Archive | Jalil Hamid RSS feed for this section

Usah 'Bersepah' Selepas Menang

9 Mar

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

AKSI selamba Johan, Nabil dan Zizan menggamatkan Dewan Sivik MBPJ.

Juri ingatkan kumpulan Sepah jangan berpecah selepas raih juara Raja Lawak musim ketiga

KEKUATAN kumpulan Sepah kerana persefahaman yang sangat baik sehinggakan mereka boleh melontarkan idea secara spontan. Ini ditambah pula dengan gaya persembahan yang cukup bersahaja untuk memastikan penonton tidak kering gusi melihat aksi mereka.

Jadi, tidak hairanlah Sepah menjadi pilihan utama penonton dan pengundi SMS untuk diangkat sebagai juara Gelanggang Raja Lawak musim ketiga terbitan Astro Prima.

Keserasian tiga sahabat dalam Sepah ini juga diharap tidak berkecai apabila mereka bergelar juara. Mereka perlu mengekalkannya selama yang boleh. Perpecahan menjadikan Sepah sudah tidak wujud lagi.

Sekurang-kurangnya itulah pesanan dari semua juri di pertandingan akhir Gelanggang Juara Lawak musim ketiga yang diadakan di Auditorium, Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jumaat lalu dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Prima.

Zaibo, Fauziah Nawi, Shamsul Ghau Ghau dan juri jemputan Adlin Aman Ramlie masing-masing bersependapat bahawa kumpulan Sepah dilihat hebat kerana perpaduan yang wujud di antara ketiga-tiga sahabat ini.


AKSI Sepah selepas muncul sebagai peserta berkumpulan pertama diangkat sebagai juara program Raja Lawak Astro.

“Saya suka persembahan awak. Bersahaja, macam tidak berlakon,” kata Zaibo.

Fauziah pula berkata, persembahan Sepah sentiasa meningkat pada setiap minggu.

“Sepah tidak mengecewakan selama ini. Tahniah kepada Shuib kerana sudah semakin baik. Nasihat saya, jangan berpecah kerana (kalau berpecah) kamu tidak akan dapat hidup,” katanya.

Begitu juga Shamsul yang turut menasihati mereka jangan berpisah. Adlin pula berasakan ketiga-tiga ahli dalam kumpulan Sepah mempunyai kekuatan yang sama. “Tapi awak semua kena pelbagaikan watak. Awak (kumpulan Sepah) boleh jual,” kata Adlin.


JIHAN menyerlah sebagai pelakon komedi.

Kumpulan Sepah yang terdiri daripada Shahmira Muhamad atau Shuib, 24, Mohd Nadzri Zainal Abidin (Jed) 23, dan Mohd Noor Murad (Mamat) 23 akhirnya berjaya menjadi di antara 10 peserta yang layak mengasah bakat dalam program Raja Lawak bagi musim ini.

Sepanjang sembilan minggu beraksi, Sepah antara peserta yang tidak pernah mengecewakan pengkritik tetap yang terdiri daripada Zaibo, Fauziah Nawi dan Shamsul Ghau Ghau termasuk pengundi yang terhibur dengan gelagat mereka diatas pentas.

Menurut Jed, walaupun sesetengah orang ramai kini sudah cuba untuk membandingkan Sepah dan Senario, namun mereka tetap menyatakan masih mentah di dalam dunia seni ini.

“Senario yang cukup lama dalam industri ini. Kami menghormati mereka sebagai idola kami. Kami terlalu baru dalam bidang ini dan banyak ilmu yang ingin dikutip sebelum berada di kedudukan selesa sebaris pelawak tanah air. Apa yang kami lakukan sebelum ini adalah untuk memberi penonton gelak saja dan tidak lebih daripada itu,” katanya dalam sidang media selepas program ini berakhir.

Menurutnya, mereka tidak terlintas di fikiran untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam industri seni ini, terutama dunia komedi dan pencapaian yang diraih menerusi program Raja Lawak itu memang sesuatu tidak tidak pernah diduga sama sekali.

“Taktik untuk memberi orang gelak adalah supaya mereka tidak bergerak daripada kerusi dan mudah untuk kami selang-selikan dengan mesej yang berguna. Setiap persembahan yang kami buat setiap minggu adalah cuba untuk menyampaikan mesej kepada penonton.

“Seperti malam ini gambaran di rumah orang-orang tua yang kami olah dalam bentuk komedi agar anak-anak yang melihat terasa bersalah sekiranya meletakkan ibu bapa mereka di rumah orang tua-tua,” katanya yang turut disokong oleh Mamat dan Shuib.

Sebagai juara, Sepah menerima hadiah kereta Citroen Picasso, wang tunai RM20,000, barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.

Jihan atau Nuur Jihan Musa membawa pulang motosikal Naza Blade 250R, wang tunai RM14,000 dan Amir atau Mohd Amirullah menerima RM8,000 untuk tempat ketiga. Masing-masing turut menerima barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.

Menurut Jihan, dia berpuas hati dengan persembahan keduanya yang bertemakan muzikal kerana berasakan berjaya menampilkan aksi dianggap sempurna.

“Saya nak bekerja lebih kuat. Saya nak jadikan ini sebagai kerjaya utama. Buat masa ini saya bercuti tanpa gaji untuk menyertai program ini. Kalau ada tempat dalam bidang ini, mungkin saya akan memikirkan masa depan kerja tetap saya nanti,” katanya.

