Archive | Dustin Hoffman RSS feed for this section

Bukan Sekadar Hermione Granger

14 Mar

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my

Satu-satunya perkara yang membimbangkan saya adalah saya tidak pernah melakukan animasi – EMMA


EMMA merasa lega kerana tidak menghadapi tekanan sepertimana pelakon muda lain di Hollywood.

TERKENAL sebagai sahabat baik kepada Harry Potter, Emma Watson yang memegang watak Hermione Granger dalam siri filem blockbuster, Harry Potter tidak pernah menyangka dirinya akan bergelar jutawan.

Populariti yang diraihnya di seluruh dunia sememangnya sudah menjadi miliki gadis berusia 19 tahun ini.

Pemilik nama Emma Charlotte Duerre Watson ini sudah memiliki kekayaan melebihi £10 juta (RM52 juta), yang hampir kesemuanya diperolehi menerusi lima siri filem Harry Potter yang dibintanginya bersama Daniel Radcliffe dan Rupert Grint sejak tahun 2001 itu.

Bakal muncul menerusi siri keenam Harry Potter yang berjudul, Harry Potter and the Half-Blood Prince, pada Mac 2007 Emma juga telah menandatangani kontrak untuk edisi terakhir Harry Potter yang dibahagikan kepada dua episod, Harry Potter and the Deathly Hallows.

Ini bermakna Emma telah membuat keputusan berlakon dalam kesemua tujuh siri filem Harry Potter dan ia bukan sesuatu yang mudah buatnya.

Menurutnya, itu bermaksud hidupnya akan didominasi dengan watak lakonan Hermione Granger selama tiga atau empat tahun lagi.

Walaupun bersetuju akhirnya, Emma sebenarnya belum pasti dengan hala tuju masa depannya.

Dia yang mengagumi aktor Johnny Depp dan pemenang Oscar, Julia Roberts sukakan seni persembahan tetapi turut mempunyai pelbagai minat lain.

Sebagai langkah untuk memperluaskan lagi skop bakatnya, Emma menerima tawaran melakonkan watak dalam filem untuk skrin TV, Ballet Shoes pada 2007.

Tidak terhenti di situ, Emma juga mencabar dirinya dengan penglibatan dalam filem animasi pertamanya, The Tale of Despereaux yang mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 12 Mac lalu. Berharap dirinya dihormati sebagai aktres yang bekerja keras, ikuti petikan temu bual Emma mengenai filem terbarunya itu serta sedikit sebanyak perihal peribadinya.

Adakah watak Despereaux itu sendiri yang menarik perhatian anda untuk terlibat dalam filem ini atau anda sebenarnya ingin mencuba animasi pertama anda?

EMMA: Saya amat menyukai skrip serta ceritanya. Apa yang utama adalah mesej moral yang kuat dan juga barisan pelakon lain yang terlibat. Saya amat bertuah untuk menyertai sama produksi ini.

Bagaimana anda terlibat dalam filem ini?

Selepas menerima panggilan daripada agensi saya, mereka kemudian menghantar skrip. Saya menyukainya dan mereka terus menawarkan watak itu. Saya amat bangga kerana mereka mahu saya menyumbang suara dalam filem itu.

Ceritakan sedikit mengenai watak anda sebagai Princess Pea.

Princess Pea seorang yang sunyi dan terdesak kerana ibunya baru meninggal dunia. Despereaux kemudian muncul dan menjadi kawannya.

Seperti yang dibicarakan, ia adalah pengalaman pertama anda dalam menjayakan filem animasi. Ia memberikan cabaran berlainan berbanding set penggambaran. Apakah perasaan anda?

Satu-satunya perkara yang membimbangkan saya adalah saya tidak pernah melakukan animasi. Pembikinan filem ini adalah berbeza dengan filem lain yang pernah saya berlakon.

Animasi tersebut digabungkan dengan pelbagai mesej termasuk kemaafan, keberanian dan cinta. Mana satu yang menarik perhatian anda?

Saya sukakan cerita Miggery Sow dengan Princess Pea di mana Miggery ingin menjadi seorang puteri. Apa yang dia tidak sedar adalah dia sebenarnya seorang puteri pada hati bapanya. Saya sukakan mesej bahawa setiap gadis adalah puteri kepada siapa yang menyayangi mereka tidak kira teman lelaki, abang atau ayah mereka.

Perasaan bekerja dengan Dustin Hoffman dan Matthew Broderick?

Saya teruja untuk menghadiri sidang media dengan Matthew Broderick di sebelah kiri saya dan Dustin Hoffman di sebelah kanan saya. Pada saya, peluang dikelilingi bakat-bakat tersebut adalah sesuatu yang diimpikan sejak kecil.

Despereaux adalah watak tikus yang tidak takut dan ingin mengejar impiannya. Bagaimana pula dengan diri anda?

