Archive | Iwan Fals RSS feed for this section

Seorang Lelaki 'Tertib' Bernama Zubir Ali

7 Mar

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
ent_editor@kosmo.com.my

SEWAKTU kecil, saya tidak pernah tahu apakah makna di sebalik perkataan ‘kemanusiaan’. Ya, apalah maknanya kemanusiaan kepada seorang anak kecil. Dalam darjah tiga yang baru pandai mengeja dan menulis lewat zaman sekolah di sebuah perkampungan agak pedalaman, kemanusiaan bukanlah satu perkataan yang mampu difahami maksud dan firasatnya.

Bagaimanapun, saya mula belajar menggali dan mencari apa yang dinamakan kemanusiaan setelah diberitahu oleh seorang guru, lewat sebuah lagu.

Saya tidak tahu apa judulnya, tetapi yang saya tahu lagu itu bercerita tentang seorang kanak-kanak bernama Munir.

Munir kehilangan ayah bonda dan saudara ekoran perang dan keganasan. Bertahun dicengkam derita di khemah pelarian, Munir adalah mangsa peperangan yang berlaku di Shatila.

Di mana Shatila? Saya pun tidak tahu kerana ketika lagu itu tercipta dan menjadi popular, saya baru darjah tiga!

Tetapi populariti di sebalik suara syahdu dan lirik yang cukup menyentuh perasaan itu menjadikan saya menghafal lagu berkenaan dengan baik sekali apatah lagi ia sebuah lagu yang cukup popular pada tahun 1983.

Kemudian melalui lagu itulah saya belajar mencari makna ‘kemanusiaan’ yang lebih mendalam, seperti mana diberitahu oleh guru berkenaan.

Dan lelaki yang bertanggungjawab memperkenalkan erti kemanusiaan itu kepada saya ialah Zubir Ali bersama anggota kumpulan Harmoni, lewat lagu yang akhirnya saya tahu judulnya – Balada Seorang Gadis Kecil.

Bermula dari situ, saya menjadi antara jutaan peminat Zubir dan kemudian apabila usia semakin remaja, saya semakin ‘jatuh cinta’ dengan idealisme yang beliau curahkan dalam lagu-lagunya.


JENAZAH Zubir dibawa ke tanah perkuburan dengan iringan kesyahduan anak-anak dan isteri.

ALLAHYARHAM ZUBIR ALI

Bahawa lagu puisi yang menjadi tonggak perjuangan beliau untuk memaknakan rasa kemanusiaan dan kasih sayang, menjadikan Zubir satu dalam sejuta.

Sezaman dengan Kembara dan M. Nasir, Zubir Ali ialah pelopor lagu-lagu puisi yang cukup aktif. Toleransinya kepada dunia puisi sangat tinggi dan beliau merupakan antara pejuang terawal lagu puisi.

Malah lagu ciptaannya berjudul Penantian yang dicipta pada tahun 1980 dianggap sebagai lagu puisi pertama yang diluncurkan secara komersial di Malaysia.

Dilihat secara lapisan atas, Penantian seolah bercerita tentang alam percintaan antara dua jiwa, lelaki dan perempuan. Bagaimanapun, Penantian dalam lapisan makna penciptanya ialah sebuah lagu yang berkisah tentang ketuhanan, sementelah Zubir sendiri di kalangan rakan-rakan dikenali sebagai karyawan seni yang cukup warak dan alim orangnya.

Jika Indonesia berbangga dengan pejuang lagu puisi seperti Sam Bimbo, Iwan Fals, Ebiet G. Ade, Zubir menyahut cabaran industri seni tempatan dengan menjadikan puisi sebagai cabang perjuangan.

Meskipun tahu beliau tidak mungkin akan menjadi ‘kaya-raya’ dengan genre berkenaan, bermain dengan tema puisi sudah cukup menjadikan seorang Zubir sebagai jutawan seni.


ISTERI dan anak-anak reda dengan pemergian Zubir ke rahmatullah dan berharap agar Allahyarham bertemu damai di loh mahfuz.

