Archive | Eizlan Yusof RSS feed for this section

Anita, Stacy Gegarkan ABPBH2008!

11 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Gabungan baru dan lama menghangatkan persembahan di malam kemuncak anugerah ke-22 ini

KELINCAHAN penghibur berusia 57 tahun, Anita Sarawak di pentas sentiasa memukau. Tenaga serta aura luar biasa yang dimiliki penyanyi hebat ini sentiasa menyalur kehangatan yang sukar diungkapkan dengan perkataan.

Biar bersilih ganti penyanyi datang dan pergi, Anita kekal di hati pencinta bakatnya dan berdiri selesa dalam liga yang tersendiri.

Tidak tercabar, tiada tandingan membuatkan nama yang begitu sinonim dengan lagu rancak seperti Tragedi Buah Epal dan Akhirnya Kini Pasti selain sentuhan balada antaranya Cintamu Muzik Di Hatiku dan Asmara terus mekar dalam sanubari pencinta seni.

Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Arena Of Stars, Genting Highlands, malam esok sekali lagi menyenaraikan nama Anita sebagai antara penghibur yang bakal menghangatkan siaran dipancarkan secara langsung menerusi TV3 itu.

Menyuntik kelainan selain meraikan kehebatan aksi dua bintang berbeza era, Anita yang membuka tirai persembahan dengan Akhirnya Kini Pasti akan ditemani Stacy yang membawakan lagu terbarunya, Gagap.

Bertarung kreativiti dan kekuatan koreografi, kedua-dua penyanyi hebat ini akan menghangatkan pentas dengan gerak tari memukau digarap istimewa untuk kemuncak ABPBH 2008.

Seperti kata Stacy, mengadakan persembahan pada kemuncak acara hiburan berprestij seperti ABPBH 2008 sememangnya menjadi impian terutama untuk penyanyi yang sedang bertapak sepertinya.

“Latihan dibuat sekitar dua minggu kerana saya mementingkan kesempurnaan setiap kali menaiki pentas. Biarpun sudah biasa membawakan lagu Gagap, latihan tetap dipergiatkan kerana saya perlu mencari kelainan untuk acara berprestij seperti ABPBH 2008,” katanya.

Selaras dengan objektif penganjuran ABPBH 2008 yang mengiktiraf penggiat seni pelbagai cabang hiburan, peranan peminat yang selama ini menjadi tunggak pemacu industri juga tidak dipinggirkan.

Justeru persembahan yang dirangka memenuhi kehendak serta kepelbagaian cita rasa kelompok pencinta seni berbeza usia dan kegemaran.

Aspek utama yang ditekankan pada ABPBH 2008 adalah sajian lagu menghiburkan, mencakupi kepelbagaian genre yang membentuk acuan kepada industri hiburan.

Keistimewaan lain yang dijangka memberi warna pada malam kemuncak ABPBH 2008 ialah gabungan kumpulan rock generasi baru, Kristal bersama tiga penyanyi terkenal era 60-an, Datuk A Rahman Hassan, L Ramlie dan Jefrydin.

Gandingan mereka dijangka meledakkan lagi kehangatan ABPBH 2008 apabila bersatu membawakan medley popular seperti Ayahku Kahwin Lagi, Kenanganku dan Tak Mengapa.

“Elemen menarik ini mampu memberi warna kepada perjalanan ABPBH 2008, malah dijangka membangkitkan kejutan kerana jarang gandingan seperti ini dibawa dalam acara hiburan yang menerima liputan meluas”, kata Pengerusi Pengelola ABPBH 2008 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah.

Jamal, Siti, Faizal Tahir merancakkan suasana ABPBH2008

Membariskan nama terbaik, popular serta terkini, acara gemilang itu turut mengiktiraf kehebatan bakat muda seperti Aizat, Farah Asyikin, Faizal Tahir dan Hujan apabila diberi ruang mempamerkan kelebihan mereka di pentas ABPBH 2008.

Setiap mereka akan mempersembahkan lagu popular dan lebih istimewa, buat pertama kali Faizal memperdengarkan secara eksklusif single terbaru yang sedang hangat mendapat putaran radio, Bencinta.

Edisi terbaru ABPBH kata Hanizam, memberi penghormatan kepada pelapis industri kerana mereka ialah penerus legasi yang dicetuskan oleh penggiat seni terdahulu.

“Tiada yang lama maka tiada yang baru. Dalam gemerlapan kerdipan bintang yang diraikan, ABPBH 2008 tidak sesekali meminggirkan mereka yang berjasa serta memberi sumbangan kepada pembangunan industri.

“Peranan mereka sentiasa dikenang ABPBH dan kerana itu slot persembahan dirangka untuk memberi kepuasan kepada semua,” katanya.

ABPBH 2008 juga bakal menyaksikan persembahan istimewa daripada penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza yang mempersembahkan lagu terbaru dipetik daripada produksi Lantera Timur, Di Taman Teman.

