Archive | Imran Ajmain RSS feed for this section

Azharina Dan 20 Lelaki Kacak

21 Apr

Rap
MINGGU Setiausaha yang berlangsung sepanjang April ini bukan saja menghargai setiausaha yang menjadi tulang belakang kejayaan bos mereka, malah memberi ruang kepada peminat berhibur dan bertemu lebih dekat dengan penyanyi pujaan mereka.

Bukan calang-calang penyanyi menjadi pilihan penganjur kerana harga tiket yang mahal dan menjaga nilai eksklusif acara itu. Antaranya Anuar Zain dan Anita Sarawak bersama Faizal Tahir mengadakan persembahan di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara pada 7 dan 8 April lalu.

Sementara itu, Datuk Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti menjadi pilihan Hotel Quality untuk menjayakan persembahan di Matrade Exhibition & Convention Centre, Jalan Duta pada 21 dan 22 April.

Hotel Istana pula memberi kelainan dengan menampilkan Azharina bersama 20 artis lelaki popular Malaysia dan Indonesia di Ballroom Grand Mahkota, Hotel Istana, esok, jam 11 pagi hingga 4 petang.

Dua penyanyi lelaki, Faizal Tahir dan Imran Ajmain juga diundang menghiburkan tetamu dan bakal digamatkan lagi dengan kehadiran tiga pengacara, AC Mizal, Afdlin Shauki dan Ally Iskandar.

Ternyata Azharina juga tidak keseorangan dikelilingi kumbang kerana bakal diserikan Jaclyn Victor. Apa yang menarik, Azharina bakal berduet dengan penyanyi Indonesia, Rio Febrian. Turut membuat persembahan, Delon (Indonesian Idol) dan Irwansyah.

Persembahan itu akan disiarkan secara langsung dalam program Wanita Hari Ini di TV3. Harga untuk seorang, RM350++ dan RM290++. Sajian hari itu, makanan Padang dari Sumatera Barat. Untuk tempahan hubungi 03-21419988 sambungan 3667.

Bill Bora selaku wakil publisiti untuk persembahan itu menerbangkan Rio Febrian, Delon, Irwansyah, Ariffin Putra, Samuel Rizal dan Didi Riyadi dari Seberang.

Aktor popular tanah air pula diwakili Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Awal Ashaari, Aaaron Aziz, Ashraf Muslim, Iqram Dinzly, Aqasha, Kamal Adli dan Fizo. Mereka semua akan menggayakan kostum rekaan Lord’s Tailor.

Bill Bora berkata, artis Indonesia itu akan menyanyikan lagu ciptaan komposer tanah air kerana dalam pemilihan lagu, pihaknya berkeras untuk menyanyikan lagu gubahan komposer tempatan.

 

 

“Mereka datang membuat persembahan di sini, jadi mereka kenalah ikut cara kita. Negara kita juga mempunyai ramai komposer ternama,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Terima Lamaran Rio

20 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Cari keserasian dalam persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Istana pada 22 April bersama 20 selebriti popular

DALAM keadaan pasaran muzik yang tenat dek kelembapan ekonomi yang melanda seluruh negara hingga ada syarikat rakaman yang terpaksa ‘bungkus’ daripada terus beroperasi dan menjana pendapatan sektor itu, penyanyi berstatus janda, Azharina Azhar tegar untuk meneruskan hasrat mengeluarkan album mini yang diterbitkan syarikat miliknya.

Mengendalikan Top 3 Production Sdn Bhd dan Azharina Entertainment, dia yang mesra dengan sapaan Nina kini dalam perkiraan untuk melancarkan single sulungnya berjudul Rawan di negara seberang. Bukan omong kosong kerana single itu bakal diedarkan menerusi sebuah syarikat bernama Lima Dua Belas.

Syarikat yang menguruskan beberapa nama besar seperti Rossa itu menjadi pilihan Nina selepas beberapa perbincangan sejak awal Mac lalu. Pertemuan serampang dua mata itu juga memberikan ruang baru kepada Nina apabila penyanyi Rio Febrian menyatakan keinginan untuk berduet.

Sebagai permulaan, Nina dan Rio akan berduet buat julung kalinya menerusi persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Istana yang menampilkan 20 selebriti lelaki popular pada 22 April ini.

“Nina sendiri tak menyangka yang Rio menyatakan hasrat untuk berduet ketika pertemuan kami di sana. Semuanya masih dalam perancangan dan Nina anggap itu semua bagaikan rezeki terpijak. Nina sedar keadaan pasaran memang mungkin membantutkan hasrat penyanyi untuk membikin album penuh. Pendekatan melahirkan album mini atau menerbitkan single antara pendekatan selamat yang diguna pakai kini.


Azharina dan Rio Febrian

“Tapi Nina sedar setiap usaha yang dilakukan berbalik kepada tuah dan rezeki. Lagipun selepas empat tahun tidak muncul dengan album, Nina berasakan 2009 sebagai permulaan yang baik untuk kembali melancarkan kerjaya nyanyian.

