Oleh JESSABELL SOO jessabell@kosmo.com.my

BAGI menyemarakkan lagi Festival Filem Malaysia 21 (FFM21) yang bakal berlangsung pada 9 Ogos ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), tayangan filem secara percuma bakal berlangsung khusus untuk khalayak pencinta filem tempatan.
Selama tiga hari di tiga pawagam berlainan termasuk GSC Alamanda, Putrajaya, TGV, KLCC dan Cathay Cineleisure, Damansara, tayangan yang diadakan setiap tahun ini menyediakan 5,000 tiket percuma bagi menonton 20 daripada 23 buah filem cereka yang akan dipertandingkan.
Bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai filem tempatan dan memupuk rasa minat terhadap karya tempatan, tiket tayangan percuma akan disiarkan menerusi radio rasmi FFM21, Sinar FM.
Dua buah filem iaitu Wayang dan Kami yang belum ditayangkan kepada umum dipilih khas sebagai tayangan perdana festival di GSC Alamanda, Putrajaya selepas acara pelancaran FFM21 yang akan dirasmikan malam esok.
Peminat juga boleh mendapatkan tiket di kaunter pawagam yang terlibat pada hari tayangan. Berikut adalah antara filem yang bakal ditayangkan sempena FFM21 untuk tatapan audiens.
EVOLUSI KL DRIFT
8 Ogos – 7 malam
TGV, KLCC
Pengarah: Syamsul Yusof
Pelakon: Farid Kamil, Syamsul Yusof dan Aaron Aziz
Mula tayang: 3 April 2008

ZACK dan Sham adalah dua sahabat rapat yang berkongsi hobi dan minat yang sama iaitu perlumbaan kereta dengan teknik drift.
Selalunya, perlumbaan kereta drift didominasi oleh golongan lelaki tetapi ia tidak menghalang teman wanita Zack untuk meminati perlumbaan itu.
Disebabkan sejarah kehidupan wanita berkenaan telah mengakibatkan krisis identitinya, maka Zack selalu melindungi kekasihnya daripada terjerumus dalam aktiviti tidak sihat.
Maka ini menyebabkan Zack dan teman wanitanya selalu bergaduh. Dan tanpa disedari, Sham menyimpan perasaan terhadap wanita berkenaan tetapi Sham tidak mahu memusnahkan hubungannya dengan Zack.
IMPAK MAKSIMA
8 Ogos – 7 malam
Cathay Cineleisure, Damansara
Pengarah: Ahmad Idham
Pelakon: Awal Ashaari, Eizlan Yusof, Zul Huzaimy, Cat Farish, Dynaz dan Opie Zami
Mula tayang: 23 Ogos 2007

Ayie (Awal Ashaari) adalah seorang pelajar kolej yang meminati perlumbaan kereta. Namun, Johari (Eizlan Yusof) abang kepada Ayie yang pernah menjadi pelumba kereta dan menjalankan perniagaan membaiki kereta, melarang Ayie terlibat dengan perlumbaan haram tersebut.
Johari bertanggungjawab terhadap adiknya selepas kematian ibu bapa mereka. Tetapi Ayie tidak mahu mendengar nasihat abangnya dan berkenalan dengan Ray (Zul Huzaimy) yang aktif dalam perlumbaan haram.
Perlumbaan haram yang mereka lakukan ini bukan sahaja melibatkan pertaruhan wang tetapi juga melibatkan gadis-gadis jalanan, seks, dadah dan juga ancaman gangster.
DUNIA BARU THE MOVIE
8 Ogos – 7 malam
GSC – Alamanda, Putrajaya
Pengarah: Yeop Hitler Zami
Pelakon: Pierre Andre, Elyana, Anita Baharom, Baizura Kahar, Anne Ngasri dan Almy Nadia
Mula tayang: 7 Februari 2008