Mindanya bercabang, kreativitinya bersilang dan hanya kepada dunia lagu-lagu puisi dia berdagang. Album pertama Harmoni terjual melebihi angka 50,000 unit dan ini diikuti dengan album kedua mereka.

Selain Penantian, Balada Gadis Kecil dan Doa, lagu-lagu lain yang pernah dirakamkan oleh Harmoni ialah Nyanyian Ombak, Harga Diri, Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang dan Erti Pengorbanan.

Bagaimanapun sukses Harmoni dan lagu-lagu puisinya tidak panjang apabila ia berpisah pada tahun 1985. Dua anggotanya, Joei dan Ogy memilih untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Azie juga selesa bergerak sendirian, tinggal Zubir keseorangan meneruskan perjuangan. Harmoni tidak pernah berkubur dek kerana iktikad Zubir untuk mempertahankannya meskipun dia sendirian.

Kesuraman minat masyarakat terhadap lagu puisi bermula pertengahan tahun 1980-an ekoran populariti lagu-lagu rock dan balada juga tidak pernah menokhtahkan perjuangan Zubir. Lagu-lagu puisi kekal menjadi landasan perjuangannya sehingga ke hari ini.

Justeru apabila diberi tanggungjawab melaksanakan penganjuran Malam Puisi Utusan Demimu Palestin di Istana Budaya pada 23 Januari lalu, nama Zubir Ali adalah individu pertama yang muncul di benak fikir saya.

Secara tiba-tiba juga lagu Balada Seorang Gadis Kecil kembali menjengah ke minda dan saya kembali terkenang seorang Munir yang tidak berdosa yang pernah mewarnai zaman kecil bersama rakan-rakan lain.

Melaksanakan misi Kumpulan Utusan, Zubir bersama Trio Harmoni diberi penghormatan untuk tampil sebagai pembuka acara. Saya tahu, ketika itu kesihatan Zubir sudah terjejas dan dia tidak mampu lagi menyanyi sebaik ketika di zaman Penantian, 30 tahun lalu.

“Kalau suara saya tak macam dulu, jangan marah, saya cuba. Acara ini bukan soal agama dan bangsa semata-mata, kita kena sokong acara macam Utusan anjurkan ini,” katanya kepada saya di lokasi acara.

Bagi Zubir, agama apapun, dalam dunia ini menentang keganasan sesama manusia dan apa yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza adalah sesuatu yang sangat kejam.

“Dan saya sendiri memang sudah lama mengecam tindakan yang tiada perikemanusiaan ini dengan mencipta lagu yang berkaitan dengan rakyat Palestin,” kata beliau lagi, cukup bersemangat memperkatakan tentang acara mulia itu.

Semangat juangnya yang kental membuatkan dia mampu menyampaikan dua lagu dengan cukup baik bersama Trio Harmoni yang baru dibentuk pada tahun 2007, Shafa’ dan Joei.

Ini juga adalah antara persembahan besar Joei bersama Zubir setelah mereka kembali bergabung atas nama baru, Trio Harmoni.

Selain Balada Seorang Gadis Kecil, malam itu Zubir bersama Trio Harmoni menyampaikan lagu berjudul Tuan Presiden, sebuah lagu sindiran cukup ‘pedas’ terhadap presiden Amerika Syarikat yang seolah menjadikan isu perang dan keganasan sebagai satu perkara yang tidak perlu diberi perhatian.

Rupa-rupanya, Malam Puisi Demimu Palestin menjadi acara seni terakhir Zubir Ali. Kira-kira 43 hari selepas acara itu berlangsung, Zubir dipanggil pulang oleh penciptanya pada usia 59 tahun.

Lelaki sedikit gempal, berkaca mata dan bertahi lalat di pipi sebelah kiri itu meninggalkan alam pinjam-pinjaman ini sekitar pukul 10 pagi semalam.

Allahyarham meninggal dunia setelah genap seminggu menjalani pembedahan pintasan jantung buat kali kedua di Hospital Pakar Damansara.

