Archive | Farah Asyikin RSS feed for this section

Depan Mata: Pahit, Manis Dan Kelat Di ABPBH2008

20 Apr

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
INSIDEN Nabil peluk buah hati, Irma Hasmie sebaik diumumkan menang Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) Ahad lalu, antara yang diperkatakan orang sepanjang minggu lalu.

Begitu juga aksi penyanyi Farah Asyikin ketika menyampaikan lagu Hello hingga penonton di Arena Of Stars, Genting Highlands kurang selesa melihat Farah dijulang penari.

Mungkin ia perkara yang tidak disengajakan tapi itulah harga yang harus dibayar apabila mereka terjun ke dunia glamor. Nabil juga sudah memohon maaf secara terbuka atas ketidaksengajaannya itu tapi bak kata pepatah, nasi sudah jadi bubur atau pepatah Inggeris, the damage is done.

Farah juga sudah memberi penjelasan dalam Harian Metro Khamis lalu mengatakan tiada niat tampil seksi atau membuatkan penonton kurang selesa.

Memang tiada salahnya pakaian Farah tapi apabila dirinya diangkat penari sedemikian rupa, membuatkan apa yang tidak sepatutnya nampak sudah disaksikan banyak mata, apatah lagi disiarkan secara langsung di TV3.

Mungkin boleh memberi pengajaran kepada penyanyi lain supaya memilih pakaian lebih sesuai apabila perlu dijulang penari, seperti berseluar panjang. Hakikatnya, Farah memakai stokin gelap dan bukannya mendedahkan paha gebunya di balik gaun paras atas lutut itu.

Sebelum ini, pakaian Farah dikatakan tidak sesuai ketika menjayakan satu program hari raya walaupun hakikatnya menyampaikan lagu moden tetapi sepatutnya memilih pakaian lebih sesuai dengan majlis bukannya gaya ketika menyanyi di kelab malam.

Tidak kurang menariknya, ramai melaram sakan ketika acara permaidani merah sama ada yang ditaja atau koleksi sendiri sesuai tema ‘tenunan songket’. Lebih menarik, ramai juga melaram buah hati.

Jika Norish Karman bersama jejaka kacukan Melayu-Inggeris, Luqman Amin yang juga abang Farahdhiya, pengacara Nurul Alis (Kiki) pula membawa jejaka mat salih. Begitu juga Abby Abadi bersama Zulkifli Ariffin dan Noraliah Lee (Vee) dengan kerabat Selangor, Tengku Yusof.

Menariknya, empat wanita ini memegang status janda tetapi nampaknya ABPBH2008 menjadi medan untuk mereka pamerkan orang istimewa dalam hidup mereka. Kalau sebelum ini hanya mendengar gosip apabila ada mata-mata gelap tidak bergaji bercerita melihat mereka keluar bersama.

 

 

Tapi malam itu, mereka tidak main sembunyi-sembunyi, sebaliknya berkongsi dengan umum siapa gerangan insan istimewa dalam hidup mereka ketika ini. Apabila bersikap terbuka, siapa tahu dengan doa peminat dipercepatkan jodoh mereka.

Pengakuan Norish juga disiarkan dalam Harian Metro, Sabtu lalu. Ternyata Norish tidak berselindung apabila saya katakan dia kini lebih terbuka. Sebelum ini, Norish hadir bersama Luqman ketika tayangan filem Talentime, kemudian konsert mini Anggun.

Sebelum ini, Abby dianggap berani dan sangat terbuka apabila sering bersama Zul tidak lama selepas bercerai dengan Norman Hakim, malah kantoi di lapangan terbang ketika baru pulang dari China.

Hubungan Vee dengan Tengku Yusof pula dikatakan sekejap on sekejap off tapi saya melihat apabila Vee terbuka memperkenalkannya kepada umum, secara tidak langsung menjadi satu jaminan buat si wanita bahawa si lelaki sudah menjadi miliknya.

Kita tunggu pula giliran Norman dan pasangannya, Suhaiza Suhaimi atau Memey mengakui hubungan mereka secara terbuka walaupun hakikatnya ramai sudah tahu, tapi empunya diri mengatakan antara mereka tiada hubungan istimewa walaupun sudah kantoi ditangkap khalwat. Terbaru, gambar mesra mereka meraikan ulang tahun berdua kini disebarkan di Internet.

Begitu juga Fasha Sandha, sejak sekian lama dikatakan ada hubungan istimewa dengan bekas suami Nora Danish tetapi empunya diri juga tidak mengaku. Cuma gambar mereka berdua belum lagi disebarkan di Internet sebagai bukti tetapi gambar beramai-ramai adalah.

Turut mendapat perhatian saya ketiadaan dua pemenang malam itu, Norkhiriah untuk Pelakon Komedi Wanita Popular dan Dynas (Pelakon TV Wanita Popular). Sebagaimana diumumkan pengacara majlis, Sharifah Shahira bahawa Norkhiriah kurang sihat kerana mengandung.

