Archive | Intan Sarafina RSS feed for this section

Betty Benafe Masih Solo

27 Apr


BETTY mahu beri tumpuan
kepada kerjaya lakonan tahun ini.

LAMA wanita berwajah Arab-Melayu-Jawa ini tidak muncul di kaca televisyen, lalu pelbagai spekulasi mengenai kehilangannya diperkatakan. Ada mengatakan kehilangan Betty Banafe kerana mahu menyorokkan perkahwinannya dengan seorang berstatus VIP daripada dihidu media dan peminat.

Bertemu dengan wanita itu ketika pelancaran drama terbaru lakonannya berjudul Yusuff baru-baru ini, soalan mengenai kisah kahwinnya tidak lupa diajukan.

Air muka wanita berasal dari Johor Bahru ini sedikit berubah tatkala soalan itu diajukan kepadanya. Entah apa yang bermain di fikirannya ketika itu, seolah-olah dia sedang memikirkan sesuatu.

Agak lama Betty mengambil masa menjawab soalan diajukan. Barang kali sudah puas memikir, sebutir demi sebutir penjelasan diberikan pemegang watak Zahila iaitu ibu tiri kepada Yusuff yang dipegang Ashraf Muslim ini.

Pelakon yang turut membintangi drama bersiri Yusuff ialah Intan Sarafina dan Zarynn Min.

“Saya belum berkahwin lagi. Untuk apa saya menyorokkan status jika benar-benar sudah berkahwin kerana perkara itu hanya akan menyusahkan saya kelak, terutamanya jika satu hari nanti ditakdirkan saya mengandung.

“Tapi saya mengaku memang sedang berkawan dengan seseorang dan kami sedang mengenali hati budi masing-masing. Saya mempunyai ramai kawan tetapi sehingga kini masih belum bertemu insan yang sesuai untuk dijadikan teman hidup,” jelasnya.

Selain menafikan berita perkahwinannya, wanita itu juga menafikan sekeras-kerasnya suami orang menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai calon suami. Dia tidak menafikan kebanyakan lelaki yang rapat dengannya rata-rata sudah beristeri, namun tidak sesekali mahu menjadi peruntuh rumah tangga orang.

Betty tahu, andai dia melakukan sedemikian tidak mustahil satu hari nanti rumah tangganya juga ditimpa nasib serupa.

“Dari dulu saya tanamkan dalam hati tidak mahu mengambil suami orang. Memang kebanyakan lelaki yang saya kenali adalah suami orang, kita tidak tahu takdir dan jodoh tetapi seboleh mungkin saya akan cuba tidak mendekatkan diri dengan perkara itu.

“Saya tidak mengimpikan lelaki yang kaya dan berkedudukan, cukup jika dia mempunyai jati diri yang tinggi dan mempunyai kehidupan yang stabil. Wang tidak akan menjamin kebahagiaan seseorang, bagi saya wang boleh dicari tetapi yang penting adalah hati budi,” kata wanita itu yang kini sibuk menyiapkan album keduanya.

Konsepnya kata Betty sedikit berbeza daripada album pertamanya berjudul Ibtisam yang berada di pasaran pada 2006. Namun dia masih lagi mengekalkan elemen samrah dan Jawa yang mempunyai kaitan dengan dirinya.

Walaupun tahun ini dia mahu menumpukan pada dunia lakonan, tetapi pada masa yang sama Betty sedang menyiapkan single dan album mini yang bakal memuatkan empat buah lagu.

“Saya suka perkara yang pernah saya buat dan ada kaitan dengan diri saya. InsyaAllah saya akan cuba siapkan album mini tahun ini juga walaupun tahun ini sebenarnya saya mahu menumpukan perhatian pada karier lakonan.

“Selain itu, masa juga terpaksa dibahagikan dengan ibu kerana dia kini sedang terlantar sakit akibat ketumbuhan. Saya pun baru saja mengambil ibu di Jakarta kerana lebih senang jika ibu ada di depan mata berbanding jika dia berada jauh daripada kami adik-beradik,” kata selebriti yang cukup berahsia soal umur ini.

Berita Harian

Tunggu Surat Rasmi

27 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Selepas enam tahun bersama KRU Studios, kini mahu tampil dengan identiti baru, lebih segar

SELEPAS kira-kira enam tahun bernaung di bawah label KRU Studios, Ezlynn akhirnya mengucapkan selamat tinggal pada syarikat rakaman yang banyak membantu mengangkat namanya sebaris penyanyi terkenal lain di negara ini.

