Archive | Hans Isaac RSS feed for this section

Air Mata Tumpah Tonton Talentime

2 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

FILEM Talentime yang mengisahkan versi cinta lelaki India, Mahesh dan gadis kacukan Melayu-Inggeris, Melur yang juga garapan terbaru pengarah berwibawa Yasmin Ahmad diuar-uarkan sebagai karya terbaiknya setakat ini.

Pengurus Besar Filem & Drama, Primeworks Studios, Ahmad Puad Onah berkata, seperti Rabun dan Mukhsin, pihaknya yakin Talentime juga akan mendapat sambutan hangat daripada penonton.

“Talentime yang membabitkan bajet RM1.5 juta termasuk promosi adalah filem ketiga Yasmin bersama Primeworks Studios selepas Rabun dan Mukhsin.

“Rabun adalah filem pertama kita yang dicalonkan untuk kategori Filem Terbaik pada Festival Antarabangsa Torino 2003 dan Mukhsin mengungguli pelbagai anugerah antarabangsa termasuk di Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-57.

“Berdasarkan maklum balas positif menerusi pratonton sebelum ini, kami yakin, Talentime akan memberi peluang kepada kita untuk memperkenalkan karya anak tempatan kepada masyarakat antarabangsa sekaligus mengangkat dan memartabatkan industri perfileman tanah air di persada seni dunia,” katanya.

Ahmad Puad berkata, Talentime mempunyai pendekatan sederhana, mengekalkan emosi yang cukup dalam dan bermakna serta dipersembahkan dengan tulus seperti karya Yasmin terdahulu.

“Sebagaimana filem Yasmin sebelum ini, Talentime, filem bersifat kritis dalam soal perhubungan dengan mengangkat kepelbagaian kaum dan kehidupan masyarakat di Malaysia. Dia membuatkan penonton sering berasa dekat dengan paparannya kerana setiap pengkisahan adalah realiti.

“Soal perhubungan dalm setiap pengkisahannya di layar perak juga menjadi paparan Talentime yang bertumpu pada kehidupan dua keluarga berlainan latar pendidikan, bangsa dan agama. Talentime juga digarap Yasmin menjadi sebuah filem yang cukup indah dan menyentuh jiwa,” katanya.

Ahmad Puad ditemui ketika malam gala dan pratonton filem Talentime di Cathay Cineplex, Damansara, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan. Majlis petang itu disemarakkan dengan persembahan hiburan oleh Aizat dan Atilia.

 

 

Lebih bermakna, malam gala Talentime dimeriahkan dengan kehadiran ramai artis popular tanah air yang memberi sokongan kepada karya terbaru Yasmin itu. Antara artis yang hadir ialah Fazura, Hans Isaac, Sazzy Falak, Nazril Idrus, Mawi, Ekin, Aishah Sinclair dan ramai lagi.

Rata-rata artis yang hadir selepas pratonton berakhir mengakui sentuhan terbaru Yasmin kali ini juga tidak menghampakan.

Sazzy yang ditemani suaminya Nazril mengakui dia cukup berasa tersentuh selepas menonton filem itu.

“Saya dan suami menangis bila menonton beberapa babak sedih dalam filem itu. Terus terang, saya suka menonton karya Yasmin kerana kekuatan mesej yang disampaikan menerusi filem itu.

“Bagaimana timbul masalah, pergaduhan dan pembunuhan sekalipun, akhirnya cintalah yang menyatukan mereka semua kembali. Mungkin orang kata filem Yasmin kontroversi tapi bagi saya kontroversi itu bertempat. Alasannya juga kukuh kerana dia bukan buat filem untuk menyakitkan hati orang lain,” katanya.

Sazzy juga memang tidak asing dengan karya Yasmin sejak dulu.

“Saya sudah menonton Gubra dan Sepet. Tapi, belum berpeluang menonton Mukhsin lagi. Saya juga tidak sabar menanti garapan terbarunya, Muallaf yang dikatakan kontroversi juga,” katanya.

Pada masa sama, kata Sazzy, dia juga mengidam untuk bekerjasama dengan Yasmin pada masa depan.

“Saya juga meluahkan hasrat untuk bekerja dengannya ketika kami sama-sama terbabit dalam pembikinan iklan Kempen 60 Earth Hour baru-baru ini. Saya harap dia akan tawarkan saya berlakon dalam projek filem barunya nanti.

“Saya tidak kisah watak kecil sekalipun kerana yang penting dapat bekerjasama dalam filemnya,” katanya.

Hans pula berkata, dia hadir pada malam gala itu untuk memberi sokongan pada karya Yasmin sekaligus filem Melayu.

“Saya suka filem Yasmin kerana ia berjiwa Malaysia dan memaparkan masyarakat berbilang kaum. .

Filemnya juga unik dan ada kelainan. Kalau anda inginkan filem yang ada kelainan, tontonlah filem Yasmin.

Yasmin juga pengarah yang berani dalam berkarya kerana ada dialog dalam filemnya yang orang lain tidak berani buat tapi dia buat juga,” katanya.

Seperti Sazzy, Hans mengakui dia juga sebak selepas menonton Talentime.

“Antara babak sedih ialah apabila Mahesh balik ke rumahnya pada waktu pagi dan bertemu dengan ibunya yang marah dan satu lagi ialah babak terakhir filem ini. Kalau nak tahu apa babak akhir itu, anda perlu menonton filem ini terlebih dulu,” katanya.

Sementara itu, Fazura mengakui dia juga pengikut setia filem Yasmin sejak dulu.

“Selain menyentuh jiwa, filem Yasmin juga memaparkan aspek kemanusiaan yang begitu dekat di hati masyarkat

Saya sukakan karya Yasmin kerana ada kelainan dari filem Melayu yang pernah saya tonton sebelum ini.