Satu segmen khas juga disediakan menyaksikan gandingan penyanyi seperti Jamal Abdillah, Sarah Raissuddin, Ayu (OIAM) dan Diddy yang mempersembahkan medley lagu popular sepanjang zaman.

ABPBH 2008 bakal digamatkan dengan gabungan dua pengacara kreatif, Adlin Aman Ramlie dan Sharifah Shahira yang diberi tanggungjawab berat untuk menerajui program selama dua jam setengah itu.

Ia diserikan dengan kehadiran nama seperti Rozita Che Wan, Ayu Raudhah, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Mawi & Ekin, Lisa Surihani, Farid Kamil, Fizo Omar, AG, Kieran, Zizie Ezette, Nora Danish, Que Haidar & Linda Jasmine, Maya Karin, Eizlan Yusof, Amy Mastura, Norish Karman dan Umie Aida sebagai penyampai trofi.

Berita Harian

Advertisements

Elok Siar Semula Jaguh-Jaguh Dorong Generasi Muda Minat Sukan

17 Mar

TAHNIAH kepada Datuk Lee Chong Wei kerana berjaya memenangi Kejohanan Siri Super Switzerland. Kejayaan itu secara tidak langsung menamatkan badi kepada Lin Dan sejak kekalahan teruk di final Sukan Olimpik Beijing. Semoga dengan kemenangan kali ini dapat meningkatkan motivasi beliau untuk lebih berjaya pada masa depan.

Kejayaan itu perlu dicontohi pemain badminton negara yang lain dan atlit sukan negara secara keseluruhannya. Chong Wei berjaya membuktikan pemain Malaysia mampu menyaingi pasukan gergasi badminton dunia seperti China yang mendominasi pentas saingan badminton dunia sejak akhir-akhir ini.

Namun, kita tidak boleh terus menerus meletakkan harapan kepada beliau kerana ia hanya akan mewujudkan tekanan kepadanya. Justeru, tindakan bersepadu perlu dilakukan bagi membantu membangunkan sukan badminton negara.

Antara yang perlu dilakukan ialah pencarian bakat terpendam di pedalaman. Kebanyakan bakat sukan ini kadangkala ada di kampung tetapi tiada pendedahan menyebabkan sukar bagi mereka mengembangkan bakat.

Satu lagi perkara yang kurang diberi penekanan ialah peranan media penyiaran tempatan. Ia perlu memainkan peranan sosial bagi membangunkan sukan tempatan melalui siaran langsung kejohanan yang disertai pemain negara.

Namun, kini stesen televisyen tempatan lebih banyak menunjukkan siaran sukan yang tiada kaitan dengan atlit negara. Siaran secara langsung boleh menimbulkan minat kanak-kanak untuk menceburi bidang sukan itu dan secara tidak langsung memastikan negara tidak kekurangan pemain pelapis pada masa depan.

Saya juga menyarankan televisyen tempatan menyiarkan kembali drama Jaguh-Jaguh lakonan Eizlan Yusof suatu ketika dulu. Drama mengenai sukan badminton ini berjaya menimbulkan semangat masyarakat untuk menjadi jaguh. Seingat saya, setiap kali drama itu disiarkan kebanyakan kanak-kanak sudah sedia menunggu di depan televisyen.

Sekiranya drama itu disiarkan kembali, saya yakin hal seperti ini pasti akan berlaku kepada kanak-kanak generasi masa kini walaupun kebanyakan mereka lebih meminati permainan video.

Perkara itu pernah dilakukan Indonesia melalui penerbitan filem King lakonan Ricky Subagia, iaitu bekas pasangan jurulatih beregu negara itu, Rexy Mainaky. Penerbit filem itu juga mengharapkan penerbitan filem sedemikian dapat meningkatkan minat kanak-kanak Indonesia untuk bermain badminton bagi memupuk bakat baru pada saat badminton Indonesia yang sedang menurun prestasinya.

MUHD ASRI ABD GHANI,

Gelang Patah, Johor.

Berita Harian

Anak Didik Rashid Sibir

20 Feb

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
PENGALAMAN bekerja hampir 10 tahun dengan pengarah Rashid Sibir memberikan kelebihan kepada Haykal (Haykal) Hanafiah untuk membentuk lakonan dan babak menarik dalam drama bersiri Cinta Untuk Ain.

Drama 13 episod ini menampilkan pelakon berpengalaman seperti Que Haidar, Nabila Huda, Eizlan Yusof, Fauzi Nawawi, Ako Mustafa, Sherry Ibrahim, Rahim Jailani dan Rozie Othman. Skrip Cinta Untuk Ain ditulis Akhbar Hashim akan mengisi slot Lestary, ditayangkan setiap Selasa, jam 9 malam di TV3.

Ketika ditemui, di majlis pelancaran drama itu baru-baru ini, Haikal menjelaskan sebagai pengarah baru dia banyak menimba ilmu daripada Rashid sebelum ini.