Bermula dengan lagu Hi Hi Bye Bye dan berakhir dengan Jikalau Aku, lebih setahun yang lalu, KRU memperkenalkan Ezlynn sehingga dia mengukir nama sebagai penyanyi yang mempunyai identiti dan kemampuan tersendiri.

Pada Mei ini, secara rasmi Ezlynn bebas daripada syarikat milik tiga adik beradik, Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim itu. Ketika artikel ini ditulis, dia sedang menunggu surat hitam putih untuk mengesahkan perpisahannya dengan jenama KRU.

Pada masa sama, dia sibuk memikirkan pelbagai rancangan untuk memastikan kesinambungan kerjaya dalam dunia seni muzik berterusan. Antaranya, penyanyi ini berbelah bagi antara penghasilan album atas perbelanjaan sendiri atau menerima tawaran daripada sebuah syarikat rakaman lain, yang sudah pun mengintai-intai peluang meminang dirinya.

“Jika diberi peluang menghasilkan album sendiri, iaitu menerusi syarikat saya Ezlynn Entertainment, sudah tentu pemilihan lagu dan konsep album dilakukan sendiri oleh saya.

“Saya mahu idea saya diberikan tempat sewajarnya. Begitu juga saya terfikir untuk menukar imej sempena episod baru dalam karier,”ῠkata wanita berusia 27 tahun ini.

Tidak mahu muncul dengan album penuh, Ezlynn lebih selesa seandainya single demi single diterbitkan terlebih dulu. Daripada himpunan single berkenaan, barulah sebuah album akan dikeluarkan apabila tiba waktu bersesuaian.

“Saya mungkin menerbitkannya dengan kemudahan muat turun atau sebagai lagu nada dering, sesuai dengan minat penggemar muzik ketika ini,” katanya yang cuba mengelak daripada merakamkan lagu berbentuk rock tegar, sebaliknya menginginkan bentuk muzik bersifat ringan, indie serta catchy.

Katanya, jika seseorang penyanyi mahu memikat khalayak yang lebih ramai, muzik yang bersifat massa haruslah dihasilkan.

Terima lamaran kumpulan indie

MENYAMBUNG cerita, penyanyi yang turut bergelar pelakon dan pengacara ini berkata, baru-baru ini dia menerima lamaran daripada sebuah kumpulan indie, Sorganina, untuk berduet bersama mereka menerusi lagu yang dihasilkan sendiri anggota kumpulan terbabit.

Menurutnya, kumpulan berkenaan berasakan, suaranya mempunyai keserasian dengan konsep lagu yang mereka ilhamkan.

“Sebagai penyanyi, saya tidak keberatan bekerja dengan penyanyi atau kumpulan baru. Saya harus memberikan sokongan kepada mereka, sebagaimana penyanyi lebih senior membantu pembabitan saya dalam dunia seni satu ketika dulu.

“Apabila kita memberikan kerjasama kepada penyanyi baru, ia seumpama balasan kita terhadap apa yang dianugerahkan kepada kita selama ini. Lagipun, tujuan kita semua hanya satu, untuk sama-sama meningkatkan industri muzik. Seandainya mereka berjaya, kita juga turut tumpang berbangga dengan pencapaian itu,” katanya.

Menyentuh kelangsungan kariernya tatkala kegawatan ekonomi melanda, Ezlynn mendedahkan, dia tetap bernafas biarpun dalam suasana kurang memberangsangkan ketika ini, berikutan kepelbagaian bakat yang ditawarkan olehnya kepada pihak penganjur. Begitu juga dia mempunyai budi bicara apabila mereka mahukan kepastian soal harga.

Di samping menyanyi, Ezlynn tidak kekok untuk mengendalikan majlis. Justeru, dia selalunya menghulurkan khidmat berbentuk pakej – nyanyian dan pengacaraan sekali gus. Begitu juga Ezlynn mampu mengendalikan pelbagai permainan sewaktu persembahan, serta berkeupayaan menyampaikan lagu dalam pelbagai bahasa, yang membolehkannya terus mendapat undangan daripada pelbagai syarikat korporat dan sebagainya.

Muncul dalam Suara Hati di Astro Prima malam ini

MINGGU lalu, penyanyi ini diperkenalkan Cheryl Samad dan Faizal Ismail sebagai pengacara baru yang akan sama-sama memeriahkan program hiburan popular, Muzik Muzik.

