Archive | Janet Khoo RSS feed for this section

Lepaskan Kembali Aku Ke Laut – Drama Penuh Simbolik

9 Jan

Oleh JESSABELL SOO


SHUKERY HASHIM (kanan) menyampaikan Sajak Patriotik pada majlis pelancaran drama bersiri Lepaskan Kembali Aku Ke Laut.

MENGADAPTASI novel tulisan Dr Shaari Isa, Lepaskan Kembali Aku Ke Laut bukan sekadar untuk menghiburkan penonton sahaja.

Novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu sebenarnya memiliki mesej patriotik yang mampu menyedar dan memberitahu penonton peristiwa-peristiwa pra-kemerdekaan.

Merupakan kerjasama keenam antara RTM dan DBP, drama yang menampilkan lakonan Janet Khoo dan ramai lagi ini akan menemui penonton RTM1 pada pukul 10.30 malam ini, setiap Isnin hingga Khamis.

ΐPembikinan drama ini juga merupakan usaha untuk mempromosikan karya sastera terutamanya novel menggunakan medium media elektronik,῔ kata Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Abdul Rahman Hamid pada sidang media mengenai drama Lepaskan Kembali Aku Ke Laut.

Dibikin untuk menggantikan drama Dinasti Bilut, proses penyuntingan Lepaskan Kembali Aku Ke Laut bagaimanapun masih dijalankan.

ΐPenggambaran sebenarnya sudah siap pada Mei tahun lalu dan sekarang drama ini tengah melalui proses suntingan. Kami terpaksa memendekkan setiap episod. Sebelum ini kami merakamkan 45 minit untuk setiap episod dan kini slotnya hanya diperuntukkan untuk 30 minit.

ΐKami perlu mengatur struktur cerita semula tetapi masih mengekalkan cerita asal serta mesejnya. Jadi ia mengambil masa yang agak lama. Pada asalnya kami menyiapkan untuk 13 episod dan selepas perubahan, rasanya keseluruhan drama adalah 23 episod,῔ kata Pengarah Lepaskan Kembali Aku Ke Laut, Arief Karmahani.

Melihat tajuknya yang agak panjang, ramai yang pasti tertanya-tanya simboliknya dengan drama ini.

ΐSeperti yang boleh dilihat, patung duyung di atas meja oleh Sir Donald MacGlivary selalu mengganggu pemikirannya. Duyung itu seperti diminta untuk dilepaskan. Ia adalah sama seperti penduduk Tanah Melayu meminta untuk dilepaskan dari penaklukan penjajah,῔ tambah Arief lagi.

Menjalankan penggambaran di Perak, pengarah mengalami sedikit kesukaran untuk mendapatkan pelakon dan lokasi yang paling dekat dengan penulisan Dr Shaari Isa.

ΐAdaptasi selalunya mempunyai perubahan sebanyak 25 peratus daripada novel asalnya. Ubah suai perlu dilakukan kerana perubahan medium media. Namun, kami masih mengekalkan keaslian dan isi kandungan cerita.

ΐLokasi, watak dan spesifikasi lain susah ditiru 100 peratus dari novel kerana pelakon dalam industri kita juga terhad dan tempat-tempat yang dimaksudkan juga sudah hilang,῔ jelas Arief.


BARISAN pelakon yang menjayakan Lepaskan Kembali Aku Ke Laut.

Sinopsis Lepaskan Kembali Aku Ke Laut

KAZMAN, adik kepada Izma mempunyai seorang kawan baik bernama Giek Im. Mereka juga mempunyai dua sahabat karib iaitu Johnny dan Razif. Ayah Kazman, Jasin merupakan pemandu teksi dan ibunya, Julas bekerja dengan Sir Donald di King”s House.

Rumah tangga Julas dan Jasin bergolak setelah Jasin menjalin hubungan dengan Ketua Kampung UMNO kampung mereka, Inang. Manakala Ah Fook, ayah kepada Geik Im dipaksa menjadi tali barut komunis.