Dynas pula ramai yang tahu mengandung tujuh bulan tetapi tidak ramai tahu dua hari sebelum ABPBH2008, Dynas menerima berita duka anak yang dikandung meninggal dunia. Teringat pengalaman sama yang saya alami pada 2003 apabila bayi yang dikandung selama 24 minggu, tidak sempat dilahirkan ke dunia kerana pergi lebih dulu.

Tentunya ini saat cukup sukar bagi Dynas, apatah lagi kali kedua hamil dan belum berpeluang menatap bayi yang dinantikan bersama suami.

Untuk mengubat hati yang luka, orang selalu kata ada hikmah di sebaliknya. Paling penting, bayi itu menanti ibunya di syurga. Dynas juga menerima berita gembira apabila sekali lagi menang kategori yang pernah dimenanginya tahun lalu.

Bagi Norkhiriah, sebelum ini pernah mengalami keguguran sudah tentu kali ini berhati-hati menjaga kandungan. Tambah-tambah pula pada awal kehamilan dan majlis pula berlangsung di tempat tinggi dan dingin menusuk tulang.

Tahun lalu, Erra Fazira mengalami keguguran ketika menghadiri ABPBH2007 tetapi cepat diberikan pengganti apabila Mac lalu, selamat melahirkan bayi perempuan diberi nama Engku Aleesya Engku Emran.

Mereka juga manusia biasa yang mengalami dugaan dalam hidup serta melalui suka duka sebagai wanita bergelar isteri.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Aduhai Farah Asyikin

19 Apr


JULANGAN Farah yang menyebabkan bahagian kakinya terserlah.

TIADA kejutan dalam keputusan Anugerah Bintang Popular (ABP) di Genting Highlands minggu lalu. Para pemenang sememangnya sudah dijangka. Cuma Diva terkejut bila menonton persembahan penyanyi janda, Farah Asyikin.

Pada malam itu, Farah memakai gaun pendek merah jambu. Betul dia nampak manis, tapi Diva rasa ia tak sesuai langsung dengan konsep lagu yang rancak seperti Hello itu.

Yang jadi tak sedap bila Farah dijulang oleh para penari beberapa kali dengan pakaian yang vogue itu.

Diva yang menonton persembahan Farah dengan teman-teman terjerit kecil setiap kali Farah diangkat barisan penari.

Bukannya apa, takut gaun pendek Farah terselak dan menampakkan seluar dalamnya. Kan tak manis begitu.

Diva rasa Farah boleh memilih fesyen yang lebih sesuai, misalnya memakai legging atau sarung kaki berwarna atau lebih praktikal memakai seluar tetapi masih kelihatan funky.

Taklah kami semua sakit jantung lihat Farah. Tapi, kata Farah, dia rasa selesa dan rasa tak seksi dengan gaun itu. Okeylah kalau tuan punya badan sudah kata begitu, jadi Diva pun hormat perasaan Farah.


Diva: RTM akhirnya terpaksa menyiarkan semula berita utamanya dari pukul 9 kepada 8 malam selepas tiada sambutan.

Kosmo

Anita, Stacy Gegarkan ABPBH2008!

11 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Gabungan baru dan lama menghangatkan persembahan di malam kemuncak anugerah ke-22 ini

KELINCAHAN penghibur berusia 57 tahun, Anita Sarawak di pentas sentiasa memukau. Tenaga serta aura luar biasa yang dimiliki penyanyi hebat ini sentiasa menyalur kehangatan yang sukar diungkapkan dengan perkataan.

Biar bersilih ganti penyanyi datang dan pergi, Anita kekal di hati pencinta bakatnya dan berdiri selesa dalam liga yang tersendiri.

Tidak tercabar, tiada tandingan membuatkan nama yang begitu sinonim dengan lagu rancak seperti Tragedi Buah Epal dan Akhirnya Kini Pasti selain sentuhan balada antaranya Cintamu Muzik Di Hatiku dan Asmara terus mekar dalam sanubari pencinta seni.

Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Arena Of Stars, Genting Highlands, malam esok sekali lagi menyenaraikan nama Anita sebagai antara penghibur yang bakal menghangatkan siaran dipancarkan secara langsung menerusi TV3 itu.

Menyuntik kelainan selain meraikan kehebatan aksi dua bintang berbeza era, Anita yang membuka tirai persembahan dengan Akhirnya Kini Pasti akan ditemani Stacy yang membawakan lagu terbarunya, Gagap.

Bertarung kreativiti dan kekuatan koreografi, kedua-dua penyanyi hebat ini akan menghangatkan pentas dengan gerak tari memukau digarap istimewa untuk kemuncak ABPBH 2008.

Seperti kata Stacy, mengadakan persembahan pada kemuncak acara hiburan berprestij seperti ABPBH 2008 sememangnya menjadi impian terutama untuk penyanyi yang sedang bertapak sepertinya.