“Untuk projek istimewa di Indonesia itu, judul lagu dan perkataan Rawan akan ditukar kepada perkataan lain. Ini kerana tafsiran rawan di sana membawa maksud yang lain iaitu sebuah daerah yang tidak selamat dan merbahaya. Di Indonesia pun penjualan single lebih cenderung kerana penjualan album penuh tidak mendapat sambutan,” katanya ketika ditemui di Hotel Istana minggu lalu.

Nina lepas geram terhadap lelaki

SELEPAS meledak dengan lagu Rawan ciptaan komposer Hazami, Nina kini mempertaruhkan Rasa ciptaannya sendiri dibantu sepupunya, Keyneed. Selain itu, antara lagu yang bakal diisi di dalam albumnya seperti Hey Lelaki, Primadona, Sakarat dan lagu lama yang diberi nama baru dipetik daripada filem Do Re Mi berjudul Gitar Berbunyi. Istimewa juga sebagai hadiah kepada peminatnya, Nina menyelitkan enam lagu yang sama dalam versi karaoke.

Klip video dihasilkan sendiri menerusi syarikatnya dan ada beberapa lagu yang diilhamkan daripada pengalamannya sendiri, rakan dan pengamatannya dalam menjalani kehidupan. Katanya, ada lagu yang begitu dekat dengan dirinya dan boleh dikaitkan dengan orang lain.

“Lagu itu adalah karya yang dihasilkan berdasarkan apa yang dirasa. Ia sekadar lagu yang mungkin kebetulan dirasai orang lain, yang mungkin mengalami perkara yang sama. Lagu Hey Lelaki contohnya saya bawakan dalam versi hip hop dan berkemungkinan akan menampilkan kolaborasi dengan Mimi daripada One Nation Emcees. Lagu itu lebih kepada arah sinikal terhadap golongan lelaki dan lepas geram. Lagu Primadona pula Nina tujukan kepada semua insan yang bergelar lelaki yang pernah mendekati diri ini,” katanya.

Ungkapnya lagi, album mini itu didedikasikan kepada bekas suaminya seorang usahawan, Datuk Shukri Mohamed. Biarpun sudah berpisah sejak Februari tahun lalu, hubungan mereka masih erat seperti tiada apa yang terjadi. Malah, Nina memberitahu tahun lalu dia, bekas suami dan pekerjanya ada makan malam pada 26 Jun tahun lalu.

Mengakui kecewa dengan perpisahan yang berlaku, Nina sendiri tidak menyangka persahabatan yang terjalin selama sembilan tahun dan tiga tahun untuk ikatan perkahwinan berakhir tanpa diduga. Enggan terus dihimpit kenangan lalu, Nina menjelaskan belum bersedia mencari pengganti, malahan cukup bahagia melewati kehidupan bersendiri.

“Dia (Datuk) sendiri bertanya kenapa Nina tidak membikin album. Atas alasan itu, ia membakar semangat Nina untuk muncul setidak-tidaknya dengan album mini. Single Rawan pun sebenarnya membabitkan campur tangannya kerana ia adalah luahan hatinya kepada Nina mengenai apa yang sudah terjadi kepada kami. Apa juga takdir yang sudah tertulis, Nina tetap menghormatinya sebagai sahabat dan rakan kongsi.

“Dugaan hidup menjanda cukup berat dan hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan Nina berdepan dengan cacian, tohmahan dan kritikan orang luar. Bagaimanapun, ia tidak terus menjadi kudis, Nina harus memandang ke depan dan tetap bahagia biar apa juga orang kata. Nina pun tak selalu mengkelaskan diri sebagai janda dan menganggap diri masih solo.

“Kehidupan Nina kini cukup baik, apa lagi yang Nina boleh harapkan selain mendapat rahmat-Nya. Rezeki Nina juga semakin murah dan perniagaan yang dijalankan turut berkembang maju. Mungkin ada rahmat di sebalik apa yang Nina hadapi, ia ibarat azimat yang terus menguatkan Nina menghadapi masa mendatang. Kalau kenang perkara lalu pun tiada guna, buat sakit hati saja,” kata Nina yang belum terbuka pintu hatinya untuk mencari pengganti.

Petikan menarik:

Secara tulus Nina mengatakan yang dia serik untuk berkahwin lagi namun pilihan lelakinya nanti mesti tahu apa yang dituturkan dan cakap serupa apa yang dibikin. Selain itu, lelaki itu mesti jujur dan berpengetahuan agama yang baik.

Tekanan dilahirkan dalam keluarga bermasalah antara punca yang membuatkan penyanyi Elegi Sepi ini terus kuat menghadapi dugaan hidup. Katanya, keruntuhan rumah tangga yang dialami ibu dan bapanya antara sebab dia terus tegar melalui permasalahan yang tidak diundang.

