Archive | Fish Leong RSS feed for this section

Artis Bantu Program HIV/AIDS

22 Apr

KUALA LUMPUR, Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Fahrin Ahmad antara selebriti yang terbabit “Program Selebriti Reben Merah 2009/2010” anjuran Majlis AIDS Malaysia bagi mengikis sikap prejudis masyarakat terhadap pesakit HIV/AIDS serta mendidik mereka mengenai penyakit itu.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif majlis itu, Dr Soraya Azmi berkata, program itu dilancar memandangkan wujudnya stigma dan diskriminasi rakyat terhadap pesakit HIV positif yang amat membimbangkan di samping mewujudkan persekitaran sokongan terhadap pesakit HIV/AIDS.

“Prejudis dan diskriminasi terhadap pesakit HIV akan mengakibatkan mereka disisih masyarakat,” katanya.

Selebriti lain turut terbabit Umie Aida, Ayu, Dayang Nurfaezah, Shah Shamsiri, Zainal Alam Kadir, Owen Yap, Fish Leong, Aanantha dan Uthayaa.

 

 

“Kami yakin dengan bakat, populariti serta keprihatinan mereka terhadap HIV/AIDS dapat membantu majlis itu dan Yayasan AIDS Malaysia menyampaikan mesej berkenaan kepada masyarakat,” kata anggota Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan AIDS Malaysia Datuk Maznah Abdul Jalil yang turut hadir di majlis pelancaran program itu di sini, semalam.

Antara kegiatan program ini kunjungan ke rumah perlindungan pesakit HIV/AIDS serta menyediakan iklan bagi menyedarkan masyarakat terhadap HIV/AIDS.

Dianggarkan 85,000 orang di negara ini dikenal pasti menghidap HIV positif dan antara 10 dan 15 orang dijangkiti virus itu setiap hari. – Bernama

Harian Metro

Sinje Bantu Kawan Baik

5 Mar

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
WALAUPUN sudah mengukir nama di Taiwan dan Hong Kong, pelakon dan penyanyi kelahiran Alor Setar, Kedah, Lee Sin Je, 32, mengakui teruja dan tidak sabar untuk berlakon filem produksi tempatan, Ice Kacang Puppy Love arahan Ah Niu, awal April ini.

Sin Je atau nama glamornya, Angelica Lee mengakui sudah lama memberi persetujuan berlakon filem yang ditulis dan diarahkan kawan baiknya, Ah Niu kerana ingin membantu kawan baiknya itu.

Katanya, Ah Niu atau nama sebenarnya, Tan Kheng Seong adalah kawan lamanya ketika di sekolah menengah dulu.

Kini Sin Je mencipta nama sebagai pelakon dan penyanyi manakala Ah Niu sebagai penyanyi popular di Taiwan.

“Perancangan menghasilkan filem ini sudah lama diluahkan Ah Niu. Saya juga memberi persetujuan kerana mahu membantu kawan baik yang berminat mahu menghasilkan filem.

“Setiap kali bertemu dengannya, dia menyatakan hasratnya mahu mengarahkan filem. Dia juga sedang menulis skrip dan mahu saya berlakon. Pelakon lain Victor Wong, Fish Leong, Nicholas Tse dan Penny Tai.

“Sebenarnya banyak sebab mengapa saya setuju berlakon filem ini. Pertama sekali kerana mahu membantu kawan baik dan ia juga memberi peluang kepada saya berlakon dalam produksi tempatan buat kali pertama. Selain itu, sudah tentu kerana tertarik dengan skripnya yang mempunyai jalan cerita menarik.

“Filem ini berkisar kepada seorang gadis yang melalui pengalaman jatuh cinta kali pertama. Saya sendiri memegang watak kekasih pertama kepada watak lelaki dalam filem ini. Penggambaran filem ini dijangka bermula awal April di Ipoh, Perak,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran SK-II Facial Treatment Essence, baru-baru ini.

Penerima Pingat Ahli Mahkota Kedah pada 2004 ini berkata, walaupun ini filem pertamanya bersama produksi tempatan tetapi dia juga pernah menjalani penggambaran filem di negara ini tetapi untuk filem produksi China di Pulau Pinang, dua tahun lalu. Selain itu, Sin Je juga pernah berlakon filem Missing yang menjalani penggambaran di Sipadan, Sabah.