Seperti Despereaux, anda juga perlu mempercayai diri sendiri dan tidak berputus asa. Itu moto hidup yang dipegang saya. Namun, kerja keras juga penting dalam mencapai impian anda.

Bagaimana aktor muda British seperti anda mampu mengekalkan profil pada tahap sederhana sedangkan selebriti Hollywood pula bergelut dengan tekanan yang dibawa bersama populariti?

Saya rasa terdapat penerimaan berlainan dalam industri ini. Di England, pelakon tidak meraih publisiti secara keterlaluan seperti di Hollywood. Industri perfileman Britain yang berpusat di London lebih kecil dan amat berbeza dengan Holyywood yang berpusat di Los Angeles.

Hollywood itu sendiri adalah untuk filem semata-mata. Tekanan yang diterima akibat populariti adalah sesuatu yang sukar untuk ditangani dan saya faham perasaan mereka.

Ada kalanya saya bersimpati dengan mereka kerana lakonan boleh memusnahkan kehidupan peribadi. Sikap ingin tahu peminat boleh menyebabkan seseorang artis itu berasa terganggu.

Contohnya apabila saya terlibat dalam filem Harry Potter, saya mempunyai perasaan kekok kerana merasakan di mana saya berada, semua orang mengenali saya. Tapi itulah harga yang perlu dibayar sebagai pelakon. Cuma keadaan di England lebih selesa dan ‘selamat’ berbanding Los Angeles.

Anda mempunyai banyak hobi termasuk hoki, seni, menyanyi dan menari. Anda mempunyai masa untuk melakukan semua itu?

Saya menyukai hoki, sukan, tarian dan memasak. Saya tidak pernah menyangka memasak begitu menyeronokkan dan saya pernah memasak pasta, brownies serta kek. Selalunya saya akan membuat kek untuk keluarga, kawan rapat dan juga majlis hari jadi.

Tidak dilupakan saya juga suka menyelam. Sebenarnya, jika saya boleh memiliki kuasa magis, saya ingin bernafas di dalam air. Seperti orang lain, anda akan mencari masa untuk melakukan benda yang disukai.

Anda sering dirakamkan dalam majalah fesyen. Anda juga pernah memberitahu bahawa anda menyukai pakaian serta fesyen. Stail apa yang paling sesuai untuk anda?

Fesyen adalah sesuatu yang menyeronokkan. Ia adalah satu cara anda meluahkan perasaan diri. Secara jujur, saya tidak menyukai satu stail khusus kerana saya suka mencuba semua benda. Walaupun stail saya adalah sesuatu yang biasa ditemui di London, tetapi ia agak moden, aneh dan tersendiri.

The Tale of Despereaux dan Ballet Shoes adalah dua filem yang anda terlibat di luar lingkungan filem Harry Potter. Apakah perasaan anda?

Rasanya Harry Potter telah menjadi sebahagian besar daripada hidup saya. Namun, pengalaman bekerja dalam filem lain amat menyeronokkan kerana saya berpeluang untuk bercerita, mempelajari dan menimba pengalaman berbeza. Saya tidak pernah terlibat dalam produksi animasi dan ini satu pembukaan jalan berlainan yang positif.

Anda tidak berhenti sekolah untuk menjadi aktres sepenuh masa. Namun, masih ada golongan yang beranggapan bahawa anda akan berhenti belajar apabila anda menjadi aktres.

Saya akan memasuki universiti pada September tahun ini. Pada saya, belajar di sekolah mendekatkan diri saya dengan realiti dan gembira. Saya suka proses pembelajaran dan berjumpa dengan rakan-rakan saya. Memasuki universiti adalah impian saya kerana pendidikan amat penting dalam hidup.

Kini anda sedang berehat sebelum memasuki universiti. Ada sumber yang menyatakan anda sudah mendapat tempat di Trinity College, Cambridge. Sudah terfikir kursus yang ingin diambil?

Harap-harap Bahasa Inggeris. Namun, rasanya saya sedang memikirkan tentang universiti di Oxbridge atau Ivy League.

Kosmo

Old People Hooking Up

6 Mar

New York jingle writer and failed composer Harvey Shine (Dustin Hoffman) isn’t having the best of days. He’s in London to attend his daughter’s wedding, but her stepdad’s giving her away instead.

He misses his flight home and is summarily sacked over the phone when he rings his boss. Enter a charming yet sardonic Englishwoman (Emma Thompson) and, what do you know, life’s looking up again.

The predictable story might be wafer thin and schmaltzy. But when the performances come from Academy-Award winning leads – Hoffman plays Harvey with a bemused dexterity that only an actor of his stature can, while Thompson is her usual seemingly effortlessly charming self – it’s still heaps better than the insipid young rom-coms churned out year after year.