“Saya tidak nafikan pengaruh Rashid memang ada setiap kali saya mengarah drama kerana saya tidak boleh lari daripada gaya kerjanya memandangkan dia cikgu saya. Banyak ilmu diturunkan Rashid kepada saya. Sejak mula membabitkan diri dalam bidang penerbitan drama mahupun filem sehinggalah sekarang.

“Sebelum mengarah saya pernah menjadi pengurus produksi milik Rashid dan diberi tanggungjawab selaku penolong pengarah dan diangkat menjadi pengarah dalam beberapa drama terbitan Opera Klasik.

“Kalau ada yang berkata Cinta Untuk Ain ada iras dengan drama arahan Rashid, saya tidak boleh menafikan. Kalau selama ini ramai memuji karya dihasilkannya mengapa tidak saya mengikut.

“Saya akan menceduk apa saja sekiranya ia boleh memberikan kebaikan atau membuatkan drama arahan saya bagus pada pandangan penonton,” katanya.

Begitupun jelas Haykal, sepanjang penggambaran Cinta Untuk Ain, dia menerapkan gaya pengarahan baru bagi membentuk identiti sendiri supaya penonton tidak menyamakan drama itu dengan karya Rashid.

Mengenai Cinta Untuk Ain, kata Haykal dia tidak menghadapi banyak masalah kerana semua krew dan pelakon sudah biasa bekerja dengannya.

“Walau walaupun temanya cinta tetapi plotnya banyak dan agak berat terutama membabitkan watak utama Ain lakonan Nabila Huda. Ain digambarkan seorang gadis yang mempunyai sejarah silam iaitu pernah dirogol dan dijual bapa tirinya untuk dijadikan pelacur.

“Sewaktu cuba melarikan diri dia terjatuh lalu hilang ingatan. Sepasang suami isteri yang kehilangan anak perempuannya bertemu dengan Ain dan mengambilnya menjadi anak angkat mereka.

“Secara perlahan-lahan sewaktu bertemu dengan Shahrul (Que Haidar) dia mula mengingati sejarah silamnya. Shahrul meluahkan perasaan cintanya pada Ain tetapi gadis itu takut hendak menerimanya kerana bimbang dengan sejarah hitam dialami.

“Bagi memastikan lakonan dihasilkan berkesan selalunya saya akan menggunakan Nabila sebagai senjata dengan memintanya bermain cinta dengan Que. Tetapi perkara seperti ini bukan selalu saya lakukan sebaliknya ia dibuat sekiranya membabitkan babak besar dan penting,” katanya.

Nabila pula meluahkan perasaan seronoknya apabila sesekali diberikan watak berbeza seperti apa yang dilakukan dalam drama Cinta Untuk Ain.

“Sebagai pelakon apabila sering sangat diberikan watak jahat saya berasakan ia tidak lagi memberikan cabaran. Dalam drama ini kali kedua saya memegang watak gadis teraniaya dan memerlukan saya banyak menangis. Kali pertama saya memegang watak seakan sama dalam Laila Majnun.

“Penting sebagai pelakon saya menunjukkan kepelbagaian dalam memainkan watak. Saya mengharapkan Cinta Untuk Ain akan memberi peluang kepada penonton melihat kemampuan sebenar saya,” katanya.

Sementara itu Que menjelaskan kerana dia dan Nabila rakan akrab, apabila membabitkan babak cinta membuatkan dia berhadapan dengan masalah untuk melakukan aksi romantis.

“Nabila suka mengusik saya sewaktu penggambaran dijalankan. Mengambil contoh sewaktu babak kami bernikah, apabila kamera merakamkan wajah saya, dia yang berada di depan akan membuat ‘wajah’ lucu. Sehinggakan saya selalu saja hendak ketawa walaupun waktu itu sebenarnya babak sedih,” katanya

Que turut berasakan bekerja dengan produksi Cinta Untuk Ain cukup mudah kerana semua orang memberikan kerjasama baik dan tahu tanggungjawab masing-masing.

“Bayangkan selepas hampir sebulan berada di lokasi hubungan kami menjadi sangat rapat. Kalau kata babak untuk saya tidak ada dalam dua tiga hari, ada antara kakitangan produksi menghubungi saya dan minta saya datang ke lokasi untuk melepaskan rindu.

“Begitu juga dengan Nabila yang kadang-kadang sanggup bangun awal pagi untuk masak sebelum datang ke lokasi menjamu semua krew termasuk para pelakon yang ada. Ibaratnya kami bekerja dalam satu keluarga yang besar,” katanya.

Harian Metro

Epilog: Filem Pahlawan Mat Kilau Wajar Cetus Kejutan

29 Jan

Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

PADA pertengahan bulan depan, projek filem epik sejarah patriotik berjudul Pahlawan Mat Kilau dijadualkan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Hebahan awal mengenai perancangan filem ini tidak dibuat lagi kerana produsernya masih bersikap ‘merendah diri’ kerana sibuk menjalankan proses praproduksi.