Nina tidak dilahirkan dalam keluarga yang biasa. Usiknya, dia datang dalam keluarga yang cukup luar biasa. Sikap keras kepala dan bermulut lantang diakuinya diwarisi daripada ibu bapanya.

Kalau ada calon kekasih yang meminatinya, Nina mempelawa mana-mana lelaki itu untuk bertemu dulu bekas suaminya. Mungkin juga Nina mahu bekas suaminya merestui siapa pun kemungkinan pilihannya nanti.

Persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Istana adalah tahun keempat di mana Nina menerima undangan membuat persembahan. Beberapa tahun sebelum ini, Nina pernah menjayakan Minggu Setiausaha di Singapura sekitar 2004 dan pernah membuat persembahan bersama M Nasir di PWTC (2005).

Info Minggu Setiausaha Hotel Istana membabitkan 20 Selebriti Lelaki Popular

Tarikh: 22 April ini

Di mana: Ballroom Grand Mahkota

Masa: 11 pagi hingga 4 petang

Harga sekepala: RM350 dan RM290

Turut mendapat kerjasama Lord’s Tailor

Tiga selebriti Indonesia yang diundang untuk membuat persembahan ialah Rio Febrian, Irwansyah dan Delon (Indonesian Idol)

Turut menampilkan penyanyi seperti Faizal Tahir dan Imran Ajmain sebagai penyedap halwa telinga

Dikendalikan oleh hos popular, AC Mizal, Afdlin Shauki dan Ally Iskandar

Tiga bunga, Azharina, Jaclyn Victor dan juara Bintang Idola Berita Harian, Nazatul Farahin sama-sama membuat persembahan nanti. Azharina dan Jaclyn Victor masing-masing akan berduet dengan Rio Febrian, manakala, Nazatul diberi kesempatan berharga berduet dengan Faizal Tahir. Jaclyn Victor pernah berduet dengan Rio Febrian menerusi album Jaclyn sendiri berjudul Inilah Jac.

Aktor popular tanah air yang sudah mengesahkan kehadiran menyeri majlis ini ialah Samuel Rizal, Didi Riyandi, Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Awal Ashaari, Aaron Aziz, Ashraf Muslim, Iqram Dinzly, Aqasha, Kamal Adli, Fizo Omar.

Satu kelainan pada tahun ini, dengan penampilan artis seberang, iat turut merubah menu makanan yang bakal dihidangkan nanti. Menunya berkonsepkan Makanan Padang Sumatera Barat.

Untuk tempahan tiket, boleh hubungi hotline talian 03-21419988 (sambungan 3667).

Laman sesawang: http://www.hotelistana.com.my

Berita Harian

Lelaki Terhangat ABPBH2008

9 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Ketepikan soal menang dan kalah apabila saling mengagumi antara satu sama lain

KETEPIKAN seketika soal siapa menang, siapa kalah, siapa popular dan siapa tidak, kerana sebelum berdepan dengan hari penentuan pada Ahad ini, sekumpulan finalis lelaki Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 terlebih dulu diraikan dalam satu majlis makan tengah hari oleh Lord’s Tailor baru-baru ini.

Sebaik tiba di Restoran Alexis yang terletak di Pusat Beli Belah Bangsar (BSC), sekumpulan pelakon lelaki ini disambut mesra oleh tuan rumah iaitu Robert Loh dan Loh Lee Lee yang sememangnya bermurah hati untuk meraikan semua finalis berkenaan yang berjaya menempatkan diri mereka sebagai finalis ABPBH 2008,

Seronok rasanya melihat Rosyam Nor, Afdlin Shauki, Mawi, Aaron Aziz, Fahrin Ahmad, Aqasha, Ashraf Muslim, AC Mizal dan Farid Kamil masih boleh duduk semeja walaupun ada di antara mereka berada dalam ruang seni yang berbeza.

Bintang Paling Popular untuk tiga tahun berturut-turut, Mawi umpamanya tidak kekok untuk bersembang bersama finalis lain walaupun kesemua mereka dicalonkan untuk kategori pelakon.

Sambil menikmati hidangan ala barat yang disediakan, rancak mulut mereka bersembang. Dan yang paling rajin bercerita sudah semestinya penghulu segala hero yang ada di situ iaitu Rosyam Nor.

Duduk berborak dengan Rosyam, macam-macam cerita yang terpacul dari mulut pelakon handalan itu. Ada topik serius, lucu dan tak lupa menabur nasihat kepada pelakon muda yang ada dikelilingnya pada masa itu.

Bagi Rosyam perkara pertama yang perlu dititikberatkan oleh seseorang yang bergelar artis, tidak kiralah sebagai penyanyi atau pelakon, adalah penampilan diri. Perkara ini timbul selepas dia melihat pelakon Aqasha yang kini berimej baru dan semakin kacak dengan bentuk badan yang sasa selepas bergiat aktif di gimnasium.