DIADAPTASI daripada siri televisyen Dunia Baru, filem ini mengisahkan Opie (Elyana) yang mendapat kejutan melalui surat yang ditulis oleh Anizah (Anita Baharom).
Dalam surat tersebut, Anizah menyatakan hasratnya untuk pergi ke Thailand dan kahwin lari bersama Fazley (Mohd Hafiz). Begitu tekad untuk berkahwin, Anizah juga sanggup menolak pelawaan belajar di United Kingdom.
Oleh itu, Opie bersama kawan-kawannya Madihah (Anne Ngasri), Suzanna (Almy Nadia), Adif (Pierre Andre) dan Tajol (Wan Elyas) berpakat untuk mengubah fikiran Anizah.
CUCI
8 Ogos – 3 petang
GSC – Alamanda, Putrajaya
Pengarah: Hans Isaac
Pelakon: Afdlin Shauki, AC Mizal, Awie, Hans Isaac, Erra Fazira dan Umie Aida
Mula tayang: 24 Januari 2008

EMPAT pemuda yang merupakan anak angkat kepada sebuah keluarga telah meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ke Kuala Lumpur dengan satu azam untuk menceburi perniagaan pembersihan.
Sebelum ini mereka banyak terlepas peluang pekerjaan kerana sikap kurang ambil berat. Namun Fairil (Afdlin Shauki) telah menggalakkan mereka untuk menyertai pertandingan Window Washing Olympic.
Pemenang dalam pertandingan ini akan menerima satu kontrak pembersihan yang besar iaitu membersihkan tingkap dan cermin bangunan pencakar langit KLCC.
Berjayakah Fairil, Tan (AC Mizal), Jojo (Awie) Khai (Hans Isaac) dari syarikat Cuci-Cuci Services memenangi pertandingan itu? Saksikan sendiri untuk mengetahui jawapannya dalam naskhah komedi yang mengutamakan hubungan persaudaraan dan persahabatan ini.
1957: HATI MALAYA
8 Ogos – 9.30 malam
GSC – Alamanda, Putrajaya
Pengarah: Suhaimi Baba
Pelakon: Maya Karin, Sharifah Amani, Mohd Kamarulzaman, Zaefrul Nadzarine Nordin, Noor Azhar Murad, Nanu, Kee Thuan Chye, Chew Kin Wah dan Chacko Vadaketh
Mula tayang: 25 Oktober 2007

BERBEKALKAN semangat kemerdekaan, empat remaja Malaysia, Salmi, Razak, Ani dan Angee telah ditugaskan untuk menghasilkan buku mengenai tahun 1957. Semasa menghasilkan buku ini, mereka berempat seakan-akan berada di zaman ambang kemerdekaan.
Mereka membayangkan watak, momen emosi dalam mencari maksud sebenar kemerdekaan yang dicapai pada tahun 1957.
Maka ia memfokuskan kembali kepada sejumlah tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan yang telah dikenali dalam teks sejarah sekolah.
Konsep naratifnya bergerak secara kronologi dengan permulaan Perang Dunia Kedua, penguasaan semula British dan kemuncak kebangkitan nasionalisme dan perjuangan kemerdekaan oleh tokoh-tokoh politik UMNO seperti Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail serta tokoh-tokoh MCA dan MIC.
SEPI
10 Ogos – 3 petang
Cathay Cineleisure, Damansara
Pengarah: Kabir Bhatia
Pelakon: Vanidah Imran, Riezman Khuzaimi, Nasha Aziz, Tony Eusoff dan Afdlin Shauki
Mula tayang: 26 Jun 2008

MEREKA bertiga tidak mengenali tetapi bertemu dalam satu kemalangan. Namun, mereka berkongsi perasaan yang sama iaitu cinta, kehilangan dan kesepian.
Adam (Afdlin Shauki), seorang tukang masak berjaya dan meluaskan kerjayanya dengan mereka hiasan untuk majlis perkahwinan. Tetapi dengan semua kejayaan itu dia masih membujang.
Sufi (Tony Eusoff) pula sedang berjuang untuk melenyapkan memori pemergian isterinya yang telah mati. Sementara itu, Imaan (Baizura Kahar) seorang penulis teater muda yang menjadikan pentas teater sebagai tapak memahami masa silamnya serta masa depannya.
ANAK HALAL
10 Ogos – 7 malam
GSC – Alamanda, Putrajaya
Pengarah: Osman Ali
Pelakon: Farid Kamil, Maya Karin, Kartina Aziz, Raja Farah, Remy Ishak, Rosyam Nor dan Adi Putra
Mula tayang: 13 Disember 2007

