Archive | Drew Barrymore RSS feed for this section

Ribut Perkahwinan

27 Apr

Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK sofiatul.chik@kosmo.com.my

MENDIRIKAN sebuah rumah tangga memerlukan keberanian dan ketulusan hati. Sayangnya, apabila cinta atau tulus hati itu sudah pudar atau hilang serinya, perceraian sering menjadi pilihan.

Dunia selebriti juga menempuh laluan yang sama. Cuma bezanya perkahwinan mereka digahkan dan begitu juga apabila ia mengalami keruntuhan. Fenomena atau tidak tahan dugaan hidup?

Natasha Hudson, 24, dan Mohd. Faiz Mohd. Raih, 26.

Tempoh: Empat bulan

BULAN Ramadan mungkin melakar satu sejarah dalam kisah silam Natasha apabila dia rasmi bukan lagi isteri kepada Mohd. Faiz yang dikahwini empat bulan sebelum itu. Mereka mendirikan rumah tangga pada September 2006.

Natasha enggan mengulas punca sebenar kasih suka sama suka mereka terlerai dan sekali gus menafikan kata-kata liar yang menyatakan dia ditangkap khalwat oleh ibu mentuanya sendiri.

Dalam masa yang sama dia tidak mahu menyalahkan sesiapa sebagai penyebab. Yang jelas kini Natasha bahagia dengan peluang kedua yang hadir dalam hidupnya dan selamat bergelar isteri kepada Datuk Shahrin Zahari.

Beego, 28, dan Intan Shahira, 27.

Tempoh: Tiga bulan

SEAKAN baru semalam melihat mereka memakai persalinan ala Bali di pentas pelamin. Namun tiga bulan berlalu, Malaysia dikejutkan dengan berita perceraian Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah dengan si isteri, Intan Shahira Mohamad Sharu yang pernah sembilan tahun dicintai.

Bingung dengan banyak khabar angin yang mengada-adakan sebab musabab mereka bercerai, Beego lantas menerangkan bahawa ini adalah dugaan paling hebat dilaluinya.

Manakan tidak, masuk angka tiga bulan halal bersama, Intan telah memfailkan tuntutan fasakh dan Beego hadir di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, 17 April lalu untuk memfailkan tuntutan nusyuz.

Beego yang termangu dengan musibah yang melanda ternyata masih menyayangi si isteri namun akur dengan alasan Intan Shahira yang dikatakan mahu mencari ketenangan diri.

Haflin Saiful, 26 dan Don Nazar, 27.

Tempoh: Satu tahun

HAFLIN yang suatu masa dahulu terkenal sebagai pengacara Salam Bollywood pernah mengikat tali perkahwinan bersama Don Nazar yang kini dikatakan kekasih kepada seorang pengacara TV.

Usia muda ketika menjalin cinta hanya mampu menjanjikan rumah tangga yang tidak sampai setahun utuhnya. Tidak seorang pun antara mereka yang menerangkan kisah sebenar di sebalik perceraian ini.

Ijab kabul pada 29 Julai di Surau An-Nur, Country Heights, Kajang akhirnya terlerai dengan masing-masing membawa haluan sendiri.

Haflin kini selesa menguruskan perusahaan milik keluarganya dan Don sekali sekala muncul di acara hiburan menemani kekasih hati.

Anis Suraya, 28, dan Wan Kasmizi Wan Kamaluddin, 28.

Tempoh: 1 tahun 7 bulan

PERKENALAN dari sekolah menengah bukanlah jaminan untuk mereka kenal antara satu sama lain dengan sebegitu dalam.

Tengku Anis Suraya Tengku Sulaiman yang menjalin cinta bersama teman persekolahan setelah bertemu kembali pada tahun 2005 hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu pada tanggal 22 April untuk memfailkan permohonan cerai taklik.

Perkahwinan yang dibina pada 11 September 2006 terpaksa ditinggalkan kerana Anis dikatakan tidak tahan dengan perangai suaminya.

Niat asalnya mahu menuntut fasakh namun akibat tiada bukti yang menunjukkan Wan Kasmizi terlibat dengan dadah, dia memohon cerai taklik pula.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Cintaku Tersimpul Rapi ini bertindak menyimpan kemas masalah rumah tangganya.

Menimbang rasa

Farah Asyikin, 29, dan Dr. Farid, 30.

