Archive | Jaafar Onn RSS feed for this section

Periksalah Akaun Saya – Mila

7 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

BERMULA dengan tertubuhnya sebuah empayar perniagaan yang diberi nama Luvmila Corporation Sdn. Bhd. sejak Ogos lalu, ada suara-suara nakal yang mengaitkan pemiliknya ditaja oleh individu tertentu.

Pemilik yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan, sudah tentulah Mila atau nama sebenarnya Nursyarmila Jirin.

Barangkali ada yang berprasangka, mana mungkin wanita yang baru setahun jagung dalam bidang seni sudah punya sumber kewangan yang banyak hingga dia berupaya membangunkan sebuah perniagaan berskala besar.

Mila bagaimanapun sekadar mampu melemparkan senyuman manis, semanis empunya diri. Tiada langsung amarah di jiwa, malah tiada riak terkilan tatkala telinganya mendengar tanggapan negatif itu.

Jelas wanita berusia 22 tahun itu, gosip kononnya syarikat kepunyaannya mendapat tajaan daripada ‘seseorang’ tidak benar sama sekali.

“Penubuhan syarikat Luvmila ini menggunakan sepenuhnya wang simpanan saya sendiri. Jika tidak percaya, bolehlah periksa akaun simpanan saya,” ungkapnya tergelak manja ketika ditemui pada pelancaran Luvmila yang diadakan di Wisma PKPS, Shah Alam Selasa lalu.

Mila sebelum ini juga dikaitkan menerima tajaan seorang lelaki berbangsa Cina, yang merupakan rakan kongsinya untuk menubuhkan syarikat MC Voices & Stars (MCV), setahun lalu.

Setelah menjawat status sebagai ahli lembaga pengarah syarikat terbabit, kini Mila telah berundur daripada MCV.

Menyambung bicara, Mila mengakui pernah terdengar tentang dirinya yang ditaja untuk menubuhkan Luvmila, sebuah syarikat yang menjual dan memasarkan produk kecantikan.

“Saya tidak faham dengan pandangan masyarakat yang mudah mengaitkan saya ditaja oleh orang ini dan itu.

“Kalau betul saya ditaja, buat apa saya hendak bekerja kuat lagi tanpa henti dalam bidang seni.

“Lebih baik saya beli rumah sendiri, kereta mewah, berseronok dan membeli-belah,” jawab Mila lebih lanjut.

Menganggap kisah nakal yang ditujukan khas untuk dirinya sebagai gosip, Mila sebaliknya tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Dia hanya pasrah, selain menerima segala-galanya dengan perasaan terbuka tanpa ada dendam di hati.

“Kalau dakwaan itu tidak benar, buat apa saya hendak risau tidak tentu pasal. Paling penting, keluarga tahu dan mengenali saya.

“Selebihnya saya tidak mengambil peduli dengan kata-kata orang yang suka bercakap buruk tentang saya,” terangnya.

Rezeki masih berpihak padanya

Dalam situasi artis di bawah Maestro Talent And Management sedang berdukacita terhadap nasib yang menimpa mereka baru-baru ini, Mila tidak terkecuali meluahkan perasaan sama.

Penutupan syarikat yang dikenali ramai di negara ini cukup mengejutkan Mila, yang merupakan salah seorang artis di bawah kendaliannya.

“Siapa yang tidak bersedih dengan penutupan Maestro. Saya hanya diberitahu bahawa syarikat ini gulung tikar disebabkan berdepan dengan masalah ekonomi.

“Pada mulanya saya memang risau dan gelabah. Saya masih baru, malah selama ini bergantung harap dengan Maestro.

“Semua karier seni saya sebelum ini diuruskan oleh Maestro terutama tentang jadual persembahan saya dan perkara lain melibatkan kerjaya seni saya.

“Selepas itu, saya ditenangkan oleh pengurus dan pembantu peribadi saya, Noza Mohd. agar tidak kelam-kabut dan risau apatah lagi saya sudah memiliki bisnes sendiri.

“Sekurang-kurangnya dapatlah ia membantu untuk meringankan bebanan saya jika sebarang masalah yang tidak diingini berlaku kelak.

“Biarpun begitu, saya masih sedih disebabkan Maestro memberikan banyak sumbangan dan jasa kepada saya,” ujar Mila, sedikit kecewa.

Juara Akademi Fantasia 5 (AF5) itu memberitahu lagi, dia baru sahaja menghadiri perjumpaan bersama Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) iaitu Zainir Aminullah minggu lalu.

“Beberapa artis Maestro termasuk saya sudah diserapkan ke AESB berkuat kuasa 1 April lalu. Semua nampak okey semasa perbincangan itu diadakan dan tidak ada sebarang masalah.

“Saya difahamkan bahawa semuanya masih dalam keadaan sama, cuma barangkali ada sedikit perbezaan dalam pihak pengurusan baru pada permulaannya.

“Kontrak yang ditandatangani sebelum ini bersama Maestro juga tidak berubah meskipun kini saya sudah bersama AESB.

“Itu yang saya tahu, selebihnya saya akan uar-uarkan kemudian kalau ada sebarang perubahan,” janji Mila.


GIGIH menimba ilmu bisnes. Mila pada majlis pelancaran Luvmila baru-baru ini.

Meskipun baru sahaja melangkahkan kaki dalam dunia seni, namun pengalaman yang ditempuhi Mila sepanjang tempoh singkat itu, banyak mematangkan dirinya.

Mila sempat menasihati rakan-rakan yang berada di bawah Maestro sebelum ini supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pihak yang menabur janji manis.