Dua hari sebelum menjalani pembedahan, Allahyarham ada menghantar SMS kepada saya. “Salam, Along. Abang Zubir akan buat pembedahan jantung Jumaat ini. Doakan semuanya selamat.”

SMS itu saya balas dengan ungkapan semangat: “Insya-Allah, semua kawan-kawan di Utusan mendoakan abang Zubir selamat dan akan kembali kuat.”

Dua hari selepas pembedahan, saya cuba menghantar mesej untuk bertanyakan keadaan kesihatan beliau, bagaimanapun bukan Zubir yang membalasnya.

Kata-kata “Zubir Ali masih di ICU” ditaip oleh ahli keluarganya sebagai membalas mesej saya.

Ini menjadikan hasrat saya dan teman-teman untuk menziarah tidak kesampaian kerana beliau masih ditempatkan di unit rawatan kecemasan ketika itu.

Sehinggalah pagi semalam, saya mendapat SMS lagi dari alamat telefon genggam milik Zubir Ali. Sangka saya, Alhamdulillah, Zubir sudah sembuh dan sudah boleh menghantar SMS.

Tetapi sebaliknya yang berlaku. Rupa-rupanya mesej itu juga masih ditaip oleh orang lain yang menghantar khabar kepada saya “Encik Zubir Ali sudah meninggal.”

Jenazah insan seni budiman yang kaya sopan santun, tertib dan agak pendiam ini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar.

Saya akui, saya bukan seorang sahabat yang terlalu rapat kerana kami hanya bersembang panjang dalam banyak majlis puisi yang sama, apabila diundang penganjur.

Tetapi jauh di sudut hati, saya merasakan kami adalah teman ‘yang sangat rapat’ walaupun hanya sesekali bersua. Tentunya perasaan yang sama dirasakan oleh sebahagian besar peminat beliau di luar sana yang sering larut dalam melodi Balada Gadis Kecil, Doa dan Penantian. Lagu-lagu berkenaan membuatkan kita berperasaan bahawa Zubir Ali sebagai ‘milik’ bersama.

Tuhan, berikanlah kesejahteraan kepada rohnya. Biarlah dia mencari damai yang paling abadi di sisi Tuhan Maha Esa. Al-Fatihah!

Kosmo

Advertisements

Jarum Emas: Ingat Sebelum Kena

8 Feb

Oleh ADAM SALLEH
adam@hmetro.com.my

Rap
KETIKA gawat 10 tahun lalu, tidak janggal kita melihat artis berniaga mi rebus, tauhu bakar atau nasi goreng. Premis makanan ala warung dikenali sebagai ‘Celebrity Corners’ tumbuh satu persatu buat artis mencari wang saku, gara-gara ruang berlakon ‘senak’ kesan ekonomi melanda nusantara ini.

Itu dulu, kini di mana-mana seluruh dunia, masyarakat mula bercakap perihal krisis ekonomi global. Saya tidak pasti apakah penggiat seni di negara kita bersedia untuk menghadapinya?

Kita masih boleh gelak ketawa menghadiri majlis glamor kerana gelombang krisis itu baru tempias saja dirasai di sini, sekalipun sejak Oktober lalu seramai 7,000 orang diberhentikan kerja di Malaysia.

Penganalisis ekonomi meramalkan krisis itu akan kita rasai juga paling lewat pertengahan tahun ini. Saya bukan pakar ekonomi, cuma penulis yang menari-narikan penanya untuk setiap daripada kita beringat-ingat supaya tidak ditempelak kelak, sudah terhantuk baru nak tengadah.

Bukan apa, penggiat seni, sama ada pelakon dan penyanyi, lazimnya golongan yang tulus dalam bekerja atau berkarya. Dek tumpuan sepenuh jiwa dicurahkan pada bidang diceburi, sedikit sebanyak ada di kalangan mereka ‘terlepas pandang’ terhadap krisis global yang melanda dunia.

Hal ini jika dikait, sudah pasti pihak persatuan menjadi sasaran, tetapi tidak mengapa kerana mutakhir ini kalangan presiden persatuan seni kita tidak menang tangan dengan pelbagai isu, kempen, mencari dana untuk rakyat Palestin tidak terkecuali Mas AF2 pula buat hal. Jadi, biar orang media main peranan.

