Archive | Eva Mendes RSS feed for this section

Aktres Terkenal Dicalon Pelakon Paling Teruk

24 Jan


Jessica Alba

LOS ANGELES: Anugerah Razzies mengumumkan nama calon yang dianggap ‘menconteng arang’ dunia perfileman Hollywood membabitkan barisan pelakon yang tidak kurang hebatnya.

Razzies ialah anugerah anti-Oscar bagi filem termasuk persembahan terburuk di Hollywood dengan filem Mike Myers yang membintangi The Love Guru mengumpul pencalonan terbanyak.

Penaja Razzies yang berbangga kerana mengeluarkan anugerah itu, akan mendedahkan ‘pemenangnya’ pada 21 Februari depan, sehari sebelum anugerah Oscar sebenar.

Menyertai senarai bekas lakonan lawak Myers dalam kategori filem paling teruk ialah Disaster Movie dan Meet the Spartans, filem yang disifatkan umpama ‘seekor kuda dibelasah dengan teruk’, aksi seram yang tidak menepati konsep iaitu The Happening, drama fantasi In the Name of the King: A Dungeon Siege Tale serta The Hottie & the Nottie.

Filem The Hottie & The Nottie sepatutnya sebuah komedi romantik tetapi tidak romantik mahu pun mempunyai unsur jenaka, dilakonkan Paris Hilton yang memegang watak utama dianggap ramai pemerhati sebagai filem paling teruk pada 2008.

Selain itu, tidak kira betapa teruknya The Love Guru, dalam beberapa aspek, ia tidak dapat menandingi The Hottie and the Nottie.

Pelakon The Women, Annette Bening, Eva Mendes, Debra Messing, Jada Pinkett Smith dan Meg Ryan, semuanya berkongsi pencalonan aktres paling teruk.

Jessica Alba menyertai mereka dalam kategori itu berikutan peranannya dalam The Love Guru; Cameron Diaz dalam What Happens in Vegas serta Paris Hilton dan Kate Hudson bagi persembahan berganda dalam Fool’s Gold dan My Best Friend’s Girl.

Al Pacino dalam 88 Minutes, dianggap terlalu lama manakala Sir Ben Gandhi Kingsley, yang jelas mencemarkan dirinya sendiri dalam The Love Guru mendapat pencalonan aktres paling teruk seperti yang dijangka, bersama Mike Myers. Eddie Murphy yang menerima pencalonan tahun lalu sebagai aktor terburuk, pelakon pembantu terburuk dan aktres pembantu terburuk tahun lalu kerana pelbagai peranannya dalam ‘Norbit’, kembali semula tahun ini sebagai calon aktor paling buruk dan pasangan skrin terburuk bagi peranannya dalam filem ‘Meet Dave.’ – Agensi

Berita Harian

Eva Mendes Teratas Senarai Impian Lelaki

24 Jan


Eva Mendes (kiri) dan Megan Fox

Aktres kelahiran Cuba pilihan lelaki, Megan Fox tempat kedua diikuti model Marisa Miller

LONDON: Bintang filem The Spirit yang seksi, Eva Mendes mengejutkan hampir semua pihak selepas beliau mengungguli tangga teratas senarai ‘wanita paling diimpikan’ berdasarkan kajian pendapat majalah online, AskMen.

Aktres kelahiran Cuba berusia 34 tahun itu menduduki tempat pertama dalam undian yang meminta lelaki menamakan wanita ideal yang memiliki ciri kelakar, pintar dan berkarektor selain mempunyai tarikan seks.

Mendes yang berada di tempat keempat dalam senarai tahun lalu yang dikumpulkan halaman web AskMen.com gembira dengan kedudukan terkini dengan berkata:

“Inilah ciri paling menarik lelaki iaitu memberikan penghargaan hingga membolehkan saya berada di tempat teratas. Terima kasih semua.”

Eva mengatasi aktres Transformers, Megan Fox yang menduduki tempat kedua manakala model Victoria Secret, Marisa Miller dan model glamor Britain, Keeley Hazell masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat.

Fox dinamakan sebagai ‘wanita paling seksi di dunia’ tahun lalu oleh majalah FHM tetapi hanya mampu berada di tempat kedua dalam undian membabitkan lebih 10 juta pembaca majalah AskMen.com.

