Archive | Ida Nerina RSS feed for this section

Perang Ida, Adlin?

12 Apr

Oleh IZWAN MOHAMAD

Rap
DALAM kemeriahan Akademi Fantasia ke-7 (AF7) yang masuk minggu kelima, pasti ada pahit manis yang menjadi rencah dalam program realiti popular ini.

Terbaru, isu tenaga pengajar yang dikatakan mula ‘mengkritik’ pengkritik tetap dan jemputan sewaktu konsert mingguan keempat baru-baru ini menimbulkan kemarahan ramai, termasuk peminat dan warga industri hiburan.

Apa tidaknya, buat julung kalinya pihak produksi membenarkan tenaga pengajar ‘menjawab’ secara langsung sehingga menimbulkan cakap-cakap yang tenaga pengajar tidak menghormati majlis.

Perkara itu turut menyebabkan pengkritik tetap, Adlin Aman Ramlie, kurang senang dengan kejadian itu yang dirasakannya tidak perlu, mewujudkan spekulasi mengatakan Adlin yang juga pengarah dan pelakon mula berperang dengan tenaga pengajar.

Namun pendapat itu disangkal Guru Seni Persembahan AF7, pelakon Ida Nerina yang berasakan itu jalan terbaik bagi tenaga pengajar memberitahu penonton mengenai perkara sebenar bagi mengelak kekeliruan.

“Kami bukan tidak bersetuju dengan kritikan yang dilemparkan kepada pelajar, sebaliknya kami ingin memberitahu penonton keadaan pelajar yang masih mentah dan tidak adil jika kita hendak lihat perubahan itu dengan sekelip mata,” kata Ida.

Tambahnya, pihak fakulti juga bersetuju dengan pendapat pengkritik, khususnya Adlin yang sentiasa memberi kritikan bernas terhadap persembahan pelajar setiap minggu.

“Kalau anda perasan, kami sering mengangguk apabila mendengar kritikan Adlin. Walaupun banyak mengkritik ‘bahagian’ saya, saya tahu dia juga mempunyai matlamat sama dengan kami iaitu mempertingkatkan persembahan pelajar.

“Pengkritik ada hak untuk mengkritik, kami pula ingin melahirkan bintang yang mampu mewarnai dunia seni tempatan, jadi soal perang antara kami tidak timbul,” katanya.

Tambahnya, dia memahami kehendak Adlin sebagai pengkritik yang mahu melihat pelajar turut menunjukkan transformasi seiring misi AF7 yang inginkan perubahan dari semasa ke semasa, khususnya daripada segi persembahan yang memerlukan kemahiran lakonan dan penghayatan dalam nyanyian.

 

 

Kritikan bukan pematah semangat bagi tenaga pengajar untuk terus bekerja keras memahirkan pelajar dengan teknik persembahan, malah peningkatan ditunjukkan pelajar setiap minggu bagaikan kayu bakar semangat perjuangan mereka.

“Kita kena faham, kebanyakan pelajar AF7 masih mentah dan kami perlu menyesuaikan diri mereka dengan keadaan sekitar dan tugasan diberi supaya mereka tidak terkejut lalu gagal membuat yang terbaik.

“Fakulti berganding tenaga menggabungkan kepakaran dalam setiap aspek supaya tiada kekurangan dalam persembahan pelajar. Alhamdulillah, walaupun ramai tidak nampak peningkatan mereka, kami nampak,” katanya.

Bercakap mengenai pemilihan pelajar cemerlang yang selalu bercanggah dengan pilihan pengkritik dan peminat, Ida menegaskan, anugerah itu berdasarkan matlamat setiap pelajar yang berjaya dicapai setiap minggu.

Ini bermakna pemilihan itu bukan sekadar melihat kecemerlangan pelajar membuat persembahan pada malam konsert semata-mata, sebaliknya mengambil kira transformasi yang dilakukan pelajar itu sendiri.

“Anugerah pelajar cemerlang sebenarnya diberi kepada pelajar yang mampu menyelesaikan masalah dan berjaya membuang tabiat buruk yang sebati dalam persembahan mereka sehingga perubahan itu dapat dilihat semua.

“Sebagai contoh, kita melihat Aril yang lincah di pentas berjaya mengurangkan pergerakannya untuk lagu berentak perlahan, sedangkan kita tidak percaya dia mampu melakukannya kerana sepanjang mengenalinya, dia sukar duduk diam.

“Begitu juga pemilihan Akim baru-baru ini yang menyaksikan dia berjaya melakukan persembahan dengan baik, walaupun menghadapi kesukaran dengan pergerakannya,” katanya.

Ida turut menambah, walaupun ada yang mempertikaikan mengapa pelajar dari Kuching, Mohd Hafiz Mohd Suip yang menunjukkan persembahan konsisten tidak diberi anugerah sama, ini tidak bermakna fakulti tidak adil kerana tidak timbul soal pilih kasih.

Adlin yang ditanya mengenai perkara itu turut menafikan kejadian itu sebagai satu peperangan antara pengkritik dan tenaga pengajar, sebaliknya menganggap kritikannya tidak bersifat peribadi atau berkaitan dengan sesiapa dalam fakulti.

“Saya sekadar melontarkan buah fikiran mengenai apa yang saya nampak di atas pentas, tetapi orang nampak saya banyak menyentuh soal penghayatan dan lakonan dalam nyanyian kerana pengkritik lain selalunya lebih banyak menyentuh vokal dan nyanyian.

“Saya juga selalu menyentuh mengenai hala tuju persembahan, kreativiti dalam pergerakan dan koreografi, bermakna saya memberi kritikan secara menyeluruh dan tidak timbul soal saya cuba mensasarkan mana-mana individu,” katanya.

Adlin turut menyatakan rasa bangga kerana melihat bakat baru yang berpotensi di AF7 mampu menjadi pelapis kepada penghibur tempatan yang semakin pupus.

Malah dia turut teruja dengan perubahan pelajar setiap minggu walaupun ada antara mereka menunjukkan peningkatan perlahan.

“Kalau saya jadi tenaga pengajar, tentu saya akan menyentuh kelemahan pelajar secara menyeluruh tanpa melihat satu elemen saja, namun saya tidak tahu berapa lama setiap pelajar di AF7 berlatih dan membuat persiapan kerana saya tidak ada di ruang itu,” kata Adlin.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Mesti Tonton: Cerita Keluarga Yang Mengasyikkan

28 Mar


ANTARA babak lakonan Jaclyn dalam Talentime.

Jaclyn Victor menampilkan lakonan mantap dalam filem Talentime

Filem: Talentime
Pengarah: Yasmin Ahmad
Pelakon: Azean Irdawaty, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Mohd Syafie Naswip, Mahesh Jugal Kishor, Pamela Chong, Sukania Venu Gopal dan Susan Chong
Genre: Drama & Romantik
Tarikh tayangan: 26 Mac 2009

JIKA anda penggemar karya pengarah Yasmin Ahmad, mungkin filem Talentime patut ditonton dan hayatilah sendiri di sebalik apa yang mungkin boleh dilabelkan sebagai cap dagangnya selama ini.