“Untuk menjadi artis, perkara yang harus diutamakan adalah menjaga penampilan diri. Kadang-kadang saya tengok ada yang datang ke majlis dalam keadaan yang selekeh. Misai dan jambang tidak berjaga. Peminat tengok pun tak selera.

“Bukan nak kena pakai mahal-mahal tetapi seeloknya biarlah tampil kemas supaya peminat tengok pun suka sentiasa,” luah Rosyam sekali gus berkongsi petua bagaimana dirinya boleh kekal lama dalam bidang ini.

Kagum dengan pelakon pelapis

SEWAKTU sesi sembang santai itu, sempat juga Rosyam meluahkan perasaan terujanya melihat begitu ramai pelakon pelapis yang untuk memeriahkan industri seni.

“Saya tak pernah anggap mereka sebagai pesaing tetapi lebih seronok kerana kehadiran mereka ini sekurang-kurangnya memberi variasi kepada pelakon yang sedia,” katanya Rosyam sambil memuji Aaron yang dianggap sebagai antara pelapis yang perlu diberi perhatian.

Bagi Aaron pula, kata-kata Rosyam itu ibarat pembakar semangat buat dirinya yang sudah dua kali tercalon sebagai finalis ABPBH. Pun begitu, sebagai orang baru dalam dunia seni di Malaysia, pelakon kacak kelahiran Singapura ini tidak pernah menaruh harapan untuk menang.

“Rasa terharu kerana peminat masih mencalonkan nama saya untuk kali kedua berturut-turut walaupun tahun lepas tiada sebarang drama saya ditayangkan di kaca TV memandangkan waktu itu saya begitu sibuk dengan penggambaran filem dan telefilem terbitan Astro,”ujar Aaron yang kini sedang sibuk di lokasi filem seram berjudul Suaka bersama Julia Ziegler.

Majlis santai dan sederhana ini juga diadakan sempena penganjuran majlis Minggu Setiausaha yang bakal diadakan di Hotel Istana, 22 April ini dengan kerjasama Lord’s Tailor, jenama yang sememangnya terkenal sejak 35 tahun lalu.

Selain finalis ABPBH yang hadir, selebriti lelaki lain yang turut terbabit dalam acara itu termasuklah Iqram Dinzly, Imran Ajmain, Fizo Omar dan Aman Zakaria (model).

Berita Harian

Glamor Selebriti Lelaki

4 Apr

Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my

Rap

SELEBRITI tempatan terus dihargai dan dirai. Di dalam situasi ekonomi negara yang disifatkan sebagai kurang menyenangkan sekarang, dunia hiburan tempatan masih terus bernyawa walaupun dalam nafas yang semakin berhati-hati.

Jika tahun lalu 13 selebriti wanita bergaya dengan busana rekaan 13 pereka fesyen muda di majlis Minggu Setiausaha 2008 anjuran Hotel Istana dan Rafflesia, kini tiba giliran 20 selebriti popular lelaki memeriahkan acara sama di ballroom hotel sama, tetapi dengan usahasama Lord’s Tailor.

Jenama Lord’s Tailor sememangnya terkenal sejak lebih 35 tahun, malah makin menjadi sebutan sejak pembuat pakaian eksklusif ini terbabit dalam majlis yang turut dihadiri selebriti dan artis tempatan.

Menurut Pengurus dan Publisiti Acara, Bill Bora, Minggu Setiausaha kali ini lebih eksklusif dan meriah dengan mengetengahkan konsep berbeza. Selain penampilan selebriti popular tempatan, hadirin bakal dibuai dengan lagu nyanyian daripada bintang tersohor Indonesia.

“Kami sentiasa mencari kelainan tetapi pokok pangkalnya, kita cuba membangkitkan satu elemen hiburan di dalam Minggu Setiausaha ini bukan saja daripada segi hiburan di atas pentas, tetapi lebih daripada itu.

“Saya memilih 20 selebriti lelaki daripada kalangan penyanyi, pelakon dan model sebagai tarikan tersendiri untuk menghiburkan hati setiausaha. Mereka boleh beramah mesra dengan selebriti ini,” katanya mengenai majlis yang akan diacarakan oleh Afdlin Shauki dan AC Mizal itu.

Fahrin Ahmad, Aaron Aziz, Aqasha, Iqram Dinzly, Fizow Omar, Farid Kamil, Ashraf Muslim, Imran Ajmain, Awal Ashaari dan Aman Zakaria (model) antara nama yang bakal muncul bergaya dengan rekaan pemilik Lord’s Tailor, Robert Loh. Kata Bill, ramai lagi belum memberi jawapan.

“Bagi hiburan di atas pentas, Bill mengimport Rio Febrian, Delon (Indonesia Idol), Irwansyah dan Ello. Pun begitu, artis tempatan turut menjayakan acara ini seperti Faizal Tahir, Jaclyn Victor dan Azharina Azhar yang bakal berduet dengan penyanyi Indonesia.