“Ia menakutkan tersenarai sekali lagi dalam AskMen.com! Ia tahun yang menarik dan mengetahui saya mempunyai peminat yang mencukupi untuk mengundi dan menyokong saya amat menakjubkan,” kata Marisa Miller dalam satu kenyataan.

Pendatang baru yang tersenarai tahun ini termasuk Isla Fisher yang berada di tempat ke 31, penyanyi I Kissed A Girl, Katy Perry di tempat ke 38, dan isteri Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, Carla Bruni, di tempat ke-76.

Aktres Scarlett Johansson yang berada di tempat ketujuh berkata: “Ia satu penghargaan kepada saya terpilih di kalangan 10 juta pembaca AskMen sebagai seorang daripada wanita impian.”

Pengacara Project Runway, Heidi Klum; pemenang Oscar, Halle Berry, Kate Beckinsale, Jessica Biel; bintang Confession of a Shopaholic, Isla Fisher; Charlize Theron; superstar Bollywood, Aishwarya Rai dan calon Oscar 2009, Penelope Cruz dan Angelina Jolie, turut tersenarai.

Bagaimanapun, penyanyi Britney Spears tidak tersenarai dalam kedudukan ke-50 teratas yang turut membariskan penyanyi Christina Aguilera, Carrie Underwood dan Beyonce. Britney berada di tangga ke-90.

Begitu juga dengan Madonna yang tidak tersenarai dalam kedudukan ke-50 teratas malah juga tidak berada dalam senarai 99. – Agensi

Berita Harian

Makan Untuk Kekal Langsing

19 Jan


DIANE LANE

JIKA anda tertanya-tanya apakah rahsia di sebalik kejayaan para selebriti Hollywood mengekalkan bentuk badan mereka, jawapannya mudah – makan!

Apabila Eva Mendes yang kelihatan hebat dalam gaun berwarna perak ketika dia menerima Anugerah Spirit of Elysium baru-baru ini ditanya tentang cara dia mengekalkan bentuk badannya, aktres jelita itu memberitahu, “Saya makan!”

Menurut aktres berketurunan latin itu, dia hidup normal sebagaimana manusia lain, melakukan rutin hariannya sebagai pelakon dan apabila tiba masa untuk makan, dia akan makan sepuas-puasnya.


SOPHIA BUSH

“Keluarga saya sendiri selalu bertanya apa yang saya lakukan bagi mengekalkan bentuk tubuh saya ini dan saya sendiri pun berharap memiliki rahsianya.

“Namun, saya tidak menyimpan apa-apa rahsia, ia semua bergantung kepada kerja keras dan makan dengan betul,” ujarnya kepada Fox News.

Tambahnya: “Saya memang menikmati makanan Cuba makan ketika bercuti, dan anda juga harus menikmati makanan sepuas-puasnya.”

Begitu juga dengan aktres Sophia Bush yang mengambil pendekatan bahawa seseorang itu harus makan lemak bagi menghilangkan lemak.

“Saya berketurunan Itali, jadi ramuan makanan saya banyak kandungan minyak zaitun yang dikatakan baik untuk kulit. Selain daripada itu, saya minum banyak air kosong,” tuturnya.


EVA MENDES

Namun lain pula dengan aktres Diane Lane yang masih memiliki bentuk tubuh yang menawan biarpun usianya kini mencecah 40-an.

Baginya, cukup dengan memikirkan betapa berat badannya akan naik, ia dengan sendirinya menyebabkan dia tidak menjamah makanan.

“Saya memang makan seperti orang biasa yang lain. Namun, apabila saya memikirkan badan saya akan jadi gemuk, dan timbul kebimbangan terhadapnya, dengan sendirinya saya tidak makan banyak. Cukup sekadar untuk mengenyangkan perut sahaja,” tegasnya.

Kosmo

Farrell Mencarut Di Karpet Merah

14 Jan


COLIN FARRELL dan (dalam bulatan) EVA MENDES

KEMERIAHAN majlis anugerah Golden Globe ke-66, Ahad lalu tercemar dengan kelakuan di luar dugaan aktor terkenal Colin Farrell yang tiba-tiba mencarut pada acara karpet merah.