“Dalam situasi kelam-kabut, macam-macam perkara boleh terjadi. Saya ada bagi pendapat kepada kawan lain supaya sentiasa berhati-hati dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Macam-macam boleh berlaku ditambah dengan orang yang suka ambil kesempatan dalam waktu terdesak ini,” katanya memberikan nasihat kepada bekas artis di bawah Maestro.

Banyak baca buku bisnes

Umum mengetahui, selain bergelar seorang anak seni, gadis kelahiran Pulau Pinang itu kini menambahkan statusnya dengan menjadi seorang ahli perniagaan.

Rasanya satu Malaysia sudah mengetahui tentang produk Luvmila yang sekarang telah berada di pasaran di seluruh Malaysia.

Walaupun penat menghabiskan banyak masa untuk karier seninya, Mila tetap mencuri-curi masa untuk belajar tentang selok-belok dunia perniagaan yang sifatnya semakin global demi menambahkan pengetahuan.

“Saya banyak membaca buku yang berkaitan pemasaran dan strategi perniagaan disebabkan mahu menambah ilmu.

“Sebelum ini banyak pihak yang mempersoalkan kredibiliti serta kemampuan saya untuk mengurus perniagaan sendiri.

“Saya tidak gentar apabila dikritik, sebaliknya saya lebih berazam untuk belajar mana-mana yang termampu dalam perihal berkaitan perniagaan.

“Selain itu, saya menjadikan syarikat kosmetik gergasi lain sebagai mentor untuk saya terus mengemudikan Luvmila ini.

“Biasanya saya akan membaca pada waktu malam, sebelum tidur. Kadang-kala, saya juga akan baca dalam kereta jika hendak ke satu-satu destinasi kerana kereta saya dipandu Noza,” tambah Mila.

Pelancaran Luvmila dirasmikan oleh Timbalan Pengarah 1 Bahagian Pembangunan Usahawan Mara, Adilah Hasan.

Dalam majlis sama, Luvmila juga memperkenalkan tiga buah produk baru yang merangkumi penjagaan kulit iaitu Luvmila Whitening, Luvmila Gold dan Luvmila Herbal Soap.

“Luvmila menyasarkan 5,000 hingga 10,000 pengguna hingga hujung tahun 2009,” akhiri Mila penuh harap.

Antara rakan artis yang hadir memberikan sokongan kepada Mila ialah Farah Asyikin, Farhan, Akma, Diana Rafar, Rohana Jalil, Jaafar Onn, Edlin dan Tasha.

Kosmo

Advertisements

Rezeki Berganda Buat Jaafar Onn

23 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Jaafar Onn

ATAS pertemuan tak terduga dengan hamba Allah, pelakon, pelawak dan pengacara Jaafar Onn mendapat rezeki terpijak apabila dijemput untuk menjadi tetamu Tuhan di Tanah Suci Makkah Jun ini. Ada cerita di sebalik niatnya sebelum ini kerana tawaran melakonkan watak sendiri dalam sebuah drama yang diimpikan sekian lama memberi rahmat yang akhirnya memberi peluang kepada lelaki berusia 58 tahun ini mengerjakan umrah.

Hatinya kini cukup teruja dan tidak sabar untuk mengadap Kaabah dan mengabdikan seluruh jiwa raganya kepada Yang Maha Esa. Secara kebetulan bertemu Siti Murni Datuk Sheikh Ahmad dan suaminya, Mohamad Ismail dari Al-Amin Travel Management & Services Sdn Bhd, dia ditawarkan mengerjakan umrah bersama syarikat itu secara percuma.

“Alhamdulillah, saya memanjat kesyukuran yang amat sangat di atas keberkatan dan peluang ini. Inilah namanya rezeki yang Tuhan berikan dan saya percaya setiap niat yang baik pasti akan dipermudahkan laluannya. Insya-Allah saya merancang untuk membawa kakak, Teh Awang dan anaknya, Zurimi. Selepas pertemuan dengan mereka dan satu perbincangan diadakan dan syarikat itu bercadang menjalinkan kerjasama lebih erat dengan melantik saya sebagai duta syarikat itu.

“Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Saya menerimanya, perkara baik mana saya boleh tolak. Siapa tahu selepas ini setiap tahun saya akan mengerjakan umrah. Dengan usia yang kian lanjut, tiba masa mendekatkan diri dengan Allah. Insya-Allah selepas balik mengerjakan umrah, saya bercadang menunaikan fardu haji pula,” katanya.

Seiring dengan niat yang mulia, pelakon filem Baginda ini juga ingin mengambil kesempatan untuk menjemput pembaca Berita Harian khususnya peminat untuk menyertai Pakej Umrah Bersama Jaafar Onn pada 8 hingga 20 Jun ini.

Kata Jaafar, harga berpatutan ditawarkan dan sesiapa yang berminat boleh hubungi pembantunya Ahmad di talian 012-3062291.

Menurut Jaafar, drama 13 episod berjudul Chef Jo itu adalah terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd dan pemergian Jaafar ke Makkah sebagai tanda memanjatkan kesyukuran.

“Chef Jo mengisahkan kehidupan saya yang suka masak dan tidak kedekut ilmu mengajar orang memasak. Drama itu juga menunjukkan kehidupan saya sebagai bapa tunggal dua anak. Penulis skrip Chef Jo sudah lama mengenali saya dan tahu latar diri saya sejak dulu hingga sekarang. Dalam drama itu, Rosnah Mat Aris sebagai bekas isteri saya yang bongkak.

