Archive | Jaafar Onn RSS feed for this section

Setahun Di Wanita Fm

10 May

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

DARIPADA dua hari, kini Jaafar Onn ke udara tiga hari di stesen Radio Wanita fm pada setiap Selasa, Rabu dan Khamis, mulai 10 pagi hingga 2 petang.

Sepanjang ke udara Jaafar mengupas pelbagai perkara bersangkutan dunia wanita kerana radio itu memang dikhususkan untuk kaum hawa.

Pada 29 Mei ini genaplah setahun Jaafar bersiaran di stesen radio itu.

Jaafar pada mulanya canggung di konti, tetapi dengan bantuan rakan setugas, Bobby Borhan Din (BBD), dia kini mampu menerbitkan rancangan sendiri.

“Memang berminat menjadi penyampai radio (navigator) jadi saya tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dalam konti.

“Setiap minggu rasa tidak sabar untuk ke udara. Sebelum ini ada juga mencuba dengan Klasik Nasional, tetapi nampaknya rezeki bersama Wanita fm.

“BBD juga mengajar saya membuat ‘teaser’ dan ‘sweaper’ kerana ia penting untuk memperkenalkan segmen seterusnya. Setiap Selasa dan Khamis bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari saya bersama Haiza di konti.

“Selain memeriahkan lagi suasana pagi anda, saya ingin melatih Haiza mahir berkomunikasi. Pengurusan Wanita fm ada menawarkan Haiza mengendalikan segmennya sendiri, tetapi dia belum yakin,” katanya.

Menurut Jaafar, setiap Selasa dan Khamis, ada segmen lagu dangdut, senamrobik bersama Jaafar Onn, petua menghias rumah, cara menambat hati suami, berkongsi resipi, hiasan laman dan irama 60-an.

Rabu pula Jaafar membicarakan adat sopan, tatatertib sebagai orang timur, memberi maklumat tarian tradisional, mengandam pengantin dan kegiatan teater di seluruh negara.

“Saya juga menjemput artis terkenal suatu ketika dulu seperti Noor Kumalasari dan Ismail Harun untuk di temubual. Saya berharap selepas ini dapat mengundang Datuk Siti Nurhaliza pula.

“Selama bersiaran saya mendapat maklum balas yang cukup baik daripada pendengar terutama suri rumah dan kakitangan awam kerana sebelum ini tiada radio khusus untuk golongan wanita.

“Artis juga boleh mempromosikan album baru mereka di Wanita fm. Selama setahun dengan Wanita fm, saya gembira kerana berjaya membawa masuk ramai penaja.

“Kalau diikutkan mereka mahu saya ke udara lima hari seminggu, tetapi saya ada komitmen lain,” katanya.

Jaafar antara artis lama yang masih laris dan menjadi duta pelbagai produk antaranya, beras Jasmine, Gamat Gold, Million Star Trading, Iwani dan Kelantan Delight Cafe.

Dek kerana kesibukannya, Jaafar sudah melepaskan jawatannya sebagai Pengurus Besar Syarikat Smart Way.

“Demi mengukuhkan nama Wanita fm saya berharap semua navigator di stesen itu berlumba secara potitif dan jangan mencemburui antara satu sama lain,” katanya.

Esok (Ahad) Gamat Gold menjadi penaja utama kepada sambutan Hari Ibu yang diadakan di Hotel The Summit, Subang USJ.

Tetamu majlis dihiburkan dengan nyanyian Jaafar, Rohana Jalil dan Haiza. Majlis itu akan berlangsung pada jam 12 tengah hari hingga 3 petang.

“Saya memilih menjadi duta Gamat Gold kerana yakin dengan produk itu. Sebagai duta saya mencubanya dulu dan tenryata ia amat baik dan berkesan untuk menyembuh dan meningkatkan tahap kesihatan.

“Ia juga tidak memberi kesan sampingan dan sesuai untuk seisi keluarga,” katanya.

