Archive | Hani Mohsin RSS feed for this section

4 Lagi Drama Menarik Penuhi Slot Cerekapilihan

5 Jun

Oleh Rozdan Mazalan

CEREKAPILIHAN menyaksikan pelbagai drama Melayu yang bakal disajikan sepanjang bulan Jun di TV3 setiap Jumaat jam 1.30 petang dengan empat drama mulai esok.

Drama yang berunsur kekeluargaan dan diselitkan juga kisah teladan seperti Abi, Ayah, Bunga Kasturi dan Malang Hari Kerana Hati.

Abi yang akan disiarkan esok mengisahkan Abi yang mempunyai tiga anak iaitu Johar, Dila dan Saiful. Johar adalah seorang usahawan tetapi syarikatnya sedang mengalami masalah kewangan.

Dilla juga mengalami masalah yang sama, manakala Saiful pula adalah seorang pelakon tambahan. Makan dan minum Abi dijaga oleh jiran sekampung iaitu Miah dan anaknya Wani. Abi menyimpan minat terhadap Milah dan dia tidak bertepuk sebelah tangan tetapi masing-masing memendamkan perasaan.

Suatu hari, Abi terjatuh dari tangga dan doktor mengesahkan dia lumpuh selamanya dan juga mempunyai penyakit barah otak. Drama ini dilakonkan oleh M Rajoli, Kartina Aziz, Arash Mohamad, Zul Yahya dan Ngasreen Ngasri

Sementara pada 13 Jun pula drama Ayah bakal menyusul mengisahkan Sofia yang ingin minta cerai dari suaminya Ariff kerana mahu mencari kemewahan hidup. Anak-anaknya Shafiq dan Ain ditinggalkan bersama Ariff bapa tiri mereka dan dia kemudiannya menjadi isteri kedua kepada Rahman.

Dengan Rahman dia tidak mempunyai zuriat kerana pernah terbabit dalam kemalangan. Walau diselubungi kemewahan tetapi hidup Sofia tidak bahagia. Drama ini juga turut dilakonkan oleh Shukery Hashim, Rozie Othman, Nasriah Ngasri, Iqram Dinzly, Ary Putra, Khatijah Tan dan Rahim Razali.

Bunga Kasturi mulai 20 Jun mengisahkan isteri Pak Usop, Maimunah terpaksa menjalani pembedahan jantung. Dia terpaksa mengeluarkan semua duit pencennya kerana mahu membiayai kos pembedahan. Kedua-dua anak Pak Usop, Farid dan Zaharah tinggal di Kuala Lumpur.

Isteri Farid, Diana memang suka bermegah-megah tetapi Farid yang menanggung segala hutangnya. Diana langsung tidak mahu membelanjakan duit gajinya. Inilah yang membuat Farid terpaksa berhutang dengan Zaharah. Zaharah amat benci dengan perangai kakak iparnya itu. Apabila anak Pak Usop, Zamani mendapat keputusan yang cemerlang, dia mendapat tawaran untuk belajar di universiti. Drama ini dijayakan oleh Sidik Hussein, Hani Mohsin dan Zahida Rafiq.

Sementara itu drama Malang Hari Kerana Hati yang bakal disiarkan pada 27 Jun mengisahkan Munir seorang eksekutif kewangan di Syarikat Nusa Holdings Sdn Bhd. Walaupun tekun bekerja dia sering kali ditegur Aidil kerana hampir setiap hari dia datang lewat ke pejabat.

Hanya Suzana isterinya yang faham perangainya yang susah bangun pagi. Menurut Suzana perangai yang paling dibencinya mengenai suaminya adalah kerana tidak menepati masa dan tidak mahu menunaikan sembahyang. Suzana sudah bosan kerana sepanjang 10 tahun perkahwinannya dia terpaksa menghabiskan masa semata-mata mengejutkan suaminya bangun tidur.

Pelakon yang menjayakan drama ini seperti Zul Yahya, Hani Kausar, M Rajoli, Zaidi Omar, Raja Azrey, Faizal Hussein dan Hersheeta Purey.