Kazman pula kemudian dimasukkan ke hospital selepas mengalami kemalangan jalan raya. Ketika menjaga Kazman, Izma telah bertemu dan jatuh cinta dengan Leftenan Muda Usmal.

Powered by Kosmo

Sinema Melayu 'Tidak Hargai' Janet

8 Jan

Oleh JESSABELL SOO

Jika hendak dibilang, tidak ada ramai artis Cina yang berjaya bertapak dalam industri perfileman Melayu. Maka bagi Janet Khoo yang agak popular di kalangan pembikin dan industri perfileman Melayu, dia patut berbangga dengan statusnya.

Memang pada asalnya Janet menceburi industri ini untuk memburu populariti. Namun, semakin dia mendekati impiannya, Janet mula sedar lakonan kini bukan sekadar untuk dikenali sahaja tetapi adalah minat dan “nyawanya”.

JANET akui kecewa

Cuma apa yang dirisaukan oleh aktres ini adalah progres bidang perfileman yang dilihat lebih mengorak ke arah negatif. Malah pada masa ini Janet sedang merajuk dan berkecil hati kerana berasa telah diabaikan oleh pembikin filem dan industri itu sendiri.

ΐSaya tidak faham dengan pergolakan industri hiburan tempatan. Saya telah bekerja keras dan yakin dengan setiap projek serta orang yang saya bekerjasama. Saya menaruh harapan bahawa mereka akan membawa saya ke satu tahap lebih tinggi.

ΐNamun, selepas Mat Dom Teksi memenangi Anugerah Skrin 2006, saya mula merajuk dan kecil hati. Bagi saya Mat Dom Teksi adalah satu drama komedi berkualiti tetapi mengapa tidak diteruskan dan diperjuangkan? Kenapa produksi ini perlu dihentikan?,῔ luah Janet ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama Lepaskan Kembali Aku Ke Laut di RTM, baru-baru ini.

Pengiktirafan tidak dihargai

Malah menerusi sitkom tersebut, Janet telah memenangi anugerah aktres terbaik dalam komedi pada majlis Asian TV Awards di Singapura pada tahun 2006.

SAAT merangkul trofi pada 2006 Asian TV Awards.

ΐPada malam itu, saya merupakan satu-satunya artis Malaysia yang memenangi anugerah. Tetapi pengiktirafan itu tidak dihargai oleh industri tempatan. Saya berasa kecewa dan terkejut mengapa sesebuah karya yang memenangi pelbagai anugerah tidak dapat diteruskan,῔ tambahnya lagi.

Membuat keputusan untuk kekal “senyap” dalam industri selagi tidak dihargai, filem terakhir yang dibintangi oleh Janet adalah Paloh (2003).

ΐBukan saya tidak mahu berlakon dalam filem tetapi hakikatnya muka saya tiada nilai komersial. Mungkin ada yang menyatakan muka saya cantik tetapi realitinya muka saya tidak boleh mencapai kutipan box-office. Saya menerima realiti ini dan bekerja keras untuk mencapai kedudukan dalam industri,῔ keluh Janet lagi.

Mungkin disebabkan dirinya pernah memenangi anugerah di negara luar, ramai pihak yang berpendapat Janet kini lebih “mahal” dan hanya akan memilih projek tertentu untuk dipikul.

ΐSaya tidak meletak harga mahal. “Harga” saya masih berada di bawah RM10,000. Apa yang diutamakan adalah watak dan pengarah yang terlibat. Namun, kebanyakan projek yang dilaksanakan masa kini lebih sambil lewa tanpa memikirkan kualiti.

ΐSaya pula bukan seorang pelakon yang akan menerima sebarangan kerja. Jadi ini juga menjadi faktor yang menyebabkan saya jarang dilihat di kaca televisyen kebelakangan ini. Tetapi saya bukan seorang yang demanding,῔ katanya lagi.