“Antara elemen positif yang saya suka ialah nilai kekeluargaan yang dipaparkan dalam filem ini. Babak yang suka ialah kisah keluarga Pamela yang cukup erat dengan kasih sayang dan boleh dicontohi masyarakat di luar sana,” katanya.

Barisan pelakon yang membintangi filem ini ialah Pamela Chong, Mahesh Jugal Kishor, Azean Irdawaty, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Howard Hon Kahoe, Mohd Syafie Naswip, Sukania Venu Gopal, Susan Chong, Mislina Mustaffa dan Harith Iskander.

Lebih menarik, filem ini dilatari lagu Ore Piya dendangan penyanyi Bollywood, Rahat Fateh Ali Khan. Tidak ketinggalan, dendangan Aizat dan Atilia hasil komposisi penyanyi dan pencipta lagu, Pete Teo.

Talentime, filem terbitan Primeworks Studios dengan kerjasama Chilli Pepper Film ini menjengah pawagan tempatan seluruh tanah air mulai 26 Mac lalu.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Advertisements

Kempen Bergelap Sejam

23 Mar

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Yasmin (kanan) bersama Shebby dan Karamjit Singh ketika pembikinan pengiklanan komersial
60 Earth Hour arahan beliau.

Selebriti tanah air tampil menyokong kempen anti pemanasan global 60 Earth Hour

TANGGAL 28 Mac iaitu pada jam 8.30 malam, lebih 300 bandaraya di seluruh dunia akan bergelap selama sejam iaitu bagi menyampaikan mesej mereka menyokong kempen anti pemanasan global – satu topik universal yang cukup hangat diperbincangkan ketika ini.

Dan selepas dua tahun acara yang dimulakan di Sydney, Australia itu berlangsung dan kemudian diikuti negara lain, tahun 2009 buat pertama kalinya menyaksikan Malaysia turut mengambil bahagian dalam kempen 60 Earth Hour ini.

Satu keputusan yang tepat buat Malaysia untuk bersama-sama menjayakan kempen ini kerana sebagai sebuah negara yang membangun, kita tidak dapat lari daripada tempias akibat daripada fenomena sejagat ini.

Bagi menunjukkan sokongan terhadap kempen itu dan tidak mahu dilihat sebagai melepaskan batuk di tangga, iklan mengenai kempen itu turut diterbitkan.

Dibuat dalam dua versi iaitu media cetak dan elektronik, orang yang bertanggungjawab untuk menghasilkan iklan itu adalah pengarah filem berkaliber iaitu Yasmin Ahmad. Baru-baru ini bertempat di Studio DL, Desa Pandan, berlangsung proses menghasilkan iklan dilakukan membabitkan ramai selebriti terkenal tanah air.


dari kiri; Daphne Iking, Sazzy, Yasmin dan Aishah Sinclair.

Antara wajah glamor dan popular dalam iklan itu termasuklah angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Sharifah Amani, Dafi, Sazzy Falak, Hans Isaac, Shebby Singh, Karamjit Singh, Reshmonu dan Susan Lancaster.

Sebagai duta kepada kempen itu, Yasmin akui teruja dengan penghormatan yang diberikan kepadanya itu. Jelas pengarah yang bakal muncul dengan buah tangan terbarunya berjudul Talentime ini, kempen 60 Earth Hour bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat semua betapa pemanasan global memberi kesan yang tidak baik kepada bumi.

“Kempen ini sebenarnya sudah lama diamalkan oleh sebilangan besar masyarakat dunia iaitu lebih kurang 300 bandaraya di seluruh negara mengambil bahagian dalam kempen itu tahun ini. Walaupun ini adalah kali pertama kita menjayakannya namun saya yakin, usaha ini pasti mendapat sokongan banyak pihak.

“Jika kempen ini tidak diadakan sekarang, apa akan jadi kepada masyarakat bumi pada masa depan. Justeru, dengan kudrat yang ada, saya akan cuba menerapkan amalan ini dalam jiwa setiap rakyat di negara ini,” ujar Yasmin sebagai mengulas tanggungjawabnya sebagai duta kempen ini.

Jelas Yasmin, cara untuk menunjukkan sokongan kepada kempen ini cukup mudah iaitu pada tarikh dan waktu yang ditetapkan, semua lampu haruslah dipadamkan dan bergelaplah selama sejam.

Sebagai pengarah yang pernah memenangi pelbagai anugerah berprestij di luar negara, Yasmin menggunakan kreativitinya serta pengalaman sebagai pengarah iklan untuk membuat iklan sebagai salah satu medium mempromosikan kempen berkenaan.

“Selebriti atau personaliti terkenal biasanya mempunyai pengaruh yang cukup besar dan ada pengikut mereka yang tersendiri. Jadi apalah salahnya jika kita gunakan apa yang mereka ada itu untuk bersama-sama menarik minat orang ramai supaya memahami kesan pemanasan global kepada bumi dan juga manusia.

“Hari ini kami membuatkan tiga iklan serentak iaitu iklan untuk media cetak, iklan untuk radio dan juga televisyen. Setiap personaliti akan digandingkan dengan selebriti lain mengikut kesesuaian jalan cerita dan keserasian mereka.

“Mereka ini dipilih berdasarkan kesesuaian, mereka yang pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini serta ada juga yang datang menawarkan diri secara rela untuk terbabit dalam iklan ini. Setakat ini saya gembira dengan komitmen mereka dan harap usaha kami ini mendapat maklum balas positif dari orang ramai,” tutur Yasmin yang turut gembira apabila usahanya itu turut mendapat reaksi positif daripada stesen televisyen tempatan.