Tiada cadangan pecahkan dua kategori

MAJLIS julung kali diadakan dengan acara karpet merah adalah bertujuan mengangkat majlis ini lebih berprestij daripada tahun sebelum ini dengan mengundang semua pelawak tanah air untuk berkampung di Dewan Auditorium yang mampu mengisi seramai 1,200 kapasiti penonton.

Antara pelawak yang hadir seperti, Datuk Yahya Sulung, Datuk Aziz Sattar, Hamid Gurkha, Wahid Satay, Param, AR Badul, Salih Yaacob, Abon, Ebby Yus, Jalil Hamid, Wazatta Zain, Accapan, Imuda, peserta Raja Lawak 1 dan 2.

Sementara hadiah kepada pemenang juga turut memberi penghormatan kepada tiga pelawak veteran untuk menyampaikannya iaitu Datuk Yahya Sulung, Param dan Hamid Gurkha.

Sejak minggu pertama disiarkan, peserta hanya diminta untuk membuat persembahan selama tiga minit saja di hadapan pengkritik tetap. Masa yang pendek ini menguji kebolehan mereka manfaatkan masa yang berharga itu menonjolkan kreativiti mereka.

Kini mereka tidak akan mengadakan persembahan selama tiga minit lagi kerana persembahan mereka kini akan menjadi lebih panjang selepas tamat program ini seperti yang dijanjikan oleh pihak Astro.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, sebaik tamat program ini, tiga peserta akhir ini akan bernaung di bawah pengurusan Maestro.

“Kita sudah merancang lebih awal beberapa program khas untuk mereka. Buat masa terdekat ini mereka bakal muncul dalam program khas Raja Lawak menerusi Astro Ria.

“Selepas itu, beberapa program juga akan diisi oleh mereka untuk program di Astro Prima. Tidak semestinya mereka yang lahir dalam program Raja Lawak akan mengacarakan sesuatu program.

“Jika dilihat kekuatan peserta Raja Lawak musim ini merangkumi banyak aspek. Kita juga akan mengadakan telefilem untuk mereka dalam masa terdekat ini,” katanya sambil menjelaskan buat masa ini Astro Prima belum ada rancangan untuk membahagikan Gelanggang Raja Lawak dua kategori, iaitu Berkumpulan dan Solo pada musim keempat nanti.

Berita Harian

Malam Gemilang

1 Mar

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

Rap
DEBARAN program realiti, Raja Lawak musim ketiga hampir ke penghujung. Teka teki siapa bakal dinobatkan sebagai Raja Lawak musim baru bakal terjawab pada malam kemuncaknya yang akan berlangsung di Dewan Sivik Petaling Jaya, 6 Mac ini.

Seperti musim terdahulu, Astro Prima memastikan majlis penutup itu berlangsung dalam suasana gilang gemilang, seterusnya diangkat sebagai yang terbaik sepanjang penganjurannya.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, berkata pelbagai perancangan diatur oleh produksi bagi memastikan malam kemuncak itu meninggalkan kesan mendalam di hati penonton setia program ini.

Antara kelainan yang ditampilkan, ramai pelawak era 1950-an hingga 1990-an diundang bagi memantapkan lagi acara.

“Ramai memberi persetujuan untuk hadir, antaranya Acappan, Jalil Hamid, AR Badul, Hamid Gurkha, Yahya Sulong, Salih Yaacob dan Sabri Yunus.

“Mungkin ada di kalangan anak muda hari ini kurang mengenali pelawak generasi lama, justeru menerusi undangan ini diharap ia dapat mengembalikan zaman kegemilangan mereka.

“Pada malam itu penonton turut dihiburkan dengan persembahan juara Raja Lawak musim pertama serta kedua iaitu Yus dan Nabil.

“Kami turut mengadakan acara Karpet Lawak yang akan disiarkan secara langsung di Astro Prima, jam 8.30 malam.

“Sebelum itu, orang ramai dapat mengikuti perkembangan terkini belakang tabir secara langsung yang bersiaran selama tiga minit bermula 5 petang,” katanya.

Mengulas pandangan sesetengah pihak prestasi peserta kali ini mengecewakan, Penerbit Eksekutif Raja Lawak 3, Nizam Hamid, berkata ia terlalu subjektif untuk diperkatakan.

Jika diteliti daripada proses uji bakat, pemilihan dan persembahan mingguan, sebagai tulang belakang utama program ini dia mendapati kualiti persembahan peserta kali ini lebih bagus daripada musim yang lalu.

“Jika mereka bandingkan peserta musim ini dengan Nabil, memanglah ketinggalan jauh. Namun kita harus melihat secara rasional, Akademi Fantasia misalnya, tiada lagi peserta dapat menandingi kehebatan Mawi, begitu juga dengan kes Nabil.

“Daripada penelitian saya sepanjang dua tahun mengendalikan program ini, lebih ramai peserta kali ini yang bagus berbanding musim lalu.

“Bahkan, uji bakat kali ini juga lebih ketat dan proses saringannya diadili panel juri program ini iaitu Fauziah Nawi, Zaibo dan Shamsul Ghau Ghau bagi memastikan kita memilih peserta yang terbaik dan benar-benar layak.

“Mungkin kerana musim ini peserta berkumpulan lebih menonjol dan konsisten persembahannya berbanding peserta solo, orang tidak perasan hakikat ini,” katanya.

