24, menjadi juara pertandingan itu dan menggondol hadiah wang tunai sebanyak RM50,000, tawaran menjadi artis rakaman EMI Music Sdn. Bhd., dan trofi. Fiq juga berjaya mengalahkan Ima dari Indonesia dalam pertandingan Juara Antara Juara pada 24 Disember lalu. Dalam pertandingan itu Fiq berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM18,500.

Sensasi

* 1 Julai

* Mawi

Penyanyi Asmawi Ani atau Mawi memutuskan pertunangannya dengan Nordiana Md. Naim. Mawi mendakwa hubungan itu terputus akibat masalah peribadi yang berlaku. Akibat kejadian itu, Nordiana mengambil kesempatan meluahkan rasa hatinya dengan menghasilkan sebuah buku Catatan Duka Diana Naim yang menceritakan kisahnya bersama Mawi sebelum penyanyi itu menyertai Akademi Fantasia.

Mawi turut mencipta kontroversi apabila membuat kenyataan tidak mahu berpegangan tangan sekiranya ditawarkan berlakon sehingga mencetuskan kemarahan beberapa orang pelakon termasuk Rosyam Nor.

* 13 Ogos

* Sharifah Amani

Pelakon Sharifah Amani yang dinobatkan sebagai

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 (FFM19), mencetus kontroversi apabila berucap di dalam bahasa Inggeris dengan berkata, ‘‘I sound like stupid if I speak in Malay.’’ (Saya rasa seperti orang bodoh kalau saya bercakap dalam bahasa Melayu).

Ucapannya itu menimbulkan rasa tidak senang sebilangan besar penonton termasuk tetamu kehormat majlis itu iaitu Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Pelakon itu bagaimanapun tidak bermaksud untuk menghina bahasa Melayu sebaliknya menganggap ucapannya telah disalah tafsir.

* 15 Ogos

* Rita Rudaini dan Lisdawati

Pelakon Rita Rudaini dan Lisdawati dikatakan bercakaran di dalam sebuah kolam renang ketika penggambaran drama Kau Yang Ku Sayang di Pulau Pinang.

Lisdawati mendakwa Rita cuba mencederakannya di dalam penggambaran itu sehingga memaksa Lisda membuat laporan polis. Bagaimanapun pihak polis telah menutup kes tersebut dan menganggap ia selesai.

Powered by Utusan Malaysia