Ingat mengingat sudah menjadi tanggungjawab bagi saya. Sebabnya lambat laun bila rakan artis bergelut dengan masalah, kena halau daripada rumah pangsa atau anak perlukan wang untuk pembedahan, siapakah yang dicari? Tentulah orang media seperti saya bagi meringankan beban yang dihadapi.

Harus diingat, ketika kegawatan ekonomi pada 1998 dan 1999, implikasinya cuma di rantau Asia, tetapi suasananya kini berbeza kerana ia dalam skala lebih menyeluruh dengan membabitkan negara kuasa besar, Amerika Syarikat, sebab itu ia disebut krisis ekonomi global.

Negara jiran, Singapura adalah negara Asia pertama menjadi mangsa krisis ekonomi ini, disusuli Jepun dan Korea. Ribuan rakyat Malaysia yang bekerja di negara berkenaan kini menjadi penganggur.

Katakan mereka kembali ke tanah air, jadilah penganggur tidak berhormat sebab tiada pendapatan. Khalayak seni sebenarnya tidak boleh ambil mudah atau pandang sebelah mata nasib ribuan penganggur di tanah tumpah darah ini kerana mereka asalnya kuasa beli penyokong artis itu sendiri.

Setakat ini, saya tidak nampak adanya penggiat seni bercakap secara terbuka atau diaplikasi dalam persembahan untuk rakan taulan mereka mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi krisis ini.

Bukan mahu menyanjung penghibur luar, tetapi di negara serumpun, penghibur rakyat seperti Iwan Fals mempunyai sensitiviti kuat untuk menyedarkan masyarakat terhadap apa yang berlaku melalui karyanya.

Nak salahkan artis kita pun tidak boleh kerana kebelakangan ini kita banyak minta mereka membaca puisi untuk mengutip dana bagi menyelamatkan rakyat Palestin. Usah lupa nasib diri sendiri pula.

Nampak gaya, penyanyi yang dalam proses muncul lagu baru, kalaupun tidak album penuh mungkin single saja, perlu berkira-kira apakah sesuai ‘bertarung’ di persada seni pada masa ini kerana dikhuatiri kelak album tidak ‘laku’, diri sendiri ‘berkira-kira’ bagi melangsaikan hutang.

Pihak produser dan pelakon juga tiada jaminan, jika krisis bertambah kompleks, apakah pihak stesen mempunyai keupayaan mahu lagi berurus niaga pembelian drama atau drama lama diulang tayang? Tidak terkecuali buat artis yang mahu menaiki jinjang pelamin tahun ini, seharusnya mengawal perbelanjaan supaya tidak bermegah-megah dengan kos tinggi, penyudahnya diri sendiri menggelabah.

Ujian paling getir bila ekonomi gawat adalah kerukunan rumah tangga. Tiada jaminan pasangan artis dapat memulihara keharmonian rumah tangga mereka, kerana melalui statistik, ramai artis bercerai berai pada 1997,1998 dan 1999 gara-gara kegawatan ekonomi yang meruntuhkan mahligai dibina.

ADAM: Sediakan payung sebelum hujan.

Harian Metro

Matta Jaja Alternatif Rock Kemelayuan

6 May

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

TIDAK seperti kebanyakan kumpulan dari seberang, Matta amat mudah didekati. Mereka sangat realistik dan spontan lebih-lebih lagi vokalisnya, Sunu Hermaen, 27.

Keselambaan Sunu itu terserlah sewaktu menjayakan per sembahan di Anugerah Planet Muzik (APM) yang ber langsung 20 April lalu.

Tatkala menyanyikan lagu Ketahuan, Sunu turun dari pentas mengacukan mikrofon kepada Datuk Siti Nurhaliza.

“Bagi saya aksi itu sudah cukup sopan dan saya tidak mempunyai niat apa-apa. Melainkan mengajak semua pe nonton menyanyi dan kebetulan terlihat kelibat Datuk Siti di bawah, lalu saya turun menemui penyanyi pujaan saya itu.