Powered by Harian Metro

Advertisements

Sheila Protege Baru Adnan

14 Mar

Oleh: METRA SYAHRIL MOHAMED (metra.mohamed@utusan.com.my)

ADNAN Abu Hassan (kiri) memperkatakan mengenai anak didik terbarunya, Sheila (tengah) pada majlis pelancaran album Sheila yang turut dihadiri Ketua Operasi Domestik EMI Malaysia Sdn. Bhd., Arzmy Mohamed.

NEGERI Johor sememangnya tidak kering dalam melahirkan banyak artis berbakat serta popular.

Sebut sahaja negeri itu, terbayang wajah Ramlah Ram, Maya, Amy Search, Nash, Noraniza Idris, Jaafar Onn dan juga penyanyi dangdut, Haiza.

Terbaru, Sheila Abdull, gadis berusia 20 tahun yang berasal dari Johor Bahru, mencuba nasib untuk meletakkan nama sebaris artis tersohor.

Mungkin masih ramai peminat hiburan tidak mengenali siapakah empunya diri bernama Sheila ini namun dia sebenarnya mempunyai pengalaman luas beraksi di pentas.

Antaranya bersama Yayasan Warisan Johor, Kombo RTM, Kumpulan Jazz Johor dan Orkestra Majlis Perbandaran Johor Bahru (MPJB) yang membuat persembahan istimewa di majlis-majlis negeri. Sheila juga pernah menjadi penyanyi latar untuk Datuk Siti Nurhaliza ketika konsert Gema Zafana di Istana Budaya.

Bagaimanapun, harapannya untuk memulakan karier sebagai artis rakaman tercapai apabila menjuarai pertandingan Suara Bintang Adnan Abu Hassan bagi zon selatan.

Kemenangan itu telah memikat hati Adnan untuk mengambilnya sebagai artis rakaman.

Peluang yang diberi telah digunakan sepenuhnya oleh Sheila kerana bukan mudah untuk menjadi anak didik komposer terkenal itu yang telah berjaya menaikkan nama-nama besar seperti Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff, Misha Omar dan Dayang Nurfaizah.

Dengan mempertaruhkan lapan buah lagu dalam album sulungnya, Sheila atau nama sebenar Nursheila Abdullah, mengharapkan kehadirannya bakal diterima peminat.

Di bawah bumbung EMI (M) Sdn. Bhd., album sulung tersebut sudah pun berada di pasaran dengan mengetengahkan konsep pop balada.

Memiliki wajah mirip penyanyi Ella, single pertamanya, Mungkinkah, sudah pun berkumandang di corong-corong radio ketika ini.

Ia memberi impak positif di kalangan pendengar sehinggakan ramai yang ingin mengenali dengan lebih dekat penyanyi kecil molek ini.

Antara lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album sulung Sheila ialah Lepaskanlah, Nafas Terhenti, Selautan Asmara, Asmara Di Hati, Cinta Luar Biasa, Cinta Putih Atau Kelabu dan Bahang Asmara iaitu sebuah lagu istimewa dengan gabungan bahasa Malaysia dan Inggeris.

Apa yang membanggakan, meskipun kehadirannya dalam persada seni masih baru, namun lagu nyanyiannya iaitu Lepaskanlah terpilih menjadi lagu tema bagi filem Cinta Yang Satu.

Tidak ketinggalan lagu Asmara Di Hati dan Cinta Luar Biasa juga turut dimuatkan dalam filem berkenaan.

Jelas Sheila, dia amat berpuas hati dan berbangga kerana mendapat peluang menjadi penyanyi di bawah tunjuk ajar Adnan.

Baginya, Adnan merupakan seorang komposer terbaik dan mempunyai kredibiliti tinggi.

“Sheila amat terhutang budi dengannya kerana memberi peluang untuk merakamkan album serta mendidik Sheila.

“Banyak tunjuk ajar yang diberikan olehnya. Sheila akan cuba mengekalkan hubungan baik dengan Adnan.