Mualaf tetap ditayangkan di Malaysia

KONTROVERSI yang timbul sebelum dan selepas filem Mualaf dihasilkan membuatkan Yasmin agak ragu-ragu untuk menayangkan filem lakonan Sharifah Amani di negara ini. Memilih jalan selamat, Yasmin lebih rela menayangkan filem itu di Singapura terlebih dulu.

Mungkin keputusan itu sedikit sebanyak mengecewakan banyak pihak yang begitu teringin melihat filem yang turut menampilkan Datuk Rahim Razali, penyanyi Ning Baizura sebagai pelakon itu. Iyalah, selepas pelbagai publisiti diberikan tiba-tiba filem yang dibuat terkemudian daripada Mualaf pula yang akan ditayangkan terlebih dulu iaitu Talentime.

Enggan membiarkan penonton resah, Yasmin akhirnya memaklumkan bahawa Mualaf akan ditayangkan juga di negara ini.

“Insya-Allah, Mualaf akan ditayangkan pada bulan Julai depan. Kita tayangkan dulu Talentime yang dijadualkan akan muncul di pawagam, Mac depan,” ujar Yasmin yang kini sedang dalam peringkat praproduksi untuk filem terbarunya berjudul Wasurenagusa yang bermaksud sejenis bunga.

Mengulas lanjut projek terbarunya itu, Yasmin berkata filem ini akan dihasilkan secara usaha sama dengan kerajaan Jepun.

“Filem ini akan menampilkan lakonan Sharifah Amani dan juga seorang aktor dari sana. Buat masa ini, Amani sedang giat menjalani latihan dan antara latihannya adalah menunggang kuda. Filem ini akan mula menjalani penggambaran September depan dan ia berkonsepkan komedi romantik,” katanya.

Berita Harian

Tidak Lepas Peluang

17 Mar

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

CALON uji bakat Worldstars – Road to Hollywood kategori vokal bersiap sedia di belakang pentas sebelum nama mereka dipanggil.

Ramai teruja mewakili Malaysia ke WCOPA

SEJAK 2005, pasukan Malaysia tidak pernah pulang dengan tangan kosong apabila ada saja wakil negara ini yang memenangi pingat pada Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) yang berlangsung di Hollywood, California, Amerika Syarikat. Nama seperti Dina, Deja Moss dan Noryn Aziz ialah antara penyanyi popular tempatan yang menempa nama pada pertandingan antarabangsa berkenaan.

Ketika ini, siri uji bakat bagi mencari wakil Malaysia ke pertandingan berkenaan giat dijalankan. Pada 14 dan 15 Februari lalu, uji bakat dilangsungkan di Johor Bahru, diikuti lokasi Pulau Pinang (21 dan 22 Februari), Kuala Lumpur (28 Februari dan 1 Mac), Kuching dan Kuantan (7 dan 8 Mac) serta Kota Kinabalu (14 dan 15 Mac).

Ketika sesi uji bakat yang dikenali sebagai Worldstars – Road to Hollywood itu diadakan di Berjaya Times Square di ibu kota, turut kelihatan beradu nasib pada acara berkenaan ialah beberapa bekas peserta rancangan realiti termasuk Bob, Sahri, Nabil dan Cicik. Penyanyi Siti Sarah dan Anis Aneesa turut tidak ketinggalan menghadiri uji bakat terbabit demi mengintai peluang berbakti kepada negara menerusi seni nyanyian.

Bob menganggap jemputan menghadiri uji bakat bagi pertandingan sebesar WCOPA tidak harus dilepaskan begitu saja.

Tidak kiralah sama ada artis yang sudah dikenali ataupun bakat baru, katanya, pertandingan sebegitu bakal memberikan pulangan yang bukan sedikit dari segi pengalaman dan pendedahan.


BOB bersama Sahri dan Nabil tidak ketinggalan menyertai uji bakat.

“Menghadiri uji bakat bagi pertandingan seperti ini harus direbut oleh semua penggiat seni. Apatah lagi apabila ia menjanjikan pendedahan bakat ke peringkat antarabangsa. Kita sendiri tidak mahu bakat yang dimiliki dipersiakan begitu saja. Lantas, jika rezeki menyebelahi, paling tidak bakat itu dapat dipertontonkan ke peringkat lebih tinggi.

“Dengan menyertai pertandingan begini juga kita berupaya mengukur kemampuan diri, serta melihat sejauh mana keupayaan kita dalam industri seni. Ia mencabar diri kita melakukan sesuatu yang mungkin pernah dilihat sebagai mustahil – iaitu bertanding pada peringkat antarabangsa!

“Sekiranya terpilih ke peringkat, tentulah ia menjadi habuan paling bermakna,” kata Bob yang ditemui sebelum menaiki pentas menyanyikan lagu My Baby You pada uji bakat berkenaan.

Bob mengaku, kejayaan penyanyi seperti Noryn dan Deja banyak memberikan dorongan untuknya turut mencuba nasib pada pertandingan itu. Keupayaan mereka merangkul kemenangan di WCOPA membuatkannya lebih bersemangat untuk mencatat kejayaan serupa.


BEKAS peserta Akademi Nasyid, Cicik, turut mencuba nasib.

“Kadangkala, wujud keadaan yang mana seseorang penyanyi kurang diterima di negara sendiri. Bagaimanapun dek bakat yang dimiliki, mereka diiktiraf juga pada peringkat antarabangsa,” katanya penuh bermakna.

Pada petang 1 Mac lalu, Bob memperdengarkan suaranya di hadapan lima juri iaitu Deja, Hans Isaac, Tengku Azura, Dayang Mariana dan Hussein Ali. Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu nyanyian, lakonan, peragaan, tarian dan permainan alat muzik intrumental.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan seninya, Bob memberitahu, sehingga kini dia sudah pun merakamkan enam lagu yang kebanyakannya dicipta komposer Sharon Paul dan Azmeer. Lagu terbabit pula dikeluarkan secara single demi single, sebelum himpunannya nanti diterbitkan pula dalam bentuk album.