Powered by Berita Harian

Advertisements

Redup Suram Dan Tawa Ria 2006

31 Dec

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

Tahun 2006 menoktahkan lebarannya hari ini dan esok kita semua akan menyambut tahun baru 2007 dengan keazaman baru. 2006 yang berlalu meninggalkan seribu satu macam kenangan indah, pahit dan manis. Dunia hiburan tentunya tidak pernah sunyi dengan segala macam kisah sensasi yang terjadi.

Tahun ini dunia artis dibuka dan ditutup dengan penuh meriah dan warna-warni. Daripada soal perkahwinan sehinggalah kisah-kisah sedih melibatkan perceraian dan kematian.

Kita imbas kembali peristiwa-peristiwa utama yang menarik sepanjang tahun 2006.

Perkahwinan

* 29 Mac

* Syura

Penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 20, mendirikan rumah tangga dengan sepupunya, Mohd. Fadhly Md. Yassin pada 29 Mac di Johor Bahru, Johor. Syura bagaimanapun mengalami keguguran selepas beberapa bulan perkahwinan itu.

* 28 April

* Siti Nordiana dan Mohd. Faizal Yusop

Penyanyi Siti Nordiana Alias, 22, dan pelakon Mohd. Faizal Yusop, 28, berkahwin pada 28 April di Felda Sendayan, Negeri Sembilan. Mereka kemudian mendirikan persandingan untuk penduduk kampung dan peminat di Dewan Felda Sendayan pada 29 April berkonsepkan persandingan dalam taman.

* 29 April

* Nurfarahin Jamsari

Personaliti TV3 – Nurfarahin Jamsari selamat mendirikan rumah tangga keduanya dengan Noor Eddie Putera Noordin, 36, di Keramat, Kuala Lumpur.

Sebelum itu pada 16 Januari, Nurfarahin berpisah dengan suaminya Sheikh Omar Sheikh Anuar dengan talak satu. Hasil perkahwinan pertamanya, Nurfarahin dikurniakan empat orang anak.

* 26 Mei

* Anne Ngasri

Anak kepada pelakon Ngasri Sain – Anne Ngasri, 22, berkahwin dengan Abdul Wafi Hassan di Taman Permai Batu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

* 24 Jun

* Fendi (X-Factor)

Bekas penyanyi kumpulan X-Factor, Fendi mendirikan rumah tangga dengan Wan Intan Nadia Noraman di Keramat, Kuala Lumpur. Sebelum itu Fendi pernah bertunang dengan seorang peguam tetapi hubungan mereka tidak kekal lama.

* 20 Jun

* Nora Danish

Pelakon siri Puteri, Nora Danish, 24, berkahwin dengan Rizal Ashram iaitu anak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Majlis pernikahan mereka diadakan secara eksklusif.

* 15 Julai

* Aleeza Kasim

Pelakon dan model Aleeza Kassim, 35, mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan terkenal Mohd. Fauzi Che Ros, 42. Pernikahan mereka dilakukan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

* 1 Julai

* Ezany

Mohd. Ezany Nizariff, 33, yang popular menerusi drama bersiri Natasha berkahwin dengan gadis dari tawau Sabah – Lidza Nuryanti Abidin, 23. Majlis persandingan mereka diadakan serba sederhana.

* 21 Ogos

* Siti Nurhaliza

Akhirnya desas-desus perkahwinan Siti Nurhaliza Taruddin, 27, terjawab apabila gadis itu berkahwin dengan Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Perkahwinan itu merupakan satu sejarah di dalam dunia hiburan tanah air kerana ia disiarkan secara langsung oleh TV3.

Wang Hantaran yang diterima Siti ialah RM30,000 dan mas kahwin pula RM22,222.22. Persandingan mereka diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 Ogos dan seminggu selepas itu di Dataran Lipis, Pahang. Pada bulan Oktober lalu Siti dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang membawa gelaran Datuk.

* 8 September

* Fiza

Bekas anggota kumpulan Elite yang juga seorang pelakon – Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza, 25, berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin, 26, di Masjid Al-Syarif, Gombak, Selangor. Mereka berkawan selama lima tahun sebelum memilih untuk menjadi suami isteri.