Channel News Asia

Di Luar Lingkaran: Yahudi Gunakan 'Sinema Holocaust' Demi Propaganda

24 Jan

Oleh Johan Jaaffar

154 filem dalam masa 62 tahun corakkan minda penonton
TIDAK banyak orang yang tahu bagaimana budaya popular digunakan secara berkesan oleh bangsa Yahudi untuk mempengaruhi pemikiran dunia. Paling berpengaruh tentulah seni filem. Kita semua tahu bahawa industri filem di Hollywood dikuasai oleh kaum Yahudi. Bukan saja pengeluar filemnya Yahudi tetapi pengarah filem dan ramai pelakon pentingnya juga berbangsa Yahudi. Kita bukan bercakap tentang filem cereka saja tetapi juga drama dan siri TV popular.

Filem telah digunakan secara strategik oleh pembikin filem Yahudi sejak sekian lama untuk mengingatkan dunia tentang ‘kesalahan’ Adolph Hitler dan Jerman sewaktu di bawah kekuasaan Nazi. Pelbagai filem muncul bagi menunjukkan bagaimana askar dan pemerintah Jerman ketika Perang Dunia Kedua begitu kejam dan patut dibenci. Kita sebagai penonton menyaksikan bagaimana askar Sekutu mengalahkan tentera Jerman. Kita turut teruja dengan adegan perang yang begitu dramatik sambil menyorakkan kemenangan tentera Sekutu terhadap Jerman.

Dalam konteks yang sama kita juga diperingatkan tentang angkara Hitler dan konco-konconya dalam Peristiwa Holocaust. Ia dikaitkan dengan ‘Penyelesaian Terakhir’ Hitler untuk menghapuskan kaum Yahudi dari Jerman. Salah satu caranya ialah dengan membunuh kaum Yahudi beramai-ramai sama ada di kamar gas (gas chamber) atau dengan cara menembak mereka. Menurut riwayatnya enam juta kaum Yahudi menjadi mangsa ‘pembersihan etnik’ (pogrom) Nazi pada masa itu.

Selepas Perang Dunia Kedua, kaum Yahudi yang mulai bertapak kuat dalam pelbagai sektor niaga mendapat kekuatan baru. Mereka bukan saja memburu orang kanan Hitler yang melarikan diri tetapi juga menggunakan wang dan kreativiti mereka menggunakan budaya popular bagi kepentingan mereka. Maka lahirlah filem yang bertemakan Holocaust. Muncullah apa yang dikenal sebagai ‘Sinema Holocaust’.

Sebaik-baik saja Perang Dunia Kedua berakhir pembikin filem Yahudi memula langkah menggarap penganiayaan ke atas kaum Yahudi serta kekejaman Nazi ke atas mereka. perbuatan Nazi di Jerman. Di antara filem pertama mengenai Holocaust ialah The Stranger arahan Orson Welles yang dibuat pada tahun 1946. Filem ini dipercayai yang pertama menggunakan filem arkib dari kem-kem tahanan (concentration camps) untuk Yahudi.

Sejak itu, sehingga tahun 2008, telah muncul 154 buah filem yang bertema atau menggunakan Peristiwa Holocaust. Ini bermakna secara purata 2.4 buah filem setahun dalam masa 62 tahun itu. Kebanyakan filem ini dikeluarkan oleh Hollywood, selebihnya oleh karyawan filem Yahudi atau yang bersimpati dengan mereka di Eropah. Dalam kajian yang dibuat oleh Annette Insdorf dalam bukunya Inedible Shadows, beliau menyenaraikan 272 buah filem yang boleh dikategorikan dalam ‘Sinema Holocaust’ di antara 1939 hingga 1989. Beliau memasukkan apa saja filem yang merujuk atau memberikan implikasi peristiwa itu. Ini bermakna rujukan tidak langsung peristiwa itu juga dimuatkan. Menurut beliau di antara tahun 1990 hingga 2003, terdapat 170 buah filem lagi dalam kategori itu.

Sebagai penonton, kita melihat drama manusia yang luar biasa. Kita mengagumi kreativiti mereka. Kita melihat mutu pembikinan filem yang baik – pengarahan terpuji, lakonan mengagumkan dan cerita yang sentiasa menarik. Tanpa kita sedari mesejnya sampai pada kita. Bangsa Yahudi dianiaya. Kita patut bersimpati. Dan siapapun yang melakukan kekejaman ke atas mereka harus dikutuk.