Hakikatnya, rancangan berkenaan bukanlah asing bagi Ezlynn kerana dia pernah beberapa kali menggantikan Cheryl apabila pengacara itu tidak dapat menunaikan tanggung jawabnya, ketika dia masih mengendalikan Muzik Muzik secara berseorangan. Beberapa tahun lalu pula, Ezlynn muncul antara pengacara bersama program Anugerah Juara Lagu.

“Sudah tentu saya menerimanya kerana Muzik Muzik ialah antara program paling diminati di negara ini. Saya sendiri, sejak dari kecil lagi memang setia menonton rancangan Muzik Muzik. Tidak disangka, hari ini, saya menjadi sebahagian daripada keluarga program itu pula,” katanya yang mengaku mempunyai keserasian bersama dua pengacara asalnya, Cheryl dan Faizal.

Begitupun, katanya, sudah tentulah mereka duduk berbincang sebelum sesuatu episod dirakam, bagi mengelakkan pertindihan pengucapan atau perebutan berbicara sewaktu mengendalikannya. Maklum saja, kata penyanyi ini, masing-masing adalah pengacara yang boleh digelar ‘bermulut bertih’.

Ditanya mengenai pembabitannya dalam dunia lakonan, Ezlynn berpesan, peminat boleh menonton lakonannya menerusi drama bersiri Suara Hati, yang menemui orang ramai setiap Isnin, jam 10 malam di saluran Astro Prima. Dalam siri berkenaan, dia berlakon di samping Intan Sarafina dan Zamarul Hisham.

“Ada juga beberapa tawaran berlakon filem yang tiba ke riba, tetapi jadual penggambaran pula tidak mengizinkan saya menerimanya. Mungkin jika ada tawaran yang bersesuaian pada masa depan, kena pula dengan masanya, saya pasti menimbangkan undangan berkenaan,” katanya.

EZLYNNNama: Azline AriffinTarikh Lahir: 27 September 1981 Asal: Ulu Kinta, PerakProfesion: Penyanyi, Pelakon, PengacaraAlbum: Ehmm…. (2003), Pssst… (2004)Filem: Diva Popular, Bilut, Zombie Kampung PisangDrama: Suara HatiProgram TV: Mentor, Muzik MuzikDuta: Produk kecantikan Shurah.

Berita Harian

Asmara Cabar Intan Sarafina

4 Mar

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Intan Sarafina

Ubah haluan kepada bidang lakonan untuk teruskan kerjaya dalam bidang seni

BUKAN impiannya untuk bergelar pelakon tetapi rezeki yang datang tidak mampu ditepis. Kebetulan pula Intan Sarafina juga perlukan sandaran baru untuk meneruskan kesinambungannya sebagai insan seni.

Barangkali apa yang dilakukannya ini cuma satu percubaan. Tetapi katanya, tidak mustahil dia akan terus berlakon jika percubaan itu menerima maklum balas positif khalayak.

Memegang peranan sebagai Asmara dalam drama bersiri 26 episod, Suara Hati siaran Astro Prima bermula 16 Mac ini, Intan berkata, dia berlakon untuk mencabar dirinya.

Akuinya lagi, selepas muncul dalam filem Janji Diana pada 2001, pintu hatinya bagaikan tidak terbuka lagi untuk kembali berlakon.

Apatah lagi ketika itu, namanya sedang memuncak sebagai penyanyi membuatkan anak kelahiran Stulang Darat, Johor Bahru ini tidak terlintas untuk memberikan kepelbagaian kepada kerjaya seninya.

“Saya terlalu sibuk ketika itu dan bimbang tidak mampu memberikan komitmen, saya terpaksa menolak beberapa tawaran. Tidak benar jika ada berpendapat saya berkecil hati dengan teguran atau kritikan. Semua itu perkara biasa.

“Saya tidak pernah ambil hati biarpun dikritik teruk. Cuma waktu itu, nyanyian menjadi keutamaan membuatkan saya tidak terfikir untuk berlakon,” kata Intan menjelaskan alasan utama mengapa dia mengambil masa lama sebelum kembali berlakon.

Bagaimanapun, kata Intan, selepas menyertai pertandingan realiti, One In A Million, dia mula terfikir untuk mencari keseronokan baru.

Kebetulan tawaran berlakon datang dan melihat watak yang diberikan tidak terlalu berat iaitu sebagai penyanyi, Intan bersedia menerimanya.

Tambahan pula karektor Asmara dalam drama yang turut membariskan pelakon seperti Ezlynn, Zamarul Hisham, Watie Sadali, Amyza Aznan dan Riezman Khuzaimi mempunyai sedikit persamaan dengan dirinya, Intan tergerak untuk mencuba.