Seperti dimaklumkan kepada akhbar ini, syarikat Lagenda Studios Sdn Bhd menerusi Pengurus Perhubungan Awamnya, Julia Mohamad,

pihaknya masih dalam peringkat awal praproduksi dan berasakan mungkin terlalu awal bagi mereka untuk menggembar-gemburkan rancangan itu, tambahan pula, pengarah dan penerbit masih sibuk membuat tinjauan lokasi di luar negara.

Dalam kenyataannya, dimaklumkan juga selain filem itu bakal ditangani pengarah Rodzee A Razak, filem berkenaan dijangka membabitkan kos sebanyak RM10 Juta.

“Tujuan Lagenda Studios mahu menghasilkan penerbitan filem itu adalah sebagai menyahut seruan kerajaan supaya menjadikan medium filem sebagai satu alat untuk meniupkan semangat patriotisme di kalangan rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara. Ia juga boleh dijadikan teladan kepada generasi masa kini, bagaimana gigihnya perjuangan nenek moyang kita menentang penjajahan.

“Untuk pengetahuan, Lagenda Studios akan mengadakan acara pelancaran dan sidang media mengenainya pada pertengahan Februari sebelum memulakan penggambaran filem pada penghujung Mac 2009,” kata Julia dalam satu kenyataan sambil memohon maaf kerana lambat menghebahkan projek Pahlawan Mat Kilau kepada media massa.

Projek filem ini menjadi sesuatu yang menarik kerana banyak sebab. Pertamanya tentulah kerana berkaitan dengan seorang tokoh perwira Melayu yang berasal dari Mukim Pulau Tawar, Pahang bangkit untuk menentang penjajahan British pada era penghujung abad ke-19 hingga dia menjadi buruan dan menghilangkan diri hinggalah akhirnya muncul semula memperkenalkan dirinya pada awal 1970-an ketika berusia 123 tahun. Keberaniannya dulu yang turut mengkritik golongan bangsawan kerana berbaik dengan penjajah menyebabkan Mat Kilau menjadi sasaran untuk ditangkap dan dihukum tetapi berjaya melarikan diri.

Keberanian Mat Kilau menjadi sebutan ramai dari dulu dan terus dikenang hingga kini. Keberaniannya itu terserlah dengan pelbagai peristiwa termasuklah ketika pada 14 Jun – Pada 1894, tokoh itu bersama pahlawan Melayu Pahang yang lain termasuk Tok Gajah, Bahaman, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi dan Mat Lela berjaya menawan kubu Inggeris di Jeram Ampai.

Lebih menarik bagi Mat Kilau ialah sepanjang kehilangannya selepas menjadi buruan, apa yang dilakukannya. Ini menarik untuk dibongkar dan diceritakan menerusi filem berkenaan. Penyelidikan terhadap susur galur perjuangan, pengembaraan dan persembunyian Mat Kilau harus dipaparkan supaya masyarakat akan lebih jelas untuk mengenai aspirasi dan patriotisme Mat Kilau sebenarnya selain sudah tentu sebagai sebuah filem cereka patriotik, akan ada elemen tokoh tambah yang disesuaikan mengikut mood sebuah filem epik.

Kita berharap menerusi filem Pahlawan Mat Kilau, akan dipaparkan juga bagaimana strategi perang dan ciri keberanian yang menjelma dalam diri tokoh itu. Sudah tentu pihak produksi dari Lagenda Studios sudah membuat kajian terperinci mengenai peribadi dan fizikal Mat Kilau, selain melihat bagaimana gayanya bercakap, cara berjalan, aksinya berpencak silat dan beberapa ciri kehebatannya yang luar biasa. Kajian juga tentunya sudah dibuat untuk melihat bagaimana bentuk khazanah Mat Kilau yang lain seperti pedang, keris, pakaian, kitab, barang persilatan, rumah dan sebagainya yang relevan dengan diri Mat Kilau. Ini semua harus diambil kira dalam menghasilkan epik Pahlawan Mat Kilau.

Sebab kedua yang mengejutkan industri ialah kerana projek filem ini bakal membabitkan bajet RM10 juta, iaitu filem cereka tempatan kedua termahal setakat ini selepas filem cereka Puteri Gunung Ledang terbitan Enfiniti Productions yang membabitkan kos produksi lebih RM16 juta.

Kita berharap Lagenda Studios juga teliti dalam casting atau pemilihan pelakon untuk filem itu kerana kesilapan casting selalunya akan menyebabkan persembahan filem menjadi hambar kerana lakonan tidak meyakinkan serta tidak disertai mutu persembahan yang boleh menggerakkan naratif serta feel filem itu sebagai sebuah cereka yang bermain dengan manusia zaman silam.

Kita berharap pelakon yang membawa watak Kilau akan benar-benar dapat membawa watak tokoh perwira itu dengan berkesan, sesuai dengan lagak fizikal, cara bermain air muka dan mampu menjelmakan ketokohan. Kita bimbang jika tersilap pilih pelakon, ia akan memberi kesan seperti berlaku dalam beberapa filem sejarah seperti Puteri Gunung Ledang apabila M Nasir tidak menyerlah membawa imej hebat Hang Tuah, begitu juga filem Leftenan Adnan yang memperlihatkan Hairie Othman tidak menyerlah sebagai perajurit hebat itu.