Hasil manifestasi pengarah ini penuh dengan aspek kemanusiaan seperti cinta yang paling asas perlu ada dalam setiap manusia. Malahan paksi majmuk seperti filem terdahulunya masih dikekalkan.

Ingat lagi anda pada cinta gadis Melayu dan lelaki Cina menerusi filem Sepet. Buah tangan terbarunya ini sudah ditayangkan sejak Khamis lalu. Ia mengetengahkan cinta versi lelaki India bernama Mahesh lakonan sulung Mahesh Jugal Kishor dan Melur (Pamela Chong, adik kepada Vince AF1), gadis Melayu berdarah campuran Inggeris.

Percubaan sulung Mahesh di layar perak sebagai lelaki bisu mungkin dilihat agak senang kerana tidak perlu berdialog atau menghafal skrip. Namun, lakonannya masih boleh dianggap membanggakan kerana biarpun tanpa sebarang pengucapan dialog, mainan emosi tetap perlu dijaga kesinambungannya.

Lakonan Pamela pula dianggap biasa saja. Dia kadang-kadang dilihat sebagai gadis yang memberontak tidak tentu fasal. Namun begitu, ia masih dianggap permulaan yang baik kepada Pamela.

Paling mengesankan ialah lakonan sulung juara Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn Victor yang nampaknya patut diberi perhatian. Nampaknya ada sisi lain yang sudah mula diserlahkan penyanyi bersuara lantang ini. Memegang watak Bhavani, bakat lakonannya berjaya dibentuk dengan baik oleh Yasmin.

Dalam filem ini, Jaclyn memikul tanggungjawab sebagai kakak yang sangat menyayangi adiknya iaitu Mahesh. Disebabkan keadaan adiknya, Bhavani cuba mengelak soal perkahwinan seperti mana yang dikehendaki oleh ibunya. Lakonannya memang nampak bersahaja. Bahkan pertuturannya dalam bahasa Tamil atau bercakap bahasa Melayu dengan pelat Tamil, membuatkan kita terlupa seketika bahawa itu adalah Jaclyn.

Seperti kebiasaan Yasmin masih mengekalkan pelakon yang selalu muncul dalam setiap naskhah skripnya contoh seperti Adibah Noor, Harith Iskander, Ida Nerina termasuk Mohd Syafie Naswip yang dipuji lakonannya oleh Azean Irdawaty.

Rentak jalan cerita yang indah ini dicacatkan sedikit dengan babak Melur tidur sebantal dengan Mahesh di ruang tamu. Ia sebenarnya sangat kontras dan tiada ada apa alasan kukuh mengapa ia perlu diadakan. Ini kerana emak Melur digambarkan sebagai seorang ibu yang alim dengan pegangan Islam, manakala Mahesh pula adalah seorang lelaki yang tidak ada masalah untuk pulang ke rumahnya.

Entah kenapa Yasmin perlu menyelitkan babak tidak perlu ini, apatah lagi secara realitinya adegan itu tidak molek untuk dipaparkan.

Aspek lain yang cukup menarik perhatian ialah lagu latar yang menghiasi filem ini terutamanya lagu Ore Piya dendangan penyanyi Bollywood, Rahat Fateh Ali Khan. Sekali pandang, filem ini saling tak tumpah seperti filem Bollywood yang sinonim dengan adegan air mata dan meruntun jiwa. Ada adegan yang mungkin membuatkan air mata anda akan jatuh tertumpah.

Meneliti bait-bait lirik ini yang diterjemahkan dalam sari kata bahasa Melayu, ia cukup melankolik dan indah susunan bahasanya. Tidak dilupakan hasil komposisi penyanyi dan pencipta lagu, Pete Teo. Hasil ciptaannya dipersembahkan cukup baik oleh kedua penyanyi tanah air kita, Aizat dan Atilia.

Berita Harian

Adila Tidak Malu Apabila Tersingkir

23 Mar

>>Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
BERGELAR penyanyi dengan memiliki dua album dan satu lagu single tidak memberi kelebihan kepada Nas Adila Mohd Dan, 23, untuk terus kekal dalam Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) apabila dia menjadi pelajar pertama tersingkir daripada program realiti itu, kelmarin.

Menyanyikan dua lagu yang digubah dalam bentuk medley, Merawat Cinta Luka (Liza Hanim) dan Asyik (Amelina), dia dipuji juri, Adlin Aman Ramlie, Edrie Hashim dan Datuk Yusni Hamid namun Adila gagal menambat hati penonton yang menentukan kedudukan peserta di hujung jari mereka. Undian menerusi SMS memungkinkan apa saja keputusan yang bakal keluar.

Tidak kesal terkeluar awal selepas hanya dua minggu sempat berguru dengan tenaga pengajar AF7, Syafizawati Sharif, Siti Hajar, Fatimah Abu Bakar, Ida Nerina, A Aris Kadir, Acis dan Datin Seri Tiara Jacquelina selaku pengetua, Adila menyifatkan walaupun masanya di AF7 terlalu singkat, ia tetap pengalaman menarik.

“Walaupun sudah bergelar penyanyi, saya tidak malu tersingkir awal paling utama saya dapat menimba pengalaman dalam akademi. Pengalaman itu tidak boleh dijual beli.

“Dengan pendedahan selama dua minggu di akademi semakin ramai yang tahu bakat saya. Tiada kekesalan di hati kerana daripada 9,000 penyertaan saya terpilih ke akademi.

“Mungkin faktor penyingkiran awal kerana sikap pendiam saya dan tiada ‘drama’ di akademi membuatkan pengundi kurang memberi perhatian. Saya menjadi diri saya sendiri. Penonton agaknya mahukan pelajar yang agresif seperti Aril (Khairil Azam Pilus).

“Perancangan karier saya selepas ini terpulang kepada Astro. Saya akan ikut jadual yang ditetapkan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, konsert mingguan kedua AF7 melakukan transformi dengan memberi dua lagu kepada pelajar yang digubah dalam bentuk medley. Perubahan ini juga barangkali digunakan untuk menutup kelemahan pelajar yang begitu ketara pada konsert pertama dua minggu lalu. Tidak banyak perubahan pada pelajar cuma ada seorang dua yang boleh dipuji seperti Claudia, 24, (Claudia Fay Geres) dan Hafiz, 19, (Mohd Hafiz Mohd Suip).