Antara lagu yang sudah pun dirakam dan disiarkan radio tempatan ialah sebuah karya berjudul Armada. Kata Bob, lagu ciptaan Sharon itu dianggapnya berbaur ketuhanan.

“Sayangnya, putaran lagu itu di radio tidaklah serancak lagu Cinta Terhalang. Bagaimanapun, ia sebuah lagu yang cukup indah dan saya amat menyukai melodinya. Kali pertama saya mendengar iramanya, saya terus terpesona,” cerita Bob yang masih mencari material terbaik untuk album terbabit.

Info:

WCOPA boleh dianggap sebagai Olimpik bagi penggiat seni apabila pertandingan bertaraf antarabangsa itu mempertandingkan kategori nyanyian, main muzik instrumental, tarian, lakonan, peragaan dan bakat pelbagai.

SELEPAS 11 tahun berkembang, ia muncul satu-satunya pertandingan bakat dan peragaan antarabangsa yang diadakan di Hollywood, ibu kota hiburan dunia.

KEJOHANAN Seni Persembahan Malaysia bermula pada 2005 apabila pasukan pertama negara dipilih menyertai kejohanan dunia di sana.

PERINGKAT suku akhir peringkat Malaysia akan diadakan pada 20 – 22 Mac, separuh akhir 3 – 5 April dan peringkat akhir pada 3 Mei.

Berita Harian

Persona Linda

11 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

SAHUT CABARAN…Antara pereka fesyen yang memeriahkan Anugerah Pereka Popular ABPBH 2008 di sisi Linda Onn, finalis bagi kategori Penyampai Radio Wanita Popular.

Penyampai radio popular yang juga seorang usahawan gigih ini tidak lagi mempermudahkan kehadiran insan bernama pereka fesyen

TAHUN kedua berlangsung, Anugerah Pereka Popular beriringan kerlipan majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 terus menjadi aspirasi dan inspirasi menaikkan nama pereka fesyen tempatan yang masih hijau.

Idea menghasilkannya tahun lalu serentak dengan ABPBH 2007 dilihat mampu menjana serta menyerlahkan potensi insan kreatif ini. Buktinya, tahun ini lebih 25 orang pereka fesyen akan mengambil bahagian dan ini sekali gus menunjukkan graf peningkatan mendadak berbanding tahun lalu 18 orang.

Anugerah yang diwujud serta dicerna publisis popular, Bill Bora bersama sekretariat ABPBH ini bertujuan memberi penghargaan kepada pereka yang baru bertapak atau dianggap baru. Kerjasama pereka fesyen dan selebriti pantas terjalin, malahan peluang yang dibuka ini membuktikan dua entiti ini sebenarnya saling memerlukan.

“Acara permaidani merah dan apa sekali yang digayakan selebriti pasti dinanti-nantikan penggemar fesyen dan peminat yang sering menjadikan golongan ini sebagai perintis gaya. Melalui landasan ini juga membuktikan, dunia glamor yang menerjah ruang seni ini menggambarkan betapa kerjasama erat antara pereka fesyen dan selebriti begitu diperlukan,” kata Bill Bora lewat pertemuan dengannya selepas menjadi orang penting kepada projek ini.

Lalu, istimewa kehadiran penyampai radio Sinar FM tinggi lampai persis peragawati tersohor, Linda Onn dengan gaun labuh rona merah menjerit rekaan Bill Keith dipadankan dengan kain songket dijadikan aksesori tali pinggang seakan meraikan pereka fesyen yang terbabit untuk Pereka Fesyen Popular. Menyerlah personanya ditambah dengan pemakaian cincin, anting-anting dan gelang tangan tajaan Rafflesia The Pearl Centre, koleksi mutiara South Sea Pearls.


BILL Bora (kanan), orang penting di sebalik projek ini tekun memberi penerangan kepada pereka fesyen.

Mereka yang dimaksudkan dan hadir ketika sesi fotografi ini berlangsung ialah Hatta Dolmat, Razman Din, Azura Mazarudin, Rizman Ruzaini, Calvin Thoo, Faizal Azraf, Kent Khalil, Nurita Harith, Nik Erwan Roseli, Erwan Arsbo, Michael Shu, Hazwani, Nazreen Idris, Zery Zamry, Zack Ismail, Sya Shaharani, Khairy Sufi termasuk penyertaan pasangan kembar Puteri Azalea dan Puteri Yasmin yang memiliki butik PU3 di The Curve, Damansara.

Lagak dan pose mereka semua diibaratkan seperti model baru di dalam pencarian program American Next Top Model. Posisi Linda pula seperti Tyra Banks yang menjadi perintis program ikutan ramai itu. Bertema merah dan hitam, terserlah semangat membara mewakili warna merah dan hitam itu pula perlambangan menawan.

Ungkap Linda yang pernah mencipta kontroversi beberapa tahun dulu kerana gagal muncul di hamparan

permaidani merah di Anugerah Academy ke 79 pada 26 Februari 2007, perkataan ‘pereka fesyen’ itu cukup sinonim dengan dirinya.


Linda Onn

“Sebelum melandanya kes Linda di Los Angeles pada tahun itu, Linda sendiri tak sedar dan perasan sangat kepentingan pereka fesyen. Lagipun, Linda bukan seperti penyanyi yang perlu menukar busana setiap kali membuat persembahan. Kini persepsi Linda sudah berubah dan peranan pereka fesyen membuka mata ramai pihak.