Farrell yang mengungguli kategori Pelakon Lelaki Filem Komedi atau Muzikal Pilihan pada majlis anugerah tersebut sedang melangkah di karpet merah apabila dia tiba-tiba dihampiri penyampai TV, Nancy O’Dell untuk menemu ramahnya menerusi yang dipancarkan secara langsung itu.

Namun, pelakon Irish itu menghamburkan perkataan lucah dalam bahasa Inggeris yang bermula dengan huruf F, sehingga menyebabkan siaran langsung yang dikelolakan O’Dell itu terpaksa diganti dengan siaran iklan.

Kejadian itu sebenarnya bukanlah salah Farrell. Ini kerana dia sebenarnya melatah disebabkan terkejut selepas ditepuk bahunya dari belakang oleh aktres jelita Eva Mendes. Nampaknya Mendes bergurau tidak kena masa dan tempat.

Kosmo

Belum Tiba Masanya

30 Dec

Nampaknya pasangan selebriti baru, Scarlett Johansson dan Ryan Reynolds, tidak akan meniru trend pasangan selebriti Hollywood lain – terburu-buru menimang cahaya mata.

Aktres jelita yang menjadi pujaan peminat dan pengarah kerana raut wajah ‘klasiknya’ itu memberitahu wartawan beliau masih terlalu seronok menikmati kehidupan masa ini.

‘Saya baru berusia 24 tahun! Pastinya saya masih mempunyai banyak masa untuk hamil dan melahirkan anda pada masa hadapan.’ ujarnya dalam sebuah wawancara televisyen di rancangan Entertainment Tonight.

‘Lagipun,’ tambahnya, ‘Saya amat gemar bekerja… dan walaupun saya menaruh harapan dan ingin menjadi seorang ibu satu hari nanti, waktunya belum lagi sampai.’

Tugas, untuk Scarlett, berbagaibagai.

Beliau baru melancarkan filem terbarunya, The Spirit. Desas-desus dari Hollywood pula mengatakan aktres itu baru selesai penggambaran sebagai wajah terbaru rangkaian mekap Dolce & Gabbana.

Dan seolah-olah tidak tahu erti berdiam diri, Scarlett baru-baru ini melahirkan hasrat melahirkan album kedua, selepas melancarkan album mengandungi lagu nyanyian asal Tom Waits, Anywhere I Lay My Head, Mei lalu.

Album itu berjaya mencapai tangga 126 di senarai Billboard, bukan kerana mutu suara Sarlett sebaliknya kerana pilihannya merakam semula lagu-lagu Tom Waits dan statusnya sebagai bintang Hollywood.

Keyakinan dirinya itu disokong oleh statusnya sebagai aktres muda paling cepat naik di Hollywood.

Scarlett, yang menjadi sebutan ramai selepas menjayakan filem The Horse Whisperer (1998), seakan-akan bebas kesilapan.

Beliau juga mendapat pujian pengkritik bagi filem Ghost World, Lost In Translation dan Girl With The Pearl Earring.

Bahkan, Scarlett menerima anugerah Bafta (Akademi Seni Filem dan Televisyen Britain) bagi perananya dalam Lost In Translation dan menerima dua pencalonan anugerah Golden Glove untuk filem Girl With the Pearl Earring.

Filem terbarunya, The Spirit, yang turut dbintangi Samuel L. Jackson dan Eva Mendes, pula dijangka mendapat sambutan hangat peminat komik itu, yang kali pertama diterbitkan oleh Will Eisner pada 1940.

Bintang Scarlett terang, dan anda mungkin tidak begitu terperanjat mendengar berita bahawa tisu yang digunakannya untuk menghembus hingus kini bernilai sekurang-kurangnya $2,800 (AS$2,000).

Scarlett telah melelong tisu terpakai itu di E-bay semasa beliau muncul dalam rancangan Tonight Show With Jay Leno awal bulan ini.

Ia aneh dan menjijikkan tetapi lelong itu menarik tawaran beribu-ribu dolar setakat ini.

Mujurlah Scarlett mengekalkan statusnya sebagai aktres kegemaran ramai dengan mengikrar hasil lelong tisu itu kepada sebuah yayasan kebajikan.

Cyberita

Belum Sedia Jadi Ibu

27 Dec

Susunan Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap

BIARPUN kisah peribadinya terus menjadi perhatian selepas berita perkahwinan rahsianya dengan aktor Ryan Reynolds pada September lalu, bintang jelita kelahiran New York, Scarlett Johansson, mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap kerjaya.

