Archive | Erra Fazira RSS feed for this section

Impak Pereka Fesyen Malaysia!

4 Apr

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

Tampil istimewa, XY – Ikon Lelaki minggu ini menghimpunkan 10 pereka fesyen lelaki yang bakal menyemarakkan Fiesta Fesyen Berita Harian. Inspirasi rekaan mereka – songket dan tenun turut digayakan bintang pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008) kelak. Raikan aura fesyen mereka!

BUKAN mudah menghimpunkan 10 pereka fesyen tanah air dalam satu sesi fotografi kerana masing-masing bertungkus-lumus menyiapkan perincian terakhir rekaan bagi dua acara besar anjuran Berita Harian bulan ini.

Fiesta Fesyen Berita Harian yang bakal mewarnai pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya, lusa, serta majlis gala di Hotel One World, keesokannya, disusuli kemuncak ABPBH 2008 di Genting Highlands pada 12 April ini cukup memadatkan diari kumpulan pereka muda ini.

Namun, 10 pereka ini masih sempat meluangkan masa menjalani sesi fotografi eksklusif bersama XY – Ikon Lelaki. Ini membuktikan kesungguhan dan komitmen mereka dalam menyokong acara berprestij yang bakal disertai selebriti dan pereka fesyen tanah air.

Riuh studio fotografi di Balai Berita dengan kehadiran insan kreatif ini. Malah, suasananya persis kesibukan di pertunjukan fesyen. Namun, kali ini merekalah menjadi bintangnya!

Daripada topik harian hinggalah keresahan mengejar deadline – semua pereka berkongsi keseronokan menanti dua acara besar ini. Seharusnya, masing-masing mahu rekaan yang ditampilkan sempurna dan mencuri tumpuan tatkala digayakan di pentas catwalk.

Hatta Dolmat; Rizman Ruzaini; Calvin Thoo; Nazreen Idris; Hazwani Osman; Amir Luqman; Shegar; Nik Erwan Rosdi dan Zery Zamri – masing-masing berkongsi inspirasi rekaan dengan identiti fesyen Malaysia.

Inspirasi Hatta Dolmat

TERKENAL dengan rekaan penuh perincian, pereka fesyen berbakat besar, Hatta Dolmat tidak ketinggalan memeriahkan Fiesta Fesyen Berita Harian serta malam kemuncak ABPBH 2008. Kali ini, pereka fesyen kelahiran Kuala Sungai Baru, Melaka ini akan mereka pakaian Nurul Huda Abdul Wahab, Siti Sarah, Sheila OIAM dan Iz.

“Tema songket bukanlah halangan bagi saya kerana sebelum ini pernah menerapkan tema sama di sebuah majlis anugerah hiburan. Menjadi kebanggaan pereka fesyen kerana mampu menerapkan tema tradisi dalam menzahirkan rekaan pakaian,” kata Hatta yang sudah empat tahun terbabit dalam ABPBH selepas pertama kali mereka pakaian untuk Jacklyn Victor dan Fasha Sandha pada ABPBH 2005.

Kata Hatta, ABPBH adalah platform terbaik untuk pereka baru tanah air dalam mengembangkan bakat, seterusnya berorientasi dengan idea baru rekaan.

“Sepanjang terbabit dalam majlis anugerah ini, saya dapat melihat perkembangan positif penganjur yang tidak saja memberikan publisiti buat artis, pada masa yang sama turut memartabatkan industri fesyen tanah air.

“Ini dapat dilihat menerusi pembabitan artis dengan pereka fesyen termasuk Anugerah Best Dress yang diperkenalkan tahun lalu dan tahun ini pula dengan Fiesta Fesyen Berita Harian,” kata teruja.

Profil

Nama: Muhammad Hatta Dolmat

Umur: 27 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mata (UiTM), Shah Alam.

Pencapaian:

Juara Anugerah Pereka Fesyen Muda 2003.

Juara pertandingan akhir Trofi Pesona Pengantin 04/05.

Juara Anugerah Jarum Berlian 2005.

Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006: rekaan pakaian terbaik digayakan oleh Erra Fazira.

Anugerah Rekaan Pakaian Terbaik sempena Anugerah Bintang Popular 2007.

Juara kategori Ethnic Chic di Singapore Fashion Designer Competition 2007.

Naib juara Project Runway Malaysia 2007.

Gandingan duo Rizman Ruzaini

NAMA Rizman Ruzaini antara yang paling menonjol di kalangan pereka fesyen angkatan baru. Memilih konsep less is more menjadi antara trademark pereka fesyen muda ini. Lebih menarik, jika kebanyakan pereka fesyen bergerak solo, label Rizman Ruzaini menampilkan koloborasi dua pereka fesyen ini.

Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil yang bekerjasama menubuhkan label Rizman Ruzaini sejak lebih dua tahun lalu menggalas cabaran besar untuk ABPBH kali ini apabila mereka pakaian untuk penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.

Selain Siti Nurhaliza, pereka fesyen yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini juga akan berfantasi dengan rekaan untuk pelakon Fasha Sandha, Sari Yanti dan Siti Saerah.

“Secara peribadi, saya melihat adalah satu usaha baik ABPBH memilih tema songket yang mana mampu mengangkat martabat khazanah songket yang menjadi identiti negara.

“Menjadi tugas pereka fesyen mencipta sesuatu yang berbeza melalui tema begini. Apatah lagi songket adalah 100 peratus identiti Malaysia berbanding batik yang juga popular di Indonesia,” kata Rizman Nordin.