* 4 November

* Ieda (Moin)

Penyanyi Ieda Moin, atau Siti Haidah Abdul Moin, 27, memilih Pengurus Produksi, Mohd. Naquib Idris, 27, sebagai suaminya. Mereka berkahwin di Masjid Al-Rahimah, Kampung Pandan pada 4 November dengan hantaran RM10,000.

* 12 November

* Noorkhairiah

Pelakon Noorkhairiah Ahmad Shapie, 30, mendirikan mahligai bahagia dengan seorang jurutera Azfaizul Ahtan, 29. Mereka selamat bernikah di taman Muhibah, Raub Pahang. Selepas berumahtangga, Noorkhairiah tetap mahu aktif berlakon.

* 18 November

*Bob Azrai

Pelakon Bob Azrai, 38, bernikah dengan Siti Khalifah Alihan, 18, di Masjid Bukit Indah, Ampang. Perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan kedua Bob selepas keruntuhan rumah tangganya dengan pelakon Aida Aris.

* 2 Disember

* Linda Rafar dan Syed Aiman

Pasangan duda dan janda Linda Rafar, 28, dan Syed Aiman, 31, selamat diijabkabulkan di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. Kedua-dua pelakon itu turut mengadakan majlis resepsi di rumah keluarga Linda di Shah Alam dan di hotel Concorde seminggu kemudian.

* 16 Disember

* Aziz Sattar

Pelakon veteran, Aziz Sattar mendirikan rumah tangga ketika berusia 81 tahun dengan peminatnya, Hashimah Delan, 48. Pernikahan mereka dilakukan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

* 19 Disember

* Erema dan Seri Bayu

Tahun 2006 ditutup dengan perkahwinan penulis lirik Seri Bayu dengan penyanyi Erema Awang Mohdad, 23, di Masjid danau Desa, Taman Desa Kuala Lumpur. Biarpun Seri bayu menghidap penyakit saraf namun Erema sanggup menerimanya sebagai suami.

Pertunangan

* 11 Mac

* Haiza

Penyanyi dangdut – Haiza melangsungkan pertunangan dengan pemain hoki sebuah bank – Hanafi Omar di rumah kakak penyanyi itu di Kuala Lumpur.

Kedua mereka berusia 26 tahun dan masih memikirkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan majlis pernikahan. Mereka cuba menyembunyikan pertunangan itu atas atasan ia tidak perlu diheboh-hebohkan. “Takut apa-apa jadi nanti malu…’’ kata Haiza.

* 4 Jun

* Nasha Aziz

Pelakon popular Nasha Aziz atau Noraishah Abdul Aziz, mengikat tali pertunangan dengan pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof di Keramat, Kuala Lumpur. Nasha juga mahu merahsiakan pertunangannya tetapi dapat dihidu juga oleh wartawan.

Pada majlis itu Nasha menerima sebentuk cincin Chopard yang disarungkan oleh bakal ibu mentuanya, Hasnah Hassan.

* 28 Oktober

* Lisdawati dan Fauzi Nawawi

Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2005, Lisdawati mengikat tali pertunangan dengan pelakon Fauzi Nawawi di rumah keluarga Lisdawati di Kualam Lumpur. Mereka merancang mengadakan majlis perkahwinan pada tahun hadapan. Hantaran perkahwinan ditetapkan sebanyak RM21,111.11 dan mas kahwin RM999. Fauzi merupakan seorang duda

Perpisahan

* 7 April

* Noraniza Idris dan Fareez

Pasangan penyanyi dan pelakon ini berpisah selepas 20 tahun berkahwin. Lafaz cerai dilakukan oleh Fareez atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Tajuddin terhadap Noraniza di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur pada 7 April.

* 26 April

* Erra Fazira dan Yusri

Erra Fazira dan Yusry Abd. Halim yang cuba mengelak memperkatakan mengenai rumah tangga mereka akhirnya mengambil keputusan berpisah selepas tiga tahun berkahwin.

Lafaz cerai dilakukan pada 26 April di kediaman Erra di Damansara dan pengesahan cerai tersebut dilakukan pada 16 Jun di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya, Selangor.