HISHAM (Rosyam Nor), seorang penjenayah dalam keadaan terdesak terpaksa menyerahkan bayi lelakinya kepada Mariam, seorang perempuan gila. Dia kemudian telah ditangkap dan dipenjarakan.
Mariam yang gila dan hidup di jalanan membesarkan bayi tersebut Indraputera (Farid Kamil) dalam serba kedaifan. Mereka tinggal di kawasan setinggan dan berjiran dengan Bu Leha (Kartina Aziz) dan anak perempuannya, Jo (Maya Karin) yang menyukai Indraputera dalam diam.
Namun, kebahagiaan Indraputera bersama ibunya berakhir apabila mereka dipisahkan oleh pihak berkuasa. Dia kemudian dibesarkan oleh Bu Leha yang membawa Indraputera dan Jo berpindah ke Kuala Lumpur dengan harapan hidup mereka akan menjadi lebih baik.
Mereka membesar sebagai remaja jalanan dan Indraputera bekerja di bengkel kereta sementara Jo dan ibunya pula berniaga buah-buahan di Pasar Chow Kit.
Erzan (Ady Putra) dan Amira Atikah pula adalah antara sahabat rapat Indraputera dan Jo. Mereka telah terjebak dalam kancah najis dadah akibat tekanan dan desakan hidup.
Amira yang ketagihan dadah telah melarikan diri dari rumah. Selain mengedar dan menagih dadah, Erzan yang terpaksa menanggung beban hutang tinggalan ayahnya telah menjadi buruan pengikut Hisham.
KALA MALAM BULAN MENGAMBANG
9 Ogos – 3 petang
Cathay Cineleisure, Damansara
Pengarah: Mamat Khalid
Pelakon: Rosyam Nor, Umie Aida, Farid Kamil dan Sofi Jikan
Mula tayang: 10 Januari 2008

SEBUAH filem hitam putih, Kala Malam Bulan Mengambang merungkai misteri kehilangan pemuda di pekan Senduduk Rimbun pada setiap kali purnama menjelang. Misteri bermula apabila tayar kereta Saleh, seorang wartawan ditusuk dengan sesuatu benda yang menyerupai rangka tangan sedang memegang ukiran lama berbentuk keris.
Oleh kerana tayar kereta yang pancit, Saleh terpaksa menghantar keretanya ke bengkel Jongkidin dan bermalam di pekan itu. Sepanjang berada di pekan Senduduk Rimbun, Saleh menyedari penduduk pekan itu seperti ingin menghalau dia pergi dari situ.
Semakin lama Saleh tinggal di pekan itu, semakin banyak perkara misteri berlaku. Maka dia bernekad untuk mencari dan merungkai setiap peristiwa misteri yang berlaku di sana.
DUYUNG
9 Ogos – 7 malam
Cathay Cineleisure, Damansara
Pengarah: A. Razak Mohaideen
Pelakon: Saiful Apek, Maya Karin, Yassin Yahya, Yasmin Hani dan Awie
Mula tayang: 6 Mac 2008

JIMMY (Saiful Apek) yang mempunyai satu tabiat suka menjaga kebersihan alam sekitar sejak kecil. Dia juga mempunyai sikap yang ganjil dan berkawan dengan Orix (spesies Big Foot) sehingga semua penduduk kampung tidak suka bergaul dengannya.
Namun, dia menaruh hati terhadap Aspalela (Yasmin Hani) anak kepada Tok Mudim kampung. Pada suatu hari, Jimmy ingin meminang Aspalela tetapi ditentang Tok Mudim yang mencabar Jimmy supaya mempunyai tanah sendiri jika ingin mengahwini anaknya.
Sementara itu, Kordi (Awie) adalah seorang pemuda yang berjaya dan juga berhasrat untuk memperisterikan Aspalela. Kordi yang membenci Jimmy kerana selalu menghalangnya menangkap ikan menyuruh Jimmy untuk berkahwin dengan ikan duyung.
Siapa sangka, Jimmy akhirnya bertemu dengan ikan duyung (Maya Karin) yang membantunya menjadi kaya.
Kosmo