Filem-filem ini tidak saja memenangi hati penonton tetapi juga pengkritik. Malah banyak yang memenangi hadiah termasuk Hadiah Akademi. Filem mengenai Holocaust yang pertama mendapat Hadiah Akademi ialah The Diary of Anne Frank pada tahun 1959. Filem ini memenangi tiga hadiah, Pelakon Wanita Pembantu Terbaik (Shelly Winters), arahan seni dan sinematografi. Selepas itu banyak lagi filem Holocaust yang memenangi Hadiah Akademi. Kisah diari gadis sunti Yahudi bernama Anne Frank ini banyak difilemkan selepas itu. Malah Anne Frank menjadi simbol kekuatan kaum Yahudi menentang Nazi Jerman.

Pada tahun 1976 muncul pula sebuah filem arus perdana yang membawa kisah seorang anggota Nazi yang lari ke sebuah negara di Latin Amerika. Marathon Man dilakonkan oleh Dustin Hoffman dan Laurence Olivier. Olivier membawakan watak pelarian Nazi. Filem berlatar belakang Holocaust mendapat perhatian semula apabila Sophie’s Choice memberi kemenangan Pelakon Wanita Terbaik pada Meryl Streep kerana membawakan watak seorang ibu Yahudi dari Poland yang harus membuat keputusan anak yang mana harus dikorbankan.

Filem Holocaust yang paling banyak memenangi Hadiah Akademi ialah Schindler’s List arahan Steven Spielberg pada tahun 1993. Filem ini memenangi Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Adaptasi Terbaik, Sinematrografi Terbaik, Penyuntingan Terbaik, Arahan Seni Terbaik dan Muzik Asal Terbaik, tujuh kesemuanya. Filem ini mengisahkan seorang usahawan Jerman bernama Oskar Schindler yang menyelamatkan lebih 1,000 orang Yahudi dari dibunuh. Filem ini memaparkan keganasan seorang komandan kem tahanan bernama Amon Goth yang dilakonkan oleh Ralp Fiennes.

Pada 2002 sebuah filem yang menggunakan kisah pemain piano berbangsa Yahudi dari Poland bernama Wladyslaw Szpilman mucul. Filem The Pianist memenangi tiga Hadiah Akademi termasuk Pelakon Lelaki Terbaik pada Adrien Brody. Brody juga memenangi Pelakon Lelaki Terbaik di Cannes, kali pertama pelakon dari AS mendapat kemenangan sedemikian. Bagi kebanyakan orang, filem mengenai Holocaust selalu menarik perhatian juri yang dipengaruhi oleh establishment Hollywood yang pro-Yahudi.

Pada tahun ini akan muncul beberapa buah filem arus perdana lagi mengenai Holocaust, di antaranya Defiance, Valkyrie, The Boy in Striped Pajamas, The Reader, Adam Resurrected dan Good. Walaupun filem Valkyrie bukan mengenai Peristiwa Holocaust tetapi kisah seorang berpangkat kolonel dalam tentera Jerman bernama von Stauffenberg (lakonan Tom Cruise) yang cuba membunuh Hitler berpunca dari ketidaksenangannya mengenai cara Hitler cuba ‘menyelesaikan’ masalah Yahudi.

Bagi pembikin filem Yahudi dan simpatisan mereka ‘Sinema Holocaust’ mempunyai fungsi yang tersendiri. Mereka menggunakan filem sebagai alat propaganda yang penting dalam mengartikulasikan pendirian mereka. Juga untuk menarik simpati pada bangsa mereka. Mereka juga memberikan ingatan pada dunia tentang kekejaman Nazi ke atas bangsa mereka. Semuanya dilakukan secara kreatif, halus dan penuh berseni.

Kita terlupa misalnya bahawa watak Superman dicipta oleh Jerry Siegel dan Joseph Shuster dalam bentuk komik untuk menaikkan semangat bangsa Yahudi. Superman ialah lambang penting bagi tujuan itu. ‘Kal-El’ dalam cerita Superman ialah ‘Tuhan’ dalam Bahasa Hebrew. Komik yang bermula pada bulan Jun 1938 itu kini menjadi bahan buku, filem dan imej popular yang dipakai oleh kanak-kanak di seluruh dunia – termasuk kanak-kanak Muslim. Begitu berpengaruh watak Superman ini hingga kedua-dua penciptanya tersenarai sebagai tokoh penting dalam buku The Jewish Contribution to the 20th Century yang disusun oleh Alan Symons. Mereka juga tersenarai sebagai 100 tokoh penting Yahudi yang dibuat oleh Michael Shapiro.

Beginilah cara bijak yang digunakan oleh kaum Yahudi untuk menawan hati dan perasaan masyarakat dunia. Budaya popular seperti filem, muzik dan novel menarik perhatian jutaan pembaca dan penonton. Dalam era di mana maklumat menentukan siapa yang berkuasa, mereka menguasai media. Media di tangan mereka membolehkan mereka bukan sja menentukan agenda pemikiran tetapi turut mencorakkan nilai dan kecenderungan manusia.

