Archive | Farah Dhiya RSS feed for this section

Farahdhiya Berasa Lega

30 Mar

Oleh SAHLIZAH MOHAMED
sahlizah.mohamed@kosmo.com.my


FarahDhiya

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon jelita, Farahdhiya atau Farah Dhiya Mohd. Amin, 25, yang sebelum ini bernaung dengan syarikat Maestro Talent Sdn. Bhd. (Maestro) masih mampu tersenyum walaupun syarikat itu dikatakan bakal menghentikan operasinya pada 1 April ini.

Ia ekoran, album ketiganya yang menjalani rakaman penuh bersama Maestro sudah siap dan hanya menunggu lampu hijau daripada Ketua Pegawai Operasinya, Freddie Fernandez untuk dipasarkan.

“Saya pada mulanya terkejut bila dapat tahu mengenai penutupan Maestro dan risau mengenai album saya kerana album kedua saya dulu ‘terkubur’ sebab syarikat NAR Record ditutup dan saya tak mahu pisang berbuah dua kali,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan Maestro bakal ‘tutup kedai’ mulai 1 April ini dan akan diambil alih Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB).

Dalam pada itu, tambah Farahdhiya, beliau akan berjumpa Freddie pada minggu depan dan beliau pernah berjanji untuk mengeluarkan albumnya serta menjalankan promosi serta pihak yang bertanggungjawab untuk mengedarkan albumnya itu.

“Saya gembira bila Freddie cakap dia akan keluarkan album saya, tapi kalau dah keluar, promosi tak ada pun tiada makna juga,” tambahnya.

Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.

Kosmo

Advertisements

Dengarnya…: Farah Dhiya Bernaung Dengan Maestro

19 Jan

SEBELUM ini Cik Normah memang ada terdengar ura-ura yang mengatakan pelakon dan juga panyanyi Farah Dhiya bakal menjadi penyanyi naungan Maestro Records. Ingatkan perkara itu senyap begitu saja tetapi rupa-rupanya tidak.

Selasa depan, jika tiada aral melintang, termeterailah perjanjian antara penyanyi berdarah kacukan British dan Melayu ini bersama syarikat pengurusan yang banyak mengendalikan artis kelahiran Akademi Fantasia ini.

Nampaknya ini percubaan pertama Maestro mengambil artis luar bernaung di bawah mereka. Tak taulah kalau sebelum ini mereka ada berbuat begitu cuma tidak diuar-uarkan saja.

Dengan adanya kerjasama seperti itu jelas membuktikan bahawa, Maestro sebenarnya membuka pintu kepada semua penyanyi dan bukanlah seperti yang di dakwa bahawa Maestro hanyalah untuk artis dari Astro saja.

Cik Normah ada menerima jemputan dan teringin juga nak melihat majlis bersejarah itu tapi kerja di pejabat melambak-lambak pula.

Apapun, Cik Normah harap dengan perkembangan terbaru ini, kerjaya nyanyian Farah akan terus bersinar. Sayang rasanya bakat yang ada itu terkubur begitu saja selepas syarikat rakaman NAR Records menamatkan operasinya beberapa tahun lalu.

Dan Cik Normah harap pilihan Farah Dhiya untuk bernaung di bawah Maestro adalah tepat. Tak mahulah nanti ada pulak insiden salah menyalah antara satu sama lain akibat perasaan tak puas hati. Dunia hiburan ini kecil sebenarnya. Pi mai pi mai tang tu juga.

Berita Harian

Konsert Jom Heboh Dua Generasi

13 Dec

Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

Rap
KONSERT ‘Jom Pi Penang’ di perkarangan Stadium Batu Kawan, Nibong Tebal minggu lalu bersempena Karnival Jom Heboh TV3, cukup istimewa apabila menggabungkan dua generasi muzik di satu pentas.

Garapan gabungan elemen irama 60-an dan era terkini menghiburkan pengunjung apabila penyanyi evergreen, Jeffrydin dan vokalis Kristal, Razlan berkongsi pentas dengan lagu lama, Kenanganku yang diberi sentuhan irama muzik terkini.