Beralih ke layar Cina

Sungguhpun tidak begitu “hangat” dalam dunia perfileman Melayu, Janet baru-baru ini sedang menjalankan penggambaran drama Cina, Age Of Glory terbitan Double Vision.

ΐDrama ini merangkumi 40 episod. Saya sebenarnya tidak tahu membaca bahasa Cina dan perlu menghafal dan menterjemah skripnya. Walaupun selalunya saya tidak suka menghafal skrip tetapi saya mengambil cabaran untuk mencuba.

ΐOrang tidak menghargai saya dalam industri jadi saya ingin mencuba pula pasaran Cina. Bayangkan dari Paloh (watak serius) ke Mat Dom Teksi, saya mencabar diri sendiri tetapi saya tidak dihargai di Malaysia. Saya berlakon bukan untuk mengagumkan orang tetapi bagi kepuasan diri,῔ akhiri bicara Janet.

Powered by Kosmo

Hujan Sudah Teduh Drama Period Bernilai RM300,000

4 Jul

Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

NOVEL Hujan Sudah Teduh karya penulis prolifik Zaharah Nawawi bukan sekadar novel ringan yang memenuhi kehendak pasaran semata-mata.

Novel setebal 446 muka surat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2004 itu berjaya mengangkat sebuah kisah realisme yang penuh rasa, perasaan dan sikap sebuah masyarakat Melayu melalui emosi dan pemikiran pada era 1950-an sehingga awal 1970-an.

Hujan Sudah Teduh memaparkan kehidupan watak utamanya, Sayang Zaiton, anak Cina yang dibela oleh keluarga angkat Melayu yang terpaksa melalui pelbagai liku dalam kehidupannya yang penuh dengan penderitaan.

Namun apabila novel itu ingin dibawa dalam bentuk drama, pasti ramai yang menanti hasilnya apabila divisualkan di layar TV.

Drama kerjasama RTM dan DBP tersebut akan ditayangkan di stesen televisyen kerajaan itu pada bulan September ini.

Hujan Sudah Teduh sudah pun menamatkan penggambarannya selama sebulan bermula 24 Mei lalu.

Baru-baru ini, pihak media dari Kuala Lumpur dibawa oleh DBP ke lokasi penggambaran drama Hujan Sudah teduh di perkampungan Parit Haji Idris di Muar, Johor.

Pengarahnya, Asri Alias dan krew penggambaran sedang berhenti rehat seketika sewaktu ketibaan kami di sana.

Baru berusia 31 tahun, Asri nampak tenang dan ceria walaupun cuaca panas terik serta lokasi penggambaran menjadi tumpuan orang kampung yang datang menyaksikan penggambaran secara dekat.

Asri, seorang Penerbit Rancangan di RTM, berkata, senario itu disebabkan kampung itu pertama kali dijadikan lokasi penggambaran sebuah drama TV.

Apabila ditanya pengalaman pertamanya mengarah drama yang diadaptasikan daripada sebuah novel, Asri memberitahu, Hujan Sudah Teduh amat menguji kredibilitinya sebagai seorang pengarah drama.

Sebagai drama berbentuk period, katanya, dia tercabar terutama apabila berhadapan dengan masalah set, kostum dan prop yang perlu mengikut kesesuaian jalan ceritanya.

“Bukan mudah mengarah drama period kerana ia bermain dengan metafora. Lagipun, drama ini berdasarkan naskhah besar Zaharah Nawawi yang memerlukan saya membuat kajian mendalam,” kata Asri.

Pengarah lulusan Universiti Putra Malaysia ini berkata, dia ingin memastikan drama itu menggambarkan suasana penerimaan orang Melayu terhadap orang Cina yang agak kurang pada tahun-tahun 1950-an.

Impak

Katanya, caci cela orang kampung dan wujudnya kelas masyarakat diharapkan mampu memberi impak besar dalam drama Hujan Sudah Teduh untuk dihayati oleh generasi muda.