Siapapun yang menguasai minda akan dapat menjajah sesiapapun.

Berita Harian

Qi Yu Wu's One Hot Talent

11 Aug

SINGAPORE : From the time Qi Yu Wu won the Star Search competition on September 15, 1999, Lady Luck has been smiling down on him.

Even as a newbie, meaty TV roles kept gravitating his way – think “My Genie”, “The Peak” and “The Champion”. The Guangzhou-born actor has been among the Top 10 male artistes at the Star Awards three times from 2004 to 2006. He’s also been nominated for the Best Actor trophy twice for 2004’s “Room in My Heart” and 2006’s “CID”.

And that’s far from enough for him. The 31-year-old wants to be a “great actor … the best”. “I can’t rely on luck forever,” he told TODAY in an interview, where he switched between English (he has improved by leaps and bounds) and Mandarin. When the soft-spoken actor made up his mind to take matters into his own hands, he put paid to what would have remained a small-screen career.

Today, the nobody who left his hometown and family for Singapore nine years ago in search of golden opportunities is a movie star in his own right.

Having headlined four movies so far – “The Leap Years”, “The Home Song Stories”, “881” and the latest, Royston Tan’s “12 Lotus” – Qi can brag to have starred alongside international actress Joan Chen, and to having rubbed elbows with famous directors at the various international film festivals he has attended.

And he’s not done yet. This foreign talent, who lists Dustin Hoffman, Gene Hackman and Meryl Streep as his favourite actors, wants to bring an Oscar back to Singapore.

Channel News Asia

Fobia Orang Ternama

7 Aug


SETIAP orang pasti memiliki sikap fobia. Ada yang fobia terhadap haiwan-haiwan seperti lintah atau ular, fobia terhadap makanan, warna, bau dan sebagainya.

Sama seperti manusia lain, golongan artis juga mempunyai ketakutan dan fobia tersendiri. Pada kebiasaan ketakutan ini wujud akibat pengalaman lampau atau terjadi kerana sesuatu yang menggelikan.

Ada di antara ketakutan yang dialami golongan artis merupakan sesuatu yang turut digeruni kita. Namun, ramai juga di antara mereka yang memiliki fobia ganjil seperti aktor berusia 63 tahun, Michael Douglas. Dia fobia terhadap bulu ketiak wanita sehingga kini selepas melihatnya buat kali pertama semasa berusia 16 tahun.

Pengarah, Woody Allen pula dikatakan takut terhadap sinaran matahari, orang ramai dan kanak-kanak.

Aktres seksi, Pamela Anderson pula pernah mendedahkan bahawa dia takut untuk melihat bayangannya sendiri dan tidak menyukai cermin.

Aktres Rachel Bilson pula takut terhadap hantu dan pelakon kacak, Orlando Bloom pula takut khinzir.

Manakala David Boreanaz pula takut dengan air terjun dan ikan kerana sisiknya. Minggu ini, mari kita melihat apa lagi ketakutan yang dirasai oleh golongan artis yang mungkin juga merupakan fobia anda.

Gwen Stefani gerun gemuk

Menjadi kanak-kanak yang gemuk semasa kecil telah membuatkan Gwen Stefani sentiasa berhati-hati dengan isu berat badan.

Penyanyi yang popular dengan lagu No Doubt ini memberitahu dia sentiasa bergelut dengan masalah kegemukan semasa sedang membesar dan telah bekerja keras untuk mengekalkan bentuk badannya.


SI jelita Gwen Stefani fobia dengan berat badan berlebihan.

Gwen yang baru-baru ini mengandungkan anak keduanya menyatakan, “Di sekolah, saya selalu berharap saya adalah gadis yang kurus kering dan boleh makan apa sahaja yang disukai. Tetapi hakikatnya, saya selalu perlu bersenam.

“Barat badan saya sentiasa berubah dan saya sangat gemuk semasa berusia 16 tahun. Saya berasa geram dengan perubahan berat badan dan membuat keputusan menyertai pasukan renang. Saya bernekad untuk tidak menjadi gadis gemuk lagi.

“Semenjak itu, saya berupaya mengawal berat badan tetapi ia amat membosankan. Kini baru saya sedar betapa bodohnya perbuatan saya dulu kerana tiada siapa yang peduli kecuali diri saya sendiri.”

Gwen yang berkahwin dengan Gavin Rossdale juga mendedahkan bahawa masalah berat badan membuatkan dia berasa tidak yakin.

“Saya bukannya jenis orang yang pemalu. Namun, semasa zaman remaja, saya sentiasa berasa tidak yakin. Dan saya masih mengingati perasaan saya yang tidak gembira kerana bentuk badan dan sentiasa berharap supaya tidak gemuk,” katanya kepada majalah OK!.