* 5 Mei

* Norman Hakim dan Abby

Sesuatu yang mengejutkan apabila pasangan pelakon Norman hakim, 30, dan Abby Abadi, 28, berpisah. Norman melafazkan cerai terhadap Abby pada 5 Mei dan mereka rujuk semula beberapa hari selepas itu. Penyanyi Farahdiaya dikatakan menjadi punca penceraian itu. Abby dan Norman mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan mereka.

* 16 Oktober

* Awie dan Arni Nazira

Penyanyi kumpulan Wings, Awie atau Ahmad Azhar Othman, 38, melafazkan cerai talak satu terhadap penyanyi Arni Nazira, 28, di Mahkamah Rendah Syariah, Kuantan, Pahang. Penceraian itu dikatakan berpunca daripada penyebaran gambar perkahwinan Awie dengan Rozana Misbun di Internet.

Akibat penceraian itu, Awie mendapat hak penjagaan terhadap dua anaknya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 6, dan Puteri Aleefa Antasha, 4.

* 20 Oktober

* Ajai dan Nurul

Pasangan yang popular dengan lagu Serasi Bersama rupa-rupanya tidak serasi apabila Nurul atau namanya Noorul Huda Abdul Wahab, 29, memfailkan permohonan pengesahan cerai dengan Mohd. Faizal Maas, 31, atau Ajai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor.

Nurul mendakwa Ajai melafazkan cerai terhadapnya sebanyak tiga kali pada 2001 dan dua kali pada 2006.

Kembali ke rahmatullah

* 20 Jan

* Rosiah Chik

Penyanyi veteran, Rosiah Chik meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada usia 74 tahun akibat serangan penyakit jantung.

Allahyarham menjadi penyanyi ketika berusia 16 tahun dan merakamkan lebih 200 buah lagu ketika hayatnya. Hasrat beliau untuk mendengar lagu duetnya iaitu Hantaran Hati bersama Bob (Akademi Fantasia 2) tidak kesampaian.

* 7 Februari

* S. Jibeng

Penyanyi popular tahun 60-an S. Jibeng meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kerana sakit jantung dan kencing manis.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas zuhur di Tanah Perkuburan Islam, Kebun Teh.

* 25 Julai

* Hani Mohsin

Pelakon filem dan drama terkenal Hani Mohsin Hanafi, 41, meninggal dunia akibat serangan jantung. Allahyarham pengsan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, ketika sedang menunggu penerbangan ke Alor Star bersama anaknya Hani Karmila, 9.

Beliau juga adalah bekas suami Datin Seri Tiara Jacquelina. Pelakon itu merancang untuk bercuti ke Langkawi semasa kejadian.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Al-Ridzuan, Hulu Klang selepas solat isya sebelum dikebumikan di sebelah pusara ibunya, Hasni Bakar di Tanah Perkuburan Islam Al-Ridzuan, Hulu Klang.

* 10 Oktober

* Seha

Bekas penyanyi kumpulan Freedom, Norsehah Abu Bakar atau Seha (44 tahun) meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur kerana penyakit barah paru-paru.

Beliau meninggal dunia kira-kria pukul 8 pagi di sisi suaminya Azmi Thambi Chik. Hajatnya untuk menemui anak sulungnya Misha Kyrie Lind, 15, yang tinggal bersama bekas suaminya di London tidak kesampaian. Sebaliknya mereka sempat berhubung menerusi e-mel selepas penderitaan Seha disiarkan di akhbar. Seha juga mempunyai seorang anak perempuan berusia 11 tahun iaitu Karissa Iris Lund.

Kejayaan

* 5 Ogos

* Mohd. Faizal Ramly

Jejaka dari Marang, Terengganu – Mohd. Faizal Ramly, 22, menjadi Juara Akademi Fantasia Keempat (AF4) dan sekali gus membolehkan beliau membawa pulang hadiah bernilai RM370,000 termasuk sebuah kereta Toyota Vios serta wang tunai RM20,000.

* 22 September

* Suki

Low Sook Yee atau lebih dikenali dengan nama Suki menjadi juara pertandingan One In A Million anjuran 8TV dan sekali gus melayakkan gadis berusia 17 tahun itu menerima wang tunai RM1 juta.

* 19 November

* Datuk Ahmad Nawab

Komposer terkenal Datuk Ahmad Nawab menerima Anugerah Seniman Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalulail. Beliau turut mendapat hadiah wang tunai RM60,000.