Persembahan yang disaksikan lebih 30,000 penonton itu juga adalah konsert terbesar Jom Heboh sepanjang tahun ini selepas Melaka, Perlis, Kuala Lumpur, Johor Bharu, Kuantan dan Sarawak.

Kehadiran Jaclyn Victor, Stacy, Nubhan, Awie, Fazli Zainal dan penampilan pertama, Farahdhiya di samping Ally Iskandar sebagai pengacara, mendapat sorakan dan tepukan gemuruh.

Kemunculan juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Stacy dengan dua lagu, Aku Stacy dan When I Grow Up dengan penuh bertenaga serta kawalan vokal yang mantap, benar-benar membuatkan penonton bersemangat untuk terus berhibur.

Pentas bagaikan hampir runtuh apabila Stacy bersama penari iringannya menunjukkan kebolehan menari lagu irama rancak di setiap pelusuk pentas.

Kehangatan konsert diteruskan dengan persembahan Farahdhiya yang kini lebih dikenali sebagai pelakon menerusi siri Spa-Q. Agak lama tidak menyaksikan gadis kacukan Melayu-Inggeris ini di pentas.

Turut memeriahkan persembahan, Fazli Zainal dengan lagu Mentera Sakti diikuti bintang AF6, Nubhan yang menggantikan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin yang tidak dapat hadir selepas menerima berita kematian bapa mentuanya, Mohammad Jiwa Abdullah pada pagi 22 November lalu.

Bintang muda dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini menyampaikan dua lagu termasuk lagu popular Othman Hamzah dan Jamal Abdillah iaitu Gadis Melayu dan lagu yang menaikkan namanya, Ada Untukmu.

Selain persembahan bersama Kristal, Jeffrydin juga membuktikan orang lama tetap ‘berbisa’ apabila menyampaikan lagu pop yeh yeh, Siti Haida dan Mas Mona diiringi band pimpinan Edrie Hashim. Suasana pekarangan stadium bergema dengan sorakan dan tepukan gemuruh penonton.

Kehadiran vokalis Wings, Awie dengan gaya rocker sambil memakai topi koboi menyampaikan lagu Layang-Layang Terputus Tali dan Terima Kasih tambah menghangatkan suasana.

Awie sempat berseloroh dengan penonton apabila muncul sebagai Drakulat Van Listerooy, wataknya dalam filem Antoo Fighter. Dia mengejutkan penonton dengan kehadiran Drakulat yang muncul tiba-tiba menyanyi di pentas.

Selain Awie, turut mempromosikan Antoo Fighter arahan Azizi Chunk Adnan ialah kumpulan baru, Cap Ayamz yang dianggotai Azizi sendiri bersama Asrulhisyam Ahmad (Black), Delaila Adnan, Rashidi Rashid dan Jebon dengan lagu Hidup Satu Perjuangan.

Kumpulan yang menyanyikan lagu dari filem Antoo Fighter itu menjadi pembuka tirai persembahan konsert. Mereka kini sibuk dengan promosi filem terbaru Grand Brillance Sdn Bhd (GBSB) yang ditayangkan di pawagam sejak 27 November lalu.

Dengan kehadiran kostum wira penentang jembalang menghangatkan pentas konsert ditambah aksi bersahaja Ally Iskandar memakai kostum berkenaan disambut gelak ketawa penonton.

Fazli Zainal, Farahdhiya dan Jaclyn Victor mengambil tempat dengan lagu Lambaian dan Jatuh Cinta diikuti Bertahta Di Hati daripada Farah Dhiya serta vokal mantap juara Malaysia Idol (MI) dengan lagu Mercy, Dambaran Cinta dan Satu Harapan.

Jaclyn turut berpadu suara dengan Stacy dengan lagu Persembahan Dari Hati sebelum persembahan terakhir Kristal dengan lagu Seragam Hitam, Memburu Impian dan lagu kontroversi Cinta 3 Segi.

Persembahan bunga api selama lima minit sambil diiringi lagu tema Jom Heboh dinyanyikan barisan artis menjadi penutup tirai tepat jam 11 malam.

Pulau Pinang menjadi lokasi kedua terakhir Karnival Jom Heboh sebelum penutup di Bukit Jalil pada 20 dan 21 Disember ini.