Keira tidak mahu jadi penyanyi

Lakonan mungkin tidak menjadi satu masalah besar bagi Keira Knightley tetapi aktres ini memberitahu penggambaran untuk filem terbarunya adalah satu pengalaman paling menakutkan dalam hidupnya.


KEIRA KNIGHTLEY

Ini kerana aktres ini perlu menyanyi dalam filem The Edge of Love, di mana dia memainkan watak Vera Philips iaitu kekasih kepada Dylan Thomas.

Kiera mengaku bahawa menyanyi adalah sesuatu yang sukar, “Saya ada menghadiri kelas latihan vokal kerana saya tidak boleh menyanyi. Selepas itu pengarah, John Maybury meminta saya menyanyi secara live di hadapan 100 pelakon tambahan.

“Saya tidak pernah berasa begitu takut sepanjang hidup saya dan saya tidak mahu melakukannya sekali lagi. Saya tidak mahu menjadi penyanyi rock.”

Dalam filem ini yang turut dibintangi oleh Sienna Miller, Cillian Murphy dan Matthew Rhys, Keira menyampaikan lagu Blue Tahitian Moon, Maybe It’s Because I Love You Too Much dan Drifting And Dreaming.

The Edge of Love yang ditulis oleh ibu Keira, Sharman Macdonald berlatarbelakangkan Perang Dunia Kedua.

Katherine Heigl takut hospital

Siapa sangka pelakon yang popular dengan drama Grey’s Anatomy, Katherine Heigl sebenarnya takut dengan hospital sebelum ini.

Aktres ini yang menerima pelbagai pujian menerusi filem terbarunya, 27 Dresses kehilangan adiknya, Jason dalam satu kemalangan kereta pada tahun 1986. Dan dia memberitahu insiden itu telah mengubah kehidupannya sama sekali termasuk pemilihan program televisyen.

“Semasa saya berusia 27 tahun, saya menyertai produksi Grey’s Anatomy. Saya risau saya akan berlakon dengan ganjil kerana saya tidak mampu menyaksikan drama seperti ER. Drama seperti itu dan hospital membuatkan saya berasa cemas,” jelasnya.


KATHERINE HEIGL sering cemas bila berada di hospital.

Namun, Katherine kini sedar penglibatannya dalam drama popular ini dapat membantu mempromosikan aktiviti amal, derma organ.

“Saya sedar ini adalah subjek sensitif. Tiada siapa yang mahu bercerita mengenai apa yang mungkin berlaku pada masa akan datang. Dan ia adalah sukar bagi manusia untuk berfikir mengenai derma organ ketika berdepan dengan krisis.

“Tetapi kita semua perlu sedar dengan kekurangan organ dan ramai orang yang memerlukan bantuan,” tambahnya lagi.

Gelaran seksi Matt Damon

Aktor Matt Damon pula berasa risau dan takut dia akan kehilangan gelaran lelaki paling seksi. Pelakon The Bourne Ultimatum yang diberikan gelaran itu tahun lalu oleh majalah People memberitahu dia yang menaikkan berat badan sebanyak 13 kilogram untuk filem terbaru arahan Steven Soderbergh, The Informant mungkin tidak lagi layak untuk memegang posisi tersebut.

“Saya rasa saya akan kehilangan gelaran itu,” katanya dengan perasaan sedih.

Pelakon ini yang pernah memenangi anugerah Oscar sebagai penulis bersama filem Good Will Hunting bersama rakan rapatnya, Ben Affleck bagaimanapun memberitahu dia menikmati proses menggemukkan badan untuk watak itu.

“Bukannya saya perlu menjadi sangat gemuk. Cuma saya perlu kelihatan tembam. Apa yang dilakukan adalah cuma berhenti senaman dan makan apa yang dikehendaki.

“Saya banyak mengambil makanan segera seperti burger dan minum bir. Ia amat menyeronokkan,” tambahnya.

Dustin Hoffman tidak mahu bersara

Berusia 70 tahun, Dustin Hoffman berasa takut setiap kerja yang dilakukannya adalah yang terakhir baginya. Pernah memenangi dua anugerah Oscar, aktor ini mengalami perasaan tidak yakin yang kronik mengenai dirinya yang telah lama berkecimpung dalam dunia hiburan.

Dan kini Dustin sentiasa takut bahawa karier lakonannya akan berakhir tidak lama lagi.

“Setiap kali sesebuah projek berakhir, saya mempunyai perasaan seperti saya tidak akan bekerja lagi. Saya telah berlakon selama 50 tahun dan sentiasa bersyukur apabila menerima watak baru. Sehingga hari ini saya berasa lega apabila ditawarkan kerja,” katanya.

Oleh itu, aktor ini telah bersumpah bahawa dia akan bekerja sehingga badannya tidak mengizinkan. Dia yang belum bersedia untuk bersara memberi kredit kepada rupa parasnya kerana mampu bertahan lama dalam industri.

