Archive | Hazami RSS feed for this section

'Sudut Apa Saya Dikatakan Feminin?'

29 Jan

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

MENJADI selebriti bermakna banyak perkara harus dikorbankan.

Setiap gerak-geri, perlakuan mahupun penampilan diri dari hujung rambut hingga hujung kaki pastinya meraih perhatian masyarakat.

Penyanyi bersuara lantang, Deja Moss pernah dicemuh kerana penampilannya sebaik pulang dari menunaikan fardu haji kira-kira empat tahun lalu dikatakan tidak bersesuaian dengan imej seorang wanita Islam yang sudah bergelar hajah.

Kini, tempiasnya pula dirasai penyanyi berbakat besar, Fazli Zainal apabila penampilan terbarunya tampak feminin bagi seorang lelaki mendapat kritikan banyak pihak.

Perkara ini mungkin tidak dibangkitkan jika Fazli dikenali sebagai artis berimej nakal atau liar.

Namun, kerana keperibadiannya yang sopan selain pernah menjejakkan kaki ke Makkah sebanyak dua kali untuk menunaikan umrah, perubahan yang dilakukan pada penampilannya itu dianggap tidak wajar.

Pun begitu, Fazli berkata, dia tidak bermaksud menyinggung mana-mana pihak kerana perubahan yang dilakukan sekadar menuntut keinginan berfesyen.

“Saya tidak nampak dari sudut apa penampilan saya dikatakan feminin. Kalau membabit pasal isu kening, saya tidak rasa itu sebagai feminin.

“Saya punya seorang teman yang baru pulang dari Jepun dan dia memaklumkan ramai lelaki di Korea mencabut kening mereka dan cukur bulu kaki bukan kerana mahu kelihatan feminin, tetapi obses kepada penampilan.

“Apabila hal ini diperbesarkan, ada pihak pertikaikan soal halal dan haram. Saya juga tidak nafikan hukum Tuhan.

“Tetapi kalau hendak bercakap soal halal dan haram, janganlah melihat pada perkara yang kecil saja kerana banyak lagi masalah yang lebih besar harus diberi tumpuan.

“Sebagai manusia biasa, saya tidak terlepas melakukan kesilapan dan terkadang itu terpanggil melakukan percubaan. Mungkin pada saya itu perkara biasa, tetapi sensitif bagi orang luar.

“Nyatalah, dalam apa jua yang dilakukan saya tidak mampu memuaskan hati semua pihak.

Pun begitu, saya mengakui kesilapan dan mengambil segala teguran secara positif selain berusaha memperbaiki diri,” katanya.

Menyorot perkembangan seninya, pemuda berasal dari Johor yang melonjak menerusi lagu Harapan, kini bagaikan tidak sabar untuk menanti kemunculan single terbarunya, Kalbu.

Lagu ciptaan Azlan Abu Hassan itu akan dimuatkan dalam album keduanya dan Fazli mengharapkan ia mempunyai momentum yang sama atau lebih baik dari sejarah yang dilakar Harapan untuk terus mempertingkatkan kerjayanya..

“Sebagai permulaan, saya akan mengedarkan single ini kepada semua pihak stesen radio tempatan sebelum 1 Februari.

“Kalbu sebuah lagu cinta yang boleh dikaitkan dengan mereka yang bercinta atau putus cinta dan saya melihat lagu itu sesuai dengan sambutan Hari Kekasih.

“Kalau ikutkan perancangan, album kedua saya sepatutnya berada di pasaran awal tahun ini namun kerana krisis ekonomi yang berlaku sekarang ini sedikit sebanyak menjejaskan syarikat U;Quotient Records Sdn Bhd yang bertanggungjawab menerbitkan album saya.

“Seperti yang pernah saya jelaskan sebelum ini, hiburan bukanlah tumpuan atau urus niaga utama syarikat itu.

“Oleh itu, pembikinan album kedua terpaksa di tunda seketika. Bagaimanapun, kami tetap berusaha supaya ia dapat dipasarkan tahun ini,” katanya.

Lagu lain yang turut dimuatkan album album keduanya ialah Ratapan Syawal ciptaan Hazami, Suara Hati (Sharon Paul) dan Lambaian (Sharon Paul) yang turut dipilih sebagai lagu tema Tabung Darfur.

Selain komposer tempatan, dua lagu ciptaan komposer Indonesia ciptaan Tengku Shafik dengan satu daripadanya berjudul Lelaki Sempurna.

Harian Metro

Saingan Sebenar Antara MUH, Faizal Tahir: Juri

20 Jan

Rap
KEMENANGAN Meet Uncle Hussain (MUH) untuk Lagu Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) kelmarin mencipta sejarah buat majlis anugerah itu.

KEMENANGAN Meet Uncle Hussain (MUH) untuk Lagu Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) kelmarin mencipta sejarah buat majlis anugerah itu.

Mereka adalah juara berkumpulan kelima yang menang selepas Estranged pada tahun lalu, Spider (2004), Mega (1991) dan Search (1989).

Pada AJL23 kali ini, saingan sengit untuk Lagu Terbaik lebih dirasai antara MUH dengan Faizal Tahir.

Seramai lapan juri profesional yang menilai persembahan kali ini ialah komposer Helen Yap, Hashridz Hashim (Acis), Mohariz Yaakup, penyanyi Adibah Noor, Hazami, Felow Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Wan Zawawi Ibrahim, Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Saharudin Musthafa dan Ketua Juri, Azhar Abu Bakar (Azmeer).

Kata Azmeer, juri sukar membuat pilihan antara MUH dan Faizal untuk keputusan Lagu Terbaik pada AJL23. Walaupun MUH berjaya menang Lagu Terbaik dan kategori pop rock, tetapi kategori Vokal Terbaik yang dimenangi Faizal turut di saing hebat vokalis MUH, Nor Azlan Roslee atau Lan.

“Juri sepakat memilih MUH sebagai juara Lagu Terbaik kerana persembahan mereka bagus. Mereka memperjuangkan muzik yang dinilai baru dan segar di samping mempunyai vokal terbaik serta penampilan di pentas yang mantap.