Dalam filem Raja Melewar dulu, watak Raja Melewar yang dilakonkan Eizlan Yusof juga tidak memenuhi ciri berkesan dan boleh dianggap sebagai casting yang gagal. Ini menyebabkan ketokohan perwira kita dulu tidak menyerlah dalam filem dan lebih menyedihkan apabila cerita dalam filem itu sendiri tidak begitu berkesan, gagal memberi feel dan semangat kepada penonton dan tidak menggambarkan dengan berkesan milieu zaman yang dibawa dalam skrin.

Filem Pahlawan Mat Kilau wajar mencetuskan kejutan yang bukan saja membanggakan industri filem dan menarik perhatian ramai untuk menonton cereka ini, sebaliknya harus boleh memberi kebanggaan kepada anak Pahang sendiri khususnya serta bangsa kita umumnya. Filem ini kelak harus bertanggungjawab untuk mengangkat imej sebenar Mat Kilau sebagai sebuah naskhah yang bukan sekadar ‘janji ada’ tetapi harus memenuhi agenda sebuah filem cereka patriotik seperti kata pihak produksi Lagenda Studios – ‘menjadikan medium filem sebagai satu alat untuk meniupkan semangat patriotisme di kalangan rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara’. Jika benar ia untuk meniupkan rasa patriotisme, wajarlah ia ditangani dengan baik supaya ia mampu memberi kekaguman dan kebanggaan apabila ia ditayangkan kelak. Pahlawan Mat Kilau akan menjadi perhatian untuk warga filem dan pengkritik yang kini sedang menanti dengan suspen untuk menilai sejauh mana hasil kerja Rodzee. Kita tunggu dan lihat saja nanti.

Kata orang, mati ikan kerana umpan, mati manusia kerana budi…

Berita Harian

Jaga Badan Untuk Lakonan

21 Jan

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Adi Putra

Adi Putra bersyukur rezeki daripada lakonan tidak pernah putus

LIMA tahun mengorak langkah mencipta nama di persada seni lakon negara ini, Adi Putra dilihat sudah berjaya menempatkan dirinya antara pelakon dikenali. Walaupun sering diberikan peranan pembantu, namun lakonannya yang baik membolehkan Adi terus muncul dalam pelbagai judul.

Selain Akhirat dan Histeria yang menemui penonton tahun lalu, Adi juga menghiasi layar lebar filem Anak Halal dan 1957: Hati Malaya. Mungkinkah tahun 2009 akan menyaksikan tuahnya lebih menyerlah apabila jejaka dari Singapura ini ditawarkan watak utama sebuah filem terbitan KasehDia Pictures, berjudul Haq?

Dilancarkan 14 Januari lalu, filem berkenaan bakal diarahkan Fairuz Loy dan C L Hor, yang baru saja menyaksikan filem aksi seni bela dirinya, Kinta, menemui penonton di pawagam.

Bagi Adi, filem terbabit membawa banyak kelainan apabila ia menyentuh soal kekuasaan dan keajaiban. Ia antara lain mengisahkan dua adik-beradik angkat yang mempunyai kuasa luar biasa. Konflik bermula apabila mereka diuji keperitan hidup, godaan kemewahan, wanita dan ketidakpastian antara yang benar dan salah.

“Saya sendiri kini sering berulang-alik ke gimnasium untuk menurunkan berat badan bagi menyesuaikan diri dengan watak diberikan. Selain memberikan penampilan lebih meyakinkan dalam filem terbabit, saya juga berasa lebih cergas apabila bersenam,” kata jejaka peramah ini.

Bersama-samanya menjayakan filem bercorak aksi-thriller berkenaan ialah Zul Huzaimi, Raja Farah, Fatimah Abu Bakar dan Nanu Baharudin (merangkap penerbit bersama).

Filem yang dijangka memulakan penggambaran pada Februari ini diterbitkan KasehDia dengan kerjasama Black Box Pictures, serta dirancang bukan saja untuk pasaran tempatan, bahkan untuk tontonan peringkat antarabangsa.

Mensyukuri rezeki lakonan yang tidak pernah terhenti, Adi turut melahirkan kegembiraan apabila filem Histeria arahan James Lee mendapat sambutan amat membanggakan daripada penonton. Sehingga kini, ia dikatakan sudah pun menghampiri angka RM3 juta. Ketika artikel ini ditulis, beberapa panggung masih menayangkan filem terbitan Tayangan Unggul itu walaupun tempoh wajib tayang sudah pun selesai.

“Saya bukan memuji filem lakonan sendiri, tetapi saya menganggap Histeria antara judul yang wajib ditonton. Ia mampu memberi cita rasa berbeza buat penggemar filem Melayu. James mempunyai pandangan yang cukup berlainan sebagai seorang sutradara sehingga melahirkan perwatakan yang dilihat amat pelbagai.