“Sebahagian jalan cerita Chef Jo adalah kisah hidup saya yang sebenar. Sekian lama menjadi anak seni, menjadi impian saya untuk berkongsi pengalaman hidup dengan peminat dan akhirnya kesempatan itu datang juga. Sebelum dapat tawaran berlakon dalam drama ini, saya berjanji kepada diri sendiri sekiranya hajat tercapai untuk melakonkan watak sendiri dalam mana-mana drama, saya akan mengerjakan umrah,” katanya bersemangat.

Kini, sebagai persediaan ke sana, Jaafar sudah mula membaca buku panduan umrah dan haji serta bertanya kawan yang sudah mengerjakan umrah terlebih dulu.

“Berdebar juga hendak ke Makkah. Maklum saja sebagai hamba-Nya yang lemah, pasti banyak melakukan kesilapan. Saya harap segala-galanya berjalan dengan baik,” katanya yang ingin mengambil kesempatan memohon maaf kepada yang mengenalinya sekiranya ada keterlanjuran yang tak disedari.

Kerana sibuk dengan penggambaran drama Chef Jo, percutian Jaafar ke Perth Australia bersama pengusaha katering, Kuzie Catering yang dijadualkan 18 Mac ini terpaksa dilupakan.

Berita Harian

Atas Nama Kemanusiaan

25 Jan

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

SEBAHAGIAN daripada artis yang akan turut serta dalam ABPBH 2008 untuk Gaza di Amcorp Mall.

Penggiat seni berkumpul di Bazz-R, Tingkat 3, Amcorp Mall Petaling Jaya untuk jual, lelong barangan peribadi kutip dana Tabung NSTP Untuk Gaza

MEREKA datang dari pelbagai latar belakang dalam bidang seni. Ada penyanyi, pelakon, komposer, penulis lirik, pereka fesyen dan penerbit namun perbezaan itu bukanlah menghalang untuk mereka bersatu dan berganding bahu bagi membantu mereka yang memerlukan atas nama kemanusiaan sejagat.

Dan pada 31 Januari ini bertempat di Bazz-R, Tingkat 3, Amcorp Mall Petaling Jayaaz, niat murni mereka itu dibuktikan apabila mereka turut serta membabitkan diri dalam karnival amal anjuran Kumpulan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) bersempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 yang bakal kembali memeriahkan industri hiburan tanah air 12 April 2009.

Menjanjikan pelbagai aktiviti menarik, karnival amal yang dianjurkan untuk mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza itu menyajikan acara seperti sesi jualan dan lelongan barangan eksklusif dan edisi terhad milik artis, sesi bergambar dan menandatangani autograf serta jualan kek yang akan disumbangkan hotel terkemuka.

Bukan itu saja malah pengunjung pusat beli belah itu juga berpeluang menyaksikan persembahan artis yang akan menyanyikan lagu bertemakan keamanan, kemanusiaan dan anti peperangan bersesuaian dengan tujuan karnival ini diadakan iaitu bagi membantu rakyat Palestin yang menderita akibat kekejaman tentera Israel.

Pada majlis pelancarannya di Balai Berita, Bangsar petang Khamis lalu, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun berkata walaupun ABPBH2008 bersifat hiburan namun itu tidak bermakna mereka tidak boleh terbabit dalam hal yang berkait rapat dengan soal kemanusiaan ini.

“Bagi Berita Harian aktiviti ABPBH tidak tertumpu kepada soal hiburan semata-mata dan dengan pembabitan golongan artis dalam aktiviti ini kami yakin ia akan memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa artis juga mempunyai hati dan perasaan seperti orang lain,” ujar Hishamuddin mengenai acara yang idea untuk menghasilkannya dicetuskan antara NSTP dan superstar Anita Sarawak itu.

Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang; Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) merangkap Penaung ABPBH2008, Datuk Manja Ismail; Pengarang Hiburan Berita Harian merangkap Pengerusi ABPBH2008, Hanizam Abdullah serta barisan artis yang akan terbabit dalam karnival itu seperti Anita Sarawak dan suami, Mahathir Abdullah, kumpulan Meet Uncle Hussain, Farawahida, Farah Annuar, Julfekar, Aizat, Diddy, Nubhan dan Nur Fatima.

Walaupun acara ini anjuran bersama ABPBH 2008 namun menurut Hishamuddin, mereka yang tidak tercalon juga boleh menyertai acara itu kerana ia terbuka buat semua.

“Bukanlah satu kesalahan kalau semua artis dan personaliti popular, sama ada yang tercalon atau tidak dalam ABPBH diajak terbabit dengan aktiviti sosial dan kemanusiaan kerana apa yang penting adalah sumbangan yang diberikan itu sekurang-kurangnya mampu meringankan beban yang ditanggung.

“Contohnya dua tahun lalu ketika dalam siri jelajah promosi di Johor, rombongan ABPBH yang terdiri daripada beberapa pelakon, penyanyi dan personaliti popular singgah melawat mangsa banjir di Muar dan Batu Pahat. Mereka meredah banjir menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir.

“Kehadiran artis popular ini sedikit sebanyak menghiburkan mereka yang mungkin tertekan apabila kehidupan terjejas akibat banjir dan kita harap perkara yang sama juga dirasai rakyat Palestin nanti,” ujar Hishamuddin positif.

Sejak ditubuhkan 6 Januari lalu, Hishamuddin berkata jumlah kutipan Tabung NSTP Untuk Gaza mencecah RM4 juta dan mereka tidak meletakkan sebarang sasaran kutipan pada hari itu.