Persembahan tiga pelajar pertama, Afiq Hakim Ahmad atau Akim, 18, dengan lagunya Satu (Dewa 19) dan Buronan Cinta (The Lima), Rubisa Tiasin, 23, menerusi lagi Dingin (Ziana Zain) dan Gagap (Stacy) dan Mohd Qhauhd Abdul Rashid atau Qhaud, 25, yang menyanyikan lagu Bila Nak Saksi (Spider), Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussain), boleh memikat penonton dan juri. Bagaimanapun, nyanyian daripada pelajar selepas itu bagaikan tiada hala tuju.

Pun begitu persembahan dalam bentuk medley itu percubaan yang baik untuk menguji kecekapan pelajar menukar rentak, gaya dan mood nyanyian tetapi rata-ratanya perlu berusaha lebih kuat. Bukan hendak membuat tuduhan terburu-buru tetapi mungkin populariti yang sedia menanti di luar sana menjadikan mereka kurang berusaha.

 

 

Alasan diberikan baru dua minggu di akademi, tetapi jika mereka benar ingin menjadi penyanyi yang berilmu dan berwawasan jangan salahkan tempoh waktu serta jangan terlalu cepat terbuai dengan keindahan dunia hiburan. Usah terlalu mengambil mudah kerana bekas pelajar AF terdahulu sudah melalui pahit getirnya menjadi anak seni.

Menurut Tiara, setiap minggu fakulti AF7 akan menyediakan konsep persembahan berbeza untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar.

“Minggu ini konsep persembahan berbentuk medley untuk memberi peluang kepada setiap pelajar membawakan lagu berentak perlahan dan rancak. Ia cabaran besar kepada pelajar dan tenaga pengajar kerana perlu membuat persediaan 28 lagu dalam masa beberapa hari saja.

“Saya dapat rasakan pelajar bekerja kuat dan Adila antara yang menunjukkan peningkatan paling bagus. Kebanyakan pelajar masih baru dan tiada kefahaman mengenai lagu. Ini semua satu proses pembelajaran, tetapi mereka ada peningkatan. Dalam masa singkat mereka kena belajar semua perkara.

“Di akademi kami mahu melahirkan pelajar serba boleh, menari, menyanyi dan berlakon kerana untuk menjadi penghibur semua elemen itu perlu ada pada mereka. Minggu ini kami sepakat untuk memfokuskan kekurangan setiap pelajar untuk memantapkan lagi persembahan mereka.

‘Pelajar yang ada masalah vokal di samping mengikuti kelas sedia ada, perlu mengikuti kelas tambahan untuk vokal,” katanya.

Atas nama transformasi juga, pelajar mempersembahkan lagu Menuju Puncak pada awal persembahan yang sekali gus mengembalikan semula identiti AF.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Nasir Lupa Judul Drama

5 Mar

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

MUNGKIN tidak banyak publisiti membabitkan pelakon Nasir Bilal Khan sama ada di akhbar mahupun majalah. Namun, Nasir, 46, tetap menjadi pilihan pengarah dan penerbit tempatan untuk beraksi dalam drama mereka dari dulu sampai sekarang.

Malah, sudah ratusan drama termasuk beberapa filem dilakonkan sepanjang pembabitannya lebih 25 tahun dalam bidang lakonan.

Nasir popular menerusi filem Perempuan, Isteri dan… bersama Sofia Jane, mengakui sudah lupa judul drama yang dilakonkan sebelum ini kerana banyak sangat.

“Antara drama terbaru, bersama pelakon Vanidah Imran arahan pengarah Rashid Sibir untuk TV3. Itupun saya sudah lupa judulnya,” katanya.

Dalam pertemuan dengannya di lokasi penggambaran drama bersiri Kejar arahan Bade Azmi di Seri Kembangan baru-baru ini, Nasir sudi berkongsi rahsianya mampu bertahan sebagai anak seni sampai sekarang.

“Sebenarnya, berlakon adalah satu tanggungjawab kepada masyarakat kerana bagi saya, drama adalah santapan rohani kepada masyarakat. Ia sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mendidik masyarakat menerusi lakonan.

“Ada orang berlakon untuk suka-suka sebaliknya saya berlakon dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Apa yang penting, hasil kerja saya itu diterima dengan baik oleh masyarakat.

“Saya berlakon kerana minat dan berlakon juga profesion yang sangat menarik kerana saya berpeluang menjadi pelbagai karakter yang orang biasa tidak dapat lakukan.

“Watak ditawarkan pada saya juga pelik-pelik kerana pengarah fikir hanya saya boleh bawa watak sedemikian,” katanya.

Antara drama yang paling meninggalkan kesan pada dirinya ialah Pinggiran arahan Ismail Yaakob dan Cinta Si Penggali Kubur bergandingan dengan pelakon Sheila Rusly.

“Dalam Pinggiran, saya berganding dengan Ida Nerina. Saya bawa watak orang buta dan Ida pula bawa watak gadis pekak. Banyak mesej mendalam tersirat dalam drama ini yang boleh memberi pengajaran berguna kepada masyarakat.

“Selain itu, watak sebagai penggali kubur dalam Cinta Si Penggali Kubur antara satu lagi karakter menarik yang meninggalkan kesan dalam diri saya,” katanya.

Bersandarkan pengalaman yang ada, Nasir berkata, dia juga bertuah kerana mendapat semua watak yang didamkan sebagai pelakon.

Katanya, dia dan pengarah saling memahami kemahuan masin-masing.

“Setakat ini, watak yang ditawarkan juga menepati kehendak saya. Selagi tidak dapat skrip yang bagus, saya tidak akan terbabit dalam sesebuah projek drama, filem mahupun teater.

“Terus terang, saya jarang jumpa skrip yang bagus ketika ini dan kalau jumpa yang bagus pun, keadaan pula tidak mengizinkan saya merealisasikan projek itu,” katanya.

Sekalipun banyak berlakon drama, Nasir yang seangkatan dengan Sidi Oraza dan Shaharudin Thamby berkata, beraksi di pentas teater lebih memberi kepuasan padanya sebagai anak seni.

“Penggambaran drama perlu disiapkan dalam waktu yang cepat kerana mengejar waktu siaran di televisyen. Idea memang menarik tapi ia tidak dapat direalisasikan seperti dikehendaki pelakon. Malah, saya banyak buat drama kerana ingin menolong kawan-kawan.

“Skrip teater pula lebih menepati kehendak saya dan saya lebih puas berkarya. Sebab itu, saya berasa lebih puas beraksi di pentas teater berbanding drama. Malah, saya pernah terfikir ingin bersara kerana berasa perjuangan saya sebagai anak seni seolah-olah tidak dihargai,” katanya.

Mengenai rumah tangganya, selepas bercerai dengan pelakon Azizah Mahzan, Nasir berkahwin buat kali kedua dengan Umi Kalsom Majid.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan tiga anak yang semakin membesar, Mohd Naqib Nasirudin, 14; Mohd Akhalil Aizudin, 12 dan Nur Alia Maisara, 10 tahun.