“Walaupun lagu Sampai Syurga nyanyian Faizal menang tiga anugerah, tetapi markah untuk Lagu Terbaik berdasarkan susunan melodi, lirik, vokal dan persembahan terbaik. Berbanding Faizal, MUH lebih menyerlah dan layak untuk diumumkan sebagai pemenang.

“Bagi pihak juri, kami sukar membuat keputusan juara keseluruhan kerana 70 peratus persembahan penyanyi pada AJL23 ini memang bagus. Bagaimanapun, untuk kategori Vokal Terbaik, saingan sengit berlaku antara Faizal dengan Lan.

“Kedua-duanya mempunyai vokal mantap. Juri berpendapat tidak ramai penyanyi yang mempunyai kebolehan menyanyi seperti Faizal dan Lan.

“Beza markah antara mereka sebenarnya tidak berapa jauh. Namun, Faizal mempunyai kelebihan kerana apa yang kita lihat, persembahannya mampu membuat bulu roma penonton meremang dan penampilannya di pentas juga menghiburkan.

“Pada kami, jika lagu itu berjaya memukau penonton, penyanyi itu layak diumumkan sebagai pemenang Vokal Terbaik,” katanya.

Mengulas persembahan Farawahida yang dipilih memenangi kategori etnik kreatif, ia disifatkan unik kerana menyelitkan instrumen muzik erhu yang dimainkan dengan baik.

Malah, Farawahida turut membuat persembahan dengan yakin di samping penari kebudayaan Cina.

“Persembahan Farawahida bersama instrumen muzik erhu menarik perhatian juri. Kami melihat aspek lain dalam etnik kreatif seperti fusion moden yang dapat menarik perhatian penonton dianggap satu kelebihan.

“Untuk memilih pemenang, kami melihat faktor instrumen yang dimainkan secara langsung mampu memberi kelainan,” katanya.

Harian Metro

Permulaan Baik Menjadi Pengacara

19 Jan

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

PENCARIAN Gadis Melayu yang berlangsung sejak Julai tahun lalu sudahpun berakhir.

Ternyata malam gemilang peringkat akhir program realiti TV terbitan TV9 yang disiarkan secara langsung dari auditorium Dewan MajlIis Bandaraya Shah Alam itu menjadi milik finalis dari Kuantan, Pahang, Khairul Noormaidah Zali atau Aida, 23, apabila diangkat sebagai Ikon Gadis Melayu TV9.

Tuah nampaknya berpihak kepada penuntut tahun akhir jurusan komunikasi dan bahasa moden, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah ini kerana paling berketerampilan berbanding empat finalis lain.

Gadis manis ini juga berjaya meraih undian khidmat pesanan ringkas (SMS) tertinggi daripada barisan juri profesional dan penonton yang sepakat memilihnya sebagai pemenang.

Sempena kemenangannya itu, Aida berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000 serta hadiah iringan lain, manakala empat finalis lain membawa pulang wang tunai, RM1,000 setiap seorang termasuk hadiah iringan.

Pada malam yang cukup bermakna itu juga, Aida yang tampil dengan gimik berkerusi roda berjaya meraih perhatian penonton ketika membaca puisi berjudul Kasih Sayang dengan penuh perasaan dan dramatik. Dia juga mengakhiri persembahannya dengan pantun empat kerat yang indah dengan penuh tertib seorang gadis timur.

Selain tampil dengan persembahan menarik dan kreatif, Aida juga dapat memberi jawapan yang tepat dan meyakinkan penonton dan juri ketika mengupas tiga ciri penting untuk menjadi Ikon Gadis Melayu.

Bagi Aida sendiri, kehadiran ibu bapa tercinta di majlis itu banyak memberi kekuatan kepadanya untuk menampilkan yang terbaik pada persembahan peringkat akhir pertandingan itu.

“Saya juga mengambil masa tiga minggu berlatih untuk memberikan yang terbaik pada persembahan. Saya cuba untuk menangis ketika menghayati watak, tetapi saya tetap ingat pesanan keluarga bahawa wajah saya pasti nampak hodoh jika menangis di pentas,” katanya.

Apapun, kata Aida, dia mengakui gelaran sebagai Ikon Gadis Melayu TV9 itu berat untuk digalasnya.

“Saya akan berusaha memilkulnya sebaik mungkin dan menggunakan sebaik mungkin ilmu yang dipelajari dalam program ini.

Terus terang, saya menimba pengalaman cukup berharga dalam pertandingan ini. Program ini benar-benar memberikan impak yang cukup positif dalam diri saya.

“Jika sebelum ini, saya mempunyai darah gemuruh apabila di pentas, kini tidak lagi. Sebaliknya, saya berasa lebih yakin dengan kebolehan diri sendiri dan menggilap potensi sedia ada dalam diri. Mengikut perancangan saya akan membuat latihan praktikal dan bertugas sebagai wartawan penyiaran di TV9 selepas ini.

“Saya berharap gelaran ini menjadi permulaan yang baik untuk saya merealisaikan impian menjadi pengacara berjaya nanti. Jika diberi peluang, saya lebih meminati program bercorak keagamaan,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Sultanah Kedah, Tuanku Sultanah Haminah Hamidun.

Hadir sama, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Datuk Seri Mohamed Razak dan isteri, Datin Radziah Daud; Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Rangkaian Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan dan Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda.

Dua lagi finalis yang memberi saingan sengit pada Aida ialah peserta paling muda, Nurul Khusna Uma, 20, dari Kuantan, Pahang dan Nur Aishah Zainal, 27, dari Alor Gajah, Melaka.

Nurul Khusna yang juga finalis pilihan ramai ini memulakan persembahannya bermain alat muzik gamelan yang juga alat muzik tradisi negeri kelahirannya Pahang dengan diirigi kumpulan Mohram.

Penuntut berbakat ini membaca gurindam bersama seorang anggota Mohram, Ramli.