“Jaclyn dan Rio memang terkenal dengan duet Ceritera Cinta, jadi mereka akan nyanyikan lagu itu nanti,” katanya.

Bersempena dengan Hari Bumi Sedunia pada 22 April ini yang juga hari berlangsungnya majlis ini, Bill berkata, hiasan dewan yang mampu menampung kira-kira 1,200 tetamu itu bertemakan Enchanted Forest yang penuh kehijauan bagi menghargai bumi kita.

 

 

“Hiasan dewan ini dibuat oleh pereka terkenal, Gior yang akan memberi sentuhan magikal yang segar. Bagaimanapun mengenai kapasiti, kami hadkan kepada 750 orang saja,” kata Bill yang berusaha menjadikan acara ini sebagai paling glamor dan diingati oleh setiausaha yang menghadirinya.

Menariknya juga, kata Bill, Wanita Hari Ini (TV3) sekali lagi akan menyiarkan secara langsung acara itu selama satu jam.

Harga tiket untuk pakej makan tengah hari glamor ini bermula RM290 hingga RM350.

Cabutan bertuah turut disediakan yang menawarkan pakej percutian ke Padang, Sumatera selain sut Lord’s Tailor berharga RM4,500.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Tak Puas Dengar Dendangan Anggun

3 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
KEADAAN seperti ini jarang sekali dapat dilihat melainkan hanya dalam acara konsert mega (membabitkan artis ‘kelas A’ saja) yang menjadi markas untuk artis ternama berhimpun.

Namun, kerana hebatnya si pemilik vokal elastik, Anggun Cipta Sasmi, 35, showcase diberi nama Anggun Elevation Acoustic yang berlangsung Mahkota 2 Ballroom, Hotel Istana, Jumaat lalu, dihadiri nama-nama besar meskipun durasi persembahan Anggun itu itu mengambil masa kurang 25 minit.

Penghibur terkemuka tanah air yang hadir, antaranya Amy Search bersama isterinya, Norish, Nora serta beberapa selebriti terkenal seperti Faradhiya, Linda Onn, Zizie Ezette, Shila, Nora Danish dan Norish Karman.

Bintang Spa Q itu tidak bersendirian sebaliknya ditemani seorang pemuda dipercayai teman lelakinya juga abang kepada penyanyi Faradhiya.

Jelas sekali, lima lagu terlalu singkat buat penonton. Malah, tidak keterlaluan dikatakan saat menantikan Anggun muncul di pentas lebih lama sehingga mengambil masa 60 minit berbanding tempoh persembahannya.

Justeru, ramai yang tidak puas mendengar vokal gemersiknya dan mengharapkan Anggun akan terus melagukan sekurang-kurang dua lagi lagu apatah lagi, pada persembahan terakhir Anggun mengajak Nurul dan Imran Ajmain melagukan Mantra bersama-sama.

Sudahlah hanya membawakan lima lagu, satu daripadanya dibawakan pula secara duet sekali gus menjadikan persembahan Anggun secara total hanya empat lagu.

Namun, seperti yang dimaklumkan Anggun sebelum ini pada sidang media album Elevation di Songket Lounge, Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 23 Mac lalu, persembahan lima lagu itu ibarat hidangan pembuka.

Kata-katanya itu, jelas dikotakannya pada malam acara showcase berlangsung tanpa sebarang kompromi.

“Lima lagu cukup kan penonton semuanya. Jika mahu melihat persembahan lebih lama, silalah berhubung dengan teman promoter supaya saya boleh ke sini lagi untuk mengadakan konsert yang lebih besar,” ujar Anggun spontan sambil tertawa nakal.

 

 

Tampil dengan blaus putih potongan kimono paras peha, Anggun mengenakan kasut tumit tinggi ala ‘gladiator’ jenama D&G sempat berseloroh dengan penonton.

“Terima kasih kepada penganjur kerana membenarkan saya memakai pakaian seperti ini. Kasutnya bagus, jika baju labuh nanti kesian,” katanya disambut tawa penonton.

Lima lagu disampaikan, antara yang pernah memperkenalkan namanya di Malaysia iaitu Yang Ku Tunggu dan Snow On Sahara.

Manakala, dua lagu baru dipetik dari album Elevation turut diperdengarkan secara unplugged, Berganti Hati dan Crazy.

Persembahan vokal Anggun yang memukau di kuatkan lagi dengan petikan gitar solo pemuzik, komposer dan produser, Edrie Hashim serta pemain piano terkenal, Rozario.

Apa yang menarik mengenai ibu kepada bayi perempuan bernama Kirana setahun empat bulan ini, meskipun bergelar penyanyi Asia yang dihormati kerana pencapaiannya menembusi pasaran antarabangsa namun, dia seorang yang sangat merendah diri.

Amy Search ketika ditemubual pengacara majlis Adi Fashlah, mengakui Anggun salah seorang penyanyi wanita yang cukup dikaguminya.