Karnival meriah ini turut meraikan majlis penyerahan sumbangan Tabung TV3 Bersamamu kepada dua rumah kebajikan iaitu Wisma Yatim Perempuan dan Pemulihan Dalam Komuniti, Kampung Pertama yang masing-masing menerima RM10,000.

Majlis Penyampaian sumbangan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan.

Mengulas mengenai Jom Heboh 2008, Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin berkata, TV3 bersyukur kerana Jom Heboh masih diminati dan terus dikunjungi.

“Lebih menggembirakan apabila melihat orang ramai bersama keluarga mempunyai satu tempat riadah serta mengisi waktu lapang sambil menikmati pelbagai aktiviti, permainan, jualan dan sebagainya.

“Seperti tahun lalu, TV3 turut menjalankan tanggungjawab khidmat masyarakat dengan menyediakan Tabung TV3 Bersamamu di semua lokasi Jom Heboh 2008.

“Tabung ini dibawa kakitangan TV3, artis dan personaliti di sekitar pekarangan dan gerai bagi memudahkan pengunjung menghulurkan derma ikhlas mereka dan hasil kutipan itu disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Harian Metro

Buah Hati Baru Hattan?

22 Aug

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my


JIWA rock dan kehidupan sosial bergelar artis tidak menjadi alasan buat Hattan menyahut seruan mengerjakan haji ketika tubuhnya masih berkudrat.

DUDA popular bernama Hattan ini tidak mampu mengelak apabila tampil bersama seorang gadis tinggi lampai pada majlis kesyukuran dan doa selamat penggambaran telemovie terbaru lakonannya, Hanya Aku di Rumah Pengasih, baru-baru ini.

Lirik matanya nakal saat dikerling para wartawan. Yang nyata, lelaki berusia 43 tahun ini arif benar dengan mata-mata yang memerhatikannya, terutama tatkala ada wanita cantik menemaninya ketika berpergian.

Sebelum bersama gadis yang dikatakan berasal dari daerah kelahirannya ini, Hattan pernah dikaitkan dengan beberapa nama popular seperti Farah Dhiya, Kat Mentor dan Siti Elizad.

Mengenali Hattan, dia bukan jenis yang gemar memberi jawapan no comment. Dengan selamba gadis yang tampil ayu berkebaya dan berkain batik ini diperkenalkannya sebagai Wawa.

“Kalau dalam ayat yang klise, kami sedang mengenali hati-budi masing,” beritahu penyanyi judul Memburu Rindu ini berseloroh.

Seperti biasa, dia tidak mahu terburu-buru bercerita lebih jauh atau apa sahaja berhubung soal hati dan perasaan. Kata Hattan, cukuplah sekadar dia bersikap terbuka dan mengakui bahawa gadis berusia 25 tahun yang baru dikenali sejak beberapa bulan itu sedang bertakhta sebagai ‘kawan’ di hatinya.

“Saya nak kenal dia lebih dalam lagi, sebab itulah saya ikhlas bawa dia bersama. Saja nak kenalkan dia dengan apa yang saya buat sekarang, tentang Rumah Pengasih, kami berkawan-kawan jelah bukannya bercinta-cinta,” ujar Hattan bertegas.

Sepanjang perbualan, anak lelakinya, Adam Iman tidak mahu berganjak dan sesekali mencelah tidak selesa ayahnya berkali-kali diasak persoalan yang serupa berulang-kali.

Faham benar keletah anak tunggalnya itu, Hattan menjelaskan, Wawa seorang gadis berpendidikan dan jika hubungan mereka bisa berpanjangan, Wawa boleh membantunya merealisasikan impian untuk membuka sebuah taska, satu hari kelak.

Tentang hubungan ini, tidak banyak yang boleh dikongsi bersama kerana apa yang bermula masih lagi terlalu awal untuk direncanakan.

Bakal bergelar Haji

Di sebalik kisah terbaru ini, Hattan sebenarnya ada perkhabaran manis yang pastinya menggembirakan semua.

Jika diizinkan Tuhan, hajat besar Hattan mahu mengerjakan haji ke Tanah Suci Mekah akan termakbul hujung tahun nanti.