Wan Ruzaini turut memuji usaha membantu pereka fesyen tempatan mengetengahkan bakat pada majlis berprestij.

Profil

Rizman Ruzaini

Dipelopori dua pereka, Rizman Nordin, 24; dan Wan Ruzaini Wan Jamil, 24.

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Butik Rizman Ruzaini Creations beroperasi pada awal tahun ini.

Terbabit dengan perekaan fesyen sejak dua tahun lalu.

Artis yang pernah menggayakan busana Rizman Ruzaini antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira, Ning Baizura.

Pencapaian:

Terpilih sebagai lapan pereka terbaik untuk Pereka Busana Pengantin Malaysia Great Eastern Mall.

Peserta akhir pertandingan Jarum Berlian 2003.

Penerima anugerah busana terbaik Rafflesia 2008 melalui busana diperagakan artis Fazura

Terbabit dengan perekaan busana untuk artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Aura Calvin Thoo

SEJAK beberapa tahun lalu, ABPBH cukup sinonim dengan pereka fesyen tempatan, Calvin Thoo. Masakan tidak, pereka fesyen kelahiran Kuala Lumpur ini menjadi pilihan ramai selebriti popular tanah air. Pengalaman selama 13 tahun dalam industri fesyen meletakkan Calvin Thoo antara pereka fesyen disegani ramai.

Tahun ini, Calvin dipertanggungjawab mereka gaun malam bertemakan songket dan tenun untuk pelakon cantik Rozita Che Wan, Ayu Raudhah dan Marsha. Pentas ABPBH 2008 bakal menyaksikan kreativiti Calvin dalam memberi variasi pada songket dengan nafas baru.

Ditanya cabaran mengetengahkan songket dalam majlis anugerah berprestij seperti ABPBH, Calvin berpendapat, menjadi tanggungjawab pereka fesyen berfantasi dengan lakaran sebelum memberi impak besar melalui rekaan.

“Saya tidak mempunyai banyak masalah mengetengahkan songket. Sebelum ini, ramai pelanggan dari kalangan kenamaan dan kerabat diraja memilih elemen songket dan tenun dalam persalinan. Saya juga menerapkan kain songket ketika majlis persandingan Lisdawati sebelum ini,” katanya.

Profil

Calvin Thoo

Umur: 37 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) RMIT Australia.

Pencapaian:

Menimba pengalaman dalam bidang fesyen selama lebih 10 tahun di luar negara.

Memulakan label Calvin Thoo pada 2003.

Peserta peringkat akhir Piala Seri Endon Batik 2004.

Membuka butik Calvin Thoo pada 2005 di gedung beli-belah Lot 10, Bintang Walk, Kuala Lumpur.

Hasil rekaan Calvin diperagakan pada acara antaranya Minggu Fesyen Kuala Lumpur, Anugerah Fesyen Antarabangsa Malaysia dan Festival Fesyen Islam KL.

Seksi cara Nazreen

TERKENAL dengan rekaan seksi, pereka fesyen yang makin dikenali, Nazreen Idris mengakui agak sukar menerapkan identiti rekaan bertemakan songket dan tenun. Baginya, menjadi tanggungjawab pereka fesyen meletakkan prinsip dalam setiap rekaan.

“Meskipun kita cenderung mengetengahkan elemen feminin dan seksi dalam rekaan, unsur sebegitu tidak boleh diterapkan apabila menggunakan kain songket.

“Menjadi tanggungjawab seorang pereka fesyen meletakkan martabat tinggi songket yang menjadi identiti Malaysia,” kata Nazreen yang akan menyiapkan persalinan Linda Onn, Siti Saida dan Intan Ladyana di malam kemuncak ABPBH 2008.

Ditanya pendapat dirinya mengenai kain songket, secara peribadi pereka fesyen kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui penerimaan masyarakat makin meluas dalam mengangkat martabat songket sebagai budaya dan identiti Malaysia.

“Ketika menuntut dulu, saya memilih melakukan kajian mengenai kain songket. Sebab itu, saya cukup berhati-hati menggunakan kain songket untuk sebahagian daripada hasil rekaan kerana ingin memastikan martabat songket terpelihara,” katanya.

Profil

Nazreen Idris

Pendidikan: Diploma Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sri Iskandar, Perak.

Pencapaian:

Terbabit menyediakan busana untuk artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, pemenang tempat ketiga Animax Fashion Ability 2007.

Antara artis yang pernah mendapat sentuhan Nazreen: Datuk Khatijah Ibrahim, Anne Ngasri, Diana Danille, Linda Onn, Intan Ladyana, Siti Saida dan Faezah Elai.

Warna Zery Zamry

JIKA ramai pereka fesyen memilih perincian yang melengkapi rekaan pakaian, Zery Zamry pula sebaliknya. Pereka muda kelahiran Kelana Jaya, Selangor ini memilih warna sebagai tarikan rekaan. Seperti sebelumnya, pereka yang memiliki label butik Zery Zamry Couture ini akan menyiapkan adi busana penyanyi Elyana dan pelakon Norish Karman.

Mengetengahkan konsep minimalis, Zery berusaha memodenkan songket melalui rekaan.

“Sebagai pereka muda, menjadi tanggungjawab kami berusaha sebaik mungkin memastikan songket menjadi pilihan ramai. Apabila digayakan artis, ia setidak-tidaknya menjadi ikutan dan dilihat ramai orang. Apatah lagi, ABPBH cukup membantu pereka fesyen membina nama di Malaysia,” katanya.