“Bangga amat apabila Siti boleh menyanyikan lagu kami. Insya-Allah pada masa akan datang kami ingin menjalinkan kerjasama dengannya,” katanya.

Matta turut dianggotai Setia Permana (Stay), 22, selaku bassist, Dicky Yudha Handika SP (Dicky), 28, dan Yogi Wargana (Igoy), 30, di posisi gitaris, Yudi Permana (Yudee), 26, sebagai pemain keyboard dan Mulyadi Hidayat (Wok), 29, pemain dram.

Jika kebanyakan kumpulan di Indonesia cenderung meng hasilkan muzik eksperimental yang mampu mencetus re volusi baru dalam arena nyanyian, Matta pula mempunyai misi tersendiri apabila kembali pada muzik kekampungan.

“Kami dari awal mencari resolusi supaya kami bisa cepat menjadi kaya dengan membuat satu formula di mana meng hasilkan satu, dua lagu yang enak didengar, tidak bosan dan disukai pendengar.

“Saya sedar tidak semua orang menyukai lagu kami dan tidak semua juga yang tidak senang. Justeru, kalau orang mahu bilang muzik kami ketinggalan, terpulang kerana kami menghasilkan lagu untuk semua golongan dan bikin sebuah album yang boleh dijual.

“Kalau ada yang menganggap album kami kekampungan, itu terserah kepada mereka. Lain masakan, lain cara memasaknya dan kami memang sudah tetapkan tujuan untuk menjadi kaya dan sekarang sedang menuju impian itu.

“Kami tidak mahu menjadi idealis dan enggan menurut jejak langkah kebanyakan kumpulan sedangkan perjuangan mereka itu tidak menguntungkan.

“Saya percaya sebagai artis baru, kami perlu bersandarkan lagu dan muzik yang mampu memikat halwa telinga pen dengar agar mudah memahatkan nama dan mewujudkan empayar di kalangan peminat.

“Namun sebagai pemuzik kami akan terus bereksper imentasi dengan mencari idea baru, aneh dan paling penting bukan menciplak karya luar.

“Jika ada kumpulan berpaksi kebaratan itu terserah mereka. Yang pasti Matta bangga dengan ciri muzik alternatif rock kemelayuan yang kami tampilkan. Malah, sahabat saya dari Eropah yang mendengarkan lagu Ketahuan turut menyukai lagu itu meskipun diterapkan muzik dangdut,” katanya.

Sebelum menempa nama dalam arena perdana, Matta dulunya bergerak sebagai kumpulan indie dan melalui pel bagai kepayahan sebelum mereka dikenali seperti hari ini.

Ketahuan adalah lagu yang berjaya memahatkan nama Matta di persada seni suara Indonesia dan Malaysia, mem punyai sejarah tersendiri yang hampir membunuh karier kumpulan ini.

“Lagu itu ditulis sejak kami masih bergelar kumpulan muzik indie, tetapi waktu itu ia diberikan ‘mood’ R&B. Ketika mahu memasarkan album pertama, kami menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat rakaman.

“Namun Ketahuan kurang mendapat sambutan melainkan sekitar Bandung. Pada saat itu seorang artis dangdut, Uut Permata Sari sudah merakamkan lagu berkenaan dalam versi dangdut.

“Sehinggakan kami terpaksa membuat laporan polis bagi melindungi hak kami, namun menarik balik tuduhan itu kerana enggan masalah ini berpanjangan.

“Kemudian produser syarikat rakaman tadi menyunting Matta sebagai artis rakaman dan dia memberi cadangan untuk merombak semula konsep muzik Ketahuan. Alhamdulillah, kerana Tuhan itu maha adil, nyanyian kami menjadi ber banding Uut,” katanya.

Sebelum ini, media Indonesia pernah melaporkan ke munculan Matta membuatkan kebanyakan kumpulan di Indonesia berasa tergugat.

Saat mendengar pertanyaan itu, Sunu menafikan hal ber kenaan.