“Linda puji usaha Berita Harian mengadakan pertandingan ini dan boleh dikatakan kehadiran pereka fesyen baru seperti cendawan tumbuh waktu pagi. Cuma, apabila persaingan semakin sengit, setiap pereka fesyen pula tampil kreatif dan tak dinafikan kerjasama mereka dengan selebriti sekali gus menaikkan nama mereka,” kata Linda yang ketika artikel ini ditulis sedang berbincang untuk menggunakan khidmat Nazreen Idris pada malam kemuncak ABPBH 2008 12 April depan.

‘Sebati dengan dunia radio’

NAMA Linda masih utuh lagi dan buktinya usahawan premis makanan My Moms Chicken Rice (MMCR) dan My Asam Pedas ini dicalonkan lagi dalam kategori Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH 2008. Ironinya, dia yang kini sedang merencana untuk membuka francais MMCR ke seluruh negeri bahkan ke luar negara, sudah lapan kali dicalonkan dalam kategori itu sejak 2001.

Enam kali mengekalkan kejuaraan untuk kategori itu sebelum dipintas pesaing terdekatnya, Fara Fauzana selama dua tahun, Linda melihat saingannya baik Fara, Nana, Leya dan Abby Fana hebat-hebat belaka. Linda yang sudah tiga bulan berhijrah ke Sinar FM ini turut memberikan contoh situasi sokongan yang diterima Fara daripada majikannya begitu jitu berbanding dirinya.

“Tidak bagi saya yang harus balik kepada asas iaitu harus bekerja keras untuk mengukuhkan label nama Linda Onn itu sendiri,” katanya ringkas sambil meninggalkan tanda tanya.

Tambahnya lagi, apa terjadi, biar ribut taufan datang melanda sekalipun, kecintaannya terhadap dunia radio masih belum terhakis.

“Dunia radio sudah cukup sebati sejak saya di bangku sekolah lagi. Ia sukar dipisahkan, malah saya tak boleh katakan, yang saya mungkin akan tinggalkan dunia ini biarpun sudah mempunyai jaminan kerja sebagai ahli perniagaan,” katanya tulus.

Mengintai kisah peribadinya, wanita kelahiran Johor Bahru ini dapat ditafsir sedang melalui fasa yang cukup membahagiakan. Selepas berakhirnya episod ‘teman tapi mesra’ bersama Fahrin Ahmad, dia dikatakan belum bertemu pengganti.

Namun, sehingga Januari lalu sewaktu dia membawa teman, seorang lelaki mat salih ketika menghadiri majlis resepsi Mawi dan Ekin di Hotel Palace Of The Golden Horses, mulalah anda yang memberi andaian lelaki itulah yang dicintainya sekarang.

“Namanya James Gibbs dan dia kawan lama yang Linda kenali sejak 10 tahun dulu. Kami berkenalan di Kuala Lumpur dan dia pernah mempunyai restoran suatu ketika dulu di sini. Dia seorang ahli perniagaan dan apa yang saya boleh katakan hubungan kami di peringkat serius sejak dua bulan lalu.

“Mengenalinya, Linda dapati, dia seorang yang lemah-lembut. Dia juga menghormati golongan wanita, setia dan benak fikirannya selalu pandang ke depan. Linda tahu ada pihak yang mempersoalkan motif tiba-tiba Linda membawanya ke majlis resepsi itu.

“Apa yang boleh Linda katakan, diri ini juga macam perempuan lain yang ada hati nak berkawan. Lagipun, tiada benda yang Linda nak selindungkan. Ada jodoh Linda dengan sesiapa sekalipun, biarlah lelaki itu baik. Insya-Allah, Linda minta jodoh dengan sesiapapun nanti berpanjangan,” katanya yang pernah merencana untuk menamatkan zaman bujang sekitar hujung tahun lalu atau awal tahun ini.

Lalu, persoalan di sini, siapa pula Hans Isaac di dalam hidup Linda. Kesempatan ini diambil Linda untuk merungkaikan gosip yang pernah timbul mengandaikan ada hubungan istimewa di antaranya dengan aktor kacak itu.

“Dia seorang kawan yang baik, malah tak keterlaluan Linda katakan dia seorang pendengar yang baik. Sewaktu berdepan dengan masalah dan perlukan teman untuk meluahkan perasaan, Linda akan bercerita dengannya.

“Kami boleh rapat dan serasi sebab bergelumang dalam bidang seni yang sama. Jika Linda menangis, dialah yang menggembirakan hati. Jangan risau, hubungan kami tak lebih daripada kawan. Linda akui pernah keluar dengannya bersama rakan-rakan lain. Tapi biasalah apabila Linda dan dia saja yang dikenali, maka diandaikan orang kami keluar berdua,” katanya yang mungkin akan mengikuti siri jelajah ABPBH 2008 di Klang. Blog Linda boleh dilayari di http://www.linda-onn.blogspot.com.

Info menarik Anugerah Pereka Popular ABPBH 2008

Puteri Azalea dan Puteri Yasmin adalah bekas adik ipar pelakon Nora Danish. Malah kembar ini akan mereka busana untuk Nora Danish bagi malam kemuncak ABPBH 2008 di Arena Of Star, Genting Highlands.

Anizam Yusof dan Shamsu Yusof turut akan menyertai pertandingan ini. Anizam akan mereka pakaian untuk Scha manakala Syamsu Yusof, Vanidah Imran.

Pereka fesyen Bill Keith, Jovian Mandagie dan Albert King turut mereka pakaian untuk beberapa orang selebriti terkemuka.

Setakat ini Calvin Thoo masih belum mempunyai senarai selebriti yang bakal melaram koleksi rekaannya.