“Watak saya sebagai Cikgu Helmi sendiri punya kejutannya. Ia sebuah gabungan cerita dan perwatakan yang hangat. Jalan ceritanya juga amat segar, umpama sebuah filem dari Amerika Syarikat,” ujar Adi.

Ketika sesi fotografi ini dilakukan, Adi masih berulang ke lokasi penggambaran drama bersiri berjudul Rozana untuk mengisi slot Samarinda.

Sebanyak 25 episod, drama terbitan Suhan Movies itu menyaksikan Adi berlakon di sisi hero Malaya, Rosyam Nor, Rita Rudaini, Eizlan Yusof, Watie selain seniman berpengalaman Datuk Rahim Razali.

“Bekerja dengan Rosyam begitu menyenangkan. Dia amat memahami tugas kami sebagai pelakon. Apatah lagi saya dan dia sama-sama turut bergelar penerbit. Rosyam sentiasa terbuka untuk perbincangan dan tidak membeza-bezakan mereka yang bekerja dengannya,” cerita Adi yang mengaku Rosyam banyak memberikannya ruang untuk muncul di layar kecil televisyen.

Sebelum Rozana yang ditayangkan Januari ini, Adi terlebih dulu menjalani penggambaran drama bersiri Issendra sebanyak 26 episod, untuk RTM. Drama terbitan bersama isterinya, Aida Yusof, menerusi syarikat Pro Pictures itu turut dilakonkan Fahrin Ahmad, Eira Syazira, Yatt, Jue Aziz dan Faizal Yusuf.

Muncul dengan album Kelahiran

DALAM kerancakan Adi melayari dunia lakonan, tiba-tiba dia muncul dengan sebuah album yang diberi judul Kelahiran. Memuatkan 10 lagu, album itu dihasilkan menerusi syarikatnya sendiri, Adi Entertainment, dengan kerjasama Pro Pictures. Manakala edaran pula dilakukan syarikat Music Valley.

Menurut Adi, bukan berniat untuk menyaingi penyanyi lelaki sedia ada, Kelahiran diterbitkan sebagai penghargaan buat peminat yang ingin melihatnya tampil dengan album sendiri.

“Saya lebih kepada penyanyi jalanan. Saya sedar, saya bukannya penyanyi yang terbaik, tetapi ada masanya penyanyi yang kurang baik juga mampu tampil lebih menghiburkan dengan corak persembahannya. Saya juga menganggap pengeluaran album ini sebagai pelengkap untuk bergelar seorang penghibur,” katanya.

Album yang mempunyai sentuhan irama 90-an itu diterbitkan Oney, Zulkefli Majid dan Wan K. Ia menyenaraikan lagu seperti Warna Dunia, Kelahiran, Pinta, Kasihku, Cinta Dunia Nyata, Andai, Berangta Cinta, Kasih Yang Pergi, Aku Dan Katil dan Kilas Mu Kembali.

Berita Harian

Vie Zaraa Penyeri Hidup

1 Jan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Kehadiran anak sulung menguatkan kebahagiaan Eizlan Yusof dan Vie Shanti

KEHIDUPAN rumah tangga pelakon, penerbit eksekutif dan ahli perniagaan, Eizlan Yusof, 37, dan isteri, Vie Shanti Haroon Khan, 22, cukup membahagiakan dengan kehadiran anak sulung mereka, Vie Zaraa.

Pada Sabtu ini, usia Zaraa genap lapan bulan. Kecomelan Zaraa yang diwarisi ibu bapanya, menambat minat ramai pihak yang ingin mengabadikan gambar dengannya.

Zaraa ibarat hadiah yang cukup bermakna dalam hidup mereka, biarpun akui Eizlan dia tidak menyangka dengan faktor usianya yang agak lanjut, dia mampu mendapatkan anak sulung ini dengan cepat. Berkahwin dengan isteri yang muda juga tidak menjadi masalah kepadanya, tambahan pula, isterinya cepat matang daripada usia sebenar.

Mengenai anak kedua, mereka ada merancang dan tidak pernah putus berusaha biarpun isterinya pernah mengalami saat getir apabila mengalami keguguran beberapa bulan lalu. Untuk tatapan peminat setia Eizlan, Hip paparkan gambar percutian bersama keluarga di Genting Highlands, baru-baru ini.

“Jangan tak tahu, Zaraa pun diminati ramai orang dan rezekinya luas. Kalau kami bawa dia berjalan-jalan, pasti dia akan menjadi tumpuan ramai terutamanya pelancong luar yang akan mengambil kesempatan bergambar dengannya. Kami masih merancang untuk mendapatkan adik buat Zaraa, ada rezeki, insya-Allah.