Persembahannya cukup bersemangat kerana selain bersajak dia juga bersilat.

Sayangnya, dia tidak dapat memberikan jawapan yang ringkas dan padat ketika menjawab soalan yang dikemukakan juri.

Nasib pula nampaknya tidak menyebelahi Nur Aishah yang sudah berusaha yang terbaik untuk peringkat akhir Gadis Melayu itu.

Keyakinan dirinya terserlah ketika menjayakan persembahan sebagai Puteri Hang Li Po dengan dibantu penampilan khas pelakon kacak Zally Hussain.

Selain mempunyai kelebihan bertutur dalam bahasa Mandarin, dia juga boleh menyanyi dan menari dengan baik.

Aishah yang tampil dengan imej bertudung pada peringkat akhir Gadis Melayu juga tampil dengan jawapan yang meyakinkan ketika menjawab soalan daripada juri, Stephen Rahman, tetapi nampaknya dia terpaksa akur dengan keputusan juri dan penonton yang tidak menyebelahinya pada malam itu.

Bagaimanapun, dua lagi finalis, Noor Afzan Mohd Khan, 27, dari Kota Kinabalu, Sabah dan Siti Nurashikin Mohd Noor, 22 dari Sungai Petani, Kedah sudahpun dijangka kekalahan mereka pada malam itu.

Noor Afzan, gadis tinggi lampai yang juga satu-satunya finalis tidak bertudung yang layak ke peringkat akhir program ini gementar dan teragak-agak ketika menjawab soalan berkaitan usaha memelihara warisan budaya Melayu.

Selain membaca puisi, Noor Afzan yang bertugas sebagai penolong perpustakaan juga menunjukkan kebolehannya menari tarian tradisional Sabah dengan iringan empat penari latar.

Begitu juga dengan Siti Nurashikin, finalis yang wajahnya dikatakan seiras dengan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ini.

Dia juga tidak dapat menjawab soalan dengan baik ketika ditanya juri.

Apapun, peserta paling akhir ini bijak memilih persembahan kerana memilih isu kekejaman rejim Zionis di Palestin.

Sajaknya yang berjudul Tangisan Di Gaza itu begitu hiba dengan tiupan seruling dari Mohram dan dibantu dengan penampilan finalis Akademi Nasyid TV9, Cicik. Sementara itu, ketika ditanya kriteria pemilihan juara pada malam itu, Pakar Bahasa dan Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Datuk Paduka Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim yang mewakili barisan juri pada malam itu berkata, semua lima finalis yang bertanding pada peringkat akhir itu memang menepati ciri yang dicari dalam pertandingan Gadis Melayu.

“Semua finalis tampil dengan kostum sesuai dan persembahan yang menarik bertepatan dengan konsep program Gadis Melayu. Bagaimanapun, barisan juri sepakat untuk memilih yang terbaik.

“Ternyata, Aida yang paling tepat untuk digelar Ikon Gadis Melayu yang dicari penganjur. Saya juga difahamkan penganjur (TV9), Aida juga menjadi pilihan penonton dengan meraih undian tertinggi sebanyak 14 peratus (18,000 undian),” katanya.

Empat lagi juri profesional yang menilai tugasan terakhir peserta Gadis Melayu ialah Toh Puan Seri Diraja Aini Datuk Abdullah, penceramah agama, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood, penyanyi dan penceramah motivasi Dr Fazley Yaakob dan pelakon teater berpengalaman, Stephen Rahman Hughes.

Program yang mengetengahkan Ikon Gadis Melayu Idaman ini menampilkan gandingan artis serba boleh dan menghiburkan, Adlin Aman Ramli dan Afdlin Shauki.

Tidak ketinggalan, tetamu dihiburkan dengan persembahan nyanyian dari penyanyi popular, Jamal Abdillah dan Hazami.

Harian Metro

Aida Jadi Keluarga TV9

19 Jan

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Aksi Aida melakonkan sketsa
anak melupakan keluarganya.

Juara program Gadis Melayu mengaku amanah yang digalasnya sangat berat

JANJINYA untuk memegang amanah yang diberikan sebagai Ikon Gadis Melayu bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan, namun Aida atau nama sebenarnya Khairul Noormaidah Zali, 23 yang dinobatkan sebagai Gadis Melayu pertama program terbitan TV9 ini berusaha menggalas tanggungjawab yang diberikan.

“Amanah yang diberikan itu amat berat bagi saya, namun saya akan berusaha untuk membawa gelaran Gadis Melayu ini sebaik mungkin.

“Saya akan melaksanakan amanah ini dengan sebaik-baik mungkin kerana saya tidak mahu menjadi seorang yang munafik apabila dipertanggungjawab amanah sebegini besar kepada saya,” kata gadis yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Aida yang baru saja menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) di dalam bidang komunikasi turut bersyukur kerana bukan saja gelaran yang diterima sebaik menjuarai program itu tetapi sesuatu yang istimewa diumumkan pada malam itu.

Program Gadis Melayu yang berlangsung selama lapan minggu adalah antara program realiti terbaru terbitan TV9.


Bersama ibu dan bapa yang banyak memberi sokongan.

“Alhamdulillah rezeki yang saya terima ini bukan saja menerima kejuaraan bagi program ini tetapi turut ditawar untuk menjadi sebahagian daripada keluarga TV9. Sememangnya ini adalah impian yang saya tunggu selama ini untuk terbabit di dalam bidang penyiaran.

“Saya sangat meminati bidang pengacaraan ini sejak dulu lagi dan sekiranya diberikan pilihan saya lebih berminat untuk mengendalikan program yang berunsur keagamaan.

“Ia sebenarnya bukan saya dapat memberi maklumat kepada penonton malah saya turut sama mendapat manfaat daripada program itu, sedikit sebanyak ia dapat menambah ilmu pengetahuan dan menjadi bekalan saya di akhirat,” katanya.