“Pada hari karnival berlangsung kami tidak mengehadkan jumlah kutipan, sebaliknya mahu memperoleh sebanyak mungkin hasil derma. Kutipan berakhir pada 7 Februari sebelum ia dihantar kepada Wisma Putra,” katanya.

Sementara itu, Hanizam berkata walaupun perancangan dibuat di saat-saat akhir namun acara amal itu tetap mendapat sokongan artis popular untuk turut serta dalam karnival itu.

“Seramai 24 artis popular sudah memberikan pengesahan menjayakan karnival itu. Mereka bersama kami melelong barangan milik peribadi kepada peminat yang hadir. Malah membanggakan apabila Anita Sarawak menjual barangan miliknya,” katanya.

Pada majlis itu kumpulan Meet Uncle Hussain turut memperdengarkan lagu terbaru mereka yang dicipta berdasarkan mangsa peperangan di Semenanjung Gaza berjudul Putihnya Lukisan. Lagu itu juga bakal dinyanyikan kumpulan berkenaan pada hari berlangsungnya nanti karnival berkenaan.

Bongkar gerobok demi program amal

JIKA ada pembaca yang teringin untuk menggayakan pakaian yang pernah tersarung di tubuh Anita atau lebih akrab di sapa Kak Nita, pastikan temu janji pada 31 Januari kerana pada tarikh itu, Anita akan menjual serta melelong pakaian dan juga aksesori miliknya seperti tas tangan dan juga kasut.

”Kak Nita dan Abang Mahathir nanti akan bongkar gerobok untuk melihat mana-mana pakaian yang akan Kak Nita lelong pada hari itu. Antaranya pakaian yang pertama kali Kak Nita pakai masa membuat persembahan di Caesar’s Palace, Las Vegas.

“Setiap pakaian yang hendak di lelong, harga bidanya bergantung kepada nilai sentimental yang ada pada pakaian itu,” cerita Kak Nita ramah.

Bagi pakaian yang hendak dijual, Kak Nita turut menyarankan supaya artis meletakkan sendiri nilai harga pakaian berkenaan bagi memudahkan pembeli.

“Kepada mereka yang berminat untuk membeli jangan risau kerana harga yang akan diberikan adalah berpatutan dan bersesuaian dengan nilai asal sewaktu dibeli,” katanya.

Bagi memberikan elemen kelainan pada acara karnival amal itu, penyanyi berkulit hitam manis dan baru saja memenangi kategori Etnik Kreatif sewaktu Anugerah Juara Lagu ke-23 lalu, Farawahida bercadang untuk menjual kari ayam.

“Iyalah, apabila melihat ramai rakan artis yang hendak menjual pakaian dan aksesori mereka, terlintas dalam fikiran untuk menjual kari ayam. Tapi apabila difikirkan kembali sukar juga sebab mungkin jumlah kutipan nanti tidaklah sebanyak mana berbanding jualan baju atau aksesori kerana takkanlah kita hendak jual kari ayam dengan harga mahal.

‘Tengoklah nanti macam mana tapi buat masa ini, inilah idea Fara untuk sama-sama memeriahkan acara karnival ini serta membantu mereka yang amat memerlukan ini,” ujarnya.

Turut terpanggil untuk terbabit dalam acara ini adalah penyanyi tinggi lampai Diddy. Perasaan sedih melihat nyawa yang tidak berdosa terkorban membuatkan Diddy merasa adalah perlu baginya menunaikan tanggungjawab sosial atas nama kemanusiaan.

“Mungkin sumbangan ini tidak seberapa tetapi bagi Diddy itu sudah memadai untuk melunaskan niat Diddy membantu rakyat Palestin meneruskan kehidupan mereka,” tutur Diddy yang akan menjual single terbarunyanya yang berjudul Sudah, nyanyian secara duet bersama Nur Fatima serta album sulungnya pada karnival itu dan kesemua hasil jualan akan diserahkan sepenuhnya kepada Tabung NSTP Untuk Gaza.

Bagi penyanyi jelita Farah Annuar, perasaan simpati yang meluap-luap terhadap mereka yang kehilangan ayah, ibu, suami, isteri, anak dan saudara mara sewaktu peperangan itu turut mendorong dirinya untuk membabitkan diri dalam acara amal itu.

“Farah mungkin akan menjual pakaian yang Fara pakai sewaktu dalam Diari AF. Kebetulan sebelum ini pun memang ramai peminat Fara bertanyakan pakaian itu. Jadi Fara harap peminat Fara dapat datang beramai-ramai ke sana dan Farah akan berada di sana dari jam 12 tengah hari hingga 2 petang” katanya yang juga akan menjual produk Power Root memandangkan dia juga adalah duta kepada produk minuman kesihatan itu.

Turut menyumbangkan koleksi peribadi untuk dilelong pada hari itu adalah penyanyi yang cukup popular dengan lagu Hanya kau Yang Mampu, Aizat. Memandangkan tubuhnya kini semakin mengecil, Aizat bercadang untuk menjual kesemua pakaian yang menyaluti tubuh gempalnya suatu waktu dulu.

“Lagipun pakaian itu masih elok dan disimpan rapi. Selain itu Aizat ingin juga jual mana-mana baju show yang Aizat tak mahu pakai lagi. Harga untuk pakaian ini semuanya bergantung kepada sejarah dan sejauh mana baju itu memberi manfaat kepada pemakai. Tapi jangan risau kerana harganya nanti amat berpatutan.

“Aizat juga akan menjual kesemua barangan permainan Aizat yang memang tak sesuai dengan usia Aizat ini,” katanya mengecam tindakan Israel itu bukan hanya kerana faktor agama dan bangsa tetapi juga atas nama kemanusiaan sejagat.