“Latihan dibuat sekitar dua minggu kerana saya mementingkan kesempurnaan setiap kali menaiki pentas. Biarpun sudah biasa membawakan lagu Gagap, latihan tetap dipergiatkan kerana saya perlu mencari kelainan untuk acara berprestij seperti ABPBH 2008,” katanya.

Selaras dengan objektif penganjuran ABPBH 2008 yang mengiktiraf penggiat seni pelbagai cabang hiburan, peranan peminat yang selama ini menjadi tunggak pemacu industri juga tidak dipinggirkan.

Justeru persembahan yang dirangka memenuhi kehendak serta kepelbagaian cita rasa kelompok pencinta seni berbeza usia dan kegemaran.

Aspek utama yang ditekankan pada ABPBH 2008 adalah sajian lagu menghiburkan, mencakupi kepelbagaian genre yang membentuk acuan kepada industri hiburan.

Keistimewaan lain yang dijangka memberi warna pada malam kemuncak ABPBH 2008 ialah gabungan kumpulan rock generasi baru, Kristal bersama tiga penyanyi terkenal era 60-an, Datuk A Rahman Hassan, L Ramlie dan Jefrydin.

Gandingan mereka dijangka meledakkan lagi kehangatan ABPBH 2008 apabila bersatu membawakan medley popular seperti Ayahku Kahwin Lagi, Kenanganku dan Tak Mengapa.

“Elemen menarik ini mampu memberi warna kepada perjalanan ABPBH 2008, malah dijangka membangkitkan kejutan kerana jarang gandingan seperti ini dibawa dalam acara hiburan yang menerima liputan meluas”, kata Pengerusi Pengelola ABPBH 2008 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah.

Jamal, Siti, Faizal Tahir merancakkan suasana ABPBH2008

Membariskan nama terbaik, popular serta terkini, acara gemilang itu turut mengiktiraf kehebatan bakat muda seperti Aizat, Farah Asyikin, Faizal Tahir dan Hujan apabila diberi ruang mempamerkan kelebihan mereka di pentas ABPBH 2008.

Setiap mereka akan mempersembahkan lagu popular dan lebih istimewa, buat pertama kali Faizal memperdengarkan secara eksklusif single terbaru yang sedang hangat mendapat putaran radio, Bencinta.

Edisi terbaru ABPBH kata Hanizam, memberi penghormatan kepada pelapis industri kerana mereka ialah penerus legasi yang dicetuskan oleh penggiat seni terdahulu.

“Tiada yang lama maka tiada yang baru. Dalam gemerlapan kerdipan bintang yang diraikan, ABPBH 2008 tidak sesekali meminggirkan mereka yang berjasa serta memberi sumbangan kepada pembangunan industri.

“Peranan mereka sentiasa dikenang ABPBH dan kerana itu slot persembahan dirangka untuk memberi kepuasan kepada semua,” katanya.

ABPBH 2008 juga bakal menyaksikan persembahan istimewa daripada penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza yang mempersembahkan lagu terbaru dipetik daripada produksi Lantera Timur, Di Taman Teman.

Satu segmen khas juga disediakan menyaksikan gandingan penyanyi seperti Jamal Abdillah, Sarah Raissuddin, Ayu (OIAM) dan Diddy yang mempersembahkan medley lagu popular sepanjang zaman.

ABPBH 2008 bakal digamatkan dengan gabungan dua pengacara kreatif, Adlin Aman Ramlie dan Sharifah Shahira yang diberi tanggungjawab berat untuk menerajui program selama dua jam setengah itu.

Ia diserikan dengan kehadiran nama seperti Rozita Che Wan, Ayu Raudhah, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Mawi & Ekin, Lisa Surihani, Farid Kamil, Fizo Omar, AG, Kieran, Zizie Ezette, Nora Danish, Que Haidar & Linda Jasmine, Maya Karin, Eizlan Yusof, Amy Mastura, Norish Karman dan Umie Aida sebagai penyampai trofi.

Berita Harian

Calon Bintang Popular?

10 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff & Serimah Mohd Sallehuddin
bhnews@bharian.com.my

SITI dan Saerah akan menggayakan busana Rizman dan Ruzaini pada malam kemuncak ABPBH 2008.

Lebih sedekad di persada seni, masih ramai peminat sayangkan Siti

UNTUK mengekalkan kedudukan sebagai penyanyi wanita disukai ramai bukanlah mudah. Paling tidak, setiap kali album dikeluarkan, perlu ada lagu yang benar-benar memikat hati peminat atau pendengar.

Tidak cukup dengan itu, imej dan pekerti yang baik harus juga dipertahankan. Selebihnya, mungkin faktor nasib memainkan peranan. Sekurang-kurangnya itulah kata kebanyakan artis yang sudah lama memakan garam.