Tiga tahun terbabit serius sebagai pereka untuk artis yang bertanding di ABPBH, Zery mengakui sambutan dan publisiti cukup membantu memeriahkan industri fesyen tanah air.

“Ya lah, artis dan pereka fesyen saling memerlukan dan secara tidak langsung ABPBH dilihat sebagai jambatan merancakkan lagi industri fesyen di Malaysia,” kata pereka berusia 25 tahun ini.

Profil

Zery Zamry

Pendidikan: Universiti Teknologi Mara (UiTM) pengkhususan Fesyen.

Pencapaian:

Anugerah Jarum Berlian 2006.

Finalis Project Runaway Malaysia.

Tranformasi Shegar

BERPENGALAMAN 12 tahun dalam bidang hiasan dalaman, Shegar Chandra Sekaran atau lebih dikenali sebagai Shegar kini menyahut cabaran dengan ‘terjun’ ke bidang rekaan pakaian. Tiga tahun dalam dunia fesyen, usaha itu tidak sia-sia apabila rekaannya mula diperkata umum.

Malah sempena ABPBH 2008, Shegar dipertanggungjawabkan mereka pakaian Cheryl Samad. Bukan kali pertama, koloborasi Shegar sudah cukup sinonim bersama pengacara terkenal itu.

Kata pereka berbakat berusia 36 tahun ini, beliau cukup teruja mengetengahkan tema songket lalu mengangkat martabat khazanah negara itu.

Baginya, songket jika disesuaikan dengan bentuk rekaan dan padanan fabrik lain mampu menterjemah hasil rekaan menarik dan bertaraf antarabangsa.

“Saya cenderung dengan rekaan potongan clean cut dan menggemari sesuatu yang simple. Justeru itu, saya akan memastikan rekaan Cheryl nanti dipengaruhi elemen begini,” kata Shegar.

Profil

Shegar Chandra Sekaran

Pendidikan: Ijazah dalam Hiasan Dalaman daripada Saito Akademi, Kuala Lumpur.

Pencapaian:

Beliau berkecimpung dalam dunia hiasan dalaman lebih 12 tahun tetapi mula berjinak-jinak dengan dunia fesyen sejak tiga tahun lalu.

Mulai tahun ini tekadnya untuk menyertai lebih banyak acara fesyen seperti Minggu Fesyen Kuala Lumpur dan Festival Fesyen Islam KL.

Terpilih sebagai pereka pakaian Anugerah Juara Lagu 2008 disifatkan antara pencapaian tertingginya dalam kerjaya sebagai pereka fesyen.

Sentuhan Nik Erwan

SESUATU yang istimewa cuba disampaikan pereka fesyen kelahiran Shah Alam, Selangor ini. Mengakui bakal menerapkan hingga 40 peratus kain songket dalam busana ciptaannya, Nik Erwan Roseli teruja kerana terbabit dalam dua acara besar bulan ini.

Fiesta Fesyen Berita Harian dan ABPBH 2008 menjadi medan terbaru buat Nik Erwan berfantasi dengan gaya dan hasil ciptaan cemerlang. Untuk acara berprestij ABPBH 2008, Nik Erwan mereka pakaian untuk pelakon Dynas, Mila Tini Hot FM dan kumpulan Fabulous Cats.

“Menambah lagi pesona rekaan, saya memilih warna terang yang akan digabungkan dengan warna songket. Begitupun, rekaan tidak harus terlalu menonjol dan sarat, sebaiknya biarlah lebih sederhana supaya nampak lebih anggun dan menawan.

“Majlis begini adalah platform terbaik buat pereka fesyen tanah air membina nama dan dikenali ramai. Pengalaman terbabit dalam ABPBH beberapa tahun kebelakangan ini nyata memberi impak besar untuk saya melebarkan bakat,” katanya yang bercadang untuk memasarkan pakaian ready to wear pada masa akan datang.

Profil

Nik Erwan Roseli

Kelulusan: Diploma dalam Jurusan Grafik; Ijazah dalam Jurusan Rekaan Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pencapaian:

Memenangi Anugerah Koleksi Terbaik pada Persembahan Akhir Peringkat Ijazah pada 2008.

Menyertai persembahan MIFA pada 2008.

Terbabit dalam Royal Of Art di One World Hotel 2008.

Menghasilkan pakaian untuk ramai selebriti termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Mendua Reality Television Gangstarz dan Sharifah Aleya.

Cabaran tersendiri Hazwani

BUKAN sekadar berfantasi rekaan gaun pengantin, Hazwani Osman juga boleh mereka pakaian lelaki, Justeru itu, ABPBH dan Fiesta Fesyen Berita Harian menguji bakat dalam menghasilkan rekaan untuk lelaki dan wanita.

Malah, Hazwani akan mencipta sesuatu yang berbeza buat Faizal Tahir dan Jamal Abdillah.

“Bukan senang untuk mencipta kelainan dalam pakaian lelaki. Tidak seperti wanita, rekaan lelaki harus disesuaikan dengan keadaan dan material yang digunakan termasuk jenis kain.

“Jika tidak kena dengan gaya, tema songket hanya akan menampakkan rekaan untuk lelaki seakan-akan pakaian rasmi pelayan di hotel,” akui Hazwani jujur.

Sambil memuji usaha mengetengahkan tema songket, Hazwani berkata menjadi tanggungjawab pereka fesyen tempatan dalam mengetengahkan nilai tradisi tempatan.

Profil

Hazwani Osman

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen (Kepujian) UiTM Shah Alam dan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Fesyen) UiTM Sri Iskandar, Perak.