“Sebenarnya saya sering balik ke sini kerana ibu bapa masih ada di Alor Star. Setiap kali Tahun Baru Cina, saya pasti balik kampung untuk bersama mereka.

“Maklumlah, mereka sudah tua dan saya mahu menghabiskan banyak masa bersama mereka. Kalau tidak sibuk dengan penggambaran, saya juga lebih suka balik kampung Setiap kali balik, saya tidak akan melepaskan peluang makan laksa dan bah kut teh yang menjadi makanan kegemaran saya sejak dulu,” katanya.

Bakat nyanyian Sin Je mula dicungkil Sylvia Chang pada 1994 dan dua tahun kemudian muncul dengan album pertama.

Selepas melakar kejayaan sebagai penyanyi dengan kelahiran beberapa album, Sin Je cuba berlakon kerana menjadi impiannya sejak usia 15 tahun untuk bergelar pelakon. Ketika itu dia sering melihat lakonan Maggie Cheung Man-Yuk.

Peluang pertama diperolehi pada 1999 menerusi filem The Sunshine Cops dan pada 2001 menang Pelakon Baru Terbaik menerusi filem Betelnut Beauty di Festival Filem Antarabangsa Berlin. Sin Je menjadi antara bintang Asia yang mendapat penghargaan besar di festival itu.

Bagaimanapun filem The Eyes membawa kejayaan besar kepadanya apabila menang tiga anugerah Aktres Terbaik di Festival Filem Hong Kong, Anugerah Hong Kong Golden Bauhinia dan Anugerah Taiwan Golden Horse pada 2003.

Sin Je yang mempunyai senyuman manis ini, dipilih duta SK-II Malaysia sejak Julai tahun lalu dan juga duta Taiwan mulai 7 Januari lalu. Dalam majlis pelancarannya di Mid Valley, turut hadir Pengarah Pemasaran Bersekutu SK-II (Global), Pauline P’ng dan juga Pengurus Kanan SK-II (Pemasaran Teknikal Global), Takashi Yoshii yang menemui rahsia produk Facial Treatment Essence yang dikenali sebagai Miracle Water.

Kata Sin Je, dia mula mengenali produk SK-II kira-kira tiga tahun lalu apabila melihat iklan dilakonkan QiQi di televisyen mengenai rahsia wajahnya nampak berseri kerana menggunakan Facial Treatment Essence.

“Melihat wajah QiQi yang putih bersih membuat saya tertarik untuk mencuba. Selepas sebulan, saya sudah nampak perubahannya. Dulu kulit muka saya tidak bermaya dan ada tompok-tompok hitam tapi kini banyak berubah.

“Saya juga tidak suka pakai mekap jika tidak ada penggambaran dan kini saya lebih yakin keluar tanpa mekap. Masalah jerawat juga tidak lagi saya alami sejak menggunakan produk SK-II. Saya juga bangga apabila kawan-kawan memuji wajah saya kini lebih berseri-seri,” katanya.

Untuk iklan baru SK-II, dia berpeluang berlakon dengan QiQi. Dalam iklan selama 30 saat yang dihasilkan pengarah komersil terkenal Hong Kong, Steve Yuen Kim Wai, Sinje menjadi pengguna baru SK-II manakala QiQi sebagai pengguna setia produk itu.

Bercakap soal kahwin, dia yang kelihatan jauh lebih muda dari usia sebenar dengan rambut pendek, mengatakan belum bercadang untuk bergelar isteri walaupun mempunyai teman istimewa, pengarah Oxide Pang sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, hubungannya dengan Pang berjalan baik dan mereka tidak bercadang melangsungkan perkahwinan buat masa ini.

Mengenai imej rambut pendek pula, katanya, dia memotong pendek rambutnya untuk wataknya dalam filem Missing dua tahun lalu dan sejak itu lebih suka penampilan begitu.