Ternyata tuntutan watak Asmara jauh daripada jangkauan, membuatkan dirinya tercabar terutama apabila sebahagian besar adegan memerlukan dia menangis.

“Permulaan memang susah untuk menangis. Saya ambil masa untuk menghayatinya. Apabila sudah sebati dan mula merasai keselesaan di lokasi, saya semakin seronok menjadi pelakon. Tetapi, saya tidak mahu tergopoh-gopoh menerima tawaran baru.

“Saya mahu mendengar reaksi dan maklum balas penonton terlebih dulu sebelum bersedia untuk penggambaran drama lain,” kata Intan yang turut beraksi dalam drama bersiri Yusoff untuk slot Samarinda, siaran TV3.

Turut diberikan peluang merakamkan tiga lagu baru termasuk Bakawali dan Suara Hati, penyanyi berusia 28 tahun itu melihat percubaan itu sebagai platform untuk dirinya melangkah ke era baru.

Apatah lagi, suaminya, Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkifli tidak pernah menghalang isteri yang dinikahi pada 17 Oktober 2008 ini daripada meneruskan minat dalam bidang seni.

“Sementara belum hamil dan dikurniakan, baik saya lakukan sesuatu. Lagipun jika saya sendirian di rumah akan menimbulkan rasa bosan, jadi saya isi masa terluang itu dengan berlakon,” katanya.

Akui Intan, ketika menerima skrip dia agak tercabar malah tersimpan sedikit perasaan gusar jika gagal memberikan persembahan terbaik.

Bagaimanapun, perasaan gugup dan tidak selesa itu berlalu apabila semua tenaga kerja termasuk pengarah bersedia membantunya.

“Tanpa tunjuk ajar mereka saya tidak mungkin mampu membawakan watak Asmara dengan baik. Barangkali disebabkan minat juga membuatkan saya cepat serasi di lokasi biarpun lakonan adalah satu cabang baru dalam hidup saya,” katanya.

SINOPSIS: Suara Hati

ASMARA yang sedang bergelut dengan kariernya jatuh cinta dan mendirikan rumah tangga dengan Aman tanpa mengetahui lelaki itu sudah beristeri. Selepas rahsia perkahwinan mereka diketahui, Asmara yang hamil menghilangkan diri. Asmara melahirkan Putra yang membesar dengan penuh tanda tanya. Demi kebahagiaan anaknya, Asmara merelakan Putra bertemu bapa kandungnya. Asmara bagaimanapun, enggan bertemu mereka semula jika tiada sebarang persetujuan diikat. Apabila kerinduan terhadap ibunya mula terasa, Asmara melarikan diri. Kekalutan itu mencipta satu insiden besar apabila Putra dilanggar bapanya sendiri.

Suara Hati disiarkan setiap Isnin, bermula 16 Mac di Astro Prima, jam 10 malam.

Berita Harian

Bertuah Intan Sarafina

9 Jul

DALAM banyak-banyak emel yang Papa terima, Papa cukup tertarik dengan satu e-mel ini apabila pengirimnya memberikan beberapa keping gambar penyanyi Intan Sarafina bersama seorang lelaki yang cukup kacak yang didakwa teman lelakinya.

Untungnya Intan kerana teman lelakinya itu bukan sahaja kacak tetapi khabarnya juga anak orang berada.

Sebelum ini pun, jika tidak silap Papa, Intan pernah membuat kenyataan mengatakan dia sedang dalam proses mengenali seseorang.

Pandai sungguh Intan menyembunyikan teman lelakinya ya! Takut kena ‘caras’ ke?

Seeloknya, jika sudah sampai seru, akhirilah cinta kalian ke jinjang pelamin. Apa lagi yang mahu ditunggu?

Lagipun baik Intan mahupun temannya itu, sama cantik dan sama padan. Bagai pinang di belah dua.

Apa pun, Papa mendoakan yang terbaik untuk Intan dan temannya itu.

Utusan Malaysia

Ezlynn Masih Ligat Penuhi Undangan Persembahan

4 Jun

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff


SABAR: Ezlynn tidak mudah mengalah untuk terus berjaya dalam karier muzik yang diminatinya.

Penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye tidak pernah anggap pembabitan dalam industri hiburan suram

WALAUPUN cerita mengenainya kurang disiarkan di media tetapi itu tidak bermakna langkah Ezlyn yang terkenal dengan lagu Hi Hi Bye Bye dalam bidang seni semakin suram. Malah, dunia seninya masih rancak dengan pelbagai perancangan bersama KRU untuk memantapkan lagi kedudukan.

Sambil menunggu terbitnya album baru, Ezlynn bukan duduk berpeluk tubuh. Dia ligat memenuhi undangan mengadakan persembahan. Begitu juga dia turut aktif sebagai pengacara majlis. Cerita wanita ini, walaupun diundang sebagai pengacara, namun penganjur tetap mahu mendengar suaranya. Lalu, hendak tak hendak, dia tetap mengalunkan sebuah atau dua lagu pada majlis diacarakan demi memuaskan hati semua pihak.

“Saya tidak akan serik walaupun lambat muncul dengan album baru. Bagi saya, mempunyai single yang baru sudah dikira memadai. Apatah lagi apabila lagu itu berjaya mendaki puncak populariti.

“Saya sendiri tidak pernah menganggap diri saya jatuh dalam industri seni. Ezlynn sentiasa saja ada di sini. Saya masih ‘maintain’ dalam dunia hiburan tanah air. Lebih baik berada dalam keadaan begini daripada mencipta kejayaan sekelip mata tetapi kemudiannya gugur juga dalam masa sesaat,” ujar Ezlynn tatkala ditemui di majlis Triumph Inspiration Award Beijing 2008 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penyanyi ini mengikat kontrak bersama syarikat rakaman KRU pada 2001. Bersama syarikat berkenaan, dia muncul bersama dua album (Ehmm…, Psst…) serta beberapa lagu yang mengangkat namanya seperti Hi Hi Bye Bye, Pening, Sengsara, Bersamamu dan Jikalau Aku.

Kontraknya bersama KRU tamat tahun lalu, tetapi masih ada sebuah album yang perlu dilangsaikan sebelum titik noktah dapat diletakkan antara mereka.

Ezlynn mengaku, dia dan KRU sudah cukup serasi apabila bekerjasama. Justeru, dia berasakan keselesaan kerjasama antara mereka tidak harus dihentikan begitu saja.

Pada masa yang sama, dia juga tidak meminggirkan idea untuk menerbitkan album sendiri apabila tiba masanya nanti. Namun ketika ini, semua itu masih jauh dalam fikirannya kerana perancangan untuk menghasilkan album seterusnya bersama adik-beradik kreatif itu tetap diberikan keutamaan.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu bilakah single terbaru akan diterbitkan kerana KRU masih menunggu konsep terbaru yang berlainan untuk menangkap pendengaran peminat. Apabila mereka sudah menemui konsep terbaik, barulah lagu seterusnya pula dikeluarkan,” katanya.

Baru-baru ini, dia melangkah pula ke dunia lakonan televisyen apabila bersetuju membintangi drama bersiri Suara Hati. Selain dirinya, turut menjayakan judul untuk tayangan Astro itu ialah Intan Sarafina, Zamarul Hisham, Watie, Riezman Khuzaimi, Amyza Aznan, Delimawati dan Faiz.

“Sudah lebih dua bulan saya menjalani penggambaran drama bersiri arahan Faizal Ishak (Natasha, Dua Hati) ini. Saya menerima tawaran berkenaan kerana berasakan watak Sheila yang diberikan kepada saya cukup kuat. Bekerja dengan Faizal pula cukup menyeronokkan kerana dia banyak memberikan tunjuk ajar serta kebebasan kepada pelakonnya.

“Saya pula memang berminat untuk mendalami bidang produksi. Siapa tahu, suatu masa nanti saya pula akan menduduki kerusi sutradara. Namun, tentunya jalan ke arah itu masih cukup panjang. Banyak lagi ilmu penerbitan dan pengarahan yang saya perlu pelajari sebelum berjaya mengejar impian ini,” ujarnya yang menjalani penggambaran drama itu di Melaka dan sekitar ibu kota sejak pertengahan Mac lalu.

Bagi Ezlynn, berlakon drama dirasakan lebih mencabar berikutan tempoh waktu penggambarannya lebih panjang. Dia perlu memberikan tumpuan lebih bagi memastikan kesinambungan wataknya sepanjang penceritaan tidak terpesong atau ‘lari’ daripada skrip.

Mengenai wataknya, Ezlynn ceria bercerita dia dikehendaki melakonkan watak seorang wanita yang agak serius, namun ada ketikanya diselang dengan sikap lucu.

