Archive | DJ Dave RSS feed for this section

Tapa Pakar Kulit Album

24 Feb

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN

Hasilkan lebih 200 kulit album sejak 1979 untuk artis popular tanah air

DIA bukan penyanyi atau pemuzik, jauh sekali penerbit album. Namun, tidak keterlaluan dikatakan sumbangannya dalam industri muzik tempatan sungguh besar.

Betapa tidak, sebagai pereka kulit album, idea dan kreativitinya menjadi antara faktor penentu sesebuah album mampu menarik perhatian pembeli.

Lebih membanggakan, dia anak Melayu pertama bergiat aktif dalam bidang itu, malah pencetus kepada perubahan rupa bentuk kulit album daripada sekadar menggunakan wajah kepada elemen lain daripada yang lain.

Itu keistimewaan Mustaffa Ahmad Hidzir, 53. Lebih sinonim dengan panggilan Tapa, bapa tiga anak itu mula terbabit dalam penghasilan kulit album sejak zaman piring hitam.

Bukan calang-calang penyanyi solo atau berkumpulan menggunakan khidmatnya.

Antara paling awal ialah kumpulan Carefree menerusi album piring hitam berjudul Kebebasan pada 1979, diikuti album Kebebasan II dan Kebebasan III.

Selain kulit album Carefree, ketika zaman piring hitam, Mustaffa turut menghasilkan kulit album penyanyi popular seperti Datuk Sharifah Aini, Sudirman, Noorkumalasari, Raja Kobat, DJ Dave, Hail Amir, Gaya Zakri dan Aman Shah.

Apabila tiba zaman cakera padat (CD), kulit album Francisca Peters berjudul Now’s The Time menjadi kulit album CD pertama dihasilkannya.

Ini diikuti penyanyi solo dan berkumpulan yang masih aktif sehingga hari ini seperti M Nasir, Search, Wings, Lefthanded, Ramli Sarip, Slam, Iklim, Sheila Majid dan Man Bai, Ella, Rabbani, Noryn Aziz, Amuk, To’Ki dan Jamal Abdillah.

Bagi lulusan Diploma Senilukis dan Senireka (Grafik) Institut Teknologi Mara (kini UiTM) itu, hasil kerjanya menjadi bukti kemampuannya dan dia ternyata tidak silap memilih bidang walaupun pernah mengambil risiko gagal dalam projek akhir ketika menuntut dalam jurusan dari 1974 hingga 1978.

“Ketika melaksanakan projek tahun akhir, rakan lain memilih projek seperti membuat rekaan peket makanan dan yang seumpamanya, tetapi saya memilih membuat rekaan untuk syarikat rakaman, termasuk kulit album.

“Pensyarah kata saya akan gagal kerana menurutnya idea saya mengarut, tetapi saya tidak peduli dan teruskan juga,” katanya yang kini bertugas sebagai Pengarah Seni agensi periklanan Diversified Design Media Consult Sdn Bhd (DDMC) di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Menurut Mustaffa, dia tidak terkejut dengan ‘ugutan’ pensyarahnya kerana apa yang cuba dilakukannya memang dianggap janggal dan asing.

“Saya namakan syarikat rakaman saya Gong Record. Saya buat kulit album dan apa saja yang membabitkan rekaan grafik untuk syarikat itu.

“Kesudahannya apabila hasil kerja saya dipamerkan, ramai yang tertarik dan saya tidak gagal,” katanya.

Mustaffa berkata selepas tamat pengajian, dia bekerja sebagai pereka grafik dengan syarikat rakaman EMI Music Malaysia (EMI) dan ketika itu dia memperoleh lebih banyak pendedahan membuat rekaan kulit album.

“Tujuh bulan selepas itu saya keluar daripada EMI dan mencuba nasib sebagai pereka kulit album bebas.

“Dengan minat, pengalaman dan kreativiti dimiliki, saya berpeluang menghasilkan kulit album artis tempatan.

“Hanya saya anak Melayu dalam bidang itu dan hasilnya pula lumayan apabila untuk satu album boleh mendapat bayaran ribuan ringgit,” katanya.