“Saya bersyukur mendapat isteri yang sangat memahami dan dia bijak menyesuaikan diri dengan situasi. Biarpun dia dilihat muda, saya tak pernah rasakan dia bersifat kebudak-budakan. Sekarang dia memberikan tumpuan sepenuhnya sebagai suri rumah dan sesekali dia masih melakukan peragaan. Saya kena sporting dengan bidang yang diminatinya, selagi dia pandai menjaga diri dan memelihara maruah keluarga,” katanya yang dihubungi Hip baru-baru ini.

Baru saja selesai penggambaran filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly, Eizlan memegang watak sebagai Datuk Hisham di samping pelakon Maya Karin, Fazura dan Aaron Aziz.

Pada Ramadan lalu, Hip ternampak kelibat Eizlan dengan imej beruban di samping keluarganya berbuka puasa di sebuah premis makanan di KLCC. Rupa-rupanya, selain semula jadi berambut putih, Eizlan juga mengekalkannya atas permintaan Bernard demi tuntutan watak.

Sibuk kembangkan dunia perniagaan


GAMBAR kenangan sewaktu majlis pernikahan mereka di Kota Kinabalu, Sabah, pada Julai 2007.

Selain bergelar pelakon sejak 25 Oktober 1994, umum sedar bahawa Eizlan juga seorang penerbit eksekutif secara bebas dan baru saja menyiapkan sebuah skrip untuk sebuah telefilem di RTM berjudul Kalif. Pada masa sama, Eizlan bersama rakan kongsinya, Abdul Munaf Sultan yang juga anak kepada pengasas syarikat Agate menjalankan perniagaan arang batu.

“Mungkin orang ingat saya bekerja tetap sebagai penerbit kreatif di Pena Creatives Sdn Bhd sebelum ini hakikatnya saya tidak terikat dengan mana-mana syarikat dan bebas menerima tawaran. Selepas Pena Creatives, saya kerja di Fame Attraction, Gama Taktik dan bekerjasama dengan Ahmad Idham di bawah syarikat Excellent Pictures.

“Perniagaan itu dijalankan sejak hampir setahun di Jakarta dan Kalimantan Selatan di bawah syarikat Black Stone Dagangan. Kalau tidak terikat dengan penggambaran, saya akan ulang-alik ke sana untuk menguruskannya.

“Insya-Allah, kami akan mengembangkan perniagaan itu bersempena 2009 yang bakal menjelma tidak lama lagi,” katanya yang bakal bergandingan dengan Abby Abadi dalam telefilem berjudul Air Mata Buaya.

Menurut Eizlan lagi, resolusi 2009 bagi dirinya ialah untuk sifar hutang dalam setiap apa yang dilakukan.

Masih tegar berjuang sebagai pelakon, Eizlan sedar dan menyambut baik kemunculan bakat baru yang bakal mewarnai persada seni.

Katanya, istilah ‘double standard’ atau pilih kasih sering berlaku, namun, semua di luar bidang kuasanya. Tambahnya lagi, penerbit drama atau filem pun akan mencari muka baru dan segar demi keuntungan atau mencari angin baru.

Apa terjadi kelibat pelakon senior yang berpengalaman masih diperlukan di dalam industri dan menurut Eizlan, Rosyam Nor adalah contoh terbaik yang masih diterima dan diberi peluang memegang watak hero.

“Saya melihat apa yang terjadi ini dari sudut pandangan positif, ia sebagai proses peralihan yang pasti berlaku seiring dengan peningkatan umur. Bagaimanapun, kelebihan yang ada kepada pelakon lama dalam aspek pengalaman dan kemahiran berbanding pelakon baru yang baru saja menapak. Macam Rosyam, dia masih unggul sebab prestasi lakonannya dianggap luar biasa.

“Kalau dilihat senario di luar negara, makin lama pelakon itu berada di dalam industri, maka semakin hebat dan unggul namanya. Ia berbeza dengan negara kita tapi sebagai penggiat seni, saya sentiasa mengalu-alukan kedatangan bakat baru yang bakal menyemarakkan lagi generasi terdahulu,” katanya yang berkahwin dengan Vie Shanti pada 7 Julai 2007.

PROFIL: Eizlan Yusof

Tarikh Lahir: 14 Jun 1971

Asal: Kampung Baru, Kuala Lumpur

Tinggi: 180 sentimeter

Berat: 78 kilogram

Adik Beradik: Anak kedua daripada lima beradik

Status: Berkahwin

Isteri: Vie Shantie Haroon Khan

Tarikh Lahir: 27 Julai 1986

Kerjaya: Penerbit Eksekutif, pelakon dan model

Drama: Pembunuh Upahan, Sebesar Zarah, Senafas Takbir terakhir, Cik Mala Janda Berhias, Cikgu Rozie, Jaguh-Jaguh

Filem: Lurah Dendam, Panas, Perempuan Melayu Terakhir, Black Maria,Panas, Cahaya Cinta, Cinta, Impak Maksima, Pisau Cukur.

Berita Harian

Chauly The Comic

20 Nov

Chauly (right) with the Pisau Cukur cast (from left) Aaron, Fazura and Maya.