“Saya sukakan rupa paras saya yang menjadi tua dengan natural. Saya akan terus bekerja selagi yang badan saya mampu menanggung,” jelas Dustin yang baru menyumbang suara kepada animasi popular, Kung Fu Panda.

Insomia teruk Matthew Perry

Tidur adalah sesuatu yang diperlukan oleh manusia untuk merehatkan badan tetapi Matthew Perry telah mengalami masalah insomia yang tidak boleh diubati kerana dia takut untuk tidur.

Bekas pelakon drama popular Friends ini mengaku dia cuba pelbagai cara untuk relaks pada waktu malan tetapi belum lagi berjaya mencari jalan penyelesaian kepada masalahnya ketakutan luar biasa itu.

“Saya sudah membeli katil yang selesa, menyalakan lilin untuk mencipta atmosfera relaks dan memasang muzik tenang semasa menggosok gigi. Tetapi semua itu tidak berjaya membuatkan saya tidur.

“Ia amat sukar untuk melelapkan mata. Apabila saya cuba tidur, perasaan takut mula melanda diri saya,” luah Matthew.

Mandy Moore bebas kuman

Penyanyi dan pelakon popular, Mandy Moore pula mempunyai fobia terhadap kuman dan bakteria yang boleh dilihat menerusi mikroskop. Dia akan membawa tisu anti kuman di sisinya untuk melindungi dirinya daripada dijangkiti kuman.

“Saya takut dengan kuman. Oleh itu saya akan membawa tisu anti bakteria semasa saya mengembara. Saya rasa fobia terhadap kuman bukan sesuatu yang ganjil.

“Ini kerana saya perlu berdepan dengan ramai orang dan berjabat tangan. Jadi saya tidak mahu dijangkiti kuman dan jatuh sakit,” katanya.

Mandy bukannya satu-satu artis yang takut dengan kuman. Gwyneth Paltrow juga dilaporkan memastikan rumahnya adalah bebas kuman.

Aktres ini yang mempunyai dua orang anak, Apple, 4, dan Moses, 2, dengan suaminya, Chris Martin begitu paranoid dengan bakteria sehingga dia tidak pernah menggunakan tandas awam. Dia juga membawa berus sendiri untuk memberus tandas hotel sebelum menggunakannya.


MANDY MOORE membawa tisu khas membasmi kuman.

Kosmo

Aktor Kungfu Panda Pamer

29 Jun

LONDON – Bintang filem Jack Black (gambar) sempat membuat demonstrasi aksi seni mempertahankan diri di hadapan para peminat yang datang sempena tayangan perdana hit komedi animasi Kung fu Panda di sini kelmarin.

Turut tidak ketinggalan pelakon pembantu, Lucy Liu dan Dustin Hoffman dengan demonstrasi seni pembuatan origami. Black memegang suara watak utama beruang panda Po yang bercita-cita menjadi wira kung fu.

Namun Angelina Jolie dan Jackie Chan yang juga pelakon suara karakter dalam filem itu tidak kelihatan. Cereka ini sudah ditayangkan sejak Festival Filem Cannes pada Mei lalu.

Para peminat yang berkumpul untuk acara karpet merah Kung Fu Panda di Dataran Leicester turut dihiburkan dengan persembahan tarian naga, aksi watak kartun filem itu dan demonstrasi kung fu. – Agensi

Kosmo

Bukan Pada Niat Dan Besar Perbelanjaan

17 Jun

PENSIL membuktikan bajet bukan penghalang kepada kekuatan mesej sosial dalam sesebuah garapan filem.

KEHEBATAN sesebuah filem tidak terletak pada besar atau kecil bajetnya. Begitu juga buruk baik sesebuah filem tidak terletak pada niat sesebuah filem dihasilkan.

Pemilihan subjek dan olahan naratif akan banyak membantu kejayaan sesebuah filem. Niat moral dan pemilihan subjek yang baik bagi sesebuah filem, tetapi jika diolah dengan buruk, pastilah filem itu tidak akan mampu menarik perhatian khalayak.

Itu yang terjadi kepada filem Pensil, karya dan arahan M. Subash, yang juga turut memegang watak utama dalam filem ini. Ia mempunyai niat dan moral yang cukup baik iaitu mengangkat subjek yang jarang mahu diketengahkan oleh pembikin filem tempatan masa kini.

Kebanyakan pembikin filem hari ini nyata lebih tertarik dengan komedi kasar, kisah cinta remaja, kisah-kisah hantu atau filem aksi-cemas dengan lagak ngeri pemandu kereta atau motosikal.

Subjek-subjek ini seakan menjadi jaminan kepada sambutan hebat penonton yang akan menjanjikan pulangan lumayan.