“Saya suka ‘tone’ suaranya. Dia miliki vokal yang unik dan mantap selain kejayaan karier nyanyiannya di peringkat antarabangsa memberi inspirasi,” katanya.

Terdahulu, sebelum Anggun tampil membuat persembahan kira-kira jam 9.30 malam, penyanyi kelahiran Singapura, Imran Ajmain diberikan penghormatan melakukan persembahan pembukaan .

Dua lagu diperdengarkan salah satunya dipetik dari album terbarunya yang masih dalam pembikinan, Selamat Ulang Tahun Sayang dan On The Breath Of An Angle yang pernah dipopularkan oleh Anggun.

Kehangatan persembahan diteruskan lagi oleh Nurul, tampil menggoda ketika mendendangkan lagu Tika Cinta dan penyanyi berkulit hitam manis ini tidak ketinggalan menyanyi lagu Anggun iaitu Kembali.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Dendang Secara Medley

21 Mar

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
PERSEMBAHAN konsert minggu pertama peserta Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) minggu lalu mendapat kritikan negatif kerana kurang memberangsangkan.

Bagi menarik kembali kepercayaan penonton terhadap rancangan yang disiarkan di Astro Ria itu, pihak produksi cuba memberikan kelainan dengan peserta kehendaki mendendangkan dua lagu secara medley di konsert kedua yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, 9 malam ini.

Pelajar lelaki yang mendapat pujian kerana mempersembahkan Lagu Kita nyanyian asal Aizat dengan baik minggu lalu Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz) diberikan cabaran mendendangkan Cinta Ini Membunuhku (D-Masiv) dan Toyol (Allahyarham Sudirman Arshad).

Sementara peserta lelaki lain seperti Mohd Yazid Ibrahim (Yazid) menyanyikan lagu Lelaki ini (Anuar Zain) dan Fikirlah (Aizat), Khairil Azam Pilus (Aril), Benar-Benar (Adam) dan Robot (Adam) dan Mohd Qhauhd Abdul Rashid (Qhaud) menyanyikan lagu asal Spider, Bila Nak Saksi juga Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussein).

Dua lagi peserta lelaki, Mohd Rashidi Mohamad Isa (Sidi) menyanyikan lagu Selamat Ulang Tahun Sayang (Imran Ajmain) dan Kukoo (Ferhad), Ahmad Sobri Hasmuni, Akan Tiba (Aliff) dan Ada Untukmu (Nubhan) juga Afiq Hakim Ahmad (Akim) menyanyikan Satu (Dewa 19) dan Buronan Cinta (The Lima).

Pelajar wanita turut diberikan lagu yang bakal mencabar kemampuan vokal dan ada antara mereka menyanyikan lagu dipopularkan penyanyi lelaki seperti Siti Aishah Bujang (Aishah) dengan Faizal Tahir (Coba) dan Gila oleh Mila sementara Zuzafrini Zulkifli (Rini) akan menyanyikan lagu Kiblatku oleh Hazami dan Aku Sindarela dipopularkan Amylea.

Peserta wanita lain seperti Rubisa Tiasin (Rubisa) menyanyikan Dingin (Ziana Zain) dan Gagap (Stacy), Claudia Fay Geres (Claudia) bakal menyanyikan lagu kedua-duanya dendangan asal Datuk Siti Nurhaliza, Ku Mahu dan Wanita.

Peserta yang pernah menghasilkan album Nas Adila Mohd Dan menyanyikan lagu Merawat Cinta Luka (Liza Hanim) dan Asyik (Amelina), Nurfazelah Mohd Tahil (Zizi), Sembilu (Ella) dan Wonder Women (Mulan Jameela) juga Ismaliza Ismail mendendangkan lagu Jat Da Da Da (Dia Fadilla) dan Hello (Farah Asyikin).

Selepas ditiadakan minggu lalu, untuk konsert minggu kedua penonton setia akan dapat menyaksikan persembahan Menuju Puncak.

Bagi memberikan sedikit kelainan ia akan diadakan pada permulaan konsert.

 

 

Minggu ini juga pastinya penyingkiran pertama akan dilakukan dan Edrie Hashim, Datuk Khatijah Ibrahim dan Adlin Aman Ramlie bertindak selaku pengkritik tetap.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

ABPBH 2008: Sambutan Luar Dugaan

2 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Barisan artis tidak sangka diserbu ramai pengunjung petanda ABPBH 2008 terus menjadi acara yang ditunggu peminat

PERMULAAN yang baik, siri jelajah pertama Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di ruang legar premis Village Mall, Sungai Petani berlangsung dengan jayanya kelmarin.

Ruang legar yang tidak luas itu menyebabkan keadaan sesak tapi suasananya memang mengagumkan, menghiburkan menerusi pelbagai gelagat daripada pengunjung yang ‘sporting’. Kira-kira 5,000 orang dan kerjasama penuh yang diberikan oleh setiap artis yang hadir antara kunci kejayaan persembahan itu.