Tambahnya, tidak adil menilai peserta dalam tempoh singkat kerana untuk menjadi pelawak yang bagus mengambil masa panjang.

“Pelawak sedia adapun ada yang terpaksa mengambil masa berpuluh tahun untuk popular. Tidak adil jika kita ukur bakat peserta dalam tempoh dua atau tiga bulan. Beri mereka peluang menunjukkan potensi sebenar selepas keluar dari program ini.

“Kalau benar orang tidak suka peserta musim ini, mana mungkin jumlah penonton meningkat 40 peratus berbanding musim lalu? Mungkin ini pandangan peribadi segelintir pihak.

“Saya tidak menolak kemungkinan Raja Lawak kali ini mengembalikan semua populariti pelawak berkumpulan yang sebelum ini dimonopoli oleh Senario. Sudah lama kita tiada kumpulan lawak berkualiti dan mampu menarik perhatian orang ramai seperti Senario,” kata Nizam.

Jelas Nizam Sani, penonton kini tidak lagi menilai peserta berdasarkan rupa, sebaliknya meletakkan bakat sebagai keutamaan. Komen juri turut menjadi sandaran sebelum mengambil keputusan menyingkir peserta yang dirasakan tidak layak meneruskan perjuangan.

“Dalam soal ini, saya lihat orang kita semakin bijak membuat keputusan. Nilai komersial (rupa) bukan lagi pokok utama, sebaliknya daya tarikan dan bakat lebih diberi keutamaan.

“Amir misalnya, dia tiada nilai komersial, malah banyak kali ditegur juri bahawa penyampaiannya kurang difahami penonton. Bagaimanapun setiap kali muncul di atas pentas, ada sesuatu yang menarik perhatian orang ramai untuk terus mengundinya.

“Begitu juga peserta lain, masing-masing ada kekuatan dan bakat tersendiri sehingga melayakkan mereka ke pentas akhir,” katanya.

Mengulas persoalan adakah Raja Lawak medan melahirkan pelapis pelawak negara dan memberi jaminan kelangsungan karier kepada peserta, Nizam berkata, Astro Prima menyediakan tapak, dan terserah kepada peserta sama ada bijak atau tidak menggunakannya.

“Kalau boleh, kami mahu melahirkan pelapis pelawak seramai mungkin dan kerana itu program ini diwujudkan. Kami menyediakan ruang yang banyak selepas program ini tamat, termasuk mengundang mereka menjayakan Gempak Desa Astro.

“Jika mereka bijak menggunakan peluang menonjolkan kebolehan, saya tidak nampak mengapa mereka tidak boleh berjaya. Semua orang ada peluang sama.

“Kita dapat lihat ramai juga peserta yang tidak menang boleh hidup dalam industri, misalnya Zizan, Johan, Angah, Along dan Azrul. Mereka ada program sendiri, malah ada yang bergelar pelakon.

“Peluang cukup banyak jika mereka sama-sama berusaha. Jangan hanya mengharapkan orang lain mencari kerja untuk mereka, kenalah kreatif dan gandakan usaha,” katanya.

Harian Metro

Keringat 20 Tahun Berbaloi

22 Dec

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
POPULARITI yang diraih golongan artis mungkin berbeza daripada penulis lirik dan komposer lagu yang boleh dikategorikan individu di belakang tadbir. Malah, tidak ramai yang menyedari tanpa mereka, lirik lagu dengan susunan melodi menarik pasti sukar dihasilkan walaupun persembahan lagu membabitkan penyanyi terkenal.

Justeru, bagi mengiktiraf karya mereka, Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Berhad (MACP) menganjurkan Majlis Malam Mesra MACP bertempat di Hotel One World Kuala Lumpur, malam Jumaat lalu.

Menerusi majlis itu, sebanyak 11 anugerah disampaikan kepada karyawan seni bagi mengiktiraf sumbangan dan kebolehan mereka dalam mencipta lagu, selain mengharumkan dunia hiburan tanah air.

Pemenang bagi semua kategori dipilih berdasarkan keputusan pengagihan MACP pada Julai lalu kecuali penerima Anugerah Pencipta Muda Berpotensi (berusia 25 tahun ke bawah) dan Anugerah Nadi Cipta yang dipilih Lembaga Pengarah MACP.

Pemenang Anugerah Nadi Cipta, Hashim Said atau S Atan, 59, cukup terharu apabila dianugerahkan pengiktirafan itu lebih-lebih lagi selepas dua dekad terbabit dalam bidang seni malah mengakui sumbangan dan penat lelah karyawan seni dihargai menerusi majlis anugerah seperti itu.

“Jika dulu ketika peringkat awal pembabitan saya dalam bidang ini, memang tiada anugerah dan tiada individu yang mengiktiraf hasil kerja seni ini.

“Saya bersyukur kerana sejak terbabit dalam bidang ini bermula 1972 dan menghasilkan kira-kira 1,000 lagu, masyarakat semakin mengiktiraf sumbangan komposer.

“Memang saya akui biasanya orang akan kenal artis dulu daripada komposer kecuali jika penyampai radio memaklumkan kepada pendengar nama komposer lagu terbabit atau membeli album di kedai, baru orang kenal siapa komposer lagu berkenaan. Saya tidak kisah sangat soal itu. Apa yang lebih penting, lagu yang dicipta mendapat sambutan baik dan kerap disiarkan di radio.