“Dia juga berpesan supaya Sheila pandai menjaga diri apabila berkecimpung dalam dunia hiburan,’’ katanya pada majlis pelancaran album sulungnya di sebuah kelab di Plaza Mont Kiara, baru-baru ini.

Sheila memberitahu, biarpun dia tidak lahir daripada program-program realiti televisyen, namun dia akan cuba mewujudkan kelainan dan meningkatkan mutu persembahan.

“Sheila sedar tidak ramai yang mengenali Sheila berbanding artis-artis yang lahir dari program realiti TV.

Justeru, Sheila akan cuba buat yang terbaik,’’ ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Lumrah bagi artis yang baru hendak bertapak di dunia hiburan, mereka cuba menolak untuk berkeadaan seksi.

Namun bagi Sheila, dia akan cuba untuk mempertahankan imej sekarang ini iaitu tidak terlalu seksi.

“Sheila tidak mahu seksi-seksi. Sheila selesa dengan keadaan sekarang,’’ jelas Sheila yang menyimpan impian untuk berduet dengan Hazami atau Hattan jika diberi peluang pada masa depan.

Suara seperti Misha?

Sementara itu, belum pun sempat penyanyi dari selatan semenanjung ini hendak bernafas dalam dunia hiburan, ada cakap-cakap yang mengatakan suara Sheila tidak ubah seperti penyanyi Misha Omar.

Ada juga yang melontarkan kata-kata bahawa Sheila bagaikan klon Misha.

Menjawab dakwaan tersebut, Sheila menegaskan suaranya adalah asli dan tidak terpengaruh dengan mana-mana artis.

“Ini suara dan imej Sheila sendiri. Mungkin ada sedikit persamaan kerana Misha juga pernah mendapat sentuhan Adnan. Begitu juga dengan Sheila ketika ini,’’ katanya yang masih belum mempunyai teman istimewa.

Sementara itu, Adnan rasionalnya memilih Sheila sebagai protege barunya berkata, pemilihan penyanyi itu dibuat kerana Sheila mempunyai bakat seni besar.

“Dia ada bakat dan sebab itu dia menang dalam Suara Bintang Adnan Abu Hassan,’’ kata Adnan ringkas.

Adnan kemudiannya menangkis tanggapan umum bahawa album sulung Sheila sebagai syok sendiri apabila mengetengahkan konsep pop balada.

Menurutnya, konsep tersebut pertamanya amat bersesuaian dengan Sheila dan ia menepati cita rasa pendengar kini.

Powered by Utusan Malaysia

Jaafar Onn Ajak Artis Berniaga

11 Oct

SIAPA tidak kenal dengan pelakon, pelawak, penyanyi, pengacara dan usahawan, Jaafar Onn. Kebolehannya mengendalikan pelbagai acara memang tidak dapat dinafikan.

Malah, bakat dan kebolehannya dalam bidang masakan juga diakui ramai.

Jaafar, 56, yang memang terkenal dengan sifatnya yang ramah dan pandai ‘cari duit’ itu tidak pernah jemu mencuba apa sahaja peluang yang ada untuk menambah pendapatannya.

Terbaru, Pengurus Besar syarikat Smart Way Sdn. Bhd. itu dilantik sebagai duta kek lapis keluaran syarikat Iwani.

Menurut Jaafar, jualan kek lapis perisa asli itu mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Jualannya pada musim raya ini boleh mencecah 60 kotak sehari,” jelasnya mengenai kek yang juga dijual di beberapa pasar raya besar di Kuala Lumpur.

Menurut Jaafar, dia menggalakkan rakan-rakan artis yang ingin menambah pendapatan bulanan untuk sama-sama berniaga dengannya.

“Bukan sahaja rakan artis, malah suri rumah yang berminat untuk berniaga dan menjadi pengedar kek lapis Iwani ini juga boleh menghubungi saya di talian 019-2500300,” kata Jaafar.