Pencapaian:

Pakaian Terbaik Lelaki (Ijoy) Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007.

Finalis top 20 Mifa 2006.

Finalis Trofi Pesona Pengantin 2005.

Finalis Jusco Young Designer 2003.

Mereka pakaian selebriti seperti Nasha Aziz, Mawi, Fazura, Fara Fauzana, Faizal Tahir, Fazli Zainal, Mila, Diddy AF, Dafi, Awal Ashaari, Sharifah Shahira dan ramai lagi.

Sensasi rekaan Amir Luqman

AURA gaya pereka fesyen ini cukup terserlah. Itulah kelebihan pereka fesyen, Amir Luqman sehingga terpilih menjadi penata gaya rakaman televisyen bagi Miss Universe 2008, Dayana Mendoza. Di acara kemuncak ABPBH 2008, Amir akan merealisasikan sentuhan rekaan untuk calon Artis Baru Wanita Popular, Scha.

Kata Amir, dia gemarkan sesuatu yang berbeza di samping konsep seni dalam setiap rekaan. Meskipun itu, dia juga memastikan nilai kemelayuan diterapkan dalam rekaan pakaian.

“Tema songket adalah langkah permulaan dan usaha yang baik untuk memartabatkan khazanah negara. Diharapkan dengan usaha sebegini sekurang-kurangnya mampu mengetengahkan songket di peringkat antarabangsa.

“Apatah lagi, selebriti dan fesyen cukup sinonim dan menjadi kerjasama terbaik dalam mencipta kelainan. ABPBH dilihat landasan yang baik dalam kerjasama pereka fesyen tempatan dengan selebriti tanah air,” kata Amir yang juga pemenang tempat kedua Piala Seri Endon 2004.

Profil

Amir Luqman

Pencapaian:

Peserta akhir Piala Seri Endon 2005

Pemenang tempat kedua Piala Seri Endon 2004

Peserta akhir Star KL Fashion Week Designer Award 2005

KL Fashion Week 2006 – Berjaya Times Square

Stylo Fashion Festival 2008 – Pavilion Kuala Lumpur

Ahli Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA)

Ahli Persatuan Pereka Fesyen Bumiputra (BDA)

Isetan Young Designer Promo 2006

Penata gaya Miss Universe 2008 Dayana Mendoza untuk rakaman televisyen.

Berita Harian

Perihal Nama Anak Erra Fazira

3 Apr

[
Tonton video ]

KL, 3 APRIL 2009:  Wah… tentu Erra Fazira dan suaminya, Engku Emran sekarang tidak lena tidur melayan keletah buah hati pengarang jantung mereka, Engku Aleesya.

Miss Propa tumpang seronok apabila dapat tahu Erra selamat melahirkan Aleesya, baru-baru ini. Lebih seronok lagi apabila bayi itu dilahirkan dalam keadaan sihat dan wajahnya mirip ibunya yang juga seorang primadona filem Melayu.

Agak-agaknya bilalah Erra akan sedia buat sesi fotografi bersama Aleesya untuk tatapan pengunjung setia portal murai.com.my?  Yang Murai Batu tahu, baby Erra & Emran itu memang comel sangat. Hai, tengoklah siapa ayah dan ibunya – pasangan kacak dan cantik gitu?

Menariknya, ada pula peminat yang perasan nama anak Erra hampir-hampir sama dengan nama anak Awie & Arni Nazira. 
Nama anak Awie & Arni ialah Puteri Aleeya sementara Erra & Emran pula Engku Aleesya. Yang tak ada cuma huruf ‘s’ saja. Bagi Miss Propa, ini mungkin satu kebetulan.

[Klik di sini untuk menonton video Miss Propa]

Murai

Permata Hati Erra

1 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Kehadiran Engku Aleesya lengkapkan sinar bahagia bersama Engku Emran

JIKA pasangan sensasi Hollywood, Angelina Jolie dan Brad Pitt, Tom Cruise dan isterinya, Katie Holmes boleh berbangga dengan cahaya mata masing-masing seperti Shiloh dan Suri, apa kurangnya dengan pasangan suami isteri terkenal Malaysia, Erra Fazira dan Engku Emran Engku Zainal Abidin yang kini sedang enak mengulit bahagia dengan kelahiran cahaya mata pertama, Engku Aleesya.

Populariti yang dimiliki kedua ibu bapanya serta menjadi zuriat pertama kepada pasangan ini membuatkan kehadiran Engku Aleesya amat ditunggu-tunggu. Tentu saja ramai yang ingin melihat apakah Engku Aleesya secomel ibu dan bapanya, yang sebelum ini disifatkan ramai seperti pinang di belah dua.

Pun begitu, seperti juga Shiloh dan Suri yang sebelum ini dikawal ketat sehinggakan media gagal atau tidak dibenarkan merakamkan gambar mereka untuk tatapan ramai, begitulah juga yang dilakukan Erra dan Emran.

Cuma tujuan dan alasan mereka berbuat demikian sedikit berbeza.

Bagi pasangan kontroversi dari Barat itu, tujuan mereka ‘menyorokkan’ wajah bayi mereka adalah semata-mata untuk untuk mengaut keuntungan dengan menjual hak penyiaran eksklusif, tetapi bagi Erra dan suami, mereka sejujurnya mahu berlaku adil kepada semua media yang selama ini begitu menantikan kehadiran cahaya mata sulung mereka.

“Erra dan suami ingin meminta maaf kepada semua peminat yang selama ini mendoakan kesejahteraan Erra. Bukan Erra tak mahu siarkan wajah Aleesya tetapi Erra sebenarnya mahu berlaku adil kepada semua pihak.