Bagaimanapun wanita jelita dari Kuala Lipis ini sudah membuktikan, dia mampu melakukannya selama lebih sedekad iaitu sejak 1996. Malah sejak tahun itu sehingga hari ini, belum ada penyanyi wanita yang mampu menggugat kedudukan istimewanya dalam dunia seni. Ramai juga penyanyi wanita lain yang dikatakan bakal menjadi pengganti, tetapi wanita bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ini kekal berkuasa di persada seni.

Bukan di kalangan penyanyi wanita saja namanya dijulang, bahkan penyanyi ini pernah menguasai kedua-dua dunia lelaki dan wanita buat beberapa lama sehingga kehadiran bintang Akademi Fantasia, Mawi. Sejak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1996 sehingga ABPBH 2001, Siti menjulang trofi Bintang Popular sebanyak lima kali. Dia sekali lagi merampas kedudukan itu daripada Rosyam Nor (ABPBH 2002) dan Saiful Apek (ABPBH 2003) pada ABPBH 2004.

Tentunya pencapaian yang bukan kecil untuk seseorang artis mengungguli takhta Bintang Paling Popular sebanyak enam kali. Sehingga kini, dalam sejarah 21 kali penganjuran ABPBH, hanya wanita bersuara lunak ini yang berupaya melakukannya.


SITI akan membuat persembahan, manakala Saerah akan menyampaikan trofi.

Bukan sekadar itu saja, kerana beliau turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjulang trofi Penyanyi Wanita Paling Popular selama 11 tahun berturut-turut. Sejak ABPBH 1996, dia belum pernah melepaskan trofi itu ke tangan penyanyi wanita lain. Bukan kehendaknya, namun peminat bagai sukar sekali hendak menidakkan kemampuan Siti menguasai undian yang diberi.

Tahun ini, mampukah penyanyi yang baru saja muncul dengan album Lentera Timur itu mengekalkan anugerah yang sama apabila pencabar baru seperti Stacy, Mila dan Elyana turut bersaing?

Usah dilupa pada Jaclyn Victor yang pernah menewaskan Siti pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-14 dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik. Tentunya persaingan yang dikira sengit, menyaksikan peminat penyanyi baru dan lama ini cuba menentukan siapakah antara mereka lebih masyhur di persada muzik negara.

Siti sendiri, seperti tahun-tahun sebelumnya, tidak pernah meletakkan harapan yang menggunung setiap kali namanya dicalonkan ke peringkat akhir anugerah itu, yang menyerahkan kuasa ke tangan peminat sepenuhnya.

“Setiap kali Siti dicalonkan sehingga ke peringkat Top 5, setiap kali itulah Siti melihatnya sebagai tanda kepercayaan diberikan peminat kepada Siti. Siti sendiri tidak boleh hanya duduk berdiam diri apabila peminat meletakkan harapan di bahu Siti. Maknanya, Siti perlu bekerja keras untuk memastikan karier Siti sentiasa mahu ke hadapan dan peminat sendiri mendapat kepuasan daripada hasil kerja Siti lakukan.

“Menerusi ABPBH, peminat diberi peluang sepenuhnya untuk memilih artis popular kesukaan mereka. Begitupun, peminat hari ini amat bijak kerana mereka tidak memilih begitu saja.

“Apa saja pilihan dilakukan, ia berteraskan hasil kerja kita sepanjang tahun berkenaan. Lalu, sebagai penyanyi bertanggungjawab, kita harus sentiasa ada keinginan untuk terus memantapkan kerjaya, bukan hanya untuk peminat malah untuk kebaikan industri seni itu,” ujar Siti ketika ditemui sewaktu menjayakan persembahan Sirah Junjungan – Tahajud Cinta di Istana Budaya, baru-baru ini.

Siti tidak lupa untuk berterima kasih kepada peminat yang nyata tidak henti-henti menghulurkan sokongan padu kepada dirinya, dalam apa juga situasi yang dihadapi.

“Peminat tidak perlu risau seandainya rezeki tidak menyebelahi Siti pada kali ini. Begitu juga sekiranya Siti sekali lagi menaiki pentas menerima trofi, kerana perkara paling penting ialah Siti akan terus memberikan sumbangan dalam dunia seni,” kata penyanyi Di Taman Teman ini.

Pada acara kemuncak ABPBH 2008 yang akan berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands, 12 April ini, isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini tentunya akan menaiki pentas utama di hadapan ribuan peminat yang dijangka memenuhi arena. Untuk mengatakan dia menaiki pentas menerima trofi, pasti masih terlalu awal. Yang pasti, Siti akan berada di atas pentas untuk menghiburkan penonton dengan persembahannya.

Selain Siti, bakal menggegarkan Arena of Stars dengan persembahan mereka ialah Anita Sarawak, Jamal Abdillah, Faizal Tahir, kumpulan Kristal, Hujan, Aizat, Siti Sarah, Stacy, Farah Asyikin, Diddy, Ayu Damit, L Ramlee, Jeffrydin dan Datuk A Rahman Hassan.