INFO: ABPBH 2008 untuk Gaza

Tarikh: 31 Januari 2009

Tempat: Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya

Masa: 10 pagi sehingga 6 petang

Antara aktiviti: Jualan barangan peribadi milik artis dan selebriti, lelongan barangan artis dan selebriti, jualan kek yang ditaja hotel di Lembah Klang oleh artis, sesi bergambar artis bersama peminat, nyanyian oleh artis popular.

Antara artis, personaliti dan selebriti yang sudah mengesahkan kedatangan dan pembabitan: Datin Seri Tiara Jacquelina, Anita Sarawak, Rosyam Nor, Ramli MS, Hattan, Faizal Tahir, Ning Baizura, Jaafar Onn, Erra Fazira, Anuar Zain, Mawi, Meet Uncle Hussain, Aizat, Jaclyn Victor, Scha, Fahrin, Eja, Dayang Nurfaizah, Diana Danielle, Stacy, Chef Wan, Serina Redzuwan, Farah Annuar, Diddy, Nikki, Nubhan, Marsha, Zahid, Nita, Nabil Raja Lawak, Adi Putra, Farawahida, Sofaz, Foziah Gous, Ifa Radziah, Ally Iskandar, Maria Tunku Sabri, Azizah Ariffin, Shamsul Ghau Ghau, Eira Shazira, Dafi, Joe Flizzow, Aaron Aziz, Farish Aziz, Zoey, dan ramai lagi.

Tabung NSTP untuk Gaza

Kepada mereka yang prihatin hulurkan sumbangan ikhlas anda ke Bahagian Kewangan NSTP, 31 Jalan Riong, Kuala Lumpur atau menerusi akaun Maybank 514105-320501, atas nama Tabung NSTP Untuk Gaza.

Sumbangan juga boleh diserahkan ke cawangan NSTP di seluruh negara termasuk syarikat bersekutu NSTP iaitu TV3, 8TV, NTV7 dan TV9 serta rangkaian radio miliknya sehingga 7 Februari ini.

Maybank juga menawarkan khidmat berkenaan menerusi cawangannya di seluruh negara, melalui http://www.maybank2u.com, perbankan telefon KawanKu, mesin deposit cek/tunai atau di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Berita Harian

Doa Buatmu Palestin Di Istana Budaya

22 Jan

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

ZAHIDA, Erma dan Umie turut memainkan peranan dalam membantu mangsa keganasan Israel di Gaza.

CEBISAN pengharapan yang diberikan masyarakat dunia barangkali memberi sedikit sinar, biarpun itu tidak akan dapat menghakis segala penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin di Gaza kesan kezaliman rejim Zionis sejak 27 Disember lalu.

Bayangan kekejaman itu tidak mungkin terpadam, kesannya akan terus dirasai selagi hayat di kandung badan. Betapa serangan itu meragut segala hak mereka, membuatkan dunia memberontak meminta supaya penderitaan itu dihentikan segera.

Berat mata memandang, namun semuanya tidak akan memberi makna andai tidak bersama menggembleng tenaga menyalurkan bantuan sekadar termampu atas peranan sebagai manusia yang cintakan keamanan.

Sama ada kecil atau besar, ia bukan ukuran kerana apa yang penting nyawa insan tidak berdosa harus segala diselamatkan dan hak kemanusiaan mereka dikembalikan.

Rasa simpati atas apa yang berlaku di Palestin, Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) akan menganjurkan acara amal, Doa Buatmu Palestin bagi mengutip dana untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Bakal berlangsung di Istana Budaya, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 1 dan 2 Februari ini bermula jam 10 pagi, Doa Buatmu Palestin menghimpunkan pelbagai nama dalam industri hiburan bersatu menyatakan pendirian mereka untuk menentang pencabulan hak asasi kemanusiaan itu.

Presiden Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia, Erma Fatima berkata, Doa Buatmu Palestin menjadi manifestasi insan seni yang menjalankan tanggungjawab sosial mereka untuk menyuarakan simpati serta melaungkan slogan keamanan sejagat.

Erma berkata, inisiatif yang dicetuskan itu juga membuktikan insan seni tidak hanya terkurung dalam kepompong kilauan glamor semata-mata, sebaliknya mereka turut prihatin dengan apa yang berlaku di dunia luar.

“Barangkali apa yang kami lakukan ini hanya usaha kecil namun turut membawa misi besar supaya sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan penderitaan mereka yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

“Alhamdulillah, usaha kami mendapat sokongan pelbagai pihak biarpun idea mengenainya baru dicetuskan sekitar seminggu lalu.

“Ini adalah jihad kami anak seni untuk melihat keamanan dijunjung dan dikembalikan kepada mereka yang berhak menikmatinya,” kata Erma yang hadir di Balai Berita bersama adiknya, Umie Aida dan pelakon, Zahida Rafik yang menjadi tunggak utama Doa Buatmu Palestin.

Tidak hanya mahu menjadi mata yang memerhati, Erma berkata, dia bersama beberapa ahli jawatankuasa Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia sedang berunding dengan kementerian berkaitan agar diberi kesempatan untuk menggembleng tenaga membantu mangsa penindasan di Palestin.

Bahkan kata Erma, mereka akan membeli pelbagai keperluan dengan dana yang diperoleh sepanjang dua hari acara amal itu berlangsung dan berusaha untuk menghantarnya sendiri dengan kerjasama badan berkaitan.

“Perkara itu akan kami bincangkan dengan KPKKW dan ini adalah komitmen kami sebagai anggota masyarakat dunia untuk memastikan hak kemanusiaan rakyat Palestin tidak dicabul sewenang-wenangnya,” katanya.