“Biarlah Aleesya besar sikit dan Erra janji, pada majlis cukur jambul Aleesya nanti yang akan diadakan sebaik saja Erra selesai berpantang, Erra akan benarkan semua jurugambar merakamkan gambarnya,” janji Erra ketika ditemui di sebuah hospital di Damansara, tempat di mana dia melahirkan bayi comel seberat 4.04 kilogram itu.

Tegas Erra, keputusannya itu turut mendapat persetujuan daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Namun begitu, Erra tetap membenarkan sekumpulan media yang hadir untuk melihat anaknya yang sedang nyenyak tidur itu. Benar seperti yang dikatakan Emran, Aleesya mempunyai mulut mirip ibunya.

Ditanya apakah sebelum ini mereka ada mendapat tawaran daripada mana-mana majalah yang ingin menyiarkan wajah anak mereka secara eksklusif, sambil ketawa, Emran menggelengkan kepala.

“Tak adalah, kalau adapun saya tak akan berikan,” ujar Emran sambil memberitahu dia juga tidak akan membenarkan Engku Aleesya berlakon memandangkan sebelum ini memang ada ura-ura untuk membawa bayi comel itu ke layar kaca.

Bukan mahu cuba merencanakan masa depan anaknya tetapi bagi Erra, kalau boleh biarlah anaknya itu nanti memilih kerjaya yang lari dari bidang seni.

“Kalau boleh biarlah bidang seni itu nanti menjadi pilihan terakhir buatnya. Tetapi andai dia memang mahu menjadi anak seni, saya tidak akan menghalang. Saya akan bekalkan dia dengan panduan berguna.

“Tetapi kalau ikut ayahnya, dia mahu anaknya menjadi pemain golf terkenal macam Tiger Wood. Malah dalam menunggu saya nak bersalin sempat juga dia melihat internet untuk mengetahui perkembangan sukan itu,” kata pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem pecah panggung Sembilu ini.

Lebih melucukan, bagaikan berpakat, Emran yang ditemubual lebih awal turut melahirkan hasratnya untuk melihat anak sulungnya itu menjadi pemain golf terkenal.

Sebagai bapa yang terdedah dengan arus kemodenan, Emran berkata dia menggunakan pendekatan yang agak terbuka dalam mendidik anaknya nanti.

“Setiap insan ada hak mereka sendiri dan sebagai bapa saya nanti harus menghormati haknya sebagai seorang anak.saya biarkan dia yang buat pilihan sendiri dalam apa juga keputusan namun pada masa yang sama, kita berikan pandangan kita,” tutur Emran.

Menceritakan detik-detik kelahiran Engku Aleesya, Emran berkata isterinya itu sudah mula mengadu sakit sejak hari Sabtu lalu.

“Namun sakitnya semakin menjadi-jadi malam kelmarin (Ahad).Justeru, dalam pukul 11 malam saya bawa dia ke hospital. Selepas melakukan beberapa proses seperti induce bagi mempercepatkan kelahiran, akhirnya pada jam 11.40, Aleesya selamat dilahirkan.

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur sangat-sangat kerana isteri saya dan anak, semuanya sihat. Sepanjang Erra berada di dewan bersalin, saya menemaninya. Malah, sempat juga saya rakamkan detik-detik kelahiran Aleesya.

“Selama ini saya tak pernah lihat Erra merasa sakit seperti itu. Satu pengalaman baru buat saya,” kata Emran yang juga Ketua Pegawai operasi Suria FM dalam nada teruja.

Ditanya apakah hasrat untuk menambah ahli keluarga baru akan tetap diteruskan selepas melalui pengalaman itu, secara berseloroh Emra menjelaskan, faktor usia membuatkan mereka tidak mahu menangguhkan usaha itu.

Sebak menguasai diri

TANYALAH kepada mana-mana ibu di seluruh dunia, saat melahirkan bayi pertama menerbitkan satu pengalaman yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Dan itulah juga yang dialami Erra sebaik saja melahirkan Aleesya.

“Sebaik saja Aleesya lahir, doktor yang menyambut kelahiran Aleesya itu terus meletakkan dia di pangkuan saya. Masa itu keadaannya masih lagi basah dan berselaput macam plastik. Mula-mula memang rasa pelik tapi lama kelamaan, rasa sebak menguasai diri.

“Mana tidaknya, insan yang amat dinanti-nanti, yang Erra bawa dalam kandungan selama sembilan bulan akhirnya muncul di depan mata. Ia adalah satu pengalaman yang hebat buat Erra,” katanya yang begitu rancak berbual walaupun badannya masih dalam keadaan lemah.

Mengenai pilihan nama Engku Aleesya, Erra berkata nama itu adalah pilihannya sendiri yang bermaksud dilindungi.

“Kami memang sediakan tiga hingga empat nama dan nama ini dipilih berdasarkan maksudnya serta sebutannya yang lembut. Manakala nama yang lain bunyinya agak keras dan rugged sikit. Tengoklah, mungkin yang lain itu akan digunakan untuk anak-anak yang lain,’ cerita Erra yang tetap kelihatan jelita walaupun tanpa secalit mekap.

Biarpun akan menjalani tempoh berpantang secara tradisonal, namun Erra juga akan mencuba cara moden terutama dalam bab mengembalikan tubuh dalam bentuk asal.

Berita Harian

I'M A Mother – Erra Fazira

31 Mar

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my


ERRA melalui detik-detik mencemaskan sebelum berjaya bergelar seorang ibu.