Bernard Chauly’s Pisau Cukur is the filmmaker’s maiden attempt at comedy. HIZREEN KAMAL finds out more from the director about the movies promising

razor-sharp humour.

Chauly (right) with his Pisau Cukur production crew.

ON the set of a film shoot at Astaria Apartment’s swimming pool in Ampang, Bernard Chauly sits calmly in the director’s seat with a loud hailer in his hands.

As soon as he calls “cut!”, the young director plonks on the nearby white poolside chair and speaks candidly of his latest effort, romantic comedy Pisau Cukur, the movie he is filming.

The movie, whose script is written by Rafidah Abdullah of 3R fame, is due to be released next year.

Co-produced by Red Films and Grand Brilliance Sdn Bhd, the film marks Chauly’s first attempt at comedy.
Pisau Cukur is about two young women Bella (Maya Karin) and Intan (Nur Fazura Sharifudin) who hook up with men for material gain.

So into the picture come three Datuks, their respective wives, a private detective and a die-hard fan of Bella’s.

They’re all “trapped” on board a luxury cruise liner where the adventure is played out. A bit of mystery is thrown in as well.

The movie also stars Aaron Aziz, Eizlan Yusof, Umie Aida, Datuk Rahim Razali, Liyana Jasmay, Sharifah Sofea, Khatijah Tan and Nas-T, with cameos by Nabil of Raja Lawak, Afdlin Shauki, Nabila Huda, Yasmin Yusuff and Rafidah.

“It’s a romantic comedy with a twist, really. It has a tight script by Rafidah, easily the sharpest script she has ever written. It’s a great challenge and inspiration to me,” he said.

With two leads (Maya and Fazura), there are two intersecting storylines – one a romantic story, while the other has an investigative plot line.

“There are huge challenges in doing a comedy. It’s not easy to make people laugh but I will try my best to deliver,” he said.

“In this film, the audience will find comedy in everything, from the witty lines, the juicy plot lines, the acting, the fun wardrobe and even the music score.

“I am exploring a rather fresh style and tone for comedy here with a new treatment for the story and characters.”

Pisau Cukur features punched-up realism and is made to feel unnatural – the wardrobe, the characterisation and the acting are all slightly larger-than-life.

“And it’s in this that I think the fun and comedy are going to come from,” said Chauly.

“But it’s not over-the-top melodramatic,” he added, citing Sex and the City and Desperate Housewives as references for the film.

Chauly uses the green screen for special effects. However, the computer-generated images would only constitute 20 per cent of the film.

“Skies and seas are going to be spectacular. It’s going to be beautiful,” he declared, adding that, even though the movie is about a holiday on board a ship, most of the scenes are recorded in a studio, with some scenes shot in the Klang Valley and Port Dickson.

While comedy definitely takes centre stage, Chauly said that the movie is also a character-driven film. “The audience will be able to feel with the characters and follow their transformation throughout the movie. There’s a lot of heart in the romance, while the friendship between Intan and Bella is fun and feisty,” he said.

In 2005, the 35-year-old delighted local audiences with Gol & Gincu. Never mind that it only collected RM700,000 at the box office, the movie created a buzz and saw a spin-off television series, aired over 8TV, which went on to become one of the highest rated shows for the station.

Since then, Chauly’s fresh approach to film directing has won over many, with his fans waiting in anticipation for his next movie.

“I have worked with Fazura in both the movie and TV series

(Gol & Gincu), but not Maya.

“I would not have chosen Maya solely on her popularity. I spoke to her earlier about the role, and asked her to come in for a couple of reads and also to see how well she worked with different actors. It wasn’t an audition but an opportunity to become comfortable with each other as we haven’t worked together before.

“I must say I respect Maya for her hard work, determination and instincts.”

Chauly said Pisau Cukur is punchy and hence all lines must be delivered well.

“It’s an entertaining style and both of them have what it takes,” he said, adding that there would be a dance scene where Maya will be doing the cha cha.

Chauly, who is already embarking on another project, the film Nenek Unta, hopes that the “Maya-Fazura combination” would draw moviegoers.

On his expectations for the movie, he said: “Well, we don’t make films to ‘syok sendiri’ (please ourselves). We want people to enjoy them and also get the film’s message.”

“We want it to be profitable too,” he said, adding that there’s a possibility for a spin-off TV series, but for now, he just wants to see the film do well.

“The film’s plot lines and characters may be a little urban, but I think it’s going to attract the masses as well. Everyone knows someone who is materialistic and so, yes, I believe it has universal appeal. Besides, it’s not stereotyped comedy.”

Chauly, who is also Red Communications creative consultant, is also busy travelling to and fro between Kuala Lumpur and Manila to oversee the Gol & Gincu TV series due to be aired over Manila’s TV5 channel.

Called Goal & Girls, the Philippine version in Tagalog features a new Filipino cast.

He is also working on a television series called Blogger Boy, slated for release over 8TV next year.

New Straits Times