Menurut Mustaffa, dia berterima kasih kepada syarikat rakaman EMI kerana memberinya kebebasan untuk menghasilkan kulit album mengikut acuannya sendiri.

“Ketika mula bergiat dalam pembikinan kulit album, syarikat rakaman biasanya mahu kulit album memaparkan wajah artis mereka. Saya pula cuba lari daripada kebiasaan itu.

“Menerusi album Malam daripada Sharifah Aini pada 1980 saya membuat pembaharuan dan ia dipersetujui EMI.

“Hasilnya album itu tampil dengan kelainan apabila menggunakan imej pelita minyak tanah berlatarbelakangkan kegelapan dan bukan wajah seperti kebiasaan,” katanya.

Mustaffa berkata, untuk menghasilkan kulit album, biasanya idea diperoleh daripada perbincangan dengan artis dan syarikat rakaman.

Katanya, dia juga menyumbang idea menerusi pembacaan buku berkaitan penghasilan kulit album, selain memanfaatkan minatnya terhadap muzik dan filem.

“Saya turut mendengar terlebih dulu lagu yang dihasilkan bagi mendapatkan gambaran terbaik konsep kulit album. Tajuk album juga perlu diteliti.

“Daripada segi tempoh masa, ia bergantung kepada permintaan syarikat rakaman,” katanya.

Ditanya apa inspirasinya dalam menghasilkan kulit album, Mustaffa tanpa berselindung mengakui sangat terpengaruh dengan kulit album kumpulan rock legenda, Pink Floyd dan pereka kulit album itu, Storm Thorgerson.

Storm adalah pereka grafik, pelukis dan jurugambar yang hasil karyanya sangat dekat dengan dunia muzik. Kredibiliti dan karya Storm dihormati di dalam dunia muzik, khususnya rock.

Dalam sejarah muzik rock & roll, Storm memahat namanya menerusi ilustrasi, gambar dan rekaan kulit album kumpulan rock legenda seperti Pink Floyd, Led Zeppelin, Black Sabbath, Yes, Paul McCartney dan John McLaughlin.

Menerusi gabungan faktor berkenaan, Mustaffa tampil dengan beberapa kulit album yang boleh disifatkan unik dan berbeza.

Antaranya album Wings berjudul Mr Barbarik — menggunakan ilustrasi sesuai dengan judulnya; Wings dan Search untuk album Double Trouble — menggunakan susunan patung dan ukiran; Search untuk album Terbaik (kompilasi) — menggunakan arca topeng ciptaan pelukis, Bayu Utomo Radjikin; Ramli Sarip untuk album Syair Timur — menggunakan elemen kerohanian dan eksploitasi warna dan Republic Of Brickfields — Aru menghayun rambut ‘dreadlock’nya.

Selain kulit album, Mustaffa menghasilkan logo persatuan Karyawan, Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Akademi Industri Muzik.

Menurut Mustaffa, kulit album yang dihasilkannya juga ada sejarah dan keistimewaan tersendiri.

“Kulit album pertama Slam berjudul Slam misalnya memaparkan anggota kumpulan itu bergambar di tapak KL Sentral.

“Mungkin sukar untuk mencari latar suasana tapak KL Sentral ketika ini.

“Pembabitan saya dalam bidang itu juga membantu menghasilkan bakat baru. Saya gembira melihat anak didik saya seperti Nizam Rahmat, Razkus, Fakrul, Nizam Ahmad, Fahmi, Boon, Foad, Kamarol dan Ramli Ahad kini mengukir nama dalam bidang penghasilan kulit album,” katanya.

Apabila ditanya berapa jumlah kulit album yang dihasilkannya, Mustaffa hanya tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala sebelum berkata:

“Itulah masalahnya, saya sendiri pun tak ingat kerana saya tak pernah kira. Sejak 1979 hingga sekarang, jumlahnya mungkin 100, 200 atau lebih.

“Kini, saya berusaha mengenal pasti jumlah sebenar kerana saya dalam proses menghasilkan sebuah buku mengenai diri saya dan semua karya yang saya hasilkan,” katanya.