“Hendak diikutkan sekitar 70-an dulu, memang tidak ramai komposer berbanding hari ini. Persaingan pula tertumpu kepada penghasilan lagu berentak Melayu Asli atau pop.

“Saya pula banyak menghasilkan beberapa lagu Melayu termasuk lagu raya yang dinyanyikan Black Dog Bone, Datuk Sharifah Aini dan Carefree.

“Saya sentiasa menyelitkan lagu berentak joget dalam setiap karya terbaru. Saya berpendapat, lagu asli perlu sentiasa dihidupkan. Kebanyakan komposer sekarang banyak menghasilkan lagu Melayu. Tidak dinafikan, lagu asli masih mendapat sambutan menggalakkan daripada pendengar.

“Malah lagu asli dalam album kompilasi, Deli 1 & 2 yang menampilkan Allahyarham Sudirman, Jalil Hamid, Herman Tino dan Datuk Sharifah Aini yang dihasilkan sekitar 1978 sehingga sekarang masih terjual,” katanya.

Hadir bersama isterinya, Norizan Yeob, 44, pada majlis itu, sekali gus menyaksikan anugerah pengiktirafan ketiga yang dimenangi selepas Anugerah Lagu Terbanyak MACP pertama dan Anugerah Wirama Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-13.

Dia mengakui masih ramai komposer hebat dan berbakat era ini. Begitupun, memaklumkan kehampaan terhadap pengaruh lagu luar terutama Indonesia yang kerap disiarkan di beberapa stesen radio tempatan yang akhirnya menyebabkan kerugian kepada karyawan seni tempatan.

S Atan yang dilahirkan di Singapura pada 1 Ogos 1949 tertarik dengan dunia muzik sejak zaman sekolah rendah lagi. Antara karya popularnya ialah Dulu dan Sekarang nyanyian Black Dog Bone, Pandang-pandang dan Jeling-Jeling (Datuk SM Salim dan Datuk Siti Nurhaliza) dan Assalamualaikum (Jamal Abdillah). Beliau juga menghasilkan lagu untuk filem Pertentangan arahan Salleh Ghani.

Dia kini dalam rangka menyiapkan projek lagu-lagu asli untuk Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKwa), dan konsert album untuk lagu A Ramlie yang akan dinyanyikan semula pendatang baru.

Bagi pemenang Anugerah Komposer Muda Berpotensi pula, Zarimi Zahari, 24, atau Zimi Sofaz walaupun langsung tidak menyangka dinobatkan anugerah itu, sekali gus sebagai pendorong kepadanya untuk terus berkarya pada masa depan.

Walaupun baru tiga tahun terbabit dalam bidang itu, Zimi yang juga vokalis kedua dan gitaris kumpulan Sofaz sudah menghasilkan lebih 30 lagu bermula dengan Sedarilah daripada album pertama Sofaz diikuti Cinta, Dan Pasti, Rasakan dan Salahku selain lagu hit Izwan Pilus, Indah Lelapku serta penulis lirik untuk Nita, Lips, Aliff Aziz dan kumpulan daripada Singapura, Refalina.

“Anugerah ini memang bagus untuk memberi dorongan dan semangat kepada komposer muda. Mungkin kekuatan lagu saya ringkas dan mudah didengar. Saya masih ingat lagi pesan Arwah Loloq ketika bekerja dengannya dulu. Menurut arwah dalam penghasilan lagu, biar yang ringkas dan sentiasa memikirkan supaya orang boleh hafal lagu berkenaan dalam masa 30 saat.

“Berpegang pada pesanan itu, saya berjaya menghasilkan beberapa lagu yang kini mendapat tempat di kalangan peminat muzik.

“Sejak mula serius dalam bidang ini, saya mengakui masih ada perasaan takut sehingga ke hari ini. Takut untuk bagi orang dengar lagu saya sendiri dan bermacam lagi. Malah, saya berasa anugerah pertama yang diterima ini akan menambahkan lagi beban dan tanggungjawab saya selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MACP, Habsah Hassan, berkata sebagai badan pelesenan yang unggul mewakili pencipta di Malaysia, pihaknya cuba memberi pengiktirafan kepada mereka yang berada di belakang tabir di mana sumbangan mereka kurang mendapat perhatian.

“Anugerah ini dikira daripada pungutan sejak 2007 hingga Ogos lalu. Majlis kali ini tidak diadakan secara langsung memandangkan ahli jawatankuasa yang memutuskan pada mesyuarat agung lalu bersetuju tidak membuat siaran langsung memandangkan ia membabitkan beberapa perkara dan kos perbelanjaan yang besar.

“Sepanjang penganjuran majlis, hanya dua kali ia disiarkan secara langsung di RTM iaitu pada tahun lalu dan di Kuantan, Pahang pada awal tahun ini.

“Tidak dinafikan pendapatan tahun ini meningkat. Begitu juga jumlah yang perlu dibayar untuk lagu luar negara seperti Indonesia yang turut mencatat peningkatan. Pengaliran wang tunai ke negara berkenaan tidak seimbang berbanding lagu tempatan yang meraih pendapatan rendah di negara itu,” katanya.

Turut disampaikan pada majlis itu, Anugerah bagi kategori Persembahan Terbanyak Lagu Inggeris yang dimenangi Megat Hafiz Mohamad menerusi lagu Skinheads For Life yang dipopularkan oleh ACAB, bagi Persembahan Terbanyak Lagu Cina dimenangi Lee Chee Cheng menerusi lagu Zen Me Ban nyanyian kumpulan daripada Taiwan, SHE.

Persembahan Terbanyak Lagu Luar Negara dimenangi komposer Munif Bahasuan menerusi lagu Gadis Melayu yang dinyanyikan Mawi.

Penulis lirik dan komposer bagi lagu, Ku Juga Mencintaimu nyanyian Saiful serta Qing Fei De Yi nyanyian Harlem Yu iaitu Theng Siaw Hang dan Chong Keat Siong pula mencatat sejarah tersendiri apabila memenangi dua anugerah menerusi Anugerah Persembahan Terbanyak Lagu Melayu dan Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi.

Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak pula dimenangi Luncai Emas Sdn Bhd sementara EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd pula menerima Anugerah Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak.

Sumbangan Allahyarham Loloq atau Rosli Khamis dalam bidang seni tiada bandingannya, malah diiktiraf apabila dianugerahkan Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali kelapan berturut-turut manakala buat kali ke sembilan, M Nasir memenangi Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak.

Harian Metro

WordHasIt: Has Mawi Picked Astro?

7 Oct

IT’S no secret that popular artiste Mawi is getting married to TV actress/personality Ekin.

For the past month, amidst media frenzy over the much-hyped wedding ceremony, many in the entertainment fraternity are left wondering when the BIG day will be.

Earlier this month, this column highlighted news about the “tussle” between giant media company Media Prima Sdn Bhd (which, among others, operates terrestrial TV stations TV3, ntv7, TV9 and 8TV) and satellite broadcaster Astro over the right to broadcast the wedding ceremony.

The latest on the grapevine is that Astro has been given the thumbs-up.

“It was like a ‘custody’ battle between Media Prima and Astro,” said an Astro insider, adding that “Mawi being a product of Akademi Fantasia (AF), the reality show produced by Astro, it is only logical that the network obtains the rights.”
Sources reveal that Media Prima offered a staggering amount – between RM5 million and RM6 million – to acquire the rights to the ceremony.

Incidentally, Media Prima made history when TV3 carried the wedding ceremony of award-wining singer Datuk Seri Siti Nurhaliza and businessman Datuk Seri Khalid Jiwa. It was the first time that a celebrity couple’s wedding was beamed “live” on mainstream TV in Malaysia.

Though there is no official announcement, it seems the 27-year-old Mawi has enlisted Yamin and Cikgu Baha (of AF fame) as wedding planners.

Mawi and Ekin are expected to hold a Press conference on Oct 21 to announce their wedding details.

The question on everyone’s lips is, how grand will the wedding be?

n LATELY more Malaysian filmmakers have been making waves internationally.

The latest is director/actor M. Subash, who will be rubbing shoulders with the who’s who of Bollywood during the 39th International Film Festival (IFFI) in India next month.

His debut film, Pensil, has been selected to participate at the 11-day film fest which will take place at Beach City in Goa starting Nov 22.

Subash received the confirmation via an e-mail sent by the festival’s print coordinator, Ramesh Chandra recently.

Dubbed as one of the oldest and the largest film festivals in Asia, IFFI is accredited by the International Federation of Film Producers’ Association (FIAPF).

To date, it has grown into a high-profile affair and received much coverage.

The movie is a heart-wrenching TV drama-turned-film about a physically-challenged aspiring artiste. It also stars Subash in the leading role.

Produced by Genius Parade Sdn Bhd on a modest RM400,000 budget, Pensil made heads turn when it received a string of accolades at the 21st Malaysian Film Festival in August.

Subash received the Special Jury Award for his efforts in highlighting the plight of the disabled.

Veteran actress Ruminah Sidek bagged the Best Supporting Actress award for her convincing portrayal in the movie. Other cast members included Maimon Mutalib, Khatijah Tan and Jalil Hamid.

n WE all love him. He’s charming, easy-going and adorable. Who are we referring to?

Que Haidar, that’s who. Recently the actor has been romantically linked to beautiful dance instructor-choreographer Linda Jasmine of Akademi Fantasia fame.

Que, who has 20 films under his belt, is adamant that it is just a rumour.

“I don’t know how the gossip came about,” said the actor, who had just returned from his Hari Raya celebration in Johor Baru over the weekend.

Previously, the lanky actor was linked to award-winning actress Sharifah Amani.

Earlier this year, he was linked to a member of a royal family after they were spotted attending a music awards ceremony in Kuala Lumpur.

New Straits Times

Komedi Raya Misha Omar

30 Sep

DIA pernah muncul dalam filem Gerak Khas The Movie 3 yang ditayangkan sekitar tahun 2005.

Setahun selepas itu, dia muncul pula dengan filem Main-Main Cinta bersama Adam. Sayang sekali, filem tersebut gagal dipasaran lantas melenyapkan nama anak kelahiran Kelantan ini sebagai seorang aktres.

Namun, dia tidak pernah menganggap itu sebagai satu kegagalan tetapi sebaliknya dia kutip segala pengalaman yang ditimba untuk dijadikan azimat sebagai bekalan untuk terus menjadi seorang pelakon.

Mungkin sudah tertulis di azali bahawa rezekinya masih lagi ada dalam bidang lakonan, siapa sangka Syawal kali ini membawa seribu rahmat buat Misha Omar kerana buat pertama kalinya, peminat setianya dapat menatap wajahnya di kaca televisyen dalam dua rancangan sempena Aidilfitri nanti.

Dua program berbentuk drama komedi itu berjudul Kecoh Petang Raya terbitan TV3 dan sebuah lagi iaitu Alunan Aidilfitri yang akan ditayangkan di RTM.

“Rasanya sudah lama saya tidak berlakon dan saya rindu untuk kembali ke lokasi. Apabila tawaran datang kepada saya apatah lagi untuk drama komedi, saya fikir tidak wajar untuk saya tolak. Lagipun, komedi memang sesuai dengan jiwa saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelas Misha, tawaran berlakon seringkali mendatangi dirinya tetapi disebabkan faktor masa dan komitmen terhadap perkara lain menyebabkan Misha terpaksa menolaknya.

“Selain itu juga, kekuatan skrip juga amat penting dan amat saya titik beratkan. Ini bukan bermakna saya memilih tetapi kualiti yang paling utama,” katanya lagi.

Drama komedi Kecoh Petang Raya akan ditayangkan hari ini bermula pukul 4.30 petang di TV3.

Selain Misha, turut berlakon drama itu ialah barisan artis popular tanah air iaitu Jalil Hamid, Harun Salim Bachik, Fauziah Ahmad Daud, Adibah Noor, Amy Mastura, Adi Putra serta penampilan pertama Lah Ahmad.

“Berlakon bersama mereka sememangnya menyeronokkan dan tidak langsung berasa tertekan. Mereka pun memang profesional dan sewaktu sesi latihan pun, kami akan sama-sama berbincang untuk memperbaiki segala kelemahan.

“Kami juga tidak terlalu terikat dengan skrip dan masing-masing bebas untuk memberikan pandangan. Mula-mula berlakon dalam drama komedi ini memanglah agak kekok juga terutama sekali apabila berpasangan dengan Lah.

“Tetapi segala-galanya berjalan lancar apabila kami menjalani sesi latihan. Malah, kami juga melontarkan idea masing-masing untuk menghidupkan lagi watak kami ini,” kata pemilik vokal Bunga-Bunga Cinta dan Dedebu Cinta ini lagi.

Dalam drama berkenaan, Misha membawakan watak sebagai Hanum manakala Lah pula sebagai Raihan.

Utusan Malaysia

Meriahkan Adilfitri Bersama Rancangan Raya Televisyen

28 Sep

OLEH RABIATUL ADAWIYAH
KOH ABDULLAH


MINAH lodeh tipah lepatlah pulak.

SETELAH hampir sebulan berpuasa, kini tibalah masa yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sempena Aidilfitri yang bakal menjelang tiba beberapa hari lagi, pelbagai rancangan menarik disusun oleh stesen-stesen televisyen bagi memeriahkan suasana hari raya.

Antara rancangan tersebut ialah telefilem, drama, filem, muzikal raya dan pelbagai rancangan yang menyaksikan gandingan persembahan artis-artis terkenal tanah air.

Jika anda mahu meluangkan masa bersama keluarga dan teman-teman di rumah, jangan ketinggalan menyaksikan pelbagai rancangan menarik ini. Sambil menjamu selera dan menghadiri rumah terbuka, anda tidak ketinggalan berhibur dengan rancangan tv menarik.

l Warna-warni Aidilfitri di RTM

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal bersiaran dengan pelbagai rancangan raya. Eksklusif pada hari raya, penonton RTM 1 berpeluang menyaksikan Siti Nurhaliza bersama peminat pada hari raya kedua pada pukul 11 malam.

Bagi mereka yang inginkan hiburan menjelang raya, jangan lupa menyaksikan sebuah drama muzikal Epilog Cinta Terindah (Bintang-Bintang RTM) yang mengisahkan percintaan dua pasangan ketika zaman muda yang banyak rintangan. Rancangan yang diterbitkan Mohd. Yusni Mohd. Ali ini akan menemui penonton pada Hari Raya ke-10, pukul 3 petang. Ia membariskan artis-artis popular seperti Izwan Pilus, Ramlah Ram, Siti Sarah, Azharina dan Amir (Sofaz).

Selain tayangan filem seperti Jangan Pandang Belakang (raya ketiga; 9 malam) dan Zombie Kampung Pisang (raya keempat; 9 malam), penonton juga disajikan telefilem yang membawa mesej keinsafan seperti Sesuci Al Fitri (raya kedua; 12. 30 tengah malam) lakonan Safura dan Shaharuddin Thamby, Panggilan Raya (raya pertama; 10 pagi) lakonan Emelda Rosmila dan Ijoy Azahari dan Tasbih Terakhir (raya keempat; 12.30 tengah malam) lakonan Nasir Bilal Khan, Jasmin Hamid dan Safura.

Penonton juga dapat menonton Komedi Khas Raya, Selamat Hari Raya Jiran Tetangga lakonan Saiful Apek, Raja Azura, Nabil, Datuk Aziz Satar dan ramai lagi.

Saksikan juga beberapa siri konsert mulai 3 Oktober hingga 5 Oktober pada pukul 3 petang setiap hari dengan persembahan hebat artis-artis tempatan seperti Sofaz, 6ixth, Azharina, Elyana, The Fabulous Cats, Kristal dan Ifa Raziah.

– Kesyukuran dalam kemeriahan bersama TV3

Sementara itu, bertemakan ‘Kesyukuran dalam Kemeriahan’ TV3 mengajak penonton-penonton setianya agar sentiasa bersyukur sambil menyambut kemeriahan Hari Raya Aidilfitri.