“Maaflah, Siti belum boleh bercerita mengenai konsep persembahan dan lagu yang akan didendangkan nanti kerana semua itu masih pada peringkat perbincangan lagi,” katanya yang turut menerima ‘kejutan’ tersendiri apabila suami tercinta muncul tiba-tiba sewaktu berlangsungnya sesi fotografi.

Peluang Saerah untuk menyerlah

SEBAGAIMANA kakaknya, Saerah juga akan menaiki pentas ABPBH 2008. Bukan sebagai penyanyi buat persembahan, sebaliknya dia dan seorang lagi kakaknya, Saida, diberikan amanat sebagai penyampai anugerah pada malam penuh gemilang itu.

“Tentu sekali peluang yang diberikan penganjur ini satu pengalaman yang bererti buat saya kerana inilah kali pertama saya ke pentas untuk menyampaikan anugerah sebagai artis.

“Ia peluang yang begitu dihargai kerana ramai lagi artis berharap dapat mengambil bahagian dalam acara sebesar ini. Jadi, saya amat berbangga apabila artis baru seperti saya dan Saida terpilih,” kata Saerah.

Pada malam kemuncak ABPBH 2008 itu nanti, bukan hanya Saida dan Saerah yang akan menyerikan majlis sebagai penyampai trofi. Mereka akan disertai barisan selebriti lain seperti AG Hot FM, Amy Mastura, Ayu Raudhah, Eizlan Yusoff, Farid Kamil, Fizo Omar, Kieran, Lisa Surihani, Lis Dawati, Fauzi Nawawi, Mawi, Ekin, Maya Karin, Nora Danish, Norish Karman, Que Haidar, Linda Jasmine, Rozita Che Wan, Umie Aida dan Zizie Ezette.

Menyentuh perkembangan kerjaya muziknya, wanita peramah ini berkata, dia kini dalam proses menyiapkan album duo bersama Saida, yang diterbitkan oleh syarikat rakaman SNP Sdn Bhd.

“Mengikut perancangan, album kami akan berada di pasaran sekitar Jun ini. Ia bakal memuatkan lapan lagu, dengan masing-masing mempunyai dua lagu secara solo. Tiga lagi lagu dirakam secara duet, manakala sebuah lagu akan menyaksikan kami tiga beradik,” katanya.

Berita Harian

Periksalah Akaun Saya – Mila

7 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

BERMULA dengan tertubuhnya sebuah empayar perniagaan yang diberi nama Luvmila Corporation Sdn. Bhd. sejak Ogos lalu, ada suara-suara nakal yang mengaitkan pemiliknya ditaja oleh individu tertentu.

Pemilik yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan, sudah tentulah Mila atau nama sebenarnya Nursyarmila Jirin.

Barangkali ada yang berprasangka, mana mungkin wanita yang baru setahun jagung dalam bidang seni sudah punya sumber kewangan yang banyak hingga dia berupaya membangunkan sebuah perniagaan berskala besar.

Mila bagaimanapun sekadar mampu melemparkan senyuman manis, semanis empunya diri. Tiada langsung amarah di jiwa, malah tiada riak terkilan tatkala telinganya mendengar tanggapan negatif itu.

Jelas wanita berusia 22 tahun itu, gosip kononnya syarikat kepunyaannya mendapat tajaan daripada ‘seseorang’ tidak benar sama sekali.

“Penubuhan syarikat Luvmila ini menggunakan sepenuhnya wang simpanan saya sendiri. Jika tidak percaya, bolehlah periksa akaun simpanan saya,” ungkapnya tergelak manja ketika ditemui pada pelancaran Luvmila yang diadakan di Wisma PKPS, Shah Alam Selasa lalu.

Mila sebelum ini juga dikaitkan menerima tajaan seorang lelaki berbangsa Cina, yang merupakan rakan kongsinya untuk menubuhkan syarikat MC Voices & Stars (MCV), setahun lalu.

Setelah menjawat status sebagai ahli lembaga pengarah syarikat terbabit, kini Mila telah berundur daripada MCV.

Menyambung bicara, Mila mengakui pernah terdengar tentang dirinya yang ditaja untuk menubuhkan Luvmila, sebuah syarikat yang menjual dan memasarkan produk kecantikan.

“Saya tidak faham dengan pandangan masyarakat yang mudah mengaitkan saya ditaja oleh orang ini dan itu.

“Kalau betul saya ditaja, buat apa saya hendak bekerja kuat lagi tanpa henti dalam bidang seni.

“Lebih baik saya beli rumah sendiri, kereta mewah, berseronok dan membeli-belah,” jawab Mila lebih lanjut.

Menganggap kisah nakal yang ditujukan khas untuk dirinya sebagai gosip, Mila sebaliknya tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Dia hanya pasrah, selain menerima segala-galanya dengan perasaan terbuka tanpa ada dendam di hati.