Filem Pensil menongkah arus, melihat kepada sekelompok kecil ahli masyarakat yang terpinggir dan tidak dihiraukan masyarakat iaitu nasib ahli masyarakat yang cacat dan yang dicemuh.

Dari aspek cerita, watak orang cacat adalah kisah yang mudah mendapat perhatian dan simpati khalayak penonton. Bagaimanapun dari sudut naratif, bukan soal meraih simpati atau kasihan serta air mata khalayak yang paling penting dalam menonjolkan watak orang cacat atau orang yang terpinggir serta dicemuh.

Tetapi bagaimana watak tersebut sebaliknya mampu mengagumi khalayak penonton melalui kehebatan peranan dan perwatakan mereka.

Watak-watak pemuda cacat dalam filem My Left Foot (lakonan Daniel Day Lewis) dan The Rain Man (lakonan Dustin Hoffman) adalah dua watak manusia cacat yang cukup dikagumi penonton kerana kehebatan dan kebijaksanaan bukan hanya simpati disebalik kecacatan yang mereka hadapi.

Masalah dalam Pensil, watak Badrul (lakonan M. Subash) pemuda cacat saraf akibat demam panas semasa kecil hingga mengakibatkan kecacatan fizikal serta mengganggu kelancaran pengucapannya adalah usaha untuk meraih simpati daripada khalayak penonton melalui adegan deraan dan kelemahan diri akibat kecacatan tersebut.

Akibat deraan keterlaluan daripada ibu tirinya (Maimunah Talib) yang langsung tidak menaruh perasaan kasih serta gambaran kecacatan fizikal yang keterlaluan telah menyebabkan penonton hilang minat untuk mengikuti perkembangan watak ini.

Mujurlah adegan-adegan kemesraan antara Badrul dengan neneknya (Ruminah Sidek) mampu menyuntik elemen komikal dan menyeimbangkan adegan-adegan dalam filem ini daripada terjerumus ke dalam drama air mata dan kebencian.

Kelebihan bakat seni yang ada pada Badrul iaitu kepandaiannya melukis dengan pensil seharusnya dapat eksploitasi dengan lebih baik lagi oleh pengarah dan penulis filem ini.

Elemen istimewa watak ini pada saya tidak dieksploit dengan lebih besar lagi hingga mampu meninggalkan unsur kekaguman bukan sahaja kepada penonton tetapi dikalangan watak-watak dalam filem ini sendiri.

Sebaliknya kehebatan bakat luar biasa Badrul ini hanya disedari oleh neneknya sahaja yang cukup memahami kerana dia sendiri pernah menimpan cita-cita untuk menjadi penyanyi dan penari di atas pentas.

Lebih malang lagi apabila akhir cerita tidak digambarkan pun erti penyesalan dan sokongan perasaan besar hati daripada ibu tiri dan datuk Badrul yang sebenar yang terus mabuk dari muda hingga ketua.

Filem Pensil membawa makna yang menarik dalam erti kehidupan ini. Ia mahu mengambarkan erti kecacatan yang ada pada diri dan jiwa manusia.

Golongan kurang upaya (cacat fizikal) digambarkan mempunyai hati yang mulia tetapi yang sempurna fizikal seperti ibu tiri, datuknya, Zaiton adik ibu tirinya (lakonan Khatijah Tan) serta watak pemuda trauma (lakonan Jalil Hamid) yang mempunyai fikiran yang songsang sebaliknya mempunyai jiwa yang rosak dan cacat.

Biarpun Pensil dihasilkan dengan bajet yang kecil, tetapi sekali lagi ia bukan alasan untuk pembikin filem ini berjiwa kecil.

Bukan sahaja naratifnya perlu diolah dengan bijak (kisah orang cacat yang sudah jatuh ditimpa tangga, sudah ketinggalan) dengan elemen sinematik dan nilai estetika yang tinggi, tetapi pendekatan visual filem ini juga tidak perlu dikompromi.

Penggunaan video digital bukan bermakna pendekatan sinematik tidak dapat dilakukan dalam pembentukkan imej-imejnya.

Malangnya Indera Che Muda selaku pengarah fotografi filem ini lebih gemar membuat pendekatan seperti menghasilkan sebuah drama televisyen tanpa memanfaatkan landskap dan nilai pencahayaan yang semakin boleh ditangkap oleh kamera digital untuk memberikan mood dan latar visual yang lebih bermakna.

Jika ini semua dapat dilakukan sebuah filem seperti Pensil akan lebih bermakna dan menjadi lebih menarik.

Arahan: M. Subash Lakon layar: M. Subash Pelakon: M. Subash, Maimon Talib, Jalil Hamid, Khatijah Tan, Ruminah Sidek, dan lain-lain.

Utusan Malaysia