“Buat masa ini saya masih menunggu jawapan rasmi. Saya difahamkan keputusan kuota haji akan dikeluarkan pihak Tabung Haji sekitar minggu ini atau minggu depan.

“Insya-Allah, kalau segala-galanya berjalan lancar, saya dan Adam akan berangkat ke Mekah pada 29 November nanti,” luah Hattan yang sebelum ini pernah sekali menunaikan umrah juga bersama anaknya, Adam sekitar pertengahan tahun, baru-baru ini.

Menyentuh mengenai lakonannya sebagai Jamil menerusi telemovie Hanya Aku yang turut dibintangi oleh Que Haidar dan Sheila Rusly itu, Hattan mengakui, walaupun lakonan bukan fokus seninya, inilah kali pertama dia menikmati istilah puas terhadap apa yang telah dilakukan menerusi drama itu.

Jelas Hattan, sebelum ini perasaan yang sama pernah dirasainya menerusi filem Selubung, berbelas tahun lalu.

“Karakter Jamil beri banyak ruang untuk saya luahkan emosi yang selama ini tak ada dalam watak-watak yang pernah saya jayakan.

“Terus-terang saya katakan, saya terima tawaran berlakon drama ini bukan kerana duit tetapi kerana watak yang ditawarkan. Bekerja dengan JS Pictures juga satu pengalaman yang seronok dan saya sukakan cara mereka bekerja,” beritahu Hattan memuji produksi milik Azman Yahya atau Jinggo dan isterinya, Sheila Rusly.

Hanya Aku sebuah drama yang mengisahkan kehidupan para penagih yang tinggal di Rumah Pengasih meletakkan Hattan sebagai Jamil, penagih dadah yang sudah beristeri, lakonan Wan Norazlin.


ANAK dan wanita sememangnya dua perkara yang tidak dapat dipisahkan dalam diari peribadi Hattan.

Sambil mengagumi keberkesanan lakonan Wan Norazlin yang lama menyepi dari bidang lakonan, Hattan menyifatkan keterlibatannya menerusi drama ini sebagai satu sumbangan totalnya terhadap masyarakat dalam usaha memerangi dadah secara habis-habisan.

“Kalau tak banyakpun, saya harap penonton akan dapat iktibar menerusi lakonan kami semua,” beritahu Hattan yang sebenarnya tidak sabar menanti kemunculan Hanya Aku yang dijadualkan ke udara di saluran Astro menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Kosmo

"Saya Bukan Perempuan Gedik" – Farah Dhiya

16 Nov

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN


Farah Dhiya.

Dulu dia pernah digosipkan bercinta dengan suami orang. Selepas itu, heboh dikatakan bercinta dengan penyanyi rock, Hattan pula.

Dalam drama bersiri Spa Q (siaran TV3 setiap Isnin hingga Khamis pukul 6.30 petang), dia melakonkan watak yang menyamai gosip yang pernah dikaitkan dengannya itu.

Farah Dhiya diberikan watak Fatin, gadis yang mempunyai hubungan dengan suami orang dalam drama itu. Dan lakonannya cukup berkesan.

Apakah Farah Dhiya memang menampilkan dirinya sendiri dalam drama itu?

“Saya bukan jenis perempuan lentuk-lentuk macam dalam drama itu. Saya jenis perempuan yang ‘ganas’ dan gemarkan aktiviti lasak. Watak Fatin, gadis gedik dan mengada-mengada dalam drama itu, bukan diri saya. Dan cerita itu bukan cerita tentang diri saya,” katanya ketika ditemui pada majlis beramah mesra bersama pelakon Spa Q, di Subang Jaya, baru-baru ini.

Kata penyanyi yang popular menerusi lagu Bertakhta Di Hati ini lagi, dia sudah pun melupakan sejarah cinta silamnya. Namun, katanya, dia masih belum berasa serik untuk bercinta lagi.

“Saya masih muda dan adatlah kalau putus cinta. Dan kini saya masih single,” katanya yang sudah pun tamat kontrak dengan syarikat rakaman NAR Record.