Mustaffa berkata, tujuannya menghasilkan buku itu supaya ia dapat dijadikan sebagai bahan sejarah dan bahan rujukan, terutama kepada generasi muda yang mahu menceburi bidang penghasilan kulit album.

“Buku itu belum siap tetapi judulnya sudah ada, iaitu 12×12.

“Saya memilih judul itu kerana itulah saiz kulit album piring hitam dan CD.

“Saiz kulit album piring hitam 12 inci (30 sentimeter) manakala saiz CD 12 sm,” katanya.

Menurut Mustaffa, dia memohon kerjasama orang ramai supaya menghubunginya jika memiliki kulit album yang dihasilkannya.

Katanya, setiap kulit album dihasilkannya tercatat nama Tapa di ruangan pereka kulit album.

“Koleksi saya tidak mencukupi kerana banyak yang tidak saya simpan. Jika ada, sila hubungi menerusi e-mel saya, tapa_qis@yahoo.com,” katanya.

Antara hasil karya Mustaffa

–> Sharifah Aini

Album: Malam, Ini Lah Laguku 111

–> Sudirman

Album: Perasaan, Anak Muda, Lagu Anak Desa

–> Carefree

Album: Kebebasan 1, 2 & 3

–> Aman Shah

Album: Cinta Tak Seindah Yang Diucap

–> Dato S.M Salim & Yusni Hamid

Album: Jeling Menjeling

–> D.J Dave

Album: Perasaan, A Different Kind of Woman

–> Rosmaria Abdullah

Album: Kisah Kasih

–> Noorkumalasari

Album: Noor, Kemana Kubawa Diri, Aku dan Dunia Seni,

–> P. Ramlee

The Bolshoi Ballet Theatre Orchestra of Tashkent, Siri Kenangan Abadi Vol 1-3

–>
Gaya Zakry

Album: Derita Hati Kutanggung Sendiri

–> Ramli Sarip

Album: Syair Timur, Kalam Kasturi, Ruh Zaman, Tribute to Ramli Sarip, Box Set Ziarah Seni

–> Search

Album: Rock & Roll Pie Live & Loud, Rockestra, Terbaik, Double Trouble 2,

–> Wings

Album: Best of Wings, Mr Barbarik

–> Lefthanded

Album: Nafas, Fantasisma

–> Iklim

Album: Iklim, Bukan Niatku

–> CRK

Album: Airmata Cinta

–> Slam

Album: Slam, Dalam Harapan, Best of Slam,

–> Teacher’s Pet

Album: Di Suatu Hari Di Suatu Waktu

–> Krisya

Album: Krisya

–> Ella

Album: 3001, Rama-Rama

–> Shima

Album: Tak Ingat

–> Man Keedal

Album: Man Keedal

–> Samad

Album: Samad

–> Hillary

Album: ZZ

–> Sharul

Album: Transfigurasi

–> Baba

Album: Aku Bukan Badut

–> Amelina

Album: Amelina, Asyik

–> Eva

Album: 1001 Cinta

–> Jamal Abdillah

Album: Jamal, Koleksi Terbaik, Koleksi Abadi

–> Noryn Aziz

Album: Fantasi O Realiti

–> Farrah

Album: Farrah

–> Republic Of Brickfields

Album: Ganjaran

–> Amuk

Album: 2 Juta

–> Nash

Album: 1993

–> Pearl

Album: Sentuhan Mutiara

–> Sheila Majid

Album: Lagenda, Lagenda 15 Tahun

–> Francisca Peter

Album: Suara Rindu, Now’s the Time

–> Emma

Album: Emma

–> Rabbani

Album: Rabbani

–> Raihan

Album: Maafkan, Terbaik Raihan

–> M. Nasir

Album: Prahara Seni Abadi

–> To’ Ki

Album: Hujan Emas

–> Freshie

Album: Freshie

–> KRU

Album: Ooh La La

–> Ashira

Album: Di Ombak Resah

–> Man Bai

Album: Positif

–> Mel

Album: Dunia Baru

–> Iwan

Album: Dangdutnya Iwan

–> Poe

Album: Buat Balik

–> Korie

Album: Korie

–> Den

Album: Terima Kasih

Powered by Harian Metro

Pelancaran Stesen Klasik Nasional

14 Aug

MAJLIS pelancaran Radio Klasik Nasional berlangsung dalam suasana gilang-gemilang pada malam Sabtu lalu di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Tepat pukul 8.45 malam, Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin melancarkan stesen yang menggabungkan Klasik fm dan Nasional fm itu di Wisma Radio.