Mengulas mengenai acara sepanjang dua hari Doa Buatmu Palestin berlangsung, Umie berkata, mereka menyediakan pelbagai aktiviti termasuk lelongan amal yang dijayakan selebriti dan pereka fesyen terkenal tempatan, persembahan nyanyian selain pameran serta temu bual bersama rakyat Palestin yang menetap di negara ini.

“Selain mengalu-alukan sumbangan ikhlas semua pihak, kami juga menyeru umat Islam untuk bersama menunaikan solat hajat selepas solat Zuhur dan Maghrib yang akan diimamkan imam jemputan dari Masjid Negara di Istana Budaya pada kedua-dua hari itu,” katanya.

Tambah Umie lagi, acara amal itu akan dijayakan nama terkenal dalam industri hiburan yang turut bersedia menggembleng tenaga dan membantu menambah dana untuk disalurkan kepada mangsa kekejaman di Gaza.

“Biarpun baru dilancarkan, alhamdulillah kami sudah mengutip RM32,000 dalam seminggu menerusi tempahan 100 gerai jualan pada hari itu.

“Dengan publisiti meluas di samping sokongan semua pihak termasuk rakan artis yang bersetuju menjayakan aktiviti itu, kami berharap dapat mengutip sebanyak mungkin untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Umie berkata, antara artis yang akan menjual barangan pada karnival dua hari itu ialah Awal Ashaari, Chef Zam, Jaafar Onn, Linda Onn, Serina Redzuawan, Rubiah Suparman dan Zarina Zainuddin.

Aktiviti juga akan dijayakan pereka terkenal tempatan yang memberikan rekaan mereka untuk dilelong seperti Albert King, Alvin Tay, Azura Mazaruddin, Bill Keith, Iszal (Butik Citra), Calvin Thoo, Jarum Emas, Jovian Mandagie dan Kem daripada Kapas Couture.

Turut menyatakan persetujuan ialah Michael Ong, Riezman Ruzaini, Radzuan Radziwill, Salikin Sidek, Shaiful Bahrim dan Zang Toi.

Artis yang terbabit dalam lelongan amal pula terdiri daripada Aleeza Kassim, Amy Mastura, Awal Ashaari, Betty Banafe, Dynas, Erma Fatima, Erra Fazira, Fazli Zainal, Fahrin Ahmad, Fazura, KRU, Liyana Jasmay, Melissa Saila, Ning Baizura, Que Haidar, Rosyam Nor, Umie Aida, Ummi Nazeera, Vanidah Imran dan Zahida Rafik.

Memeriahkan lagi karnival itu juga diserikan dengan persembahan artis yang dijayakan Rabbani, Fazli Zainal, Betty Banafe, Imran Ajmain, Aqasha, bintang Akademi Fantasia seperti Akma, Rizal, Aidil dan Salima, Salwa Abdul Rahman, Siti Fairuz, Noryn Aziz, Raihan, Jamal Abdillah dan Ramli Sarip.

“Dengan tarikan yang ada, kami berharap aktiviti ini akan menerima kunjungan semua kelompok peminat kerana selain berhibur, kita juga beramal untuk membantu mereka yang ditindas.

“Tidak kira apa juga bangsa, kehadiran kita semua pada hari itu melambangkan rakyat Malaysia bersatu hati dan sebulat suara menolak keganasan dan apa juga tindakan yang mencabuli hak kemanusiaan,” kata Umie.

Info:

Mereka yang ingin menyalurkan bantuan, boleh melakukannya dengan menghulurkan sumbangan menerusi akaun RHB 26233500024847.

Berita Harian

6 Filem Di Pawagam Sehingga Mac

13 Jan

Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my

NOREIMI NADIA beraksi dalam babak filem Maut yang akan ditayangkan pada 15 Januari nanti.

Purata dua filem sebulan dengan menampilkan pelbagai genre

BERMULA dengan filem Maut yang akan mula ditayangkan pada 15 Januari ini, lima lagi filem tempatan sudah bersedia untuk ditayangkan setakat ini dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 2009.

Filem Maut arahan Badarudin Azmi terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) membariskan pelakon seperti Que Haidar, Eja, Liyana Jasmay, Diana Danielle, Norieminadiya, Hasnul Rahmat, Raja Farah, Awal Ashaari dan Sabrina Hassan.

Menyusul selepas filem Maut, ditayangkan pula Sifu & Tongga arahan Profesor Madya A Razak Mohaideen pada 29 Januari. Filem bercorak aksi dan komedi ini menampilkan lakonan Erra Fazira, Saiful Apek, Fouziah Gous dan Azad selain penampilan khas Datuk Jalaluddin Hassan, Ruminah Sidek, Jaafar Onn, Shamsul Ghau Ghau, Rozita Che Wan, Adrea Abdullah dan Iqram Dinzly.

Filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula terbitan Les’Copaque Productions Sdn Bhd pula menjadi filem tempatan pertama ditayangkan pada Februari nanti. Mula menemui penonton pada 12 Februari, filem arahan Nizam Razak dan lakon layar tulisan Muhammad Anas ini tergolong dalam filem genre keluarga, pengembaraan, animasi dan fantasi.

Ia mengisahkan Badrul mengajak Lim balik ke kampung datuknya untuk merasakan suasana musim durian. Tetapi percutian mereka bertukar menjadi pengalaman yang tidak disangkakan, apabila terbabit dengan pembongkaran misteri yang menyelubungi kampung datuk Badrul.