“Watak saya memang mencabar. Dia menjadi mangsa rogol dan dipukul oleh Along. Walaupun bekerja sebagai penyanyi kelab, Sheila bukanlah wanita jahat. Namun latar belakangnya agak perit kerana dia pernah dibesarkan di rumah anak yatim. Dia juga amat mengambil berat terhadap Asmara yang dilakonkan Intan Sarafina,” cerita Ezlynn.

Powered by Berita Harian

Intan Mula Seronok Berlakon

12 May

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

BUKAN sekali dua, dia menolak tawaran berlakon kerana selain bertentangan dengan prinsipnya, fokus utama gadis cantik ini menyertai bidang seni adalah untuk menjadi penyanyi.

Namun, pendirian yang dipertahankan lebih lapan tahun itu nampaknya sudah tidak lagi relevan kepada Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya (Intan), 27, sekarang ini apabila dia memberi persetujuan membintangi drama, Suara Hati.

Menariknya mengenai drama bersiri 26 episod terbitan Astro ini, Intan diberi peranan utama walaupun kemampuan lakonannya belum teruji.

“Saya sedar, saya sebenarnya belum layak untuk melakonkan watak utama dan disebabkan itulah saya bersyukur dan sangat terharu apabila Faizal Ishak (pengarah) menawarkan peluang ini.

“Sebenarnya memang sukar untuk membiasakan diri di set penggambaran lebih-lebih lagi pada hari pertama, maklumlah saya ini bukannya pelakon tetapi penyanyi. Malah, tidak pernah sekali pun mencuba meskipun watak kecil.

“Namun, saya bertuah kerana selain pengarah, barisan pelakon yang terbabit tidak lokek memberikan tunjuk ajar.

“Pengarah sendiri memahami dan tidak terlalu mendesak sebaliknya menyerahkan seluruh kepercayaan kepada saya untuk belajar mencari rentak dalam lakonan secara perlahan-lahan serta menyesuaikan diri dengan suasana baru ini.

“Syukur, selepas hampir sebulan di lokasi penggambaran, saya mendapat maklum balas positif daripada kru produksi dan teman artis,” katanya.

Drama durasi satu jam itu, turut dibintangi pelakon terkenal antaranya, Zamarul Hisham, Watie Elite, Delimawati, Zoey dan penyanyi popular Ezlynn. Penggambarannya dijangkakan berakhir hujung bulan ini.

Menerusi Suara Hati atau tajuk asalnya Putera Asmara menyaksikan Intan memegang watak sebagai Asmara.

“Perwatakan Asmara ada sedikit persamaan dengan karakter saya disebabkan itulah saya menyahut cabaran pengarah yang menawarkan peluang sebaik tamat menyertai program realiti OIAM.

“Kalau diberi watak yang bertentangan dengan sifat sebenar, terus-terang saya katakan belum berani mencubanya kerana bimbang tidak terbawa karakter itu.

“Bagaimanapun, saya tidak menolak untuk mencubanya selepas ini. Berbalik pada watak Asmara, dia digambarkan sebagai gadis yang lemah lembut, pendiam dan sering dianiaya.

“Watak ini cukup berat buat saya kerana Asmara sering di lukakan dan terseksa. Untuk menggambarkan keadaan itu sebaik mungkin, saya kena bermain dengan emosi dalaman dan belajar menangis secara spontan.

“Percaya atau tidak, ada babak menyentuh perasaan apabila Asmara dipukul selain babak melahirkan anak sedangkan semua itu tidak pernah saya lalui. Justeru, ia menjadi cabaran paling sukar sepanjang penggambaran drama ini,” katanya.

Bersama syarikat rakaman terakhirnya, Warner Music, Intan sempat menghasilkan dua album iaitu Selamanya dan Duhai Malam.

Bagaimanapun, selepas tamat kontrak sejurus kemunculan album kedua kira-kira lima tahun lalu, kerjaya nyanyian Intan jatuh merudum berikutan ketiadaan album baru selain kebangkitan ramai artis baru khususnya bintang program realiti.

Selepas beberapa tahun kurang aktif, Intan nekad menyertai One In A Million (OIAM) awal tahun lalu dengan harapan pertandingan yang menawarkan RM1 juta itu akan mengubah nasibnya.

Namun, belum sempat mengecapi kejayaan perjuangan penyanyi cantik ini terlebih dulu kecundang di tengah jalan sekali gus meranapkan impiannya.