>Profil

Nama sebenar: Lee Sin Je

Nama komersil: Angelica Lee

Tarikh lahir: 23 Januari 1976

Tempat lahir: Alor Setar, Kedah

Tinggi: 1.65 meter

Filem: Missing (2008), Mini (2007), The Drummer (2007), Re-cycle (2006), Love’s Lone Flower (2005), A-1 Headline (2004), Koma (2004), 20 30 40 (2004), Golden Chicken 2 (2003), The Eye (2002), Betelnut Beauty (2001)

Album: Soundtrack 20 30 40, Man & Woman, Ocean Of Love, The Skirt Dancing To The Wind, Bye Bye Childhood, Freedom, Under The Same Starry Night

Drama: Big People, Love’s Lone Flower, Shi Shui Nian Hua

Harian Metro

Konsert RM 1 Juta Nicolas Teo

29 Jan

Oleh JESSABELL SOO


SELEPAS membina nama di Taiwan, Nicolas Teo kini dikenali di Malaysia.

KEBARANGKALIAN seorang penyanyi Cina tempatan untuk mengadakan konsert solo adalah satu perkara yang agak mustahil.

Bukan memandang rendah terhadap penyanyi kelahiran negara sendiri, tetapi industri dan permintaan terhadap penyanyi Cina tempatan kurang memberangsangkan.

Namun, ‘nasib’ seseorang penyanyi tempatan itu berubah apabila dia mula membina nama di negara asing terutamanya Taiwan. Bukan sahaja popular di negara orang, penyanyi itu juga secara langsung turut akan diminati oleh pendengar tempatan.

Senario ini bukan berlaku kepada seorang penyanyi sahaja tetapi juga ke atas tuan badan bernama Nicholas Teo. Dilahirkan menerusi program realiti terbitan Astro, Astro Talent Quest 2002, Nicholas ‘berhijrah’ ke Taiwan tiga tahun lalu.

Sudah memiliki tiga album solo dan yang terbaru, Prince, Nicholas kini bersedia untuk melakar sejarah tersendiri dengan mengadakan konsert solo pertamanya.

Memandangkan ini merupakan konsert sulungnya, figura kelahiran Kuching, Sarawak ini memilih Malaysia sebagai destinasi pertama untuk mengadakan konsertnya pada 29 Mac ini, pukul 8 malam.

Bertempat di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, konsert anjuran syarikat rakaman Warner Music Malaysia itu dikatakan bakal menelan belanja RM 900,000 dan ini memberikan sedikit tekanan kepada Nicholas.

Mana tidaknya, jarang sekali konsert artis tempatan dianjurkan dengan kos yang menghampiri RM1 juta seperti ini.

“Memang tertekan mendengar jumlah yang dilaburkan oleh syarikat tetapi memandangkan mereka yakin dengan saya, maka saya akan lakukan yang terbaik,” jelas Nicholas pada sidang media mempromosikan konsert ini.

Meskipun konsert ini bakal berlangsung dalam masa dua bulan lagi, penyanyi berusia 27 tahun ini berhadapan turut berdepan dengan tekanan jualan tiket kerana ramai yang membandingkan dia dengan dua lagi penyanyi Malaysia, Michael Wong serta Fish Leong.

“Konsert Michael dan Fish di Malaysia berjaya dijual dengan baik. Rasanya lebih 10,000 penonton. Namun, saya optimistik kerana saya sudah lama menantikan lokasi ini. Tetapi apa yang penting sekarang bukan jualan tiket.

“Kini saya perlu berlatih dan bersedia supaya tidak menghampakan peminat saya,” tambah Nicholas yang berharap untuk mengadakan konsert seterusnya di negara China.

Konsert From Now On – Live In Malaysia bakal memberikan pelbagai kejutan kepada peminat. Bukan sahaja menampilkan imej, tarian dan kostum berlainan, peminat juga akan dihadiahkan dengan lagu tema konsert ini.

“Buat masa ini saya sedang merakamkan satu lagu khas untuk konsert kali ini. Saya bernasib baik kerana mendapat khidmat Mac Chew sebagai pengarah muzik,” jelasnya lagi.

Kepada mereka yang berminat, harga tiket dijual pada harga RM80, RM100, RM150, RM200 dan RM260. Untuk sebarang pertanyaan dan pembelian, anda boleh menghubungi talian Star Planet 03-9283 3667 dan Ticket Axcess 03-7711 5000 atau layari laman web http://www.starplanet.com.my.

Kosmo