Archive | Elizabeth Hurley RSS feed for this section

Syurga Gaun Pengantin

29 Jun

GAUN perkahwinan merupakan kemuncak upacara majlis perkahwinan. Bagi mereka yang gemarkan ilham moden, gaya ini pasti memenuhi impian setiap wanita. Sehingga pasangan pengantin sanggup ke luar negara untuk mendapatkan khidmat pereka terkenal bagi menghasilkan gaun perkahwinan mereka mengikut cita rasa dan potongan badan.

Designer Bridal Room (DBR) yang dilancarkan di 23, Jalan Kamuning, Kuala Lumpur baru-baru ini adalah yang pertama di Malaysia menawarkan gaun perkahwinan direka mengikut potongan badan pelanggan oleh pereka-pereka ternama seperti Valentino, Christian Lacroix, Karl Lagerfeld, Elie Saab, Pronovias, Manuel Mota, Lusan Mandongus dan Annasul Y.

Setiap pereka yang memiliki keperibadian serta gaya rekaan yang unik meluahkan hasil masing-masing menerusi koleksi mereka.

Christian Lacroix

Glamor, menonjol, mewah. Ini merupakan antara ciri yang dikaitkan dengan hasil rekaan Christian Lacroix.

Beliau turut terkenal dengan gaun le pouf, sejenis skirt yang sering ditampilkan ketika penutup pertunjukan busana pengantin.

Pakaian pengantin Lacroix dikatakan mempamerkan unsur seni dan rekaan yang menonjol. Berlainan dengan gaun perkahwinan putih konvensional, koleksi ini menjanjikan rekaan yang istimewa dan mengutamakan keceriaan dan keanggunan.

“Gaun perkahwinan bagaikan impian seorang wanita yang menjadi tumpuan di atas pentas, seperti teater atau tarian balet,” kata Lacroix.

Karl Lagerfeld

Diiktiraf sebagai salah seorang pereka fesyen paling berpengaruh pada akhir abad ke-20, kerjaya Karl Lagerfeld dalam dunia fesyen dipenuhi cabaran. Beliau berpegang teguh pada impiannya dan kini telah membina sebuah empayar fesyen yang terkenal.

Koleksi pengantin Lagerfeld yang indah serta pelbagai terdiri daripada gaun malam tulle dan sifon hingga ke rekaan ramping yang mengikut bentuk tubuh. Pengantin Lagerfeld yang menghargai kualiti serta perincian yang mewah dan tampak moden serta romantik.

Valentino

Valentino yang diiktiraf sebagai pakar dalam gaun yang anggun menawan telah membina nama dalam arena fesyen busana anggun selama lebih empat dekad.

Valentino yang telah bersara pada awal 2008 mempamerkan bakat artistik pada usia yang muda maka menjadi pereka fesyen merupakan haluan yang sepatutnya bagi Valentino.

Valentino terkenal dengan gabungan sulaman Perancis dan fabrik Itali serta kemahiran jahitan yang sempurna. Valentino gemar menghasilkan gaun seksi yang menonjolkan bentuk badan si pemakai.

Himpunan pengantin Valentino dikatakan abadi, bersifat kewanitaan dan anggun menawan dengan rona putih yang diserikan renda, taffeta, sutera, duchesse dan georgette.

Elie Saab

Nama yang sejajar dengan kemewahan dan kemodenan, Elie Saab meningkatkan taraf kemewahan dengan rekaan khas untuk wanita anggun.

Pakar dalam seni yang berinspirasikan kejelitaan wanita, beliau menggunakan fabrik mewah untuk menghasilkan gaun yang berunsurkan fantasi serta anggun.

Rekaannya yang indah dan mewah berjaya menambat hati bintang Hollywood terkemuka dan kerabat diraja antaranya Halle Berry, Catherine Zeta-Jones, Christina Aguilera, Beyonce, Elizabeth Hurley serta Permaisuri Rania dari Jordan.

Lusan Mandongus

Lusan Mandongus yang memiliki sejarah melebihi 17 tahun dalam industri gaun pengantin merupakan perintis yang memulakan trend penjualan gaun perkahwinan berkualiti tinggi dengan seni jahitan sempurna di Hong Kong.

Rekaannya menampilkan pendekatan glamor yang menyerlahkan semangat kewanitaan dan romantik pengantin moden. Berinspirasikan unsur ketimuran, rekaannya membawa luahan harmoni antara keteguhan serta kelembutan yang sering dijumpai dalam setiap karya seni lukisan Cina.

Annasul Y

Bagi mereka yang berjiwa muda serta menginginkan keunikan pada hari bahagia, gaun pengantin rekaan Annasul Y adalah pilihan yang tepat. Rekaannya bercirikan retro 20-an serta dihiasi corak yang rumit serta luar biasa yang menyerikan si pemakai.

Lapisan renda yang digabungkan manik menyerikan majlis dengan khayalan romantis. Gaun pengantin Annasul Y yang menarik dan menawan adalah ceria serta menyeronokkan.

Pronovias

Dengan bantuan pereka-pereka ternama seperti Hannibal Laguna, Manuel Mota, Miguel Palacio dan Lydia Delgado, Pronovias berjaya menghasilkan koleksi anggun yang terdiri daripada fabrik mewah, sulaman eksklusif mewah, corak yang bergaya serta potongan yang menarik.

Kepelbagaian pilihan gaun pengantin di Pronovias menawarkan para pengantin rekaan yang klasik, kontemporari, seksi menggoda, inovatif, anggun atau ringkas menawan.

Manuel Mota

Mota yang memberikan tumpuan teliti dalam saiz serta potongan mahir dalam menghasilkan rekaan berpotongan ramping serta corak yang unik untuk setiap pengantin.

Direka untuk pengantin yang mengidamkan nafas baru dan berlainan, rangkaian Mota meliputi gaya klasik yang halus serta penampilan yang moden dan radikal. Rekaannya diilhamkan oleh latar belakang Mediterranean yang sentiasa dipenuhi nilai kehidupan dan keceriaan.

Utusan Malaysia