Archive | Farah Af2 RSS feed for this section

Farah Sedia Untuk Bertudung

1 Apr

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED (metra.mohamed@utusan.com.my)

FARAH bersama Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar (dua dari kiri), Erland Kok dan Mohd. Fudail Ma (kanan), menunjukkan kaligrafi seni khat sempena pelancaran Rasa Halal Orient di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – Gambar RASHID MAHFOF

SELEPAS penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza dan Nora’Asikin Rahmat atau Ekin tampil dengan imej bertudung, tidak dinafikan ia memberi impak memberangsangkan kepada umum.

Ramai terdorong untuk mengikuti jejak langkah mereka dengan mengenakan tudung di kepala yang sememangnya menjadi tuntutan terhadap wanita Islam.

Terbaru, seorang artis wanita yang lahir ke dunia hiburan menerusi sebuah program realiti, bakal mengubah imejnya dengan bertudung.

Ditemui dalam satu majlis pelancaran program Rasa Halal Orient di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, baru-baru ini, kemunculan artis muda ini begitu memeranjatkan kalangan media.

Jika tidak memperkenalkan dirinya sebagai Farah Diana Anuar atau lebih dikenali sebagai Farah AF2, pasti tiada siapa yang akan mengenalinya.

Begitu anggun dan ayu sekali Farah memakai tudung ketika itu sehinggakan wajahnya tidak putus-putus menjadi perhatian lensa kamera.

Mengakui masih baru berjinak-jinak, Farah kemudiannya diasak dengan pelbagai persoalan mengenai kesediaannya untuk bertudung.

Tersusun kata-kata merungkai segala soalan, Farah tangkas menyatakan hasrat untuk meneruskan pemakaian tudung sebaik sudah bersedia sepenuhnya ke arah itu.

“Ini sebagai satu permulaan. Insya-Allah, saya akan bertudung juga satu hari nanti sebab sebelum ini, Farah memang sudah biasa memakai tudung.

“Jika balik kampung dan di hari raya, Farah memang memakainya. Sebelum ini, Farah banyak muncul di kaca televisyen dengan bertudung ketika menjayakan program-program bercorak Islam. Perlahan-lahan, Farah akan berubah juga nanti,” katanya yang mempunyai banyak koleksi tudung dalam almari pakaiannya.

Jelas Farah, dia tidak takut untuk dikritik andai ada yang menyatakan dirinya hipokrit iaitu mengenakan tudung pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Ujarnya, sebagai bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) yang saban minggu berhadapan dengan kritikan ketika berentap dalam AF satu ketika dahulu, dia sudah lali dengan segala unsur kritikan.

“Farah tidak takut untuk dikritik. Jika ada yang mahu komen apa-apa, dipersilakan kerana komen dan kritikan itu akan membuatkan Farah sedar serta dapat memperbetulkan keadaan.

“Dalam bab bertudung, memang Farah masih baru. Bagilah Farah sedikit masa,’’ jelas Farah.

Pengalaman di Xian

Sepanjang diberi peluang mengacara program Rasa Halal Orient di wilayah Xian, China, Farah menemui pelbagai pengalaman berharga.

Di samping dapat berinteraksi dengan komuniti Islam di wilayah berkenaan, Farah kini memiliki pelbagai resipi masakan masyarakat Islam Xian.

“Banyak resipi yang dapat dikumpulkan. Farah juga berpeluang mengunjungi masjid-masjid lama dan menyelusuri budaya masyarakat Islam Xian. Paling menyeronokkan apabila melihat bagaimana adat serta budaya perkahwinan di sana.

“Rasa Halal Orient bukannya program bercorak masakan sahaja dan ia menggabungkan elemen budaya serta lawatan ke tempat-tempat menarik,” ujar Farah.

Katanya, antara pengalaman yang sukar dilupakan adalah ketika berhadapan dengan cuaca sejuk dan salji di Xian.

“Bayangkan dengan cuaca yang amat sejuk itu, ia sedikit sebanyak menganggu tugas saya. Nasib baik saya dapat membuat yang terbaik.

“Saya juga menghadapi masalah komunikasi. Tidak ramai yang boleh berbahasa Inggeris,” kata Farah yang bakal tampil dengan album berjudul 9 Langkah tidak lama lagi.