Persembahan penutup menampilkan finalis Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular, Meet Uncle Hussain mendendangkan dua lagu mereka, Pari Pari Di Bawah Angin dan Lagu Untukmu menjadi kemuncak pada acara ini . Sekali lagi band ini mendominasi perhatian ramai selepas menjuarai pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-23 Januari lalu.

Gimik menampilkan klon bersuara sepertinya Syamsyul Anuar Ismail di Sungai Petani dengan hanya menyanyi secara miming antara kejutan yang dilakukan. Syamsyul juga antara peserta pertandingan Bintang Idola Berita Harian.

Malah kehadiran pelakon dan pelawak paling menyerlah tahun lalu hingga sekarang, Nabil yang turut disenaraikan dalam kategori Artis Baru Lelaki Terbaik dan Pelakon Komedi Lelaki Popular ABPBH 2008 sebagai hos dilihat sebagai gandingan mantap. Fazli Zainal yang turut dijemput sebagai penyanyi jemputan bersetuju mengatakan siri jelajah pertama kali ini antara yang terbaik yang pernah dianjurkan Berita Harian dan Persatuan Akademi Muzik Malaysia (AIM).


KEHADIRAN Lan Meet Uncle Hussain dan Nabil menggamatkan Village Mall, Sungai Petani.

“Biarpun persembahan penyanyi dan penampilan personaliti yang terbabit saya andaikan biasa saja, kehadiran Nabil dan Meet Uncle Hussain (MUH) berjaya menaikkan suasana acara ini. Tak mustahil melihat sokongan peminat terhadap mereka, dua profil ini mungkin mempunyai peluang cerah dianugerahkan Bintang Paling Popular,” katanya yang mendendangkan single terbarunya Kalbu dan lagu kumpulan Matta, Ketahuan.

Impak gelombang indie ternyata membawa angin baru aliran muzik ini sejak tiga tahun kebelakangan. Malah, ketika Lan muncul di pentas, jeritan histeria pengunjung jelas menunjukkan betapa kuat populariti MUH hingga menyerang ke utara semenanjung. Biarpun jam hampir menunjukkan 7 malam, pengunjung masih tidak berganjak, hingga MUH menghadiahkan sebuah lagi lagu bonus berjudul Halusinasi sebagai tanda terima kasih.

Menurut tonggak MUH, Lan yang menyanyikan lagu tema Tabung NSTP Untuk Gaza berjudul Putihnya Lukisan berkata, biarpun pertama kali menyertai siri jelajah ini, dia menyifatkan lokasi di Sungai Petani antara yang paling meriah.

Bahkan, MUH turut melakukan inisiatif menjual poskad karikatur gambar mereka yang mana 30 peratus daripada keuntungan jualan disumbangkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza. Tahun lalu, kumpulan ini hanya diundang membuat persembahan malam kemuncak ABPBH 2007.


KENCHANA dan Nabil bergurau dengan pengunjung.

“Kehadiran ramai pengunjung yang membanjiri ruang legar Village Mall ini menunjukkan tanda sokongan dan sambutan masyarakat sekitar Kedah memang di luar dugaan. Saya sendiri tak sangka sambutan mereka terhadap acara ini begitu hebat.

“Apa yang berlaku dan melanda kumpulan saya selama ini akan cuba diperbaiki demi memastikan sokongan berterusan daripada peminat. Saya akui kekhilafan saya sebagai manusia biasa dan akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya yang masih sayangkan MUH.

Ruang terbaik popularkan diri

Selama dua hari, rakan artis dan media berkampung di Sungai Petani bagi sama-sama memeriahkan acara yang menjadi tradisi sebelum berlangsungnya anugerah kemuncak pada 12 April depan di Genting Highlands, Kota Keriangan. Dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani, anggota rombongan di bawa dengan bas rasmi ABPBH 2008 tajaan Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd.

Seperti lazimnya, kehadiran calon akhir anugerah berprestij ini menjadi landasan terbaik untuk melobi dan berkempen persis calon wakil rakyat untuk meraih undian dan kepercayaan peminat mengundi mereka menerusi borang undian Top5 ABPBH 2008 yang disiarkan setiap hari dalam akhbar Berita Harian/Berita Minggu.

Kehadiran finalis ABPBH 2008 lain seperti, Mila, Kenchana Dewi dan Ashraf Muslim masing-masing memberi isyarat seolah mereka sudah lama dinantikan. Malahan artis jemputan yang turut hadir membuat persembahan seperti Syazliana, Farah Asyikin, kumpulan Nitrus dan Sheila Abdull bagai ruang udara yang memberi nafas baru kepada pengunjung yang datang.

Calon akhir bagi finalis kategori Pelakon Komedi Wanita Popular ABPBH 2008, Kenchana Dewi berkata, melihat kepada sambutan orang ramai, dia akan cuba sebaik mungkin untuk terbabit di lima lokasi seterusnya.