Mengharapkan penyingkiran itu tidak menjadi titik noktah karier nyanyiannya, Intan terpaksa menerima hakikat rezekinya lebih berpihak pada lakonan bukan nyanyian.

Mengenai desas-desus mengatakan Intan terdesak melakukannya untuk menyara keluarganya, dia berkata:

“Saya terima kalau sudah takdir saya dalam bidang lakonan. Namun, nyanyian tetap menjadi keutamaan saya sampai bila-bila kerana ia sesuatu yang sudah ada dalam diri.

“Kalau ikutkan selepas tamat OIAM, saya banyak menerima tawaran merakamkan album namun, disebabkan sibuk berlakon saya belum berkesempatan berbincang secara serius dengan pihak berkenaan.

“Mengenai lakonan, saya tidak menolak untuk mencubanya lagi kerana mula rasa seronok dan selesa dengan kerjaya yang baru saya terokai ini. Walaupun dulu saya pernah menegaskan tidak minat berlakon.

“Sekarang saya sedar, nasib tidak selalu baik dan sebagai manusia kita tidak perlu takut mencuba sesuatu baru kerana ada kalanya ia membawa sinar yang lebih baik dalam kehidupan kita. Luhur dari hari, saya sudah sedia menjadi pelakon yang serius,” katanya.

Powered by Harian Metro

Dunia Kanak-Kanak Zoey

21 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

MENATAP raut wajahnya, bagaikan budak belasan tahun yang masih bersekolah menengah.

Namun, siapa sangka Mohd Hairey Azhar atau mesra disapa abang Zoey di kalangan peminat cilik sebenarnya sudah berusia 23 tahun selain pemegang diploma dalam Rekaan Hiasan Dalaman.

Barangkali kerana tuah berwajah comel, memudahkan laluan Zoey membina karier sebagai pengacara program kanak-kanak, Gerak Geri Gasing (GGG) yang disiarkan menerusi saluran Astro Ceria, meskipun itulah pengalaman pertama beraksi di depan kamera.

Melaluinya, Zoey mendaki populariti dalam sekelip mata dan menjadi pengacara kesayangan penonton cilik. Bayangkan, dek kerana kerana terlalu teruja melihatnya ada peminat bertindak agresif sehingga menyebabkan Zoey jatuh longkang.

“Mereka berasak-asak mahu bergambar dan mengambil autograf saya sehingga makin lama semakin ke belakang sehingga jatuh ke longkang. Kelakar betul waktu itu namun ia pengalaman cukup manis yang tidak mungkin saya lupakan.

“Sebenarnya saya tidak pernah merancang menjadi pengacara sebaliknya sekadar mencuba nasib pada sesi uji bakat GGG. Itupun atas desakan abang yang berkali-kali mahu saya mencuba.

“Bagi orang yang tiada pengalaman langsung, memang mengejutkan apabila dimaklumkan terpilih walhal pada hari uji bakat ramai artis remaja dan bintang Akademi Fantasia yang datang.

“Namun entah apa agaknya yang produser nampak pada saya sehingga berani memberi kepercayaan ini untuk saya galas. Alhamdulillah, diam tak diam sudah masuk musim ketiga saya mengendalikan program itu,” katanya.

Tidak ingin selama-lamanya dikenali sebagai pengacara program kanak-kanak, duta Astro Ceria selama dua tahun ini juga memasang impian mengendalikan program hiburan yang mensasarkan kelompok remaja dan dewasa. Atau erti kata lain menjadi pengacara versatil.

Bagaimanapun, dalam merancang perjalanan seninya pemuda kelahiran Besut, Terengganu yang menjadikan Aznil Nawawi sebagai idola tidak pula berasa bosan dikelilingi kanak-kanak.

“Sememangnya saya selesa mendampingi kanak-kanak kerana saya sendiri sukakan budak-budak. Malah, setiap musim saya bertambah yakin dan selesa mengemudi GGG.

“Barangkali orang ramai mempunyai persepsi mengacarakan program kanak-kanak tidak mencabar atau tugas mudah tetapi tidak semua pengacara mampu mengendalikan program sedemikian.

“Kanak-kanak adalah manusia paling jujur. Mereka akan melakukan apa saja yang diinginkan dan tidak pandai menyembunyikan perasaan.

“Contohnya dalam GGG, ada peserta yang terlalu emosi apabila kumpulan mereka tewas. Segelintirnya pula terlalu aktif, tidak kurang yang pemalu sedangkan kamera mahu merakam ‘mood’ dalam keadaan terkawal dan ceria.