Powered by Utusan Malaysia

Artis Raya Di Mana?

12 Oct

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MEMANDU sambil mendengar lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Sudirman di sepanjang lebuh raya membuatkan hati tidak sabar untuk sampai ke destinasi masing-masing.

Setiap kali raya, lagu itu antara yang paling digemari. Biar di ceruk mana kita mencari rezeki, bila raya mesti kampung halaman menjadi pilihan.

Begitu juga dengan golongan artis. Walaupun disinari glamor dunia seni, masing-masing tetap memilih untuk pulang berhari raya di kampung.

Elyana beraya di dua tempat

Elyana yang sedang hangat dengan lagu Kau Atau Aku itu berkata setiap tahun, mereka sekeluarga akan beraya di Kampung Pandan, Cheras, Kuala Lumpur dan Pandamaran, Kelang.

“Mungkin pada malam raya, kami akan berada di Kampung Pandan, rumah nenek (sebelah ayah) dan petang raya pertama, bertolak untuk beraya dengan nenek di Pandamaran, Kelang.

“Setiap tahun itulah rutin raya kami. Kami hanya akan beraya di rumah sendiri di Shah Alam pada hari raya kedua. Waktu itulah baru kawan-kawan datang ke rumah,” katanya yang sibuk menjalani penggambaran drama Dunia Baru musim ketiga itu.

Anuar Zain ke Melaka

PENYANYI Anuar Zain yang hangat dengan lagu Lelaki Ini berkata, seperti biasa mereka sekeluarga akan beraya di rumah Shah Alam. Selepas itu akan pulang ke Merlimau, Melaka untuk menziarah sanak saudara.

“Kali ini saya tidak terima tawaran muncul di kaca TV pada saat akhir sebab saya nak bantu ibu di rumah. Seminggu sebelum raya saya di rumah sahaja.

“Sudah pasti khidmat saya diperlukan untuk mengangkat periuk atau memasang langsir di rumah,” kata Anuar.

Farah AF2 beraya di lebuh raya

Farah AF2 yang bakal muncul dengan album kedua tidak lama lagi berkata, tahun ini mereka sekeluarga akan beraya di Putrajaya.

“Malam raya ini Farah ada show. Kali ini Farah jadi hos dengan Zahid untuk program Salam Lebaran di RTM. Selalunya selepas persembahan, kami akan balik ke Kedah, kali ini selepas sembahyang raya baru balik. Kiranya raya pertama kami dalam perjalanan ke kampung,” katanya.

Di kampung, Farah akan beraya dengan nenek di sebelah mak iaitu di Guar Cempedak, Gurun dan keluarga sebelah ayah di Sungai Petani.

Selalunya kata Farah, dia akan mengadakan majlis rumah terbuka di Guar Cempedak pada hari raya ketiga.

“Sejak keluar Akademi Fantasia, Farah akan buat rumah terbuka di sana. Peminat-peminat pun sudah tahu. Rumah terbuka itu bukan untuk peminat sahaja, tapi Farah mengajak sanak saudara yang jauh dan dekat bersama. Riuh rendah macam kenduri kahwin. Lagipun, makanan yang dihidang adalah masakan daripada saudara mara Farah sendiri,” katanya yang menempah baju raya daripada kain pemberian peminat.

Farawahida balik Taiping

Farawahida yang popular dengan single Semuanya Di Sini berkata, dia dan keluarga akan balik beraya di Taman Setia Pokok Asam, Taiping.

Dia yang sering diberi tugas memasak rendang daging dan ayam pada malam raya itu berkata, untuk memeriahkan suasana di rumah, mereka adik beradik akan memasang pelita.

“Memandangkan kami ada enam beradik, setiap orang ada tugas masing-masing. Fara bahagian memasak rendang. Sebenarnya semua adik beradik Fara pandai memasak. Ayah Fara kalau masak memang sedap,” katanya yang akan beraya empat hari di kampungnya.

Jelasnya, sewaktu di kampung tidak ada istilah rumah terbuka kerana rumahnya sentiasa mengalukan kedatangan tetamu.

Sazzy Falak di ibu kota

Pengacara dan pelakon Sazzy Falak, 26, tidak menghadapi masalah sama ada untuk beraya bersama keluarganya atau di rumah mertua.