Menurutnya, kek itu dijual pada harga RM39 sekotak. Bagaimanapun, potongan harga akan diberikan kepada ahli dengan harga jualan RM29.

“Untuk menjadi ahli, bayaran RM10 akan dikenakan,” kata Jaafar yang akan menganjurkan program usahawan selepas raya ini.

Aktiviti seni Jaafar Onn

* DJ radio Wanita FM.

* Duta produk padi beras nasional.

* Hos rancangan memasak selama 10 tahun bagi produk tepung Blue Key yang kini disiarkan diTV2 setiap Sabtu dan Ahad pukul 4.30 petang.

* Album terbarunya bersama penyanyi Rohana Jalil, Lagu-Lagu Dari Filem Vol. 2 diedarkan Ogos lalu.

* Drama lakonannya, Raya Sedondon akan ditayangkan di TV9 pada musim Hari Raya ini.

* Turut terlibat dalam rancangan Gedik Santai Special Raya di TV3.

* Akan muncul dalam rancangan AC Disini Raya yang dijangka tayangannya pada 19 Oktober ini, juga merupakan hari jadinya.

Powered by Utusan Malaysia

Ahmad Idham Kini Punya Syarikat Sendiri

3 Jan

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

PEPATAH Melayu ada mengatakan tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah dengan pelakon Ahmad Idham. Siapa sangka pada usianya yang masih muda, baru 34 tahun, dia sudah mampu mempunyai syarikat sendiri, Execellent Pictures Sdn. Bhd., dan kini bergelar penerbit dan juga pengarah filem dan drama.

Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Idham Ahmad Nadzri atau lebih senang dipanggil Idham melangkah lebih teratur dalam bidang penerbitan dengan menerbitkan satu demi satu drama bermula dengan Mengejar Pelangi (40 episod), diikuti Aku, Dia dan Capetowm (25 episod) dan kini menanti filem pertama terbitan dan arahannya, Tipah Tertipu, ditayangkan kepada umum.

Filem yang mula menjalani penggambaran sejak Jun tahun lalu dengan kos penerbitan sebanyak RM1.2 juta dijangka ditayangkan tahun ini.

Tipah Tertipu yang lahir daripada lagu popular Ruffedge dengan skrip oleh Mamat Khalid menampilkan ahli kumpulan Ruffedge. Ia turut dilakonkan oleh Jaafar Onn, Ismail Din dan Adlin Aman Ramli.

Idham yang ditemui di kediaman mertuanya di Golf & Country Resort Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata:

‘’Walaupun saya pernah mengarah filem Mr. Cinderella, tetapi debaran menanti Tipah Tertipu lebih membebankan. Ia bagai menanti kelahiran anak pertama.

‘’Sebabnya saya tidak tahu bagaimana penerimaan penonton terhadap filem muzikal komedi ini. Cuma apa yang saya harapkan filem ini akan berjaya menarik hati para peminat filem tempatan.”

Menjejaki perjalanan seni Idham, memang tidak siapa menduga graduan UiTM yang semasa di kampus menjadi pelakon tambahan dengan bayaran RM30 sehari kini mampu menerajui syarikat penerbitan sendiri.

Malah Idham tidak pernah termimpi untuk menjadi pelakon apalagi mengarah dan kini sebagai penerbit.

“Kadang-kadang bila menyingkap kembali perjalanan seni saya, memang terasa lucu. Saya sendiri tidak pernah menduga ketika masih menuntut dan suka-suka menjadi pelakon tambahan akhirnya saya berjaya menarik minat pengarah filem KLU (Kuala Lumpur Universiti). Filem itu diterbitkan pada 1995 oleh Solid Gold.

‘’Semuanya gara-gara Azhar Sulaiman. Saya memang kawan baiknya. Dia yang mengajak saya mencuba nasib dan akhirnya saya diberi peranan watak pembantu dalam KLU dengan bayaran RM1,500.