“Penulis skrip, Anuar Idris hanya mengambil 70 peratus daripada novel itu untuk diolah menjadi skrip yang menarik.

“Konflik diperlukan dalam drama Hujan Sudah Teduh untuk mewarnai jalan ceritanya kelak,” terang Asri lagi.

Namun kerana dia sudah menjalankan kajian sejak awal tahun ini dan menjelajah kawasan lokasi penggambaran itu sejak April lalu, Asri berjaya mengurangkan rintangan yang dihadapi.

“Walaupun watak utamanya dilakonkan oleh pelakon baru, Lim Fheng Fheng, ia bukan satu masalah besar kepada saya.

“Fheng cepat memahami apa yang saya inginkan dalam wataknya yang jelas begitu berat dan pastinya kejayaan drama ini terletak pada bahu Fheng.

“Namun bagi saya, dia mempunyai harapan yang cerah untuk pergi jauh dalam bidang lakonan.

“Apa yang pasti, bahasa dan jiwa Melayunya amat tinggi dalam diri Fheng,” jelas Asri yang mula mengesan bakat besar Fheng selepas melihat gadis Cina itu mendeklamasikan puisi dan sajak di RTM.

Asri juga memberikan jawapan yang rasional mengenai risiko mengambil Fheng, pelakon yang pertama kali berlakon, dan bukannya pelakon Janet Khoo yang sudah terbukti lakonannya.

“Ini satu cabaran kepada saya. Selalunya penonton akan meletakkan kayu ukur kejayaan drama hasil lakonan pelakon yang sudah ada nama. Malah penonton akan terikat dengan lakonan Janet dalam filem Paloh.

“Secara peribadi, saya ingin melihat kejayaan drama ini menerusi lakonan pelakon baru yang tidak pernah berlakon,” kata Asri yang seronok bercerita tentang dramanya itu.

Sepanjang penggambaran, Asri memberitahu, dia berpuas hati dengan lakonan semua pelakonnya kerana masing-masing memberikan apa yang dikehendaki.

Drama termahal

Selain itu, menurut Asri, Serom dan Bukit Gambir menjadi lokasi pilihan untuk drama berbajet RM300,000 itu memandangkan perkampungan di daerah Muar tersebut masih kekal dengan keaslian pemandangan desanya. Ia bersesuaian dengan ceritanya yang berlatarkan tahun 1950-an hingga awal tahun 1970-an.

“Selain pemandangan kampung yang indah, terdapat banyak rumah lama di kawasan itu.

“Ia bersesuaian dengan cerita Hujan Sudah Teduh yang mengisahkan tentang kehidupan di sebuah kampung,” kata Asri yang berpengalaman mengarah berbelas buah drama sejak 1997.

Atas keyakinannya yang tinggi, Asri jelas tidak gusar dengan kos drama itu yang terlalu mahal dan bakal mencetuskan kontroversi mengenai kualitinya kelak.

“Kos drama period memang begini. Itu pun saya sudah menjimatkan apa yang termampu.

“Saya fikir jumlah kos tidak perlu dipersoalkan. Masalahnya berapa banyak drama atau filem yang berbentuk period dihasilkan oleh penerbit di Malaysia dalam setahun.

“Lagipun RTM sudah terlalu lama tidak menerbitkan drama sebegini,” jawab Asri.

Sinopsis Hujan Sudah Teduh

Kisah dalam drama ini berlatarkan dekad tahun 1950-an, 1960-an dan 1970-an.

Yang@Yang Ah Moi@Zaitun Abdullah ialah seorang anak angkat Cina dalam sebuah keluarga Melayu. Mesra dengan panggilan Yang, dia menghadapi berbagai dugaan dan rintangan hidup dari sejak kecil hinggalah dewasa.

Kebahagiaan hanya menjelang setelah dia dewasa dan mengubah haluan hidupnya sendiri. Ini kerana pada masa itu, hubungan antara Melayu dan Cina hanya sebagai rakan di jalanan.

Hanya ada beberapa orang Cina yang mendapat kepercayaan daripada orang Melayu termasuk Nyonya Tanam Sayur, iaitu ibu Yang sendiri.

Hidup dalam keluarga Melayu membuatkan Yang berasa kehilangan sesuatu walaupun dia mendapat belaian kasih sayang daripada keluarga angkatnya. Yang tetap merasakan dirinya terasing seperti ugly duckling.

Ketika menjelang remaja, dia hampir dirosakkan oleh seorang pemuda bernama Mokhtar namun berjaya diselamatkan oleh saudara angkatnya. Yang berkahwin beberapa kali tetapi kesemuanya tidak membahagiakan.

Ini menyebabkan Yang hilang kepercayaan kepada semua orang. Baginya, orang yang boleh dipercayai ialah nenek Yah yang menjadi ibu angkatnya, Maimon kakak angkat yang membelanya hingga dewasa dan suaminya Karim yang meninggal dunia.

Powered by Utusan Malaysia

Ahmad Idham Kini Punya Syarikat Sendiri

3 Jan

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

PEPATAH Melayu ada mengatakan tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah dengan pelakon Ahmad Idham. Siapa sangka pada usianya yang masih muda, baru 34 tahun, dia sudah mampu mempunyai syarikat sendiri, Execellent Pictures Sdn. Bhd., dan kini bergelar penerbit dan juga pengarah filem dan drama.

Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Idham Ahmad Nadzri atau lebih senang dipanggil Idham melangkah lebih teratur dalam bidang penerbitan dengan menerbitkan satu demi satu drama bermula dengan Mengejar Pelangi (40 episod), diikuti Aku, Dia dan Capetowm (25 episod) dan kini menanti filem pertama terbitan dan arahannya, Tipah Tertipu, ditayangkan kepada umum.

Filem yang mula menjalani penggambaran sejak Jun tahun lalu dengan kos penerbitan sebanyak RM1.2 juta dijangka ditayangkan tahun ini.

Tipah Tertipu yang lahir daripada lagu popular Ruffedge dengan skrip oleh Mamat Khalid menampilkan ahli kumpulan Ruffedge. Ia turut dilakonkan oleh Jaafar Onn, Ismail Din dan Adlin Aman Ramli.

Idham yang ditemui di kediaman mertuanya di Golf & Country Resort Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata:

‘’Walaupun saya pernah mengarah filem Mr. Cinderella, tetapi debaran menanti Tipah Tertipu lebih membebankan. Ia bagai menanti kelahiran anak pertama.

‘’Sebabnya saya tidak tahu bagaimana penerimaan penonton terhadap filem muzikal komedi ini. Cuma apa yang saya harapkan filem ini akan berjaya menarik hati para peminat filem tempatan.”

Menjejaki perjalanan seni Idham, memang tidak siapa menduga graduan UiTM yang semasa di kampus menjadi pelakon tambahan dengan bayaran RM30 sehari kini mampu menerajui syarikat penerbitan sendiri.

Malah Idham tidak pernah termimpi untuk menjadi pelakon apalagi mengarah dan kini sebagai penerbit.

“Kadang-kadang bila menyingkap kembali perjalanan seni saya, memang terasa lucu. Saya sendiri tidak pernah menduga ketika masih menuntut dan suka-suka menjadi pelakon tambahan akhirnya saya berjaya menarik minat pengarah filem KLU (Kuala Lumpur Universiti). Filem itu diterbitkan pada 1995 oleh Solid Gold.

‘’Semuanya gara-gara Azhar Sulaiman. Saya memang kawan baiknya. Dia yang mengajak saya mencuba nasib dan akhirnya saya diberi peranan watak pembantu dalam KLU dengan bayaran RM1,500.

‘’Masa itu saya sedang belajar. Duit sebanyak itu memang besar, hanya Tuhan yang tahu betapa bersyukur dan bangganya saya yang masih belajar men dapat duit sebanyak itu.

‘’Sejak itulah saya sering berlakon tidak kira walaupun sebagai pelakon tambahan yang diberi gaji hari. Yang penting ada duit poket. Kalau nak harapkan duit biasiswa, berapa sangatlah,’’ cerita Idham.

Bagi Idham, biarpun ada pihak yang menganggap menceburi bidang penerbitan filem bagaikan satu perjudian tetapi ia sedikit pun tidak pernah mematahkan semangatnya.

‘’Bagi saya, kita jangan mudah mengaku kalah. Saya yakin filem-filem tempatan bukan sahaja mampu mewarnai industri filem tempatan malah akan dapat menguasai penonton luar.

‘’Apa yang penting kita perlukan pengarah yang berwawasan dan mempunyai misi serta fikiran yang terbuka. Saya bangga dengan kehadiran pengarah-pengarah muda seperti Afdlin Shauki yang saya yakin akan mengubah persepsi filem Melayu pada mata para cendekiawan,’’ kata Idham.

Tertubuhnya Execellent Pictures bukan sahaja menjadi puncak kejayaan Idham. Malah dia sendiri tidak pernah menduga begitu cepat dapat memiliki syarikat sendiri berserta studio dan peralatan penggambaran.

‘’Saya tidak menduga dapat mempunyai syarikat penerbitan sendiri dengan studio dan peralatan penggambaran. Tetapi itulah rezeki namanya.

‘’Bersama kawan sekolah yang kini mempunyai syarikat pengiklanan, kami mengeluarkan modal RM500,000 seorang sehingga terbentuknya syarikat ini.

‘’Mulanya pejabat kami di Ampang tetapi apabila penyanyi Hattan mahu menjual studionya di Taman Tun Dr. Ismail dengan segala kelengkapannya, kami bersetuju membeli.

‘’Sejak 1 Julai lalu, kami bukan sahaja mempunyai pejabat yang selesa malah sudah mempunyai bilik editing untuk menyunting semua drama terbitan kami,’’ kata Idham yang baru selesai menjalani penggambaran sebuah drama terbitan Kuasatek Kama Sutra. Dalam drama itu dia berpasangan dengan Janet Khoo.

Pertama kali menjejaki banglo dua tingkat yang terletak di sebidang tanah di Golf & Country Resort Bukit Jalil, sudah tergambar cita rasa penghuninya.

Rumah mewah yang cantik dengan landskap yang menarik itu memang membuatkan siapa sahaja yang memandangnya terasa tenang dan damai.

Hati yang kagum melihat keindahan rumah milik pengarah dan penerbit muda ini tiba-tiba mati seketika bila penghuninya keluar sambil senyum melebar. Idham lalu berkata: ‘’Jangan salah anggap ya, ini bukan rumah saya tapi rumah ayah dan ibu mertua saya.”

Sudah hampir empat tahun Idham dan isteri, Jameah Aziz, 29, (Amy) dan anak-anak – Ahmad Firdaus, 5, dan Ahmad Aydeel satu setengah tahun – tinggal di situ.

‘’Adik-adik Amy semuanya sudah berkahwin dan disebabkan ayah dan ibu mertua saya terasa sunyi di rumah ini mereka mengajak kami tinggal bersama. Sekurang-kurangnya tawa riang anak-anak kami menceriakan rumah mereka,’’ kata Idham yang menanti kelahiran anak ketiganya yang dijangka pada Jun ini.

Menurut Idham, kerana faktor itulah dia jarang mahu bergambar di rumah bersama isteri dan anak-anak.

Tetapi, katanya, disebabkan tujuan Mega menemubualnya di rumah lebih memfokuskan kepada kerjaya dan rancangan masa depan syarikatnya, dia bersetuju diinterviu.

Powered by Utusan Malaysia