* 3 Disember

* Fiq

Pertandingan Mentor anjuran TV3 memperlihatkan jejaka dari Sabah, Fiq atau nama sebenarnya Mohd. Firdauz Abdul Halim, 24, menjadi juara pertandingan itu dan menggondol hadiah wang tunai sebanyak RM50,000, tawaran menjadi artis rakaman EMI Music Sdn. Bhd., dan trofi. Fiq juga berjaya mengalahkan Ima dari Indonesia dalam pertandingan Juara Antara Juara pada 24 Disember lalu. Dalam pertandingan itu Fiq berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM18,500.

Sensasi

* 1 Julai

* Mawi

Penyanyi Asmawi Ani atau Mawi memutuskan pertunangannya dengan Nordiana Md. Naim. Mawi mendakwa hubungan itu terputus akibat masalah peribadi yang berlaku. Akibat kejadian itu, Nordiana mengambil kesempatan meluahkan rasa hatinya dengan menghasilkan sebuah buku Catatan Duka Diana Naim yang menceritakan kisahnya bersama Mawi sebelum penyanyi itu menyertai Akademi Fantasia.

Mawi turut mencipta kontroversi apabila membuat kenyataan tidak mahu berpegangan tangan sekiranya ditawarkan berlakon sehingga mencetuskan kemarahan beberapa orang pelakon termasuk Rosyam Nor.

* 13 Ogos

* Sharifah Amani

Pelakon Sharifah Amani yang dinobatkan sebagai

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 (FFM19), mencetus kontroversi apabila berucap di dalam bahasa Inggeris dengan berkata, ‘‘I sound like stupid if I speak in Malay.’’ (Saya rasa seperti orang bodoh kalau saya bercakap dalam bahasa Melayu).

Ucapannya itu menimbulkan rasa tidak senang sebilangan besar penonton termasuk tetamu kehormat majlis itu iaitu Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Pelakon itu bagaimanapun tidak bermaksud untuk menghina bahasa Melayu sebaliknya menganggap ucapannya telah disalah tafsir.

* 15 Ogos

* Rita Rudaini dan Lisdawati

Pelakon Rita Rudaini dan Lisdawati dikatakan bercakaran di dalam sebuah kolam renang ketika penggambaran drama Kau Yang Ku Sayang di Pulau Pinang.

Lisdawati mendakwa Rita cuba mencederakannya di dalam penggambaran itu sehingga memaksa Lisda membuat laporan polis. Bagaimanapun pihak polis telah menutup kes tersebut dan menganggap ia selesai.

Powered by Utusan Malaysia

Belasungkawa Hani Mohsin – Semuanya Demi Karmila

30 Jul

“Aku hidup untuk Karmila. Aku tak ada siapa-siapa. Nasib baik ada Karmila.” Itu antara yang diluahkan semasa saya dan Hani Mohsin menginap di bilik 214 Hotel Seri Malaysia Kuantan 30 Jun dan 1 Julai lalu. Hani Karmila adalah anak tunggal Mohsin dengan bekas isterinya, Datin Seri Tiara Jacquelina.

Rasa terleka tatkala dia melukiskan kemanjaan dan keletahnya Karmila yang berusia sembilan tahun itu. Ternyata Karmila sangat membahagiakan dan Karmila tidak pernah lekang dari ingatan. Demikian kasih sayang yang tidak terucapkan daripada seorang ayah kepada anak tunggalnya.

Mohsin adalah anak tunggal yang kematian kedua-dua orang tuanya. Sekalipun Mohsin seorang selebriti popular tetapi di sisi lain hidupnya penuh sepi. Kesepian itu cuma terusir apabila tiba giliran Karmila bermalam di rumahnya di Bukit Antarabangsa.

Saya mendengar dengan tekun tentang Karmila, tentang ibu, tentang ayah yang telah tiada dan tentang hidupnya yang kosong. Mohsin lelaki bersemangat kuat meneruskan hidup sekalipun orang-orang yang rapat dengannya telah tiada.

Pemergian ibu secara tiba-tiba menyentak sebahagian daripada jiwanya. Berbulan lamanya dia tidak berupaya melihat sofa yang sering diduduki ibunya kerana seakan-akan ibu masih di situ.