PADA tarikh 30 Mac 2009, pukul 11.40 pagi bertempat di Hospital Pakar Perubatan Damansara, lahir seorang bayi perempuan seberat 4.04 kilogram. Banyak hati yang berbunga bahagia untuk menatap bayi dengan ketinggian 51.5 sentimeter itu.

Alasannya cukup relevan. Ini kerana bayi istimewa itu merupakan puteri sulung kepada primadona filem Melayu, Erra Fazira Wan Chik dan suami tercinta, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Sememangnya ramai yang menunggu sekian lama bilakah primadona jelita itu bergelar ibu buat pertama kalinya.

Apatah lagi di kalangan media. Apabila khabar bahawa Erra,35, telah melahirkan zuriat pertamanya yang kemudian diberikan nama yang cukup indah – Engku Aleesya, lima hari lewat daripada tarikh yang dijangka doktor, para wartawan mula berkumpul di hospital berkenaan.

Gerombolan wartawan yang tiba di sana pada pukul 1 petang seolah tidak sabar menatap wajah Engku Aleesya, namun Emran yang ditemui bagaimanapun memohon dengan baik agar dirinya ditemu bual sekitar pukul 3 petang kerana mahu menguruskan hal dua permata hatinya itu.

Selepas ditemu bual, Emran tidak menolak memberi keizinan kepada beberapa teman wartawan untuk menziarahi Erra dan Aleesya.

Namun, Erra dan Emran bagaimanapun tidak mengizinkan wajah puteri mereka dirakamkan. “Kami sudah berjanji dengan keluarga. Jadi saya perlu berpegang kepada janji. Insya-Allah, wajah Aleesya akan dapat disaksikan pada majlis cukur jambul nanti,” luah Erra meminta agar semua pihak memahami dan memberi sedikit privasi kepada anggota keluarga barunya itu.


SELEPAS menempuh pelbagai dugaan, kelahiran Engku Aleesha bakal melindungi dan memastikan kerukunan rumah tangga Erra dan Emran berkekalan selagi hayat dikandung badan.

Tambah pasangan ini, mereka mahu bersifat adil kepada semua media, dan janji untuk ‘menayangkan’ anak mereka pada majlis cukur jambul selepas 44 hari nanti akan tetap dikotakan.

Meminta maaf kepada semua pihak, Erra sendiri sebenarnya sudah tidak sabar untuk menunjukkan gambar anaknya kepada orang ramai terutama peminatnya.

Erra yang kemudian berkongsi kegembiraannya menyambut kedatangan media dengan nada ghairah menjerit kecil berkata, “I’m a mother (saya seorang ibu)”. Cerianya tidak ditahan-tahan.

Malah dalam setiap bicaranya, mata Erra bercahaya. Lambang kebahagiaan tidak terperi.

“Ini satu pengalaman yang seronok dan baik. Lepas bersalin, saya ada rasa pening dan hendak muntah. Tapi itu semua berbaloi. Disebabkan sudah melebihi lima hari, saya tidak mahu mengambil risiko.

“Saya takut bayi terlalu besar dan juga takut tali pusat akan melilit kepalanya. Macam-macam saya fikir, maka saya dinasihatkan melalui prosedur induce (ubat untuk mempercepatkan pembukaan rahim),” ujar Erra.

Memilih nama Engku Aleesya, Erra menyukai maksud Aleesya dan bunyi sebutannya amat lembut. “Saya suka maksud Aleesya. Maksudnya ialah yang dilindungi. Semua ahli keluarga bersetuju dengan nama ini. Kami ada tiga nama lain tetapi nama yang lain pula agak keras nadanya. Kami sukakan nama yang ringkas sahaja,” tambah Erra.

Emran yang terlebih dahulu ditemu bual turut berkongsi pengalaman menjadi bapa dengan media. Dia memberitahu, sepanjang proses bersalin, dia berada di sisi Erra dan sempat merakamkan detik-detik paling manis dalam hidupnya dengan kamera video.

“Sebenarnya hari Sabtu lagi Erra sudah sakit. Bila jumpa doktor dan menjalani ujian skrin, doktor mengatakan Erra belum bersedia untuk melahirkan anak lagi. Kemudian, semalam (29 Mac) Erra semakin sakit dan masuk hospital pada pukul 11 malam. Pada pukul 3 pagi, Erra dinasihatkan untuk mengambil suntikan epidural dan dua jam kemudian Erra dimasukkan ke dalam wad.


ANTARA reaksi wajah seorang Emran yang baru sahaja bergelar bapa.

“Pintu rahim Erra semakin membesar pada pukul 7.30 pagi dan pada pukul 10 pagi, Erra sudah bersedia untuk bersalin. Tidak sampai 20 minit doktor berada dalam bilik bersalin, Erra selamat melahirkan Aleesya pada pukul 11.40 pagi,” jelas Emran mengenai anaknya yang dilahirkan secara normal itu.

Sebak melihat Aleesya

Tidak mengalami sebarang komplikasi, Erra memberitahu dirinya berasa sebak saat anaknya diletakkan atas badannya. Malah pada mulanya dia tidak tahu bagaimana untuk mendukung anaknya yang masih diselaputi bendalir.

Suaminya pula berasa cemas ketika berada di bilik bersalin kerana tidak pernah melihat Erra dalam keadaan yang begitu sakit. “Memang saya berasa cemas dan hiba tetapi saya masih mahu melihat saat anak saya dilahirkan. Rasanya seperti mimpi lagi.