Bagaimanapun, tambah Nasir, tiga anaknya itu lebih cenderung memilih bidang keagamaan berbanding lakonan.

“Saya juga menghantar mereka ke sekolah agama (pondok) dan impian saya untuk melihat mereka menjadi ulama bila dewasa nanti,” katanya.

Harian Metro

Gementar Tapi Tak Sabar

12 Feb

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
SELAMA enam musim Akademi Fantasia (AF) bersiaran, tidak pernah terlintas di minda Hashridz Murshim Hassim atau Acis, 39, suatu hari nanti akan dilamar menjadi sebahagian daripada keluarga program realiti itu. Ini kerana dia sendiri lebih selesa bekerja di belakang tabir daripada menjadi tumpuan ramai.

Namun begitu, tawaran daripada Astro yang melantiknya menjadi pengarah muzik AF7 sukar dilepaskan. Tawaran itu datang ketika dia dan isteri, Datuk Sheila Majid, mengerjakan haji di Makkah tahun lalu.

“Sebelum ini saya pernah terbabit dalam program terbitan Astro antaranya, Bila Larut Malam yang dihoskan Afdlin Shauki, tetapi inilah kali pertama saya bersama AF. Saya tertarik menerima tawaran ini kerana AF program realiti francais paling berjaya di negara ini.

“AF juga antara program pencarian bakat baru yang mempunyai reputasi bagus. Saya tahu ramai pengikut setia AF ramai, jadi walaupun sudah 22 tahun terbabit dalam bidang muzik, saya sedia dikritik untuk menjadikan hasil kerja bertambah bagus.

“Dalam bekerja, sukar temui kepuasan dan setiap detik kita ingin menjadi lebih baik. Namun, jangan bandingkan kerja saya dengan Ramli MS kerana dia menggunakan muzik orkestra tetapi saya selesa menggunakan band dengan lima pemuzik.

“Saya akan mencari lima pemuzik terbaik tanah air untuk mengiringi nyanyian pelajar AF musim ini. Dengan pelantikan ini saya tidak boleh mempersiakan kepercayaan Astro dan mereka pilih saya pun mungkin kerana rekod kerja yang baik selama ini.

“Pihak Astro melamar ketika berada di Madinah tetapi saya beritahu mereka tunggulah saya balik untuk berbincang berhubung tugasan saya di AF. Sejak tahun lalu saya dengar mereka ingin mengambil menyertai tenaga kerja AF tetapi baru tahun ini rezeki saya sampai untuk bersama program ini,” katanya.

Lima musim lalu, pelajar AF membuat persembahan dengan minus one tetapi menurut Acis, menggunakan band muzik lebih dinamik.

“Dengan menggunakan band juga saya boleh mengubah susunan muzik apabila perlu mengikut kesesuaian lagu dan suara pelajar. Setiap gubahan lagu perlu mengikut kemampuan pelajar sama ada mereka boleh ‘bawa’ atau tidak kerana tumpuan utama pada konsert AF adalah pelajar itu sendiri. Jadi, saya tidak boleh gubah muzik mengikut selera sendiri,” katanya.

Jelasnya dia tidak gementar tetapi tak sabar untuk memulakan tugas di AF. Acis juga menyifatkan AF platform besar dan memberi pendedahan luas kepada mereka yang terpilih menyertai program itu.

“Tidak dinafikan ramai menjadi terkenal selepas muncul dalam AF. Apapun tanggungjawab yang digalas ini sangat besar kerana mereka yang pernah memegang jawatan ini terdiri daripada nama besar dalam industri,” katanya.

Ida Nerina, 43, yang dilantik menjadi guru seni persembahan/lakonan dan A Aris A Kadir, 36, selaku guru koreografi, berkongisi debaran sama.

Kata Aris yang berpengalaman sebagai koreografer teater untuk pelbagai projek termasuk Muzikal Tun Ismail, Muzikal Sirah Junjungan dan Muzikal Tunku akan menggunakan segala kemahiran yang ada untuk menggilap bakat pelajar AF7.

Tiga lagi tenaga pengajar AF7, Fatimah Abu Bakar (guru motivasi dan bahasa Inggeris), Siti Hajar Ismail (guru vokal teknikal) dan Syafizawati Sharif (guru persembahan vokal).

AF tahun ini juga mengekalkan AC Mizal atau Mizal Zaini sebagai pengacara konsert AF dan Sarimah Ibrahim akan mengendalikan program Diari AF dan Diari INT AF. Pada musim ketujuh ini juga, AF memperkenalkan program baru, Diari EXT AF7.

Harian Metro

Drama Hartamas Temui Penonton Di Ntv7, Ahad

6 Feb

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Diana Rusdi

MELINGKARI arus serba kemodenan hari ini, pelbagai perubahan kian dirasai terutama gaya hidup yang cukup ketara.

Berlatar belakangkan kota metropolitan hari ini, drama bersiri Hartamas yang bakal disiarkan ntv7 setiap Ahad bermula 8 Februari, jam 8.30 malam mengupas kehidupan sebuah keluarga urban yang disampaikan di dalam bentuk komedi.

Pengarahnya, Kabir Bhatia berkata, judul Hartamas yang dipilih adalah mewakili satu tempat yang cukup dikenali di ibu kota ini.

“Pemilihan Hartamas ini adalah kerana kebanyakan penghuni kota hari ini cukup mengenali tempat ini. Kehidupan yang dianggap serba urban ini cukup sesuai dengan pengisian jalan cerita yang ingin disampaikan.

“Hartamas juga adalah dianggap sebagai sebuah drama komedi yang unik dari segi jalan penceritaannya dan saya berharap ia menepati apa yang diinginkan oleh penonton,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama itu baru-baru ini.

Sebagai pelakon yang berpengalaman dalam pelbagai genre drama dan filem, Rashidi Ishak yang menerajui sebagai watak utama dalam drama itu turut merasai kelainan peranan yang pernah diterimanya selama ini.

“Setiap drama atau filem pasti mempunyai kelainan tersendiri dari segi perwatakan jalan cerita atau apa saja, namun saya mengakui drama ini turut menguji bakat lakonan saya.

Cara penulis melahirkan watak saya cukup mencabar, kesukaran bagi saya adalah melahirkan watak komedi dalam gaya yang agak sinis.

“Perspektif yang sangat berbeza diberikan pengarah dalam drama ini sesuatu yang bersesuaian untuk ditonton masyarakat kini yang menyelitkan pelbagai mesej berguna untuk semua,” katanya.

Gaya hidup urban yang kian diikuti masyarakat kini mendapat tarikan pihak NTV7 untuk menghasilkan drama disamping menyampaikan mesej berguna kepada masyarakat. Ia diakui sendiri Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul.

Menurut Airin, tahun 2009 menandakan sebuah lagi tahun yang mencabar buat ntv7, terutamanya dengan tumpuan yang lebih atas drama tempatan berkualiti seperti Hartamas.