“Tapi saya sudah pun mendapat tawaran daripada beberapa syarikat rakaman lain. Mungkin tahun depan saya akan buat album baru,” katanya.

Utusan Malaysia

Hattan – Farah Dhiya Tak Berkawan Kosong

28 Sep

Oleh Nor Fadzilah Baharudin


Hattan dan Farah Dhiya menikmati juadah berbuka puasa di lokasi rakaman Cit Cat Raya Azwan Ali di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.

PASANGAN ini sudah beberapa kali dilihat bersama pada beberapa majlis. Mereka bukan sahaja datang bersama, malahan pakaian juga selalunya sedondon.

Biarpun dikatakan bercinta tetapi Hattan, 40 dan Farah Dhiya, 22, tidak pernah mahu mengakui keintiman mereka secara terus terang. Mungkin masing-masing ingin membiarkan khalayak membuat tekaan sendiri mengenai hubungan mereka.

Ketika menghadiri rakaman Cit Cat Raya Azwan Ali di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini, Hattan dan Farah Dhiya datang bersama sekali lagi. Malah sepanjang berada di lokasi, mereka kelihatan begitu mesra dan saling bergurau senda.

Jurugambar Mega sempat merakamkan kemesraan pasangan ini secara kandid.

Kalau sudah semesra itu, apakah mereka masih tidak mengaku bercinta?

“Terpulang pada penilaian anda? Tapi saya mengakui saya memang senang berkawan dengan dia,” jelas Farah Dhiya tatkala diusik mengenai kemesraannya dengan Hattan.

Biarpun jarak usia mereka agak jauh namun gadis kacukan British-Melayu itu nampaknya rela menerima Hattan yang merupakan duda anak satu.

Agaknya Farah Dhiya lebih menyenangi lelaki matang!

Namun apakah mungkin hubungan ini direstui keluarga Farah Dhiya?

“Famili saya kenal semua kawan saya. Asalkan saya happy, keluarga tak kisah,” akui Farah Dhiya.

Apa pula kata Hattan?

“Saya tak berkawan kosong dengan Farah Dhiya. Saya tak nak buang masa. Saya tak main-main dengan Farah Dhiya. Kalau ada rezeki ke arah itu, okey sebab saya ikhlas dengan dia. Anak saya pun boleh terima dia.”

Utusan Malaysia

Norman Hakim – Abby Abadi Semoga Kasih Bertaut Kembali

14 May

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

Belum pun reda krisis perceraian penyanyi Noraniza Idris dan Fareez, dunia hiburan dikejutkan pula dengan berita perceraian pasangan artis Norman Hakim Zaidon, 30, dan Abby Abadi Abd. Manan, 27.

Semua orang terkejut dan tidak menyangka mahligai bahagia yang dibina pasangan itu sejak empat tahun itu bergelora juga. Ini kerana selama ini mereka dilihat sebagai pasangan bahagia dan tidak ada desas-desus tentang rumah tangga mereka.

Norman dikatakan melafazkan talak satu terhadap Abby Abadi sewaktu menjalani penggambaran drama bersiri Gerak Khas pada 5 Mei lalu. Lafaz itu dibuat Norman dalam keadaan yang cukup berat selepas krisis rumah tangga mereka gagal ditangani dan semakin meruncing.

Perpisahan itu dipercayai berpunca selepas Abby dikatakan terbaca SMS kiriman seorang penyanyi baru, Farah Dhiya Mohamed, 28, yang dihantar kepada Norman.

Bagaimanapun Norman membayangkan hubungannya dengan Abby dapat disambung semula kerana dia masih lagi menyayangi Abby. Sebab itulah Norman pengsan selepas melafazkan talak itu.

Cuma pada masa ini mereka membuat keputusan untuk tinggal berasingan bagi membolehkan kedua-dua pihak mencapai satu kata putus terhadap apa juga keputusan yang bakal diambil.

Hasil perkahwinan mereka, pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata, Mohd. Danish Hakim, 3, dan Marisa Dania Hakim yang berusia 10 bulan.

Saya masih mengingati detik pertemuan pertama sebelum terjalinnya bibit cinta pasangan itu sehingga membawa mereka ke jenjang pelamin.