MEREKA memilih jalan untuk bersendiri bagi menyelesaikan masalah rumah tangga yang dihadapi. Ternyata kejauhan membuatkan mereka lebih waras berfikir.

Farah menyatakan bahawa suami yang dinikahinya pada April 2007 berasa gembira dengan perpisahan sementara ini dan menganggap ini jalan terbaik untuk mereka berdua.

Dalam masa yang sama, mereka masih lagi keluar bersama-sama namun tidak tinggal sebumbung. Farah menolak kemungkinan ada orang ketiga dalam rumah tangga mereka, sebaliknya mengakui sesuatu telah mengganggu kedamaian yang mereka bina.

Rossa, 30, dan Yoyo, 33.

PUDAR seketika rasa cinta Rossa saat visual suaminya bersama wanita lain disebarkan ke seluruh Indonesia melalui kaca TV. Dan menerusi cara yang sama dia mendapat tahu bahawa suaminya sudah berselingkuh dan menduakan cintanya.

Keharmonian rumah tangga mereka yang dibina tanggal 18 Mac 2003 dan dikurnia Rizky Langit Ramadhan ini menjadi goncang walau belum berada di hujung tanduk.

Untuk sementara waktu ini tak banyak yang dilakukan oleh pemilik nama Sri Rossa Roslaina Handiyani selain berfikir dan bersikap tenang.

Januari lalu Yoyo pulang ke kampung Rossa dan memohon maaf akan apa yang terjadi. Yoyo berharap rumah tangganya bersama Rossa kembali normal.

Kahwin kilat antarabangsa

1. Selma Blair

SEORANG lagi gadis manis yang berkahwin dengan selebriti. Selma, pelakon yang terkenal dengan filem Cruel Intentions dan Scream memilih anak pemuzik legenda, Frank Zappa iaitu Ahmet Zappa.

Namun perkahwinan yang dilalui dari tahun 2001 hingga 2002 tidak seperti saat-saat bercinta. Sempat mengulit mimpi sebagai suami isteri selama dua tahun, mereka merasakan ada perbezaan yang ketara hingga mereka mahu berpisah dan tak mampu berdamai.

2. Drew Barrymore

WANITA yang terkenal dengan filem E.T ini mempunyai profil yang tercalar tentang kisah cinta setianya. Manakan tidak, suami pertama hanya bertahan beberapa bulan.

Begitu juga suami keduanya, pelakon komedi Tom Green yang hanya layak bergelar suami tanggal 7 Julai 2001 hinggalah 15 Oktober 2002. Khabarnya Tom meluat dengan perangai Drew yang liar itu.

3. Nick Lachey

MENGAHWINI seorang selebriti cantik merupakan kepuasan buat jejaka yang terkenal melalui grup 98 Degrees. Namun tidak seperti yang digembar-gemburkan, kebahagiaan ciptaan mereka tidak mampu bertahan.

Mereka bercinta selama empat tahun dan usia perkahwinan mereka singkat daripada itu. Nick dan Jessida Simpson berkahwin tanggal Oktober 2002 dan berpisah pada November 2005.

Powered by Kosmo

Advertisements

Ellen Page Dalam Whip It?

17 Jan

BINTANG muda ini mula meraih perhatian dan populariti lewat filemnya, Juno dan kini menjadi sebutan menjelang musim anugerah di Hollywood.

Filem berkenaan dicalonkan untuk Filem Muzikal atau Komedi Terbaik namun tewas di tangan filem Sweeney Todd: The Demon Barber of Fleet Street dalam anugerah Golden Globe Ke-65 yang lalu.

Pelakonnya, Ellen Page juga meraih pencalonan bagi Aktres Muzikal atau Komedi Terbaik dan juga menerima pencalonan untuk Aktres Terbaik dalam Screen Actor Guild Award yang bakal berlangsung hujung bulan ini.

Khabar terbaru yang diterima, Ellen Page bakal membintangi sebuah filem yang berjudul Whip It

yang menyaksikan dirinya akan berlakon di bawah arahan bintang popular, Drew Barrymore yang pertama kali menduduki kerusi pengarah.

Filem yang diadaptasi dari karya novel, Shauna Cross itu bakal menjalani penggambaran Mac depan.

Utusan Malaysia