“Justeru, sebagai pengacara saya perlu memainkan peranan bukan saja dalam memastikan program berjalan lancar malah untuk membuatkan mereka selesa berhadapan dengan kamera,” katanya.

Sempena musim cuti sekolah Mei nanti, Zoey akan kembali ke rakaman GGG musim ketiga yang tampil dengan beberapa kelainan. Hadiah yang disediakan lebih lumayan berbanding tahun lalu.

Beberapa perubahan turut dilakukan, jika dulu warna kuning, merah, biru dan hijau diguna sebagai nama kumpulan, untuk musim terbaru ini ia diubah kepada nama produk keluaran Steadtler selaku penaja musim kali ini.

“Bukan itu saja, peserta juga akan digandingkan dengan selebriti cilik Astro seperti pelakon Hikayat Putera Shazlan dan Geng Bas Sekolah sebagai satu pasukan.

“Lebih menarik, hadiah yang disediakan juga lumayan kerana peserta berpeluang memenangi komputer riba dan telefon bimbit,” katanya.

Pernah berjinak-jinak dalam dunia komersial sebagai model iklan sebelum bergelar pengacara, anak keempat daripada lima beradik yang semuanya lelaki ini turut mengasah bakat dalam bidang lakonan.

Bermula dengan Impian Ilyana, Zoey kemudian dilamar membintangi siri terbitan Ace Motion Pictures, Bong, yang memenangi Drama Komedi Terbaik di Anugerah Skrin 2007 diikuti Fara.

Terbaru, Zoey sedang menjalani penggambaran drama Putera Asmara yang turut dibintangi artis popular antaranya, Watie Elite, Intan Sarafina dan Zamarul Hisham.

Tidak lama lagi dia juga bakal menjalani penggambaran drama Impian Ilyana musim keempat dan difahamkan peranannya kali ini lebih besar berbanding musim pertama.

“Saya tidak pasti bagaimanakah jalan cerita atau konflik yang berlaku pada musim keempat ini namun saya difahamkan watak yang dibawakan dikembangkan lagi.

“Berlakon tidak semudah disangka. Sampai sekarang saya masih ingat peristiwa dimarahi pengarah Aziz M Osman ketika menjayakan penggambaran Fara. Abang Aziz mengarahkan saya naik, turun tangga sebanyak tiga kali gara-gara ‘mood’ lakonan tidak sampai.

“Namun saya percaya setiap teguran dan kritikan itu adalah terapi paling berkesan untuk menjadikan kita lebih baik pada masa akan datang. Sejak kejadian itu juga saya lebih peka dan komited terhadap tugas saya.

“Kalau diberi kesempatan saya teringin sekali berlakon di samping pelakon hebat, Fauziah Nawi,” katanya

Biarpun setiap tawaran perlu ‘ditapis’ terlebih dulu oleh Astro Ceria, Zoey tidak pernah berasa terkongkong kerana dia juga bukan jenis orang yang terburu-buru untuk merebut semua peluang.

“Buat masa sekarang, saya lebih selesa mengambil watak ringan kerana belum begitu yakin dengan kemampuan. Dari segi pengacaraan pula, sebagai selebriti Astro, kami mempunyai perjanjian apabila tidak boleh terbabit dengan sebarang program terbitan stesen lain.

“Bukan setakat itu saja, sebagai duta Astro Ceria saya juga terikat dengan beberapa syarat iaitu tidak boleh mengunjungi kelab malam termasuk merokok,” katanya.

Jika tidak terbabit dengan sebarang urusan seni, pemuda berbintang Capricon ini akan membantu abangnya menguruskan syarikat milik keluarga iaitu Calista Design.

“Calista Design sebuah syarikat menyediakan perkhidmatan rekaan hiasan dalaman untuk pejabat serta pelbagai kemudahan berkaitan bidang seni bina kerana abang saya seorang arkitek.

“Jika ada pihak berminat untuk mengetahui lebih lanjut fokus syarikat ini dan kemudahan yang disediakan boleh mendapatkan maklumat dengan melayari laman web http://www.calistadesign.t35.com. Mereka juga boleh berhubung dengan kami menerusi nombor yang tentera,” katanya.

PROFIL

NAMA: Mohd Hairey Azhar

PANGGILAN: Zoey

TARIKH LAHIR: 3 Januari 1985

UMUR: 23 tahun

BINTANG: Capricon

ASAL: Besut, Terengganu

KARIER: Model, pelakon, pengacara

Powered by Harian Metro