Pada kesempatan ini, stesen televisyen swasta ini mengajak penonton-penontonnya untuk meraikan Aidilfitri dengan meneruskan tradisi kunjung-mengunjung ke rumah saudara- mara dan sahabat handai dan saling bermaaf-maafan. Sambil bergembira di samping orang tersayang penonton juga diseru agar bersyukur menikmati kurniaan Ilahi. Para penonton bakal disajikan dengan pelbagai aneka ragam masyarakat menerusi filem, telefilem dan program-program hiburan dan jenaka.

TV3 telah menyusun dengan teliti program-program bagi memastikan hanya yang terbaik untuk ditayangkan sempena dengan Aidilfitri bagi menepati cita rasa penonton. Kebanyakan program tersebut mempunyai keistimewaan dan mesej yang tersendiri.

– Tayangan

Telefilem raya TV3 menjelang raya pada pukul 9.30 malam menyaksikan tayangan Mengejar Sinar yang mengisahkan Taufik berhenti kerja setelah mengambil VSS daripada pejabat tempat dia bekerja. Isterinya, Mariam risau kerana dia sedang mengandung anak kedua selepas lapan tahun tidak mengandung. Satu hari, ibu mertuanya terjumpa Ain dan membawanya pulang. Taufik pergi mendapatkan anaknya dan merayu ibu mertuanya untuk memulangkan Ain, namun dia menyalahkan Taufik kerana tidak mampu menjaga Ain. Dapatkah Taufik bersatu kembali dengan anaknya? Saksikan lakonan Rosyam Nor, Erma Fatima, Maimun Mutalib, Fauziah Nawi, Ismail Yaacob dan Aziz M Osman.

Sementara itu, telefilem Takdir Sedang Berbisik bakal menemui penonton pada pagi raya Ketiga yang mengisahkan kemalangan yang menimpa Husin mengubah kehidupan yang baru dibinanya bersama Maimon. Husin lumpuh dan kehilangan pekerjaan sementara itu, Mak Piah hanya bersabar dengan kerenah menantunya, Maimon. Mak Piah menjaga Husin dan anaknya dengan bantuan Mastura, anak Mak Yam yang sedang belajar tahun akhir di universiti . Telefilem ini dijayakan oleh pelakon-pelakon berkaliber seperti Rosyam Nor, Umie Aida, Fauziah Nawi, Faizal Hussein, Ummi Nazera, Ku Faridah Ku Syafie, Bobby Hazreen, Latiff Borgiba, Maimunah Ahmad dan Maimun Talib.

TV3 turut diwarnai rancangan muzikal antara yang paling istimewa ialah Teratak Siti Nurhaliza pada raya pertama pukul 10 pagi . Teratak Siti Nurhaliza merupakan satu program muzikal yang pastinya dinantikan oleh peminat-peminat penyanyi tersohor tanah air yang bakal dikendalikan oleh beliau sendiri.

Program 60 minit ini akan menyaksikan Siti Nurhaliza mendendangkan lagu-lagu popular tradisional dan juga terkini yang menjadi kegilaan ribuan peminat beliau dengan diiringi oleh pemuzik-pemuzik professional yang dipimpin oleh Faizal Uzir.

Program muzikal ini berkonsepkan fusion tradisional dan moden di mana kedua elemen ini digabungkan untuk mendapatkan konsep irama tersendiri sekali gus menjadikan program ini unik dan berbeza dari persembahan Siti Nurhaliza sebelum ini. Bukan itu sahaja, turut memeriahkan rancangan ini, Siti Nurhaliza juga menjemput adik- beradik beliau iaitu Siti Saida dan Siti Saerah untuk bersama-sama membuat persembahan dengannya buat julung-julung kalinya di kaca televisyen.

Di samping itu, penonton pasti terhibur dengan GhazalRock pada Raya Kedua, 2 Oktober, 10.00pagi.

GhazalRock merupakan satu program muzikal ‘lain dari yang lain’ yang pastinya akan menambat hati para peminat penghibur tanah air. Artis-artis popular seperti Ning Baizura, Faizal Tahir, Anuar Zain, Ella dan kumpulan rock, Jinbara yang dipertemukan dalam program khas raya ini. Bersiaran selama 60 minit, program ini akan menyaksikan para artis jemputan mendendangkan lagu tradisional termasuklah lagu-lagu kontemporari yang kekal popular, masih diminati ramai dengan diiringi oleh alunan muzik daripada kumpulan Jinbara sendiri bersama pancaragam ghazal.

Di samping itu, rasai kehangatan Aidilfitri pertama bersama rancangan signatur Saluran Ceria Anda, ntv7 yang akan menyiarkan filem superhero hebat, Batman Begins hasil garapan pengarah lagenda,Christopher Nolan lakonan Christian Bale, Michael Caine dan Katie Holmes dari 11.45 malam hingga 1.45 malam. Dapatkan lebih keriangan dan kegirangan pada hari raya pertama dengan siaran Cirque Du Soleil: Quidam, Cirque De Soleil: Quidam dan Batman Begins pada Rabu, 1 Oktober.

Tidak ketinggalan, temui Om, seorang kanak-kanak lelaki yang berusaha gigih menghias rumahnya bagi memanggil kedatangan malaikat untuk menunaikan harapannya pada hari raya dalam Malam Tujuh Likur, Jumaat, 3 Oktober 2008, mulai pukul 10 pagi hingga 12 malam. Filem ini dibintangi oleh Adam Zakaria, Eira Syazira, Aaron Aziz dan Aida Aris.

Sementara itu, 8tv turut menyiarkan filem istimewa pada raya pertama pada pukul 10.00 malam dengan tayangan filem Lord Of The Rings-The Two Towers.

– Drama keinsafan di saluran Astro

Saluran Astro Melayu seperti Astro Ria, Prima dan Kirana turut menyajikan pelbagai rancangan menarik untuk anda sekeluarga.

Pelbagai drama dan telefilem hebat bakal menemui anda sepanjang tiga hari pertama Aidilfitri. Epilog drama yang dipaparkan membawa mesej tersendiri dan pengajaran yang melahirkan keinsafan kepada penonton.

Antaranya, sebuah drama hebat, Hanya Aku yang mengisahkan tentang sekumpulan penghuni rumah pengasih yang belajar erti keseronokan, cara menghormati orang lain dan untuk menjadi orang yang berguna dalam masyarakat. Drama lakonan Hattan, Baby Erin, Que Haidar, Nabila Huda, Sheila Rusly dan Erma Fatima berkisar di antara golongan bekas penagih, ibu bapa, pasangan hidup, anak- anak dan orang tersayang. Kisah ini boleh dijadikan pengajaran buat mereka yang hidup dengan dengan cara hidup penjenayah termasuklah mereka yang pernah ditangkap dan disabitkan sebagai pesalah serta dihantar ke penjara.

Drama ini akan disiarkan di Astro Ria pada pukul 11 malam. Aidilfitri anda juga pasti menarik dengan drama Cahaya Lailatulqadar lakonan Beego, Zulhuzaimy, Fauziah Nawi, Jalil Hamid dan Syarifah Sheera. Drama yang akan disiarkan di Astro Prima pada pukul 9 malam ini mengisahkan Adam akhirnya pulang ke tanah air dari London selepas lima tahun bermastautin di sana. Dia merancang untuk membawa pulang sejumlah wang yang besar dari ibunya sehingga mendatangkan kemarahan adiknya, Adi.

– Kesinambungan

Bagi peminat telefilem Takbir Suci 2, kesenimbungan telefilem ini, Takbir Suci 3 akan ditayangkan di Asro Ria pada pukul 11 malam. Ia mengisahkan tentang bagaimana Nora sanggup menyingkirkan ibunya sendiri semata-mata kerana sifat tamak dan dendam yang teramat pada bulan Ramadhan. Saksikan telefilem yang dapat memberi keinsafan kepada semua yang menonton bahawa syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu.

Sementara itu, penonton juga disajikan dengan pelbagai rancangan hiburan lain seperti Minah Lodeh,Tipah Lepat Berayalah Pulak, Di Bawah Ketiak Isteri Aidilfitri, Gegar Gitu Apek Raya, Ada Cinta Di Hari Raya? Selain beberapa filem mnari untuk tontonan umum seperti Cuci, Chermin, I’m Not Single, Kala Malam Bulan Mengambang dan Anak.

Utusan Malaysia

Album Komedi Gaya Ska

23 Jun

KOMEN: Sebelum ini Jalil Hamid telah pun melahirkan beberapa buah album berkonsepkan lagu-lagu jenaka yang sinis.

Dulu… Ye Ke! masih mengekalkan konsep komedi yang sama, cuma elemen muzik ska yang ditampilkan amat ketara dalam album ini.

Tidak seperti album-album terdahulunya yang lebih berkonsepkan pop, kali ini Jalil lebih menumpukan kepada elemen muzik ska dalam menyampaikan lagu-lagu komedinya.

Sudah lama artis kita tidak melahirkan album dengan konsep muzik ska yang ‘pekat’ seperti ini selepas kumpulan Gerhana Ska Cinta menerbitkannya beberapa tahun lalu.

Ska yang bertapak di Kepulauan Caribbean pada awal tahun 1960-an berkembang selari dengan reggae yang dipelopori oleh Bob Marley kemudiannya.

Ska merupakan elemen muzik yang cukup santai termasuklah daripada segi pengutaraan lirik-lirik lagu yang diketengahkan.

Rentak muzik ska yang terhenjut-henjut gaya santai lagi perlahan menyerlahkan penyampaian lirik lagu-lagu dalam album ini.

Justeru, Jalil memilih konsep muzik yang tepat untuk menyampaikan lapan daripada 10 lirik lagu tulisannya dalam album ini yang sarat dengan sindiran semasa.

Pengukuhan elemen muzik ska paling ketara dalam album ini apabila adanya instrumen seperti trompet dan trombone.

Tenaga pemuzik di sebalik rakaman album ini juga hebat, antaranya Mustafa Bakri Ismail (pemain dram kumpulan reggae Republik of Brickfields), Alidin (pemain percussion Brain Connection) dan Rejab (pemain trompet Gerhana Ska Cinta). Antara lagu dalam album ini yang sarat dengan unsur sindiran terhadap isu-isu semasa berjudul Cinta Monyet, Jin Moden, Nombor dan Cinta Empat Segi.

Judul Album: Dulu… Ye Ke!

Artis: Jalil Hamid

Konsep Muzik: Pop dan Ska

Terbitan: FMC Music Sdn. Bhd.

Utusan Malaysia