“Kalau dakwaan itu tidak benar, buat apa saya hendak risau tidak tentu pasal. Paling penting, keluarga tahu dan mengenali saya.

“Selebihnya saya tidak mengambil peduli dengan kata-kata orang yang suka bercakap buruk tentang saya,” terangnya.

Rezeki masih berpihak padanya

Dalam situasi artis di bawah Maestro Talent And Management sedang berdukacita terhadap nasib yang menimpa mereka baru-baru ini, Mila tidak terkecuali meluahkan perasaan sama.

Penutupan syarikat yang dikenali ramai di negara ini cukup mengejutkan Mila, yang merupakan salah seorang artis di bawah kendaliannya.

“Siapa yang tidak bersedih dengan penutupan Maestro. Saya hanya diberitahu bahawa syarikat ini gulung tikar disebabkan berdepan dengan masalah ekonomi.

“Pada mulanya saya memang risau dan gelabah. Saya masih baru, malah selama ini bergantung harap dengan Maestro.

“Semua karier seni saya sebelum ini diuruskan oleh Maestro terutama tentang jadual persembahan saya dan perkara lain melibatkan kerjaya seni saya.

“Selepas itu, saya ditenangkan oleh pengurus dan pembantu peribadi saya, Noza Mohd. agar tidak kelam-kabut dan risau apatah lagi saya sudah memiliki bisnes sendiri.

“Sekurang-kurangnya dapatlah ia membantu untuk meringankan bebanan saya jika sebarang masalah yang tidak diingini berlaku kelak.

“Biarpun begitu, saya masih sedih disebabkan Maestro memberikan banyak sumbangan dan jasa kepada saya,” ujar Mila, sedikit kecewa.

Juara Akademi Fantasia 5 (AF5) itu memberitahu lagi, dia baru sahaja menghadiri perjumpaan bersama Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) iaitu Zainir Aminullah minggu lalu.

“Beberapa artis Maestro termasuk saya sudah diserapkan ke AESB berkuat kuasa 1 April lalu. Semua nampak okey semasa perbincangan itu diadakan dan tidak ada sebarang masalah.

“Saya difahamkan bahawa semuanya masih dalam keadaan sama, cuma barangkali ada sedikit perbezaan dalam pihak pengurusan baru pada permulaannya.

“Kontrak yang ditandatangani sebelum ini bersama Maestro juga tidak berubah meskipun kini saya sudah bersama AESB.

“Itu yang saya tahu, selebihnya saya akan uar-uarkan kemudian kalau ada sebarang perubahan,” janji Mila.


GIGIH menimba ilmu bisnes. Mila pada majlis pelancaran Luvmila baru-baru ini.

Meskipun baru sahaja melangkahkan kaki dalam dunia seni, namun pengalaman yang ditempuhi Mila sepanjang tempoh singkat itu, banyak mematangkan dirinya.

Mila sempat menasihati rakan-rakan yang berada di bawah Maestro sebelum ini supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pihak yang menabur janji manis.

“Dalam situasi kelam-kabut, macam-macam perkara boleh terjadi. Saya ada bagi pendapat kepada kawan lain supaya sentiasa berhati-hati dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Macam-macam boleh berlaku ditambah dengan orang yang suka ambil kesempatan dalam waktu terdesak ini,” katanya memberikan nasihat kepada bekas artis di bawah Maestro.

Banyak baca buku bisnes

Umum mengetahui, selain bergelar seorang anak seni, gadis kelahiran Pulau Pinang itu kini menambahkan statusnya dengan menjadi seorang ahli perniagaan.

Rasanya satu Malaysia sudah mengetahui tentang produk Luvmila yang sekarang telah berada di pasaran di seluruh Malaysia.

Walaupun penat menghabiskan banyak masa untuk karier seninya, Mila tetap mencuri-curi masa untuk belajar tentang selok-belok dunia perniagaan yang sifatnya semakin global demi menambahkan pengetahuan.

“Saya banyak membaca buku yang berkaitan pemasaran dan strategi perniagaan disebabkan mahu menambah ilmu.

“Sebelum ini banyak pihak yang mempersoalkan kredibiliti serta kemampuan saya untuk mengurus perniagaan sendiri.

“Saya tidak gentar apabila dikritik, sebaliknya saya lebih berazam untuk belajar mana-mana yang termampu dalam perihal berkaitan perniagaan.

“Selain itu, saya menjadikan syarikat kosmetik gergasi lain sebagai mentor untuk saya terus mengemudikan Luvmila ini.

“Biasanya saya akan membaca pada waktu malam, sebelum tidur. Kadang-kala, saya juga akan baca dalam kereta jika hendak ke satu-satu destinasi kerana kereta saya dipandu Noza,” tambah Mila.

Pelancaran Luvmila dirasmikan oleh Timbalan Pengarah 1 Bahagian Pembangunan Usahawan Mara, Adilah Hasan.