Ini kerana rumah keluarganya di ibu kota, sementara mertua pula di Port Dickson, Seremban.

“Pagi raya kami di sini dan sebelah petang balik ke Port Dickson sebab rumah mama saya selalu jadi tempat berkumpul.

“Dari pengalaman lalu, saya tengok Naz (suaminya) pun suka berkumpul dengan keluarga saya. Mana taknya, dia cukup ‘kamceng’ dengan pak cik saya. Mereka yang sibuk main mercun, anak saudara yang lain tengok saja,” cerita Sazzy tentang gelagat suaminya, Nazril Idrus, 33.

Powered by Utusan Malaysia

Guna SMS Pilih IKON Malaysia?

16 Feb

Oleh: MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

BARISAN calon bagi kategori artis berkumpulan, bergambar kenangan pada majlis mengumumkan calon akhir IKON Malaysia di Hotel Regent, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Satu lagi program realiti TV akan diadakan. Tapi kali ini bukan mencungkil bakat baru. Sebaliknya memilih IKON Malaysia bagi kategori solo dan berkumpulan daripada kalangan penyanyi yang sedia ada.

Malangnya, penganjur turut merancangkan pemilihan dibuat secara SMS (menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas) daripada penonton.

Persoalannya apakah ini satu keputusan yang terbaik?

Hakikatnya pihak penganjur harus sedar, tidak semudah itu memilih IKON Malaysia. Secara rasional, pemilihan perlulah diadili oleh juri profesional dan golongan yang arif dalam bidang seni.

Kalau sekalipun ingin berselindung di sebalik mengejar keuntungan dengan memberi alasan agar peminat seni dapat melibatkan diri dalam pemilihan IKON negara, SMS tidak wajar digunakan sama sekali.

SMS hanya akan menghasilkan pemilihan berdasarkan populariti semata-mata dan bukan bakat serta kebolehan.

Penyanyi Zainal Abidin paling lantang membantah penggunaan SMS itu pada sesi penerangan program tersebut di Hotel Regent Kuala Lumpur baru-baru ini. Zainal dikatakan secara spontan menarik diri daripada pertandingan itu. Penyanyi popular Mawi turut hadir pada sesi penerangan itu, namun terus pulang dan tidak menghadirkan diri pada sidang akhbar selepas sesi penerangan itu.

Akibatnya, pada sesi sidang akhbar, pihak penganjur, Pengarah Urusan IKON Media Group, Richard Voon, terpaksa mengeluarkan kenyataan berhati-hati apabila memberitahu pihaknya masih tidak pasti dengan penjurian IKON, sama ada menggunakan SMS atau juri profesional.

Jelasnya lagi, senarai artis yang bertanding juga mungkin berubah kerana pihaknya masih mempunyai masa sehingga Jun ini.

Senarai calon IKON Malaysia yang diberikan pihak penganjur, menimbulkan pelbagai persoalan.

Ke manakah hilangnya nama-nama besar seperti M.Nasir, Sheila Majid, Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Adibah Noor bagi kategori solo?

Menurut pihak penganjur, kriteria pemilihan artis berdasarkan album yang dihasilkan sejak 18 bulan lalu, jualan album, kekerapan lagu yang disiarkan oleh stesen-stesen radio dan kemampuan mengekalkan populariti dalam bidang seni.

Kalau mengikut kriteria itu, pasti ramai yang kurang berpuas hati dengan senarai calon artis yang dipertandingkan.

Apa itu IKON Malaysia?

IKON Malaysia merupakan sebuah program anugerah muzik serantau yang melibatkan kerjasama sebahagian besar negara anggota ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina dan Malaysia.

Sepuluh artis solo dan sepuluh artis berkumpulan akan dicalonkan oleh setiap negara.

Seterusnya, juara antara negara bakal bersaing merebut IKON ASEAN iaitu kemuncak program berkenaan.

Di Malaysia, pemilihan artis dipertanggungjawabkan kepada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Sebagai penggerak awal, Malaysia akan mendahului negara-negara jirannya apabila IKON Malaysia dijangka menemui penonton pada Jun ini di stesen TV berbayar Astro. Radio Era pula dilantik sebagai penyiar rasmi IKON Malaysia.