“Setakat ini hubungan Matta dengan mana-mana band baik-baik saja. Malah, mereka sangat menyayangi, memberi kami makan dan minum,” katanya berseloroh.

Jualan album sulung Matta ini khabarnya melebihi 200,000 unit manakala 1.2 juta muat turun untuk lagu Ketahuan.

“Album ini sangat istimewa kerana kebanyakan lagu ditulis daripada kejadian nyata. Ia ibarat luahan isi hati. Kami percaya sebuah lagu yang ditulis berdasarkan kisah benar itu mampu membuatkan penghayatan vokalis dan pemuzik lebih ‘feel’ selain pendengar juga berasa dekat.’

Lagu Playboy misalnya kisah benar anggota kumpulan Matta yang paling tampan iaitu Stay manakala Tersenyumlah menceritakan seorang sahabat kami yang mengidap HIV dan lagu ini didedikasikan kepadanya agar dia terus bersemangat menghadapi kehidupan kerana kami sentiasa di sisinya saat susah dan senang,” katanya.

Tambahnya, keistimewaan album berkenaan terletak pada kemampuan mereka bereksplorasi dengan pelbagai elemen muzik dari rock ‘n’ roll, alternatif pop, rock, akustik hing gakan ‘twist’.

Difahamkan, dek kerana terlalu mengagumi kejelitaan pelakon remaja, Diana Danielle yang diundang menjayakan sesi fotografi dengan Matta untuk sebuah majalah, Sunu terus bersetuju menghasilkan sebuah single termasuk lagu duet buat gadis berusia 17 tahun itu.

Sebelah malam di hari dan lokasi sama, Matta mengadakan persembahan di Planet Hollywood.

Sambutannya kurang memberangsangkan barangkali ke rana faktor riwayat Matta sebagai kumpulan baru dengan hanya bersandarkan satu lagu popular.

Pun begitu, soal jumlah penonton tidak sedikitpun men jejaskan persembahan Matta yang ternyata bertenaga.

Sikap spontan dan keramahan vokalisnya, Suno berinteraksi membuatkan mereka yang hadir terasa dekat.

Lapan lagu disampaikan kumpulan berasal dari Bandung, Indonesia ini antaranya Tak Bertepi, Playboy, Penantian, Sumpah Mati, Tersenyumlah, Ibu (sebuah lagu dendangan asal Iwan Fals) sebelum Ketahuan mengambil alih pentas sebagai lagu terakhir.

Persembahan yang bermula tepat jam 9.30 malam tidak hanya dihadiri peminat serta pihak media, malah ia turut dihadiri artis popular seperti Diana Danielle, Izwan Pilus, Isma Halil Hamzah dan kumpulan Peterpan yang menjayakan konsert di Stadium Negara, 27 April lalu.

Acara hiburan itu selesai kira-kira jam 10.45 malam.

Powered by Harian Metro

Kolaborasi Baru Kris Dayanti

24 Apr

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my

RAKAN akrab 3 diva (dari kiri), Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ.

APA sahaja kisah tentang diva tersohor dari seberang ini, pastinya akan meraih perhatian yang cukup meluas. Bukan sahaja mempunyai wajah yang cantik dan jelita, kewibawaannya sebagai seorang penghibur yang cukup lincah dalam memberikan persembahan bertenaga tidak perlu disangkal lagi dan ditambah pula dengan keramahannya menjadikan Kris Dayanti begitu disenangi ramai.

Hujung minggu lalu, penerima Artis Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik 2008 (APM 08), itu berada di ibu negara.

Selain menghadiri acara gemilang itu, Kris juga berada di Malaysia kerana memenuhi undangan majlis Minggu Setiausaha anjuran Hotel Quality di Martrade, Kuala Lumpur, petang kelmarin.

Seperti kebiasaannya, Kris tidak pernah lupa bertemu media tempatan untuk bertanya khabar selain berkongsi cerita.

Salah satunya ialah dia cukup rancak berbicara mengenai projek album duetnya bersama seniman tersohor Indonesia, Iwan Fals yang kini sudah pun selesai menjalani rakaman dua buah lagu.