Karmila adalah satu-satunya zuriat yang menjadi permata hati. Saya cuba berada di tempatnya. Dan tidak bertanya apa-apa, cuma menjadi pendengar yang setia. Ada kata-kata yang tersekat di kerongkong apabila bercakap tentang ibu dan ayahnya. Pantas pula saya mengalih bicara.

Selasa lalu Mohsin juga telah tiada. Allahyarham pergi dihantar sendiri oleh permata hatinya di terminal terakhir sebuah kehidupan. Simboliknya keberangkatan untuk kembali ke kampung halaman di Perlis, tempat Allahyarham dilahirkan. Kita tentu dapat membayangkan kegembiraan Allahyarham apabila berpeluang untuk bercuti bersama Karmila di rumah ibu saudara sebelah ibunya di Perlis. Kemudian mereka merencana meneruskan perjalanan ke Langkawi. Tetapi semuanya tidak kesampaian apabila saat keberangkatan telah tiba.

Allahyarham Mohsin jatuh dan meninggal dunia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di KLIA pada usia 41 tahun. Segera ingatan saya tercampak pada 30 Jun lalu, saya dan Allahyarham diundang memberi ceramah penulisan drama radio di Taman Budaya Negeri Pahang.

Turut sama ialah rakan-rakan dari Unit Drama Radio RTM; Zuraidah Mohd. Noh, Muhamad Ibrahim, Rahman Ismail, Fauziah Sidek, Bandung Lihya (pelajar UMS) dan Azizah Ariffin (pelajar UMS).

Penglibatan Allahyarham dalam bengkel itu secara percuma. Tidak ada bayaran apa-apa, cuma disediakan tempat penginapan sedangkan dua hari bagi selebriti seperti Mohsin adalah suatu yang bernilai.

“Semua ini amal jariah aku untuk orang ingat bila aku tak ada lagi,” demikian jawab Allahyarham apabila ditanya komitmen secara percuma dalam program itu.

Mungkin ada yang terkejut selebriti popular seperti Allahyarham juga tetap menerima undangan berlakon drama radio sekiranya tidak bertindih dengan jadual rakaman Roda Impian di Astro. Tentulah bukan bayaran yang menjadi faktornya.

“Kami di Unit Drama Radio RTM sangat senang bekerja dengan Allahyarham. Kalau dia lapang, mesti tak tolak berlakon drama radio sekalipun bayarannya kecil,” demikian kata Pemangku Pengawal Unit Drama Radio RTM, Zuraidah Mohd. Noh.

Zuraidah menambah, berita pilu pagi Selasa itu seolah-olah menandakan dia dan rakan-rakan kehilangan seorang rakan yang banyak memberikan kerjasama selama ini.

Semasa kami berbual hingga larut malam di Seri Malaysia, Kuantan, Allahyarham memuji dan sangat menghargai bekas isterinya, Tiara. Bagi Allahyarham, Tiara yang banyak membantu menjaga Karmila apabila Allahyarham sibuk dengan rakaman dan penggambaran di luar Kuala Lumpur.

“Karmila tak hilang ayah dan ibu. Aku baik dengan Tiara. Aku pun baik dengan Datuk (Datuk Seri Affendi Norwawi). Itulah kebahagiaan aku,” kata Allahyarham. Kami sudah kenal pada penghujung 80-an lagi tapi jarang berjumpa. Cuma bertanya khabar menerusi telefon saja.

Saya pula tidak pernah bertanya tentang hal-hal peribadinya, bimbang Allahyarham berasa terpaksa menjawab benda yang tak perlu dijawab. Kisah Allahyarham dengan Serina yang akhirnya putus di tengah jalan apabila mendapat tentangan di sebelah Serina heboh diperkatakan. Tetapi tidak sampai hati untuk bertanya.

Allahyarham seorang yang sangat terbuka dan pintar menguruskan kerjaya. Malah Allahyarham menerima dengan senang hati sekalipun saya berkata, “Lakonan kau dalam drama itu buruk sangatlah.”