Dalam majlis sama, Luvmila juga memperkenalkan tiga buah produk baru yang merangkumi penjagaan kulit iaitu Luvmila Whitening, Luvmila Gold dan Luvmila Herbal Soap.

“Luvmila menyasarkan 5,000 hingga 10,000 pengguna hingga hujung tahun 2009,” akhiri Mila penuh harap.

Antara rakan artis yang hadir memberikan sokongan kepada Mila ialah Farah Asyikin, Farhan, Akma, Diana Rafar, Rohana Jalil, Jaafar Onn, Edlin dan Tasha.

Kosmo

Lisa Dikejut Dengan Sambut Hari Lahir

27 Mar

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
GEMPAR dan meriah – begitulah gambaran diberikan kalangan artis yang mengikuti jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08) yang berlangsung di Kuantan Parade, Kuantan, Pahang, Ahad lalu.

Seramai 13 artis terdiri daripada penyanyi, pelakon, pelawak dan pengacara menyertai rombongan ini seperti Jaclyn Victor, Kumpulan Kristal, Fabulous Cats, Aizat, Liyana Jasmay, Farid Kamil, Lisa Surihani, Fizo Omar, Sari Yanti dan Ashraf Muslim.

Penyanyi Farah Asyikin yang tampil sebagai penyanyi jemputan pada malam ABPBH08 yang bakal berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 12 April nanti turut memeriahkan jelajah promosi di Kuantan.

Begitu juga Nikki yang kini popular dengan lagu Selamat Tinggal dan Cantik.

Sementara acara dimeriahkan lagi dengan kehadiran kumpulan Cham dan penyampai radio Era, Kieren yang bertindak sebagai pengacara.

Ternyata artis yang hadir berasa teruja apabila menyaksikan hampir 5,000 warga Kuantan memenuhi Kuantan Parade.

Sebelum ini sambutan sama turut diterima sewaktu jelajah promosi ABPBH08 diadakan di Village Mall, Sungai Petani, Kedah pada 27 dan 28 Februari; Kompleks Pusat Bandar, Pasir Gudang, Johor (7 dan 8 Mac) dan Mydin Mall, Kuala Terengganu, Terengganu pada 13 dan 14 Mac.

Jaclyn berkata, dia mengharapkan kehadirannya pada jelajah promosi yang diadakan di Kuantan dapat mendekatkan lagi dia dan peminat di samping memberi sokongan terhadap usaha dilakukan ABPBH08.

“Saya gembira apabila sekali lagi tersenarai dalam kategori Penyanyi Wanita Popular bersama-sama Elyana, Mila, Stacy dan Datuk Siti Nurhaliza.

“Pada saya ia satu penghargaan besar dari peminat sekali gus memberi peluang kepada saya untuk menyertai sesi jelajah yang diadakan bagi mendekatkan diri dengan mereka.

 

 

“Sebagai penyanyi peluang seperti ini bukannya selalu datang apatah lagi ia turut disertai rakan artis bergelar pelakon dan pengacara,” katanya yang memilih untuk mendendangkan lagu Gemilang dan Satu Harapan pada petang itu.

Orang di Kuantan juga bertuah apabila buat pertama kalinya dapat melihat pelakon remaja yang kini semakin mencipta nama, Liyana Jasmay menunjukkan kemampuannya menyanyi di hadapan khalayak ramai.

Liyana mendendangkan single dari album sulungnya Aku Tak Percaya Cinta yang dicipta Ajai dan kini turut diputarkan di radio.

“Saya anggap diri bertuah apabila diberi peluang pihak penganjur ABPBH08 untuk mengetengahkan lagu yang terdapat dalam album sulung yang sudah hampir siap.

“Walaupun dicalonkan peminat dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular bersama-sama Erra Fazira, Maya Karin, Sharifah Amani dan Vanidah Imran, tetapi saya menggunakan peluang mengikuti jelajah promosi ini untuk mengetengahkan bakat dalam bidang nyanyian. Ibarat kata pepatah sambil menyelam minum air.

“Saya benar-benar mengharapkan akan usaha terbaru saya ini mendapat perhatian dari peminat sekali gus diterima baik oleh mereka,” katanya.

Sementara Aizat yang kini hangat dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan Liyana menjadikan medan menyertai jelajah promosi ABPBH08 untuk mengucapkan terima kasih kepada orang di Kuantan atas sokongan mereka terhadap kerjaya seninya selama ini.

“Sokongan yang tidak putus-putus diberikan mereka kepada saya sejak menyertai Akademi Fantasia hinggalah sekarang menyebabkan saya berada di tempat saya berada sekarang.

“Bukan mudah sebenarnya untuk seorang penyanyi apatah lagi baru dan muda seperti saya untuk diterima, tetapi kerana sokongan peminat saya berjaya memperoleh apa yang saya inginkan.