“Saya sebenarnya cukup gembira dan tiada kata yang mampu saya lafazkan apabila penyanyi hebat sepertinya menyatakan persetujuannya untuk meneruskan projek album duet ini,” kata Kris memulakan cerita.

Kesediaan Iwan bekerjasama dengannya dianggap Kris seperti bulan jatuh ke riba lantaran penyanyi jelita itu sedia maklum Iwan bukan seperti seniman popular lain.

Personaliti dan karakter Iwan yang serius dan begitu cerewet serta mementingkan nilai-nilai estetika yang tinggi dalam setiap kerja seninya menyebabkan Kris gentar pelawaannya terhadap ikon seni yang dihormatinya itu tidak diterima.

“Iwan seperti M. Nasir yang cukup cerewet dan keberatan untuk berkerja dengan penyanyi wanita di Indonesia.

“Rancangan ini berlaku secara kebetulan apabila kami terlibat dalam satu persembahan di Indonesia.

“Tiba-tiba saya menyuarakan hasrat ingin berkolaborasi dengannya dalam sebuah album dan terus sahaja dia menyatakan persetujuannya. Terkejut juga saya dibuatnya tetapi sudah pasti saya gembira kerana sudah lama saya kepingin untuk terlibat dalam projek seperti ini bersamanya,” ujar Kris begitu gembira.

Kris memberitahu, sebelum masuk ke studio rakaman, dia serta suaminya Anang, Abdee dari kumpulan Slank dan isteri merangkap pengurus Iwan Fals sendiri iaitu Rosanna terlebih dahulu berbincang mengenai konsep lagu yang sesuai untuk gandingan mereka berdua.

“Berdasarkan rancangan kami, album ini nanti akan memuatkan enam hingga lapan buah lagu tetapi memikirkan karakter Iwan yang sukar diramal dan sentiasa berbuat sesuka hatinya, saya tidak berani meramalkan berapa jumlah lagu dalam album ini.

“Takut tiba-tiba saya kata lain, nanti produk akhirnya lain, saya juga yang susah nanti. Untuk itu, saya sudah bersiap-sedia dengan kekuatan mental dan fizikal dalam berdepan dengan situasi tersebut (ketawa),” Kris menyambung perbualan.

Bagaimanapun, penerbitan album kolaborasi ini ujar Kris, menampilkan konsep muzik yang berbeza dengan apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.

“Kerjasama ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk karier saya dan Iwan. Ia juga mampu mengembangkan lagi karier seni saya khususnya untuk mencuba sesuatu yang baru,” jelas wanita kelahiran Malang, Jawa Timur ini lagi.

Dalam pada itu, Kris yang kali terakhir muncul dengan album solonya, Krisdayanti tahun lalu yang memuatkan lagu popular, I’m Sorry Goodbye menjelaskan, buat masa ini dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk melahirkan album solonya.

“Anang mahu saya memberikan sepenuh perhatian terhadap projek album duet ini. Saya juga enggan terburu-buru dan mahu melakukan sesuatu perkara itu dengan cermat dan perlahan-lahan,” ujar Kris yang mencipta populariti luar biasa di Malaysia menerusi lagu Menghitung Hari pada tahun 1999.

Di sebalik kegembiraan tersebut, kesedihan Kris terhadap kontroversi serta musibah yang melanda 3 Diva baru-baru ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap dirinya serta dua sahabatnya, Ruth Sahanaya dan Titi DJ.

‘Perkahwinan’ yang dibina pada tahun 2006 oleh 3 Diva bersama maestro muzik tersohor Indonesia, Erwin Gutawa menemui jalan penyudahnya apabila Erwin mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat dalam apa jua persembahan bersama 3 Diva.

Ia berikutan Erwin dikatakan tidak berpuas hati dengan beberapa insiden dan berita yang kurang tepat berkenaan dirinya sepanjang terlibat dengan 3 Diva.

“Memang kami sedih dengan apa yang telah berlaku tetapi perjuangan perlu diteruskan juga. Erwin telah banyak membantu 3 Diva. Saya akan pastikan hubungan persahabatan di antara kami tetap terjalin,” kata Kris dalam nada sedih.