‘’Masa itu saya sedang belajar. Duit sebanyak itu memang besar, hanya Tuhan yang tahu betapa bersyukur dan bangganya saya yang masih belajar men dapat duit sebanyak itu.

‘’Sejak itulah saya sering berlakon tidak kira walaupun sebagai pelakon tambahan yang diberi gaji hari. Yang penting ada duit poket. Kalau nak harapkan duit biasiswa, berapa sangatlah,’’ cerita Idham.

Bagi Idham, biarpun ada pihak yang menganggap menceburi bidang penerbitan filem bagaikan satu perjudian tetapi ia sedikit pun tidak pernah mematahkan semangatnya.

‘’Bagi saya, kita jangan mudah mengaku kalah. Saya yakin filem-filem tempatan bukan sahaja mampu mewarnai industri filem tempatan malah akan dapat menguasai penonton luar.

‘’Apa yang penting kita perlukan pengarah yang berwawasan dan mempunyai misi serta fikiran yang terbuka. Saya bangga dengan kehadiran pengarah-pengarah muda seperti Afdlin Shauki yang saya yakin akan mengubah persepsi filem Melayu pada mata para cendekiawan,’’ kata Idham.

Tertubuhnya Execellent Pictures bukan sahaja menjadi puncak kejayaan Idham. Malah dia sendiri tidak pernah menduga begitu cepat dapat memiliki syarikat sendiri berserta studio dan peralatan penggambaran.

‘’Saya tidak menduga dapat mempunyai syarikat penerbitan sendiri dengan studio dan peralatan penggambaran. Tetapi itulah rezeki namanya.

‘’Bersama kawan sekolah yang kini mempunyai syarikat pengiklanan, kami mengeluarkan modal RM500,000 seorang sehingga terbentuknya syarikat ini.

‘’Mulanya pejabat kami di Ampang tetapi apabila penyanyi Hattan mahu menjual studionya di Taman Tun Dr. Ismail dengan segala kelengkapannya, kami bersetuju membeli.

‘’Sejak 1 Julai lalu, kami bukan sahaja mempunyai pejabat yang selesa malah sudah mempunyai bilik editing untuk menyunting semua drama terbitan kami,’’ kata Idham yang baru selesai menjalani penggambaran sebuah drama terbitan Kuasatek Kama Sutra. Dalam drama itu dia berpasangan dengan Janet Khoo.

Pertama kali menjejaki banglo dua tingkat yang terletak di sebidang tanah di Golf & Country Resort Bukit Jalil, sudah tergambar cita rasa penghuninya.

Rumah mewah yang cantik dengan landskap yang menarik itu memang membuatkan siapa sahaja yang memandangnya terasa tenang dan damai.

Hati yang kagum melihat keindahan rumah milik pengarah dan penerbit muda ini tiba-tiba mati seketika bila penghuninya keluar sambil senyum melebar. Idham lalu berkata: ‘’Jangan salah anggap ya, ini bukan rumah saya tapi rumah ayah dan ibu mertua saya.”

Sudah hampir empat tahun Idham dan isteri, Jameah Aziz, 29, (Amy) dan anak-anak – Ahmad Firdaus, 5, dan Ahmad Aydeel satu setengah tahun – tinggal di situ.

‘’Adik-adik Amy semuanya sudah berkahwin dan disebabkan ayah dan ibu mertua saya terasa sunyi di rumah ini mereka mengajak kami tinggal bersama. Sekurang-kurangnya tawa riang anak-anak kami menceriakan rumah mereka,’’ kata Idham yang menanti kelahiran anak ketiganya yang dijangka pada Jun ini.

Menurut Idham, kerana faktor itulah dia jarang mahu bergambar di rumah bersama isteri dan anak-anak.

Tetapi, katanya, disebabkan tujuan Mega menemubualnya di rumah lebih memfokuskan kepada kerjaya dan rancangan masa depan syarikatnya, dia bersetuju diinterviu.

Powered by Utusan Malaysia