Program ini melibatkan lima peringkat sebelum berlakunya penyingkiran setiap minggu berdasarkan persembahan artis (solo dan kumpulan).

Juara IKON Malaysia akan diketahui pada awal Ogos depan sebelum bertanding dengan juara ikon negara-negara Asean.

Senarai calon IKON Malaysia

Solo

* Adam AF2

* Awie

* Dayang Nurfaizah

* Ella

* Ezlynn

* Farah AF2

* Hattan

* Mawi

* Reshmonu

* Zainal Abidin (tarik diri)

Kumpulan

* Amuk

* Def-Gab-C

* Flop Poppy

* Jinbara

* May

* OAG

* Raihan

* Ruffedge

* Search

* VE

Powered by Utusan Malaysia

Farah AF2 Makan Secawan Nasi Untuk Kurus

27 Oct

Oleh: NOR FADZILAH BAHARUDIN

FARAH berhasrat menurunkan berat badannya sehingga 45 kilogram.

DEMI peminat, Farah Diana Anuar atau lebih dikenali Farah AF2 sanggup menguruskan badannya. Maklumlah hubungan Farah dengan para peminatnya agak rapat.

Tambahan pula mereka sering berjumpa melalui perjumpaan kelab peminatnya.Kata Farah, selain desakan peminat, dia sendiri menyedari keadaan tersebut.

“Bila tengok gambar saya dalam majalah dan televisyen, nampak gemuk. Itu yang saya tersedar tentang perkara tersebut.

“Lama-lama saya berazam untuk menguruskan badan saya. Bukan untuk kepuasan diri saja, tapi untuk kesihatan juga,” katanya ketika ditemui di ibu kota baru-baru ini.

Menurut Farah, sebelum dia memasuki Akademi Fantasia 2, beratnya 45 kilogram (kg), semasa berada di dalam akademi beratnya bertambah kepada 53 kg. Berat tersebut terus bertahan sehingga dia keluar dari akademi.

Lantas Farah mengamalkan diet untuk mengembalikan dirinya kepada bentuk asal.

“Saya mengamalkan makan secawan nasi sahaja sehari untuk menguruskan badan. Saya lebihkan makan sayur-sayuran, sup, dan biskut.

“Selepas pukul lapan malam, saya tidak makan makanan yang berat-berat. Tapi saya akan pastikan segala makanan yang saya ambil itu mempunyai khasiat,” kata penyanyi yang berusia 21 tahun ini.

Tidak cukup dengan itu, Farah turut mendapatkan khidmat nasihat daripada dua rakan artis, Linda Onn dan Misha Omar.

“Sepanjang terlibat untuk promosi Power Root, saya selalu berjumpa dengan Kak Linda. Jadi saya selalu bertanya, bagaimana cara terbaik untuk mendapatkan badan selangsingnya.

“Banyak juga petua yang dia berikan. Kalau Misha pula, dia mengajak saya ikuti kelas fitness untuk kurus,” kata Farah.

Tambah Farah, ayahnya juga telah memberi amaran agar dia tidak mengamalkan pemakanan pil-pil menguruskan badan.

“Abah tak mahu saya makan pil-pil kurus. Sebab takut nanti ada kesan di masa hadapan,” katanya.

“Saya nak berat saya 45 kg sebelum hujung tahun ini. Kalau dapat 45 kg, baru saya akan mula makan lebih sedikit,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Antara Dua.

Dalam pada itu, pastinya khalayak menyedari perubahan pada wajah Farah. Wajahnya kini bertambah jelita.

Kata Farah: “Mungkin penggunaan produk penjagaan wajah Syahirah sejak tiga bulan lalu banyak membantu Farah kelihatan lebih menarik. Dan Farah sangat berpuas hati dengan produk tersebut.”

Biarpun sibuk dengan misi menguruskan badannya, kini Farah telah pun mula merakamkan lagu-lagu untuk album kedua. Album tersebut bakal berada di pasaran penghujung tahun ini.

“Masih mengekalkan konsep pop rock sementara komposer yang terlibat Ajai dan Adnan Abu Hassan. Setakat ini enam lagu telah dirakamkan,” katanya.

Powered by Utusan Malaysia