Pertemuan pertama mereka ketika saya mengadakan sesi fotografi untuk keluaran khas hari raya dengan majalah Mangga pada tahun 2001.

Ketika itu saya memberitahu Abby untuk menggandingkannya dengan Norman dan meminta beliau datang ke rumah pelakon kacak itu di Taman Putra Sulaiman, Ampang bagi menjayakan sesi fotografi tersebut.

Kemesraan mereka dapat dilihat apabila jurufoto Rashid Mahfof pada waktu itu meminta mereka memberi aksi yang menarik. Selepas sesi fotografi itu tamat, saya menerima panggilan telefon daripada Abby yang bertanyakan mengenai Norman.

“Norman Hakim tu okey ke tak? Dia sudah ada makwe ke?” tanya Abby kepada saya waktu itu.

Peristiwa itu menyebabkan saya merasakan Abby mungkin mempunyai perasaan untuk mengenali Norman dengan lebih mendalam. Tekaan itu benar apabila beberapa bulan selepas itu mereka mengesahkan bercinta.

Norman pula pada waktu dilanda kekecewaan dalam hidup selepas dikatakan putus cinta dengan pelakon Erra Fazira. Detik hangat hubungan Norman dengan Abby semakin diperkatakan apabila Norman mengambil keputusan membawa Abby pulang ke Kuantan, Pahang untuk diperkenalkan dengan ahli keluarganya.

“Ahli keluarga saya merestui hubungan saya dengan Abby,” pengakuan Norman ketika sedang hangat bercinta dengan bekas anggota kumpulan Elite itu kepada saya lima tahun lalu.

Selepas detik itu, mereka membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada 8 Januari 2002.

Majlis pertunangan diadakan di rumah keluarga Abby di AU5, Lembah Keramat, Kuala Lumpur kira-kira pukul 2 petang. Bagaimanapun berlaku kontroversi apabila pasangan itu cuba menyembunyikan perkahwinan mereka daripada pengetahuan media yang dilangsungkan tujuh jam selepas majlis pertunangan itu.

Norman dan Abby dinikahkan di rumah salah seorang ahli keluarga mereka di Bukit Persekutuan Bangsar.

Pada malam pernikahan itu, saya bersama teman wartawan Kumpulan Utusan – Saharudin Mustafha, Tengku Khalidah Tengku Bidin dan Rosli Manah cuba menghidu majlis pernikahan itu dengan mengunjungi semula rumah keluarga Abby tetapi gagal.

Akibat tindakan itu, kedua-dua mereka telah dikecam dengan hebat kerana bertindak menyembunyikan perkara yang baik.

Berikutan itu, Norman dan Abby membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap wartawan dan semua peminatnya dengan alasan majlis itu dibuat secara tergesa-gesa.

Majlis persandingan mereka diadakan secara besar-besaran di Dewan Perdana Felda, Jalan Gurney, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 2002.

Masalah rumah tangga yang dihadapi Norman dan Abby sebenarnya masih baru dan berjaya disembunyi dengan baik.

Apatah lagi Abby baru sahaja melahirkan anak kedua mereka, Marissa Dania Hakim di dalam kereta ketika dibawa ke klinik bersalin di Taman Melawati.

Perjalanan kisah hidup pasangan itu ketika zaman percintaan sehinggalah pada hari pertunangan, pernikahan dan alam rumah tangga penuh dengan kontroversi.

Namun, masih mempunyai ruang untuk mereka rujuk kembali sekiranya ada jalan untuk menjernihkan masalah yang berlaku demi anak-anak tercinta.

Semoga Abby dan Norman tabah mengharungi dugaan yang dihadapi dan membuat keputusan terbaik untuk kepentingan hidup masing-masing.

Sekiranya kehidupan suami-isteri itu di sambung, janganlah diulangi peristiwa itu lagi.

Saya teringat kata-kata hikmat Allahyarham Hamka, “Perkahwinan itu mempertemukan dua jiwa dengan seribu perbezaan.” Harap kedua-dua mereka realistik tentang hakikat jiwa insan yang ada cemburu dan sayang sekali gus.

Utusan Malaysia