Program itu turut mengadakan sidang video dengan stesen radio Kedah fm, Sarawak fm, Pahang fm, Johor fm dan Sabah fm bagi memperkatakan tentang pelancaran Klasik Nasional yang disiarkan secara langsung di stesen radio itu dan saluran TV RTM1.

Zainuddin berinteraksi dengan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud yang turut memperkatakan tentang lagu-lagu irama Melayu klasik.

Seterusnya, dipersembahkan satu tayangan klip video frekuensi Klasik Nasional negeri-negeri bersama lagu ID baru stesen itu yang diyanyikan oleh penyanyi terkenal Liza Hanim.

Majlis pelancaran tersebut juga diserikan dengan persembahan lebih 30 artis lama dan baru Malaysia selama sejam setengah di Auditorium Perdana Angkasapuri.

Diiringi persembahan mantap Orkestra RTM, setiap artis memberikan persembahan menarik menerusi tujuh segmen yang berbeza.

Menariknya, setiap segmen itu mengembalikan nostalgia lama kepada penonton.

Tirai persembahan malam itu dimulakan dengan segmen Irama Melayu Pelbagai Rentak menerusi lagu-lagu seperti Sri Langkat oleh Zarina AF2 dan Kenny Lee, Bob AF2 (Joget Lama Tak Jumpa), kumpulan Shades (Suriram), Syura (Keroncong Suci Dalam Debu) dan Datuk Ahmad Jais (Sri Kedah).

Segmen Lagu-Lagu Nostalgia pula menampilkan penyanyi seperti Rina Azhar yang mendendangkan lagu Rentak Tandak, Ija (Jangan Pandang Bong), Norhasmidar Ahmad (Sekuntum Bunga DI Tepi Danau) dan Elaine (Empat Dara).

Lagu 60-an seperti Dara Pujaan oleh L. Ramlee, Datin Fatimah Huri (Dara Pujaan) dan Datuk A. Rahman Hassan (Tak Mengapa) menghangatkan lagi segmen seterusnya.

Sementara itu, segmen Lagu 70-an juga mengimbau kenangan lama melalui lagu-lagu Maafkanlah oleh Datuk DJ Dave, Wajah Kesayangan Hamba (Hail Amir) dan Seiring Sejalan (Azharina dan Bob).

Segmen Lagu Popular 80-an dan 90-an pula mengandungi lagu-lagu Seri Kandi Cintaku oleh Almi, Sekadar Di Pinggiran (Francisca Peter), Bila Rindu Datang Lagi (Nassier Wahab), Kau Kunci Cintaku (Ramlah Ram) dan Cinta Tak Kenal Siapa (Aris Ariwatan).

Menerusi egmen terakhir iaitu Lagu Popular Semasa, penonton dihiburkan oleh lagu-lagu seperti Hujan dendangan Chong, Elegi Sepi (Azharina) dan Lagu Cinta Lagu Jiwa (Nassier Wahab dan Almi).

Seterusnya lagu-lagu seperti Penggodaan oleh Safura, Istana Cinta (Liza Hanim) dan Gurindam Jiwa (Datuk Yusni Hamid) menghiasi segmen Lagu Filem Klasik.

Kemuncaknya, lagu Hore-Hore menjadi persembahan penutup yang dinyanyikan oleh semua artis.

Bermulanya malam Sabtu lalu, Klasik Nasional bakal menjadi pilihan pendengar kerana segalanya ada di stesen itu yang menggamit memori lalu.

Turut hadir menyaksikan konsert itu ialah isteri Yang Dipertua Negeri Melaka, Toh Puan Zurina Kassim dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Powered by Utusan Malaysia