Scarlett yang bertunang dengan Reynolds, bintang Definitely, Maybe pada Mei dan berkahwin secara rahsia di Kanada pada 27 September lalu berkata, dia dan suami tidak bercadang menimang anak buat masa terdekat ini kerana mahu memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya.

Malah bintang Lost In Translatin yang kini sibuk dengan promosi filem terbaru lakonannya, Spirit, mengakui masih terlalu muda untuk bergelar ibu.

“Usia saya baru 24 tahun dan mempunyai masa yang panjang untuk memikirkan perkara itu. Malah bagi saya, usia itu terlalu muda untuk memulakan kehidupan berkeluarga. Buat masa ini, saya mahu bekerja keras dan menikmati kehidupan yang dilalui,” katanya.

Apapun, anak pasangan Karsten Johansson dan Melanie Sloan ini mengatakan, suatu hari nanti dia pasti akan menjadi ibu.

Katanya, sudah pasti dia juga menginginkan kehadiran cahaya mata seterusnya memikul tanggungjawab sebagai ibu.

“Mungkin suatu hari nanti tapi bukan dalam waktu terdekat ini. Buat masa ini memang saya belum bersedia ke arah itu. Saya mahu memberi sepenuh tumpuan pada kerjaya kemudian barulah memikirkan soal anak,” katanya.

Walaupun kehidupan peribadinya turut menjadi tumpuan media, Scarlett juga tidak mahu media mereka-reka cerita mengenai dirinya. Malah Scarlett mahu menyaman akhbar Cosmopolitan edisi United Kingdom Januari lalu kerana salah lapor kenyataannya.

Artikel bertajuk ‘Scarlett: Why I had to get married’ yang menampilkannya sebagai penghias muka depan, melaporkan Scarlett sebagai berkata kehidupannya dengan suami sangat bahagia kerana mereka berdua saling mencintai.

Mereka kini menikmati kebahagiaan bersama dan sebagaimana pasangan lain, mereka juga berasa cukup bertuah ditakdirkan hidup bersama. Scarlett menafikan ada membuat kenyataan seperti itu. Katanya, dia sangat terkejut apabila membaca artikel itu.

“Ia majalah Cosmopolitan dan bukannya akhbar tabloid News Of The World. Mereka tidak buat kajian,” katanya.

Mengenai sambutan Krismas, Scarlett berkata, sudah menjadi kebiasaan dia dan keluarganya berkumpul di rumah meraikannya bersama-sama. Sambutan kali ini pastinya lebih istimewa dengan kehadiran Reynolds dalam keluarga baru Scarlett.

Malah, katanya, mereka sekeluarga mempunyai acara wajib di rumah setiap kali Krismas iaitu menonton filem Goodfellas dan ia sememangnya menjadi acara rasmi mereka sekeluarga setiap kali Krismas.

“Kami sekeluarga memang meminati filem genre drama yang berkisar mengenai mafia. Saya sendiri tidak tahu bagaimana perkara itu bermula tetapi kami akan berkumpul beramai-ramai.

“Kami akan menghabiskan masa dengan melakukan rutin biasa iaitu makan selagi mampu hingga mengantuk dan terus tertidur kemudian bangun dan makan lagi,” katanya.

Dalam filem terbarunya, Spirit, Scarlett berlakon dengan Samuel L Jackson dan Eva Mendes. Scarlett yang memegang watak Silken Floss mengakui pembikinan filem arahan Frank Miller itu sungguh meletihkan.

“Watak saya lebih merendah diri. Dia masih muda dan juga belajar mengenai hidup dan sangat tekun dengan kerjanya,” katanya.

Untuk promosi, Scarlett juga menghadiri tayangan perdana filem itu di Paris, Madrid dan London. Selepas Spirit, Scarlett juga baru saja selesai menjalani penggambaran filem He’s Just Not That Into You yang dijangka untuk tayangan tahun depan dan baru saja menandatangani kontrak membintangi Amazon (2010).

Scarlett yang mempunyai adik kembar, Hunter yang lahir tiga minit selepas kelahirannya, mengakui turut menyimpan impian mempunyai kuasa luar biasa.