“Ini satu keajaiban yang sangat sukar untuk dijelaskan dalam perkataan. Semasa menyaksikan Erra bersalin juga saya berasa insaf dan semakin menyayangi Erra,” kata Emran yang akan bercuti selama seminggu untuk menemani Erra dan Aleesya.

Menyifatkan mulut anaknya seperti mulut Erra yang muncung dan kulitnya berwarna putih dengan sedikit merah jambu, Emran masih belum boleh melihat wajah anaknya itu iras wajahnya atau Erra. Wartawan yang berpeluang melihat anaknya, akui bayi itu memiliki mulut seperti Erra dan memiliki sepasang mata yang bundar.


APABILA primadona melahirkan anak sulung. Pihak media terpaksa bersabar selama 44 hari sebelum dapat merakamkan foto Engku Aleesya.

Emran yang sudah bersedia dari segi fizikal dan mental sebenarnya mahu tiga atau empat orang anak. Maka memandangkan usia Erra, Emran mahu Erra lahirkan anak lagi dalam masa terdekat. “Kalau boleh jangan rehat lama sangat. Usia Erra pun bukan muda lagi,” terang Emran.

Bakal mengamalkan pantang tradisional di rumah dengan ditemani ibu dan ibu mertua serta nenek Erra, Rahimah Sakul, Erra dan Emran mempunyai pendirian sama untuk tidak mendedahkan anak mereka kepada dunia seni. Jika boleh, pasangan itu mahu anak mereka terlibat dalam bidang lain.

“Ayah dia minat golf. Kalau boleh dia nak anaknya jadi pemain golf profesional. Kami sebenarnya tidak galakkan dia menjadi artis. Namun, jika itu minat dia, kami tidak halang,” kata Erra.

Sambung Emran, “Rasanya ibu dia boleh nasihatkan dia baik buruk dunia seni. Kami tahu tidak senang untuk menjadi artis. Saya hanya mahu membawa dia bermain golf.”

Erra mahukan anaknya memanggil dirinya, mom dan Emran pula mahu dirinya dipanggil ayah. Bersifat terbuka dalam cara mendidik anak, Emran mahu menghormati anaknya. “Walaupun dia merupakan anak saya, saya akan hormati dia. Anak saya akan mempunyai pendirian dan hak sendiri sebagai seorang manusia.”

Terlalu awal untuk bercerita mengenai hal publisiti anaknya, jika berkebolehan, Emran mahu anaknya membesar seperti orang biasa. Erra juga belum lagi bersedia untuk membawa anaknya ke lokasi penggambaran atau tempat kerja.

“Bulan Jun nanti saya akan mula bekerja dengan produksi Mertua VS Menantu. Selepas itu juga saya akan mula merakamkan album baru. Maka, masa itu anak saya masih kecil. Jadi tidak sesuai untuk bawa dia ke lokasi,” beritahu Erra mengenai anaknya yang akan dijaga ibu serta ibu mentuanya.

Kosmo

Erra Selamat Lahirkan Engku Aleesya

31 Mar


ERRA FAZIRA ketika sarat mengandung.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi terkenal, Erra Fazira selamat melahirkan bayi perempuan seberat 4.04 kilogram di Hospital Pakar Perubatan Damansara, semalam.

Lewat lima hari daripada jangkaan, Erra atau nama penuhnya, Erra Fazira Wan Chik, 35, ditemani suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin saat dia melahirkan anaknya pada pukul 11.40 pagi.

Diberi nama Engku Aleesya Engku Emran yang bermaksud dilindungi, kelahiran bayi comel itu turut disambut oleh ibu Erra, Azizah Zaik dan ibu mentuanya, Toh Puan Hajah Salmah Abu Bakar.

Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.

Kosmo

Erra Tak Izin Rakam Anak

31 Mar

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

DAMANSARA: Ratu filem Melayu, Fazira Wan Chek atau Erra Fazira, 35, yang baru melahirkan anak sulung, Engku Aleesya di Hospital Pakar Damansara (HPD), jam 11.40 pagi semalam, berjanji akan memberi peluang kepada media merakam wajah puterinya itu pada majlis cukur jambul.

Ketika ini, dia tidak membenarkan wajah anaknya dirakam.

“Saya minta maaf kepada semua kerana tak mengizinkan anda mengambil gambar Aleesya. Saya perlu berlaku adil kepada semua media cetak dan elektronik. Selepas berpantang 44 hari, pada majlis cukur jambul ambillah gambar Aleesya sebanyak manapun.

“Pada hari itu nanti saya akan jemput semua wartawan datang,” katanya ketika ditemui di biliknya di HPD, semalam.

 

 

Bagaimanapun, beberapa wartawan termasuk daripada Harian Metro dan Berita Harian dibenarkan menatap wajah Aleesya yang persis wajahnya.

Sebelum menunjukkan kepada wartawan, Erra sekali lagi berpesan supaya jangan mengambil gambar anaknya.

Permata hati Erra dan suami, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Datuk Engku Zainal Abidin, 34, itu dilahirkan seberat 4.04 kilogram.

Erra dijangka bersalin 25 Mac lalu, tetapi usia kandungannya terlewat lima hari.

Bagi mengelak menanggung risiko terutama pada bayinya, Erra dinasihatkan mengambil ubat mempercepatkan proses bersalin.

Dia sakit perut pada malam Sabtu sebelum dibawa menjalani pemeriksaan di HPD keesokan pagi.

Apabila sakitnya semakin kuat, Emran membawanya ke HPD jam 11 malam.