Azamnya besar dan hidup dalam lingkaran gemerlapan sama sekali tidak pernah melekakan. Allahyarham mahu lebih dikenali sebagai usahawan daripada artis popular menerusi syarikatnya Imagine Pictures.

Selain menerima tawaran menjadi pengacara program Roda Impian di Astro, Allahyarham mencuri masa untuk membangunkan syarikat penerbitannya. Terbaru sekali Imagine Pictures selesai membuat penggambaran program dokumentari memperkenalkan tempat-tempat menarik dan unik untuk RTM.

“Mohsin hebat sekarang kerana gigih. Kami pernah berkongsi mi segera masa di UiTM. Selepas masing-masing keluar UiTM, berjumpa pula dalam busines buat drama,” beritahu ahli perniagaan Datuk Meswan Dol ketika ditemui semasa menziarahi jenazah Allahyarham Selasa lalu.

Beratus-ratus orang yang terdiri daripada pelakon dan mereka yang terlibat dalam bidang produksi membanjiri rumah Allahyarham. Boleh dikatakan hampir semua pelakon bermula yang paling veteran seperti Datuk Jins Shamsudin dan Datuk Mustapha Maarof hinggalah pelakon-pelakon baru yang mengenali Allahyarham.

Allahyarham telah menyambut hari lahir terakhirnya pada 18 Jun lalu dalam suasana yang sangat membahagiakan. Kata Allahyarham; “Karmila buat suprise party, disuruhnya aku berkurung di bilik atas. Bila aku turun aku hampir menitis air mata tengok Karmila dengan kek hari lahir. Tiara dengan Datuk pun ada juga.”

Nama Hani Mohsin yang sedikit unik itu mulai bertebaran popularnya selepas berlakon filem period Jimi Asmara (1988) arahan Erma Fatima. Dalam filem bersandarkan zaman 50-an itu, Allahyarham mendukungi watak Jimi Asmara penyanyi yang dimangsai transisi muzik pop yeh-yeh.

Watak Jimi Asmara benar-benar melonjakkan nama Allahyarham malah kelihatan begitu karismatik untuk seorang pelakon baru sepertinya. Erma bijak menyusuri kewibawaan pelakon baru ini untuk menggalas watak yang seberat itu.

Allahyarham tidak hanya di layar perak atau di kaca televisyen. Potensi menguji dan mempertajamkan lakonan di pentas teater juga tidak dipersia-siakan. Lakonannya dalam Perempuan Seorang Leftenan Inggeris arahan Zakaria Ariffin juga memancarkan kecemerlangan.

Allahyarham tidak pernah kontroversi kecuali cerita percintaannya dengan Serina. Yang lain tidak ada malah perceraian dengan Tiara juga berlangsung dalam suasana yang sangat harmoni. Tidak pernah berdesir cerita-cerita belakang tabir tentang sikap-sikapnya yang kurang enak.

Pada malam 2 Julai lalu tatkala menghantar Allahyarham pulang ke rumahnya, beria-ia menyuruh masuk ke rumahnya. Terasa hening dan sepi, ruang tamu terpamer gambar-gambar ibu, ayah dan Karmila.

Ketika menghantar ke pintu pagar, Allahyarham secara bergurau tapi kelihatan sungguh-sungguh meminta saya menulis tentangnya. Selama ini saya sekalipun tidak pernah menulis tentang kerjayanya.

“Kau tulislah. Sekalipun cukuplah,” saya diam tatkala mata kami bertemu di samar senja Bukit Antarabangsa. Dalam hati memang berjanji akan menulis tentang kegigihan Allahyarham; sebagai pelakon dan produser program televisyen.

Pandangan Allahyarham menghantar saya dan rakan-rakan RTM hingga kami hilang di sebalik simpang. Selasa lalu suasananya berbeza, ruang tamu dibasahi dengan ayat-ayat suci dan wajah-wajah suram menandakan ini satu kehilangan.

Kepada Karmila; biarpun jasad telah jauh dibatasi bumi namun kasih sayang Allahyarham kepada anda tidak pernah terkuburkan.

Tanpa disangka belasungkawa ini telah menjadi tulisan saya yang pertama tentang Allahyarham. Janji ditunaikan tetapi tetap rasa terhutang.

ῖ KU SEMAN

Powered by Utusan Malaysia