Zack Ismail akan mereka pakaian untuk Nurul Alis atau Kiki, Razman Din (Abby Abadi dan Zul), Azura Mazarudin (Lisa Surihani, Alyah, Ainul Aishah), Rizman Ruzaini (Sariyanti dan Saerah), Faizal Azraf (Nana Era, Ayu OIAM), Kent Khalil (Abby Fana dan Ezlynn), Norita Harith (Juliana Evans), Nik Erwan Roseli (Dynas dan Mila), Erwan Arsbo (Diana Danielle dan Kenchana Dewi), Michael Shu (Adlin Aman Ramli, Nabil, Irma Hasmie, Diddy, Sharifah Shahira dan Faizal Ismail), Hazwani (Aleya dan suami), Nazreen Idris (Linda Onn, Saida dan Intan Ladyana), Zery Zamry (Elyana), Sya Shaharani (Zizie Ezette), Khairy Sufi (Amyza Adnan dan Hatta Dolmat (Siti Sarah dan Nurul Abdul Wahab).

Anugerah Pereka Popular ABPBH tahun lalu, kemenangan berpihak kepada Hatta Dolmat dan Michael Shu dibantu Lord’s Tailor masing-masing menjuarai kategori selebriti wanita dan lelaki.

Penghargaan

Solekan Linda Onn: Najeeb (012-2116962)

Lokasi: Hotel Istana

Busana Linda Onn: Bill Keith

Tiga aksesori mutiara South Sea White yang digayakan Linda Onn bernilai RM516,000.

Berita Harian

Bikin Filem Guna Handycam

5 Mar

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
BEGITU banyak dugaan dilalui Farizie Morinding sebelum berjaya menang kategori utama – Filem Pendek Terbaik pada majlis Anugerah Filem Pendek Kirana 08/09 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penat lelah Farizie itu dibayar dengan ‘harga mahal’ apabila karyanya, Odui Odu (Oh Grandma) menerima geran pengarahan filem RM100,000, wang tunai RM5,000 dan trofi.

Menceritakan pengalaman menerbitkan filem pendek itu, jelas Farizie ia dibuat tanpa peralatan lengkap tapi hanya menggunakan handycam yang dibelinya pada 2003 ketika menuntut dalam jurusan Seni Persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan harga RM1,500.

Pada handycam itulah dia meletakkan seluruh harapan dan impiannya untuk memulakan langkah dalam industri perfileman.

“Komputer pun tiada di rumah dan saya terpaksa pinjam komputer kawan. Kali pertama dia kata boleh tolong suntingkan filem itu tetapi kemudian dia lari. Saya terpaksa minta tolong kawan lain tetapi komputernya tak hidup.

“Dengan segala macam rintangan dan halangan, saya hampir berputus asa.

“Suatu ketika saya duduk di satu tempat untuk mencari kekuatan dalam diri di samping melihat kelemahan yang ada. Apabila hati kembali tenang, saya terfikir kemiskinan bukan alasan untuk mengalah.

“Saya perlu kuat dan tabah. Akhirnya suntingan Odoi Odu dapat dilakukan menggunakan komputer riba yang hanya dilengkapi perisian asas pembikinan filem. Selepas selesai membuat salinan, saya berjalan 10 kilometer untuk ke perhentian bas sebelum ke pejabat pos menghantar penyertaan menggunakan pos laju.

“Kejayaan ini amat berharga kerana ia dapat dilakukan dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.

Kemenangan malam itu paling manis buat pemuda dari Ranau, Sabah kerana Odoi Odu juga membawa pulang tiga trofi lain iaitu Lakonan Terbaik, Cerita Terbaik dan Pengarahan Terbaik.

Odoi Odu yang menggunakan bahasa Dusun mengisahkan cerita sedih seorang nenek yang dapat melihat roh suaminya.

Biarpun kerap ditohmah malah ada yang beranggapan dia gila, nenek itu sabar menempuh semua dugaan. Nenek itu hidup bertemankan kucing yang ditemuinya dalam kelaparan.

Tempat kedua dimenangi Christopher Low menerusi Mirror manakala tempat kedua, Shuhaimi Zulkefli (Aku) masing-masing menerima RM3,000 bersama trofi dan RM2,000 bersama trofi.

Christopher mengakui terkejut dengan kemenangan itu kerana Mirror adalah filem pendek pertama dihasilkan.

Katanya, banyak dugaan membuat Mirror yang menjalani penggambaran di Terengganu dan siap dalam masa sehari. Ia berkisar kepada seorang gadis yang cuba membunuh diri.

Shuhaimi pula tersepit dengan harapan orang lain terhadap dirinya apabila seorang ustazah memintanya memilih dunia atau akhirat.

“Saya bekas pelajar Sekolah Agama Arab Tinggi di Kedah. Puas saya kena ‘basuh’ dengan ustazah tetapi jiwa saya meronta untuk menceburi dunia perfileman.

“Saya juga melepaskan tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir sebaliknya memilih ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Setahun saya menjana idea membuat filem ini kerana perlu melakukan pelbagai kajian. Aku dihasilkan dengan bajet paling kecil iaitu RM4 di Langkawi.

“Saya minta bantuan orang kampung dan semua peralatan untuk membuat filem pendek ini dipinjam dari ibu saudara. Kayu digunakan sebagai tripod.

“Tidak banyak yang saya tahu mengenai pembikinan filem. Saya belajar di Aswara pun baru enam bulan dan tidak banyak yang dipelajari.

“Saya buat juga kerana minat berkobar dan untuk menjadikannya satu kenyataan, saya banyak melakukan kajian,” katanya.

Pemilihan mereka ditentukan lima juri, Pengurus Besar dan Penerbit Eksekutif Kanan, Tayangan Unggul Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai, pengarah James Lee, pelakon dan pengarah Afdlin Shauki, pengarah muda, Osman Ali dan Pengarang Kanan di sebuah universiti swasta, Wong Tuck Cheong.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah pada majlis anugerah itu berkata, geran diberi kepada pemenang pertama supaya idea asas dapat dikembangkan dan Astro akan sentiasa memberi sokongan kepada semua bakat baru itu.

