Archive | Elza Erdalynna RSS feed for this section

Afdlin "Membuli Balik" AS8

24 Dec

Oleh NIEZAM ABDULLAH

PENGURUS Besar GBSB, Ahmad Fuad Onah (kiri) dan Afdlin Shauki merangkul anugerah menerusi filem Buli Balik sementara Penerbit Eksekutif Creative Picture Sdn. Bhd., Eizlan Yusof membawa pulang trofi untuk Drama Terbaik – Lebih Bisa Dari Jelatang.

Selepas tujuh kali dianjurkan, tahun ini merupakan permulaan baru bagi Anugerah Skrin anjuran TV3 mengundang semua stesen televisyen menyertai anugerah ini.

Malam Jumaat lalu Anugerah Skrin ke-8 (AS8) yang diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menambah satu lagi anugerah dalam industri penyiaran. Sebelum ini Anugerah Seri Angkasa anjuran Kementerian Penerangan yang membuka penyertaan kepada semua stesen penyiaran tempatan.

Ternyata dengan penglibatan RTM dan juga Astro itu bukan sahaja mampu menyemarakkan lagi industri penyiaran dan hiburan malah dapat menaikkan taraf karya yang dihasilkan.

Ia juga dilihat sebagai satu platform yang dilakukan oleh TV3 untuk mengangkat karya-karya tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.

Berbeza seperti tahun-tahun sebelum ini, Anugerah Skrin dilakukan dua tahun sekali tetapi bermula kali ini, ia akan dilakukan setiap tahun.

AS8 menyajikan pencalonan pelakon ternama, pengarah dan penulis skrip yang terkenal bagi merebut 21 anugerah yang dipertandingkan.

Selain itu 31 buah filem yang ditayangkan sepanjang tahun 2005 sehingga Jun 2006 turut dipertandingkan.

Daripada jumlah yang dipertandingkan itu, siapa sangka filem Buli Balik terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) akan merangkul tiga anugerah seterusnya mendominasi AS8 bagi katogeri filem pada malam itu.

Buli Balik menewaskan beberapa filem yang dijangka menang seperti Gubra dan Pontianak Harum Sundal Malam 2. Buli Balik memenangi bagi katogeri Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik Filem (Afdlin Shauki) dan Pengarah Terbaik (Afdlin Shauki).

Kemenangan Afdlin itu mengulangi kejayaan anugerah yang sama tahun lalu bagi katogeri Pengarah Terbaik untuk filem Buli.

Bagi kategori drama, 14 buah drama dipertandingkan, lapan bagi drama bersiri dan lima drama komedi bersiri.

Drama Lebih Bisa Dari Jelatang terbitan Pena Creative Picture Sdn. Bhd yang disiarkan di RTM1 membuktikan keunggulan apabila merangkul lima anugerah iaitu Drama Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Elza Erdalynna Khairil Anuar), Pengarah Terbaik (Mohd. Khabir Bhatia), Skrip Terbaik dan Lakon TV Terbaik (Mazlan Abdul Manan).

Sementara Rafflesia memenangi katogeri Drama Bersiri Terbaik yang disiarkan di RTM2 dan Mat Dom Teksi (RTM1) untuk katogeri Drama Komedi Terbaik.

Kategori Rancangan Hiburan Terbaik pula dimenangi oleh TV3 menerusi penyiaran Anugerah Bintang Popular terbitan Khalijah Mohamed.

AS8 menampilkan konsep glamor dan elegan. Walaupun hebat dengan kelainan tetapi kelihatan sedikit hambar selepas Fazura dan Nazruddin Habibur Rahman (Naz) gagal memainkan peranan dengan baik.

Pengacara yang merupakan nadi dalam satu-satu acara itu seharusnya mampu untuk mengendalikan majlis besar seperti itu dengan berkesan. Penampilan Fazura dengan gaya seperti ‘mengada-ngada’ sememangnya tidak bersesuaian untuk majlis seumpama itu.

Malah mereka berdua dilihat tidak mempunyai ‘chemistry’ untuk diletakkan sebagai pengacara.

Bagaimanapun ini adalah satu permulaan yang baik untuk kedua-dua pengacara itu kerana mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan pada masa akan datang.

Komen pemenang

*Jalil Hamid (Pelakon Lelaki Terbaik Drama)

Jalil Hamid tidak menyangka drama lakonannya, Nur Di Pintu Syurga yang disiarkan di TV3 berjaya mengangkat namanya untuk memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.

“Saya memang tidak menyangka. Saya hanya berusaha untuk berlakon dengan baik di dalam drama itu,” katanya.

Jelas beliau, kemenangan itu memberi semangat untuknya terus berjuang menghasilkan lakonan terbaik sebagaimana yang diharapkan.

*Hasnul Rahmat (Pelakon Lelaki Terbaik Filem)

Tiada siapa menyangka walaupun filem Rock tidak sepopular filem-filem lain namun ia mampu membawa Hasnul Rahmat meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.

Lakonannya sebagai mat rock di dalam filem itu membawa satu perubahan terhadap dirinya selepas memenangi anugerah sebagai Pelakon Harapan menerusi filem KL Menjerit dalam Festival Filem Malaysia ke-19 yang lalu.

“Filem itu bercorak komedi tetapi diri saya sendiri bukan seorang yang pelawak. Rock benar-benar menguji kemampuan saya kerana ia begitu sukar untuk dilakonkan,” katanya.

*Afdlin Shauki

Tiga anugerah dibawa pulang oleh Afdlin Shauki membuktikan filem komedi arahannya benar-benar membawa satu kelainan terhadap dunia perfileman tempatan.

Jelas Afdlin, beliau menolak dakwaan kemenangan tersebut kerana filem itu diterbitkan oleh anak syarikat TV3 iaitu GBSB sebaliknya penonton sudah bijak menerima filem-filem kelakar.

“Sebelum ini orang hanya ingat hanya filem Senario sahaja yang mampu menarik perhatian penonton tetapi kemenangan ini membuktikan minda orang ramai sudah terbuka,” katanya.

Senarai pemenang filem / drama

1. Filem Terbaik: Buli Balik (GBSB)

2. Drama Terbaik: Lebih Bisa Dari Jelatang (Pena Creative Picture Sdn. Bhd).

3. Pengarah Terbaik & Lakon Layar Terbaik Filem: Afdlin Shauki (Buli Balik)

4. Pengarah Terbaik Drama: Mohd. Khabir Bhatia (Lebih Bisa Dari Jelatang)

5. Pelakon Lelaki Terbaik Filem: Hasnul Rahmat (Rock)

6. Pelakon Wanita Terbaik Filem: Rozie Rashid (Gubra)

7. Pelakon Wanita Terbaik (Drama): Safura Ya’cob (Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan)

8. Pelakon Lelaki Terbaik (Drama): Jalil Hamid (Nur Di Pintu Syurga)

9. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Drama): Tamam Idris (Rintihan Dosa)

10. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama): Elza Erdalynna Khairil Anuar (Lebih Bisa Dari Jelatang)

11. Drama Bersiri Terbaik: Rafflesia (Siaran RTM2)

12. Drama Komedi Terbaik: Mat Dom Teksi (Siaran RTM1)

13. Anugerah Khas Juri: Datin Seri Tiara Jacquelina (Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang).

Utusan Malaysia