“Kalau boleh, saya mahu terbang. Mungkin juga saya mahu jadi seperti Jeannie dari siri I Dream Of Jeannie tetapi tanpa kehadiran tuannya,” katanya.

>Profil

Nama sebenar: Scarlett I. Johansson

Tarikh lahir: 22 November 1984

Tempat lahir: New York, Amerika

Bapa: Karsten Johansson (Denmark)

Ibu: Melanie Sloan (Poland)

Suami: Ryan Reynolds (27 September 2008)

Kembar: Hunter Johansson lahir tiga minit selepas Scarlett

Tinggi: 1.63 meter

Adik beradik: Anak ketiga daripada empat beradik

Filem: The Spirit (2008), The Other Boleyn Girl (2008), The Nanny Diaries (2007), The Prestige (2006), The Black Dahlia (2006), The Island (2005), Match Point (2005), In Good Company (2004), Lost in Translation (2003), Girl with a Pearl Earring (2003)

Harian Metro

Kurus Terlampau

18 Sep


OBSES dengan bentuk badan yang kurus sudah diketahui umum sebagai satu perkara yang sinonim dengan golongan selebriti Hollywood. Mereka sering memikirkan pelbagai cara untuk menguruskan badan.

Ada yang menggunakan cara sihat seperti bersenam tetapi ada juga mengamalkan diet cara melampau supaya dapat tampil kurus selalu.

Tidak kira apa caranya, minggu ini mari kita melihat cerita diet Eva Mendes, Mariah Carey, Ashlee Simpson dan David serta Victoria Beckham yang mahu mengekalkan bentuk badan mereka yang dikatakan terlalu kritikal.

Pertarungan gim Eva Mendes

Selalu tampil seksi, Eva Mendes memberitahu bahawa dia sebenarnya sentiasa bergelut untuk mengekalkan bentuk badannya.

Aktres Ghost Rider ini mengaku bahawa dia tidak menyukai apabila aktres lain memberitahu bahawa mereka tidak perlu memikirkan mengenai apa yang mereka makan kerana dia perlu banyak berusaha untuk mengekalkan berat badannya.


EVA MENDES

“Ada seketika saya memberikan alasan kepada diri saya supaya tidak pergi ke gim dan ia bagaikan satu pertarungan. Apabila saya mendengar ada aktres yang menyatakan mereka tidak perlu menjaga pemakanan, saya ingin menerkam mereka kerana saya selalu bergelut dengan isu ini.

“Ia adalah satu masalah yang selalu menganggu saya. Maka saya perlu sentiasa memastikan makan sayur-sayuran serta buah-buahan dan bersenam,” katanya.

Eva juga mendedahkan bahawa dia berasa tertekan untuk mengurangkan berat badan tetapi tekad untuk tidak terkongkong dengan pandangan orang ramai mengenai bentuk badannya.

“Saya bukannya seperti kebanyakan gadis di luar sana. Saya orang Cuba. Jadi saya mempunyai pinggul dan punggung yang agak menonjol. Dan saya juga ingin kekal dengan bentuk badan seksi,” tambah Eva

Hamil hancurkan bentuk badan – Mariah

Penyanyi seksi, Mariah Carey bertegas untuk tidak mengandung kerana dia tidak mahu berat badannya meningkat. Dia yang baru muncul dengan album baru, E=MC² juga sering menunjukkan bentuk badannya yang kurus dalam pakaian ketat baru-baru ini.

Mariah yang berasa yakin dengan bentuk badan baru ini dilaporkan tidak bergegas untuk menambah ahli keluarga dengan suaminya, Nick Canon kerana bimbang beratnya akan meningkat dan usahanya menguruskan badan akan disia-siakan.


MARIAH CAREY

Menurut satu sumber kepada majalah National Enquirer, “Mariah sentiasa diusik mengenai bila dia akan mengandung. Namun, dia hanya akan membalas dengan pandangan yang menjengkelkan dan memberitahu mengenai bentuk badan barunya dan betapa susahnya dia perlu bekerja keras untuk menguruskan badannya.

“Maka dia tidak mahu mengandung dan menghancurkan bentuk badannya. Dia kini sedang menikmati hidupnya dan tidak mahu mengubahnya atas sebarang alasan.