“Dengan khidmat pengarah berpengalaman, Kabir Bhatia menggerakkan Hartamas dalam sebuah drama komedi yang amat berbeza daripada pengarahnya sebelum ini.

“Walaupun drama yang hanya dilakonkan oleh empat pelakon utama saja iaitu Ida Nerina, Rashidi Ishak, Faezah Elai dan Diana Rusdi namun impak yang dihasilkan sangat kuat. Drama seperti inilah yang diinginkan oleh pihak kami disamping sangat bersesuaian untuk tontonan seisi keluarga,” katanya.

Drama Hartamas mengisahkan seorang akauntan bernama Johari bertemu dengan pereka fesyen yang tegas. Bagi bapa tunggal seperti Johari dan ibu tunggal, Amelia lakonan Ida Nerina dipertemukan dalam kisah cinta klasik antara dua hati yang berbeza umpama langit dan bumi.

Berita Harian

Ku Seru Ke Layar Perak

4 Feb

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

KRU dan pelakon yang terbabit merealisasikan Hartamas.

Karya hebat pikat Kabir Bhatia yang kini gigih hasilkan drama bersiri Hartamas untuk ntv7

SELEPAS drama bersiri Ku Seru mendapat sambutan baik daripada penonton, pengarah berasal dari Bombay, India, Kabir Bhatia, bercadang untuk mengangkatnya ke layar perak pula.

Katanya, Ku Seru dianggap sebagai satu karya yang bagus dan menjadikan sebuah filem pula mungkin satu langkah yang baik disebabkan drama bersiri itu kini sudah ada penontonnya sendiri.

“Memang kita akan mengangkatnya ke layar perak. Malahan kalau semuanya berjalan lancar, filem Ku Seru akan memulakan penggambaran Mei ini dengan kerjasama Grand Brilliance dan Filmscapes.

“Lagi pun, sejak dihasilkan dalam bentuk drama lagi, hari demi hari ia mula mengumpul kelompok peminatnya tersendiri. Strategi menghasilkan Ku Seru ke format filem ini membolehkan apa yang menjadi kekangan sebelum ini dilebarkan lagi, misalnya, dalam soal tempoh masa tayangan,” katanya ketika ditemui selepas penggambaran drama bersiri Hartamas untuk ntv7 di Taman Tasik Prima, Puchong, baru-baru ini.

Kabir berkata, dia berusaha untuk mengekalkan barisan pelakon asal drama Ku Seru itu apabila ia dibuat dalam filem.


GANDINGAN sulung, Faezah Elai dan Rusdiana Rusdi disatukan dalam drama Hartamas.

“Besar kemungkinan kita akan kekalkan pelakon asal dan ini secara tidak langsung menerusi filem ini, kita dapat mengajak penonton TV ke pawagam selain peminat filem sedia ada.

“Tidak mustahil kalau filem ini (Ku Seru) mendapat sambutan kelak,” katanya.

Kabir Bhatia yang mula mengarah sejak 10 tahun lalu, sudah lebih 30 drama dihasilkan sejak mula berkecimpung tahun 1997 di syarikat Antah UTV. Ketika itu, dia mula mengarahkan drama beberapa buah drama TV seperti City Of Rich dan Astana Idaman.

Langkahnya disusun rapi dengan terus mengorak langkah dalam pengarahan filem. Filem Cinta dan Sepi antara filem yang terus mengukuhkan kerja seninya dalam dunia perfileman tanah air.

Konflik dua beradik

SEMENTARA itu, siri drama Hartamas arahan Kabir akan mula disiarkan di ntv7 pada 8 Februari ini, jam 8.30 malam. Drama ini menampilkan pelakon Rashidi Ishak, Ida Nerina, Rusdiana Rusdi dan Faezah Elai sebagai peranan utama.

Drama Hartamas adalah drama kedua kerjasama Kabir bersama ntv7 selepas Frontpage yang disiarkan tahun lalu.

Idea menghasilkan drama yang dikelaskan sebagai komedi situasi ini terbit ilham isterinya Mira Mustaffa. Drama ini sepatutnya dijalankan penggambaran tahun lalu namun disebabkan kesibukan pengarahnya menjadikan ia hanya dapat dilakukan tahun ini.

Menurut Kabir, drama ini menggunakan khidmat Alfie Palermo sebagai penulis skrip. Alfie turut menghasilkan skrip untuk drama Frontpage. “Ceritanya mengenai kehidupan dua keluarga tunggal yang masing-masing mempunyai dua anak belajar di kolej sama. Apa yang cuba ditonjolkan ialah bagaimana untuk mewujudkan keserasian jika mempunyai pertentangan tarikan dalam pelbagai aspek. Ia menceritakan bagaimana dua jantina, lelaki dan perempuan, janda dan duda yang jatuh cinta dan berkahwin dan harus berdepan dengan kerenah anak mereka. Kekecohan melanda apabila kesemuanya tinggal di sebuah rumah,” katanya yang bakal muncul dengan filem terbaru arahannya berjudul Stamp, Mac ini.

Pada masa yang sama, Kabir juga akan mengarahkan siri drama, Nur Kasih sebanyak 24 episod bagi siaran TV3. Drama seperti filem Ayat Ayat Cinta akan disiarkan selama dua kali seminggu.

Di lokasi penggambaran, Faezah Elai antara yang terus menghidupkan suasana dengan loghat pekat Utaranya. Lucunya, hampir semua krew dan pelakon turut terikut-ikut loghat pelakon dari Pulau Pinang ini.

Drama ini juga yang pertama menggandingkan Faezah dan Rusdiana Rusdi, masing-masing memegang watak Edrina dan Juita. Bagi Faezah, ini adalah drama kedua lakonannya di bawah arahan Kabir, selepas Sutera Maya.

Senang bekerja dengan Kabir, Faezah menganggap drama Hartamas sebagai sebuah naskhah yang menyeronokkan.

“Sewaktu membaca skripnya lagi cerita ini sudah membuatkan saya ketawa sendirian. Ia adalah satu gabungan mantap dengan skrip dan corak pengarahan yang baik,” katanya yang pernah muncul dalam filem Otai.

Begitu juga dengan Rusdiana, Hartamas adalah drama kedua, dia mendapat peluang bekerja di bawah pengarahan Khabir Bhatia. Sebelum ini, Rusdiana berlakon di bawah arahan Kabir menerusi drama Kasih Suci. Kebelakangan ini, namanya sering meniti bibir di stesen ntv7 kerana dua buah drama yang dilakonnya iaitu Ampang Medikal dan Hartamas disiarkan di saluran itu.

Tidak menjadikan kerjaya lakonan sepenuh masa, Rusdiana sepatutnya menyambung pengajiannya di dalam bidang Perhubungan Awam.