Menariknya Kenchana sepanjang di Sungai Petani, dia juga turut mendapat perhatian ramai. “Saya sudah dimaklumkan awal oleh pihak Akademi, lalu saya akan cuba turun padang bertemu peminat.

“Tahun lalu, saya tidak dapat langsung memeriahkan jelajah ini kerana sibuk dengan jadual penggambaran. Tanpa peminat, saya mungkin tidak akan berada di tahap ini. Lalu demi menghargai mereka, saya bersedia menemui mereka di setiap lokasi jelajah.

“Saya bersyukur kerana peminat sedar mengenai kehadiran saya. Saya rasa setiap lakonan saya tidak kiralah untuk watak komedi atau serius, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada penonton. Sudah tercalon, ia sudah memadai,” katanya yang sudah 18 tahun berada di dalam industri.

Pemenang Artis Baru Wanita Terbaik ABPBH 2007 ini, Mila yang kali ini tersenarai dalam senarai calon akhir kategori Penyanyi Wanita Popular tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang, selepas melihat saingannya terdiri daripada nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza.

Selain persembahan artis, turut diselit ialah sesi soal jawab mengenai Berita Harian dan ABPBH kepada pengunjung bertuah. Syazliana mempersembahkan dua lagu daripada album terbarunya, Atas Nama Cinta dan Dalam Alam Bercinta, Farah Asyikin (Hello dan Seribu Penipuan) dan Nitrus (Bintang-Bintang dan Cinta).

Bukan setakat Kenchana saja yang menjadi perhatian, Ashraf Muslim yang dikenali dengan watak Ustaz Amirul di dalam drama Puaka Niyang Rapik turut digilai kerana wajah kacaknya. Pada saat akhir, Ashraf sudi menjadi pengacara ‘bidan terjun’ bersama Nabil mengendalikan majlis.

Anak didik komposer Adnan Abu Hassan, Shila Abdull memilih single terbarunya, Semuanya Keranamu dan lagu Mungkinkah yang memperkenalkan dirinya ke persada seni. Persembahan akhir berlabuh apabila semua artis terbabit bergambar kenangan di atas pentas utama. Akibat pengunjung yang ramai, sesi autogeraf yang dijadualkan pada mulanya terpaksa dibatalkan.

Selesai majlis, rombongan artis dan media menaiki bas menghala ke Restoran D’Jetty 8 Beradik, Sungai Merbok yang sudi menaja makan lam. Terima kasih daun keladi kepada semua yang terbabit. Siri jelajah ABPBH 2008 akan ke Pasir Gudang minggu ini.

Corat coret sepanjang dua hari

Empat staf Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd termasuk pemandu begitu mesra melayan artis dan media sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani dan balik ke Kuala Lumpur.

Vokalis kumpulan Nitrus, Eddie hanya datang pada hari Sabtu kerana terbabit dengan hari keluarga syarikat tempat dia bekerja.

Fazli Zainal sempat mempromosikan single terbarunya, Kalbu di dalam bas dengan menyerahkan cakera padat kepada rakan artis dan media.

Ashraf Muslim dan Kenchana Dewi masing-masing membawa ahli keluarga menemani mereka ke Sungai Petani. Ashraf ditemani adiknya, Mujib Muslim manakala Kenchana Dewi membawa kakaknya, Selvee.

Ashraf Muslim menjadi penyeri apabila tiba-tiba bergelar deejay di dalam bas menghiburkan penumpang dan mini karaoke yang ada. Ada saja ideanya memberi keceriaan dan usikan kepada staf Sinarmas dan yang lain.

Teman baik Sherry Ibrahim ini menunjukkan kemahirannya bermain seruling apabila mengalunkan lagu Seribu Tahun nyanyian Imran Ajmain. Katanya, dia belajar sendiri bermain seruling sejak setahun lalu.

Ashraf juga tidak betah duduk diam kerana dia juga menjadi jurugambar tak rasmi mengambil pos dan aksi penumpang dengan meminjam kamera jurugambar Hip Berita Harian, Hasriyashah Sabudin.

Kenchana Dewi, Ashraf Muslim dan Fazli Zainal cepat serasi dan sepanjang di dalam bas mereka mengupas pelbagai isu termasuk isu kegawatan ekonomi, gosip yang melanda industri seni, hubungan artis dan media,

Hip difahamkan di Cinta Sayang Resort, Syazliana diminati seorang lelaki mat salih berusia lingkungan 28 tahun. Bukan setakat meminati dan cuba menghubunginya dengan telefon di bilik hotel, nota ‘cinta’ turut diselitkan di bawah pintu bilik.

Makan malam yang disediakan di Restoran D’Jetty 8 Beradik sedap belaka dan jika berminat boleh singgah ke sana atau menghubungi talian: 012-5904585.

Berita Harian