Bagaimanapun jelas Zainir, perjalanan mereka masih jauh namun Astro menyediakan platform untuk mereka mengasah bakat yang ada. Untuk berjaya mereka perlu bekerja kuat.

“Bakat baru sekarang bertuah kerana mereka ada banyak ‘sistem sokongan’ tetapi sejauh mana mereka boleh pergi, bergantung kepada diri masing-masing. Mereka perlu mengambil kejayaan pengarah yang berjaya hari ini yang terlebih dulu mengharungi rintangan. Karya mereka yang menang akan disiarkan di Astro Kirana,” katanya.

Tambah Zainir, penganjuran acara itu membuktikan komitmen Astro dalam menyokong industri perfileman tempatan serta pembangunan penghasilan pengisian dengan menyediakan landasan untuk penggiat muda dan profesional menonjolkan kreativiti mereka.

“Acara tahun kedua itu menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 120 penyertaan menyaksikan peningkatan sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu.

“Astro sudah menyediakan platform ini, diharap ia dapat membawa setiap pengkarya melangkah ke dalam industri dengan lebih yakin.

“Mereka sewajarnya menggunakan ruang yang ada itu untuk mencetuskan idea lebih besar kerana industri sentiasa membantu mereka yang

bersemangat,” katanya.

Majlis anugerah itu dihoskan AC Mizal dan Sazzy Falak dan turut dimeriahkan dengan persembahan Misha Omar, Aizat, Nikki, Stacy, Meet Uncle Hussein, Bunkface, Saiful Apek dan Adam.

Ia juga meriah dengan kehadiran artis terkenal sebagai penyampai anugerah seperti Rosyam Nor, Fazura, Hans Isaac, Nasha Aziz, Rozita Che Wan, Zizan Nin dan Ning Baizura. Turut hadir, Pengarah Eksekutif Tayangan Unggul, Tengku Datuk Anuar Mussaddad.

Harian Metro

Bantu Artis, Ahli Sukan

4 Mar

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
MISI penganjuran Pertandingan Golf Amal Selebriti – Tropicana 2009 untuk membantu mengurangkan beban golongan artis dan ahli sukan tanah air yang memerlukan bantuan ketika dalam kesusahan.

Program itu anjuran Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) dengan kerjasama Kelab Golf Selebriti Malaysia akan berlangsung pada 14 Mac ini di Tropicana Golf & Country Resort.

Kira-kira 200 personaliti terkenal tanah air dijangka mengambil bahagian membabitkan pelakon, penyanyi dan ahli sukan.

Antara artis popular yang mengambil bahagian ialah M Nasir, Hattan, Datuk Rahim Razali, Hans Isaac, Nancie Foo dan Ning Baizura Manakala ahli sukan ialah Azlisham Ibrahim, Khalid Ali dan Azlan Johar.

Pengarang Kumpulan BHSB, Datuk Manja Ismail berkata, pertandingan itu untuk merancakkan lagi penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang pada 12 April nanti.

“ABPBH bukan acara hiburan semata-mata tetapi penganjuran acara berprestij ini turut menjadi platform amal. Terdahulu, ABPBH menganjurkan ABPBH 2008 Untuk Gaza dianjurkan dengan jayanya penghujung Januari lalu.

“Ramai berpendapat ABPBH hanyalah acara glamor untuk mengiktiraf sumbangan penggiat seni tetapi tahun ini, kita menggunakan nama ABPBH untuk tujuan amal.

“Kutipan yang dikumpul akan disalurkan kepada artis dan ahli sukan yang memerlukan bantuan,” katanya ketika sidang media pertandingan golf amal ini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun, Pengurus Besar Tropicana Golf & Country Resort, Herman Tan, Presiden Jomstar.Com, Datuk Shafik Rizaal Saaban dan Pengerusi Pertandingan Golf Amal Selebriti – Tropicana 2009, Tengku Datuk Anuar Mussaddad.

Sementara itu Tengku Anuar berkata, pertandingan amal ini mensasarkan kutipan RM100,000 bagi membantu artis dan ahli sukan yang memerlukan.

“Idea ini dicetuskan artis dan ahli sukan sejak sebulan lalu dan dijadikan pemangkin untuk menyerlahkan nama Kelab Golf Selebriti.

“Inisiatif mengadakan pertandingan ini daripada artis, selebriti sukan dan ahli korporat yang mencadangkan supaya diadakan aktiviti berkaitan golf bagi mengumpul dana untuk mereka yang memerlukan bantuan kewangan.

“Dana yang akan dikumpul menerusi pertandingan golf itu nanti akan disalurkan kepada artis serta ahli sukan yang memerlukan sama ada untuk bantuan perubatan atau pendidikan,” katanya.

Tambahnya lagi, pertandingan ini buat julung kalinya juga menyaksikan artis dan ahli sukan beraksi di gelanggang yang sama.

“Justeru, pihak kami menyeru golongan korporat supaya dapat sama-sama menyertai pertandingan ini sambil beramal,” katanya.

Pada pertandingan itu nanti, setiap kumpulan akan disertai wakil syarikat korporat, artis, ahli sukan dan personaliti media. Nilai tajaan ialah RM10,000, RM5,000 dan RM3,000 bagi setiap kumpulan (flight). Bagi sektor korporat yang berminat, boleh menghubungi pejabat sekretariat menerusi talian 03-22872075.

Harian Metro

Golf Amal Bantu Selebriti Seni, Sukan

27 Feb

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

BEKAS bintang bola sepak Malaysia, Khalid Ali membuat pukulan selepas majlis sidang media Pertandingan Golf Amal Selebriti – Tropicana.