Menurutnya, bidang itu sudah sebati di dalam dirinya apatah lagi pernah membuat latihan praktikal di sebuah syarikat mempraktikkan bidang yang sama.

“Saya sedar juga mengenai perkara ini bagaimanapun ia satu kebetulan. Saya selesa dengan ntv7 kerana mula terbabit sebagai pengacara Whoa! di stesen itu sejak 2006,” kata Rusdiana.

Sinopsis Hartamas

Drama ini berlatar belakangkan kawasan Hartamas yang terletak di pinggir kota. Johari (Rashidi Ishak) dari Sri Hartamas mula berkenalan dengan Amelia (Ida Nerina). Tertarik dengan perwatakan dan rupa paras Amelia, Johari cuba untuk menawan hatinya dan akhirnya mereka bersatu di jinjang pelamin. Konflik dan situasi lucu muncul apabila anak mereka, Edrina (Faezah Elai) dan Juita (Rusdiana Rusdi) yang belajar di kolej yang sama namun mempunyai pertentangan karakter hingga sering mengundang perbalahan di antara mereka. Apakah akan berlaku apabila mereka tinggal sebumbung dan berjayakah perkahwinan kedua ibu bapa mereka?

Berita Harian

Genre Khabir

31 Jan

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

Rap
SAMA ada filem ataupun drama, karya sutradara prolifik ini sudah diakui keberkesanannya dalam memancing minat khalayak. Sejak filem Cinta dan Sepi memasuki industri perfileman Malaysia, ramai yang mula membuka mata terhadap kredibilitinya.

Di samping itu, ramai juga yang memuji drama bersiri, Kekasihku Seru yang menghiasi slot Seram di TV3 tidak lama dulu. Dek kerana berani mencuba sesuatu yang baru, nama Khabir Bhatia mula meniti di bibir penonton.

Justeru, kerjaya sutradara ini semakin bertambah dan sekarang dalam proses menyiapkan drama bersiri Hartamas yang bakal ditayangkan menerusi saluran ntv7 bermula 8 Februari ini.

Jelas Khabir, selepas kejayaan Kekasihku Seru yang menceritakan mengenai saka dan cinta, sutradara ini sekali lagi mahu mengangkat kisah cinta. Begitupun, ia bukanlah cinta biasa sebaliknya diselangkan dengan elemen komedi.

“Meskipun soal cinta banyak dimainkan menerusi drama tempatan mahupun luar, apa yang penting adalah pengisiannya. Dalam Hartamas, ia mengisahkan mengenai seorang ibu dan ayah tunggal. Apa yang menariknya, kedua-dua anak perempuan mereka berada dalam satu kolej yang sama dan sering bermusuhan.

“Nak dijadikan cerita, ibu dan ayah kepada dua gadis ini akhirnya jatuh cinta dan berkahwin malah mereka yang bermusuhan terpaksa tinggal sebumbung. Dalam masa sama, pelbagai perkara yang menggelikan hati dipaparkan.

“Selepas memaparkan cerita seram, saya mahu mencuba genre romantik komedi pula. Rasanya, cerita yang mengetengahkan mengenai kehidupan masyarakat sederhana ini akan menjadi paparan menarik untuk tontonan.

“Penggambaran drama ini memakan masa hampir dua bulan yang menggandingkan Noorfaezah Elai, Rashidi Ishak dan Ida Nerina sebagai teraju utama. Saya yakin, mereka mampu menjiwai watak yang diberikan,” kata anak kelahiran Mumbai, India ini.

Terbaru, Khabir juga akan meneruskan drama bersiri Kekasihku Seru yang sudah ditamatkan siarannya. Jelas pengarah ini, kerana kejayaan drama berkenaan ia bakal disambung semula dalam bentuk filem.

“Jika tiada aral, penggambaran filem ini akan dilakukan secepat mungkin. Kerana penerimaan penonton kepada siri drama yang dipaparkan tidak lama lalu, ia menyuntik semangat kepada saya dan pihak pengurusan untuk membawa cerita ini ke layar perak.

“Begitupun, jangan samakan filem yang bakal ditayangkan ini dengan drama itu. Drama dan filem adalah dua genre berbeza. Apa yang boleh saya katakan, filem ini menampilkan banyak kelainan berbanding drama itu.

“Malah, penonton pasti lebih puas menonton filem ini apabila kesan khas yang digunakan nanti lebih menarik. Ia juga akan menjawab segala persoalan yang ditinggalkan drama berkenaan. Dalam masa masa, filem komedi saya berjudul setem juga akan ditayangkan di layar lebar tidak lama lagi,” jelas Khabir yang nyata teruja dengan penggambaran filem berkenaan.

Mengulas mengenai kerjaya seninya, sutradara ini mahu dikenali sebagai seorang pengarah versatil. Sebagai pengarah, dia tidak mahu kerjaya seninya tertumpu kepada satu genre sahaja.

“Saya sudah mencuba pelbagai genre cerita. Malah, dalam pelbagai genre berkenaan, saya lebih meminati filem bercorak seram. Bukan apa, filem begini agak sukar untuk dikendalikan berbanding genre lain.

“Sebagai pengarah, saya suka memaparkan pelbagai idea baru dan segar untuk dipertontonkan kepada umum. Jika saya mengarah sesebuah filem atau drama, saya akan memastikan ia dipenuhi dengan pengisian yang menarik,” jelas pengarah ini.

Harian Metro

Faezah Masih Fobia

31 Jan

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

Rap

PERCUBAAN pertama menerusi filem Otai lebih setahun lalu gagal menyerlahkan bakatnya. Dia bukan saja terpaksa menadah telinga dengan kritikan pedas pelbagai pihak bahkan kehadirannya dilihat sekadar penyendal di sisi pelakon berpengalaman, Saiful Apek dan Nasha Aziz.

Lebih menghiris hati dia yang memegang watak sebagai Mawar dilabelkan pemusnah filem hingga fobia beraksi lagi di layar perak. Hingga kini dia masih dihantui perasaan serik bahkan berulang kali menjelaskan belum bersedia memanjangkan karier sebagai pelakon filem apabila perkara ini dibangkitkan.

Hakikatnya, dalam diam banyak tawaran filem menyusul, antaranya Duyung dan Nana Tanjung namun semuanya ditolak atas alasan bimbang tidak mampu menjiwai watak dengan baik. Lagipun gadis kacukan Punjabi sebelah bapa dan Siam (ibu) ini merasakan belum masanya lagi dia bergelar pelakon filem dan biarlah bakatnya digilap menerusi drama terlebih dulu.

“Macam-macam cemuhan dilemparkan kepada saya apabila filem Otai ditayangkan. Seminggu saya tidak beli akhbar kerana tidak mahu tahu apa komen media terhadap persembahan saya. Kebetulan pula Otai ditayangkan ketika sambutan Aidilfitri dan saya pulang ke Pulau Pinang.