“Aleesya selamat dilahirkan pada jam 11.40 pagi. Selepas bersalin saya pening kesan pengambilan epidural. Apapun, melahirkan Aleesya pengalaman paling sukar dilupakan.

“Usia kandungan sudah terlebih lima hari dari tarikh jangkaan. Oleh kerana tak mahu mengambil risiko bimbang tali pusat membelit leher bayi, saya setuju mengambil ubat mempercepatkan proses bersalin.

“Selepas Aleesya dilahirkan, doktor terus beri pada saya. Rasa macam tak percaya. Saya pegang tubuhnya yang masih bersalut dan kekok hendak memegangnya,” katanya sebak melihat wajah comel Aleesya kerana anak yang dia dan suami nantikan akhirnya berada di depan mata.

Menurut Erra, dia akan berpantang 44 hari dan kembali bekerja pada Jun depan.

“Harap saya dapat semula berat badan ideal,” katanya yang mendapat tajaan pusat jagaan kesihatan dan kecantikan, Slim World.

Sebelum itu, Emran yang mengadakan sidang akhbar di ruang legar hospital itu melahirkan kesyukuran dengan kelahiran Aleesya.

“Kami memilih beberapa nama dan akhirnya Aleesya menjadi pilihan. Ia bermaksud ‘yang dilindungi’. Saya terharu melihatkan keadaan Erra yang terpaksa menahan sakit hingga memaksanya mengambil epidural. Sepanjang proses bersalin itu saya dan emak menemani Erra.

“Saya macam bermimpi melihat Aleesya. Saya belum merasai menjadi bapa sepenuhnya, tapi saya sempat menggendong Aleesya. Mulutnya seperti Erra,” katanya.

Erra akan keluar hospital dalam sehari dua dan berpantang di rumah mereka di Damansara Kim.

Sepanjang tempoh berpantang, Erra dan bayi akan dijaga ibunya, Azizah Zaik, ibu mentua, Tok Puan Salmah Abu Bakar dan nenek, Rahimah Sakul.

Harian Metro

Erra Selamat Bersalin Bayi Perempuan!

30 Mar

Teks oleh Thani Hasbullah & Ellyna Ali

KUALA LUMPUR, 30 MAC 2009:  Pelakon dan penyanyi jelita Erra Fazira selamat melahirkan bayi perempuan yang dinamakan Engku Aleesya Engku Emran di Pusat Perubatan Pakar Damansara, Petaling Jaya, pada jam 11.40 pagi tadi, Isnin.

Bayi comel yang seberat 4.04 kilogram itu dilahirkan secara normal tanpa sebarang masalah. Difahamkan, baik Erra mahu pun Aleesya, kedua-dua mereka kini berada dalam keadaan yang sihat.

Berita menggembirakan ini dimaklumkan kepada murai.com.my oleh Engku Emran sendiri, tengah hari tadi. Erra sebelum ini telah dimasukkan ke wad di hospital berkenaan pada Sabtu lalu iaitu pada tarikh jangkaan awal dia akan bersalin.

“Buat masa ini saya memohon maaf kerana belum dapat menunjukkan gambar bayi kami kerana Erra masih perlu berehat. Yalah, masih baru sangat. Insya-Allah kami akan memanggil jurugambar pada majlis cukur jambul iaitu selepas Erra habis berpantang nanti.

“Tapi apa yang dapat saya kongsi dan ceritakan di sini adalah wajah Aleesya lebih mirip Erra terutama pada bahagian bibir. Rambutnya lebat, kulitnya putih kemerah-merahan dan beratnya 4.04 kilogram. Alhamdulillah, Aleesya dan Erra dalam keadaan sihat walaupun Erra masih lagi keletihan.

“Tentang nama Aleesya, ia bermaksud dilindungi. Kami berdua sudah pilih nama itu selepas dapat tahu Erra mengandung bayi perempuan,” kata Emran dengan wajah ceria dan lega.

Menceritakan detik-detik cemas di wad selama 20 minit, Emran akui turut bersama di sisi Erra ketika 4 orang petugas iaitu 3 jururawat dan seorang doktor sedang bertungkus lumus untuk membantu kelahiran Aleesya.

Bagaimanapun kata Emran, perasan cemas itu akhirnya bertukar menjadi detik yang amat menggembirakan apabila mendengar suara anaknya menangis dan Erra juga selamat.

“Erra dihantar ke hospital kelmarin selepas mengadu sakit-sakit. Dia mula terasa sarat sangat, kira-kira jam 3 pagi tadi dan doktor terus memberi suntikan bagi memudahkan proses kelahiran itu.

“Pada 7.30 pagi tadi doktor bertemu saya dan menasihati kami agar bersedia kerana proses kelahiran akan berlaku pada bila-bila masa hari ini. Awalnya doktor menjangkakan pada jam 1.30 petang tetapi ia berlaku jam 11.40 pagi tadi,” kata Emran lagi.
 
Yang pasti, kehadiran Engku Aleesya pastinya menceriakan hidup pasangan bahagia itu yang telah lama merindui suara bayi sejak mereka mendirikan rumah tangga.

Apa yang menarik, sebelum ini produser MIG Productions, David Teo pernah berhasrat untuk mengambil anak Erra berlakon bersama ibunya itu dalam musim kedua siri Menantu vs Mertua yang ke udara di Astro Prima. Namun kata Erra, semua itu bergantung kepada persetujuan suaminya dulu.
  
Adakah Engku Aleesya akan mewarisi kecantikan ibunya nanti? Kita doakan yang terbaik buat Erra dan Emran. Tahniah dari semua warga murai.com.my!

Murai