“Dia akan menjalankan konsert selama sebulan untuk membantu kanak-kanak yang kebuluran di seluruh dunia tetapi memiliki anak sendiri bukan impiannya.”

Motivasi jean Ashlee Simpson

Isteri kepada Pete Wentz, Ashlee Simpson telah membeli enam pasang jean bersaiz kosong sebagai motivasi kepada dirinya untuk menguruskan badan.

Dia yang sedang mengandungkan anak pertama dilaporkan berasa risau kerana berat badannya yang semakin meningkat dan membeli jean bersaiz kecil itu supaya dia boleh kekal fokus.


ASHLEE SIMPSON

Menurut satu sumber kepada majalah National Enquirer, “Ashlee menangis semasa bertemu dengan doktor awal Ogos lalu apabila berat badannya dilihat meningkat lagi.

“Dia kemudian terus menuju ke kedai Planet Blue untuk membeli enam pasang jean bersaiz kosong. Dia tidak dapat memakainya sekarang tetapi berharap jean itu mampu membuatkan dia berjaga-jaga dengan pemakanannya.”

Bukan sahaja membeli jean sebagai motivasi diri, Ashlee juga telah melakukan rejim senaman yang ketat supaya beratnya badannya tidak meningkat secara mendadak.

Berat badannya yang sudah meningkat sebanyak 20 paun (sembilan kilogram) amat membimbangkan dia dan Ashlee telah mengupah jurulatih, Mike Alexander untuk membantunya.

Tambah sumber itu, “Dia masih berharap supaya dia boleh membataskan berat badannya daripada meningkat melebihi 35 paun (15.8 kilogram). Jadi dia melakukan senaman berisiko rendah seperti Pilates.”

Pasangan Beckham musnahkan diri?

Sungguhpun pemain bola sepak terkemuka dunia, David Beckham mempunyai bentuk badan yang ideal, dia juga mempunyai perasaan takut dirinya akan bertukar menjadi gemuk, botak dan tua.

David yang mempunyai tiga orang anak bersama Victoria terlalu bimbang dia akan kehilangan penampilannya dan sedang melakukan apa sahaja untuk mengekalkan rupa parasnya seperti sekarang.

“David telah menjadi ‘gila’ kerana berasa tidak yakin. Dia kerap memberitahu Victoria bahawa dia takut akan menjadi gemuk dan tua. Maka dia telah pergi ke gim setiap hari untuk beberapa jam. Dia tidak boleh tahan apabila memikirkan dirinya akan menjadi gemuk dan tua,” kata satu sumber.

Namun, isterinya tidak begitu risau dengan suaminya yang semakin tua. Malah dia mendapati suaminya itu terlalu paranoid. Akan tetapi Victoria sendiri juga melakukan diet ketat untuk mengekalkan berat badannya yang kurus itu.

Apabila Victoria memberitahu bahawa dia mengidam makanan, pembantunya memahami maksud bekas anggota kumpulan Spice Girls ini yang hanya mahu memakan makanan dalam kuantiti kecil.


PASANGAN David Beckham dan Victoria.

Mereka menempah sebuah restoran mewah dan memesan beberapa hidangan dalam jumlah sedikit yang semuanya dimasak tanpa minyak, sos, mentega atau garam.

Senarai hidangan pelik itu hanya mengandungi 302 kalori, jauh lebih rendah berbanding 1,000 kalori yang disyorkan untuk seorang ibu dengan tiga anak seperti Posh.

Ketika berada di restoran berkenaan, wanita itu tidak menjamah ikan tuna yang dihidangkan sebagai pembuka selera dan udang untuk hidangan utama. Tetapi dia meminum empat gelas champagne yang sudah diketahui umum mengandungi 523 kalori.

“Dia telah melakukan diet yang melampau dan saya tidak akan mengesyorkan diet seperti itu kepada sesiapa pun. Ia terlalu cerewet dan obsesi dan bertambah buruk dengan pengambilan alkohol,” kata seorang pakar pemakanan, Dr. Ian Campbell ketika diminta mengulas mengenai tabiat makan Posh.

Malah bagi memastikan semua makanan mematuhi syarat, semua makan diperiksa sebelum dijamah. Itulah obses Victoria yang dilihat sedang memusnahkan dirinya yang semakin kurus.

Kosmo