Sebaik diisytiharkan sebagai Ikon Gadis Melayu, Pengurus Penjenamaan & Komunikasi TV9, Noor Amy Ismail mengumumkan pada sidang media bahawa Aida turut ditawar untuk menjadi sebahagian daripada keluarga TV9.

“Setelah perbincangan dibuat, kami bersetuju untuk menawar tawaran ini kepada Aida untuk menjadi sebahagian daripada keluarga TV9.

“Bagaimanapun, Aida akan diletakkan di bahagian latihan untuk menjalani latihan seperti mana yang dilalui oleh pekerja kita yang lain.

“Buat masa permulaan ini, Aida akan menjalani latihan praktikal di bahagian wartawan penyiaran,” katanya pada sidang media sebaik saja majlis itu tamat.

Semua finalis termasuk Aida mengakui, sepanjang mengikuti program Gadis Melayu sejak Oktober tahun lalu banyak perubahan diri dapat dirasainya.

“Saya akui sehingga kini banyak perubahan positif yang dapat saya rasai, antaranya keyakinan saya semakin bertambah, walaupun sesekali darah gemuruh apabila berhadapan dengan orang ramai namun semuanya dapat diatasi dengan tenang sekali.

“Impaknya sangat besar bagi saya, ini adalah objektif yang cuba ditonjolkan oleh TV9 dan saya merasakan objektifnya tercapai,” katanya.

Selain Aida empat gadis Melayu yang bertanding seperti Noor Afzan Mohd Afzul Khan atau Afzan (Kota Kinabalu, Sabah), Siti Nurashikin Mohd Noor atau Shikin (Sungai Petani, Kedah), Nurul Khusna Uma atau Khusna (Kuantan, Pahang) dan Nur Aishah Zainal atau Aishah (Melaka).

Semua peserta diadili juri profesional dalam bidang masing-masing yang terdiri daripada Toh Puan Noor Aini Datuk Abdullah, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood, Dr Fazley Yaacob dan Stephen Rahman Hughes.

Setiap peserta diwajibkan untuk menunjukkan bakat masing-masing menerusi kebolehan yang dipelajari sepanjang mengikuti program ini.

Kesemua finalis berusaha untuk mengaplikasikan segala pengalaman dan tunjuk ajar dalam menghadapi cabaran terbesar pada malam kemuncak ini dengan membuat persembahan.

Persembahan dimulai Afzan yang mendeklamasi sajak serta diselangi dengan tarian tradisional Sabah, Daling-Daling. Afzan juga turut dibantu pelakon profesional Razali Husin dalam sketsa pendek.

Persembahan seterusnya dilakukan oleh Aishah yang dimulai dengan lakonan Puteri Hang Li Po, tarian dan nyanyian berjudul Tarian Tualang Tiga.

Khusna memulakan persembahan dengan paluan bonang daripada salah satu alatan muzik gamelan. Khusna turut mendapat bantuan daripada Mohram mengiringi gurindam, puisi dan silat dalam persembahan yang sangat sempurna.

Diteruskan dengan juara Gadis Melayu, Aida membuka persembahan dengan lakonan yang sangat berkesan sehingga mampu menitiskan air mata. Aida yang melakonkan watak anak derhaka disudahi dengan nyanyian puisi gandingan bersama Akbar.

Persembahan terakhir diambil alih oleh Shikin yang mengambil topik paling hangat diperkatakan dunia sekarang mengenai kekejaman Zionis. Topik dan persembahan yang dimulai dengan lakonan yang dibantu oleh Cicik dan sajak turut mendapat pujian daripada juri termasuk dua pengacara iaitu Afdlin Shauki dan Adlin Aman Ramlee.

Cabaran terakhir buat lima peserta ini akan dinilai oleh lima juri profesional yang terdiri daripada Toh Puan Noor Aini Datuk Abdullah, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood, Dr Fazley Yaacob dan Stephen Rahman Hughes mengemukakan satu soalan dan harus dijawab peserta dengan lancar dan yakin.

Di sinilah keyakinan diri memainkan peranan penting untuk tampil lebih yakin dan petah berbicara secara spontan utuk menambat hati juri dan pengundi.

Sebelum pengacara mengumumkan keputusan, Gadis Melayu yang disiarkan secara langsung menerusi TV9 dari Auditorium Majlis Perbandaran Shah Alam, Hazami menyampaikan sebuah lagu berjudul dan Katakanlah dan disudahi dengan persembahan kemuncak daripada Jamal Abdillah menerusi Gadis Melayu.

Aida menerima wang tunai RM10,000, trofi serta barang iringan disampaikan Sultanah Kedah, Tuanku Hamimah Hamidun. Sementara empat peserta lain menerima saguhati RM1,000 dan barangan iringan.

Hadir sama Pengerusi Media Prima, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda.

Berita Harian

Terlalu Fokus Hilang Tumpuan

17 Jan

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
JIKA persembahan pada minggu ketujuh disifatkan kurang menyerlah, sebaliknya persembahan peserta program realiti My Starz LG minggu lalu pula menyaksikan ada peningkatan. Biarpun kali ini mencatat perkembangan positif, penyingkiran tetap dilakukan. Peserta dari Kuching, Sarawak iaitu Fiona John Nolly terpaksa melupakan hasrat untuk ke saingan seterusnya apabila dia disingkir.

Akui Fiona, sejak selepas persembahan minggu ketujuh, dia berasakan giliran untuk disingkir kerana kurang yakin pada persembahan. Katanya, ketika menyanyikan lagu Atas Nama Cinta yang dipopularkan Rossa, penghayatannya tidak sampai hingga menjejaskan tumpuan.

“Saya tidak nafikan persembahan ketika itu disifatkan berbahaya. Seperti kata juri jemputan iaitu Adnan Abu Hassan sebelum ini, saya nampak gementar dalam membuat persembahan itu. Mungkin akibat terlalu fokus pada lagu, persembahan saya pula hilang tumpuan.

“Walaupun saya kecewa tersingkir tetapi saya berpuas hati kerana sampai ke tahap ini. Sepanjang berada dalam program ini, banyak perkara yang saya belajar seperti teknik vokal dan pernafasan.

“Buat masa ini, saya tidak mempunyai apa-apa perancangan nyanyian cuma jika ada rezeki dan tawaran menarik, saya akan pertimbangkan. Saya berhasrat mendalami bidang nyanyian. Program ini menjadi platform untuk saya pergi jauh dalam nyanyian. Mana tahu, mungkin saya berpeluang mengasah bakat dalam lakonan selepas ini,” katanya.

Fiona, 22, yang menjadikan Datuk Siti Nurhaliza sebagai idola, mahu serius dalam bidang nyanyian. Sebelum menyertai program ini, dia pernah menimba pengalaman menyanyi di majlis kahwin.

Bagi saingan minggu kelapan, tujuh peserta yang masih bertahan diberi cabaran untuk menyanyi lagu yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) sebelum ini. Persembahan ini sebagai mengembalikan nostalgia lagu terbaik pada AJL dan menyemarakkan AJL ke-23 yang akan berlangsung malam esok.

Untuk persembahan kali ini, dua juri tetap iaitu penyanyi Hattan dan Liza Hanim termasuk juri jemputan, Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh dipertanggungjawabkan mengadili peserta.

Mohd Farouk Jayfiena Ermand atau Feroq tampil membuat persembahan pertama menerusi lagu Hazami, Kata. Persembahannya mendapat pujian Hattan yang berpendapat keyakinan peserta ini makin bertambah hingga vokal memikat juri. Liza turut menyukai penghayatan peserta ini. Bagaimanapun, Adam menyentuh soal imej peserta ini yang tidak menampakkan ciri-ciri seorang bintang.

Feroq mengungguli kedudukan peserta lain menerusi keputusan 30 peratus undian SMS penonton sejak beberapa minggu lalu, menganggap kelebihan itu sebagai dorongan semangat kepadanya lebih bekerja keras untuk persembahan seterusnya.

Katanya, keyakinan dalam diri bertambah apabila membuat persembahan dari minggu ke minggu. Untuk konsert kelapan, dia berpuas hati dengan persembahan sendiri tetapi masih berharap memperbaiki mutu persembahan selepas ini.

“Saya belum memikirkan strategi apa yang perlu dilakukan untuk persembahan akan datang. Namun, saya berusaha memperbaiki vokal saya yang mempunyai masalah untuk nada rendah. Saya berkesempatan bertemu Hazami sebelum persembahan tadi dan katanya, menyanyi perlu lepaskan vokal dengan berani.

“Apapun, keyakinan saya makin bertambah. Soal pakaian, sebenarnya program ini mempunyai perunding yang menetapkan gaya setiap peserta. Mungkin selepas ini, saya akan beri idea sendiri untuk memilih pakaian yang sesuai.

“Bagaimanapun, saya terima komen juri dengan terbuka. Saya akui belum temui faktor X dan perlu lipat gandakan usaha serta latihan,” katanya.

Bagi Wan Nashrinie Zafri atau Nashrin, persembahan menerusi lagu Relaku Pujuk nyanyian asal kumpulan Spider berjaya memikat hati juri malam itu. Hattan dan Liza memberi komen dia mempunyai penghayatan yang bagus manakala Adam pula menilai penyanyi bukan sekadar menjual suara tetapi secara pakej mencakupi imej perlu diberikan perhatian.

Nashrin, 19, berkata persembahan tidak hanya memberi kepuasan kepada juri tetapi penonton. Peserta juga perlu membuat persediaan secukupnya untuk berhadapan dengan cabaran pada minggu seterusnya.

“Semakin menghampiri peringkat akhir, cabaran dan debaran juga bertambah. Saya berpendapat peserta perlu lebih bersedia andai diberi cabaran menyanyikan lagu daripada genre muzik berbeza. Komen juri saya anggap sebagai bonus untuk tingkat keyakinan diri.

“Namun, apabila juri memberi pujian, mereka meletakkan harapan yang tinggi untuk saya membuat persembahan lebih baik. Walaupun permulaan persembahan saya ini agak gugup tetapi saya dapat mengawalnya selepas itu,” katanya.

Pada malam itu, persembahan Norshamimi Ahmad Haris atau Mimie juga menerima komen positif juri. Dia yang menyampaikan lagu popular Adibah Noor, Terlalu Istimewa, dikritik mempunyai penghayatan yang baik tetapi terlalu berhati-hati. Walaupun Liza menyukai persembahan Mimie tetapi Adam berpandangan nyanyian masih boleh diperbaiki selain mengenakan pakaian yang lebih sesuai.

Bagaimanapun, rezeki untuk menang hadiah mingguan berupa sistem teater rumah tajaan LG memihak pada Mohd Hairi Kenneith atau Hairi. Dia yang menyampaikan lagu popular Wings, Sejati ditegur Hattan mengenai soal pitching atau pengawalan nada tinggi dan rendah tetapi persembahannya menunjukkan peningkatan. Liza turut memuji penghayatan Hairi pada lagu dengan baik manakala Adam berkata vokal Hairi menampakkan dia adalah bintang dalam ciptaan.

Persembahan Noriezuana Syed Shafudin atau Wana menerusi lagu Aishah, Janji Manismu pula tidak kurang hebat hingga menyentuh perasaan juri dan penonton. Kata Adam, Wana persis bintang bergemerlapan tetapi Hattan dan Liza menegur soal pengawalan vokal khusus pada chorus yang perlu diperbaiki.

Peserta Cassandra Daniel Manja atau Cassie, 23, dinilai Hattan dan Adam masih mempunyai kelemahan pada aspek vokal walaupun kata Liza, dia mempunyai pakej pada bakat dan paras rupa. Cassie mempersembahkan lagu Seandainya Masih Ada Cinta mengakui dia belum berada di tahap selesa apabila mendapat undian SMS terendah.

“Saya berusaha memperbaiki vokal seperti diperkatakan juri. Walaupun saya lebih suka lagu balada tetapi pemilihan lagu yang tepat memberikan pengaruh pada persembahan.

“Untuk persembahan kali ini, saya berpuas hati dan sudah berikan yang terbaik. Saya tahu kekuatan vokal saya pada tahap mana tetapi tidak terfikir untuk memilih lagu yang hanya membuatkan selamat daripada kritikan juri.

“Pada saya, memilih lagu sendiri untuk persembahan lebih memberi keselesaan pada peserta. Malah, penghayatan juga mendalam. Selepas ini, saya mahu memberi tumpuan nyanyian dan tarian agar persembahan lebih menghiburkan,” katanya.

Sungguhpun peserta Mohd Azri Abdullah atau Azri yang menyanyikan lagu Joget Angan Tak Sudah kelihatan ceria dalam persembahan tetapi komen juri sebaliknya. Hattan berpandangan mutu persembahan Azri kali ini gagal manakala Liza memberi nasihat agar dia memperbaiki kekurangan pada persembahan. Adam berpendapat lagu itu seperti tidak sesuai dengan suaranya, begitu juga dengan imej lebih sopan jika memakai baju Melayu untuk disesuaikan dengan konsep lagu.

Harian Metro

Persembahan Semakin Memuaskan

14 Jan

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

DARI kiri, Wana, Azri, Nashrin dan Hairi.

Peserta mula mempamerkan peningkatan selepas My Starz LG masuk minggu ketujuh

HANYA tinggal lima minggu saja lagi program My Starz LG musim kedua akan menemui bintang yang dicari-cari selama ini. Sepanjang minggu disiarkan, peserta seakan-akan sudah lali dengan kritikan juri yang menganggap kesemua peserta masih lemah.

Di atas kritikan minggu demi minggu jugalah, tujuh peserta yang membuat persembahan pada minggu kelapan ini dilihat semakin menemui apa yang diharapkan juri.

Semua peserta yang membuat persembahan seperti Feroq, Mimie, Hairi, Wana, Nashrin, Cassie dan Azri akhirnya mendapat pujian daripada juri yang terdiri daripada Hattan, Liza Hanim dan juri jemputan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh.

Feroq yang membuka persembahan menerusi lagu Kata nyanyian asal Hazami mendapat pujian daripada Hattan dengan menyatakan dia suka persembahan yang meyakinkan dan suara yang matang.

Bagi Liza, Feroq dilihat seronok dengan persembahannya dan tidak menampakkan dia kekok dengan lagu yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu ke 20 bagi kategori Pop Rock.


JURI yang mengadili persembahan peserta My Starz LG musim
kedua terdiri daripada Hattan, Liza Hanim dan Adam Salleh.

Adam pula yang menyentuh menerusi aspek penampilan menganggap Feroq tidak seperti bintang disebabkan penampilannya yang kurang menyerlah jika dibandingkan dengan penari yang mengiringinya.

Bagi Mimie, semua juri memuji persembahan menerusi lagu Terlalu Teristimewa nyanyian asal Adibah Noor mencapai penghayatan yang diharapkan mereka. Namun Hattan menganggap Mimie dilihat terlalu berhati-hati dengan persembahannya.

Hairi yang mendapat persembahan terbaik pada malam itu menerusi lagu Sejati nyanyian Wings turut menerima pujian daripada tiga juri profesional.

“Selepas tujuh minggu berlalu, inilah persembahan yang terbaik pernah awak persembahkan. Penghayatan awak sangat baik malam ini,” kata Hattan.


NAS dan Anne mengumumkan Fiona peserta
kelima tersingkir sebelum persembahan bermula.

Bagi Liza pula, Hairi melakukan persembahan yang bersih dan mencapai penghayatan yang diharapkan.

Adam yang masih menyentuh mengenai penampilan menganggap Hairi tidak menunjukkan seperti bintang dari segi penampilan tetapi vokal menyamai seorang bintang profesional.

Wana yang menyanyikan lagu Janji Manismu nyanyian asal Aishah juga menerima pujian sama daripada juri. Bagi Hattan dan Liza, Wana memulakan persembahan yang sangat baik tetapi terlalu berhati-hati apabila memasuki korus.

Bagi Adam pula, nyanyian Wana menyentuh perasaannya dan memperlihatkan seperti persis bintang bergemerlapan.

Begitu juga dengan tiga lagi peserta, Nashrin yang menyanyikan lagi Relaku Pujuk, Cassie (Seandainya Masih Ada Cinta) dan Azri (Joget Angan Tak Sudah) menerima pujian kesemua juri profesional.

Puas hati walaupun tersingkir

Sementara itu, sebelum kesemua peserta membuat persiapan, pengacara yang dihoskan oleh Nas dan Anne terlebih dulu mengumumkan peserta yang tersingkir selepas mengambil kira persembahan mereka pada minggu ke tujuh.

Fiona yang diumumkan peserta ke lima tersingkir seperti sudah menyangka menerima nasib sama seperti mana rakan-rakannya yang lain seperti Jassica, Gzell, AG dan Elaine.

“Saya seperti sudah menyangka akan tersingkir pada malam ini kerana juri Adnan Abu Hassan banyak menegur nyanyian saya. Saya akui memang saya membuat persembahan pada minggu lalu di dalam keadaan yang merbahaya kepada diri saya sendiri.

“Saya juga dapat rasakan nyanyian saya memang tidak sampai, tidak menampakkan keyakinan dan terlalu kaku apabila berada diatas pentas.

“Mungkin juga saya terlalu memberi tumpuan kepada nyanyian menyebabkan saya gagal akhirnya,” katanya yang menyanyikan lagu Atas Nama Cinta.

Biarpun gagal melayakkan ke peringkat akhir, namun Fiona yang berasal dari Kuching, Sarawak masih menaruh harapan untuk berada di dalam industri ini.

“Sepanjang berada di sini, saya banyak belajar bagaimana untuk menyanyi. Jika sebelum ini saya hanya menyanyi saja tanpa mengetahui apakah teknik yang sepatutnya, kini saya sudah tahu.

“Saya juga tidak mahu mensia-siakan apa yang saya sudah belajar hingga hari ini dan akan meneruskan sekiranya masih ada peluang saya di luar nanti.

“Saya juga tidak perlu rasa malu untuk memasuki mana-mana pertandingan realiti selepas ini dan menjadikan pengalaman lalu sebagai panduan untuk saya terus mara di dalam industri ini,” katanya.

Berita Harian

Artis Malaysia Cemerlang Di Luar Negara

27 Dec

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
MENYOROTI kejayaan sepanjang tahun ini, persada hiburan tempatan masih menunjukkan peningkatan pada pencapaian anugerah artis tempatan walaupun pasaran muzik belum menunjukkan perubahan positif pada jualan album. Berbeza dengan muzik, filem tempatan terus rancak ditayangkan di pawagam.

Tahun ini sebanyak 26 filem tempatan menemui penonton bermula dengan filem Jarum Halus arahan Mark Tan sekadar mencatat pulangan RM8,197 diikuti Kala Malam Bulan Mengambang (RM554,000), Cuci (RM2.04 juta), Dunia Baru The Movie (RM2.29 juta), Anak (RM1.2 juta) hingga terbaru Cicakman 2: Planet Hitam sebanyak RM2.7 juta. Bersama Cicakman 2: Planet Hitam yang masih ditayangkan, filem baru arahan James Lee, Histeria mula menemui penonton pada 18 Disember lalu manakala Brainscan: Aku & Topi Ajaib arahan Ahmad Idham pada 25 Disember lalu.

Melihat pencapaian bidang hiburan secara terperinci, tiga bidang dijadikan contoh terbaik untuk mengukur kecemerlangan iaitu pencapaian artis di peringkat antarabangsa, majlis anugerah dan pengiktirafan darjah kebesaran daripada kerajaan.

Naib juara program realiti One In A Million musim kedua, Nurshahila Amir Amzah atau Shila mencatat sejarah selepas memenangi anugerah emas pada Penang Shanghai World Star Quest (PSWSQ) yang diadakan di Pulau Pinang, hujung April lalu.

Shila, 18, yang menyampaikan lagu Memori Tercipta dinilai tujuh juri profesional.

Bermula dari situ, Shila menerima lamaran produksi antarabangsa, Disney Channel untuk merakam lagu dan video klip duet bersama pelakon popular Hannah Montana, Miley Cyrus.

Penyanyi Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila, 24, pula merakam kenangan manis menerusi penyertaan di Festival Melodi Emas Asean 2008 yang berlangsung di Bandaraya Ho Chin Minh, Vietnam selama lima hari bermula 16 Oktober lalu.

Menerusi pertandingan itu, Dia mengungguli juara kategori pop dengan membawakan lagu I’m Telling You yang pernah dipopularkan Jennifer Hudson dalam filem Dream Girls.

Dia juga berjaya mendapat tempat kedua kategori tradisional untuk Joget Kenangan Manis yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad.

Penyertaan kali keempat pada Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-12 yang berlangsung 17

hingga 29 Julai lalu di Los Angeles, Amerika, sekali lagi mencatatkan kenangan manis buat delegasi negara.

Dari penyertaan 39 kategori dan bersaing dengan 41 negara dari seluruh dunia, delegasi negara meraih 27 pingat emas, tujuh perak, dua gangsa dan 15 gelaran Champions Of The World.

Dua penyanyi tempatan, Norazmahwati Abd Aziz atau Noryn Aziz dan Ikhwal Hafiz Ismail (Iqwal) berjaya di peringkat antarabangsa.

Noryn meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gelaran Champions Of The World manakala Iqwal mendapat empat emas dan satu perak.

Atas tiket kemenangan di WCOPA, Noryn dan Iqwal dijemput penganjur menyertai Pertandingan Anugerah Bakat Baru yang diadakan selama empat hari bermula 7 Ogos lalu. Namun, rezeki memihak pada Iqwal yag menang pada pertandingan kedua itu.

Iqwal berjaya mengalahkan lebih 2,000 penyanyi yang menyertai pertandingan itu sebelum enam penyanyi layak ke peringkat akhir.

Untuk majlis anugerah, Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) membuka tirai pada tahun ini sebaik diadakan pada 27 Januari lalu di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mempertandingkan tiga kategori iaitu pop rock, balada dan etnik kreatif, AJL 22 kali ini mengumumkan lagu Itu Kamu nyanyian kumpulan Estranged sebagai juara lagu. Sebelum itu, mereka menang kategori pop rock manakala balada dimenangi lagu Izinku Pergi yang disampaikan Sahri menggantikan penyanyi asal, Kaer Azami.

Kategori Etnik Kreatif memihak pada Nora yang menyanyikan lagu Samudera.

Penyanyi popular Asmawi Ani atau Mawi yang mempertaruhkan lagu Angan Dan Sedar tetap menang anugerah persembahan terbaik. Mawi juga mengulangi kejayaan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) yang diadakan dua bulan selepas itu.

Buat kali ketiga berturut-turut, Mawi mempertahankan gelaran Artis Paling Popular pilihan peminat yang mengundinya menerusi borang undian.

Mawi berjaya mengenepikan pemenang sebelum ini, Datuk Siti Nurhaliza. ABPBH 2007 yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Mac lalu menjadi anugerah berprestij yang mengiktiraf artis tempatan berdasarkan keputusan undian peminat.

Mawi yang melangsungkan pernikahan dengan Norashikin Rahmat (Ekin) pada 20 Disember lalu mengalahkan Anuar Zain, Hazami, Adam dan Faizal Tahir untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Siti juga mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular yang dimenangi sejak 1996.

Kejutan pada malam itu memihak pada Dynaz yang meraih Anugerah Pelakon TV Wanita Popular manakala kategori lelaki menjadi milik Rosyam Nor.

Untuk ABPBH 2007 edisi ke-21 ini, tidak lupa mengiktiraf komposer M Nasir sebagai penerima Anugerah Khas Pencapaian Seumur Hidup.

Dua penyampai Hot FM iaitu Faizal Ismail dan Fara Fauzana digandingkan memenangi anugerah Penyampai Radio Popular.

Fara juga membawa pulang anugerah Pengacara TV Wanita Popular manakala kategori lelaki dimenangi Aznil Nawawi.

Majlis Anugerah Planet Muzik 2008 pada 20 April pula menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah mencipta sejarah dengan kemenangan lapan anugerah dari 12 anugerah yang dipertandingkan.

Penyanyi popular, Siti Nurhaliza membuktikan kecemerlangan mempertahankan anugerah Penyanyi Wanita Paling Popular untuk kali kelapan berturut-turut meskipun tewas pada Krisdayanti untuk kategori Artis Wanita Terbaik.

Kejayaan manis artis tempatan turut dicatatkan menerusi KRU memenangi anugerah Cipta Planet Muzik, kumpulan Search (Anugerah Khas Planet Muzik), Anuar Zain (Artis Lelaki Terbaik), Farah Asyikin (Artis Wanita Baru Terbaik), Meet Uncle Hussain (Duo/Kumpulan Baru Terbaik) dan Estranged untuk Duo/Kumpulan Paling Popular dan Lagu Paling Popular menerusi Itu Kamu.

Penyanyi yang pernah mencipta kontroversi membuka baju dalam satu konsert, Faizal Tahir bangkit dari penggantungan tiga bulan apabila berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular.

Faizal Tahir sekali lagi mencuri perhatian khalayak selepas menang besar pada Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) yang dipertandingkan pada 3 Mei lalu.

Faizal yang tercalon menerusi album Aku.Muzik.Kamu berjaya meraih empat anugerah iaitu Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Lelaki, Artis Baru Terbaik dan Album Rock Terbaik.

Siti Nurhaliza pula yang tampil dengan album Hadiah Daripada Hati memenangi dua anugerah untuk Album Pop Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik kategori bahasa Malaysia.

Anugerah Lagu Terbaik untuk AIM15 menjadi milik Kaer Azami untuk lagu Izinku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan.

Pada 2 Ogos lalu, Malaysia diberi penghormatan sebagai tuan rumah Anugerah MTV Asia 2008 yang dilangsungkan dari Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang. Hanya satu anugerah dibawa pulang iaitu Artis Pilihan Malaysia yang dimenangi Nicholas Teo yang turut popular di Taiwan.

Nicholas berjaya mengenepi pemenang dulu iaitu Mawi yang pernah menang dua tahun lalu dan Siti Nurhaliza untuk empat tahun berturut-turut sejak 2002. Ternyata kemenangan Nicholas bukan hanya kejutan pada Mawi dan Siti tetapi calon lain seperti Faizal Tahir dan Pop Shuvit.

Bagi karyawan filem pula, Mamat Khalid mencipta sejarah pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 9 Ogos lalu menerusi filem berkonsepkan hitam putih, Kala Malam Bulan Mengambang.

Filem arahan Mamat itu menang lima anugerah iaitu Pengarah Filem Terbaik, Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Rosyam Nor), Penataan Seni Terbaik (Nazrul Ashraff) dan Pereka Kostum/Busana (Nasirah Ramlan).

Pengarah Yasmin Ahmad yang pernah mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Juri pada Anugerah Skrin 2008 yang diadakan pada 7 November lalu.

Yasmin sebelum ini dikenali menerusi filem Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan iklan Petronas di TV.

Anugerah Oskar 7 yang berlangsung pada 15 November lalu menyaksikan Shuhaimi Baba menguasai lima anugerah. Selain anugerah Direktor Filem 2008 Pilihan Juri yang dimenangi untuk tiga tahun berturut-turut, filem arahannya 1957: Hati Malaya berjaya meraih anugerah Aktor Filem 2008 Pilihan Juri menerusi Kamarulzaman Taib, Art Direktor Filem 2008, Sinematografi Filem 2008 dan Melodi Filem 2008 Pilihan Juri (lagu Hati

nyanyian Siti Nurhaliza).

Menutup tirai majlis anugerah tahun ini adalah Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (Kliff2008) yang adakan pada 29 November lalu. Ternyata penganjuran kali kedua ini terus meraih perhatian karyawan antarabangsa apabila Malaysia sebagai tuan rumah.

Sebanyak 191 penyertaan filem cereka diterima dari lima benua, tetapi hanya 22 filem bertanding untuk merebut 16 kategori anugerah.

Wakil tunggal negara, filem Wayang arahan Profesor Hatta Azad Khan hanya memenangi Anugerah Khas Juri manakala karya Saw Tiong Guan bertajuk, G16 G17 mengungguli kategori filem pendek mengatasi saingan enam peserta dari Iran, Australia dan Sepanyol.

Tahun ini, bidang hiburan juga berbangga dengan artis tempatan yang menerima darjah kebesaran daripada kerajaan.

Antara penerima tahun ini adalah Datuk Sheila Majid, Datuk Shuhaimi Baba dan David Arumugam.

Perjuangan seni ratu jazz, Sheila selama 23 tahun lalu dihargai apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Ke-78 pada 24 Oktober lalu.

Sheila, 43, juga adalah isteri pada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hashridz Murshim Hassim atau Acis.

Dalam bercerita soal artis tempatan terima darjah kebesaran, bidang hiburan kecoh seketika selepas aktor Bollywood, Shah Rukh Khan menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakub pada penghujung bulan lalu.

Bagaimanapun, pengarah filem terkenal, Shuhaimi menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) membawa gelaran Datin Paduka.

Shuhaimi, 58, yang pernah mengarah filem Pontianak Harum Sundal Malam antara 95 penerima darjah dan pingat kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraa
n ke-63 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 10 Disember lalu.

Terbaru, pada 18 Disember lalu, anggota kumpulan Alleycats, David Arumugam atau nama sebenar Thiagarajan K R Arumugam menerima pingat Johan Setia Mahkota (JSM) dari Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Harian Metro