Archive | Eva Longoria RSS feed for this section

Michelle Yeoh Pikat Syarikat Kosmetik

18 Dec

UNGKAPAN, Life begins at 40 nyata bukan saja boleh ditujukan kepada lelaki. Sekurang-kurangnya ia juga milik pelakon Malaysia, Datuk Michelle Yeoh yang kini mencipta nama di persada filem antarabangsa.

Pada usia 43 tahun itu, kejelitaan Michelle bukan saja menawan layar perak tetapi menjadikan dia pilihan syarikat kosmetik L’Oreal dari Perancis.

Pada penghujung November lepas, syarikat kosmetik itu melantik Michelle sebagai duta terbaru L’Oreal dan produk mereka untuk pasaran antarabangsa.

Pemilihan Michelle mewakili produk bertaraf antarabangsa itu nyata membanggakan. Dia membuktikan dengan usia lebih empat dekad itu, kejelitaannya masih menyerlah.

Pada usia yang sama, aktres Hollywood, Sharon Stone sebelum ini terpilih sebagai duta terbaru produk Dior.

Michelle iaitu aktres yang disegani dalam sinema Asia mahupun antarabangsa itu kini menyertai jelitawan dunia yang lain sebagai wajah baru L’Oreal.

Itu termasuk aktres muda Charlize Theron, Laetitia Casta, Beyonce Knowles, Gong Li, Milla Jovovich, Nomie Lenoir, Eva Longoria, Natalia Vodianova dan Aishwarya Rai.

Personaliti Michelle yang dinamik dan menawan nyata memikat syarikat kosmetik tersebut selain daripada profil seninya yang semakin cemerlang.

Apatah lagi dengan populariti terbaru Michelle yang dikecapi lewat filem Memoirs of a Geisha arahan Rob Marshall yang bakal menemui penonton pada Januari.

Michelle selama ini terkenal kepada khalayak filem antarabangsa selepas tampil dalam filem Crouching Tiger, Hidden Dragon.

Dia juga pernah muncul sebagai gadis Bond yang bijak dan tangkas dalam filem James Bond, Tomorrow Never Dies.

Michelle yang berasal dari Ipoh, Perak itu memulakan kerjaya lakonan di Hong Kong sebagai aktres filem aksi pada 1984.

Lewat kejayaannya menawan khalayak filem antarabangsa, Michelle pernah menerima gelaran sebagai antara 50 personaliti menawan di dunia pada 1997 oleh majalah People.

Michelle kini sudah muncul dalam 22 buah filem dan kini bergelar artis Asia yang menerima bayaran paling mahal. Pada usia lebih 40-an itu Michelle yang mengamalkan cara hidup sihat juga terkenal dengan kejelitaannya.

Pada masa yang sama, Michelle juga terkenal dengan kerja kebajikan terutama yang membabitkan AIDS.

Utusan Malaysia