“Bila bertandang ke rumah saudara-mara, ramai yang bercerita mengenai kritikan itu tetapi saya pekakkan telinga. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Malu, kecewa dan sedih bercampur baur.

“Bukan tidak boleh menerima kritikan tetapi sebagai pendatang baru sudah tentu ia mimpi ngeri bagi saya. Gara-gara maklum balas negatif itu, saya ambil masa enam bulan untuk berlakon semula. Sepanjang tempoh itu saya fokuskan perhatian kepada mengacara program Gegar U,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Hartamas.

Meskipun hampa dan masih dibelenggu rasa was-was, anak jati Gelugor, Pulau Pinang ini memberanikan diri menjayakan drama Cinta dan Keadilan. Apabila mula yakin dengan jalan yang dipilih, dia kemudian membintangi siri Enigma, diikuti Puteri, Cempaka Berbunga dan Sutera Maya.

“Cempaka Berbunga mengubah persepsi saya terhadap kemampuan diri. Banyak perkara saya pelajari di lokasi antaranya bagaimana menghayati watak serta mengalirkan air mata. Saya berterima kasih kepada produksi ini kerana tidak lokek berkongsi tips dan ilmu. Alhamdulillah saya kini tidak lagi kekok mengalirkan air mata andai itu yang diminta skrip.

“Keyakinan itu dapat disaksikan dalam watak gadis tomboi bernama Maya Sofea menerusi drama Sutera Maya. Syukur ramai mula menerima bakat ini dan ia secara tidak langsung membuka jalan kepada saya bergerak lebih jauh dalam bidang ini.

“Bagaimanapun, seperti yang dijelaskan tadi, saya belum bersedia beraksi di layar perak. Kalau ikutkan tawaran memang banyak tetapi saya tidak mahu ambil risiko. Pengalaman lalu mengajar saya supaya lebih berhati-hati.

“Jika tidak mampu bawa watak yang ditawarkan jangan cari pasal. Insya-Allah, jika bertemu karektor sesuai, mungkin hati saya terbuka,” katanya yang percaya bagus atau tidak seseorang pelakon itu terletak di tangan pengarah.

Menyingkap perkembangan terbaru, Faezah kini menghabiskan sebahagian besar masanya di lokasi penggambaran drama komedi berjudul Hartamas arahan Kabir Bhatia.

Drama terbitan bersama Juita Viden dan Filmscape ini berlatarbelakangkan kawasan Hartamas di Lembah Klang yang sinonim dengan gaya hidup mewah.

Mengisahkan Johari, lakonan Rashidi Ishak berkenalan dengan ibu tunggal, Amelia (Ida Nerina). Johari tertarik dengan perwatakan dan rupa paras Amelia. Kebetulan, anak perempuan Johari bernama Juita (Diana Rusdi) menuntut di kolej yang sama dengan anak perempuan Amelia, Edrina (Faezah Elai).

Kedua-duanya memiliki perwatakan berbeza dan saling bermusuhan. Juita popular, cantik dan serba boleh manakala Edrina pula berjaya menarik perhatian senior dan profesor dengan kebijaksanaan dan keperibadiannya yang selamba.

Apabila Johari dan Amelia memutuskan untuk berkahwin, perasaan benci antara Juita dan Edrina makin menjadi-jadi. Siri bakal ke udara pada 8 Februari ini menerusi saluran ntv7

Demi menjayakan siri 26 episod berkenaan, bekas pramugari ini sanggup menolak beberapa tawaran drama dan filem kerana tidak mahu fokusnya terganggu. Bahkan sudah menjadi prinsipnya tidak melakukan banyak kerja dalam satu masa.

“Alhamdulillah, rezeki saya semakin murah selepas Sutera Maya. Habis saja drama Pemanduku Jutawan, arahan Aziz M Osman, saya terikat dengan penggambaran ini.

“Tawaran menjayakan drama ini datang ketika saya masih di lokasi Sutera Maya. Bagaimanapun ketika itu saya belum memberi sebarang jawapan kerana sibuk dengan penggambaran yang sedang berlangsung.

“Watak saya dalam Hartamas dan Sutera Maya tidak jauh berbeza kerana menuntut saya menjadi gadis berpewatakan kasar. Bagaimanapun, Sutera Maya lebih kepada tomboi manakala drama ini pula ‘minah rock’.

Antara faktor utama menarik perhatiannya terbabit dalam produksi ini adalah bekerja di bawah pengarah ternama selain beraksi di samping dua pelakon senior kegemarannya, Ida Nerina dan Rashidi Ishak.

“Sebagai orang baru, sudah tentu saya teruja beraksi di samping Ida dan Rashidi. Mereka sudah lama dalam industri dan pelakon yang hebat. Saya bertuah dapat berguru dengan mereka sepanjang penggambaran berlangsung.

“Pertama kali bertentang mata dengan Ida saya takut. Terfikir ketika itu adakah saya mampu memberikan persembahan terbaik. Syukur, Ida banyak menasihati dan mengingatkan saya apa yang perlu dilakukan. Sikapnya yang prihatin itu membuatkan saya semakin menghormatinya.

“Bekerja dengan Kabir juga sangat menyeronokkan. Dia pengarah yang sangat teliti dan kerana sikap berhati-hati itu dia mengambil masa yang agak panjang untuk menyiapkan sesebuah produksi. Drama ini misalnya, meskipun hanya 26 episod penggambarannya mengambil masa sehingga Mac ini.

“Saya tidak kisah berada di lokasi ini hampir tiga bulan kerana sedia maklum hasil kerja Kabir tidak mengecewakan. Lihat sajalah filem dan dramanya sebelum ini. Diharap drama kekeluargaan ini memenuhi citarasa ramai,” katanya yang gemarkan watak antagonis.

Meskipun sibuk di lokasi penggambaran, pelakon, model dan pengacara muda ini meletakkan keluarga sebagai keutamaan. Andai tidak terikat dengan jadual seni, dia lebih senang menghabiskan masa di rumah bersama ibu bapa tercinta.

“Sebagai anak sulung, saya rapat dengan keluarga lebih-lebih lagi ayah dan ibu. Jika tidak berkurung di rumah, kami keluar membeli-belah dan jika jika bercuti panjang, biasanya kami pulang ke kampung halaman di Pulau Pinang.

“Saya beruntung kerana keluarga sentiasa menyokong karier saya. Sejak beberapa bulan lalu, kerjaya seni saya diuruskan oleh adik saya, Suzzanna Elai. Kebetulan kontraknya dengan syarikat penerbangan sudah tamat, jadi tidak ada masalah untuknya menemani saya ke mana-mana saja.