Bersama kawan-kawan baru mereka, Rajoo si pembisik haiwan, Ros si gadis kampung, dan adik kembarnya Upin dan Ipin, mereka bekerjasama untuk mendedahkan rahsia yang menghantui kampung itu.

Selepas menikmati filem animasi semakin baik dan tinggi mutu pembikinannya daripada karya anak muda tempatan, penonton dihidangkan pula dengan satu lagi filem arahan Profesor Madya A Razak berjudul Rasukan Ablasa pada 26 Februari.

Dibarisi pelakon seperti Jalaluddin, Aznah Hamid, Yusry KRU, Fouziah, Gambit Saifullah dan Almy Nadia, filem Rasukan Ablasa mengisahkan Omar yang memuja iblis untuk mendapatkan ketaatan isterinya Laila. Namun pemujaanya hanya menyebabkan isterinya menjadi curang.

Dalam keadaan marah, Omar membunuh Laila dan Nordin. Orang kampung mengetahui kejadian itu lalu membakar Omar dan rumahnya.

Kira-kira 50 tahun kemudian, Asyraf, cucu Omar, kembali ke tanah lapang di Kampung Bukit Gemuruh, tempat kejadian ngeri itu. Iblis yang tertanam di bumi hidup semula dengan kehadiran Ashraf. Dia dan kawan-kawanya Jimmy, Kim,Elly Ad, dan GG terjumpa peti pemujaan Omar yang mana terdapat alat muzik yang mengeluarkan bunyi aneh.

Pada 12 Mac pula, ditayangkan filem Sayang arahan Bjarne Wong yang juga penulis cerita asal selain lakon layar bersama Shariman Shafie. Filem ini menampilkan Samuel Rizal, Sharifah Amani, Ebi, Dafi, Smyth WOng dan Carmen Soo.

Filem Sayang mengisahkan Mia seorang gadis yang begitu taksub dengan tarian hip hop. Remi adalah seorang penari yang cukup berbakat dan berjaya menawan perhatian Mia. Mereka disertai Dafi dan Robby yang sama-sama mempunyai impian pertandingan tarian seluruh negara itu. Dengan kepercayaan yang teguh kumpulan mereka hampir memenangi satu pertandingan sehingga Remi rebah secara mengejut.

Pada tarikh yang sama iaitu 12 Mac, ditayangkan juga filem genre pengembaraan, seram dan misteri berjudul Jin Hutan. Filem berdasarkan skrip, lakon layar dan arahan Jeffrey Wong ini hanya mengetengahkan tiga barisan pelakon saja iaitu Jeffery sebagai Ah Chong, Zami Ismail (bomoh Pak Su) dan Opie Zami (bapa Aki).

Jin Hutan mengenai sekumpulan wartawan dari China dengan pertolongan wartawan tempatan membuat kajian mengenai tumbuh-tumbuhan di hutan tropika untuk majalah mereka. Sepatutnya ia adalah perjalanan yang santai tetapi mereka diserang oleh binatang yang ganas tanpa diketahui namanya. Wartawan itu kehilangan nyawa seorang demi seorang.

Berita Harian

Pak Engku Makin Laku

8 Sep

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
TERKENAL dengan masakan Melayu, nama Raja Rosly Raja Mazlan atau lebih popular dengan panggilan Pak Engku bukan asing dalam persada seni hiburan tanah air. Malah di kalangan artis, Pak Engku dikenali ramai kerana keenakan masakan yang dipersembahkan hingga menerima banyak tempahan untuk acara kenamaan, majlis perkahwinan mahupun berbuka puasa.

Pak Engku yang menguruskan perniagaan Kuzie Catering selama 15 tahun kini mampu berbangga dengan pencapaiannya dalam bidang masakan. Digelar chef selebriti, Pak Engku sebelum ini terbabit dalam pelbagai acara seperti majlis perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza bersama Datuk Khalid Mohd Jiwa dan turut menganjurkan Konsert Seroja Bersama Mawi yang diadakan dua tahun lalu.

Dalam majlis perkahwinan penyanyi popular Ning Baizura bersama Omar Sharif Christopher Layton Dalton pada 2 Februari lalu, Pak Engku juga bertanggungjawab menyediakan masakan kampung kepada tetamu. Bagi mereka yang pernah menikmati masakan Pak Engku pasti mengetahui betapa istimewa sajian Melayu yang diperkatakan ramai.

Namun, ketibaan Ramadan pada tahun ini tidak menutup rezeki sebaliknya Pak Engku masih sibuk memenuhi tempahan majlis berbuka puasa. Malah sebelum Ramadan menjelang, pada 12 Ogos lalu, Pak Engku terbabit dalam penyediaan jamuan Aidilfitri sempena rakaman program TV, Teratak Siti Nurhaliza yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Pada kesempatan bulan mulia ini, Pak Engku tidak melupakan tanggungjawab untuk bersedekah apabila mengadakan majlis berbuka puasa bersama artis, pihak media dan anak yatim. Dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di Wisma PKPS, Persiaran Perbandaran, Shah Alam Selangor, baru-baru ini, Pak Engku meraikan lebih 500 tetamu yang hadir di samping pelbagai aneka masakan Melayu yang lazat.

“Sejak awal Ramadan, sambutan yang diterima daripada pengunjung begitu menggalakkan. Sudah tentu aneka masakan Melayu menjadi tarikan kepada pengunjung yang mahu merasai masakan dari hidangan lauk-pauk hingga kuih-muih tradisional.