Pada masa yang sama, Kris menjelaskan, 3 Diva kami baru sahaja melahirkan album mini yang diberi judul DI3VA yang memuatkan tiga lagu baru iaitu A Lotta Love, Adilkah Ini Untukku dan Mencinta.

“Sehubungan itu, kami akan mengadakan pertemuan dengan peminat kami di sekitar Pulau Jawa dan mengadakan persembahan di sana untuk mereka,” kata ibu kepada Titania Aurelie Nurhermansyah dan Azriel Akbar Hermansyah ini lagi.

Berlakon filem

Kris yang juga mencipta nama sebagai seorang pelakon filem dan sinetron turut memberitahu, dia dalam perancangan untuk membintangi sekuel filem Gadis Marathon yang pernah menjadi sebuah filem box-office pada tahun 1981 di Indonesia lakonan Yenny Rachman.

“Ketika ini Indonesia dibanjiri dengan filem-filem yang berteraskan cinta dan filem yang memperjuangkan kisah atlet Indonesia jarang dipaparkan.

“Mereka tidak seharusnya lupa kepada atlet-atlet Indonesia yang banyak berkorban dan berjasa kepada tanah air. Disebabkan itu juga, saya menyokong penuh dengan penghasilan filem sekuel ini agar atlet Indonesia diangkat ke tempat yang sepatutnya,” jelasnya yang kali pertama berlakon filem Jatuh Cinta Lagi pada tahun 2006.

Jangan salah anggap

Ramai yang memperkatakan tentang ucapan Kris apabila dia menyebut tentang keikhlasan penyanyi nombor satu negara yang juga sahabat karibnya, Datuk Siti Nurhaliza terhadap dirinya sewaktu memberikan ucapan menerima anugerah Artis Wanita Terbaik APM 08 Ahad lalu.

Tidak mahu peminat kedua-duanya salah faham, dengan pantas Kris memberitahu apa yang dimaksudkan adalah keikhlasan Siti merestui kemenangannya memandangkan Siti tewas di negara sendiri.

“Selama lapan tahun APM dianjurkan, dua kali saya memenanginya dan pernah sekali kami berkongsi trofi berkenaan.

“Mungkin sudah menjadi rezeki saya memenanginya pada malam itu memandangkan Anugerah Muzik Indonesia baru-baru ini, saya gagal membawa pulang sebarang anugerah,” luah Kris dengan jujur.

Saat ditanya dengan soalan tidakkah dirinya mempunyai sebarang perancangan untuk menerbitkan sebuah album duet bersama Siti Nurhaliza, Kris menjelaskan impian dan perancangan tersebut sudah ada dan cuma menunggu masa yang sesuai sahaja.

“Kini saya sudah bernaung di bawah syarikat saya sendiri dan begitu juga dengan Siti. Jadi, hendak berkolaborasi itu tidak ada masalah kerana masing-masing tidak terikat dengan syarikat rakaman. Tunggu sahajalah perkembangan terbarunya kelak,” jelasnya menyimpul senyuman yang penuh bermakna.

Persembahan mantap

Persembahan Kris pada Minggu Setiausaha begitu mantap dan energetik sekali. Selama satu jam menghiburkan hampir 650 penonton yang membanjiri dewan tersebut, kehadiran diva ini sememangnya amat ditunggu.

Memulakan persembahan dengan lagu Mencintaimu, momentum pada petang itu terus meningkat tanpa meninggalkan sebarang rasa resah mahupun bosan melihat persembahannya.

Lagu-lagu seperti Menghitung Hari, Pilihlah Aku, Mahadaya Cinta, Joget dan Cinta sudah cukup membuktikan juara Asia Bagus pertama pada tahun 1992 ini berada dalam kelas tersendiri.

Bijak dan manja dengan penonton terutama sang jejaka yang turut mengambil peluang untuk mendekatkan diri dengan penghibur jelita saat diajak ke pentas untuk menari bersamanya sehingga menimbulkan histeria di dalam dewan.

Powered by Utusan Malaysia