“Lagipun Suzzanna berminat menceburi bidang lakonan, jadi ini boleh menjadi ‘platform’ terbaik untuknya memperkenalkan diri kepada mana-mana produksi. Ibu bapa kami tidak menghalang asalkan dia pandai jaga diri dan maruah keluarga,” katanya yang belum bersedia menamatkan zaman bujang.

>Profil

NAMA SEBENAR: Noor Faezah Elai

TEMPAT LAHIR: Gelugor, Pulau Pinang

TARIKH LAHIR: 16 Ogos 1982

STATUS: Bujang

ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada tiga beradik

PENDIDIKAN: Diploma Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

HOBI: Mendengar muzik

KERJAYA: Pelakon, Pengacara dan model

FILEM: Otai

DRAMA: Cinta & Keadilan, Enigma, Cempaka Berbunga, Sitkom Puteri,

Sutera Maya dan Hartamas

IKLAN: Kotex, Canon, Milo, Radox, Vanish, Celcom

HOS RANCANGAN: Mango TV (8TV), TV Trivia (TV3), Inspirasi Comel (RTM), Gegar U (Astro) dan Hypermarket Saga (TV9)

PENCAPAIAN: Best TV Look Elite Model Search 2006 sempena KL Fashion Week dan 50 Goergeous People majalah Female

Harian Metro

Peluang Miliki Koleksi Peribadi Artis

30 Jan

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

BERSAMA sebahagian koleksi yang
akan dijual kepada orang ramai.

Pereka terkenal, Amir Luqman tampil jual pakaian glamor yang pernah diciptanya untuk bintang popular di Amcorp Mall, esok

INGIN memiliki gaun yang pernah dipakai Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Noorkhiriah dan Sharifah Amani? Anda mungkin boleh memiliki pakaian yang pernah digayakan artis kesayangan ramai itu apabila berkunjung ke karnival Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 – Beramal Bersama Bintang di Amcorp Mall, Petaling Jaya, esok.

Pada hari berkenaan, mulai jam 10 pagi hingga 6 petang, peminat bukan hanya mampu mendekati artis pujaan mereka, bahkan sebahagian koleksi peribadi selebriti itu juga bakal menjadi milik orang ramai yang memeriahkan acara terbabit.

Karnival berkenaan dianjurkan dengan tujuan mengumpul derma bagi Tabung NSTP Untuk Gaza, yang dilancarkan NSTP awal Januari.

Bukan saja penyanyi, pelakon, penyampai radio mahupun pengacara TV yang bakal berganding tenaga menyahut seruan gelombang kasihan kemanusiaan ini, malah komuniti pereka fesyen turut melihat acara yang dikelolakan kumpulan NSTP itu sebagai ruang terbaik untuk sama-sama menghulur tangan membantu mangsa keganasan Israel di bumi Gaza.

Justeru, Amir Luqman tidak berfikir panjang apabila dia mendapat tahu wujudnya acara terbabit daripada teman seperjuangan, Calvin Thoo.


ERRA FAZIRA pernah
mengenakan gaun
songket rekaan Amir
Luqman ini.

“Inilah kali pertama saya berasakan diri saya cukup terpanggil untuk sama-sama membantu insan dalam kesengsaraan akibat kekejaman tentera Israel. Saya benar-benar terasa dengan apa yang dialami penduduk Gaza ketika ini,” ujar Amir yang tidak menyembunyikan perasaan geramnya apabila bercerita mengenai serangan askar Yahudi ke atas bumi Palestin.

Lalu, dia mengumpulkan koleksi pakaian rekaannya yang pernah digayakan selebriti tempatan serta pelbagai himpunan aksesori, kasut dan beg tangan untuk dijual pada hari berkenaan.

Tegasnya, daripada dibiarkan saja, baiklah dia menjual koleksi terbabit dengan harga yang lebih murah, dengan harapan hasilnya nanti dapat sama-sama dia dermakan untuk membantu mangsa perang.

“Saya tidak mahu menjualnya pada harga biasa kerana saya sedar, jualan pada hari ini sememangnya untuk disumbangkan kepada tabung amal. Pada hari terbabit, orang ramai boleh mendapatkan barangan berkenaan daripada harga serendah RM1 saja,” katanya sambil membelek sebahagian koleksi yang akan dijual.

Ketika sesi fotografi ini dilakukan, Amir sempat menunjukkan gaun hijau yang pernah digayakan Amani pada Anugerah Skrin 2007. Di sebelahnya, gaun hijau dan hitam yang digayakan aktres Noorkhiriah, tatkala menaiki pentas menerima trofi pada acara yang sama.

“Gaun berbunga-bunga ini pula dipakai Amani untuk sesi fotografi sehari sebelum dia membotakkan kepala untuk menjayakan filem Muallaf,” cerita Amir mengenai sebahagian koleksi yang dibawanya pada hari berkenaan.

Selain Siti, Erra, Noorkhiriah dan Amani, rekaan Amir juga tidak asing di badan Datin Seri Tiara Jacquelina, Rossa, Krisdayanti, Datin Natasha Hudson, Aleeza Kassim, Ida Nerina, Amylea Azizan, Nita, Kat Mentor dan Kavita Kaur.

“Kavita ialah selebriti pertama memakai rekaan saya pada 2005. Ketika itu, saya masih lagi bertatih dalam bidang rekaan, sebaik saja menceburi bidang ini setahun sebelumnya. Sejak itu, dia antara artis yang menjadi pelanggan tetap saya sehingga sekarang,” katanya yang bagaimanapun ingin menyimpan gaun dipakai selebriti tinggi lampai itu sebagai kenangan.

Diusik dengan pertanyaan apakah koleksinya nanti hanya akan disambar peminat berbadan langsing, Amir cepat-cepat menyangkal.

“Jangan bimbang, sebahagian koleksi saya turut boleh digayakan mereka yang berbadan agak berisi. Lebih kurang 50 koleksi pakaian mungkin saya bawa untuk acara jualan jumble itu. Jadi, pasti ada pelbagai saiz untuk sesiapa saja. Begitupun, siapa yang cepat, dialah yang dapat,” kata pereka berasal dari Kelantan ini.

Ujarnya, dia amat memahami, sebahagian peminat bukan hanya ingin bersua muka dengan selebriti diminati mereka, malah jika boleh, barang yang mempunyai kaitan terus dengan golongan terkenal itu juga ingin dimiliki. Menyedari hakikat itu, dia sedaya mungkin akan meletakkan harga yang dikira cukup berpatutan bagi membolehkan peminat memiliki barangan berkenaan.

Begitupun, gaun yang baru saja digayakan Siti untuk muncul di muka depan sebuah majalah gaya hidup, mungkin dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding koleksi lain.

“Jika peminat benar-benar ingin mendapatkan gaun dipakai penyanyi tersohor itu sambil menghulurkan derma, saya pasti mereka dengan senang hati akan mendapatkannya juga apabila diletakkan di rak jualan,”ῠkatanya.

Berita Harian