“Di sini, pengunjung berpeluang merasai keenakan masakan Kuzie Catering seperti kuih lopes, apam balik, mi rebus Kuala Langat, laksa Sabak Bernam, gulai daging kawah dan tiga jenis asam pedas yang tentu membangkitkan selera.

“Sebagai anak jati Selangor dari Kampung Batu Laut, Kuala Langat, saya berbangga untuk menggunakan nama tempat di Selangor sebagai nama masakan saya. Kepelbagaian resipi dalam masakan Melayu ini menjadi keistimewaan kepada pengunjung.

“Walaupun Ramadan, saya tetap menerima banyak tempahan untuk majlis berbuka puasa termasuk jamuan Aidilfitri nanti,” katanya.

Pak Engku, 48, menyatakan populariti masakannya hadir daripada resipi kedua ibu bapanya yang sebelum ini pernah bekerja sebagai tukang masak istana. Lalu, tidak hairan masakan Pak Engku begitu popular di kalangan tetamu kenamaan (VIP) hingga menjadi sebutan artis yang mahu menggunakan perkhidmatan katering.

Dalam majlis berbuka puasa kali ini, beberapa selebriti turut hadir antaranya Jeffrydin, Jaafar Onn, Rohana Jalil, Nash Lefthanded, Raja Azura, Maya, Nabil Raja Lawak dan artis Akademi Fantasia, Haziq bersama Farhan. Pada majlis itu, Pak Engku juga menyampaikan sumbangan duit raya kepada 34 anak yatim dari Yayasan Al-Ijabah, Subang Jaya, Selangor.

Harian Metro

Nasib Saya Baik – Nassier Wahab

18 May

Oleh NIEZAM ABDULLAH Foto ROY AZIS ABD AZIZ

Nassier ditemani pembantu peribadinya Alif di hospital kerana cedera akibat kebakaran yang berlaku.

Penyanyi Nassier Wahab menghadapi satu ujian getir apabila rumahnya di USJ, Subang Jaya terlibat dengan kebakaran pada petang Rabu lalu.

Kejadian yang berlaku itu menyebabkan kedua belah tangan Nassier mengalami kecederaan sementara kedua-dua belah kakinya melecur. Tetapi Nassier bernasib baik kerana dalam kejadian itu beliau tidak mengalami kecederaan parah.

Itulah dinamakan takdir. Malah Nassier tak habis-habis mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana kebakaran yang berlaku itu tidak melibatkan kehilangan jiwa.

Ketika menziarahi beliau di sebuah hospital swasta di Subang Jaya pada malam 14 Mei lalu, kata Nassier kira-kira tiga minggu lalu rumahnya itu sudah mengalami litar pintas.

Ketika itu suis utama di dalam rumah teres dua tingkat tersebut tiba-tiba meletup mengakibatkan wayar dalam rumahnya terbakar.

Bagaimanapun nasib Nassier agak baik kerana kejadian yang berlaku itu tidak serius sebaliknya ia meninggalkan kesan hitam di dinding kerana asap akibat kebakaran berkenaan.

“Kerana peristiwa itu saya sudah melakukan kerja-kerja menggantikan sistem pendawaian elektrik yang baru selain mengecat semula rumah untuk mengelak kejadian yang lebih buruk,” katanya.

Malangnya pada petang Rabu lalu, suis utama itu mengalami kejadian serupa mengakibatkan bekalan elektrik di dalam rumahnya itu tiba-tiba terputus.

Kata Nassier ketika berusaha untuk menghidupkan semula suis itu, beliau menghidu bau busuk seperti asap dan terus mencari punca kebakaran.

Tanpa menyedari, bau busuk itu rupanya datang dari bilik persalinan yang terletak pada tingkat bawah bersebelahan dapur rumahnya.

Ketika turun ke bawah Nassier telah melihat api di dalam bilik berkenaan begitu marak dan dia terus meminta tolong jiran sebelah rumahnya.

“Dalam keadaan kelam kabut itu saya terus berusaha memadamkan api sambil mengangkat beberapa barang penting di dalam bilik.

“Tanpa saya sedari terdapat beberapa barangan plastik yang terbakar menyambar tangan saya.

“Ketika itu juga kedua belah kaki saya terpijak percikan api sehingga menyebabkan ia melecur” katanya.

Bagaimanapun nasibnya baik kerana ada jiran yang membantu memadamkan kebakaran itu dan menghantarkannya ke hospital sebelum memanggil bomba.

Semasa kejadian isterinya Fatimah Abd. Rauf,45, dan anaknya Intan Najihah,11, tiada di rumah. Kejadian itu membuatkan Nassier begitu fobia untuk tinggal di rumah berkenaan.

Malah dia berhasrat untuk berpindah kerumah barunya di Shah Alam bagi memastikan kejadian berkenaan tidak berulang.

Kata Nassier, selain bersyukur kerana terselamat, dia juga bernasib baik kerana tidak pengsan akibat terlalu banyak menghidu asap semasa kebakaran.

Lebih membimbangkan Nassier sendiri menghidap penyakit asma yang secara tidak langsung boleh memberi kesan terhadap pernafasan sekiranya terlalu banyak menghidu asap.

“Saya dapat bayangkan apa akan terjadi jika pada ketika itu saya pengsan di dalam rumah. Tentu saja kebakaran itu mengakibatkan berlaku perkara yang tak diingini terhadap saya,” katanya.

Apa-apa pun kata Nassier dia menganggap kejadian yang berlaku itu mempunyai hikmahnya tersendiri.

Dalam masa yang sama Nassier turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan artis yang melawatnya seperti Jaafar Onn, Salwa Abdul Rahman dan Rohana Jalil.

Powered by Utusan Malaysia