“Bagusnya siri jelajah promosi ABPBH08 ini diadakan saya dapat mengungkapkan perasaan terima kasih saya secara terus kepada mereka,” katanya yang disenaraikan dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular bersama-sama Mawi, Nubhan, Amy Search dan Adam.

Menariknya di majlis yang diadakan apabila rakan-rakan artis serta pihak penganjur sempat meraikan hari jadi pelakon jelita, Lisa Surihani dengan menyediakan kek dan semua ahli rombongan mendendangkan lagu ‘selamat hari jari’.

“Inilah antara pengalaman manis yang tidak akan dapat saya lupakan. Ini pertama kali saya menyertai jelajah promosi dan tiba-tiba diraikan sedemikian rupa. Jujur saya katakan saya berasa sangat terharu.

“Orang mungkin melihat kami yang menyertai jelajah promosi ini sedang bersaing antara satu sama lain, tetapi hakikatnya lihatlah keadaan kami yang seperti adik-beradik dan berada dalam keluarga yang besar.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua rakan artis dan pihak penganjur yang bersusah payah meraikan hari jadi saya dan kepada orang Kuantan, harap-harap mereka gembira dan terhibur,” katanya yang dicalonkan dalam kategori Artis Baru Wanita Popular bersama Ayu OIAM, Sari Yanti, Scha Al-Yahya dan Stacy.

Sebelum tibanya acara kemuncak, siri jelajah promosi akan diteruskan di Batu Pahat Mall, Johor pada 28 dan 29 Mac, diikuti lokasi terakhir di Klang Parade pada 3,4 dan 5 April.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Solekan Dirias Secret

25 Mar

Rap
SETIAP kali berlangsungnya majlis anugerah, pastinya acara permaidani merah yang menyaksikan artis dan selebriti popular bergaya dengan pakaian sentuhan pereka terkenal sama ada ditaja atau dibeli sendiri.

Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08) yang bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 12 April ini antara acara anugerah yang menjadi tumpuan peminat.

Bagi memeriahkan lagi majlis itu, Tohtonku Sdn Bhd (Tohtonku) melalui label produk Secret, berbesar hati menyerahkan tajaan bernilai RM200,000 untuk dua acara, ABPBH08 dan Fiesta Fesyen Kuala Lumpur (FFKL).

Majlis penyerahan itu disempurnakan Pengurus Kanan Produk Tohtonku, Jack Law kepada Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Mustapa Omar di pejabatnya di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Dengan tajaan itu, acara gilang gemilang bertambah meriah apabila Secret menaja solekan dan dandanan untuk artis terbabit dalam ABPBH08 dan peragawati bagi FFKL selain tajaan bernilai RM200,000 itu.

Menurut Jack, pihaknya bangga dapat bekerjasama dengan Berita Harian untuk memeriahkan lagi ABPBH08 dan FFKL melalui tajaan berkenaan.

“Seramai 15 penata rias akan hadir untuk menyolek wajah mereka pada dua acara itu. Pastinya penampilan selebriti popular negara di ABPBH08 dan juga model di FFKL tambah hebat apabila dirias penata rias profesional menggunakan alat solek Secret,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengurus Projek BHSB, Mizal Hasbullah; Pengarang Wanita Berita Harian, Fadzlena Jafar dan Pengurus Komunikasi Tohtonku, Monita Goh.

Acara kemuncak ABPBH08 yang berlangsung 12 April ini bakal menyaksikan kehadiran artis popular sebagai menyampai trofi kepada pemenang bagi 16 kategori dipertandingkan untuk penyanyi, pelakon, pengacara dan penyampai popular yang dipilih pembaca Berita Harian.

 

 

Beberapa penyanyi popular seperti Datuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Faizal Tahir, Jamal Abdillah serta penyanyi muda sedang meningkat naik seperti Aizat, Diddy, Siti Sarah, Ayu, Farah Asyikin dan Stacy sudah memberi pengesahan akan menghangatkan lagi pentas ABPBH08.

Majlis gemilang ABPBH08 akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio rasmi, Hot FM bermula jam 9 malam.

Sementara itu, FFKL yang bakal berlangsung pada 6 dan 7 April ini pertama kali dianjurkan BHSB bagi memperhebatkan ABPBH08 dengan tema Sentuhan Tenunan. Ia bermatlamat mengangkat martabat fabrik tenun.

Seramai 10 pereka berbakat bakal bergabung tenaga menghasilkan rekaan dengan mengetengahkan fabrik tenun sebagai sebahagian daripada elemen dalam rekaan mereka pada acara yang akan berlangsung di pusat beli-belah One Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya.

Setiap pereka akan menyiapkan lima busana dan setiap satu dimasukkan elemen songket pada perincian tertentu bagi menguatkan tema FFKL, Sentuhan Tenunan yang menjadi teras kepada

acara itu.

Selain tajaan Secret, FFKL turut menarik perhatian penaja lain, Euro Moda (fabrik) manakala R&R Craft dan Fruitale, penaja cenderamata.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro