Archive | Hetty Sarlene RSS feed for this section

"Kesilapan Besar Saya"

12 Feb

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

SUDAH lama tidak mendengar cerita tentang gadis genit kelahiran Singapura, Hetty Sarlene.Kali terakhir kelibatnya dilihat adalah ketika dia muncul dalam filem Evolusi KL Drift pada awal tahun lalu.

Namun, selain muncul dengan imej baru dengan tubuh yang agak langsing dan imej urban, dalam diam ada cerita panas yang tiba-tiba meledakkan nama Hetty apabila foto-foto percutiannya bersama kekasih hati disebarkan di Internet.

Jika setakat gambar percutian ia bukanlah satu isu yang besar tetapi gambar yang diambil di atas katil bersama kekasih hati bukannya isu biasa dan telah membuat banyak pihak tersentak.

Hetty yang ditemubual Kosmo! baru-baru ini, mengakui dirinya sudah terlalu penat untuk menceritakan kisah sebenar di sebalik gambar percutian di Bangkok pada awal tahun lalu itu.


SERBA baru. Hetty kini lebih langsing dan seksi.

Namun, kerana memikirkan status selebriti yang dipikulnya, mahu tidak mahu dia terpaksa menjelaskan mengenai perkara itu.

Menurut gadis yang berusia 25 tahun itu, gambar tersebut diambil ketika dia bersama keluarganya, keluarga kekasihnya dan beberapa rakan bercuti di Bangkok, dan gambar yang mencetuskan kontroversi itu diambil oleh adik kenalannya.

“Saya bukannya pergi bercuti berdua sebaliknya bersama keluarga, dan gambar itu diambil untuk suka-suka. Tanpa sedar apabila ia dimasukkan ke laman web sosial di Internet, ada pihak mengambilnya dan mula menyebarkan cerita yang bukan-bukan.

“Itulah, kadangkala saya terlupa yang saya ini artis, apa jua yang dilakukan pasti akan jadi tumpuan dan apabila gambar itu menjadi kontroversi saya terpaksa terang satu persatu kepada setiap orang yang bertanyakan hal itu,” beritahunya lagi.

Tambahnya, sejak peristiwa itu, dia kini lebih berhati-hati dan mengaku sudah serik untuk meletakkan gambarnya di laman web sosial, katanya, takut pisang berbuah dua kali.

“Biasalah saya macam orang lain juga, ada laman web sosial, dan letak gambar bersama rakan-rakan di Internet, tidak sangka pula jadi macam ini.

“Memang saya serik, dan ia memang satu kesilapan besar. Satu pengajaran yang saya dapat, selepas ini ambil gambar simpan sendiri sajalah,” katanya dalam nada tawa.

Walaupun Hetty kelihatan sepi seketika selepas kontroversi itu, ia sebenarnya langsung tidak menjejaskan periuk nasinya sebagai anak seni.

Sebaliknya, dalam diam penyanyi yang pernah popular dengan lagu Sangsi Asmara ini, pulang buat sementara waktu ke Singapura dan terlibat dengan beberapa penggambaran drama untuk siaran televisyen di sana.

Telan pil kurus

Penampilan Hetty kini jauh berbeza dengan penampilannya sebelum ini. Mana tidaknya, berat badannya telah turun sehingga 42 kilogram berbanding 52 kilogram sebelum ini.

Perubahan drastik itu dilakukan Hetty bukan kerana takut kehilangan populariti atau takut tidak mendapat tawaran lakonan tetapi kerana inisiatif dirinya sendiri.

“Badan saya jenis cepat naik, sebab itu saya kena berdiet. Saya tidak ingat sejak bila berdiet kerana saya diet bila rasa badan naik, jika tidak macam biasa saja pemakanan saya,” ujarnya.

Hetty mengakui ketika di awal kemunculannya dalam persada seni Malaysia, sewaktu berumur 20 tahun, dia pernah mengambil pil pelangsing atau pil kurus sebagai langkah untuk mengurangkan berat badannya dengan cepat.

Bagaimanapun, setelah menerima nasihat daripada orang sekelilingnya tentang kesan sampingan dan pelbagai risiko penyakit berbahaya, Hetty terus menghentikan pengambilan pil itu.


NAIF. Wajah dan penampilan ayu Hetty pada tahun 2007.

“Masa dulu, saya budak-budak lagi, bila tengok orang kurus, mula rasa diri saya gemuk sebab itu saya ambil pil kononnya boleh kurus cepat, tetapi tidak ada kesan langsung ke atas saya.

“Sekarang, saya diet dengan cara yang betul, kurangkan ambil nasi, banyakkan senaman dan mengikut panduan daripada doktor,” katanya.

Meskipun begitu, doktor telah menasihatkannya untuk menambah berat badannya kerana terlalu kurus untuk ketinggiannya yang setinggi 1.58 sentimeter.

“Mungkin berat badan tidak seimbang, saya demam teruk dan doktor suruh tambah berat badan, kalau boleh sampai 46 kilogram, lepas itu saya nak kekalkannya.

“Bukan apa, kalau gemuk nanti banyak baju tidak boleh pakai dan dalam TV pun tidaklah nampak besar sangat,” jelasnya lagi.

Apa pun, Hetty tetap bersyukur kerana sehingga kini dia masih lagi sibuk menerima tawaran lakonan dan nyanyian dan berharap selepas ini tidak ada lagi kontroversi yang dikaitkan dengan dirinya.

Kosmo

Gaya Kasar Scha Pikat Syamsul

29 Jan

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Syamsul

Evolusi KL Drift 11 lebih utamakan aspek penceritaan, pembikinan

SELEPAS melakar kejayaan menerusi filem Evolusi KL Drift (EKLD) yang memungut RM4.5 juta pada tahun lalu, pengarah muda, Syamsul Yusof diberikan kepercayaan oleh bapanya, Datuk Yusof Haslam, untuk tampil bersama sekuel Evolusi KL Drift II. Mengekalkan kebanyakan pelakon asal, filem berkenaan bakal menjalani penggambaran pada 1 Februari.

Diterbitkan secara bersama oleh Skop Productions Sdn Bhd dan Grand Brilliance Sdn Bhd, filem aksi berkenaan menampilkan Syamsul sendiri sebagai pelakon utama, di samping Farid Kamil, Scha, Aaron Aziz, Shaheizy Sam, Remy Ishak, Shaifudin Hashim, Hetty Sarlene dan Rizal Ashraf.

Rizal juga bertindak sebagai penolong pengarah bagi filem ini, di samping membantu Syamsul memperkemaskan skrip.

Pada awalnya, filem berkenaan dikatakan bakal mengangkat Diana Danielle sebagai teraju wanita. Begitupun, pada majlis pelancarannya di Kompleks Finas, Hulu Klang, pelakon baru, Scha nampaknya diberikan tanggungjawab memegang watak wanita utama, Aleeya.

Insiden salah faham yang membabitkan Syamsul dan Diana pada Disember lalu nampaknya mengubah perancangan awal. Selain Scha (Antoo Fighter), turut membuat kemunculan pertama menerusi filem berlatarkan dunia perlumbaan kereta itu ialah Remy, yang sebelum ini dikenali menerusi filem Anak Halal.


REMY ISHAK dan Scha berlakon kali pertama di bawah arahan Syamsul.

Syamsul sendiri mengaku, watak Aleeya pada dasarnya adalah untuk Diana. Namun, kini ia digantikan dengan Scha setelah Syamsul mendapati aktres itu menepati karakter yang digambarkannya menerusi watak berkenaan.

“Saya pernah melihat lakonannya dalam Awan Dania dan Histeria. Gayanya yang kasar sesuai dengan watak Aleeya yang saya gambarkan sebagai wanita lasak dan ranggi,” ujar Syamsul yang menegaskan, filem itu tidak mengutarakan tema percintaan semata-mata kerana ia lebih kepada persoalan gangsterisme dan persahabatan.

Mengenai pembaharuan yang bakal ditonjolkan, katanya, EKLD II akan lebih menekankan kepada aspek penceritaan dan pembikinannya.

“Skrip yang dihasilkan kali ini jauh lebih baik. Ia cukup sukar untuk ditulis, bagi menghasilkan cerita lebih baik daripada siri pertama. Saya juga ingin membuktikan, saya mampu membikin filem yang baik walaupun menggunakan pengarah fotografi berbeza. Sebelum ini saya terdengar beberapa pihak berkata, EKLD cemerlang kerana usaha juru kameranya, Raja Mukhriz,” kata Syamsul yang kini menggunakan khidmat dua jurukamera, Omar Ismail dan Mie Congo untuk filem ketiganya.


AARON AZIZ kembali memegang watak Joe yang
mendendami Zack.

Perbezaannya juga, kata Syamsul, apabila babak perlumbaan bukan lagi kini berlaku secara haram. Sebaliknya ia dilangsungkan secara profesional di litar lumba, kecuali babak kejar-mengejar kereta di dalam bandar.

Mengenai pemilihan tema gangsterisme, dia menegaskan, topik itu diangkat ke layar perak menerusi filem ke-23 terbitan Skop berikutan hubungannya yang dikatakan paling dekat dengan permasalahan golongan muda hari ini. Begitupun, bukan hanya gejala samseng yang dikupas Syamsul kerana ia turut menonjolkan tema persahabatan menerusi judul arahannya itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai situasi perhubungannya dengan Diana, Syamsul memberitahu mereka tidak lagi berhubungan sejak beberapa minggu lalu.

“Tidak, saya belum mempunyai pengganti. Saya juga tidak mencari-cari. Nampaknya, ketika ini tumpuan adalah lebih kepada kerja yang dipertanggungjawabkan ke bahu saya.

“Begitupun, jika saya dipertemukan dengannya semula, saya pastinya akan bersikap biasa saja. Saya juga boleh bekerja dengannya, sebagai seorang profesional,” kata Syamsul yang teringin untuk berlakon di bawah pengarah lain juga.

Ketika diminta ulasannya mengenai filem Bohsia yang diberikan klasifikasi 18PL oleh pihak penapisan filem, Syamsul menegaskan dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan klasifikasi itu kerana dia percayakan pada rezeki serta ketentuan Tuhan.

“Sejak awal lagi saya sedar, filem ini tidak akan muncul sebagai filem meyakinkan jika saya tidak menonjolkan elemen kebenaran di dalamnya. Saya mahu memaparkan apa sebenarnya berlaku dalam dunia itu. Begitupun, pastinya tidak 100 peratus mampu kami paparkan,” katanya.

Bagi Syamsul, filem yang dianggapnya berani itu usah dilihat sebagai judul yang mengeksploitasi golongan bohsia. Lebih daripada itu, ia sebuah karya yang sarat dengan pesanan berguna. Lalu, dia tidak mahu orang ramai menghukum Bohsia hanya kerana judulnya. Dia mahu mereka menonton filem terbabit dan menghayati isi kandungannya.

Filem kedua Syamsul itu sekali lagi dilakonkan dirinya sendiri, Aaron dan Shaheizy Sam, di samping Nabila Huda serta Salina Saibi. Ia bakal menemui penonton di pawagam mulai 23 April nanti.

INFO: EKLD II yang akan dirakam selama 38 hari di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pelabuhan Klang menelan belanja sekitar RM2.1 juta.

SYAMSUL juga ingin mencuba teknologi CGI dalam arahan terbarunya, bagi memantapkan lagi visual filem ini.

DIA turut berbangga apabila siri kedua filem perlumbaan kereta itu berjaya menarik lebih ramai penaja termasuk Toyo Tires, Toms Stickers, Sin Heng Autowork, AVS Power, Ace Suspension, Evercoast Paint, Torq, Active Motorwork dan banyak lagi.

DUA kereta utama yang digunakan ialah Toyota Supra dan Mazda RX7. Secara keseluruhan, kira-kira 10 kereta lumba akan digunakan dalam filem terbabit. Sebahagiannya diubah suai khas untuk EKLD II.

SERAMAI lima pelumba drift digunakan untuk menggantikan pelakon asal bagi babak lasak. Begitupun Syamsul berharap dapat menggunakan pelakon sebenar bagi adegan yang tidak membahayakan nyawa mereka.

Berita Harian

Evolusi Minda Orang Muda

26 Mar

Oleh Norliza Mohamad Zakaria (liza.zakaria@utusan.com.my)

AKSI drift berterusan dan mendebarkan. Itulah yang boleh disimpulkan terhadap air tangan pengarah muda, Syamsul Yusof, sebaik sahaja habis menonton garapan filem pertamanya, Evolusi KL Drift pada majlis pra-tonton filem tersebut di Golden Screen Cinema (GSC), Mid Valley baru-baru ini.

Seperti ayahnya, pengarah dan pelakon Datuk Yusof Haslam, Syamsul juga dilihat amat berbakat dalam bidang pengarahan mewarisi bakat seni ayahnya.

Seiring usia remajanya, Syamsul mengambil pendekatan menyelami perasaan dan keinginan penonton khususnya di kalangan remaja yang rata-rata mahukan sebuah filem yang penuh dengan aksi berterusan sepanjang tayangan.

Lalu, sutradara muda tersebut ada sebab untuk optimis terhadap hasil filem ke-21 terbitan Skop Productions yang menelan belanja RM2 juta itu.

Biarpun berpuas hati dengan hasil filem itu, namun Syamsul lebih senang dengan sikap merendah diri.

“Setakat ini saya amat berpuas hati dengan hasil filem ini. Bagaimanapun, ini merupakan permulaan daripada saya. Saya sedar ada banyak kekurangan.

“Apa yang pasti, selepas ini saya akan cuba lakukan yang lebih baik lagi dan akan memperbaiki mana-mana kekurangan garapan saya dalam filem ini untuk filem seterusnya nanti,” kata pengarah berusia 23 tahun itu.

Memberanikan diri dalam memberi kepuasan kepada penonton, lumba kereta dan aksi drift menjadi subjek taruhan sutradara muda itu.

Kata Syamsul, filem tersebut merupakan terjemahannya berhubung budaya perlumbaan drift masyarakat dan remaja barat.

“Sebenarnya, medan perlumbaan kereta dilihat agak kebaratan dan masyarakat di negara ini kurang arif tentang kisah di sebalik perlumbaan tersebut.

“Atas sebab itu, saya cuba bawakan idea perlumbaan drift untuk memberi pendedahan dan pendekatan kepada jiwa masyarakat negara ini,” jelasnya kepada wartawan mengenai falsafah yang diutarakannya dalam Evolusi KL Drift.

Kelangsungan babak-babak drift yang mendebarkan dalam filem ini tidak mengecewakan.

Tambah membanggakan, kata Syamsul, filem keenam usaha sama antara Skop Productions dan Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) itu langsung tidak menggunakan sebarang teknik CGI.

Dikatakan bakal menandingi filem arahan sutradara terkenal Ahmad Idham iaitu Impak Maksima, Syamsul yang tidak mahu membangga diri, menyerahkan segala penilaian dan kritikan kepada para penonton.

Sememangnya konsep filem ini dilihat tidak banyak lari daripada filem Impak Maksima, cuma yang berbeza hanyalah jalan cerita dan Evolusi KL Drift dilihat lebih banyak menonjolkan aksi drift berbanding filem tersebut.

Barisan pelakon yang dipertaruhkan dalam filem Evolusi KL Drift sememangnya diakui mampu memberi pengaruh yang besar dalam menarik minat penonton untuk bertandang ke pawagam.

Antaranya ialah Fasha Sandha, Farid Kamil, Syamsul Yusof, Aaron Aziz, Iqram Dinzly dan Hetty Sarlene.

Seperti biasa, lakonan pelakon jelita Fasha Sandha dan Farid Kamil tidak mengecewakan.

Bagaimanapun, terdapat sedikit kelemahan pada watak Fasha lakonan Fasha yang memegang identiti sebagai individu yang agresif.

Tidak seperti apa yang cuba digambarkan pada pemakaian dan gaya rambut, watak Fasha yang suka merajuk dan merendah diri dilihat tidak bertepatan dengan ‘jiwa’ seorang gadis lasak yang gemarkan perlumbaan kereta drift.

Begitu juga dengan watak Sara lakonan pelakon muda, Diana Danielle. Watak Sara sebagai rakan karib kepada Fasha yang hanya tahu memberi nasihat kepada rakannya itu dilihat hanya sekadar penyeri.

Sebaliknya, lakonan Hetty Sarlene menerusi watak Vee lebih menyerlah berbanding watak Sara.

Malah seperti tidak perlu diwujudkan langsung, rasanya watak Vee sudah memadai jika diangkat sebagai penasihat kepada watak Fasha.

Sementara itu, watak Zack lakonan pengarah filem itu, Syamsul Yusof dilihat berjaya membangkitkan perasaan ‘benci’ dan ‘meluat’ di kalangan penonton kerana sikap ego, panas baran dan kedegilan tidak bertempat itu.

Apa yang menarik, pelakon dari Singapura yang mula mencipta nama di negara ini, Aaron Aziz yang sebelum ini memegang watak utama dalam drama bersiri terbitan Skop Productions, Janji Diana dilihat berjaya membawa watak sebagai ketua sindiket pengedar pil khayal menerusi watak Joe dengan jayanya.

Keseluruhan filem ini boleh dikatakan berjaya, cuma satu persoalan yang timbul di kalangan sesetengah penonton mengapakah filem Evolusi KL Drift langsung tidak menyelitkan watak dan juga penglibatan dari mana-mana pelakon senior?

Contohnya, tiada langsung watak ibu atau bapa yang perlu dipenuhi dalam filem tersebut.

Apakah kerana terlalu taksub ingin mengetengahkan sisi ‘dunia’ muda remaja, menyebabkan sutradara muda ini terlupa akan pentingnya menyelitkan sedikit paparan yang menggandingkan generasi tua dan muda.

Kata Syamsul: “Memang saya tidak wujudkan watak-watak veteran sebab saya mahukan filem ini 100 peratus dijayakan oleh orang muda.

“Tambahan pula, filem ini sememangnya digarap untuk remaja dan kisahnya lebih kepada anak muda masa kini,” jelas pemegang Diploma Penyiaran dari Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) itu lagi.

Sinopsis

Berlatarkan aksi drift yang mendebarkan, dua rakan karib, Zack dan Sham yang pada mulanya akrab menjadi renggang rentetan hubungan Sham yang mula rapat dengan Fasha yang juga kekasih Zack.

Kehidupan Fasha yang agresif dan turut meminati bidang perlumbaan drift menyebabkan Zack bersikap protektif terhadap pergaulan Fasha.

Malah kisah silam Fasha yang pernah terjerumus ke lembah yang mengkhayalkan seringkali menjadi intipati pertengkaran mereka.

Tidak mahu kekasih hatinya itu kembali semula ke lembah hitam, Zack dan rakan-rakannya mula menghalang kegiatan penjualan pil khayal di kalangan anak-anak muda yang meminati lumba drift.

Ketua sindiket itu, Joe dan Karl yang berasa tercabar oleh Zack dan rakan-rakanya mula mencari jalan untuk menewaskan Zack dan rakan-rakannya. Kerana terpaksa, Zack mencabar Joe untuk berlumba drif dan menjadikan kereta kesayangannya sebagai taruhan.

Mampukan Zack memenangi perlumbaan itu dan bagaimanakah seterusnya kisah cinta yang mula terbit antara Sham dan Fasha?

Dan mampukah Zack menepis perasaan ego dan cemburunya demi persahabatannya dengan Sham?

Segalanya akan terjawab jika anda menonton filem tersebut dan pastikan bahawa anda tidak ketinggalan menonton Evolusi KL Drift di pawagam berhampiran bermula 3 April ini.

Powered by Utusan Malaysia

Syamsul Buat Yusoff Bangga

11 Mar

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED (metra.mohamed@utusan.com.my)

TAHUN lalu, penggemar dunia pemotoran dihidangkan dengan filem bertajuk Impak Maksima arahan Ahmad Idham.

Melalui babak-babak aksi lumba yang ditayangkan, ia merupakan formula paling mudah untuk memikat generasi muda bertandang ke pawagam.

Bulan depan, kelangsungan filem bercorak sedemikian diteruskan lagi apabila Syamsul Yusof memberanikan diri menghasilkan filem sulungnya iaitu Evolusi KL Drift.

Egoisme, dendam dan gelodak jiwa yang membara merupakan intipati yang menjadi nadi serta nafas kepada filem tersebut.

Apa yang menarik, Evolusi KL Drift menghidangkan deruman dan pelbagai aksi lumba yang diperhebatkan melalui kemunculan barisan kereta berkuasa tinggi seperti Skyline, RX7 dan 180SX.

Meskipun dikatakan mampu menandingi filem Impak Maksima, sutradara muda yang juga anak kepada jutawan filem, Datuk Yusof Haslam itu bagaimanapun, lebih senang mengambil pendekatan merendah diri.

Menurut Syamsul, penghasilan Evolusi KL Drift bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana filem tetapi ia merupakan sebuah karya yang bakal membawa perubahan kepada industri perfileman.

Mendapat pujian daripada bapanya, Syamsul memberitahu, Evolusi KL Drift mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak perlu dibandingkan dengan filem-filem lain.

“Filem lain ada kekuatan masing-masing dan begitu juga dengan Evolusi KL Drift. Saya tidak mahu meninggi diri dan penontonlah yang layak memberikan penilaian nanti,” ujarnya.

Menghasilkan Evolusi KL Drift kata Syamsul, bukan satu kerja yang mudah.

Banyak pengorbanan terpaksa dilakukan sehinggakan waktu tidurnya selama menjalani penggambaran sekadar terbatas untuk tiga hingga empat jam sahaja.

“Saya bersyukur kerana mendapat sokongan ibu bapa serta semua pelakon dan krew filem ini,’’ katanya pada majlis pelancaran Evolusi KL Drift di ibu negara, baru-baru ini.

Evolusi KL Drift mengisahkan dua sahabat, Zack, lakonan Syamsul dan Sham (Farid Kamil) berkongsi hobi dan minat dalam perlumbaan kereta drift.

Kelazimannya bidang permotoran didominasi golongan maskulin tetapi ia tidak menghalang Fasha (Fasha Sanda), teman wanita Zack untuk memecah monopoli itu.

Dalam hubungan Zack dan Fasha dilanda pergolakan, Sham dalam diam menaruh rasa cinta terhadap Fasha.

Apakah kesudahan kekalutan yang melanda? Di manakah garisan penamat sebenar dalam perlumbaan kehidupan Zack dan Shah? Adakah keintiman Fasha dan Sham mampu membina satu ikatan?

Kesemua konflik ini akan terjawab setelah anda menonton Evolusi KL Drift yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 3 April ini.

Evolusi KL Drift diiterbitkan secara usaha sama dengan antara Skop Productions Sdn. Bhd., dengan Grand Brilliance Sdn. Bhd.

Filem tersebut turut dibintangi Aaron Aziz, Iqram Dinzly, Shaifuddin Hashim, Rizal Ashraf, Hetty Sarlene dan Diana Danielle.

Merajuk dengan bapa?

Sementara itu, pada majlis pelancaran Evolusi KL Drift baru-baru ini, Yusof mendedahkan rahsia yang anaknya itu pernah merajuk sebelum filem itu dihasilkan.

Menurut Yusof, ia berlaku begitu kerana kerana skrip asal filem itu yang diserahkan oleh anak terunanya pada tiga tahun lalu itu bukan sahaja dipandang sepi tetapi menerima kritikan keras oleh Yusof.

Disebabkan itu, Syamsul bagaikan mengasingkan diri sehingga menyerahkan sekali lagi skrip Evolusi KL Drift kepada Yusof pada tahun lalu.

Menjawab mengenai perkara itu, Syamsul berkata: “Ketika itu saya memang marah tetapi disebabkan kritikan bapa, saya akhirnya kembali dan dapat menghasilkan satu skrip yang mantap.”

Kata Syamsul, filem yang mengambil masa 38 hari pengambaran itu pada awalnya direncanakan penerbitannya dengan kos sebanyak RM1 juta tetapi terbabas kepada RM2 juta.

“Aksi di jalan raya terpaksa menggunakan ramai stuntman. Kamera juga perlu banyak. Sebab itu bajet terbabas.

“Tapi, Alhamdulillah, akhirnya siap juga filem ini,’’ ujarnya sambil menambah bapanya turut menyumbang idea dalam pembikinan Evolusi KL Drift.

Pada masa yang sama, ada khabar yang menyebut Evolusi KL Drift bakal ditayangkan di Jepun.

Menjawab persoalan itu, Syamsul berkata: “Memang ada sebuah syarikat pemotoran di Jepun berminat untuk membawa filem ini ke sana. Tetapi, sama ada ia menjadi kenyataan atau tidak, kena tunggulah nanti,’’ katanya ringkas.

Powered by Utusan Malaysia

Aliff Aziz Tak Kenal Aaron Aziz

4 Mar

[
Tonton video ]

Selepas Ferhad, Jai, Hetty Sarlene dan Imran Ajmain, kini peminat muzik tempatan mula dibuai alunan suara jejaka comel, Aliff Aziz, 16, yang berasal dari Singapura.

Aliff yang popular dengan singlenya Sayang-Sayang mula mengorak langkah selepas menjuarai program realiti Anugerah di negara kelahirannya.

Selain menjuarai carta radio, Sayang-Sayang turut menjuarai carta muat turun nada dering walaupun durasinya tidak sampai 3 minit.

Apapun, penyampai radio nombor satu negara, Era FM, Kieran mengakui lagu ini sering menjadi pilihan pendengar walaupun durasinya pendek. Petang itu, Kieran bertanggungjawab sebagai pengacara majlis pelancaran album Aliff yang sudah berada di pasaran Disember lalu.

“Saya berbesar hati dan gembira kerana bakat saya diterima penyokong dari Malaysia. Apatah lagi, Aliff berpeluang bekerjasama dengan komposer terkenal seperti Azlan Abu Hassan, Iman Wan, Neves (Pretty Ugly) dan Zimi (Sofaz),” jelas Aliff.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sony BMG Music Entertainment, Adrian Lim, menafikan pemilihan Aliff bukan kerana rupa atau personaliti.

Malah, pemilihannya bersandarkan bakat dan kesungguhan yang ditunjukkan lebih-lebih lagi pada malam final Anugerah yang melayakkan Aliff bergelar juara terbaru selepas Eka Mairina, Fuad Rahman, Iskandar Ismail, Norazela Rosli yang kini sudah bergelar artis rakaman.

“Album Aliff di Singapura dan Malaysia ada sikit perbezaan. Lebih-lebih lagi susunan muziknya. Album di Singapura ada diselitkan sebuah lagu raya memandangkan ia dipasarkan pada lebaran tahun lalu,” kata Adrian.

Sungguh pun masih muda, Aliff menganggap nyanyian sebagai kerjaya bukannya platfrom untuk menjadi popular atau glamor. Malah, jejaka cun ini berjanji akan menempuh segala cabaran dengan tabah.

Walau bagaimanapun, mungkinkah Aliff akan berhijrah ke Malaysia seperti artis Singapura yang lain dan benarkah Aliff adik kepada pelakon popular Aaron Aziz?

“Saya masih baru di Malaysia. Ketika pertama kali ke sini, saya rasa agak letih. Tak sangka nak jadi penyanyi bukannya satu perkara mudah. Mula-mula saya ingatkan senang. Apa yang saya gambarkan sebelum ini tidak sama.

“Sekarang baru Aliff tahu asam garam industri hiburan. Semuanya bukan mudah. Aliff pun masih bersekolah. Jadi tentang menetap ke Malaysia tu masim belum difikirkan. Mungkin kalau rezeki Aliff lebih disini, Aliff akan mempertimbangkannya. Buat sementara waktu ini, Aliff lebih senang ulang-alik saja.

“Oh ya, Aliff ada dengar ramai orang cakap Aliff ni adik Aaron Aziz. Sebenarnya, Aliff tak kenal langsung Aaron. Malah, kami tiada hubungan persaudaraan apatah lagi bau-bau bacang. Aliff hanya mengenalinya dari segi pencapaian Aaron sebagai artis paling popular di Singapura,” jelasnya.


Murai

Yusof Haslam Rai Aidilfitri Bersama Alumni SABKL

13 Nov

Oleh Norliza Mohamad Zakaria

AIDILFITRI pastinya tidak meriah tanpa diserikan dengan majlis rumah terbuka. Ini kerana, melalui majlis sebeginilah hubungan silaturahim sesama rakan taulan dan sahabat handai dapat dieratkan.

Menyedari hakikat itu, Datuk Yusof Haslam dan isterinya Datin Fatimah Ismail juga tidak ketinggalan mengadakan Majlis Mesra Aidilfitri di rumah mereka di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.

Tambah bererti, majlis tersebut turut disertai oleh bekas-bekas pelajar Sekolah Aminuddin Baki Kuala Lumpur (SABKL).

Yusof Haslam yang ditemui pada majlis tersebut menyatakan: “Saya juga bekas pelajar SABKL. Sebelum ini, majlis alumni SABKL banyak diadakan di dewan dan juga Hulu Kelang Country Club. Tahun ini saya tawarkan diri, agar majlis diadakan di rumah saya. Ia (majlis) akan nampak lebih mesra jika dibuat di rumah.”

Kata beliau, majlis tersebut dapat memberi peluang kepada bekas rakan-rakan sekolahnya melihat keadaan sekeliling rumahnya yang sering digunakan dalam set pengambaran filem mahupun drama yang dihasilkan oleh syarikatnya, Skop Production.

Difahamkan majlis yang dihadiri oleh seramai 300 ahli alumni SABKL itu ditaja sepenuhnya oleh beliau dan isterinya.

Hadir sama pada majlis itu ialah rakan sama sekolah dengannya yang dikenali sejak berumur 13 tahun iaitu Datuk Mohd. Zaki Ahmad, yang juga merupakan Pengarah Urusan Darul Fikir Sdn. Bhd.

Mohd. Zaki ketika diminta mengulas tentang keperibadian rakan karibnya itu berkata: “Yusof seorang yang memang mudah mesra dengan semua orang. Mungkin ramai yang tak tahu bahawa beliau juga sebenarnya adalah seorang yang kelakar.

“Walaupun beliau sekarang sudah mengecapi kemewahan, tapi beliau tak pernah nak berlagak dengan kawan-kawan. Memang dari zaman sekolah sampailah sekarang beliau tetap Yusof yang saya kenal masa dahulu,” katanya.

Ditanya tentang kisahnya bersama Yusof Haslam yang tidak dapat dilupakan dari zaman persekolahan, kata Mohd. Zaki: “Satu yang masih saya ingat ialah apabila beliau membuat senarai barangan untuk berniaga. Kemudian, beliau ceritakan pula kepada saya, keuntungan yang dia boleh dapat dengan menjual barang-barang tersebut.

“Waktu itu memang saya kagum dengan semangatnya. Walaupun masih muda, tetapi beliau sudah mula ada matlamat hidup untuk berjaya,” jelas Mohd. Zaki. Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah pelakon A. Galak, Hetty Sarlene dan Sarina Salbi.

Sementara itu, Yusof Haslam ketika ditanya tentang projek terbaru syarikatnya berkata, yang terkini ialah filem Evolusi KL Driff yang diarahkan oleh anaknya Mohd. Shamsul, 23, yang akan mula ditayangkan di pawagam pada bulan Februari tahun hadapan.

Menurut Yusof, beliau memberi peluang kepada anaknya untuk mengarah kerana dia percaya akan bakat yang ada pada anak bujangnya itu. Malah, menurut beliau, idea- idea yang dicetuskan oleh anaknya itu amat menarik dan sesuai dengan cita rasa penonton masa kini.

Powered by Utusan Malaysia

Dari Layar Perak Pasrah Ke Kaca TV

3 Aug
PENDUKUNG watak utama drama bersiri Pasrah, Norman Hakim dan Lisdawati.

MASIH ingat filem Pasrah yang menggabungkan tiga pelakon utamanya, Erra Fazira, Norman Hakim dan Wilma Mohamad yang pernah popular pada tahun 1999?

Kini Pasrah akan muncul secara bersiri di TV9 pada setiap hari Jumaat apabila mengambil alih slot Sembilu Kasih yang tamat pada 24 Ogos ini.

Plot ceritanya masih sama – tentang dunia peragaan dan percintaan. Tetapi subplotnya akan bertambah dengan pelbagai konflik sebagai daya tarikan.

Justeru selain kisah semasa, terdapat juga paparan kisah silam diwujudkan dalam drama bersiri 26 episod ini.

Diarahkan oleh Datuk Yusof Haslam, ia turut dibantu dua pengarah bersama iaitu anak-anaknya sendiri, Mohd. Faizal dan Mohd. Shamsul.

“Datuk lebih banyak terlibat dalam pengarahan babak-babak besar dan utama. Selebihnya beliau hanya memantau,” kata Mohd. Faizal atau lebih dikenali sebagai Boy ketika ditemui di lokasi penggambaran Pasrah di sebuah kelab di Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.

Pada penggambaran itu, beberapa babak penggambaran peragaan pentas dirakamkan yang berlangsung sepanjang hari.

“Kita melakukan penggambaran bagi empat babak peragaan pentas yang melibatkan babak berbeza,” jelas Mohd. Faizal yang turut dibantu oleh Mohd. Shamsul pada penggambaran itu.

Menurut pengarah muda yang turut terlibat dalam pengarahan drama Gerak Khas itu, Pasrah kali ini didukung oleh Lisdawati bagi watak Farah Diba dan Salina Saibi (Natasha) selain mengekalkan Norman Hakim untuk membawakan watak Hafsham.

“Kisah untuk drama ini juga dibuat lebih terperinci khususnya bagi setiap watak dan perwatakan,” jelasnya lagi.

Drama Pasrah berkisar tentang seorang gadis bernama Farah Diba yang berhasrat untuk menjadi model.

Setelah popular, Farah Diba sering dihimpit oleh pelbagai golongan terutama orang kenamaan yang mahu menjadikan dia sebagai teman sosial.

Bagaimanapun, Farah Diba yang berkawan dengan Hafsham amat setia kepada kekasihnya itu.

Namun kesetiaannya itu tidak dihargai apabila Hafsham turut dipengaruhi oleh gosip liar yang menimpa Farah Diba selama ini.

Akhirnya Farah ditinggalkan dan Hafsham memilih Natasha, juga seorang model yang selama ini sentiasa cemburu dengan kejayaan Farah.

Bagi dua pemegang watak utamanya, Lisdawati dan Salina, mereka bukan sahaja berdebar menanti reaksi penonton terhadap lakonan mereka.

Sebaliknya dalam masa yang sama berdebar menanti saat untuk diijabkabulkan kerana masing-masing sedang menanti hari-hari bahagia bergelar isteri.

Jika Lisdawati bakal berkahwin pada 26 Oktober nanti, Salina pula akan mengakhiri zaman bujangnya pada 11 Ogos ini.

“Memang debaran semakin terasa,” kata mereka yang mengakui sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Bagaimanapun kata mereka, sekalipun sibuk di lokasi penggambaran untuk selama tiga bulan ini namun masing-masing tetap membuat persiapan majlis perkahwinan masing-masing.

“Untuk bersanding, saya memilih konsep tradisional Melayu dengan hantaran sebanyak sembilan berbalas 11 dulang,” kata Lisdawati.

Kata Salina pula: “Datuk (Yusof) sudah pun membenarkan saya bercuti selama seminggu untuk majlis pernikahan dan persandingan saya.

“Malah kalau ada kesempatan, saya akan berbulan madu ke Sarawak dan Bali sebelum menyambung semula penggambaran.”

Menurut Lisdawati, Pasrah merupakan kolaborasi pertamanya dengan Skop Productions.

“Dua kali saya tolak tawaran Datuk untuk drama Sembilu dan Meniti Bara kerana terikat dengan komitmen lain.

“Kali ini saya tidak mahu mensia-siakan peluang apalagi ketika ini saya bebas daripada sebarang kerja,” kata Lisdawati.

Sementara Salina menganggap watak antagonis sebagai Natasha bukanlah sesuatu yang sukar dibawa kerana sudah sering membawakan watak sedemikian.

“Cuma Datuk sudah mengingatkan saya agar tidak terikut-ikut gaya lakonan Wilma. Dan saya pula jenis orang yang agak mengambil masa untuk menguasai watak.

“Untuk seminggu pertama penggambaran, saya masih kabur dengan watak saya tetapi apabila sudah mendapat sentuhan, saya memang buat sedaya upaya saya,” kata Salina diberi watak gadis seksi yang penyayang tetapi mempunyai niat jahat terhadap Farah Diba.

DI LOKASI

DRAMA: PASRAH

PENGARAH/SKRIP: DATUK YUSOF HASLAM

PENGARAH BERSAMA: MOHD. FAIZAL @ BOY & MOHD. SHAMSUL

JURUKAMERA: HAMZAH

TERBITAN: SKOP PRODUCTIONS

TAYANGAN: SEPTEMBER INI DI TV9

PELAKON UTAMA:

LISDAWATI sebagai FARAH DIBA

NORMAN HAKIM sebagai HAFSHAM

SALINA SAIBI sebagai NATASHA

LAIN-LAIN PELAKON:

HETTY SARLENE, MEMEY, BUZEN, RADHI KHALID, ROSNAH JOHARI & ZULKIFLI ZAIN

Powered by Utusan Malaysia

Sembilu Kasih Dihentikan Siaran

23 Apr

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

DUDUK dari kiri: Bilal Khan, Zed Zaidi, Faizal Hussein dan Esma Danial turut hadir di majlis kesyukuran dan doa selamat Sembilu Kasih di kediaman Yusof Haslam baru-baru ini.

Penerbit drama Sembilu Kasih, Datuk Yusof Haslam akhirnya membuat keputusan penghentikan penerbitan drama yang kini disiarkan setiap Jumaat pukul 9 malam di TV9 itu.

Menurut Yusof, syarikatnya Skop Production Sdn. Bhd., sudah pun menyiapkan musim terakhir drama itu yang akan mula menemui penonton pertengahan Mei ini.

“Siaran episod terakhirnya, dijangka pada Ogos nanti. Selepas itu Sembilu Kasih akan dihentikan bukan kerana rating rendah atau kekeringan idea tapi sudah lama sangat siarannya. Sebagai pembikin filem, saya perlu fikir dari aspek kepuasan dan relevan drama tersebut.

“Sebenarnya sudah lama saya hendak tamatkan Sembilu Kasih tapi stesen TV minta teruskan. Sekarang ini kalau mendapat permintaan ramai sekalipun saya tidak akan teruskan. Cukuplah dua tahun saya menerbitkan Sembilu Kasih. Dulupun dua tahun juga saya menghasilkan Sembilu,” kata Yusof pada majlis kesyukuran dan doa selamat Sembilu Kasih musim terakhir di kediamannya baru-baru ini.

Sebelum bersiaran di TV9, Sembilu Kasih pernah disiarkan di TV3 sebanyak 26 episod. Membariskan pelakon utama seperti Hetty Sarlene, Zed Zaidi, Faizal Hussin, Julia Hana, Datuk Aziz Singah, Aznah Hamid, Esma Daniel dan Azza, Sembilu Kasih diarah bersama oleh Syamsul Yusof, Yusof Kelana dan Faizal Yusof.

Cabaran

Pada musim terakhirnya, Sembilu Kasih diberikan nafas baru.

“Penonton akan didedahkan dengan satu tragedi yang melanda hubungan rumah tangga Zetty dan Fendi,” kata Yusof memberi gambaran tentang Sembilu Kasih musim akhir.

Menceritakan pengalamannya menerbitkan drama bersiri terpanjang tempatan itu, kata Yusof, banyak halangan dan cabaran yang diharungi.

Jelasnya, jika tidak ada sifat kesabaran dan sokongan daripada isteri, Datin Fatimah Ismail sudah lama drama tersebut dihentikan.

“Isteri saya pernah ikut saya terbang ke Singapura untuk memujuk Hetty Sarlene. Bukan mudah berhadapan dengan kerenah artis, memikirkan jalan cerita yang menarik, semua itu memang memeningkan kepala. Tapi ia mematangkan saya dan menjadikan hubungan saya dan isteri dengan para pelakon serta krew ibarat saudara,” kata Yusof terus terang.

Powered by Utusan Malaysia

Leez Gagal Tapi Bertuah

10 Dec

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Leez.

Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu? Memang betul tiada siapa yang tahu melainkan tuan punya badan.

Tiada siapa juga yang menyangka penyingkiran Leez semasa konsert ‘prelude’ program Akademi Fantasia (AF) yang lalu seakan-akan membuka rezeki yang luas terhadapnya.

Walaupun tidak layak menyertai program berkenaan pada peringkat berikutnya tetapi Leez mempunyai nasib yang baik berbanding rakan-rakannya yang lain.

Bukan nak mengata tetapi cuba fikirkan betul-betul, selain Faizal, kesemua pelajar AF musim keempat lalu seakan-akan tenggelam begitu saja.

Apatah lagi bagi mereka yang awal-awal lagi ditendang keluar daripada program itu. Apa jadi dengan mereka sekarang? Senyap sunyi begitu sahaja. Album tak ada, publisiti jauh sekali.

Nak mengharapkan syarikat rakaman melamar untuk merakamkan album, memang sukar untuk diramalkan kerana sekarang ini terlalu ramai artis-artis baru muncul.

Maestro Records yang bertanggungjawab terhadap bintang-bintang AF pula tentunya sibuk dengan artis-artis lain daripada mempedulikan peserta yang hanya layak di peringkat ‘prelude’ sahaja.

Apa yang boleh saya katakan, keistimewaan Leez mungkin terhadap paras rupanya. Dia gadis yang fotogenik. Wajahnya menarik dan senyumannya juga menawan.

Itu di antara ciri-ciri dan juga keistimewaan gadis ini sehingga mampu menjadikannya salah seorang peserta AF tersingkir yang popular.

Bayangkan selepas penyingkiran Leez atau nama sebenarnya Rosliza Rosli daripada program itu, gadis berusia 19 tahun ini banyak mendapat tempat di majalah dan akhbar tempatan.

Saya mengenali Leez ketika dia berumur 15 tahun selepas memperoleh ‘profile’ mengenai dirinya daripada pelakon Emma Akma yang mengendalikan agensi model.

Kerana tertarik dengan senyumannya, saya memanggilnya untuk mengadakan sesi fotografi bakat baru kelolaan saya dalam majalah Mangga pada waktu itu.

Empat tahun berlalu saya sudah lupa peristiwa itu sehinggalah Leez mengibas semula detik-detik pertama dia mengadakan sesi fotografi.

Saya berkata, Leez bertuah kerana dia sekarang sudah dilamar menjadi artis rakaman tidak seperti rakan-rakannya yang lain. Selain lamaran itu, ada juga Datuk yang sedang ‘mengintainya’.

Hajat terlaksana

Bermulanya tuah Leez selepas penyingkirannya dalam program AF apabila dia dipanggil untuk menjalani uji bakat berlakon sebuah rancangan bersiri terbitan Astro iaitu Astana Idaman.

Hasrat untuk menjadi penyanyi yang dipegang sejak awal-awal pembabitannya dalam dunia seni menjadi sebaliknya.

Uji bakat tersebut benar-benar mengheret gadis ini untuk terbabit dalam satu lagi bidang yang tidak pernah diimpikannya selama ini.

Walaupun pada permulaan watak yang diberikan kepada Leez sekadar sampingan namun lamakelamaan dia diberikan peranan utama.

“Leez tak sangka selepas beberapa siri drama itu, watak yang diberikan kepada Leez semakin berat sehinggalah akhirnya memegang watak utama rancangan itu,’’ katanya.

Jelas Leez, jika dikenangkan semula, segalanya bagaikan sebuah mimpi yang hadir menjadi nyata.

Tidak pernah bermimpi sehingga diberi peranan utama dalam sesebuah drama walaupun pada asalnya dia merupakan pelajar AF yang tersingkir. Tetapi itulah dinamakan rezeki.

Selepas rancangan itu menamatkan siarannya kira-kira dua minggu lalu, Leez turut menerima lamaran baru daripada seorang Datuk.

Bukan lamaran untuk mengajaknya ‘naik pelamin’ sebaliknya Datuk yang dimaksudkan – Datuk Yusof Haslam, ‘produser’ dan jutawan ternama itu berhajat ‘meminang’ Leez untuk berlakon drama Sembilu Kasih.

Menurut Leez, selepas mengadakan perbincangan dengan Yusof, dia berminat terhadap watak yang bakal diberikan di dalam drama tersebut.

Malah Leez akan membuktikan dia bukan sekadar boleh menyanyi sebaliknya ingin mengasah lagi bakatnya sebagai seorang pelakon.

“Saya akan bukti dan lakukan yang terbaik untuk kerjaya saya ini,’’ katanya.

Jelasnya, Yusof Haslam telah menawarkannya watak sepupu kepada Zetty (Hetty Sarlene) yang menjalinkan hubungan cinta dengan Fendi (Zed Zaidi).

Bagaimanapun kata Leez, watak yang mahukannya menitiskan air mata merupakan watak yang sukar untuk dibawanya. Atas dasar itu Leez cuba belajar untuk menghayati setiap watak sedih yang diberikan agar ia menepati keinginan pengarah.

Lebih menggembirakan Leez, sekian lama memikirkan nasibnya selepas keluar daripada AF, hasratnya untuk menjadi penyanyi rakaman terlaksana juga.

Ketika sibuk dengan penggambaran drama Astana Idaman, Leez telah dihubungi penulis lirik Man Toba yang ingin menyuntingnya menjadi artis syarikat rakaman Toba Records.

Majlis menandatangani kontak dengan syarikat rakaman itu telah pun dilakukan kira-kira dua minggu lalu dan kini proses untuk rakaman album sedang dilakukan.

“Leez amat bersyukur. Bukan mudah untuk orang panggil kita jadi artis rakaman. Mungkin ia rezeki Leez,’’ katanya yang begitu gembira dengan dua lamaran yang diterimanya itu.

Leez kini sibuk di dalam studio rakaman mempersiapkan album solonya berkonsepkan pop.

Antara komposer yang terlibat menyumbangkan lagu di dalam album yang dijangka dipasarkan pada awal tahun hadapan itu seperti Eddie Hamid, Harun Ahmad, Zulfekar, Lan Laga, Adnan Abu Hassan dan Isman (Hijjaz).

Bersedia menghadapi gosip

Sebagai orang baru dalam industri hiburan, Leez sudah bersedia untuk menempuh pahit dan maung bergelar seorang artis.

Bukan mudah membawa ‘title’ itu sebenarnya. Setiap apa yang dibuat semuanya akan diperhatikan orang selain menjadi bualan masyarakat.

Hakikat itu diakui sendiri oleh Leez dan tempias dugaan itu telah mula dirasainya.

Malah Leez juga menganggap, gosip sama seperti serbuk perasa yang menjadi penyedap di dalam makanan. Begitu juga terhadap dunia hiburan. Sebelum menjadi artis dahulu pun Leez juga meminati cerita dan gosip-gosip artis.

“Sekarang sudah jadi artis, Leez kena bersedia untuk menempuh ujian itu walaupun kadangkala Leez sendiri takut berhadapan dengannya,’’ jelas Leez.

Sejak bergelar artis, dia belum pernah ditimpa dengan gosip berat cuma kononnya Leez mempunyai hubungan dengan Haziq.

“Saya pun sudah lama tidak berhubung dengan Haziq. ‘Percintaan’ kami hanya dicetuskan ketika di dalam AF sahaja,’’ katanya.

Percayakan orang tua

Seperti juga Ning Baizura yang memilih ibunya untuk menjadi pengurus, Leez menyandarkan harapan terhadap bapanya Rosli Awang, 45, untuk menjaganya.

Jelas Leez, dia lebih percaya kepada keluarga sendiri untuk menjadi pengurus daripada melantik orang lain.

“Kalau bapa yang jaga, sudah tentu tiada orang yang boleh buat sesuka hati kepada kita. Selain itu ahli keluarga lebih mengetahui kemahuan serta perasaan kita kerana kita membesar dengan mereka,’’ terangnya.

Bagi Rosli pula, dia tidak mahu anak kesayangannya terjebak dengan perkara yang boleh merosakkan diri apatah lagi anaknya itu menjadi artis dan hidup di dunia yang penuh dengan pancaroba.

Sebagai bapa, daripada melepaskan anak gadis sendirian, lebih baik dia sendiri yang mengawasinya.

“Saya pun akan pencen dalam tentera. Lebih baik saya menguruskan Leez kerana saya lebih memahami jiwa anak saya itu daripada orang lain,’’ katanya.

Powered by Utusan Malaysia

Kanak-Kanak Mudah Dibentuk Dengan Yoga

16 Nov

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

AMALAN yoga menjadi semakin popular di Malaysia sejak ia mula menjadi amalan beberapa selebriti tanah air seperti Camelia, Normala Samsudin, Umie Aida dan Hetty Sarlene. Yoga sebenarnya berasal dari perkataan sanskrit yang bermaksud penyatuan bersama untuk menyatukan badan dan minda.

Mengikut fakta sejarah, yoga berasal dari India dan telah diperkenalkan sejak 3,000 tahun lalu dan yoga sebenarnya bukan suatu bentuk senaman sebaliknya ia adalah beberapa siri postur atau pergerakan.

Pergerakan yang lembut ini akan bertahan selama antara 10 hingga 60 saat.

Ia juga seharusnya tidak menyakitkan. Jadi untuk memulakan yoga, seseorang perlulah menjalani latihan yang dinamakan ‘kekuatan fleksibiliti’ agar otot mampu dilentur mengikut aksi yoga yang dikehendaki.

Kalau dulu yoga lebih ditumpukan kepada golongan dewasa, tapi kini yoga boleh dipelajari golongan kanak-kanak dan remaja.

Selain menguatkan sistem otot kanak-kanak, ia juga membantu menguatkan belakang dan juga otot-otot abdomen. Tambah menarik, yoga juga merangsang kanak-kanak supaya lebih peka terhadap kemampuan diri mereka dan seterusnya dapat mempertingkatkan keupayaan otak dalam memperingati pelajaran.

“Kanak-kanak lebih mudah dilatih kerana otot mereka masih lembut. Latihan kaedah pernafasan dan berehat yang betul juga menjadi penentu penguasaan teknik yoga yang betul,’’ kata jurulatih yoga kanak-kanak, Noor Sheena Maideen.

Menurut Noor Sheena, koreografi yoga untuk kanak-kanak seperti aksi kucing, aksi harimau, bentuk pokok dan berbagai lagi dapat menarik minat kanak-kanak untuk menjalani latihan.

“Lebih penting, yoga dapat mengurangkan dan membetulkan perjalanan oksigen yang bersih mengalir ke otot-otot seterusnya mencerdaskan minda kanak-kanak,’’ ujarnya.

Penghargaan:

BODY ENERGY AEROBIC STUDIO

016-6550885/03-41433484.

Powered by Utusan Malaysia