Program sasar kutipan RM100,000 untuk dana perubatan, pendidikan

KESEMPITAN hidup golongan artis dan ahli sukan tempatan mendapat pembelaan apabila rakan seperjuangan mereka mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan golf amal untuk membantu selebriti seni dan sukan yang memerlukan.

Pertandingan Golf Amal Selebriti – Tropicana 2009 yang akan diadakan 14 Mac depan bertempat di Tropicana Golf & Country Resort mensasarkan kutipan sebanyak RM100,000. Buat pertama kalinya juga, artis dan ahli sukan akan beraksi di gelanggang yang sama.

Selain mengutip derma bagi membantu penyanyi, pelakon dan ahli sukan yang memerlukan, pertandingan yang mendapat tajaan Tropicana Golf & Country Resort dan Berita Harian sebagai penaung juga bertujuan menghangatkan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang bakal berlangsung pada 12 April.

Pengerusi Pertandingan, Tengku Datuk Anuar Mussaddad, berkata pertandingan golf membabitkan syarikat korporat, artis dan personaliti sukan ini adalah julung kalinya diadakan.

Katanya, idea yang dicetuskan artis dan ahli sukan sejak sebulan yang lalu dapat dijadikan pemangkin untuk menyerlahkan nama Kelab Golf Selebriti.


Nilai
tajaan ialah RM10,000, RM5,000
dan RM3,000 bagi setiap kumpulan
(flight). Bagi sektor korporat
yang berminat menyertai boleh
menghubungi pejabat sekretariat
di talian 03-22872075.
Jumaat 27 Jumaat 27 BH PILIH B6A 27 (emel) BH PILIH B23A 27 (emel)
Agenda
bantu selebriti seni, sukan
Nubhan
dan Stacy
Program
sasar kutipan
RM100,000 untuk
dana perubatan,
pendidikan
G lf
SHAFIK RIZAAL
menyampaikan
sumbangan
pertama kepada
Tengku Anuar.
DARI KIRI; Khalid
Ali, Hattan, Nancy
Foo dan Azlan
Johar turut hadir . BEKAS bintang bola sepak Malaysia, Khalid Ali membuat pukulan selepas majlis sidang media Pertandingan Golf Amal Selebriti – Tropicana
MANJA membuat
pukulan sambil
diperhatikan Hishamuddin,
Shafik Rizaal dan
Tengku Anuar.

“Inisiatif mengadakan pertandingan ini datang daripada artis dan selebriti sukan serta ahli korporat yang mencadangkan seharusnya diadakan berkaitan golf bagi mengumpul dana untuk mereka yang memerlukan. Setelah beberapa kali perkara ini dibincangkan, kami merasakan idea ini sesuatu yang baik.

“Dana yang akan dikumpul menerusi pertandingan golf itu nanti akan disalurkan kepada artis serta ahli sukan yang memerlukan sama ada untuk tujuan perubatan atau pendidikan. Selain itu pertandingan ini juga sebagai salah satu acara untuk merancakkan kehadiran ABPBH 2008 yang juga bakal berlangsung pada April depan,” katanya.

Anuar juga berkata, setakat ini senarai artis dan ahli sukan yang bakal menerima bantuan masih lagi belum disenarai pendekkan. Perkara itu hanya akan diputuskan kemudian.

Setakat ini sambutan yang diterima daripada syarikat korporat menunjukkan perkembangan baik, bagaimanapun Anuar menyeru lebih banyak syarikat korporat supaya dapat membabitkan diri dalam aktiviti amal seperti ini.

Sementara itu Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail pula berkata, ABPBH bukan acara hiburan semata-mata tetapi penganjuran ABPBH tahun ini turut menjadi platform amal. Terdahulu, ABPBH menganjurkan ABPBH 2008 Untuk Gaza yang diadakan penghujung Januari lalu.

“Ramai berpendapat ABPBH hanyalah sebuah acara glamor tetapi tahun ini, kita menggunakan nama ABPBH untuk tujuan amal. Kutipan yang berjaya dikumpul nanti akan disalurkan kepada artis dan ahli sukan yang memerlukan,” kata Manja pada sidang media baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun, Pengurus Besar Tropicana Golf & Country Resort, Herman Tan dan Presiden Jomstar.Com, Datuk Shafik Rizaal Saaban.

Pada sidang media itu juga, Shafik mengambil kesempatan menghulurkan derma pertama bernilai RM10,000 yang disampaikan kepada Manja.

Antara artis yang akan menyertai pertandingan golf amal ialah M Nasir, Hattan, Datuk Rahim Razali, Hans Isaac, Nancie Foo, Ning Baizura dan ramai lagi.

Hattan yang turut hadir pada sidang media itu berkata, dia merasa terpanggil untuk menyertai pertandingan golf amal itu kerana ingin membantu rakan seperjuangan yang memerlukan.

“Sukan golf adalah salah satu daripada sukan yang menjadi kegemaran saya. Memang sejak dulu saya kerap menyertai pertandingan golf membabitkan amal. Selain kerana cinta saya terhadap sukan ini, saya menyertai pertandingan ini kerana tujuannya yang baik ke arah membantu artis dan ahli sukan yang memerlukan,” kata Hattan.

Selain Hattan, turut hadir ialah Nancie Foo serta beberapa ahli sukan antaranya Azlisham Ibrahim, Khalid Ali, Azlan Johar serta ramai lagi.

Pada pertandingan itu nanti, setiap kumpulan akan diwakili wakil syarikat korporat, artis, ahli sukan dan personaliti media. Nilai tajaan ialah RM10,000, RM5,000 dan RM3,000 bagi setiap kumpulan (flight). Bagi sektor korporat yang berminat menyertai boleh menghubungi pejabat sekretariat di talian 03-22872075.

Berita Harian